Upload
phungtruc
View
313
Download
3
Embed Size (px)
Citation preview
INTERNATIONAL CONFERENCE ON AQIDAH, DAKWAH AND SYARIAH 2016 (IRSYAD 2016) SEMINAR ANTARABANGSA AKIDAH, DAKWAH DAN SYARIAH 2016 (IRSYAD 2016)
416
FALSAFAH AKHLAK MISKAWAYH
KAMAL AZMI ABD. RAHMAN
Akademi Islam
Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS)
ABSTRAK
Miskawayh (m. 1030) adalah seorang tokoh penting dalam perkembangan ilmu falsafah akhlak Islam.
Sumbangan penyelidikan dan penulisan Miskawayh telah menjadikan ilmu falsafah akhlak sebagai salah satu
disiplin ilmu Islam yang tersendiri. Beliau telah membentangkan sebuah kerangka pemikiran falsafah akhlak
yang unik walaupun terdapat pengaruh elemen-elemen Yunani dalam penulisannya. Dikenali melalui magnum
opus Tahdhīb al-Akhlāq, penulisan beliau juga telah mempengaruhi beberapa tokoh yang lain seperti al-
Ghazālī (m. 1111). Kajian ini adalah kajian kualitatif yang akan membahaskan tentang falsafah akhlak menurut
Miskawayh melalui penulisan Tahdhīb dan juga dapatan kajian pengkaji-pengkaji lain tentang beliau. Kajian
mendapati perbahasan akhlak Miskawayh adalah berbentuk falsafah, dipengaruhi oleh pandangan ahli falsafah
Yunani seperti Aristotle dan menekankan aspek realisasi etika melalui perhubungan sosial manusia dalam
masyarakat. Selain itu, beliau juga menekankan aspek praktikal dan latihan yang menjadikan akhlak adalah
sesuatu yang responsif terhadap pendidikan.
Kata kunci: Miskawayh, falsafah, akhlak, Tahdhīb al-Akhlāq
1. Pendahuluan
Akhlak atau etika adalah salah satu daripada cabang perbincangan ilmu falsafah. Ia
mempunyai kaitan dengan perbahasan aksiologi dan estetika yang menjelaskan tentang nilai.
Ilmu akhlak secara khususnya pula adalah kajian tentang khulq atau keadaan jiwa. Sejak
zaman klasik era Yunani lagi tokoh-tokoh falsafah seperti Aristotle (322 SM) dan Plato (348
SM) cuba untuk menjelaskan isu-isu yang terdapat dalam perbincangan akhlak atau etika.
Perbincangan tokoh-tokoh tersebut kemudian telah mempengaruhi perkembangan ilmu
falsafah akhlak Islam yang telah dipelopori oleh Miskawayh di era pertangahan. Beliau
merupakan seorang tokoh yang bertanggungjawab menjadikan falsafah akhlak sebagi satu
cabang ilmu Islam yang bebas kerana pada peringkat awal, faslafah akhlak menjadi
sebahagian daripada perbahasan ilmu politik.
Lahir di Rayy, Iran, Abū ʿ Alī Aḥ mad ibn Muḥ ammad ibn Yaʿ qūb Miskawayh al-
Khāzin pada awalnya bercita-cita untuk menjadi ahli kimia. Walaupun begitu, Miskawayh
telah berdepan dengan beberapa kesulitan termasuk masalah yang berkaitan dengan hal
keluarga menyebabkan beliau mengambil kepputusan untuk meninggalkan bidang tersebut.
1032
INTERNATIONAL CONFERENCE ON AQIDAH, DAKWAH AND SYARIAH 2016 (IRSYAD 2016) SEMINAR ANTARABANGSA AKIDAH, DAKWAH DAN SYARIAH 2016 (IRSYAD 2016)
417
Beliau pernah berkhidmat dengan beberapa kerajaan di bawah pemerintahan Banī Buwayhid.
Dalam tempoh tersebut, beliau telah mengkaji buku-buku falsafah terutamanya buku-buku
tulisan Aristotle. Gelaran al-khāzin yang bermaksud penjaga, pemegang amanah atau
bendahara diberikan kerana beliau merupakan seorang bendahara merangkap pustakawan
kerajaan Buwayhid di era pemerintahan Sultan ʿ Aḍ ud al-Dawlah (983M). Gelaran tersebut
juga merupakan satu anugerah kepadanya kerana dianggap sebagai polymath, seorang yang
mempunyai banyak khazanah atau ilmu. Selain itu, beliau juga terlibat dalam kumpulan
perbincangan falsafah yang terdiri daripada ahli falsafah yang berpengaruh di zamannya
seperti seperti al-Sijistānī (1001 M) dan al-Tawḥ īdī (1023 M). Di lewat usianya, Miskawayh
pernah bertemu dengan Ibn Sīnā (1037 M) yang pada ketika itu merupakan seorang pemuda
yang sedang ghairah mencari ilmu. Pertemuan antara Miskawayh dan Ibn Sīnā tersebut juga
menurut Ansari (1964) telah memperlihat kematangan pemikiran Miskawayh dan kemurnian
akhlaknya.
