Pengenalan Konsep Tamadun Islam

Embed Size (px)

DESCRIPTION

gv bvkhb l

Citation preview

Pengenalan

Ketamadunan dan peradaban adalah ciri khas manusia yang tidak terdapat pada makhluk-makluk lain. Ibn Khaldun dalam kitabnya al-Muqaddimah menyatakan, manusia secara tabiinya makhluk yang bertamadun atau makhluk sosial yang saling berinteraksi sesama sendiri dalam pelbagai aspek untuk memenuhi keperluan hidup.Menurut al-Sirhindi hidup bertamadun adalah fitrah dan sifat semulajadi manusia. Tamadun boleh dianggap sebagai sunnah insaniyah yang menjelma daripada sifat kreativiti dan inovasi manusia itu sendiri. Selagi manusia meneruskan kelangsungannya untuk hidup dengan selesa, maju bagi mencukupi segala keperluannya maka selagi itulah proses ketamadunan berjalan. Tamadun Islam merupakan segala yang dihasilkan oleh pemikiran orang Islam dengan panduan ajaran Islam (al-Quran dan al-Sunnah) baik dari kalangan bangsa Arab, Parsi, Sepanyol, Turki, India, Cina, Melayu atau lain-lain bangsa dalam pelbagai bidang.

Terminologi Tamadun

Tamadun merupakan istilah yang digunakan dalam masyarakat Melayu untuk menceritakan tentang kebudayaan, kemajuan, pembangunan, peradaban dan kemakmuran yang dicapai oleh sesuatu bangsa.Para pengkaji telah membahagikan pengertian tamadun kepada 2 bahagian: Pengertian yang objektif suatu himpunan fenomena kemajuan dalam bidang kesusasteraan, teknik, keilmuan dan undang-undang yang dipindahkan dari satu generasi di dalam suatu masyarakat. Pengertian yang subjektif tamadun yang digambarkan sebagai satu peringkat perkembangan kehidupan yang tinggi yang berlawanan dengan kehidupan liar atau ganas.Untuk memudahkan perbincangan dan kefahaman, definisi tamadun akan dilihat dari aspek bahasa Malaysia, bahasa Inggeris dan bahasa Arab.

Bahasa Malaysia

Dalam Kamus Dewan, perkataan tamadun didefinisikan sebagai keadaan manusia yang dicirikan oleh taraf yang tinggi; negara dan penduduknya yang mencapai taraf pemikiran tinggi, budaya atau cara hidup orang-orang tertentu dan keadaan pemikiran yang halus. Manakala perkataan peradaban didefinisikan sebagai keadaan serta tingkat kemajuan pada kehidupan jasmani dan rohani sesuatu bangsa atau masyarakat.Menurut Abu Bakar Hamzah dalam bukunya Sejarah Kebudayaan Islam tamadun berasal daripada kata Arab yang telah diterima sebagai sebahagian daripada perbendaharaan kata bahasa Malaysia. Tamadun itu lahir serentak dan seiring dengan perkembangan kehidupan manusia dari semasa ke semasa dalam bentuk pemikiran dan kebendaan.Selain istilah tamadun, istilah peradaban turut digunakan oleh beberapa sarjana tempatan. Peradaban diertikan sebagai pencapaian manusia dalam kedua-dua bidang, iaitu kerohanian dan kebendaan.

Bahasa Inggeris

Dalam bahasa Inggeris, tamadun diistilahkan sebagai civilization. A.S Hornby dan E.C Parnwell dalam The Progressive English Dictionary, civilization diertikan sebagai meningkatnya pencapaian hidup manusia daripada kemunduran kepada kemajuan dalam bidang ilmu, sains, teknologi, politik, moral dan sebagainya.Kamus Dwibahasa, civilization didefinisikan sebagai kamajuan dalam tingkat penghidupan manusia yang meliputi aspek pemikiran dan kebendaan, contohnya ialah tamadun di Lembah Indus, India dan sebagainya.S. Khuda Bukhsh dalam bukunya Contributions to The History of Islamic Civilization menyatakan civilization berasal daripada bahasa Greek iaitu civic / civitas yang bererti kehidupan kota atau bandar. Justeru civilization membawa erti pencapaian manusia dalam pelbagai bidang kehidupan yang hidup dikota.Arnold Toynbee dalam bukunya A Study of History menjelaskan bahawa tamadun ialah satu kumpulan pemikiran dari berbagai-bagai manifestasi, orientasi yang berterusan, satu gaya kebudayaan yang bertanggungjawab membentuk institusi politik, kesusasteraan, agama dan moral.Sebelum istilah civilization digunakan menjelang abad ke-19, istilah renaissance (kebangkitan) dan culture (kebudayaan) telah digunakan bagi menerangkan tamadun. Tetapi kata civilization lebih tepat dan sempurna.

