of 18 /18
MURID DISLEKSIA BELAJAR MENGEJA DENGAN MELAKAR / MELUKIS GAMBAR Zahrah Hj. Abdullah Sekolah Kebangsaan Taman Tun Dr. Ismail (2) Kuala Lumpur PENGENALAN Masalah disleksia dalam pembelajaran sudah lama wujud di kalangan pelajar-pelajar sekolah rendah dan menengah. Di Malaysia, disleksia hanya diperkenalkan kepada khalayak ramai buat pertama kalinya pada tahun 1993 melalui Seminar Kebangsaan Pengenalan kepada Disleksia yang dianjurkan oleh Rotary Club Gombak. Disleksia bukanlah satu istilah yang terlalu asing. Terdapat banyak buku serta bahan rujukan internet yang ditulis berkaitan pelbagai aspek disleksia. Namun apa yang masih sangat kurang adalah rujukan dan panduan mengenai disleksia dalam bahasa Melayu. Di negara-negara di mana pengetahuan mengenai disleksia lebih baik di kalangan masyarakatnya, ibu bapa merupakan pihak yang pertama menyedari masalah membaca dan menulis ini pada anak-anak mereka. Dengan itu dapatlah mereka mendapatkan bantuan seawal mungkin untuk anak-anak disleksia ini. Walau bagaimanapun, di Malaysia , konsep ‘Masalah Pembelajaran Spesifik’ masih sangat baru. Sering kali ibu bapa menyedari masalah spesifik anak mereka hanya apabila terdapat kemerosotan yang sangat serius dalam pelajarannya ketika di Tahun 3 atau 4. Pada ketika ini

Murid Disleksia Belajar Mengeja Dengan Melakar

Embed Size (px)

DESCRIPTION

DISLEKSIA

Text of Murid Disleksia Belajar Mengeja Dengan Melakar

MURID DISLEKSIA BELAJAR MENGEJA DENGAN MELAKAR / MELUKIS GAMBAR

Zahrah Hj. Abdullah

Sekolah Kebangsaan Taman Tun Dr. Ismail (2)

Kuala Lumpur

PENGENALAN

Masalah disleksia dalam pembelajaran sudah lama wujud di kalangan pelajar-pelajar sekolah rendah dan menengah. Di Malaysia, disleksia hanya diperkenalkan kepada khalayak ramai buat pertama kalinya pada tahun 1993 melalui Seminar Kebangsaan Pengenalan kepada Disleksia yang dianjurkan oleh Rotary Club Gombak.

Disleksia bukanlah satu istilah yang terlalu asing. Terdapat banyak buku serta bahan rujukan internet yang ditulis berkaitan pelbagai aspek disleksia. Namun apa yang masih sangat kurang adalah rujukan dan panduan mengenai disleksia dalam bahasa Melayu.

Di negara-negara di mana pengetahuan mengenai disleksia lebih baik di kalangan masyarakatnya, ibu bapa merupakan pihak yang pertama menyedari masalah membaca dan menulis ini pada anak-anak mereka. Dengan itu dapatlah mereka mendapatkan bantuan seawal mungkin untuk anak-anak disleksia ini.

Walau bagaimanapun, di Malaysia , konsep Masalah Pembelajaran Spesifik masih sangat baru. Sering kali ibu bapa menyedari masalah spesifik anak mereka hanya apabila terdapat kemerosotan yang sangat serius dalam pelajarannya ketika di Tahun 3 atau 4. Pada ketika ini anak itu sudah pun mengalami pengalaman persekolahan yang begitu menyukarkan, yang sebenarnya boleh diatasi sekiranya diagnosis awal dilakukan bagi mengenal pasti sama ada kanak-kanak itu mengalami disleksia. Pihak yang sering dipertanggungjawabkan dengan tugas ini adalah para guru, terutama guru sekolah rendah. Sehubungan itu, kepentingan meningkatkan pengetahuan para guru mengenai disleksia tidak dapat disangkal lagi. Dengan itu tertubuhlah Program Pendidikan Khas Bermasalah Pembelajaran Spesifik Disleksia di Sekolah Kebangsaan Taman Tun Dr. Ismail (2).