Miskawayh juga dikenali sebagai muʿ allim al-thālith atau guru ketiga selepas al-
Farābī dan Aristotle sebagai guru pertama kerana penguasaanya dalam ilmu logik dan
falsafah Yunani. Beliau hidup berlatarbelakangkan suasana intelektual yang sedang
memuncak di era pemerintahan kerajaan Abbasiyyah. Pada ketika ini, usaha penterjemahan
karya-karya asing terutama karya Yunani ke Bahasa Arab sedang giat dijalankan. Ia ditambah
lagi dengan peranan yang dimainkan oleh Bait al-Ḥ ikmah sebagai pusat penterjemahan dan
perpustakaan awam besar bagi menyimpan khazanah ilmu. Miskawayh lebih aktif dalam
bidang penulisan pada tempoh 20 tahun terakhir hayatnya berbanding awalnya. Tahdhīb telah
ditulis ketika umur beliau telah mencecah 80 tahun. Antara penulisan beliau yang lain ialah
al-Hawāmil wa al-Shawāmil dan Tajārib al-Umam (The Experience of the Nation) yang
mempunyai 6 jilid. Tiga jilid terakhir telah diterjemahkan ke dalam Bahasa Inggeris dan
diedit oleh D. S. Margoliouth dengan tajuk Eclipse of the ʿ Abbīssid Caliphate.
Miskawayh telah membentangkan sebuah pandangan falsafah akhlak yang unik dan
tersendiri walaupun dipenagruhi oleh elemen-elemen asing terutamanya elemen Yunani.
Beliau cuba untuk menjelasakan akhlak dalam bentuk yang praktikal melalui idea interaksi
sosial. Selain itu, penulisan beliau di dalam Tahdhīb juga mendepankan elemen-elemen
pendidikan dan pemurnian akhlak melalui cerita-cerita sisipan kesungguhan beliau sendiri
INTERNATIONAL CONFERENCE ON AQIDAH, DAKWAH AND SYARIAH 2016 (IRSYAD 2016) SEMINAR ANTARABANGSA AKIDAH, DAKWAH DAN SYARIAH 2016 (IRSYAD 2016)
418
untuk memperbaiki akhlaknya. Berkaitan dengan hal ini Miskawayh (1966:42) telah
merekodkan di dalam Tahdhīb:
Para pembaca buku ini seharusnya tahu bahawa aku telah berjaya secara berperingkat-
peringkat dalam membuang kejahatan daripada jiwaku, ketika usia tua selepas
pengukuhan akhlak, aku telah berjuang dalam satu peperangan yang hebat.
2. Sumbangan Miskawayh Dalam Ilmu Falsafah Akhlak Islam
Miskwayh adalah seorang tokoh ilmuan Islam yang terawal membincangkan tentang etika
dan akhlak dengan menyatukan antara teori dan praktik (Ahmad Mahmud Shubhi 2001).
Walaupun karya Miskawayh merentasi pelbagai disiplin ilmu, beliau lebih dikenali sebagai
ahli falsafah akhlak atau etika berbanding sebagai seorang sejarawan, ahli teologi, ahli kimia
atau ahli fizik. Beliau lebih banyak memfokuskan tentang akhlak berbanding ahli falsafah
Islam yang lain dan juga merupakan orang yang bertanggungjawab menelaah falsafah etika
tulisan Aristotle (Ahmad Mahmud Shubhi 2001; Nadia Jamal al-Din, 1994). Kajian-kajian
terdahulu mengenai pemikiran Miskawayh juga tertumpu kepada persoalan etika atau akhlak
berbanding disiplin ilmu lain yang dikuasai oleh beliau. Antara kajian dan penulisan
signifikan yang membahaskan tentang falsafah akhlak Miskawyah ialah Ibn Miskawayh:
Falsafatuhu al-Akhlāqiyyah wa Maṣ ādiruhā (Abd al-‘Aziz ʿ Izzāt 2006), The Ethical
Philosophy of Miskawayh (M. Abdul Haq Ansari 1964), Some Aspect of Miskawayh’s
Tahdhib al-Akhlāq (Walzer 1956) dan Christian and Muslim Ethics (Mohd. Nasir Omar
2003). Selain itu, himpunan makalah-makalah tulisan M. Arkoun juga banyak
membincangkan tentang falsafah etika menurut Miskawayh. Artikel-artikel tersebut adalah
Etika dan Sejarah dalam Kitab Tajārib al-Umam, Humanisme Arab dalam Kitab al-Hawamil
wa al-Syawamil dan Kajian Leksikon Etika Muslim telah ditulis dalam Bahasa Perancis dan
diterjemahkan ke Bahasa Indonesia di dalam buku yang bertajuk Pembedahan Pemikiran
Islam (2000).
