Isu Dan Trenda

Embed Size (px)

Citation preview

PenghargaanBismillahirahmanirrahim.

Alhamdulilah, bersyukur kami ke hadrat Ilahi kerana dengan berkat dan rahmat-Nya, dapat juga kami menyiapkan tugasan iaitu kerja kursus berasaskan projek program persediaan ijazah sarjana muda pendidikan dengan baik dalam masa yang telah ditetapkan. Jutaan terima kasih ditujukan kepada pensyarah yang terlibat Encik Abd Rahim Bin Talib yang telah banyak membantu memberikan panduan, dorongan dan tunjuk ajar dalam menyiapkan kerja kursus ini. Input- input yang bernas dan berguna daripada beliau banyak digunakan sepanjang proses menyiapkan tugasan ini. Budi dan sikap tolak ansur beliau amat kami hargai.Akhir sekali, jutaan terima kasih kepada ibu bapa dan keluarga serta rakan seperjuangan yang membantu dan mencurah idea dalam masa kami menyiapkan tugasan sama ada secara langsung ataupun tidak. Budi kalian tidak akan mampu dinilai oleh apa jua yang wujud di dunia ini. Semoga Allah mencucuri rahmat-Nya keatas kalian. amin...

Pengenalan

Program Pendidikan Khas Integrasi disediakan untuk murid-murid berkeperluan khas bermasalah pembelajaran, bermasalah pendengaran dan bermasalah penglihatan. la diwujudkan di sekolah harian biasa rendah dan menengah dan sekolah menengah teknik/vokasional yang menggunakan pendekatan pengajaran dan pembelajaran secara pengasingan dan separa inklusif. Tempoh belajar bagi murid-murid berkeperluan khas rendah adalah enam (6) tahun. Tempoh ini boleh dilanjutkan hingga dua (2) tahun maksimum di mana-mana peringkat iaitu sarna ada rendah atau menengah mengikut keperluan murid berkenaan.Program Pendidikan Khas Integrasi ini ditadbirkan sepenuhnya oleh Jabatan Pendidikan Negeri manakala Jabatan Pendidikan Khas bertanggungjawab terhadap perkara-perkara yang berkaitan dengan dasar dan pengisiannyaUntuk semester ini, kami pelajar semester enam telah diberikan tugasan yang harus disiapkan semasa kami berpraktikum. Tugasan Isu dan Trenda ini memerlukan kami untuk menganalisis dan merumus artikel serta mencari maklumat tentang isu-isu yang terdapat di sekolah tempat kami berpraktikum.

1.0 Ulasan ArtikelTajuk : Komitmen dan Peranan Guru dalam Pelaksanaan Pendekatan Pendidikan Inklusif di MalaysiaPenulis : Supiah SaadSumber : Jurnal Pendidikan Internet

Artikel ini berkisar tentang komitmen dan peranan guru dalam pelaksanaan pendekatan pendidikan inskusif di Malaysia. Sebelum penulis mengupas tentang isu yang dibentangkan, penulis telah bercerita tentang sistem pendidikan di Malaysia dan kaitannya dengan kanak-kanak berkeperluan khas. Secara amnya, Malaysia mengamalkan sistem pendidikan yang berpusat dan segala-galanya dikawal oleh Kementerian Pelajaran tidak kira sama ada pendidikan formal hinggalah ke Pendidikan Khas. Namun begitu, tidak kesemua kanak-kanak berkeperluan khas terlibat secara langsung di dalam Akta Pendidikan 1996. Pendidikan kanak-kanak berkeperluan khas di Malaysia banyak dipengaruhi dan didukung oleh empat kementerian yang terlibat. Antara kementerian yang terlibat secara langsung ialah Kementerian Pelajaran (KPM), Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) serta Kementerian Kesihatan (KKM). Empat kementerian yang terlibat ini, masing-masing mempunyai tanggungjawab yang berbeza. Contohnya, KPM bertanggungjawab dalam menyediakan pendidikan formal di sekolah dan KKM bertanggungjawab dalam proses saringan dan diagnostik serta intervensi awal.Dasar Pendidikan Wajib 2002 yang diperkenalkan oleh KPM telah memberi lembaran baru kepada sistem pendidikan di Malaysia terutamanya Pendidikan Khas. Bagi mereka yang gagal mendaftarkan anak-anak untuk bersekolah, maka mereka boleh di dakwa. Oleh yang demikian, pihak KPM dan kementerian lain yang terlibat memainkan peranan yang penting dalam menyediakan kemudahan pendidikan bagi kanak-kanak berkeperluan khas. Suara masyarakat banyak menyuarakan agar KPM mengambil alih peranan pendidikan murid-murid berkeperluan khas. Ini bagi memantapkan lagi sistem pendidikan khas di Malaysia. Akta Pendidikan 1996 KPM menggariskan tanggungjawab kementerian dalam menyediakan perkhidmatan pendidikan untuk kanak-kanak berkeperluan khas. Menteri berkuasa dalam menentukan perkhidmatan pendidikan dan mengikut kesesuaian serta permintaan ibu bapa. Maka, anak-anak mereka boleh di hantar ke sekolah swasta mahupun home schooling. Namun begitu, dalam aspek pendidikan, bukan semua kanak-kanak OKU diterima sebagai murid pendidikan khas. Murid yang diterima untuk bersekolah ialah mereka yang boleh mengurus diri dan bergerak bebas tanpa bantuan orang lain. Mereka yang ditempatkan di sekolah boleh menerima pendidikan inkusif.Berbalik kepada tajuk utama, pendekatan pendidikan inklusif merupakan beberapa pilihan yang ada untuk kanak-kanak berkeperluan khas di Malaysia. Pendidikan seperti ini hanya terdapat di sekolah-sekolah tertentu sahaja. Namun begitu terdapat empat kategori kanak-kanak berkeperluan khas yang boleh didapati di merata sekolah dalam aliran perdana iaitu masalah fizikal, emosi dan tingkah laku, Disleksia dan penguasaan 3M. Perkembangan fizikal dan kendiri mereka setara dengan kanak-kanak normal, oleh itu, sukar bagi guru aliran perdana untuk mengecam masalah sebenar kanak-kanak ini. Satu kajian telah dijalankan kepada guru-guru aliran perdana tentang pelaksanaan pendidikan inklusif di Malaysia. Kajian tersebut bertujuan untuk meningkatkan dan menaik taraf sistem Pendidikan Khas di Malaysia di samping memberi pengetahuan dan kesedaran kepada guru-guru aliran perdana akan kanak-kanak berkeperluan khas. Kesimpulannya, banyak persoalan yang timbul dan perlu dirungkai seperti pengetahuan guru tentang pendidikan khas serta sikap dan penerimaan guru terhadap murid berkeperluan khas kerana melalui persoalan ini, banyak manfaat yang boleh diperolehi.

