Upload
others
View
18
Download
0
Embed Size (px)
BELANJAWAN 2021 NEGERI PAHANG: BANTUAN KHAS RM1,000 KEPADA
PENJAWAT AWAM PAHANG
KUANTAN, 16 NOVEMBER 2020 : Kerajaan Negeri Pahang mengumumkan
pemberian bantuan khas kewangan sebanyak RM1,000 kepada 8,000 penjawat
awam tanpa pengecualian gred dalam pembentangan Belanjawan 2021 Negeri
Pahang.
Menteri Besar Pahang, YAB. Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata sebanyak
RM8 juta diperuntukkan bagi bantuan yang pembayarannya akan dibuat sebelum 16
Januari tahun hadapan.
“Kerajaan Negeri bersetuju untuk memberi Bantuan Khas Kewangan sebanyak
RM1,000 kepada kesemua kakitangan kerajaan tanpa pengecualian gred kerana
setiap inci kejayaan yang kita rasai hari ini adalah hasil usaha padu kita semua.
“Pemberian Bantuan Khas Kewangan ini bertambah berbanding dengan tahun lepas
yang berjumlah RM750,” katanya ketika menyampaikan ucapan Belanjawan 2021
Kerajaan Negeri Pahang di Wisma Sri Pahang di sini hari ini.
Beliau dalam ucapan tersebut turut menjangkakan kutipan hasil negeri pada tahun
hadapan adalah sebanyak RM800.798 juta iaitu peningkatan 7.6 peratus berbanding
anggaran bagi tahun ini.
“Kutipan hasil tahun 2021 dijangka diperolehi daripada hasil tanah sebanyak
RM452.285 juta, hasil perhutanan sebanyak RM165.495 juta, dan hasil air sebanyak
RM15.250 juta, Geran Kerajaan Persekutuan sebanyak RM94.2 juta, dan lain-lain
hasil sebanyak RM73.568 juta ringgit.
“Belanjawan 2021 menganggarkan kutipan hasil negeri sebanyak RM800.798 juta,
manakala Perbelanjaan Mengurus pula dijangka sebanyak RM795.466 juta, dengan
lebihan sebanyak RM5.332 juta,” katanya.
Tambah beliau lagi, anggaran perbelanjaan mengurus negeri bagi tahun hadapan
telah meningkat sebanyak 7.5 peratus manakala anggaran perbelanjaan bagi
meningkat sebanyak 67 peratus berbanding tahun ini.
“Demi kepentingan dan kesejahteraan rakyat, Belanjawan 2021 akan menyediakan
peruntukan berjumlah RM795.466 juta bagi Perbelanjaan Mengurus yang
merangkumi perbelanjaan Emolumen, Perkhidmatan dan Bekalan, Pemberian dan
Kenaan Bayaran Tetap, Perbelanjaan Lain dan Aset. Anggaran Perbelanjaan
Mengurus untuk tahun 2021 telah meningkat sebanyak RM55.573 juta atau 7.5
peratus berbanding tahun 2020.
“Manakala bagi Perbelanjaan Pembangunan, peruntukan adalah sebanyak
RM201.915 juta. Ia akan melibatkan projek infrastruktur sejumlah RM109.415 juta
dengan pembiayaan cara langsung, manakala RM92.5 juta adalah daripada pinjaman
Kerajaan Persekutuan bagi membiayai Projek Bekalan Air.
“Secara keseluruhan, anggaran Perbelanjaan Pembangunan untuk tahun 2021 telah
meningkat sebanyak 81.165 juta ringgit atau 67 peratus berbanding tahun 2020,”
katanya. -PAHANGMEDIA
Disediakan oleh Unit Komunikasi dan Media Pahang (UKOMP) #MajuTerusPahang #Pahang1st #KerajaanNegeriPahang #PahangGo Oleh : Ain Nadhirah Basha Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi
(LIPUTAN BERGAMBAR)
BELANJAWAN 2021 NEGERI PAHANG: KERAJAAN PAHANG AKAN
WUJUDKAN MAJLIS PERINDUSTRIAN NEGERI TAHUN HADAPAN
KUANTAN, 16 NOVEMBER 2020 : Kerajaan Pahang akan mewujudkan Majlis
Perindustrian Negeri Pahang pada tahun hadapan bagi membincangkan isu dan hala
tuju perindustrian di negeri ini.
Menteri Besar Pahang, YAB. Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata
penubuhan Majlis Perindustrian Negeri Pahang ini adalah bertujuan untuk
menyeragam, menyelaras dan membantu semua pemain industri dalam
melaksanakan inisiatif-inisiatif yang terkandung dalam Pelan Perindustrian dan
Pembangunan Negeri Pahang 2020 hingga 2025.
“Ia akan melibatkan Pengerusi Jawatankuasa yang berkaitan dengan perladangan,
pelancongan, pertanian, infrastruktur dan belia serta semua Pegawai Daerah, Ketua
Jabatan yang berkaitan dan pemain-pemain industri.
“Kerajaan Negeri juga telah memperuntukkan RM200,000 untuk tujuan pelan ini.
Pelan Perindustrian dan Pembangunan ini telah diwujudkan untuk mengenal pasti
hala tuju pembangunan perindustrian bagi menjadikan Negeri Pahang sebagai
sebuah negeri maju dan kompetitif menjelang tahun 2025,” katanya.
Beliau berkata Kerajaan Negeri Pahang juga sedang dalam perancangan untuk
mewujudkan Majlis Pembangunan Wilayah Pahang Barat Plus di negeri ini.
“Wilayah Pahang Barat Plus ini merangkumi Daerah Cameron Highlands, Lipis,
Jerantut, Raub, Bentong dan Bera. Plus ini adalah merujuk kepada Daerah Bera.
“Tujuan majlis ini ditubuhkan adalah untuk memantau pelaksanaan Pelan
Pembangunan Ekonomi Pahang Barat yang akan menjadi hala tuju kepada
perancangan pembangunan di Wilayah Pahang Barat Plus.
“Ini adalah kerana pembangunan di Wilayah Pahang Barat Plus jauh ketinggalan jika
dibandingkan pembangunan di Wilayah Pahang Timur khususnya Daerah Kuantan,”
katanya.
Beliau dalam ucapan tersebut turut menyatakan Kerajaan Pahang juga akan
memberikan tumpuan kepada tiga kawasan Taman Perindustrian iaitu Tanjung Agas
Maritime Park, Gambang Halal Park dan Pahang Technology Park.
“Bahagian Perancang Ekonomi Negeri, Pejabat Setiausaha Kerajaan Pahang
bersama-sama dengan Syarikat Berkaitan Kerajaan Negeri dan Majlis Pembangunan
Wilayah Ekonomi Pantai Timur sedang giat melakukan promosi melalui lawatan,
forum dan trade missions untuk menarik pelabur tempatan dan pelabur asing untuk
melabur di kawasan perindustrian yang terlibat. – PAHANGMEDIA
Disediakan oleh Unit Komunikasi dan Media Pahang (UKOMP) #MajuTerusPahang #Pahang1st #KerajaanNegeriPahang #PahangGo Oleh : Ain Nadhirah Basha Foto: Putera Falliq Hakim Suhairi
(LIPUTAN BERGAMBAR)
BELANJAWAN 2021 NEGERI PAHANG: KERAJAAN PAHANG SASAR 95
PERATUS KUTIPAN HASIL TANAH TAHUN HADAPAN
KUANTAN, 16 NOVEMBER 2020 : Kerajaan Pahang menyasarkan kutipan hasil
tanah sebanyak 95 peratus pada tahun hadapan.
Menteri Besar Pahang, YAB. Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata sasaran
kutipan ini termasuklah bayaran premium tanah, permit, denda, pampasan dan
sebagainya.
“Kerajaan Negeri Pahang telah menetapkan kutipan hasil tanah sebagai salah satu
Petunjuk Prestasi Utama atau Key Performance Indicator (KPI) pada tahun ini dengan
sasaran hasil tanah ditetapkan sebanyak 95 peratus dan sasaran bagi kutipan
tunggakan cukai tanah adalah sebanyak 80 peratus.
“Sasaran kutipan hasil tanah bagi Negeri Pahang untuk tahun 2021 adalah sebanyak
RM452.285 juta. Kutipan ini termasuk bayaran premium tanah, permit, denda,
rampasan dan sebagainya,” katanya ketika menyampaikan ucapan Belanjawan 2021
Negeri Pahang di Wisma Sri Pahang di sini hari ini.