Kesarjanaan Miskawayh dalam bidang akhlak dan pengaruh karyanya, Tahdhīb al-
Akhlāq diperakui The Encyclopedia of Islam (1960). Tahdhīb adalah sebuah penulisan yang
bertemakan perbahasan falsafah akhlak. Karya ini telah mempengaruhi perbincangan falsafah
etika Islam selepasnya (Y Mohamed 2000; Mohd. Nasir Omar 2010; Nasr & Leaman 2001)
terutama dalam penulisan al-Ghazālī (1111M), al-Ṭ ūsī (1274M) dan beberapa ahli falsafah
INTERNATIONAL CONFERENCE ON AQIDAH, DAKWAH AND SYARIAH 2016 (IRSYAD 2016) SEMINAR ANTARABANGSA AKIDAH, DAKWAH DAN SYARIAH 2016 (IRSYAD 2016)
419
yang lain. Majid Fakhry (1975) juga menganggap bahawa tulisan beliau di dalam Tahdhīb
merupakan tulisan etika yang paling komprehensif dan sistematik. Zurayk (1968)
menyatakan di dalam terjemahan Tahdhīb dalam Bahasa Inggeris tentang ketokohan
Miskawayh dalam bidang falsafah etika Islam atas beberapa alasan. Pertamanya, beliau telah
merumuskan dan menjelaskan dengan luar biasa tentang asas-asas falsafah praktikal yang ada
pada zaman tersebut. Selain itu, Miskawayh juga banyak mempengaruhi kepada tokoh-tokoh
falsafah etika Muslim selepas itu sama ada dengan mengikuti tradisi falsafah atau dalam
tradisi yang berbeza. Oleh itu, menurut Bakhtiar H. Siddiqui (2001), Miskawayh adalah
pengasas falsafah etika di alam Islam yang dikenali melalui penulisannya Tahdhīb al-Akhlāq
wa Taṭ hīr al-Aʿ rāq.
Kebanyakan pengarang buku-buku falsafah Islam mengiktiraf Miskawayh sebagai
seorang tokoh falsafah Islam yang penting di zaman medieval atau pertengahan. Antaranya
ialah Hasyimsyah Nasution (1999) di dalam bukunya yang bertajuk Filsafat Islam
menjelaskan tentang konsep falsafah moral Miskawayh yang menitikberatkan etika praktikal
dalam kehidupan bermasyarakat. De Boer (1983) di dalam bukunya The History of
Philosophy in Islam juga telah membincangkan secara ringkas falsafah etika Miskawayh
yang bertunjangkan kepada etika sosial. Buku tulisan Kraemer (1986) yang bertajuk
Humanism in the Ranaissance of Islam dan artikel yang bertajuk Humanism in the
Renaissance of Islam: A Preliminary Study pada tahun 1984 menyatakan tentang kotokohan
Miskawayh dalam sejarah ketamduanan era Buwayhid. Menurut beliau, Miskawayh
mempunyai kecenderungan dalam falsafah etika dan sains politik. Arkoun (2000)
menyatakan bahawa buku Tajārib al-Umam boleh dikelompokkan sebgai karya adab terbaik
yang membahaskan tentang etika-politik. Oleh kerana itu juga Leaman (2008) menganggap
Miskawayh adalah seorang ahli politik dan pada masa yang sama adalah seorang ahli
falsafah.
Falsafah etika Miskawayh menjadi perbincangan utama buku-buku yang bertemakan
tentang falsafah akhlak atau etika Islam. Mohd. Nasir Omar (2010) di dalam bukunya
Falsafah Akhlak telah membincangkan tentang falsafah akhlak menurut pandangan
Miskawayh. Mohd. Nasir Omar (2013) di dalam artikel Ethics in Islam: A Brief Survey juga
menjelaskan tentang sejarah perkembangan ilmu falsafah etika Islam. Menurut beliau,
falsafah etika Islam di peringkat awal yang dibahaskan oleh tokoh-tokoh seperti al-Kindī
INTERNATIONAL CONFERENCE ON AQIDAH, DAKWAH AND SYARIAH 2016 (IRSYAD 2016) SEMINAR ANTARABANGSA AKIDAH, DAKWAH DAN SYARIAH 2016 (IRSYAD 2016)
420
(873 M), Ibn Sīnā dan al-Farābī (950M) adalah sebahagian daripada disiplin ilmu Islam yang
lain. Ilmu falsafah etika Islam menjadi sebuah disiplin yang bebas dan perbahasan yang lebih
mendalam mula terbentuk melalui tulisan-tulisan tokoh terkemudian seperti Miskawayh, al-
Ghazālī, al-Ṭ ūsī dan al-Dawwānī. Selain itu, Ahmad Mahmud Shubhi (2001) di dalam
bukunya Fislafat Etika: Tanggapan Kaum Rasionalis dan Intuisionalis Islam juga
menjelaskan tentang pandangan akhlak Miskawayh yang mementingkan aspek sosial.
