Upload
syukur90
View
3.048
Download
1
Embed Size (px)
Citation preview
“ADAT DAN PANTANG LARANG DALAM PERKAHWINAN MASYARAKAT MELAYU MENURUT PERSPEKTIF ISLAM.”
2.0 SEJARAH KEMUNCULAN ADAT MELAYU DAN DEFINISI ADAT DAN
PANTANG LARANG.
Sebelum menerobos ke dasar pengkajian, adalah lebih wajar dihuraikan terlebih dahulu
tentang definisi disebalik istilah “adat” dan “pantang larang”. Menurut H.M. Sidin, istilah
“adat” bermaksud suatu kebiasaan dari suatu perbuatan yang diulang-ulang dan telah
diterima oleh masyarakat sebagai suatu peraturan hidup yang mesti dipatuhi. Hal ini
menunjukkan bahawa adat merupakan suatu perbuatan ataupun amalan yang telah diterima
umum oleh sesuatu komuniti dan juga boleh dikatakan sebagai sesuatu gaya hidup sesuatu
masyarakat. Adat itu pula boleh dikategorikan dalam tiga bahagian iaitu adat sebenar adat,
adat diperadat dan adat dibuat-buat. Dari tiga jenis bahagian adat tersebut, hanya adat
sebenar adat yang merupakan jenis adat yang tulen dan yang telah lama berakar umbi
dalam kehidupan masyarakat Melayu sehingga kini. Hal ini dapat difahami dengan lebih
jelas jika pengertian adat sebenar adat dikaji. Adat sebenar adat secara mudahnya membawa
pengertian bernegara dan berkerajaan sendiri, beradat dan berlembaga sendiri,
berundang-undang keadilan dan berkerajaan sendiri, beragama dan berkebudayaan
sendiri.
Pantang larang secara ringkasnya bermaksud suatu kepercayaan yang meliputi dari
sejak manusia itu dilahirkan sehinggalah manusia itu dewasa dan akhirnya meninggal
dunia. Pantang larang ini pula dapat dibahagikan kepada pantang larang perkataan,
kedudukan, perjalanan, perbuatan dan kediaman. Isu pantang larang ini sememangnya
mencetuskan pelbagai konterversi terutamanya jika dibahaskan berdasarkan perspektif
Islam. Perkara ini kerana, terdapat pelbagai pantang larang yang realitinya sungguh
bercanggah dengan syariat Islam. Percanggahan ini berlaku disebabkan kebanyakan
pantang larang ini mengandungi unsur-unsur yang menyentuh soal akidah umat Islam
sedangkan soal akidah dalam Islam merupakan soal yang dititikberatkan dan diambil
serius. Hal ini kerana, hampir kebanyakan adat dan pantang larang masyarakat Melayu
mempunyai kaitan yang begitu sinonim dengan agama Hindu.
Perkara ini sememangnya mempunyai kerelevanannya yang tersendiri kerana menurut
sumber sejarah, kebayakkan masyarakat di Tanah Melayu sebelum kurun ke-15 Masihi
menganut kepercayaan Hindu selain animisme. Namun, setelah kedatangan Islam, segala
amalan masyarakat Melayu ketika itu disesuaikan dengan ajaran Islam. Terdapat pelbagai teori
berkenaan kedatangan Islam di Tanah Melayu. Ada yang mengatakan Islam dibawa dari bumi
India selain yang mengatakan agama ini dibawa dari Arab dan Parsi. Walaubagaimanapun,
kebanyakan orientalis merumuskan bahawa Islam di Tanah Melayu dibawa dari tanah India.
Insan pertama yang mengatakan hal yang sedemikian ini ialah Pijnappel yang merupakan
seorang profesor pengajian Melayu yang pertama di Universiti Leiden. Beliau berpendapat
bahawa penyebar Islam di Tanah Melayu adalah terdiri daripada orang Arab bermazhab Syafii
dari Gujarat dan Malabar. Hal ini kerana, tempat-tempat ini ada disebut dalam buku-buku sejarah
kepulauan Melayu. Namun begitu, teks Sulalatus Salatin atau yang lebih dikenali dengan istilah
Sejarah Melayu pula mengatakan bahawa pendakwah berbangsa Arablah yang mengislamkan
pemerintah Melaka. Pendakwah ini dikenali dengan nama Sayid Abdul Aziz. Kedatangan Islam
ini akhirnya membawa kepada proses islamisasi terhadap corak kepercayaan dan budaya
masyarakat Tanah Melayu pada ketika itu. Menurut Tom Pires, proses islamisasi ini berlaku
secara aman oleh pedagang Islam yang berkahwin dengan wanita tempatan sepertimana
kemasukan dan penyebaran agama Hindu di Tanah Melayu. Kendatipun, sehingga kini
kebanyakan ilmuan Islam mempersoalkan tentang sejauhmanakah amalan masyarakat Melayu
ketika itu selari dengan ajaran Islam sedangkan kebanyakan amalan masyarakat Melayu ketika
itu masih lagi bercanggah dengan ajaran Islam terutamanya aspek akidah. Buktinya, lihat sahaja
pelbagai adat dan pantang larang masyarakat Melayu yang masih diamalkan pada masa kini.