1.1 Isu-isu yang timbul berdasarkan isi artikelBanyak isu yang timbul dalam menjawab dan merungkai persoalan yang terdapat di dalam artikel. Isu pertama yang diketengahkan oleh penulis ialah mengenai peranan Kementerian Pelajaran (KPM) dalam menyelaras sistem pendidikan di Malaysia tidak kira pendidikan formal mahupun pendidikan khas. Kanak-kanak berkeperluan khas khususnya perlu diberi perhatian yang lebih. Perhatian yang dimaksudkan ialah dari segi kewangan, kemudahan dan asas pendidikan yang kukuh. Pihak KPM wajib menyediakan segala kemudahan yang diperlukan seperti kemudahan prasarana dan infrasturktur, penyediaan alat bantu mengajar serta keperluan diri murid-murid berkeperluan khas agar mereka boleh menikmati arus pembangunan sama dengan murid-murid lain.Dalam menyediakan asas pendidikan kanak-kanak berkeperluan khas di Malaysia, pelbagai kementerian yang terlibat. Hal ini menunjukkan bahawa kementerian di Malaysia banyak bekerjasama dalam menjayakan sesuatu hal. Ini memberi impak yang baik kepada masyarakat dan kanak-kanak berkeperluan khas. Contohnya, setelah doktor mengesahkan kanak-kanak berkeperluan khas melalui proses saringan, murid akan ditempatkan di sekolah. Di sekolah pula, murid akan menjalani ujian saringan dan ujian diagnostik. Begitulah arah perjalanan murid-murid pendidikan khas sehinggalah mereka memasuki pendidikan tinggi dan kebajikan mereka yang dijaga. Terdapat banyak pihak yang menyuarakan supaya KPM memikul tanggungjawab pendidikan bagi setiap kanak-kanak dalam umur persekolahan tanpa mengira jenis kecacatan dan darjah kecatatan yang dialami. Merujuk kepada perkara ini, banyak manfaat yang boleh diperolehi murid-murid berkeperluan khas. Tiada sifat pilih kasih dan berat sebelah kerana pendidikan ialah untuk semua dan semua murid berhak mendapat pendidikan yang sepatutnya. Namun begitu, tidak kesemua murid-murid OKU yang diterima sebagai murid pendidikan khas. Ini mendatangkan ketidak adilan kerana mereka yang dipilih untuk KPM ialah mereka yang berkebolehan mengurus dan boleh bergerak bebas tanpa bantuan orang lain. Mereka yang diterima masuk ke sekolah mungkin boleh menikmati pendidikan inklusif tapi bukan kesemuanya kerana untuk menikmati pendidikan inklusif ini banyak kriteria yang ditetapkan oleh pihak KPM. Oleh yang demikian, mereka yang menikmati pendidikan inklusif ini kelihatan setara dengan murid normal dan mendatangkan kekeliruan kepada guru arus perdana dalam memahami masalah murid-murid berkeperluan khas.Maka, banyaklah isu guru yang timbul berdasarkan pendidikan inklusif di Malaysia. Isu guru yang boleh diketengahkan ialah pengetahuan guru tentang pendidikan khas dan murid berkeperluan khas. Guru yang kurang pengetahuan tentang murid berkeperluan khas biasanya kurang prihatin terhadap murid berkeperluan khas. Ini menyebabkan murid berkeperluan khas hilang keyakinan dan motivasi dalam meneruskan hidup untuk belajar. Perkara seperti ini memungkinkan murid berkeperluan khas bertukar menjadi pasif dek kerana guru yang tiada pengetahuan. Tahap pengetahuan guru aliran perdana tentang pendidikan khas adalah masih rendah Perkara ini dibuktikan melalui dapatan kajian yang diperoleh melalui artikel ini. Isu lain ialah sikap dan penerimaan guru terhadap murid berkeperluan khas. Kajian Haniz Ibrahim (1998) telah mendapati beberapa halangan yang menjadi kekangan kepada keberkesanan pendidikan inklusif; antaranya adalah sikap negatif guru sekolah rendah terhadap pendidikan inklusif. Ada ramai antara guru yang menganggap bahawa murid berkeperluan khas ini sememangnya susah untuk diajar dan mempunyai tingkah laku yang teruk. Tanggapan seperti ini harus dihindari kerana guru memainkan peranan yang penting dalam memastikan perkembangan individu murid itu sendiri dari segi jasmani, emosi, rohani dan inteleknya. Guru seharusnya tidak melabel murid berkeperluan khas kerana kesan melabel ini sangatlah mendalam, tidak kira kepada murid itu sendiri, persepsi masyarakat, rakan-rakan dan guru. Guru harus bersifat terbuka dalam mengajar, ikhlas dan tidak memilih kasih agar setiap murid memperoleh ilmu pengetahuan yang sama rata. Guru juga harus menjadi role model dalam apa perkara sekalipun kerana murid sering memandang guru sebagai idola dan orang yang boleh dipercayai. Oleh itu, guru harus mempunyai ciri-ciri seperti kasih sayang dan keikhlasan, berpengetahuan tentang murid berkeperluan khas, sikap yang positif, konsistensi, strategi dalam pengajaran dan mempunyai kepakaran dalam apa jua subjek yang diajar. Guru yang memenuhi ciri seperti ini akan menjadi guru yang disayangi dan dihormati. Isu yang terakhir ialah komitmen pentadbir sekolah. Pentadbiran sekolah biasanya di ketuai oleh Guru Besar. Guru Besar biasanya berperanan dalam menyalurkan kewangan dan jumlah perbelanjaan yang diperlukan. Penyalah agihan wang akan menyebabkan bidang pendidikan khas ini kelihatan tidak aktif dan banyak kekurangannya. Guru Besar menganggap bahawa perbelanjaan terhadap bidang pendidikan khas ini tidak penting dan tiada manfaat daripadanya. Oleh itu, guru besar harus mempunyai nilai-nilai kesedaran di dalam diri agar penyalah agihan wang yang berlaku boleh diagih-agihkan seadil-adilnya mengikut peruntukkan yang telah diberi.

