Upload
rozanita-ahmad-fakhri
View
22
Download
6
Embed Size (px)
Saturday, 26 April 2014
PROGRAM INTERVENSI
1.0 Pengenalan
Intervensi awal didefinisikan sebagai usaha tersusun untuk
meningkatkan perkembangan bayi dan kanak-kanak yang mengalami tumbesaran lambat
(Fatimah Bivi,2002). Intervensi awal bermaksud memberi perkhidmatan rawatan, pemulihan,
bimbingan dan khidmat nasihat kepada kanak-kanak dan juga ibu bapa sebaik sahaja sesuatu
kecacatan dikesan atau dikenalpasti dialami oleh kanak-kanak (Kail, 2001). Perkhidmatan ini
diberikan seawal mungkin agar kanak-kanak tersebut boleh diberikan bantuan dari aspek
bahasa, sosial, emosi dan psikomotor agar perkembangan dalam aspek tersebut dapat
diberikan agar tidak ketinggalan terlalu jauh dari aspek perkembangan umur dan fizikal
dibandingkan dengan kanak-kanak lain yang seusia dengan mereka.
Program intervensi awalan bertujuan memberi bantuan kepada ibu bapa untuk
mengambil langkah tertentu supaya pengesanan dan rawatan lebih awal dapat dilakukan dan
mengurangkan ketidakupayaan, permasalahan atau kecacatan yang dialami oleh individu
berkeperluan khas. Menurut Hallahan Kaufman (2003), kebanyakan pendidik dan ahli sains
sosial percaya bahawa lebih awal kecacatan seseorang individu dikenal pasti dan diberi
program pendidikan yang bersesuaian atau rawatan tertentu, lebih baik penghasilan yang
boleh diperoleh oleh seseorang kanak-kanak berkeperluan khas. Intervensi awal yang intensif
bertujuan untuk mengurangkan kesan sesuatu kurang upaya kepada pembelajaran dan
mengelaknya menjadi lebih ketara apabila kanak-kanak memasuki alam persekolahan.
Kajian-kajian menunjukkan bahawa intervensi awal membawa kesan positif kepada
kanak-kanak kurang upaya dan yang berisiko tinggi dalam jangka masa pendek dan jangka
masa panjang. Di Amerika Syarikat perkhidmatan intervensi awal (3 tahun ke bawah)
diwajibkan untuk kanak-kanak yang mengalami perkembangan lewat dan kanak-kanak
berisiko tinggi (IDEA,1990). Mengapa ia dikatakan penting?
1.1 Intervensi awal memainkan peranan penting dalam melengkapkan kesan kanak-kanak
berkeperluan khas dengan kemahiran asas sebelum mereka masuk ke sekolah rendah.
1.2 Intervensi awal yang komprehensif dan intensif adalah berfaedah kepada keluarga dan
masyarakat. Intervensi awal mempunyai impak yang positif kepada persekitaran terdekat
kanak-kanak berkeperluan khas. Atas sebab itu juga, setiap individu dalam sesebuah
komuniti perlu sedar akan tanggungjawab masing-masing ke atas kanak-kanak berkeperluan
khas (Lerner, 2003).
1.3 Intervensi awal dapat membantu perkembangan pelbagai kebolehan kanak-kanak.
Contohnya seorang kanak-kanak bermasalah pendengaran yang diajar menggunakan bahasa
isyarat secara tidak langsung dapat mempertingkatkan mindanya dan membuka peluang
untuk dia berinteraksi dengan kanak-kanak lain.
1.4 Kejadian masalah lain yang terikat dengan kesukaran awal boleh diatasi melalui
perkhidmatan intervensi awal. Contohnya kanak-kanak yang mengalami masalah penglihatan
tetapi tidak diberi intervensi awal, mungkin mengalami masalah emosi seperti perasaan
kecewa.
1.5 Intervensi awal juga menawarkan penjimatan wang bagi sesebuah masyarakat. Intervensi
awal yang intensif dan berkesan mengurangkan beban penyediaan pendidikan khas pada
peringkat sekolah rendah dan menengah. Bilangan kanak-kanak yang memerlukan
perkhidmatan pendidikan khas mungkin berkurangan.