Beliau berkata Kerajaan Pahang telah menubuhkan Unit Penguatkuasaan Negeri
Pahang yang memberikan tumpuan berterusan terhadap kes-kes yang menyebabkan
kehilangan hasil Kerajaan Negeri.
“Sebagai contoh, operasi penguatkuasaan perundangan tanah di Kampung Pamah
Lebar, Daerah Raub melibatkan kawasan seluas 198.53 ekar telah berjaya
mengekang kerugian hasil Kerajaan Negeri yang dianggarkan berjumlah RM3.15 juta.
“Manakala operasi penguatkuasaan di Kampung Kundang, Daerah Pekan yang
melibatkan keluasan tanah seluas 500 ekar milik Perbadanan Setiausaha Kerajaan
Negeri Pahang (PSK) pula berjaya mengekang ketirisan kutipan hasil Kerajaan Negeri
yang dianggarkan bernilai RM3 juta.
“Sehingga ke hari ini, Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang telah berjaya menyita 20
buah jentera yang dianggarkan bernilai RM1.8 juta di atas pelbagai kesalahan,”
katanya.
Beliau berkata Unit Pasukan Khas turut menunjukkan prestasi cemerlang apabila
berjaya mengutip RM31 juta tunggakan hasil tanah.
“Jumlah kompaun dan denda yang berjaya dikutip sepanjang tahun 2019 dan 2020
adalah bernilai RM627,000 dan 43 kes telah dibawa ke mahkamah untuk tindakan
pendakwaan.
“Sebanyak RM231,000 tunggakan pinjaman ternakan dan sejumlah RM148,000
tunggakan sewa Taman Kekal Pengeluaran Makanan telah berjaya dikutip,” katanya.
-PAHANGMEDIA
Disediakan oleh Unit Komunikasi dan Media Pahang (UKOMP) #MajuTerusPahang #Pahang1st #KerajaanNegeriPahang #PahangGo Oleh : Ain Nadhirah Basha Foto: Putera Falliq Hakim Suhairi
(LIPUTAN BERGAMBAR)
BELANJAWAN 2021 NEGERI PAHANG: KERAJAAN PAHANG SEDIA DANA
KHAS BANTU PENIAGA MUDA RM10 JUTA
KUANTAN, 16 NOVEMBER 2020 : Kerajaan Pahang akan menyediakan dana khas
sebanyak RM10 juta sebagai bantuan awal perniagaan kepada golongan muda di
negeri ini.
Menteri Besar Pahang, YAB. Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata dana khas
ini boleh dijadikan sebagai bantuan awal dan pengembangan perniagaan khusus
untuk golongan muda Negeri Pahang.
“Kerajaan Negeri sentiasa mengiktiraf orang-orang muda sebagai pelapis generasi
masa hadapan. Oleh itu, Kerajaan Negeri akan menyediakan satu Dana Khas
sebanyak 10 juta ringgit kepada golongan muda yang melibatkan diri dalam sektor
perniagaan.
“Lima syarikat GLC dan pihak Majlis Daerah akan dilibatkan untuk pelaksanaan
program ini,” katanya ketika menyampaikan Belanjawan 2021 Negeri Pahang di
Wisma Sri Pahang di sini hari ini.
Beliau berkata Kerajaan Negeri juga telah meluluskan peruntukan bagi pembangunan
belia Negeri Pahang sebanyak RM470,000.
“Peruntukan ini adalah untuk diagihkan kepada Majlis Belia Negeri Pahang, 11 Majlis
Belia Daerah dan 15 Badan Gabungan bagi memastikan pembangunan belia secara
komprehensif dapat dilaksanakan.
“Kerajaan Negeri juga akan terus memperkasakan kursus-kursus kemahiran untuk
melahirkan modal insan yang berdaya saing pada masa hadapan.
“Di samping itu, Kerajaan Negeri juga akan terus memperkasakan peranan Badan
Bukan Kerajaan (NGO) yang saling bekerjasama atas semangat sukarelawan seperti
Squad Bencana Pahang yang membantu Kerajaan Negeri dalam menghadapi
musibah,” katanya. -PAHANGMEDIA
Disediakan oleh Unit Komunikasi dan Media Pahang (UKOMP) #MajuTerusPahang #Pahang1st #KerajaanNegeriPahang #PahangGo Oleh : Ain Nadhirah Basha Foto: Putera Falliq Hakim Suhairi
(LIPUTAN BERGAMBAR)
BELANJAWAN 2021 NEGERI PAHANG: KERAJAAN PAHANG UMUM 13
BANTUAN PRIHATIN PAHANG
KUANTAN, 16 NOVEMBER 2020 : Kerajaan Pahang mengumumkan 13 Bantuan
Prihatin Pahang (BPP) 2021 bagi memastikan kebajikan setiap lapisan masyarakat di
negeri ini terjaga.
Menteri Besar Pahang, YAB. Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata Kerajaan
Negeri Pahang sentiasa mendengar keluh kesah rakyat dalam menghadapi cabaran
masa kini.
“Bagi menjaga kebajikan golongan warga emas yang berumur 80 tahun ke atas,
sumbangan secara one-off sebanyak RM250 seorang melibatkan seramai 2,054
orang dengan peruntukan berjumlah RM513,500 akan diberikan.
“Bagi membantu Orang Kelainan Upaya (OKU), Kerajaan Negeri akan
memperuntukkan sejumlah RM8,493,250 kepada 33,973 penerima secara one-off
dengan kadar RM250 seorang,” katanya ketika menyampaikan Belanjawan 2021
Negeri Pahang di Wisma Sri Pahang di sini hari ini.
Tambah beliau lagi seramai 3,014 penerima Bantuan Am Kerajaan Negeri melalui
Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) akan menerima kadar bantuan sebanyak
RM350 sebulan.
“Kerajaan Negeri akan menaikkan kadar bantuan am ini dari RM300 sebulan kepada
RM350 sebulan yang menjadikan keseluruhan peruntukan tambahan adalah
sebanyak RM1,808,400 setahun.
“Bagi menghargai bakti imam-imam kariah, Kerajaan Negeri memperuntukkan
sumbangan secara one-off sebanyak RM750 seorang kepada seramai 1,032 imam
seluruh Negeri Pahang dengan jumlah peruntukan RM774,000.
“Selain itu, tidak dilupakan juga jasa bilal dan siak, Kerajaan Negeri memperuntukkan
sumbangan secara one-off sebanyak RM250 seorang yang melibatkan seramai 888
bilal dan 889 siak seluruh Negeri Pahang dengan jumlah peruntukan RM444,250,”
katanya.
Tambah beliau lagi bagi tujuan memberi semangat kepada seramai 24,000 pelajar
Sekolah Bantuan Penuh Kerajaan yang bakal memasuki alam persekolahan Darjah 1
pada tahun hadapan, Kerajaan Negeri memperuntukkan sejumlah RM2.4 juta melalui
pemberian 100 ringgit kepada setiap murid.
“Tidak dilupakan juga kepada 543 Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan
Kemakmuran Kampung (JKKK), 62 Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan
Keselamatan Kampung Baru (JKKB) dan 70 Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan
Keselamatan Rancangan (JKKR) yang telah banyak menyumbangkan bakti di
peringkat akar umbi, Kerajaan Negeri dengan ini bersetuju memperuntukkan sejumlah
RM250 secara one-off kepada setiap Pengerusi dengan jumlah peruntukan
RM168,750.
“Untuk meringankan kos sara hidup kumpulan B40, sumbangan secara one-off
sebanyak RM250 diperuntukkan kepada setiap peserta e-Kasih miskin tegar seramai
1,594 orang. Ia akan melibatkan peruntukkan keseluruhan berjumlah RM398,500,”
katanya.
Selain itu, beliau berkata Kerajaan Negeri telah bersetuju memperuntukkan sebanyak
RM840,000 setahun untuk Elaun Tambahan Guru Al-Quran dan Fardhu Ain Asrama
kepada 350 orang pada kadar RM200 seorang mulai tahun 2021.
“Elaun ini akan meningkat daripada RM800 kepada RM1,000 sebulan.