SEJARAH PENUBUHAN PROGRAM DISLEKSIAPenubuhan program disleksia telah dirancang oleh Kementerian Pelajaran Malaysia sejak pengambilan kumpulan pertama guru-guru menjalani kursus disleksia selama empat belas minggu . Bagaimanapun program ini telah dapat direalisasikan pada 13 Mac 2004, dengan memilih Sekolah Kebangsaan Taman Tun Dr. Ismail (2) sebagai sekolah pra-rintis program disleksia.

Program ini dimulakan dengan hanya tujuh orang murid dan dua orang guru sahaja. Subjek yang diajar ketika itu ialah Bahasa Malaysia sahaja. Kini program disleksia di sekolah ini mempunyai tiga puluh tiga orang murid dan empat orang guru yang mengajar subjek-subjek utama seperti Bahasa Malaysia, Sains dan Matematik. Murid-murid disleksia mengikuti pembelajaran subjek-subjek lain di kelas arus perdana.

Pelancaran rasmi program disleksia di Peringkat Kebangsaan telah disempurnakan di Sekolah Kebangsaan Taman Tun Dr. Ismail (2) pada 16 Jun 2004, oleh Yg. Bhg. Puan Hajah Siti Zaharah binti Mat Akib , Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran, Jabatan Pendidikan Khas, Kementerian Pelajaran Malaysia.

PROSES PENGAMBILAN MURID DISLEKSIA

Murid-murid dikenalpasti oleh guru kelas atau guru subjek. Mereka terdiri daripada murid-murid yang gagal dalam PKSR 1 setelah mengikuti pendidikan di arus perdana selama enam bulan.

Mereka di hantar ke kelas pemulihan khas selama empat bulan bagi mengikuti program tersebut dan melepasi ujian mode yang dijalankan.

Sekiranya murid itu melepasi ujian mode yang diberikan oleh guru pemulihan, dia akan dirujuk kepada guru program disleksia.

Guru program disleksia akan mengeluarkan satu salinan borang ISD (Instrumen Senarai Semak Disleksia) yang perlu diberikan kepada guru kelas untuk dibincang bersama guru subjek lain dan guru pemulihan.

Borang ISD yang telah lengkap diisi akan dikembalikan kepada guru program disleksia untuk dinilai mengikut garis panduan yang telah ditetapkan oleh Jabatan Pendidikan Khas, Kementerian Pelajaran Malaysia.

Borang ISD beserta rumusan yang lengkap akan diserahkan kepada Penyelaras Pendidikan Khas dan Guru Besar , untuk diserahkan kepada ibu bapa atau penjaga murid tersebut bagi mendapatkan pengesahan pengamal perubatan (iaitu dari Institut Pediatrik).

Sementara menunggu pengesahan doktor, murid tersebut akan diberi Ujian Diagnostik oleh guru program disleksia bagi mengenalpasti kelemahan dan kekuatannya dalam akademik. Selain dari itu dia mengikuti sesi pelajaran di kelas biasa.

Setelah murid itu disahkan sebagai disleksik ia akan terus mengikuti program disleksia. Jika bukan, ia akan dihantar ke kelas yang sepatutnya .PELAKSANAAN PROGRAM

Kelas Inklusif Disleksia di SK Taman Tun Dr. Ismail (2) melaksanakan pengajaran Bahasa Malaysia sahaja kepada murid-murid yang tidak ada masalah dalam subjek lain. Mereka akan mengikuti pembelajaran semua subjek lain di kelas arus perdana.

Manakala Kelas Khas Disleksia pula menerima murid-murid yang lemah dalam subjek Bahasa Malaysia, Sains dan Matematik. Subjek lain diikuti di kelas arus perdana.

Jadual waktu bagi Kelas Inklusif dan Kelas Khas Disleksia diambil daripada kelas arus perdana , dengan kurikulum yang serupa. Yang berbeza ialah teknik pengajaran dan bahan-bahan yang guru gunakan untuk mengajar murid disleksia.