2.0 Kategori Kanak-Kanak Berisiko Atau Berkeperluan Khas
Kanak-kanak berkeperluan khas sering dikaitkan dengan ketidakupayaan
pembelajaran. Sebenarnya ketidakupayaan pembelajaran bukanlah bermaksud bodoh,
lembab, malas, atau tahap kecerdasan yang rendah. Keadaan ini juga bukanlah berlaku akibat
daripada perbezaan budaya, status sosial, kekangan ekonomi, dan pengaruh persekitaran.
Ketidakupayaan pembelajaran bermaksud masalah khusus di dalam otak kanak-kanak ini,
yang menjejaskan cara seseorang itu memproses dan bertindak balas terhadap sesuatu
maklumat. Terdapat beberapa kategori kanak-kanak berisiko atau berkeperluan khas yang
dikaitkan dengan ketidakupayaan pembelajaran.
2.1 Disleksia – ini adalah ketidakupayaan pembelajaran yang menjadikan kanak-kanak itu sukar
membaca, menulis dan mengeja dalam cara yang biasa.
2.2 ADHD(Attention Defict and Hyperactivity Disorder) – ini adalah satu gangguan yang
menjejaskan keupayaan otak untuk menumpukan atau memfokus kepada sesuatu benda.
Misalnya, seseorang kanak-kanak itu mungkin normal, cerdas dan bijak tetapi dia tidak dapat
menumpukan perhatiannya dan mengawal tingkah lakunya sendiri.
2.3 Dispraksia – ini satu ketidakupayaan pembelajaran yang melibatkan masalah dengan gerakan
anggota tubuh.
2.4 Diskalkulia – satu jenis ketidakupayaan pembelajaran yang melibatkan Matematik dalam
membuat pengiraan. Walaupun berkali-kali diajar dengan cara yang paling mudah, namun
kanak-kanak ini sukar memahaminya.
2.5 Autisme – ini pula merujuk kepada ketidakupayaan kanak-kanak mengalami dunia
persekitarannya seperti kanak-kanak normal yang lain. Mereka sukar bercakap dan berbual-
bual, sebaliknya mendiamkan diri serta memerlukan bantuan untuk berkomunikasi.
2.6 Lembab – Kanak-kanak lembab biasanya tidak dapat mengikuti pelajaran yang diajar oleh
guru yang menggunakan kaedah biasa. Ini kerana mereka tidak dapat memberi tumpuan dan
minat terhadap proses pengajaran dan pembelajaran.
2.7 Terencat akal – Kerencatan akal merujuk kepada kecerdasan akal di bawah kecerdasan
purata. Mereka yang menunjukkan kelambatan dalam perkembangan mental. Mereka sukar
mempelajari kemahiran dan konsep, mengingati mata pelajaran dan menggunakan maklumat
bagi menyelesaikan masalah.
Kategori kanak-kanak seperti contoh di atas sememangnya menghadapi masalah
dalam pembelajaran. Mereka selalunya lambat untuk menerima dan memahami sesuatu
pengajaran. Kanak-kanak ini juga selalunya tidak dapat bergaul dan mengikuti kelas seperti
murid yang normal. Mereka ini perlu diberi perhatian serta pembelajaran yang lebih istimewa
sesuai dengan kemampuan mereka. Oleh itu, program intervensi awal bagi kanak-kanak ini
perlu bagi membantu mereka dalam perkembangan pelbagai kebolehan dan kemahiran seperti
kanak-kanak normal yang lain.
3.0 Peranan Ibu Bapa, Guru dan Pihak Pentadbiran Pusat
3.1 Peranan Guru
Guru memainkan peranan penting dengan mengenalpasti murid dalam masalah
pembelajaran agar mereka tidak terus ketinggalan. Guru perlu mendapatkan semua sumber
maklumat yang boleh diperoleh, termasuk ibu bapa, doktor dan persatuan bagi membantu
murid berkenaan. Saringan yang dilakukan oleh guru pada peringkat awal mungkin dapat
membantu murid berkenaan untuk mendapatkan rawatan awal dan seterusnya merancang
kaedah pengajaran dan pembelajaran yang terbaik untuk murid tersebut.
Perancangan yang sepatutnya perlu dibuat untuk membantu murid menangani situasi
yang yang dihadapinya, merangsang pembelajaran, dan menyediakan persekitaran yang
membolehkan kanak-kanak ini mengamalkan apa yang dipelajarinya. Guru juga perlu
menunjukkan perasaan kasih sayang dan penghormatan terhadap murid tersebut. Mereka
akan berasa bahawa mereka penting dan merupakan komuniti dalam sesuatu sesi
pembelajaran.