Bahasa Arab

Perkataan tamadun dari sudut etimologi berasal daripada perkataan Arab iaitu maddana bererti membuka bandar atau kota serta perbuatan memperhalus budi pekerti.Daripada perkataan maddana lahir perkataan madani bermaksud sifat sesuatu yang berkaitan dengan pembangunan perbandaran serta kehalusan budi pekerti yang terpuji.Asal perkataan maddana dan madani adalah din yang bermaksud agama menggambarkan kehidupan beragama.Dalam Qamus al-Marbawi menjelaskan kata tamadun berasal daripada kata madana yang bermaksud kehalusan budi pekerti dan akhlak mulia seperti orang kota. Justeru tamadun bermaksud kehalusan adat atau kemurnian pencapaian manusia yang hidup di kota yang memiliki peraturan yang baik sehingga berjaya menghasilkan keamanan, keselamatan, kemakmuran, dan penghasilan teknologi yang membantu menyempurnakan kehidupan kota yang bahagia.Dr. Lutpi Ibrahim menjelaskan kata tamadun berasal daripada kata tamaddana, tamaddunan dan madaniah yang bermaksud kehidupan kota yang menghasilkan pencapaian yang tinggi di dalam pelbagai aspek sama ada kerohanian atau kebendaan.Sebelum munculnya istilah tamadun, Ibnu Khaldun misalnya dalam kitabnya al-Muqaddimah telah menggunakan istilah umran dalam abad ke-14 yang membawa erti sekumpulan manusia yang mendiami sebidang tanah yang mempunyai perbekalan ekonomi yang mencukupi, keselamatan nyawa dan harta yang terjamin dan sebagainya; yang membolehkan mereka mencapai kemajuan di dalam pelbagai bidang.Selain itu, Ibnu Khaldun juga menggunakan istilah hadharah yang bermaksud sekumpulan manusia yang tinggal tetap di sesuatu tempat atau kota dan tanah pertanian.Abu Nasir al-Farabi telah meperkenalkan istilah al-Madaniah dalam abad ke-11M. Kata ini berasal dari kata madinah bererti kota. Madaniah ialah kehidupan yang berasaskan akidah, syarak dan akhlak.Istilah al-Madaniah turut dipopularkan oleh Muhammad Farid Wajdi (kitabnya: al-Madaniah wa al-Islam) dalam abad ke-20 dan Syeikh Muhammad Abduh (risalahnya: al-Islam wa al-nas wa al-Ilm wa al-Madaniah dan Tafsir al-Mannar). Istilah tamadun buat pertama kaluinya diperkenalkan dalam abad ke-19 yang kemudiannya menggantikan semua istilah-istilah yang digunakan sebelum ini. Jurji Zaidan adalah antara sarjana Islam yang paling berminat dan banyak sekali menggunakan istilah ini seperti yang terdapat dalam bukunya Tarikh al-Tamaddun al-Islami. Jika disebut tamadun Islam maka ia boleh diertikan sebagai pencapaian manusia dalam bidang kerohanian dan kebendaan yang berpusat di kota dalam bentuk skrip, seni bina, ilmu pengetahuan, sains, teknologi, kepercayaan, undang-undang, politik dan sebagainya yang berasaskan akidah, syariah dan akhlak dan bersumberkan al-Quran dan al-Sunnah.

Ciri-ciri Khusus Tamadun Islam

Dalam tamadun Islam terdapat beberapa ciri keistimewaan yang mungkin mempunyai persamaan dengan tamadun lain, namun yang paling istimewa tamadun Islam yang tiada pada tamadun lain ialah bersifat rabbani (ketuhanan). Ciri-ciri khusus tamadun Islam adalah seperti berikut:

Rabbani (bersumberkan ajaran Allah s.w.t)

Iaitu meletakkan petunjuk Allah s.w.t sebagai sumber utama dan menjadikan Rasulullah s.a.w sebagai model dalam membina tamadun.Tamadun Islam menjadikan sumber naqli (al-Quran dan al-Sunnah) sebagai sumber asas atau utama di samping tidak menafikan sumber aqli (akal).Berbanding dengan tamadun Barat yang meletakkan akal sebagai sumber yang penting dalam konteks pembinaan tamadun manusia sehingga menyangkal perkara yang dinyatakan dalam sumber naqli.Justeru, masyarakat Barat menolak agama dalam kehidupan mereka terutama yang berkaitan dengan pembangunan dan kemajuan kerana bagi mereka agama dianggap menyekat kemajuan dan kemodenan.Tamadun Islam yang bersifat rabbani memberi makna dan matlamat yang jelas bahawa tamadun yang dibina oleh umat Islam tidak lain dan tidak bukan adalah untuk menuju keredhaan Allah s.w.t untuk kebahagiaan di dunia dan di akhirat, bukan mencapai kesenangan dan keuntungan di dunia semata-mata atas nama kemajuan dan kemodenan.

Syumul (Menyeluruh / lengkap)

Ajaran Islam adalah merangkumi seluruh aspek kehidupan manusia di mana pelaksnaan ajaran Islam bukan hanya pada persoalan ibadah khusus sahaja tetapi juga melibatkan setiap kegiatan dan aktiviti manusia termasuklah dalam hal yang berkaitan dengan pembagunan dan kemajuan sama ada dalam bidang politik, ekonomi, pendidikan, perniagaan dan sebagainya.Ajaran Islam menyeru manusia supaya berlaku adil kepada semua insan mengira agama dan bangsa.Islam juga meliputi semua tempat dan masa serta sesuai kepada semua manusia tanpa batasan.Kesemuanya ini memperlihatkan kesyumulan Islam.Tamadun Islam tidak menolak sumbangan daripada tamadun-tamadun asing selagi ianya tidak bercanggah dengan ajaran Islam dan memesongkan matlamat tamadun Islam seperti dalam bidang sains dan teknologi.