MURID BERKEPERLUAN KHASMurid berkeperluan khas adalah mereka yang istimewa dan perlukan pendekatan pengajaran dan pembelajaran yang berbeza daripada murid biasa. Pada tahun 1977 satu peruntukan di bawah perlembagaan Amerika Syarikat (Public Law 94 142) diluluskan bagi mengiktiraf hak kanak-kanak Amerika yang mengalami masalah pembelajaran. Ia khusus bagi mendapatkan pemeriksaan serta kaedah yang bersesuaian bagi menangani masalah mereka. Dalam tahun 1981 England dan Scotland meluluskan Akta Pendidikan yang menyatakan bahawa semua kanak-kanak yang mengalami apa jua jenis masalah pembelajaran wajar mendapat pemeriksaan dan bantuan yang sesuai dengan keperluan khas mereka.

Di Malaysia, pendidikan murid berkeperluan khas diletakkan di bawah Jabatan Pendidikan Khas, Kementerian Pelajaran Malaysia. Secara umumnya disleksia merujuk kepada masalah persepsi dalam otak yang menyebabkan kesukaran membaca dan menulis bahasa. Murid disleksia sering tidak dapat membaca walaupun mereka mempunyai IQ yang tinggi atau sama dengan murid normal.

APAKAH DISLEKSIA

Disleksia berasal daripada gabungan perkataan Greek dys yang bermaksud kesukaran dan lexis yang bermaksud bahasa . Secara literalnya , disleksia bermaksud kesukaran dalam bahasa ( Ott, 1997). Kanak-kanak disleksia bukan sahaja menghadapi masalah dalam pembacaan, tetapi juga ejaan, penulisan serta beberapa aspek bahasa yang lain.

Definisi operasional disleksia yang pertama dikeluarkan oleh World Federation of Neurology (1968). Menurut definisi itu, disleksia ialah : Suatu kecelaruan pada kanak-kanak di mana, meskipun mereka melalui pengalaman bilik darjah konvensional, gagal menguasai kemahiran bahasa seperti membaca, menulis dan mengeja yang selaras dengan kemampuan intelektual mereka .

Seterusnya, definisi yang lebih terkini mengenai disleksia mengiktirafkannya sebagai suatu masalah kognitif (Thomson, 1984). Selain itu, disleksia diakui bukan sahaja menjejaskan ingatan dan konsentrasi seorang kanak-kanak, bahkan juga kemahiran pengurusan diri dan kadang kala turut mempengaruhi kebolehan matematik.

Disleksia adalah masalah pembelajaran kronik dan bukan kerana lambat dalam penguasaan kemahiran asas literasi. Oleh yang demikian, ia melibatkan murid-murid di sekolah rendah, menengah, pengajian tinggi dan orang dewasa. Kajian menunjukkan 5 15 % murid-murid sekolah adalah disleksik, bererti ianya lebih kerap daripada penyakit lelah.

Kementerian Pelajaran Malaysia mendefinasikan murid yang mengalami masalah pembelajaran disleksia ialah murid yang mempunyai kecerdasan mental yang searas atau melebihi murid-murid biasa tetapi mempunyai kesukaran atau kelemahan yang tinggi dalam kemahiran membaca, mengeja dan menulis.

Mengikut kajian yang dilakukan oleh Dr. Galaburda , susunan sel-sel otak seorang disleksia adalah berbeza daripada otak orang biasa. Apabila dilahirkan, manusia mewarisi gen daripada ibu bapanya. Oleh itu, masalah disleksia boleh dikatakan sebagai masalah keturunan. 88 peratus daripada mereka yang mempunyai symptom disleksia mewarisi masalah itu daripada ahli keluarganya. 12 peratus lagi mendapat masalah ini daripada kemalangan iaitu ketika dalam kandungan atau pun selepas dilahirkan.

Ahli penyelidik masih tidak dapat mengetahui bagaimana otak manusia berfungsi, tetapi sudah mengenal pasti fungsi beberapa kawasan otak yang tertentu. Walaupun setiap kawasan mempunyai fungsinya yang tersendiri, namun setiap kawasan di dalam otak adalah berkaitan antara satu sama lain.

Otak kita dibahagikan kepada dua bahagian yang disambungkan dengan satu saraf yang panjangnya sepuluh sentimeter dan diameternya lima sentimeter. Saraf itu dikenali sebagai corpus callosum.

Otak terdiri daripada dua hemisfera.