Pengkaji terkenal dalam falsafah Islam, Majid Fakhry (1994) telah membincangkan tentang
etika Islam di dalam bukunya Ethical Theories in Islam dengan menyentuh secara umum
penulisan Tahdhīb. Idea-idea etika Miskawayh yang berkisar tentang kejiwaan, fadhilat atau
kebaikan, keadilan dan persahabatan, kebahagiaan, pemeliharaan akhlak dalam bentuk
teoritikal dan praktikal juga turut dibahaskan secara ringkas.
3. Penulisan Akhlak Miskawayh
Di dalam penulisannaya, Miskawayh telah membentangkan idea falsafah akhlak yang
universal (Mohamed Imran Mohamed Taib, 2004). Walaupun begitu, perbahasan falsafah
akhlak Miskawayh dipengaruhi oleh penulisan tokoh-tokoh Yunani. Hal ini diperakui oleh
Mohd. Nasir Omar (2003) yang menjelaskan bahawa terdapat pengaruh etika Aristotle
terhadap perkembangan pemikiran falsafah Islam terutamanya dalam penulisan Miskawayh.
Majid Fakhri (1994) juga menyatakan bahawa idea Neo-Platonik dan Nichomacean Ethics,
Aristotle dalam tradisi Yunani telah mempengaruhi penulisan Miskawayh. Selain itu, terdapat
beberapa kajian yang pernah dijalankan sebelum ini bagi tujuan mengkaji konsep keadilan
menurut Miskawayh telah membuktikan terdapatnya pengaruh penulisan Aristotle dan Plato
dalam penulisan Miskawayh. Antaranya ialah kajian Majid Fakhry (1975) yang bertajuk
Justice in Islamic Philosphical Ethics: Miskawayh’s Mediating Contribution, Y Mohamed
(2000) dengan artikel yang bertajuk Greek Thought in Arab Ethics: Miskawayh’s Theory of
Justice, Konsep Keadilan Dalam Pemikiran Akhlak Aristotle (M. 322 SM) dan Miskawayh
(M. 1030 SM) oleh Zul’azmi b. Yaakob (2005) dan Shaida (t.th.) dalam artikelnya yang
bertajuk Ibn Miskawayh’s Concept of Justice and Its Metaphysical Foundations.
Miskawayh bersetuju dengan idea falasfah Yunani yang selari dengan prinsip Islam
kerana usahanya adalah untuk mengharmonikan wahyu dengan kebenaran falsafah serta
INTERNATIONAL CONFERENCE ON AQIDAH, DAKWAH AND SYARIAH 2016 (IRSYAD 2016) SEMINAR ANTARABANGSA AKIDAH, DAKWAH DAN SYARIAH 2016 (IRSYAD 2016)
421
pemikiran rasional. Kecenderungan Miskawayh untuk menerima pengaruh falsafah Yunani
dan mengutamakan penggunaan akal dalam penulisannya menyebabkan beberapa pengkaji
seperti M. Arkoun melebel beliau sebagai humanis Muslim. Arkoun (2000) menyatakan
bahawa Miskawayh adalah seorang humanis yang bijaksana kerana banyak menggunakan
akal atau rasional iaitu dengan merujuk kepada pemikiran Aristotle dan Plato berbanding
wahyu. Walzer (1956) menjelaskan bahawa Miskawayh meneruskan usaha-usaha
kebanyakan ahli falsafah Muslim di eranya untuk mengharmonikan falsafah Yunani dengan
alam Islam dan memperoleh manfaat daripadanya. Dalam penulisannya, Miskawayh telah
menggabungkan berbagai pemikiran falsafah sebelumnya seperti Plato, Aristotle, Plotinus,
Galen dan doktrin Islam. Perbincangan metafizik beliau adalah pinjaman falsafah neo-
Platonik manakala sumber utama penulisan etika beliau pula adalah Aristotle. Oleh itu,
penulisan Tahdhīb adalah sintesis pandangan neo-Platonik dan Aristotelianisme (Walzer
1956). Idea Miskawayh yang telah dipengaruhi oleh tradisi ilmu Yunani ini kemudiannya
diadaptasi oleh al-Ghazālī dengan merujuk kepada sumber-sumber tradisi Islam (Mohamed
Imran 2004).
