Al-Hutay'ah: Penyair Hija

Embed Size (px)

DESCRIPTION

Membincangkan tentang seorang penyair Hija'yang hidup di zaman mukhadram..Terkenal banyak menghasilkan pelbagai jenis syair, namun lebih tertumpu syair hija'.

Citation preview

1

TAMADUN ISLAM(PPPC 6253)

TAJUK :AL-HUTAYAH: SATU KAJIAN BIOGRAFI

DI SEDIAKAN OLEH :NURUL ATIQAH BT JAMALLUDIN (P57393)

DI SEMAK OLEH :USTAZ EZAD AZRAAI BIN JAMSARI USTAZ ISMAIL BIN HJ. BAKAR

JABATAN PENGAJIAN ARAB & TAMADUN ISLAMFAKULTI PENGAJIAN ISLAMUNIVERSITI KEBANGSAAN MALAYSIA2010

ISI KANDUNGAN

TAJUK HALAMAN

1.0PENDAHULUAN 2

2.0RIWAYAT HIDUP AL-HUTAYAH 3

2.1Kelahiran Dan Kematian Al-Hutayah 32.2Latar Belakang Keluarga 5

2.1.1Bapa dan Ibu al-Hutayah 52.1.2Isteri dan Anak-anak al-Hutayah 7

2.3Sifat Dan Akhlaknya 82.4Pegangan Agama Al-Hutayah 9

3.0SUMBANGAN AL-HUTAYAH DALAM BIDANG SYAIR 12

3.1Pandangan Terhadap Kebolehan Syair Al-Hutayah 23

4.0PENUTUP 26

5.0RUJUKAN28

1.0PENDAHULUAN

Al-Hutayah merupakan penyair yang dibincangkan dalam penulisan ini. Al-Hutayah adalah seorang penyair mukhdram yang lemah imannya jika dibandingkan dengan tokoh-tokoh yang semasa dengannya. Al-Hutayah ialah seorang yang tidak mengetahui asal keturunannya dengan jelas. Beliau hidup dalam keluarga yang miskin dan tidak mendapat kasih sayang yang secukupnya. Masalah keturunan yang dialami oleh al-Hutayah telah mempengaruhi dirinya sehingga mencerca seseorang atau kabilah tertentu tanpa rasa bersalah. Oleh sebab itu, syair al-Hutayah lebih cenderung kepada tema hija.

Beliau merupakan seorang tokoh yang terkenal dalam syair hija tetapi tidak bererti beliau tidak terlibat langsung dengan tema-tema lain. Tema-tema lain seperti al-madh,al-ghazal, al-wasf, al-itidhar dan al-hikmah merupakan tema-tema yang tidak dapat dipisahkan lagi di kalangan penyair-penyair yang hidup pada zaman Jahili dan Islam. Perkataan hija sering dikaitkan dengan nama al-Hutayah sehingga ia menjadi suatu perkara yang tidak boleh dipisahkan lagi terhadap dirinya.

Dr. Jamil Sultan berpendapat bahawa terdapat beberapa faktor penting yang membawa al-Hutayah kepada tema hija iaitu persekitarannya, termasuk kelahirannya yang serba kekurangan dari segi fizikal dan keturunan, suasana masyarakat Arab Jahiliyyah dan suka bermusuhan antara kabilah-kabilah serta keadaan kemiskinan yang menyebabkan seseorang itu perlu bergantung kepada golongan tertentu (Sultan 1968: 188).

Al-Hutayah jika dilihat dari sudut penyair hija, tiada yang mengaitkannya dengan pengaruh Islam dan unsur-unsur lain, beliau adalah penyair hija yang mengkagumkan. Al-Hutayah dalam mencipta karya-karyanya banyak menumpukan perhatian kepada tema hija. Kemampuan mencipta berpuluh-puluh qasidah adalah merupakan kemampuannya yang sukar dicapai oleh penyair-penyair lain. Berdasarkan daya kreatifnya yang begitu tinggi, maka al-Hutayah dianggap sangat bijak menyusun kata-kata. Walaupun, tema yang diperkatakan itu kebanyakannya tema hija, tetapi beliau tetap dapat memberikan gambaran yang menarik dan memikat para pendengar dengan syair-syairnya.

Kecenderungannya dalam tema hija telah menimbulkan pelbagai pandangan terhadap al-Hutayah. Sebahagian besar tokoh sastera mengakui bahawa beliau seorang penyair yang terkemuka pada zaman itu. Jangkaan mengenai kedudukannya sebagai penyair agung dapat dijangka kerana namanya dan syair-syairnya sering dijadikan contoh. Oleh itu, kedudukan al-Hutayah telah diakui di kalangan para pengkaji sebagai penyair hija yang agung.

2.0RIWAYAT HIDUP AL-HUTAYAH

Nama sebenar al-Hutayah ialah Jarwal ibn Aws ibn Juayyah ibn Makhzum ibn Malik ibn Ghalabah ibn Qutayah ibn Abas ibn Baghid ibn Rayth ibn Ghatafan ibn Saad ibn Qays Ayalan ibn Mudar ibn Nazar ibn Adnan. Beliau lebih dikenali dengan nama al-Hutayah dan digelar sebagai Abi Mulaykah yang mana dinisbahkan kepada nama anak perempuan beliau iaitu Mulaykah. Al-Hutayah adalah seorang penyair mukhdram[footnoteRef:2], yang lemah imannya jika dibandingkan dengan tokoh-tokoh yang semasa dengannya (Numan 1958: 41). [2: Mukhadram ialah orang yang sempat hidup dalam dua zaman iaitu orang yang hidup separuh umurnya dalam zaman Jahiliyyah dan separuh lagi dalam zaman Islam.]

2.1Kelahiran Dan Kematian Al-Hutayah

Al-Hutayah menjalani hidup dua zaman iaitu zaman Jahili dan Islam dan disebabkan itu, beliau digelar sebagai penyair mukhdram. Satu kesulitan yang di alami oleh para pengkaji dan sejarawan ialah dalam memperkatakan mengenai penentuan tarikh kelahiran dan kematian al-Hutayah yang tidak diketahui dengan tepat. Para pengkaji cuma dapat membuat anggapan bahawa kelahirannya dalam lingkungan 40 tahun sebelum Hijrah. Ada juga yang mengatakan bahawa beliau lahir pada suku terakhir kurun ke-6 (Numan 1958: 50).

Encyclopaedia of Islam ada menjelaskan bahawa al-Hutayah dilihat sebagai perawi daripada Zuhayr ibn Abi Sulma dan berdasarkan ini mungkin beliau dilahirkan dalam lingkungan 40 tahun sebelum hijrah dan aktiviti awal dalam pensyairannya mungkin bermula sebelum Islam. Tetapi sebahagian besar karya-karyanya dihasilkan pada masa Islam (Goldziher 1987: 348).

Berhubung dengan tarikh kematian al-Hutayah, terdapat beberapa pendapat mengenai tarikh kematiannya. Dr. Jamil Sultan ada menjelaskan bahawa al-Hutayah telah hidup dalam dua zaman iaitu zaman Jahili dan Islam. Beliau juga sempat berjumpa dengan beberapa orang tokoh penyair dan penunggang kuda yang terkenal pada zaman Jahili. Antaranya ialah Zuhayr, Zayd al-Khayl dan ramai lagi. Jadi boleh dikatakan bahawa al-Hutayah hidup 40 tahun sebelum Islam. Selepas Islam pula, beliau hidup hingga zaman Muawiyah yang wafat pada tahun 59H atau 60H. Maka tidaklah melampau jika dikatakan bahawa beliau hidup lebih 100 tahun walaupun tidak dapat diberikan tarikh yang tepat (Sultan 1968: 55).

Terdapat pelbagai riwayat mengenai tarikh meninggal al-Hutayah. Al-Salah al-Kutubi berpendapat bahawa al-Hutayah meninggal dunia dalam lingkungan 30H (Abbas 1964: 279). Sementara Khayr al-Din al-Zirikly menjelaskan bahawa Jarwal meninggal dunia pada tahun 45H dan al-Baghdadi pula menambah beliau hidup semasa pemerintahan Muawiyah (al-Baghdadi 1967: 413). Ada yang bersetuju dengan Ibn Sallam yang mangatakan bahawa al-Hutayah hidup lama pada zaman Jahiliyyah (Numan 1958: 50).