“Kerajaan Negeri juga prihatin kepada institusi Maahad Tahfiz yang ada di Negeri
Pahang. Oleh itu, Maahad Tahfiz yang berdaftar dengan Majlis Ugama Islam Pahang
(MUIP) akan menerima peruntukan berjumlah RM1 juta secara keseluruhan untuk
diagihkan kepada 89 buah Maahad Tahfiz,” katanya.
Menurut beliau, seramai 301 orang Tok Batin akan turut menerima sumbangan secara
one-off bernilai RM250 seorang yang berjumlah RM75,250 keseluruhannya.
“Kerajaan Negeri juga akan meneruskan pemberian sebanyak RM200 kepada
pasangan yang berkahwin kali pertama pada tahun depan.
“Selain itu, Kerajaan Negeri juga akan memperuntukkan RM10,000 untuk setiap 52
Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) untuk memberikan latihan dan pemulihan
kepada Orang Kelainan Upaya (OKU). Jumlah peruntukan adalah sebanyak
RM520,000.
“Tidak dilupakan, kepada guru-guru Kelas Al-Quran dan Fardhu Ain (KAFA) di sekolah
dan asrama, Kerajaan Negeri turut bersetuju untuk memberikan Bantuan Khas
Kewangan secara one-off berjumlah RM300 kepada 2,978 guru yang terlibat. Jumlah
peruntukan Bantuan Khas Kewangan ini adalah sebanyak RM893,400,” katanya. -
PAHANGMEDIA
Disediakan oleh Unit Komunikasi dan Media Pahang (UKOMP) #MajuTerusPahang #Pahang1st #KerajaanNegeriPahang #PahangGo Oleh : Ain Nadhirah Basha Foto: Putera Falliq Hakim Suhairi
(LIPUTAN BERGAMBAR)
BELANJAWAN 2021 NEGERI PAHANG: PAHANG PERUNTUK RM5 JUTA BAGI
PROMOSI SEKTOR PELANCONGAN
KUANTAN, 16 NOVEMBER 2020 : Kerajaan Pahang memperuntukkan sebanyak
RM5 juta kepada Tourism Pahang tahun hadapan sebagai usaha mempromosikan
sektor pelancongan negeri ini.
Menteri Besar Pahang, YAB. Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata Tourism
Pahang turut memainkan peranan melalui pelaksanaan pelbagai program
pelancongan secara individu atau webinar.
“Antara strategi Tourism Pahang, Tourism Malaysia dan Kementerian Pelancongan,
Seni dan Budaya Malaysia pada tahun 2021 ialah memperhebatkan promosi tanah
tinggi, Taman Negara dan Tioman.
“Strategi lain adalah dengan meningkatkan penggunaan platform digital; dan
mengambil bahagian dalam platform promosi terkini seperti Virtual Travel Fair
bersama dengan penggiat-penggiat industri,” katanya ketika menyampaikan ucapan
Belanjawan 2021 Negeri Pahang di Wisma Sri Pahang di sini hari ini.
Beliau berkata Kerajaan Pahang juga akan memberikan rebet sebanyak RM50,000
melalui aplikasi PahangGo bagi digunakan di hotel terpilih di negeri ini.
“Bagi membantu semula ekonomi sektor pelancongan, Kerajaan Negeri berhasrat
untuk menyediakan bantuan rebat atau kupon dengan jumlah keseluruhan sebanyak
RM50,000 melalui aplikasi PahangGo. Kupon ini boleh digunakan di hotel-hotel terpilih
yang dikenal pasti,” katanya.
Tambah beliau lagi, Kerajaan Pahang juga telah memperuntukkan sebanyak RM1.5
juta pada tahun ini bagi sektor pelancongan.
“Kerajaan Negeri telah memperuntukkan sebanyak RM1.5 juta pada tahun 2020 bagi
16 projek di bawah Projek Penyediaan Infrastruktur dan Fasiliti Pelancongan 2020
meliputi setiap daerah di Negeri Pahang.
“Kerajaan Negeri juga telah mengemukakan permohonan projek-projek pelancongan
kepada Kerajaan Persekutuan yang berjumlah 49.25 juta ringgit,” katanya. -
PAHANGMEDIA
Disediakan oleh Unit Komunikasi dan Media Pahang (UKOMP) #MajuTerusPahang #Pahang1st #KerajaanNegeriPahang #PahangGo Oleh : Ain Nadhirah Basha Foto: Putera Falliq Hakim Suhairi
(LIPUTAN BERGAMBAR)
BELANJAWAN 2021 NEGERI PAHANG: PAHANG PERUNTUK RM5.5 JUTA
BAGI SEKTOR PERTANIAN
KUANTAN, 16 NOVEMBER 2020 : Kerajaan Pahang memperuntukkan sebanyak
RM5.5 juta bagi memantapkan sektor pertanian di negeri ini bagi tahun hadapan.
Menteri Besar Pahang, YAB. Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata
peningkatan peruntukan ini meningkat sebanyak RM0.5 juta atau 10 peratus daripada
tahun 2020.
“Peningkatan peruntukan ini diharapkan dapat menggalakkan lebih ramai penglibatan
anggota masyarakat dalam pembangunan pertanian dan membantu lebih ramai
golongan muda dan B40 menerima insentif teknologi pertanian untuk menjana sumber
pendapatan.
“Contohnya melalui Program Tanaman Keliling Rumah, insentif berupa benih dan
bahan input pertanian akan disalurkan kepada individu dan juga komuniti setempat
dan dijangkakan seramai 1,000 orang akan mendapat manfaat daripada program ini
pada tahun hadapan,” katanya ketika menyampaikan Belanjawan 2021 Kerajaan
Negeri Pahang di Wisma Sri Pahang di sini hari ini.
Beliau berkata Kerajaan Negeri menjangkakan sebanyak 800 ladang akan
memperoleh sijil myGAP dan myOrganic pada tahun hadapan.
“Sehingga akhir tahun 2019, terdapat 597 ladang dengan keluasan 5,910 hektar telah
memperolehi sijil myGAP dan dijangkakan angka ini akan melonjak kepada 800
ladang menjelang akhir tahun 2021.
“Kerajaan Negeri juga memberi penekanan kepada pengekalan amalan pertanian
yang baik yang menjurus penglibatan lebih ramai petani memperolehi sijil myGAP dan
myOrganic. Ketetapan ini untuk pengeluaran bahan makanan yang lebih berkualiti
dan berorientasikan eksport,” katanya.
Beliau berkata bagi menambah pengetahuan dan peningkatan kemahiran para petani,
Kerajaan Negeri merancang untuk mengadakan 414 latihan sepanjang tahun
hadapan.
“Sebanyak 414 latihan dirancang untuk diadakan sepanjang tahun 2021 dengan
penglibatan seramai 8,280 orang petani di seluruh Negeri Pahang,” katanya.
Beliau berkata Kerajaan Pahang menjangkakan pengeluaran makanan dianggarkan
meningkat sehingga 631,000 tan metrik dengan nilai RM2.52 bilion pada akhir 2021.
“Sehingga akhir 2019, sebanyak 619,000 tan metrik hasil pertanian dengan nilai
RM2.29 bilion telah dikeluarkan oleh Negeri Pahang.
“Pengeluaran bahan makanan sehingga Ogos 2020 telah mencapai 259,000 tan
metrik dengan nilai RM1.66 bilion dan dijangka meningkat kepada 620,000 tan dengan
nilai RM2.48 bilion sehingga akhir 2020,” katanya. -PAHANGMEDIA
Disediakan oleh Unit Komunikasi dan Media Pahang (UKOMP) #MajuTerusPahang #Pahang1st #KerajaanNegeriPahang #PahangGo Oleh : Ain Nadhirah Basha Foto: Putera Falliq Hakim Suhairi
(LIPUTAN BERGAMBAR)
BELANJAWAN 2021 NEGERI PAHANG: PAHANG PERUNTUK RM7.9 JUTA
BAGI PEMBANGUNAN ICT
KUANTAN, 16 NOVEMBER 2020 : Kerajaan Pahang memperuntukkan sebanyak
RM7.9 juta bagi pembangunan teknologi maklumat kepada jabatan dan agensi
kerajaan di negeri ini.
Menteri Besar Pahang, YAB. Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata ini bagi
memastikan kelancaran sistem penyampaian perkhidmatan awam secara berterusan
di negeri ini.
“Pada tahun 2021, sejumlah RM7.9 juta akan diperuntukkan oleh Kerajaan Negeri
iaitu peningkatan sebanyak RM3.48 juta berbanding tahun 2020 iaitu sebanyak
RM360,000 diperuntukkan bagi menyokong penyampaian perkhidmatan.