Persoalannya kini, apakah penafsiran dan pemikiran masyarakat Melayu ketika itu tentang proses
menselarikan ajaran Islam dengan adat mereka?. Adakah proses asimilasi tersebut sah dan benar
dari perspektif Islam?. Justeru itu, kajian ini akan mengupas dengan lebih mendalam isu ini
dengan mengambil contoh-contoh adat dan pantang larang perkahwinan masyarakat Melayu
serta menghuraikannya berdasarkan perspektif Islam.
3.0 ADAT PERSANDINGAN
Persandingan dalam masyarakat Melayu dilihat sebagai suatu perkara yang “wajib” bagi
sesuatu pasangan apabila berkahwin. Lazimnya, jika upacara persandingan tidak dilakukan,
maka pelbagai spekulasi yang kurang menyenangkan akan timbul dalam kalangan masyarakat
Melayu terhadap pasangan yang berkahwin tersebut. Oleh yang demikian, tidak keterlaluanlah
jika dikatakan bahawa persandingan dianggap sebagai syarat sah perkahwinan bagi pasangan
pengantin dari kaca mata kebanyakan masyarakat Melayu. Persandingan dalam masyarakat
Melayu dapat dimengertikan sebagai suatu perlakuan yang menempatkan pasangan suami-isteri
yang telah diijab-kabulkan di atas pelamin dengan mengenakan pakaian yang kemas dan cantik,
berhias wajah dengan dikipas oleh dua orang pengipas yang turut dikenali sebagai pengampit.
Tujuan diadakan adat persandingan adalah untuk diperlihatkan pasangan pengantin tersebut
kepada masyarakat setempat dan untuk dijadikan nostalgia manis dalam kehidupan pasangan
pengantin tersebut selain bertujuan meneruskan tradisi nenek moyang secara turun-temurun.
Manakala dari sudut sejarah pula, terdapat dua teori yang mengemukakan tentang asal-usul
kewujudan adat persandingan ini. Teori pertama mengatakan bahawa persandingan adalah adat
resam Melayu yang tulen ataupun dikenali dengan istilah adat sebenar adat. Teori ini
berdasarkan hujah yang mengatakan bahawa penggunaan istilah “Raja Sehari” itu bagi pasangan
pengantin adalah diadaptasikan daripada adat-istiadat dalam kalangan raja-raja Melayu.
Walaubagaimanapun, teori ini masih boleh dipersoalkan kerelevanannya kerana terdapat
pelbagai kelemahan yang tertentu dalam teori ini. Teori kedua pula mengatakan bahawa
persandingan merupakan adat yang berasal dan dibawa dari India. Maka secara tidak langsung
upacara ini mempunyai kaitan yang agak sinonim dengan pengaruh Hindu. Teori yang kedua ini
dilihat lebih rasional. Hal ini kerana, menurut sumber sejarah, kebanyakan masyarakat Tanah
Melayu sebelum kurun ke-15 menganut dua kepercayaan iaitu samada animisme ataupun hindu-
budha. Hujah ini lebih kuat jika dibandingkan antara upacara persandingan masyarakat Melayu
dengan masyarakat India yang beragama Hindu. Ternyata terdapat banyak persamaan.