Dari keterangan ini, dapat disimpulkan bahawa al-Hutayah meninggal dunia selepas 41H kerana tubuhnya kerajaan Umayyah adalah pada tahun itu. Beliau sendiri pernah datang kepada Said ibn Aws yang menjadi gabenor di Madinah antara tahun 49H hingga 54H.

Dalam riwayat yang lain pula, Abu al-Fida menyatakan bahawa al-Hutayah meninggal dunia pada tahun 69H. Tarikh ini agak jauh sedikit kerana Muawiyah meninggal dunia pada tahun 60H sedangkan al-Hutayah mati pada masa Muawiyah bukan selepasnya. Mungkin yang dikehendaki oleh Abu al-Fida pada tahun 59H, tetapi berlaku kesilapan ketika meriwayatkannya. Tarikh ini diperkuatkan lagi dengan pendapat Ibn Hajar dan Iskandari yang menjelaskan bahawa al-Hutayah mati pada tahun 59H (Sultan 1968: 56).

Kesimpulan yang boleh dibuat berdasarkan riwayat-riwayat yang dinyatakan tentang tarikh meninggal al-Hutayah ialah al-Hutayah meninggal dunia selepas setengah pertama kurun pertama HHHijrah.

2.2Latar Belakang Keluarga Sebilangan ahli sejarah tidak dapat memastikan secara terperinci mengenai sejarah latar belakang keluarga al-Hutayah. Hal ini kerana, al-Hutayah merupakan anak zina yang tidak pasti keturunannya dan tidak diketahui dengan tepat siapakah bapa dan kabilahnya. Al-Hutayah hidup terpisah daripada kedua ibu bapanya sejak kecil lagi, dan beliau juga tidak mengenali saudara-maranya sehingga berlakunya perselisihan dalam pembahagian harta pusaka yang mana al-Hutayah tidak mendapat hak yang sepatutnya. Disebabkan masalah keturunan, al-Hutayah merasa dirinya terhina kerana tidak mengetahui asal keturunannya, sedangkan masalah keturunan ini sangat dipandang penting dalam masyarakat Arab.

Rentetan daripada sejarah hidup al-Hutayah yang berliku ini, menyebabkan beliau lebih cenderung terhadap syair hija. Beliau sanggup mencerca keluarganya yang hampir seperti saudara-mara, emak, isteri dan sebagainya hingga kepada dirinya sendiri. Dipercayai bahawa akibat daripada tekanan jiwa berkaitan masalah keturunan dan kesempitan hidup yang dialami, menyebabkan jiwanya memberontak dan mencerca siapa sahaja yang ada di hadapannya.

2.1.1Bapa dan Ibu al-Hutayah

Sebilangan ahli sejarah masih ragu-ragu tentang asal keturunan al-Hutayah. Mereka tidak dapat mengetahui dengan tepat siapakah bapa dan kabilah al-Hutayah. Abu al-Faraj dan al-Asmani ada menjelaskan bahawa keturunan al-Hutayah disandarkan kepada beberapa puak yang mana beliau akan menyebelahi salah satu daripada puak-puak itu apabila beliau dimarahi oleh puak yang lain. Al-Hutayah pernah mendakwa bahawa dirinya anak kepada Ibn Umar ibn Alqamah yang merupakan salah seorang keturunan Bani al-Harith ibn Sudus (al-Asfahani 1928: 157). Mengikut Ibn Manzur pula, apabila al-Hutayah dimarahi oleh Bani Abasin maka katanya : Aku dari Bani Zuhlin dan apabila dimarahi oleh Bani Zuhlin maka katanya: Aku dari Bani Abasin (Ibn Manzur 1965: 169). Ibn al-Kalbi pula menjelaskan bahawa al-Hutayah seorang yang tidak jelas keturunannya dan beliau adalah di antara anak-anak zina yang kebanyakannya terdapat pada masa itu. Al-Asmai turut menjelaskan bahawa al-Hutayah pernah menghubungkan keturunannya dengan kabilah Bakr Wail, seperti yang terdapat dalam syairnya (Numan 1958: 80):

* * *

Maksudnya: Kaumku ialah Banu Awf ibn Amr yang menjadi tumpuan orang-orang alim untuk mendapat segala pengetahuan. Ianya satu kaum yang pemurah, suka membuat kebajikan. Apabila seseorang meninggal dunia maka akan diganti oleh yang lain. Mereka tidak sekali-kali menghampakan segala permintaan dan jauh dari segala keaiban.

Ibu al-Hutayah adalah seorang hamba kepunyaan Aws ibn Malik, namanya al-Darra. Walaupun ahli sejarah tidak dapat menentukan siapakah bapa al-Hutayah tetapi jika diperhatikan hubungan al-Darra dengan Aws ada kemungkinan al-Hutayah adalah anak hasil dari perkongsian hidup mereka berdua. Sekalipun terdapat penafian oleh al-Darra sendiri apabila ditanya oleh isteri Aws dengan katanya : Siapakah bapa budak ini (al-Hutayah)? Al-Darra menjawab : Ia daripada saudara kaum Afqam ) ). Tetapi pengakuan ini ada kemungkinan tidak terkeluar dari hati yang ikhlas atau mungkin kerana takut seorang hamba kepada tuannya. Kemungkinan ini dapat dikuatkan lagi dengan kata-kata al-Darra sendiri setelah Aws meninggal dunia dan beliau bersama anaknya dimerdekakan. Beliau pernah berkata bahawa Afqam itu bukan bapa al-Hutayah yang sebenar tetapi adalah daripada keturunan Aws ibn Malik al-Abbasi. Beliau berhak menerima peninggalannya bersama saudaranya setelah dimerdekakan (Sultan 1968: 6). Al-Hutayah dibesarkan bersama anak-anak Aws dibawah jagaan Aws dan isterinya tetapi beliau terkenal dalam masyarakat sebagai Afqam diluar nikah dan beliau dipanggil Jarwal. Bagi al-Hutayah dia mempunyai empat orang saudara, dua daripadanya dari keturunan bapanya dan dua lagi daripada keturunan ibunya sebagai hasil perkahwinannya dengan seorang lelaki dari Bani Abasin.

Terdapat perkara yang menarik perhatian pembaca mengenai al-Hutayah, iaitu dalam masalah tuntutannya ke atas harta pusaka. Bagi menuntut harta pusaka itu, beliau telah pergi berjumpa dua orang saudaranya dari pihak bapanya bagi menuntut haknya dalam harta peninggalan itu, tetapi permintaannya telah ditolak kemudian beliau menuntut haknya daripada dua orang saudaranya daripada keturunan Bani Zuhlin. Saudaranya itu telah memberikan beberapa pohon tamar tetapi pemberian itu tidak dipersetujui sehingga berlakunya pergaduhan yang menyebabkan al-Hutayah mencerca Bani Zuhlin. Antara contoh daripada rangkap syairnya (Al-Asfahani 1928: 159):

* *

Maksudnya: Al-Hutayah bercita-cita untuk menjadi suku Bakr sebagai kaumnya tetapi akhirnya beliau mengecam suku tersebut kerana tidak memenuhi tuntutannya ke atas harta pusaka yang ditinggalkan oleh Afqam.

2.1.2Isteri dan Anak-anak al-Hutayah

Dalam kehidupan berkeluarga al-Hutayah mempunyai seorang isteri dan dikurniakan tiga orang cahaya mata. Ahli-ahli sejarah pernah menjelaskan bahawa hasil perkongsian beliau dengan isterinya Umamah telah dikurniakan tiga orang anak. Anak perempuannya Mulaykah adalah seorang gadis yang cantik sehingga al-Hutayah digelar dengan panggilan Abu Mulaykah dan anaknya itu menjadi rebutan tokoh-tokoh terkenal pada masa itu termasuk al-Zabarqan. Sementara, anak lelakinya pula ialah Iyasan dan Awsan. Al-Hutayah seorang yang pengasih dan penyayang terhadap isteri dan anak-anaknya. Hal ini pernah dijelaskan oleh Abu al-Faraj dengan katanya: Apabila al-Hutayah hendak mengembara isterinya akan membawa binatang tunggangannya, lalu beliau bersyair (Numan 1958: 44):

*

Maksudnya: Ingatlah kerinduan kami kepada engkau segala kasih sayang kami dan ingatlah anak-anak engkau mereka masih kecil.

Keterangan di atas memperlihatkan bahawa al-Hutayah dari zaman kanak-kanak hingga zaman dewasanya terpisah daripada kedua ibu bapa dan kabilahnya sehingga beliau tidak mengetahui siapakah bapa sebenarnya. Di samping itu, beliau terpisah daripada saudara-mara yang lain hingga mereka enggan memberi hak dalam mewarisi harta pusaka. Mungkin ini merupakan sebab-sebab utama yang membawa beliau berakhlak dengan sifat-sifat buruk dan hina seperti yang digambarkan oleh penulis-penulis silam.

2.3Sifat Dan Akhlaknya

Al-Hutayah adalah gelarannya yang dikenali umum oleh ahli sejarah sastera atau masyarakat. Nama sebenarnya ialah Jarwal ibn Aws. Terdapat beberapa sebab gelaran ini diberikan kepadanya kerana bentuk tubuh badannya yang rendah, terkeluar gusinya disebelah bawah, terkedalam bahagian atasnya, hodoh dan menimbulkan perasaan benci apabila dipandang, cepat marah dan tamak haloba. Al-Asmai pernah menjelaskan bahawa al-Hutayah seorang yang tidak mempunyai harga diri bahkan sedikit sahaja kebaikan yang dilakukannya disamping beliau juga seorang yang miskin, boros dan tidak tahu menguruskan harta (Sultan 1968: 58).

Sebaliknya al-Sakari mengatakan bahawa, beliau seorang yang bakhil dan fasid agamanya, apa yang kamu perkatakan tentang keburukan seorang penyair kamu akan dapati padanya dan yang lebih daripada itu ialah beliau seorang yang tidak tahu keturunannya dan anak luar nikah (Sultan 1968: 59).

Kebanyakan syair al-Hutayah pula berbentuk pujian dan kecaman. Shawqi Dayf dalam bukunya dengan berani mengkritik al-Asmai tentang pandangannya terhadap al-Hutayah. Sebenarnya al-Hutayah ada memuji kabilah-kabilah yang tinggi kedudukannya semenjak zaman Jahili lagi seperti Uyaynah ibn Hisn al-Fazari dan Zayd al-Khayl. Beliau sama-sama melibatkan diri dalam pertarungan di kalangan pembesar-pembesar. Sebagai contoh, al-Hutayah telah berdiri dibarisan Uyaynah ketika berlaku perbalahan dengan bapa saudaranya Zabban ibn Sayyar. Begitu juga beliau bersama barisan Alqamah ibn Ulathah ketika menentang Amr ibn al-Tufayl. Kemudian penyair-penyair lain sama-sama mengikut jejak langkahnya kecuali al-Asha dan Labid kedua-duanya berdiri dibarisan Amr. Hal ini dapat menggambarkan bahawa beliau mempunyai kedudukan dalam masyarakat, bahkan pernah berada di kalangan kabilah yang masyhur dan tinggi kedudukannya dengan ini nampaknya tuduhan Shawqi Dayf terhadap al-Asmai itu ada kebenarannya (Dayf 1963: 97).

Berdasarkan keterangan di atas, jelas memperlihatkan bahawa al-Hutayah mempunyai sifat dan akhlak yang buruk yang mana beliau suka mencerca dan mengecam satu kabilah dengan menggunakan syairnya. Akhlak yang sedemikian tidak haruslah dicontohi kerana ianya menggambarkan identiti diri sendiri. Di samping keburukan yang dimiliki oleh al-Hutayah terdapat juga kebaikan dan kebolehan dalam dirinya. Beliau mampu mencipta syair yang berkualiti serta syairnya itu boleh dijadikan bahan rujukan kepada orang ramai. Walaupun al-Hutayah mempunyai banyak keburukan, sebagai pembaca haruslah melihat kepada kelebihan dan potensi yang ada pada dirinya yang mampu dijadikan sebagai contoh dan teladan.

2.4Pegangan Agama Al-Hutayah

Mengenai penganutan agama al-Hutayah, terdapat sesetengah riwayat berpendapat bahawa beliau tidak menganut agama Islam semasa hidup Rasulullah (s.a.w.), kecuali selepas wafatnya Rasulullah (s.a.w.) kerana beliau tidak pernah disebut bersama rombongan yang datang berjumpa dengan baginda pada masa itu. Terdapat juga sesetengah riwayat lain mengatakan bahawa, beliau telah menganut Islam semasa hayat Rasulullah (s.a.w.) lagi. Walaubagaimana pun, apa yang jelas beliau bukan seorang yang kuat pegangan terhadap Islam, jiwanya tidak diresapi iman yang mendalam yang boleh menjadikan asas untuk melahirkan tingkah laku yang baik dan akhlak yang mulia. Satu bukti yang jelas mengenai perkara ini ialah sebaik sahaja Nabi wafat, beliau terus murtad dan menggunakan syairnya untuk menolong golongan murtad ketika menentang Khalifah Abu Bakr dan pemerintahannya. Antara contoh syairnya (Ibn Qutaybah 1902: 181) :

* , , * , Kedua-dua bait syair ini menggambarkan kemurtadan al-Hutayah. Hal ini menunjukkan bahawa al-Hutayah tidak mengerti tentang Islam dan tiada iman yang mendalam dijiwanya. Perkara ini berlaku mungkin disebabkan oleh latar belakangnya yang lemah dan tidak tentu keturunannya. Pada zahirnya, diperingkat akhir hayat al-Hutayah mempunyai akidah yang lebih baik. Beliau turut sama dalam peperangan al-Qadisiyyah pada tahun 14H di awal pemerintahan Saydina Umar (r.a.) dan mula memperlihatkan dirinya untuk Islam dan kaum muslimin di samping menentang Parsi (Numan 1958: 46).Walaubagaimana pun, setelah selesai peperangan al-Qadisiyyah beliau kembali kepada kebiasaan lamanya dengan mendatangi beberapa kabilah. Beliau memuji dan mencerca golongan tertentu untuk mendapatkan nafkah diri dan keluarganya. Beliau sanggup mengorbankan air mukanya sehingga Saydina Umar campur tangan supaya beliau berhenti dari mencerca kaum muslimin tetapi beliau menjawab dengan bertanya siapa yang akan memberi makan anak-anaknya.

Peristiwa beliau bersama Zabraqan memperlihatkan contoh hidupnya dalam Islam. Pada satu tahun yang kemarau panjang, al-Hutayah keluar mencari sara hidup untuk keluarganya. Beliau telah berjumpa dengan Zabraqan dan berkata : Pergilah kamu kepada kabilahku, aku akan berikan segala keperluan kamu. Al-Hutayah menerima tawaran itu dan sanggup memuji kabilah Zabraqan dengan sebaik-baiknya. Oleh itu, al-Hutayah telah pergi ke kabilah Zabraqan dan bersama-samanya surat yang diberi oleh Zabraqan kepada isterinya. Setelah isterinya melihat surat tersebut, diterimanya dengan perasaan gembira dan penuh kehairanan. Pada masa yang sama juga, Bani Baghid musuh Zabraqan meminta al-Hutayah supaya bersama kabilahnya tetapi ditolak. Tidak beberapa lama kemudian tersebar berita yang mengatakan bahawa Zabraqan akan berkahwin dengan Mulaykah iaitu seorang perempuan yang mempunyai paras yang cantik. Semenjak itu, timbul perasaan tidak senang hati isterinya terhadap al-Hutayah yang akhirnya menyebabkan al-Hutayah mencari perlindungan daripada Bani Baghid dengan memujinya di samping mencerca Zabraqan dan kaum-kaumnya (Hassan 1944: 124). Contoh syairnya ialah:

*

Dengan qasidah ini Zabarqan mengadu kepada khalifah Umar dan al al-Hutayah telah dipenjarakan dalam satu telaga yang gelap setelah Hasan ibn Thabit mengesahkan syairnya itu adalah syair Hija Muqzi. Diriwayatkan bahawa setelah al-Hutayah dipenjarakan, beliau telah meminta belas kasihan daripada khalifah Umar dan dengan campur tangan Abd al-Rahman ibn Aws al-Hutayah telah dibebaskan. Di samping itu, khalifah berkata: Jangan kamu mencerca sesiapa lagi. Al-Hutayah menjawab: Jika begitu halnya, matilah keluargaku kerana lapar. Dengan cara ini sahaja aku memperolehi rezeki untuk menyara keluargaku. Dalam riwayat yang lain pula, ada mengatakan bahawa khalifah Umar telah menghadiahkan tiga ribu dirham kepada al-Hutayah supaya beliau berhenti dari mencerca orang-orang Islam. Mulai dari itu, al-Hutayah tidak lagi mencerca sama ada orang perseorangan atau kabilah sehingga akhir hayat khalifah Umar (Al-Asfahani 1928: 159).

Menurut Ibn Qutaybah, al-Hutayah pada akhir hayatnya ada membuat wasiat-wasiat (Ilya Hawi 1970: 18). Jika diperhatikan kepada wasiat al-Hutayah, dapat dibuat kesimpulan bahawa beliau seorang yang berada dalam keadaan yang tidak tenteram dan seorang yang kurang pegangan agamanya. Antara contoh wasiatnya ialah mengikut al-Asfahani: Apabila al-Hutayah berada dalam keadaan tenat maka berkumpullah kaumnya. Mereka itu berkata: Ya, Abu Mulaykah berwasiatlah kamu. Al-Hutayah berkata: Nerakalah bagi perawi palsu terhadap syair. Mereka berkata: Berwasiatlah wahai al-Hutayah kamu akan dirahmati Allah (s.w.t.). Al-Hutayah berkata : Sampaikan berita kepada Bani Ghatafan bahawa ianya sebaik-baik penyair bangsa Arab. Mereka itu berkata : Tinggalkan wasiat ini, berwasiatlah dengan apa yang boleh memberi manfaat kepada dirimu. Beliau berkata : Sampaikanlah kepada ahli Dabi bahawa beliau adalah penyair. Mereka itu berkata lagi : Bertaqwalah kamu kepada Allah (s.w.t.) dan tinggalkan ini semua. Beliau berkata: Sampaikan kepada orang-orang Ansar bahawa Hassan ibn Thabit sebaik-baik penyair Arab. Berkata mereka itu : Katakanlah " ", beliau berkata :

*

Begitulah seterusnya sehingga kaumnya bertanya kepadanya : Apakah sesuatu yang lain daripada itu semua. Beliau menjawab : Bawakan keldai kepadaku supaya aku dapat menunggangnya hingga aku mati, sesungguhnya orang yang mulia itu tidak mati di atas hamparan. Maka dibawa kepadanya keldai dan ditunggangnya hinggalah beliau meninggal dunia (Ilya Hawi 1970: 21).

Berdasarkan keterangan di atas, jelas memperlihatkan bahawa al-Hutayah telah menganut agama Islam tetapi tidak dapat dipastikan bilakah beliau memeluk Islam. Sikap al-Hutayah yang suka mencaci orang lain dan berpaling arah dari satu pihak ke pihak yang lain jelas memperlihatkan bahawa al-Hutayah tidak dapat menjiwai Islam sepenuhnya kerana seorang muslim yang sejati adalah mustahil baginya untuk menjatuhkan maruah seseorang dengan mencacinya. Walaupun, pegangan iman al-Hutayah tidak kuat, keislamannya dapat dilihat melalui penyertaan beliau dalam peperangan al-Qadisiyyah. Oleh itu, sebagai pembaca seharusnya mencontohi akhlak yang baik dan meninggalkan sikap buruk yang ditonjolkan oleh al-Hutayah.

3.0SUMBANGAN AL-HUTAYAH DALAM BIDANG SYAIR

Al-Hutayah merupakan penyair yang hidup pada dua zaman, iaitu zaman Jahili dan Islam tetapi pengaruh Islam ke atas dirinya sangat sedikit. Beliau menyertai golongan murtad pada masa Abu Bakr (r.a.) dan sanggup mencipta syair untuk membela golongan murtad serta mencerca Abu Bakr (r.a.). Beliau juga terkenal sebagai penyair hija yang tidak berasaskan Islam walaupun terdapat sedikit sahaja pengaruh Islam, lafaz-lafaz dan makna al-Quran dalam syairnya. Tema hija sungguh sebati dengan diri al-Hutayah kerana beliau mencerca sesiapa sahaja termasuk dirinya, orang-orang yang mempunyai hubungan dengannya dan beberapa kabilah lain yang bermusuhan dengannya. Beliau juga telah memberi sumbangan yang banyak, khususnya dalam bidang penulisan puisi yang bermutu tinggi Penghasilan karya-karya beliau yang terkenal jelas menggambarkan keupayaan beliau dalam bidang penulisan, keluasan ilmu pengetahuan dan ketinggian gaya bahasa.

Sebagai seorang penyair, al-Hutayah mempunyai kedudukan yang tidak kurang pentingnya jika dibandingkan dengan penyair-penyair lain pada zaman Jahili. Syairnya mempunyai nilai yang tinggi dan tidak asing lagi kepada orang-orang yang semasa dengannya. Syair beliau menjadi bahan rujukan kepada ahli bahasa, penyair dan sasterawan selepasnya. Al-Hutayah lebih cenderung dalam syair hija tetapi tidak bererti beliau tidak terlibat langsung dengan tema-tema lain. Tema-tema lain seperti al-madh,al-ghazal, al-wasf, al-itidhar dan al-hikmah merupakan tema-tema yang tidak dapat dipisahkan lagi di kalangan penyair-penyair yang hidup pada zaman Jahili dan Islam. Antara contoh rangkap syair yang dicipta al-Hutayah berdasarkan tema-tema syair adalah seperti berikut :

i. Tema Pujian (al-Madh)

Tema madh atau pujian merupakan tema yang paling popular yang didapati sama ada pada zaman Jahili atau Islam. Tema ini digunakan untuk memuji manusia dengan menyebut beberapa kebaikan seseorang atau kabilah sama ada mengenai keturunan, sifat-sifat pemurah, keberanian dan sebagainya. Pada mulanya, syair madh ini tidak digunakan sebagai punca untuk mencari rezeki, tetapi ianya disuarakan secara ikhlas untuk menonjolkan kelebihan dan kebaikan yang sememangnya terdapat pada orang yang dipuji itu (Sulayman 1965: 260). Keadaan ini telah berubah apabila penyair-penyair mengetahui bahawa syair madh merupakan satu cara untuk mendapatkan rezeki dan bermula dari situlah mereka berlumba-lumba untuk mencipta syair bagi tujuan tersebut. Para penyair mendampingi pembesar-pembesar, ketua-ketua negara, raja-raja dengan tujuan memuji dan membesar-besarkan mereka bagi mendapatkan ganjaran atau pelbagai hadiah. Walaubagaimana pun, tidak ramai di antara mereka yang dapat menandingi al-Hutayah dari segi keindahan bentuk dan kelunakannya.

Di antara syair madh al-Hutayah ialah syairnya yang memuji Tharif ibn Diffa. Contoh rangkap syairnya ialah (Numan 1958: 70) :

* * * * *

Maksudnya: Tidak pernah aku berjumpa seorang yang bersifat mulia lagi pemurah seperti Ibn Diffa. Beliau sentiasa memerhati dan melihat-lihat jikalau ada orang yang tersesat yang tidak dipedulikan oleh sesiapa. Apabila datang kepadanya satu kaum yang sesat dalam perjalanannya, beliau memberi layanan yang baik dan memberi makan dan minum sepuas-puasnya. Beliau sanggup menyembelih unta yang pintar dan mahir dalam pengembaraan untuk memberi makan kepada mereka. Maka, mereka itu bersukaria dan memakan makanan yang disediakan itu hingga larut malam.

ii. Tema Gambaran (al-Wasf )

Al-wasf dalam syair al-Hutayah biasanya disertakan sekali dengan tema al-madh dan al-hija. Ianya menggambarkan keadaan zaman Jahili, kehidupan orang-orang Badwi serta segala alam tabie yang terdapat dipersekitaran kawasan yang dihuni oleh para penyair (Osman 1987: 81). Lafaz-lafaz yang digunakan ada kalanya mudah difahami dan ada ketikanya sukar difahami, kerana mereka menggunakan perkataan yang ganjil. Akan tetapi, disebabkan susunannya yang baik dan pengamatannya yang mendalam menyebabkan pembaca terasa seolah-olah tergambar sesuatu di hadapan mata ketika membaca syairnya. Ini bererti, syairnya mampu membuatkan para pembaca berkhayal dan menjiwainya dengan penuh perasaan. Al-Hutayah boleh membawa perasaan pembaca menjadi kasar apabila beliau menggambarkan kehidupan orang-orang Badwi yang kasar dan sebaliknya, perasaan pembaca akan menjadi lemah lembut apabila beliau memperkatakan al-ghazal dan al-itidhar dengan menggunakan perkataan-perkataan yang lunak dan gambaran yang indah (Sultan 1968: 132). Di antara rangkap syairnya mengenai al-wasf adalah seperti berikut :

* * * * Maksudnya: Al-Hutayah menggambarkan bagaimana keadaan unta-unta yang membawa barang-barang dan berjalan di tengah-tengah padang pasir. Setelah sampai ke tempat minuman, kesemuanya berlumba-lumba untuk mendapatkan air. Oleh kerana dahaga yang bersangatan, diminumnya terlalu banyak maka jadilah unta-unta itu seperti pokok-pokok tamar yang hampir mengeluarkan buah. Juga diibaratkan seperti anak-anak kambing yang berlumba-lumba ke arah bayang-bayang pokok yang rimbun ketika hari yang panas terik.

iii. Tema Rindu (al-Ghazal)

Al-ghazal merupakan satu tema yang selalu ditimbulkan dan diulang-ulang oleh al-Hutayah. Kebiasaannya tema ini dijadikan sebagai pendahuluan atau pembukaan kepada syair al-madh. Panjang atau pendeknya ditentukan oleh keadaan dan suasana tertentu. Bahagian ini adalah sebaik-baik gambaran yang boleh menggegarkan jiwa pembacanya. Puisi ini menggambarkan kecantikan wanita dan perasaan cinta dan kasih sayang seorang penyair terhadap kekasih pujaannya di samping melukiskan rasa rindu dan sedih kerana berpisah dengan orang yang diidamkan. (Osman 1987: 78) Sebagai contoh kita ambil rangkap syairnya yang dikatakan sebagai pendahuluan ketika memuji al-Liay (Numan 1958 : 121) :

* * *

Maksudnya: Al-Hutayah dalam khayalannya mengatakan bahawa Umamah bersama-samanya beberapa kali menunggang kuda. Beliau kagum dengan keturunannya kerana daripada kaum mulia yang sentiasa menjaga kehormatannya. Beliau mempunyai pelbagai sifat yang diperlukan oleh seorang wanita seperti rupa yang cantik, lemah lembut dan sebagainya. Tetapi dengan tiba-tiba, Umamah telah mendustakan janjinya dan memutuskan segala ikatannya yang telah lama terjalin yang sama sekali tidak diduga.

iv. Tema Kata-kata Hikmah (al-Hikmah)

Tema al-hikmah atau kata-kata yang mempunyai pengajaran. Syair al-Hutayah mengenai tema ini menunjukkan terdapatnya sifat-sifat mulia yang boleh dijadikan teladan sehingga hari ini. Walaupun tema al-hikmah tidak banyak diperkatakan seperti yang terdapat pada Zuhayr ibn Abi Sulma tetapi ianya dapat mengangkat maruahnya sedikit daripada tuduhan-tuduhan yang melampau oleh sesetengah pengkritik. Perubahan dalam tema syairnya ini mungkin terpengaruh dengan akhlak beberapa orang yang dihormatinya dan makna atau pengajaran al-Quran. Antara contohnya ialah (Numan 1958: 393) :

* * *

Maksudnya : Al-Hutayah berpendapat bahawa, bukan harta semata-mata yang boleh menjamin kebahagiaan hidup di dunia dan di akhirat. Tetapi kebahagiaan yang sebenar ialah bertaqwa kepada Allah (s.w.t.), kerana bertaqwa itu sebaik-baik yang dihitung di dunia dan di akhirat dan Allah (s.w.t.) adalah sebaik-baik pelindung. Seterusnya beliau menambah, bahawa sesungguhnya adalah pasti apa yang akan datang kepada kita itu hampir dan apa yang telah berlalu itu jauh daripada kita.

v. Tema Meminta Maaf (al-Itidhar)

Tema ini seperti tema al-ghazal yang mana merupakan sebahagian kecil di antara tema-tema yang diperkatakan oleh al-Hutayah. Syair-syairnya jelas menunjukkan bahawa penyair mempunyai jiwa yang halus dan perasaan kasih sayang yang mendalam sekalipun banyak mengalami penderitaan dan kesedihan. Penyair biasanya akan melahirkan rasa kesalnya di atas kesalahan atau tuduhan yang dilemparkan ke atasnya seterusnya ia akan memohon maaf dari orang yang ditujukan puisi itu. Di samping penyair juga cuba membersihkan dirinya serta menolak tuduhan atau fitnah yang dilemparkan terhadap dirinya (Osman 1987: 80). Al-Hutayah memilih kata-kata yang halus dan menarik supaya dapat memberi kesan yang mendalam dan sampai kepada lubuk hati para pembaca atau orang yang mendengarnya. Contoh rangkap syairnya ialah menceritakan ketika dipenjara kerana mencerca Zabarqan (Numan 1958 : 393) :

* * * *

Maksudnya : Al-Hutayah merayu kepada khalifah Umar (r.a.) supaya membebaskannya dari telaga yang gelap yang dijadikan penjara pada masa itu kerana beliau mempunyai anak-anak dan isteri yang mesti diberi sara hidup. Beliau telah mengibaratkan kesusahan keluarganya ketika ketiadaannya seperti anak-anak burung yang masih kecil yang diletakkan dalam wadi yang letakknya di tengah-tengah padang pasir yang panas terik. Di samping itu, tiada pula pokok-pokok untuk melindunginya dan air untuk diminum. Kemudian beliau menyatakan taat setianya kepada khalifah Umar (r.a.) yang dianggap sebagai panduan kepada semua rakyat. Mereka yang mentaatinya akan mendapat banyak faedah dan kebaikan itu kembali kepada diri mereka bukan kepada khalifah.

Setelah melihat beberapa contoh tema-tema dan syair-syair yang telah diperkatakan oleh al-Hutayah, jelaslah bahawa walaupun al-Hutayah terkenal sebagai penyair hija tetapi tema-tema lain tidak kurang diperkatakan oleh beliau. Selain itu, terdapat juga pengaruh-pengaruh Islam yang diselitkan dalam rangkap-rangkap syairnya sekalipun beliau dianggap seorang yang lemah iman dan lewat menganut Islam.

Hija atau kecaman boleh diertikan lawan kepada madh atau pujian. Hija merupakan puisi berbentuk kecaman serta sindiran seorang penyair terhadap musuhnya yang mungkin seorang penyair dari suku lain. Tema ini begitu popular di zaman Jahili, kerana didorong oleh corak hidup yang taksub atau fanatik terhadap suku masing-masing. Hija membuang segala kelebihan dan kemuliaan yang ada pada seseorang, sebaliknya ditukarkan dengan sifat-sifat keji seperti bakhil, lemah, pengecut, tidak bermaruah dan sebagainya. Tabiat semulajadi manusia ialah suka kepada pujian dan sanjungan. Manusia akan gembira apabila menerima pujian, tetapi akan merasa terhina dan tercabar perasaannya apabila dicaci dan disandarkan sifat-sifat buruk terhadapnya (Osman 1987: 73).

Faktor utama yang mendorong al-Hutayah ke arah tema hija ialah faktor kelahirannya. Darah yang mengalir dalam badannya adalah darah yang tidak bersih. Kegelapan menyelubungi kelahirannya sementara ibunya tidak diketahui asal keturunannya. Adakalanya, beliau menyangka bapanya al-Afqam daripada suku Hawazin dan adakalanya menyangka bapanya daripada kabilah Abasin. Beliau sentiasa berada dalam keadaan kecewa untuk mendapatkan haknya. Apabila dihubungkan dirinya kepada Bani Abasin, beliau dihalang dari mendapatkan haknya sebagai ahli waris dan apabila beliau datang kepada Bani Hawazin nasib yang sama juga diterimanya bahkan beliau telah dipukul. Maka dengan itu, beliau merasa dirinya terhina kerana tidak mengetahui asal keturunannya sedangkan masalah keturunan ini sangat dipandang penting dalam masyarakat Arab. Inilah beberapa contoh penderitaan yang dialami oleh al-Hutayah hingga mendorong beliau mengecam sifat-sifat yang dipandang mulia oleh bangsa Arab dan bersikap kasar ke atas mereka (Hassan 1944 : 127).

Satu hakikat yang tidak dapat dinafikan lagi bahawa bukan al-Hutayah seorang sahaja yang mempunyai masalah keturunan bahkan terdapat ramai lagi penyair yang senasib dengannya. Peperangan, perhambaan dan pergaduhan telah melahirkan ramai kanak-kanak seperti al-Hutayah yang menderita dan dihina dengan sebab dosa orang lain. Tetapi terdapat sesetengah daripada mereka cuba untuk mengatasi musibah yang menimpa diri mereka, menolak suasana yang berlaku ke atas mereka dan menggantikan kekurangan yang ada dengan kerja-kerja yang dapat melahirkan kepahlawanan mereka.

Sebagai contoh, salah seorang penyair seperti Antarah. Beliau adalah seorang yang dihina oleh kaumnya seperti al-Hutayah, tetapi beliau disanjung dan dihormati kemudiannya kerana beliau tidak kecewa dengan takdir dan kekurangan yang ada pada dirinya bahkan Antarah cuba mengatasinya. Perkara yang sama juga berlaku ke atas Ziyad ibn Abih. tetapi masalah itu tidak menghalang beliau menjadi seorang yang berkedudukan dalam negara iaitu menjadi gabenor Muawiyah. Oleh itu, kelahiran al-Hutayah bukanlah menjadi penghalang bagi dirinya untuk cuba memajukan dirinya dan mempertimbangkan kedudukannya (Ilya Hawi 1970 : 24-25).

Bagi al-Hutayah emaknya seorang yang bodoh kerana emaknya tidak cuba menyembunyikan kejahatan yang dilakukan daripada anaknya bahkan sanggup memberitahunya tanpa perasaan bimbang dan malu. Keruntuhan akhlak emaknya telah memberikan kesan yang mendalam terhadap dirinya. Oleh itu, al-Hutayah telah mengikut jejak langkah emaknya yang tidak mempunyai perasaan malu dengan berpindah dari satu kabilah ke kabilah yang lain dan mencercanya. Begitu juga ibunya tidak teragak-agak dan terasa hina berpindah dari satu lelaki kepada lelaki yang lain sekalipun menyalahi undang-undang dan adat kebiasaan masyarakat (Ilya Hawi 1970 : 25).

Faktor-faktor yang telah disebutkan di atas tadi menyebabkan al-Hutayah merasa rendah diri dan serba kekurangan hingga ia pernah berkata :

"

Maksudnya: Sesungguhnya aku seorang yang tidak tentu asalnya.

Jika direnungkan keadaan demikian, maka dapat dibuat tafsiran kenapa begitu mudahnya al-Hutayah lebih cenderung ke dalam gelanggang hija. Beliau sanggup mencerca keluarganya yang hampir seperti saudara-mara, emak, isteri dan sebagainya hingga kepada dirinya sendiri. Dipercayai bahawa akibat daripada tekanan jiwa dan kesempitan hidupnya yang menjadikan jiwanya memberontak dan mencerca siapa sahaja yang ada di hadapannya.

Sekalipun al-Hutayah lebih terkenal sebagai penyair hija, tetapi syair hijanya yang terkumpul dalam antaloginya adalah lebih sedikit jika dibandingkan dengan syair madh. Kebanyakan hijanya menggambarkan dirinya dan peristiwa-peristiwa yang menimpa dirinya. Sebaliknya, madh yang diperkatakannya adalah untuk medapatkan sara hidup. Walaupun syair hijanya lebih sedikit jika dibandingkan dengan madh, tetapi ianya masih dapat menyakinkan pembaca bahawa apa yang terkandung di dalamnya adalah lebih realistik dan berasaskan kepada kenyataan. Ini disebabkan, ianya lahir daripada perasaan penyair itu sendiri dan nasib malang yang dialaminya. Hakikat ini dapat dibuktikan dengan cercaan yang dilakukan terhadap diri, emak, keluarga dan sebagainya. Kesemua ini adalah untuk melahirkan rasa hati dan perasaan yang terkandung dalam lubuk hatinya (Ilya Hawi 1970: 49).

Kebanyakan hija yang diperkatakan oleh al-Hutayah selari dengan keburukan yang dilemparkan kepadanya seolah-olah beliau hendak membuktikan bahawa ia tidak menzalimi manusia dan lidahnya tidak berkata tentang perkara buruk sekiranya beliau tidak dizalimi. Dalam hal ini beliau pernah bertanya Ibn Abbas katanya: Wahai anak bapa saudara Rasulullah (s.a.w.), adakah berdosa jika aku dizalimi oleh seorang kemudian aku menzaliminya, jika aku dicaci maka aku mencacinya dan jika aku dihina maka aku akan menghinanya. Wahai anak bapa saudara Rasulullah (s.a.w.) : Adakah engkau pernah melihat seorang yang datang kepadaku maka dibuat janji kemudian dimungkirinya dan menjatuhkan air mukaku. Adakah aku boleh mencercanya. (Ibn Manzur 1964: 192)

Berdasarkan kenyataan dapat disimpulkan bahawa al-Hutayah cuba mengelakkan dirinya dari dimurkai oleh Allah )s.w.t.) dalam memperkatakan hija dengan tidak ada sebab-sebab yang tertentu. Mungkin dengan sebab inilah hijanya lebih sederhana jika dibandingkan dengan hija zaman Jahili seperti Tarafah dan al-Asha begitu juga penyair-penyair zaman Islam seperti Jarir dan Farazdaq.

Sehubungan dengan ini, Taha Husayn pernah menegaskan bahawa : Adakah sangat menghairankan kamu jika tidak didapati dalam syair al-Hutayah sebagaimana penderitaan yang dialaminya Kebanyakan tokoh sasterawan berkata bahawa al-Hutayah melampau dalam hijanya sehingga beliau mencerca dirinya, emak dan bapanya. Tetapi pada anggapan kami semuanya itu perkara yang diada-adakan oleh perawi-perawi kerana hijanya lebih sederhana daripada hija gurunya iaitu Aws dan Zuhayr. Walaupun dalam hijanya terdapat kekerasan, tetapi ia masih boleh dimaafkan. Kebiasaannya, al-Hutayah ketika memperkatakan hijanya hanya menyentuh kedudukan seseorang dalam masyarakat. Orang Arab memuji dan membencinya ialah kerana akhlak dan keturunanya (Taha Husayn 1936: 295).

Kehidupan al-Hutayah melampaui dua batasan zaman iaitu Jahiliyyah dan Islam. Oleh itu, syairnya juga boleh dibahagikan kepada dua iaitu syair ciptaan zaman Jahili dan zaman Islam. Walaubagaimana pun, agak sukar untuk membezakan syair-syair di antara kedua-dua zaman ini kerana sesetengahnya tidak ada perubahan yang dibuat oleh al-Hutayah cuma yang membezakannya ialah pada sesetengah syair zaman Islamnya diselitkan dengan ayat-ayat al-Quran. Tetapi syair-syair yang diserap dengan unsur keislaman tida seberapa bilangannya di samping itu cara hijanya masih tidak berubah. Inilah yang menyebabkan kebanyakan pengkritik dan pengkaji sastera mengatakan bahawa al-Hutayah tidak terpengaruh dengan suasana keislaman sekalipun beliau hidup dalam dua zaman atau dari segi masa beliau dikatakan penyair mukhadram.

Dalam kedua-dua zaman ini beliau tidak putus-putus mencipta syair sehinggalah ke akhir hayatnya. Terdapat beberapa buah syair hijanya yang masyhur pada masa Jahiliyyah begitu juga dengan syair hijanya sesudah beliau memeluk Islam. Salah satu syair hijanya yang masyhur pada masa Jahiliyyah ialah hijanya ke atas ibu dan bapanya serta Bani Jahshin. Beliau memulakan syairnya dengan menyebut sifat-sifat buruk yang ada pada ibu dan bapanya dan seterusnya pada Bani Jahshin. Di antara rangkapnya (Numan 1958: 273) :

* * * * *

Maksudnya: Penyair telah membandingkan ibunya dengan perempuan-perempuan lain maka ternyata ibunya seorang perempuan yang tidak mempunyai maruah. Begitu juga bapanya seorang yang tidak baik keturunannya dan tidak suka jika diajak membuat sesuatu perbuatan yang baik. Seterusnya, beliau mencerca Bani Jahshin dengan mengatakan bahawa mereka itu adalah satu kaum yang tidak mempunyai sifat sabar dan lemah pemikirannya. Mereka tidak mempedulikan segala kesusahan jiran dan isteri-isteri mereka serta sanggup menerima apa sahaja penderitaan yang menimpa mereka. Mereka juga melarikan diri ketika kaumnya ditimpa kecelakaan dan takut hendak melibatkan diri dalam peperangan kerana mereka tidak mempunyai pengetahuan dan tidak tahu menggunakan senjata.

Seterusnya, syair hija al-Hutayah yang dicipta sesudah beliau memeluk Islam. Sebagai contoh dari rangkap syairnya ialah ketika beliau memuji keluarga Shammas dan mencerca Zabarqan. Di antara rangkapnya (Ilya Hawi 1970: 54) :

* * * *

Maksudnya: Pada mulanya penyair memuji keluarga Shammas dengan mengatakan bahawa mereka itu mempunyai puak yang besar dan kebanyakan mereka baik hati dan pemurah. Seterusnya, beliau menambah bahawa barang siapa membuat kebajikan tidak akan hilang begitu sahaja tetapi akan mendapat balasan pahala daripada Allah )s.w.t.(. Kemudian, beliau membandingkannya dengan kaum Zabarqan yang bakhil dan tidak suka membuat kebajikan sebaliknya mereka suka berbangga dengan ketinggian kedudukan mereka dan tidak ada perasaan malu dan aib.

Berdasarkan kepada kedua-dua syair yang diutarakan sebagai contoh, walaupun dikatakan dari dua zaman yang berbeza namun apa yang jelas tidak ada perbezaan yang ketara. Al-Hutayah hanya mengurangkan sedikit hija dan memilih kata-kata yang lebih terpengaruh dengan unsur-unsur Islam. Umumnya, walaupun syair itu dicipta dalam zaman Islam namun al-Hutayah masih lagi mengikut cara Jahiliyyah. Beliau masih lagi berbangga dengan satu kaum dan merendah-rendahkan kaum yang lain. Beliau juga seterusnya menyebut sifat-sifat yang dipandang mulia pada zaman Jahili.

3.1PANDANGAN TERHADAP KEBOLEHAN SYAIR AL-HUTAYAH

Kebolehan al-Hutayah dalam bidang syair telah diakui oleh pengkritik yang semasa dengannya dan mereka bersependapat dengan mengakui ketinggian mutu syair dan keindahan susunannya. Al-Asfahani pernah menjelaskan bahawa al-Hutayah seorang tokoh penyair yang menghasilkan semua jenis syair seperti ghazal, hija, fakhru dan madh, tetapi beliau lebih cenderung kepada tema hija (Numan 1958: 60).Terdapat beberapa pandangan dan penerimaan para pengkritik yang terdiri daripada pandangan tokoh-tokoh sasterawan, para penyair dan ahli sejarah terhadap syair-syair ciptaan al-Hutayah.

Kaab ibn Zuhayr telah meletakkan kedudukan al-Hutayah setaraf dengan keluarganya, sebagaimana beliau telah menjelaskan dalam syairnya (Sultan 1968: 166).

*

Maksudnya: Kaab menyatakan bahawa pencipta dan penyusun syair yang baik selepasnya ialah Jarwal.

Al-Asmai ketika diperdengarkan syair al-Hutayah kepadanya, beliau terus berkata: Binasalah kiranya syair seperti ini dicerca kepada manusia. Dikatakan juga, beliau pernah berkata: Apa yang engkau hendak perkatakan mengenai keaiban syair seorang penyair, akan engkau dapati tetapi tidak engkau dapat semuanya itu pada syair al-Hutayah (Al-Asfahani 1928: 163).

Pandangan daripada Khutayr pula, pernah ditanya kepadanya siapakah sebaik-baik penyair. Beliau menjawab: Sebaik-baik penyair ialah dia yang berkata:

* Dikatakan kepadanya: Al-Hutayah yang mengatakan syair ini. Katanya: Dialah yang dimaksudkan (Al-Asfahani 1928: 200)..Diriwayatkan bahawa salah seorang pengkritik silam pernah menjelaskan bahawa tidak terdapat seorang penyair pun yang syairnya benar-benar memberi kesan kepada orang yang dimaksudkan kecuali al-Hutayah dan seterusnya beliau menambah bahawa tidak ada penyair yang lebih baik daripada al-Hutayah selepas Zuhayr (Sultan 1968: 167).

Abu Ubaydah berpendapat: Syair al-Hutayah adalah kemas dan menarik, apabila engkau mencari kecacatan syair seorang penyair engkau akan dapati padanya, tetapi sangat sukar untuk mencari kecacatan pada syair al-Hutayah (Al-Asfahani 1928: 169).

Dikatakan juga, oleh kerana kelunakan syairnya, keluasan maknanya dapat menambat hati para pendengar, maka sebahagian syairnya dijadikan nyanyian harian oleh rakyat biasa dan tidak ketinggalan juga oleh penulis yang masyhur. Contohnya, Ibn Siraj pernah menyanyikan syair al-Hutayah yang dicipta untuk memuji Baghid. Di antara rangkap syairnya (Sultan 1968: 184).

* *

Al-Hutayah juga telah membuat pengakuan bahawa beliau adalah sebaik-baik penyair yang memperkatakan syair. Diceritakan bahawa, Abd al-Rahman ibn Abi Bakr pernah berkata: Aku telah berjumpa dengan al-Hutayah, lalu aku bertanya kepadanya: Wahai Abu Mulaykah, siapakah sebaik-baik penyair? Al-Hutayah mengeluarkan lidahnya yang panjang seperti lidah ular, kemudian berkata: Inilah dia apabila memperkatakan syair (Ibn Manzur 1965: 177).

Al-Hutayah juga pernah menjelaskan dalam satu majlis yang diadakan oleh Said ibn al-As bahawa sebaik-baik penyair Arab itu ialah Abu Duad al-Ayad, Ubayd ibn al-Abras dan dirinya sendiri. Pernah juga al-Hutayah memberitahu Ibn Abbas ketika beliau datang kepadanya katanya: Sebaik-baik penyair ialah Zuhayr dan selepasnya bukan al-Nabighah, tetapi diriku. Kemudian beliau berkata lagi: Wahai anak bapa saudara Rasulullah (s.a.w.), jika tidak kerana tamak dan haloba nescaya akulah sebaik-baik penyair silam, tetapi yang terkemudian tidak syak lagi akulah sebaik-baik penyair di kalangan mereka itu (Sultan 1968: 170).

Syair telah menjadi darah daging al-Hutayah, oleh itu, beliau tidak dapat melupakannya sekalipun pada saat nyawanya hendak berpisah dari badannya. Diceritakan dari wasiatnya bahawa ketika hayatnya al-Hutayah ditanya, siapakah sebaik-baik penyair? Kemudian ditunjukkan ke arah mulutnya, katanya: Inilah dia apabila tamatkan kebaikan (Ilya Hawi 1970: 20).

Demikianlah di antara pandangan terhadap kebolehan al-Hutayah. Walaupun, pengakuan yang dibuat oleh tokoh-tokoh tersebut secara umum sahaja, iaitu berasaskan kepada perasaan masing-masing tanpa menyebut aspek tertentu, tetapi ini sudah cukup menunjukkan bahawa karya-karya al-Hutayah sangat bermutu. Karya-karyanya dapat menyentuh perasaan pendengar sehingga menyebabkan mereka memberi pengakuan tersebut. Jika syairnya tidak menarik sudah tentu al-Hutayah tidak mendapat sanjungan daripada mereka.

4.0PENUTUP

Al-Hutayah adalah seorang penyair mukhdram yang lemah imannya jika dibandingkan dengan tokoh-tokoh yang semasa dengannya. Al-Hutayah tidak mengetahui asal keturunannya dengan jelas kerana beliau merupakan anak zina. Beliau hidup terpisah daripada ibu bapanya dan saudara-maranya. Oleh sebab itu, beliau tidak mendapat perhatian dan kasih sayang yang secukupnya. Cacian dan tohmahan yang dilemparkan oleh masyarakat terhadap al-Hutayah kerana beliau merupakan anak zina menambahkan lagi tekanan jiwanya. Masalah keturunan yang dihadapi menyebabkan al-Hutayah tidak mendapat harta pusaka yang sepatutnya menjadi haknya. Kehidupan yang berliku dilalui al-Hutayah menjadikan beliau seorang yang berakhlak buruk. Seharusnya beliau perlu cuba mengatasi musibah yang menimpa dirinya dan menggantikan kekurangan yang ada dengan kerja-kerja yang dapat melahirkan kepahlawanan mereka.

Sebagai seorang penyair, al-Hutayah mempunyai kedudukan yang tidak kurang pentingnya jika dibandingkan dengan penyair-penyair lain pada zaman Jahili. Syairnya mempunyai nilai yang tinggi dan tidak asing lagi kepada orang-orang yang semasa dengannya. Beliau juga mempunyai diwan syair tersendiri iaitu diwan al-Hutayah yang menghimpunkan syair-syair yang diciptanya sendiri. Syair beliau menjadi bahan rujukan kepada ahli bahasa, penyair dan sasterawan selepasnya. Al-Hutayah lebih cenderung dalam syair hija tetapi tidak bererti beliau tidak terlibat langsung dengan tema-tema lain. Tema-tema lain seperti al-madh,al-ghazal, al-wasf, al-itidhar dan al-hikmah merupakan tema-tema yang tidak dapat dipisahkan lagi di kalangan penyair-penyair yang hidup pada zaman Jahili dan Islam.Hija merupakan satu tema yang tidak asing lagi dalam syair-syair Arab sejak ianya dilahirkan hingga ke zaman Islam dan seterusnya. Walaupun terdapat sedikit perubahan pada masa pemerintahan Bani Umayyah iaitu dari hija kepada naqaid tetapi dari segi matlamatnya adalah sama iaitu untuk menghina, mempertahankan kabilah-kabilah dan parti-parti politik tertentu. Terdapat perbezaan bagi hija yang lahir pada zaman Islam. Hal ini disebabkan Islam melarang seseorang itu mencerca seorang yang lain dengan tujuan menghina atau merendah-rendahkan satu golongan tetapi dibenarkan untuk mempertahankan Islam.

Kedudukan al-Hutayah ini telah membuktikan bahawa nama beliau sebaris di kalangan sejarawan Islam terkemuka yang lain, penyair hija yang mengkagumkan. Al-Hutayah dalam mencipta karya-karyanya banyak menumpukan perhatian kepada tema hija. Kemampuan mencipta berpuluh-puluh qasidah adalah merupakan kemampuannya yang sukar dicapai oleh penyair-penyair lain. Berdasarkan daya kreatifnya yang begitu tinggi, maka al-Hutayah dianggap sangat bijak menyusun kata-kata. Walaupun, tema yang diperkatakan itu kebanyakannya tema hija, tetapi beliau tetap dapat memberikan gambaran yang menarik dan memikat para pendengar dengan syair-syairnya.

Pada keseluruhannya memang diakui bahawa karya-karya al-Hutayah mengkagumkan tetapi di samping itu, terselit juga beberapa kekurangan. Bagaimanapun kekurangan dan kelemahan itu adalah perkara biasa yang tidak boleh dielakkan.

RUJUKAN

Al-Quran al-Karim

Abd al-Hamid Muhammad Jaidah. 1974. Al-Hija ind Ibn al-Rumi. Bayrut: Maktabah al-Alami li al-Tibaah wa al-Nashr.

Abd Sallam Muhammad Harun. 1967. Al-Bahgdadi Khazanah al-Adab. Misr: Dar al-Katib al-Arabi.

Al-Asfahani, Abu al-Faraj. 1928. Kitab al-Aghani. Jil. 2. Cairo: Maktabah Dar al-Kutub al-Misriyyah.

Al-Baghdadi, Abd al-Qadir ibn Umar. 1967. Khazanah al-Adab. Jil. 1. Cairo: Dar al-Katib al-Arabi.

Al-Zayyat, Ahmad Hassan. 1965. Tarikh al-Adab al-Arabi. Misr: Dar al-Nahdah

Al-Zirikly, Khayr al-Din. 1969. Al-Alam. Jil. 2. Bayrut: Dar al-Malayin.

Ata Bakri. 1967. Dirasat fi al-Shir al-Arabi. Baghdad: Matbaah al-Irshad.

Atiyyah, Muhammad Hashim. 1936. Al-Adab al-Arabi wa Tarikhuhu fi al-Asr al-Jahili. Cairo: Matbaah Mustafa al-Babi al-Halabi wa Awladuhu.

Awang bin Abdullah. 1981/82. Al-Hutayah Penyair Hija. Tesis Dr. Fal, Jabatan Pengajian Arab dan Tamadun Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia.

Dayf, Shawqi. 1973. Al-Tatawwur wa al-Tajdid fi al-Shir al-Umawi. Qahirah: Dar al-Maarif.

Ibn Manzur, Muhammad Mukarram ibn Manzur. 1964. Mukhtar al-Aghani fi al-Akhbar wa al-Tihani . Lubnan: Maktabah al-Islami linnashar.

Ibn Qutaybah, Abu Muhammad ibn Muslim. 1902. Kitab al-Shir wa al-Shuara. Leiden: Matbaah Brill.

Ilya Hawi. 1970. Al-Hutayah fi Sirotihi wa Nafsiyyatihi wa Shirihi. Bayrut: Dar al-Thaqofah.

Khalil, Abd al-Rahman. 1971. Dawr al-Shir fi Marakah al-Dawah al-Islamiyyah Ayyam al-Rasul. Algeria: Al-Sharikat al-Wataniyyah li al-Nashr wa al-Tawzi.

Males Sutiasumarga. 2000. Kesusasteraan Arab Asal Mula dan Perkembangannya. Jakarta: Zikrul Hakim.

Muhammad Hajj Hassan. 1944. Abqariyah al-Adab al-Arabi. Haziran: t.p.

Nallino Carlo. 1970. Al-Adab al-Arabi min al-Jahiliyyah ila Asr Bani Umayyah. Cairo: Dar al-Maarif.

Norma Salleh. 1986. Perkembangn Penulisan Ilmiah dan Pengaruhnya di dalam Kesusasteraan Arab Zaman Abbasiyyah. Bangi: Universiti Kebangsaan Malaysia.

Numan Amin Taha. 1958. Diwan al-Hutayah. Misr: Matbaah Mustafa al-Babi al-Halabi wa Awladuhu.

Osman Haji Khalid. 1987. Kesusasteraan Arab di Zaman Permulaan Islam. Bangi: Penerbitan Nadhi.

Osman Haji Khalid. 1994. Kajian Teks Pilihan Kesusasteraan Arab. Pulau Pinang: Dewan Muslimat Sdn. Bhd.

Sultan Jamil. 1968. Al-Hutayah. Bayrut: Dar al-Anwar.

Taha Husayn. 1936. Min Tarikh al-Adab al-Arabi al-Asr al-Jahili wa Islami. Bayrut: Dar al-Ilm lil Malayin.

The Encyclopaedia of Islam. 1987. Leidin: E.J. Brill.