Universal (Sejagat)

Walaupun Islam diturunkan kepada Nabi Muhammad s.a.w yang berbangsa Arab, namun agama bukan khusus untuk bangsa Arab sahaja tetapi milik semua umat manusia kerana Islam bukan bersifat kesukuan atau nasionalisme tetapi bersifat calami (universal).Oleh sebab itu, berdasarkan sejarah mendapati tamadun Islam tidak hanya dibangunkan oleh bangsa tertentu dan bukan milik bangsa tertentu sahaja tetapi kepunyaan pelbagai bangsa yang menjadikan ajaran Islam asas pembinaan tamadun seperti bangsa Arab, Parsi, Sepanyol, Turki, Cina dan Melayu. Ini menjelaskan bahwa kesejagatan tamadun Islam bermakna ia tidak terikat kepada bangsa tertentu, sebaliknya seluruh umat manusia yang berpegang kepada al-Din.Tamadun Islam yang wujud diseluruh dunia sama ada di Asia atau di Eropah tetap masih sama seperti yang diamalkan di semenanjung Tanah Arab. Bahkan sikap Islam lebih dari itu iaitu saling berkongsi ilmu pengetahuan untuk membangunkan tamadun masing-masing.Begitu juga, tidak pernah timbul pertembungan peradaban Islam seperti tamadun Islam Abbasiyyah di Baghdad dan Uthmaniyyah di Turki membawa kepada ketegangan agama atau budaya.

Ideal dan Realistik

Islam meletakkan manusia di tingkat kesempurnaan dengan mengawasi seluruh kegiatan manusia supaya tidak bercanggah dengan ajaran Allah.Realistik memberi makna bahawa alam adalah satu hakikat yang wujud di dunia nyata yang menunjukkan kewujudan Allah s.w.t. Dan Islam adalah suatu yang ideal untuk manusia kerana ianya menepati fitrah manusia dan merangkumi setiap aspek kehidupan manusia.Umpamanya, Islam menggalakkan manusia berkeluarga, maka Islam telah memberi peraturan yang cukup harmoni untuk dipatuhi. Ianya amat realistik dari segi mengambil kira realiti alam yang menunjukkan hakikat kewujudan Allah s.w.t. Maka tidak timbul isu kemaksiatan atau pelanggaran peraturan Allah. Ini kerana setiap perlakuan hamba akan dipersoalkan diakhirat nanti.

Tetap dan Anjal

Ini bermakna Islam merupakan agama yang tetap dan tidak berubah dari segi tujuan dan matlamat pembinaan tamadun manusia, tetapi anjal dari sudut cara dan kaedah pelaksanannya. Islam memberi kebebasan kepada manusia membangun dan memajukan tamadun namun jangan sampai matlamat asal pembinaan tamadun iaitu ke arah keredhaan Allah s.w.t terarah kepada kebendaan semata-mata.Oleh itu, dalam mengembeling penerokaan ilmu, keseimbangan dan kesepaduan ilmu hendaklah diberi perhatian iaitu tidak memisahkan ilmu sains dan teknologi dengan agama.

Sepadu dan Seimbang (al-Tawazun)

Ajaran Islam dan sistemnya ditegakkan atas dasar sepadu dan seimbang. Sepadu bermaksud setiap satu bahagian dengan bahagian yang lain dalam ajaran Islam saling berkaitan. Manakala seimbang bermaksud seimbang antara tuntutan kebendaan dan kerohanian, dunia dan akhirat.Dunia adalah keperluan manusia, manakala akhirat adalah hala tuju atau matlamat kehidupan manusia.Justeru, Islam menyeru manusia agar tidak mengabaikan tuntutan akhirat dalam usaha manusia membina kemajuan tamadun di dunia.Ajaran Islam hendaklah diamalkan secara keseluruhannya dan bukan sebahagian tertentu sahaja. Apabila manusia hanya mengambil bahagian tertentu ajaran Islam dan meninggalkan sebahagian lain daripada perintah Allah maka cacatlah tamadun Islam seperti membangunkan teknologi moden bagi membuktikan kehebatan kepada masyarakat dunia dengan berbelanja besar sehingga membawa banyak pembaziran dan mudarat.

Asas Tamadun Islam

Akidah

Akidah merupakan konsep kepercayaan yang akan membentuk iman kepada Allah s.w.t, para rasul, malaikat, kitab-kitab, hari akhirat dan qada dan qadar.Keyakinan kepada konsep tauhid memberi kesan dalam kehidupan manusia.Nabi Muhammad s.a.w telah berjaya membentuk sebuah kerajaan Islam yang mantap berasaskan akidah di Madinah dari aspek politik, pentadbiran dan ekonomi.Akidah yang mantap dapat membentuk sistem nilai yang menjadi asas ketamdunan itu sendiri. Selain itu, ianya juga dapat memandu manusia ke arah matlamat yang jelas iaitu mencari keredhaan Allah s.w.t.Menurut Ismail al-Faruqi, tauhidlah yang memberikan acuan, jatidiri, dan ciri tersendiri kepada tamadun Islam. Ia menyatukan seluruh kompenan, lalu menjadikannya suatu kesatuan organik yang bersepadu, harmonis dan saling memperkuat. Itulah yang dinamakan tamadun.