“Selain itu, Kerajaan Negeri juga telah meluluskan peruntukan sebanyak RM220,000
bagi kerja-kerja penyelenggaraan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) di ruang
pejabat Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang.
“Sebanyak RM71,000 bagi kerja-kerja penyelenggaraan dan peralatan ICT serta
sambungan rangkaian luaran (UNIFI) di Pejabat Pentadbiran Pulau Tioman,” katanya
ketika menyampaikan Belanjawan 2021 Negeri Pahang di Wisma Sri Pahang di sini
hari ini.
Selain itu, Kerajaan Negeri melalui Yayasan Pahang memperuntukkan perbelanjaan
sebanyak RM65 juta bagi bantuan pendidikan dan kebajikan,program pendidikan
serta bantuan kemasyarakatan bagi tahun 2021.
“Yayasan Pahang telah membangunkan Pelan Strategik Yayasan Pahang dan
Kumpulan 2020 hingga 2028.
“Anggaran peruntukan perbelanjaan tahun 2021 bagi bantuan pendidikan dan
kebajikan, program pendidikan serta bantuan kemasyarakatan adalah sebanyak
RM65 juta merangkumi pendidikan berjumlah RM51 juta, komuniti berjumlah RM13
juta dan ekonomi sebanyak RM1 juta,” katanya.
Beliau berkata antara sasaran Yayasan Pahang pada tahun 2021 ialah mencapai
kedudukan ketiga dan ke atas bagi peringkat kebangsaan dalam pencapaian
peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun hadapan.
“Selain itu, Yayasan Pahang turut mensasarkan sebanyak 80 peratus anak yatim
melanjutkan pelajaran ke Institut Pengajian Tinggi (IPT), dan 95 peratus murid boleh
membaca seawal Tahun 1.
“Antara lain adalah 10 peratus masyarakat Orang Asli berjaya melanjutkan
pelajaran ke IPT, dan RM20 juta setahun kutipan bayaran balik pinjaman pendidikan
Yayasan Pahang,” katanya. – PAHANGMEDIA
Disediakan oleh Unit Komunikasi dan Media Pahang (UKOMP) #MajuTerusPahang #Pahang1st #KerajaanNegeriPahang #PahangGo Oleh : Ain Nadhirah Basha Foto: Putera Falliq Hakim Suhairi
(LIPUTAN BERGAMBAR)
BELANJAWAN 2021 NEGERI PAHANG: PAHANG TAMBAH SEBUAH PEJABAT
AGAMA ISLAM BAHARU DI KUANTAN
KUANTAN, 16 NOVEMBER 2020: Kerajaan Pahang akan menambah sebuah
Pejabat Agama Islam Daerah (PAID) yang baharu di Mukim Kuala Kuantan 2, tahun
hadapan.
Menteri Besar Pahang, YAB. Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata Kerajaan
Pahang juga dalam kajian penstrukturan semula struktur organisasi Jabatan Agama
Islam Pahang (JAIP).
“Penstrukturan ini akan melibatkan dua daerah dan sebanyak empat buah Pejabat
Agama Islam Daerah iaitu Kuantan, Maran, Jengka dan Chenor. Bagi Daerah
Kuantan, akan diwujudkan tambahan satu Pejabat Agama Islam Daerah baru di
Mukim Kuala Kuantan 2 iaitu di Pahang Barat dan mengekalkan Pejabat Agama Islam
Daerah sedia ada di Bandar Kuantan di Ibu Negeri.
“Manakala bagi Daerah Maran, akan kekal dua Pejabat Agama Islam Daerah iaitu
Pejabat Agama Islam Daerah Maran dan Jengka,” katanya ketika menyampaikan
Belanjawan 2021 Negeri Pahang di Wisma Sri Pahang di sini hari ini.
Beliau berkata Kerajaan Negeri juga akan memperuntukkan sebanyak RM129.26 juta
bagi Perbelanjaan Mengurus dan Pembangunan JAIP pada tahun hadapan.
“Peruntukan ini merangkumi pembelian kenderaan kepada sekolah-sekolah dan
masjid sebanyak 16 buah yang melibatkan RM1.92 juta, pembinaan dewan serbaguna
dan bangunan akademik di Sekolah Menengah Agama Al-Maidah Addiniah Padang
Tengku Kuala Lipis, menaik taraf bangunan di bawah pentadbiran JAIP termasuk
PAID dan asrama sekolah-sekolah yang keseluruhannya berjumlah RM9.6 juta.
“Selain peruntukan Kerajaan Negeri, JAIP juga menerima peruntukan daripada
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) bagi peruntukan elaun guru Kelas Agama
Fardhu Ain (KAFA) sebanyak RM30.9 juta setahun dan peruntukan bagi bayaran
elaun imam kariah sebanyak RM9.8 juta setahun,” katanya.
Beliau berkata JAIP juga mensasarkan untuk melaksanakan penambahbaikan sistem
perkhidmatan kepada rakyat.
“Antaranya adalah mewujudkan direktori Penolong Pendaftar Nikah, Cerai dan Rujuk
Orang Islam (wali hakim) Negeri Pahang dalam Sistem e-Munakahat sedia ada bagi
membantu memudahkan masyarakat dalam membuat urusan terutamanya proses
perkahwinan.
“Selain itu mewujudkan perkhidmatan runding cara atau khidmat nasihat atas talian
dalam menyelesaikan sesuatu aduan yang diterima dengan mengambil masa yang
seminimum mungkin. Kaedah ini juga dilihat dapat membantu meningkatkan
peratusan aduan yang berjaya diselesaikan dalam tempoh yang singkat,” katanya. -
PAHANGMEDIA
Disediakan oleh Unit Komunikasi dan Media Pahang (UKOMP) #MajuTerusPahang #Pahang1st #KerajaanNegeriPahang #PahangGo Oleh: Ain Nadhirah Basha Foto: Putera Falliq Hakim Suhairi
(LIPUTAN BERGAMBAR)
BELANJAWAN 2021 NEGERI PAHANG: PENUBUHAN PMC DIJANGKA
SUMBANG RM50 JUTA TAHUN HADAPAN
KUANTAN, 16 NOVEMBER 2020 : Penubuhan Pahang Mining Corporation Sdn. Bhd.
(PMC) dijangka menyumbang sebanyak RM50 juta kepada Kerajaan Pahang pada
tahun hadapan.
Menteri Besar Pahang, YAB. Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata konsortium
ini adalah bagi menguruskan aktiviti pengeluaran sumber mineral di Negeri Pahang.
“Pahang Mining Corporation Sdn. Bhd. (PMC) yang akan menjadi Pusat Sehenti (One-
Stop Centre) bagi merancang, mengurus dan memantau aktiviti perlombongan di
Negeri Pahang.
“PMC turut menjadi pemegang lesen mineral tunggal bagi semua aktiviti mencari gali,
penjelajahan dan perlombongan,” katanya ketika menyampaikan ucapan Belanjawan
2021 Negeri Pahang di Wisma Sri Pahang di sini hari ini.
Selain itu, pengoperasian Pahang Corporation Sdn. Bhd. pada tahun ini dijangka
dapat menyumbangkan hasil kepada Kerajaan Negeri sebanyak RM4.4 juta pada
tahun hadapan.
“Ia (Pahang Corporation) sesuai dengan matlamat penubuhannya yang
bertanggungjawab mengkaji cadangan-cadangan pelaburan dari aspek pulangan
serta risiko-risiko perniagaan dan memantau pelaksanaan aktiviti perniagaan yang
diceburi oleh Syarikat- Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC).
Tambah beliau lagi, penubuhan Pahang Water And Energy Resources Sdn. Bhd. juga
dijangka bakal menyumbang sebanyak RM2 juta kepada Kerajaan Negeri mulai tahun
2021.
“Selain memberikan pulangan hasil kepada Kerajaan Negeri, ia juga membantu
pengurusan sumber air mentah sedia ada agar pembekalan air mentah sentiasa
mencukupi daripada segi kuantiti dan kualiti.