2.0 Isu Pelaksanaan

Dalam melaksanakan kerja kursus yang diberi, Sekolah Taman Koperasi Polis iaitu sekolah tempat saya berpraktikum merupakan tempat untuk saya menyiapkan tugasan PKU 3111. Dalam melaksanakan tugasan ini, saya dikehendaki untuk mengumpul maklumat berkaitan Program Integrasi Masalah Pembelajaran di sekolah tersebut melalui berbagai-bagai teknik seperti pemerhatian, temu bual, soal selidik dan sebagainya. Berdasarkan maklumat diperolehi, saya dikehendaki untuk mengenal pasti tiga isu yang menonjol yang boleh diketengahkan untuk dibincangkan. Isu-isu tersebut hendaklah dibincangkan secara terperinci. Setelah meneliti semua maklumat yang diperoleh, saya akan memilih tiga isu yang telah dikenal pasti untuk dibincangkan.

2.1 Isu Kemudahan dan Prasarana

Seringkali kita lihat Program Pendidikan Khas dilihat sangat daif dan terletak di kawasan belakang sekolah jika dibandingkan dengan murid-murid aliran perdana yang berada di bangunan yang cantik dan cukup kemudahan prasarana seperti alatan elektrik seperti kipas, lampu, papan hitam atau papan putih, kerusi meja dan lain-lain prasarana yang disediakan untuk memberi keselesaan murid semasa belajar. Namun, tidak bagi murid-murid khas di mana prasarana yang diberi menggunakan prinsip asal ada kerana mereka dianggap tidak belajar secara serius di dalam kelas dan belajar bukan untuk berjaya dalam peperiksaan.Isu kemudahan dan prasarana merupakan isu yang biasa didengari dan terjadi di mana-mana sekolah sekalipun. Isu kemudahan dan prasarana sering dikaitkan dengan keutuhan kewangan sesebuah institusi. Tanpa sumber kewangan yang mantap, maka kemudahan dan prasarana tidak boleh diperbaharui. Isu kemudahan dan prasarana di sekolah melibatkan kemudahan-kemudahan fizikal yang tidak mencukupi. Ini kerana, kemudahan fizikal memainkan peranan yang penting dalam membantu proses pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas. Menurut Woolfolk (200:427) persekitaran bilik darjah yang melibatkan ruang, susun atur bilik darjah dan dimensi sosial mempengaruhi pembinaan budaya sesebuah bilik darjah. Semua faktor tersebut perlu diambil kira sebelum guru merancang dan menyediakan pelan lantai.Isu pertama yang ingin diketengahkan ialah isu ketiadaan bilik darjah yang sesuai dan kondusif untuk pengajaran dan pembelajaran Pendidikan Khas. Untuk pengetahuan umum, keluasan kelas untuk Pendidikan Khas ialah berkeluasan sekurang-kurangnya 2 bay. Keluasan ini bolehlah dianggap besar dan boleh mendatangkan persekitaran pembelajaran yang kondusif. Pembelajaran yang kondusif merupakan suatu pembelajaran yang selesa dan boleh memberi impak yang mendalam kepada murid itu sendiri. Kamus Dewan Edisi Baru (1989): persekitaran merujuk kepada keadaan di sekeliling (sesuatu) atau keadaan yang menjadi seperti latar belakang (seseorang atau sesuatu). Menurut Noriati A. Rashid et. al ( 2009): kondusif membawa maksud sesuai. Ini memberi maksud bahawa, persekitaran pembelajaran yang kondusif ialah suatu pembelajaran yang bersesuaian mengikut persekitaran dan latar belakang murid. Pembelajaran yang kondusif akan dapat meningkatkan perkembangan individu seseorang murid di samping dapat mengurus tingkah laku seseorang murid itu.Namun begitu, keadaan ini berbeza dengan sekolah di tempat saya berpraktikum. Di sekolah ini, satu kelas terpaksa dikongsi oleh dua kumpulan yang berbeza. Ini memberi kesan yang tidak elok kepada murid itu sendiri. Antara kesan utama yang dapat dilihat ialah hilangnya tumpuan murid-murid terhadap sesi pengajaran dan pembelajaran harian. Murid cepat hilang tumpuan kerana keadaan yang bising dan terlalu banyak pergerakan yang berlaku. Murid yang mengalami masalah tingkah laku pula akan sering mengacau rakan-rakan yang lain sehingga ke kumpulan yang lain. Suasana seperti ini mendatangkan satu persekitaran pembelajaran yang tidak kondusif. Seeloknya, satu kelas hanya menetapkan satu kumpulan dan jika keadaan ini tidak boleh diwujudkan, maka, penghadang antara kelas hendaklah dibuat agar proses pengajaran yang berlangsung tidak terganggu. Keadaan fizikal kelas yang sebegini juga boleh mewujudkan pergaduhan antara guru. Apabila dua guru berada di dalam kelas yang sama, mereka akan cuba sebaik yang mungkin untuk menarik perhatian murid mereka. Kesannya, murid terpaksa mendengar dua guru berbicara sekaligus murid terkeliru dengan proses pengajaran pada hari itu. Contohnya, apabila seorang guru memasang muzik dengan kuat, rakannya itu akan terpaksa menunggu sehingga muzik tamat dimainkan. Keadaan ini menyebabkan proses pengajaran dan pembelajaran terbantut dan masa terbuang begitu sahaja. Ini ditambah dengan murid yang mudah tertarik dengan irama muzik dimana mereka akan menyertai kumpulan yang lain dan meninggalkan kumpulannya. Guru juga akan mengalami masalah dalam merancang dan membuat aktiviti di dalam kelas. Kelas yang sempit dan dikongsi oleh dua kumpulan tidak akan memungkinkan aktiviti yang melibatkan pergerakan untuk berlaku. Kelas yang sempit memperuntukkan pergerakan yang terhad antara guru dan murid. Pembelajaran seperti ini akan mewujudkan satu persekitaran pembelajaran yang membosankan. Guru