Syariah

Syariah merupakan himpunan peraturan dan sistem perundangan yang mencakupi pelbagai lapangan hidup yang merangkumi ibadah dan muamalah.Ibadah ialah peraturan yang menyusun hubungan manusia dengan Allah yang mesti ditaati.Muamalat ialah peraturan yang menyangkut hubungan sesama manusia dari segi hak dan tanggungjawab manusia dalam aspek ekonomi, munakahat, politik, jenayah dan sebagainya.Setiap pencapaian manusia dalam pelbagai bidang sama ada sains dan teknologi mahu pun keagamaan hendaklah dibangunkan atas platform syariah bersumberkan al-Quran dan al-sunnah, manakala aplikasinya mestilah tidak bercanggah dengan matlamat utama syariah iaitu untuk menjaga agama, nyawa, keturunan atau kehormatan, akal dan harta.

Akhlak

Menurut ajaran Islam, akhlak mulia merupakan unsur penting yang perlu ada pada setiap muslim. Malah tujuan Nabi Muhammad s.a.w diutuskan oleh Allah adalah untuk menyempurnakan akhlak yang mulia.Masyarakat dan bangsa yang memiliki akhlak mulia adalah penggerak ke arah pembinaan tamadun dan kejayaan yang diredhai oleh Allah s.w.t sebagaimana yang telah dibuktikan oleh baginda Rasulullah s.a.w.Sejarah telah merakamkan bahawa kehebatan suatu tamadun akan tersungkur akhirnya apabila pemimpin dan masyarakat itu mengabaikan nilai-nilai murni atau akhlak mulia dalam pemerintahan dan kehidupan seperti yang pernah berlaku kepada tamadun-tamadun silam termasuklah beberapa buah kerajaan Islam yang pernah menjulang kehebatan tamadun Islam.

Ilmu

Islam menggalakkan umatnya supaya mempelajari dan menuntut ilmu pengetahuan dalam pelbagai lapangan dan bidang kerana ilmu memainkan peranan yang cukup penting dalam menentukan nilai sesuatu tamadun.Jatuh bangun sesebuah tamadun bergantung kuat pada dahan kebijaksanaan pengasas dan pengikutnya dalam menentukan hala tuju seni bina tamadun tersebut. Nabi pernah bersabda;Menuntut ilmu itu menjadi kewajipan kepada setiap orang Islam(Hadith riwayat Muslim).Islam telah menggariskan ilmu sebagai neraca timbang dan batu ukur bagi menentukan jalan yang harus dipilih untuk menuju kebahagian di dunia dan di akhirat. Kecemerlangan ilmu juga memainkan peranan yang amat penting dalam menentukan nilai-nilai keperibadian seseorang individu yang mana akhirnya mengangkat taraf kehidupan masyarakat dan menjulang nama sesuatu bangsa,negara dan umat Islam secara umumnya.Keagungan ilmu mengikut pandangan Islam dalam terokaan sejarah kebangkitan tamadun Islam semenjak zaman baginda saw dipandu oleh al-Quran dan al-Sunah baginda Nabi saw bagi mencapai suatu tahap keilmuan cemerlang bagi meneruskan kesinambungan dan tuntutan agama sepertimana yang disarankan supaya mempunyai sifat ikhlas, terbuka dalam menimba ilmu, dan bersedia berkongsi ilmu dalam memberi pandangan serta bersedia berlapang dada menerima pandangan orang lain.Empayar Islam di Andalusia yang diterokai oleh Khalifah Abdul Rahman ad Dakhili pada tahun 755M adalah sebaik-baik contoh kebangkitan tamadun Islam dan ketinggian pusat kajian ilmu-ilmu Islam dalam pelbagai bidang.Pada zaman ini menjadi bukti hasil kebangkitan tamadun Islam yang gemilang itu, apabila telah berjaya melahirkan ramai sainstis dan pakar-pakar dalam penyelidikan, serta penemuan-penemuan di dalam pelbagai bidang bertaraf kelas pertama lagi berprestij seperti perubatan, botani, geografi, fizik, kimia, pembedahan, ahli matematik dan sebagainya.

Ciri-ciri Tamadun

Penempatan Kekal

Penempatan kekal menjadi sebab kepada munculnya sesebuah bandar atau kota. Masyarakat tidak lagi menjalankan aktiviti nomad sebaliknya mereka menetap di kawasan-kawasan yang boleh membekalkan hasil makanan kepada mereka seperti kawasan lembah sungai. Biasanya kawasan lembah mempunyai tanah yang subur untuk pertanian dan menjadi sumber keperluan manusia. Ianya akan menjadi daya tarikan untuk tinggal menetap sekaligus wujud peluang-peluang pekerjaan. Seterusnya berlakulah revolusi pertanian, perikanan dan penternakan. Sebagai contoh, tamadun Mesir di lembah sungai Nil.

Peningkatan Kualiti Hidup

Berlakunya revolusi pertanian berkait rapat dengan kepadatan penduduk dan perkembangan pengetahuan mengenai pertanian. Ianya membentuk peluang-peluang pekerjaan bagi menambahkan produktiviti hasil pertanian sama ada untuk menjadi bahan makanan tempatan atau tujuan perdagangan.Dalam era kini, peluang pekerjaan tidak lagi bergantung kepada revolusi pertanian tetapi melalui pelbagai industri yang dihasilkan melalui inovasi sains dan teknologi.

Wujud Organisasi dan Institusi Sosial (Strafikasi Sosial)

Wujudnya sistem pengkelasan dalam masyarakat berdasarkan kelas dan status. Sistem pengkelasan masyarakat awal mempunyai kaitan rapat dengan pemilikan kekayaan. Kekayaan yang dimiliki adalah tanah. Golongan yang memiliki tanah pertanian mempunyai kedudukan tinggi dalam masyarakat sementara golongan yang tidak mempunyai tanah menjadi golongan pekerja atau buruh atau hamba.Golongan buruh atau pekerja ini merupakan kelompok majoriti berfungsi sebagai penggerak tamadun dari aspek pembangunan fizikal atau kebendaan.