Tambah beliau lagi, Kerajaan Pahang turut mempertimbangkan untuk memberi lesen
kepada pelombong kecil melalui Skim Pelombong Kecil. – PAHANGMEDIA
Disediakan oleh Unit Komunikasi dan Media Pahang (UKOMP) #MajuTerusPahang #Pahang1st #KerajaanNegeriPahang #PahangGo Oleh : Ain Nadhirah Basha Foto: Putera Falliq Hakim Suhairi
(LIPUTAN BERGAMBAR)
BELANJAWAN 2021 NEGERI PAHANG: RM92.5 JUTA DIPERUNTUKAN BAGI
BEKALAN AIR DI PAHANG
KUANTAN, 16 NOVEMBER 2020 : Kerajaan Pahang memperuntukkan sebanyak
RM92.5 juta bagi tujuan perbekalan air di negeri ini pada tahun hadapan.
Menteri Besar Pahang, YAB. Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata
peruntukan ini meningkat sebanyak RM57.3 juta berbanding peruntukan yang
diberikan untuk tujuan sama tahun ini.
“Dalam usaha untuk mencapai matlamat tersebut, Kerajaan Negeri terus memberikan
komitmen untuk melaksanakan program bekalan air yang telah dirancang.
“Pada tahun 2020, sebanyak RM35.2 juta peruntukan telah disediakan bagi
menyiapkan projek-projek pembangunan infrastruktur bekalan air baharu serta
menaik taraf sistem sedia ada,” katanya ketika menyampaikan ucapan Belanjawan
2021 Kerajaan Negeri Pahang di Wisma Sri Pahang di sini hari ini.
Beliau berkata pelaksanaan projek pembinaan sebuah loji rawatan air dan tangki air
di Kuantan dijangka akan dimulakan tahun hadapan bagi memenuhi keperluan
bekalan air di kawasan Perindustrian Gebeng dengan anggaran kos projek
keseluruhan RM619 juta.
“Di antara projek yang sedang giat dilaksanakan adalah membina tangki imbangan di
kawasan Perindustrian Gebeng berjumlah RM173 juta, membina dan menyiapkan loji
air di Semambu berjumlah RM446 juta dan projek pembinaan paip agihan air dari
Kemaman ke Kawasan Perindustrian Gebeng berjumlah RM115 juta.
“Selain itu, terdapat juga projek untuk mengatasi kekeruhan di Loji Rawatan Air di
Sungai Bilut, Sungai Semantan dan Sungai Klau, Daerah Raub berjumlah RM18 juta,”
katanya.
Beliau berkata Kerajaan Negeri juga sedang dalam fasa terakhir untuk
memuktamadkan perjanjian penstrukturan semula perkhidmatan bekalan air Negeri
Pahang dengan Kerajaan Persekutuan.
“... dijangkakan perjanjian berkenaan akan termeterai sebelum 31 Disember 2020.
Melalui penstrukturan semula perkhidmatan bekalan air Negeri Pahang, pinjaman
bekalan air luar bandar yang bernilai RM1 bilion Kerajaan Negeri akan dihapus kira
dan baki pinjaman bekalan air akan diinovasikan kepada Pengurusan Aset Air Berhad
(PAAB).
“Kerajaan Negeri kini berpuas hati dengan prestasi PAIP yang telah boleh berdikari
berdasarkan kedudukan kewangan syarikat yang stabil dan kukuh. Kerajaan Negeri
kini tidak perlu lagi menyalurkan bantuan geran secara tahunan kepada pihak PAIP
untuk tujuan pengoperasian mereka.
“Sehingga 31 Oktober 2020, PAIP telah memperolehi keuntungan kasar sebanyak
RM23.5 juta dan dijangka meningkat kepada RM32 juta pada tahun 2021,” katanya.
Menurut beliau lagi secara keseluruhannya 98 peratus kawasan di negeri ini telah
menerima bekalan air.
“... di mana 100 peratus bagi kawasan bandar telah pun mendapat bekalan air bersih
manakala kawasan luar bandar 98 peratus,” katanya. – PAHANGMEDIA
Disediakan oleh Unit Komunikasi dan Media Pahang (UKOMP) #MajuTerusPahang #Pahang1st #KerajaanNegeriPahang #PahangGo Oleh : Ain Nadhirah Basha Foto: Putera Falliq Hakim Suhairi
(LIPUTAN BERGAMBAR)
BELANJAWAN 2021 NEGERI PAHANG: SEKTOR HUTAN DIJANGKA
SUMBANG RM165 JUTA SUMBER PENDAPATAN NEGERI TAHUN HADAPAN
KUANTAN, 16 NOVEMBER 2020 : Kerajaan Pahang menjangkakan sektor
perhutanan akan menyumbang sebanyak RM165 juta kepada sumber pendapatan
negeri pada tahun hadapan.
Menteri Besar Pahang, YAB. Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata kutipan ini
adalah daripada bayaran premium, royalti dan caj-caj lain daripada sektor ini.
“Kerajaan Negeri juga telah bersetuju memperuntukkan sebanyak RM3.7 juta untuk
tujuan pembangunan, penguatkuasaan dan termasuklah memasukkan cip ke pokok-
pokok bagi tujuan pemuliharaan hutan di Negeri Pahang.
“Jabatan Perhutanan Negeri Pahang juga akan terus memberi keutamaan kepada
pembangunan untuk aktiviti memulihara dan melindungi kepelbagaian biologi hutan,
untuk memastikan pengekalan dan penggunaannya secara terus dan terancang,”
katanya ketika menyampaikan Belanjawan 2021 Negeri Pahang di Wisma Sri Pahang
di sini hari ini.
Beliau berkata Kerajaan Negeri juga akan mewartakan beberapa kawasan sebagai
Taman Negeri di Negeri Pahang antaranya Lubuk Yu di Maran.
Tambah beliau lagi, secara keseluruhannya sehingga kini, hasil lelongan kayu
rampasan adalah bernilai RM3.14 juta manakala kompaun dan ganti rugi bernilai
RM5.18 juta telah berjaya diperolehi setakat ini.
“Jabatan Perhutanan Negeri Pahang juga telah melaksanakan 11 Operasi Bersepadu
bersama agensi-agensi berkaitan seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Unit
Penguatkuasaan Negeri Pahang.
“Seterusnya, melalui Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12), pelbagai projek
pembangunan dan aktiviti perhutanan juga telah dirancang dengan anggaran
peruntukan sebanyak RM35.5 juta,” katanya.
Tambah beliau lagi, Kerajaan Negeri berbangga kerana berupaya mengekalkan
kawasan hutan melebihi 50 peratus daripada keluasan tanah Negeri.
“Melalui usaha ini, ianya dapat memberikan manfaat jangka panjang seperti
pengekalan kawasan tadahan air yang turut dirasai oleh negeri-negeri yang
bersempadan dengan Negeri Pahang seperti Selangor dan Wilayah Persekutuan.
“Jumlah hutan di Negeri Pahang sehingga Jun 2020 adalah seluas 2.05 juta hektar
atau 57 peratus daripada keluasan tanah negeri seluas 3.59 juta hektar. Daripada
jumlah ini, seluas 1.55 juta hektar atau 43 peratus merupakan Hutan Simpan Kekal
(HSK), manakala 399,700 hektar atau 11 peratus adalah Taman Negara atau Suaka
Hidupan Liar dan Burung serta selebihnya iaitu 86,900 hektar atau dua peratus adalah
Tanah Kerajaan Berhutan,” katanya. -PAHANGMEDIA
Disediakan oleh Unit Komunikasi dan Media Pahang (UKOMP) #MajuTerusPahang #Pahang1st #KerajaanNegeriPahang #PahangGo Oleh : Ain Nadhirah Basha Foto: Putera Falliq Hakim Suhairi
(LIPUTAN BERGAMBAR)
SIDANG DEWAN NEGERI PAHANG: 120 HEKTAR TANAMAN MUSANG KING DI
JERANTUT
KUANTAN, 16 NOVEMBER 2020: Kawasan seluas 120 hektar di Mukim Tembeling
dan Mukim Ulu Cheka, Jerantut telah diluluskan bagi projek tanaman durian Musang
King.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Bioteknologi Negeri, YB.
Dato’ Sri Ir. Haji Mohd. Soffi Tan Sri Abd. Razak berkata, rekod berkenaan dicatat
Perbadanan Setiausaha Kerajaan Pahang sehingga 20 Oktober 2020.
“Terdapat juga syarikat yang mengemukakan permohonan untuk menanam durian
Musang King daripada tanaman asal kelapa sawit bagi kawasan seluas 1567 hektar
di Mukim Ulu Cheka,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Negeri Damak, YB. Tuan
Haji Zuridan Mohd Daud (PAS) pada sesi pertanyaan-pertanyaan lisan Mesyuarat
Ketiga Penggal Ketiga Dewan Negeri Pahang Ke-14 di Wisma Sri Pahang di sini.
Menjawab soalan kedua berkenaan langkah yang diambil bagi mengelak kawasan
tadahan hujan terjejas, YB. Dato’ Sri Ir. Haji Mohd. Soffi berkata, semua projek yang
diluluskan kerajaan negeri tertakluk kepada syarat dan peraturan sebelum, semasa
dan selepas mendapat kelulusan.
“Syarikat terlibat perlu menyediakan Laporan Environmental Impact Assessment (EIA)
yang disyaratkan Jabatan Alam Sekitar (JAS).
“Pemantauan berkala ke atas projek turut dilakukan bagi memastikan
pelaksanaannya mematuhi syarat dan peraturan yang sedang berkuatkuasa,”
katanya.-PAHANGMEDIA
Disediakan oleh Unit Komunikasi dan Media Pahang (UKOMP)
#MajuTerusPahang #Pahang1st #KerajaanNegeriPahang #PahangGo
Oleh: Fairus Mohd
Foto: Putera Falliq Hakim Suhairi
(LIPUTAN BERGAMBAR)
SIDANG DEWAN NEGERI PAHANG: KERAJAAN NEGERI SERIUS ATASI
GEJALA DADAH DI SEKOLAH
KUANTAN, 16 NOVEMBER 2020: Kerajaan Negeri Pahang dengan kerjasama Polis
Diraja Malaysia (PDRM) serta Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) melakukan
program secara berkala bagi mengekang gejala dadah dalam kalangan pelajar
sekolah.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam dan Pendidikan Negeri, YB. Dato’
Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad berkata, sasaran yang diletakkan adalah sifar dadah
dalam kalangan pelajar dan ia memerlukan kerjasama semua pihak untuk membantu
pelajar yang terlibat.
“Program pencegahan yang dijalankan oleh AADK ialah Program Sayangi Hidup Elak
Derita Selamanya (SHIELDS) di peringkat sekolah menengah dan pelaksanaan
Program Intelek Asuhan Rohani (PINTAR) bagi murid-murid sekolah rendah.
"Program lain seperti ceramah dan pameran antidadah terus dilaksanakan selain
program Family On Alert, Skuad, Community Empowerment dan TEKAD sebagai
medium yang menyumbang keberkesanan program pencegahan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Negeri Teruntum, YB.
Encik Sim Chon Siang (PKR) pada sesi pertanyaan-pertanyaan lisan Mesyuarat
Ketiga Penggal Ketiga Dewan Negeri Pahang Ke-14 di Wisma Sri Pahang di sini, hari
ini.
Sementara itu, beliau memaklumkan seramai 50 orang pelajar sekolah menengah di
Pahang terlibat gejala dadah di mana 37 orang daripadanya dikesan positif dadah
hasil ujian saringan air kencing yang dilaksanakan Agensi Anti Dadah Kebangsaan
(AADK).
Katanya, jumlah itu dikesan hasil ujian saringan yang dijalankan pelajar di sekolah
menengah seluruh negeri sehingga 30 September lalu.
Menjawab pertanyaan tambahan YB. Encik Sim mengenai penglibatan guru dalam
gejala tidak sihat itu, beliau berkata pihaknya masih belum memperoleh data itu. -
PAHANGMEDIA
Disediakan oleh Unit Komunikasi dan Media Pahang (UKOMP) #MajuTerusPahang #Pahang1st #KerajaanNegeriPahang #PahangGo Oleh: Fairus Mohd Foto: Putera Falliq Hakim Suhairi
(LIPUTAN BERGAMBAR)
SIDANG DEWAN NEGERI PAHANG: KERAJAAN PAHANG PERTIMBANG
BANTU ANAK WARGA ASING BERSTATUS WARGANEGARA
KUANTAN, 16 NOVEMBER 2020: Ibu atau bapa tunggal bukan warganegara dan
mempunyai anak-anak di bawah tanggungan berstatus warganegara boleh
dipertimbangkan bantuan mengikut keperluan semasa.
Pengerusi Jawatankuasa Kebudayaan, Perpaduan, Kebajikan Masyarakat,
Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Hajah Shahaniza
Shamsuddin berkata, hanya warganegara layak menerima bantuan bulanan mengikut
garis panduan sistem pengurusan kewangan bantuan bulanan persekutuan yang
dikendalikan JKM.
“Namun begitu, kita di pihak kerajaan negeri masih boleh mempertimbangkan bantuan
bersesuaian berdasarkan keperluan dan mengikut situasi permasalahan yang
dihadapi mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Negeri Triang, YB. Cik
Leong Yu Man (DAP) pada sesi pertanyaan-pertanyaan lisan Mesyuarat Ketiga
Penggal Ketiga Dewan Negeri Pahang Ke-14 di Wisma Sri Pahang di sini, hari ini.
YB. Cik Leong bertanyakan mengenai kesediaan kerajaan negeri untuk membantu
golongan ibu tunggal warga asing yang mempunyai anak warganegara dipinggirkan
daripada menerima bantuan kewangan kerajaan.
Ketika menjawab soalan tambahan berkenaan bantuan one-off atau ad-hoc kepada
golongan berkenaan, YB. Dato’ Sri Hajah Shahaniza dalam jawapannya turut
menambah bahawa kerajaan negeri kini sedang mengemaskini data kemiskinan di
Pahang dan jika layak, ia akan dipertimbangkan. -PAHANGMEDIA
Disediakan oleh Unit Komunikasi dan Media Pahang (UKOMP) #MajuTerusPahang #Pahang1st #KerajaanNegeriPahang #PahangGo Oleh: Fairus Mohd Foto: Putera Falliq Hakim Suhairi
(LIPUTAN BERGAMBAR)
SIDANG DEWAN NEGERI PAHANG: KLINIK KESIHATAN CAMERON
HIGHLANDS DALAM STATUS PELAN REKA BANGUNAN
KUANTAN, 16 NOVEMBER 2020: Projek pembinaan Klinik Kesihatan jenis 4 dengan
Kuarters Kampung Raja, Cameron Highlands kini dalam tindakan penyediaan pelan
reka bentuk bangunan.
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri, YB. Dato’
Sri Norolazali Sulaiman berkata, mesyuarat penyelarasan projek oleh Jabatan Kerja
Raya (JKR) telah diadakan bagi membentangkan analisa dan feasibility awalan
terhadap keadaan dan kesesuaian tapak.
“Mesyuarat berkenaan juga mengambil kira tentang cadangan susun atur bangunan
serta cadangan skop bersesuaian untuk projek bernilai kira-kira RM47.2 juta ini,”
katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Negeri Tanah Rata, YB.
Encik Chiong Yoke Kong (DAP) pada sesi pertanyaan-pertanyaan lisan Mesyuarat
Ketiga Penggal Ketiga Dewan Negeri Pahang Ke-14 di Wisma Sri Pahang di sini.
YB. Encik Chiong bertanyakan mengenai status perkembangan projek membina Klinik
Kesihatan baharu di Cameron Highlands yang diumumkan dalam Belanjawan
Kerajaan Persekutuan Malaysia tahun 2020. -PAHANGMEDIA
Disediakan oleh Unit Komunikasi dan Media Pahang (UKOMP) #MajuTerusPahang #Pahang1st #KerajaanNegeriPahang #PahangGo Oleh: Fairus Mohd Foto: Putera Falliq Hakim Suhairi
(LIPUTAN BERGAMBAR)
SIDANG DEWAN NEGERI PAHANG: LEBIH RM500 JUTA ATASI MASALAH
BANJIR DI PAHANG
KUANTAN, 16 NOVEMBER 2020: Peruntukan sebanyak RM11.1 juta daripada
Kerajaan Negeri dan RM499 juta daripada Kerajaan Pusat telah disalurkan kepada
Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) bagi mengatasi masalah banjir sejak tahun
2017.
Menteri Besar Pahang, YAB. Dato' Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata,
peruntukan berkenaan digunakan termasuk untuk kerja-kerja pemuliharaan sungai
dan hakisan pantai selain program amaran banjir, pengukuhan integriti struktur serta
meningkatkan keselamatan empangan.
“Peruntukan yang merangkumi sejumlah RM61.1 juta bagi tahun ini juga digunakan
untuk penyelenggaraan kolam takungan banjir, kerja-kerja kecemasan sebelum dan
selepas banjir serta membina tebatan banjir seperti RTB Bandar Pekan, RTB Lembah
Bertam, Cameron Highlands dan RTB Sungai Belat di Sungai Kuantan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Negeri Teruntum, YB.
Encik Sim Chon Siang (PKR) pada sesi pertanyaan-pertanyaan lisan Mesyuarat
Ketiga Penggal Ketiga Dewan Negeri Pahang Ke-14 di Wisma Sri Pahang di sini, hari
ini.
YB. Encik Sim ingin tahu berapa kos yang telah dibelanjakan oleh kerajaan negeri
sejak 2017 untuk mengatasi banjir di negeri Pahang.
Bagi soalan kedua berkenaan stok barangan bantuan yang tidak habis digunakan
pula, Dato’ Sri Wan Rosdy berkata, sebelum tahun 2019 semua stok barangan
bantuan akan diagihkan kepada komuniti setempat dan golongan sasar jabatan
secara sumbangan yang diuruskan melalui Pengerusi Jawatankuasa Bencana
Daerah.
“Bagaimanapun, bermula tahun ini stok yang tidak digunakan akan dibeli semula (buy
back) oleh pembekal dengan kadar 30 peratus daripada harga asal.
“Hasil daripada buy back itu akan dimasukkan ke dalam Tabung Kumpulan Wang
Amanah Malapetaka Negeri Pahang,” katanya.
Menjawab soalan tambahan berkenaan projek mendalamkan Sungai Pahang bagi
mengelak bencana banjir, beliau berkata ia di bawah badan yang
dipertanggungjawabkan iaitu Pengurusan Pasir Pahang Berhad.
“Ia telah ditubuhkan untuk mengatasi isu ketirisan penjualan pasir dan secara tidak
langsung mendalamkan Sungai Pahang.
“Hasil tindakan itu juga kita tidak mengalami bencana banjir yang besar seperti kali
terakhir pada tahun 2014 dan berdoalah agar tidak berlaku lagi banjir besar pada
tahun ini dan seterusnya,” katanya. -PAHANGMEDIA
Disediakan oleh Unit Komunikasi dan Media Pahang (UKOMP) #MajuTerusPahang #Pahang1st #KerajaanNegeriPahang #PahangGo Oleh: Fairus Mohd Foto: Putera Falliq Hakim Suhairi
(LIPUTAN BERGAMBAR)
SIDANG DEWAN NEGERI PAHANG: NASIHAT DALAM TALIAN BANTU
NAIKKAN SEMANGAT PENGUSAHA PELANCONGAN
KUANTAN, 16 NOVEMBER 2020: Khidmat Nasihat Secara Dalam Talian / Maya atau
‘Toursim Virtual Advisory Clinic (T-VAC)’ membuka peluang kepada pengusaha
pelancongan merancakkan kembali usaha mereka ketika berdepan dengan pandemik
COVID-19.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, Perladangan dan
Komoditi Negeri Pahang, YB. Dato' Sri Haji Mohd. Sharkar Haji Shamsudin berkata,
kerajaan negeri dengan kerjasama Perbadanan Produktiviti Malaysia menyediakan
khidmat nasihat kepakaran serta pengurusan kewangan.
“Kita turut mengaktifkan kerjasama negeri-negeri jiran yang bersempadanan seperti
Perak, Selangor, Johor dan Negeri Sembilan serta negeri-negeri wilayah timur dalam
memasarkan pakej-pakej menarik intra-negeri,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Negeri (ADN) Kuala
Semantan, YB. Dato’ Haji Nor Azmi Mat Ludin (BN) pada sesi pertanyaan-pertanyaan
lisan Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Dewan Negeri Pahang Ke-14 di Wisma Sri
Pahang di sini, hari ini.
Sementara itu, beliau turut memaklumkan mengenai Siri Lawatan Familiarisasi
Promosi Pasca COVID-19 yang sedang giat dilakukan ke seluruh daerah di negeri
Pahang bersama pengamal media, bloggers, influencer dan pengusaha pelancongan
bagi mempromosikan destinasi pelancongan baru dan sedia ada.
“Bertemakan ‘Dream Today, Visit Pahang Tomorrow’, pakej-pakej pelancongan setiap
destinasi menarik itu akan dipaparkan melalui media cetak, media elektronik serta
media sosial.
“Secara tidak langsung usaha tersebut akan membawa lebih ramai pelancong ke
negeri Pahang,” katanya. -PAHANGMEDIA
Disediakan oleh Unit Komunikasi dan Media Pahang (UKOMP) #MajuTerusPahang #Pahang1st #KerajaanNegeriPahang #PahangGo Oleh: Fairus Mohd Foto: Putera Falliq Hakim Suhairi
(LIPUTAN BERGAMBAR)
SIDANG DEWAN NEGERI PAHANG: PELBAGAI INSENTIF BANTU
PENGUSAHA IKS ‘HARUNGI’ KRISIS EKONOMI
KUANTAN, 16 NOVEMBER 2020: Kerajaan negeri sentiasa memberi perhatian
kepada Pengusaha Kecil dan Sederhana (PKS) dengan memberikan pelbagai insentif
berkaitan dalam menghadapi pandemik COVID-19.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Felda, Koperasi, Usahawan, dan Hal Ehwal
Pengguna, YB. Dato’ Haji Nazri Ngah berkata, antaranya kerjasama dengan
Kementerian Kewangan (MOF) melalui program PENJANA (LAKSANA) dalam
memastikan usahawan kecil mendapat bantuan.
“Setakat pertengahan September lalu, usahawan Pahang yang mendapat bantuan
PENJANA hanya sekitar lima hingga enam peratus daripada RM35 bilion yang
diperuntukkan dan perkara ini diberi perhatian.
“Pihak Berkuasa Tempatan juga membenarkan peniaga kecil dan penjaja
menjalankan perniagaan dari kawasan rumah berikutan pergerakan terhad,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Negeri Ketari, YB. Puan
Young Syefura Othman (DAP) berkenaan usaha kerajaan negeri untuk terus
membantu pengusaha kecil dan sederhana dalam menghadapi krisis ekonomi
COVID-19 pada sesi pertanyaan-pertanyaan lisan Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga
Dewan Negeri Pahang Ke-14 di Wisma Sri Pahang di sini hari ini.
YB. Dato’ Haji Nazri menambah, pelbagai usaha dilakukan bagi ‘menyelamatkan’
usahawan kecil termasuk memberi kelonggaran tempoh bayaran premis PKNP,
pengurangan sebanyak 50 peratus kadar sewaan bagi usahawan bumiputera bengkel
PPD Sungai Soi, PKPP dan TKPM.
“Kita juga melaksanakan penangguhan kutipan hutang peserta di semua rancangan
sosial PKPP, pelanjutan tempoh masa bayaran cukai tanah hak milik perniagaan,
industri dan pertanian serta pengecualian bayaran duti hiburan,” katanya.
Menurutnya lagi, bagi membantu pengusaha kecil dan sederhana dapat mengharungi
krisis ekonomi COVID-19 dan tidak memberhentikan pekerja, MARA telah
menyediakan kemudahan latihan dan bimbingan, pembiayaan, geran dan ruang
premis perniagaan. -PAHANGMEDIA
Disediakan oleh Unit Komunikasi dan Media Pahang (UKOMP) #MajuTerusPahang #Pahang1st #KerajaanNegeriPahang #PahangGo Oleh: Fairus Mohd Foto: Putera Falliq Hakim Suhairi
(LIPUTAN BERGAMBAR)
SIDANG DEWAN NEGERI PAHANG: PEMBANGUNAN BELIA TUMPU TIGA
ENTITI UTAMA
KUANTAN, 16 NOVEMBER 2020: Program pembangunan belia di negeri ini
ditumpukan kepada tiga bahagian utama iaitu ekonomi, kepimpinan dan
pembangunan sahsiah serta pembangunan sosial.
Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Belia, Sukan dan Badan-Badan Bukan
Kerajaan Pahang, YB. Dato’ Sri Haji Mohd Johari Haji Hussain berkata, dalam setiap
bahagian ada pecahan program mengikut kecenderungan dan kebolehan belia.
“Bahagian ekonomi contohnya, kita ada Youth Career, Belia Bestari, B-Best, Youth
Business Expo, Pengurusan Kewangan, Kursus Kemahiran Komersial, Komunikasi
Perniagaan dan lain-lain.
“Penglibatan belia dalam program pembangunan usahawan yang dianjurkan oleh
Kementerian Belia dan Sukan Malaysia serta Jabatan Belia dan Sukan Negeri Pahang
sama ada di peringkat daerah, negeri atau kebangsaan ialah seramai 337 orang bagi
tahun 2019 hingga tahun 2020,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Negeri Beserah, YB.
Tuan Haji Andasura Rabu (PAS) berkenaan program-program pembangunan belia,
jumlah belia yang menyertai serta kaedah pemantauan yang dilaksanakan untuk
mengukur keberkesanan setiap program pada sesi pertanyaan-pertanyaan lisan
Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Dewan Negeri Pahang Ke-14 di Wisma Sri Pahang
di sini.
Berkenaan pemantauan keberkesanan program yang telah dilaksanakan, YB. Dato’
Sri Haji Mohd Johari berkata ia dilakukan secara berkala bagi meneliti kelemahan dan
potensi setiap program melalui kaedah penyelidikan yang dilaksanakan Institut
Penyelidikan Pembangunan Belia Malaysia (IYRES).
“Selain itu, kita juga adakan pemantauan dan post-mortem sebelum, semasa dan
selepas pelaksanaan program dibuat bagi mendapat maklumbalas mengenai
keberkesanan setiap program tersebut.
“Borang soal selidik turut dibekalkan secara langsung bagi menerima maklumbalas
terus peserta selepas pelaksanaan program selesai,” katanya. -PAHANGMEDIA
Disediakan oleh Unit Komunikasi dan Media Pahang (UKOMP) #MajuTerusPahang #Pahang1st #KerajaanNegeriPahang #PahangGo Oleh: Fairus Mohd Foto: Putera Falliq Hakim Suhairi
(LIPUTAN BERGAMBAR)
SIDANG DEWAN NEGERI PAHANG: PERSEMPADANAN SEMULA ELAK
PERTINDIHAN KUASA JKKK
KUANTAN, 16 NOVEMBER 2020: Kerajaan Pahang akan mengeluarkan
persempadanan pentadbiran baru bagi Jawatankuasa Kemajuan Kampung dan
Kemakmuran Kampung (JKKK) dalam masa terdekat bagi melerai kekeliruan dalam
pentadbiran sedia ada.
Menteri Besar Pahang, YAB. Dato' Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail, pihaknya
memahami masalah berkaitan dengan persempadanan yang dilakukan oleh
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada pilihan raya lalu menyebabkan ada JKK yang
mentadbir kawasan sehingga meliputi dua ke tiga buah Dewan Negeri / Parlimen.
“Kerajaan negeri telah ambil tindakan dengan meminta SPR, Pegawai Daerah serta
Pejabat YB Setiausaha Kerajaan Negeri untuk kaji, menilai dan telah pun membuat
keputusan.
“Kita memahami apa yang diperkatakan dan dalam masa terdekat akan keluarkan
secara bertulis persempadanan pentadbiran baru yang telah ditetapkan kerajaan
negeri melibatkan daerah Pekan, Rompin, Temerloh, Bera, Kuantan, Jerantut dan
Bentong,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Ahli Dewan Negeri Pulau
Manis, YB. Dato’ Khairudin Mahmud (BN) pada sesi pertanyaan-pertanyaan lisan
Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Dewan Negeri Pahang Ke-14 di Wisma Sri Pahang
di sini, hari ini.
YB. Dato’ Khairudin bertanyakan mengenai adakah pihak kerajaan negeri memberi
peluang untuk pelantikan JKK baru di setiap DN supaya ia diatur semula dan mereka
yang dilantik dapat melaksanakan tugas lebih cekap dan teratur di DN masing-masing.
Dalam pada itu, soalan dikemukakan Ahli Dewan Negeri Padang Tengku, YB. Dato’
Mustapa Haji Long (BN) adalah berkenaan pendirian kerajaan negeri mengenai usaha
Kerajaan Pusat memperkenalkan Jawatankuasa Kemajuan dan Pembangunan
Kampung (JKPK) bagi menggantikan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK)
dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK).
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar dan Hal Ehwal Orang Asli, YB.
Dato’ Abd Aziz Haji Mat Kiram berkata, kerajaan negeri masih memperhalusi
cadangan pelaksanaan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung
(JPKK) bagi menggantikan MPKK dan JKKK.
“Pada dasarnya kerajaan negeri telah bersetuju untuk penjenaman semula JPKK dan
akan dilaksanakan pada awal tahun depan (1 Januari 2021).
“Berkenaan soalan tambahan tentang kenaikan elaun, elaun asas sebanyak RM500
akan dibayar oleh Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) dan kerajaan
negeri akan pertimbangkan pertambahan elaun mengikut kedudukan kewangan
semasa negeri,” katanya.
Katanya lagi, perancangan latihan akan dilakukan bagi menyediakan barisan
jawatankuasa yang dapat menangani masalah atau isu-isu kepimpinan semasa
dengan cekap dan berkesan. -PAHANGMEDIA
Disediakan oleh Unit Komunikasi dan Media Pahang (UKOMP) #MajuTerusPahang #Pahang1st #KerajaanNegeriPahang #PahangGo Oleh: Fairus Mohd Foto: Putera Falliq Hakim Suhairi
(LIPUTAN BERGAMBAR)
SIDANG DEWAN NEGERI PAHANG: PROJEK PR1MA BAKAL DIMULAKAN
SEMULA
KUANTAN, 16 NOVEMBER 2020: Kerajaan negeri bersedia menerima permohonan
daripada mana-mana pihak pemaju untuk memohon kawasan-kawasan (PR1MA)
yang telah dibatalkan atau kawasan lain yang boleh memberi manfaat kepada rakyat.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri, YB. Dato’ Abd
Rahim Muda berkata, projek tersebut akan dimulakan semula dan lawatan ke tapak-
tapak projek telah dilaksanakan dan pelantikan pemaju akan diputuskan semula.
“Kegagalan sebelum ini berlaku atas beberapa sebab antaranya tidak membayar
wang pendahuluan (earnest money) tanda setuju terima oleh pemaju yang telah
diluluskan.
“Selain itu ialah kegagalan mendapatkan kebenaran merancang dari PBT, kita bagi
tempoh 12 bulan untuk pihak pemaju yang diluluskan untuk mendapat kebenaran
merancang dan ada juga kegagalan akibat tidak membayar yuran juru ukur kepada
Lembaga Juruukur menyebabkan tanah yang diperuntukkan untuk PR1MA tidak
dapat diserahkan kepada pemaju,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Negeri Kemayan, YB.
Dato’ Mohd Fadil Osman (BN) berkenaan usaha memulakan semula projek
Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) pada sesi pertanyaan-pertanyaan lisan
Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Dewan Negeri Pahang Ke-14 di Wisma Sri Pahang
di sini hari ini.
Menjawab soalan tambahan oleh Ahli Dewan Negeri Sungai Lembing, YB. Dato’ Md.
Sohaimi Mohamed Shah (BN) berkenaan bayaran deposit rumah sebanyak sepuluh
peratus terutamanya dalam kalangan generasi muda yang masih belum mampu
memiliki rumah.
YB. Dato’ Abd Rahim Muda berkata, kerajaan negeri sentiasa mengambil berat
terhadap mereka yang berpendapatan rendah untuk dibantu (memiliki rumah).
“Contohnya, Rumah Rakyat Pahang di mana YAB. Menteri Besar Pahang sendiri
amat prihatin dan kita telah bagi 98 buah unit seluruh Pahang.
“Ini adalah satu kaedah yang digunakan oleh kerajaan negeri untuk membantu
mereka yang ada tanah tetapi tidak mempunyai sumber pendapatan tetap, itu kita
bantu dengan memberi rumah secara percuma kepada yang layak,” katanya. -
PAHANGMEDIA
Disediakan oleh Unit Komunikasi dan Media Pahang (UKOMP) #MajuTerusPahang #Pahang1st #KerajaanNegeriPahang #PahangGo Oleh: Fairus Mohd Foto: Putera Falliq Hakim Suhairi
(LIPUTAN BERGAMBAR)