terpaksa untuk mencari inisiatif untuk mempelbagaikan pembelajaran. Contohnya, dalam mengajar bahasa Melayu, setelah mengajar kemahiran membaca, untuk memperkukuhkan lagi penguasaan kemahiran tersebut, guru terpaksa membuat aktiviti di luar kelas. Aktiviti permainan sangat sesuai untuk murid-murid Pendidikan Khas kerana melalui didik hibur ini, murid dapat memperkukuhkan lagi pengetahuannya. Isu kedua yang timbul melalui permasalahan ini ialah sekolah kekurangan peralatan dan perabot. Peralatan yang dimaksudkan terdiri daripada pelbagai kategori iaitu peralatan sukan, peralatan berkebun, peralatan memasak dan peralatan untuk pendidikan seharian. Peralatan sukan yang terhad seperti kekurangan bola sepak, tali, dan kon yang terhad telah menyebabkan proses pengajaran dan pembelajaran sedikit sukar untuk dilaksanakan. Contohnya, dalam mengajar kemahiran bola sepak, guru terpaksa menggunakan bola yang lain seperti dodge ball dan bola tampar. Bola seperti ini tidak sesuai digunakan kerana ianya menyalahi fungsi dan bukan untuk disepak. Bola ini mungkin akan rosak terlebih dahulu dan menyebabkan sekolah kehilangan lebih banyak lagi alatan sukan. Begitu juga dengan ketiadaan kon yang mencukupi. Kon digunakan sebagai penanda kawasan dan penanda aktiviti. Bagi murid Pendidikan Khas, kesemua alatan ini perlu kerana setiap arahan hendaklah berlandaskan bahan maujud dan visual ruang. Oleh itu, setiap arahan boleh difahami dengan mudah dan diikuti. Contohnya, guru meminta murid untuk berlari ke kawasan yang ditanda kon, apabila tiada kon untuk ditanda, maka murid akan berlari tanpa arah tujuan. Selain itu, guru yang mempunyai jadual Pendidikan Jasmani pada hari yang sama memungkinkan guru-guru untuk berebut menggunakan alatan. Persekitaran seperti ini boleh mewujudkan pertikaman lidah antara guru dan semangat kerja yang negatif. Peralatan pendidikan seperti alat bantu mengajar amatlah penting kepada murid-murid Pendidikan Khas. Selari dengan pembangunan teknologi dan maklumat, setiap alatan berfungsi di tahap yang tertinggi dan canggih. Contohnya, projektor atau LCD tiada di dalam kelas. Guru terpaksa mengangkat laptop sendiri untuk ditunjukkan kepada murid-murid supaya murid-murid nampak dengan jelas. Oleh itu, LCD atau Smart Board hendaklah disediakan di bawah kemudahan dan prasarana agar murid dapat menikmati perkembangan teknologi terkini serta memahami pembelajaran dengan baik. Bahan bantu mengajar (BBM) juga hendaklah up to date kerana kebanyakan BBM di sekolah tidak mencukupi atau telah usang dan tidak menarik untuk digunakan lagi.Isu lain yang dikenalpasti ialah bilik Pendidikan Khas tidak sesuai dan pengaliran udaranya yang tidak baik. Sebagaimana yang diketahui, susunan bilik darjah yang kondusif hendaklah menepati ciri-ciri yang ditetapkan oleh Kementerian Pelajaran. Satu bilik darjah hendaklah mempunyai pencahayaan dan pengudaraan yang baik. Aspek pengcahayaan dan pengudaraan yang baik amat perlu demi menjamin persekitaran pembelajaran yang kondusif di dalam bilik darjah. Berbeza dengan bilik darjah pada zaman dahulu dengan bilik darjah zaman sekarang. Jika pembinaan bilik darjah zaman dahulu tidak mempunyai tingkap dan pintu dan tingkap yang mencukupi dan proses pengudaraan tidak berlaku dengan baik. Keadaan ini akan melemaskan pelajar dalam mengalami proses pengajaran dan pembelajaran namun berbeza dengan zaman kini yang mempunyai ciri-ciri yang baik dengan pintu kelas dua buah, tingkap di kiri dan kanan pelajar dan pembekalan udara dan cahaya yang baik terhadap kelas tersebut. Namun begitu, keadaan ini sedikit berbeza dengan keadaan fizikal bilik darjah di sekolah saya berpraktikum. Pengudaraan dan pencahayaan tidaklah sebegitu baik. Tingkap tidak pernah dibuka dan udara hanya masuk di pintu utama sahaja. Seorang guru harus memastikan tingkap di buka sebelum melakukan proses pengajaran dan pembelajaran dan di tutup semasa tamatnya waktu persekolahan. Dengan ini sikap tanggungjawab dan sayang kepada harta benda yang telah di bekalkan bagi kemudahan pelajar dapat dipupuk. Selain itu, penyusunan rak buku dan almari perlu disusun dengan teratur dan tidak menghalang kepada cahaya dan udara. Dengan ini pelajar akan menjadi lebih cergas dan aktif semasa proses p&p dan ini membolehkan guru melakukan aktiviti dengan baik. American Federation of Teachers (1997) juga menjalankan kajian terhadap kesan pencahayaan dan bunyi ke atas prestasi pembelajaran pelajar. Kajian yang dijalankan ke atas pelajar di daerah California mendapati pelajar yang terdedah kepada pencahayaan semula jadi di dalam bilik darjah mempunyai tahap perkembangan sebanyak 20% lebih cepat dalam mata pelajaran Matematik serta 26% lebih cepat dalam pembacaan berbanding pelajar yang kurang terdedah kepada pencahayaan semula jadi. Selain itu, kajian yang dijalankan di Washington dan Colorado juga turut membuktikan pencahayaan yang baik mempunyai kesan yang signifikan ke atas pencapaian pelajar. Maka, guru dan pelajar masing-masing mempunyai peranan bagi memastikan bekalan cahaya dan udara yang baik di dalam bilik darjah berterusan bagi menyediakan persekitaran pembelajaran yang kondusif.

