Pengertian, metodologi, kritikan dan dokumen sejarah

Embed Size (px)

DESCRIPTION

Tanpa memahami secara mendalam tentang pengertian sejarah, maka sukar bagi seseorang itu menjalankan penyelidikan sejarah dan seterusnya menghasilkan penulisan sejarah secara berkualiti (Sivarajan & Malar Arasi,2012). Penakrifan tentang sejarah dan pemahaman terhadap ruang lingkup sejarah amat penting untuk memudahkah ahli sejarah menjalankan penyelidikan terhadap bidang yang mereka minati. Terdapat pelbagai pengertian sejarah yang berbeza-beza diberikan oleh tokoh-tokoh sejarah. Sejarah adalah peristiwa yang terjadi pada masa lampau yang disusun mengikut peninggalan pelbagai peristiwa. Peninggalan itu disebut sebagai sumber sejarah. Menurut kamus dewan edisi keempat, sejarah bererti asal-usul (keturunan), salasilah, peristiwa yang benar-benar berlaku pada waktu yang lampau, kisah, riwayat, tambo dan tawarikh.

Citation preview

1.PENGENALANPada hakikatnya, kepentingan sejarah telah dinyatakan dengan jelas dalam Al-Quran Al-Karim. Ulama telah menganggarkan kira-kira satu perenam daripada Al-Quran adalah terdiri daripada kisah-kisah sejarah. Hubungan antara manusia dan sejarah tidak dapat dipisahkan. Sering kita hayati dan mengimbau suatu peristiwa lampau yang banyak memberi impak positif mahupun negatif dalam diri masing-masing. Sejarah sebenarnya bukanlah sesuatu yang baru dalam kehidupan individu yang bergelar manusia kerana kita sering membaca, mengucap, mendengar dan menulis sejarah itu secara sedar mahupun tidak sedar.Sejarah merupakan sistem yang meneliti sesuatu kejadian sejak awal dan tersusun dalam bentuk kronologi (Aristotle dalam buku Abdul Rahman Haji Abdullah ,2003). Setiap manusia mempunyai sejarah masing-masing disebabkan unsur sejarah itu sendiri yang amat penting dan bermakna dalam diri manusia amnya. Rentetan sejarah yang kita lalui hingga usia yang kita capai sekarang menjadikan kita bertambah matang dan baik dari pelbagai aspek. Justeru sejarah menjadi suatu elemen penting dalam perkembangan individu itu untuk mencapai kehidupan yang lebih berkualiti dan selesa.. Pertalian masa kini dan masa lalu amat berkait rapat dan amat jelas. Masa kini adalah intipati atau hasil berpunca sama ada dari segi sains, ekonomi mahupun politik, yang akhirnya menjadi sebahagian besar sesebuah negara. Sejarah mencerminkan keperibadian seseorang individu mahupun menunjukkan kemegahan sesebuah empayar. Oleh itu, mendalami sejarah secara holistik membolehkan kita meningkatkan keperibadian diri dan itulah serba sedikit yang terkandung dalam kerja kursus ini.2. PENGERTIAN SEJARAHTanpa memahami secara mendalam tentang pengertian sejarah, maka sukar bagi seseorang itu menjalankan penyelidikan sejarah dan seterusnya menghasilkan penulisan sejarah secara berkualiti (Sivarajan & Malar Arasi,2012). Penakrifan tentang sejarah dan pemahaman terhadap ruang lingkup sejarah amat penting untuk memudahkah ahli sejarah menjalankan penyelidikan terhadap bidang yang mereka minati. Terdapat pelbagai pengertian sejarah yang berbeza-beza diberikan oleh tokoh-tokoh sejarah. Sejarah adalah peristiwa yang terjadi pada masa lampau yang disusun mengikut peninggalan pelbagai peristiwa. Peninggalan itu disebut sebagai sumber sejarah. Menurut kamus dewan edisi keempat, sejarah bererti asal-usul (keturunan), salasilah, peristiwa yang benar-benar berlaku pada waktu yang lampau, kisah, riwayat, tambo[footnoteRef:1] dan tawarikh. [1: Tambo yang dimaksudkan di sini adalah riwayat dahulu kala. ]