Walaupun begitu, menurut Ansari (1964), idea yang dibentangkan oleh Miskawayh
tidak hanya dipengaruhi metafizik dan psikologi neo-platonik, akan tetapi juga berdasarkan
kepada kerangka agama dan kebudayaan tamadun Islam. Oleh kerana itu, etika Miskawayh
bukanlah suatu penghasilan semula atau reproduksi etika Yunani semata-mata, sebaliknya
adalah suatu usaha untuk memahami etika Islam dengan menggunakan medium falsafah
Yunani. Sentisis ilmu Yunani bersama syariat Islam menerbitkan suatu idea etika yang
rasional, komprehensif dan Islamik. Shaida (t.th.) menyatakan bahawa pengaruh Aristotle
dalam penulisan Miskawayh disebabkan oleh suasana intelektual Arab pada waktu itu yang
dipengaruhi oleh elemen-elemen Yunani serta wujudnya persamaan nilai-nilai kebaikan
antara wahyu dengan apa yang dinyatakan oleh pemikir Yunani seperti keberanian,
kesederhanaan, kesabaran dan keadilan. Mohamed Imran (2004) juga menyatakan bahawa
walaupun dipengaruhi oleh Yunani, Miskawayh seharusnya juga dinilai dengan adil kerana
beliau juga sentiasa merujuk kepada Quran, Hadis, kata-kata ʿ Ali b. Abī Ṭ ālib, Ḥasan al-
Baṣ rī dan juga puisi Arab. Selain itu, petikan-petikan daripada tokoh-tokoh Yunani juga
membuktikan Miskawayh menghargai kebenaran walaupun ianya datang daripada suatu
kebuadayaan dan tamadun yang asing. Semangat ini jugalah yang telah melahirkan ramai
tokoh falsafah dan ahli sains Islam di abad pertengahan.
INTERNATIONAL CONFERENCE ON AQIDAH, DAKWAH AND SYARIAH 2016 (IRSYAD 2016) SEMINAR ANTARABANGSA AKIDAH, DAKWAH DAN SYARIAH 2016 (IRSYAD 2016)
422
Miskawayh memberikan penekanan terhadap interaksi sosial dalam perbahasan
falsafah akhlak. Aspek kepentingan interkasi sosial bukanlah sesuatu yang baru dalam etika
kerana ia bertujuan untuk menjelaskan bahawa setiap falsafah dan pemikiran mempunyai
dimensi praktikal dan aspek reaslisasinya. Menurut Miskawayh, pergaulan dan interaksi
sosial dalam masyarakat adalah medium penting untuk merealisasikan akhlak dalam bentuk
yang praktikal. Ini juga didasari oleh pandangannya tentang konsep manusia sebagai makhluk
yang hidup bermasyarakat. Menurut Miskawayh (2005), manusia mempunyai sifat uns
(ānasa bi al-ṭ abʿ i) dan keramahan yang memerlukan mereka untuk saling berinteraksi
antara satu sama lain. Pensyariatan solat berjemaah dan kefardhuan haji juga merupakan
medium bagi manusia untuk merelaisasikan sifat uns tersebut (Miskawayh 2005). Berkaitan
dengan hal ini, Miskawayh banyak membincangkan tentang persahabatan (al-ṣ adāqah) dan
kasih sayang (al-maḥ abbah) sebagai prinsip asas dalam perhubungan sosial kerana pada
pandangan beliau manusia tidak akan mampu memperolehi kehendak asasnya melainkan
dengan bantuan orang lain. Mohd. Nasir Omar (2005) juga menjelaskan tentang etika sosial
menurut pandangan Miskawayh terkandung di dalam bab kasih sayang dan persahabatan.
Oleh itu, akhlak yang baik menurut Miskawayh bukan sekadar merit sahaja, tetapi berada
dalam aktiviti dan interaksi manusia dengan manusia lain (Mohd. Nasir Omar 2010).
Oleh kerana mementingkan dimensi sosial dalam akhlak, Miskawayh (2005) menolak
amalan pemencilan diri melalui cara hidup kerahiban. Amalan ini menyebabkan manusia
tidak bergaul dengan masyarakat dan kemampuan manusia terhadap kebaikan atau kejahatan
juga tidak terarah kepada objeknya (Ahmad Mahmud Shubhi 2001). Seperti pengkaji lain
yang mengkaji tentang Miskawayh, aspek falsafah etika yang ditekankan ialah tentang
perhubungan sosial melalui persahabatan dan pemahaman konsep manusia sebagai political
animal atau al-insān madaniyyun bi al-tabʿ maka, kehidupan pemencilan diri dikritik kerana
tidak mampu untuk mempraktikkan nilai-nilai seperti keadilan dan keberanian (Majid Fakhry
1994). Miskawayh (2005) menyatakan bahawa manusia hanya boleh mencapai kesempurnaan
dan kebahagiaan melalui kehidupan kolektif iaitu apabila semua anggota masyarakat saling
bantu-membantu dan sayang-menyayangi antara satu sama lain. Manusia sebagai makhluk
sosial memerlukan kehidupan kota di mana interaksi antara sesama manusia dapat dilakukan
dengan aktif. Maka, kehidupan zuhud dengan mengasingkan diri dan amalan pertapaan
dikritik oleh Miskawayh kerana tidak mampu mencapai kebaikan kemanusiaan. Manusia
INTERNATIONAL CONFERENCE ON AQIDAH, DAKWAH AND SYARIAH 2016 (IRSYAD 2016) SEMINAR ANTARABANGSA AKIDAH, DAKWAH DAN SYARIAH 2016 (IRSYAD 2016)
423
yang berakal tidak akan memilih untuk hidup berasingan kerana tidak mempunyai kebaikan.
