View
188
Download
0
Category
Preview:
DESCRIPTION
tamadun
Citation preview
KONSEP TAMADUN
1.0 Pendahuluan
Perbincangan tamadun dan ketamadunan oleh para sarjana tamadun banyak bertitik tolak
daripada perbincangan istilah. Terdapat beberapa istilah yang dikaitkan dengan tamadun.
Antara istilah yang sering digunakan ialah ‘civilization’ dalam bahasa Inggeris, tamadun dan
peradaban dalam bahasa Melayu, maddana, umran dan hadarah dalam bahasa Arab. Setiap
istilah ini mempunyai maksud dan tafsirannya tersendiri. Peristilahan ini memberi kesan
kepada definisi tamadun. Selain ini, definisi tamadun juga berbeza antara seorang sarjana
dengan sarjana yang lain kerana mereka memberi tafsiran tamadun berdasarkan disiplin ilmu
masing-masing. Ini menghasilkan definisi tamadun yang pelbagai berdasarkan dimensi yang
berbeza. Bagi ahli antropologi, tamadun dikaitkan dengan kebudayaan. Ahli arkeologi pula
menegaskan, tamadun dihubungkan dengan peninggalan bahan-bahan bukti (artifak) yang
boleh digunakan oleh sejarawan dalam menyusun kisah sejarah masyarakat lampau.
Bagi para sarjana Muslim Islam, tamadun bermula dengan pengutusan para nabi dan rasul.
Pembentukan masyarakat bertamadun menurut acuan Pencipta manusia adalah tujuan utama
perutusan mereka. Para nabi dan rasul diberi amanat untuk meluruskan jalan kehidupan
manusia dan menjadikan manusia umat yang bertamadun. Masyarakat yang bertamadun
adalah masyarakat yang memiliki seluruh tingkat kemajuan kehidupan yang meliputi aspek
spiritual dan material. Islam telah membekalkan asas-asas yang kukuh dan sumber yang
mantap untuk manusia membina tamadun.
Menurut Islam, tamadun sesebuah bangsa itu akan terbina apabila wujudnya nilai-nilai baik
dan mulia dalam sesebuah masyarakat. Seandainya sesebuah masyarakat mengabaikan nilai-
nilai baik atau menyalahi matlamat utama pembinaan tamadun, maka masyarakat tersebut
akan mengalami zaman keruntuhan.
1.1 Peristilahan Tamadun
Peristilahan tamadun yang sering memenuhi diskusi para sarjana ketamadunan terdiri
daripada istilah-istilah berikut:
• ‘Umran
• Hadharah
• Madaniyah
• Tamadun
• Civilization
• Peradaban
1.1.1 Istilah Umran dan Hadarah
Istilah umran dan hadarah diperkenalkan oleh Ibn Khaldun (14M) dalam karya beliau yang
terkenal berjudul Muqaddimah. Beliau menggunakan dua istilah ini untuk menggambarkan
masyarakat yang bertamadun. Istilah umran digunakan untuk menerangkan sifat-sifat fizikal
tamadun; iaitu kawasan tanah yang didiami secara tetap dan aspek-aspek pembangunan yang
wujud di satu-satu kawasan. Manakala hadarah pula merujuk kepada kehidupan yang
menetap (M.A.J. Beg, 1982a, , 1982b). Oleh itu, istilah umran digunakan untuk maksud
pembangunan dan kuantiti penduduk sebagai hasil daripada kewujudan tamadun. Ini
bermakna apabila organisasi sosial terbentuk maka bilangan penduduk bertambah besar.
Sehubungan itu, tamadun akan terhasil.
Ibn Khaldun juga menentukan beberapa kriteria utama masyarakat yang bertamadun.
Antaranya seperti berikut:
• Aspek keagamaan
• Organisasi sosial
• Sistem perhubungan
• Sistem perundangan
• Bandar
• Aspek kesenian – senibina, seni khat dll.
Ibn Khaldun tidak meninggalkan peranan agama dalam pembentukan masyarakat
bertamadun. Malah bagi beliau, agama memainkan peranan penting. Demikian juga peranan
penting yang dimainkan oleh sistem perundangan kerana sistem ini mampu menghasilkan
keadilan. Nilai keadilan amat besar pengaruhnya dalam menentukan jatuh bangun sesebuah
tamadun. Bandar juga merupakan salah satu asas yang penting dalam pembinaan masyarakat
yang bertamadun kerana kota atau bandar merupakan pusat pemerintahan dan kekuasaan.
Oleh itu, pembangunan bandar mestilah menggunakan perancangan yang baik dan rapi.
Antara faktor penting yang mesti diambilkira dalam perancangan sesebuah bandar adalah
seperti berikut:
• Udara yang bersih
• Kemudahan asas yang lengkap seperti terusan sebagai jalan perhubungan
• Sumber makanan asasi
• Berhampiran dengan sumber binaan
• Kawasan penternakan (M.A.J. Beg, 1982a; 1995)
.
1.1.2 Istilah Madaniyah
Istilah madaniyah diperkenalkan oleh Muhammad Farid Wajdi (19M) dan Syeikh
Muhammad Abduh (20M) (M.A.J. Beg, 1982b). Istilah ini juga merujuk kepada makna
tamadun. Perkataan madaniyah diambil daripada perkataan madinah yang bermaksud bandar,
kota atau city. Kota merupakan pusat peradaban atau tamadun. Ini jelas menunjukkan kaitan
yang rapat antara keempat-empat perkataan ini. Keempat-empat perkataan ini juga sama
dengan maksud perkataan civitas dalam bahasa Latin. Oleh itu, civitas dan madinah menjadi
pusat dan lambang kemunculan tamadun.
1.1.3 Istilah Tamaddun
Istilah tamaddun yang mempunyai maksud yang sama dengan civilization telah
diperkenalkan oleh Jurji Zaydan, seorang penulis Arab (M.A.J. Beg, 1982b).
1.1.4 Istilah Civilization
Dalam bahasa Inggeris, istilah yang digunapakai untuk menggambarkan masyarakat yang
bertamadun ialah civilization. Istilah ini diambil daripada perkataan Latin civitas yang
bermaksud kota, di mana kota merupakan salah satu faktor penting kewujudan sesebuah
tamadun (Beg, 1982). Civilization juga dihubungkan dengan perkataan civil yang bermaksud
keadaan masyarakat yang mempunyai tahap kehidupan yang tinggi (Azhar Hj Mad Aros dll,
2003).
Para sarjana barat pula telah memberi beberapa gambaran berikut bagi masyarakat yang
bertamadun.
i. Collingwood:
Masyarakat yang bertamadun ialah masyarakat yang mencapai tahap kehidupan civil iaitu
kehidupan sopan. Masyarakat civil ini akan melahirkan masyarakat bandar iaitu masyarakat
yang mempunyai kehalusan budi.
ii. Samuel Johnson:
Masyarakat yang bertamadun ialah suatu keadaan yang bertentangan dengan kehidupan
biadab (barbaric). Masyarakat ini telah mencapai tahap kesopanan yang tinggi.
iii. Gordon Childe (sejarawan):
Pencapaian material adalah lambang ketamadunan. Civilization mempunyai persamaan
dengan revolusi perbandaran. Pengukuran tamadun adalah berdasarkan kepada kewujudan
bandar. Beliau menyamakan erti tamadun dengan revolusi bandar kerana apabila berlakunya
revolusi bandar di satu-satu kawasan, maka akan lahirlah satu tamadun baru di kawasan
berkenaan.
iv. Edward L. Farmer:
Masyarakat yang bertamadun ialah masyarakat yang memiliki unit kebudayaan yang besar
yang mengandungi norma-norma sosial, tradisi dan institusi yang dikongsi bersama dan
diwarisi dari generasi ke generasi. Beliau juga memasukkan beberapa ciri berikut bagi
menggambarkan masyarakat yang bertamadun iaitu:
• Penempatan kekal
• Revolusi pertanian
• Stratifikasi sosial
• Kewujudan agama
• Urbanisasi
• Pengkhususan kerja
• Sistem tulisan.
v. Darcy Riberio (Ahli antropologi):
Proses kehidupan bertamadun melibatkan aspek-aspek berikut:
• Penyebaran teknologi pertanian – berakhirnya corak kehidupan nomad.
• Wujud aktiviti perternakan dan pengkhususan kerja berasaskan kelompok kemahiran.
• Revolusi bandar – pertumbuhan bandar dan negara, wujud stratifikasi sosial.
• Penggunaan peralatan tembaga dan gangsa.
• Wujudnya sistem tulisan, angka, kalendar dan lain-lain.
• Revolusi pengairan
• Revolusi penghasilan inovasi teknologi berasaskan besi
• Revolusi penternakan
• Revolusi perdagangan
• Revolusi teknologi
• Revolusi industri
vi. E.B. Taylor (ahli antropologi):
Tamadun merangkumi keseluruhan pencapaian manusia termasuk pengetahuan, kepercayaan,
seni, moral, undang-undang, adat dan keupayaan serta tabiat-tabiat lain yang diusahakan oleh
manusia sebagai anggota masyarakat.
vii. Albert Schwetzer (ahli falsafah Jerman):
Tamadun merupakan keseluruhan kemajuan hasil daripada tindakan dan pemikiran manusia
yang membawa kepada penyempurnaan kerohanian seseorang individu (Azhar Hj Mad Aros
dll, 2003; M.A.J. Beg, 1982b).
1.1.5 Istilah Peradaban
Peradaban merupakan istilah dalam bahasa Melayu yang sering dikaitkan dengan masyarakat
yang bertamadun. Menurut Kamus Dewan, masyarakat yang beradab atau bertamadun ialah
masyarakat yang memiliki tingkat kemajuan dalam kehidupan jasmani dan rohani. Tamadun
dinyatakan sebagai satu keadaan masyarakat yang dicirikan atau didasarkan pada taraf
kemajuan kebendaan serta perkembangan pemikiran sama ada aspek sosial, budaya, politik
dan lain-lain yang tinggi (Kamus Dewan, 2002).
Pada dasarnya, istilah-istilah di atas merujuk kepada satu keadaan yang memiliki dua aspek
pencapaian iaitu material dan spiritual dalam kehidupan. Kedua-dua pencapaian ini
membentuk pencapaian asas dalam kehidupan masyarakat bertamadun. Antara pencapaian
tersebut ialah seperti berikut:
• Kehidupan beragama
? Pembentukan kota sebagai pusat pemerintahan atau pembinaan tamadun.
? Kehidupan menetap.
? Kemunculan dan perkembangan ilmu dan kemahiran.
? Tahap kehidupan yang tinggi iaitu kehidupan hadarah bukannya badawah.
? Kemajuan rohani dan jasmani.
1.2 Masyarakat Maju
Pada masa kini, penggunaan istilah masyarakat maju lebih dominan daripada istilah
masyarakat bertamadun. Masyarakat maju diertikan sebagai masyarakat yang mempunyai
tahap kemajuan sains dan teknologi serta ekonomi yang berasaskan perindustrian. Justeru itu,
muncul beberapa istilah khusus untuk menggambarkan tahap kemajuan sesebuah negara yang
diukur dari aspek pembangunan. Pencapaian ini dibahagikan kepada empat kategori iaitu:
* Negara-negara maju (yang telah membangun). Antara negara-negara yang termasuk dalam
kategori ini ialah:
? Amerika Syarikat
? Britain
? Perancis
? Kanada
? Australia
? New Zealand
? Jepun
* Negara-negara yang mempunyai ekonomi yang stabil dan pembangunan yang pesat dalam
jangka masa yang agak lama seperti:
? Republik Rakyat China
? Mexico
? India
? Malaysia
? Thailand.
* Negara-negara yang mempunyai rekod pembangunan yang kurang pesat, iaitu:
? Benua Afrika
? Amerika Tengah
? Wilayah-wilayah Caribbean (kecuali Jamaica dalam kategori kedua)
? Arab
? Asia Tenggara (kecuali Singapura – kategori pertama, Filipina, Malaysia, Brunai dan
Thailand – kategori kedua).
76% negara-negara dunia termasuk dalam kategori ini. Oleh sebab itulah negara–negara ini
disebut juga sebagai negara ‘Two-Thirds World’ kerana ? daripada negara-negara dunia
termasuk dalam kategori ini iaitu negara yang tidak membangun.(Wikipedia)
* Negara-negara yang tidak membangun atau negara yang sentiasa berhadapan dengan siri
peperangan yang panjang atau suasana politik yang tidak stabil. Negara-negara ini di sebut
juga sebagai ‘failed states’. Antara negara-negara tersebut ialah :
? Haiti
? Somalia
? Sudan
? Burma
? Korae Utara (Wikipedia).
Selain itu, pembahagian negara juga dibuat berdasarkan pengkelasan dunia iaitu:
? Negara-negara Dunia Pertama
? Negara-negara Dunia Kedua
? Negara-negara Dunia Ketiga
? Negara-negara Dunia Keempat
? Negara-negara Dunia Kelima
Negara-negara Dunia Pertama disebut juga negara yang telah membangun (Developed
countries) seperti negara-negara Liberal Barat. Negara-negara Dunia Pertama ialah negara
yang mempunya pencapaian yang tinggi dalam semua aspek, seperti berikut:
? Kemudahan infrastruktur yang moden (fizikal dan institusi)
? Tahap kehidupan
? Most Economically Developed Countries (MEDCs)
? Negara-negara perindustrian
? Pendapatan per kapita
? Human Development Index (HDI)
? Gross Domestic Product (GDP) per kapita
Negara-negara Dunia Kedua ialah negara-negara Kesatuan Soviet (USSR). Walau
bagaimanapun istilah ini sudah tidak digunakan lagi sejak tahun 1991 apabila USSR runtuh
dan negara-negara dibawah kesatuannya berjaya mendapat kuasa otonomi masing-masing.
(Wikipedia).
Istilah Negara-negara Dunia Ketiga mula digunakan oleh seorang ahli demografi bernama
Alfred Sauvy yang merujuk kepada Third Estate. Kebanyakan negara yang termasuk dalam
kategori ini ialah negara-negara yang mendapat kemerdekaan daripada penjajah. Negara-
negara ini disebut juga sebagai negara yang sedang membangun (Developing Countries), The
South. Negara-negara yang termasuk dalam kategori ini ialah negara yang mempunyai
kriteria berikut:
? Less Developed Countries (LDCs)
? Least Economically Developed Countries (LEDCs)
? Undeveloped Nations
? Non-Industrialized Nations Or Not Technologically Advanced As OECD Countries
(Organisation for Economic Co-operation and Development)
? Tahap kehidupan yang rendah
? Indeks Pembangunan Manusia (HDI) yang sederhana ke rendah
Negara-negara yang sedang membangun meliputi 8 buah negara Islam yang disebut
Developing 8 (D-8 atau Developing Eight) iaitu:
i. Iran
ii. Indonesia
iii. Malaysia
iv. Pakistan
v. Bangladesh
vi. Turki
vii. Mesir
viii. Nigeria
Antara objektif pengenalan D-8 ialah untuk meletakkan negara-negara dalam ekonomi dunia,
membuka ruang untuk hubungan dagang, menaikkan taraf hidup dan memberi peluang untuk
membuat keputusan di peringkat antarabangsa. Kerjasama utama termasuklah dalam
pengurusan kewangan, perbankan, pembangunan luarbandar, sains dan teknologi,
pembangunan manusia, pertanian, sumber tenaga, persekitaran dan kesihatan. (Wikipedia)
Ukuran klasifikasi negara-negara ini kepada beberapa blok adalah berdasarkan beberapa
pencapaian berikut:
? Tahap pembangunan ekonomi yang rendah.
? Tahap hidup yang rendah – Dari segi pencapaian pendidikan, penjagaan kesihatan, dll.
? Negara yang tidak berasaskan perindustrian tetapi berasaskan pertanian dan penternakan.
? Perkembangan sektor perindustrian yang tidak setara dengan perkembangan penduduk.
? Indeks Pembangunan Manusia yang rendah (Human Development Index – HDI) -
Pendapatan per kapita yang rendah
? Pertumbuhan penduduk yang tinggi (Wikipedia).
Walaupun terdapat beberapa istilah yang digunapakai, tetapi istilah yang signifikan dari segi
penggunaannya ialah “negara membangun” dan “negara yang sedang membangun” atau
Third World. Dominasi istilah “negara atau masyarakat maju” berbanding istilah “tamadun”
amat berkait rapat dengan kejayaan barat mendominasi kemajuan dunia keseluruhannya dari
pelbagai aspek. Hal ini bertambah kukuh dengan adanya teknologi canggih ciptaan barat
seperti teknologi komputer yang menjadi tunggak asas pelebaran teknologi maklumat ke
seluruh dunia. Selain itu, matlamat hidup hari ini yang bertumpu pada aspek ekonomi dan
keselesan hidup mengukuhkan penggunaan istilah masyarakat maju. Semua negara dan
masyarakat di dunia enggan di kategorikan sebagai sebagai masyarakat mundur, sebaliknya
mereka lebih bersedia diberi sandaran sebagai masyarakat maju apatah lagi masyarakat
moden.
1.3 CIRI-CIRI TAMADUN
Masyarakat yang bertamadun memiliki beberapa ciri yang menggambarkan masyarakat maju.
Antaranya ialah penempatan kekal, revolusi pertanian, stratifikasi sosial, kehidupan
beragama, urbanisasi, sistem tulisan, organisasi politik dan pengkhususan kerja.
1.3.1 Penempatan kekal
Penempatan kekal merupakan salah satu perkara asas dalam mewujudkan masyarakat
bertamadun. Penempatan kekal memungkinkan pembinaan kota dan bandar. Bermula dari
kota dan bandar muncul pula unsur-unsur pembentukan tamadun yang lain. Penempatan
kekal akan dipilih berdasarkan lokasi yang mempunyai ciri-ciri berikut:
• Kemudahan perhubungan seperti lembah sungai dan pesisir pantai atau telok.
• Tanah yang subur bagi mewujudkan revolusi pertanian.
• Kawasan yang selamat untuk penternakan.
Contoh penempatan kekal pada sejarah awal masyarakat bertamadun ialah Tamadun Mesir
yang bertempat di Lembah Sungai Nil, Tamadun Sumeria di Lembah Sungai Tigris dan
Euphrates, Tamadun India di Lembah Indus, Tamadun Cina di Lembah Sungai Kuning dan
Tamadun Melayu di pesisir Selat Melaka dan Selat Sunda.
1.3.2 Revolusi Pertanian
Revolusi pertanian merubah pertanian sebagai satu sumber sara hidup kepada pertanian
bentuk komersil. Revolusi ini merupakan salah satu bentuk peningkatan dalam tamadun.
Revolusi ini juga mampu meningkatkan taraf kehidupan melalui kegiatan berikut:
• Pengumpulan kekayaan daripada hasil perkembangan industri pertanian dan penternakan.
• Revolusi pertanian adalah pra syarat penting mewujudkan peluang pekerjaan bagi
menambah produktiviti dan melahirkan revolusi perdagangan.
1.3.3 Stratifikasi Sosial
Stratifikasi sosial turut menjadi aspek penting dalam kehidupan masyarakat bertamadun.
Kewujudan stratifikasi sosial dalam masyarakat bertamadun berdasarkan pembahagian tugas
dan tanggungjawab secara tidak langsung. Sebagai contohnya, pengkelasan masyarakat
bermula dengan pemilikan tanah pertanian yang mewujudkan penempatan kekal dan
seterusnya dapat mengumpul kekayaan. Pemilikan tanah melahirkan golongan pemilik atau
tuan tanah yang kuat berusaha dan berpengaruh. Beberapa tuan tanah telah membentuk satu
kelompok golongan atasan, sementara buruh sebagai golongan pekerja atau hamba yang
membentuk golongan bawahan. Pengkelasan masyarakat seperti ini telah melahirkan satu
sistem kelas masyarakat yang di kenali dengan feudalisme. Dalam sistem ini, golongan atasan
merupakan golongan minoriti, sementara golongan bawahan merupakan golongan majoriti.
Dalam masyarakat perindustrian hal ini tetap berlaku. Dalam lembaran sejarah Barat, tuan-
tuan kilang merupakan golongan atasan yang mempergunakan sepenuhnya buruh atau
pekerja kilang. Aktiviti tuan-tuan kilang bertambah rancak apabila wujudnya sistem
kapitalisma di Barat yang memberi hak kebebesan individu. Stratifikasi sosial baru yang
muncul di Barat telah memberi satu pergolakan dalam masyarakat yang mendorong kepada
pemikiran baru Karl Marx yang berusaha untuk mencorakkan satu stratifikasi sosial yang
tidak memberi kebebesan hak individu. Pemikiran Karl Marx dikenali dengan komunisma.
Stratifikasi sosial baru yang dianjurkan oleh Karl Marx memberi kuasa kepada negara, bukan
individu . Semua rakyat adalah sama. Rakyat berkerja untuk negara, bukan untuk tuan-tuan
tanah atau tuan-tuan kilang. Stratifikasi sosial dalam bentuk ini dapat mengatasi pergolakan
masyarakat yang dicetuskan oleh tuan-tuan kilang. Namun dalam pengalaman Soviet Union,
stratifikasi sosial bentuk ini masih tetap melahirkan pergolakan yang lebih dahsyat. Kini
Soviet Union bukan lagi satu kesatuan negara, sebaliknya negara-negara kecil yang telah
mempunyai kuasa otonomi masing-masing. Dengan kata lain, stratifikasi soisal komunisma
yang dianjurkan oleh Karl Marx menemui jalan buntu. Perkembangan ekonomi selanjutnya
yang banyak berkaitrapat dengan teori kapitalisma melahirkan golongan pedagang yang
mempengaruhi perubahan sosial masyarakat kerana mereka merupakan golongan yang boleh
mencorak masyararakat ke arah masyarakat maju.
Walau apapun bentuk kelas dalam masyarakat, stratifikasi sosial pasti wujud, hanya bentuk
dan hak dalam masyarakat yang berbeza.
1.3.4 Kehidupan beragama
Kehidupan beragama merupakan salah satu ciri masyarakat bertamadun. Dalam tamadun
Islam, Ibn Khaldun menetapkan aspek ini sebagai perkara asas. Manakala sarjana Barat yang
turut memasukkan aspek agama sebagai salah satu ciri masyarakat bertamadun ialah Edward
L. Farmer manakala R.A. Buchanan pula menyebut wujudnya upacara agama yang kompleks
adalah ciri-ciri kerahiban (Azhar Hj Mad Aros dll, 2003). Hal ini bukan sahaja wujud semasa
lahirnya Tamadun Islam yang menjadikan agama sebagai teras masyarakat bertamadun,
namun tamadun silam juga banyak membuktikan aspek agama wujud dalam pembinaan
tamadun. Ini dapat dilihat dengan adanya perkara berikut:
• Kepercayaan
• Pemikiran tentang kuasa ghaib yang mengawal kehidupan
• Peninggalan bangunan keagamaan
1.3.5 Urbanisasi
Kewujudan bandar atau kota yang menjadi pusat tamadun mencetuskan proses pembandaran
atau urbanisasi. Oleh itu, urbanisasi merupakan salah satu ciri tamadun kerana bandar
bertindak sebagai pusat pertemuan dan kegiatan masyarakat. Revolusi bandar merupakan
salah satu proses yang amat penting dalam meningkatkan taraf kehidupan masyarakat
bertamadun. Kelahiran kota dan negara adalah hasil daripada revolusi bandar. Dalam
tamadun silam, muncul juga kerajaan yang berbentuk “negara kota” atau city-state.
Kemunculan kota telah mewujudkan beberapa aspek dan institusi penting dalam pembinaan
tamadun seperti berikut:
• Penempatan kekal
• Pembentukan pusat pemerintahan iaitu kota, kerajaan dan pertumbuhan tamadun.
• Institusi keagamaan
• Institusi pendidikan
• Institusi pemerintahan
• Institusi ekonomi.
1.3.6 Pengkhususan kerja dan inovasi teknologi
Peningkatan dalam kehidupan memberi kesan kepada peningkatan keperluan untuk
memenuhi kehidupan. Justeru itu, lahirlah inovasi dan daya kreativiti serta pengkhususan
kerja. Maka dengan ini akan wujudlah pelbagai aktiviti berdasarkan bidang khusus. Antara
bidang yang muncul pada tahap awal masyarakat bertamadun adalah seperti berikut:
• Perekonomian
• Pertukangan
• Seni bina
• Teknologi logam
Perkembangan ini melahirkan tenaga mahir dalam pelbagai bidang. Antara bidang yang
muncul pada tahap awal adalah seperti berikut:
• Perkapalan
• Pembinaan pelabuhan dagang
• Penyediaan mata wang
• Penciptaan alat pengangkutan
Selain mencetuskan kemahiran teknologi, muncul juga perkembangan yang meningkatkan
daya kreativiti dan karya-karya estetika seperti berikut:
• Seni lukis
• Seni ukiran
• Seni hiasan
• Seni tenunan dan anyaman
• Seni seramik
1.3.7 Sistem Tulisan
Tulisan merupakan salah satu bukti penting kewujudan sesebuah tamadun yang dapat
dipelajari dan disaksikan oleh genarasi kemudian. Sistem tulisan dapat dilihat pada tugu-tugu
peringatan, bangunan keagamaan, makam, lembaran kertas, wang syiling dan lain-lain.
Sistem tulisan lahir dan berkembang berdasarkan perkembangan sesebuah tamadun. Pada
peringkat awal, sistem tulisan adalah dalam bentuk simbol, dan seterusnya berkembang
membentuk sistem nombor dan tulisan.
1.3.8 Organisasi Politik Dan Pemerintahan
Kewujudan sistem politik dan pemerintahan merupakan ciri yang perlu ada dalam sesebuah
masyarakat yang bertamadun. Kesatuan politik dan budaya mewujudkan keutuhan tamadun.
Antara bentuk pemerintahan yang wujud dalam tamadun ialah:
• Homogeneous (serba sama). Kuasa pemerintah dalam bentuk ini tidak dipersoal oleh rakyat.
Contohnya, pemerintahan Firaun di Mesir dan Kerajaan Byzantine.
• Heterogeneous (pelbagai bangsa), iaitu tamadun yang mempunyai banyak pemerintahan
seperti tamadun Mesopotamia dan Greek yang mempunyai beberapa buah pemerintahan dan
negara-kota (city-states). Begitu juga Tamadun Islam yang mempunyai pelbagai bahasa,
bangsa dan budaya.
• Monarchy atau beraja. Raja menjadi lambang ketamadunan kerana raja dikaitkan pada
sesuatu kekuatan seperti pada Tamadun Mesir, raja berkonsep Tuhan dan Tamadun Melayu
pula, raja mempunyai konsep daulat.
• Oligarchy atau demokrasi. Demokrasi memberi ruang kepada sekumpulan yang memegang
kuasa seperti sami dan cerdik pandai agama (Azhar Hj Mad Aros dll, 2003).
1.4 KONSEP TAMADUN ISLAM
Konsep Tamadun Islam menyentuh beberapa aspek yang menetapkan world view Tamadun
Islam. Penetapan aspek ini menjadi pembeza wajah antara Tamadun Islam dengan tamadun-
tamadun lain. Aspek-aspek tersebut adalah seperti berikut:
1.4.1 Definisi Tamadun Islam:
Berikut dikemukakan pelbagai definisi tamadun yang diutarakan oleh para sarjana Tamadun
Islam.
i. Ibn Khaldun
Beliau menjelaskan Tamadun Islam sebagai pencapaian manusia yang sudah melebihi
keperluan asas kehidupan sehingga dapat membuka jalan ke arah pemikiran dan penghasilan
daya cipta yang lebih halus dan mempunyai nilai estetika yang tinggi.
ii. M. A. J. Beg
Beliau membuat kesimpulan bahawa tamadun merupakan pencapaian manusia dalam bentuk
kata-kata, skrip, kesenian, senibina, agama, undang-undang dan politik.
iii. Prof. Dr. Ahmad Shalaby
Tamadun Islam terbahagi kepada dua. Pertama, peradaban Islam tulen yang menjadikan
Islam sebagai sumber. Kedua ialah peradaban yang dibangunkan oleh kaum muslimin dalam
pelbagai bidang ilmu seperti matematik, perubatan, astrologi, muzik dan lain-lain. (1975:26)
vi. Professor Syed Naquib Al-Attas
Beliau telah mentafsirkan Tamadun Islam sebagai satu keadaan kehidupan masyarakat yang
telah mencapai tahap kehalusan tatasusila dengan mempunyai kebudayaan yang luhur bagi
seluruh masyarakat.
v. Syed Qutb
Tamadun Islam ialah segala bentuk kemajuan yang dihasilkan oleh sekumpulan masyarakat
dalam seluruh dimensi kehidupan seperti dalam sistem sosial, pemerintahan, politik, ekonomi
dan kebudayaan yang berteraskan syariat Allah, serta bercirikan nilai-nilai moral Islam
(1989:112). Menurut beliau, Tamadun Islam tidak boleh lari dari sibghatu’Llah atau acuan
Allah (Ibid: 129). Beliau mengambil contoh pencapaian tamadun yang telah di asaskan oleh
Rasulullah SAW. Tamadun Islam telah mencapai kemuncak keagungan dan terus
berkembangan pada zaman kemudiannya.
vi. Said Hawa
Melalui karyanya al-Islam beliau menyatakan bahawa tamadun secara umum terbahagi
kepada dua kategori sahaja iaitu Tamadun Islam dan Tamadun Jahiliyah. Tamadun Islam
ialah segala aspek kemajuan yang tegak di atas kebudayaan Islam serta hasilnya juga relevan
dengan kebudayaan Islam. Manakala Tamadun jahiliyah pula ialah segala kemajuan yang
dijelmakan dalam bentuk kebendaan tanpa mengambil kira aspek kerohanian dan moral.
vii. Lain-lain.
Ahmad Fauzi Haji Morad, Ahmad Tarmizi Talib, Aimini Amir Abdullah dan Zarina
Mohammad menyatakan bahawa tamadun merangkumi kebudayaan, peradaban, kemajuan
(kebendaan dan kerohanian) dan sopan santun. Manusia tidak akan dapat mencari satu etika
tamadun jika tidak mempunyai masyarakat yang bermoral. Kemajuan Tamadun Islam tidak
terbatas hanya kepada kemajuan kebudayaan semata-mata. Malah ia merupakan kemajuan
yang berjalan serentak dengan kerohanian. Seterusnya, mereka menyatakan bahawa Tamadun
Islam ialah meletakkan al-Din sebagai pembentukan tamadun manusia.
Ringkasnya, Tamadun Islam meliputi seluruh pencapaian dalam kehidupan manusia.
Pencapaian-pencapaian dan kemajuan-kemajuan yang dibangunkan oleh manusia berjalan
selaras dengan konsep Islam sebagai al-Din.
1.4.2 Aspek-aspek Penting Tamadun Islam
Terdapat tiga aspek penting dalam Tamadun Islam, iaitu:
i) Aspek manusia.
Aspek manusia berkisar dalam tiga persoalan pokok, iaitu dari mana kita berasal, kenapa kita
diwujudkan dan ke mana kita akan pergi. Jawapan kepada persoalan-persoalan ini akan
menentukan hala tuju dan pembentukan Tamadun Islam.
ii) Aspek masyarakat.
Aspek masyarakat melibatkan perkara-perkara berikut:-
(a) Hak untuk hidup.
(b) Hak untuk bebas.
(c) Maruah dan hak peribadi.
(d) Hak berfikir, beragama dan mengeluarkan pendapat.
(e) Keadilan dan kehakiman.
iii) Aspek sejarah.
Aspek sejarah dalam Tamadun Islam merupakan satu mekanisma panduan, teladan dan
sempadan. Pengajaran dari fakta sejarah akan mendorongkan seseorang melakukan atau
meninggalkan suatu perbuatan. Kepentingan aspek ini terbukti pada sebahagian kandungan
al-Qur’an yang memaparkan sejarah umat yang silam dan juga sejarah para nabi (anbiya’).
Sebagai contohnya, Surah Maryam menceritakan kisah Maryam yang merupakan ibu kepada
Nabi Isa AS. Demikian juga surah Ali Imran menceritakan kisah keluarga Imran yang juga
salasilah keluarga Nabi Isa AS. Surah Ibrahim memaparkan kisah Nabi Ibrahim AS termasuk
kisahnya dibakar oleh Namrud, namun tidak terbakar. Kisah Nabi Musa dengan Firaun, Nabi
Lut dengan umatnya, Nabi Nuh dilanda banjir besar, Nabi Ayob dtimpa penyakit, Nabi Syuib
dengan tanamannya, Nabi Harun menjadi teman Nabi Musa, Nabi Khaidir dan nabi-nabi
yang lain termasuk yang tidak dinyatakan namanya dengan jelas. Semua kisah sejarah ini
bukan sekadar dipaparkan untuk memenuhkan al-Qur’an tetapi untuk dijadikan iktibar dan
teladan perjalanan manusia hari ini dan akan datang.
Aspek-aspek manusia, masyarakat dan sejarah akan melahirkan tamadun agung, iaitu
tamadun yang menepati matlamat penciptaan manusia, menghormati hak-hak asasi manusia
dan menjadikan peristiwa silam sebagai dorongan ke arah penciptaan tamadun yang lebih
dinamik.
1.4.3 Asas Tamadun Islam
Tamadun Islam terikat dengan beberapa perkara penting yang menjadi asas pembinaan
tamadun. Antaranya ialah akidah, syariah, akhlak dan ilmu. Empat asas ini dikuti dengan asas
keadilan, semangat kejiranan, toleransi dan kebebasan beragama sebagai pra-syarat Tamadun
Islam. (Mahyudin Hj.Yahya :1998:15). Asas-asas ini menjadikan Tamadun Islam tetap
unggul walaupun tidak terbina di atas tapak sejarah awal Islam iaitu di Semenajung Tanah
Arab, khususnya di bumi Mekah al-Mukarramah dan Madinah al-Munawwarah.
* Akidah
Akidah merupakan satu konsep kepercayaan yang akan membentuk iman kepada Allah SWT,
para rasul, para Malaikat, Kitab-kitab, Hari Akhirat dan Qada’ Qadar Allah. Keyakinan
kepada konsep tauhid kepada Allah memberi kesan dalam kehidupan manusia. Tauhid
merupakan falsafah kehidupan dalam Islam dan menjadi asas kepada kelahiran tamadun.
Keimanan kepada Allah SWT akan mengubah dan membentuk pandangan manusia terhadap
Tuhan, sesama manusia dan alam semesta.
Zaman Nabi Muhammad SAW merupakan zaman kegemilangan Tamadun Islam, sama ada
dalam aspek politik, pentadbiran mahupun ekonomi. Umat Islam telah berjaya membentuk
sebuah kerajaan Islam yang kukuh di Kota Madinah dengan berasaskan akidah. Akidah yang
mantap telah membentuk sistem nilai, iaitu suatu sistem yang mengawal sifat dan bentuk
ketamadunan.
* Syariah
Syariah merangkumi ibadah dan muamalah. Ibadah ialah peraturan-peraturan untuk
melakukan peribadatan dan ketaatan kepada Allah SWT. Ia juga meliputi perilaku
melaksanakan kebaikan kepada sesama manusia dan alam. Muamalah pula ialah peraturan
perhubungan sesama manusia yang meliputi aspek akhlak, politik, ekonomi dan
kemasyarakatan. Aspek syariah dalam Tamadun Islam dilihat sebagai pemangkin kepada
keutuhan dan kecemerlangan tamadun. Ia juga menjadi pembeza antara Tamadun Islam
dengan tamadun-tamadun lain. Melaksanakan keadilan pula adalah prinsip penting dalam
perlaksanaan syariat Islam. Ia menjadi lambang kesucian agama Islam. Pelaksanaan keadilan
merupakan asas bagi setiap penyusunan masyarakat dan negara. Oleh itu, jika akidah boleh
diibaratkan sebagai sumber inspirasi dalam menggerakkan tamadun, syariah pula adalah
sebagai penunjuk jalan, penentu kaedah dan perlaksanaan Tamadun Islam. (Azhar, 2000:
129)
* Akhlak
Akhlak merupakan mekanisma yang menggerakkan umat Islam menjadi umat yang
bertamadun tinggi. Tanpa akhlak, Tamadun Islam yang dibina tidak mempunyai sebarang
erti. Oleh itu, dalam ajaran Islam, akhlak merupakan pelengkap kepada akidah dan syariah.
Imam al-Ghazali menjelaskan akhlak merupakan suatu kebiasaan yang terdapat dalam diri
manusia. Seseorang akan melakukan dengan mudah dan tidak perlu berfikir untuk
menghasilkan perbuatan dan tingkah laku. Sekiranya tingkah laku seseorang itu indah dan
terpuji ia dinamakan akhlak yang baik (akhlak mahmudah), tetapi jika perbuatan atau tingkah
laku itu keji ia dinamakan akhlak yang buruk (akhlak mazmumah). (Aboebakar Atjeh,
1985:13)
Nilai akhlak sebagai satu unsur pembinaan tamadun sudah ada dalam tamadun-tamadun
silam seperti Tamadun Yunani atau lain-lain tamadun. Walau bagaimanapun, nilai-nilai
murni dalam nilai akhlak disempurnakan oleh Nabi Muhamad SAW. Ini berdasarkan satu
hadis Rasulullah SAW yang bermaksud “Sesungguhnya aku diutuskan untuk
menyempurnakan kemuliaan akhlak”.
Nilai paling utama dalam kehidupan manusia ialah nilai baik yang akan membentuk akhlak
seseorang dan ia tidak ditentukan oleh akal manusia, sebaliknya oleh wahyu Allah SWT dan
sunnah Rasul-Nya. Nilai yang diketengahkan oleh ajaran Islam terbukti lebih sesuai dengan
fitrah manusia. Oleh kerana itu, nilai dalam akhlak Islam mampu merentasi sempadan, masa
dan geografi. Akhlak Islam amat berperanan membantu keutuhan sesebuah tamadun dalam
rangka manusia melaksanakan amanah sebagai khalifah di dunia. Segala bentuk perlakuan
yang berasaskan ajaran Islam membawa penganutnya mengamalkan akhlak yang mulia.
* Ilmu
Kelahiran Tamadun Islam juga berasaskan ilmu pengetahuan yang disarankan oleh firman
Allah SWT dalam surah al-‘Alaq (ayat Iqra’). Ia merupakan wahyu pertama yang diturunkan
kepada Rasulullah SAW. Penekanan kepada ilmu pengetahuan yang bermula dari peringkat
awal telah membangkitkan kesedaran pentingnya pembinaan tamadun berasaskan
pengetahuan. Sejarah kegemilangan Tamadun Islam telah berjaya dicipta kerana penghayatan
ummah terhadap budaya ilmu dalam kehidupan seharian. Selain daripada kejayaan
melahirkan tenaga-tenaga mahir dan professional dalam pelbagai bidang, masyarakat Islam
juga mempunyai pegangan agama yang teguh, pemikiran yang tinggi dan akhlak yang luhur.
Ilmu merupakan elemen penting yang menjadi pemangkin pergerakan manusia. Penguasaan
pelbagai ilmu pengetahuan menjadikan masyarakat Islam mampu melakukan penelitian,
pengkajian dan menghasilkan penemuan baru atau teknologi. Antara contoh intelektual Islam
yang menjadi pemangkin budaya ilmu pengetahuan dalam masyarakat seperti Ibnu Sina, Ibnu
Rushd, Ibnu Maskawayh, Ibn Batutah, Ibnu Khaldun, al-Farabi, al-Kindi, al-Khawarizmi, al-
Ghazali, al-Biruni dan al-Battani. Selain itu, para ulama Islam turut berkembang kerana
pemilikan ilmu. Contohnya, Imam Shafie, Imam Maliki, Hanafi dan Hambali. Mereka semua
adalah intelektual Islam yang menjadikan al-Qur’an dan al-Sunnah sebagai sumber utama
ilmu mereka.
Pelbagai pencapaian yang berjaya dihasilkan merupakan puncak kemampuan akal dan
kejayaan manusia. Kejayaan ini menjadi dasar untuk membentuk sesuatu tamadun bagi
memenuhi keperluan kehidupan manusia dan makhluk-makhluk lain. Oleh itu, dalam
menangani era teknologi dan globalisasi hari ini, umat Islam harus bersedia untuk memiliki
segala kepakaran yang diperlukan demi mempertingkatkan martabat umat Islam dan
mengelak dari bergantung dengan pihak lain. Umat Islam wajib berusaha memiliki pelbagai
kepakaran, sama ada kepakaran ilmu agama yang terus berkembang dan berubah, mahupun
kepakaran ilmu dunia yang berbentuk kemahiran dan daya cipta. Kepakaran ilmu dunia akan
menyebabkan umat Islam disanjung dan dijadikan rujukan, sementara kepakaran ilmu agama
akan menjadikan umat Islam umat yang teguh dengan dasar agamanya yang menganjurkan
keseimbangan antara kebahagiaan dunia dan akhirat.
Oleh itu, dapat ditegaskan bahawa semua yang terkandung dalam ajaran Islam menjadi asas
pembinaan tamadun kerana peningkatan dari aspek spiritual (ma’nawi) akan mendorong
kebangkitan fizikal. Kebanyakan tamadun dunia lain juga terbina dengan berasaskan
kepercayaan agama. Keteguhan kepada pelaksanan agama menjadi faktor kepada
peningkatan dan kemusnahan sesebuah tamadun. Sebaliknya, tamadun yang mula
menyeleweng dari dasar agama akan mempercepatkan keruntuhan sesebuah tamadun.
Berbeza dengan Islam sebagai din yang dipelihara oleh Allah melalui cara yang dapat dikaji
mahupun tidak. Penjagaan dari Allah SWT menjadikan Tamadun Islam mampu bertahan
lama sehingga kini. Hanya, pada masa kini umat Islam kurang menghayati konsep Tamadun
Islam sehingga mereka leka dengan kepalsuan Tamadun Barat yang hanya menumpukan
kepada kemegahan dunia tanpa menggabungkan dengan kebahagian akhirat. Umat Islam hari
ini dibelenggu pelbagai masalah, kurang menghayati agama, ketinggalan dalam menguasai
ilmu dan teknologi hari ini. Kesungguhan menghayati Islam, berdisiplin tinggi serta
menguasai pelbagai ilmu khususnya sains dan teknologi boleh memberi kekuatan kepada
umat Islam untuk menandingi Tamadun Barat hari ini.
1.4.4 Sumber Tamadun Islam
Sumber Tamadun Islam terbahagi dua, iaitu sumber wahyu dan sumber sekunder. Sumber
wahyu terkandung dalam al-Qur’an dan al-Sunnah.
* Al-Qur’an.
Al-Qur’an mrupakan mukjizat yang diwahyukan oleh Allah SWT melalui Jibril AS kepada
Nabi Muhammad SAW dan membacanya dikira sebagai ibadah. Al-Qur’an mengandungi
keseluruhan ajaran Islam yang merangkumi konsep ketuhanan, sistem perundangan, alam
ghaib, nilai moral, fakta-fakta sains, sejarah dan lain-lain lagi. Al-Qur’an sebagai mukjizat
tetap terpelihara daripada sebarang bentuk usaha penyelewengan dan penambahan.
Al-Qur’an sebagai sumber yang dapat disaksikan hingga ke hari ini sentiasa menyeru umat
Islam melakukan kebaikan dan menjauhi kejahatan serta membangunkan alam untuk
kebaikan bersama. Selain itu, al-Qur’an menekankan aspek keadilan dan segala prinsip-
prinsip sosial. Ahmad Shalaby (1997:95) menegaskan, al-Qur’an al-Karim mengandungi
asas-asas yang kukuh dan sistem yang teguh bagi pendirian agama, tamadun dan dunia.
Beliau menegaskan:
“Andainya kita dapat mentafsirkan asas-asas ini dengan sebaiknya nescaya terbentuklah suatu
sistem yang sempurna dan sesuai untuk manusia seluruhnya di pelbagai zaman dan tempat”.
* Al-Sunnah.
Selain al-Qur’an, sumber kedua yang menjadi sumber Tamadun Islam ialah sunnah atau
hadis Nabi Muhammad SAW. Al-Sunnah ialah segala yang disandarkan kepada Rasulullah
SAW sama ada perkataan, perbuatan dan pengakuan serta sifat atau akhlak dan riwayat hidup
baginda sebelum dan sesudah dilantik menjadi Rasul.
Sumber ini diterima sebagai sumber yang benar dan berautoriti dalam Tamadun Islam.
Sunnah bukan sekadar bertindak sebagai penafsir dan pengulas yang paling sahih walaupun
kesahihannya mengambil tempat kedua selepas al-Qu’ran, malah dari sudut lain, adalah tidak
mungkin untuk melihat agama Islam sebagai sesuatu yang sempurna tanpa bantuan dan
penjelasan al-Sunnah. Walau bagaimanapun, haruslah diingat bahawa sunnah yang diterima
sebagai sumber autoriti ini hanyalah sunnah yang sahih sahaja. Sunnah dalam bentuk ini
sahaja yang boleh diterima pakai sebagai sumber, sementara Sunnah yang sebaliknya tidak
diterima. (Azhar 2000:103) Untuk mempastikan Sunnah yang sahih dan sebaliknya, para
ulama hadith telah berjaya membentuk satu ilmu khusus yang dikenali dengan ilmu Mustalah
al-Hadith. Hadis atau Sunnah menjadi sumber penting kerana ia bukan sahaja
menggambarkan keseluruhan agama Islam, namun turut memaparkan secara jelas kandungan
al-Qur’an yang menjadi pegangan orang Islam.
* Sumber-sumber sekunder
Selain daripada al-Qur’an dan al-Sunnah, terdapat sumber lain yang berperanan sebagai
pengukuh kepada penjanaan Tamadun Islam. Antaranya ialah ijtihad, ijmak ulama’, al-Qias,
Masalih al-Musalah dan al-Istihsan. Kesemua sumber ini dihasilkan oleh pemikir Islam yang
berusaha mencernakan Islam dalam kehidupan seharian umat Islam yang semakin kompleks.
Pemikiran intelek dan ulama Islam yang melahirkan pelbagai kaedah Islam tetap berdasarkan
firman Allah dalam al-Qur’an dan hadith Nabi SAW.
Terdapat banyak ayat-ayat al-Qur’an dan al-Hadis yang mendorong manusia belajar dan
menggunakan akalnya atau memperkembangkan semangat intelektualisma. Contohnya, ialah
ayat-ayat yang disudahi dengan ungkapan yang bermaksud ‘Apakah kamu tidak
menggunakan akal’, ‘Apakah kamu tidak berfikir’ dan lain-lain lagi. Ayat-ayat ini
mengandungi maksud supaya umat Islam menggunakan akal untuk memerhati dan
mempelajari alam sekeliling. Di samping itu, terdapat juga mekanisma lain yang
kewujudannya merupakan manifestasi kepada sumber-sumber ini seperti pembentukan
pentadbiran yang berkesan selari dengan ajaran Islam, monumen-monumen indah yang
melambangkan keagongan Islam dan ketinggian ilmu-ilmu Islam sehingga menjadi rujukan
kepada pembinaan tamadun lain. Tidak dinafikan juga keindahan seni Islam seperti seni
kaligrafi, seni bunyi, seni tampak dan sebagainya turut menarik perhatian dan minat
masyarakat dunia.
* Tamadun lain
Islam bersifat terbuka kepada semua tamadun dan tidak menolak segala kebaikan yang
dihasilkan oleh tamadun-tamadun lain. Elemen ini membolehkan Tamadun Islam
berkembang tanpa sempadan masa dan geografi serta bertoleransi terhadap agama dan
budaya lain. Tamadun Islam telah berkembang ke luar dari Semananjung Tanah Arab sampai
ke Eropah, Alam Melayu dan Tanah Besar Cina. Ketamadunan yang telah dicapai oleh
bangsa-bangsa di luar Semenanjung Tanah Arab ini tetap dipelihara oleh Tamadun Islam,
bahkan diperkembangkan lagi melalui aktiviti penterjemahan, penyelidikan dan
penambahbaikan dengan memasukkan unsur-unsur Islam. Sebagai contohnya, ilmu
astronomi, aljebra dan perubatan daripada tamadun Yunani, Cina dan India disesuaikan
dengan ajaran Islam dan telah dikembangkan oleh para sarjana muslim.
Ringkasnya, semua bentuk pembangunan atau kemajuan dalam sesebuah masyarakat yang
berteras Tamadun Islam hendaklah dibentuk dalam acuan sumber-sumber tersebut.
1.4.5 Ciri-Ciri Khusus Tamadun Islam
Ciri-ciri tamadun yang dikemukakan oleh para sarjana Barat seperti wujudnya penempatan,
kemunculan kota atau bandar, peningkatan kualiti hidup, wujudnya organisasi, bahasa dan
penggunaan tulisan dan adanya daya reka cipta, turut terkandung dalam masyarakat Islam
yang menjadi penunjang Tamadun Islam. Bahkan ciri-ciri Tamadun Islam lebih luas daripada
yang dinyatakan. Namun ciri-ciri khusus Tamadun Islam tersebut jarang diketengahkan. Ciri-
ciri khusus Tamadun Islam yang akan dipaparkan di bawah menggambarkan keistimewaan
dan nilai tersendiri dan nilai sebenar Tamadun Islam. Ciri-ciri ini menjadi penentu sebab
Tamadun Islam diterima oleh semua bangsa yang ada di dunia, walaupun pada asalnya
Tamadun Islam bermula pada bangsa Arab. Tamadun Islam diterima oleh masyarakat India
sehingga melahirkan era Kesultanan Delhi di India yang berjaya dimantapkan oleh oleh
Dinasti Babur sehingga terbinanya Taj Mahal yang menjadi mercu tanda Islam di India.
Tamadun Islam diterima oleh masyarakat Cina pada zaman Dinasti Ming. Tamadun Islam
diterima oleh masayrakat Melayu di pelbagai pulau dan daratannya. Tamadun Islam diterima
oleh masayrakat Eropah seperti di Sepanyol sahingga terbinanya Istana al-Hamra’ di
Granada. Ringkasnya, kebanyakan bangsa di dunia boleh menerima Tamadun Islam kerana
ciri-ciri khusus ini. Ciri-ciri tersebut adalah seperti berikut:
* Rabbani
Ciri rabbani menunjukkan Tamadun Islam di dasari oleh nilai-nilai ketuhanan dan
keagamaan. Menerusi ciri ini, umat Islam sedar hakikat keberadaannya di dunia ini adalah
sebagai khalifah Allah yang diamanahkan untuk membangunkan setiap wilayah yang
diduduki. Sumber, matlamat dan tujuan kehidupan manusia berteraskan ketetapan Allah SWT
yang terkandung dalam al-Qur’an. Selain itu, ciri ini juga menjadikan umat Islam sedar
bahawa tujuan penciptaan manusia adalah untuk melaksanakan tanggungjawab sebagai
hamba Allah SWT. Perhubungan manusia dengan Allah SWT merupakan matlamat tertinggi
dalam Tamadun Islam. Sementara perhubungan manusia sesama manusia dan alam lainnya
adalah pelengkap hubungan dengan Maha Pencipta. (lihat surah al-Taubah: 24, al-Zukhruf:
59) Ciri ini juga menjadi bukti semua bangsa adalah sama dalam masyarakat Islam.
Pembezanya hanyalah iman dan takwa, bukan warna kulit, pangkat, keturunan dan kekayaan.
Oleh itu, ciri ini merupakan tunggak utama Tamadun Islam dan asas perbezaan Tamadun
Islam dengan tamadun lain.
* Keseimbangan dan kesederhanaan.
Kesimbangan bermaksud seimbang antara dua keadaan yang bertentangan. Konsep
keseimbangan dalam Tamadun Islam merangkumi kerohanian (spiritual) dan kebendaan
(material), tanggungjawab ibadat kepada Allah dan urusan kehidupan dunia, kepentingan
individu dengan masyarakat dan keseimbangan nilai spiritual dengan material.