2.2 Isu Ibu BapaPernyataan keluarga bahagia tunjang kemakmuran negara jelas menunjukkan bahawa keluarga memang memainkan peranan yang penting dalam membentuk keperibadian mulia kanak-kanak. Pembentukan keperibadian mulia anak-anak bermula daripada institusi keluarga. Sesebuah keluarga dibentuk dengan peranan ibu bapa masing-masing. Isu ibu bapa yang paling utama ialah penglibatan ibu bapa itu sendiri. Masa itu emas, itulah ungkapan yang selalunya bermain di bibir ibu bapa apabila diminta untuk meluangkan masa untuk anak-anak Pendidikan Khas mereka di sekolah.Ibu bapa seharusnya mementingkan zuriat mereka sendiri daripada kerjaya. Malangnya, kebanyakan ibu bapa kini yang terlalu mementingkan kerjaya sehingga menyebabkan anak-anak mereka di rumah mahupun di sekolah berasa tersisih seperti anak kera di hutan disusukan, anak di rumah mati kelaparan. Oleh hal yang demikian, ibu bapa haruslah mengimbangkan kerjaya dan kehidupan seharian mereka agar anak-anak dapat mendapat didikan yang baik dari segi fizikal dan mental. Ibu bapa sewajarnya tahu bahawa mujtamak yang kaya dalam kebendaan tetapi muflis dari segi keperibadian akan secara tidak langsung mendampakkan kesan negatif terhadap anak-anak mereka. Oleh itu, keluarga terutamanya ibu bapa memainkan peranan yang penting untuk membentuk keperibadian anak-anak.Ibu bapa yang sibuk bekerja kebiasaannya meletakkan harapan yang tinggi di atas bahu guru dalam mendidik dan membentuk anak-anak walhal, mereka telah sedia maklum bahawa anak-anak mereka bukanlah dari golongan yang normal. Ibu bapa harus memainkan peranan dalam menjadi peneman anak-anak kerana merekalah yang paling rapat dengan insan yang teristimewa ini. Contohnya, seorang murid Pendidikan Khas di tempat saya berpraktikum tidak akan bercakap dengan orang lain tetapi hanya akan bercakap dengan ibu bapa mereka sendiri. Perkara seperti ini menunjukkan bahawa ibu bapa sangat berpengaruh dalam menyediakan asas pendidikan kepada kanak-kanak terutamanya kanak-kanak Pendidikan Khas.Isu yang kedua ialah ibu bapa merungut apabila anak pulang lewat dan mengikuti aktiviti diluar sekolah. Contohnya, apabila anak mereka di bawa ke luar sekolah untuk menyertai aktiviti seperti boling, khemah dan renang, ada sebilangan ibu bapa yang meradang akibat murid lewat pulang ke sekolah yang mengganggu masa ibu bapa untuk mengambil anak mereka. Bagi aktiviti renang pula, ibu bapa tidak mempercayai akan kredibiliti guru dalam mengajar dan menjaga anak-anak mereka. Bagi mereka, aktiviti seperti renang ini membahayakan nyawa anak-anak mereka. Yang menjadi permasalahan utama, mengapa bukan ibu bapa kanak-kanak itu sendiri yang mengikuti anak-anak mereka ke aktiviti renang?. Kebanyakkan ibu bapa hanya pandai memberi kritikan daripada membantu anak-anak mereka walhal aktiviti yang dirancang banyak memberi manfaat kepada anak-anak mereka sendiri seperti dapat meningkatkan kemahiran motor kasar, motor halus di samping memberi keyakinan yang tinggi kepada murid itu sendiri.Di samping itu, anak-anak yang berfikiran suci akan sentiasa mencontohi kelakuan ibu bapa mereka kerana bapa borek, anak rintik. Ibu bapa merupakan tempat luahan isi hati dan penyimpan rahsia yang paling dipercayai anak-anak. Lantaran itu, ibu bapa sewajarnya mengindoktrinasikan pucuk-pucuk hijau dengan nilai-nilai murni ini bagai menatang minyak yang penuh kerana anak-anak mudah terpengaruh dengan media massa. Melalui nasihat dan ajaran yang baik, sudah tentu anak-anak akan tahu cara-cara untuk membezakan antara intan dengan kaca kerana sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna lagi. Institusi keluarga memang merupakan salah satu langkah yang signifikan dalam membentuk keperibadian anak-anak. Oleh itu, gejala seperti masalah tingkah laku murid-murid dapat diurus dirumah lagi dek kerana penglibatan ibu bapa yang cukup serius. Selain itu, apabila sesuatu program perjumpaan antara pihak guru dan waris diadakan, jumlah yang hadir begitu mengecewakan kecuali perjumpaan itu melibatkan pengagihan sumbangan wang, jamuan dan apa saja bentuk inisiatif kepada anak-anak mereka, barulah ibu bapa ini hadir untuk menerima apa yang dikatakan hak anak-anak mereka. Jika tidak, penglibatan ibu bapa tidak langsung akan kelihatan. Isu seterusnya ialah isu penyalah gunaan wang elaun pelajar. Wang elaun pelajar khas diperuntukkan kepada murid-murid itu sendiri. Ada ibu bapa yang menggunakan wang itu sebagai batu loncatan untuk mereka menambah wang perbelanjaan tanpa mengira keperluan anak-anak khas mereka sendiri. Gejala seperti ini tidaklah menyihatkan di mana keperluan untuk anak-anak mereka diabaikan. Sebagai ibu bapa, mereka haruslah sedar dan bersyukur bahawa wang elaun yang disalurkan itu telah mengambil kira aspek perbelanjaan murid-murid khas. Namun begitu, ada juga sesetengah ibu bapa yang merungut tentang pemberian elaun tersebut kerana ianya dianggap hangat-hangat tahi ayam dan tidak ikhlas. Ada juga ibu bapa yang menyuarakan dengan lantangnya bahawa elaun ini hendaklah di naikkan jumlahnya dari masa ke semasa. Mereka kuat dalam membangkang dan memberi kritikan tetapi mereka lupa akan tanggungjawab mereka sebagai ibu bapa. Isu lain yang dapat dilihat melalui permasalahan ini ialah ibu bapa hanya menghantar anak-anak mereka sehari seminggu sahaja untuk bersekolah. Ini bagi membolehkan anak-anak mereka terus menerima wang elaun tanpa mengambil kira aspek pendidikan anak-anak mereka sendiri. Bagi sekolah di tempat saya berpraktikum, syarat untuk memperoleh wang elaun, murid-murid hendaklah datang ke sekolah walaupun sehari untuk memperoleh wang elaun. Kesempatan ini telah digunakan oleh ibu bapa untuk menghantar anak mereka sekali seminggu sahaja. Hal ini banyak mendatangkan kesan kepada murid-murid khas kerana murd-murid tersebut banyak memperoleh ilmu di sekolah berbanding di rumah. Sikap ibu bapa yang acuh dan tidak acuh dalam mengurus kehidupan anak-anak khas mereka banyak memberi kesan yang negatif kepada kehidupan murid tidak kiralah buat masa sekarang hinggalah pada masa yang hadapanPenerimaan sesetengah ibu bapa yang tidak dapat menerima kenyataan bahawa anak mereka dilahirkan sebagai insan yang istimewa di atas muka bumi Allah ini juga merupakan isu yang timbul. Bagi mereka yang tidak dapat menerima hakikat, murid-murid ini akan diberi tanggungjawab sepenuhnya kepada guru untuk membentuk dan mendidik. Selain itu, ada juga murid yang tidak dipelihara oleh ibu bapa tetapi oleh keluarga terdekat yang sanggup untuk memelihara. Perkara seperti ini sering kali berlaku. Yang menerima kesannya ialah murid-murid khas itu sendiri. Kasih sayang daripada keluarga sendiri tidak dapat dikecapi. Murid-murid seperti ini akan merasa tersisih. Menurut Abraham Maslow, keperluan manusia adalah mengikut hierarki dan boleh dibahagikan kepada dua iaitu keperluan fisiologidan keperluan psikologi. Keperluan psikologi merangkumi keperluan untuk makanan, rehat, udara, pembuangan kotoran dan kejantinaan. Keperluan psikologi pula terdiri daripada keperluan untuk keselamatan, kasih sayang, penghargaan, kesempurnaan diri, keinginan untuk pengetahuan estetik. Dalam memenuhi semua kehendak ini, ibu bapa memainkan perana yang penting dalam menyediakannya kepada anak-anak Pendidikan Khas. Kebiasaannya, keperluan fisiologi selalu dipenuhi tetapi keperluan psikologi sebaliknya. Oleh itu, ibu bapa harus memberi perhatian yang lebih kepada anak-anak mereka supaya anak-anak mereka lebih bermotivasi untuk hidup.Ibu bapa juga kurang mengajarkan anak-anak mereka tentang kepentingan menguruskan diri terutama membuang air besar, air kecil dan lebih menyedihkan lagi bagi murid-murid perempuan yang datang haid. Contohnya, pada hari sabtu yang lepas, pembantu murid tiada di sekolah, ada seorang murid autisme yang membuang air besar dan tidak tahu cara untuk membersihkannya. Guru terpaksa membersihkan murid tersebut supaya murid tersebut boleh terus belajar. Mereka juga tidak didedahkan dari rumah asas kebersihan dan menggunakan keperluan yang bersesuaian semasa kedatangan haid. Ini bakal mengganggu urusan guru semasa P&P dan murid-murid lain.