Walaupun kedua belah otak kelihatan sama, setiap bahagian mempunyai tugasnya yang tersendiri. Bahagian kiri otak menguasai percakapan, kewarasan, dan merupakan bahagian yang lebih berkuasa daripada bahagian sebelah kanan (verbal, logical and controlling half). Manakala bahagian kanan pula menguasai perlakuan dan merupakan bahagian pemikiran bukan lisan, praktikal dan kebolehan memahami (non-verbal, practical and intuitive).

Pandangan atas kawasan pemprosesan bahasa dalam kedua-dua

hemisfera otak mereka yang normal (Hornsby, 1995)

Manusia biasanya mempunyai bahagian pertuturan di sebelah kiri otak yang lebih besar daripada sebelah kanan otak. Ramai pakar percaya yang masalah disleksia timbul apabila kedua belah otak mempunyai bahagian bahasa yang sama besar. Punca utama masalah disleksia adalah disebabkan oleh sambungan antara kedua belah otak yang dipanggil corpus callosum . Corpus callosum boleh menjadi satu perjalanan isyarat saraf yang sesak dengan impuls saraf yang berulang-alik (confusing traffic jam of nerve signals). Contohnya, objek-objek yang padu seperti kerusi, meja, bola, tidak menimbulkan masalah kepada kanak-kanak disleksia kerana ianya bersifat tiga dimensi. Sebaliknya, huruf-huruf seperti b atau d boleh menimbulkan kekeliruan kepada mereka. Imej huruf ini akan dipindahkan dari hemisfera otak kiri ke hemisfera otak kanan silih berganti (berulang-alik), sambil otak cuba membuat keputusan samada ianya adalah b atau d . Pemindahan silih berganti ini menyebabkan laluan antara otak kiri dan kanan menjadi sesak dan mengambil masa yang lama sehingga menyebabkan kesan seperti imej cermin bagi huruf-huruf ini.

Perbandingan isyarat saraf antara manusia normal dan mereka yang menghidap disleksia ( Hornsby, 1995 ).

Gambar kiri: Pembaca normal mengaktifkan system saraf yang kebanyakannya

terletak di belakang hemisfera kiri otak (bahagian yang gelap).

Gambar kanan: Otak pembaca disleksia. Bahagian itu kurang diaktifkan , sebaliknya

bahagian hadapan hemisfera kiri otak yang lebih aktif.Disleksia berlaku kerana terdapat perbezaan dalam struktur dan fungsi otak tetapi tidak dapat dipastikan apa yang sebenarnya punca masalah disleksia. Kita hanya tahu bahawa disleksia adalah satu masalah keturunan dan dapat dikaitkan dengan kromosom 6. Walau apa pun punca disleksia, kita sebagai guru harus menerima situasi ini dan menumpukan lebih perhatian terhadap murid kita yang mempunyai otak yang berlainan, yang berbakat dan produktif, tetapi perlu menggunakan kaedah belajar yang tersendiri.

Perbandingan otak antara manusia normal dan mereka yang

menghidap disleksia ( Shaywitz, 2002 ).

Keletihan adalah satu masalah besar yang dihadapi oleh kanak-kanak disleksia. Ini kerana mereka terpaksa menumpukan sepenuh usaha belajar bersama rakan-rakan yang normal. Ini lazimnya membuatkan mereka amat letih dari segi mental dan fizikal setelah belajar seharian di sekolah.

MASALAH FONOLOGIPengkodan fonologi merujuk kepada hubungan sistematik antara huruf dengan bunyi. Secara ringkasnya, kanak-kanak disleksia lazimnya mengalami kesukaran membezakan perkataan yang mempunyai bunyi yang hampir sama, seperti pasu dan paku. Mereka juga tidak dapat mendengar rima akhir yang sama dalam perkataan-perkataan. Contohnya, Jack and Jill went up the hill .Perkataan Jill dan hill tidak dapat di kesan oleh mereka sebagai perkataan yang bunyi akhirnya sama. Sebaliknya mereka akan menjawab Jack dan Jill .

Ini juga bermakna mereka keliru dan sukar membezakan harga sesuatu barang dalam bahasa Inggeris , seperti antara fifty cents dan fifteen cents . Kesukaran ini bukanlah disebabkan oleh masalah pendengaran, sebaliknya berkaitan dengan pemprosesan maklumat di dalam otak (Farrer, 1996).