* Universal
Tamadun Islam tidak terikat kepada bangsa tertentu, tempat dan tempoh tertentu, bahkan
Tamadun Islam milik seluruh manusia yang berpegang kepada Din al-Islam. Ini bermakna
Tamadun Islam sesuai dengan segala bangsa dan situasi. Ia juga menepati keperluan dan
peredaran zaman. Tamadun Islam berpegang kepada konsep ummah dan tidak disandarkan
kepada sesuatu bangsa atau kawasan tertentu. Dengan ciri ini terbukalah ruang kepada semua
bangsa di dunia untuk membentuk masyarakat Islam dan membina tamadun sejagat.
* Ideal dan realistik
Islam sentiasa meletakkan manusia di tingkat kesempurnaan yang paling tinggi dan dapat
dicapai dengan memberi landasan kukuh kepada seluruh kegiatan agar tidak bercanggah
dengan ajaran Allah SWT. Ciri realistik mengambil kira kehidupan manusia di alam sejagat
dengan kepercayaan bahawa alam sejagat merupakan suatu hakikat yang berlaku di dunia
nyata. Dunia nyata adalah antara bukti kewujudan Allah SWT yang Maha Pencipta.
* Tetap dan anjal
Tamadun Islam mempunyai prinsip yang tetap dan tidak berubah pada sasaran dan matlamat
pembinaan tamadun, tetapi anjal dari sudut cara dan teknik pelaksanaanya. Islam memberi
kebebasan dari sudut merealisasikan tamadun pada setiap bangsa yang berbeza dengan
mengambil kira matlamat yang harus di capai, bukan kemajuan dari sudut kebendaan semata-
mata.
* Menyeluruh
Islam mencakupi seluruh aspek kehidupan manusia termasuk aspek akidah, syariat (undang-
undang) dan akhlak. Demikian juga hubungan manusia dengan Allah SWT, hubungan
sesama manusia dan hubungan manusia dengan alam. Ia juga merupakan satu seruan keadilan
untuk semua manusia, sama ada Islam atau bukan Islam, musuh atau lawan dan mempunyai
hubungan keluarga ataupun tidak. Dari aspek kehakiman, Tamadun Islam telah terbukti dapat
mengembalikan hak kepada yang empunya, sebagaimana yang berlaku dalam sejarah Islam.
Tamadun Islam juga menyentuh aspek kenegaraan yang meliputi hubungan dalam negara
mahupun antarabangsa.
1.4.6 Matlamat Tamadun Islam
Para sarjana Tamadun Islam telah merumuskan matlamat Tamadun Islam seperti berikut :
* Menjaga hubungan baik antara makhluk dengan Khaliq
Penjagaan hubungan baik dalam Tamadun Islam terbentuk melalui keimanan yang mantap,
akidah yang lurus dan pengabdian kepada Allah SWT semata-mata seperti yang terkandung
dalam konsep tauhid rububiyyah dan tauhid uluhiyyah. Hubungan dengan Allah merupakan
hubungan ubudiyyah dan sama sekali tidak menyamai dengan sebarang hubungan lain.
Menjaga hubungan dengan Allah merupakan matlamat terakhir dan kemuncak hubungan-
hubungan yang lain. Pada hakikatnya, hubungan dengan manusia dan alam lainnya akan
kembali kepada perhubungan yang kudus dengan Pencipta Alam, iaitu Allah SWT seperti
yang dapat difaham pada surah at-Taubah:24. (Amir A.Rahman,1991:4).
* Menjaga hubungan baik sesama manusia.
Manusia tidak dapat hidup bersendirian, lebih-lebih lagi dalam membina tamadun dan
kemajuan. Justeru itu Islam menggariskan peraturan dalam membina hubungan tersebut
dengan menghayati segala sifat terpuji dan menjauhi sifat tercela. .Sifat yang dituntut oleh
Islam antaranya saling membantu pada perkara takwa dan kebaikan dan tidak membantu pada
perkara dosa dan keburukan seperti yang terakam pada surah al-Maidah: 2. Selain itu,
Tamadun Islam menjaga kesejahteraan sesama manusia dengan mengharamkan tuduh
menuduh, mengumpat, mengeji, mencuri dan lain-lain. Masyarakat Islam ialah masyarakat
yang universal. Ia terbuka kepada seluruh umat manusia. Sifat universal ini memerlukan
wujudnya masyarakat yang saling berkomunikasi dengan baik dan berdisiplin seperti pada
surah surah al-Hujurat:13.
* Menjaga hubungan antara makhluk dan alam
Dalam membina tamadun, Islam membentuk manusia supaya menjaga hubungan yang baik
dengan makhluk lain. Sebagai contohnya, Islam mengharamkan pembunuhan binatang tanpa
sebab yang diharuskan atau membunuh haiwan dengan cara yang zalim dan kejam. Antara
penentuan garisan yang telah ditentukan oleh al-Qur’an sebagai sumber utama Tamadun
Islam dalam menjalin hubungan harmoni antara makhluk dengan alam dapat dilihat pada
firman Allah seperti berikut:
a) Hubungan dengan binatang, surah Yasin:72,
b) Hubungan dengan tumbuh-tumbuhan, surah an-Nahl:10 -11.
c) Hubungan dengan laut, surah an-Nahl:14.
d) Hubungan dengan cakerawala, surah Ibrahim: 32 - 33.
Terdapat hampir 500 ayat al-Qur’an yang menyentuh persoalan alam sekitar dan
tanggungjawab mengurusnya. Demikian juga Sunnah Rasulullah SAW banyak memberi
petunjuk yang menekankan kepentingan memulihara alam sekitar (Mohd Zuhdi, 2002:127) .
* Menjaga kewarasan akal
Akal merupakan anugerah Allah SWT kepada manusia. Keistimewaan manusia berbanding
makhluk lain terletak pada akal yang sempurna dan waras. Dalam membina kemajuan dan
peradaban, akal yang waras mestilah dijaga dan diarahkan untuk tujuan yang murni dan baik,
bukan untuk membawa kemusnahan kepada diri sendiri dan manusia lain. Justeru itu, Islam
mengharamkan segala perbuatan merosakkan akal seperti mengambil minuman yang
memabukkan, penagihan dadah dan seumpamanya seperti yang terakam dalam surah al-
Maidah: 32.
* Menjaga diri dan nyawa
Nyawa merupakan kurnia Allah SWT untuk memberi peluang dan bekalan kepada manusia
mengabdikan diri kepada-Nya. Lantaran itu, dalam membina tamadun dan kemajuan, ajaran
Islam menekankan penjagaan nyawa manusia. Justeru jiwa dan nyawa manusia milik mutlak
Allah SWT, sedangkan manusia adalah pemilik secara nisbi sahaja, maka mereka mestilah
memelihara nyawa sendiri dan orang lain. Penekanan ini menyebabkan Islam mengharam
membunuh diri dan melakukan pembunuhan kepada orang lain seperti dalam surah an-
Nisa’:29. Sehubungan itu, dalam membina kemajuan dan peradaban, Islam juga
mengharamkan tujuan kemajuan adalah untuk kemusnahan seperti pembinaan senjata nuklear
dan kimia untuk membunuh orang lain atau membawa kehancuran.
* Menjaga zuriat dan keturunan
Islam mengambil berat aspek penerusan zuriat dan keturunan dengan menekankan
perkembangan keturunan yang baik selaras dengan kemajuan. Keturunan yang baik mestilah
melalui perkahwinan. Sehubungan itu, Islam mengharamkan segala bentuk pergaulan bebas
dan perbuatan zina. Islam juga mensyariatkan undang-undang yang tegas bagi kesalahan
zina. Syariat ini bertujuan untuk memastikan zuriat dan keturunan manusia terpelihara sesuai
dengan kemuliaan manusia sebagai khalifah Allah seperti yang dapat difaham pada surah al-
Isra’:31 dan surah an-Nur:2.
* Menjaga keselamatan harta
Islam tidak menegah pengumpulan harta dan usaha untuk mencari kekayaan. Namun Islam
menekankan matlamat dan usaha tersebut mestilah selari dengan kehendak Islam, seperti
mencari hasil yang halal dan membelanjakan harta untuk tujuan yang baik dan diharuskan
oleh syarak. Dalam membina tamadun, Islam menekankan keselamatan harta. Justeru itu,
Islam tidak membenarkan sebarang bentuk penindasan dan pencerobohan terhadap harta
orang lain seperti mencuri, merompak atau urus niaga yang berasaskan riba seperti yang
dapat dilihat pada surah al-Qashash:77 dan surah al-Maidah:38.
Oleh itu, selain bermatlamat menjaga hubungan manusia dengan Pencipta, sesama manusia
dan alam sekitar, Tamadun Islam juga bermatlamat menjamin keselamatan nyawa, akal,
tubuh badan, harta dan keturunan. Semua objektif ini hanyalah untuk memperoleh keredaan
Allah SWT dan kebahagiaan hidup di dunia dan di akhirat.
Daripada perbincangan di atas, dapatlah disimpulkan bahawa konsep tamadun menurut
perspektif Islam ialah paduan antara pembangunan material dan spiritual atau antara
kebendaan dan kerohanian dan antara memenuhi tuntutan fitrah manusia yang bersifat jasad
dan roh. Inilah yang melayakkan Tamadun Islam menjadi tamadun yang universal. Selain itu,
kita akan dapat melihat perbezaan yang ketara antara Tamadun Islam dengan tamadun-
tamadun lain seperti Tamadun Barat. Tamadun Barat lebih menonjolkan aspek pencapaian
kebendaan atau material sebagai ukuran bagi menentukan sesebuah masyarakat itu
bertamadun atau sebaliknya, manakala Tamadun Islam mengimbangi antara pembangunan
material dan spiritual. Kesyumulan Tamadun Islam diinspirasikan dari sebuah hadis
Rasulullah SAW yang bermaksud:
“Bukanlah kebaikan kepada kamu orang-orang yang meninggalkan kepentingan duniawi
untuk akhirat. Dan tidak ada kebaikan bagi kamu orang-orang yang meninggalkan
kepentingan akhirat untuk dunia, akan tetapi paling baik bagi kamu yang mengambil dari ini
dan ini” (kedua-duanya secara sepadu).
(Riwayat Bukhari)
Kesepaduan dalam Tamadun Islam berlaku tanpa pengabaian mana-mana aspek, jika berlaku
pengabaian akan membawa kepada kepincangan dan kecacatan. Malah pada pandangan Islam
ia tidak memenuhi maksud Tamadun Islam yang sebenarnya.
1.5 KONSEP TAMADUN BARAT
Tamadun Barat diasaskan kepada pemikiran yang bersumberkan Tamadun Greek Yunani dan
Rom purba yang muncul pada tahun 2000 S.M. Kedua-dua tamadun ia banyak memberi
inspirasi kepada kemunculan dan kekuatan Tamadun Barat. Ini menjadikan Tamadun Barat
tegak atas landasan idealisme sekular yang mementingkan pemikiran logik sebagaimana
Tamadun Yunani yang lebih menekankan keagungan manusia dari faktor ketuhanan.
Pemikir dan golongan intelektual Yunani telah mencorakkan masyarakat Yunani ke arah
pemisahan agama dari kehidupan keduniaan. Tokoh utama dalam zaman ini adalah Socrates,
Plato dan Aristotale. Socrates dalam dialognya telah menegaskan bahawa “pada hakikatnya
tidak ada nilai moral dan spiritual yang mutlak”. Oleh itu, manusia hendaklah bergembira
sepenuhnya dalam kehidupan dunia. Inilah matlamat utama kehidupan manusia, iaitu
keseronokan pancaindera dan memenuhi runtunan hawa nafsu dan syahwat kehaiwanan.
Mereka bergantung sepenuhnya kepada pemikiran akal tanpa merujuk atau dibantu oleh
ajaran ketuhanan. Sehubungan ini, Abu Hassan Ali an-Nadawi (1984) telah menjelaskan ciri-
ciri khusus Tamadun Yunani seperti berikut:
i. Percaya kepada apa sahaja yang dapat dicapai oleh panca indera.
ii. Kurang rasa keagamaan dan kecintaan melampau kepada kehidupan dunia.
iii. Fanatisme kebangsaan yang melampau.
Oleh itu, pemikiran dan keinginan manusia menjadi sumber, rujukan dan matlamat utama
dalam pembangunan dan pembinaan tamadun Barat. Idealisme sekular merupakan tema yang
dominan dalam Tamadun Barat.
1.5.1 Sejarah Tamadun Barat
Kemunculan Tamadun Barat bermula dengan kebangkitan masyarakat Eropah yang tidak
senang dengan pemerintahan golongan gereja Katolik yang menindas, mengongkong dan
menzalimi rakyat yang inginkan perubahan. Golongan gereja tidak menerima sebarang
bentuk perubahan kecuali suatu idea dan kehendak yang muncul daripada golongan gereja
sendiri. Akibatnya, muncul aliran baru dalam agama kristian iaitu Protestan. Sementara itu,
para pemikir dan pemimpin revolusi muncul dengan slogan baru yang berbunyi Give it to
Ceaser what it is and give it to God what everythings belongs to God. Penafian hak gereja
dalam seluruh sistem pemerintahan bermula apabila gereja diketepikan dan dianggap sebagai
hak peribadi dan bukan lagi hak masyarakat dan negara.
Pergerakan para pemikir bertitik tolak dari fenomena ini yang membentuk satu corak baru
dalam masyarakat Barat iaitu kehidupan berasaskan kepada alam nyata yang ada di dunia.
Corak ini termaksud dalam istilah sekularisma. Sekularisma menjadi titik tolak kepada zaman
peralihan di barat daripada zaman gelap kepada zaman Renaissance. Zaman Renaissance
yang bererti zaman “menghidupkan kembali Tamadun Yunani” menunjukkan pembinaan
masyarakat baru Barat adalah berasaskan sejarah Tamadun Yunani yang berlandaskan logik
akal.
Pengaliran Tamadun Islam ke Eropah sejak abad ke-9 hingga abad ke-12 M menjadi faktor
utama pembukaan minda masyarakat Barat yang datang ke Sepanyol dan Pulau Sicily yang
berada di bawah kekuasaan Tamadun Islam di Eropah. Mereka datang untuk menimba ilmu
pengetahuan yang dipelopori oleh para sarjana Islam. Kesedaran yang timbul telah
mencetuskan “Zaman Peralihan” dan kemudiannya Zaman Renaissance di Barat. Zaman ini
telah menyebabkan pemikiran masyarakat terbuka luas dan secara tidak langsung
menimbulkan permusuhan terhadap gereja yang berakhir dengan kejatuhan golongan gereja.
Gerakan Renaissance di Barat atau dikenal juga gerakan pencerahan selepas melalui zaman
kegelapan hakikatnya adalah suatu gerakan untuk melepas diri dari unsur-unsur kerohanian
dan cengkaman pihak gereja kerana ajarannya tidak lagi mampu menangani dan
menyelesaikan masalah masyarakat, terutama dalam soal-soal hidup seharian dan
perkembangan ilmu pengetahuan termasuk penyelidikan sains dan teknologi. Akhirnya lahir
fahaman sekular yang memisahkan urusan kehidupan harian dengan persoalan agama. Asas
masyarakat baru ini adalah pemikiran materialistik, rasionalistik dan fizikal masyarakat
Yunani dan Romawi purba.
Sejurus berlakunya Renaissance, muncul Revolusi Perindustrian di Perancis yang
membangkitkan pemikiran masyarakat Barat untuk maju dalam bidang sains dan teknologi.
Penciptaan demi penciptaan telah diterokai oleh saintis Barat. Antaranya, teknologi
perindustrian, kereta, kapalterbang, telefon dan lain-lain. Kilang-kilang yang menggerakkan
perindustrian tumbuh bagai cendawan selepas hujan. Keadaan ini menyebabkan masyarakat
mula mengagungkan sains moden barat. Pengetahuan dalam sains dan teknologi memberi
jawapan kepada segala permasalahan dunia yang sebelum zaman ini hanya disandarkan
kepada gereja. Kejayaan menjawab segala masalah ini mendorong ke arah pemikiran yang
lebih ke hadapan yang akhirnya saintis Barat berjaya mencipta roket untuk membawa
angkasawan mereka menjelajah angkasa lepas dan akhirnya mendarat di bulan.
1.5.2 Perbezaan Tamadun dan Tamadun Islam
Latarbelakang di atas membuktikan terdapat perbezaan yang jelas antara Tamadun Barat dan
Tamadun Islam yang bertitik tolak dari perbezaan latar belakang kemunculan tamadun dan
asas yang menggerakkan dua tamadun penting dunia. Antara perbezaan tersebut adalah
seperti berikut :
Tamadun Islam
Tamadun Barat
Asas:
Berasaskan tauhid yang tegak pada aqidah, syariah dan akhlak. Aqidah ialah keyakinan
kepada Allah dan lain-nya yang terangkum dalam Rukun Iman. Syariah ialah peraturan yang
telah ditetapkan oleh Allah yang meliputi segala aspek kedihupan, seperti politik, undang-
undang, ekonomi, pendidikan dan sosial. Akhlak pula ialah perlakuan yang berasaskan
kepada akhlak Rasulullah SAW.
Berasaskan logik, panca indera dan materialisme. Logik bersumber kepada akal manusia.
Pancaindera manusia yang lima memberi maklumat kepada akal untuk ditafsirkan.
Materialisma merupakan kesan pemikiran yang berjaya menghasilkan sesuatu dalam bentuk
barang atau benda.
Sumber asasi:
Mutlak kerana ia bersumber wahyu dari Allah yang disampaikan kepada manusia pilihan lagi
maksum yang akan menerima utusan-Nya, iaitu Nabi Muhammad SAW.
Wahyu dari Allah dikenal sebagai al-Qur’an yang kemudiannya ditulis dan dikumpulkan
dalam satu naskhah. Sumber ini telah ditafsirkan oleh Rasulullah untuk direalitikan dalam
kehidupan masyarakat manusia.
Pemikiran manusia semata-mata yang sentiasa berubah-ubah, tanpa kepercayaan kepada
agama dan kuasa ghaib
Cendikiawan dan intelektual memainkan peranan yang besar. Ini melahirkan ramai tokoh
pemikir Barat seperti Herbert Spencer, Karl Marx, C. Darwin, Isacc Newton dan lain-lain.
Matlamat:
Keampunan dan keredaan Allah di samping kebahagiaan dunia dan akhirat.
Keseronokan hidup dunia semata-mata dan kepuasan segelintir manusia.
Kedudukan agama:
Islam satu cara hidup yang menyeliputi segala aspek kehidupan.
Pembaharuan dalam Islam berlaku berdasarkan agama dan bukan agama mengikut
perubahan. Walaupun begitu Islam berprisip tetap dan fleksibel dan tidak rigid.
Agama sebahagian daripada kebudayaan dan tertakluk kepada kebudayaan. Kebudayaan
sentiasa mengalami perubahan dan agama juga dicorak oleh perubahan dan pembaharuan.
Konsep kemajuan:
Islam menekankan kedua-dua aspek kerohanian dan kebendaan. Kerohanian dicapai melalui
pengamalan perintah Allah sementara kebendaan di capai melalui penggunaan akal yang
berteraskan kepada Firman Allah.
Kemajuan dalam Islam bersifat lengkap. Pembangunan dan kemajuan adalah alat dan
matlamat pembangunan dalam Islam adalah manusia. Islam menolak konsep matlamat
menghalalkan cara.
Tamadun Barat melihat perkara-perkara keduniaan hanya kehidupan dunia semata-mata.
Segala urusan tidak ada kaitan dengan agama.
Tamadun ini juga menitikberatkan aspek kebendaan dengan mengenepikan aspek kerohanian.
Oleh itu, ia mengabaikan aspek kemajuan dari sudut kerohaniaan atau spiritual. Kemajuan
berdasarkan keuntungan semata-mata dan berpegang kepada konsep “matlamat menghalalkan
cara”.
Ringkasnya, kejayaan renaissance di Eropah telah menyebabkan berkembangnya fahaman
sekular secara meluas. Masyarakat Eropah melakukan perubahan dalam kehidupan dengan
berasaskan fahaman ini. Akhirnya fahaman ini telah mendominasi pemikiran dan kehidupan
Barat. Fahaman Barat yang berteraskan sekularisme telah melahirkan pelbagai ideologi di
Barat seperti Modenisme, Rasionalisme, Liberialisme, Kapitalisme, Pragmatisme,
Kolonialisme dan Materialisme. Ideologi ini begitu berkembang dalam pelbagai aspek
kehidupan mereka terutamanya ekonomi, politik dan sosial.
1.6 JATUH BANGUN TAMADUN DARI PERSPEKTIF ISLAM
Islam menganggap tamadun bertitik tolak dari ajaran agama. Demikian juga kelahiran
sesebuah tamadun berpunca daripada Islam sebagai agama yang diwahyukan oleh Allah
SWT kepada Nabi Muhammad SAW. Islam telah memberi sinar kepada masyarakat untuk
menyempurnakan tamadun yang dibina. Tidak dinafikan semasa perutusan Rasulullah SAW,
masyarakat Arab sudah mencapai beberapa kemajuan. Justeru, kedatangan Islam telah
memisahkan masyarakat Arab daripada amalan jahiliah kepada amalan bijaksana
berlandaskan Islam. Pengabaian nilai-nilai agama, intelektual dan ketiadaan pimpinan yang
berwibawa menjadi tanda awal dan mempercepatkan keruntuhan sesebuah tamadun yang
dibina, walaupun bangunan kukuh yang didirikan masih tersergam indah. Hal ini terjadi
kerana pembangunan fizikal semata-mata yang bersifat material tidak dapat menjamin
keabadian sesebuah tamadun.
1.6.1 Keagamaan
Faktor agama yang bertunjang kepada tauhid merupakan aspek teras dalam pembinaan
Tamadun Islam. Dalam usaha membina sebuah masyarakat bertamadun melalui penyampaian
dakwah, Rasulullah S.A.W. menekankan aspek iman, Islam dan ihsan serta mempraktikkan
unsur ini dalam kehidupan masyarakat Islam.
Sebagai pemimpin yang berwawasan dan berjiwa besar baginda telah berjaya membina satu
generasi yang memiliki iman yang kental dan sanggup berjuang berhabis-habisan demi
mempertahankan Islam. Generasi ini tidak gentar dengan sebarang kemungkinan, hanya
mengharapkan mati syahid apabila berada di medan juang. Walaupun jumlah mereka kecil
berbanding pihak lawan. Ketinggian nilai-nilai keimanan telah memberi kesan besar pada
kejayaan pembinaan Tamadun Islam yang berpusat di kota Madinah. Kota Makkah juga
dapat dikuasai sepenuhnya dan dibersihkan dari unsur-unsur tamadun yang bercanggah
dengan Islam.
Dalam pembinaan tamadun, Islam memaparkan kisah-kisah sejarah silam sebagai iktibar.
Kesemua kisah yang diulang kembali oleh al-Qur’an memaparkan kesan buruk dan
kemusnahan tamadun akibat sesebuah masyarakat cuba menyalahi landasan agama tauhid
yang telah disampaikan kepada mereka. Selain ini mereka juga mengingkari ajaran yang
disampaikan oleh para nabi. Sebagai contohnya, ketinggian tamadun yang didirikan oleh
Firaun, kaum ‘Ad dan kaum Thamud telah mengalami kehancuran kerana keingkaran kepada
Allah Yang Maha Esa.
1.6.2 Nilai-nilai akhlak
Ketinggian nilai-nilai akhlak yang ditunjukkan oleh Rasulullah SAW merupakan kunci
kejayaan dalam pembentukan Tamadun Islam. Prinsip dan nilai murni yang dipaparkan
dalam kepimpinan Rasulullah SAW dapat menjadi pedoman kepada generasi berikutnya
untuk membina satu tamadun bangsa yang gemilang.
Akhlak memainkan peranan yang sama penting dalam pembinaan dan keutuhan sesebuah
tamadun. Apabila nilai-nilai akhlak diabaikan, tamadun sesuatu bangsa akan menemui
kehancuran sebagaimana yang berlaku ke atas umat Nabi Luth. Dengan penuh gaya
mencabar kaum Nabi Luth, memomokkan kenabian Nabi Luth dan memaparkan akhlak
buruk yang menyalahi tabie manusia.
1.6.3 Politik dan pemerintahan
Politik dan pemerintahan turut memainkan peranan yang penting dalam menentukan bangun
jatuh sesebuah kerajaan dan ketamadunan sesuatu bangsa. Politik yang stabil dan kepimpinan
yang berwibawa akan dapat mengekalkan sesebuah tamadun. Sebaliknya, kepincangan dan
kelemahan kepimpinan akan mempercepatkan berakhir sesebuah kerajaan yang dibina oleh
tamadun sesebuah bangsa.
Sejarah membuktikan bahawa kepimpinan yang berdaya maju, pemerintahan yang adil dan
perpaduan dalam politik telah meninggikan tamadun sesuatu bangsa. Sebaliknya, apabila
pemimpin mementingkan diri sendiri, berfoya-foya, melakukan penyelewengan, rasuah
berleluasa di kalangan para pegawai kerajaan, keruntuhan akhlak dan moral akan
melemahkan pemerintahan dan benteng pertahanan negara mudah dimusnah.
Pembentukan Kerajaan Islam Madinah menjadi bukti bahawa Islam dapat dipraktikkan secara
menyeluruh dalam kehidupan harian. Tamadun Islam yang dibina oleh Rasulullah S.A.W. di
Madinah menjadi titik tolak kepada pembinaan tamadun Islam seterusnya.
Para khalifah Bani Umayyah dan Bani Abbasiyyah berjaya membina tamadun Islam dengan
wujudnya pelbagai bidang kemajuan. Kemajuan yang dapat dicapai dalam pelbagai bidang
terutamanya bidang keilmuan adalah hasil daripada usaha pemimpin yang amat berwibawa.
Khalifah Harun al-Rashid dan al-Makmun adalah antara pemerintah Abbasiyyah yang sangat
menekankan aspek keilmuan. Sumbangan mereka yang terpenting ialah pembentukan Baitul
Hikmah, yang merupakan sebuah perpustakaan besar. Kegiatan keilmuan yang aktif di Baitul
Hikmah telah menghidupkan peranan perpustakaan. Ini merupakan mutiara yang amat
bernilai dalam sejarah tamadun Islam. Demikian juga, gandingan mantap Sultan Mansor
Syah dan Bendahara Tun Perak dalam sejarah Kesultanan Melayu Melaka telah menjadikan
Melaka sebagai pusat Tamadun Islam di Asia Tenggara yang terunggul.
Sejarah juga memaparkan bahawa keadaan politik yang kacau bilau, kelemahan pentadbiran,
pergolakan dalaman menjadi faktor keruntuhan sesebuah kerajaan. Suasana ini dapat dilihat
pada kejatuhan Kerajaan Bani Umayah, Kesultanan Melayu Melaka, kerajaan-kerajaan Islam
di Andalus dan Kerajaan Uthmaniyah di Turki. Pergolakan dalaman dan kelemahan
pemerintahan menyebabkan tamadun yang dibina penuh gemilang menemui titik penamat.
1.6.4 Sosial
Kestabilan sosial antara individu dan masyarakat dengan berteraskan ilmu, kemajuan dan
minda yang mempunyai gagasan boleh meningkatkan martabat bangsa dan meninggikan
tamadun yang dibina. Hal inilah yang dapat kita saksikan semasa pemerintahan awal Islam,
terutamanya di zaman Rasulullah S.A.W. Walaupun kuantiti umat Islam kecil berbanding
dengan orang bukan Islam, namun mereka mampu membina masyarakat yang berkualiti.
Gambaran masyarakat sebegini dapat dilihat pada komuniti Muhajirin dan Ansar yang
berpusat di Madinah. Pembinaan Tamadun Islam yang ditunjangi oleh sosial secara harmoni
antara dua kelompok ini mampu mengembangkan tamadun ke seluruh pelusuk Semenanjung
Tanah Arab, malah terus berkembang ke seluruh dunia timur dan barat.
Sebaliknya, sistem sosial yang longgar kerana kerapuhan jatidiri sehingga masyarakat dibuai
dengan kelekaan kerana kemewahan dan gemar kepada hiburan yang berlebihan dan bebas
(budaya hedonistik) mengundang keruntuhan sosial dan memberi pengaruh besar kepada
keruntuhan sesebuah tamadun.
1.6.5 Ekonomi
Faktor ekonomi juga adalah antara faktor yang membantu mengembangkan lagi sesebuah
tamadun. Sejarah membuktikan masyarakat yang bertamadun tinggi mengamalkan ekonomi
perdagangan, pertanian, penternakan bertaraf antara bangsa, walaupun mereka bermula dari
kegiatan ekonomi sara diri.
Sebagai contoh, masyarakat Melayu pada zaman Kesultanan Melayu Melaka berjaya
membina satu pusat perdagangan bertaraf antara bangsa di Pelabuhan Melaka. Pelabuhan ini
berjaya menjadi pusat persinggahan para pedagang Arab, India, Cina dan bangsa Eropah.
Walaupun kemudiannya, kegiatan perdagangan import eksport yang rancak di Pelabuhan
Melaka telah beralih ke Singapura setelah keutuhan Tamadun Melayu Melaka mengalami
keretakan.
1.6.6 Penguasaan bidang keilmuan
Penguasaan pelbagai bidang ilmu-ilmu dan kemunculan sains dan teknologi memantapkan
lagi pembinaan dan penerusan sesebuah tamadun. Kelahiran para sarjana dan kepelbagain
kegiatan keilmuan mendorong ke arah pembinaan pusat-pusat intelektual. Lembaran sejarah
mencatatkan Baghdad, Andalus, Melaka dan Patani adalah antara pusat intelektual yang
terkenal.
Apabila penguasaan politik sesebuah kerajaan mula runtuh, pusat-pusat intelektual yang
diwujud pada sesebuah kerajaan tidak akan runtuh, tetapi sebaliknya ia akan berpindah ke
wilayah lain yang aman. Sejajar itu juga terbina pula kerajaan baru ditempat perletakan pusat
intelaktual yang dipindahkan. Sejarah di Alam Melayu dapat disaksikan sebagai contoh.
Apabila peranan Melaka sebagai pusat intelektual telah berakhir, maka peranan ini telah
diambil alih oleh Kerajaan Acheh Darussalam.
Demikian juga dengan penguasaan bidang sains dan teknologi. Situasi masa kini
menunjukkan bidang ini amat penting dalam penerusan tamadun bangsa. Perkembangan
dewasa kini membuktikan penguasaan Barat terhadap tamadun dunia ialah kerana kemajuan
yang tinggi dalam bidang sains dan teknologi.
BAB 2
INTERAKSI ANTARA TAMADUN
2.0 Pendahuluan
Manusia merupakan pembangun sesebuah tamadun, sesuai dengan hakikat kejadiannya
sebagai al-insan madaniyyun lil tab’iyy. Oleh itu, tamadun mempunyai ciri-ciri dan nilai-nilai
sejagat sesuai dengan fitrah dan keperluan asas kehidupan manusia. Manusia sudah
difitrahkan hidup dengan mempunyai pegangan dan kepercayaan. Namun kepercayaan antara
kelompok manusia adalah berbeza. Perbezaan wujud pada sudut fahaman dan anutan serta
cara melahirkan ketundukan dan kepatuhan, kesan dari latar belakang, persekitaran dan
pengalaman hidup yang berbeza. Perbezaan ini merangkumi persoalan falsafah dan konsep
sesuatu pegangan dan kepercayaan. Dalam konteks Malaysia, perbezaan tetap wujud
walaupun etnik yang berbeza ini sama-sama berada dalam satu unit politik yang sama.
Persamaan ini pula merujuk kepada persamaan persoalan pokok, iaitu mempunyai pegangan
dan kepercayaan serta amalan-amalan dari sesuatu kepercayaan. Contoh persamaan yang
jelas ialah kepercayaan dan pegangan keseluruhan Tamadun Asia kepada kuasa ghaib. Kuasa
ini memberi kesan kepada kehidupan manusia di alam nyata seperti sihat, sakit, aman,
malapetaka, miskin dan kaya. Namun antara setiap tamadun mempunyai tafsiran dan
kepercayaan masing-masing terhadap kuasa ghaib. Kuasa ghaib ini di katogerikan kepada dua
tanggapan, iaitu kuasa ghaib yang terasing dan tidak sama dengan alam dan kuasa ghaib yang
berada di alam. Dalam perbincangan teologi, hal ini dikenali dengan kuasa yang trancendent
(tanzih). Tanggapan kedua terhadap kuasa ghaib ini adalah immanent (tashbih).
Melalui perbezaan dan persamaan ini, negara-negara di Asia telah berjaya mewujudkan
interaksi antara pelbagai tamadun yang berjiran sejak beberapa dekad silam dan terbukti
dapat terjalin secara harmonis. Sebagai contohnya, interaksi antara Tamadun Cina dan Islam
terjalin melalui Laluan Sutera dan Tamadun India dengan Alam Melayu melalui laluan lautan
Hindi. Antara tamadun-tamadun ini tidak wujud satu pertembungan yang bersifat konflik
seperti yang diistilah oleh S. Huntington sebagai Clash of civilization. Satu ciri sepunya yang
dikongsi bersama dan berfungsi membangun tamadun-tamadun besar Asia ialah kerana dasar
pembinaannya berteras kepada nilai keagamaan dan etika. Sebaliknya, pasti berlaku konflik
lantaran perbezaan nilai yang ketara antara dua tamadun seperti pertembungan tamadun
moden yang jelas didominasi oleh Tamadun Barat dengan Tamadun Timur yang berteras
nilai tradisional. Oleh itu, tidak hairanlah mengapa selepas kedatangan penjajah Barat ke
beberapa negara di Asia sejak abad ke 16 masihi telah mencetuskan rangkaian konflik hingga
masa kini.
Kerencaman tamadun dan budaya di Asia walaupun pernah tercalar oleh beberapa konflik
dalaman seperti konflik antara agama dan etnik di India, Sri Langka dan lain-lain wilayah,
tidak bererti perbezaan lebih dominan berbanding persamaan yang wujud antara tamadun-
tamadun ini. Sejarah ketamadunan Asia telah membuktikan wujud interaksi antara tamadun
yang membawa kepada perkongsian ilmu dan teknologi, pertukaran nilai dan budaya serta
perpaduan peringkat nasional.
Dalam sejarah Malaysia, Perlembagaan Malaysia menjadi sumber rujukan dan bukti utama
wujudnya interaksi antara tamadun. Selain itu, kedudukan Malaysia di tengah-tengah laluan
perdagangan dan kebudayaan Asia telah mendedahkan negara ini kepada pelbagai pengaruh
yang tercerna hasil interaksi dengan tamadun-tamadun berhampiran. Justru itu, pengaruh
Tamadun Islam, China, India dan juga tamadun pribumi jelas ketara dan memberi kesan
besar kepada nilai dan budaya masyarakat Malaysia, tanpa menafikan hak ketuanan Melayu
sebagai bangsa peribumi dan bangsa yang menunjang ke arah pembinaan dan perkembanagn
tamadun negara ini.
2.1 INTERAKSI ANTARA TAMADUN
2.1.1 Kepimpinan
Faktor ini merupakan faktor terpenting yang mempengaruhi interaksi antara tamadun di Asia.
Ini kerana seandainya pemimpin atau raja bersikap adil dan toleran, maka interaksi akan
berlaku dalam aman dan damai. Fenomena sebaliknya akan berlaku seandainya pemimpin
bersikap kuku besi dan tidak bersikap toleransi kepada rakyat jelata. Sejarah telah
membuktikan dua sikap berbeza di kalangan para pemimpin seperti contoh di bawah:
* Nabi Muhammad SAW: Tidak menyekat orang Yahudi dan Kristian dalam pemerintahan
Madinah, sebaliknya hak mereka dilindungi undang-undang.
* Kerajaan Islam Ghaznawi, Delhi dan Moghul di India: Bertoleransi kepada penganut Hindu
malah pegawai dilantik dari kalangan mereka.
Terdapat juga contoh pemimpin yang tidak bertoleransi seperti yang dapat dilihat pada Sultan
Shamsuddin Altamish di India yang bertindak keras terhadap penganut Hindu. Demikian juga
dengan Han Wu Ti dalam Dinasti Han telah melaksanakan dasar memihak kepada
cendikiawan Konfusianisme berbanding sami Buddha.
2.1.2 Sikap Golongan Agama
Faktor ini menjadi tunggak kepada kelangsungan hidup beragama secara harmoni. Golongan
ini wujud dalam setiap masyarakat beragama tamadun Asia. Golongan agama dalam
Tamadun Islam dimiliki oleh para ulama. Tamadun India yang berteras kepada agama Hindu
disandang oleh minoriti kasta Brahmin. Golongan agama dalam kepercayaan Buddha pula
didokong oleh sami. Golongan agama dalam fahaman Krisitian pula dikuasai oleh paderi.
Kesemua golongan agama berusaha mewujudkan suasana harmoni dan memberi penekanan
sifat keinsanan. Sebagai contohnya, sikap dan akhlak mulia yang dipamerkan ulama Islam di
Alam Melayu memudahkan berlakunya interaksi dan Islamisasi. Mereka telah berjaya
memberi tasawwur Islam (pandangan Islam) yang sebenar kepada penduduk Alam Melayu.
Mereka juga telah membentuk pendidikan formal dengan mendirikan beberapa institusi yang
dikenali dengan pelbagai nama seperti pondok, pesantren, madrasah dan dayah (Acheh).
Hasilnya, muncul ramai ulama di rantau Alam Melayu seperti Hamzah Fansuri, Abdul Rauf
al-Singkeli dan lain-lain.
Walaupun ada sikap sesetengah golongan agama yang mencetuskan konflik namun tragedi
ini tidak mengguris sedikit pun martabat agama dalam pemikiran masyarakat Asia. Agama
dan golongan penguasanya tetap berada pada kedudukan yang tinggi. Antara contoh sikap
golongan agama yang mencetuskan konflik seperti tindakan Paus Urban II sama ada
mengadakan perjumpaan besar-besaran dengan penganut Kristian di Perancis pada tahun
1095 M. Beliau menyeru penganut Kristian supaya memerangi orang Islam yang dikatakan
bertindak zalim pada penganut Kristian. Demikian juga sikap seorang pemerintahan Dinasti
Han yang menangkap dan memenjarakan segolongan sami dan penganut Buddha. Kedua-dua
tindakan pemimpin ini telah mencetuskan konflik dalam masyarakat.
2.1.3 Kedudukan Geografi
Kedudukan geografi melibatkan bentuk muka bumi dan kemudahan perhubungan dalam
sesebuah masyarakat bertamadun. Sejarah membuktikan kedudukan geografi memainkan
peranan sebagai pembentuk interaksi antara tamadun. Contoh berikut memperlihatkan
peranan geografi:
i. Cina: Interaksi antara tamadun asing pesat berlaku kerana terdapat 2 laluan iaitu laluan
sutera yang menggunakan jalan darat dan jalan laut. Laluan perhubungan ini telah
menyebabkan Cina mampu menjalin interaksi dengan negara Arab sejak tahun 3 Masihi lagi.
Laluan sutera darat ini telah menghubungkan Cina dengan Khurasan, Samarqand, Xinjiang
hingga ke Peking. Laluan laut pula merentasi Laut Arab ke Benua Kecil India, Kepulauan
Melayu hingga ke Canton di tenggara Cina. Laluan ini membolehkan kedua negara ini
berinteraksi dan menjalankan aktiviti perdagangan. Terdapat catatan mengatakan kapal-kapal
Cina telah pun sampai di Teluk Parsi dan berdagang di Pelabuhan Siraf pada 5 Masihi.
ii. Pelabuhan Melaka – Kedudukan geografi yang strategik dan terlindung dari angin monsun
menjadikan pelabuhan ini tempat tumpuan dan persinggahan para pedagang. Semasa singgah
di pelabuhan ini para pedagang telah menjalankan aktiviti perniagaan di pelabuhan Melaka.
2.1.4 Perkahwinan
Perkahwinan juga memainkan peranan penting dalam pembentukan interaksi antara tamadun
Asia. Contoh yang jelas dapat dilihat pada lembaran sejarah dan salasilah masyarakat di
rantau Alam Melayu. Penduduk tempatan telah menjalinkan interaksi dengan pedagang Arab
sahingga terdapat sebilangan pedagang yang telah berkahwin dengan gadis tempatan kerana
telah bermukim di pelabuhan Alam Melayu dalam beberapa waktu sementara menunggu
angin monsun. Secara tidak langsung perkembangan ini telah menjurus ke arah proses
Islamisasi kerana bagi membolehkan wanita tempatan berkahwin dengan pedagang Arab
yang beragama Islam, wanita tersebut mesti diislamkan terlebih dahulu. Sejarah turut
mencatatkan, perkahwinan ini tidak sahaja mengislamkan gadis tempatan yang dikahwini
pedagang Arab, tetapi kaum keluarga gadis turut menerima Islam. Selain itu, perkahwinan
bukan sahaja berlaku di kalangan rakyat jelata, malah juga berlaku di kalangan golongan
bangsawan dan pemerintah. Sebagai contohnya, perkahwinan Megat Iskandar Shah dengan
Puteri Pasai.
2.1.5 Perdagangan
Aktiviti perdagangan turut menjadi faktor penjalin interaksi antara tamadun. Sebagai
contohnya hubungan perdagangan yang berlaku antara Arab dan Cina melalui jalan darat dan
laut. Hubungan telah terjalin sejak 3 Masihi lagi dan semakin rancak pada abad 8 Masihi.
Pedagang Arab dan Parsi telah membuat penempatan seperti di Kwang Cho (Canton), Chang
Chow dan Chuan Cow. Mereka juga telah mendirikan masjid di Guangzhou dan Guanzhou.
Situasi ini membuktikan berlaku Islamisasi di wilayah ini.
Contoh lain ialah interaksi yang terjalin antara tamadun Alam Melayu di Asia Tenggara
dengan negara Arab. Jalinan ini berlaku secara tidak langsung apabila pedagang Arab yang
menuju ke Cina terpaksa singgah ke Alam Melayu untuk menunggu angin yang sesuai
sebelum ke Cina atau pulang ke Arab. Persinggahan ini telah menghasilkan interaksi baru di
rantau Alam Melayu. Hal yang lebih menguntungkan ialah berlakunya proses Islamisasi di
pelabuhan ini sebagaimana catatan Marco Polo tentang pengislaman Perlak pada tahun 1292
M. Para pedagang telah berjaya menarik minat penduduk Perlak terhadap Islam dan akhirnya
mereka bersediaanutan baru ini. Kejayaan para pedagang yang boleh dikatakan sebagai
“serampang dua mata” banyak bergantung kepada keyakinan mereka kepada hadis Rasulullah
SAW yang bermaksud "Sampaikan dariku walaupun satu ayat." Selain itu, wujud juga
interaksi antara Tamadun India dengan rantau Alam Melayu sejak kurun pertama masihi lagi.
Kesan interaksi ini menyebabkan nama wilayah Asia Tenggara dicatat dalam kitab Ramayana
seperti isrilah Suvarnadvipa yang bermaksud “Semenanjung Emas” dan Suvarnabhumi yang
bermaksud “Bumi Emas”.
2.1.6 Misi Politik
Faktor misi politik turut menggalakkan berlakunya interaksi dalam suasana harmoni
sebagaimana yang dapat dilihat pada hubungan diplomatik antara Alam Melayu dengan Cina.
Berdasarkan catatan sejarah Melaka hubungan diplomatik dengan Cina telah terjalin sejak
tahun 1404 M. Pada tahun-tahun berikutnya, Melaka telah menerima beberapa utusan dari
Cina yang kemudiannya Melaka telah membalas utusan tersebut. Tujuan Melaka
mengadakan hubungan baik dengan Cina adalah untuk mendapat perlindungan dari ancaman
Siam. Persetujuan Cina terbukti dengan penghantaran Laksamana Cheng Ho yang beragama
Islam ke Melaka. Dasar perlindungan Cina terhadap negeri-negeri di rantau Alam Melayu
yang bertujuan politik secara tidak langsung menggalakkan Islamisasi di rantau Alam
Melayu. Perlindungan ini juga memberikan impak yang sama kepada negeri-negeri di
Kepulauan Melayu yang lain seperti Kedah, Johor, Kampar dan sebagainya.
2.2 PERSAMAAN DAN PERBEZAAN
Di antara persamaan dan perbezaan antara tamadun adalah merangkumi aspek-aspek berikut:
2.2.1 Teologi/ketuhanan dan kerohanian
Semua tamadun menekankan konsep ketuhanan dan mempunyai dokrin serta amalan-amalan
tertentu sama ada berbentuk spiritual mahupun ritual. Begitu juga dari sudut kepercayaan lain
seperti kehidupan selepas mati, kepercayaan terhadap pembalasan perbuatan manusia di
dunia dan lain-lain yang bersangkutan dengan perbuatan manusia. Perbezaan yang ketara
berpunca daripada manifestasi ketuhanan yang ada pada setiap agama.
Konsep ketuhanan dalam tamadun Islam adalah tauhid. Konsep tauhid dalam Islam berbeza
dengan manoteisme dalam agama Kristian dan Hindu. Tauhid menekankan kepercayaan
kepada Tuhan yang Maha Esa. Syirik adalah lawan kepada kepercayaan Tauhid dan ditolak
oleh Islam. Dalam tamadun Islam, hak kebebasan beragama adalah terpelihara seperti tercatat
dalam Perlembagaan Madinah. Perkhabaran ini disampaikan terus dari Allah SWT melalui
firman-Nya yang bermaksud:
“Katakanlah: Dialah Allah Yang Esa. Allah tempat bergantung kepada-Nya segala sesuatu.
Dia tidak beranak dan tidak pula diperanakkan. Dan tidak ada satupun yang setanding
dengan-Nya.”
(al-Ikhlas: 1-3)
Pada peringkat awal, agama Kristian merupakan agama samawi yang mempercayai Tuhan
yang Esa (tauhid). Namun ia telah dipengaruhi oleh unsur-unsur khurafat dan pemujaan
kepada Isa al-Masih apabila Paul menganut Kristian pada tahun 38 M. Sebelum menerima
agama Kristian, beliau merupakan penentang kuat agama dan penganut Kristian (An-
Nadawy, 1984:32). Ini merupakan titik peralihan dalam pengajaran agama Kristian (Ahmad
Shalaby, 1978: 67) Hal ini dirakamkan dalam Bible atau al-Kitab1, bab kisah para rasul 9:
19b-20:
”Ketika itu juga ia memberitakan Jesus di rumah-rumah ibadat, dan mengatakan bahawa
Jesus adalah anak Allah.”
Sehubungan itu, muncul fahaman baru dalam ajaran Kristian. Kepercayaan monoteisme
dalam agama Kristian telah diubahsuai berasaskan kepada Trinity atau Tri-Tunggal yang
terdiri daripada tiga oknum iaitu Tuhan anak, Tuhan bapa dan Roh al-Kudus (Ahmad
Shalaby, 1978: 82-83) yang bersatu menjadi satu. Inilah yang dikatakan ”Tiga dalam satu dan
satu dalam tiga.”
Demikian juga teologi agama Hindu. Moniteisme dalam agama Hindu berasaskan kepada
Trimurti iaitu menempatkan tiga dewa yang menjadi sembahan mereka, (A. Rahman
Abdullah, 1989:25) iaitu:
1. Brahma - Dewa pencipta sebagai sumber kepada semua kewujudan.
2. Vishnu - Dewa pemelihara.
3. Siva - Dewa pemusnah
Pada asasnya, penganut Hindu mempercayai kewujudan satu Tuhan yang agung iaitu Brahma
(M. Arif Kasmo, 1999). Namun penyembahan terhadap Tuhan Yang Satu tidak dapat
dipertahankan kerana agama Hindu membolehkan Tuhan digambarkan dalam pelbagai
bentuk dan penjelmaan dewa sehingga melahirkan pelbagai bentuk patung sembahan. Malah
ada yang berpendapat konsep ketuhanan dalam agama Hindu adalah bersifat Politeisme.
Konsep hidup selepas mati dalam Islam merupakan sebahagian daripada kepercayaan
terhadap hari akhirat. Manusia akan diadili dan diperlihatkan segala amal semasa di dunia.
Allah berfirman yang bermaksud:
”Barang siapa yang mengerjakan kebaikan sebesar zarrah pun nescaya dia akan melihat
(balasan)nya. Dan barang siapa yang mengerjakan kejahatan seberat zarrah pun nescaya dia
akan melihat (balasan)nya pula.”
(al-Zalzalah: 7-8)
Pada masa ini segala perbuatan manusia yang baik akan dibalas baik seperti menikmati
kehidupan syurga. Manakala yang durhaka kepada Allah SWT akan dibalas dengan
keburukan seperti kesengsaraan hidup di neraka. Allah berfirman yang bermaksud:
”Sesungguhnya orang-orang kafir iaitu ahli kitab dan orang-orang musyrik (akan masuk) ke
neraka Jahannam. Mereka kekal di dalamnya. Mereka itu adalah seburuk-buruk makhluk.
Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal saleh, mereka itu adalah
sebaik-baik makhluk. Balasan mereka di sisi Tuhan mereka ialah syurga Adn yang mengalir
di bawahnya sungai-sungai. Mereka kekal di dalamnya selama-lamanya. Allah reda terhadap
mereka dan mereka pun reda kepada-Nya. Yang demikian itu adalah (balasan) bagi orang
yang takut kepad Tuhannya.”
(al-Bayyinah: 6 - 8).
Doktrin karma yang merupakan doktrin asas dalam agama Hindu mempunyai persamaan
dengan doktrin karma dalam agama Buddha yang berkaitan rapat dengan konsep re-inkarnasi
(kelahiran semula atau penjelmaan semula). Karma merupakan konsep pembalasan setimpal
terhadap usaha dan perlakuan manusia ”yang baik dibalas baik, yang jahat akan menerima
balasan buruk” (Azhar Mat Aros dll, 2000:63). Inilah yang disebut sebagai hukum karma
dalam masyarakat Melayu.
Terdapat perbezaan dalam konsep re-inkarnasi dalam agama Hindu dan Buddha. Konsep re-
inkarnasi dalam agama Hindu membawa maksud seseorang itu akan menjelma semula
selepas kematiannya dalam bentuk manusia. Konsep ini berasal dari penjelmaan semula
dewa-dewa Hindu. Dalam ajaran agama Hindu, kehidupan merupakan kesengsaraan dan
kelahiran semula yang berulang-ulang mengundang kesengsaraan selagi mereka tidak
mencapai mokhsya. Kelahiran semula yang berulang-ulang dan terus menerima kesengsaraan
dikenali sebagi Samsara. Penganut Hindu mengharap terlepas dari rantaian reinkarnasi
dengan mencapai tahap mokhsa (M. Arif Kasmo, 1999).
Peringkat pertama ajaran Buddha berpusat kepada ajaran untuk melenyapkan karma,
memutuskan lingkaran Samsara dan seterusnya mencapai Nirwana. Cara untuk mencapai
pembebasan mutlak dari lingkaran Samsara terdapat pada doktrin Aryasatyani yang disebut
sebagai Empat Kebenaran Utama (A. Rahman Abdullah: 23), iaitu:
* Hidup adalah penderitaan.
* Penderitaan disebabkan keinginan memenuhi keperluan dunia.
* Penderitaan dapat dihapuskan dengan menindas hasrat atau kehendak.
* Cara menyingkirkan hasrat adalah melalui Astamarga atau Jalan Lapan Lapis.
Dalam aspek perbuatan manusia yang mengaitkan dosa dan pahala, Islam meletakkan konsep
taubat kepada Allah SWT sebagai jalan pengampunan terhadap dosa-dosa yang telah
dilakukan dengan syarat-syarat tertentu. Manakala dalam agama Kristian pengampunan boleh
didapati dengan jalan membuat pengakuan dihadapan seorang padri di gereja.