2.3 Isu Pelabelan dan PengasinganIsu pelabelan dan isu pengasingan merupakan isu yang biasa didengari tidak kiralah di kelas aliran perdana mahupun kelas Pendidikan Khas. Cumanya, isu seperti ini sangat menonjol kepada murid-murid Pendidikan Khas. Ini kerana, setiap aktiviti yang dijalankan di sekolah tidak akan melibatkan program Pendidikan Khas. Isu mengenai pelabelan pada hari ini masih ketara terutama pada golongan anak kurang upaya ini. Definisi Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka edisi keempat, pelabelan bermaksud mengecap seseorang sebagai (mempunyai sesuatu sifat yang tidak baik seperti jahat, suka menipu dan sebagainya. Pelabelan juga diertikan sebagai satu tanggapan atau penilaian yang dibuat berdasarkan pandangan individu itu sendiri terhadap sesuatu perkara.Contohnya, semasa rehat, murid Pendidikan Khas yang lambat masuk ke kelas selalunya akan diejek dan dijadikan bahan hiburan. Perkara seperti ini amatlah menyedihkan. Murid dilabel cacat, lembap dan bodoh oleh murid-murid aliran normal. Kesannya, banyak implikasi terhadap murid Pendidikan Khas yang boleh dilihat. Murid hilang keyakinan diri dan sentiasa merasa rendah diri. Perkara ini dapat dilihat dengan jelas apabila murid sentiasa malu-malu apabila berhadapan dengan orang lain serta murid-murid aliran normal yang lain. Bukan dikalangan murid sahaja, guru-guru aliran perdana juga melabel guru-guru Pendidikan Khas sebagai mereka yang mudah mengajar, senang untuk mengurus kelas dan mempunyai kerja yang sedikit. Perkara sedemikian tidak harus berlaku kerana guru di aliran perdana tidak memahami dan mengetahui perkara yang sebenar. Perkara tersirat banyak terselindung apabila kita menceburi bidang Pendidikan Khas. Seeloknya, semua guru haruslah bekerjasama agar jurang pendidikan antara murid normal dan murid khas boleh dikurangkan. Guru aliran perdana juga banyak melabel murid khas sebagai mereka yang tidak tahu apa-apa dan menyusahkan. Keadaan ini berlaku semasa murid khas mengikuti kelas inklusif. Mereka memandang serong akan murid Pendidikan Khas dan mewujudkan pembelajaran yang tidak selesa kepada murid khas tersebut. Perasaan pilih kasih dan berat sebelah juga akan timbul. Murid akan hilang keyakinan dan semangat untuk belajar.Bagi ibu bapa pula, apabila anak-anak mereka dilabel sebegini rupa, mereka akan bersedih. Hanya ibu bapa yang mempunyai anak-anak khas sahaja akan memahami perasaan yang dialami sesama mereka. Namun begitu, ada juga ibu bapa yang putus semangat apabila anak mereka dilabel dan dicap. Ibu bapa akan menganggap anak mereka tiada potensi dalam pelajaran. Oleh itu, mereka akan terus membiarkan anak-anak mereka tanpa pendidikan kerana berasa malu dengan anak yang dikurniakan kepadanya. Ada juga ibu bapa yang sanggup membuang anak-anak khas ini ke rumah anak yatim kerana mereka beranggapan bahawa membela anak khas ini tiada arah dan matlamatnya. Segala persepsi sebegini hendaklah dihindari agar setiap anak yang dilahirkan memperoleh nikmat dunia yang dikurniakan oleh Allah S.W.T.Berkenaan dengan isu pengasingan pula terdapat pelbagai jenis pengasingan yang berlaku terhadap kanak-kanak berkeperluan khas di sekolah. Mereka seringkali diletakkan sebagai kumpulan yang asing di sekolah. Menurut kamus Dewan dan Bahasa dan Pustaka ,pengasingan bermaksud perihal atau perbuatan yang mengasingkan atau pun melibatkan pemisahan.(edisi keempat). Pengasingan dalam Pendidikan Khas bermaksud kanak-kanak pendidikan khas diasingkan dari kanak-kanak normal di dalam sistem pendidikan dan juga dari aspek pengajaran dan pembelajaranIni sangat ketara apabila pihak sekolah menjalankan sesuatu aktiviti seperti aktiviti kejohanan sukan sekolah yang melibatkan semua murid. Apabila dikatakan melibatkan semua murid, sepatutnya murid aliran perdana mahupun Pendidikan Khas harus sama-sama merasai kemeriahan kejohanan tersebut. Tetapi sebaliknya pula berlaku di mana, murid Pendidikan Khas adakalanya sengaja dicutikan oleh pihak sekolah supaya tidak menganggu perjalanan kejohanan dan kebanyakkan murid-murid ini tidak terlibat dengan acara-acara yang dipertandingkan. Murid-murid ini adalah warga sekolah yang sepatutnya dilayan seperti murid-murid yang lain juga. Begitu juga apabila sewaktu sesuatu peperiksaan berlangsung. Contohnya peperiksaan UPSR, murid-murid Pendidikan Khas dianggap sebagai pengganggu dan boleh mengganggu kelancaran peperiksaan kepada murid-murid normal. Hasil daripada pelabelan, murid-murid ini tidak dapat menikmati proses pengajaran dan pembelajaran selama seminggu. Ini dapat membantutkan perkembangan diri seseorang murid itu kerana murid perlu belajar sesuatu yang baru.Isu pengasingan ini juga boleh dilihat semasa hari anugerah cemerlang pelajar. Murid-murid Pendidikan Khas tidak akan sama memperoleh hadiah dan naik ke atas pentas. Mereka hanya diberikan hadiah kecemerlangan semasa perhimpunan untuk Pendidikan Khas itu sendiri. Sesetengah pentadbir juga tidak mahu mereka terlibat kerana mereka bakal mencacatkan suasana dengan tingkah laku mereka yang boleh mengganggu lebih-lebih lagi jemputan yang hadir mungkin dari bahagian-bahagian sektor atau jabatan yang terhormat. Hal ini sangat-sangat mendukacitakan kerana murid-murid ini turut mempunyai hak untuk merasa gembira terutama semasa mendapat hadiah daripada hasil usaha mereka. Peneguhan amatlah penting kepada murid-murid Pendidikan Khas kerana ianya dapat merangsang diri pelajar untuk maju dan terus maju ke hadapan. Hal ini disokong oleh pemikir teori behavioris iaitu Piaget, Thorndike, Skinner dan Watson yang menekankan penggunaan peneguhan untuk memperoleh tindak balas yang diingini.Waktu rehat antara murid Pendidikan Khas dan murid normal juga diasingkan. Mereka seolah-olah tidak diberi peluang untuk bergaul sesama rakan sebaya dan melahirkan komunikasi positif antara murid-murid lain yang berada dalam satu keluarga besar di sekolah. Waktu rehat diasingkan mungkin oleh beberapa faktor. Faktor utama yang dikenalpasti ialah murid Pendidikan Khas dilihat sebagai pengacau yang boleh mengacau murid-murid lain untuk makan dan berehat. Selain itu, murid Pendidikan Khas juga dikatakan tidak boleh mengurus diri bahkan untuk makan dan minum sekalipun. Mereka dikhuatiri akan menimbulkan rasa kurang selesa murid-murid lain kerana mungkin makanan akan bertaburan dan persekitaran yang sedikit kotor.Aktiviti kokurikulum juga dijalankan secara berasingan dan semua murid khas akan diletakkan dalam satu persatuan yang sama iaitu Unit Beruniform Pengakap. Murid-murid Pendidikan Khas akan menjalani aktiviti kokurikulum ini pada hari khamis. Berbeza dengan murid-murid normal dimana mereka menjalani aktiviti kokurikulum mereka pada setiap petang rabu. Murid-murid ini akan bergaul antara mereka sahaja dan kepelbagaian dalam persatuan pakaian seragam tidak wujud. Mereka hanya mengenal satu pakaian seragam iaitu pengakap. Perkara seperti ini sungguh merugikan kerana setiap unit beruniform mempunyai matlamat dan kepakaran yang berbeza. Ilmu pengetahuan yang diperoleh tidaklah menyeluruh dan murid perlu mempelajarinya dan menerokainya sendiri. Stigma masyarakat telah disetkan dalam pemikiran bahawa murd-murid ini tidak layak untuk berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah bersama-sama mereka. Seolah-olah murid-murid khas ini bakal menyempitkan pemikiran sesiapa sahaja yang terlibat dengan Pendidikan Khas.