Keprihatinan dan pengetahuan para guru mengenai masalah kanak-kanak disleksia sangat penting dalam usaha membantu mereka belajar. Umpamanya, kanak-kanak itu perlu diberi tempat duduk yang paling hadapan di dalam bilik darjah. Dengan cara ini , guru dapat memerhatikan kanak-kanak itu secara berterusan bagi memastikan arahan guru dapat diikuti dengan jelas. Misalnya, apabila guru mengarahkan murid-murid memerhati teks di muka surat 32, kanak-kanak itu tidak tercari-carinya di halaman 23.

MASALAH MENGINGAT PERKATAANSecara umumnya, kanak-kanak disleksia mempunyai IQ yang normal, malah sebahagian daripada mereka mempunyai kecerdasan luar biasa. Namun begitu , mereka mempunyai masalah dalam mencari semula perkataan. Ini bererti mereka tidak dapat menjawab soalan secara spontan. Mereka juga sering didapati mengalami kesukaran mengingati nama kawan-kawan dan anggota keluarga dan sering merujuk individu tersebut sebagai kawan saya di sekolah atau budak lelaki itu . Mereka sukar mengingati fakta-fakta yang telah mereka dengar. Seorang kanak-kanak disleksia mungkin dapat menghuraikan proses penyebaran dalam subjek sains dengan panjang lebar, tetapi mereka mengalami kepayahan menyenaraikan contoh tumbuhan yang menggunakan angin sebagai mekanisma penyebaran. Selain itu, kanak-kanak disleksia juga cenderung menjadi kaku dan membisu apabila ditanyakan soalan.

MASALAH PENYUSUNAN BERSIRIKajian menunjukkan kanak-kanak disleksia sukar menyusun sesuatu secara bersiri, seperti susunan bulan dalam setahun , susunan hari dalam seminggu, susunan huruf , nombor dan ejaan-ejaan bagi perkataan-perkataan.

MASALAH INGATAN JANGKA PENDEKIngatan jangka pendek ataupun ingatan bekerja merujuk kepada stor di mana maklumat yang sedang digunakan disimpan. Kanak-kanak disleksia didapati menghadapi masalah memproses maklumat yang baru masuk dan pada masa yang sama mengambil maklumat dari stor ingatan jangka panjang. Kesemua proses ini akan mengumpul maklumat di stor ingatan jangka pendek bagi digunakan pada masa itu. Ini bererti kanak-kanak disleksia tidak berupaya mengingati arahan-arahan panjang yang diberikan. Sebagai contoh, pelajaran membuat origami dalam subjek Pendidikan Seni, membuatkan mereka kehilangan punca kerana arahan yang terlalu panjang dalam aktiviti tersebut .

Masalah yang serupa juga dihadapi oleh kanak-kanak disleksia apabila berhadapan dengan soalan aneka pilihan. Untuk memilih jawapan yang tepat, mereka perlu memegang satu soalan dan empat pilihan jawapan dalam stor ingatan bekerjanya. Ini merupakan masalah berat bagi mereka. Oleh kerana itu , mereka lebih berupaya menjawab dengan baik dalam soalan terbuka yang memberi ruang untuk mereka berfikir dan menulis jawapan yang dikehendaki.

MENGEJA DENGAN MELAKAR / MELUKIS GAMBARDalam tempoh menangani murid-murid disleksia selama dua tahun, berbagai pengalaman baru dan penemuan yang telah kami lalui. Mereka (murid-murid disleksia) yang lebih pintar sering mencari kaedah belajar cara mereka sendiri. Daya kreativiti mereka yang tinggi membolehkan mereka membuat pilihan cara mana mereka harus gunakan untuk memudahkan mereka belajar. Salah satu cara belajar yang akan saya kongsi bersama kali ini ialah cara murid disleksia belajar mengeja perkataan-perkataan dengan menggunakan lakaran atau lukisan (gambar). Harus diambil ingatan bahawa tidak ada satu cara belajar yang salah atau betul untuk mereka gunakan. Sebaliknya mereka bebas memilih satu cara yang mereka boleh ikuti atau memudahkan mereka.