3.2 Peranan Ibu Bapa
Selain guru, ibu bapa adalah individu yang sangat penting dalam kehidupan murid ini.
Jangan sesekali berasa kecewa kerana mempunyai anak yang bermasalah dalam pembelajaran
tetapi perlu bangkit dan berusaha meyakinkan anak-anak mereka bahawa anak-anak ini
mampu berjaya seperti anak-anak normal yang lain. Adalah amat mengecewakan apabila ada
sebilangan ibu bapa yang berasa malu dan cuba menidakkan kehadiran anak mereka ini.
Sepatutnya ibu bapa prihatin dengan anak-anak istimewa dan cubalah berbincang atau
membuat sesuatu untuk masa depan anak-anak mereka seperti berbincang dengan guru
mendapatkan pandangan dan tindakan sewarjarnya boleh dilakukan
3.3 Peranan Pihak Pentadbiran Pusat
Bagi pihak pentadbiran pusat pula, di bawah program Kementerian Pelajaran
Malaysia telah merangka pelbagai program untuk membantu murid-murid yang menghadapi
masalah pembelajaran. Contohnya program 3M (Membaca, Menulis dan Mengira) telah
diperkenalkan semenjak tahun 1960-an bagi memantapkan usaha membantu kira-kira
100,000 murid sekolah rendah dikenalpasti belum menguasai kemahiran asas membaca,
menulis dan mengira (3M).
Pada tahun 1983, apabila Kurikulum Bersepadu Sekolah rendah (KBSR)
diperkenalkan, satu usaha telah diwujudkan untuk membantu murid yang tidak dapat
menguasai 3M melalui Program Pemulihan Khas. Bagi memastikan sasaran semua murid
sekolah rendah yang tidak mempunyai masalah kesihatan menguasai kemahiran 3M akhir
Tahap Satu iaitu selepas tamat persekolahan Tahun Tiga. Satu Jawatankuasa Pemulihan Khas
peringkat Jabatan Pelajaran Negeri (JPN), Pejabat Pelajaran Daerah( PPD) dan sekolah bagi
memantau perkembangan pelaksanaannya.
Pada tahun 2006, Kementerian Pelajaran Malaysia telah memperkenalkan Program
KIA2M (Program Kelas Intervensi Awal Membaca dan Menulis) bagi membantu murid
Tahun 1 menguasai kemahiran asas membaca dan menulis dalam Bahasa Melayu serta
menangani masalah keciciran murid menguasai kemahiran 2M. Program ini dilakukan dalam
tiga fasa. Selepas ujian penapisan, murid yang gagal dalam ujian akan mengikuti KIA2M fasa
pertama. Selepas itu, akan diadakan pula ujian pelepasan. Murid yang berjaya akan mengikuti
kelas seperti biasa. Murid yang gagal pula akan mengikuti KIA2M fasa kedua. Ujian
pelepasan seterusnya akan dilakukan sekali lagi. Murid yang berjaya dalam ujian itu akan
mengikuti kelas pada tahun berikutnya. Murid yang gagal pula mengikuti kelas pemulihan
khas. Selama empat tahun kelas KIA2M dijalankan namun hasrat untuk melihat pencapaian
murid menguasai kemahiran membaca dan menulis tidak tercapai. Hampir 85,000 murid
tahun satu di negara kita belum menguasai kemahiran 2M.
Bermula tahun 2010, Program LINUS telah dilaksanakan bagi menggantikan KIA2M
(Kelas Intervensi Asas Membaca dan Menulis). Program LINUS adalah singkatan dari
Literacy & Numeracy Screening di mana sasaran Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM)
menyasarkan bahawa semua murid normal berkeupayaan untuk menguasai asas literasi dan
numerasi selepas tiga tahun mengikuti pendidikan rendah menjelang 2012.
Di bawah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat
menyediakan perkhidmatan untuk kanak-kanak yang menghadapi masalah seperti cacat
fizikal teruk, terencat akal sederhana dan teruk, pelbagai kecacatan dan kecacatan yang tidak
membolehkan kanak-kanak tersebut belajar di sekolah-sekolah yang disediakan oleh
Kementerian Pelajaran Malaysia.