3.0 RefleksiMunurut Hanipah (2004) refleksi mengikut sesetengah orang adalah satu ulasan terhadap amalan seseorang untuk memastikan ketepatan atau keakurannya kepada satu-satu peraturan yang telah ditentukan. Refleksi juga boleh dilihat sebagai menjadikan satu situasi bermasalah dalam amalan seseorang itu sebagai satu cara memperoleh pemahaman atau pengertian baru dalam amalannya. Hanipah juga mendefinisikan refleksi sebagai satu proses merenung, menganalisis dan mencari alasan dan seterusnya membuat cadangan dan tindakan untuk memperbaiki diri yang dilakukan secara berterusan. Dalam konteks perguruan, kebolehan membuat tranformasi dan refleksi membolehkan guru sentiasa mempelajari dan memahami sesuatu yang baru hasil daripada apa yang boleh dilaluinya. Menurut Shulman (1987) dalam konteks perguruan, kebolehan membuat transformasi dan refleksi membolehkan guru sentiasa mempelajari dan memahami sesuatu yang baru hasil daripada apa yang telah dilaluinya.Tugasan ini memerlukan kami untuk menganalisis dan membuat ulasan artikel ataupun jurnal tentang isu-isu di dalam Pendidikan Khas. Di samping itu, kami dikehendaki untuk mengumpul maklumat mengenai isu-isu yang berlaku di sekolah kami berpraktikum dan ditonjolkan melalui penulisan esei. Melalui tugasan ini, banyak kelebihan yang dapat kami perolehi. Kelebihan yang utama ialah kami dapat melatih diri supaya membiasakan diri untuk menelaah jurnal dan kemahiran dalam mengumpul maklumat. Kesemua kemahiran ini boleh digunakan lebih-lebih lagi ketika hendak menyambung pelajaran ke peringkat tertinggi maka pembacaan yang banyak harus menjadi kekuatan yang utama. Kelebihan lain ialah kami dapat melihat dengan sendiri isu-isu Pendidikan Khas yang berlaku di sekolah kami berpraktikum untuk dijadikan pedoman dan tauladan di samping mencari jalan dalam menyelesaikan isu-isu yang berlaku. Antara kekuatan utama semasa menyiapkan tugasan ini ialah tugasan ini berjaya disiapkan pada masa yang ditetapkan. Untuk menyiapkan tugasan ini, disiplin diri harus dipertingkatkan. Disiplin diri yang baik akan membawa kepada perubahan tingkah laku yang baik. Walaupun mempunyai komitmen praktikum dan cuti Hari Raya, disiplin di dalam diri tidak membataskan dalam menyiapkan tugasan yang diberi. Selain itu juga, segala maklumat dapat dikumpul hasil kerjasama guru-guru Pendidikan Khas di sekolah saya berpraktikum dan melalui hasil pemerhatian serta soal jawab yang berlaku. Kemahiran bersosial dan mengumpul maklumat yang baik akan membawa kita kepada penemuan jawapan yang kita ingini. Menurut Philip(1991) kemahiran sosial membawa maksud tingkah laku yang prihatin untukmelakukan perhubungan interpersonal yang efektif. Thacker(1996) pula mendefinisikan kemahiran sosial sebagai keupayaan untuk berkomunikasi secara efektif dengan individu laindalam situasi sosial atau kerja.Istilah kemahiran sosial yang digunakan bermaksud keupayaanuntuk menghasilkan tingkahlaku atau respon yang sesuai secara lisan atau bukan secara lisandalam proses berinteraksi tanpa menyakitkan perasaan orang lain.Sebagai seorang bakal guru, kemahiran sosial memainkan peranan yang penting. Kemahiran sosial yang baik akan menjadikan seseorang itu mudah untuk didekati dan didampingi. Contohnya, dalam menemu bual dan menjalankan soal selidik, seorang itu hendaklah mempunyai tutur kata yang sopan. Ini dapat menarik minat orang yang ditemu bual itu supaya tidak mudah bosan dan rimas dengan soalan yang diajukan. Oleh itu, segala pekerjaan yang diusahakan akan menemui jalan kejayaan. Antara kelemahan yang dikenalpasti ialah semasa melakukan tugasan ini, sedikit kekeliruan telah berlaku dalam menyiapkan sub tugasan satu dan sub tugasan dua. Ini kerana tugasan yang dipinta lebih kurang sama sahaja. Kami telah melakukan perbincangan. Kaedah perbincangan adalah satu aktiviti secara berkumpulan iaitu melalui penglibatan murid-murid secara bekerjasama antara satu sama lain dalam membincangkan sesuatu topik atau masalah (Md. Rusli dan Ramlah, 1992). Kaedah ini tidak memerlukan guru terlalu terikat dengan cara penyampaian maklumat atau data seperti yang biasa diamalkan dalam pengajaran berkuliah. Sebaliknya kaedah ini melibatkan pelajar secara aktif dalam proses pengajaran dan pembelajaran yang dapat meningkatkan minat serta pembelajaran kendiri dalam kalangan pe;lajar (Abdul Rahim, 1989)Dalam kumpulan perbincangan pelajar digalakkan menyoal, menganalisis, berhujah, mengeluarkan pendapat dan idea untuk bersama-sama menyelesaikan masalah atau isu yang dibincangkan. Kaedah perbincangan adalah satu kaedah pengajaran yang dapat meningkatkan kemahiran belajar dan kemahiran berfikir pelajar seperti kemahiran berfikir secara kritis dan kreatif, kemahiran menyelesaikan masalah serta meningkatkan kemahiran berkomunikasi pelajar. Akhirnya, permasalahan kami terjawab dan tugasan yang dipinta dapat dibuat dengan jayanya. Kelemahan yang seterusnya ialah kami kekurangan sumber rujukan. Dalam menyiapkan tugasan ini, rujukan perlu ada. Ini kerana sumber rujukan berperanan sebagai pegangan agar kerja yang dibuat tidak tersasar dari landasan. Dalam mengatasi masalah ini, kami berpakat untuk mewujudkan pembelajaran kolaboratif. Pembelajaran kolaboratif menurut Panitz (1996), Collaboration is a philosophy of interaction and personel lifestyle whereas cooperation in a structure of interaction designed to facilitate the accomplishment of end product or goal. Pembelajaran kolaboratif merupakan pembelajaran yang berpusatkan kepada pelajar. Menurut John Myers (1991) pembelajaran ini mementingkan proses bekerjasama, berunsurkan sosial (John Dewey) dan mengutamakan dinamik kumpulan (Kurt Lewin). Oleh itu dikatakan pembelajaran kolaboratif merupakan pembelajaran kendiri dalam kumpulan dengan memainkan peranan masing-masing di dalam kumpulan dengan bekerjasama untuk mencapai objektif organisasi yang dibentuk. Objektif yang dimaksudkan ialah mencari maklumat seberapa banyak mengenai isu-isu dan trenda.Pembelajaran berlangsung dengan sendiri tanpa pemantauan dari guru, tetapi harus mencapai objektif yang diperlukan, maka pelajar bebas menentukan teknik dan kaedah yang digunakan.Akhirnya, dengan adanya bahan yang dikumpul bersama-sama segala tugasan yang dibuat menjadi mudah.