Murid ini mengalami kesukaran untuk membina sukukata, apatah lagi mengeja perkataan. Kekuatan dalam kebolehannya ialah mendengar bunyi huruf. Dia cekap memilih perkataan bagi huruf awal yang ditentukan. Contohnya; m - mata

b - bola

t - tangga

i - ikan

s - sudu , dan seterusnya.

Perkataan-perkataan yang dipilih selalunya terdiri daripada perkataan yang mudah untuk dilukis atau dilakar olehnya. Daripada lakaran gambar-gambar dia tafsirkan kepada huruf-huruf awal. Huruf-huruf tersebut dicantumkan, maka terbinalah perkataan yang ingin dieja.

Penjelasan di atas mungkin dirasakan begitu rumit atau mengelirukan bagi kita, tapi hakikatnya, itulah cara yang digunakan oleh murid ini di peringkat permulaan beliau belajar mengeja, setelah gagal mengeja dengan cara biasa yang digunakan oleh murid-murid lain.

Contoh cara ini digunakan:Perkataan yang perlu dieja ialah matahari.

Bunyi huruf [m].....dia memilih mata

[a]. api

[t] . tangga

[a]..api

[h] .hujan

[a]..api

[r]rambutan

[i].ikan

Murid ini akan melukis gambar-gambar berdasarkan bunyi huruf-huruf dalam perkataan yang perlu dieja;

mata, api, tangga, api, hujan, api, rambutan, ikan.

[m] [a] [t] [a] [h] [a] [r] [i]

Dicantumkan huruf-huruf awal bagi gambar-gambar yang dilukis, maka terbinalah perkataannya, m a t a h a r i.

Murid ini menggunakan kaedah ini untuk mengeja selama beberapa bulan. Setelah mahir, dengan sendirinya dia tidak perlu lagi melukis, tetapi telah mampu menulis huruf yang dibunyikan. Kini dia berada di Tahun 5, dan menunjukkan prestasi yang boleh dibanggakan.

Kunci kejayaan di sini ialah memberi fokus kepada kemajuan jangka pendek dalam sesi latihan dan ini mengekalkan motivasi dan membolehkan murid ini membina cara pembelajarannya sendiri. Akhirnya dia boleh mengeja dan membaca seperti mana murid-murid lain, dengan penuh rasa yakin pada diri sendiri.

KANAK-KANAK DISLEKSIA TIDAK KESEORANGANTerdapat ramai tokoh-tokoh terkenal dan berjaya yang diketahui menghidap disleksia, di antaranya ialah Leornado Da Vinci, Tom Cruise, Lee Kwan Yew, Walt Disney, John F. Kennedy, Albert Einstein, Winston Churchill, Pablo Picasso, Whoopi Goldberg, Richard Branson, Thomas Edison dan ramai lagi.

HARAPANSemoga murid-murid disleksia yang sedang kita didik sekarang adalah bakal tokoh-tokoh terkenal negara dan dunia di satu masa nanti.

BIBLIOGRAFICarol Sullivan Spafford. George S. Grosser. Dyslexia Research and Resource Guide.Dr. Grant Martin. Help ! My Child Isnt Learning.Sylvia Edwards. David Fulton Publishers, London. Reading For All.Sylvia Edwards. David Fulton Publishers, London. Writing For All.Ann Berger. Implementing the Literacy Hour for People with Learning Difficulties.Biggar, S., & Barr, J. (1996). The Emotional World of Specific Learning Difficulties. In G. Reid (Ed.), Dimensions of Dyslexia. Volume 2. Literacy, Language and Learning.Flynn, J. M., & Rahbar, M. H. (1994). Prevalence of reading failure in boys compared with girls.Hornsby, B. (1995). Overcoming Dyslexia. London: Vermillon.

Maklumat Pendidikan Khas . (2003). Jabatan Pendidikan Khas. Kementerian Pelajaran Malaysia.

Maklumat Pendidikan Khas. (2006). Jabatan Pendidikan Khas. Kementerian Pelajaran Malaysia.

Ott, P. (1997). How to Detect and Manage Dyslexia. A Reference and Resource Manual . London : Heinemann Educational Publishers.

Raymond, S. (1997). Helping Children Cope with Dyslexia. London : Sheldon Press.

Shaywitz, S. (2003). Overcoming Dyslexia. Alfred A. Knopf: New York.