Dalam konteks Malaysia, hak-hak kebebasan beragama telah dijamin oleh Perlembagaan
Persekutuan Malaysia, Perkara 11 (1) yang menyebutkan seperti berikut:
”Tiap-tiap orang adalah berhak menganuti dan mengamalkan agamanya dan tertakluk kepada
Fasal (4) untuk mengembangkan agamanya.”
Sehubungan itu, untuk mewujudkan suasana bersatu padu walaupun rakyatnya terdiri dari
pelbagai kaum dan kepercayaan, Malaysia wajar menetapkan Rukun Negara 1 (Kepercayaan
kepada Tuhan) kerana kewujudan Tuhan diakui oleh semua agama.
2.2.2 Undang-undang atau peraturan hidup bermasyarakat
Undang-undang merujuk kepada peraturan-peraturan hidup yang wujud dalam masyarakat,
sama ada secara lisan mahupun secara bertulis. Undang-undang ini dihormati dan dipatuhi
oleh setiap ahli dalam masyarakat. Semua tamadun mempunyai undang-undang dan
peraturan dan perbezaannya hanyalah dari segi sumber, penguatkuasaan dan beberapa
persoalan pokok lain.
Tamadun Islam mempunyai sumber asas yang hakiki iaitu bersumberkan wahyu dalam
bentuk al Quran dan al Sunnah. Sifatnya yang kekal, memiliki kekuatan dan ketahanan dalam
menempuh tentangan zaman. Di samping sumber ijtihad para cendikiawan muslim, terdapat
sumber lain yang diperakui daripada tamadun terdahulu yang menepati sifat keterbukaan
tamadun Islam.
Dalam konteks hidup bermasyarakat, Islam menggalakkan hidup saling kenal mengenal
antara satu sama lain seperti yang termaktub dalam pengertian surah al-Hujurat: 13 yang
bermaksud :
” Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan
perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya
kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu Dengan Yang lain). Sesungguhnya
semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang Yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan
Yang lebih keturunan atau bangsanya).”
Malah diskriminasi adalah merupakan satu jenayah. Di bawah konsep hidup bersama dan
saling mengenali ini lahir dasar-dasar lain seperti kebebasan beragama, hak keselamatan,
keadilan dan perundangan yang semuanya dijamin oleh pemerintah. Inilah yang diamalkan
oleh negara Islam Madinah yang diasaskan oleh Rasulullah SAW dan prinsip ini kekal
hingga ke hari kiamat (Idris Zakari, 2003: 29-46).
Manakala sumber undang-undang dan peraturan hidup dalam tamadun lain terletak pada
pemikiran para pujangga dan cerdik pandai di kalangan mereka. Contohnya, Tamadun Cina
berasaskan kepada falsafah Kung Fu Ze dan Taoisme serta ajaran Gautama Buddha.
Pemikiran mereka mengandungi beberapa peraturan, tata cara atau perilaku seseorang dalam
kehidupan dan persekitaran. Dalam hal ini, Kung Fu Ze menekankan konsep kesederhanaan
atau jalan tengah sebagai dasar panduan bagi perhubungan dan kesusilaan. Dalam
masyarakat, kasih sayang ditujukan kepada sekelian manusia.
Dalam Tamadun Melayu, orang Melayu telah mengenal Hukum Kanun Melaka dan Undang-
Undang Laut Melaka lebih sepuluh abad yang lalu (Undang-Undang Melaka, 2003)
seterusnya diikuti oleh undang-undang negeri yang lain. Orang Melayu juga memiliki
peraturan hidup bermasyarakat yang disebut sebagai hukum adat atau sistem nilai Melayu
(Ali Taib & Hashim Musa, 1978: 84). Hukum adat orang Melayu tidak menyimpang daripada
kehendak syara’. Seperti kata perbilangan Melayu:
“Adat bersendi hukum’
Hukum bersendi kitabullah”
Dalam konteks hidup bermasyarakat, orang Melayu masih kental dengan semangat
perpaduan dan saling tolong menolong antara satu sama lain. Perasaan persaudaraan dan
sikap saling bantu membantu ini tergambar dalam melakukan kerja-kerja berat secara
bersama. Bak kata pepatah Melayu:
Serasa sepenanggungan
Ke bukit sama didaki
Ke lurah sama dituruni
Yang berat sama di pikul
Yang ringan sama dijinjing
Hati gajah sama di lapah
Hati kuman sama dicicah
Bulat air kerana pembetung
Bulat manusia kerana muafakat
Inilah gambaran kehidupan bermasyarakat di kalangan orang Melayu yang amat sesuai
dengan cara hidup Islam seperti yang terakam dalam beberapa surah al Quran di bawah :
Sebenarnya orang-orang Yang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanlah di antara
dua saudara kamu (yang bertelingkah) itu; dan bertaqwalah kepada Allah supaya kamu
beroleh rahmat.
(al Hujurat : 10)
” Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (ugama Islam), dan janganlah
kamu bercerai-berai; dan kenanglah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu bermusuh-
musuhan (semasa jahiliyah dahulu), lalu Allah menyatukan di antara hati kamu (sehingga
kamu bersatu-padu Dengan nikmat Islam), maka menjadilah kamu Dengan nikmat Allah itu
orang-orang Islam yang bersaudara”
(ali Imran : 103)
” dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa, dan
janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan. dan
bertaqwalah kepada Allah, kerana Sesungguhnya Allah Maha berat azab seksaNya (bagi
sesiapa Yang melanggar perintahNya)”.
(al Maidah : 2)
Fenomena ini telah menjadi budaya dalam kehidupan seharian, malah jati diri bangsa Melayu
(Hamdan Hassan & Sofian Mohamad, 1978:17-40).
Dalam konteks Malaysia, penggunaan undang-undang syara’ terletak dalam bidang kuasa
negeri-negeri yang meletakkan raja sebagai ketua agama seperti yang termaktub dalam
Perkara 3 (2) Perlembagaan Persekutuan. Bagi negeri-negeri yang tidak beraja dan wilayah-
wilayah persekutuan kuasa agama terletak di bawah bidang kuasa Yang Di Pertuan Agong
sebagai ketua agama. Ia selaras dengan peruntukan Perlembagaan Persekutuan, Perkara 3 (3)
dan Undang-Undang Anak Negeri yang masih diamalkan dikalangan masyarakat bumiputera
Sabah dan Sarawak. Dalam kehidupan seharian masyarakat Malaysia, walaupun berbilang
kaum dan keturunan serta kepercayaan, sikap berbaik-baik dan saling menghormati antara
satu sama lain menjadi kunci perpaduan bagi meneruskan tamadun bangsa. Amalan berbudi
bahasa dan saling menghormati kini dijadikan slogan Negara, “Berbudi bahasa amalan hidup
kita”. Anjuran amalan hidup begini tiada tentangan daripada pelbagai kaum di Malaysia
2.2.3. Etika
Etika merupakan perilaku atau tingkah laku yang baik, disanjung dan diambil berat oleh
setiap tamadun Asia. Perbezaan dari sudut sumber dan pandangan sarwa jagat setiap tamadun
boleh dilihat pada aspek-aspek berikut:
i. Aspek politik dan Pemerintahan
Kebanyakan tamadun tradisional di dunia menekankan aspek moral dan akhlak sebagai asas
politik dan kerajaan. Islam meletakkan politik dan kepimpinan sebagai suatu perkara penting
dalam cara hidup Islam atau ad-Din. al-Qur’an dan al-Sunnah merupakan rujukan dalam
pemerintahan dan kepimpinan. Prinsip utama yang diberikan penekanan oleh Rasulullah
SAW ialah prinsip syura, ‘adalah, musawah dan hurriyah. Oleh itu, pemimpin dilantik dari
kalangan individu yang layak dan mampu melaksanakan keadilan dan menunaikan amanah
kepimpinan. Amanah ini merupakan tunggak kepada kesejahteraan masyarakat. Sistem syura
yang diamalkan membawa keadilan sejagat. Konsep mesyuarat atau syura ini telah diteruskan
oleh para khalifah selepas kewafatan Nabi SAW.
Konsep dewaraja telah diamalkan dalam tamadun awal masyarakat Melayu. Raja merupakan
manusia suci yang mesti dihormati dan dipatuhi (A. Rahman Abdullah:26-27). Lanjutan itu,
konsep daulat dan kesetiaan kepada raja mengambil tempat selepas kedatangan Islam. Raja
dianggap sebagai wakil Tuhan atau dikenal sebagai khalifah dalam Tamadun Islam (lihat al-
Baqarah, 2:30) Konsep kesetiaan kepada raja melahirkan kata-kata “Pantang Melayu
derhaka”. Penderhakaan merupakan jenayah paling berat dalam budaya Melayu seperti
hukuman yang diterima oleh Hang Jebat. Dalam tradisi Islam, raja atau pemerintah dituntut
supaya berlaku adil dan menjauhi kezaliman. Trajedi yang berlaku terhadap Megat Seri Rama
seperti mana yang digambarkan dalam sejarah “Sultan Mahmud Mangkat dijulang” perlu
dijadikan sempadan. Hubungan raja dengan rakyat digambarkan dengan kata-kata; “Raja adil
raja disembah, raja zalim raja disanggah” (A. Aziz Deraman, 2005:111-142). Contoh
pembesar atau pegawai kerajaan yang baik dibawakan oleh Hang Tuah sebagai pahlawan
Melayu yang patuh dan setia kepada raja. Demikian juga kesetiaan Tun Perak kepada Sultan
Melaka.
Selepas melalui era penjajahan lebih empat abad lamanya (1511-1957M), Tanah Melayu
telah wujud sebagai sebuah negara merdeka pada 31 Ogos 1957. Negara ini mengamalkan
sistem politik dan pemerintahan Raja Berperlembagaan, iaitu Raja sebagai payung negara dan
rakyat berlindung di bawahnya. Yang Dipertuan Agong merupakan pelindung kepada hak-
hak istimewa orang Melayu seperti yang tercatat pada Perkara 153, Perlembagaan
Persekutuan. Ia kemudiannya diikat kukuh dengan kontrak sosial yang dipersetujui oleh
semua kaum yang ada di Malaysia.
Dalam Tamadun Cina, ajaran Konfusius telah memberi garis panduan hubungan antara
pemerintah dengan rakyat. Pemerintah mesti berperanan sebagai bapa kepada rakyatnya.
Maknanya, seorang raja mesti memiliki moral yang tinggi kerana berfungsi sebagai
pelindung kepada rakyat. Jika sebaliknya yang berlaku, mandat ini akan ditarik balik oleh
Tien (Tuhan), namun rakyat tidak dianjurkan supaya menentang raja. Seorang pengikut
Konfusius menyifatkan raja umpama kapal manakala rakyat umpama air (Azhar Mad Aros.:
70). Di sini wujud konsep bantu-membantu antara satu sama lain dan raja mesti bersikap adil
terhadap rakyat.
Tamadun Barat mengamalkan sistem demokrasi dalam pemerintahan selepas berada dalam
pemerintahan bersifat otokrasi atau sistem beraja yang bersifat monarki yang berlanjutan. Ia
diambil dari sistem demokrasi Yunani yang berkonsepkan pemimpin dilantik oleh orang
ramai, dikalangan orang ramai dan untuk orang ramai (Ahmad Rashidi Hasan, 2005: 44). Ini
adalah kesan dari gerakan Renaissance (1350-1600M) yang wujud dalam tamadun Barat.
ii. Aspek pendidikan
Pendidikan merupakan aspek terpenting dalam setiap tamadun. Ia bertujuan membentuk
peribadi seseorang individu dan menghapus kejahilan yang boleh menghalang peningkatan
minda dan intelektual masyarakat. Menyebar dan mencari ilmu pengetahuan merupakan
tugas manusia yang dipandang mulia oleh setiap tamadun.
Dalam Tamadun Islam, pendidikan Islam berteraskan tauhid. Proses pendidikan bermula
pada peringkat seawalnya, iaitu sejak kelahiran seseorang hinggalah ke saat kematian. Ia
bukan saja melibatkan proses pemindahan dan pembudayaan ilmu seperti yang terkandung
dalam surah al-‘Alaq: 1-5, tetapi turut menjurus kepada proses mendidik roh, akal dan jasad
yang mampu melahirkan seorang insan berakhlak mulia, intelektual dan profesional. Elemen
ini amat penting dan merupakan pra-syarat bagi seorang manusia yang akan berfungsi
sebagai penggerak tamadun.
Dalam Tamadun Melayu, isu pendidikan begitu ketara apabila orang Melayu menerima
Islam. Wujud dua institusi pendidikan Islam terawal di kalangan orang Melayu, iaitu rumah
alim ulama’, tuan guru dan juga istana. Institusi ini menainkan peranan penting dalam
pembentukan budaya ilmu masyarakat Melayu. Pada zaman seterusnya, institusi pendidikan
lebih beroperasi ditempat yang disediakan khusus untuk melaksanakan pendidikan
masyarakat Melayu, iaitu di madrash, surau, pondok, pesantren, dayah dan lain-lain.
Pada masa pemerintahan British, anak-anak bangsawan Melayu mendapat pendidikan di
institusi pendidikan yang ditubuhkan oleh British seperti Kolej Melayu Kuala Kangsar pada
tahun 1905. Pendidikan di sekolah ini tidak berteraskan pendidikan Islam. Dengan kata lain,
sekolah ini menggunakan kurikulum yang berbeza dari pendidikan yang rata-rata diterima
oleh sebahagian besar masyarakat Melayu. Tahap tertinggi pendidikan di sekolah ini ialah
menyambung pelajaran ke institusi pendidikan di Barat terutamanya di London. Bagi
masyarakat Melayu bawahan, mereka masih tetap mendapat pendidikan tertinggi dalam
sistem pendidikan Islam. Mereka berpeluang meneruskan pengajian ke universiti di Timur
Tengah seperti Universiti al-Azhar di Mesir, Universiti Madinahmahupun institusi pengajian
tinggi di Mekah (Abdullah M. Zin, 2005:18)
Pendidikan Barat di Alam Melayu bermula dengan tertubuhnya sekolah-sekolah bercorak
keagamaan ala-barat. Sekolah pertama adalah Sekolah St. Paul di Melaka yang didirikan oleh
Francis Xavier pada tahun 1550-1553 M (Khoo Kay Kim, 1992:62). Selain itu, terdapat
banyak lagi sekolah-sekolah missionari yang didirikan seperti Sekolah Methodist, Convent,
St. John, St Teresa, St. Gabriel dan lain-lain.
Ajaran agama Buddha dan Hindu turut menekankan aspek pendidikan yang berlaku melalui
proses ”mencari diri sendiri” (self-discovery). Ilmu dan amalan kerohanian juga merupakan
elemen penting dalam melahirkan seorang yang baik.
iii. Aspek ekonomi
Kelangsungan sistem ekonomi dalam tamadun awal manusia menjadikan moral sebagai paksi
utama. Dari fahaman ini muncul hak-hak kehidupan yang seimbang antara ekonomi dan
moral. Nilai yang hampir sama wujud dalam semua tamadun. Antaranya menolak amalan
rasuah, penipuan dan penindasan. Sebagai gantinya amalan-amalan murni dalam kegiatan
ekonomi seperti membuat kebajikan, bersedakah dan membela golongan miskin dan lemah
amat dianjurkan.
Kegiatan ekonomi dalam Islam turut berfungsi untuk mempertingkatkan akhlak individu dan
masyarakat. Konsep halal dan haram serta untung rugi banyak dibicarakan di dalam al-
Qur’an. Ini bertujuan untuk menjelaskan pentingnya konsep ini diambil kira dalam kehidupan
seharian. Penipuan, riba dan bentuk-bentuk penyelewengan lain adalah ditegah dalam Islam.
Walaupun terdapat banyak batasan mengenai kegiatan ekonomi dalam Islam, Rasulullah
SAW tetap menekankan kepentingan aktiviti ekonomi melalui sabdanya yang bermaksud
“Sembilan persepuluh rezeki adalah daripada sumber peniagaan dan perdagangan”.
Zakat pula merupakan unsur ekonomi Islam yang berfungsi memberi jaminan sosial kepada
masyarakat Islam. Zakat tidak hanya tertumpu kepada zakat fitrah atau zakat badan yang
berfungsi untuk membersih diri, tetapi juga zakat perniagaan dan lain-lain. Ia merupakan satu
bentuk kebajikan dalam masyarakat Islam terutama kepada golongan yang berhak
menerimanya yang terdiri daripada 8 asnaf. Malah zakat mampu mempertingkat kualiti
kehidupan golongan fakir dan miskin dan menjana ekonomi mereka di samping umat Islam
seluruhnya. (Norsiah Sulaiman, 2004:84-85). Pelbagai sektor ekonomi digalakkan oleh Islam
termasuk pertanian, penternakan, pembuatan, perlombongan, perindustrian dan aktiviti
import dan eksport yang hasilnya menjadi sumber pendapatan negara Islam yang terkumpul
di dalam institusi kewangan umat Islam yang dikenali sebagai Baitulmal.
Ajaran Buddha menganjurkan Jalan Lapan Lapis (eight fold path). Ia bertujuan supaya
manusia dapat menjalani hidup dalam keadaan suci dan bersih daripada sebarang runtunan
hawa nafsu yang disebut sebagai Astamarga.
Tamadun Cina yang dipengaruhi kuat oleh falsafah Konfusius memandang rendah kepada
golongan pedagang kerana menganggap golongan ini sentiasa terlibat dengan penipuan dan
keuntungan yang dilihat sebagai elemen-elemen buruk. Justeru itu, fahaman ini lebih
memberi perhatian kepada golongan petani.
Tamadun Barat yang berasaskan pemikiran sekular dan ideologi manusia memperkenal
sistem ekonomi kapitalis yang lebih mengutamakan keuntungan material dan kebangkitan
individu atau kumpulan tertentu sebagai kuasa pasar. Sistem ini berdasarkan teori Adam
Smith (1723-1790M). Bagi Smith, sistem pengeluaran sesebuah negara terdiri daripada tiga
unsur iaitu sumber alam, sumber manusia dan stok barang (kapital) yang ada. Hal ini jelas
dibicarakan dalam bukunya Wealth of Nation (1776) yang menghuraikan secara terperinci
pertumbuhan ekonomi kapitalis (Boediono, 1982:14). Pengamalan sistem ekonomi kapitalis
telah mendorong ke arah penubuhan institusi kewangan atau bank di Barat seawal tahun
1587M.
Dalam konteks Malaysia, negara ini mengamalkan ekonomi konvensional, namun ekonomi
Islam telah mula dilaksanakan dalam bidang kewangan Islam apabila tertubuhnya Bank Islam
Malaysia Berhad dibawah Akta Bank Islam 1982. Selanjutnya Takaful Islam telah
diwujudkan di bawah Akta Takaful 1984, Pajak Gadai Islam (al-Rahn), Sekuriti Islam dan
Bon Islam. Hari ini sistem muamalat Islam telah diterima sebagai suatu sistem yang diterima
pakai oleh semua kaum di Malaysia.
iv. Aspek kekeluargaan
Aspek kekeluargaan dan masyarakat diterima oleh hampir semua tamadun di dunia. Tamadun
Islam meletakkan institusi keluarga sebagai asas pembentukan sebuah masyarakat. Apabila
masyarakat baik, maka wujudlah ummah dan negara yang baik. Sumber masyarakat baik
adalah al-Qur’an, Sunnah Rasul-Nya dan ijtihad para ulama’. Tamadun Islam menetapkan
darjat manusia semua adalah sama di sisi Allah SWT. Kelebihan seseorang ádalah
ketaqwaannya kepada Allah SWT dan juga pemilikan ilmu pengetahuan yang bermanfaat.
Oleh kerana itu, tidak ada kelebihan orang Arab dari orang ajam (bukan Arab)
Ajaran Konfusius yang menjadi asas Tamadun Cina menekankan pentingnya hubungan kasih
sayang dan hiraki kuasa dalam hubungan sesama manusia. Kasih sayang mewujudkan
hubungan harmoni dalam masyarakat. Konfusius memperkenalkan konsep Li yang menekan
lima jalinan hubungan sesama manusia seperti berikut:
* Hubungan maharaja dengan rakyat
* Hubungan bapa dengan anak
* Hubungan abang dengan adik
* Hubungan suami dengan isteri
* Hubungan kawan dengan kawan
Tamadun India yang diasaskan kepada agama Hindu membahagikan manusia kepada empat
golongan atau tingkat tertentu iaitu golongan Brahmin, Kesatriya, Vaisya dan Sudra.
Kekeluargaan dalam Tamadun Melayu pula berasaskan kepada fahaman ajaran Islam.
Hubungan yang terjalin antara ahli keluarga begitu erat. Ibu, bapa, anak-anak dan sanak
saudara menjalankan tugas dan memahami tanggungjawab masing-masing. Fahaman
mengenai setiap tanggungjawab amat berkait rapat dengan ajaran agama Islam. Sebagai
contohnya, tanggungjawab bapa mencari rezeki dan memberi perlindungan kepada keluarga
terlaksana dengan jayanya. Demikian juga tanggungjawab ibu mendidik anak ditunaikan
dengan sempurna.
v. Aspek Kesenian dan Kebudayaan
Maksud hadis yang mengatakan ”Allah SWT itu indah dan suka kepada keindahan” menjadi
titik tolak seni Islam. Islam percaya bahawa kesan dari kehidupan beragamalah yang
melahirkan seni dalam Islam. Oleh yang demikian, karya seni dalam Islam merupakan
kefahaman muslim terhadap keindahan syurga yang tidak mampu dinukilkan. Keindahan
yang paling hebat ini adalah untuk menyatakan kekuasaan dan kehebatan Allah SWT sebagai
Maha Pencipta. Seni bina dalam Tamadun Islam juga telah mampu melahirkan banyak seni
bina indah seperti masjid di serata dunia sehingga menjadi mercu tanda kegemilangan
Tamadun Islam hingga ke hari ini. Begitu juga dengan seni khat yang mempunyai pelbagai
jenis seperti Khat Kufi, Nasakh, Thuluth dan Farisi mampu mempesonakan sesiapa saja.
Perbezan seni Islam dengan seni dari tamadun lain terlihat pada falsafah seni Islam yang
berteras tauhid walaupun terhasil pada pelbagai aneka karya seni. Contohnya, seni Barat lahir
dari penghayatan terhadap konsep ketuhanan yang digambarkan dalam bentuk pahatan
patung-patung. Tamadun Barat yang bersandar pada Tamadun Yunani berpegang pada
fahaman kesempurnaan Tuhan dan manusia yang dicernakan pada karya seni terutama seni
arca dan seni pahatan. (Ahmad Rashidi Hassan, 2005:48-49). Malah pada zaman
Renaissance, penghasilan seni masih bertemakan cerita-cerita dari Bible di samping cerita
dewa-dewi Yunani kuno. Kebanyakan lukisan dibuat untuk kepentingan gereja (A. Djelantik,
1999:124)
Seni atau keindahan menurut agama Buddha dapat diklasifikasikan kepada empat jenis iaitu
keindahan perhiasan, keindahan jasmani, keindahan tingkah laku dan keindahan batin.
Menurut Buddha, manusia dapat memiliki keindahan melalui dua Darma indah yang terdiri
dari Khanti dan Soracca (A. Djelantik, 1999:192). Dalam Tamadun India, kesenian lahir dari
usaha para seniman untuk mewujudkan bentuk dari sesuatu yang tidak berbentuk semasa
berlaku kosentrasi diri atau proses meditasi. Gambaran dewa-dewa dihubungkan dengan
sikap, warna dan ekspresi tertentu dan gambaran dewa-dewa timbul dalam gambaran fikiran.
Akhirnya seniman melukiskan gambaran tersebut dalam media seperti kanvas dan bentuk
arca. Dalam ajaran Hindu dan Buddha terdapat kesamaan idea dan pandangan yang
mengatakan bahawa dalam fikiran dan gambaran dalam jiwalah yang dapat dikatakan sebagai
seni (Ibid:195) . Dalam Tamadun Cina, karya seni rupa merangkumi seni lukis dan seni
kaligrafi. Seni lukis Cina menjadikan unsur alam harmoni sebagai tema utama. Penghasilan
karya tema ini jelas terpapar pada unsur tumbuh-tumbuhan terutaam pokok buluh, unsur
haiwan terutama burung bangau putih dan unsur alam sekitar terutama sungai. Konsep dan
teknik keindahan seni ini meresap dalam seni rupa yang lain.
Malaysia sebagai sebuah negara yang berbilang kaum dan keturunan mempunyai bentuk-
bentuk kesenian yang pelbagai. Rakyat Malaysia lahir dari rasa cintakan perpaduan dan
keamanan. Pemerintah telah membentuk satu dasar kebudayaan Malaysia yang menetapkan
seni dan budaya Malaysia ialah seni dan budaya Melayu, walaupun dasar ini masih menerima
seni dan budaya etnik lain. Dasar budaya ini dikenal sebagai Kebudayaan Kebangsaan. Oleh
itu, dasar ini menggabungkan semua unsur budaya masyarakat yang ada di Malaysia.
(Hamdan Hassan:11-16).
vi. Aspek alam sekitar
Tamadun Islam dan tamadun Asia lain amat menyanjung alam sekitar. Islam menghargai
alam sekitar yang merupakan tanda-tanda kewujudan Allah SWT. Seluruh alam dan
persekitarannya merupakan amanah kepada manusia sebagai khalifah yang berfungsi sebagai
pembangun alam ini seperti yang dapat difaham pada firman Allah dalam surah Hud: 61.
Demikian juga Tamadun Melayu dan masyarakat peribuminya turut menghargai alam sekitar.
Malah, bagi masyarakat peribumi Malaysia seperti etnik Iban dan Senoi mereka memuja
alam terutama semasa upacara pesta menuai. Mereka percaya wujud unsur-unsur roh yang
menyelinap ke dalam semua kejadian alam seperti tumbuh-tumbuhan. Menurut doktrin
Hindu, alam semesta ini terdiri dari Jamudvipa. Di tengah-tengah alam semesta terdiri
Gunung Meru yang di kelilingi oleh matahari, bulan dan bintang. Sehingga dikatakan
Gunung Meru dibawa separuh ke Pulau Jawa dari Jamudvipa, India untuk menjadi tempat
tinggal Betara Guru di Pulau Jawa.
Lao Tze telah mengemukakan falsafah tao sebagai suatu kekuatan di mana manusia cuba
menjalin dirinya dengan alam. Konsep ini menyamai konsep Wu-Wei dalam aliran Konfusius
yang mendorong manusia mengambil jalan pertengahan antara dua aktiviti tertinggi dan
istirehat tertinggi. Mereka menafsir bahawa kehidupan yang berlaku di alam ini adalah hasil
dari pergerakan alam yang berterusan. Seseorang dianggap dapat berhubung dengan alam
apabila dia berjaya menghubungkan dirinya dengan tao melalui pembersihan jiwa atau
mengosongkan diri dari dua perkara yang keterlaluan. (Idris Zakaria: 40)
vii. Aspek institusi agama
Setiap agama memiliki institusi tersendiri sebagai pusat kegiatan keagamaan mereka.
Institusi-insitutusi ini adalah seperti berikut:
a. Masjid
Ia merupakan institusi agama dalam Islam. Masjid bermaksud tempat sujud atau tempat
beribadah kepada Allah SWT. Sebagaimana ibadah dalam Islam amat luas maksudnya,
begitu jugalah fungsi masjid. Masjid tidak terbatas sebagai tempat sembahyang semata-mata.
Hal ini telah ditunjukkan oleh baginda Rasulullah SAW semasa hayatnya dengan menjadikan
masjid tempat segala aktiviti umat Islam. Antaranya, masjid berperanan sebagai tempat
bermesyuarat, tempat mengadili masalah masyarakat Islam, tempat menerima dan merawat
pejuang Islam yang cedera dan pelbagai fungsi lain. (S. A. H. Mokhtar,1997:116).
Kepentingan masjid dalam masyarakat Islam menyebabkan pembinaan masjid merupakan
langkah awal semasa Rasulullah SAW berhijrah ke Madinah. Justeru itu terbinalah masjid
pertama dalam Islam iaitu masjid Quba’. Ini diikuti dengan pembinaan Masjid Nabawi di
Madinah, Masjid al-Haram di Mekah, Masjid al-Aqsa di Palestin dan Masjid al-Azhar di
Mesir.
Dalam bidang pendidikan, masjid merupakan institusi terpenting dalam Islam. Di sini umat
Islam memulakan pendidikan awal terutama golongan kanak-kanak. Kanak-kanak dilatih
mengaji al-Qur’an, selain latihan di rumah yang dijalankan oleh ibu bapa sendiri. Masjid juga
berfungsi sebagai pusat pendidikan pelbagai ilmu Islam dan informasi setempat. Sejarah para
ulama awal dalam Islam membuktikan hal ini. Imam Shafie, Imam Maliki dan imam-imam
lain menerima pendidikan ilmu Islam yang luas di masjid-masjid utama di atas.Lanjutan dari
hal ini, para ulama’ merupakan tenaga pengajar dan tempat rujukan masyarakat dalam
pelbagai hal (Ibid:117).
Masjid utama dalam Islam ialah Masjid al-Haram. Ini diikuti dengan Masjid Nabawi, masjid
Aqsa dan lain-lain. Keutamaan masjid-masjid ini bergantung kepada pengakuan dan sejarah
Islam yang bermula pada zaman Rasulullah SAW. Pada satu sudut yang lain, masjid
mempunyai beberapa keistimewaan yang membezakan masjid sebagai tempat ibadat umat
Islam dengan rumah ibadat penganut agama lain. Kewujudan masjid juga berada di segenap
pelusuk dunia. Justeru itu, masjia terbina dalam pelbagai bentuk seni bina. Kesemuanya
bentuk seni bina masjid dapat dibahagi kepada tujuh bentuk, iaitu (Ibid:124-128):
• Maghribi
• Andalusia
• Mesir
• Turki Saljuk
• India
• Iran Safawi
• Turki Uthmani
b. Kuil dan Candi
Kuil merupakan rumah ibadat bagi penganut agama Hindu dan Buddha. Fungsi kuil lebih
luas pada peringkat awal perkembangan dua agama ini. Ia menjadi pusat pendidikan yang
diperlukan oleh sami-sami Hindu dan Buddha. Golongan Brahmin dalam agama Hindu
merupakan sami-sami Hindu yang terpelajar. Mereka adalah golongan yang layak memahami
kitab-kitab suci Hindu seperti kitab Veda, Mahabrata dan Ramayana yang ditulis dalam
bahasa Sanskrit. Begitu juga dalam agama Buddha, sami-sami Buddha menjadikan kuil
sebagai pusat pendidikan dalam memahami ajaran-ajaran Buddha. Sami-Sami Buddha
menyampaikan pengajaran mereka dalam bahasa Pali dan Sanskrit.
Candi merupakan bangunan yang dikaitkan dengan aspek keagamaan. Candi yang terkenal di
rantau Alam Melayu antaranya ialah Candi Borobudur. Candi ini terletak di kaki Gunung
Merapi di kota Jogyakarta, Indonesia yang dibina ketika Dinasti Sailendara sekitar tahun 778-
825M2. Candi ini dipenuhi dengan sangkar-sangkar batu berisi patung Buddha.
c. Gereja
Dalam tamadun Barat gereja masih memainkan peranan sebagai tempat ibadat, pusat
pemahaman agama Kristian dan juga aktiviti masyarakat setempat. Perkembangan ini
akhirnya melahirkan sekolah-sekolah missionary. Dalam bentuk yang formal sekolah
missionari mendapat pembiayaan pihak gereja. (Bhg. II: 147-150)
2.3 Nilai dan Kepentingannya
Nilai adalah satu konsep yang diertikan dengan berbagai maksud dan konotasi. Antaranya,
nilai bermaksud satu kualiti sama ada baik (positif) mahupun buruk (negatif) yang
menghasilkan sesuatu yang dikehendaki. Ia juga bermaksud dasar-dasar moral, prinsip,
piawai ataupun suatu ideal yang dijunjung tinggi oleh sesebuah masyarakat.
Secara amnya, nilai akan ditonjolkan secara lisan atau menerusi perlakuan individu atau
sesuatu kumpulan. Misalnya, seseorang yang menghayati nilai tanggungjawab akan
menunjukkan nilai tersebut dalam percakapan dan perlakuan. Individu ini juga akan
mempertahankan nilai tersebut dan akan mengkritik orang lain yang bersikap tidak
bertanggungjawab. Nilai juga boleh berubah mengikut peredaran masa ataupun terus unggul
mengikut suasana ataupun idealisme sesebuah masyarakat. Contohnya, nilai hormat kepada
orang yang lebih tua telah terhakis dalam masyarakat kosmopolitan tetapi ia kekal dan
penting dalam masyarakat Timur sama ada yang membangun ataupun yang masih mundur.
Matlamat dan tindakan yang dilaksanakan oleh seseorang juga ditentukan oleh nilai. Ini
kerana nilai merupakan satu prinsip atau garis panduan yang disediakan oleh anggota
masyarakat untuk menjalani kehidupan. Nilai adalah suatu piawai yang berkekalan, atau
dalam pengertian yang luas, suatu piawai yang mengaturkan satu sistem perlakuan. Nilai juga
menentukan sesuatu `preference', iaitu sesuatu yang lebih disukai, baik mengenai hubungan
sosial, mahupun mengenai matlamat-matlamat serta ikhtiar untuk mencapainya. Nilai juga
akan bertindak sebagai ukuran yang membantu individu mengenal pasti kedudukannya dalam
sesuatu isu sosial ataupun moral. Tegasnya, nilai bukan sahaja memberi suatu tunjuk arah
kepada seseorang tentang bagaimana dia patut berkelakuan terhadap orang lain, malah
bagaimana untuk menilai tingkah laku sendiri serta orang lain. Nilai juga berfungsi sebagai
dasar untuk menentukan apakah yang harus dicabar, dihujah, diubah atau dipertahankan.
(Abdul Rahman Md Aroff, 1999)
Walaupun semua nilai mempunyai ciri dan fungsi am seperti yang disebutkan di atas, namun
nilai juga boleh dikategorikan dalam kelompok tertentu seperti berikut;
• Nilai agama (Contoh: Kesucian, kesyukuran)
• Nilai Ekonomi (Contoh: Produktiviti, kejayaan)
• Nilai Etika (Contoh: Kejujuran, pemurah)
• Nilai Estetika (Contoh: Keindahan, keselesaan)
• Nilai Politik (Contoh: Hak asasi, patriotisme)
• Nilai Sosial (Contoh: Kejiranan, budi pekerti)
Sistem nilai dalam Tamadun Islam tersimpul pada satu skema yang tersedia dalam ajaran dan
tradisi agama Islam. Sungguhpun wujud kedinamikan dalam hukum-hukum Islam tetapi ia
tidak boleh bercanggah dengan sistem nilai yang disepakati oleh majoriti cerdik pandai Islam.
Sistem nilai dalam Tamadun Islam terdiri daripada hukum berikut (Azhar Hj Mad Aros,
2002);
• Wajib: Nilai yang dilakukan akan mendapat ganjaran/pahala dan jika ditinggalkan berdosa.
Terdapat dalil-dalil atau ayat-ayat al-Qur’an yang jelas mengenai hal ini.
• Sunat: Nilai yang dilakukan akan menghasilkan ganjaran/pahala dan jika ditinggalkan tidak
berdosa.
• Haram: Nilai yang wajib ditinggalkan. Jika dilakukan akan menghasilkan dosa. Terdapat
banyak dalil-dalil dari firman Allah dalam al-Qur’an yang melarang melakukan nilai ini.
• Makruh : Perkara yang dibenci. Jika ditinggalkan mendapat pahala dan sekiranya dilakukan
tidak berdosa.
• Harus: Nilai yang boleh dilakukan dan boleh ditinggalkan. Hukum ini merupakan hukum
asal sesuatu perkara kecuali wujud penjelasan hukum mengenai hal ini.
2.3.1 Nilai Asia dan Nilai Universal
Nilai dalam Tamadun Asia dianggap bersifat kolektif manakala nilai dalam Tamadun Barat
dikatakan bersifat individualistik. Kajian yang dilakukan menunjukkan bahawa nilai kolektif
yang menjadi sifat Tamadun Asia ini dipegang kuat oleh masyarakat Timur. Antaranya
seperti kesopanan, kasih sayang, sederhana, menghormati tradisi, ketaatan, kesetiaan,
menghormati keluarga dan orang yang lebih tua, berpegang kepada agama dan pemaaf.
(Kapoor, Blue, Konsky & Drager: 2000)
Nilai universal pula adalah sesuatu yang abstrak. Berdasarkan laporan UNESCO, nilai
universal yang patut dicambahkan oleh setiap negara ialah ;
• Nilai kedamaian
• Nilai kebebasan dan hak asasi manusia
• Nilai demokrasi
• Nilai pembangunan
Nilai-nilai universal seperti kebebasan dan hak asasi kemanusiaan yang selalu diwar-warkan
oleh pemimpin Barat tidak kurang juga dicurigai oleh pemimpin Asia kerana dianggap cuba
melegitimasikan faham liberalisme politik Barat tanpa mengambil kira kelainan budaya yang
terdapat di Asia. Sebagai tindak balas terhadap tuntutan Barat yang mahukan dunia bukan
Barat menghayati nilai-nilai universal berkenaan, maka lahirlah konsep Nilai Asia.
Konsep Nilai Asia menjadi popular sekitar tahun 1970 an bila ia mula dijadikan retorik oleh
pemimpin Asia seperti Lee Kuan Yew dan diikuti oleh pemimpin Asia lain. Menurut Kishore
Mahbubani (1998), Nilai Asia merujuk kepada sebuah set pengajaran moral dan sosial yang
membawa kepada pembangunan ekonomi yang pesat di negara-negara Asia sejak beberapa
dekad yang lepas. Nilai-nilai ini termasuklah “attachment to the family as an institution,
deference to societal interest, thrift, conservatism in social mores, respect for authority”.
Konsep Nilai Asia ini telah menerima kritikan termasuk oleh sarjana Asia. Antara kritikan
yang kerap dikemukakan ialah ”Nilai Asia sering digunakan sebagai senjata budaya yang
menolak liberalisme Barat, malah membawa kepada menghalalkan ideologi politik sektarian
dan corak pemerintahan kuku besi.” Ini menjadikan Nilai Asia nampak jelik selepas
dilabelkan sebagai satu senjata politik pemimpin Asia yang autoritarian. Namun, kritikan ini
tidak dapat menafikan wujudnya satu perbezaan nilai antara negara-negara di Asia dengan
negara bukan Asia khususnya Barat.
Pada mulanya perbincangan tentang Nilai Asia lebih kerap di sinonim dengan ajaran
Konfusius. Pengaruh tradisi ini telah membangkitkan kekuatan ekonomi dan politik Asia
kerana konsep “Demokrasi Konfusian” mencadangkan penerimaan hierarki dalam
masyarakat, keperluan dalam keharmonian sosial, rasa hormat pada keluarga dan kerajaan
yang bertanggungjawab. Dalam konteks politik menunjukkan keakuran kepada autoriti
pemerintah untuk mendapat “kebaikan bersama” sehingga menjadikan rakyat akur dan
menerima kedudukan dan hierarki pemerintah.
Nilai yang ditekankan dalam tanggapan seperti di atas sebenarnya hanya terjurus kepada nilai
ekonomi yang ada dalam ajaran Konfusius. Falsafah Konfusius dijadikan sandaran dan
disesuaikan mengikut kehendak pemuka awal konsep Nilai Asia. Hasilnya, nilai etika dan
sosial yang lebih menyeluruh telah diabaikan. Penonjolan nilai-nilai dari tradisi agama Asia
yang lain khususnya Islam dan Hindu mula dibicarakan secara lebih meluas kerana setiap
agama pada asasnya mempunyai kekuatan masing-masing dalam memperkatakan soal moral,
etika, kekeluargaan, politik dan lain-lain.
2.3.2 Nilai-Nilai Universal Asia
Tamadun-tamadun Timur mempunyai keserasian antara satu dengan lain sehingga
memudahkan interaksi. Ini disebabkan adanya “nilai-nilai sepunya” antara mereka. Prof.
Syed Naquib al-Attas (1972) mengungkapkannya sebagai nilai kesejajaran. Sejak awal tahun
1970 an lagi beliau telah menyeru ke arah sikap terbuka dalam menilai interaksi antara
tamadun di Asia khususnya di Malaysia dan menekankan hakikat kepentingan pandangan
hidup atau world view yang berteraskan nilai agama dan akhlak dalam sesebuah tamadun.
Perspektif tentang adanya nilai-nilai universal yang sejajar dalam tamadun di Asia yang telah
disuarakan oleh beliau (1972:70) dalam bukunya Islam dalam Sejarah dan Kebudayaan
Melayu berbunyi;
“…Keadaan bertumpunya agama-agama agung di dunia ini di Malaysia janganlah hendaknya
kita anggap sebagai satu kelemahan besar, satu bibit perceraian masyarakat kita; kita harus
mengangapnya sebagai satu keistimewaan dan kebesaran kita di dunia; kita harus tahu
bahawa dalam pandangan hidup agama-agama ini semua lebih banyak terdapat titik
pertemuan daripada yang terdapat dalam ideologi-ideologi politik, bahawa dalam keluhuran
falsafah-falsafah agama-agama Islam, Kristian, Hindu, Buddha, dan ajaran Lao Tzu dan
Kung Fu Tze ada terdapat kesejajaran fahaman dalam bidang-bidang penting yang tentu akan
dapat membantu ke arah memupuk faham keperibadian Malaysia”
Namun ciri dan identiti khusus setiap agama khususnya aspek teologi akan tetap berbeza.
Seperti yang ditekankan oleh Prof. Naquib dalam tulisan beliau, persamaan nilai yang
terdapat dalam tamadun-tamadun Asia hanyalah satu kesejajaran dan bukanlah satu
keselarian ataupun persamaan yang hakiki. Kesejajaran yang cuba diketengahkan oleh Prof.
Naquib ini tidaklah sehingga membawa kepada pluralisme dalam nilai hidup dan agama
sehingga semua agama dianggap sama. Perbezaan tetap ada. Ini ditegaskan lagi oleh Osman
Bakar (1997);
” … with reference to Asia, it means that Asian cultures do share a set of core human value
and at the same time exhibit differences in their value system”
Bagaimanapun pemikiran sempit yang menonjolkan particularism tamadun masing-masing
amat tidak sesuai dalam perkembangan dunia hari ini; apatah lagi dalam usaha serius untuk
mengadakan interaksi antara tamadun. Hal ini akan menggagalkan dialog ketamadunan yang
sedang diusahakan oleh pelbagai pihak.
2.3.3 Nilai-Nilai Universal Tamadun Asia
Nilai-nilai universal dalam Tamadun Asia tertanam dalam ajaran-ajaran keagamaan yang
telah berkembang subur di seluruh Asia; sama ada Islam, agama dan kepercayaan dari Tanah
Besar China mahupun dari benua India. Nilai-nilai universal dari tradisi keagamaan ini boleh
diringkaskan berdasarkan prinsip-prinsip seperti berikut;
• Berlandaskan idea keagamaan
• Menekankan aspek kemanusiaan dan institusi kekeluargaan
• Menekankan tatacara dan etika dalam kehidupan
• Mementingkan kebijaksanaan dalam kepemimpinan
• Menghargai alam sekitar
• Mementingkan ilmu dan orang berilmu
2.3.3.1 Berlandaskan idea keagamaan
Peranan agama dalam semua tamadun Asia sangat penting kerana ia membantu
memantapkan struktur sosial dan intelektual sesuatu tamadun. Semua tamadun Asia sama ada
berasaskan agama samawi atau budaya, tetap menjunjung tinggi doktrin keagamaan, malah
dari agama inilah lahirnya kebudayaan dan sains. Idea ketuhanan yang transcendence (kudus)
sama ada dengan panggilan Ti, Brahman atau Sang Hyang Tunggal menyebabkan institusi
dan ajaran keagamaan agama lain juga di hormati.
Sebagai contohnya, Tamadun Islam bertunjang dan berpaksikan kepada konsep tauhid. Ini
bermaksud tauhid merupakan intipati dalam kehidupan bertamadun masyarakat Islam. Justeru
itu, asas dalam Tamadun Islam adalah akidah, syariah dan akhlak. Ketiga-tiga aspek ini
merupakan komponen dalam agama Islam. Sumber dalam tamadun Islam adalah sumber
naqli iaitu sumber wahyu. Sumber ini menjadi sumber asas, manakala sumber aqli iaitu yang
berdasarkan akal merupakan sumber sekunder yang mana ketetapannya mestilah tidak
bercanggah dengan sumber naqli. Aspek kerohanian dalam Tamadun Islam amat
dipentingkan. Kerohanian (spiritual) dan kebendaan (material) mestilah seimbang dan
bersepadu. Kesepaduan ini akan membentuk matlamat Tamadun Islam yang paling utama
iaitu mencapai keredaan Allah, manakala material berfungsi sebagai wasilah atau alat
penghubung dalam mencapai matlamat utama tersebut.
Contoh lain pula dapat dilihat pada Tamadun Cina. Masyarakat Cina tetap percaya kepada
konsep ketuhanan walaupun terdapat pelbagai agama yang menjadi anutan mereka.
Antaranya, penyembahan roh nenek moyang, fahaman Konfusius, Daoisme atau Taoisme dan
Buddhisme. Kesemua agama ini menekankan konsep ketuhanan dan kerohanian yang
menjanjikan balasan baik bagi perbuatan baik dan sebaliknya, kecuali Buddhisme.
Dalam kosmologi Cina terdapat konsep tian yang bermaksud langit, iaitu merujuk kepada
dewa yang terpenting. Dewa dalam masyarakat Cina merupakan pembuktian kewujudan
Tuhan. Dalam Dinasti Chou, tian merujuk kepada makhluk unggul di langit (supreme being)
yang mengatur perjalanan hidup dan nasib seseorang, menentukan keamanan dan
kesejahteraan serta memberi balasan baik dan buruk. Ia juga mungkin menyebabkan
kemudaratan sebagai hukuman terhadap insan yang berkelakuan salah. Kepercayaan terhadap
konsep ini, mendorong masyarakat mereka mengawal tingkah laku bagi mengelakkan dari
mendapat balasan dari tian.
Tamadun India juga memperlihatkan hal yang sama mengenai kedudukan agama dan
kerohanian yang tinggi dalam masyarakat. Kepercayaan Hindu menekankan konsep
ketuhanan dan kerohanian. Antaranya percaya kepada konsep trimurti iaitu percaya kepada
ketuhanan Brahma (Tuhan Pencipta), Vishnu (Tuhan Pemelihara) dan Siva (Tuhan
Pemusnah).
2.3 3.2 Institusi Kekeluargaan dan Aspek Kemanusiaan
Tamadun Asia begitu sarat dengan elemen “rite de passage” iaitu adat istiadat dari saat
kelahiran hinggalah kematian. Hal ini amat dititikberatkan oleh anggota keluarga. Ini
menunjukkan bahawa ikatan kekeluargaan sangat ditekankan. Sebagai contohnya, dalam
perspektif Islam, soal institusi kekeluargaan diperhalusi oleh ilmu munakahat yang mengatur
pembinaan institusi keluarga bermula dari proses mencari jodoh, tanggungjawab suami isteri
dan seterusnya.
Selain itu terdapat juga hubungan yang baik dengan Allah (hablum mina’Llah) dan hubungan
yang baik sesama manusia (hablum minannas). Hablum minannas diikat dengan ukhuwah
Islamiyah, dengan maksud semua umat Islam bersaudara dan sama di sisi Allah kecuali orang
yang bertakwa. Islam menetapkan agar umatnya sentiasa menjaga akhlak antara sesama
manusia yang merangkumi akhlak dengan ibubapa, guru, kawan, jiran, sesama Islam dan
bukan Islam, malah akhlak terhadap musuh Islam juga perlu dijaga. Hubungan yang baik
sesama manusia amat perlu dijaga, malah andainya seorang Islam tidak mempunyai
hubungan yang baik dengan manusia yang lain walaupun mempunyai hubungan yang baik
dengan Allah, dia tidak dikira sebagai ahli syurga.
Dalam konteks pergaulan juga, syariat Islam diturunkan agar kepentingan 5 hak asasi
manusia terlaksana iaitu hak beragama, menjaga kewarasan akal, menjaga nyawa, harta
benda dan maruah diri. Ini memperlihatkan ajaran Islam menekankan nilai kemanusiaan.
Dalam Tamadun China pula terdapat konsep Ren yang bermaksud kasih sayang. Konsep ini
merujuk kepada sifat perikemanusiaan yang dianggap “ekspresi jantung manusia”. Dalam
Tamadun Hindu terdapat konsep Ahimsa iaitu belas kasihan yang boleh membawa kepada
tiadanya kekejaman terhadap sebarang makhluk sama ada manusia ataupun binatang.
2.3.3.3 Menekankan Tatacara dan Etika Dalam Kehidupan
Etika dalam Islam adalah manfaat daripada penghayatan syariat. Syariat diutuskan Allah
kepada Nabi Muhammad SAW sebagai panduan dan mengatur kehidupan agar harmoni.
Syariat Islam mengatur hubungan manusia dengan Allah melalui pengamalan ibadat dan
hubungan manusia sesama manusia melalui pelaksanaan muamalat, munakahat dan jinayat.
Syariat Islam juga merangkumi akhlak iaitu sistem nilai yang menjamin kehidupan yang
beretika. Akhlak Islam bersifat syumul iaitu meliputi akhlak dengan Allah SWT, Rasulullah
SAW, sesama manusia terutamanya ibu, bapa, guru, jiran dan termasuk sesama manusia
walaupun dengan bukan Islam. Demikian juga akhlak Islam termasuk dengan alam
persekitaran seperti haiwan dan tumbuh-tumbuhan. Penegasan soal etika dalam ajaran Islam
menjadi faktor utama Rasulullah SAW diutus oleh Allah kepada manusia. Justeru itu,
Rasulullah merupakan model akhlak yang terbaik kepada umat Islam dan manusia
seluruhnya. Dalam hal ini Allah SWT berfirman yang bermaksud:
”Sesungguhnya telah ada pada diri Rasulullah terdapat contoh ikutan yang baik bagimu iaitu
bagi orang yang mengharapkan (rahmat) Allah dan (kedatangan) hari kiamat dan dia banyak
mengingati Allah.”
(al-Ahzab: 21)
Dalam Tamadun Asia lain seperti China terdapat konsep Dao (jalan). Begitu juga pemikiran
tentang Li (Tatasusila). Menerusi konsep ini, Konfusius menekankan peraturan akhlak dan
peraturan kehidupan berasaskan 3 perkara berikut:
i. Peraturan perhubungan manusia dengan Tuhan.
ii. Peraturan perhubungan manusia dengan manusia.
iii. Peraturan perhubungan politik
Selain itu, Konfusius juga menekankan konsep zhong yong iaitu kesederhanaan. Segala
perlakuan manusia perlulah sederhana dan tidak setuju kekerasan sebagai jalan penyelesaian.
Dalam Hinduisme pula ia berpaksikan idea dharma (tanggungjawab) dan karma iaitu doktrin
perbuatan; baik akan mendapat balasan yang baik. Demikian juga sebaliknya, buruk dibalas
buruk. Masyarakat perlu mematuhi etika yang ditetapkan agar kehidupan barunya lebih baik
dan mendapat matlamat dalam mencapai mokhsa.
2.3.3.4 Mementingkan kebijaksanaan kepemimpinan
”Pemimpin adalah khalifah di muka bumi” sinonim dengan kepemimpinan dalam Islam.
Politik Islam menggariskan sistem dan corak pemerintahan Islam seperti asas dalam
berpolitik adalah tauhid, risalah dan khilafah. Selain itu, prinsip politik Islam adalah keadilan,
persamaan, syura dan akauntabiliti. Sumber dalam politik Islam ialah kitabu’Llah dan sunnah
rasul-Nya, di samping ijtihad dan ijmak ulama.