2.1Perspektif TimurPertamanya mari kita lihat pengertian sejarah dari perspektif Timur. Ibnu Khaldun mengatakan sejarah adalah catatan atau maklumat tentang masyarakat dan tamadun dunia dan perubahan yang berlaku pada masyarakat tersebut ( Muhd Yusuf Ibrahim,2000). Dalam bahagian pendahuluan kitab Mukaddimah, Ibn Khaldun menyebut bahawa sejarah adalah suatu disiplin ilmu yang memiliki pelbagai pendekatan. Sejarah membuat kita faham akan hal ehwal sesuatu bangsa terdahulu kerana ia boleh dilihat melalui perilaku mereka. Oleh itu sejarah menurut beliau adalah sesuatu yang merujuk kepada peristiwa khusus mengenai suatu zaman dan bangsa. Perbicaraan umum tentang keadaan sesuatu daerah, bangsa dan zaman itu merupakan dasar bagi ahli sejarah (Ibn Khaldun,2002). Kebanyakan permasalahan sejarah dibangun di atas dasar tersebut dan maklumat sejarah itu menjadi jelas oleh dasar tersebut. (Ibn Khaldun,2002) Muhammad bin Ibrahim al-Iji yang hidup pada kurun keempat belas masihi menyebut tentang teori sejarahnya dalam bukunya, Tuhfat al-Faqir ila Sahib al-Sarhir. Dalam buku ini, teori sejarahnya berdasarkan prinsip-prinsip agama yang dibahas mengikut perbahasan ilmu falsafah. Antara rujukannya ialah daripada karya-karya Ibn Al-Jawzi, al-Tabari, Ibn Ishaq, Al-Isfahani. Beliau yang berpendidikan ilmu agama yang pakar dalam bidang hadis, telah menyebabkan idea-ideanya tentang sejarah dipengaruhi oleh disiplin agama dan falsafah. Kerana itulah beliau berpendapat sejarah ialah suatu kajian tentang alam seperti geografi, fizik dan alam metafizik. Sejarah juga membicarakan tentang manusia, tokoh-tokoh tertentu atau lebih khususnya penyebar-penyebar agama.Pada pandangan tokoh tempatan misalnya Abdul Rahman Abdullah (2003), sejarah sebagai realiti objektif (fakta) memerlukan pemikiran subjektif (interpretasi) sejarawan yang bertanggungjawab. Oleh itu, dapat kita fahami bahawa Sejarah itu bersifat fakta hasil peristiwa-peristiwa lampau yang bermakna untuk kita olahkan melalui pemikiran sejarah yang akan mematangkan kita menghadapi cabaran masa hadapan. Menurut Suntharalingam (1985), pengakuan bahawa sejarah tidak dapat dipisahkan daripada unsur-unsur kajian telah membawa kepada implikasi seperti sejarah tidak harus dipandang sebagai peristiwa-peristiwa masa lampau seperti ditakrifkan oleh kamus dan sesuatu tulisan yang tidak berdasarkan kepada kajian tidak boleh diiktiraf sebagai sejarah.2.2Perspektif BaratTokoh sejarawan barat juga ada memberi pandangan mereka akan pengertian sejarah. Menurut Carr dalam buku Abdul Rahman Hj Abdullah (2003), sejarah adalah satu proses yang tidak putus-putus antara ahli sejarah dengan faktanya atau antara masa kini dengan masa lampau. Sejarah menurut Burry J.S dalam buku Lisa Yap Shukye (2012) adalah sains, tidak lebih dan kurang. Leopold Von Ranke mengatakan sejarah ialah sebuah bentuk penyelidikan tentang hal-hal yang telah dilakukan oleh manusia masa lampau (Lisa Yap Shukye,2012). Menurut Collingwood (1978), sejarah ialah sebuah bentuk penyelidikan tentang hal-hal yang telah dilakukan oleh manusia pada masa lampau dan ahli sejarah akan menanya soalan dan cuba menjawab soalan tersebut untuk mengetahui sesuatu yang belum diketahuinya. Oleh hal demikian, usaha mencari jawapan ini disifatkan sebagai suatu kajian atau dalam erti lainya disifatkan sebagai sains. Memandangkan sejarah sebagai sains, maka kajian dalam sejarah harus berdasarkan kepada penafsiran bukti atau sumber-sumber yang sedia wujud sama ada dalam bentuk tulisan atau kesan peninggalan lama dan kajian dalam sejarah patut dilakukan.Maurice Mandelbaum dalam buku Bilcher Bala (2000), turut bersetuju bahawa unsur kajian sesuatu yang penting dalam penakrifan sejarah. Menurut Mandelbaum (1977), pengkajian sejarah bertujuan menegakkan kebenaran mengenai kejadian-kejadian khusus yang benar-benar berlaku. Ahli sejarah berperanan mengumpulkan semua jenis rekod atau sumber berkenaan masa lampau melalui penyiasatan bagi mengemukakan bukti yang bebas untuk mengesahkan kebenaran sesuatu fakta. Bapa sejarah iaitu Herodotus merupakan orang yang mula-mula menggunakan perkataan historia dalam karyanya yang bermaksud penyelidikan atau penyiasatan dalam bahasa Yunani. Herodotus telah berusaha mencari sumber-sumber seperti babad (chronicle), kesan-kesan peninggalan lama dan saksi-saksi yang masih hidup untuk menghasilkan karya yang merakamkan peristiwa-peristiwa penting dalam perang Parsi (Suntharalingam,1985). Antara ciri-ciri sejarah adalah bersifat kajian, bersifat naratif dan mempunyai ruang lingkup.(Sivarajan & Malar Arasi,2012)2.3Ruang Lingkup SejarahRuang lingkup sejarah dilihat sebagai terbatas kepada hanya apa yang boleh disifatkan sebagai tindakan sosial manusia, sama ada secara kelompok atau individu, peristiwa yang mengubah nasib bangsa, masyarakat atau negara dan melibatkan perjuangan antara dua atau lebih pihak yang bertentangan (Teggart, 1972). Menurut Suntharalingam(1985), pengesahan pendapat Teggart seolah-olah mengecilkan ruang lingkup sejarah kepada tindak-tanduk tokoh-tokoh daripada pihak atasan, kerana golongan inilah yang telah mencetuskan sesuatu yang memberi kesan atau sumbangan kepada negara atau masyarakat. Malahan pelopor sejarah objektif iaitu Leopold Von Ranke dalam buku Lisa Yap Shukye (2012), telah menyempitkan lagi ruang lingkup sejarah kepada soal-soal pentadbiran, tentera, diplomasi dan peperangan. Collingwood (1978) telah memperhalusi ruang lingkup sejarah dengan menyatakan sejarah hanya mengkaji tindakan reflektif manusia yang bertujuan, yang dirancang mengikut lunas-lunas tertentu dan dilakukan secara sengaja. Menurut Collingwood dalam buku Sivarajan dan Malar Arasi (2012), antara kegiatan manusia yang diketepikan oleh ahli sejarah ialah tingkah laku manusia yang bersifat kebinatangan atau nafsu, kejadian biologi dan soal perasaan, emosi serta sensasi. Sebagai kesimpulan ruang lingkup sejarah kini tidak mengenal batas, namun demikian ramai ahli sejarah masih berpegang teguh kepada pendapat Collingwood bahawa semua sejarah ialah sejarah pemikiran.2.4 Bentuk NaratifMenurut Collingwood , Teggart dan Mandelbaum dalam buku Sivarajan dan Malar Arasi (2012) kajian sejarah telah menggunakan kaedah naratif sebagai cara penyampaian iaitu mempunyai pengenalan, pertengahan dan kesudahan. Ahli sejarah menghuraikan peristiwa masa lalu dalam bentuk penceritaan berdasarkan common sense. Kaedah naratif menurut Arbaiyah Mohd Noor (2002), kurang melibatkan pemikiran yang jitu, kupasan secara analitikal dan mendalam. Contohnya cerita-cerita yang terdapat dalam buku sejarah tradisi misalnyan Hikayat Merong Mahawangsa dan Hikayat Hang Tuah. Karya-karya ini menggunakan pancaindera untuk menulis atau berdasarkan pengalaman sejarah.2.5Bersifat KajianCollingwood (1978) menyatakan bahawa sejarah itu bersifat kajian. Hal ini dapat dilihat kerana para sejarawan berusaha untuk melakukan kajian bagi mengetahui sesuatu. Oleh itu, dapat disimpulkan bahawa sejarah adalah satu daripada cabang ilmu sains kerana sains adalah penyelidikan untuk mengetahui sesuatu. Implikasi daripada sejarah bersifat kajian adalah sejarah tidak boleh dipandang sebagai peristiwa masa lalu semata-mata. Sejarah lebih daripada itu adalah salah satu daripada cabang ilmu. Di samping itu, tulisan tanpa kajian tidak boleh dianggap sejarah. Sejarah perlu bersandar pada bukti. Jika sesuatu peristiwa ditulis tanpa bukti, ia hanya layak menjadi salah satu daripada sumber sejarah semata-mata.3.SUMBER SEJARAHKebenaran sejarah adalah perkara yang perkara yang sangat penting dalam penghasilan sesuatu kajian sejarah. Memandangkan penulisan sejarah tidak dapat dipisahkan daripada kajian dan interpretasi mengenai sumber untuk mendapatkan maklumat atau fakta maka sejarawan harus mencari, mengumpul dan memastikan kebenaran sumbernya.3.1Pengertian