Pada dasarnya, kurikulum pendikan untuk murid berkeperluan khas masih lagi
mengalami pelbagai kekurangan iaitu daripada guru terlatih dalam bidang pendidikan khas,
kewangan, kemudahan, pakar dan termasuk kurikulum yang sesuai. Di samping itu, belum
lagi wujud program intervensi awal yang teratur dan komprehensif bagi membantu kanak-
kanak istimewa ini sebelum mereka masuk ke alam persekolahan.
Di sini jelaslah menunjukkan bahawa masalah pembelajaran bukanlah satu masalah
yang mudah untuk ditangani, tetapi ia adalah satu masalah yang memerlukan kerjasama dari
banyak pihak untuk memastikan pelajar ini mendapat peluang belajar sebagaimana pelajar
normal yang lain.
Adalah penting untuk ibu bapa yang mempunyai anak-anak yang lemah dalam
pembelajaran menghantar anak-anak mereka untuk penilaian lanjut. Begitu juga guru-guru
yang mengenalpasti pelajar-pelajar terutamanya mereka yang gagal dalam KIA2M mahupun
LINUS untuk menjalani penilaian lanjut agar diagnosis boleh dilakukan dan mereka
mendapat tempat yang sepatutnya dalam sistem pendidikan.
4.0 Bentuk Pengajaran dan Pembelajaran
Terdapat beberapa bentuk pengajaran dan pembelajaran yang sesuai untuk golongan kanak-
kanak yang mempunyai masalah ini.
4.1 Program Kelas Intervensi Awal Membaca dan Menulis (KIA2M)
Program ini mensasarkan murid-murid yang lambat atau belum menguasai kemahiran
membaca dan menulis. Fokus program ini ialah untuk membolehkan murid menguasai
kemahiran asas Bahasa Melayu. Oleh itu konsep pengajaran Bahasa Melayu merentas
kurikulum mestilah dijalankan sepenuhnya dengan menggunakan strategi
penggabungjalinan. Strategi pengajaran dan pembelajaran untuk kelas ini melibatkan
beberapa langkah seperti pencalonan, ujian penapisan, perancangan, pengajaran, penilaian
dan tindakan susulan. Strategi pengajaran yang boleh digunakan ialah seperti berpusatkan
guru dan berpusatkan murid. Antara teknik pengajaran yang boleh dilaksanakan ialah seperti
teknik bercerita, teknik latih tubi, teknik tunjuk cara, teknik bersoal jawab, teknik main
peranan dan teknik menyanyi.
4.1.1 Intervensi Berpusatkan Guru
Pengajaran dan pembelajaran secara berpusatkan guru adalah satu kaedah berkesan
untuk mengawal kanak-kanak bermasalah pembelajaran ini.Kaedah ini memerlukan guru
memainkan peranan utama dalam sesi pengajaran dan pemulihan. Guru yang menentukan
jenis strategi yang perlu digunakan, model dan demonstrasi, memberi arahan kepada kanak-
kanak dan memantau kemajuan mereka. Kumpulan kecil yang terdiri daripada murid yang
menghadapi masalah yang sama atau hampir sama dibentuk. Guru menjalankan pengajaran
menggunakan modul pengajaran yang disediakan.
4.1.2 Intervensi Berpusatkan Pelajar
Intervensi berpusatkan pelajar adalah sesuai untuk pelajar yang berkemampuan
mengawal tingkah laku sendiri. Justeru, pelajar yang boleh mengawal tingkah laku sendiri
dikenal pasti dahulu dan barulah intervensi berpusatkan pelajar dijalankan. Intervensi
berpusatkan pelajar memerlukan pelajar berperanan utama tetapi masih mendapat bimbingan
dalam beberapa perkara oleh guru kelas. Pelajar akan diajar prosedur-prosedur kawalan diri,
menentukan matlamat yang realistik, menangani kekecewaan dan cara mengatasi masalah.
Guru menumpukan perhatian kepada murid secara individu bagi membantu dan membimbing
murid mengatasi masalah yang dihadapinya. Selain itu, bantuan daripada rakan sebaya juga
boleh digunakan.