4.0 Penutup

Khas tidak seperti yang disangkakan oleh sesetengah pihak. Apabila berada dalam program ini, kesabaran yang sangat tinggi diperlukan dan pengorbanan dari pelbagai aspek untuk mendidik dan membimbing murid-murid istimewa ini menjadi sebahagian daripada rakan-rakan yang berada di aliran perdana.Pendidikan Khas bukanlah satu cabang profession perguruan yang bersih dari isu-isu dan masalah yang pelbagai ragam dan kadangkala sangat membimbangkan. Jika diambil kira, Pendidikan Khas ini memberi satu cabaran kepada guru Pendidikan Khas untuk membentuk murid yang dari tiada apa-apa menjadi murid dan insan yang boleh dibanggakan dan diharap. Apa yang paling penting, didiklah mereka dengan sebaik mungkin dan galaslah tanggungjawab yang diberikan dengan baik supaya murid-murid ini dapat merasa hak yang sama rata seperti murid yang berada di aliran perdana.

Rujukan

Ateh bin Salim , (1998). Program Pendidikan Pemulihan Jabatan Pendidikan Negeri Melaka. Johor : Kementerian Pelajaran Malaysia.

Aug Huat Bin , (1996). Konsep dan Kaedah dengan Penekanan Pendidikan Inklusif. Kuala Lumpur : Utusan Publication & Distributors Sdn. Bhd.

Choong Lean Keow , (2009). Siri Pendidikan Perguruan Pengurusan Bilik Darjah dan Tingkah Laku untuk Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan. Kuala Lumpur : Kumpulan Budiman Sdn Bhd.

Noriati dan rakan. (2009). Siri Pendidikan Guru Murid dan Alam Belajar. Selangor: Oxford Fajar Sdn Bhd.

Yahya Don , (2009). Kepimpinan Pendidikan Di Malaysia. Selangor : PTS Professional Publishing Sdn. Bhd.

~ 26 ~