Kehidupan Beragama

Kepercayaan kepada wujudnya kuasa ghaib menjadi pemangkin kepada kawalan kehidupan manusia.Agama dan kepercayaan ini bukan sahaja memberi kesan kepada wujudnya manusia yang bersopan santun tetapi juga dimanifestasikan melalui pembinaan bangunan-bangunan keagamaan yang kemudian menjadi pusat kepada urbanisasi dalam tamadun tersebut. Namun wujud juga tamadun yang tidak mempunyai ciri ini seperti tamadun Greek.

Wujudnya Bandar (Urbanisasi)

Kemunculan bandar merujuk kepada suatu tapak atau tempat dan pusat komuniti dalam sesebuah kawasan. Fungsi sesebuah bandar bergantung kepada elemen yang penting dalam masyarakat tersebut. Jika sesebuah masyarakat itu mementingkan prinsip keagamaan, maka pusat bandar lazimnya pusat upacara keagamaan. Jika politik dan kuasa menjadi prinsip penting dalam masyarakat, maka istana dan citadel menjadi pusat fungsional. Jika masyarakat mengutamakan perniagaan dan perdagangan, maka pasar dan bazaar menjadi pusat bandar.

Pengkhususan Kerja dan Inovasi Teknologi

Kemunculan tenaga-tenaga mahir dalam pelbagai bidang berperanan menentukan kemajuan sesebuah masyarakat dan negara. Melalui tenaga-tenaga mahir inilah akan membentuk pengkhususan kerja dan inovasi teknologi.Contohnya, wujudnya pelbagai aktiviti perekonomian seperti pertukangan, senibina, peleburan logam dan sebagainya yang bersesuaian dengan permintaan komuniti. Justeru, lahirlah peluang-peluang pekerjaan dalam pelbagai bidang.

Penggunaan Sistem Tulisan dan Sistem teknologi Maklumat

Kemunculan tulisan menjadi petunjuk kepada dinamisme masyarakat sesebuah tamadun kerana melalui sistem tulisan, komunikasi dalam masyarakat menjadi lebih luas dan efektif. Penggunaan angka yang terbit daripada sistem tulisan memudahkan lagi pengiraan.Penggunaan teknologi maklumat masa kini dalam penyebaran maklumat dan komunikasi menunjukkan tamadun manusia semakin maju dan pesat.

Sumber Tamadun Islam Sumber Asas

Al-Quran merupakan sumber asas tamadun Islam dan diikuti oleh As-Sunnah sebagai sumber asas yang kedua. Al-Quran mengandungi prinsip-prinsip asas kemudian diperjelaskan dan diperincikan oleh As-Sunnah. Kedua-dua ini merupakan sumber inspirasi umat Islam untuk membentuk, membangun dan mengembangkan tamadun Islam.

Al-Quran

Al-Quran bermaksud kalam Allah (perkataan Allah) yang diwahyukan kepada Nabi Muhammad s.a.w secara mutawatir selama 23 tahun untuk disampaikan kepada seluruh manusia. Ia merupakan mukjizat kepada baginda yang berkekalan sepanjang hayat.

Al-Quran sebagai kitab yang tidak mengandungi keraguan yang menjadi pedoman dan petunjuk bukan sahaja kepada orang Islam tetapi kepada seluruh manusia dan membacanya adalah satu ibadah.

H.Zainuddin dan Fachruddin menyatakan kitab suci Al-Quran berisi ilmu, hikmah dan petunjuk berkenaan dengan kepercayaan, peribadatan, kemasyarakatan, pemerintahan, hukum, cerita kehidupan manusia yang mendapat pendidikan dan bimbingan daripada Al-Quran atau wahyu akan mendapat satu kekuatan yang luar biasa dan akan dapat menghasilkan kemajuan atau tamadun Islam yang gemilang.

As-Sunnah

As-Sunnah juga dinamakan Al-Hadith. Dari segi bahasa bererti perjalanan samada perjalanan baik atau buruk. Dari segi istilah, As-Sunnah bererti sesuatu yang disandarkan kepada Nabi Muhammad s.a.w sama ada dari segi perkataan, perbuatan atau pengakuan (persetujuan), sifat-sifat kejadian, akhlak dan sirahnya sebelum dan sesudah baginda dilantik menjadi rasul.Contoh sabda Rasullullah s.a.w yang bermaksud:

a) Bersolatlah kamu sebagaimana kamu lihat aku solat.b) Tidak dipotong tangan seseorang pencuri itu melainkan apabila dia mencuri lebih dari seperempat dinar dan tangan yang dipotong hingga pergelangannya." c) Tidaklah aku diutuskan melainkan untuk menyempurnakan akhlak yang mulia.