Kepentingan persahabatan dan pergaulan juga adalah sifat terpuji yang terhasil daripada
kehidupan bermasyarakat (Mohamed Imran 2004).
Penulisan akhlak Miskawayh menjelaskan bahawa seseorang hanya boleh mencapai
kesempurnaan apabila dia adalah hidupan sosial dan juga rasional (Nadia Jamal al-Din 2001).
Lantaran itu, manusia harus hidup bersama dan saling berhubung kerana pengalaman mereka
akan bertambah dan kebaikan akan terbina di dalam jiwa dengan cara mempraktikkan
kebaikan tersebut. Interaksi dan perhubungan sosial ini akan menampakkan kebaikan seperti
amanah, berani dan kemurahan hati dan jika sebaliknya, kebaikan tidak akan kelihatan dan
manusia akan menjadi beku dan mati. Oleh itu, semua kebaikan termasuk keadilan tidak
hanya dipraktikkan kepada diri sahaja akan tetapi kepada manusia lain dalam kehidupan
masyarakat (Y Mohamed 2000). Miskawayh juga tidak pernah mengasingkan diri daripada
politik dan realiti sosial bahkan secara aktif menyertainya sebagai satu khidmat kepada
komuniti (Mohd. Nasir Omar 2010). Malahan, penulisan beliau tentang sejarah dan tamadun,
Tajārib al-Umam yang telah disiapkan sebelum menulis Tahdhīb bukan sekadar penulisan
sejarah sebaliknya adalah minat dan perhatian awal beliau kepada asas kemoralan individu
dan juga etika sosial.
Miskawayh telah menjelaskan idea pemurnian jiwa dan akhlak di dalam Tahdhīb.
Matlamat akhlak adalah untuk mendapatkan kebahagiaan, melakukan pemurnian melalui
pengawalan diri (self-control) dan juga mengekalkan perhubungan dengan orang lain melalui
kasih-sayang dan persahabatan (Mohd. Nasir Omar 2003). Fadhilat atau kebaikan akan
memberikan manusia kebahagiaan sebaliknya kenikmatan yang diperolehi daripada deria
manusia adalah superficial dan tidak akan memberikan manusia kebahagiaan. Nilai-nilai
kebaikan seperti al-nafs (jiwa), al-ḥ ikmah (kebijaksanaan), al-ʿ iffah (kesederhanaan), al-
shajāʿ ah (keberanian), al-ʿ adālah (keadilan) dan al-saʿ ādah (kebahagiaan) yang
disebutkan di dalam Waṣ iyya juga mempunyai kepentingan yang tersendiri dalam
perbahasan akhlak beliau. Menurut pandangan Miskawayh, karakter manusia boleh berubah
melalui latihan pengulangan sehingga menjadi tabiat (Hamid Reza Alavi 2009). Oleh itu,
personaliti bukan terbentuk daripada warisan dan persekitaran sosial semata-mata sebaliknya
personaliti juga lahir daripada konflik di antara rasional dan tidak rasional yang menerbitkan
suara hati moral yang menjadi teras intrinsik bagi khulq ataupun personaliti (Bakhtiar H.
INTERNATIONAL CONFERENCE ON AQIDAH, DAKWAH AND SYARIAH 2016 (IRSYAD 2016) SEMINAR ANTARABANGSA AKIDAH, DAKWAH DAN SYARIAH 2016 (IRSYAD 2016)
424
Siddiqui 2001). Oleh yang demikian, latihan adalah bertujuan untuk menjadikan suara hati
moral seseorang sentiasa dipengaruhi oleh akal yang rasional.
Penulisan Tahdhīb juga mementing aspek pendidikan dan pemurnian akhlak.
Penekanan metode didikan dan pemulihan akhlak oleh Miskawayh menurut Nasr dan
Leaman (2001) merupakan antara sebab penulisannya mendapat perhatian serta popular.
Miskawayh juga telah memberikan penekanan khusus kepada pendidikan akhlak peringkat
awal iaitu sejak di zaman kanak-kanak lagi. Miskawayh (2005) menyatakan bahawa
mendidik anak-anak ialah sebagai satu usaha untuk membentuk akhlak yang baik. Oleh itu,
kandungan atau isi didikan itu mestilah daripada sumber yang benar. Kanak-kanak hendaklah
dilarang daripada membaca syair-syair yang buruk dan ditegah menerima perkataan-
perkataan yang mengandungi dusta, kejian, umpatan, dan sebagainya. Mereka seharusnya
dididik daripada sumber tasyrī (syariat) supaya mereka terbiasa dengan syariat-syariat Allah.