4.0 ADAT PERSANDINGAN MENURUT PERSPEKTIF ISLAM
Terdapat beberapa upacara tertentu yang menimbulkan sedikit konterversi dalam adat
persandingan ini. Antara upacara tersebut ialah upacara menabur beras kunyit, membaca jampi
mentera, berandam, berhias untuk dipamerkan (tabarruj), mengadakan kenduri walimah secara
besar-besaran, menjadikan wang atau hadiah sebagai suatu kemestian, mas kahwin dan hantaran
yang mahal, dan lain-lain lagi. Upacara-upacara yang sedemikian rupalah yang menyebabkan
adat persandingan masyarakat Melayu ini dikaitkan dengan isu khurafat dan tahyul. Isu khurafat
dan tahyul sememangnya merupakan suatu isu yang bertentangan dengan ajaran Islam. Istilah
khurafat menurut Kamus Bahasa Arab Al-Mujam Al- Wasit boleh didefinisikan sebagai cerita-
cerita yang mempesonakan dan dicampuradukkan dengan perkara-perkara dusta. Manakala
menurut Kamus Al-Marbawi pula, khurafat bermaksud cerita karut (karut-marut). Tahyul pula
berdasarkan Kamus Dewan Edisi Ketiga bermaksud suatu ajaran (huraian dan pendapat) yang
bukan-bukan atau karut dan dongeng. Berpandukan kepada kedua-dua definisi di atas, maka
dapatlah difahami bahawa kepercayaan atau amalan khurafat dan tahyul mempunyai persamaan
yang agak rapat. Persamaannya dapat dilihat dari segi bentuk kepercayaan iaitu kepercayaan
yang langusng tidak dapat diterima dek logik akal. Selain itu, kedua-dua kepercayaan ini
memberikan implikasi yang besar kepada aqidah umat Islam. Hal ini kerana, kepercayaan yang
kononnya dipraktikkan atas nama agama, namun dari sudut hakikat Islam, hal ini langsung tiada
kaitan malah ia hanya ditokok tambah.
Upacara menabur beras kunyit merupakan salah satu adat yang dilihat sebagai bercanggah
berdasarkan perpsektif Islam. Pelaksanaan upacara ini adalah bertujuan menghalau roh jahat dan
juga untuk menguatkan semangat pasangan pengantin. Hal ini kerana, kebanyakan masyarakat
Melayu mempercayai bahawa bakal pasangan pengantin perlu melalui proses upacara ini untuk
mengelakkan diri mereka daripada sebarang gangguan anasir jahat dan seterusnya memastikan
adegan perkahwinan mereka berjalan lancar tanpa sebarang masalah. Walaubagaimanapun, beras
kunyit bukanlah bahan asal yang digunakan bahkan ia hanyalah simbolik bagi mengantikan
penggunaan emas yang dipercayai merupakan bahan asal dalam upacara tersebut. Penggantian
beras kunyit tersebut mungkin disebabkan kos yang mahal sekiranya penggunaan emas
dipraktikkan. Selain beras kunyit, beras basuh juga turut diaplikasikan dengan tujuan memohon
restu antara mempelai dan pengantin dan juga supaya pasangan pegantin tersebut memperoleh
rezeki yang berterusan sehingga ke anak cucu-cicit mereka. Ternyata, upacara ini
memperlihatkan bahawa masyarakat Melayu seolah-olahnya telah meletakkan keyakinan mereka
terhadap beras yang kononnya dapat merealisasikan impian mereka meskipun beras tersebut
merupakan makhluk yang sama seperti mereka iaitu langsung tiada mempunyai kuasa untuk
memberikan manfaat dan mudarat kepada sesiapun. Hal ini dengan jelasnya telah memaparkan
bahawa upacara yang sedemikian rupa mampu mengheret para pengamalnya ke lembah
kesyirikkan. Istilah syirik bermaksud mempersekutukan Allah dengan sesuatu yang lain pada
sifat Uluhiyyah-Nya (berhak disembah, dicintai, dipatuhi perintahnya dan didoakan kepadanya)
ataupun pada sifat Rububiyyah (menjadikan, mentadbir, menguruskan alam). Justeru itu, sesiapa
yang menganggap mana-mana satu dari sifat-sifat yang tersebut itu ada pada sesuatu yang lain
daripada Allah walaupun dia pada masa itu masih mengaku beriman dengan Allah. Hal ini dapat
difahami dengan lebih jelas berdasarkan firman Allah:
“ Meskipun kebanyakan mereka beriman kepada Allah, dalam pada itu mereka tidak sunyi dari berbuat syirik”
(Surah Yusuf : 106)
Berdasarkan pernyataan diatas dapat difahami bahawa upacara menabur beras kunyit dilihat