Dalam Tamadun China, Konfucius menekankan ajaran moral kepada manusia, antaranya
membantu pemerintah yang baik dan sifat baik merupakan satu harta yang paling penting
untuk dimiliki oleh setiap pegawai. Dalam hal ini, Raja-raja Chou mengaitkan diri mereka
dengan konsep ”anak syurga” dan ”mandat dari syurga”. Ini merujuk kepada maksud raja
adalah wakil Tuhan di bumi. Justeru itu mereka perlu memerintah dengan adil dan jika gagal,
mandat akan ditarik semula. Selain itu, ajaran Konfusius juga menekankan pemerintahan
yang berdasarkan zheng ming, iaitu nama yang betul untuk menjelaskan di antara perkara
yang benar dan salah. Ia bermaksud, peranan dan tanggungjawab adalah mengikut nama yang
disandang. Tujuannya adalah untuk membezakan antara perkara yang betul dan salah.
Pemerintah juga perlu memperbaiki diri sendiri atau zheng ji.
Dalam ajaran Hindu dan Buddha pula, konsep dharma dijadikan panduan tingkah laku yang
wajar dari raja kepada rakyat. Dharma menekankan nilai-nilai moral seperti mengawal nafsu
dan mengamalkan toleransi.
2.3.3.5 Menghargai alam sekitar
Islam menekankan hubungan yang harmonis dengan alam dan melarang sebarang tingkah
laku dan perbuatan yang bersifat fasad. Sehubungan ini, penggunaan alam sekitar dikawal
oleh hukum Islam terutamanya konsep Halal dan Haram.
Alam sekitar merupakan anugerah Allah SWT yang diamanahkan kepada manusia untuk
dimanfaatkan sebaik mungkin. Allah berfirman yang bermaksud:
”Sesungguhnya Kami telah menjadikan apa yang ada di bumi sebagai perhiasan baginya agar
Kami menguji mereka siapakah antara mereka yang terbaik perbuatannya.”
(al-Kahfi: 7)
”Dialah Tuhan yang menjadikan kamu dapat berjalan di daratan dan berlayar di lautan.
Sehingga apabila kamu berada di dalam bahtera dan meluncurkan bahtera itu membawa
orang-orang yang berada di dalamnya dengan tiupan angin yang baik dan mereka bergembira
kerananya. (Dan apabila) datanglah angin badai dan (apabila) gelombang dari segenap
penjuru menimpanya, dan mereka yakin bahawa mereka telah terkepung (bahaya) maka
mereka berdoa kepada Allah dengan mengikhlaskan ketaatan kepada-Nya semata-mata.
(Mereka berkata): Sesungguhnya jika Engkau menyelamatkan kami dari bahaya ini pastilah
kami termasuk orang-orang yang bersyukur.”
(Yunus: 22)
Selain itu, alam merupakan tanda kekuasaan dan kehebatan Allah SWT. Justeru itu, Allah
telah menentukan adab dan akhlak manusia dengan alam termasuk makhluk ghaib.
Dalam Tamadun Cina, khususnya ajaran Tao, alam di anggap sebagai “ibu” atau Dao. Ini
menunjukkan bumi sebagai entiti yang perlu dimuliakan. Dalam Buddhism dan Shinto pula,
hubungan harmonis manusia dengan alam ditekankan melalui konsep Esho Fui, iaitu manusia
dan alam saling memerlukan.
Dalam fahaman masyarakat peribumi Malaysia juga terdapat kepercayaan menghargai dan
memelihara alam sekitar. Bagi mereka alam mempunyai kuasa ghaib. Mereka percaya petir
sebagai penjaga haiwan dan tumbuhan. Justeru itu, peribumi melarang menebang pokok
tanpa niat untuk digunakan atau membunuh binatang tanpa niat untuk dimakan. Perbuatan ini
akan mengundang kemarahan Tuhan dan akan diturunkan bala bukan sahaja kepada pesalah,
malah seluruh komuniti mereka. Kepercayaan ini mendorong mereka menjaga alam sekitar
agar berada dalam ekologi yang seimbang.
2.3.3.6 Mementingkan ilmu dan orang berilmu
Konsep ulama dalam Islam berkait rapat dengan ilmu dan orang yang berilmu. Seorang
invidu di dalam masyarakat Islam hanya diterima sebagai ulama jika persiapan ilmunya
sempurna dan tercermin pada kewibawaan personaliti diri dalam segala aspek. Selaras
dengan ini, Allah SWT berfirman yang bermaksud:
”Sesungguhnya yang takut kepada Alllah di antara hamba-hamba-Nya hanyalah ulama.”
(al-Fatir: 28)
”Ya Tuhanku, tambahkanlah ilmuku”
(Taha: 114)
”Katakanlah wahai Muhammad, adakah sama orang yang mengetahui dan orang yang tidak
mengetahui. Bahawasanya yang mengingati ialah orang-orang yang menggunakan fikirannya
(ulul al-bab).”
(al-Zumar: 9)
Ulama memainkan peranan besar dalam Islam. Antaranya sebagai pembimbing umat,
penyelesai masalah, pakar rujuk dan model atau contoh tauladan dalam masyarakat Islam.
Justeru itu, Rasulullah SAW menegaskan dalam hadithnya yang bermaksud:
”Ulama merupakan pewaris para nabi.”
Dalam ajaran Konfusius, terdapat konsep Jun Zhi (orang budiman) yang bermaksud orang
yang berilmu dan tahu akan kewajaran sesuatu. Salah satu tingkat dalam empat perjalanan
hidup (Asramas) seorang penganut Hindu pula ialah Bramacarya yang memerlukan pengisian
ilmu pengetahuan. Tingkat Asramas yang lain adalah tahap Ghastra, Vanaprahastra,
Sanayasa.
Ringkasnya, Tamadun Asia mempunyai satu kekuatan yang telah diwarisi sejak Asia mula
didiami oleh kelompok masyarakat. Kekuatan tersebut ialah ”nilai kesejagatan” dan ”bersifat
sepunya” antara tamadun-tamadun di Asia. Nilai kesejagatan ini telah membentuk jalinan
interaksi harmoni antara tamadun walaupun antara tamadun ini memiliki dasar pegangan
agama yang berbeza.
Peranan Islam sangat besar dalam menjadikan nilai-nilai dari ajaran agama diiktiraf sebagai
pendorong kepada pembinaan tamadun dalam zaman yang serba moden ini. Umat Islam
sebagai ummatan wasata (umat pertengahan) boleh menjadi perantara yang baik dalam
berinteraksi dengan tamadun moden mahupun tamadun tradisional. Nilai pertengahan ini juga
termasuklah tidak terlalu bersifat kebendaan dan juga tidak menolak dunia secara total. Selain
itu, Tamadun Islam juga mempunyai keistimewaan yang tersendiri yang dapat dilihat pada
nilai-nilai transenden (kudus) yang merentas batas daerah dan budaya. Nilai ini mampu
menjadi nilai universal tamadun manusia.
2.4 KESAN INTERAKSI ANTARA TAMADUN DI MALAYSIA
Interaksi antara tamadun di Malaysia wujud kerana masyarakat Malaysia terdiri daripada tiga
bangsa dominan yang berasal dari kelompok Tamadun Asia. Peribumi Melayu mewakili
pembina Tamadun Melayu, etnik Cina mewarisi Tamadun Cina dari Tanah Besar Cina dan
etnik India mewakili Tamadun India dari Benua Kecil India. Kepelbagaian bangsa yang
mendiami Malaysia pasti memberi pelbagai kesan dalam hidup bermasyarakat. Kesan ini
dikategorikan kepada kesan positif mahupun negatif.
2.4.1 Kesan Positif
Kesan positif telah wujud sejak dari awal interaksi bangsa di Malaysia yang berlaku sebelum
merdeka hinggalah pada zaman kemerdekaan, selepas merdeka dan hingga kini. Kesan ini
telah menghasilkan hubungan harmoni antara kaum di Malaysia. Berdasarkan pengalaman ini
kerajaan Malaysia telah terdorong menggubal beberapa dasar untuk mengukuhkan lagi
jalinan ini. Kesan tersebut adalah seperti berikut:
* Pertambahan bahasa dan kosa kata Melayu dalam pelbagai aspek.
Kosa kata dalam Bahasa Melayu telah bertambah sehari ke sehari sejak berlakunya interaksi
antara bangsa. Di bawah merupakan sebahagian contoh kosa kata bahasa Melayu yang wujud
hasil interaksi.
Makanan dan buahan
Bakmi, me, mesua, cincau, kueh, bepang, taugeh, kanar, kuaci, kucai, angki (pisang kaki),
tauhu, kincam (sayur kering), lai, laici, teh, behon, to’yu, samsu, tamar.
Pakaian dan barang dagangan
Cukin, tocang, lo’ cuan, kekwa (bunga) koyok, cat, gimpai,
gincu, tahil, koyan, d ( 1/10 tahil ), hun ( 1/100 tahil) , 1 inci),
tohar, tokok, angklong, candu, kaci.
Rumah dan peralatan
Loting, pangkin, angloh, loceng, langkan, kangka, bangsal, tongkang, jong, sampan, beca,
langca, pongkis, sempua, sia, tanglong, tangsi, takpi, cawan, tekoh, uncoi, dacing, kok
(belenggu tengkok haiwan ), cacing, kincir.
Manusia dan ehwalnya
Apek, loki, nyonya, cempiang, taukeh, kongsi, kicak, cinggeh, cincau, ampau, taijin, kuntau,
gua, lu, sengse, samsing, lancau, suwe, toa pekong, tokong, tekong, banci, cuak, culai,
lancong.
Permainan
Ceki, pakau, capjeki, congkak, cukai, mahjong.
* Kebudayaan
Hasil interaksi antara bangsa turut melahirkan budaya campuran yang diamalkan oleh satu
komuniti masyarakat di Malaysia. Antara komuniti tersebut adalah seperti berikut:
i. Budaya Baba-Nyonya
Pada awal kurun ke 17 sekitar tahun 1613 M, komuniti China telah menetap di Melaka. Oleh
kerana tiada pendatang Cina dari kalangan wanita mereka berkahwin dengan wanita
tempatan. Justeru itu bahasa Melayu digunakan sebagai bahasa pengantar dalam urusan
perniagaan tetapi dalam institusi keluarga.Lahirlah satu budaya kacukan yang dipanggil Baba
dan Nyonya. Masyarakat Baba dan Nyonya dikenali kerana mereka memperkenalkan diri
mereka sebagai Baba atau Peranakan. Selain itu, mereka bertutur dalam bahasa Melayu gaya
mereka yang kemudiannya dikenali sebagai bahasa Melayu Baba. Bahasa yang digunakan
mereka adalah bahasa dialek Melayu Baba yang diasaskan atas ragam bahasa Melayu pasar.
Setiap kawasan mempunyai ragam yang dipengaruhi dialek Melayu tempatan yang berbeza-
beza. Bahasa ini berbeza dengan Bahasa Melayu baku. Komuniti ini telah menyerapkan
Bahasa Cina dalam perbualan seharian mereka terutama kata pinjaman dari dialek Hokkein
yang berkaitan adat, kekeluargaan dan agama. Kata-kata serapan ini terus mengalami
penyesuaian dari segi sebutan dan makna. Sebagainya contohnya, lau-teng = loteng, Put-Go =
Datuk Uco (nama satu dewa Buddha ). Selain itu, perkataan Melayu juga mengalami
perubahan bunyi dan makna. Sebagai, contoh, malaikat = malaikat ( roh nenek moyang ),
kawan = kawan (suami ). Komuniti ini tidak banyak menggunakan imbuhan dalam perbualan,
sebaliknya hanya menggunakan kata dasar sahaja seperti “Dia tulis surat.” Perkataan “punya”
menggantikan partikel milik “nya” seperti ”bukunya” disebut ”dia punya buku”. Ringkasnya,
komuniti ini berusaha meniru pelbagai aspek budaya Melayu hingga kepada aspek makanan
dan masakan. Justeru itu, masakan Baba dipengaruhi oleh masakan Melayu. Mereka turut
meniru gaya makan orang Melayu menggunakan tangan. Generasi yang lebih tua pula
berminat menggunakan kain sarung dan kebaya sebagai pakaian seharian.
ii. Budaya China Peranakan
Terdapat dua komuniti Cina Peranakan di Malaysia. Pertama, Cina Peranakan Kelantan yang
dikatakan bermula hasil wujudnya hubungan diplomatik negara Cina dengan negeri di Pantai
Timur yang berlaku sejak sebelum zaman Srivijaya lagi. Komuniti ini terdapat di tebing
sungai Kelantan dan Kuala Kerai di hulu sehingga ke muara Tumpat. Antara kesan interaksi
yang berlaku antara mereka dengan penduduk tempatan ialah penyerapan ciri-ciri budaya
Melayu di kalangan mereka. Paling ketara ialah penggunaan dialek Kelantan yang fasih dan
fesyen pakaian. Wujud juga sifat saling menghormati dan lahir cita rasa yang sama antara
mereka dengan penduduk tempatan seperti kegemaran kepada wayang kulit, permainan
mahjong, wayang gedek dan menora. Namun ciri budaya Cina asal masih kekal pada mereka
khususnya pada aspek agama. Mereka kekal berpegang pada agama asal warisan mereka
terutamanya agama Buddha.
Komuniti kedua ialah Cina Peranakan Melaka dan Pulang Pinang. Masyarakat Cina
Peranakan dua tempat ini menggunakan bahasa Melayu dan cara hidup Melayu, namun
mereka tidak beragama Islam. Kehidupan mereka begitu dekat dengan orang Melayu. Mereka
juga mengamalkan adat resam yang mirip adat resam orang Melayu, walaupun masih
terdapat ciri budaya Cina lama. Mereka turut percaya kepada makhluk halus atau ghaib dan
roh seperti masyarakat Melayu.
* Kesenian
Hasil interaksi antara Tamadun Melayu dan Tamadun Cina di Tanah Melayu pada zaman
awal amat ketara pada aspek seni bina. Unsur seni bina Cina diserap dalam pembinaan
masjid. Antara ciri khusus serapan ialah pada reka bentuk bumbung masjid yang menyerupai
seni bina Pagoda. Contoh yang jelas dapat dilihat pada Masjid Tanjung Kling dan Masjid
Tengkera, di Melaka. Demikian juga masjid Kampong Laut di Kelantan, masjid Demak di
Jawa Timur dan beberapa tempat lain di rantau Alam Melayu. Malah, identiti reka bentuk
masjid pada zaman sebelum Malaysia merdeka adalah bumbung bertingkat yang diilhamkan
dari bangunan Pagoda. Reka bentuk bumbung masjid-masjid ini dihasilkan secara bertingkat-
tingkat. Sekurang-kurangnya terdapat 3 tingkat bumbung masjid.
* Dasar Pendidikan Negara
Dasar pendidikan di Malaysia digubal setelah mengambilkira aspek masyarakat majmuk yang
telah berinteraksi sekian lama secara harmoni. Antara dasar pelajaran tersebut ialah Penyata
Barnes, Penyata Fenn-Wu, Undang-undang Pelajaran 1952, Pernyata Razak dan Penyata
Rahman Talib. Semua dasar-dasar ini berperanan memupuk perpaduan dan bagi memastikan
pengasingan yang wujud dalam sistem pendidikan sebelum ini dimansuhkan dan digantikan
dengan sistem yang lebih seragam dan menyeluruh. Keseragaman ini lebih menjamin
perpaduan rakyat. Selain itu, dasar ini juga mengambilkira perkembangan pendidikan di
Sabah dan Sarawak.
* Dasar Integrasi Nasional
Malaysia telah berusaha membentuk perpaduan antara masyarakat majmuk dan integrasi
yang lebih mantap antara penduduk Semenanjung dengan Sarawak dan Sabah. Sehubungan
ini, Dasar Integrasi Nasional digubal untuk melaksanakan proses kewujudan identiti nasional
di kalangan kaum yang berbeza kebudayaan, kepercayaan dan penempatan. Sehubungan itu,
Kementerian Perpaduan Negara dan Pembangunan Masyarakat ditubuhkan pada 27 Oktober
1990 dengan objektif berikut:
1. Menggalakkan perpaduan masyarakat pelbagai kaum dan integrasi nasional.
2. Memberi bantuan khidmat masyarakat.
3. Membangun masyarakat Orang Asli.
4. Memajukan kepentingan dan penglibatan wanita dalam pembangunan negara.
5. Menyelaras program kependudukan dan pembangunan negara.
Untuk menjayakan kementerian baru ini beberapa jabatan ditubuhkan seperti Jabatan
Kebajikan Masyarakat Malaysia, Jabatan Perpaduan Negara, Jabatan Hal Ehwal Orang Asli,
Jabatan Hal Ehwal Wanita dan Yayasan Kebajikan Negara.
* Bahasa Melayu sebagai alat perpaduan
Interaksi antara bangsa di Malaysia dipadukan melalui penggunaan Bahasa Melayu sebagai
bahasa rasmi seperti yang tercatat pada Perkara 152, Perlembagaan Persekutuan. Namun,
bahasa-bahasa lain boleh digunakan. Untuk mengukuhkan lagi peranan bahasa Melayu dalam
masyarakat majmuk kerajaan telah membentuk Akta Bahasa Kebangsaan pada tahun 1963.
2.4.2 Kesan Negatif
Di samping kesan positif yang tersemat dalam lembaran sejarah masyarakat majmuk di
Malaysia, interaksi kaum turut terdedah dengan beberapa kesan negatif. Kesan negatif yang
paling penting hingga ke hari ini adalah seperti berikut:
* Jurang ekonomi
Jurang perbezaan ekonomi yang besar antara kaum di Malaysia. Jurang ini berlaku kerana
sikap penjajah yang berat sebelah dan tidak mengambil berat aspek kebajikan dan masalah
rakyat tempatan. Para petani yang sebahagian besar terdiri dari masyarakat Melayu sentiasa
dilindungi oleh kerajaan British melalui dasar utamanya yang bertujuan menempatkan orang
Melayu di kawasan luar bandar dan terus menjadikan mereka pembekal makanan kepada
masyarakat bandar. Dalam hal ini, orang Melayu digalakkan mengusahakan tanaman sara diri
sahaja, sedangkan masyarakat imigran di kawasan bandar terutamanya Cina terus sibuk dan
maju dengan kegiatan ekonomi eksport dan import. Ini bermakna, penjajah hanya
membenarkan masyarakat Melayu menjadi pekebun kecil sahaja. Jika terdapat perkampungan
baru, orang Melayu dikenakan syarat tertentu seperti hanya menanam padi, kelapa dan buah-
buahan.
Sehubungan itu, pembangunan kawasan banyak ditumpukan di kawasan yang bersedia
menerima perubahan. Ini menyebabkan kawasan Pantai Barat Semenanjung lebih cepat
mendapat kemajuan dari kawasan Pantai Timur. Perbandaran yang dicirikan penjajah
memberi penumpuan kepada penduduk kaum imigran terutama kaum Cina. Ringkasnya,
akibat dasar ‘pecah dan perintah” Inggeris berlaku perbezaan tumpuan sektor ekonomi.
Melayu sebagai petani sara diri dan nelayan, Cina di sektor perdagangan dan perlombongan,
sementara India di ladang. Ini memberi kesan kepada ketidakseimbangan antara kawasan
antara desa dan bandar. Kesan ini berlanjutan hingga zaman pasca-penjajah.
* Jurang Sosial
Jurang ekonomi memberi kesan kepada jurang sosial. Lantaran itu wujud kelompok
masyarakat kaya yang banyak terbina dari kalangan masyarakat bandar dan masyarakat
miskin yang wujud di kalangan masyarakat luar bandar. Secara tidak langsung, keadaan ini
telah mengubah struktur masyarakat Melayu dan peribumi kepada masyarakat yang kompleks
dan berkelas. Kelas atasan terdiri sari golongan bangsawan Melayu, saudagar, pengurus dan
pengusaha yang terdiri daripada orang asing dan Cina. Kelas pertengahan adalah masyarakat
etnik Cina dan sedikit dari golongan India, sebilangan kecil individu Melayu dan lain-lain
kaum bumiputera. Kelas bawahan merupakan majoriti masyarakat Melayu dan peribumi. Ini
memberi kesan seolah-olah wujud susun lapis dan kelas masyarakat berdasarkan lunas
perkauman.
* Pencapaian Tidak Seimbang
Pencapaian yang tidak seimbang juga berlaku dalam aspek penting khususnya pendidikan.
Sistem pendidikan penjajah mewujudkan sekolah mengikut kaum dan logistik etnik di
Malaysia. Pengasingan sistem pendidikan mula berlaku antara etnik. Masyarakat Melayu
dengan pendidikan Melayu, etnik India dengan pendidikan berteras bahasa Tamil dan etnik
Cina dengan teras bahasa Mandarin. Sementara komuniti peribumi yang terdiri dari Orang
Asli, etnik Sabah dan Sarawak tidak diberikan pendidikan.
BAB 3
ISLAM DAN TAMADUN MELAYU
3.0 PENDAHULUAN
Islam adalah agama universal yang datang dari Allah SWT untuk semua manusia. Ia memberi
sinar kepada manusia dalam mencorakkan tamadun ke arah kesempurnaan berdasarkan
panduan wahyu Ilahi, di samping tidak mengetepikan peranan akal manusia. Sinar Islam turut
dirasai oleh penduduk di rantau Alam Melayu apabila bermula usaha menyebarkan Islam.
Usaha ini membuahkan hasil yang dapat disaksikan hingga hari ini kerana tugas penyebaran
Islam dipertanggungjawabkan kepada setiap umat Islam, tanpa mengira bangsa, warna kulit,
keturunan dan jawatan. Justeru itu, kini umat Islam berada di serata dunia dan terdiri dari
pelbagai bangsa dan warna kulit.
Keberadaan Islam di rantau Alam Melayu yang terdiri dari daratan dan kepulauan yang
banyak jumlahnya telah berjaya membina satu imej baru kepada masyarakat rantau Melayu.
Alam Melayu berjaya menampilkan sebuah tamadun yang gemilang terutama setelah
kedatangan Islam ke rantau ini. Umat Melayu berjaya membina kecemerlangan dan
kegemilangan dalam pelbagai bidang yang dimulai dengan keagungan pemerintahan,
pelaksanaan undang-undang, kesungguhan pendidikan, kerancakan ekonomi dan kemurnian
budaya serta sosial. Kejayaan ini berjaya dibina oleh generasi awal berasaskan fahaman
agama Islam yang berteras tauhid. Bukti kejayaan tamadun dihuraikan pada perincian bab ini.
Walaupun kejayaan yang dibina berdasarkan pencapaian dan kepintaran zaman tersebut yang
banyak bergantung kepada bahan alam yang tidak terlalu kompleks teknologi penciptaannya,
masyarakat Melayu tetap bergerak aktif dan mampu berinteraksi dan bersaing dengan bangsa
Asia lain seperti bangsa Cina dan India. Umat Melayu mampu membina satu jati diri bangsa
yang disegani dan menjadi contoh teladan.
3.1 KONSEP TAMADUN MELAYU
Tamadun Melayu merupakan sebuah tamadun yang dibentuk oleh sekelompok manusia yang
digolongkan secara luas sebagai kumpulan orang-orang Melayu dan bertempat di suatu
wilayah di Asia Tenggara. Wilayah ini dikenali dengan pelbagai nama seperti Gugusan
Kepulauan Melayu, gugusan Kepulauan Melayu-Indonesia, Nusantara, Alam Melayu dan
Tanah Jawi. (TITAS, 2004: 163) Sebelum Perang Dunia II, kawasan ini dirujuk sebagai Asia
of the Monsoons, East Indies dan juga Further India atau Hindia Jauh. (Azam Hamzah, 1997:
1)
3.1.1 Istilah Melayu
Istilah Melayu mempunyai maksud yang dalam dan luas. Sebahagian pengkaji menegaskan,
pada istilah Melayu terdapat dua pengertian, iaitu “Melayu” dan “kemelayuan”. “Melayu”
dimaksudkan sebagai satu rumpun bangsa Melayu yang menggunakan bahasa Melayu,
sementara “kemelayuan” mengandungi erti “nilai anutan” dan “jati diri Melayu” (Tenas
Effendy).
Zainal Abidin Borhan (2004) pula menegaskan Melayu merupakan satu masyarakat peribumi
atau masyarakat asal rantau ini, rantau atau wilayah kebudayaan yang disebut sebagai Malay
Archipelago, Kepulauan Melayu atau Alam Melayu. Kesatuan Melayu ini hidup aman, damai
dan rukun lantaran sifat adaptif, akomodatif dan assimilatif. Pengaruh asing yang meresap
disaring oleh para genius lokal menjadi sebahagian budaya Melayu. Genius Melayu terdiri
daripada para penulis, sasterawan, pedagang, pelayar, pengukir, penasihat pemerintah, alim
ulama dan pemerintah.
Kesatuan Melayu begitu mantap di kalangan masyarakat Melayu kerana nilai kemelayuan
yang dimiliki. Nilai kemelayuan penuh dengan falsafah yang memberi pengertian kehidupan
bangsa Melayu dalam membina jati diri bangsa. (Tenas Effendy)
Tamadun Melayu tidak mengambil kira sumbangan beberapa kerajaan awal Alam Melayu
seperti kerajaan Srivijaya di Palembang, Langkasuka di Kedah dan Kerajaan Majapahit di
Pulau Jawa yang telah dibina lebih awal daripada Tamadun Melayu, walaupun sejarah
membuktikan bahasa Melayu telah mula digunakan lebih awal daripada kemunculan
Tamadun Melayu. Ini kerana tamadun awal ini tidak mempunyai rantaian dengan tamadun
Melayu yang muncul setelah kewujudan pengaruh Islam di rantau Alam Melayu. Ikatan
rantaian ini terputus kerana dasar pembinaan masyarakat pada kerajaan awal mempunyai
tunjang yang berbeza dengan tamadun Melayu yang muncul kemudian. Tunjang yang
dimaksudkan ialah agama Islam.
Oleh itu, istilah Melayu boleh ditakrifkan berdasarkan kriteria berikut:
> Rumpun bangsa dan bahasanya iaitu Melayu.
> Pelbagai suku yang tergolong dalam Melayu-Indonesia seperti Jawa, Sunda, Madura, Aceh,
Minangkabau, Bajau, Murut, Bugis, Sasak, Melanau, Iban, Sulu dan sebagainya. (TITAS,
2004: 163)
3.1.2 Tamadun Melayu
Tamadun Melayu adalah tamadun menyeluruh yang dibangunkan oleh bangsa Melayu
berteraskan bahasa Melayu setelah kedatangan dan penerimaan Islam di seluruh rantau Alam
Melayu. Pemahaman terhadap Tamadun Melayu sebagai satu tamadun bangsa di rantau Alam
Melayu amat bersandar kepada pemahaman terhadap Tamadun Islam. Ini kerana kemunculan
Tamadun Melayu bertitik tolak dari penerimaan Islam oleh masyarakat rantau Alam Melayu
secara keseluruhannya. Pengajaran akidah Islam oleh para mubaligh Islam di seluruh rantau
Alam Melayu secara bertahap-tahap telah membina asas Tamadun Melayu. Situasi ini
bertambah mantap apabila para mubaligh berjaya menarik minat pemerintah Melayu. Sedikit
demi sedikit pemerintah Melayu beralih kepada kepercayaan Islam. Penerimaan ini memberi
kesan yang amat besar kepada pembinaan Tamadun Melayu sebagai satu tamadun yang
menghubungjalin suku kaum Melayu yang pelbagai. Sebagai contohnya, Merah Silu di Pasai,
Sumatera telah menerima akidah Islam. Demikian juga Parameswara di Melaka telah
bersedia menerima akidah Islam dari Syed Abdul Aziz untuk dirinya, keluarganya dan
kemudiannya masyarakat Melayu secara bertahap-tahap mengikut jejak pemerintahnya.
Tamadun Melayu terbina dengan nilai falsafah Islam yang tercerna dalam world view
masyarakat Melayu. Setiap gerak, tingkah dan usaha orang Melayu disandarkan kepada
falsafah Islam. Justeru itu, akar umbi bagi Tamadun Melayu adalah Tamadun Islam. Hal ini
menjadi kaitan utama kerana Islam telah berjaya merubah kepercayaan, pemikiran, cita rasa
dan tingkah laku masyarakat Melayu di negara dan rantau ini. Menurut Mohd Taib Osman
(1988: 2);
“Budaya orang Melayu; persambungan dan perubahan berlaku setiap kali tibanya pengaruh
peradaban-peradaban luar, pertamanya daripada peradaban India, kemudian peradaban Islam
dan mulai abad yang lalu, kita di Semenanjung secara menyeluruh, daripada peradaban Barat
moden. Pada tiap-tiap titik tibanya pengaruh luar itu, terdapat ciri-ciri yang telah sedia
memperlanjutkan budaya di samping munculnya ciri-ciri yang mengasaskan perubahan”.
Kehadiran Islam di Alam Melayu telah membawa perubahan besar ke atas nilai dan budaya
orang Melayu. Peralihan gaya berfikir, corak sosial, dan interaksi muamalat di kalangan
orang Melayu dan masyarakat sekitar telah diungguli oleh nilai tradisi Islam, sehingga unsur-
unsur Hindu-Buddha hampir terhakis dalam gaya hidup dan corak pemikiran masyarakat
Melayu. Meskipun demikian, masyarakat Melayu tidak menolak sepenuhnya amalan dan
nilai tradisi Hindu dan mereka tetap mengekalkan unsur-unsur yang tidak bertentangan
dengan ajaran Islam. Syed Muhammad Naquib menegaskan bahawa agama Islam telah
mengubah jiwa dan fizikal masyarakat Melayu Malaysia dan Indonesia. Manakala Mohd
Taib Osman pula berpendapat bahawa kedatangan Islam ke Nusantara telah membawa
perubahan sehingga menjadikannya sebahagian daripada dunia Islam (Ismail Hamid,
1991:60). Perubahan-perubahan yang maksudkan oleh kedua-dua tokoh di atas dapat dilihat
daripada semua aspek kehidupan seperti bidang bahasa, sastera, intelektual, undang-undang,
kepercayaan, politik, adat istiadat dan kesenian.
Tamadun Melayu tidak mengambil kira sumbangan beberapa kerajaan awal Alam Melayu
seperti kerajaan Srivijaya di Palembang, Langkasuka di Kedah dan Kerajaan Majapahit di
Pulau Jawa yang telah dibina lebih awal daripada Tamadun Melayu, walaupun sejarah
membuktikan bahasa Melayu telah mula digunakan lebih awal daripada kemunculan
Tamadun Melayu. Ini kerana tamadun awal ini tidak mempunyai rantaian dengan tamadun
Melayu yang muncul setelah kewujudan pengaruh Islam di rantau Alam Melayu. Ikatan
rantaian ini terputus kerana dasar pembinaan masyarakat pada kerajaan awal mempunyai
tunjang yang berbeza dengan tamadun Melayu yang muncul kemudian. Tunjang yang
dimaksudkan ialah agama Islam.
3.1.3 Nilai-nilai Asas Kemelayuan
Menurut Tenas Effendy, nilai-nilai asas kemelayuan terangkum dalam “Pakaian Duapuluh
lima” atau “Sifat dua puluh lima”. Nilai-nilai ini meresap dan berakar umbi menjadi sifat
masyarakat Melayu. Ini menyebabkan anak Melayu “menjadi orang” yang sempurna lahirian
dan batiniah. Inilah asas jati diri Melayu. Nilai-nilai tersebut adalah seperti berikut:
i. Sifat tahu asal mula jadi, tahu berpegang pada Yang Satu.
ii. Sifat tahu membalas budi.
iii. Sifat hidup bertenggangan, mati berpegangan.
iv. Sifat tahukan bodoh diri.
v. Sifat tahu diri.
vi. Sifat hidup memegang amanah.
vii. Sifat benang orang.
viii. Sifat tahan menentang matahari.
ix. Sifat tahu menyimak, pandai menyimpai.
x. Sifat menang dalam kalah.
xi. Sifat tahan berkering, mau berbasah.
xii. Sifat tahu unjuk dengan beri, tahu hidup bertenggangan.
xiii. Sifat timbang dengan sukat.
xiv. Sifat tahukan malu.
xv. Sifat berpada-pada.
xvi. Sifat ingat dengan minat.
xvii. Sifat hemat dan cermat.
xviii. Sifat tahu harta berpunya, tahu pinjam memulangkan.
xix. Sifat tahu hidup meninggalkan, tahu mati mewariskan.
xx. Sifat lasak mengekas, tekun mengais.
xxi. Sifat menggulat air setimba.
xxii. Sifat merendah menjunjung tuah.
xxiii. Sifat lapang terbuka tangan.
xxiv. Sifat berbaik sangka.
xxv. Sifat Yang Pucuk.
Nilai-nilai murni ini dikuatkan dengan adanya nilai-nilai yang dipantang oleh orang Melayu.
Nilai pantang ini dikenali dengan “Pantangan anak Melayu”. Nilai ini juga berjumlah dua
puluh lima sebagaimana nilai “Sifat dua puluh lima“. Kerana itu, nilai ini juga dikenali
dengan “Pantangan yang dua puluh lima.“ Pantangan tersebut adalah seperti berikut :
i. Membelakangi syarak
ii. Durhaka kepada orang tua
iii. Membuang adat lembaga
iv. Bermanja-manja
v. Mengada-ada
vi. Berlengah-lengah
vii. Besar kepala
viii. Buta keta atau mata kayu
ix. Bercawat ekor
x. Makan menghabiskan
xi. Bercabang lidah
xii. Jilat menjilat
xiii. Meminta-minta
xiv. Menjilat ludah
xv. Membuang petuah
xvi. Bermegah-megah
xvii. Membabi buta
xviii. Lupakan hutang
xix. Berburuk sangka
xx. Muka tebal atau tebal muka
xxi. Mencampakkan beban di bahu
xxii. Mengoyak baju di badan
xxiii. Menggunting dalam lipatan
xxiv. Menjala angin
xxv. Kerja tak menyudah
Nilai-nilai kemelayuan yang dibentangkan di atas menggambarkan jatidiri Melayu yang
murni dan mantap. Jatidiri ini menjadikan masyarakat Melayu mampu menghadapi sebarang
cabaran dan kemungkinan.
3.2 Kedatangan Islam ke Alam Melayu
Terdapat pelbagai teori yang diutarakan oleh sejarawan mengenai kedatangan Islam ke Alam
Melayu. Para sejarawan tempatan cenderung mengatakan Islam telah datang ke rantau ini
sejak abad 7 M dengan usaha para mubaligh dari Semenanjong Tanah Arab. Sebilangan besar
sejarawan Barat pula menegaskan kedatangan Islam ke rantau ini berlaku pada penghujung
abad 13 M dan di sepanjang abad 14 M, iaitu kira-kira antara tahun 1292 hingga 1390 M.
Golongan yang bertanggungjawab membawa Islam pada tahun-tahun ini ialah saudagar-
saudagar India dan China. (Azam Hamzah, 1997: 3)
Secara umumnya terdapat tiga teori mengenai kedatangan Islam ke Alam Melayu. Teori-teori
tersebut adalah seperti berikut:
3.2.1 Teori Dari India
Teori ini dipelopori oleh Snouck Hurgronje dan mendapat sokongan dari kebanyakan
sejarawan orientalis seperti R.O.Winstedt, B. Harrison, Mouquette, D.G.E.Hall, J. Gonda,
Marrison, Bousquet, Vlekke dan sebagainya. Snouck menyatakan di dalam bukunya Islam di
Hindia Belanda bahawa:
"Setelah sebahagian bangsa India memeluk Islam, maka orang-orang Islam dari India turut
mengambil bahagian lalu lintas dan imigrasi di Nusantara, dan mereka itulah yang
memasukkan Islam ke wilayah Nusantara."
Antara hujah yang digunakan untuk mengukuhkan teori ini adalah seperti berikut:
1. Batu-batu nisan awal yang dijumpai di Alam Melayu diimport dari Kambay (Kembayat )
Gujerat, India.
2. Peranan penting yang dimainkan oleh pedagang-pedagang Gujerat di Kepulauan Melayu
dan kesannya terhadap penyebaran Islam.
3. Tradisi kesusasteraan Melayu mirip kepada tradisi Islam di India.
Selain dari itu, mereka juga bergantung kepada catatan pengembara seperti Marco Polo dan
Ibn Batutah yang pernah melawat Alam Melayu sekitar abad 13 dan 14 M. (Mahayudin Hj
Yahaya, 1996: 558) Dalam catatan Marco Polo ketika singgah di Sumatera pada tahun 1292
M, beliau menyaksikan penduduk Perlak telah memeluk Islam, sedangkan penduduk
samudera lain masih lagi belum menerima Islam. Catatan Ibn Batutah pula menyebutkan
beliau telah melawat Pase (Pasai) pada tahun 1345 M dan mendapati penduduknya telah
beragama Islam. (Azam Hamzah, 1997: 4)
Hujah golongan ini bertambah kukuh dengan penemuan makam Sultan Malik al-Salleh,
pemerintah Pasai yang disebut dalam Sejarah Melayu dan Hikayat Raja-raja Pasai sebagai
pemerintah pertama di Kepulauan Melayu sekitar abad ke-13 M. Penemuan ini meyakinkan
mereka bahawa Islam tersebar di Alam Melayu hanya pada sekitar abad tersebut. (Mahayudin
Hj Yahaya, 1996: 558)
Teori ini mempunyai beberapa kelemahan. Malah kajian terkini mempunyai hujah yang lebih
kukuh untuk menyatakan bahawa interaksi Alam Melayu dengan Semenanjong Tanah Arab
telah berlaku lebih awal lagi, khususnya sebelum kemunculan Islam. Antara kelemahan teori
ini adalah seperti di bawah:
1. Hujah menyatakan batu-batu nisan yang dijumpai di Kepulauan Melayu menyerupai atau
dibawa dari India sebagai bukti Islam dibawa dari India adalah tidak tepat. Ini kerana batu
nisan merupakan salah satu barang dagangan yang mungkin diperdagangkan oleh pedagang
India.
2. Adalah tidak tepat untuk menyatakan hanya pedagang India sahaja yang berdagang di
Kepulauan Melayu sehingga terpaksa menunggu mereka memeluk Islam terlebih dahulu
sebelum kawasan ini diislamkan. Malah terdapat juga pedagang lain seperti dari Arab. Ini
adalah berdasarkan pendapat J.C.Van Leur bahawa telah ada penempatan Arab di Canton,
China sejak abad 4 M lagi. Pedagang Arab yang melalui jalan laut singgah ke pelabuhan-
pelabuhan di Kepulauan Melayu untuk mendapatkan bekalan atau menunggu musim angin
yang sesuai untuk meneruskan pelayaran sambil berdagang.
3. Tradisi kesusasteraan Islam di kepulauan Melayu mirip tradisi Islam India juga tidak dapat
diterima kerana perkembangan tradisi sastera agak lewat, iaitu setelah Islam lama bertapak di
kawasan ini. (Mahayudin Hj Yahaya, 1996: 558 )
Selain itu, terdapat juga perselisihan pendapat di kalangan para sejarawan mengenai daerah di
India yang memainkan peranan menyebarkan Islam ke Alam Melayu. Daerah-daerah yang
menjadi bahan perdebatan adalah seperti berikut:
1. Gujerat
Daerah ini dikemukan berdasarkan kajian G.P. Moquette. Menurut kajian beliau, terdapat
persamaan dua batu nisan di Kepulauan Alam Melayu, iaitu batu nisan di Pasai yang
bertarikh 1428 M dan batu nisan Maulana Malik Ibrahim di Grisek bertarikh 1419 M dengan
batu nisan Umar ibn Ahmad Kazarumi di Gujerat. Teori ini disokong oleh beberapa pengkaji
barat yang lain seperti W.P. Stuterheim, J. Gonda dan C.A.O. Van Nieuwenhuijze.
Walau bagaimanapun teori ini juga mempunyai kelemahan yang jelas, antaranya tarikh
pengislaman Pasai lebih awal daripada tarikh yang tercatat pada batu nisan yang ditemui.
Pasai telah menerima Islam pada tahun 1042 M sedangkan Gujerat ketika itu belum
menerima Islam lagi. Selain itu, persamaan batu nisan di Alam Melayu dengan Gujerat boleh
menunjukkan batu nisan mudah dipesan dari Gujerat, bukan sebagai bukti Islam disebarkan
dari Gujerat. ( S.M. Naquib Al-Attas 1972 : 33 )
2. Benggala
S.Q.Fatimi pula membuat hipotesis Islam berasal dari Benggala. Beliau bersandarkan kajian
Tome Pires dalam bukunya berjudul Suma Oriental. Menurut Tome Pires, Malik al-Salih
yang merupakan sultan Islam pertama di Pasai adalah seorang pedagang Benggali yang
berasal dari Benggala. Berdasarkan pandangan ini, Fatimi menyimpulkan Islam juga berasal
dari Benggala. Selain itu, S.Q. Fatimi juga beranggapan pendapat Tomes Pires sejajar dengan
tanggapan yang menegaskan Pasai adalah negeri pertama di Alam Melayu yang menerima
Islam. Teori ini juga boleh disanggah dengan jawapan berikut:
Pertama: Raja Pasai yang pertama adalah Meurah Giri atau Sultan Mahmud Syah yang mula
memerintah pada tahun 1042 M.
Kedua: Asal usul Malik al-Salih dari Benggala juga tidak mempunyai bukti yang kukuh.
3. India Selatan
Pendapat ini dikemukakan oleh Van Ronkel dengan alasan bahawa bentuk-bentuk popular
dalam budaya masyarakat Islam di Kepulauan Alam Melayu seperti ciri-ciri mistik, sastera
roman dan sebagainya seperti yang terdapat di Indonesia berasal dari India Selatan.
4. Malabar
Antara pendukung teori ini ialah Thomas Arnold. Beliau berdasarkan persamaan mazhab
Shafie antara masyarakat Islam Malabar dengan masyarakat Islam di Indonesia.
Kedua-dua teori yang mengatakan Islam berasal dari India Selatan dan Malabar tidak
mempunyai asas yang kukuh kerana ajaran Islam yang berkembang di India pada ketika itu
memang merupakan fenomena dunia Islam keseluruhannya, sama ada dari segi pemikiran
fikah mahupun tasawuf. (Abdul Rahman Haji Abdullah, 1990 : 44-45 )
Menurut Abdul Rahman Haji Abdullah (1990) dalam bukunya Pemikiran Umat Islam Di
Nusantara kelemahan terbesar pendukung teori ini ialah anggapan mereka bahawa agama
Islam di Alam Melayu hanya bertapak pada abad ke-13 M, sedangkan Islam telah bertapak
sejak abad pertama hijrah lagi iaitu sejak 7 masihi lagi. Walau bagaimanapun, tidaklah
dinafikan para mubaligh dari India turut memainkan peranan aktif dalam proses Islamisasi di
Alam Melayu terutama pada abad ke-13 M.
3.2.2 Teori Dari Cina dan Campa
Teori ini dibahaskan oleh Prof. S.Q.Fatimi dalam bukunya Islam Comes to Malaysia.
Pendapat beliau ini berdasarkan fakta perpindahan beramai-ramai orang Islam dari Canton,
Cina sekitar tahun 876 M akibat pemberontakan yang mengorbankan seramai 100,000 hingga
150,000 orang Islam di wilayah ini. (Mahayudin Hj Yahaya 1996: 559) Tragedi
pemberontakan ini terjadi akibat tanggapan penduduk tempatan yang mengatakan bahawa
kedudukan kukuh di kalangan masyarakat Arab-Islam yang bermastautin di Canton boleh
mengancam ekonomi dan keselamatan masyarakat Cina. (Abdul Rahman Haji Abdullah
1990: 39)
Impak peristiwa hitam ini, berlaku penghijrahan masyarakat Arab-Islam Canton ke
Kepulauan Melayu. S.M. Naquib turut mempunyai pandangan yang sama terhadap isu
penghijrahan ini. Malah menurut beliau, masyarakat Arab-Islam Canton telah berhijrah ke
Kedah dan Palembang. Selain itu, terdapat juga sebilangan masyarakat Arab-Islam Canton
yang berhijrah ke Campa, Brunei, pantai timur Tanah Melayu (Patani, Kelantan, Terengganu
dan Pahang) dan Pulau Jawa sebelah timur. Penghijrahan ini memberi kesan dalam
penyebaran Islam di kawasan-kawasan tersebut. (Mahayudin Hj Yahaya 1996: 559)
Seandainya kejadian tersebut dikaitkan dengan bukti-bukti tempatan, memang ada
kemungkinan Islam di Alam Melayu datang melalui negara Cina. Kesan awal yang ditemui
ialah batu nisan seorang wali keturunan Arab bertarikh 419 H (1028 M) yang ditemui di
Pekan, Pahang. Batu nisan ini mengandungi tulisan ayat-ayat al-Qur’an. Demikian juga bukti
yang paling terkenal iaitu Batu Bersurat di Kuala Berang, Terengganu bertarikh 702 H (1303
M) yang mengandungi tulisan mengenai kewajipan mematuhi hukum Allah S.W.T. seperti
hukuman bagi pesalah zina dan sebagainya. (Abdul Rahman Haji Abdullah 1990: 40)
Selain kesan di pantai timur Semenanjung yang memberi kemungkinan Islam datang melalui
Cina, terdapat juga bukti pertapakan Islam di Kedah. Bukti pertama ialah penemuan batu
nisan di Langgar, Kedah yang terukir nama Syeikh Abdul Qadir ibn Husain Syah Alam
bertarikh 219 H (903M). Bukti kedua pula ialah peranan seorang Arab bernama Syeikh
Abdullah Yamani yang berjaya mengislamkan Maharaja Drebar, Raja II pemerintah Kedah
dengan nama Islamnya Sultan Muzaffar Syah pada tahun 1136. (Ibid) Selain dari bukti-bukti
tersebut terdapat bukti-bukti lain seperti batu nisan seorang puteri Islam di Brunei bertarikh
1048 M, batu nisan Fatimah bt. Maimun bin Hibatu’Llah di Leran, Jawa Timur bertarikh
1082 M. (Mahayudin Hj Yahaya 1996: 559)
Terdapat juga di kalangan sejarawan yang berpandangan wilayah Indo-China sebagai tempat
asal penyebaran Islam di Alam Melayu. Islam dikatakan telah berkembang di Campa,
Kemboja sejak abad 8 M. Penduduk Alam Melayu dikatakan telah berinteraksi dengan
wilayah ini sejak abad 7 M lagi menerusi penaklukan dan perkahwinan, terutamanya
perkahwinan keluarga Diraja. Bukti yang menunjukkan Islam terlebih dahulu tersebar di
Campa juga melalui penemuan beberapa batu nisan yang mempunyai tulisan Arab bertarikh
1039 M dan sebuah batu peringatan bertarikh 1025 M yang mencatatkan beberapa hukum-
hukum Islam. (Azam Hamzah, 1997: 14)
Selain itu, bukti yang jelas bagi pendukung teori ini ialah kesediaan Cina memberi naungan
kepada kerajaan Islam melalui hubungan diplomatik. Di samping itu, bukti seni bina juga
menjadi hujah untuk mengatakan Islam berasal dari Cina. Bukti seni bina yang menjadi
alasan kukuh ialah seni bina masjid terutamanya di Melaka, Kelantan dan Pulau Jawa,
Indonesia yang mirip berbentuk pagoda di Cina.
Walaupun bukti-bukti yang dikemukakan tersebut agak menyakinkan, tidaklah bermakna
Islam hanya baru diperkenalkan di Alam Melayu pada waktu itu kerana terdapat bukti
wujudnya penempatan orang Islam di kawasan ini terutama di bahagian utara Sumatera lebih
awal dari tarikh-tarikh tersebut. ( Mahayudin Hj Yahaya 1996 : 559 )
3.2.3 Teori Dari Tanah Arab
Teori yang menyatakan Islam disebarkan terus dari Tanah Arab ke Kepulauan Melayu
mendapat sokongan ramai kerana teori ini mempunyai asas yang lebih kukuh. (Mahayudin Hj
Yahaya 1996: 559 ) Teori ini didokong oleh kebanyakan sarjana Alam Melayu seperti Prof.
Syed Muhammad Naquib al-Attas, Prof. Dr. Hamka, Prof. Caesar Adib Majul dan
sebagainya. Teori ini kemudiannya turut disokong oleh sarjana Barat seperti Niemann dan
Pijnappel. (Azam Hamzah 1997: 6).
Teori ini menyatakan Islam dibawa ke Alam Melayu sejak abad pertama hijrah berdasarkan
wujudnya aktiviti perdagangan dengan pedagang Arab sejak zaman pra-Islam lagi.
(Mahayudin Hj Yahaya 1996: 559) Ini menunjukkan pada ketika itu orang Arab telah
mengetahui kedudukan dan kepentingan Alam Melayu dan kemungkinan besar hubungan
tersebut berlanjutan selepas kedatangan Islam.
Abdul Rahman Haji Abdullah mengukuhkan teori Islam berasal dari Tanah Arab dengan
membahagikan peringkat-peringkat kedatangan Islam di Kepulauan Alam Melayu kepada
tiga peringkat. Peringkat-peringkat tersebut bermula dengan tahap persinggahan, pertapakan
dan penyebaran secara meluas.
Tahap Persinggahan
Kedatangan Islam ke rantau Alam Melayu pada tahap ini ialah kerana faktor perdagangan.
Menurut Prof. Hamka, orang Arab telah belayar ke Alam Melayu sebelum kelahiran Nabi
Muhammad S.A.W. untuk membeli rempah dan kapur barus yang tidak terdapat di tempat
lain, kecuali di Sumatera. (Abdul Rahman Haji Abdullah 1990: 26) Selain dari keperluan
barangan tersebut yang menghasilkan hubungan secara langsung dengan Tanah Arab, wujud
juga hubungan secara tidak langsung apabila pedagang Arab dan Parsi menjalankan kegiatan
perdagangan dengan Cina. Pada umumnya, orang Arab menggunakan jalan laut melintasi
pantai India dan Kepulauan Melayu. Semasa dalam pelayaran, sebahagian daripada mereka
telah singgah di pusat-pusat perdagangan di laluan laut, termasuklah di Kepulauan Melayu
(Ibid). Kenyataan ini dikukuhkan lagi dengan catatan I-Tshing, seorang pengembara Cina
yang menyebut pada tahu 671 M, beliau belayar dari Canton ke Sumatera dengan sebuah
kapal kepunyaan saudagar Arab. Bukti ini juga menunjukkan kemungkinan merekalah antara
orang yang awal mengislamkan penduduk Alam Melayu (Azam Hamzah 1997: 7) .
Mengenai tarikh bermulanya hubungan Arab dengan negara Cina, terdapat catatan Cina yang
menunjukkan pada abad 4 M sudah terdapat penempatan orang Arab dan Parsi di negara
Cina. (Abdul Rahman Haji Abdullah 1990: 28) Ini menunjukkan bahawa hubungan Arab-
Cina telah berlaku sebelum kelahiran Islam lagi. Kepentingan Alam Melayu sebagai kawasan
perdagangan bagi orang Arab terus kekal selepas kemunculan Islam pada abad 7 M. (Ibid)
Apabila orang Arab telah menerima Islam maka bermulalah pertapakan Islam di kawasan
Alam Melayu (Mahayudin Hj Yahaya 1996: 559).
