Amalan Gaya hidup Sihat.docx

Embed Size (px)

Citation preview

Amalan Gaya hidup Sihat Amalan membentuk gaya hidup sihat dalam kalangan masyarakat.............Gaya hidup sihat bolehlah ditakrifkan sebagai satu amalan kehidupan yang membawa impak positif kepada diri seseorang, keluarganya dan masyarakat. Antara contoh kehidupan yang sihat ialah individu tersebut hidup dengan penuh ceria tanpa mengalami sebarang masalah yang boleh menjejaskan kehidupannya untuk satu tempoh tertentu pula. Sudah pasti dalam kehidupan era moden yang begitu banyak tekanan ini gaya hidup sihat menjadi satu matlamat yang perlu dicapai segera. Oleh itu, terdapat pelbagai tindakan yang boleh dilakukan untuk mencapai matlamat ini............Tindakan awal ialah seseorang itu perlu mengamalkan satu bentuk pemakanan yang seimbang dalam kehidupannya. Dalam keadaan kehidupan sebenar, orang ramai lebih suka mengambil makanan yang bersifat mudah seperti mengamalkan pengambilan makanan ringan ataupun makanan segera. Tidak kurang juga masyarakan kita hari ini yang lupa kesan pengambilan makanan berlemak ataupun makanan yang mempunyai kandungan garam, gula atau sodium glutamit yang tinggi. Hal ini boleh mendatangkan pelbagai penyakit kronik seperti sakit jantung, darah tinggi ataupun kencing manis yang juga menjadi punca kematian tertinggi di negara kita. Orang ramai juga mesti menjauhi amalan buruk seperti merokok atau meminum arak kerana kesannya amat membahayakan. Jelaslah, diet yang seimbang membolehkan kita semua mencapai kehidupan yang ceria kerana semua nutrien yang diperlukan oleh badan diperoleh menerusi pemakanan yang seimbang............Selain itu, aktiviti senaman yang berkala mampu menjadikan kehidupan yang dijalani oleh seseorang itu lebih sihat dan menceriakan. Kita boleh menjalankan aktiviti seperti bersukan, berekreasi, berjalan atau berlari bersendirian atau bersama-sama keluarga ketika hujung minggu. Aktiviti senaman seperti ini diakui oleh pakar perubatan mampu menjadikan sistem peredaran darah manusia lebih baik serta menjadikan sistem imunisasi mereka tinggi. Mereka yang gemar bersukan biasanya memiliki badan yang sihat dan minda yang cerdas berbanding dengan orang yang jarang bersukan. Jelasnya, semakin kerap senaman dilakukan maka semakin tinggilah tahap kesihatan seseorang itu kerana minda yang cerdas datangnya daripada badan yang cergas............Orang ramai juga perlu mengutamakan kebersihan diri pada setiap masa bagi memastikan mereka terhindar daripada sebarang penyakit. Keperluan asas seperti menggosok gigi, mandi, berpakaian bersih, waktu tidur dan rehat yang cukup juga perlu dijadikan amalan hidup seharian. Bagi mengelakkan jangkitan kuman atau penyakit, mereka juga perlulah mengamalkan budaya mendisiplinkan diri dengan asas-asas kebersihan seperti mencuci tangan dengan bersih sebelum makan, menutup makanan dengan baik agar tidak diharung lalat mahupun memilih gerai atau tempat makan yang bersih semasa menjamu selera. Sikap sambil lewa masyarakat dalam aspek berkenaan mungkin boleh membawa padah. Justeru, amalan sebegini harus diutamakan agar dapat membentuk gaya hidup yang sihat dalam kalangan masyarakat............Pada masa yang sama selain mengutamakan kesihatan diri dan makanan, masyarakat juga perlu menjaga kebersihan persekitaran mereka. Persekitaran yang bersih perlu dijadikan amalan dan gaya hidup agar kita terhindar daripada sebarang penyakit. Umpamanya, orang ramai digalakkan mengadakan gotong-royong untuk membersihkan kawasan taman perumahan dengan membersihkan sampah-sarap atau memastikan kawasan persekitaran mereka sentiasa bersih. Amalan seperti ini dapat mengelakkan pembiakan agen-agen pembawa penyakit seperti nyamuk, lipas, lalat dan sebagainya. Tempat-tempat pembiakan nyamuk di dalam atau di luar rumah seperti pelapik pasu bunga ataupun tempat takungan air mestilah kerap dibersihkan ataupun ditukar. Dengan cara demikian, orang ramai akan dapat menjauhkan diri mereka daripada pelbagai penyakit serta membentuk kehidupan yang sihat............Gaya hidup yang sihat juga melibatkan aspek psikologi dan sosial seseorang itu. Mereka yang lebih terbuka dan bersedia untuk berkongsi masalah