4.2 Bentuk Pengajaran dan Pembelajaran untuk Kanak-kanak Bermasalah Pembelajaran
Apabila mengajar bahasa kepada golongan kanak-kanak yang mempunyai masalah
pembelajaran atau autistik ini, para guru hendaklah menggunakan beberapa teknik pengajaran
dan pembelajaran khusus bagi memenuhi keperluan kanak-kanak tersebut. Di antara langkah-
langkah yang boleh membantu kanak-kanak ini ialah :
4.2.1 Ajar bahasa di dalam situasi
Mengajar bahasa di dalam situasi yang diadakan akan membantu kanak-kanak
memahami isi pelajaran dan seterusnya menguasai kemahiran bahasa yang diajar.
Contohnya : membantu ayah di gerai.
4.2.2 Mengikut urutan perkembangan bahasa normal
Pengajaran bahasa hendaklah berdasarkan kemampuan berbahasa
kanak- kanak mengikut peringkat umur kanak-kanak itu.
4.3 Bentuk Pengajaran dan Pembelajaran untuk Kanak-kanak
Bermasalah Pendengaran
Kemudahan pengajaran dan pembelajaran untuk golongan ini
banyak disediakan oleh kerajaan. Kemudahan ini bertambah dari masa ke semasa selaras
dengan pertambahan golongan bermasalah pendengaran ini di Malaysia. Terdapat beberapa
kaedah pengajaran dan pembelajaran untuk pelajar yang sebegini. Antaranya ialah:
4.3.1 Bacaan bibir
Bacaan bibir adalah kaedah pengajaran dan pembelajaran melalui memahami
pertuturan dengan mengikut atau memerhati bibir penutur termasuk memahami dan mentafsir
hinggas ke otot muka dan gerak badan penutur. Bacaan bibir adalah pertuturan tulin atau pure
oral yang memberi tekanan kepada pengajaran dan pembelajaran bahasa melalui pertuturan
secara ‘sengaja’. Pendekatan pengajaran dan pembelajaran melalui bacaan bibir memerlukan
murid –murid bermasalah pendengaran ini bertutur seperti murid-murid biasa.
Alat bantu pendengaran dapat membantu kanak-kanak ini menguasai bahasa dengan
baik. Sistem ini sesuai untuk kanak-kanak yang mempunyai kemampuan pendengaran antara
40 hingga 65 desibel. Kaedah pengajaran seperti ini boleh berjaya sekiranya usaha dilakukan
berterusan.
4.3.2 Pertuturan Kiu
Pengajaran melalui kaedah ini ialah dengan menggunakan sistem
pergerakan tangan yang boleh membezakan bunyi-bunyi apabila melihat pergerakan bibir,
contohnya bunyi /p/, /b/, dan /m/ iaitu bunyi fitur disingtif seperti bunyi vokal dan bunyi
nasalisasi (sengau). Tangan digerak hampir dengan muka penutur bukan merupakan isyarat
tetapi adalah cara untuk menidentifikasikan bunyi-bunyi fitur distingtif. Penutur
menggunakan salah satu daripada tangan mereka untuk membolehkan pembaca bibir
mengecam dengan jelas setiap suku kata yang dituturkan.
Pengajaran dan pembelajaran melalui kaedah ini lebih berkesan terhadap murid-murid
yang hanya mempunyai masalah tahap pendengaran yang sedikit. Kanak-kanak yang
mempunyai masalah pendengaran yang berat agak sukar untuk menguasainya. Melalui
pertuturan kiu murid-murid bermasalah ini berpeluang menguasai bahasa dengan baik.
4.3.3 Komunikasi Seluruh
Kaedah pengajaran dan pembelajaran ini menggunakan keseluruhan bahasa iaitu
gerakan isyarat, bahasa isyarat, mimik muka, pertuturan, bacaan bibir, ejaan jari, membaca
dan menulis. Komunikasi seluruh membenarkan guru menggunakan apa sahaja untuk
membolehkan murid-murid menguasai bahasa seperti mimik muka, lakonan, pertuturan dan
sebagainya. Untuk menguasai kaedah pengajaran ini secara berkesan, maka guru-guru perlu
menguasai setiap kod bagi mewakili kosa kata bahasa semasa pengajaran. Di samping itu
guru juga perlu memahami prinsip penggunaan kod bagi menggambarkan proses morfologi.