Hujah ini dikuatkan lagi dengan peristiwa `Am al-Wufud atau ”Tahun Perutusan” yang
berlaku pada tahun 630 M. Dalam peristiwa ini, bangsa Arab dari segenap pelusuk telah
menyatakan pengislaman mereka terhadap Rasulullah S.A.W. yang akhirnya seluruh
Semenanjung Tanah Arab telah menganut Islam termasuklah Yaman. (Abdul Rahman Haji
Abdullah 1990: 32) Pengislaman Yaman sekitar tahun 630-631 M di atas usaha Sayyidina Ali
bin Abi Talib memberi impak besar terhadap proses Islamisasi di Alam Melayu. Ini kerana
sebahagian besar para pedagang yang berdagang ke rantau ini terdiri dari kalangan
masyarakat Islam Yaman, selain dari Hadramaut dan Oman. Mereka telah menyebarkan
Islam semasa singgah di pelabuhan-pelabuhan rantau Alam Melayu (Mahayudin Hj Yahaya
1996: 559)
Selain itu, terdapat juga pendapat yang menyatakan bahawa Islam tersebar ke kepulauan
Melayu pada tahun 30 Hijrah/561 M, iaitu pada zaman Sayyidina Uthman ibn Affan (644-
656 M). Ketika ini utusan rasmi telah dihantar ke Cina. Oleh sebab tempoh perjalanan
mengambil masa sekitar 4 tahun, mereka turut diutus ke Pulau Jawa dan pulau-pulau
sekitarnya ( Abdul Rahman Haji Abdullah 1990: 33 ).
Berdasrkan bukti-bukti di atas bolehlah dikatakan bahawa orang Arab Islam telah singgah di
rantau ini sejak zaman Rasulullah S.A.W. dan Khulafa’ al-Rasyidin lagi iaitu pada abad 7 M.
Tahap Pertapakan
Tahap ini berlaku pada zaman pemerintahan Bani Umaiyah dan Abbasiyah. Pada tahun 674
M, iaitu pada zaman Muawiyah ibni Abi Sufyan dikatakan sudah terdapat penempatan orang
Arab-Islam yang dikenali Ta-shih3 di pantai barat Sumatera dan di Pulau Jawa. Menurut
catatan sejarah, Muawiyah pernah menghantar utusan ke Pulau Jawa untuk mengadakan
hubungan perdagangan. Selain itu, beliau turut mengutus surat kepada Raja Srivijaya di
Jambi bernama Lokitavarman untuk menyarankan supaya beliau menganut agama Islam serta
menjalin hubungan dagang dengan Damsyik. Hubungan tersebut diteruskan oleh Sulaiman
bin Abd Malik (715-717 M). Baginda telah menghantar angkatan yang mengandungi 35 buah
kapal ke Muara Sabak di Jambi untuk menjalankan perdagangan lada.
Bagaimanapun usaha dakwah dikatakan hanya berjaya semasa pemerintahan Khalifah Umar
Abd Aziz (717-720 M). Beliau telah berjaya mengislamkan raja Srindravarman (pengganti
Lokitavarnam) menganut Islam pada tahun 718 M dan kerajaannya dikenal dengan nama
Sribuza Islam. Dikatakan juga pada tahun 726 M, Raja Jay Sima yang merupakan putera Ratu
Sima, seorang pemimpin di Pulau Jawa telah memeluk Islam.
Terdapat juga kegiatan dakwah yang dilakukan oleh orang perseorangan terutamanya akibat
pergolakan politik di zaman Bani Umaiyah dan Abbasiyyah. Sebahagian golongan Syiah
melarikan diri ke Alam Melayu dan menjalankan kegiatan dakwah di sini. Pada zaman
pemerintahan Abd al-Malik bin Marwan (685-705M ) dikatakan telah ada golongan Syiah di
Kepulauan Sila iaitu Pulau Sulu, Sulawesi dan Kalimantan. Di zaman al-Makmun pula, satu
rombongan dakwah seramai 100 orang di bawah pimpinan Nakhoda Khalifah telah tiba di
Perlak pada 800 M yang ketika itu diperintah oleh Meurah Sharh Nuwi daripada keturunan
Parsi. Salah seorang pendakwah bernama Ali bin Muhammad bin Jafar al-Sadiq telah
berkahwin dengan adik Meurah Sharh Nuwi bernama Puteri Makhdum Tanshuri. Hasil
perkahwinan ini lahirlah Sayyid Abd al-Aziz yang menjadi raja pertama Kerajaan Perlak
pada tahun 840 M dengan gelaran Sultan Sayyid Maulana Abd al-Aziz Syah. (Ibid)
Tahap Penyebaran Islam secara meluas
Penyebaran Islam di Alam Melayu berlaku secara meluas selepas abad 13 M, khususnya
setelah banyak wilayah di Alam Melayu menerima Islam hasil dari proses dakwah dan
asilmilasi antara para pedagang yang turut bertindak sebagai da’ie dengan masyarakat
tempatan (Wan Kamariah Leman & Salmah Hussain 2006: 13).
Pada tahap ini, dunia Islam amnya dan Asia Barat khususnya mula menghadapi cabaran
luaran dan dalaman. Cabaran luaran bermula sejak abad 11 hingga 13 M. Pada masa ini, umat
Islam diancam oleh Gerakan Salibiyyah dari Barat yang membangkitkan semangat untuk
membebaskan semula Baitul Maqdis. Demikian juga keruntuhan Baghdad ke tangan Mongol
dari Monggolia pada tahun 1258 M. Cabaran dalaman pula terlihat pada kebangkitan kaum
Syiah, terutamanya puak ghulah (ekstrem). Cabaran ini merupakan cabaran yang paling besar
bagi umat Islam kerana lahir banyak perselisihan di kalangan sesama umat Islam. Tragedi
yang paling dahsyat ialah tindakan mereka mengundang Hulagu Khan untuk menyerang
Baghdad. Walau bagaimanapun, dalam kehancuran tersebut terdirilah kerajaan Ayyubiyah di
Mesir pada tahun 1171 M setelah menewaskan kerajaan Fatimiyyah. Setelah itu, muncul pula
kerajaan Mamluk, kerajaan Turki Uthmaniyyah di Asia Kecil dan kerajaan Delhi dan
Monghul di India. Pergolakan politik dalam dunia Islam ini turut memberi impak ke atas
proses Islamisasi di Alam Melayu dalam bentuk ibadah dan tarekat (Abdul Rahman Hj
Abdullah 1990: 41).
Terdapat beberapa pendakwah yang memainkan peranan pada tahap ini. Antaranya Syeikh
Ismail al-Siddiq yang telah diutuskan oleh Syarif Mekah dari Tanah Arab ke Alam Melayu
dengan disertai oleh Faqir Muhammad dari Malabar. Dalam misi dakwah ini, mereka telah
berjaya mengislamkan wilayah Barus atau Fansur, Lamri, Haru dan Samudera di Pulau
Sumatera. Menurut sesetengah pengkaji sejarah, Syeikh Ismail berperanan menukar
pegangan masyarakat Alam Melayu dari Islam aliran Syiah kepada mazhab Shafii yang
menjadi mazhab rasmi kerajaan Mekah di bawah pemerintahan Mamluk ketika itu. Semasa
Melaka diperintah oleh Raja Kecil Besar (1424–1444 M) yang merupakan pemerintah
Melaka ketiga, baginda telah berjaya diislamkan oleh seorang makhdum dari Jeddah bernama
Sayyid Abd al-Aziz dan menggunakan nama dengan nama Sultan Muhammad Syah. Baginda
kemudianya melantik Sayyid Abd al-Aziz sebagai kadi pertama di Melaka. Jawatan ini
diperturunkan kepada keturunan Sayyid Abdul Aziz berikutnya, seperti Kadi Yusuf pada
zaman Sultan Mansur Syah (1456 – 1477 M) (Ibid).
Dalam proses Islamisasi di Kepulauan Melayu ini juga tidak dapat dinafikan peranan
golongan sayyid dari Hadramaut yang berpegang kepada mazhab Shafie. Golongan ini
dikatakan mula tiba ke Alam Melayu sekitar abad 16 M hingga abad 20 M dan mempunyai
pengaruh yang kuat (Ibid).
Walaupun kelihatan seolah-olah kegiatan dakwah hanya digerakkan oleh pendakwah dari luar
Alam Melayu, namun hal ini berlaku pada zaman awal pertapakan Islam di Kepulauan Alam
Melayu. Bermula pada abad 16 dan 17 M peranan tersebut telah diambil alih oleh pendakwah
dan tokoh-tokoh tempatan. Malah, pada masa ini telah berlaku hubungan erat antara para
ulama Alam Melayu dengan Tanah Arab, bahkan hasil dari kemajuan perkapalan, semakin
ramai penganut Islam dari Alam Melayu pergi ke Mekah untuk menunaikan haji.
Sebahagiannya pula telah bermastautin di sana untuk mendalami ilmu agama (Ibid). Ini
menunjukkan pada tahap ini Islam telah tersebar secara meluas di Alam Melayu sehingga
penduduk tempatan mampu berperanan sebagai pengembang dakwah Islam. Selain itu,
terdapat juga interaksi secara langsung di antara orang Arab dan Parsi dengan penduduk
Alam Melayu. Interaksi ini berlaku sejak zaman pra-Islam dan bertambah kukuh selepas
pengislaman masyarakat Melayu.
Selain dari hujah-hujah di atas, terdapat juga catatan sejarah tempatan yang boleh dijadikan
sandaran dalam memperkuatkan teori Islam di Alam Melayu berasal dari Tanah Arab dan
Parsi. Antaranya, buku Sejarah Melayu menyebut bahawa raja Melaka bernama Parameswara
telah diislamkan oleh Sheikh Abd al-Aziz yang merupakan seorang ulama dari Jeddah.
Baginda telah menukar namanya kepada Megat Iskandar Syah atau Sultan Muhammad Shah.
(Azam Hamzah 1997: 7). Bukti lain ialah persamaan mazhab Shafi’i di kalangan penduduk
Alam Melayu dengan penduduk Yaman, tulisan jawi yang berasaskan tulisan Arab/Parsi
digunakan dengan meluas, nama-nama gelaran pendakwah seperti Sheikh dan Sharif serta
gelaran yang digunakan oleh raja-raja Melayu seperi Malik dan Sultan adalah jelas
berunsurkan Arab. Demikian juga nama-nama umum masyarakat Islam di Alam Melayu
seperti Saleh, Zahir, Tahir dan sebagainya mempunyai persamaan nama di Yaman dan Mesir.
Selain itu, cara pembacaan al-Qur’an masyarakat tempatan juga jelas menampakkan
persamaan bacaan di Yaman dan Mesir. Hasil-hasil kesusateraan yang tersebar di Alam
Melayu seperti Hikayat Muhammad Ali Hanafiah, Hikayat Nabi Bercukur dan sebagainya
jelas menampakkan pengaruh kesusasteraan Arab. Tidak ketinggalan juga dari sudut bahasa.
Bahasa Melayu banyak meminjam perkataan Arab. Semua bukti ini menjadi hujah kuat untuk
menegaskan bahawa Islam di rantau ini dibawa oleh para pendakwah dari Arab/Parsi (Ibid;
lihat juga S.M. Naquib, 1972: 40-41).
Walau bagaimanapun dakwaan ini tidaklah bermakna menafikan langsung peranan
pendakwah dari bangsa lain seperti dari India dan China dalam proses Islamisasi di Alam
Melayu ini. Apatah lagi kita maklum bahawa pendakwah Islam dari India dan China juga
terdiri dari pedagang-pedagang Arab. Namun peranan mereka ini didahului oleh para
pendakwah dari Arab dan Parsi.
Justeru itu dapatlah disimpulkan bahawa penyebaran Islam di rantau ini dilakukan oleh
semua pendakwah Islam yang sampai ke Kepulauan Melayu tanpa mengira bangsa, warna
kulit, asal usul dan bidang kemahiran; sama ada mereka golongan pedagang, pendakwah atau
ahli sufi. Semuanya berganding bahu dan sama-sama merasa bertanggungjawab untuk
menyebarkan pesanan Rasulullah SAW berbunyi { ??? ??? ??? ??? } bermaksud:
”Sampaikanlah apa sahaja dariku walau sepotong ayat.”
3.3 ISLAMISASI ALAM MELAYU
Islam telah berperanan mencorakkan masyarakat Melayu di Alam Melayu ke arah yang lebih
dinamik dan berdaya maju. Penggerak Islamisasi yang dimulakan oleh mubaligh dari luar
Alam Melayu telah disambung kemudiannya oleh mubaligh Melayu tempatan tanpa mengira
pangkat, kedudukan dan suku kaum. Semuanya merasa bertanggungjawab menyebar dan
memahamkan Islam kepada masyarakat setempat.
Kejayaan peranan Islam ini digariskan pada faktor-faktor pemangkin Islamisasi di Alam
Melayu, antaranya seperti berikut;
3.3.1 Keunggulan dan Kemurnian Islam
Ajaran Islam bersifat syumul dan menepati keperluan manusia kerana ia diwahyukan oleh
Allah SWT Penerimaan yang terbatas di kalangan penduduk Alam Melayu pada peringkat
awal penyebaran Islam bukanlah kerana mereka tidak berminat dengan ajaran Islam tetapi
kerana tiada interaksi yang menyeluruh dengan penduduk tempatan. Pada peringkat awal,
interaksi hanya berlaku secara langsung di kalangan raja-raja dan para pedagang
menyebabkan penyebaran Islam terhad di kalangan golongan ini sahaja.
Setelah pengaruh Islam meluas, Islam diterima baik oleh masyarakat tempatan kerana
ajarannya yang bersesuaian dengan fitrah manusia, mudah difahami dan senang dilaksanakan.
Ajaran Islam difahami penuh dengan nilai-nilai murni. (Azam Hamzah 1997: 16 ) Islam
bukan sebuah agama yang rumit seperti Buddha dan Hindu yang hanya dapat dipelajari oleh
golongan tertentu sahaja seperti sami dan pendeta. Konsep keesaan Allah S.W.T. juga
menarik minat penduduk tempatan. Mereka merasa puas kerana dapat menyembah Tuhan
secara langsung dan tidak mengira tempat. Keyakinan ini jauh berbeza dengan agama anutan
masyarakat Alam Melayu sebelum ini. Penjelasan Islam yang turut menggabungkan wahyu
dan logik akal berkaitan semua bidang kehidupan sama ada sosial, ekonomi dan politik
menambah minat penduduk di rantau Alam Melayu. (Mahayddin Hj. Yahaya 1996: 563-564 )
Ajaran Islam juga menekan konsep persamaan antara sesama manusia. Ajaran ini
membebaskan mereka dari belenggu perhambaan. Selain itu, Islam turut menjamin keadilan
sosial tanpa mengira kelas dan darjat manusia. Jaminan ini seolah-olah mengembalikan harga
diri mereka yang sekian lama dibelenggu dengan fahaman kasta dalam ajaran Hindu. (Azam
Hamzah 1997: 16)
3.3.2 Peranan Pembesar/pemimpin
Masyarakat Melayu mempunyai tradisi taat kepada pemerintah. Tradisi warisan ini dikenali
sebagai ”daulat” dan ”derhaka”. Tradisi ini lahir daripada konsep pendewaan kepada
pemerintah yang merupakan satu doktrin dewaraja dalam agama Hindu. Tradisi taat kepada
pemerintah yang telah tertanam dalam jiwa masyarakat Alam Melayu menjadikan masyarakat
tempatan mengikut setiap tindakan pemerintah tanpa bantahan dan perdebatan. Hal ini turut
terjadi apabila pemerintah Melayu menerima agama Islam, semua lapisan masyarakat
mengikut jejak pemerintah atau raja tanpa persoalan.
Contoh yang jelas dapat dilihat pada pengislaman rakyat di Melaka, Kedah dan Patani.
Sejarah Melayu mengesahkan bila Raja Kecil Besar memeluk Islam, rakyat pun turut
mengikut jejak langkah baginda. Begitu juga cerita Hikayat Merong Mahawangsa mengenai
pengislaman Kedah dan Hikayat Patani mengenai pengislaman Patani. (Mahayuddin Hj.
Yahaya, 1996: 562)
3.3.3 Perkahwinan.
Faktor perkahwinan turut menyumbang kepada penyebaran Islam di rantau ini. Perkahwinan
yang berlaku antara pedagang Islam dengan penduduk tempatan berlaku ketika pedagang
Islam menunggu ketibaan musim tiupan angin ke arah yang dituju. Penantian ini mengambil
masa beberapa bulan lamanya. Syarat perkahwinan yang dijelaskan oleh pedagang Islam
sudah pasti seorang wanita mestilah satu agama dengan anutan pedagang. Justeru itu wanita
tempatan mestilah menerima Islam terlebih dahulu. Syarat ini mudah diterima oleh wanita
dan keluarga masyarakat tempatan Alam Melayu. Ini kerana para pedagang mampu
menjamin kehidupan wanita tempatan yang telah menjadi isteri pedagang Islam dengan
perdagangan yang dimiliki. Status pedagang juga merupakan golongan yang dikagumi oleh
penduduk tempatan. Pengislaman wanita yang menjadi isteri pedagang Islam mendorong
pengislaman ahli keluarga wanita tersebut. Situasi ini memberi satu perkembangan baru ke
arah penyebaran Islam secara lebih luas.
Perkahwinan pedagang Islam juga berlaku dengan puteri-puteri pemerintah tempatan.
Peristiwa ini memudahkan lagi penyebaran Islam di rantau Alam Melayu. Selain itu, terdapat
juga perkahwinan antara wanita Islam dengan lelaki bukan Islam. Contoh yang jelas dapat
dilihat pada perkahwinan Megat Iskandar Shah dengan Puteri Pasai. (Ibid) Justru itu jelaslah
bahawa Islam faktor perkahwinan ini turut memainkan peranan penting di dalam penyebaran
Islam di Alam Melayu.
3.3.4 Politik dan Penaklukan.
Faktor ini diterima oleh kebanyakan sejarawan Barat, walaupun sejarawan Islam menolak
faktor ini sebagai faktor perkembangan Islam di Alam Melayu. Penyebaran Islam tidak
berlaku melalui peperangan, walaupun seolah-olah kelihatan peristiwa peperangan di satu-
satu wilayah baru yang dimiliki oleh tentera Islam. Sebagai contohnya, penaklukan Melaka
ke atas Pahang seperti yang tercatat dalam buku Sejarah Melayu. Penaklukan ini bukanlah
bertujuan untuk mengislamkan Pahang, tetapi cenderung kepada matlamat politik dan
ekonomi kerana Pahang merupakan sebuah wilayah yang kaya dengan emas. Pengislaman
Pahang berlaku kerana usaha dakwah dan perdagangan antara kedua negeri tersebut yang
telah berada di bawah satu pemerintahan. Selain itu, konsep taatkan pemerintah juga menjadi
sebab mereka mudah menerima Islam.
Contoh lain ialah kejayaan Kerajaan Islam Demak menawan Kerajaan Majapahit dan
mengambil alih pemerintahan kerajaan di timur Pulau Jawa. Penawanan ini memberi kesan
kepada pengislaman hampir seluruh rakyat di bawah jajahan takluk Kerajaan Majapahit.
Hakikat pengislaman bukanlah berlaku kerana peperangan, penaklukan dan penawanan yang
menggambarkan paksaan, tetapi faktor kesetiaan terhadap pemerintah yang menjadi dorongan
utama tindakan masyarakat rantau Alam Melayu secara beramai-ramai nmenerima Islam
sebagaimana yang dilakukan oleh pemerintah mereka (Ibid).
Jelaslah di sini bahawa Islam bukanlah tersebar dengan mata pedang sebagaimana dakwaan
para orientalis tetapi didorong oleh faktor lain sebagaimana yang telah dijelaskan.
3.3.5 Perdagangan
Perdagangan yang menjadi sumber rezeki para pedagang Islam telah menyampaikan mereka
ke laluan laut di rantau Alam Melayu. Para pedagang berusaha mencari rezeki melalui
perdagangan dengan merentasi samudera yang luas hanya untuk memenuhi tuntutan agama
Islam yang menegaskan 9/10 daripada rezeki terkandung dalam bidang perniagaan. Dengan
berbekal iman dan fahaman agama Islam yang mantap, golongan saudagar belayar ke mana-
mana pelabohan yang menjanjikan perniagaan. Bekal iman yang teguh ini menjadi pendorong
untuk saudagar muslim turut bertindak sebagai mubaligh Islam. Marco Polo dalam catatan
pengembaraannya memberi contoh pengislaman Alam Melayu menerusi faktor ini ialah
pengislaman Perlak pada 1292M. Para pedagang Islam telah berjaya menawan hati
kebanyakan penduduk Perlak sehingga mereka rela menganuti Islam. (Ibid) Selain itu
peranan pegawai perdagangan dalam wilayah-wilayah Islam di Alam Melayu seperti peranan
Syahbandar Melaka yang memberi layanan istimewa kepada pedagang Islam turut
menyumbang ke arah pengislaman para pedagang lain yang berdagang di pelabuhan-
pelabuhan wilayah kerajaan Islam. Sebagai contohnya, pengislaman pedagang dari Brunei,
Ternate, Jawa dan Sulawesi terjadi kerana peranan Syahbandar Melaka. (Ibid )
Walaupun pengislaman menerusi faktor ini tidak meluas dan terhad di kalangan pedagang,
kota dan pelabuhan sahaja tetapi ia turut mendorong ke arah proses Islamisasi di rantau Alam
Melayu ini.
3.3.6. Pendakwahan.
Pendakwahan para ulama dan ahli sufi merupakan faktor penyebaran yang lebih meluas dan
berkesan. Curahan bakti mereka diakui dan tidak dapat dinilai dengan material. Para ulama
dan ahli sufi telah bertindak sebagai ejen perubahan yang memperkenalkan akidah baru di
Alam Melayu. Dakwah mereka dapat dijalankan dengan mudah kerana dibantu oleh akhlak
mulia yang dipenuhi dengan sifat-sifat kerohanian. Selain itu, para ulama dan ahli sufi mudah
bergaul dengan masyarakat tempatan. Mereka mempunyai keperibadian yang sesuai dengan
ajaran Islam. Situasi ini memudahkan lagi proses Islamisasi di rantau ini. (Afifah Abu Yazid,
2003: 10)
Usaha penyebaran dakwah oleh golongan ini begitu cergas pada zaman pemerintahan
Khalifah Umar b. Abdul Aziz. Baginda telah menghantar para pendakwah ke seluruh pelosok
dunia termasuk rantau Alam Melayu. Sekitar tahun 720 M, utusan baginda telah berjaya
mengislamkan kerajaan Suwarnabhumi atau Melayu Jambi ( San-fo-tsi ) dan setelah
menerima Islam kerajaan ini dikenali sebagai Sribuza Islam. Pada 820 M pula serombongan
pendakwah yang diketuai oleh Nakhoda Khalifah telah sampai di Perlak dan berjaya
mengislamkan pemimpin dan penduduk di situ. (Ibid)
Pergolakan dunia Islam pada abad 10 M di bawah pimpinan kerajaan Bani Abbasiyah yang
telah melemahkan empayar Islam telah mendorong sebilangan masyarakat Islam terutama
ahli sufi mengasingkan diri dari situasi ini dan keluar dari Semenanjung Tanah Arab. Mereka
telah berusaha menyebarkan Islam secara tidak langsung ke mana-mana wilayah yang aman
diduduki termasuklah Alam Melayu. Kegiatan mereka begitu rancak pada abad 13M dan
selepasnya.
Golongan ini menggunakan pendekatan pendidikan. Melaui pendekatan ini mereka telah
menubuhkan institusi pendidikan yang disesuaikan dengan masyarakat setempat. Antara
institusi pendidikan yang terkenal di wilayah Afrika Utara ialah zawiyah, khawanik dan rabt.
Usaha ahli sufi menjalankan pendidikan formal di rantau Alam Melayu pula banyak berlaku
di masjid atau di rumah mereka. Mereka berusaha menyampaikan dan mengajar masyarakat
setempat mengenai agama Islam. Pendidikan ini akhirnya berkembang menjadi institusi
pendidikan khusus yang dikenali dengan pelbagai nama di Alam Melayu seperti pondok,
langgar, pesantren dan dayah. Kesan dakwah menerusi penubuhan institusi pendidikan telah
melahirkan ramai alim ulama tempatan atau ulama Melayu. Antara yang terkenal seperti
Hamzah Fansuri, Shamsuddin al-Sumaterani, Abdul Rauf al-Singkeli, Abdul Samad al-
Palembani, Wali Songo, Daud Fatani dan lain-lain. (Ibid, lihat juga Azhar Mad Aros, 2002:
273)
3.3.6 Persaingan Penyebaran Agama
Faktor ini merupakan kesan daripada kedatangan kuasa Barat ke Asia dan jelas berlaku pada
abad ke-16 hingga 19 M. Faktor ini adalah rentetan peristiwa Perang Salib yang berlaku pada
abad 15 -16 M di Turki. Dalam perkembangan ini, sesetengah penguasa agama Kristian di
Barat masih mempunyai rasa permusuhan yang berterusan dengan penganut agama Islam.
Pada abad 15 dan 16 M kuasa-kuasa Barat seperti Portugis telah memulakan pelayaran ke
timur dan mendapati pengaruh Islam telah lama bertapak di sebahagian besar wilayah di
Asia. Dengan anggapan Barat lebih kuat, Portugis telah melakukan tindakan drastik dengan
melakukan penyerangan secara terbuka ke atas wilayah-wilayah Islam di Asia. Tindakan ini
menyebabkan wujudnya pertentangan secara terbuka antara masyarakat Asia, khususnya
penganut Islam dengan kuasa tersebut. (Azhar Hj Mad Aros, 2002: 272) Keadaan tersebut
merangsang umat Islam melipatgandakan usaha dakwah. Kesannya, Islam bukan sahaja
menjadi elemen penting dalam menyatupadukan seluruh umat khususnya di Alam Melayu,
tetapi juga sebagai slogan untuk berjihad menentang kuasa penjajah Kristian. (Azam
Hamzah, 1997: 18)
Persaingan dalam menyebarkan agama Kristian dan Islam ini berterusan sebagaimana yang
digambarkan dalam kes-kes penyebaran Islam di bahagian pedalaman Pulau Maluku,
Ternate, Sumatra dan sebagainya. (Azhar Hj Mad Aros, 2002: 272) Dengan adanya ancaman
agama ini, usaha dakwah Islamiah lebih giat dijalankan dan memberi kesan kepada
penyebaran Islam dengan lebih pantas dan menyeluruh.
Selain faktor-faktor di atas terdapat juga beberapa faktor lain seperti penulisan dan
kesusateraan. (Azam Hamzah, 1997: 22) Dari segala perbincangan di atas dapatlah
disimpulkan bahawa penerimaaan dan penyebaran Islam di rantau Alam Melayu didorong
oleh pelbagai faktor. Antara yang terpenting dan paling berkesan ialah faktor ajaran Islam.
Faktor ini menjadikan masyarakat rantau Alam Melayu mudah menerima Islam dan faham
kenapa mereka menerima Islam dan apakah tanggungjawab mereka sebenarnya. Peranan
pendakwahan turut membantu mereka lebih memahami tasawur Islam yang sebenar. Di
samping itu faktor-faktor lain juga tidak kurang pentingnya kerana ia saling kait mengait di
antara satu sama lain.
Islam telah sampai di rantau Alam Melayu sejak zaman pra-Islam lagi dan seterusnya
berlanjutan selepas kelahiran Islam. Walaupun terdapat berbagai teori mengenai
kedatangannya di rantau ini, teori Islam datang dari Arab/Parsi adalah lebih kukuh. Teori ini
bukanlah menafikan peranan yang dimainkan oleh pendakwah dari tempat lain kerana ajaran
Islam menyeru semua penganutnya mengembangkan Islam tanpa mengira asal, bangsa dan
keturunan. Penyebaran Islam di rantau ini juga telah melalui beberapa tahap hingga ia berjaya
tersebar ke seluruh pelusuk rantau ini sebagaimana yang kita saksikan hari ini. Faktor
pemangkin Islamisasi di rantau Alam Melayu juga turut berkembang dan sentiasa muncul
dalam bentuk baru sesuai dengan fenomena semasa.
3.4 Pencapaian Tamadun Melayu
Pencapaian Tamadun Melayu menjadikan bukti kegemilangan Melayu pada lembaran sejarah
silam. Atas kegemilangan ini Melayu terus membina wawasan dan menetapkan jati diri
Melayu. Pencapaian ini dibuktikan dalam bentuk catatan tulisan, peninggalan seni bina dan
artifak lain yang boleh disaksikan hingga hari ini. Pencapaian ini juga menggambarkan
masyarakat Melayu mampu berdikari, berusaha dan berhadapan dengan segala kemungkinan
dan perubahan.
Pencapaian ini akan dilihat dari segala aspek yang boleh dirangkumkan kepada tiga kategori,
iaitu pencapaian material (benda), intelektual (ilmu pengetahuan) dan spritual (agama/
kepercayaan).
3.4.1 Kerajaan dan Sistem Pemerintahan
Kerajaan dan sistem pemerintahan menjadi tunggak sebuah masyarakat dan memainkan
peranan penting dalam pembinaan tamadun. Sesetengah kerajaan Melayu mengisytiharkan
kerajaan dan pemerintahan mereka sebagai Kesultanan, seperti yang diamalkan oleh
Kesultanan Melayu Melaka. Ini sempena gelaran yang diguna pakai oleh jawatan pemerintah,
iaitu sultan. Selain itu, pengisytiharan ini juga sebagai menunjukkan bahawa sesebuah
kerajaan Melayu tersebut berteras kepada ajaran Islam.
Terdapat banyak kerajaan Melayu yang dibina oleh masyarakat Melayu dalam siri
kegemilangan Tamadun Melayu. Kerajaan-kerajaan ini dikenal di seluruh Alam Melayu
mahupun di luar rantau ini. Antara kerajaan-kerajaan tersebut adalah seperti berikut:
1.1.1 Kerajaan Sribuza Islam, Palembang.
1.1.2 Kerajaan Samudera-Pasai di Pasai, Aceh, Sumatera Utara.
1.1.3 Kerajaan Melayu Melaka.
1.1.4 Kerajaan Islam Demak, Banten, Ceribon di Pulau Jawa.
1.1.5 Kerajaan Aceh Darussalam.
1.1.6 Kerajaan Pattani, Selatan Thailand.
1.1.7 Kerajaan Buton, Ternate di Sulawesi.
1.1.8 Kerajaan Melayu Johor-Riau.
Setiap kerajaan ini mempunyai sistem pemerintahan masing-masing yang berasaskan
undang-undang Islam. Sistem pemerintahan yang diguna pakai ditulis pada naskhah-naskhah
Melayu dan batu bersurat (prasasti). Sebagai contohnya, Undang-undang Laut Melaka,
Hukum Kanun Melaka diguna pakai dalam sistem pemerintahan Kesultanan Melayu Melaka,
Kanun Meukuta Alam dilaksanakan dalam Kerajaan Melayu Aceh Darussalam, Undang-
undang Kedah dilaksanakan dalam Kerajaan Melayu Kedah, Hukum Kanun Pahang
termaktub dalam sistem pemerintahan Kerajaan Melayu Pahang dan Undang-undang 99
diguna pakai dalam Kesultanan Melayu Perak.
3.3.2 Ekonomi
Tamadun Melayu berjaya menggerakkan ekonomi orang Melayu ke persada serantau dan
antarabangsa. Walaupun Tamadun Melayu awal belum mengamalkan sistem perindustrian
secara besar-besaran, namun kegiatan perekonomian yang berpusat di pelabuhan-pelabuhan
Alam Melayu telah berjaya menjadi pusat import eksport yang maju di rantau Asia. Antara
pelabuhan-pelabuhan yang muncul dalam Tamadun Melayu ialah Pasai, Melaka, Aceh,
Demak, Betawi, Terengganu, Ligor dan Johor. Pelabuhan ini ditadbir urus dengan baik oleh
pemerintah Melayu. Sebagai contohnya, Sultan Muzaffar Shah dalam Kesultanan Melayu
Melaka telah menubuhkan satu jawatan khas untuk memantau kegiatan di pelabuhan
menerusi jawatan Shah bandar.
Kegiatan perdagangan yang rancak di pelabuhan-pelabuhan Alam Melayu memberi kesan
kepada kemunculan bandar dan kota yang lengkap dengan prasarana. Masyarakat pedalaman
tidak ketinggalan memanfaatkan kemunculan pekan dan bandar. Mereka menuju ke pekan
dan bandar untuk memasarkan hasil pertanian, ternakan, hasil tangkapan dan hasil kreatif.
Tanpa disedari situasi ini membuktikan masyarakat Melayu telah menuju ke arah masyarakat
bandar yang berdaya maju dan berdaya saing.
Kepesatan pelabuhan-pelabuhan di Alam Melayu turut menyemarakkan pertumbuhan
kemasyarakatan yang lain seperti budaya dan seni, intelektual, reka cipta dan pemerintahan.
Masyarakat Melayu juga telah menerima beberapa budaya luar yang sesuai dengan sifat
kemelayuan, seperti dalam pembentukan bentuk bumbung bertingkat yang merupakan unsur
seni bina Cina. Malah bumbung bentuk ini digunakan pada masjid masyarakat Melayu.
Contoh yang paling jelas dapat dilihat pada masjid Tengkera di Melaka dan masjid Kampong
Laut di Kelantan. Demikian juga penggunaan warna merah dalam seni masyarakat Melayu
berasal dari budaya Cina. Bahasa Melayu turut berkembang dengan penerimaan bahasa-
bahasa asing yang telah disebatikan dengan Bahasa Melayu. Bahasa asing yang paling luas
pengaruhnya dalam pembentukan bahasa Melayu ialah Bahasa Arab.
Kegiatan ekonomi dalam Tamadun Melayu telah mencapai tahap cemerlang dengan
penggunaan mata wang. Pemerintah Melayu telah berjaya mencipta mata wang yang
digunakan dalam perdagangan, terutamanya di pelabuhan. Antara mata wang yang dapat
dikesan ialah mata wang Kesultanan Melayu Melaka dan Kesultanan Aceh Darussalam.
3.4.3 Pendidikan
Pendidikan di kalangan masyarakat Melayu terbahagi kepada dua. Pendidikan formal dan
informal. Pendidikan formal melahirkan pelbagai institusi pendidikan yang banyak di Alam
Melayu. Pendidikan bentuk ini di awali oleh pendidikan ajaran Islam. Sistem pendidikan dan
kurikulum juga berteraskan kepada bidang pengajian Islam seperti tauhid, fiqah, akhlak, tafsir
dan sejarah Islam (Mohd Salleh Lebar, 1990).
Pendidikan informal pula merupakan pendidikan yang berlangsung dalam kehidupan
bermasyarakat. Masyarakat menjadi pendidik bangsa. Pendidikan ini berbentuk kemahiran
berfikir, berusaha, berbudi pekerti, bijak membuat tindakan, penghasilan teknologi, berpolitik
dan bergiat cergas dalam ekonomi. Tradisi lisan yang diwarisi turun temurun merupakan satu
kaedah pendidikan informal. Melalui tradisi ini, masyarakat dididik melalui pantun, syair,
hikayat, gurindam, seloka, nazam dan sebagai. Melalui tradisi ini juga, masyarakat disindir,
dihukum dan dinasihatkan melalui perumpamaan, perbidalan, peribahasa dan simpulan
bahasa.
Kewujudan pendidikan formal berteraskan pendidikan Islam dan bukan berasaskan
kemahiran dan teknologi melahirkan tanggapan negatif kolonialis terhadap pendidikan
masyarakat Melayu. Kolonialis tidak mengakui pendidikan yang wujud di Alam Melayu
sebagai satu sistem pendidikan, lantas mereka mendakwa masyarakat Melayu adalah
masyarakat buta huruf. Tanggapan ini mungkin bertolak dari fahaman terhadap agama yang
diterima pakai di Barat. Di Barat, agama Kristian tidak melahirkan sistem pendidikan, malah
segala perkembangan tamadun Barat terpisah dari agama, seperti yang terangkum dalam
maksud sekularisma. Situasi ini berbeza dengan tamadun Melayu yang berasaskan ajaran
Islam.
Pencapaian Tamadun Melayu dalam aspek pendidikan adalah seperti berikut:
* Kewujudan institusi pendidikan agama Islam.
Institusi pendidikan agama Islam dimulai oleh istana dan kemudiannya rumah-rumah ulama.
Istana sebagai instutusi pendidikan hanya dikhaskan untuk sultan, keluarga diraja dan ahli
istana sahaja. Di samping itu, para ulama turut membuka kelas-kelas pengajian di rumah
mereka. Kelas-kelas yang dibuka bersedia menerima masyarakat tanpa kelas. Apabila
kecenderungan mempelajari Islam semakin berkembang di kalangan masyarakat awam, maka
terbinalah institusi-institusi pendidikan Islam untuk masyarakat awam. Justeru itu, situasi ini
melahirkan penubuhan institusi pendidikan Islam di seluruh Alam Melayu.
Kepelbagaian rumpun Melayu telah melahirkan pelbagai nama institusi pendidikan Islam.
Walau bagaimanapun semuanya mempunyai peranan yang sama iaitu melahirkan ilmuan
yang bertaqwa. Antara panggilan nama institusi tersebut adalah seperti berikut:
* Masjid: Pusat ibadat dan pelbagai kegiatan masyarakat.
* Madrasah/Meunasah: Pusat pembelajaran Islam yang terkenal di Selangor, Perak dan
beberapa tempat di Sumatera.
* Langgar: Pusat pembelajaran Islam yang terkenal di Kalimantan.
* Surau: Pusat ibadat dan pelbagai kegiatan masyarakat Islam.
* Pondok: Pusat pembelajaran Islam yang luas di Pattani, selatan Thailand, Perak Utara,
Kedah dan Kelantan.
* Pesantren: Pusat pembelajaran agama Islam yang berkembang luas di Pulau Jawa.
* Dayah: Pusat pembelajaran agama Islam yang wujud di Aceh, Sumatera. Dayah merupakan
institusi tertinggi dalam pembelajaran Islam dalam masyarakat Aceh. Sebelum sampai ke
tahap ini, pendidikan Islam bermula di peringkat meunasah, rangkang dan balee. Contoh
Dayah yang paling terkenal ialah Dayah Cot Kala di Aceh. Dayah ini telah melahirkan ramai
ilmuwan Aceh seperti Hamzah Fansuri, Shamsuddin Sumatrani dan Abdul Rauf Singkel.
* Kecenderungan sultan menguasai pendidikan Islam.
Minat ini telah mendorong sultan mengarahkan ulama menulis dan menterjemah kitab agama
Islam dari bahasa Arab ke bahasa Melayu. Penterjemahan ini berfungsi untuk menjelaskan
ajaran Islam dan menjawab permasalahan masyarakat dari perspektif Islam. Contoh-contoh
berikut menggambar secara jelas kecenderungan para sultan:
* Sultan Mansur Shah mempelajari kitab Dur al-Manzum (Sejarah Melayu menulis dengan
nama Dar al-Mazlum),
* Sultan Mahmud Shah mempelajari kitab al-Luma’ (dalam Sejarah Melayu ditulis sebagai
kitab Maklumat) karya Abu Nasr al-Sarraj al-Tusi seorang ulama tasawuf.
* Sultanah Safiatuddin di Aceh memohon Abdul Rauf Singkel menjelaskan mengenai konsep
kerohanian dalam Islam melalui karyanya Kifayah al-Muhtajin ila Mashrab al-muwahhidin
al-qailin bi Wahdat al-Wujud.
* Sultan Alauddin Riayat Shah (Sultan Selangor) menjadi menjadikan barisan ulama sebagai
penasihat. Beliau juga menjadi khatib dalam solat jumaat.
* Kemunculan golongan intelektual Melayu.
Penumpuan golongan intelek Melayu zaman awal ialah kepada asas agama dan falsafah
kerana bidang ini memantapkan erti kehidupan dan jati diri bangsa Melayu. Penyebaran
secara meluas pemahaman dua aspek ini di kalangan masyarakat Melayu menjamin
penerusan generasi Melayu yang memahami tugas dan tanggungjawab mereka dalam
masyarakat.
Antara intelek Melayu yang tercatat dalam sejarah ialah :
* Hamzah Fansuri
* Shamsuddin al-Sumatera’i
* Nuruddin al-Raniri
* Abdul Rauf Singkel
* Abdul Samad al-Palembani
* Yusuf Tajul Khalwati Makasar
* Muhamad Nafis al-Banjari
* Muhamad Arsyad al-Banjari
* Daud al-Fatani dan keturunannya.
* Kelahiran naskhah-naskhah Melayu atau manuskrip Melayu.
Naskhah-naskhah Melayu yang dihasilkan oleh golongan intelek Melayu merangkumi segala
aspek kehidupan masyarakat seperti perubatan, ilmu falak (astronomi), undang-undang,
pemerintahan (ketatanegaraan), pertanian, pengetahuan Islam, sejarah Melayu dan
kemasyarakatan. Sebagai contohnya, naskhah perubatan berjudul Kitab Tib, naskhah undang-
undang berjudul Hukum Kanun Melaka, naskhah ketatanegaraan berjudul Bustan al-Salatin,
naskhah pertanian berjudul Pembukaan Kebun Kelapa di Pulau Kemili, naskhah agama Islam
dalam bidang tauhid berjudul Masa’il al-Mubtadi’ li Ikhwan al-Mubtadi’.
Naskhah Melayu mempunyai keunikan yang menampakkan identiti bangsa. Antara
keunikannya, ia ditulis dengan menggunakan tulisan Jawi yang berteraskan aksara Arab
dengan beberapa penambahan. Naskhah ini ditulis pada pelbagai bahan seperti pada daun
lontar, kepingan buluh, kulit haiwan yang telah disamak, kain dan kertas. Selain itu, naskhah
Melayu mempunyai nilai estetika yang tinggi. Penulis dan penyalin memaparkan daya kreatif
yang tinggi semasa menghasilkan karya. Ini terbukti dengan adanya ilustrasi dan seni hias
pada naskhah-naskhah Melayu. (Lihat gambarpada halaman 118)
3.4.4 Komunikasi
Komunikasi Alam Melayu terjalin melalui hubungan perdagangan, diplomatik dan budaya.
Komunikasi harmoni yang berjalan lancar mengukuhkan ikatan Tamadun Melayu di Alam
Melayu. Komunikasi ini banyak diasaskan kepada polisi pemerintahan kerajaan dalam
Tamadun Melayu. Hasilnya, para pemerintah Melayu telah berjaya menjalin interaksi antara
rumpun Melayu di seluruh wilayah Alam Melayu dengan semangat persahabatan yang
bermula melalui peluasan wilayah. Sebagai contohnya:
* Kerajaan Melaka meluaskan pengaruh ke negeri-negeri di utara Semenanjung Tanah
Melayu hingga ke Pulau Sumatera yang meliputi Inderagiri, Siak, Kampar, Rokan dan lain-
lain. Peluasan wilayah ini memberi laluan kepada masyarakat di Semenanjung Tanah Melayu
dan Pulau Sumatera menjalin hubungan perdagangan dan budaya secara aman dan harmoni.
* Kerajaan Melaka mengadakan hubungan diplomatik dan perdagangan dengan Kerajaan
Majapahit di Pulau Jawa dan Dinasti Ming di Tanah Besar Cina.
* Kerajaan Aceh Darussalam mengadakan hubungan diplomatik dengan kerajaan Pahang.
Hubungan ini dikukuhkan dengan perkahwinan puteri Iskandar Muda Mahkota Alam
bernama Puteri Safiatuddin dengan putera Sultan Pahang bernama Raja Ahmad.
* Kerajaan Aceh Darussalam turut mengadakan hubungan diplomatik dengan Kerajaan Turki
Uthmaniyyah.
Para pemerintah Melayu juga telah mengadakan interaksi antara kaum bukan Melayu
khususnya dengan kuasa Eropah. Interaksi ini dibuktikan dengan adanya surat-surat sultan
Melayu kepada pegawai-pegawai British. Contohnya:
* Surat daripada Sultan Cakra Adiningrat dari negeri Madura kepada Gabenor Ganeral
Thomas Stamford Raffles di Betawi bertarikh 14 Muharam 1231 H,
* Surat Sultan Ratu Mahmud Badruddin dari Palembang kepada Thomas Raffles Esquire di
Melaka bertarikh 1 Rabiulawal 1226 H (1811 M).
* Surat Sultan Syarif Kasim ibni al-marhum Sultan Syarif Abdul Rahman ibni al-Marhum
Habib al-Husin al-Kadri dari Pontianak kepada Thomas Raffles Esquire bertarikh 20 Safar
1226 H.
* Surat Sultan Ahmad Tajuddin Halim Syah dari Kedah kepada Thomas Raffles di Melaka
bertarikh 6 Rabiulawal 1226 H.
* Surat Yang Dipertuan Negeri Perak kepada Thomas Raffles Esquire di Melaka bertarikh 28
Rabiulawal 1226 H.
3.4.5 Sastera
Sastera Melayu berbentuk prosa dan puisi. Prosa merupakan karya dalam bentuk esei atau
karangan untuk menjelaskan satu perkara. Puisi pula merupakan karya yang memaparkan
kemahiran bahasa dan penggunaan bahasa yang indah melalui rima bunyi yang tertentu.
Sastera prosa Melayu dapat dilihat pada naskhah Melayu. Penulisannya meliputi pelbagai
bidang seperti ketatanegaraan, pemerintahan, perubatan, undang-undang, agama Islam, ilmu
falak, petua dll. (Lihat Katalog Manuskrip Melayu Koleksi Perpustakaan Negara Malaysia)
Sebagai contohnya:
* Taj al-salatin,
* Bustan al-salatin,
* Sejarah Melayu,
* Hikayat Hang Tuah,
* Mir’at al-Tullab.
Puisi-puisi Melayu terdiri daripada beberapa genre. Antaranya syair, pantun, gurindam,
seloka, nazam dan sajak. Syair menghasilkan rima bunyi akhir yang sama: a,a,a,a. Pantun
pula menghasilkan rima bunyi rangkap 1 sama dengan rangkap 3 dan rangkap 2 sama dengan
rangkap 4: a,b,a,b. Pantun-pantun Melayu terdiri daripada beberapa rangkap. Antaranya
pantun dua rangkap. Ia juga dikenali dengan pantun dua kerat. Pantun empat rangkap juga
dikenali dengan pantun empat kerat. Pantun enam rangkap juga dikenali dengan pantun enam
kerat dan pantun lapan rangkap dikenali dengan pantun lapan kerat. (Lihat Anas Hj. Ahmad)
Contoh pantun 2 kerat: Siakap senohong gelama ikan duri,
Bercakap bohong lama-lama mencuri
Contoh pantun 4 kerat: Pulau pandan jauh ke tengah
Gunung Daik bercabang tiga
Hancur badan di kandung tanah
Budi yang baik dikenang jua.
3.4.6 Kemahiran Pembuatan
Masyarakat Melayu terkenal dengan pelbagai kemahiran pembuatan barang-barang
keperluan. Setiap hasil kemahiran disematkan nilai falsafah Melayu yang berteras kepada
agama Islam. Selain itu, hasil-hasil kemahiran masyarakat Melayu juga dipenuhi dengan nilai
estetika yang tinggi. Antara kemahiran-kemahiran tersebut adalah seperti berikut:
* Pembuatan rumah. Kemahiran membuat rumah di kalangan masyarakat Melayu
menyebabkan tukang-tukang Melayu mampu memberi identiti pada rumah-rumah Melayu
(Abdul Halim Nasir,1985). Antara identiti rumah Melayu seperti berikut:
* Bumbung seperti bumbung limas.
* Kepelbagaian ruang: Ruang induk/ ruang ibu, ruang tengah, ruang dapur dan serambi atau
beranda.
* Rumah panggung.
* Dilengkapi dengan seni hias pada tingkap, dinding, curu atap dan lain-lain.
* Peralatan kelengkapan rumah. Masyarakat Melayu awal bijak mengolah tanah liat untuk
menghasilkan keperluan rumah seperti pinggan, mangkuk, cawan, periuk, kuali dan
sebagainya. Masyarakat Melayu di Perak sebagai contohnya terkenal dengan hasil pembuatan
Labu Sayung yang merupakan satu bekas air yang dingin tanpa air batu. Semua keperluan ini
diusahakan oleh titik peluh sendiri. Demikian juga alat-alat perabot seperti almari, meja,
kerusi dan sebagainya. Masyarakat Melayu awal juga mampu menghasilkan sampan, perahu,
bot dan kapal untuk meredah lautan mencari rezeki. Mereka bekerjasama dan berganding
bahu menghasilkan keperluan harian.
* Pakaian: Masyarakat Melayu juga merupakan pereka fesyen yang mampu bertahan lama.
Fesyen-fesyen pereka Melayu jelas memaparkan identiti dan jati diri bangsa Melayu. Contoh
yang jelas ialah seperti baju Kurung, baju Melayu, Kebaya, dan Busana Muslim. (Lihat Siti
Zainon Ismail.)
* Peralatan menulis: Masyarakat Melayu juga pintar menghasilkan kertas dari bahan yang
tersedia di sekeliling mereka. Demikian juga dengan alat-alat tulis daripada buluh dan
sebagainya. Walaupun masyarakat Melayu tidak menggunakan teknologi canggih dalam
menghasilkan peralatan menulis tetapi mereka mempunyai daya fikir dan inisiatif yang tinggi
untuk menghasilkan sesuatu barangan.
Kesimpulan
Tamadun Melayu mempunyai pelbagai pencapaian yang terbukti melalui catatan naskhah,
binaan atau bangunan, batu bersurat, karya2 seni dan sastera. Ketinggian tamadunnya
memaparkan jati diri dan identiti bangsa Melayu. Kejayaan masyarakat Melayu silam
mencorakkan tamadun dan budaya menyebabkan bangsa Melayu menjadi satu rumpun
bangsa yang dikenali, dihormati dan disanjung tinggi. Tonggak kejayaan ini terletak pada
pembentukan modal insan yang berpegang kuat pada agama, falsafah bangsa, jati diri yang
teguh dan budi pekerti yang luhur. Kekuatan modal insan telah berjaya membina
kecemerlangan dan kehebatan Tamadun Melayu.
Gambar.1: Naskhah Melayu
3.5 TAMADUN MELAYU TERAS TAMADUN MALAYSIA
Berlatarbelakangkan lembaran sejarah Tamadun Melayu wajar menjadi landasan kepada
pembentukan Tamadun Malaysia. Tamadun yang dibentuk berasaskan kepada nilai
keagamaan, nilai keunggulan identiti diri, nilai seni dan budaya dan nilai politik dan
perundangan. Asas nilai ini mempunyai peranan yang penting dan menjadi teras pembinaan
tamadun Malaysia. Asas tersebut juga menjadi corak kepada rangka kerja pembinaan
ketamadunan Malaysia.
3.5.1 Pembinaan Agama
Agama Islam memainkan peranan yang penting dalam membina Tamadun Melayu.
Hubungan antara agama Islam yang telah memperkenalkan pengetahuan bercorak falsafah,
pemikiran yang bercorak rasional dan intelektual dengan Tamadun Melayu yang berpaksikan
kepada nilai persekitaran, telah memberi ruang kepada Tamadun Islam mendominasi arah
aliran pemikiran masyarakat Melayu. Tamadun Islam telah mengubah corak dan gaya
penekanannya daripada unsur-unsur estetika yang bercorak Hindu-Buddha kepada corak
akliah yang lebih kompetitif dan sesuai dengan kehendak jiwa dan penerimaan akal.
Dari aspek ajaran kemasyarakatan Islam telah menekankan unsur-unsur persamaan, sosial,
keadilan, individu dan keperibadian insan, yang meletakkan manusia adalah mempunyai hak
dan tanggungjawab tersendiri dan bersamaan antara satu sama lain. Dengan keserasian ajaran
yang diketengahkan oleh Islam dan kesesuaiannya dengan cita rasa dan kehendak manusia,
Islam telah menjadi landasan pegangan masyarakat Melayu.