dengan orang lain didapati lebih bermakna kehidupannya berbanding dengan individu yang suka bersendirian atau menyimpan masalah mereka. Sikap berkawan dan menghabiskan masa bersama-sama mereka menjadikan keperluan psikologi manusia dipenuhi dengan efektif. Masyarakat digalakkan menjalin hubungan komunikasi yang mesra bersama-sama rakan atau jiran tetangga. Hubungan baik yang berkekalan biasanya dapat melahirkan satu bentuk kehidupan yang ceria dan menggembirakan. Sesungguhnya, aspek psikologi dan sosial manusia perlu dipenuhi bagi memperoleh gaya hidup yang sihat ini............Pada masa yang sama sikap atau mentaliti positif penting untuk dimiliki oleh seseorang itu bagi menangani tekanan kehidupan dalam era moden ini. Pemikiran yang positif menjadikan seseorang itu mampu menyelesaikan pelbagai kemelut yang melanda kehidupannya dengan baik tanpa tertekan. Kehidupan zaman moden yang penuh cabaran terutama tekanan di pejabat memerlukan satu persepsi positif daripada ahli masyarakat kita. Kepada mereka yang menghadapi tekanan hidup, mereka mungkin boleh mendapatkan bantuan daripada pakar motivasi ataupun rakan-taulan di sekeliling mereka. Hal ini perlu kerana tekanan yang dialami boleh menjuruskan seseorang pada perlakuan negatif seperti mendera, menagih dadah atau melakukan sesuatu perkara di luar jangkaan. Jadi, semakin positif minda seseorang itu maka semakin tinggilah gaya hidup sihat yang mampu dicapainya kelak............Kesimpulannya, gaya hidup yang sihat ini boleh diperoleh menerusi semua amalan yang dipaparkan tadi. Gaya hidup sihat hanya boleh dicapai sekiranya masyarakat mengamalkan semua aspek kehidupan berlandaskan ciri-ciri manusia sihat. Cuma sikap masyarakat yang masih memandang rendah kepentingan gaya hidup sebeginilah yang menyebabkan pelbagai masalah kesihatan timbul kelak. Kita semua perlulah memahami bahawa mencegah lebih baik daripada mengubatinya. ....Kesihatan amat penting dalam kehidupan kita. Oleh itu,kita perlulah menjaga kesihatan agar berada dalam keadaan yang baik. Berikan pendapat anda tentang langkah-langkah untuk menjaga kesihatan diri.Kesihatan amat penting dalam kehidupan kita sehari-hari. Dengan memiliki tubuh badan yang sihat, seseorang dapat melaksanakan aktiviti harian tanpa halangan. Anak-anak dapat ke sekolah menimba ilmu dan ibu bapa dapat mencari rezeki untuk keluarga. Bagi sesetengah orang, nikmat kesihatan hanya disedari apabila mereka diserang penyakit. Mereka sanggup menghabiskan wang membeli ubat dan makanan kesihatan untuk mengubati penyakit yang dihadapi. Tambahan pula, pelbagai ubat dan produk makanan kesihatan wujud di pasaran sekarang seperti Cendawan tumbuh selepas hujan. Oleh sebab peri pentingnya nikmat ini dalam kehidupan, beberapa langkah perlu diambil agar kesihatan kita terjamin. (90 pk)Salah satu langkah yang perlu kita beri perhatian untuk menjaga kesihatan adalah dengan menjaga kebersihan persekitaran tempat tinggal. Keadaan di dalam dan di luar rumah hendaklah bersih daripada sampah sarap dan tempat-tempat air bertakung. Perkara ini akan dapat menghapuskan tempat pembiakan agen-agen penyakit seperti lalat, tikus, nyamuk dan lain-lain. Kita perlulah menyahut seruan kempen yang dilancarkan oleh Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam iaitu kempen Jumpa Sampah Kutip dan kempen Memerangi LILATI (lipas,lalat dan tikus). Oleh itu, sampah perlu dibakar, dikambus atau dibuang di tempat khas. Pasu-pasu bunga dan longkang perlu diperiksa agar air tidak bertakung dan menjadi tempat pembiakan nyamuk. Dengan demikian, penyakit-penyakit bawaan vektor seperti taun, malaria, dan denggi dapat dielakkan. Tegasnya, menjaga kebersihan persekitaran merupakan langkah asas untuk kita semua ke arah mencapai tahap kesihatan yang optimum. (131pk)Selain itu, pemeriksaan kesihatan amat wajar dilakukan untuk memastikan kesihatan kita berada dalam keadaan baik. Mengikut saranan pakar perubatan, seseorang perlu melakukan pemeriksaan kesihatan sekurang-kurangnya dua kali setahun atau enam bulan sekali. Pemeriksaan ini meliputi tekanan darah, paras gula dalam darah, tahap kolesterol dan lain-lain lagi. Tujuan pemeriksaan dibuat untuk memastikan tahap