Sumber Tambahan

Akal pemikiran manusia

Akal adalah khazanah potensi manusia yang cukup besar yang hanya dianugerahkan oleh Allah kepada manusia dan tidak kepada makhluk lain. Manusia boleh membangun dan bergerak maju dengan menggunakan akal untuk melahirkan sesuatu tamadun. Umat Islam dikehendaki menggunakan

Akal fikiran mereka dengan panduan dan petunjuk daripada Al-Quran dan AS-Sunnah. Dalam hal ini, pemikiran manusia hendaklah berteraskan ilmu yang didasari ketauhidan kepada Allah s.w.t untuk menghindarkan daripada penyalahgunaan hasil ciptaan yang boleh menghancurkan peradaban manusia. Antara contoh kemajuan tamadun melalui perkembangan intelek ialah pembuatan alat penyaman udara. Ia bermula dengan bentuk kipas ringkas yang menggunakan daun, kulit kayu, kertas dan kain dan kemudian dicipta kipas yang menggunakan kuasa asli seperti angin dan air. Kemudian barulah menggunakan kuasa elektrik dengan bentuk dan teknik yang lebih canggih dan berkualiti.

Pengalaman

Pengalaman adalah guru yang terbaik. Segala pengalaman yang baik dan mendatangkan kebaikan kepada manusia boleh diaplikasikan dalam kehidupan seharian. Pengalaman baik akan menjadi adat dan norma sesuatu masyarakat dan bangsa.

Tamadun-tamadun lain

Kemajuan Islam tidak terhad kepada kemajuan yang dicipta oleh orang Islam sahaja. Islam membenarkan sebarang asas pencapaian tamadun lain untuk membantu mengukuhkan lagi tamadun Islam dengan syarat tidak bercanggah atau bertentangan dari aspek aqidah, akhlak dan syariah Islam.

Kubah masjid dipercayai berasal dari senibina Graeco-Roman dan demikian juga dengan sistem diwan (jabatan) yang telah diperkenalkan oleh Saidina Umar Al-Khattab di dalam pentadbirannya sebenarnya berasal dari sistem pentadbiran Parsi. Cendekiawan-cendekiawan Islam pada peringkat awal telah berusaha menterjemah buku-buku tamadun lain (Iskandariah, Greek, Yunani, Parsi dan India) dalam bidang-bidang seperti perubatan, astronomi dan matematik untuk dikaji dan dimajukan lagi. Hasil kajian terhadap tamadun itu telah membuka minda mereka mencipta teori-teori, prinsip-prinsip, alat-alat, teknik-teknik dan karya-karya yang tenyata lebih baik daripada tamadun-tamadun lampau tersebut.Faktor-faktor kejayaan tamadun Islam

Tamadun Islam mencapai kejayaan yang cemerlang dalam pelbagai bidang kerana banyak faktor pendorong yang terdapat dalam ajaran Islam dan sumber-sumber asasnya. Antara faktor-faktor tersebut adalah seperti berikut:

Dorongan daripada semangat Iqra (membaca)

Wahyu pertama daripada Allah s.w.t. kepada Nabi Muhammad s.w.t. adalah titik tolak kepada kelahiran tamadun Islam. Tamadun Islam tidak bertitiktolak dari kawasan yang berdekatan dengan sungai sebagai asas kehidupan material seperti tamadun-tamadun lain. Sebaliknya, pencetus kemunculan tamadun Islam adalah atas kewajiban agama dalam menuntut ilmu.Firman Allah s.w.t. yang bermaksud:Bacalah, dengan nama Tuhanmu yang menciptakan. Yang mencipta manusia daripada segumpal darah yang beku. Bacalah, dengan nama Tuhan yang memiliki segala Kekuasaan. Yang mengajar (manusia) menggunakan kalam (pena). Yang mengajar manusia apa yang tidak diketahuinya.(Surah al-Iqra: 1-5)

Menurut Hairudin Harun (1992) dalam bukunya,Daripada Sains Yunani Kepada Sains Islam, kesemua aktiviti ilmiah yang berlaku sepanjang zaman kegemilangan tamadun intelektual Islam adalah cetusan dan dorongan yang bersumberkan perintah al-Iqra dalam al-Quran. Surah al-Iqra menjadi pendorong dan membakar semangat umat Islam dalam mencari ilmu. Di sinilah kemungkinan terletaknya rahsia sumbangan umat Islam kepada perkembangan ilmu amnya dan perkembangan sains, khasnya. Surah al-Iqra itu adalah pencetus dan dorongan yang jitu kepada kepentingan menuntut ilmu. Dorongan dan semangatIqratelah menyedarkan umat Islam kepada peri pentingnya ilmu. Mereka amat menghargai khazanah pengetahuan yang ada pada tamadun semasa dan juga tamadun lampau.