Melalui penulisan Tahdhīb, Miskawayh telah membahaskan akhlak dalam bentuk
falsafah yang praktikal yang boleh difahami dan diaplikasikan dalam kehidupan serta tidak
seperti cabang-cabang falsafah yang lain yang bersifat spekulatif, (Mohamed Imran
Mohamed Taib 2004). Pandangan Miskawayh tentang personaliti dan akhlak manusia juga
berlawanan dengan pandangan personaliti tanpa moral atau akhlak yang dibentuk di zaman
moden. Menurut Bakhtiar H. Siddiqui (2001), perbezaan ini disebabkan oleh kajian psikologi
era medieval yang dipelopori oleh Miskawayh mendepankan idea psikologi berdasarkan
kepada metafizik manakala pada era moden yang dipelopori oleh W. Wundt (1020M) dan W.
James (1910M) pula adalah psikologi empirikal – bergantung kepada fakta eksperimen dan
tidak mempunyai kaitan dengan jiwa dan minda. Oleh yang demikian, falsafah akhlak yang
dibahaskan oleh Miskawayh di dalam penulisannya adalah sebuah perbahasan akhlak yang
komprehensif dan menyeluruh jika dibandingkan dengan falsafah etika umum yang didasari
oleh pemahaman ilmu psikologi moden.
4. Rumusan
Miskawayh dikenali sebagai sarjana terawal dalam sejarah keilmuan Islam yang telah
membincangkan tentang falsafah akhlak melalui karya Tahdhīb al-Akhlāq. Melalui
sumbangan beliau, falsafah akhlak Islam telah beridiri sendiri kerana akhlak sebelum itu
INTERNATIONAL CONFERENCE ON AQIDAH, DAKWAH AND SYARIAH 2016 (IRSYAD 2016) SEMINAR ANTARABANGSA AKIDAH, DAKWAH DAN SYARIAH 2016 (IRSYAD 2016)
425
adalah sebahagian daripada cabang dengan ilmu politik kenegaraan. Walaupun keseluruhan
pengkaji bersetuju bahawa terdapat pengaruh Yunani dalam penulisan falsafah akhlak
Miskawayh, penulisan beliau tetap mempunyai keunikan tersendiri terutamanya pada aspek
teori dan praktikal perbincangan akhlak. Hakikatnya, penulisan beliau juga merujuk kepada
Quran dan Hadis serta tradisi keilmuan Islam. Aspek praktikal dalam falsafah akhlak
Miskawayh boleh dilihat pada perbahasan kasih-sayang (al-maḥ abbah) dan persahabatan
(al-ṣ adāqah). Penekanan yang beliau berikan terhadap realisasi akhlak melalui interaksi
sosial sesama manusia juga meyebabkan beliau mengkritik cara hidup kerahiban dan
pemencilan diri. Menurut beliau, kaedah ini bercanggah dengan kehendak akhlak Islam.
Selain itu, Miskawayh menekankan aspek pendidikan dan pemurnian akhlak. Baginya,
akhlak adalah dinamik dan bersifat responsif terhadap latihan dan pendidikan.
Rujukan
Ahmad Mahmud Shubhi. 2001. Filsafat Etika: Tanggapan Kaum Rasionalis dan Intusionalis
Islam. Jakarta: PT Serambi Ilmu Sastera.
Al-ʿ Amrū, ʿ Abdullah bin Muḥ ammad. 2006. Al-Akhlāq Baina Madrasataini al-Salafiyyah
wa al-Falsafah (Miskawayh wa ibn al-Qayyim Namuzajan). Riyāḍ : Jāmiʿ ah al-
Imām Muḥ ammad bin Saʿ ūd al-Islāmiyyah.
Asmawati Suhid. 2009. Pendidikan Akhlak dan Adab Islam. Kuala Lumpur: Utusan
Publication & Distributors Sdn Bhd.
Azmul Fahimi Kamaruzaman. 2010. Genesis Tajribah Miskawayh Dalam Tajārib al-Umam.
Islamiyyat 32: 25-39.
Bakhtiar H. Siddiqui. 2001. Miskawaih’s Thought on Human Personality. Intellectual
Discourse 9 (1): 29-46.
Becker, Lawrence C. & Becker, Charlotte B. 2001. Encyclopedia of Ethics. Edisi ke 2. Vol 2.
London & New York: Routledge.
Bertens, K. 2003. Etika dan Moral. Kuala Lumpur: Penerbit Universiti Malaya.
Blackburn, Simon. 2005. Oxford Dictionary of Philosophy. New York: Oxford University
Press.
De Boer, T. J. 1983. The History of Philosophy in Islam. Terj. Jones, Edward R. New Delhi:
Cosmo Publication.
INTERNATIONAL CONFERENCE ON AQIDAH, DAKWAH AND SYARIAH 2016 (IRSYAD 2016) SEMINAR ANTARABANGSA AKIDAH, DAKWAH DAN SYARIAH 2016 (IRSYAD 2016)
426
De Lacy O’Leary, D.D. 1963. Arabic Thought and Its Place in History. London: Routledge
and Kegan Paul LTD.