kesiahatan kita berada dalam keadaan sihat dan dapat mengesan penyakit kronik dengan lebih awal seperti penyakit darah tinggi, kencing manis dan sebagainya. Hal ini bertepatan dengan peribahasa, Mencegah lebih baik daripada mengubatinya. Bagi pesakit yang telah diserang penyakit ini, keadaannya akan boleh dikawal sebelum menjadi serius seperti peribahasa,Cegah sebelum parah. Pendek kata, kesihatan seseorang akan berada dalam keadaan baik jika kita secara berdisiplin menjalani pemeriksaan kesihatan diri di hospital-hospital secara berjadual. (123 pk)Mengamalkan pemakanan seimbang tidak kurang pentingnya sebagai langkah menjaga kesihatan kita. Amalan pemakanan berkait rapat dengan kesihatan seseorang. Hal ini bertepatan dengan peribahasa Inggeris tentang amalan pemakanan iaitu What you are, is what you eat. Boleh dikatakan seseorang yang mengamalkan pemakanan yang seimbang akan memperoleh kesihatan yang baik. Mengamalkan pemakanan seimbang bermakna seseorang mengambil makanan yang berkhasiat dan berzat sesuai dengan keperluan tubuh badan seseorang. Seseorang individu memerlukan makanan yang sesuai berdasarkan usia, pekerjaan dan keperluan-keperluan lain. Sebagai contohnya, seorang bayi memerlukan lebih kalsium berbanding orang dewasa yang memerlukan lebih protein. Untuk lebih jelas, seseorang perlu merujuk kepada piramid makanan sebagai panduan untuk mendapatkan gizi seimbang. Sehubungan dengan itu, makanan ringan dan minuman bergas perlu dielakkan kerana boleh memudaratkan kesihatan kita. Pendek kata, langkah terbaik untuk mencapai tahap kesihatan adalah dengan mengamalkan diet makanan seimbang. (135pk)Seterusnya, kesihatan kita akan lebih terjamin jika kita melakukan kegiatan riadah. Amalan riadah seperti berenang, jogging, menunggang basikal dan kegiatan sukan lain adalah baik untuk kesihatan. Pensyarah Sains Sukan Universiti Teknologi Mara (UiTM), Profesor Madya Dr. Zulkifli Abdul Kadir, menyarankan setiap individu melakukan kegiatan riadah selama 30 minit dua kali seminggu bagi mendapatkan tahap kesihatan yang optimum. Kegiatan riadah ini akan menjadi kebiasaan jika setiap hari kita melakukannya dengan penuh disiplin dan istiqamah sesuai dengan peribahasa, Alah bisa tegal biasa. Dengan melakukan kegiatan riadah, otot-otot tubuh akan lebih bertenaga dan kecergasan badan akan bertambah baik. Di samping itu, seseorang dapat menghirup udara segar semasa melakukan senaman di taman-taman permainan serta dapat mengurangkan tekanan atau stress selepas seharian penat bekerja di pejabat. Seyogia disarankan agar kita dapat melakukan kegiatan senaman secara untuk memperoleh kesihatan yang baik. (134 pk)Amalan gaya hidup sihat merupakan langkah yang tidak kurang pentingnya untuk mendapatkan kesihatan yang baik. Kini, kita dikejutkan dengan bermacam-macam amalan hidup yang negatif telah menular dalam masyarakat kita. Antara gaya hidup yang negatif ialah amalan seks rambang dan bebas, melanggani pelacur, penagihan dadah dan pil-pil khayal, ketagihan arak serta lain-lainnya. Begitu juga amalan merokok yang masih menjadi sebahagian cara hidup muda-mudi dan remaja dalam masyarakat kita seolah-olah kempen Katakan Tak Nak Pada Rokok giat dijalankan. Sudah tentu, gaya hidup tidak sihat akan mengundang penyakit seperti Sindrom Kurang Daya Tahan Penyakit (AIDS), siflis dan lain-lain. Amalan-amalan sebegini perlu dijauhkan seterusnya mengamalkan cara hidup sihat berdasarkan norma-norma agama dan budaya timur kita. Lantaran itu, beralihlah kepada cara hidup sihat bagi mendapatkan kesihatan yang baik sebagaimana kempen Gaya Hidup Sihat yang diuar-uarkan oleh kerajaan. (132pk)Sebagai kesimpulannya, penjagaan kesihatan perlu menjadi agenda dan keutamaan dalam hidup kita seharian. Pelbagai langkah boleh diambil untuk memperoleh kesihatan yang baik. Antaranya, menjaga kebersihan diri dan persekitaran, mengambil pemakanan seimbang dan melakukan kegiatan riadah. Kita haruslah lebih prihatin dan mengambil berat tentang kesihatan diri agar dapat menjalani kehidupan yang berkualiti. Individu yang sihat akan mampu memberi sumbangan kepada pembangunan dan kemakmuran negara selaras dengan slogan, Rakyat Sihat Negara Sejahtera. (70pk)