Ilmu berasaskan tauhid

Ilmu Tauhid adalah ilmu yang membahaskan tentang Allah s.w.t., sifat-sifat yang wajib pada-Nya, sifat-sifat yang boleh disifatkan kepada-Nya, dan sifat-sifat yang sama sekali harus ditiadakan daripada-Nya. Ilmu tauhid iaitu ilmu yang menegaskan hakikat keesaan Allah s.w.t. Tauhid berasal daripada bahasa Arabtawhidyang bererti mengesakan dan meyakini bahawa Allah s.w.t. itu Esa dan tidak ada sekutu bagi-Nya. Ilmu tauhid bertujuan memantapkan keyakinan dan kepercayaan agama melalui akal fikiran dan kemantapan hati yang dilandaskan wahyu. Ilmu tauhid juga bermatlamat untuk menjaga kepercayaan dan mengukuhkan keimanan supaya tidak wujud sebarang keraguan dalam jiwa manusia. Contohnya, anda wajib mempercayai Rukun Iman dalam Islam. Islam menolak keimanan yang diasaskan atas ikutan semata-mata tanpa ilmu dan kefahaman yang menyokong keimanan tersebut. Di sinilah anda dapat lihat hubung kait antara tauhid dan keperluan ilmu. Keimanan yang sebenarnya tidak mungkin wujud tanpa asas ilmu dan begitu juga ilmu tidak mungkin memberi manfaat tanpa dipandu oleh wahyu. Kesepaduan ilmu dan tauhid inilah yang melonjakkan tamadun Islam dan menjadikannya tamadun yang banyak memberi sumbangan kepada manusia. Malah, tradisi pemikiran Islam berkembang pesat atas prinsip pembuktian dan dalil-dalil ilmiah yang membenarkan keenam-enam Rukun Iman dengan melibatkan pelbagai disiplin ilmu seperti kosmologi, psikologi dan metafizik. Ahli sains Islam tidak pernah menghadapi sebarang masalah untuk menerima kebenaran ilmu tauhid dan pada masa yang sama menjalankan penyelidikan ilmiah dalam bidang seperti fizik, biologi dan astronomi.Panduan al-Quran dan al-Sunnah Kejayaan sesebuah tamadun ditentukan oleh kualiti manusia yang menjadi anggota masyarakat dan umat tersebut. Dalam konteks ini, al-Quran dan al-Sunnah banyak memberi dorongan ke arah melahirkan insan yang bertamadun. Kedua-dua sumber tersebut sentiasa menyeru umat Islam untuk mencapai kecemerlangan hidup di dunia dan di akhirat dengan menimba ilmu, berusaha gigih dan menghayati nilai-nilai positif.Firman Allah s.w.t. yang bermaksud:Dan pergunakanlah kesempatan dalam kurniaan yang dianugerahkan Allah kepadamu itu untuk keselamatan di akhirat, namun janganlah kamu abaikan bahagian kamu dari kehidupan dunia. Berbuat baiklah sebagaimana Allah telah berbuat kebaikan kepadamu. Lagi pula, janganlah kamu berbuat kerosakan di bumi kerana Allah tidak menyenangi orang yang suka berbuat kerosakan.(Surah al-Qashash: 77)

Begitu juga sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud:Sesiapa yang keluar untuk menuntut ilmu maka dia berjuang fisabilillah sehingga dia kembali.(HR. al-Termizie)

Pendek kata al-Quran dan al-Sunnah adalah pencetus dan pendorong yang sangat berkesan dalam membina tamadun Islam yang unggul. Hakikat ini terbukti dalam sejarah tamadun manusia khususnya pada abad ke-6 kerana seluruh tamadun manusia telah rosak dari segi nilai kemanusiaan. Namun, apabila turun al-Quran, maka tamadun manusia mendapat satu inspirasi yang baru dengan kemunculan tamadun Islam yang bersumberkan al-Quran dan al-Sunnah.Keterbukaan dan kreativiti tamadun Islam

Waqar al-Husaini (1985) seorang sarjana menegaskan bahawa sikap terbuka umat Islam terserlah dalam memanfaatkan sumber-sumber tamadun daripada orang Yunani, Romawi, Iskandariah, Syria, Parsi, India dan China. Umat Islam tidak meniru unsur luar tanpa saringan dan tapisan yang wajar. Namun ia tidak bermaksud menghalang umat Islam daripada mengkaji dan meneliti hasil tamadun luar terutama hal-hal yang baru. Malah, Muhammad Asad (1983) menjelaskan bahawa umat Islam selalu menerima pengaruh-pengaruh baru daripada peradaban asing tanpa menghancurkan peradabannya sendiri. Harun Nasution (1985), seorang ilmuwan dari Indonesia membuktikan bahawa sumber tamadun Islam, iaitu al-Quran telah menggesa penggunaan pemikiran yang kreatif dan inovatif. Banyak ayat al-Quran menyentuh penggunaan akal fikiran yang sihat seperti merenung (dabbara), mengerti (faqiha) melihat secara abstrak (nazara), berfikir (tafakkardanaqala). Malah menurut Hasan Langgulung (1986) pula:

Alat utama untuk mengkaji alam semesta menurut al-Quran ialah pancaindera dan akal.

Firman Allah s.w.t. yang bermaksud:Allah yang mengeluarkan kamu dari perut ibumu tanpa mengetahui sesuatu. Dia juga menjadikan bagimu pendengaran, penglihatan dan hati.(Surah al-Nahl: 16 78)

Kita juga belajar melalui pemerhatian dan percubaan yang didukung oleh kuasa (faculty) pemikiran seperti firman Allah s.w.t. yang bermaksud:Katalah: Berjalanlah di bumi dan lihatlah bagaimana Dia mencipta makhluk pertama.(Surah al-Ankabut: 29 30)

Untuk menganggapi tanda-tanda Allah dalam alam ini, seseorang itu harus mempunyai akal (intellect) dan pemikiran (reflection) seperti firman Allah s.w.t. yang bermaksud:Sesungguhnya pada penciptaan langit dan bumi dan perbezaan malam dan siang merupakan tanda-tanda bagi orang berakal. Orang mengingati Allah sambil berdiri, duduk atau sedang baring dan memikirkan penciptaan langit dan bumi.(Surah al-Imran: 190 191)