Sumber SejarahMenurut Muhd. Yusof Ibrahim (2000), sumber boleh diertikan sebagai kumpulan bahan rujukan bagi kegunaan penyelidikan dan tersimpan di tempat-tempat yang khusus seperti arkib, perpustakaan, muzium, pejabat menyimpan rekod, istana, ataupun di rumah-rumah orang perseorangan yang mempunyai minat menyimpannya.Menurut Ishak Saat (2010), sumber sejarah terdiri daripada dokumen, catatan, karya penulisan, buku harian, surat peribadi, surat khabar, majalah, mata wangm gambar foto, lukisan, batu bersuratm batu nisan, pita rakam, artifak dan keterangan saksi dalam peristiwa sejarah. Manakala menurut Collingwood dalam buku Sivarajan dan Malar Arasi (2012), sumber ialah teks yang mempunyai kenyataan-kenyataan mengenai sesuatu peristiwa sejarah. Oleh hal yang berkaitan, ahli sejarah mengklasifikasikan dan mentafsirkan kenyataan tersebut mengikut kehendaknya untuk menghasilkan penulisan sejarah yang tepat.Kemahiran dan menggunakan sumber sejarah merupakan perkara paling asas bagi ahli sejarah. Ahli sejarah sering menghadapi masalah untuk mengutip dan memilih sumber sejarah yang dianggap penting menurut Lois Gottschalk(1969). Ahli sejarah harus mendapatkan beberapa banyak sumber dan menggunakan sumber sejarah secara lebih optimum untuk menjelaskan sesuatu perkara yang lepas. Terdapat dua proses dalam penyelidikan sejarah iaitu heuristik dan kritik heuristik (Lisa Yap Shukye, 2012). 3.2Konsep Sumber Sejarah Secara umumnya, sumber sejarah dibahagikan kepada dua kategori iaitu sumber utama atau sumber pertama (primary) dan sumber kedua (secondary), Selain daripada itu terdapat dua lagi sumber sejarah iaitu sumber lisan dan sumber arkeologi. Menurut Gottchalk (1969), sumber lisan boleh dikategorikan sebagai sumber utama atau sumber kedua bergantung kepada kepentingan dan ketulenannya. Sumber arkeologi tidak begitu kukuh dari segi keupayaannya menjadi sumber sejarah kerana penggunaanya kerap melibatkan spekulasi dan imaginasi yang boleh menimbulkan banyak persoalan dan perbahasaan (Lisa Yap Shukye,2012)Sumber pertama adalah sumber atau bahan yang boleh dirujuk tetapi keadaannya asli yang belum ditafsirkan serta tidak melalui proses tokok tambah. Sumber ini sukar untuk diperoleh kerana terhad, sulit, terhapus, milik peribadi atau perseorangan. Antara contoh sumber pertama ialah surat rasmi atau surat tidak rasmi, catatan, laporan harian, diari, dokumen, undang-undang perdagangan, keputusan mahkamah, surat peribadi, manuskrip dan segala bentuk artifak.Sumber pertama adalah menarik untuk dibaca kerana sifatnya itu memberikan kita pemahaman yang terus dari sumber (first-hand insights). Sumber pertama ini menjadi alat yang penting kepada ahli sejarah untuk membina pemahaman tentang sesuatu peristiwa.(Lisa Yap Shukye,2012) Selain itu, boleh dijadikan bukti untuk digunakan dalam membina satu tafsiran dan membina hujah dalam menyokong tafsiran tersebut. Menurut Ishak Saat (2010), sumber sekunder ialah kajian-kajian ataupun penulisan-penulisan yang telah dilaksanakan oleh seseorang mahupun suatu kumpulan tentang peristiwa, tokoh dan sebagainya. Sumber ini berfungsi sebagai bahan rujukan yang telah diproses dalam memahami sumber primer. Antara ciri-ciri yang terkandung dalam sumber kedua ini ialah sumber ini merupakan bahan yang telah diubah dari segi fizikalnya, misalnya kandungan fakta yang kemudiannya digunakan untuk menghasilkan penulisan sejarah dalam bentuk artikel, buku atau jurnal. Setelah melalui proses tokok tambah, kandungannya tidak lagi dianggap asli.3.3Ciri-Ciri Sumber SejarahDokumen bertulis merupakan khazanah warisan tamadun intelektual sesuatu bangsa dan umat yang terpenting. Sumber ini mempunyai pelbagai jenis dan bentuk. Pada peringkat awal tamadun manusia, dokumen bertulis merupakan lukisan binatang di gua-gua, objek-objek yang berbentuk dan berupa seperti tulisan seperti cuneiform dan hieroglif, risalah dan buku seperti kitab-kitab Veda, kitab Analects, Kitab Toa-Teh-Ching, kitab Taurat, kitab Injil dan kitab Al-Quran.Tidak semua sumber mempunyai taraf yang sama. Ada yang lebih utama berbanding dengan sumber yang lain. Sumber utama ini dianggap sebagai sumber pertama manakala yang kurang utama dianggap sebagai sumber kedua. Semakin banyak sesuatu kajian menggunakan sumber pertama makin semakin tinggi mutu, kesempurnaan dan kebenaran akan sesuatu kajian. Namun demikian tidak semua sumber pertama dapat diterima secara mutlak tanpa sebarang keraguan atau kesangsian sama sekali.Abdul Rahman Haji Abdullah (2013) berkata, ukuran mutu dan kesempurnaan kajian adalah berdasarkan bilangan sumber pertama digunakan. Sumber pertama merupakan keterangan daripada seorang saksi atau orang yang terlibat sendiri dalam sesuatu perkara atau bahan-bahan mentah dan asli yang belum sempurna lagi. Manakala sumber kedua pula ialah orang tidak hadir menyaksikan kejadian tersebut atau karya-karya yang sudah diproses berdasarkan bahan-bahan mentah.3.3.1Masa DihasilkanSumber yang diperoleh boleh diklasifikasikan mengikut masa sumber itu dihasilkan. Sumber sezaman merupakan sumber yang tehasil berdasarkan pengalaman dan pengamatan seseorang semasa hidupnya (saksi) dan diceritakan peristiwa tersebut selapas itu secara naratif. Sumber bukan sezaman atau sumber yang telah lama wujud diperoleh oleh mereka yang tidak hidup pada zaman tersebut tetapi menceritakan semula peristiwa yang lepas. (Lisa Yap Shukye, 2012)3.3.2Tempat DihasilkanMenurut Garraghan ahli sejarah boleh memperoleh sumber sejarah dari dalam atau luar negara. Sumber-sumber tersebut boleh jadi dihasilkan oleh penduduk tempatan atau mereka yang mengembara dari satu tempat ke satu tempat yang lain atau seseorang yang tinggal diluar negara. (Garraghan, 1973)3.4Pemilihan dan Pengkelasan SumberAhli-ahli sejarah perlu memperoleh sumber yang tepat dalam menjalankan penyelidikan sejarah. Oleh itu, menjadi keutamaan ahli sejarah memiliki kemahiran yang tinggi dalam pemilihan sumber-sumber sejarah bagi mengelakkan sebarang kesilapan berlaku sekaligus keobjektifan sejarah akan tidak terjejas dan tafsiran ahli-ahli sejarah menepati seperti yang dikehendaki.3.4.1Tujuan Mengkaji SumberPenggunaan sumber harus melalui proses penapisan atau pemilihan dan penilaian untuk menentukan ketulenan atau kesahihannya, kaitan dan seterusnya kebenaran fakta serta maklumat yang terkandung di dalamnya. Sebagai bukti sejarah yang kukuh dan sukar untuk dipertikai setelah ditafsir oleh penyelidik dan menjelaskan tentang kebenaran sejarah dari sudut kesahihan dan ketepatan sejarah. Di samping itu, mengelakkan kesalahan dan kesilapan fakta sejarah. Seterunya, membolehkan penghasilan sejarah yang berkualiti dan baik. Sumber sejarah menjadi bukti dalam membuat tafsiran dan hujah dalam menyokong tafsiran.3.4.2Keaslian SumberBagi mengesahkan keaslian atau ketulenan sesuatu sumber, ahli sejarah telah melakukan kritikan luar melalui penggunaan ujian kimia, ujian bahasa atau linguistik, ujian tulisan tangan dan ujian-ujian bahan-bahan yang digunakan dalam buatan dokumen itu untuk mengenalpasti ketulenan sesuatu dokumen. Pihak arkib atau perpustakaan yang mempunyai pegawai-pegawai yang terlatih dapat melakukan ujian berkenaan sekiranya ahli-ahli sejarah tidak memiliki kepakaran. Keaslian sumber juga berkait rapat dengan tingkat-tingkat sumber. Terdapat beberapa pandangan tokoh yang melihat sesuatu sumber itu lebih penting atau berprioriti berbanding sumber lainnya. Sebagai contoh sejarawan Yunani seperti Herodotus dan Thucydides memandang tinggi sumber lisan berbanding babad[footnoteRef:2](hikayat) dan inskripsi. [2: Kata babad berasal dari bahasa Jawa. Dalam bahasa Jawa kata ini artinya ialah "membuka lahan baru" atau "memotong pohon/hutan". Hubungannya dengan sejarah ialah bahwa sejarah suatu wilayah biasanya dimulai dengan pembukaan daerah tersebut.]

