Upload
fazhani-faz
View
365
Download
12
Embed Size (px)
Citation preview
KEMAHIRAN BERFIKIR ARAS TINGGI (KBAT) DALAM KALANGAN PELAJAR SEKOLAH
ISU PENGLIBATAN IBU BAPA, KOMUNITI DAN SEKTOR SWASTA DALAM
KBAT
(Sumber: Adaptasi daripada Pelan Pembangunan Pendidikan 2013-2025)
IBU BAPA
Sistem Pembelajaran (Learning Ecosystem) yang terdapat dalam Pelan Pembangunan
Pendidikan 2013-2015 menyatakan bahawa sistem pembelajaran berlaku melangkaui
kawasan sekolah dan boleh berlaku di rumah dan dalam komuniti. Sehubungan
dengan itu, dalam kehidupan sehari-hari, ibu bapa boleh menggalakkan kemahiran
berfikir aras tinggi kepada anak-anak melalui perbualan seharian dan pembacaan
bersama di rumah. Selain daripada dapat memanfaatkan masa terluang secara
optimum, aktiviti tersebut dapat meningkatkan ilmu pengetahuan dan keberhasilan
anak-anak. Disamping pembacaan bersama-sama, ibu bapa boleh menanyakan soalan
terbuka (Open Ended Question) yang tiada jawapan betul atau salah kerana boleh
meransang otak anak-anak untuk berfikir lebih kreatif dan kritis (Simon C.A., 2016).
Soalan terbuka yang dikemukan akan mencetus perbincangan antara ibu bapa dan
anak seterusnya menghasilkan buah fikiran yang jauh diluar kotak pemikiran. Namun
soalan yang diberikan haruslah mencabar minda pelajar kerana daripada soalan
tersebut akan memupuk minda pelajar untuk berfikir lebih kompleks.
Selain itu, ibu bapa boleh meransang minda anak mereka ketika beriadah atau
melawat ke tempat-tempat tertentu dengan menanyakan soalan yang berkaitan. Secara
tidak langsung akan menimbulkan minat anak-anak untuk mengetahui dan memahami
lebih mendalam mengenai sesuatu isu kerana sifat ingin tahu yang ada dalam diri
mereka. Isu persoalan yang timbul akan menguji keupayaan anak-anak untuk berfikir
secara rasional dan kognitif berdasarkan pengetahuan yang dimiliki serta boleh
mewujudkan pengetahuan baharu kepada anak-anak selaras dengan ekonomi
berasaskan pengetahuan (K-Ekonomi). Namun begitu, ibu bapa perlu bersedia dengan
sebarang jawapan yang dikemukakan dan bersedia dengan jawapan sekiranya soalan
dilontarkan dari pihak anak-anak kepada mereka.
Peranan ibu bapa tidak terhad hanya di rumah sahaja dalam membentuk
kemahiran berfikir aras tinggi pelajar bahkan ibu bapa turut disarankan agar turut
terlibat dalam aktiviti dan program yang dilaksanakan oleh pihak sekolah. Ibu bapa
menerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) boleh membantu sekolah
melaksanakan aktiviti yang ditentukan oleh pihak sekolah dengan menyumbang idea
dan kepakaran bagi perancangan aktiviti sekolah. Sebagai ibu bapa, adalah menjadi
tanggungjawab mereka untuk menggalakkan anak-anak mereka menyertai aktiviti dan
program yang dianjurkan sekolah bagi meningkatkan prestasi akademik dan soft-skill
pelajar. Sumbangan ibu bapa dalam menyokong aktiviti sosial sekolah dan akademik
merupakan suatu penghargaan oleh pihak sekolah kerana ibu bapa turut prihatin
dalam perkembangan pembelajaran anak-anak.
Dalam RMK-11 telah menyatakan bahawa ibu bapa memainkan peranan
penting dalam penambahbaikan pembelajaran pelajar. Namun menurut kajian
Kementerian Pelajaran Malaysia tentang penglibatan ibu bapa dalam pendidikan pada
tahun 2013, hanya 54% ibu bapa yang aktif dalam aktiviti sekolah. Jadi, untuk
menguatkan peranan ibu bapa dalam mengasah kemahiran berfikir aras tinggi pelajar,
hebahan kepada ibu bapa tentang peranan mereka perlu diperluaskan dan
diperhebatkan supaya ibu bapa sedar bahawa mereka turut berperanan dalam
menerapkan KBAT dan bukan mengharapkan tindakan daripada pihak sekolah dan
guru semata-mata. Peranan ibu bapa dalam isu KBAT dapat mengukuhkan lagi
interaksi dan komunikasi antara ibu, bapa, pelajar, guru dan pihak sekolah serta
mengeratkan hubungan kekeluargaan dan silaturahim.
