View
37
Download
0
Category
Preview:
Citation preview
UCAPAN
YANG BERBAHAGIA TAN SRI
MOHAMAD ZABIDI ZAINAL
SEMPENA
PERHIMPUNAN BULANAN JPA
MAC 2016
‘TIGA TAHUN KEMBARA TRANSFORMASI’
15 MAC 2016 (SELASA), 9.00 PAGI
AUDITORIUM JPA, ARAS 4
2
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, Salam
Transformasi dan Salam “1Malaysia: Rakyat Didahulukan,
Pencapaian Diutamakan” dan Salam Sehati Sejiwa.
Terima kasih Saudara dan Saudari Pengacara Majlis
Yang Berbahagia Dato’ Jalil Marzuki
Timbalan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam
(Pembangunan)
Yang Berbahagia Dato’ Raihan Sharif
Timbalan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (Operasi)
Yang Berbahagia Dato’ Mohtar Mohd Abd Rahman
Pengarah
Bahagian Perkhidmatan
Yang Berbahagia Datuk-Datuk, Datin-Datin, Tuan-tuan dan
Puan-puan
Warga JPA Penggerak Transformasi Perkhidmatan Awam
yang saya kasihi sekalian
Alhamdulillah, setinggi-tinggi kesyukuran dirafakkan ke
hadrat Allah SWT kerana dengan limpah kurnia dan inayah-
3
Nya jua, maka kita dapat bersama-sama di dalam
Perhimpunan Bulanan JPA bagi bulan Mac 2016.
2. Sesungguhnya, hari ini, tanggal 15 Mac 2016, bukanlah
tarikh yang biasa-biasa. Maka, perhimpunan bulanan kita
pada hari ini juga, bukanlah perhimpunan yang biasa-biasa.
Tanggal 15 Mac 2016 mengukir sesuatu yang istimewa bagi
kita semua.
3. Tiga tahun yang lalu, pada tarikh yang sama seperti
hari ini, kita telah memulakan perjalanan dan kembara yang
menjadikan kita seperti yang ada pada hari ini. Sebuah
perjalanan penuh gelora dan kisah-kisah pahit manis
perjuangan menjulang obor transformasi menerangi seluruh
Perkhidmatan Awam.
4. Maka, saya mengucapkan terima kasih dan tahniah
kepada seluruh warga Bahagian Perkhidmatan yang
dipimpin oleh Yang Berbahagia Dato’ Mohtar Mohd Abd
Rahman kerana menganjurkan Perhimpunan Bulanan JPA
bagi bulan Mac 2016 ini.
4
KELAKUAN-KELAKUAN SEORANG CEO DALAM MENERAJUI
TRANSFORMASI
Warga JPA yang saya kasihi sekalian,
5. Bersempena tiga tahun pelayaran transformasi
Perkhidmatan Awam yang telah sama-sama kita lalui ini,
saya ingin berkongsi dengan Tuan-tuan dan Puan-puan,
empat kelakuan-kelakuan penting yang mendasari
pelaksanaan Transformasi yang telah saya laksanakan,
sejak diamanahkan sebagai Ketua Pengarah Perkhidmatan
Awam, Malaysia bermula 15 Mac tahun 2013.
6. Kelakuan-kelakuan ini adalah seperti mana sebuah
karya yang ditulis oleh Carolyn B. Aiken dan Scott P. Keller,
dua tokoh penyelidik korporat terkemuka yang diterbitkan
oleh McKinsey bertajuk ‘The CEO’s Role in Leading
Transformation’.
7. Pertamanya ialah ‘Menjadikan Transformasi Sesuatu
Yang Signifikan’, Kedua adalah ‘Menjadi Role-Model Dari
Segi Mindset dan Perangai’, Ketiga ‘Membangunkan
Pasukan yang Teguh dan Komited’ dan Keempat
‘Mewujudkan Impak Tanpa Henti’.
5
MENJADIKAN TRANSFORMASI SESUATU YANG SIGNIFIKAN
8. Kelakuan yang pertama adalah “Menjadikan
Transformasi Sesuatu yang Signifikan”. Ia bermaksud
seseorang CEO itu hendaklah sentiasa berkongsi visinya
menerusi pelbagai kisah-kisah transformasi dengan
berbagai-bagai cara secara kerap.
9. Dalam ‘rule of thumb’ sesebuah pengiklanan yang
cemerlang, Tuan-tuan dan Puan-puan kena sampaikan
sesuatu produk yang hendak diiklankan itu sebanyak 7 kali,
barulah orang akan terima produk kita.
10. Sebab itulah, saya yakin Tuan-tuan dan Puan-puan
akan faham kenapa saya acap kali mengulangi Kerangka
Transformasi Perkhidmatan Awam dengan lima Teras
Strategiknya iaitu Mendaya Upaya Bakat, Merekayasa
Organisasi, Merakyatkan Penyampaian Perkhidmatan,
Merangkum dan Sepunya serta Membudaya Nilai.
11. Dalam memastikan transformasi itu berjaya,
seseorang CEO perlu melakukan pendekatan bersifat
personal. Berkongsi pengalaman dan anekdot-anekdot yang
boleh memberi inspirasi kepada kejayaan transformasi.
6
Warga JPA yang saya kasihi,
12. Masih segar dalam ingatan saya, saat-saat dramatik
saya dilantik sebagai Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam.
Sebagai KPPA yang ke-21, saya sentiasa menganggap
bahawa zaman saya memimpin ini sudah jauh berbeza
dengan KPPA-KPPA terdahulu yang mungkin melaporkan
diri kepada bos di dalam pejabat, di bawah penghawa dingin
yang nyaman serta sambutan-sambutan yang selayaknya
bagi seorang KPPA.
13. Namun, tanggal 15 Mac 2013 ini berbeza episodnya.
Saya melaporkan diri pada hari pertama sebagai KPPA di
atas helikopter sewaktu dalam penerbangan ke Lahad Datu
kepada Tan Sri Dr. Ali Hamsa, Ketua Setiausaha Negara.
Saat-saat ini begitu tragik buat negara apabila berlakunya
insiden keganasan di Lahad Datu, Sabah.
14. Jika diikutkan, sebagai KPPA, saya mungkin hanya
perlu duduk sahaja di pejabat menguruskan perkara-perkara
yang bersifat status quo. Namun, sebagaimana yang saya
nyatakan tadi, zaman sudah berubah. Rakyat juga sudah
berubah. Perubahan-perubahan yang berlaku ini begitu
pantas dan menuntut kita untuk sama-sama melakukan
transformasi.
7
15. Seperti juga yang saya pernah ceritakan dahulu,
peristiwa seperti ini bukanlah baharu kerana, sewaktu saya
diarahkan bertugas dari Kementerian Kesihatan Malaysia
kepada sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis juga
berlaku dalam tempoh kurang dari 24 jam.
16. Kemudian, setelah saya melaporkan diri sebagai
KPPA, antara tugas pertama yang diamanahkan kepada
saya adalah pelaksanaan Tabung Wira Negara sebagaimana
dinyatakan dalam Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 4
Tahun 2013.
17. Jika difikirkan secara logik, urusan menguruskan
Tabung Wira Negara ini juga tidak berkait rapat secara
langsung dengan tugas-tugas sumber manusia dan
pengurusan organisasi yang merupakan perkhidmatan teras
JPA. Namun begitu, sebagaimana yang saya nyatakan tadi,
kita bekerja mengikut keperluan dan perubahan masa dan
persekitaran.
18. Maka, sebagai pegawai yang diamanahkan oleh
Kerajaan, kita tidak boleh berkata ‘tidak’. Kita harus
laksanakan jua sehingga ia berjaya.
8
19. Warga JPA yang saya kasihi, sekiranya saya sebagai
seorang KPPA boleh menangani cabaran-cabaran ini, maka
saya yakin Tuan-tuan dan Puan-puan juga boleh melakukan
perkara yang sama.
20. Untuk menjadikan transformasi itu sesuatu yang
signifikan juga mesti bermula dengan engagement yang erat
dengan mereka-mereka yang berkepentingan.
21. Tanpa menafikan kepentingan pendekatan ‘Top-Down’,
saya mengambil keputusan untuk melaksanakan
pendekatan ‘Bottom-Up’ di awal pelaksanana Transformasi.
Pada Mei 2013, kita telah melaksanakan Seminar
Perancangan Strategik di INTURA. Saya mahukan agar kita
laksanakan konsep ‘Outside In’ berbanding ‘Inside Out’.
22. Sesungguhnya saya percaya bahawa, kejayaan agenda
transformasi ini hanya akan terhasil daripada gabungan
tenaga dan kesungguhan semua peringkat sama ada kita
pegawai bawahan atau pengurusan atasan.
23. Kemudian kita telah turun padang mengadakan sesi
engagement bersama semua pelanggan JPA termasuklah
9
golongan pesara, penjawat awam, penjawat awam muda
serta kesatuan-kesatuan sekerja.
24. Seterusnya, dalam memastikan kejayaan agenda
transformasi, seseorang CEO haruslah sentiasa menguar-
uarkan kisah kejayaan yang dicapai oleh organisasi. Sebab
itulah, kita laksanakan Gallery Walk KTPA sebagaimana
diadakan di INTAN Kampus Wilayah Tengah pada akhir
tahun yang lalu.
25. Malah pada hari ini pun, saya difahamkan, BTSA turut
menganjurkan Gallery Walk di Lobi C1 melibatkan agensi
dan Kementerian-kementerian lain.
26. Kemudian, kita juga wujudkan JPA4U. Jenama JPA4U
pada hari ini, alhamdulillah sudah tersohor di merata-rata
tempat. JPA4U bukan sekadar perkhidmatan-perkhidmatan
teras JPA yang kita berikan, bahkan juga perkhidmatan-
perkhidmatan lain yang diperlukan pelanggan seperti
khidmat masyarakat dan kemudahan-kemudahan kepada
warga organisasi sendiri.
27. Lihat sajalah kaunter 1Serve yang kita laksanakan di
mana, sehingga kini lebih 90 peratus berpuas hati dengan
10
pelaksanaannya. Karavan Tani JPA4U pula telah
memanfaatkan ribuan warga Kompleks C untuk membeli
barangan keperluan dapur, barangan harian dan makanan
dengan harga “best buy” yang sangat berpatutan dan murah
dari harga biasa.
28. Dalam proses melaksanakan transformasi ini,
barangkali kita juga tidak terkhilaf dari melakukan
kesilapan, namun, kita harus sentiasa positif. Jadikan
kesilapan-kesilapan ini sebagai pedoman untuk kita terus
mengukir kejayaan. Jangan biarkan unsur-unsur negatif
menguasai diri kita kerana ia mampu meranapkan segala
apa yang kita rancang.
MENJADI ROLE-MODEL DARI SEGI MINDSET DAN PERANGAI
Warga JPA yang saya kasihi,
29. Perlakuan kedua adalah ‘Menjadi Role-Model dari Segi
Mindset dan Perangai’. Dalam hal ini, perihal ‘lead by
example’ atau kepimpinan melalui teladan adalah amat
bertepatan.
30. Melaksanakan transformasi ini maknanya kita
mentransformasikan diri kita terlebih dahulu. Sebagai
11
seorang pemimpin yang hebat itu umpama sebuah pokok
yang baik, pucuknya menjulang tinggi ke langit, namun
akarnya menunjang teguh ke dalam tanah.
31. Sebab itu, sebagai seorang KPPA, saya tidak sahaja
melaksanakan tugas sebagai seorang pegawai kanan
Kerajaan, bahkan juga sebagai seorang pemegang institusi
KPPA yang merupakan institusi yang mempunyai sejarahnya
yang panjang dan legasinya yang cemerlang sejak 20 orang
pemegangnya yang terdahulu seperti Sir John Huggins dan
Tan Sri Abdul Kadir Shamsudin.
32. Sebagai Role-Model, seorang CEO itu harus
melaksanakan sesuatu yang bersifat simbolik. Pendaya
upayaan bakat cemerlang seperti Berlian Tergilap, Kapal
Transformasi, Pohon Transformasi serta Lagu Kembara
Transformasi yang kita sama-sama nyanyikan tadi juga
adalah merupakan sebahagian daripada tindakan simbolik
yang kita laksanakan.
33. Semua ini kita laksanakan untuk apa? Tidak lain tidak
bukan kerana kita ingin mewujudkan entiti korporat yang
melambangkan kesungguhan dan komitmen kita untuk
benar-benar menjayakan agenda KTPA ini.
12
MEMBANGUNKAN PASUKAN YANG TEGUH DAN KOMITED
Warga JPA yang saya kasihi sekalian,
34. Kelakuan yang ketiga seterusnya adalah
‘Membangunkan Pasukan yang Teguh dan Komited’. Untuk
membentuk pasukan seperti ini, seseorang CEO perlu
melaburkan masanya untuk memastikan pasukan tersebut
mencapai matlamat penubuhannya di samping sentiasa
melakukan penilaian dan penambahbaikan.
35. Sudah tentulah tugas ini tidak mampu digalas oleh
seorang CEO semata-mata. Maka, saya telah
menggemblingkan Sekretariat Transformasi Perkhidmatan
Awam atau SKTPA pada ketika itu untuk menjadi focal point
kepada gerakan transformasi di JPA.
36. Mengambil kira bahawa agenda transformasi ini
memerlukan sebuah pasukan yang teguh, komited dan
mantap, maka, saya telah menubuhkan Bahagian
Transformasi Sektor Awam sebagai kesinambungan kepada
SKTPA untuk memartabatkan lagi Kerangka Transformasi
Jabatan Perkhidmatan Awam ke seluruh Perkhidmatan
Awam.
13
37. Bagi memastikan sesebuah pasukan itu benar-benar
mantap, seorang CEO perlulah melaburkan masanya untuk
bersama-sama pasukan. Kerana itu, saya mengambil
keputusan untuk sama-sama menyinsing lengan, bersusah
payah bersama-sama Tuan-tuan dan Puan-puan turun
padang ke seluruh negara termasuklah ke luar negara bagi
memberikan penerangan tentang betapa perlunya kita
melakukan transformasi.
38. Tidak sekadar itu, pelaksanaan hashtag (#) Tahun
Keseronokan Bekerja yang melibatkan bukan sahaja
program-program yang bersifat serius, bahkan juga aktiviti-
aktiviti santai tapi penuh bermakna bersama seluruh warga
JPA.
MEWUJUDKAN IMPAK TANPA HENTI
Warga JPA yang saya kasihi,
39. Seterusnya, perkara yang keempat yang perlu
dilakukan oleh seseorang CEO dalam menerajui
transformasi adalah ‘Mewujudkan Impak Tanpa Henti’.
14
40. Dalam hal ini, komitmen, motivasi dan kesungguhan
adalah ramuan yang begitu penting dalam kejayaan
transformasi.
41. Antara impak signifikan yang dicapai adalah kejayaan
perekayasaan organisasi di JPA yang berjaya
mengurangkan sebanyak 507 perjawatan dengan
melibatkan penjimatan kos emolumen sebanyak RM12.8
juta adalah sebahagian daripada proses ini.
42. Begitu juga dengan penambahbaikan 81 skim
perkhidmatan yang telah dinikmati oleh 613,743 penjawat
awam dari segi kenaikan gaji dan kemajuan karier bagi
memastikan kadar gaji minimum dan elaun penjawat awam
selaras dengan kos sara hidup semasa, serta pemansuhan
38,051 perjawatan untuk keseluruhan sektor awam dengan
penjimatan emolumen sebanyak RM195 juta setahun
melalui kaedah tukar ganti (trade-off), redeployment dan
melalui kerjasama strategik, dilaksanakan bertujuan untuk
membina pasukan transformasi yang lebih optimum dan
kejat.
15
43. Ini juga termasuklah 66 agensi telah disusun dan
distruktur semula bagi membolehkan pendekatan kerja
secara matrik dilaksanakan.
44. Untuk mewujudkan impak yang berterusan kepada
agenda transformasi yang dilaksanakan, seorang CEO perlu
memastikan pemimpin-pemimpin pasukan di bawahnya
benar-benar menjunjung tinggi integriti dan akauntabiliti.
45. Setiap data dan fakta yang dikemukakan hasil
pelaksanaan sesebuah tugas mestilah dilaporkan dengan
jujur dan benar sebagaimana kata pepatah arab ‘berkatalah
benar sekali pun pahit’. Ini kerana, apa yang kita mahukan
pada akhirnya bukanlah sekadar omongan kosong, mahu
pun cerita-cerita indah dari kayangan bersulamkan
fatamorgana semata-mata.
46. Yang kita hajatkan sesungguhnya adalah impak dan
natijah nan elok lagi berkat demi kesejahteraan penjawat
awam, serta manfaat yang dilimpahkan kepada rakyat dan
negara.
16
PUISI KHAS “MENCARI MAHLIGAI TRANSFORMASI”
Warga JPA yang amat saya kasihi,
47. Sesungguhnya, segala apa yang telah berlalu
termasuklah nikmat kejayaan dan pencapaian luar biasa
yang kita kecapi, adalah merupakan ketentuan dan takdir
yang maha berkuasa. Maka, atas segala rahmat dan
kurniaan ini, maka saya mengajak seluruh warga JPA untuk
sentiasalah bersyukur dan dalam masa yang sama
melipatgandakan usaha untuk terus menjadikan
Perkhidmatan Awam ke mercu keterbilangan suatu masa
kelak.
48. Tiga tahun adalah satu perjalanan yang sangat
bermakna bagi saya. Maka, dalam kita meraikan segala
hasil mahsul dan nikmatnya transformasi ini, izinkan saya
mengakhiri ucapan dengan deklamasi stanza puisi yang
saya nukilkan khas untuk seluruh warga JPA sama ada yang
masih ada di sini atau pun yang telah meneruskan kelana di
agensi lain. Sama-samalah kita hayati.
17
Nun di puncak mahligai,
Kita melihat kota-kota lama,
Terkurung di sebalik tembok-tembok besi keras dan waja,
Kusam dan usang, bergentayangan sesama mereka
Sunyi terjulur, sepi tanpa luhur.
Seribu sembilan puluh lima hari yang lalu,
Kitalah pengembara baharu,
Menemui destinasi keramat itu,
Dengan jerih payah meredah perjalanan penuh berliku.
Dari utara ke ufuk jaya,
Mengarak panji transformasi Perkhidmatan Awam Negara,
Menyemarak rasa, mempasak naluri, merunduk raga,
Kita semaikan rasa tanggungjawab bangsa merdeka.
Mukadimah bicara,
Kita jamahi jiwa-jiwa dan bakat terselam,
Menggali keistimewaan, mencungkil intan, menggilap
berlian,
Memantap akar pemikiran, menyalakan api perjuangan,
Demi nusa dan negara terbilang.
18
Lalu kita bina warga mandiri,
Kita susuni lapisan organisasi,
Merekayasa yang kendur,
Memajukan yang mundur,
Memenuhi setiap peluang,
Memanfaat segenap ruang,
Demi rakyat dan masa hadapan.
Beruntun-runtun impian,
Berentetan ekspektasi perkhidmatan,
Kita pintal menjadi tali temali pengharapan,
Sebagai jambatan iltizam,
Menuju destinasi wawasan.
Kita santuni dan ramahi,
Setiap nuansa pemikiran dan perbedaan pekerti,
Kita amati dan fahami,
Setiap kemasyghulan dan kekecewaan hati,
Kita rawati dan pugari,
Menyembuh kesuraman menyubur kegembiraan,
Sebagai landasan mencipta kecemerlangan,
Kerana pucuk penyampaian yang megah,
Bermula dari akar yang gagah.
19
Dulunya juga kita berseorangan,
Orangnya ramai, tapi sendirian,
Lalu kita tanya pada diri;
“Saya ini mengapa
Atau kamu itu bagaimana?”
Kita turun dari mahligai itu,
Seraya kita menderam jentolak,
Meroboh tembok-tembok keangkuhan,
Mengubur ego-ego yang beruntaian,
Ke utara, selatan, timur dan barat,
Tinggalkan hikmat dan segala pangkat,
Membina semula kota-kota berkat.
Dalam keghairahan melaksanakan perubahan,
Barang difikir tentang nilai dan keyakinan,
Orang-orang tua lama berkata,
Bagaimana tidak diikat,
Kain batik sama sujinya,
Bagaimana tidak diingat,
Orang baik bahasa budinya,
Beginilah kita hajatkan setiap penjawat,
Elok perangai cantik segala sifat.
20
Setelah seribu sembilan puluh lima hari berlalu,
Kita adalah kita,
Meletakkan hak di tempatnya,
Merealiti jaya bukan sekadar satira,
Membangun mahligai transformasi baharu,
Gedung-gedung makrifat di mana-mana.
Seyogia kita banyaklah bersyukur,
Kota-kota kita kini masyhur,
Dipandang tinggi serta mulia,
Dikasihi masyarakat serta negara,
Kerana kesungguhan kita berpenat lelah,
Kerana muafakat kita penuh hikmah,
Kita setia menggalas amanat,
Kita taat menjunjung daulat.
Namun sedarlah jagat ini sentiasa berputar,
Yang ada akan tiada,
Yang tiada kembali ada,
Bangunlah dari lenamu,
Sedarlah kita akan hakikat,
Mahligai itu hanya persinggahan,
Kembara kita masih jauh.
Recommended