3.4.3Kandungan SumberKemahiran mengklasifikasikan setiap sumber sejarah yang digunakan adalah amat rumit dan penting untuk mengelakkan ahli sejarah daripada tersalah mengumpul sumber yang tidak relevan dan tidak penting dalam penyelidikan mereka. Setiap sumber sejarah diklasifikasikan berdasarkan kepada kandungan sumber sejarah yang meliputi sesuatu zaman, politik, sosial, agama dan ekonomi. Sumber sejarah juga boleh diklasifikasikan kepada dua kategori iaitu sumber formal (percakapan) dan sumber informal (factual dan virtual).4.METODOLOGI DAN KRITIKAN SUMBER SEJARAH Penguasaan metodologi sejarah akan meningkatkan keupayaan ahli-ahli sejarah mencari sumber-sumber yang tepat dan relevan semasa menjalankan penyelidikan sejarah. Oleh itu, penguasaan metodologi sumber sejarah amat diperlukan apabila ahli-ahli sejarah mula merujuk sumber-sumber sejarah untuk mendapatkan fakta-fakta dan bukti-bukti bagi menjawab persoalan-persoalan sedia ada. Ketiadaan kemahiran tinggi dalam metodologi sejarah akan membawa gangguan kepada ahli-ahli sejarah semasa memastikan kesahihan sumber-sumber sejarah. (Bilcher Bala, 2000) Penerimaan fakta juga melibatkan unsur pengadilan moral terhadap sumber-sumber sejarah. Pengadilan moral bermaksud apabila sejarawan didapati dengan sengaja atau tidak sengaja menilai atau menghukum sesuatu, baik dengan memuji atau mengejinya dengan menggunakan perkataan seperti baik, mulia, kejam atau ganas. Kewujudan pengadilan moral bermaksud sesuatu fakta tersebut diragui kesahannya ataupun adakah wujud unsur berat sebelah dalam fakta tersebut. Sesiapa pun individu boleh menjatuhkan pengadilan moral terhadap sesuatu penulisan sejarah tanpa mengira siapa-siapa pun.4.1Tafsiran SumberMenurut Suntharalingam (1985) setelah melakukan tafsiran sumber sejarah, ahli-ahli sejarah akan memahami fakta-fakta yang terkandung dalam sumber tersebut. Tafsiran sumber sejarah terutamanya sumber primer merupakan salah satu aspek yang penting dalam metodologi sejarah. Ahli-ahli sejarah perlu memastikan sumber sejarah diaksesnya merupakan sumber pertama dan bukannya sumber kedua (Sivarajan & Malar Arasi,2012). Di samping itu, ahli-ahli sejarah perlu juga mengesahkan sumber primer tersebut. Pengesahan sumber primer amat diperlukan bagi memastikan sumber tersebut adalah asli dan juga kandungannya tidak berlaku sebarang pindaan ataupun perubahan. Ahli-ahli sejarah apabila membuat tafsiran keatas sumber primer yang dirujuk akan melakukan proses kritikan secara berterusan ke atas sumber sejarah. Proses kritikan amat penting bagi mengetahui maksud yang tersurat dalam sesuatu sumber primer sejarah. Para ahli sejarah akan dapat membuat tafsiran ataupun interpretasi yang baik dan berkesan dan juga tidak berlaku banyak perdebatan dalam kalangan ahli-ahli sejarah. Proses membuat tafsiran sumber sejarah melibatkan lima kaedah yang boleh diaplikasikan oleh ahli-ahli sejarah. Lima kaedah tersebut ialah tafsiran verbal, tafsiran teknikal, tafsiran logikal, tafsiran psikologikal dan tafsiran fakta.4.2Jenis-Jenis Tafsiran SumberMenurut Lisa Yap Shukye (2012), terdapat lima kaedah tafsiran yang diaplikasikan oleh ahli sejarawan yang membantu proses membuat tafsiran.4.2.1Tafsiran VerbalDigunakan apabila ahli sejarah menumpukan perhatian ke atas perkataan-perkataan yang terdapat dalam sesuatu sumber primer seperti perkataan yang terdapat dalam dokumen fail-fail rasmi ataupun fail-fail perseorangan. Antara aspek yang dititikberatkan ialah bahasa, tatabahasa, perbendaharaan kata dan terjemahan.4.2.2Tafsiran PsikologikalMenurut Sivarajan dan Malar Arasi (2012) tafsiran ini berlaku apabila ahli sejarah membaca atau membuat penafsiran fakta-fakta dalam sumber primer berdasarkan pandangan sudut mereka sendiri. Oleh itu, ia melibatkan idea dan emosi ahli-ahli sejarah terlibat disamping ahli sejarah juga dapat mengesan pengaruh pemikiran penulis yang terlibat secara lansung dalam menilai sesuatu sumber sejarah. 4.2.3Tafsiran TeknikalTafsiran ini dilakukan dalam penyelidikan sejarah adalah disebabkan kepada dua pertimbangan iaitu bentuk pembacaan yang tepat dan juga tujuan dan kehendak penulis sumber primer. Pertimbangan kepada dua perkara tersebut akan membezakan sumber primer yang dirujuk oleh ahli-ahli sejarah. Disebabkan itu, perbezaan tersebut akan membei maklumat yang dikehendaki oleh ahli-ahli sejarah.4.2.4Tafsiran LogikalTafsiran logikal pula satu proses untuk mencantumkan maklumat yang didapati daripada sumber primer apabila dirujuk dibuat oleh ahli-ahli sejarah. Hasil percantuman idea atau maklumat ini akan membawa kepada pembinaan kejadian atau peristiwa sejarah yang bersambung melalui maklumat yang dikumpul oleh ahli sejarah.4.2.5Tafsiran FaktaAhli-ahli sejarah melakukan proses menilai fakta-fakta yang terdapat dalam sumber primer. Proses ini sangat penting kerana ia akan melibatkan proses tafsiran. Proses tafsiran membawa kepada ahli sejarah untuk melihat sebab dan akibat sesuatu kejadian ataupun peristiwa sejarah. Proses ini sangat penting kerana ahli sejarah perlu mentafsir secara tepat untuk mencari kebenaran dalam kejadian ataupun peristiwa sejarah. Proses membuat tafsiran fakta ini memerlukan penelitian yang tinggi terhadap jenis sumber yang diakses oleh ahli-ahli sejarah.4.3Konsep Kritikan SumberKritikan sumber merupakan satu proses penafsiran bukti untuk mengesahkan kebenarannya. Kritikan sumber juga boleh diertikan sebagai tafsiran sumber, iaitu penilaian untuk memastikan sesuatu objek (sumber) dan maklumat (data) dalam sumber yang digunakan itu benar atau palsu.