Salah satu pendekatan yang diketengahkan oleh Islam dalam mempamerkan keindahan ajaran
dan kemurnian isi kandungannya ialah melalui pendekatan ilmu. Tradisi ilmu pengetahuan
yang ditekankan oleh Islam telah mengembangkan tradisi pendidikan dan pengajaran. Setiap
orang berhak menerima dan mempelajari ilmu. Fahaman ini memberi ruang kepada
masyarakat Melayu untuk lebih banyak berfikir dan berdaya maju. Dorongan belajar yang
diketengahkan oleh Islam bermula dengan pengajaran membaca al-Quran dan diselangselikan
dengan membaca dan menyelongkar isi kandungan naskhah-naskhah kitab yang telah ditulis
oleh ulama terdahulu. Situasi ini telah mencetuskan fenomena baru kepada perkembangan
intelektual masyarakat Melayu.
Kecenderungan ini telah membuka ruang ke arah penubuhan pusat-pusat pengajian bermula
dari masjid atau surau dan berkembang luas dalam bentuk yang lebih sistematik dan teratur.
Sekolah-sekolah seperti madrasah, pondok, pesantren, rangkang dan lain-lain didirikan bagi
menampung lebih ramai pelajar yang telah mula sedar betapa pentingnya ilmu dalam
membangunkan tamadun sesuatu bangsa. Sejarah memperlihatkan Pasai yang telah
memulakan tradisi pendidikan di istana pada abad ke-13 M dan diikuti oleh istana Melaka
pada abad ke-15 M dan Aceh abad ke-16 M. Selepas kejatuhan empayar Melayu yang luas
jajahan takluknya, pusat-pusat pendidikan berkembang di luar tradisi bangsawan yang
berpaut di istana dan tersebar di kalangan rakyat yang merupakan tradisi bawahan. Ini dapat
dilihat dengan lahirnya sistem pengajian rangkang di Aceh, sistem pengajian pondok di
Patani dan Kelantan, langgar di Kedah dan pesantren di Pulau Jawa.
Melalui sistem pengajian ini lahir golongan cendekiawan dan ulama-ulama Melayu yang
menjadi pegawai-pegawai pemerintah, guru-guru dan ahli agama. Antara tokoh Melayu yang
terkenal seperti Hamzah Fansuri, Nuruddin al-Raniri, Abdul Rauf Singkel dari Aceh, Syeikh
Abdul Malik Abdullah di Terengganu pada abad ke-18 M, Syeikh Daud al-Fatani dan Abdul
Samad Palembang pada abd ke-1 M dan lain-lain. Penubuhan institusi pengajian Islam ini
turut mengubah pandangan dunia orang Melayu daripada mempercayai roh, semangat dan
dewa-dewa kepada mempercayai Tuhan Yang Maha Esa (Allah), Nabi-nabi, Rasul-rasul,
Malaikat, Kitab-kitab suci seperti Injil, Zabur dan al-Qur’an. Keimanan mereka turut diikuti
dengan amal ibadat seperti sembahyang, puasa, mengeluarkan zakat dan menunaikan rukun
haji.
Sekalipun Islam telah mencorakkan kehidupan masyarakat Melayu, namun ia tidak menolak
amalan agama yang telah menjadi pegangan masyarakat lain, seperti agama Hindu, Buddha,
Sikh, dan Kristian. Kepelbagaian pegangan itu tidak menjadi halangan pada masyarakat
Melayu untuk menjadikan ajaran agama Islam sebagai dasar dan pegangan kepada Negara.
Malah telah berlakunya interaksi antara agama dan saling menerima dan menghormati antara
satu sama lain. Dalam membina ketamadunan bangsa dan negara, kerjasama antara kaum dan
interaksi antara agama dijadikan asas kepada pembentukan sebuah negara moden. Orang
Melayu dan kaum lain diberi ruang untuk sama menyumbang ke arah pembinaan negara
moden. Sejarah Malaysia membuktikan, ketika membentuk Perlembagaan Persekutuan 1956,
perkara agama tidak dikesampingkan, malah ia menjadi perkara penting dalam Perlembagaan
Persekutuan. Perkara 3 (1) memperuntukkan agama Islam adalah agama bagi persekutuan.
Walau bagaimanapun agama-agama lain boleh diamalkan tanpa sebarang halangan atau
gangguan daripada mana-mana pihak. Dalam erti kata lain, agama adalah salah satu aspek
penting dan perlu diambil kira dalam membentuk dan membangun tamadun negara.
3.5.2 Pembinaan Nilai Jatidiri
Selain daripada peranan agama dalam membangun sesebuah negara, peranan nilai juga tidak
boleh dikesampingkan dalam membentuk ketamadunan sesuatu bangsa. Nilai juga menjadi
nadi kepada ketamadunan sesebuah bangsa. Jatuh bangun, maju mundur, cemerlang dan
gagal sesebuah bangsa dan negara berkait rapat dengan amalan nilai sesuatu bangsa. Kerana
itu peranan nilai tidak boleh dipandang remeh dalam menentukan kebangunan dan
kelangsungan tamadun sesuatu bangsa.
Kewujudan dan pengiktirafan terhadap beberapa tamadun silam seperti tamadun Islam, India,
China, Jepun dan tamadun Melayu berkait rapat dengan nilai yang diamalkan oleh
masyarakat tersebut. Islam sebagai agama bagi persekutuan dan agama yang telah berakar
umbi menjadi amalan tradisi masyarakat Melayu mempunyai nilai-nilai unik yang sesuai dan
dapat diterima pakai oleh bangsa lain. Antara nilai yang diketengahkan dan menjadi asas
kepada pembentukan tamadun bangsa Melayu sebagai asas kepada pembentukan Tamadun
Malaysia seperti bertanggungjawab, jihad, istiqamah, ihsan, jujur dan ikhlas, adil, bijaksana,
bertolak ansur, cekap, produktif, dedikasi dan kerjasama.
Jika diperhatikan secara halus, pembentukan jati diri dan peribadi Melayu bertitik tolak
daripada keluarga. Keluarga dilihat sebagai agen sosialisasi utama dalam masyarakat.
Apabila keluarga telah menjalankan tanggungjawab, ia telah menyelesaikan sebahagian
tuntutan dalam pembinaan ketamadunan bangsa. Oleh kerana masyarakat Melayu telah
dipengaruhi oleh Islam sebagai teras kehidupan, mereka telah menjadikan ajaran ini sebagai
nadi pembentukan nilai dan peradaban. Pelbagai pantang larang telah diasuh dan perlu diikuti
oleh masyarakat Melayu dalam usaha mereka membina satu gagasan jati diri yang lebih baik.
Misalnya, ibu yang sedang mengandung diberi peraturan supaya tidak melakukan perbuatan
yang buruk dan keji kerana perbuatan tersebut akan memberi kesan kepada nilai dan
peradaban anak yang akan dilahirkan kelak. Justeru itu, ibu bapa dikehendaki melakukan
perkara yang baik dan tidak meninggalkan suruhan agama agar anak yang dilahirkan
mewarisi nilai yang dilakukan oleh kedua orang tuanya. Ini bermakna orang Melayu percaya
terhadap nilai perlakuan ibu dan bapa akan memberi kesan yang mendalam kepada anak yang
akan dilahirkan.
Oleh itu, masyarakat Melayu amat prihatin dalam proses mendidik anak. Bagi mereka, proses
pendidikan bukan bermula apabila anak itu dilahirkan, namun ia lebih jauh daripada itu, iaitu
ketika mereka berusaha hendak mendirikan rumah tangga, dan juga ketika mereka hendak
bersatu. Pembinaan jati diri Melayu bukan sahaja ketika terhad semasa ibu sedang
mengandung sahaja, tetapi ianya menjangkau pada bayi yang telah dilahirkan. Sebaik sahaja
anak dilahirkan, mereka akan berusaha menyerapkan nilai kebesaran dan keagungan Tuhan
dengan melafazkan azan agar kalimah tauhid tersebut menjadi dasar pegangan anak yang
baru dilahirkan. Mereka akan berusaha memberi nama dengan nama yang boleh
melambangkan nilai keperibadian yang baik dan murni. Dengan cara ini, mereka yakin usaha
yang dilakukan itu memberi kesan baik kepada pembentukan jati diri anak.
Amalan membelah mulut, bercukur jambul, akidah, berkhatan dan khatam al-Quran adalah
amalan yang memperlihatkan gabungan unsur-unsur adat dan Islam dalam proses orang-
orang Melayu membentuk jati diri masyarakat mereka bersalut dan bersadurkan nilai-nilai
yang sesuai dengan ajaran Islam. Tidak cukup dengan nilai tersebut masyarakat Melayu telah
menitipkan asas-asas agama dalam jiwa dan pemikiran anak-anak mereka sejak kecil. Mereka
dididik dengan konsep-konsep dosa, pahala, haram, halal, suruhan dan tegahan. Apabila umur
semakin meningkat, mereka dilatih dengan amalan-amalan asas agama seperti sembahyang
dan puasa sebagai satu latihan yang boleh membentuk nilai peribadi yang baik dan harmoni.
Tidak ketinggalan juga, keluarga membawa anak-anak mereka pergi ke surau atau masjid
untuk mengerjakan sembahyang berjemaah, terutamanya pada hari Jumaat dan pada bulan
puasa untuk mengerjakan solat sunat Tarawih. Di samping itu, mereka juga mengajak anak-
anak mereka mengamalkan puasa, sekalipun pada peringkat awal dilakukan secara tidak
sepenuhnya. Semua usaha ini telah menjadi tradisi yang terus diamalkan oleh orang Melayu
dalam proses mereka membangunkan jiwa di kalangan anak mereka. Ini memberi erti
masyarakat Melayu sentiasa mendorong dan mentarbiahkan anak-anak mereka dengan ajaran
agama dalam usaha membina jati diri keluarga mereka dengan ajaran Islam.
Orang Melayu mempunyai daya kreativiti dan daya intelektual yang tinggi dalam menghayati
persekitaran untuk dijadikan suri teladan dalam mendidik anak-anak. Faktor alam semula jadi
dijadikan kias ibarat yang diungkap sebagai peribahasa dan kata perbilangan sebagai analogi
dalam mengasuh dan mendidik anak-anak dan masyarakat. Peribahasa telah digunakan
sebagai panduan, teladan dan sempadan dalam melaksanakan kehidupan bermasyarakat.
Misalnya bulat air kerana pembetung bulat kata kerana muafakat, seperti aur dengan tebing,
seperti enau dalam belukar dan lain-lain lagi.
3.5.3 Pembinaan Nilai Seni dan Budaya
Selain daripada pembinaan jati diri Melayu, Tamadun Islam telah banyak mempengaruhi
Tamadun Melayu dalam aspek seni. Kesenian Melayu seperti seni lagu, seni tari, seni ukiran,
seni bina, seni hias mahupun seni drama banyak dipengaruhi oleh nilai kesenian Islam.
Sebagai contohnya, seni bina masjid dalam Tamadun Melayu telah dipengaruhi oleh seni
tampak dan seni reka Islam, walaupun dalam pembinaannya terdapat beberapa pengaruh luar
seperti reka bentuk masjid dari Asia Barat. Gabungan seni tempatan dan luar telah menjadi
lambang kekuatan seni bina Melayu. Antara nilai seni tampak yang diperkenalkan dan
ditonjolkan sebagai imej kepada seni bina Islam di Alam Melayu jelas terpapar pada kubah
yang bertingkat. Demikian juga ruang-ruang lain seperti bentuk mihrab dan bahan untuk
membina masjid.
Selain seni bina masjid, seni ukiran Islam juga dapat dilihat pada seni ukir batu-batu nisan di
kawasan perkuburan orang-orang Islam. Seni lukisan pula bercorak benda-benda yang tidak
bernyawa menjadi asas kepada seni lukis orang Melayu kerana Islam tidak membenarkan
lukisan yang bercorak haiwan atau benda bernyawa. Masyarakat Melayu melihat alam
semula jadi sebagai sumber ilham dalam menghasilkan keindahan karya lukisan mereka
dengan menerapkan bunga, daun-daun dan segala elemen tumbuhan-tumbuhan. Selain itu,
motif geometri turut menjadi objek tata nilai dalam karya orang Melayu. Warisan kesenian
Islam ini dapat dilihat dan diterjemahkan dalam pelbagai bentuk hasil seni orang Melayu
seperti pada tenunan, ukiran, dan barang-barang hiasan rumah.
Seni lagu dan muzik di Malaysia juga tidak terkecuali menerima pengaruh Islam. Pada
peringkat awal, seni lagu dan muzik di Malaysia bercorak dakwah dengan menatarkan
senikata dan anotasinya dalam bentuk yang mampu meningkatkan imej dan keperibadian diri
agar mendekatkan diri kepada nilai-nilai murni. Seni lagu dan muzik dalam pengaruh ini
lebih dikenali sebagai nasyid, qasidah, sajak, gurindam, syair, seloka dan pantun. Demikian
juga dari aspek peralatan muzik yang diperkenalkan dan menjadi amalan masyarakat Melayu,
juga dipengaruhi oleh nilai Islam, walaupun peralatan tersebut dibawa dari luar Alam Melayu
seperti dari Asia Barat. Antara alat-alat muzik dari Asia Barat yang mendapat tempat dalam
muzik tempatan seperti rebana, kompang, kecapi, seruling, gambus, gambang, dan gong.
Seni tulis masyarakat Melayu juga tidak terlepas daripada pengaruh nilai budaya Islam. Ini
dapat dilihat daripada seni khat dan kaligrafi Melayu yang menggunakan ayat-ayat al-Qur’an
atau hadis-hadis Nabi sebagai sumber ilham bagi menghasilkan ukiran atau tulisan. Karya-
karya dalam bentuk ini merupakan kesenian yang paling rapat dengan citarasa seni Islam.
Selain itu, tradisi sastera Melayu juga menampakkan pengaruh Islam yang begitu ketara.
Sastera Melayu terbahagi kepada dua jenis iaitu lisan dan tulisan. Sastera lisan dapat dilihat
pada dua bentuk, iaitu cerita dan bukan cerita. Menurut Boas, kesusasteraan lisan boleh
diibaratkan sebagai autobiografi yang mengisahkan tentang riwayat sesuatu masyarakat. Oleh
itu cerita-cerita lisan juga membawa kisah-kisah lampau seperti legenda, mitos, penglipur
lara, cerita-cerita binatang dan cerita ghaib. Manakala sastera lisan bukan cerita pula terhasil
dalam bentuk peribahasa, pantun, mantera dan sebagainya. Kedua-dua bentuk sastera Melayu
mencerminkan falsafah hidup dan nilai-nilai serta sikap masyarakat Melayu pada masa
dahulu.
Penyebar-penyebar agama Islam menambah kekayaan ragam sastera Melayu. Mereka
memperkenalkan cerita-cerita dan hikayat-hikayat berunsur Islam bagi menggantikan cerita-
cerita dan hikayat berunsur Hindu. Antara cerita dan hikayat berunsur Islam seperti Hikayat
Mukjizat Nabi, Hikayat Nabi Bercukur, Hikayat Nabi Mikraj, Hikayat Nabi Sulaiman,
Hikayat Zakaria, Hikayat Abu Bakar, Hikayat Hasan dan Husin, Hikayat Amir Hamzah dan
sebagainya.
Selain hasil sastera dalam bentuk cerita atau hikayat, terdapat juga pengaruh Islam dalam
puisi-puisi Melayu. Winstedt dan Muhammad Naguib al-Attas berpendapat bahawa syair
Melayu yang pertama dihasilkan oleh Hamzah Fansuri (1550-1600 M). Hamzah merupakan
seorang penulis prosa dan puisi Melayu yang pertama dalam bidang kesusasteraan sufi.
Sehingga abad 18 M, syair kekal digunakan dalam semua kategori puisi sastera Melayu, sama
ada pada karya bercorak agama, hikayat mahu pun histiografi Melayu.
Selain syair, terdapat juga puisi yang berasal dari sumber Islam seperti ghazal, masnawi,
nazam, rubai dan kit’an. Menurut Ali Shahbana, semua bentuk puisi ini berasal dari Arab dan
Parsi. Masnawi umpamanya, digunakan untuk memuji-muji kaum bangsawan mahupun
untuk tujuan masing-masing. Rubai pula berunsurkan tema sufi dan falsafah Islam yang
berbentuk pantun ataupun sajak.
Bertitik tolak daripada pengaruh kebudayaan Islam dalam Kebudayaan Melayu, kerajaan
Malaysia telah membuat satu dasar yang menjadi landasan dalam menentukan corak dan nilai
budaya masyarakat Malaysia yang lebih dekat dengan nilai dan budaya yang telah melatari
nilai budaya Melayu iaitu kebudayaan Islam. Kerajaan telah menetapkan Dasar Kebudayaan
Kebangsaan berpaksikan kepada Islam, kerana Islam telah mendominasi nilai budaya
masyarakat Melayu. Sekalipun Islam menjadi landasan kepada nilai budaya Malaysia, nilai
budaya setempat daripada etnik-etnik lain seperti Melanau, Iban, Kadazan dan lain-lain tidak
dikesampingkan, selagi ia tidak bertentangan dengan nilai budaya yang telah menjadi akar
umbi orang-orang Melayu.
3.5.4 Pembinaan Nilai Politik dan Perundangan
Interaksi peradaban Islam dengan Alam Melayu telah bermula kira-kira abad ke-10 M.
Namun begitu, proses perubahan akibat interaksi ini berlaku agak perlahan kerana pengaruh
Hindu masih mencengkam dalam minda masyarakat Melayu, di samping golongan elit yang
masih selesa dengan amalan Hindu-Buddha. Walau bagaimanapun, kehadiran Islam di Alam
Melayu akhirnya telah membawa perubahan besar dalam kehidupan masyarakat Melayu,
sehingga unsur-unsur Hindu-Buddha hampir terhakis dan yang kekal hanyalah aspek yang
bersesuaian dengan ajaran Islam.
Islam telah mempengaruhi perundangan Malaysia. Pengaruh ini begitu jelas pada masa
pemerintahan Kerajaan Melayu Melaka. Sistem perundangan Islam yang dilaksana oleh
Kesultanan Melaka bukan sahaja berkisar dalam bidang kekeluargaan (munakahat) atau jual
beli (muamalat), namun ianya menjangkaui bidang-bidang yang berkaitan dengan hukum
jenayah dan sivil. Hal ini dibuktikan dengan adanya naskhah Melayu dalam perundangan
seperti Hukum Kanun Melaka. Menurut Dr Ph S Ronkel, teks ini mengandungi 27 fasal
undang-undang, sementara Undang-undang Melaka yang tercatat pada naskhah yang terdapat
dalam koleksi di Muzium British mengandungi 44 fasal (Mahmood Saedon: 219). Menerusi
teks ini dapat dibuat kesimpulan bahawa undang-undang Kanun Melaka berdasarkan undang-
undang Islam dari aliran mazhab Syafie, namun unsur-unsur adat Melayu tidak dinafikan
kewujudan dalam undang-undang Melayu.
Fahaman mazhab Syafie jelas ketara pada kanun ini seperti pada peruntukan hukum qisas
dalam fasal 5(1), (3), 8(2),(3), 18(4), dan 39. Peruntukan ini membicarakan tentang
pembunuhan yang sengaja dilakukan oleh orang Islam ke atas orang kafir, orang merdeka ke
atas hamba dan bapa terhadap anaknya. Undang-undang Kanun Melaka tidak mengenakan
qisas bagi kesalahan tersebut .
Undang-undang Kanun Melaka juga mengandungi penjelasan hudud yang meliputi kesalahan
zina, qazaf, mencuri, merompak, murtad, dan minum arak. Perkara tersebut diperuntukkan
dalam fasal 40(2), 43(5), 36(1),12(3), 7(2), 11(1), 42 dan 43. Undang-undang ini juga
memasukkan kesalahan melakukan hubungan jenis sesama lelaki (liwat) dan hubungan jenis
dengan binatang seperti diperuntukkan dalam fasal 43(5), yang menepati pendapat mazhab
Syafi`e. Para ulama pada mazhab ini berpendapat perkara tersebut termasuk dalam kategori
zina. Dalam fasal 36(1) Undang-undang Kanun Melaka turut memperuntukkan hukuman bagi
mereka yang murtad. Mereka yang melakukan kesalahan murtad boleh dibunuh, atau
dihukum mati dan diminta bertaubat. Bagi kesalahan minum arak, undang-undang Kanun
Melaka menetapkan 40 kali sebatan bagi pesalah yang merdeka dan hamba 20 kali sebatan.
Sekalipun demikian, imam boleh mengenakan hukuman lebih daripada jumlah yang
ditetapkan kepada mereka yang merdeka setelah mengadakan perbincangan dan mengambil
kira budi bicara Perdana Menteri.
Selanjutnya, undang-undang Malaysia masih dipengaruhi oleh undang-undang Islam. Ini
dapat dilihat pada kedudukan Agama Islam, bidang kuasa dan pentadbirannya dalam
peruntukan Perlembagaan Persekutuan. Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan telah
menetapkan Islam adalah agama bagi persekutuan; tetapi agama-agama lain boleh diamalkan
dengan aman dan damai di mana-mana bahagian Persekutuan. Demikian juga dalam Perkara
3 ( 2 ) menjelaskan kedudukan raja pada setiap negeri (melainkan negeri yang tidak
mempunyai raja) sebagai ketua agama Islam dalam negerinya setakat yang diakui dan
diisytiharkan oleh perlembagaan. Perlembagaan Persekutuan juga menyatakan Yang
Dipertuan Agong adalah ketua agama Islam dalam negeri di wilayah-wilayah Persekutuan
Kuala Lumpur, Labuan. Bagi maksud ini, Parlimen boleh meluluskan undang-undang untuk
menetapkan peruntukan bagi mengadakan peraturan mengenai hal-ehwal agama Islam.
Parlimen juga boleh meluluskan undang-undang bagi menubuhkan suatu majlis untuk
menasihat Yang Di Perutan Agong mengenai perkara-perkara yang berhubung dengan agama
Islam.
Peruntukan ini turut memberi jaminan kepada penganut agama Islam bahawa kerajaan negeri
akan mengawal dan menyekat perkembangan apa juga akidah dan kepercayaan agama di
kalangan masyarakat Islam. Kerajaan juga berhak mengadakan bantuan kewangan khas untuk
menubuh atau menyelenggara institusi Islam atau mengembangkan agama Islam seperti yang
dapat dilihat pada peruntukan 12(2). Peruntukan ini menyatakan “Tiap-tiap kumpulan agama
adalah berhak menubuh dan menyelenggarakan institusi-institusi untuk pelajaran kanak-
kanak dalam agama kumpulan itu sendiri, dan tidak boleh ada perbezaan semata-mata oleh
sebab agama dalam mana-mana undang-undang berkaitan dengan institusi itu....”
Perlembagaan Persekutuan turut memperuntukkan kuasa mentadbir undang-undang Islam
pada pihak berkuasa negeri selaku ketua agama di sesebuah negeri atau wilayah. Ketua
agama di negeri masing-masing dipertanggungjawab melaksanakan tugas dengan nasihat
Majlis Agama Islam yang mempunyai kuasa seperti berikut:
a. Mengeluarkan fatwa mengenai sesuatu isu undang-undang Islam yang dirujukkan
kepadanya.
b. Mentadbir harta-harta wakaf.
c. Membuat peraturan pungutan dan pembahagian zakat fitrah.
d. Melantik jawatankuasa syariah, kariah dan Maulud Nabi.
e. Mentadbirkan masjid dan sekolah-sekolah agama.
f. Mendaftarkan orang-orang yang memeluk Islam.
Majlis Agama Islam dibantu oleh Jabatan Hal-ehwal Agama Islam dalam menjalankan tugas-
tugas bersabit dengan perkara berikut:
a. Pentadbiran undang-undang zakat
b. Pemungutan zakat dan fitrah
c. Pengurusan baitulmal.
Undang-undang Islam di negeri-negeri di Malaysia ditadbirkan menurut Enakmen atau
Ordinan Pentadbiran Agama negeri masing-masing. Enakmen atau ordinan tersebut memberi
peruntukan mengenai penubuhan Majlis Agama Islam, penubuhan Mahkamah Syariah,
sumber kewangan, perkahwinan dan perceraian, nafkah tanggungan, kesalahan-kesalahan
sivil dan jenayah serta mualaf.
Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan Malaysia pula memperuntukkan peranan Yang Di-
Pertuan Agong untuk menjamin kedudukan istimewa orang-orang Melayu dan Anak Negeri
Sabah dan Sarawak. Selain itu, Perkara 160(2) Perlembagaan Persekutuan menegaskan takrif
orang Melayu, iaitu:
i. Menganut agama Islam, bertutur bahasa Melayu dan mengamalkan adat istiadat Melayu.
ii. Lahir sebelum Hari Merdeka di Persekutuan atau Singapura.
iii. Ibu atau bapanya lahir di Persekutuan atau Singapura.
iv. Bermastautin di Persekutuan atau Singapura pada hari Merdeka.
3.5.5 Pembinaan Atas Dasar Ekonomi
Peranan Islam dalam aspek pembangunan ekonomi umat Melayu di zaman awal pertapakan
Islam jelas dapat ditelusuri melalui kemunculan dan perkembangan kawasan dagangan umat
Melayu. Jika sebelum pertapakan Islam di Alam Melayu, kawasan operasi ekonomi Melayu
hanya terbatas pada wilayah-wilayah di India sahaja tetapi setelah penerimaan Islam oleh
masyarakat Melayu, kawasan perdagangan umat Melayu telah berkembang hingga ke
Semenanjung Tanah Arab. Sehubungan itu banyaklah hasil-hasil dagangan luar mula masuk
ke wilayah Alam Melayu dan serentak itu hasil-hasil ekonomi Alam Melayu mula dikenali
oleh masyarakat luar.
Agama Islam juga telah mempengaruhi kaedah dan transaksi ekonomi masyarakat Alam
Melayu. Sistem ekonomi yang berdasarkan syariat Islam mula diperkenalkan. Kegiatan
ekonomi masyarakat Islam yang rancak telah menjana pembangunan dan kepentingan umat
dengan cara memberi sumbangan dan memenuhi kewajipan agama Islam seperti berzakat dan
bersedekah. Keadaan ini berterusan sehingga kedatangan pihak penjajah yang mula
memperkenalkan sistem ekonomi moden (acuan Barat) yang tidak bertitik tolak dari syariat
Islam.
Perkembangan pesat ekonomi Semenanjung Tanah Melayu telah mencetuskan keperluan
tenaga kerja di sektor-sektor perladangan dan perlombongan. Sebagai mengatasi kemelut ini,
penjajah Inggeris telah membawa buruh-buruh asing dari luar Tanah Melayu khususnya dari
India dan Cina untuk memenuhi keperluan tenaga buruh. Dalam perkembangan seterusnya,
kegiatan dan aktiviti ekonomi pada dua sektor ini membawa kesan yang kurang sihat kepada
keharmonian masyarakat di Malaysia/ Tanah Melayu. Kehadiran dua bangsa asing secara
berterusan dan bermustautin di negara ini telah membentuk masyarakat dominan di Malaysia
yang dikenali dengan masyarakat makmuk. Tiga bangsa tersebut ialah Melayu, Cina dan
India. Tiga kelompok bangsa ini mudah dikenali menerusi kegiatan ekonomi yang mereka
usahakan dan penempatan warisan mereka. Keadaan ini berterusan sehingga Malaysia/Tanah
Melayu mencapai kemerdekaan.
Selepas Tanah Melayu mencapai kemerdekaan, Kerajaan Persekutuan berusaha membawa
masyarakat Melayu berkecimpung dalam bidang ekonomi moden kerana kaum Melayu
terpaksa bersaing dengan kaum Cina yang lebih dahulu menguasai sektor ini. Penguasaan
sektor ekonomi oleh kaum Cina berterusan selepas era kemerdekaan. Peristiwa 13 Mei 1959,
telah menjadi titik tolak penting dalam sejarah perkembangan ekonomi Tanah Melayu.
Peristiwa tersebut membawa perubahan besar dalam sosio-ekonomi Malaysia. Usaha yang
lebih pro-aktif telah dilakukan dalam menentukan peristiwa ini tidak berulang kembali. Justru
itu kerajaan telah memperkenalkan Dasar Ekonomi Baru pada tahun 1970. Dasar ini
bertujuan merapatkan jurang perbezaan ekonomi kalangan masyarakat Melayu dengan
masyarakat Cina. Dasar ini berjalan selama 10 tahun dengan matlamat utama untuk mencapai
30 peratus ekuiti bumiputera dalam sektor ekonomi.
Sungguhpun belum mencapai kejayaan sepenuhnya dalam pemilikan 30% ekuiti bumiputera
di sektor ekonomi, namun dasar ini tetap menjadi landasan penting dalam menggalakkan
penglibatan langsung golongan bumiputera dalam bidang ekonomi. Dasar ini telah
meningkatkan usaha bumiputera Melayu sehingga melahirkan golongan usahawan Melayu-
Muslim yang berjaya. Kejayaan ini menjadi penyumbang kepada negara dalam usaha
Malaysia membina kekuatan ekonomi, mengembeling kesetiaan dan perpaduan bangsa demi
mempertahankan kedaulatan negara. Kejayaan ini juga meliputi kemampuan mengurus
sumber asli di negara ini. Sumber petroleum telah berjaya diurus dengan penuh cemerlang
oleh Syarikat Petronas yang telah memaksimumkan kepentingan Malaysia, di samping
menjadikan Petronas antara gergasi korporat global. Dasar Ekonomi Baru yang
diperkenalkan pada tahun 1970 telah memungkinkan pegangan ekuiti Melayu-Muslim
ditambah daripada paras paling rendah iaitu dari 2.4 peratus pada tahun 1970 kepada tahap
pencapaian 19.3 peratus pada tahun 1990.
Namun setelah tamat tempoh rasmi pelaksanaan DEB pada tahun 1990 dan setelah Dasar
Penswastaan dilaksanakan, pencapaian ekonomi Melayu kelihatan telah merosot kepada 18.9
peratus pada tahun 2000 dan bertambah menurun pada tahun 2002 sebanyak 18.7 peratus.
Hakisan ini berlaku apabila krisis ekonomi melanda negara ini pada tahun 1997. Keadaan ini
perlu ditangani dalam usaha mengembalikan maruah umat dan agama di tempat yang
sebenarnya demi memelihara martabat umat Islam. Fenomena ini menuntut satu gagasan
strategi baru yang lebih berkesan dan perkasa dalam menyatupadukan semula seluruh tenaga
bangsa dan umat Melayu Islam. Dengan kata lain, bangsa Melayu dan umat Islam tiada
pilihan lain, selain menerima gagasan Agenda Ekonomi Hadhari yang mensasarkan usaha
perniagaan di monopoli oleh anak bangsa sebagai perjuangan bertaraf Jihad. Pendekatan ini
merupakan strategi yang berkesan dan menepati situasi cabaran semasa dan realiti ekonomi
global hari ini.
3.5.6 Pengaruh Islam dalam institusi kewangan
Agama Islam turut mempengaruhi aktiviti ekonomi masyarakat Islam. Masyarakat Melayu
mempunyai azam dan cita-cita untuk melaksanakan Islam dalam aspek ekonomi. Justeru itu,
usaha ini telah membawa kepada penggubalan dasar dan perubahan dalam perundangan
ekonomi sehingga membawa kepada penubuhan institusi-institusi Islam yang memainkan
peranan penting dalam ekonomi dan perniagaan Islam di Malaysia.
Praktis ini semakin serius dilakukan dalam amalan institusi kewangan. Era 1980an
menampilkan satu perkembangan yang memberangsangkan di mana usaha pemerintah
menjadikan wawasan ekonomi berteraskan Islam dapat dilaksanakan. Akta perbankan telah
dirombak bagi membolehkan pihak kerajaan menubuhkan satu institusi yang menjalankan
amalan perniagaan berdasarkan syariat Islam. Justeru melalui perubahan terhadap akta
perbankan, penubuhan institusi kewangan Islam telah diluluskan. Ekoran itu, wujud Bank
Islam Malaysia Berhad (BIMB) yang menjadi pelopor perbankan Islam. Penubuhan institusi
ini dilanjutkan dengan wujudnya Bank Muamalat yang juga menjalankan operasi berdasar
sistem muamalat Islam. Pengurusan perbankan yang berpandukan kaedah syarak dan ditadbir
urus oleh golongan profesional Islam telah memberi sinar baru kepada institusi kewangan
Islam di Malaysia. Ini dapat digambarkan melalui sokongan berterusan kerajaan dan umat
Islam dengan menjadi ahli perbankan Islam serta terlibat dalam aktiviti perniagaan yang
diperkenalkan oleh pihak bank. Kejayaan ini ditambah dengan adanya dokongan pihak
berkuasa melalui agensi-agensi di bawahnya. Minat dan keyakinan pihak pelabur dari
kalangan bukan Islam juga menjadi faktor pembantu ke arah pencapaian cemerlang Bank
Islam hingga kini. Malahan bank-bank konvensional cuba menerapkan elemen perniagaan
mengikut kaedah Islam dalam operasi bank mereka. Ini menjadi petanda kejayaan operasi
perbankan yang berteraskan syariah Islam dan menjadi alternatif penting dalam menangani
cabaran ekonomi konvensional yang ternyata menimbulkan pelbagai kekeliruan kepada umat
dan masyarakat.
Kewujudan institusi perniagaan Islam ini telah memberi pilihan kepada umat Melayu untuk
memberi sumbangan dan turut sama dalam usaha memajukan ekonomi umat Melayu.
Institusi kewangan Islam ini juga tidak menghalang masyarakat bukan Islam sama-sama
menganggotai institusi kewangan ini. Oleh itu terdapat sebahagian masyarakat bukan Islam
yang menaruh penuh kepercayaan kepada institusi kewangan yang dilaksanakan oleh umat
Islam sehingga mereka tidak ragu-ragu menanam modal dalam institusi kewangan yang
dikendalikan oleh umat Islam.
3.5.7 Pembinaan Institusi Pendidikan (Bahasa, ilmu dan intelektual).
Menurut Winstedt, bahasa Melayu sebelum kewujudan Islam di Alam Melayu ditulis dengan
menggunakan huruf Kawi dan Nagari yang berasal dari Pallava, India. Manakala tulisan Jawi
mulai terkenal dalam Tamadun Melayu selepas kedatangan Islam. Huruf Arab yang berasal
dari al-Qur’an telah menggantikan huruf Kawi dan Nagari. Oleh itu, kedatangan Islam ke
Alam Melayu ini telah melahirkan satu bentuk tulisan baru bagi masyarakat rantau ini yang
dikenali sebagai tulisan jawi. Ia merupakan satu bentuk tulisan baru yang dicipta oleh
sekumpulan masyarakat Islam keturunan Parsi yang menetap di bahagian utara Sumatera.
Tulisan ini menggabungkan huruf Arab-Parsi yang kemudian dikenali sebagai tulisan Jawi.
Tulisan ini kemudiannya telah digunakan secara meluas dalam bidang penulisan kitab-kitab
agama Islam yang menjadi medium utama penyebaran ajaran Islam di daerah Nusantara ini.
Perkembangan dan penggunaan tulisan jawi telah mempengaruhi perkembangan bahasa
Melayu. Sejajar itu istilah-istilah agama Islam telah diserap menjadi sebahagian istilah bahasa
Melayu. Sebagai contohnya, perkataan akidah, iman, ihsan, sedekah, zakat, wajib dan lain-
lain adalah perkataan bahasa Arab untuk menjelaskan ajaran Islam yang telah menjadi
sebahagian perkataan bahasa Melayu.
Agama Islam turut berjaya mendaulatkan bahasa Melayu sebagai bahasa Lingua Franca atau
bahasa perantaraan dalam menjalin hubungan dengan masyarakat luar. Bahasa Melayu yang
diucapkan oleh seluruh masyarakat Melayu di wilayah Alam Melayu telah menjadi bahasa
pengantar agama Islam di Gugusan Kepulauan Melayu di samping menjadi bahasa ilmu,
sosio-politiik serta sosio-ekonomi. Penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa perantara telah
memungkinkan wilayah ini menjadi “emporium besar” yang berjaya menarik minat
masyarakat di luar wilayah gugusan Melayu ini.
Penggunaan bahasa Melayu bertambah kukuh dengan terhasilnya karya-karya kesusasteraan
Melayu sama ada berbentuk karya saduran dari sastera Timur Tengah dan Asia Barat atau
karya asli ilmuwan dan sasterawan Melayu. Melalui penghasilan karya yang menggunakan
tulisan jawi, bahasa Melayu telah berjaya menjadi perantara segala ilmu dan maklumat Islam.
Perkembangan Islam melalui medium penting ini telah membawa manfaat besar kepada
masyarakat Alam Melayu untuk memahami ajaran Islam. Ini menjadi pendorong kukuh
kepada para pendakwah dan ilmuwan Islam untuk memperbanyakkan hsil penulisan
berkaitan Islam demi mencapai hasrat dakwah Islam. Penggunaan tulisan jawi yang diasaskan
kepada huruf-huruf Arab dengan penambahan lima huruf baru (Nya - ?, Ca -? , Ga -? , Pa -?
dan Nga - ?) telah menambah nilai kekuatan bahasa Melayu. Hasilnya perbendaharaan kata
dan istilah Melayu dikembangkan melalui pengaruh bahasa Arab dan bahasa Parsi di samping
pemakaian huruf Arab sedia ada.
Selain itu, Islam telah memperkenalkan pengetahuan bercorak falsafah, pemikiran yang
bercorak rasional dan intelektual di rantau Alam Melayu. Melalui pemikiran rasional, Islam
menekankan unsur-unsur persamaan sosial, keadilan dan keperibadian mulia dalam
mewujudkan masyarakat harmoni di rantau ini. Perkembangan ini telah mengubah penekanan
unsur-unsur estetika yang bercorak fahaman Hindu-Buddha kepada bercorak akliah Islamiah.
Ilmu pengetahuan yang ditekankan oleh Islam telah mengembangkan tradisi pendidikan dan
pengajaran. Dorongan belajar bermula dengan pengajaran membaca al-Quran dan kitab-kitab
mengenai ajaran Islam. Pusat pengajian mulai tumbuh di masjid atau surau. Selanjutnya,
sekolah-sekolah seperti madrasah, pondok, pesantren, rangkeng dan lain-lain didirikan bagi
menampung para pelajar yang semakin ramai. Pasai sebagai contohnya, telah memulakan
tradisi pendidikan di istana pada abad 13 M. Demikian juga istana Melaka pada abad 15 M
dan Kesultanan Aceh abad 16 M. Selepas kejatuhan empayar Melayu, pusat-pusat pendidikan
telah berkembang di luar tradisi tinggi yang berpusat di istana berpindah di kalangan rakyat
jelata yang mewakili tradisi rendah. Ini dibuktikan dengan lahirnya sistem pengajian
rangkeng di Aceh, sistem pengajian pondok di Patani, Kelantan dan Kedah dan seterusnya
pesantren di Pulau Jawa.
Melalui sistem pengajian tersebut lahirlah para cendekiawan dan ilmuan Melayu yang
menjadi pegawai-pegawai pemerintah, guru-guru, ulama dan ahli agama. Antara tokoh
Melayu yang terkenal pada peringkat awal seperti Hamzah Fansuri, Nuruddin al-Raniri,
Abdul Rauf Singkel dari Aceh, Syeikh Abdul Malik Abdullah Terengganu, Syeikh Daud al-
Fatani, Abdul Samad al-Palembangi dan ramai lagi. Tokoh-tokoh dari kalangan ulama ini
telah memainkan peranan yang besar dalam menyampai dan menyebarkan ilmu-ilmu
berkaitan akidah dan syariat Islam dalam pelbagai genre sastra Melayu seperti puisi, pantun,
syair, gurindam, seloka, perbidalan, peribahasa mahupun bentuk prosa kepada masyarakat
Melayu di seluruh wilayah Nusantara. Kekuatan pengaruh Islam pada tahap awal ini yang
telah melahirkan kerajaan atau pusat pemerintahan Islam di wilayah ini dan mempunyai
tokoh-tokoh ulama’ yang mendapat pengiktirafan daripada ulama besar di Asia Barat atau
Semenanjung Tanah Arab telah menyebabkan wilayah ini menjadi tumpuan masyarakat
Islam dari luar daerah Nusantara untuk berkunjung dan mendalami ilmu pengetahuan di
wilayah ini.
Perkembangan pendidikan pasca penjajahan dan kemerdekaan menunjukkan kemajuan yang
pesat. Bidang pendidikan sentiasa menjadi keutamaan dalam agenda negara dan memperoleh
dana yang tinggi dalam program pembangunan melalui rancangan jangka pendek dan jangka
panjang yang diperkenalkan oleh pihak Kerajaan Malaysia. Institusi pendidikan tinggi yang
berorientasikan keislaman tetap tumbuh dan berkembang secara terancang sama ada didirikan
oleh pihak pemerintah atau badan-badan NGO. Sebagai contoh, wujud Universiti Islam
Antarabangsa Malaysia (UIAM), Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam
(ISTAC), Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Institut Iqra’, Institut Ibnu Sina dan
banyak lagi. Kewujudan institusi ini membuktikan kepesatan perkembangan pendidikan di
wilayah ini. Demikian juga kemunculan pusat-pusat pengajian keislaman tradisional serantau
yang berwibawa seperti Ikatan Cendiakawan Muslim Indonesia (ICMI), Majlis Ilmu Patani,
Thailand dan sebagainya turut membuktikan pengaruh Islam yang kukuh dalam bidang
pendidikan dan keilmuan. Situasi ini semua memantapkan lagi kewibawaan umat Islam di
rantau ini.
Menelusur era pendidikan agama Islam pada zaman penjajahan Inggeris di Malaysia,
memperlihatkan perkembangan pendidikan agama melalui zaman kemalapan. Ini disebabkan
pengamalan dasar “Divide and role” oleh pemerintah Inggeris dalam persoalan agama.
Menerusi dasar ini, adalah menjadi tanggungjawab masyarakat Melayu sendiri menguruskan
hal-hal berkaitan agama. Kesannya, pendidikan agama terpinggir dalam arus pembangunan
negara dan hal agama adalah bersifat individu. Oleh itu, tidak hairan mengapa di zaman
penguasaan penjajah pendidikan agama mulai terkeluar dalam program pembangunan
pemerintahan secara keseluruhannya. Walau bagaimanapun, ini tidak bermakna pendidikan
agama langsung tidak mendapat tempat, sebaliknya ia terus berkembang dalam ruang lain
melalui usaha berterusan para alim ulama’ yang mahukan pendidikan Islam terus dapat
diterima oleh masyarakatr Islam di wilayah ini.
Perlembagaan Malaysia melalui Dasar Pendidikan Kebangsaan telah memperuntukkan hak
kepada semua rakyat untuk mendapat pendidikan formal semenjak di peringkat awal lagi.
Golongan pendidik Islam telah mempergunakan ruang ini dengan menubuhkan institusi
pendidikan dan pusat-pusat keilmuan Islam. Institusi ini menjadi tempat umat Islam
mendalami pelbagai bidang ilmu pengetahuan. Penubuhan institusi ini memberi kesan kepada
perkembangan pendidikan agama di Malaysia. Pada era tahun 80an pendidikan agama
mengalami perubahan pesat, di mana sebahagian besar sekolah-sekolah agama rakyat mula di
kendalikan oleh Kementerian Pelajaran dengan bantuan dan sokongan pemerintah. Kesan
pengambilalihan ini, ramai di kalangan pelajar-pelajar Melayu Islam yang telah berjaya
meneruskan pengajian mereka hingga ke peringkat universiti sama ada di dalam mahupun
luar negara. Pengisian kurikulum yang bersifat semasa dan penerapan asas-asas ajaran Islam
telah menarik minat ramai kalangan ibu bapa untuk menghantar anak-anak mereka belajar di
sekolah-sekolah aliran agama di bawah kelolaan Kementerian Pelajaran. Ini agak berbeza
dengan tanggapan awal masyarakat Islam yang melihat prospek lulusan agama adalah tidak
menentu. Pada hari ini rata-rata ibu bapa yakin dengan kemampuan dan peluang yang
disediakan oleh pemerintah di sekolah-sekolah agama. Lulusan aliran ini bukan sahaja dapat
menguasai ilmu agama, malah anak-anak mereka turut menguasai ilmu-ilmu sains dan
teknologi di samping pelbagai kemahiran.
Berdasarkan analisis di atas, jelas memperlihatkan Tamadun Melayu adalah paksi kepada
pembinaan Tamadun Malaysia. Sebagai masyarakat peribumi yang telah lama menetap di
wilayah ini, tatacara hidup mereka tidak boleh dikesampingkan dalam menentukan corak
nilai budaya dan tamadun bangsa Malaysia pada masa akan datang. Islam yang merupakan
agama universal, anutan generasi Melayu, teras pegangan rakyat peribumi serta agama bagi
negara ini, harus dilihat sebagai satu nilai tradisi yang turut menyumbang kepada pembinaan
tamadun Malaysia.
Beberapa aspek yang perlu dilihat dalam kita menentukan peranan Tamadun Melayu dalam
membina Tamadun Malaysia adalah bersandarkan kepada latar belakang asas pembinaan
Tamadun Melayu. Tamadun Melayu telah menjadi landasan perkembangan tamadun
Malaysia yang bertunjangkan kepada nilai keagamaan, nilai identiti diri, nilai seni dan
budaya dan nilai politik dan perundangan. Kesemua nilai ini mempunyai peranan penting dan
dijadikan asas pembinaan Tamadun Malaysia. Asas-asas ini menjadi acuan kepada rangka
kerja pembinaan Tamadun Malaysia.
3.6 PARADIGMA ISLAM HADHARI
Era kegemilangan umat Islam bermula dengan kejayaan Rasulullah SAW menggubal Piagam
Madinah dan mengisytiharkan Madinah al-Munawwarah sebagai sebuah negara Islam.
Bertitik tolak daripada kejayaan ini, Negara Islam terus berkembang dengan pesat pada
zaman Khulafa’ al-Rasyidin, diikuti pula dengan zaman pemerintahan Bani Umaiyyah dan
Abbasiyyah. Kejayaan demi kejayaan ditempa umat Islam sehingga berjaya melebarkan
kegemilangannya ke benua Eropah, melalui kemunculan Tamadun Islam di Andalusia.
Kegemilangan ini turut dirasakan oleh Dunia Timur termasuk India, China dan Asia
Tenggara.
Bagaimanapun kejatuhan Kota Baghdad ke tangan tentera Moghul pada tahun 1258 M
meninggalkan kesan yang amat mendalam. Faktor dalaman memainkan peranan penting.
Kelemahan umat Islam berpunca daripada pergaduhan antara umat Islam sendiri, terutama
antara puak Sunni dan Syi`ah. Ini diikuti oleh semangat dan perkauman keterlaluan
mengakibatkan berlakunya perpecahan negara Islam kepada kerajaan-kerajaan kecil yang
berselerak di seluruh Dunia Islam. Akibatnya khilafah Islamiyyah menjadi lemah dan tidak
dapat diselamatkan lagi.
Kini imej Islam dan umatnya telah luntur. Kehebatan umat Islam yang pada suatu ketika dulu
digeruni, kini dicemuh dan diperlekehkan, bukan lagi oleh musuh-musuh tetapi juga oleh
sebahagian umat Islam. Persepsi umat Islam terhadap agamanya juga terbatas kepada aspek-
aspek ibadah khusus semata-mata. Sebahagian lain pula hanya sekadar menampilkan dalam
bentuk slogan dan retorik semata-mata. Sedangkan Islam perlu diketengahkan sebagai satu
cara hidup yang lengkap dan menyeluruh meliputi seluruh ruang lingkup kehidupan manusia.
Ia berkemampuan menyelesaikan bukan hanya permasalahan peribadi, tetapi juga menggarap
persoalan keluarga, masyarakat, negara dan ummah. Sebab itu, agenda pembangunan
ummah, peradaban bangsa dan keutuhan bangsa perlu digarap dalam agenda perjuangan.
Umat Melayu sebagai satu generasi Muslim mampu menjadi juara mengubah haluan dunia
dan memartabatkan kembali sistem khilafah yang hilang dengan beberapa persiapan.
Antaranya kita amat yakin bahawa melalui proses pemantapan jati diri dengan iman dan
takwa, mengubah halatuju minda dengan ilmu dan pengalaman, menghias sikap dan perilaku
dengan akhlak terpuji, menggiatkan segala potensi yang ada. Lantaran itu Islam harus
didefinisikan kembali agar ia menjadi jelas dan dapat difahami oleh seluruh umat Islam akan
hakikat sebenarnya yang terkandung dalam perkataan al-Islam itu.
3.6.1 Tasawwur Islam
Secara umumnya Islam boleh didefinisikan dalam dua persepsi berikut:
Pertama: “Kepatuhan, ketundukan dan ketaatan terhadap syari`at yang dibawa oleh baginda
Rasulullah SAW secara zahir dan batin dengan penuh keikhlasan lahir daripada kesedaran
diri bukan kerana terpaksa”.
Kedua: “Suatu peraturan umum dan undang-undang yang bersifat sempurna dan menyeluruh
merangkumi seluruh ruang lingkup kehidupan manusia dalam mengatur perancangan dan
sistem hidup mereka, orang yang mentaatinya diberikan pahala orang yang mengingkarinya
dikenakan dosa.
Dari persepsi ini dapat difaham Islam adalah satu agama syumul dan kamil. Takrif Islam
yang lebih menyeluruh dapat disimpulkan sebagai “Suatu cara hidup yang lengkap dan
sempurna, membicarakan seluruh permasalahan hidup manusia; berkaitan dengan peribadi,
keluarga, masyarakat, negara dan ummah, mendasari tiga persoalan utama; `aqidah, syari`ah
dan akhlak. Berasaskan tiga dasar inilah seluruh sistem kehidupan masyarakat manusia
ditegakkan. Oleh itu Islam adalah gambaran yang menyeluruh dan global terangkum dalam
aspek berikut:
1. Aqidah: Keimanan kepada semua perkara yang terkandung dalam aspek-aspek ketuhanan,
kenabian, al-ruhaniyyat (perkara ghaib) dan al-sam`iyyat al-Ghaybiyyat (alam akhirat).
Semua perkara ini terikat kukuh dalam sanubari seorang mukmin. Rukun-rukun iman iaitu,
keimanan kepada Allah, malaikat, kitab, rasul, hari akhirat dan ketentuan buruk-baik (qada’-
qadar) daripada Allah SWT adalah terangkum di dalam aspek-aspek ini.
2. Syari`ah: Suatu peraturan khusus dan umum berasaskan wahyu yang diturunkan oleh Allah
SWT dan ditafsirkan melalui sunnah Rasulullah SAW merangkumi hal ibadat, mu`amalat,
munakahat dan jinayat. Demikan juga segala permasalahan yang berkaitan dengan sistem-
sistem kenegaraan seperti, ekonomi, politik, pendidikan, kehakiman, perundangan,
kebudayaan, kesihatan, ketenteraan, keamanan dan keselamatan.
3. Akhlak: Suatu sifat yang tertanam dan sebati dalam sanubari seseorang. Ia tercerna melalui
perkataan dan tingkah laku spontan. Pelaku akhlak menjadikan al-Qur’an dan al-Sunnah
sebagai tonggaknya. Jika baik menurut al-Qur’an dan al-Sunnah baiklah tingkahlaku tersebut.
Jika baik menurut al-Qur’an dan al-Sunnah bermakna baiklah dan jika buruk menurut
pertimbangan al-Qur’an dan al-Sunnah bermakna buruklah. Akhlak dalam Islam merangkumi
hubungan seseorang dengan Tuhan, manusia dengan manusia dan manusia dengan alam.
Sebagai contoh, akhlak terpuji (mahmudah) dengan Allah ialah takwa, ikhlas, syukur, sabar,
reda, tawakkal, zuhud dan wara`. Manakala yang membabitkan hubungan sesama manusia
ialah seperti; amanah, penyayang, pemaaf, pemurah, adil dan toleransi. Sementara yang
membabitkan hubungan dengan alam pula ialah seperti; adil dan penyayang.