MATLAMAT TAMADUN ISLAM SECARA UMUM

Secara umumnya matlamat utama tamadun Islam ialah untuk mengangkat Islam sebagai al-Deen iaitu satu cara hidup yang lengkap kepada manusia. Ia juga akan memaparkan keadilan sistem pemerintahan islam yang pernah ditegakkan pada zaman Nabi Muhammad s.a.w, khulafa al-Rashidin dan pada zaman pemerintahan islam yang seterusnya. Keadilan sistem pemerintahan islam pada zaman awal kebangkitan Islam dapat dibuktikan melalui fakta-fakta sejarah yang telah disepakati oleh sejarawan. Ciri-ciri ketamadunan Islam yang telah dipaparkan melalui sistem pemerintahan Islam daripada pelbagai zaman sewajarnya difahami dan dihayati oleh semua generasi umat Islamdan bukan Islam. Ciri-ciri bersifat alat Bantu yang diperlukan dan dilaksanakan akan dapat melahirkan matlamat tamadun Islam dalam aspek-aspek berikut:

HUBUNGAN MANUSIA DENGAN ALLAH S.W.T. (HABLUMMINALLAH)

Manusia dapat mengenal Allah s.w.t melalui rukun iman yang enam dan berhubung dengan-Nya melalui rukun Islam yang lima. Keimanan mempunyai unsur kekuatan yang mencukupi untuk membangun individu dan masyarakat supaya menjadi umat yang berjiwa besar.

Lihatlah masyarakat Arab Jahiliah yang dahulunya buta huruf dan hidup dalam keadaan mundur tiba-tiba muncul sebagai satu bangsa penakluk, pemerintah dan tamadun yang agung setelah mereka beriman.

Pelaksanaan rukun Islam yang lima mempengaruhi diri individu muslim untuk mengiktiraf secara sukarela tentang kewujudan dan keesaan Allah s.w.t itu sendiri. Keupayaan seseorang melaksanakan rukun Islam yang lima membuktikan ketinggian iman dan berjaya membentuk peribadi muslim yang warak dan tawaduk.

Oleh itu, perhubungan dengan Allah s.w.t adalah yang paling unggul, bahagia dan suci murni. Di samping itu, hubungan dengan Allah ada implikasinya tersendiri:

Pengiktirafan terhadap pencipta Pengiktirafan terhadap keagungan pemerintahan-Nya dan kebesaran kekuasaan-Nya Pengiktirafan terhadap nikmat-nikmat Allah Menyedari dan mengharapkan rahmat Allah Penumpuan kepada Allah melalui permohonan dan doa Cinta dan rindukan Allah sebagai matlamat

HUBUNGAN MANUSIA DENGAN MANUSIA (HABLUMMINANNAS)

Manusia dijadikan oleh Allah s.w.t daripada asal keturunan yang satu iaitu daripada Adam a.s. bersama pasangan hidupnya Siti Hawa. Maka daripada kedua-duanya lahir manusia dan terus membiak memenuhi alam sehingga hari ini. Tiap-tiap manusia wajib menganggap manusia yang lain tidak kira bangsa, tempat dan warna kulit adalah mempunyai hak yang sama daripada segi kemanusiaan dan kebebasan. Firman Allah s.w.t dalam al-Quran yang bermaksud:

Wahai manusia, sesungguhnya kami menciptakan kamu dan seorang lelaki dan seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal mengenal. Sesungguhnya orang yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertakwa di antara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal.(Al-Hujarat : 13)

Hubungan dan tatacara pergaulan dengan sesama manusia hendaklah berasaskan persaudaraan seagama, berbeza agama dan kemanusiaan secara amnya. Kesempurnaan masyarakat hanya dapat diwujudkan dengan adanya kerjasama, tolong-menolong dan perpaduan dengan cara penyelarasan undang-undang yang menentukan hak setiap masyarakat tidak dicerobohi. Kepentingan orang ramai hendaklah diutamakan daripada kepentingan diri sendiri.

HUBUNGAN MANUSIA DENGAN ALAM

Allah s.w.t menciptakan seluruh alam ini untuk keperluan manusia. Alam yang penuh dengan hidup-hidupan, tumbuh-tumbuhan, udara yang nyaman, air yang bersih, cahaya yang menyegarkan serta dijadikan siang dan malam silih berganti adalah untuk dimanfaatkan oleh manusia. Hal ini bukanlah bererti manusia bebas menggunakan nikmat ini dengan sesuka hatinya, sebaliknya ia adalah satu amanah untuk ditadbir secara terancang ke arah mengabdikan diri kepada Allah untuk mencari keredhaan-Nya. Di tangan manusia terletaknya kemakmuran alam dan segala penghuninya. Ini ditegaskan oleh Allah s.w.t di dalam al-Quran yang bermaksud:

Dan dialah Allah yang menjadikan segala yang ada di bumi ini untuk kamu semua.(Al-Baqarah : 29)

KESIMPULAN

Dalam menghadapi cabaran alaf baru, umat Islam perlu merancang agenda yang lebih futuristic, iaitu berdasarkan perkembangan dan pembangunan yang bakal berlaku dalam alaf baru itu.

Kritikan yang dilontarkan oleh Imam Al-Ghazali adalah satu tahap kemodenan berfikir secara islam yang melihat kejumudan masyarakat untuk berfikir, secara islam yang dicetuskan oleh islam.

Masyarakat islam mesti berusaha membina keseoaduan dan kekuatan dalaman beradasarkan persamaan agama, tamadun dan budaya.

Ia adalah salah satu cara untuk meminimunkan penjajahan barat dalam segala aspek kehidupan mereka pada hari ini.