KOMUNITI
(Sumber: Mingguan Malaysia, 15 Mac 2015)
Menjelang tahun 2020, negara bermatlamat untuk menjadi sebuah negara maju
dengan acuan sendiri sejajar dengan Wawasan 2020 yang diperkenalkan oleh Tun Dr.
Mahathir. Salah satu cabaran dalam menjadikan Malaysia sebuah negara maju ialah
dengan mewujudkan masyarakat saintifik dan progresif, mempunyai daya perubahan
tinggi dan memandang ke depan, yang bukan sahaja menjadi pengguna teknologi
tetapi juga menyumbang kepada tamadun saintifik dan teknologi masa depan (Unit
Perancang Ekonomi, 2013). Jadi selaras dengan matlamat tersebut, pembangunan
modal insan harus dipergiatkan agar dapat melahirkan modal insan minda kelas
pertama yang mampu menguasai ilmu pengetahuan dan kemahiran serta keupayaan
intelektual yang meliputi bidang sains, teknologi dan keusahawanan (Juriah et al,
2006). Lantaran itu, komuniti atau masyarakat perlu cakna terhadap sistem
pembelajaran di Malaysia khususnya dalam isu menerapkan kemahiran berfikir aras
tinggi pelajar di sekolah agar dapat membentuk modal insan kelas pertama.
Penglibatan dan sokongan daripada pihak komuniti terhadap penerapan KBAT pelajar
secara tidak langsung dapat menguatkan perpaduan kaum dan budaya saling hormat
menghormati antara pelajar kerana pelajar berupaya berfikir secara kritis semasa
berhujah dengan mengambil kira pandangan orang lain.
SEKTOR SWASTA
(Sumber: Mingguan Malaysia, 15 Mac 2015)
Menurut Tan Sri Mustapha Kamal (2012), isu lambakan graduan tidak mendapat
tempat dalam alam pekerjaan mutakhir kini adalah kerana graduan kurang dari segi
kemahiran insaniah seperti komunikasi, kerja berpasukan, kemahiran kepimpinan,
pemikiran kritis dan kemahiran menyelesaikan masalah, tidak beretika dan tidak
berupaya berbahasa asing walaupun cemerlang dalam bidang akademik semasa di
peringkat pengajian tinggi. Graduan seharusnya menguasai kemahiran insaniah
kerana untuk memasuki alam pekerjaan, majikan tidak lagi memandang dari sudut
akademik semata-mata bahkan kemahiran yang mampu dipersembahkan oleh graduan
kepada majikan. Cemerlang dalam akademik adalah satu bonus kepada pelajar
sekiranya pelajar berjaya menguasai kemahiran insaniah dan diterima bekerja. Jadi, di
peringkat sekolah lagi kemahiran berfikir aras tinggi perlu diterapkan secara telus
kepada pelajar kerana elemen pemikiran kritis dan kemahiran menyelesaikan masalah
merupakan salah satu elemen dalam kemahiran insaniah yang perlu dikuasai oleh
pelajar dan sangat dilihat oleh majikan dalam sektor pekerjaan. Sehubungan dengan
itu, sektor swasta berperanan dalam menyokong penerapan kemahiran berfikir aras
tinggi di sekolah. Penerapan di peringkat awal adalah penting bagi menggalakkan
pelajar sentiasa berfikiran kritis ibarat melentur buluh biarlah dari rebungnya. Oleh
itu, apabila pelajar berada di institusi pengajian tinggi, minda mereka telah biasa
diterapkan dengan aspek pemikiran kritis sehinggalah mereka memasuki alam
pekerjaan.
IMPLIKASI KBAT KEPADA PELAJAR SEKOLAH
1. Pengenalan Program i-Think
Program i-Think diperkenalkan pada tahun 2011 yang bertujuan untuk meningkatkan
dan membudayakan kemahiran berfikir dalam kalangan pelajar ke arah menghasilkan
pelajar berfikiran kreatif, kritis dan inovatif. Definisi i ialah inovasi. Manakala Think
bermaksud pemikiran. Jadi secara ringkasnya, i-Think bermaksud pemikiran secara
inovatif yang perlu dikuasai oleh semua pelajar. Objektif i-Think ialah untuk
melahirkan modal insan masa hadapan yang mempunyai pemikiran kreatif, kritis dan
inovatif serta memupuk kemahiran pemikiran aras tinggi dan mampu berdaya saing di
peringkat global.