4.3.4 Bahasa Isyarat Kod Tangan Bahasa Melayu (KTBM)
Menurut Abdullah Yusoff (1996) KTBM adalah bahasa isyarat yang menggunakan
seluruh anggota termasuk mimik muka semasa berkomunikasi. KTBM adalah menurut asas-
asas dan tatabahasa serta prinsip-prinsip Bahasa Melayu. Melalui kaedah ini, murid diajar
dengan menggunakan kod tangan iaitu melalui pergerakan tangan.
4.4 Bentuk Pengajaran dan Pembelajaran untuk Kanak-kanak
Bermasalah Penglihatan
Guru boleh menyediakan bahan pembacaan yang mempunyai saiz besar dan sesuai
ataupun bahan audio untuk membantu pembelajaran. Bahan bacaan yang disediakan
hendaklah jelas seperti huruf yang pelbagai warna. Semasa menulis di papan tulis, guru boleh
menyebut secara lisan bahan yang ditulis untuk kemudahan kanak-kanak ini. Guru juga perlu
memberi perhatian kepada susunan bilik darjah dan pastikan kanak-kanak tersebut
ditempatkan berhampiran papan tulis.
5.0 Penutup
Tiada siapa boleh melawan takdir yang telah ditentukan oleh Tuhan atas kejadian
yang berlaku di muka bumi ini. Setiap insan yang dilahirkan menginginkan dirinya dalam
keadaan sempurna dari segi fizikal, mental, emosi dan sosial. Masyarakat hendaklah
memahami bahawa kanak-kanak ini juga mempunyai impian dan cita-cita. Keprihatinan ibu
bapa terhadap mereka akan dapat mengurangkan beban yang ditanggung dan memberi
semangat untuk mereka terus hidup.
Kaedah pengajaran yang berkesan merupakan tonggak kejayaan seseorang pelajar.
Jika pelajar merasakan kaedah pengajaran yang diterima adalah berkesan maka ini akan
secara tidak langsung mempengaruhi pencapaian akademik pelajar. Penggunaan kaedah dan
strategi yang pelbagai akan menjadikan sesuatu pengajaran itu menarik dan akan memberi
ruang untuk membolehkan pelajar terlibat secara aktif dan bergiat sepanjang sesi pengajaran
tanpa merasa jemu dan bosan.
Ringkasnya, intervensi awal boleh meningkatkan intelek, meningkatkan
perkembangan fizikal dan meningkatkan penguasaan bahasa kanak-kanak berkeperluan khas.
Intervensi awal yang sistematik menghalang kewujudan masalah lain, mengurangkan tekanan
kepada keluarga, dan mengurangkan pembinaan institusi khas. Dengan adanya intervensi
awal yang teratur, keperluan untuk pendidikan khas di peringkat persekolahan dapat
dikurangkan dan ini menjimatkan perbelanjaan negara yang dikhaskan untuk kemudahan
penjagaan, kesihatan dan pendidikan.
RUJUKAN:
Abdullah Yusuff, (1996). Pemaparan Idea Dalam Karangan: Kajian Kes Terhadap Karangan
Pelajar Pekak. Jurnal Dewan Bahasa,40:4,321-336.
Kementerian Pelajaran Malaysia, (1985). Komunikasi Seluruh Bahasa Melayu Kod Tangan.
Jilid 1, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Mohd Sharani Ahmad, (2006). Psikologi Kanak-Kanak. Kuala Lumpur: PTS Publishing Sdn.
Bhd.
Nordin Tahir. Kanak-kanak Berkeperluan Khas. IPG Kampus Ipoh, Perak.
Salhah Abdullah,(2009). Kecerdasan Pelbagai: Aplikasi dalam Pengajaran dan
Pembelajaran. Kuala Lumpur: PTS Profesional Publishing Sdn. Bhd.
Hj. Zulkiply b Hj. Yaakob. Intervensi Awal. IPG Kampus Tun Hussein Onn, Batu Pahat, Johor.
Abd. Rahim Talib,(2006). Pengenalan Pendidikan Kanak-Kanak Masalah Pembelajaran. Kuala
Lumpur: MeteorDoc. Sdn. Bhd.
Chua Tee Tee & Koh Boh Boon. 1992. Pendidikan Khas Dan Pemulihan. Kuala Lumpur.
Dewan Bahasa dan Pustaka.
Mohd. Salleh Lebar,(1999). Masalah Pengajaran dan Pembelajaran Kanak-kanak Berkeperluan
Khas Dalam Pendengaran. Serdang. Universiti Putera Malaysia.
Capaian Internet