( Lisa Yap Shukye, 2012) Untuk menentukan ketulenan sumber atau bukti, sumber tersebut perlu dikritik. Sumber yang diperoleh tidak semestinya sumber yang tulen. Pemalsuan mungkin disengajakan ataupun tidak disengajakan. Ini kerana terdapat beberapa motif seseorang itu melakukan pemalsuan iaitu untuk meraih keuntungan dan kewangan, kerana kepentingan parti, kerana keangkuhan kesarjanaan, cemburu, untuk kegiatan keagamaan yang tidak berperaturan dan untuk meraih nama dengan melakukan kejahatan.Di samping itu, seseorang penyelidik perlulah mempunyai sikap yang lebih kritis terhadap sesuatu sumber dan tidak sekadar menyalin, merakam atau memetik maklumat yang disampaikan oleh sumber-sumber. Terdapat dua kritikan sumber iaitu kritikan luar dan kritikan dalam. Menurut Marc Bolch kesangsian terhadap keterangan yang diberikan oleh saksi-saksi melampau menyebabkan proses krtitikan sumber dalam kalangan ahli sejarah menjadi tidak tepat. Manakala Collingwood(1978) menyatakan proses mengesan kebenaran daripada sumber-sumber menyebabkan ahli-ahli sejarah perlu melakukan proses kritikan sumber sejarah.4.3.1Kritikan LuarKritikan luar merupakan usaha ahli sejarah untuk mengesahkan ketulenan dan keaslian (authentic or genuine) sesuatu sumber asli itu daripada sifat-sifat luarannya akibat daripada kegiatan pemalsuan sumber. Dalam penulisan sejarah, seharusnya perlu ada sikap sangsi dan ragu-ragu terhadap sesuatu sumber atau punca sebelum menerimanya atau mempercayai kebenaran. (Abdul Rahman Haji Abdullah, 2003) Pemalsuan sumber dilakukan oleh orang yang tidak bertanggungjawab untuk tujuan politik atau wang. Sebagai contohnya pemalsuan surat-surat Ratu Marie Antoinette dari Perancis dan Presiden Abraham Lincoln dari Amerika Syarikat serta Buku Harian Hitler dengan tujuan menjualnya kepada akhbar dan majalah. Selain daripada itu, terdapat beberapa ujian yang dilakukan untuk memastikan ketulenan dan keaslian sesuatu dokumen. Untuk memastikan ketulenan sesuatu dokumen ahli-ahli sejarah telah menggunakan ujian kimia, ujian bahasa atau linguistik, ujian tulisan tangan dan ujian bahan-bahan dalam membuat dokumen. Ujian kimia digunakan untuk menentukan umur sebenar sesuatu dokumen. Manakala ujian bahasa digunakan untuk mengkaji gaya bahasa yang sentiasa berubah mengikut masa. Menurut Garraghan setiap tulisan tangan mempunyai ciri-ciri yang tersendiri atau unik seperti cap jari manusia maka pakar tulisan tangan mampu mendedahkan perbuatan untuk meniru tulisan tangan orang lain. Ujian bahan pula digunakan untuk menguji sama ada bahan-bahan yang digunakan dalam menghasilkan dokumen itu wujud sebagaimana didakwa oleh tarikh dalam dokumen tersebut (Lisa Yap Shukye, 2012). Kesimpulannya, apa yang kita peroleh daripada perbincangan di atas ialah ahli-ahli sejarah tidak memiliki kepakaran untuk melakukan ujian-ujian tersebut secara bersendirian. Oleh itu, pengesahan ketulenan sesuatu sumber sejarah dikendalikan oleh ahli-ahli sains tulen dan pakar-pakar tertentu atau pihak arkib dan perpustakaan yang mempunyai pegawai-pegawai yang terlatih dalam bidang yang berkenaan. Selain itu, dengan kritikan beginilah kita dapat mengupas dan menganalisis pemikiran serta idea-idea ahli sejarah dalam karyanya secara kritis. 4.3.2Kritikan DalamanMemandangkan segelintir ahli sejarah tidak mempunyai kelayakan untuk menjalankan ujian bagi memastikan ketulenan sesuatu dokumen maka tugas ahli sejarah sebenarnya ialah menafsirkan isi dokumen yang disahkan tulen itu berlandaskan lunas-lunas kemunasabahan (credibility) atau kerasionalan. Persoalannya adakah isi kandungan sesuatu sumber itu benar, rasional, atau logik ? Walaupun dari segi kritikan luar sumber itu mungkin asli dan tulen, namun jikalau kandungannya tidak munasabah atau tidak waras tentunya tidak harus dijadikan sumber. Sebaliknya keputusan ahli sejarah harus berdasarkan kepada penilaian secara menyeluruh bersandarkan semua bukti yang wujud. Selain daripada bersikap rasional dan waras serta mengakui kejahilan diri, seseorang sejarawan mesti bersikap adil semasa mentafsir sumber atau bukti dan mengambil tindakan berkecuali semasa menilai sumber untuk mengelakkan daripada bersikap bias (berat sebelah). Antara sebab sejarawan bersikap bias ialah terpengaruh atau terikat dengan Bangsa, Agama , Negara, Ideologi Parti dan lain-lain.5.HUBUNGKAIT DOKUMEN SEJARAH DAN PENGGUNAAN DOKUMEN SEJARAH DALAM MENGUKUHKAN FAKTASistem tulisan menjadi satu instrumen yang digunakan dalam semua kehidupan seharian. Pada amnya, apabila wujudnya sistem tulisan, berlaku penyebaran maklumat secara meluas dan seterusnya memantapkan sesebuah negara dalam pelbagai aspek seperti politik, ekonomi dan sosial. Kesannya, masyarakat dalam tamadun tersebut boleh menghasilkan pelbagai bentuk catatan yang boleh dijadikan bahan tatapan, pembacaan dan penelitian oleh semua pihak. Oleh itu, dokumen sejarah hasil tulisan tangan ini dapat mengukuhkan fakta dalam erti kata lain menjadi bukti akan berlakunya sesuatu peristiwa lampau. Dokumen sejarah dapat mengukuhkan fakta yang wujud mahupun yang bermain di fikiran ramai pihak.5.1Dokumen SejarahSecara asasnya, dokumen sejarah merujuk kepada maklumat yang dicatat dan dirakamkan dalam pelbagai bentuk. Dokumen sejarah juga dikenali sebagai rekod. Bagi ahli-ahli sejarah, dokumen sejarah merujuk kepada sumber bertulis yang merakamkan kejadian ataupun peristiwa yang berlaku dalam sesebuah negara ataupun dalam sesebuah tamadun (Lisa Yap Shukye, 2012). Dokumen sejarah wujud dalam pelbagai jenis yang digunakan oleh ahli sejarah dalam sesuatu bidang penyelidikan. Dokumen sejarah yang mengandungi bukti-bukti sejarah dapat digunakan oleh sejarawan dalam penyelidikan mereka. Dokumen sejarah merupakan rekod terperinci yang sangat berguna dan penting bagi sejarawan dalam menjalankan kajian ataupun penyelidikan sejarah. Antara dokumen sejarah termasuklah rekod-rekod kerajaan, surat-surat peraturan, surat-surat peribadi, laporan awam, diari, nota atau catatan peribadi dan juga rekod-rekod sulit. Catatan yang mendalam dan juga penulisan yang terperinci menghasilkan dokumen lengkap yang memudahkan para ahli sejarah menjalankan tugas-tugas penulisan sejarah.Dokumen sejarah boleh dibahagikan kepada dua bahagian iaitu dokumen sejarah yang diterbitkan dan dokumen sejarah yang tidak diterbitkan. Rujuk lampiran jadual 5.1 di bahagian lampiran.5.2Penggunaan Dan Kaedah Penginterpretasian Dokumen SejarahInterpretasi dalam sejarah adalah penafsiran terhadap suatu peristiwa, fakta sejarah, dan merungkai suatu fakta dalam gabungan yang masuk akal. Sejarah sebagai suatu pertistiwa yang diungkap kembali oleh para sejarawan melalui berbagai sumber, baik berbentuk data, dokumen perpustakaan, buku, berkunjung ke tapak-tapak sejarah atau wawancara, sehingga dapat mengumpulkan maklumat sejarah sekaligus memudahkan proses interpretasi.Antara kaedah mentafsir dokumen sejarah adalah ahli sejarah perlu mengetahui dengan tepat lokasi penyimpanan terdapatnya dokumen tersebut untuk menjimatkan kos disamping mengelakkan penghasilan kajian ataupun penyelidikan yang tidak berkualiti (Lisa Yap Shukye, 2012). Seterusnya, ahli sejarah perlu mengenal pasti kuantiti sesuatu dokumen sejarah kerana sangat penting untuk menentukan jumlah dokumen sejarah yang perlu diakses bagi tujuan penyelidikan. Selain itu, ahli sejarah juga perlu mengetahui sama ada dokumen sejarah tersebut mencukupi dan menjawab persoalan yang timbul bagi menghasilkan kajian yang baik.Penilitian dokumen sejarah berdasarkan ciri-ciri yang penting akan membantu ahli sejarah daripada tersilap mengakses dokumen sejarah yang menyebabkan laporannya berat sebelah mahupun mengandungi unsur-unsur palsu. Antara ciri-ciri yang perlu diberi perhatian besar oleh ahli sejarah dalam mengkaji sesuatu dokumen sejarah ialah seperti Rajah 5.2 di bahagian lampiran (Sivarajan & Malar Arasi,2012). 5.3Kekangan Menggunakan Dokumen SejarahAntara kekangan yang mungkin dihadapi ialah kesukaran membaca tulisan, perkataan atau ayat dalam dokumen tersebut. Dokumen sejarah tersebut sukar dibaca berkemungkinan disebabkan usia dokumen yang terlalu tua misalnya dokumen yang dijumpai adalah hasil dari tamadun Mesopotamia. Stail tulisan tangan, ejaan dan singkatan yang digunakan berbeza mengikut zaman. (Sivarajan dan Malar Arasi ,2013)Dokumen yang bertulisan tangan, berpahat atau yang bertaip mempunyai masalah tersendiri yang membuatkan ahli sejarah tidak dapat membuat pentafsiran sesuatu dokumen dengan baik.(Ishak Saat, 2010). Jenis tulisan tangan seseorang individu itu yang sukar difahami oleh ahli sejarawan juga mendatangkan masalah buat ahli sejarah. Masalah perbezaan maksud asal juga akan timbul sekiranya ahli sejarah mengkaji dokumen yang telah mengalami proses penterjemahan. Apabila makna bagi sesuatu perkataan dan ayat berubah seiring dengan perubahan dalam jangka masa sesuatu zaman, maka ahli sejarah juga mengalami kesukaran untuk memahami maksud sesuatu fakta yang dikaji. Sebagai contoh, penyelidik berbangsa melayu cuba mentafsir sendiri dokumen yang ditulis dalam bahasa arab, mandarin mahupun tamil.Masalah lain yang dihadapi ahli-ahli sejarah ialah kerosakan yang terdapat pada dokumen sejarah tersebut. Terdapat dokumen sejarah yang kehilangan muka surat menyebabkan dokumen sejarah menjadi tidak lengkap. Perkara ini berlaku ke atas rekod-rekod kerajaan terutamanya rekod-rekod zaman penjajahan. Pada masa yang sama berlakunya kehilangan surat-surat yang terkandung dalam fail-fail tersebut akibat tindakan ahli sejarah yang tidak memasukkan kembali ke dalam fail setelah mengakses surat tersebut. Selain pada itu, kerosakan juga boleh dilihat terhadap kertas yang mengandungi fakta-fakta sejarah. Usia dokumen sejarah yang lama juga memberi kesan keatas kualiti kertas. Kertas akan berubah warna menyebabkan isi kandungan pada kertas tersebut tidak boleh dibaca. Usia yang lanjut juga menyebabkan kertas tersebut menjadi hancur walaupun sudah diawet oleh pihak arkib. Dokumen yang rosak perlu mengalami proses pemulihan dan pemuliharaan. Pemulihan diertikan sebagai satu proses pengekalan atau pembaikan semula sesuatu dokumen kepada keadaan sempurna dan proses membaiki semula kepada bentuk dan fungsi asalnya. Pemuliharaan diertikan sebagai penjagaan atau rawatan ke atas objek agar tidak bertambah rosak.Seterusnya masalah lain yang akan dihadapi oleh ahli-ahli sejarah ialah dokumen sejarah tersebut berada dalam keadaan atau dalam bentuk kawalan dan tidak boleh diakses untuk sebarang tujuan. Walaupun dokumen sejarah tersebut sudah mencapai tempoh masa 25 tahun namun pihak arkib tidak membenarkan dokumen sejarah tersebut diakses ahli-ahli sejarah.(Sivarajan dan Malar Arasi,2013) Dokumen sejarah ini masih dilabelkan sebagai sulit kerana arahan pihak kerajaan untuk tidak membuka dokumen sejarah tersebut kepada ahli sejarah. Pihak kerajaan tidak mahu menganggu gugat kedudukan keselamatan negara dan politik semasa. Kekangan lain pula ialah dokumen sejarah tersebut sukar diperoleh oleh ahli-ahli sejarah. Kesukaran ini timbul dalam kalangan ahli-ahl sejarah yang mendapati dokumen sejarah yang perlu dirujuk tidak berada dalam simpanan arkib tempatan(Sivarajan & Malar Arasi,2012). Halangan ini akan menyebabkan ahli sejarah terpaksa bergantung kepada dokumen sejarah yang hanya terdapat di arkib negara sahaja. Situasi ini menyebabkan penyelidikan ahli-ahli sejarah menjadi terbantut dan memberi kesan besar terhadap penyelidikan mereka. Sekiranya ahli-ahli sejarah menghadapi kekurangan dokumen sejarah, maka mereka akan terhalang daripada menjawab persoalan-persoalan yang wujud dalam penyelidikan mereka.5.3Hubungkait Antara Dokumen Sejarah Dan Penggunaan Dokumen SejarahTerdapat beberapa perkaitan antara penggunaan sumber sejarah dan dokumen sejarah. Dokumen sejarah boleh menjadi medium untuk sejarawan membuat tafsiran terhadap sesuatu peristiwa atau kejadian lampau. Menurut dokumen sejarah, tafsiran yang dibuat mungkin lebih tepat kerana melihat pada sudut sejarah, dokumen sejarah seperti rekod-rekod kerajaan dan manuskrip ditulis oleh orang yang berpengalaman seperti jurutulis yang dilantik khas oleh maharaja atau raja unutk menjawat jawatan tersebut. Oleh yang demikian, penggunaan dokumen sejarah dalam membuat tafsiran oleh para sejarawan akan lebih tepat dan lebih betul sekaligus membantu ahli sejarah menjalankan penyelidikan dengan baik.Perkaitan dokumen sejarah dan penggunaan sumber sejarah ialah sebagai bukti kepada tafsiran yang dibuat. Sebagai contoh, Tanah Melayu mendapat kemerdekaan pada 31 Ogos 1957 telah dipersetujui oleh penjajah dengan temetrai perjanjian oleh British dengan delegasi kemerdekaan di London. Sekiranya terdapat pertikaian tentang kemerdekaan negara kita, dokumen tersebut akan dirujuk semula sebagai bukti bahawa Malaysia telah mendapat kemerdekaan pada tarikh tersebut. Penggunaan dokumen sejarah yang paling penting ialah untuk membuat tafsiran berkenaan kejadian yang berlaku terhadap sesuatu peristiwa. Dokumen sejarah seharusnya menjadi bahan rujukan utama selepas melakukan tafsiran berkenaan sesuatu kejadian. Di samping itu, penggunaan dokumen sejarah ialah sebagai bahan bukti terhadap sesuatu peristiwa. Sekiranya terdapat perselisihan faham terhadap tafsiran yang dibuat, sumber sejarah ini akan dirujuk semula sebagai bahan bukti untuk menentukan siapa yang tepat dalam membuat tafsiran. Tuntasnya, dokumen sejarah boleh digunakan untuk menjadi bukti yang kukuh atau sumber yang baik terhadap hasil kajian dan tafsiran yang dibuat oleh ahli sejarah. Antara dokumen sejarah yang boleh digunakan ialah sumber pimer seperti rekod-rekod kerajaan, fail-fail rasmi, surat-menyurat, tulisan dan saksi utama kepada sesuatu kejadian ataupun peristiwa lampau. Selain itu, sejarawan juga boleh menggunakan sumber sekunder dalam kajian mereka contohnya seperti buku sejarah, jurnal dan rencana sejarah. Melalui sumber ini, ahli sejarah mempunyai bahan rujukan yang luas dengan skop yang besar bagi memudahkan proses kajian.6.0PENUTUP Secara ringkasnya, boleh saya simpulkan bahawa fakta dan metodologi sejarah itu amat penting dalam penulisan sejarah yang baik dan berkualiti. Fakta-fakta sejarah pula boleh didapati dari sumber primer yang merupakan bahan mentah yang belum diproses dan ditafsir oleh ahli sejarah yang lain. Sementara itu, sumber sekunder hanya berperanan sebagai rujukan tambahan dalam penulisan. Selain itu, ahli-ahli sejarah juga harus mempunyai kemahiran tertentu seperti kemahiran mengumpulkan fakta dan kemahiran mentafsir fakta untuk digunakan dalam penulisan. Bukan semua fakta boleh diterima dan sekiranya berlaku kelemahan tafsiran fakta, maka wujudlah perdebatan dalam kalangan ahli sejarah untuk mengkritik sumber sejarah tertentu. Oleh itu, semasa membuat kajian, ahli sejarah haruslah berhati- hati dalam membuat tafsiran fakta supaya hasil penulisan tidak dipertikaikan oleh orang lain.Akhir kata, sejarah adalah suatu unsur yang penting terhadap manusia apatah lagi seluruh manusia mempunyai sejarah masing-masing, atau dalam kata lain sejarah adalah masa lalu seseorang manusia, tidak kira ia menerangkan kebaikan seseorang atau keburukan manusia itu. Memang benarlah sejarah sebagai ilmu masa silam yang amat penting, kerana kesejahteraan mampu lahir hasil manusia menjadikannya sebagai teladan dan sempadan bagi individu, bangsa dan negara serta agama tercinta.