Ketiga-tiga perkara di atas menjadi asas pembinaan seluruh sistem hidup manusia. Justeru itu,
perbezaan antara Tamadun Islam dengan bukan Islam terletak kepada asas-asas tamadun di
atas. Sekiranya asas-asas tersebut menjadi titik tolak untuk membangunkan sesebuah
peradaban masyarakat, bererti peradaban yang dibina adalah Tamadun Islam. Sekiranya
membelakangkan tiga asas ini bererti peradaban yang terbina bukan peradaban Tamadun
Islam, walaupun ia didirikan oleh umat yang bergelar peradaban Muslim.
3.6.1 Definisi Islam Hadhari
Hadhari berasal daripada kata hadharah yang bermaksud, tamadun, peradaban, masyarakat
yang maju dan membangun. Islam hadhari atau disebut juga sebagai al-Manhaj al-Islam al-
Hadhari ialah suatu pendekatan menyeluruh untuk membangunkan individu, keluarga,
masyarakat dan negara, melalui pembangunan insan dan material secara sepadu dan
menyeluruh dari segi spiritual (keimanan), emosional (akhlak), intelektual (keilmuan) dan
material (kebendaan) yang membawa manusia mampu berdikari, berdaya saing, melihat ke
hadapan, berinovatif, serta cekap menangani cabaran-cabaran semasa secara bijaksana,
rasional, objektif dan praktikal. ( JAKIM, 2005)
Oleh itu, Islam tidak boleh difahami secara juz’i atau terpisah daripada aspek kehidupan yang
lain seperti ekonomi, politik, pendidikan, kehakiman, perundangan, kebudayaan, keselamatan
dan kesihatan. Ini kerana setiap bidang kehidupan yang diceburi oleh seorang Muslim telah
ada peraturan-peraturan yang ditetapkan oleh Islam untuk dipatuhi. Islam adalah ajaran untuk
meningkatkan kualiti hidup ke arah peradaban unggul terutama ketika berhadapan dengan
cabaran di alaf baru, seperti ledakan teknologi maklumat, dunia tanpa sempadan, ekonomi
global, krisis identiti dan penjajahan pemikiran.
Sehubungan itu, Islam Hadhari mempunyai visi dan misi untuk membina tamadun umat
Melayu. Visinya adalah untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara Islam contoh iaitu
sebuah negara maju, aman, harmoni serta mendapat keampunan, rahmat dan keberkatan
daripada Allah SWT (JAKIM, 2005) Misinya pula untuk melaksanakan agenda
pembangunan negara dan ummah berlandaskan pendekatan Islam yang bersifat universal,
maju, bertamadun, bertoleransi dan berimbang. ( JAKIM, 2005). Islam Hadharai jelas
mempunyai objektif untuk melahirkan individu dan masyarakat Islam yang memiliki jati diri
mantap dengan kekuatan spiritual, emosional, intelektual, material, berdikari, berdaya saing,
berfikiran ke hadapan, inovatif serta cekap menangani cabaran-cabaran semasa secara
bijaksana, rasional, praktikal dan damai.( JAKIM, 2005)
3.6.2 Asas-Asas Pembentukan Masyarakat Islam Hadhari
Para sarjana Islam memadukan aspek material, spiritual dan moral dalam memahami
tamadun atau hadharah. Ibn Khaldun umpamanya, meletakkan pegangan kuat kepada agama
yang diwahyukan oleh Allah SWT sebagai syarat utama. Ia mestilah diasaskan kepada tiga
perkara utama iaitu aqidah, syariah dan akhlak. Segala bentuk penyusunan pentadbiran dalam
sesebuah masyarakat dari segi politik, ekonomi, sosial, keilmuan, muamalah dan sebagainya
mestilah berasaskan kepada acuan di atas (al-sibghah al-diniyyah). Pembinaan tamadun yang
tidak diasaskan kepada asas ini akan bertukar kepada kehidupan al-badawah yang menuju
kehancuran tamadun (Ibn Khaldun, 1967).
Sayid Qutb (1986) dalam bukunya Ma`alim fi al-tariq juga meletakkan asas-asas penting
kepada kelahiran Tamadun Islam adalah melalui acuan keagamaan. Asas-asas yang
dimaksudkan ialah:
Pengabdian diri kepada Allah
Organisasi atas dasar akidah.
Keagungan dan keluhuran nilai kemanusiaan berbanding nilai kebendaan.
Nilai-nilai kemanusiaan berfungsi menghambat sifat kebinatangan.
Kesucian keluarga.
Melaksanakan tugas khilafah di bumi dengan mengikut panduan wahyu.
Mematuhi syariat dalam semua urusan khilafah di bumi.
Berdasarkan pandangan dua orang sarjana Muslim di atas dapatlah dirumuskan bahawa asas
masyarakat Islam Hadhari adalah melengkapi perkara-perkara berikut:
1. Aqidah
Kepentingan akidah sebagai asas utama Tamadun Islam amat jelas sekali, kerana segala
bentuk pembangunan yang hendak dibina oleh manusia haruslah bermula dari dalam diri,
kemudian barulah dilebarkan kepada yang lain. Pembina tamadun yang memiliki kesatuan
jiwa, berfikir dan bertindak akan melahirkan tamadun yang bertahan lama dan harmoni serta
mendapat keberkatan dan rahmat serta keampunan daripada Allah SWT.
Akidah menjadi asas dan amat penting dalam pembinaan masyarakat hadhari. Kepincangan
akidah bererti musnahlah segala-galanya kerana akidah adalah ibarat nadi kepada jasad
manusia, asas kepada sebuah binaan atau akar kepada sebatang pokok. Oleh itu, apabila rosak
bererti binasalah badan, binaan dan pokok tersebut. Asas ini menjadi dasar seluruh sistem dan
dimensi kehidupan manusia. Akidah ialah keimanan dan keyakinan kepada seluruh aspek
yang membabitkan persoalan al-Ilahiyyat (ketuhanan Allah SWT), al-nubuwwat (kenabian
dan kerasulan Muhammad SAW dan para nabi yang diutuskan), al-ruhaniyyat (makhluk-
makhluk hidup yang ghaib daripada pandangan manusia) dan al-ghaibiyyat (alam ghaib
seperti Barzakh, Mahsyar, Sirat, Mizan, al-Jannah dan al-Nar). Keimanan dan keyakinan
terhadap semua perkara khususnya rukun-rukun Iman (beriman dengan Allah, para malaikat,
kitab, para rasul, hari akhirat, qada’ dan qadar) yang disebutkan disematkan dalam sanubari
seseorang mukmin.
Intipati kepada seluruh persoalan akidah ialah keimanan dan keyakinan kepada ketauhidan
Allah SWT. Ketauhidan Allah merangkumi aspek-aspek al-uluhiyyah, al-rububiyyah, al-
asma’ dan al-sifat. (al-Maududi, 1980)
a. al-Uluhiyyah : Meyakini bahawa Allah SWT Esa sebagai Tuhan yang disembah, dipuja,
dipuji, tempat memohon, tempat bertawakal dan sebagainya. Ini bererti orang-orang yang
memuja dan menyembah selain Allah dianggap melakukan perbuatan syirik dan tidak
mentauhidkan Allah SWT.
b. al-Rububiyyah : Meyakini bahawa Allah SWT Esa sebagai Tuhan yang mencipta,
mentadbir, menguasai, memiliki, mengurus seluruh alam termasuk makhluk yang bernama
manusia dan jin. Ini bermaksud seseorang yang membelakangkan perintah dan larangan-Nya
dan tidak mengakui bahawa alam ini dicipta oleh Allah SWT, bererti telah menyengutukan
Allah SWT dari sudut rububiyyah-Nya.
c. al-Asma’ dan al-Sifat : Seseorang yang beriman wajib meyakini dengan sepenuhnya
bahawa Allah SWT mempunyai nama-nama dan sifat-sifat-Nya yang Maha sempurna (sifat-
sifat kamalat) dan Maha Agung dan Maha Mulia (sifat-sifat jalal). Nama-nama Allah yang
Maha Indah itu tersenarai jelas dalam al-Asma’ al-Husna sebanyak 99 nama. Manakala sifat-
sifat-Nya terdapat dalam maksud di sebalik al-Asma’ al-Husna. Sesetengah ulama Usuluddin
pula menegaskan sifat-sifat Allah terletak pada sifat 20 yang wajib ada bagi Allah SWT.
2. Syariah
Syariah ialah hukum-hakam perundangan dan peraturan yang diturunkan oleh Allah SWT
melalui wahyu-Nya kepada Nabi Muhammad SAW yang bertujuan mengatur kehidupan
peribadi, keluarga, masyarakat dan negara. Hukum ini merangkum hal ibadah, muamalah,
kekeluargaan dan jenayah. Hal ibadah yang dimaksudkan adalah membabitkan hubungan
seseorang hamba dengan Pencipta seperti solat, puasa, zakat dan haji. Manakala muamalah
pula bermaksud segala urusan yang membabitkan hubungan sesama manusia dalam perkara
urusan perekonomian (jual-beli, sewa-menyewa, hutang-piutang, saham dan pajak gadai).
Termasuk di bawah syariat juga ialah perkara yang menyentuh persoalan politik seperti
pentadbiran, keselamatan, keamanan, pendidikan, kekeluargaan, kebudayaan, kesihatan dan
sebagainya). Keseluruhan perjalanan syariat yang disebutkan adalah berjalan berasaskan
kepada tuntutan wahyu berpaksikan kepada ajaran tauhid.
Syariat dalam Islam sentiasa berkembang dari semasa ke semasa. Ia mungkin mengalami
beberapa perubahan mengikut ketentuan ulama mujtahid semasa dalam perkara-perkara
cabang dan ranting yang tidak dinaskan secara qat`i dalam al-Qur’an dan al-Sunnah.
Bagaimanapun ia tidak berlaku kepada perkara-perkara yang membabitkan akidah dan dasar-
dasar ibadah seperti solat, puasa, zakat dan haji.
Syariat berada di tahap kedua selepas akidah. Semua aspek yang terkandung dalam ciri-ciri
sesebuah tamadun, mestilah berdiri dan tegak atas syariah. Dalam erti kata lain, sesuatu yang
menjadi unsur tamadun mestilah bergerak dan berkembang mengikut hukum dan ketentuan
Allah SWT dan Rasul-Nya SAW. Jika tidak, secara automatik ia bukan lagi Tamadun Islam.
Sebagai contoh, persoalan ekonomi dan politik dianggap dua perkara penting dan amat
menentukan dalam pengukuran kejayaan sesebuah tamadun. Namun sekiranya kedua-duanya
bergerak dan berkembang tanpa mengambil kira kehendak syariat, halal-haram dan
sebagainya, pasti ia terkeluar dari perspektif masyarakat hadhari dalam Tamadun Islam.
3. Akhlak
Akhlak menurut al-Imam al-Ghazali dan Ibn Maskawaih ialah:
“Suatu sifat yang tertanam dan sebati dalam jiwa seseorang yang mendorongnya untuk
melakukan sesuatu perbuatan dengan mudah tanpa melalui pertimbangan akal fikiran.
Sekiranya baik menurut pertimbangan al-Qur’an dan al-Sunnah, bererti baiklah dan sekiranya
buruk mengikut al-Qur’an dan al-Sunnah bererti buruklah”.4
Akhlak terhasil daripada iman yang kental dalam sanubari seseorang. Ia ibarat buah yang
terhasil dari sebatang pokok yang subur. Kecemerlangan sesebuah tamadun atau umat amat
dipengaruhi oleh akhlak yang baik. Keruntuhan sosial dalam masyarakat adalah disebabkan
kedangkalan akhlak di kalangan para anggotanya. Jatuh bangunnya sesebuah bangsa dan
tamadun amat bergantung kepada akhlak. Kewujudannya bererti kekallah bangsa dan
tamadun, ketiadaannya bererti musnahlah segala-galanya. Ahmad Syauqi, seorang penyair
Arab yang terkenal pernah menyebut dalam bait-bait syairnya:
“Sesungguhnya kekalnya sesuatu bangsa itu bergantung kepada akhlak para anggotanya,
sekiranya akhlak mereka musnah, bererti lenyaplah bangsa tersebut”.
Oleh sebab itu, tanggungjawab melahirkan generasi yang berakhlak adalah suatu amanah
yang sangat mulia. Amanah telah diwahyukan oleh Allah SWT kepada semua rasul-Nya.
Kenyataan ini amat bertepatan dengan sabda Rasulullah SAW yang bermaksud
“Sesungguhnya aku di utusan untuk memperbaiki dan mengharmonikan akhlak manusia.”
Fungsi akhlak sebagai asas ketiga tamadun Islam dapat dilihat pada kaitannya dengan
hubungan manusia dengan Pencipta, manusia sesama manusia dan manusia dengan alam dan
haiwan. Kemurnian hubungan manusia dengan Pencipta boleh menyebabkan jiwa manusia
terbina dengan sifat-sifat ikhlas, sabar dalam menempuh halangan, berpada dengan yang ada,
bersyukur dan berterima kasih atas segala nikmat yang diterima. Demikian juga kemurnian
hubungan manusia sesama manusia akan lahir kecenderungan untuk bertindak dengan adil,
keinginan untuk bekerjasama, bertolak ansur, penyayang, pemurah dan sebagainya. Begitu
jugalah jika dikaitkan dengan keharmonian hubungan manusia dengan selain manusia.
Sebagai contoh, kesuburan flora dan fauna akan berfungsi sebagai pengimbang suhu bumi,
sekali gus mengharmonikan kehidupan manusia. Kejernihan air sungai dan laut serta
kebersihan pantai boleh membawa keselesaan kepada seluruh hidupan air dan sekali gus
memberi manfaat besar kepada manusia dan alam seluruhnya. Semua ini menjadi alasan yang
kuat kepada para sarjana Muslim untuk meletakkan tiga asas di atas menjadi asas-asas utama
Tamadun Islam.
3.6.3 Ciri-ciri Pembentukan Masyarakat Islam Hadhari
Berdasarkan kepada asas penting yang diletakkan sebagai teras pembinaan sesebuah
Tamadun Islam, sudah tentu dapat dirasakan bahawa ciri-ciri dan sifat-sifat Masyarakat Islam
Hadhari suatu yang sempurna dan menyeluruh, bukan sahaja boleh dilihat kepada perspektif
dalamannya, tetapi juga perspektif luarannya yang harus dibangunkan secara sepadu.
Kepincangan sesebuah tamadun boleh berlaku apabila ianya dibangunkan tanpa
mengambilkira antara dua perspektif tersebut, iaitu ciri-ciri dalaman dan ciri-ciri luaran.
a. Ciri-ciri Dalaman
Ciri-ciri dalaman yang dimaksudkan adalah merangkumi unsur yang menyentuh tuntutan diri
dalaman masyarakat. Antara ciri-ciri tersebut adalah sebagai berikut:
i. Penghayatan Terhadap Tuntutan Agama.
Ciri ini dapat dilihat kepada penekanan yang diberikan oleh Tamadun Islam kepada asas
utamanya ialah tauhid (Mengimani dan meyakini keesaan Allah SWT sebagai Tuhan yang
berkuasa Mencipta, Menguasai, Mentadbir dan Mengatur perjalanan alam seluruhnya.
Manusia sebagai sebahagian unsur alam saghir yang diciptakan dikehendaki menerima
ketentuan serta wajib tunduk dan patuh kepada segala arahan wahyu yang disampaikan
melalui lidah Rasul-Nya SAW.
ii. Menjadikan Ajaran Wahyu Sebagai Sumber Rujukan Utama Program Pembangunan
Masyarakat.
Ciri ini merujuk kepada sumber mutlak Masyarakat Islam Hadhari bukan kepada pemikiran
manusia atau beralaskan mana-mana kepercayaan dan pengalaman tamadun di dunia, tetapi
bersumberkan wahyu Allah SWT. Adapun ijtihad dan pengalaman tamadun asing hanyalah
sebagai sumber tafsiran yang tidak boleh lari daripada garis panduan asal yang termaktub
dalam al-Qur’an dan al-Sunnah. Dalam pada itu juga semua bentuk pencapaian dan kemajuan
dalam Tamadun Islam bernaung di bawah kesatuan akidah, keyakinan dan kefahaman yang
sama melalui ajaran tauhid.
iii. Tidak Terpesong Dari Landasan Fitrah Manusia.
Ciri ini pula memperlihatkan bahawa tuntutan pembangunan dan kemajuan Tamadun Islam
adalah bertepatan dengan kehendak naluri manusia yang menitikberatkan spiritual, emosional
dan moral berbanding fizikal dan material. Tamadun yang dibangunkan secara pincang dan
menitikberatkan aspek material berbanding spiritual hanya dapat memenuhi tuntutan hawa
nafsu dan tidak berlandaskan ilmu dan iman. Sebab itu Tamadun Islam menjadikan takwa
dan keredaan Allah SWT sebagai tujuan pembinaannya, bukan sebaliknya.
iv. Mementingkan Kesejagatan, Bersifat Mutlak dan Tetap Tanpa Dipengaruhi Hawa Nafsu.
Ciri ini menjelaskan bahawa Masyarakat Islam Hadhari tidak mungkin berubah garis
panduannya. Pertukaran zaman, perubahan geografi dan sebagainya tidak mungkin
mengubah haluan matlamat dan paradigmanya. Ini disebabkan sumber mutlaknya bukan
pemikiran manusia yang sering mengalami kebuntuan dan kecelaruan, tetapi wahyu Allah
yang sentiasa segar dan bertenaga walaupun mengalami perubahan masa dan geografi. Inilah
rahsia di sebalik kenyataan tegas yang terkandung dalam firman Allah SWT yang bermaksud:
“(Setelah jelas kesesatan dan syirik itu), maka hadapkanlah dirimu (dan pengikut-pengikutmu
wahai Muhammad) ke arah agama yang jauh dari kesesatan; (turutlah terus) ”agama Allah”
iaitu agama yang Allah ciptakan untuk manusia (dengan keadaan bersedia dari semula
jadinya) untuk menerimanya; tidaklah patut ada sebarang perubahan pada ciptaan Allah SWT
itu, itulah agama yang betul lurus, tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahuinya”.
(al-Rum: 30)
v. Menilai Kecemerlangan Tamadun Secara Sepadu Dan Seimbang Antara Spiritual,
Intelektual, Emosional Dan Material.
Ciri ini membuktikan bahawa agama menjadi acuan (sibghah) bagi Tamadun Islam.
Kenyataan ini amat menepati firman Allah SWT yang bermaksud:
“Katakanlah wahai orang-orang yang beriman: “Agama Islam yang kami telah sebati
dengannya ialah:), acuan Allah (yang telah mencorakkan seluruh kehidupan kami dengan
corak Islam); dan siapakah yang lebih baik acuannya (berbanding acuan Allah yang kami
beriman dengan-Nya)? Dan kepada-Nyalah kami beribadat”.
(al-Baqarah: 138)
vi. Terbuka dan Toleransi.
Keterbukaan dan toleransi yang dimaksudkan ialah menerima apa sahaja pandangan dan
sumbangan yang dikemukakan walaupun daripada individu atau negara bukan Islam yang
tidak bertentangan dengan nilai-nilai yang ditetapkan oleh syariat Islam. Dalam pada itu juga
ia boleh bertoleransi terhadap penghayatan kepercayaan atau kebudayaan oleh masyarakat
bukan Islam terhadap tuntutan agama mereka. Dalam hal ini al-Qur’an merakamkan
penghargaan terhadap sesiapa sahaja yang memiliki sifat terbuka mendengar segala perkataan
yang sampai kepadanya tetapi menerima yang terbaik, sebagaimana firman Allah SWT:
“Dan orang-orang yang menjauhi dirinya daripada menyembah atau memuja taghut, serta
mereka rujuk kembali taat kepada Allah, mereka akan beroleh berita yang menggembirakan
(sebaik sahaja mereka meninggal dunia). Oleh itu gembirakanlah hamba-hamba-Ku yang
mendengar segala perkataan yang sampai kepadanya, lalu mereka memilih yang terbaik.
Mereka itulah orang-orang yang diberi hidayah oleh Allah dan merekalah yang berakal
sempurna”.
(al-Zumar: 17-18)
b. Ciri-ciri Luaran
Sesebuah Masyarakat Hadhari tidak mungkin dapat direalisasikan dengan cemerlang tanpa
dibangunkan secara sepadu dan seimbang antara pembangunan spiritual dan fizikal. Beberapa
aspek lain seperti kestabilan politik, pertumbuhan ekonomi yang mapan dan keharmonian
sosial amat berperanan dalam melahirkan sebuah masyarakat dan negara yang gemilang dan
terbilang. Antara ciri-ciri luaran adalah seperti berikut:
i. Kestabilan politik
Kejayaan yang dicapai oleh sesebuah tamadun amat bergantung kepada peranan para
pemimpin dalam menentukan corak dan arah perjalanan politik sesebuah negara. Kepintaran
dan sifat amanah pemimpin memikul tanggungjawab serta adil dalam memerintah merupakan
pra-syarat utama dalam menentukan kestabilan perjalanan politik negara. Pada kebiasaannya,
pemerintah yang mengamalkan perluasan kuasa dan membentuk wilayah takluknya kepada
beberapa buah negara kota, dilengkapkan pula dengan undang-undang bertulis yang kemas
merupakan petanda kepada munculnya sebuah kuasa yang kuat dan bertahan lama. Dalam
pada itu pula, keadilan para pemimpin mengagihkan kekayaan negara kepada rakyat secara
adil dan saksama pula sebagai penentu kejayaan untuk mengelak daripada berlakunya
pemberontakan di kalangan rakyat bawahan. Sekiranya asas-asas ini dipenuhi dan dipelihara
sudah tentu kejayaan sesebuah tamadun akan dapat dinikmati secara berpanjangan dan
bertahan lebih lama. Dalam hal ini al-Qur’an merakamkan firman Allah SWT yang
bermaksud:
“Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya berlaku adil dan berbuat kebaikan serta
memberi bantuan kepada kaum kerabat; dan melarang daripada melakukan perbuatan yang
keji dan mungkar serta kezaliman…”.
(al-Nahl 90)
Islam amat membenci perbuatan zalim yang dilakukan oleh seseorang walaupun kepada
dirinya sendiri, lebih-lebih lagi kepada orang lain. Sebab itu Allah SWT menegaskan melalui
firman-Nya dalam sebuah hadith Qudsi:
“Sesungguhnya Aku telah mengharamkan kezaliman berlaku pada diri-Ku dan Aku
haramkan perbuatan itu berlaku antara kamu. Oleh itu janganlah kamu berlaku zalim antara
kamu. ”
Demikian juga firman-Nya:
“Sesungguhnya Allah SWT menyuruh kamu supaya menyerahkan segala amanah kepada
ahlinya (yang berhak menerimanya) dan apabila kamu menjalankan hukum di antara
manusia, hendaklah menghukum dengan adil ”
(al-Nisa’: 58)
Rasulullah SAW ketika menjadi pemimpin Negara Islam Madinah pernah membuat
perisytiharan ketika datang satu rombongan untuk meminta jasa baik Rasulullah melepaskan
pemimpin mereka yang dijatuhkan hukuman oleh baginda SAW. Bagaimanapun permohonan
itu ditolak oleh baginda dengan sabdanya:
“Demi Tuhan yang jiwaku di tangan-Nya, sekiranya anakku Fatimah binti Muhammad
mencuri nescaya aku akan potong juga tangannya”.
(Hadith riwayat al-Bukhari)
Keperihatinan baginda SAW dalam menjalankan keadilan di mahkamah menunjukkan Islam
begitu serius dalam perkara yang membabitkan hak dan kepentingan untuk melaksanakan
amanah dan tanggungjawab.
ii. Pertumbuhan Ekonomi Yang Subur
Ekonomi juga amat berperanan dalam menentukan pembangunan bukan sahaja dari aspek
kualiti fizikalnya, tetapi juga membabitkan kualiti spiritual, intelektual dan emotional
seseorang yang bertindak sebagai pemikir, pembina dan penggerak kepada pembangunan
sesebuah tamadun. Berfikir secara sepontan pun sudah dapat dirasakan betapa perlunya
ekonomi kepada perkembangan fizikal sesebuah kawasan yang didiami penduduk secara
menetap dan menjadi sebuah bandar yang maju.
Pra syarat untuk menjadi bandar mestilah dilengkapi dengan pelbagai prasarana seperti
masjid (bagi umat Islam), istana, pejabat-pejabat kerajaan, institusi pendidikan, perpustakaan
awam, pusat membeli-belah, hospital, taman rekreasi dan sebagainya. Semua pra syarat ini
mempunyai objektif, iaitu bertujuan membangunkan individu dan masyarakat secara sepadu
antara keempat-empat kualiti yang disebutkan. Tanpa ekonomi yang teguh semua pra-syarat
di atas tidak dapat dibangunkan.
Oleh itu dapat dikatakan bahawa kerosakan jiwa, minda dan emotional masyarakat amat
berkait rapat dengan kemiskinan dan kemerosotan ekonomi negara. Jika situasi ini berlarutan
lambat laun negara akan menghadapi kekacauan dan pertelingkahan sesama sendiri.
Barangkali inilah yang menjadi alasan kuat mengapa baginda Rasulullah SAW menegaskan
dalam sebuah sabdanya:
??? ????? ?? ???? ????
Maksudnya:
“Hampir-hampir kefakiran seseorang boleh membawa kekufuran”.
Walaupun kefakiran bukan menjadi penyebab utama manusia kufur, kerana ramai juga
manusia yang kaya juga kufur kepada Allah, namun amat salah sekiranya dikatakan bahawa
kekayaanlah yang membawa manusia kufur kepada Allah. Sedangkan kaya atau fakir bukan
penyebab utama. Penyebab utama manusia kufur adalah kerana tidak mendapat pendidikan
yang sempurna sebagaimana yang dikehendaki oleh Allah dan Rasul-Nya. Inilah punca
kebejatan akidah dan akhlak masyarakat. Oleh itu jika pendidikan yang salah atau terhalang
mendapat pendidikan disebabkan oleh masalah kewangan menjadi punca, maka bekerja keras
untuk mendapat kekayaan adalah wajib, malah jika diniatkan untuk bukan setakat membiayai
ahli keluarga tetapi juga orang lain demi kejayaan bersama membangunkan ummah adalah
menjadi ibadah malah mendapat ganjaran pahala jihad fi sabili’Llah. Firman Allah SWT
yang bermaksud:
“Perumpamaan mereka yang menginfaqkan harta-harta mereka pada jalan Allah sepertilah
sebiji bijian tumbuh tujuh tangkai dan setiap tangkai terdapat seratus biji, dan Allah bersedia
menggandakan pahala bagi sesiapa sahaja yang Dia kehendaki…”.
(al-Baqarah 2:261)
Ayat ini jelas memperlihatkan kepada umat Islam bahawa tuntutan supaya membelanjakan
harta pada jalan Allah mempunyai maksud tersirat yang amat besar ertinya kepada umat
Islam. Umat Islam dituntut mencari kekayaan agar dapat membantu mereka yang
memerlukan, bukan mencari kekayaan tetapi bakhil untuk menderma atau mencari kekayaan
dengan jalan salah dan dibelanjakan ke jalan yang salah, kerana tabiat ini sama dengan
tindakan Qarun, Haman dan Ubay bin Khalaf.
iii. Keharmonian Sosial
Keharmonian sosial amat bergantung kepada pendidikan yang diterima oleh masyarakat.
Pendidikan adalah elemen penting kepada pembentukan sesebuah masyarakat cemerlang.
Hanya anggota masyarakat yang terdidik dan terasuh jiwanya mampu menjadi penyumbang
kepada pembangunan negara. Lantaran itu pembangunan negara tidak mungkin dapat
direalisasikan sekiranya proses pendidikan tidak diberikan perhatian sebaik mungkin.
Pendidikan bukanlah hanya proses meningkatkan kemahiran hidup atau meningkatkan kualiti
intelektual semata-mata, malah lebih jauh dari itu bertujuan menghasilkan insan yang
sempurna dan seimbang dari segi kualiti fizikal, spiritual, intelek dan emosi, yang nantinya
akan berfungsi sebagai suatu tenaga yang mampu membangunkan diri, keluarga, masyarakat,
negara dan agama.
Pendidikan Islam adalah suatu proses untuk melahirkan insan beradab dan berakhlak mulia.
Adab yang ditakrifkan sebagai perlakuan baik sesama manusia dan alam akan menjamin
kelangsungan keadilan dalam sesebuah negara. Manakala akhlak mulia adalah proses
pemupukan dan peresapan sistem nilai murni yang berasaskan tanggungjawab kepada Allah,
sesama insan dan alam sejagat. Islam dan pendidikan bukanlah sesuatu yang baru (Hasan
Langgulung, 1979). Dalam konteks Malaysia, pendidikan Islam cuba dilaksanakan sebaik
mungkin dan cuba diterapkan dalam sistem pendidikan dengan penuh terancang agar manusia
yang dihasilkan mempunyai kekuatan dan wibawa diri yang tinggi (Wan Mohd. Zahid Mohd
Nordin, 1993).
Resolusi Seminar Pendidikan Tinggi Sains: Ke Arah Reformasi Pendidikan telah membuat
pernyataan tentang Falsafah Pendidikan Tinggi Sains seperti berikut (Mohd Yusuf Hj.
Othman dan Khalijah Mohd Salleh, ed., 1992):
“Pendidikan sains adalah usaha untuk melahirkan siswazah sains yang berilmu,
berketrampilan dan mempunyai sahsiah yang sempurna membolehkan ia mencari dan
menegakkan kebenaran dan mendekatkan diri kepada Tuhan melalui ciptaan-Nya serta
menyempurnakan amanah sebagai hamba dan khalifah Allah supaya ilmu dan ketrampilan
yang diperoleh dapat digunakan sebaik-baiknya ke arah membina satu tamadun bangsa yang
berdaya saintifik dengan cara seimbang dan harmonis dengan alam persekitaran”.
Melihat kepada falsafah ini, pendidikan sains juga kelihatan berusaha untuk menghasilkan
insan seimbang yang selari dengan ajaran wahyu. Menurut Mohd Kamal Hassan (1988)
matlamat pendidikan Islam adalah tidak terkeluar daripada tujuan asal manusia dijadikan
iaitu sebagai khalifah yang bermatlamat untuk melakukan hasanah fi al-dunya dan hasanah fi
al-akhirah. Ini memberi makna usaha mendidik insan adalah suatu usaha yang bermatlamat
murni bagi mencapai erti kejayaan dalam semua lapangan hidup iaitu bahagia di dunia dan
bahagia di akhirat. Syed Muhammad Naquib al-Attas (1988) pula menambah: “Unsur-unsur
asas dalam sistem pendidikan Islam didasarkan kepada konsep agama (al-Din), konsep
manusia (al-insan), konsep ilmu (`ilm wa al-ma`rifah), konsep kebijaksanaan (al-hikmah),
konsep keadilan (al-`adl), konsep amal (`amal sebagai adab) dan konsep universiti (kulliyyah
jami`ah). Jelas sekali bahawa dengan memahami tuntutan agama dan amanah serta
tanggungjawab seseorang manusia berasaskan kepada konsep keilmuan dan kebijaksanaan
akan membuahkan natijah insan dan masyarakat yang adil.
Senario masyarakat Malaysia kini menampakkan gejala kebejatan sosial yang semakin hari
semakin membimbangkan. Data-data dan maklumat yang dilaporkan oleh akhbar-akhbar
menunjukkan kadar jenayah yang berpunca daripada pembangunan sosial yang tidak
seimbang amat mengecewakan. Gejala seperti penyalahgunaan dadah, ragut, rogol, bunuh,
lumba haram dan pembuangan bayi semakin berleluasa. Laporan akhbar-akhbar tempatan
tentang suatu kajian yang dibuat oleh kementerian Belia dan Sukan 10 tahun yang lalu (Berita
Harian, 1hb. Jun 1994; New Straits Times, 25hb. Mei 1994; Berita Harian 16hb Nov. 1994)
mendapati, daripada 5860 anak remaja yang dikaji, 71% menghisap rokok, 40% melihat
video lucah, 28% berjudi, 25% minum arak, dan 14% terlibat dengan pengambilan dadah,
manakala kes zina pula banyak melibatkan golongan remaja antara 15 – 18 tahun (Mohd
Yusuf Hj. Othman, 1995). Berdasarkan perangkaan ini, walaupun telah berlalu sepuluh tahun
silam, ia tetap menunjukkan suatu petanda bahawa gejala kebejatan sosial di Malaysia amat
membimbangkan.
Di Barat, gejala seperti di atas berlaku lebih hebat hingga menimbulkan kebimbangan di
kalangan ahli politik dan golongan pendidik. Mereka sedar puncanya ialah kepincangan
sistem pendidikan yang memisahkan manusia daripada agama dan nilai moral. Justeru itu
mereka terpaksa mengambil langkah positif bagi mengatasi masalah ini. John Mejar, semasa
menjadi Perdana Menteri Britain, terpaksa mengemukakan polisi “return to the back” untuk
mengembali semula nilai-nilai murni dalam kehidupan. Demikian juga Bill Clinton semasa
menjadi Perdana Menteri Amerika Syarikat, melahirkan rasa cemas terhadap fenomena
keganasan generasi muda di Amerika Syarikat, sehingga dirasakan Amerika bukan lagi
tempat selamat untuk hidup bagi generasi muda kerana bilangan belia yang mati di negara
sendiri lebih ramai daripada jumlah tentera yang mati di medan perang. Begitu juga Eropah.
Para sarjana daripada pelbagai bidang di Eropah merumuskan bahawa sistem pendidikan kini
tidak mampu lagi menanam nilai-nilai kemanusiaan dan moral dalam kehidupan manusia.
Oleh itu dalam perancangan pendidikan di negara-negara Eropah masa akan datang perlu
ditekankan dua aspek ini (Abdul Halim Muhammadi, 1994).
Berdasarkan kepada huraian di atas, dapatlah dirumuskan bahawa penekanan kepada
pendidikan Islam yang seimbang dan bersepadu perlu diambil perhatian. Ketahanan sesuatu
ummah dan penerusan sesebuah tamadun tidak cukup dengan kemajuan kebendaan semata-
mata. Justeru itu dalam menghadapi dekad-dekad yang mendatang, perlu dipertingkatkan
ketahanan kerohanian dan kejiwaan, di samping mempertingkatkan keupayaan sains dan
teknologi. Perancangan yang imaginatif dan tindakan segera amat diperlukan bagi
mengekalkan sistem pendidikan yang bermakna. Sistem pendidikan masa depan haruslah
dibentuk secara sedar dan sistematik supaya ia sesuai dengan perubahan semasa. Jika tidak ia
akan menjadi mangsa kepada perubahan masa.
3.6.4 Sumber Manhaj Islam Hadhari
Sebagai sebuah tamadun yang sifatnya adalah tetap mutlak dan tidak didasari oleh pemikiran
manusia, sudah tentu ia menunjukkan bahawa sumbernya adalah merujuk kepada apa yang
termaktub dalam wahyu Allah SWT sebagai sumber asasi iaitu al-Qur’an dan al-Sunnah.
Manakala Ijtihad dan tamadun asing yang tidak bertentangan dengan semangat al-Qur’an dan
al-Sunnah sebagai sumber tafsiran. Penjelasan lanjut mengenai hal ini bolehlah dilihat kepada
huraian berikut:
1. al-Qur’an
al-Qur’an ialah firman atau kata-kata Allah (lafaz dan maknanya) yang diturunkan dalam
bahasa Arab kepada Nabi Muhammad SAW secara beransur-ansur melalui perantaraan Jibril
AS, bersifat mukjizat5, dipindahkan secara mutawatir dan menjadi ibadah bagi orang-orang
yang membacanya.
Keistimewaan sumber ini terletak pada kewajipannya daripada Allah Pencipta Alam.
Buktinya amat jelas apabila sumber ini tidak pernah menerima pengubahsuaian lafaz dan
maksud dari sesiapa sahaja di kalangan manusia dan jin. Keindahan bahasa dan kesusasteraan
al-Qur’an amat terbukti apabila tidak ada orang yang boleh menandinginya sehingga hari ini.
Beberapa percubaan di kalangan pakar bahasa Arab yang cuba mencipta beberapa ayat
dengan tujuan menandingi dan memalsukan kandungan al-Qur’an menemui kegagalan.
Kenyataan al-Qur’an berhubung dengan astronomi, perubatan, anatomi dan sebagainya tidak
pernah bercanggah dengan kajian saintifik di kalangan pakar astronomi dan perubatan zaman
dahulu dan kini.
Di zaman Khalifah al-Ma’mun, seorang Yahudi yang terkenal dengan ketajaman lidahnya
telah mengkritik al-Qur’an dan Islam dalam beberapa majlis yang diadakan di istana khalifah.
Kedatangannya dalam beberapa majlis bertujuan untuk mengelirukan para hadirin dalam
majlis berkenaan. Beliau adalah penulis kitab Injil dan Talmut. Mengikut pengakuannya
beliau pernah mengubah kitab-kitab berkenaan pada beratus-ratus tempat mengikut
kehendaknya. Kemudian kitab itu dijual dengan harga yang tinggi, namun tidak seorang pun
yang memberi reaksi menolak usaha ini. Hal ini tidak sama dengan al-Qur’an yang cuba
diubah hanya pada tiga tempat, tetapi ketiga-tiga tempat tersebut semuanya ditemui oleh tiga
orang pembaca yang berakhir dengan kitab tersebut tidak terjual. Beliau akhirnya menganut
Islam apabila teringatkan kenyataan al-Qur’an bermaksud:
“Sesungguhnya Kamilah yang menurunkan al-Dhikr (salah satu nama al-Qur’an) dan
Kamilah yang akan memeliharanya daripada sebarang kerosakan”.
(al-Hijr : 9)
Sebagai sebuah kitab yang penuh hidayah, al-Qur’an tidak meninggalkan sesuatu pun
permasalahan hidup manusia. Sekiranya wujud sesuatu yang tidak diketahui dan tidak
ditemui jawapan dalam al-Qur’an, bukanlah bermakna Allah SWT lupa tetapi manusia yang
tidak mengetahui tempat letaknya hukum dan permasalahan yang dibincangkan dalam al-
Qur’an. Firman Allah SWT yang bermaksud:
“Tiada Kami tinggalkan sesuatupun di dalam kitab al-Qur’an ini”.
(al-An`am: 38)
al-Qur’an yang mengandungi lebih daripada 6,200 ayat dalam 114 surah membicarakan
seluruh aspek yang dikehendaki oleh tamadun manusia; bukan sahaja yang berhubung
dengan perkara asas dan dasar seperti akidah, syariah dan akhlak, tetapi juga merangkum
persoalan ekonomi, politik, pendidikan, kehakiman, perundangan, perubatan, keselamatan,
pertahanan negara dan sebagainya. Bagaimanapun al-Qur’an tidaklah menyentuhnya secara
terperinci dalam sesuatu perkara kerana ia boleh dilihat kepada al-Sunnah sebagai pentafsir
utama kepada al-Qur’an dan juga ijtihad para ulama semasa sebagai orang yang layak
mentafsirkan al-Quran selepas al-Sunnah.
2. al-Sunnah
Secara umumnya al-Sunnah bermaksud “Sesuatu yang disandarkan kepada Rasulullah SAW
sama ada dari aspek perbuatan, perkataan, pengakuannya/sifat keperibadian atau
perangainya.” Kedudukan al-Sunnah dalam pembahagian sumber pemikiran umat Islam
berada di tempat yang kedua selepas al-Qur’an. al-Sunnah termasuk di bawah kategori
sumber asas Tamadun Islam. Ia juga bertindak sebagai pentafsir al-Qur’an yang utama dan
sekaligus sebagai sumber wahyu kerana baginda SAW tidak berkata-kata melainkan ianya
wahyu daripada Allah SWT Kenyataan ini selari dengan firman Allah dalam al-Qur’an:
“Dan dialah (Muhammad) tidak menurturkan sesuatu (yang berhubung dengan agama Islam)
menurut kemahuan nafsu, segala yang diperkatakan tidak lain, melainkan berlandaskan
kepada wahyu yang diwahyukan”.
(al-Najm : 3-4)
Dalil yang menjelaskan tentang sumber pemikiran umat Islam ialah al-Qur’an dan al-Sunnah,
antara lain ialah:
“...Dan apa jua perintah yang dibawa oleh Rasulullah SAW kepada kamu maka terimalah
serta amalkan, dan apa jua yang dilarang kamu melakukannya, maka patuhilah larangan ...”.
(al-Hasyr : 7)
Sabda Rasulullah SAW:
“Aku tinggalkan kepada kamu dua perkara, kamu tidak akan sesat selama-lamanya selagi
kamu berpegang dengan kedua-duanya iaitu; Kitab Allah (al-Qur’an) dan Sunnah Rasul-
Nya”.
Kedudukan al-Sunnah sebagai tempat kedua dan salah satu sumber mutlak dan asas Tamadun
Islam tidak mungkin dipertikaikan, kerana baginda merupakan orang yang dilantik sebagai
Rasul dan sentiasa mendapat bimbingan wahyu daripada Allah SWT. Dalam pada itu pula
baginda sentiasa mendapat didikan dan bimbingan yang berterusan sehingga melayakkan
baginda sebagai salah seorang ulu al-`Azmi6 dan ma`sum7.
3. al-Ijtihad
al-Ijtihad bermaksud “Suatu usaha yang bersungguh-sungguh di kalangan ulama mujtahid
bagi meletakkan sesuatu hukum terhadap permasalahan semasa yang timbul dan masih belum
ada hukumnya dalam al-Qur’an mahupun al-Sunnah secara qat`i (putus).” Dalam erti kata
lain, pandangan ulama berhubung dengan hukum sesuatu perkara yang belum diputuskan
oleh al-Qur’an dan al-Sunnah.
Mekanisma yang dilakukan oleh para mujtahidin ialah melalui kaedah qiyas, iaitu meletakkan
hukum ke atas sesuatu perkara yang masih belum ada hukumnya berdasarkan perkara yang
telah jelas hukumnya dalam al-Qur’an dan al-Sunnah berdasarkan persamaan dari segi sebab
dan alasannya. Sebagai contoh, meletakkan hukum wajib zakat pada padi kerana terdapat
persamaan antara padi dan gandum dari segi makanan asasi penduduk di sesebuah negara.
Antara dalil yang menjadi sumber hukum ini ialah firman Allah SWT yang bermaksud:
“... Maka jadikanlah (kejadian itu) untuk menjadi pelajaran wahai orang-orang yang memiliki
pandangan”.
(al-Hasyr: 2)
Dalam ayat lain pula Allah (SWT) berfirman yang bermaksud:
“... Kemudian jika kamu berbantah-bantah (perselisihan) dalam sesuatu perkara, maka
hendaklah kamu mengembalikannya kepada (Kitab) Allah (al-Qur’an) dan (Sunnah) Rasul-
Nya jika kamu benar-benar beriman kepada Allah dan hari akhirat. Yang demikian adalah
lebih baik (bagi kamu) dan lebih elok pula kesudahannya”.
(al-Nisa’: 59)
Dalam sejarah Tamadun Islam, para mujtahidin pada zaman awal akan memutuskan sesuatu
perkara berdasarkan kehendak dan persetujuan ramai, bukan kepada kelompok minoriti dan
pandangan perseorangan. Keputusan ini kemudiannya diguna pakai oleh masyarakat dan
negara untuk mengambil sesuatu tindakan.
4. Pengalaman Tamadun-tamadun Asing
Selain daripada sumber-sumber di atas, Tamadun Islam juga mengambil kira segala kebaikan
yang terdapat dalam tamadun asing. Pernyataan ini menunjukkan bahawa Tamadun Islam
bersifat terbuka, tidak terikat dan statik kepada pandangan serta pemikiran yang datang
daripada wahyu dan pemikiran ijtihad para ilmuwan sahaja. Apa yang berlaku dalam sejarah,
umat Islam digesa agar mencari ilmu di mana sahaja walaupun di negara bukan Islam.
Melalui sifat toleransi seperti inilah menyebabkan berlakunya proses asimilasi budaya secara
sihat dan mengizinkan berlakunya perkembangan ilmu pengetahuan dalam negara Islam dan
mengeksport budaya hidup Islam ke negara luar. Dalam hal ini Rasulullah SAW pernah
bersabda:
“Hikmah itu adalah barangan hilang kepunyaan orang beriman. Oleh itu di mana sahaja ia
temui dialah yang paling layak memilikinya”.
“Ambillah hikmah itu di mana sahaja engkau temui, jangan engkau pedulikan daripada mana
sumbernya”.
Barangkali berasaskan hadis inilah Sayidina `Umar RA pernah mengeluarkan kenyataan
berbunyi “Tuntutlah ilmu walaupun di negeri China”.
Implikasi positif daripada sifat terbuka Tamadun Islam itu telah menyebabkan Islam mudah
difahami dan diterima oleh seluruh bangsa manusia di dunia ini walaupun berlainan budaya
dan kedudukan geografi. Sebagai contoh, penerimaan syariat Islam terhadap budaya
berpakaian di kalangan masyarakat Melayu adalah kerana tidak bertentangan dengan Islam.
Penerimaan ini juga kerana syarat yang ditetapkan oleh Islam bukan fesyennya tetapi prinsip
menutup aurat. Bangsa diberi kebebasan memilih fesyen pakaian yang di suka selagi fesyen
pakaian tersebut masih berada dalam kawalan syariat. Demikian juga dengan perkembangan
ilmu pengetahuan sains dan teknologi serta lain-lainnya yang banyak memberi manfaat
kepada umat dan negara Islam tetap diterima setelah melalui penyaringan terlebih dahulu
mengikut piawaian perundangan Islam.
3.6.5 Matlamat Pembentukan Masyarakat Islam Hadhari
Tamadun Islam bukan sebuah tamadun yang tegak atas dasar tuntutan hawa nafsu yang
bermatlamatkan kemewahan dan kesenangan hidup dunia semata-mata, tetapi lebih jauh
daripada itu ialah kebahagiaan dan kesenangan hidup di akhirat. Berdasarkan pernyataan
tersebut, matlamat Tamadun Islam boleh dibahagikan kepada dua iaitu kebahagiaan hidup di
dunia dan kebahagiaan hidup di akhirat. Ini amat bersesuaian dengan kenyataan al-Qur’an
yang merakamkan ucapan doa umat Islam yang telah menyelesaikan ibadah Haji sebagai
menyambut perintah Allah SWT agar mereka mengingati Allah sebanyak-banyaknya:
“... Wahai Tuhan kami, berikanlah kepada kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat,
dan peliharalah kami daripada azab neraka”.
(al-Baqarah: 201)
Bagi mencapai hasrat dan cita-cita tersebut, matlamat tamadun Islam boleh digariskan seperti
berikut:
1. Melahirkan manusia yang mentauhidkan Allah SWT dan mengabdikan diri kepada-Nya
dalam seluruh kehidupan. Pernyataan ini menepati firman Allah SWT yang bermaksud:
“Dan tidak Aku (Allah) ciptakan manusia melainkan supaya mereka tunduk mengabdikan
diri kepada-Ku”.
(al-Dhariyat: 56)
2. Melahirkan insan salih di sisi Allah, manusia dan alam. Pernyataan ini bersesuaian dengan
firman Allah SWT yang bermaksud:
“Dan demi sesungguhnya, Kami telah tulis di dalam Kitab-kitab yang Kami turunkan sesudah
ada tulisannya pada Lauh Mahfuz: “Bahawasanya bumi itu akan diwarisi oleh hamba-hamba-
Ku yang salih”.
(al-Anbiya’: 105)
3. Melahirkan manusia sebagai khalifah yang bertanggungjawab terhadap perintah dan
larangan Allah SWT di samping melaksanakan amanah yang berkaitan dengan manusia dan
alam. Firman Allah SWT yang bermaksud:
“Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada
ahlinya (yang berhak menerimanya) dan apabila kamu menjalankan hukum di antara
manusia, (Allah menyuruh) kamu menghukum dengan adil...”.
(al-Nisa’: 58)
4. Melahirkan masyarakat yang hidup di dunia secara harmoni dan mendapat keampunan
Ilahi. Pernyataan ini bersesuaian dengan firman Allah SWT yang bermaksud:
“Demi sesungguhnya bagi penduduk Saba’ satu tanda (kemurahan Allah) terdapat di tempat
tinggal mereka dua kebun (yang luas dan subur) di kiri kanan tempat tinggal mereka, (lalu
dikatakan kepada mereka) makanlah rezeki Tuhanmu dan bersyukurlah kepada-Nya (atas
kurniaan) sebuah negeri yang aman dan makmur serta mendapat keampunan Allah)”
(Saba’ 34:15)
Keempat-empat matlamat Tamadun Islam ini hanya akan dapat dicapai sekiranya manusia
bersedia tunduk dan patuh kepada perintah dan larangan Allah SWT. Jika manusia masih
menurut kehendak hawa nafsu selama itulah dunia ini tidak akan mampu didamaikan dan
diharmonikan untuk mencapai keredaan dan keampunan Ilahi.
3.6.6. Realiti Penghayatan Islam Di Kalangan Masyarakat Muslim Kini
Perkembangan yang berlaku di seluruh dunia Islam hari ini memperlihatkan penghayatan
umat Islam yang menyimpang dari landasan ajaran agama. Kebanyakan penganut Islam kini
menjadi seorang Muslim disebabkan oleh keturunan. Hasil daripada senario ini ialah umat
Islam percaya agama hanya warisan peninggalan datuk-nenek, bukan atas dasar kesedaran
dan pilihan sendiri yang boleh melahirkan rasa tanggungjawab beragama. Sebahagian faktor
kemunculan gejala ini ialah kesan penjajahan Barat yang sebati dengan masyarakat Islam.
Asimilasi budaya Barat dan Timur terlalu mesra dan sukar untuk dibezakan antara tuntutan
akidah Islamiah dan ideologi moden Barat, antara tuntutan syariat Islam dan budaya hidup
jahiliah dan juga antara tuntutan akhlak Islamiah dan moral jahiliah. Kehidupan seperti ini
sudah tentu menjadi keliru. Barangkali inilah suasana yang disifatkan oleh Rasulullah SAW
sebagai zaman fitnah dalam suatu sabdanya yang bermaksud :
“Segeralah kamu mengerjakan amal-amal kebajikan, sesungguhnya fitnah akan datang
menimpa kamu seperti kedatangan potongan malam yang gelap, di mana pada waktu itu
kamu akan dapati seseorang beriman pada waktu pagi dan kufur pada waktu petang, beriman
pada waktu petang dan kufur kembali pada waktu pagi, mereka sanggup menjual agama
dengan kebendaan dunia”.
Demikian juga sabda baginda SAW :
“Akan datang kepada manusia suatu zaman, di mana al-Qur’an hanya tinggal tulisan, Islam
hanya tinggal nama, masjid-masjid dihias indah tetapi jauh daripada hidayah Allah,
sementara ulama mereka pula banyak yang jahat menjadi makhluk perosak yang berada di
bawah langit”.
Adakah zaman yang dimaksudkan Baginda Rasulullah SAW telah tiba sekarang atau masih
belum? Barangkali ada yang sanggup mengatakan masih belum, kerana masih ramai yang
suka membaca al-Qur’an malah ada juga yang menghafalnya. Namun bagaimana pula dengan
sabda Baginda SAW yang menjelaskan :
“Sesungguhnya Ikatan Islam akan terungkai daripada diri seseorang Muslim satu demi satu.
Setiap kali berlakunya rungkaian itu, dia akan berpegang kepada ikatan yang masih ada
sehingga tidak ada lagi ikatan yang tinggal. Ikatan yang paling awal terungkai ialah al-hukm
(hukum-hakam/halal-haram) dan yang paling akhirnya ialah solat”.
Kalau solat yang paling akhir terungkai dari diri seseorang Muslim, bukankah ini bererti
orang yang meninggalkan solat dengan sengaja telah terpisah antara dirinya dengan Islam
yang didakwa sebagai agamanya? Kalau situasi ini wujud dalam masyarakat Islam hari ini,
bukankah ia telah menyamai maksud sabda baginda di atas? Suatu lagi pernyataan yang jelas
daripada baginda SAW :
“Sesiapa yang meninggalkan solat dengan sengaja, maka sesungguhnya dia telah melakukan
kekufuran dengan nyata”.
Kalau inilah landasannya yang mesti dipegang, bermakna adalah zaman kita hari ini zaman
fitnah yang menyukarkan seseorang yang cetek ilmu agama, jauh dari al-Qur’an dan tidak
kuat berpegang kepada perintah agama untuk melihat Islam dalam erti yang sebenarnya.
Barangkali antara punca fitnah ini ialah umat Islam yang jahil tentang maksud jahiliah yang
disebutkan oleh Allah dalam al-Qur’an. Oleh kerana tidak kenal apakah jahiliah maka
seseorang itu tidak merasa bahawa amalan yang dilakukan selama ini telah pun berbaur
dengan maksud jahiliah. Antara contoh yang paling nyata ialah budaya berpakaian dan
berhias diri. Pernahkah kita bertanya kepada syariat sebelum mengenakan pakaian atau
solekan pada tubuh kita? Bagaimana sebenarnya pakaian yang diharuskan dan perhiasan yang
dibolehkan dalam Islam? Dalam perkara ini sahaja pun sudah cukup untuk memberi jawab
tidak. Kalau jawapannya ialah tidak bagaimana pula dengan urusan lain yang kelihatannya
lebih penting dan utama? Sayidina `Umar RA dalam suatu kenyataannya menyebutkan :
“Sesungguhnya ikatan Islam akan terungkai satu demi satu pada diri seseorang Muslim yang
hidup dan dibesarkan dalam masyarakat Islam, tetapi tidak mengenal erti jahiliah.”
Dalam pada itu terdapat juga sekelompok umat Islam yang menghayati Islam dalam bentuk
serpihan (juz’i), tidak dalam bentuk global. Sebagai contoh, penghayatan orang-orang yang
berminat dalam bidang tarekat sufi semata-mata, mereka suka hidup secara bersunyi-sunyi
dan terpisah dari masyarakat. Kelompok ini biasanya suka mengasingkan diri, dan
membelakangkan tanggungjawab sebagai pendidik dan pembangun masyarakat. Mereka
kelihatan terlalu asyik dengan amalan kerohanian sehingga lupa tanggungjawab sebagai
khalifah di bumi yang diberi amanah untuk dibangunkan. Lantaran itu terdapat sebahagian
yang tidak menyempurnakan tanggungjawab sebagai suami, bapa dalam rumah tangga dan
peranan sebagai sebahagian anggota masyarakat, lebih-lebih lagi tanggungjawab dakwah dan
jihad. Sayidina `Umar pernah menghalau seorang yang sedang beribadah dalam masjid,
sedangkan makan dan minumnya ditanggung oleh anggota keluarganya, sambil berkata :
“Orang yang menguruskan makan minum kamu lebih baik daripada kamu.”.
Selain itu juga ada yang memahami Islam secara siasah (politik) dalam pengertian yang
terbatas. Bentuk kefahaman yang begini menyebabkan lahirnya pelbagai ideologi dan
pemikiran dalam masyarakat Islam. Semuanya ini memungkinkan timbulnya konflik dan
pertelagahan secara berterusan. sejak awal-awal lagi Islam telah menyelesaikan perkara ini
dengan cara mengajak umat Islam berjuang atas dasar akidah, bukan `asabiyyah (perkauman
sempit), berasaskan politik Islam (siyasah Islamiyyah) dan bukan politik kepuakan (siyasah
hizbiyyah). Islam menerima kepelbagaian orientasi jamaah dan organisasi, tetapi mestilah
bersatu ke arah matlamat yang sama, tidak harus berlaku pertelagahan kerana matlamat
adalah sama. Bagaikan satu bahtera di mana setiap anggota bersungguh-sungguh mendayung
untuk sampai ke destinasi, bukan saling menyimbah antara satu dengan lain sehingga
menyebabkan sebahagiannya tenggelam dan yang masih timbul pun lambat untuk sampai ke
destinasi. Senario wujudnya pelbagai kumpulan dan puak dalam masyarakat Islam bukan satu
fenomena baru. Sejarah Islam mencatatkan kepelbagaian kumpulan berlaku bukan atas nama
perpaduan, tetapi pertelagahan dan peperangan. Peristiwa ini berlaku semenjak zaman
pemerintahan Khulafa` al-Rasyidin yang bermula dengan pertelagahan antara Sayidina `Ali
dan Sayidina Mu`awiyah. Peristiwa yang sama terus berulang di penghujung pemerintahan
Kerajaan `Abbasiyyah yang mengakibatkan munculnya pelbagai kerajaan kecil yang semakin
sukar untuk disatukan. Akhirnya semua negara Islam hancur dimusnahkan oleh penjajah
Barat dengan jatuhnya Kerajaan Uthmaniyyah di Turki pada tahun 1924M.
Dalam menyelesaikan masalah ini Islam mengingatkan umatnya agar sentiasa berada dalam
satu jemaah. Kalaupun ada pertelagahan, biarlah ia berlaku dalam perkara-perkara fiqhi8
yang tidak menimbulkan permusuhan, bukan dalam perkara asas dan dasar membabitkan
permasalahan i`tiqadi (keimanan dan akidah). Rasulullah SAW memperingatkan:
“Umatku akan berpecah kepada tujuh puluh tiga puak, semuanya masuk neraka, melainkan
satu. Para sahabat bertanya: ”Siapakah puak yang satu itu wahai Rasulullah? Sabda baginda
SAW: ”Mereka ialah orang-orang yang menjalani kehidupannya seperti aku dan sahabat-
sahabatku”.
3.6.7 Pendekatan Islam Hadhari
Memandangkan Islam Hadhari bukan ajaran baru dan bukan juga mazhab baru, bererti ia
adalah ajaran yang sama dengan apa yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW. Ini bererti
umat Islam tidak harus mentafsirkan Islam Hadhari terkeluar daripada landasan wahyu (al-
Qur’an dan al-Sunnah). Oleh itu penyelewengan umat Islam dalam menghayati Islam hari ini
mesti diperbetulkan. Memahami Islam secara liberalisme barat, mendahulukan akal dan
pemikiran logik berbanding dua sumber di atas, adalah punca umat Islam menjadi sesat.
Memahami Islam secara fahaman ahli tasawuf dan ahli tarekat juga punca umat Islam
tertindas dan terkebelakang dalam arena pembangunan dunia.
Pendekatan Islam Hadhari adalah untuk mengembalikan umat Islam kepada asas dan prinsip
selari dengan tuntutan al-Qur’an dan al-Sunnah. Ia juga berupa suatu pendekatan ke arah
anjakan paradigma untuk mengubah persepsi ummah terhadap ajaran Islam yang telah
semakin luntur akibat penjajahan Barat ke atas Dunia Islam, sekali gus memberi penekanan
kepada ajaran Islam yang bersifat lengkap dan mampu membawa umat Islam ke arah
kemajuan dan kejayaan dunia dan akhirat. Sehubungan itu, pendekatan dalam usaha
mempertingkatkan mutu kehidupan juga mesti diusahakan melalui penguasaan ilmu
pengetahuan, pembinaan sahsiah insaniah serta pembangunan material. Semua itu perlu
digarap secara sepadu dan menyeluruh.
Selain itu, perpaduan umat Islam harus diusahakan kembali. Perjuangan umat Islam bagi
mencapai cita-cita tersebut mesti disatukan. Semangat `asabiyyah yang melampaui batas-
batas syariat mestilah dijauhi agar ia sejajar dengan konsep hidup sebagai hamba Allah,
segala kerja menjadi ibadah, tanggungjawab khalifah di bumi dapat disempurnakan dan
kemakmuran serta kebahagiaan hidup di dunia dan akhirat dapat dicapai.
3.6.7 Tujuan Syari`at Islam Diwahyukan (Maqasid al-Syari`ah)
Tujuan utama syariat Islam diwahyukan (maqasid al-Syari`ah) oleh Allah SWT ialah untuk
memelihara, memartabat dan memperkasakan kepentingan lima perkara utama (dharuriyat al-
Khams) iaitu agama, nyawa, akal, maruah dan harta.
1. Agama
Agama dalam maqasid al-syari`ah berada pada kedudukan yang paling atas. Ia menjadi
tujuan utama syari`at Islam. Untuk itu umat Islam ditegah keras melakukan sesuatu amalan
yang bercanggah dengan prinsip keimanannya atau disebut sebagai perbuatan bidaah dan
khurafat, atau apa sahaja yang boleh membawa seseorang gugur syahadahnya dan terbatal
akidahnya; sama ada melalui iktikad, lidah atau melalui tingkah laku perbuatan. Untuk
membendung kegiatan inilah, Sayidina Abu Bakar R.A. bertindak memerangi golongan
murtad; sama ada yang meninggalkan Islam secara keseluruhannya, atau sekadar enggan
membayar zakat.
2. Nyawa
Nyawa berada pada kedudukan yang kedua selepas agama. Memandangkan nyawa manusia
tidak boleh dipandang remeh, Islam sejak awal-awal lagi mengharamkan apa sahaja bentuk
pembunuhan melainkan musuh dalam peperangan. Al-Qur’an menukilkan firman Allah SWT
berhubung pembalasan di akhirat ke atas orang-orang yang membunuh seorang beriman
dengan sengaja ialah azab neraka Jahanam dan mereka kekal di dalamnya. Dalam pada itu
pula balasan di dunia ini ialah dikenakan hukuman Qisas9 jika sabit kesalahan atau diat bagi
perbuatan membunuh tanpa sengaja sama ada yang dibunuh itu Muslim atau dhimmi. Selain
itu juga umat Islam diperintah menjauhi perkara yang mendedahkan diri daripada sebarang
bentuk bahaya yang boleh mengancam nyawa, lebih-lebih lagi membunuh diri dan
sebagainya.
3. Akal
Akal adalah anugerah yang amat berharga untuk manusia. Tanggungjawab sebagai Muslim
(taklif rabbani) diberi kepada manusia kerana akalnya. Oleh itu akal perlu dipelihara dan
dipupuk agar sentiasa sempurna dan sihat. Sehubungan itu Islam melarang umatnya
meminum atau memakan sesuatu yang boleh membawa kerosakan pada akal. Pengharaman
arak dan penggunaan dadah secara salah adalah amat berkait dengan tujuan pemeliharaan
akal manusia. Bagi memastikan umat Islam tidak terlibat dengan gejala ini, Islam meletakkan
hukuman hudud dengan mengenakan hukuman sebat antara 40 hingga 80 kali sebatan kepada
sesiapa sahaja yang sabit kesalahannya.
4. Harta
Ia adalah keperluan hidup manusia di dunia ini. Tidak ada orang yang tidak sayang harta
kepunyaannya, malah ada yang sanggup mati kerana mempertahankan harta. Dalam pada itu
pula Islam memberi penghormatan tinggi dengan gelaran syahid (syahid sughra) kepada
mereka yang mati kerana mempertahankan harta, sebab harta adalah amanah Allah kepada
manusia yang wajib dipelihara. Lantaran itu syariat Islam mengharamkan umatnya mencuri
dan mengenakan hukuman hudud10 jika disabitkan kesalahan mencuri.
5. Keturunan (Institusi keluarga) dan maruah
Kehidupan berkeluarga adalah suatu tuntutan naluri bukan sahaja manusia tetapi juga haiwan.
Bagaimanapun, oleh kerana manusia sebagai makhluk yang dianugerahi akal dan berpotensi
membangunkan alam dan memakmurkannya, Islam meletakkan peraturan khusus pada
manusia agar dapat dibezakan antara manusia dan makhluk lain yang tidak berakal.
Perkahwinan secara sah mengikut ketentuan syariat adalah ketetapan yang dipaksakan pada
manusia agar zuriat yang bakal dilahirkan mempunyai susur galur keturunan yang betul dan
sah, maruah mereka juga terpelihara, kedudukan mereka sebagai insan juga tidak tergugat.
Pengharaman mendekati perbuatan zina dan segala perkara yang boleh mendorong kepada
perbuatan tersebut. Kegiatan-kegiatan maksiat yang boleh menjatuhkan maruah seseorang,
menunjukkan betapa seriusnya Islam menghalang umatnya mendekati perbuatan terkutuk itu.
Oleh itu amat wajar hukuman di dunia dikenakan ke atas pelaku zina dengan hukuman sebat
100 kali bagi mereka yang belum berkahwin dan rejam sampai mati bagi yang telah
berkahwin.
3.6.8 Cabaran-cabaran Yang Terpaksa Dihadapi.
Umat Islam di negara ini terpaksa berhadapan dengan pelbagai cabaran dalam usaha
membawa perubahan dalam sesebuah masyarakat, lebih-lebih lagi di peringkat negara dan
ummah. Antara cabaran-cabaran yang dimaksudkan ialah:
1. Peristiwa 11 September 2001.
Peristiwa ini telah membawa ancaman besar ke atas Dunia Islam apabila kuasa Barat di
ketuai oleh Amerika Syarikat menuding jari kepada umat Islam. Akibat itu, bumi Afghanistan
menjadi sasaran serangan Amerika Syarikat yang dituduh menjadi pengekalan pertubuhan
Al-Qaeda Sedunia. Rentetan daripada itu, bumi Iraq pula menjadi sasaran Amerika Syarikat.
Tindakan Amerika nampaknya bukan meredakan keamanan dunia tetapi senario menjadi
bertambah konflik apabila berlaku beberapa letupan bom di beberapa wilayah, bukan sahaja
di bumi Afghanistan dan Iraq tetapi juga negara-negara sekutu Amerika seperti Britain dan
Australia. Akibat daripada itu, timbul beberapa ugutan dan ancaman serta perbuatan khianat
yang terpaksa diterima oleh umat Islam yang tinggal di negara-negara berkenaan. Lebih
dahsyat lagi apabila umat Islam sendiri memandang serong dan phobia terhadap agama
mereka sendiri.
2. Tamadun Barat yang menolak agama
Anggapan Barat terhadap agama sebagai pengancam kepada tamadun dunia juga menjadi
sebahagian daripada cabaran besar yang terpaksa di hadapi oleh umat Islam. Penolakan ini
berlaku secara berleluasa terhadap apa sahaja yang disifatkan sebagai tradisional dan
fundamental. Apa yang dikehendaki Barat ialah liberalisme ala-Barat dalam beragama.
Senario ini telah merebak ke seluruh Dunia Islam yang sekali gus mengancam akidah dan
keyakinan umat Islam terhadap agama mereka. Senario ini sudah tentu melemahkan umat
Islam untuk kembali bangun menegakkan tamadun Islam lebih-lebih lagi untuk membina
semula negara dan sistem khilafah yang telah hilang.
3. Globalisasi dan penjajahan bentuk baru.
Satu lagi cabaran yang terpaksa dihadapi oleh umat Islam ialah serangan globalisasi yang
disebut juga sebagai “Dunia tanpa sempadan”. Kecanggihan teknologi maklumat yang
dipelopori oleh Barat menyebabkan mereka mampu menguasai segala-segalanya. Bukan
sahaja dari segi ekonomi dan politik, tetapi juga termasuk sosio-budaya. Sebagai contoh,
budaya berpakaian yang mendedahkan aurat terutama di kalangan kaum wanita. Kalau
sebelum ini, wanita Jepun dengan Kimononya, Cina dengan Ceongsam, India dengan Sari
dan Melayu dengan Baju Kurung, tetapi kini setelah budaya Barat menguasai dunia, kelihatan
semuanya bertukar kepada pakaian ala barat yang mendedahkan aurat. Remaja wanita lebih
gemar mengenakan baju T dan seluar jeans yang ketat dan menampakkan susuk badan.
Akibatnya kerosakan akhlak di kalangan remaja semakin menjadi-jadi. Jenayah zina dan
rogol semakin bertambah sehingga melibatkan sumbang mahram dan seumpamanya.
5. Budaya Hiburan (Hedonisme) dan Filem Lucah.
Gelagat generasi muda yang terlalu minat dengan hiburan dan tersebarnya filem-filem lucah
yang dijual di pasaran gelap secara berleluasa juga amat membimbangkan. Kebimbangan ini
ditambah lagi dengan penghantaran gambar porno melalui e-mail. Seandainya budaya ini
tidak dibendung ia menjadi masalah besar kepada negara dan tamadun Islam. Seorang
penyair Arab terkenal Ahmad Syauqi dalam syair menyatakan:
“Sesungguhnya sesebuah bangsa itu akan terus kekal berdaulat selama akhlak bangsanya
masih ada. Sekiranya akhlak bangsanya musnah bererti kedaulatan bangsanya juga akan turut
musnah”.
3.6.9 Sepuluh Prinsip Islam Hadhari
Usaha membangunkan, negara dan ummah bukan suatu usaha yang mudah. Ia memerlukan
kesungguhan dan komitmen yang padu di segenap peringkat dan lapisan masyarakat, lebih-
lebih lagi yang bergelar ulama dan pemimpin. Ulama dan para pemimpin harus
dipertanggungjawabkan terhadap baik buruknya sesebuah masyarakat dan jatuh bangunnya
sesebuah tamadun. Pernyataan ini amat menepati dengan sabda Rasulullah SAW:
“Dua golongan manusia, apabila rosak mereka rosaklah seluruh manusia, apabila baik
mereka maka baiklah seluruh manusia. Mereka yang dimaksudkan ialah para ulama dan
umara’ (para ilmuwan dan para pemimpin)”.
Bagi memastikan kejayaan ini, sepuluh prinsip yang digagaskan oleh Y.A.B. Dato’ Seri
Abdullah Haji Ahmad Badawi, Perdana Menteri Malaysia menjadi penggerak utama dalam
mengatur strategi dan perancangan membangun anak bangsa secara bersepadu antara kualiti
intelektual, spiritual, emosional dan material. Sepuluh Prinsip yang dimaksudkan adalah
seperti berikut:
1. Keimanan dan ketakwaan kepada Allah.
Iman boleh diibaratkan sebagai akar kepada sebatang pokok. Biji benih tidak akan
mengeluarkan tunas tanpa didahului oleh akar yang menjunam ke bumi. Pokok yang tumbuh
tanpa akar yang menjunam ke dasar bumi akan tumbang pada bila-bila masa. Manakala
takwa pula adalah buah lazat yang terhasil daripada sebatang pokok yang subur dan indah
menjadi tujuan utama para penanamnya. Demikian juga dengan iman dan takwa pada diri
seseorang mukmin, tanpanya bererti Muslim hanya pada nama sahaja. Rasulullah SAW
bersabda:
“Bukanlah keimanan itu sesuatu yang boleh dicita-cita dan dihias-hias, tetapi ia adalah
sesuatu yang mantap dalam sanubari dan dibuktikan dengan amalan”.
Sayidina Ali RA ketika menjelaskan takwa pula menyebut takwa ialah:
“Takut kepada Rab al-Jalil, beramal dengan wahyu yang diturunkan dan menyediakan bekal
untuk perjalanan yang jauh ke negeri akhirat”.
Oleh itu iman dan takwa mestilah diletakkan sebagai asas kepada binaan tamadun manusia.
Sesebuah pembangunan yang tidak diasaskan kepada asas iman dan takwa dikhuatiri akan
terjebak kepada penyelewengan terhadap peraturan Allah dan syariat-Nya serta mencerobohi
alam tanpa batas dan kawalan. Sebab itu, al-Qur’an sejak awal-awal lagi menegaskan:
“Adakah mereka yang mengasaskan binaannya (masjid Dhirar) berasaskan takwa dan
Mardati’Llah itu lebih baik ataukah mereka yang mengasaskannya di tepi jurang yang dalam,
lalu jatuh tersungkur bersama yang membinanya ke dalam neraka jahanam (itu yang lebih
baik)? …”.
(al-Taubah: 109)
Kepentingan iman dan takwa kepada sesebuah tamadun memang tidak dapat dinafikan lagi;
bukan sahaja kepentingan dari segi fizikal dan materialnya dengan mendapat keamanan,
keharmonian dan kemakmuran dengan rezeki yang halal dan baik untuk kesihatan fizikal,
tetapi juga yang lebih penting ialah dari segi menagih kasih sayang Allah dan kemurahan-
Nya. Dalam hal ini banyak firman Allah yang membicarakan kebaikan-kebaikan yang bakal
terima oleh insan yang bertakwa kepada Allah SWT Antaranya ialah firman Allah SWT yang
bermaksud.:
“Sekiranya penduduk negeri itu beriman dan bertakwa, tentulah Kami akan membuka kepada
mereka pintu-pintu keberkatan dari langit dan bumi. Tetapi mereka mendustakan (Rasul
Kami), lalu Kami timpakan mereka dengan azab seksa dengan sebab usaha perbuatan
mereka”.
(Al-A`raf : 96)
Takwa adalah bekal sepanjang perjalanan manusia di dunia. Takwa tidak boleh ditinggalkan
sama sekali walaupun sekadar beberapa waktu, kerana dengan adanya takwa semua pekerjaan
seseorang akan menjadi ibadah. Tanpa takwa, syaitan akan menyelit dalam jiwa manusia dan
memusnahkannya. Tanpa takwa juga sesuatu perbuatan yang dilakukan akan menjadi hambar
dan sia-sia malah mungkin juga akan terjebak dengan perlakuan lagha dan mungkar. Sebab
itu Rasulullah memperingatkan:
“Bertakwalah kepada Allah di mana sahaja kamu berada dan ikutilah amal buruk yang kamu
telah lakukan dengan amalan yang baik supaya ia menghapuskannya serta berakhlaklah
dengan manusia dengan akhlak yang terpuji”.
Sabdanya lagi:
“Bertakwalah kepada Allah walaupun dengan seulas buah tamar”.
Hadis ini membawa maksud, jikalau hanya dengan menderma seulas tamar, seseorang boleh
terlepas dari azab neraka, hendaklah ia melakukannya, kerana seksaan api neraka tidak
tertanggung oleh sesiapa pun. Oleh itu, takwa dan iman amat diperlukan dalam proses
pembinaan jati diri seseorang dan juga sistem hidup bermasyarakat dan bernegara.
Bagaimana takwa boleh diusahakan
Al-Imam al-Nawawi ketika menghuraikan sifat Ihsan mengatakan: “Seseorang hamba tidak
akan dapat mencapai tingkat takwa selagi tidak mencapai tingkat Ihsan”. Sabda Rasulullah
SAW menegaskan insan:
“Ihsan itu ialah engkau beribadah kepada Allah seolah-olah engkau melihat Allah, sekiranya
engkau tidak melihat Allah, yakinlah bahawa Allah sedang memerhati kamu”.
(Riwayat Bukhari dan Muslim)
Sifat muraqabatu’Llah11 mempunyai hubung kait yang amat erat dengan keimanan yang
sebati dalam jiwa manusia. Keimanan kepada Allah yang memiliki sifat al-Sami` (Maha
Mendengar) dan al-Basir (Maha Melihat) terhadap apa sahaja perlakuan hamba-Nya.
Mustahil bagi Allah memiliki sifat-sifat lemah sebagaimana yang ada pada makhluk seperti
tidur, lalai, leka dan sebagainya. Dalam pada itu juga Allah SWT memiliki sifat-sifat al-
Muntaqim.12 Keyakinan terhadap sifat-sifat Allah di atas membawa seseorang hamba malu
dan gerun untuk melakukan sesuatu yang dimurkai-Nya. Di sinilah munculnya ihsan dan
takwa.
Peranan iman dan takwa dalam kehidupan masyarakat pelbagai etnik dan agama juga amat
jelas apabila baginda Rasulullah SAW menghubungkan perintah berbuat baik kepada jiran
dengan keimanan terhadap Allah dan hari akhirat. Sebagaimana sabda baginda SAW:
“Sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat hendaklah ia memuliakan jirannya...”.
Perkataan jiran dalam hadis ini, tidak dibatasi oleh agama dan warna kulit, tetapi merangkumi
makna yang luas iaitu siapa sahaja yang menjadi jiran kepada seseorang Muslim dan mukmin
ia mestilah dimuliakan. Demikian juga dengan amaran Rasulullah SAW:
“Sesiapa yang menyakiti dhimmiku (orang bukan Islam yang mendiami negara Islam dan
membayar cukai jizyah) bermakna dia menyakiti ku”.
Dalam pada itu pula Rasulullah SAW memberikan kebebasan penuh kepada bukan Islam
untuk mengamalkan agama mereka semasa baginda memerintah Madinah.
2. Kerajaan Adil Dan Beramanah
Adil bermaksud: meletakkan sesuatu kena pada tempatnya atau dengan kata lain memberikan
sesuatu hak kepada yang berhak menerima menurut kadarnya). Firman Allah SWT yang
bermaksud:
“Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya berlaku adil dan berbuat kebaikan serta
memberi bantuan kepada kaum kerabat; dan melarang daripada melakukan perbuatan yang
keji dan mungkar serta kezaliman…”.
(al-Nahl: 90)
Islam amat mengambil berat perbuatan zalim yang dilakukan oleh seseorang walaupun
kepada dirinya sendiri, lebih-lebih lagi kepada orang lain. Sebab itu Allah SWT menegaskan
melalui firman-Nya yang bermaksud:
“…Dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu
untuk tidak melakukan keadilan. Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana
sikap adil itu lebih hampir kepada taqwa…”.
(al-Maidah: 8)
“Sesungguhnya Allah SWT menyuruh kamu supaya menyerahkan segala amanah kepada
ahlinya (yang berhak menerimanya) dan apabila kamu menjalankan hukum di antara
manusia, hendaklah menghukum dengan adil …”.
(al-Nisa’ 58)
“Sekiranya anakku Fatimah binti Muhammad mencuri aku akan potong tangannya”.
(Hadith Riwayat al-Bukhari)
3. Rakyat Yang Berjiwa Merdeka
Naluri semula jadi manusia inginkan hidup bebas dan merdeka. Bagaimanapun kadang-
kadang keinginan itu tersekat oleh belenggu yang dipaksakan. Senario ini menjadi fenomena
biasa ke atas masyarakat yang dijajah. Pada kebiasaannya penjajahan bukan sahaja berlaku
dari sudut fizikal atau materialnya tetapi termasuk juga pemikiran dan sosio-budaya. Sebab
itu rakyat yang mendiami sesebuah negara yang dijajah akan menghadapi masalah untuk
bangun sebagai bangsa yang maju dan berdaulat kerana perasaan, pemikiran dan tindakan
masih terbelenggu oleh faham penjajah walaupun negara mereka telah merdeka. Lantaran itu
tidak hairanlah jika terdapat masyarakat yang dilihat bagaikan katak yang terlalu lama berada
di bawah tempurung menyebabkan pemikiran, sikap dan perilaku masih terasa berada di
bawahnya walaupun tempurung sudah lama di buang.
Oleh itu, perasaan kagum dan kecenderungan bergantung kepada Barat, menjadikan Barat
sebagai model dan bench marking dalam mencapai kemajuan harus dikikis agar kita
berkeupayaan membentuk cita rasa yang lebih kental, bermakna, jati diri dapat
diperkukuhkan, harga diri dapat dipertahankan dan hala tuju pembangunan menepati
wawasan Negara iaitu pembangunan yang mapan dan seimbang. (Dr. Sisek Baba, JAKIM)
Prinsip ini bermaksud rakyat yang memiliki pemikiran kreatif dan inovatif; mampu
melahirkan idea dan buah fikiran baru, dinamik dan positif memberi faedah kepada diri,
keluarga, masyarakat dan negara. Dalam pada itu dihiasi pula dengan ciri-ciri keimanan,
kejujuran, semangat dan bertindak, tidak jumud, tidak suka berpoya-poya, jauhi lagha dan
segala sifat negatif yang tidak sepatutnya ada pada seseorang yang memiliki jiwa merdeka.
Oleh itu kemerdekaan haruslah berjalan atas landasan tauhid. Dalam hal ini, Allah SWT
menjelaskan melalui firman-Nya:
“Dan sesungguhnya Kami telah memuliakan anak Adam; dan Kami telah berikan mereka
menggunakan berbagai-bagai kenderaan di darat dan di laut; dan Kami telah berikan rezeki
kepada mereka daripada benda yang baik-baik serta Kami lebihkan (darjat dan kedudukan
serta keindahan ciptaan) mereka atas segala makhluk yang Kami ciptakan”.
(al-Isra’: 70)
Rub`i bin Amir seorang sahabat Rasulullah SAW yang telah dilantik oleh Baginda SAW
sebagai ketua rombongan untuk bertemu dengan Rustam, Panglima Tentera Parsi bagi
memberi penjelasan tentang tujuan kedatangan umat Islam ke Parsi mengatakan:
“Sesungguhnya kami telah dibangkitkan oleh Allah untuk mengeluarkan sesiapa sahaja di
kalangan kamu daripada mengabdikan diri kepada sesama hamba, kepada mengabdikan diri
hanya terhadap Alah, daripada hidup bernaung di bawah kezaliman agama-agama kepada
keadilan Islam dan daripada kesempitan hidup di dunia kepada keluasan hidup dunia dan
akhirat”.
Oleh itu kemerdekaan dalam Islam memberi fokus kepada kemerdekaan aqidah kerana
penghayatan ajaran tauhid menjadi tunjang dalam hubungan dengan Pencipta dan
mempertautkan hubungan sesama manusia dan alam. Di situlah munculnya sumber
kemerdekaan sebenar sebagai unsur menyempurnakan tanggungjawab terhadap diri,
keluarga, masyarakat, negara dan agama.
4. Penguasaan Ilmu Pengetahuan
Prinsip ini pula membawa maksud penguasaan ilmu duniawi dan ukhrawi termasuklah ilmu
Fardu Ain dan Fardu Kifayah bagi tujuan melahirkan individu dan masyarakat yang
cemerlang spiritual, intelektual, emosional dan materialnya selari dengan kehendak dan
inspirasi dasar pendidikan negara. Firman Allah SWT yang bermaksud:
“… Allah mengangkat darjat orang-orang yang beriman di antara kamu dan orang-orang
yang diberikan ilmu pengetahuan beberapa darjat…”.
(al-Mujadalah: 11)
Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:
“Sesesiapa yang mahukan kecemerlangan dunia hendaklah dengan ilmu, sesiapa yang
mahukan kecemerlangan akhirat hendaklah dengan ilmu sesiapa yang inginkan kedua-duanya
hendaklah dengan ilmu”.
Nabi Suleiman AS pernah ditawarkan dengan salah satu daripada tiga perkara: takhta, harta
dan ilmu. Baginda AS memilih ilmu. Akhirnya baginda memiliki segalanya. Sejarah kejayaan
Baghdad dan Andalusia sebagai dua buah pusat ketamadunan Islam yang hebat dalam lipatan
sejarah Tamadun Islam juga kerana ilmu pengetahuan. Barat hari ini muncul sebagai Kuasa
Besar Dunia pun kerana mereka memiliki ilmu dunia.
Demikian juga ketika berhadapan dengan cabaran globalisasi dalam dunia moden kini,
pendekatan ilmu secara bersepadu antara naqli dan aqli mesti dijadikan agenda utama bagi
melahirkan sumber tenaga manusia yang mampu menghadapi rintangan. Bekalan ini sekali
gus boleh menyumbang kepada pembangunan bukan sahaja untuk tanah air sendiri tetapi juga
kepada pembinaan tamadun ummah seluruhnya. Oleh yang demikian usaha untuk memerhati,
mengkaji, menyelidiki segala khazanah kekayaan bumi ini mestilah diusahakan dan
dimanfaatkan semaksimum mungkin oleh umat Islam. Kenyataan ini amat selari dengan
penggunaan istilah oleh al-Qur’an seperti; iafala ta`qilun (mengapa kamu tidak menggunakan
akal), iafala yatadabbarun (mengapa kamu tidak memerhati) dan iafala tatafakkarun
(mengapa kamu tidak menggunakan fikiran) untuk membuat kajian terhadap segala makhluk
yang diciptakan oleh Allah.
Penguasaan ilmu pengetahuan bersumberkan hikmah yang bermaksud al-Qur’an terbukti
mengangkat martabat umat. Apabila faktor hikmah mula dilupakan, kemajuan berfikir sudah
hilang dayanya, krisis ulama’-umara’ mula berlaku, tradisi pengkaryaan mula kuncup,
tamadun Islam mula meleset dan kebangkitan kuasa Eropah suatu yang tidak dapat dielak
lagi kerana minat mereka yang besar untuk menguasai ilmu pengetahuan. (Sidek Baba,
JAKIM)
5. Pembangunan Ekonomi Seimbang Dan Komprehensif
Pembangunan ekonomi yang diasaskan kepada keimanan dan ketakwaan kepada Allah SWT
memainkan peranan penting dalam membentuk kehidupan selesa. Ia bukan sahaja bermanfaat
untuk dunia tetapi juga akhirat. Seimbang dan komprehensif bermaksud kemampuan
menyesuai dan memantapkan segala kegiatan ekonomi secara berakhlak antara kerajaan dan
swasta secara bersepadu dan berkesan selari dengan konsep persyarikatan Malaysia bagi
mewujudkan kestabilan ekonomi dan pembasmian kemiskinan. Dalam hal ini Allah SWT
berfirman dalam al-Qur’an yang bermaksud:
“Setelah selesai mengerjakan solat, maka bertebaranlah kamu di muka bumi Allah (untuk
menjalankan urusan masing-masing) dan carilah apa-apa yang kamu hajati daripada limpah
kurnia Allah, serta ingatlah kepada Allah banyak-banyak (dalam segala keadaan), supaya
kamu berjaya (di dunia dan di akhirat)”.
(al-Jumu`ah: 10)
Umat Islam diminta merebut peluang dalam usaha meningkatkan ekonomi, bekerjasama
secara bersepadu antara kerajaan dan swasta dalam usaha membasmi kemiskinan, mencapai
guna tenaga penuh, pertumbuhan ekonomi mapan dan mewujudkan kestabilan ekonomi.
Bagaimanapun dalam usaha menuju ke arah pencapaian kualiti tersebut, umat Islam
diingatkan agar tidak lalai daripada mengingati Allah SWT dan mengikuti syariat yang
dibawa oleh Rasul-Nya.
6. Kehidupan Berkualiti
Kehidupan berkualiti boleh dicapai sekiranya Dharuriyat al-Khams yang terkandung dalam
Maqasid al-Syari`ah dipelihara & diperkasakan iaitu agama, nyawa, akal, maruah dan harta
benda. Kiranya semua ini dapat dipelihara dan diperkasa, secara tidak langsung akan
memberi jawapan bahawa jiwa masyarakat terbangun dalam keadaan sepadu; melengkapi
aspek spiritual, emosional, intelektual dan material dengan segala macam pra-sarana hidup
yang sempurna dan menjamin kehidupan selesa. Firman Allah SWT yang bermaksud:
“Dan tuntutlah dengan harta kekayaan yang telah dikurniakan Allah kepadamu akan pahala
dan kebahagiaan akhirat dan janganlah engkau melupakan bahagianmu (keperluan dan
bekalanmu) dari dunia; dan berbuat baiklah (kepada hamba-hamba Allah) sebagaimana Allah
berbuat baik kepadamu (dengan pemberian nikmat-nikmat-Nya yang melimpah-limpah); dan
janganlah engkau melakukan kerosakan di muka bumi; Sesungguhnya Allah tidak suka
kepada orang-orang yang berbuat kerosakan”.
(al-Qasas: 77)
Kehidupan berkualiti bermula dengan peningkatan ilmu dan pencapaian taraf pendidikan
yang sempurna, kestabilan politik dan sosio-budaya masyarakat sebagai jaminan pencapaian
masyarakat cemerlang. Oleh itu, kehidupan berkualiti haruslah dimulai dengan pendidikan
individu dan institusi kekeluargaan sebagai asas kepada pembentukan masyarakat dan
ummah secara yang lebih luas lagi. Dengan cara begini, institusi keluarga akan dapat
berfungsi dengan baik dan sekali gus gejala kebejatan sosial dalam masyarakat dapat
dikurangkan.
Sebagai pemangkin kepada pencapaian di atas, kemudahan fizikal seperti masjid dan surau
bagi umat Islam mestilah disediakan. Umat Islam juga wajar diberi galakan untuk
memakmurkan masjid. Dalam pada itu pula kebebasan beragama kepada penganut agama
lain mestilah diberikan. Di samping itu, perpustakaan-perpustakaan awam perlu
dipertingkatkan untuk menggalakkan kegiatan membaca di kalangan semua anggota
masyarakat.
Selain itu, persekitaran tempat tinggal hendaklah diberikan perhatian. Tempat-tempat rekreasi
dan riadah wajar disediakan agar kualiti kehidupan masyarakat dapat dibangunkan secara
sepadu dan seimbang.
7. Pembelaan Hak Kumpulan Minoriti Dan Wanita
Pembelaan ke atas kumpulan minoriti dan wanita dapat dilakukan kiranya golongan yang
bertanggungjawab bersikap adil dan amanah, terutama golongan kaya dan berkedudukan.
Islam meletakkan status yang tinggi kepada golongan pemimpin yang melaksanakan
tanggungjawab dengan adil dan amanah. Rasulullah SAW pernah bersabda yang bermaksud:
“Tujuh golongan manusia yang akan mendapat tempat di bawah bayangan (`arasy Allah di
Mahsyar) pada masa tidak ada bayangan melainkan bayangannya: Pertama ialah pemimpin
yang berlaku adil…”
Sabdanya lagi yang bermaksud:
“Mana-mana pemimpin yang rakyatnya terdiri di kalangan umat Islam, tiba-tiba mati dalam
keadaan menipu rakyat, nescaya dia akan diharamkan oleh Allah memasuki syurga”.
Pendekatan pendidikan Islam menolak segala unsur diskriminasi sama ada sebagai kumpulan
majoriti atau minoriti. Hak-hak mereka dikawal oleh undang-undang negara, meliputi segala
aspek yang terkandung di bawah Maqasid al-Syariah. Oleh itu tidak mungkin berlaku
penindasan ke atas kumpulan kecil dan yang berlainan jantina. Firman Allah SWT yang
bermaksud:
“Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan wanita,
dan kami telah menjadikan kamu berbagai-bagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu
berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu sama lain). Sesungguhnya semulia-mulia
kamu di sisi Allah ialah orang-orang yang lebih takwanya di antara kamu (bukan yang lebih
keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi mendalam
pengetahuan-Nya (akan keadaan dan amalan kamu)”.
(al-Hujurat 13)
Sabda Rasulullah SAW semasa mengerjakan Hajjatul Wada`:
“Maka bertakwalah kamu kepada Allah terhadap wanita, kerana sesungguhnya kamu
mengambil mereka adalah kerana Allah dan Allah menghalalkan kepadamu mencampuri
mereka dengan ijab kabul yang sah sesuai dengan aturan Allah dan hak suami terhadap
isterinya ialah agar mereka tidak membiarkan orang-orang luar yang dibenci oleh suami
berkunjung ke rumahnya. Sekiranya mereka melakukan demikian ajarlah mereka dengan
pukulan yang tidak menyakitkan. Manakala bagi mereka (wanita) ke atas kamu (lelaki) pula
ialah memberikan mereka rezeki (makanan dan perhiasan/pakaian) dengan cara yang baik.
Dan telah aku tinggalkan kamu sesuatu yang tidak akan menyesatkan kamu selama-lamanya,
sekiranya kamu berpegang dengan kedua-duanya, iaitu, kitab Allah dan sunnahku”.
8. Keutuhan Budaya Dan Moral
Keutuhan budaya dan moral adalah antara prinsip terpenting dalam membina ketamadunan
sesebuah bangsa dan negara. Budaya hidup dan nilai moral yang baik tidak bercanggah
dengan syariat perlu dipertahankan. Berasaskan kaedah fiqhiyyah; “`Adah Muhakkamah”13
dan “Al-Ma`ruf `Urfan ka al-Masyrut Syartan”.14 Bagaimanapun tidak semua budaya yang
berjalan dalam masyarakat boleh diterima kerana ia memerlukan banyak penyaringan
disebabkan berbaur dengan unsur-unsur yang mengelirukan dari sudut perundangan Islam.
Dalam hal ini, Allah SWT banyak menggariskan banyak amalan yang membabitkan
hubungan dengan Allah dan sesama manusia yang perlu dibudayakan dalam kehidupan
muslim. Antara lainnya ialah, firman Allah SWT yang bermaksud:
“Sesungguhnya berjayalah orang-orang yang beriman (iaitu); Mereka yang khusyu` dalam
solat mereka, perkara lagha mereka tak layan, zakat mereka tunaikan, memelihara kemaluan
mereka melainkan kepada isteri-isteri atau hamba yang mereka miliki. Maka sesungguhnya
perbuatan yang sedemikian tidak akan dicela, sesiapa yang mencari selain daripada itu,
mereka adalah orang-orang yang melampaui batas, dan orang yang diberikan amanah
(tanggungjawab) dan janji mereka pelihara dengan baik, dan orang-orang yang memelihara
solat-solat mereka (dengan sempurna). Merekalah yang akan mewarisi syurga al-Firdaus dan
kekal di dalamnya”.
(al-Mu’minun 23:1-11)
Demikian juga firman-Nya yang bermaksud:
“(Mereka yang mendapat kejayaan itu ialah), orang-orang (menyedari kesalahan dan
bertaubat.), memperhambakan diri kepada Allah, memuji (dan bersyukur dengan nikmat yang
diberikan Allah), mengembara (dengan tujuan menuntut ilmu dan mengembangkan Islam),
ruku`, sujud, menyuruh berbuat kebaikan, mencegah berbuat kejahatan dan memelihara
batas-batas hukum Allah .... ”.
(al-Taubah 112)
Selain itu terdapat beberapa ayat dalam Firman-Nya, menggariskan beberapa sifat insan
berkualiti di sisi Allah SWT sebagaimana yang tercatat dalam al-Qur’an pada surah al-Furqan
ayat 63-77. Sifat insan berkualiti yang dimaksudkan boleh dirumuskan seperti berikut:
1. Berjalan di muka bumi dalam keadaan sopan.
2. Bercakap dengan orang yang jahil dengan cara selamat daripada berlaku sesuatu yang tidak
diingini.
3. Tekun mengerjakan ibadah pada waktu malam dengan sujud dan berdiri (solat).
4. Berdoa agar dijauhi azab neraka Jahanam yang mengerikan.
5. Berbelanja tidak boros dan tidak bakhil.
6. Tidak mensyirikkan Allah dengan sesuatu yang lain dan tidak membunuh, tidak berzina
kecuali mereka bertaubat.
7. Tidak menyaksikan perkara yang dilarang, apabila bertembung.
8. Apabila diberi peringatan dengan ayat-ayat al-Qur’an, mendengar dengan cara baik, bukan
seperti orang pekak dan buta.
9. Berdoa agar dikurniakan pasangan dan zuriat keturunan yang baik dan menjadi pemimpin
kepada orang-orang yang bertakwa.
Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:
“Wahai umat manusia! Sebarkanlah salam, hubungilah silaturrahim dan kerjakanlah solat
pada waktu malam, nescaya kamu akan masuk syurga dengan selamat sejahtera”.
Al-Imam al-Syahid Hasan al-Banna dalam risalahnya Wasaya al-`asyarah menampilkan
beberapa pesanan kepada umat Islam agar dibudayakan dalam kehidupan mereka. Pesanan
tersebut boleh dirumuskan sebagai berikut:
1. Bersegeralah menunaikan solat apabila seruan azan dilaungkan.
2. Bacalah al-Qur’an, buatlah kajian, dengarlah ilmu, berzikirlah dan janganlah anda
membiarkan waktu berlalu tanpa diisi dengan perkara berfaedah.
3. Berusahalah untuk bercakap bahasa Arab fasahah kerana ia sebahagian daripada syiar
Islam.
4. Jangan anda banyak bertengkar dalam melaksanakan apa sahaja urusan kerana ia tidak
mendatangkan sebarang kebaikan.
5. Jangan banyak ketawa, kerana hati yang sentiasa berhubung dengan Allah sentiasa tenang
tenteram.
6. Jangan banyak bergurau. Sesungguhnya umat yang sedang berjihad, sentiasa dalam
keadaan bersungguh-sungguh.
7. Jauhi mengumpat, mengeji dan mencaci pertubuhan lain dan jangan berkata sesuatu
melainkan kebaikan.
8. Berkenalanlah dengan sesiapa sahaja yang anda temui di kalangan rakan-rakan anda
sekalipun dia tidak menuntut anda berbuat demikian, kerana asas dakwah kita adalah
berkasih sayang dan tolong menolong.
9. Kewajipan anda lebih banyak daripada masa yang ada. Oleh itu tolonglah orang lain
supaya mereka memanfaatkan masanya. Kalau anda berurusan, singkatkanlah masa
menunaikannya.
Berdasarkan penjelasan beberapa ayat al-Qur’an, al-Hadis dan pesanan ulama di atas jelas
memperlihatkan bahawa penghayatan nilai-nilai murni sedemikian mampu memupuk jiwa
manusia agar sentiasa berada dalam suasana harmoni bukan sahaja yang membabitkan
hubungan seseorang dengan Penciptanya, tetapi juga hubungan sesama manusia. Nilai-nilai
murni seperti inilah yang sukar ditemui oleh pembangun tamadun kecuali mereka yang
benar-benar berjiwa bersih dan inginkan kedamaian yang hakiki dan abadi.
9. Pemuliharaan Alam Semulajadi
Manusia dan alam adalah saling memerlukan. Alam tidak akan terurus tanpa manusia.
Manusia tanpa unsur alam saghir yang lain juga tidak mungkin hidup selesa. Sebab itu
manusia dan alam perlu saling bermesra agar keharmonian sejagat dapat dijelmakan. Dalam
usaha manusia memajukan alam, sering kali ditemui mereka yang terbabas mengeksploitasi
alam tabii secara berlebihan. Lebih-lebih lagi pemodenan teknologi terkini dan tidak terkawal
ditambah oleh kerakusan nafsu serakah manusia membuatkan alam menjadi musnah.
Barangkali inilah yang disebutkan oleh Allah SWT dalam firman-Nya yang bermaksud:
“Telah timbul pelbagai kerosakan dan bala’ bencana di darat dan di laut dengan sebab
perlakuan dua tangan manusia; (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan
mereka sebahagian daripada balasan perbuatan buruk yang mereka telah lakukan, supaya
mereka kembali (insaf dan bertaubat)”.
(al-Rum: 41)
Kemusnahan muka bumi mempunyai sebab-sebab yang sangat berkait dengan pembalasan
Tuhan ke atas manusia disebabkan dosa-dosa perbuatan mereka. Kerakusan hawa nafsu
sebahagian manusia yang tidak terkawal menyebabkan datangnya azab Allah menimpa
mereka. Akibat daripada hilangnya keseimbangan alam semulajadi pelbagai bencana alam
telah berlaku seperti tanah runtuh, banjir kilat, kepanasan global, gempa bumi, ombak besar,
hujan asid dan pencemaran alam sekitar dan sebagainya berlaku.
Berasaskan kesedaran inilah, lahirnya beberapa deklarasi mengenai alam sekitar yang
dilaksanakan oleh UNDP (United Nation Development Programe) untuk memastikan
wujudnya pembangunan lestari. Deklarasi Reo De Janerio dan Protokol Kyoto (1997)
merupakan antara deklarasi yang melibatkan Malaysia. Malaysia sendiri turut menganjurkan
Deklarasi Langkawi bagi memastikan pembangunan negara secara lestari dan mesra alam.
(JAKIM)
Sehubungan itu, kewajipan mengurus alam sekitar dengan bijak dan adil serta bersifat mesra
alam perlu dikuatkuasakan dan diberikan kesedaran menyeluruh di segenap peringkat.
Kewajipan memelihara alam sekitar dan mengendalikan pembangunan secara harmoni perlu
diberikan perhatian oleh seluruh pengusaha terutama yang terlibat secara langsung
mengenainya. Larangan membuat gangguan di jalanan dan kebersihan yang dikaitkan dengan
keimanan oleh Rasulullah SAW mempunyai pengertian yang sangat besar ertinya kepada
kesejahteraan hidup manusia sejagat.
10. Kekuatan Pertahanan
Kekuatan pertahanan dalam sesebuah tamadun tidak harus terpisah antara kekuatan fizikal
dan spiritual. Malah kekuatan fizikal mestilah didasari oleh kekuatan rohani, minda dan
akhlak para anggota yang mendiaminya. Inilah keunikan dan kesempurnaan Islam
sebagaimana yang dapat difahami daripada firman Allah SWT yang bermaksud:
“Dan sediakanlah untuk menentang mereka (musuh yang menceroboh) segala jenis kekuatan
yang dapat kamu sediakan dan dari pasukan-pasukan berkuda yang lengkap bersedia, untuk
menggerunkan musuh Allah dan musuh kamu serta musuh-musuh lain daripada mereka yang
kamu tidak ketahui sedang Allah mengetahuinya. Dan apa sahaja yang kamu belanjakan pada
jalan Allah akan disempurnakan balasannya kepada kamu dan kamu tidak akan dianiaya.”
(al-Anfal: 60)
Kekuatan yang dibina untuk pertahanan bukanlah bertujuan untuk menceroboh dan
menguasai bangsa lain, tetapi lebih kepada tujuan untuk mempertahankan diri dari dicerobohi
musuh. Kekuatan pertahanan adalah jaminan kepada survival politik, ekonomi dan sosio-
budaya umat dalam sesebuah tamadun.
Senario dunia moden hari ini yang banyak berkisar pada perlumbaan penyediaan senjata yang
serba canggih, mendesak kita agar turut terlibat dengan persediaan pertahanan yang mampu
menangkis serangan musuh yang mungkin tiba secara mengejut. Tanggungjawab menjaga
dan mempertahankan agama, nyawa, akal, maruah dan harta benda adalah merupakan tujuan
hakiki yang terkandung dalam maqasid al-syariah. Semua kepentingan yang disebutkan tidak
mungkin dapat diperkasa sekiranya tanah air terancam oleh serangan musuh.
Ringkasnya, Islam dan kemajuan adalah sinonim. Kemajuan haruslah dibangunkan secara
bersepadu antara kekuatan spiritual, intelektual, emosional dan material. Agama dan negara
akan menjadi kuat, hebat, cemerlang, gemilang dan terbilang apabila umatnya mencapai
tahap gemilang dari segenap aspek. Sebab itu, kejatuhan sesebuah tamadun termasuk
Tamadun Islam yang pernah muncul pada suatu ketika dahulu adalah disebabkan umatnya
yang bersifat pasif, tidak beradab, tidak berilmu, dayus, tidak amanah dan tidak
bertanggungjawab. Oleh itu, kesedaran dan keinginan untuk menjadi bangsa yang maju
perlulah digilap kembali agar kemilaunya dapat menyinar dan dinikmati oleh seluruh bangsa
di dunia. Renunglah firman Allah SWT yang bermaksud:
“Dan apakah yang menghalang kamu (untuk) tidak menyertai perjuangan pada jalan Allah
(untuk menegakkan agamanya) dan (untukl menyelamatkan) orang-orang yang tertindas dari
kaum lelaki, wanita dan kanak-kanak iaitu mereka yang selalu (berdoa dengan) berkata:
“Wahai Tuhan kami keluarkanlah kami dari negeri ini (Mekah) yang penduduknya (kaum
musyrikin) melakukan kezaliman (terhadap kami) dan jadikanlah kami daripada pihak-Mu
seorang pemimpin yang mampu membela kami (daripada ancaman musuh).
(al-Nisa’ 75)
Wassalam
Recommended