Ghazali Darusalam. 2003. Dinamika Ilmu Akhlak Islamiah. Kuala Lumpur: Utusan
Publications & Distributtions Sdn. Bhd.
Hamid Reza Alavi. 2009. Ethical Views of Ibn Miskawayh and Aquinas. Philosophical
Papers and Review 1 (4): 1-5.
Hasyimsyah Nasution. 1999. Filsafat Islam. Jakarta: Penerbit Gaya Media Pertama.
Hourani, George F. 2007. Reason and Tradition in Islamic Ethics. New York: Cambridge
University Press.
Ibrahim Abu Bakar. 1989. Some Aspects of Miskawayh’s Thought. Islāmiyyāt 10: 115-123.
ʿ Izzat, ʿ Abd al-ʿ Azīz. 1946. Miskawayh: Falsafatuhu al-Akhlāqiyyah wa Maṣ ādiruhā.
Kamal Azmi Abd. Rahman. 2015. Pendidikan Akhlak Menurut Miskawayh (M. 1030).
Prosiding Seminar Antarabangsa Isu-Isu Pendidikan (IsPEN 2015), hlm. 111-122.
Kraemer, Joel L. 1986. Humanism in the Ranaissance of Islam. Leiden, Netherland: E. J.
Brill.
Kraemer, Joel L. 1984. Humanism in the Renaissance of Islam: A Preliminary Study. Journal
of the American Oriental Study. 104 (1): 135-164.
M. Abdul Haq Ansari. 1964. The Ethical Philosophy of Miskawayh. India: The Aligarh
University Press.
Majid Fakhry. 1994. Ethical Theories in Islam. Leiden, New York, Koln: E.J Brill.
Majid Fakhry. 1970. History of Islamic Philosophy. New York: Columbia University Press.
Majid Fakhry. 1975. Justice in Islamic Philosophical Ethics: Miskawayh’s Mediating
Contribution. Journal of Religious Ethics 3 (2): 243-254.
M. Amin Abdullah. 1992. The Idea of Universality of Ethical Norms in al-Ghazali and Kant.
Ankara: Bu Kitabin.
M. Arkoun. 2000. Pembedahan Pemikiran Islam. Terj. Hidayatullah. Bandung, Indonesia:
Penerbit Pustaka.
Miskawayh. t.th. Al-Fawz al-Asghār. Bayrūt: Dār al-Maktabah al-Ḥayah
Miskawayh. 2005. Tahdhīb al-Akhlāq wa Taṭ hīr al-Aʿ rāq. Ṭ alīʿ ah al-Nūr.
Miskawayh. 1968. The Refinement of Character. Terj. Zurayk, Constantine K. Beirut:
American University of Beirut.
INTERNATIONAL CONFERENCE ON AQIDAH, DAKWAH AND SYARIAH 2016 (IRSYAD 2016) SEMINAR ANTARABANGSA AKIDAH, DAKWAH DAN SYARIAH 2016 (IRSYAD 2016)
427
Mohamed Imran Mohamed Taib. 2004. Friendship: Miskawayh and the Ethical Tradition.
The Muslim Reader Magazine Jan-Apr: 1-5.
Mohd. Nasir Omar. 1994. Miskawayh’s Theory of Self-Purification and the Relationship
between Philosophy and Sufism. Journal of Islamic Studies 5(1): 35-51.
Mohd. Nasir Omar. 2003. Christian and Muslim Ethics. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan
Pustaka.
Mohd. Nasir Omar. 2010a. Ethics in Islam: A Critical Survey. The Social Sciences 8 (5): 387-
392.
Mohd. Nasir Omar. 2010b. Falsafah Akhlak. Bangi, Selangor: Penerbitan Universiti
Kebangsaan Malaysia.
Mohd. Nasir Omar. 2013. Ethics in Islam: A Brief Survey. Islāmiyyāt 33: 157 – 171
Nadia Jamal al-Din. 2001. Miskawayh (A.H. 320-421/A.D.932-1030). Prospects: The
Quarterly Review of Comparative Education. 24(1): 1-18
Nasr, Seyyed Hossien & Leaman, Oliver. 2001. History of Islamic Philosophy. London &
New York: Routledge.
S. A. Shaida. t.th. Ibn Miskawayh’s Concept of Justice and Its Metaphysical Foundations.
299-317.
Walzer, R. 1956. Some Aspects of Miskawayh’ Tahdhīb al-Akhlāq. Istituto per l'Oriente.
Y Mohamed. 2000. Greek Thought in Arab Ethics: Miskawayh’s Theory of Justice.
Phronimon 2: 242-259.
Zul’azmi b. Yaakob. 2005. Konsep Keadilan Dalam Pemikiran Akhlak Aristotle (M. 322 SM)
dan Miskawayh (M. 1030 SM). Disertasi Ijazah Sarjana Usuluddin. Fakulti Pengajian
Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia.