REFLEKSI KENDIRI
Pelaksanaan Bina Insan Guru (BIG) adalah berasaskan kepada kesedaran bahawa
profesion keguruan adalah mulia dan insan guru adalah pembina generasi, pembentuk jati
diri dan role model kepada masyarakat, justeru guru harus mampu menyesuaikan diri dalam
semua keadaan dan mampu menangani cabaran era globalisasi. Melalui aktiviti yang
dirancang, pelajar dapat mengenal diri dan mampu mengaplikasikan pengetahuan dan
pengalaman yang diperoleh ke arah pembangunan diri sebagai insan guru secara
berterusan. Program ini diharap dapat melahirkan guru-guru yang memiliki kemantapan
sahsiah dan kuasa professional yang tinggi dan akan sentiasa bersedia di samping mampu
menangani pelbagai cabaran pendidikan dalam arus globalisasi.
Pada semester 5 iaitu Bina Insan Guru (BIG) Fasa 5, kami dikehendaki
melaksanakan bengkel dan ceramah berkaitan dengan pengurusan pendidikan dan program
Lawatan Penanda Aras atau Benchmarking ke sebuah sekolah. Program ini bertujuan
memupuk kesedaran tentang perkembangan kemahiran latihan dan benchmarking. Melalui
program ini, para guru pelatih akan didedahkan dengan Surat Pekeliling Ikhtisas dan ciri-ciri
kepimpinan serta teknik pengurusan sesebuah organisasi ataupun sekolah. BIG pada kali ini
banyak memberikan kepentingan kepada diri, kerjaya, organisasi dan juga kepada komuniti.
Diri
Program BIG pada kali ini banyak memberikan input kepada saya untuk membina
nilai-nilai sahsiah keguruan, meningkatkan daya ketahanan dan fizikal saya dari aspek
fizikal, mental, emosi, rohani dan sosial sebagai bekalan sebelum menjadi seorang guru
yang berjaya kelak. Bengkel pengurusan pendidikan yang disampaikan oleh Encik Agus
Yanul selaku Pegawai Pendidikan Daerah Keningau banyak memberikan informasi dan
pendedahan awal kepada saya sebelum menceburkan diri dalam bidang pendidikan. Beliau
menjelaskan perkara-perkara yang perlu diketahui oleh bakal pendidik. Antaranya ialah
mengenai guru dan perundangan, mandat, akta-akta yang berkaitan dengan pendidikan,
surat pekelling ikhtisas, pekeliling perkhidmatan, fungsi JPN dan sektor-sektor fungsi dan
peranan PPD serta banyak lagi.
Dalam bengkel ini, kami ditugaskan untuk mencari maklumat mengenai tajuk yang
telah diberikan secara berkumpulan. Kemudian, kami perlu membentangkan hasil dapatan
yang telah kami perolehi. Kumpulan saya ditugaskan untuk mengumpul informasi mengenai
visi dan misi Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) Sabah. Melalui aktiviti yang dilaksanakan ini,
saya dapat memperolehi ilmu baharu yang tidak saya ketahui sebelum ini. Bagi diri saya
sendiri, sebagai seorang penuntut institusi Sabah, saya perlu mengetahui visi dan misi
Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) agar dapat mencapai standard yang ingin dicapai yang
telah digariskan dalam bidang pendidikan.
Manakala, bagi program BIG yang kedua pula iaitu lawatan penanda arasan ataupun
Benchmarking, guru pelatih PISMP Bahasa Melayu Semester 5 telah memilih Sekolah
Kluster Kecemerlangan SK Mutiara yang terletak di Kota Kinabalu Sabah. Secara peribadi,
ini adalah merupakan pengalaman yang amat berharga bagi saya kerana berpeluang untuk
melihat sendiri sebuah sekolah yang mampu mencapai kecemerlangan dalam pelbagai
aspek sama ada akademik, kokurikulum mahupun dari segi pentadbiran sekolah tersebut.
Sekolah ini terletak jauh di kawasan pinggir bandar dan agak tersembunyi, namun sekolah
ini mampu bersinar dan disebabkan itulah sekolah ini dipanggil Sk Mutiara. Program ini
memberikan impak yang besar dalam diri saya kerana walaupun sekolah ini terletak jauh,
namun masih mampu mengangkat nama setanding ataupun lebih baik daripada sekolah-
sekolah yang ada di kawasan bandar.
Kerjaya
Program BIG yang pertama iaitu bengkel pengurusan pendidikan sememangnya
memberikan impak yang amat besar dari segi kerjaya saya sebagai seorang bakal pendidik.
Informasi terkini yang diberikan mengenai bidang-bidang pendidikan di negara kita
memberikan pendedahan awal kepada saya sebelum menceburkan diri dalam bidang
pendidikan. Melalui maklumat yang diberikan oleh Encik Agus, saya dapat melihat
gambaran awal mengenai isu-isu semasa yang berlaku dalam dunia pendidikan seperti
Falsafah Pendidikan Kebangsaan, Falsafah Pendidikan Guru, Visi dan Misi Jabatan
Pelajaran Negeri, tugas dan peranan pihak-pihak tertentu seperti PPD dan sebagainya.
Lawatan penanda aras yang dilaksanakan juga memberikan pendedahan awal kepada saya
untuk melihat bagaimana sesebuah sekolah mencapai kecemerlangan dalam pelbagai
aspek. Sebagai seorang guru, tugas mendidik tidak hanya terbatas di dalam kelas sahaja,
malah guru perlu mendidik murid dari pelbagai aspek seperti sahsiah, penglibatan dalam
aktiviti luar kelas, kokurikulum dan sebagainya. Sk Mutiara menunjukkan pencapaian yang
cemerlang terutamanya dalam Bahasa Inggeris, Murid di sekolah tersebut biasa bertutur
dalam Bahasa Inggeris antara satu sama lain. Sekolah ini juga mempunyai duta murid yang
akan bertugas untuk memperkenalkan sekolah kepada para tetamu yang datang ke sekolah
tersebut dengan mengunakan pelbagai bahasa seperti Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris,
Bahasa Cina, Bahasa Arab dan Bahasa Dusun. Sekolah ini telah diiktiraf oleh Kementerian
Pendidikan Malaysia sebagai Sekolah Kluster Kecemerlangan baru-baru ini juga iaitu pada 3
Mac 2015 yang lalu. Selain itu, sekolah ini juga telah melaksanakan pelbagai inovasi dalam
dalan kaedah pengajaran dan pembelajaran seperti Program Gemilang untuk murid-murid
Tahun 6, Mini Tutors dan sebagainya. Program-program seperti ini membantu saya dalam
kerjaya sebagai seorang bakal guru untuk sentiasa melaksanakan inovasi dalam pengajaran
dan pembelajaran untuk menjadikannya lebih menarik serta membantu mencapai objektif
pembelajaran.
Organisasi
Sebelum menjalani program ini kami terlebih dahulu telah melaksanakan tugas
sebagai ahli Jawatankuasa bagi setiap jawatan. Sepanjang proses persediaan melakukan
progam BIG kali ini, kami telah mengadakan mesyuarat beberapa kali yang mana mesyuarat
ini telah banyak membantu kami untuk mendapatkan informasi terkini mengenai program
BIG dan juga untuk menjalankan tugas AJK masing-masing. Saya merasakan program ini
memberikan kesan yang positif terhadap diri saya sendiri apabila saya dilantik sebagai
bendahari. Saya juga sedar memikul sesuatu tanggungjawab bukan perkara yang mudah
dan memerlukan kecekalan dan ketabahan. Saya berharap semoga suatu hari nanti saya
juga boleh menjadi pemimpin yang baik dan dan mempertingkatkan lagi keyakinan dalam
diri saya.
Di samping itu, saya juga dapat melihat organisasi yang sistematik di SK Mutiara dan
tidak hairan sekiranya sekolah tersebut diiktiraf sebagai sekolah kluster. Hal ini adalah
kerana, bukan hanya pihak sekolah sahaja yang bersungguh-sungguh dalam mencapai
tahap prestasi akademik dan kokurikulum sekolah tersebut, malah pihak PIBG sekolah
tersebut juga memberikan sokongan yang padu bagi membantu pihak sekolah dalam
mendidik anak-anak mereka. Sebagai contoh, pihak PIBG sekolah menyediakan modul
latihan kepada murid-murid sekolah tersebut sebagai kerja rumah setiap kali bermulanya
cuti persekolahan. Ibu bapa menggalas tanggungjawab untuk memantau anak murid setiap
kali melaksanakan tugasan yang diberikan. Justeru disini kita dapat lihat, organisasi sekolah
tersebut bukan sahaja sistematik dari pihak pentadbir malah pihak PIBG juga sentiasa
memberikan sekongan yang padu kepada pihak sekolah.
Kesimpulannya, sebagai bakal guru pada masa hadapan maka adalah penting bagi
kami untuk sentiasa bersiap sedia untuk memikul beban dan menggalas tanggungjawab
ketika memikul sesuatu tugas yang berat di samping sentiasa bekerjasama demi kebaikan
bersama. Sesebuah organisasi hanya akan teguh berdiri jika wujudnya komitmen,
kerjasama dan tanggungjawab antara ahlinya.
Komuniti
Komuniti merupakan masyarakat yang berada dekat atau berada di sekeliling kita.
Maka oleh itu adalah penting untuk kita menjalinkan hubungan yang erat dan murni diantara
masyarakat. Pada program BIG kali ini memberi keutamaan dalam pembinaan insan guru
yang berakhlak mulia, bersemangat juang yang tinggi, mempunyai ketahanan fizikal dan
mental, bermanfaat kepada diri, keluarga, masyarakat serta negara selaras dengan nilai-
nilai keguruan. Oleh yang demikian, kata kunci pembinaan guru yang bermanfaat kepada
masyarakat boleh diberikan penekanan utama.
Seperti yang sudah saya katakan tadi bahawa, kerjaya sebagai seorang guru tidak
hanya berfokuskan kepada murid-murid malah melibatkan ibu bapa, keluarga dan
persekitaran mereka yang disebut sebagai komuniti. Kemahiran interpersonal yang tinggi
amat diperlukan agar kita dapat berkomunikasi dengan baik dan sopan dengan komuniti
yang ada di sekeliling kita. Hubungan yang baik antara guru dan ibu bapa di SK Mutiara
mampu mewujudkan suasana pembelajaran yang amat kondusif untuk murid-murid di
sekolah tersebut sehingga mereka mampu mencapai tahap sebagai sekolah kluster.
Kesimpulannya, jelaslah disini bahawa Program BIG Fasa 5 memberikan impak
positif yang sangat besar kepada semua peserta bukan hanya kepada diri sendiri malah
kepada kerjaya pada masa akan datang, dalam sesebuah organisasi dan juga dalam
komuniti yang didiami.