LAMPIRANGambar 5.2: Kekangan Menggunakan sumber sejarah

Jenis Dokumen SejarahHuraian

Dokumen sejarah yang diterbitkanBerbentuk manuskrip yang ditaip daripada sumber asalContohnya rekod-rekod rasmi kerajaan, laporan kerajaan dan laporan awam

Dokumen sejarah yang tidak diterbitkanDokumen ini tidak diterbitkan ataupun tidak disalin semula. Dokumen berada dalam bentuk asal tidak mengalami sebarang salinan semula ataupun ditulis semula

Jadual 5.1: Menunjukkan dua bahagian dokumen sejarah

Ciri-Ciri Dokumen SejarahHuraian

Jenis DokumenTerdapat pelbagai jenis seperti fail kerajaan, fail-fail setiausaha kerajaan negeri, laporan awam dan catatan peribadi. Jadi, ahli sejarah perlu mengetahui jenis dokumen sejarah yang digunapakai dalam penulisan sejarah.

Tarikh DokumenPerlu untuk meneliti tarikh dokumen agar mendapat maklumat yang betul kerana terdapat kemungkinan bahawa peristiwa sejarah yang sama telah berlaku pada tarikh yang berlainan

Isi Kandungan/FaktaIsi kandungan yang merupakan fakta-fakta kejadian sejarah mestilah relevan dengan penyelidikan yang dijalankan.

Asal UsulAsal-usul dokumen sejarah perlu perhatian yang tinggi bagi mengelakkan kekeliruan sekiranya dalam kalangan ahli sejarah menemui dokumen yang sama tetapi berada di lokasi berlainan.

Status DokumenAhli sejarah perlu mendapatkan maklumat secara terperinci sama ada dokumen sejarah tersebut boleh diakses ataupu tidak walaupun telah Berjaya menemui lokasi dokumen sejarah disimpan.

Rajah 5.2: Menunjukkan ciri-ciri dokumen sejarah yang dititikberatkan oleh ahli sejarah dalam penggunaan dokumen sejarah

MASALAH DALAM PENGGUNAAN DOKUMEN SUKAR DIBACAKAEDAH PENGHASILANPERBEZAAN MAKSUD ASALHALAMAN HILANGKERTAS YANG DIGUNAKANDOKUMEN ROSAKDOKUMEN SULITSUKAR DIPEROLEHIKESALAHAN TARIKH & KESILAPAN FAKTAP. Sivarajan, S.Malar Arasi, (2013). Selangor: Pengantar Sejarah. Penerbitan Multimedia Sdn. Bhd. Ishak Saat, (2010). Penulisan Sejarah, Kuala Lumpur. Utusan Publications and Distributors Sdn Bhd.