(Sumber: Kementerian Pendidikan Malaysia, 2013)
Malaysia menghadapi cabaran di mana sistem pendidikan Malaysia ialah
berasaskan peperiksaan kerana pelajar lebih banyak diberikan tugasan dan kerja
rumah sebagai latihan dan latih tubi bagi menghadapi peperiksaan. Jadi,
mengakibatkan pelajar kurang meneroka dan menggunakan minda secara kritis.
Sehubungan dengan itu, program i-Think yang diperkenalkan diharap dapat
membantu memupuk kemahiran berfikir, menyemai budaya pembelajaran sepanjang
hayat, mahir menyelesaikan masalah dan berupaya menghasilkan jalan penyelesaian
secara kreatif dalam kalangan pelajar Pada awal program ini diperkenalkan, 10 buah
sekolah rintis terlibat dalam melaksanakan i-Think selama 6 bulan iaitu terdiri
daripada 6 buah sekolah rendah dan 4 buah sekolah menengah. Namun sekitar tahun
2014, program i-Think telah diperluaskan ke 8,994 buah sekolah di seluruh negara dan
kajian program i-Think telah dilakukan terhadap 1,010 buah sekolah terpilih.
(Sumber: Kementerian Pendidikan Malaysia, 2013)
Program i-Think menggunakan teknik alat berfikir iaitu lapan peta pemikiran
oleh guru dan pelajar dalam pengajaran dan pembelajaran. Selain itu, program i-Think
turut melibatkan teknik menyoal dan menaakul untuk meningkatkan kemahiran
berfikir aras tinggi seperti yang termaktub dalam Taksonomi Blooms. Ini bukan
sahaja meransang dan menggalakkan pelajar menguasai kemahiran berfikir secara
kritis dan kreatif malah juga belajar bekerja secara bersama dalam kumpulan.
Penggunaan alat-alat pemikiran dapat menerapkan pembelajaran sepanjang hayat
kepada pelajar sejajar dengan cabaran abad ke-21 bagi melahirkan modal insan kelas
pertama.
2. Ransang Pemikiran Aras Tinggi Pelajar
Kemahiran berfikir aras tinggi telah meransang pemikiran pelajar untuk berfikir
secara kritis dan kreatif. Menerusi KBAT, pelajar tidak lagi perlu menghafal untuk
menghadapi peperiksaan namun pelajar harus tahu mengaplikasikan pengetahuan
yang diperoleh untuk menjawab peperiksaan. Selain itu, KBAT yang diterapkan dapat
melatih kemahiran berfikir, penyelesaian masalah dan pembuat keputusan secara
spontan namun pelajar hendaklah sentiasa aktif dan melibatkan diri. Kaedah
pembelajaran aktif dapat dilaksanakan dalam pelbagai bentuk pembelajaran seperti
problem-based learning, project based learning, discovery learning, inquiry-based
learning, simulations, games, writing papers, debating’, dan kesemuanya perlu
berasaskan learning by doing di mana semua pelajar harus terlibat sama dalam proses
pengajaran dan pembelajaran agar dapat memupuk kemahiran berfikir aras tinggi
dalam kalangan pelajar (Musliha Salma, 2010).
Rujukan
Musliha Salma. 2010. Aplikasi kemahiran berfikir aras tinggi melalui pembelajaran
berasaskan masalah. Tesis Sarjana Pertama. Fakulti Pendidikan. Universiti Teknologi
Malaysia
Dokumen Rancangan Malaysia Ke-11. 2012.
http://rmk11.epu.gov.my/book/bm/Rancangan-Malaysia-Kesebelas/Buku%20RMKe-
11.pdf (2 Mei 2016)
Dokumen Laporan Awal Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025. 2013.
http://www.moe.gov.my/userfiles/file/PPP/Preliminary-Blueprint-BM.pdf (2 Mei
2016)
Kementerian Pendidikan Malaysia. 2012. Buku panduan program i-Think. Putrajaya:
Bahagian Pembangunan Kurikulum.
Kementerian Pendidikan Malaysia. 2013. Program kemahiran berfikir aras tinggi – Konsep
KBAT.