mempunyai kaitan yang agak sinonim dengan perbuatan syirik. Hal ini kerana, pegamalan
upacara ini seolah-olahnya telah menempatkan kuasa yang ajaib dan hebat kepada sifat beras
tersebut sedangkan jika dilihat dari pandangan Islam, hanya Allah sahajalah tempat yang layak
untuk meminta pertolongan berdasarkan ayat Al-Quran:
“Hanya Engkaulah (Ya Allah) yang kami sembah dan hanya kepada Engkaulah kami minta pertolongan”
(Surah Al-Fatihah:5)
Selanjutnya, saya akan menghuraikan pula tentang upacara membaca jampi dan mantera dalam
adegan perkahwinan masyarakat Melayu. Upacara membaca jampi dan mantera berdasarkan
kaca mata masyarakat Melayu adalah bertujuan untuk memelihara majlis perkahwinan tersebut
daripada sebarang bentuk pengacauan yang jahat terutamanya daripada makhluk halus seperti
jin, jembalang, afrit, dan hantu sama ada yang dihantar oleh manusia ataupun gangguan yang
didedasikan sendiri oleh mahkluk-makhluk tersebut. Perkara ini biasanya dilakukan dalam bulan
Safar. Hal ini kerana, kebanyakan masyarakat Melayu dahulu-kala mempercayai bahawa bala
dan malapetaka banyak berlaku dalam bulan tersebut. Hal inilah yang mendorong kepada
pelaksanaan upacara ini. Beberapa persiapan yang khusus perlu dilakukan dalam melaksanakan
upacara ini. Menurut Puan Fatimah bin Mahat yang merupakan seorang Mak Andam
berpengalaman mengatakan bahawa :
“ Persiapan yang perlu dilakukan ialah nasi kunyit (nasi pulut kuning), dadal bertih dan telur goreng. Setelah siap diletakkan dalam sebuah dulang yang dikatakan sehidangan, kemudian diperasap dengan bara tempurung dan kemenyan, sambil menjampi dengan kata-kata : Hai jin tanah jembalang tanah, minta mu jaga bumi, lambang bumi di sini. Jagalah anak-pinakmu kurang satu empat puluh, yang tua jin hitam di bumi, jin hitam pemacak rabun, jin hitam salah habah, jin hitam sirat permainan. Terimalah khidmat ini, nasi kunyit, dadal bertih, sirih pinang dan air sejuk”.
Amalan ini dengan terangnya mempunyai kaitan yang akrab dengan amalan khurafat dan tahyul.
Amalan khurafat dan tahyul sememangnya bercanggah dalam agama Islam. Perkara ini
dikuatkan lagi berdasarkan hadis Nabi SAW yang berbunyi:
“Tiada penyakit menular, tidak ada burung, tidak ada burung hantu, tida bulan Safar dan tidak hantu gergasi”.
(Hadis Riwayat Ahmad dan Muslim)
Seterusnya, amalan berandam juga merupakan suatu amalan yang mencetuskan
konterversi jika dilihat berdasarkan perspektif Islam. Proses ini melibatkan seorang yang pakar
dalam soal persandingan masyarakat Melayu yang lebih dikenali dengan istilah “Mak Andam”.
Mak Andam berperanan untuk menghias sama ada dari sudut fizikal mahupun rohani pasangan
pengantin. Terdapat juga sestengah Mak Andam yang mampu merawat pasangan pengantin yang
mengalami sesuatu perkara yang buruk seperti pengsan ataupun terkena buatan orang semasa
majlis perkahwinan. Oleh yang demikian, dapat dilihat bahawa peranan Mak Andam sangat
penting dalam upacara berandam. Upacara ini menghendaki pasangan pengantin melalui
beberapa proses kecantikan. Misalnya seperti menepung tawar dengan tujuan memelihara
pasangan pengantin daripada gangguan mahkluk halus, bercukur yang melibatan percukuran
bulu pada bahagian anak rambut, muka, leher dan tangan dengan tujuan untuk menaikkan seri
muka, melangir iaitu menyapukan bedak sejuk yang dibasuh dengan air ke bahagian badan yang
dicukur, bermandi bunga dan limau dengan harapan untuk membuang sial dan berinai yang
mmepunyai tiga kategori iaitu berinai curi, berinai kecil dan berinai besar. Segala proses yang
terdapat dalam upacara berandam sememangnya boleh dipersoalkan jika menilainya berdasarkan
kaca mata Islam. Hal ini kerana, segala proses ini sudah terang lagi bersuluh tiada langsung
dianjurkan dalam syariat Islam. Perkara ini tidak lebih daripada suatu perbuatan yang mengada-
ngadakan suatu yang baru atau lebih dikenali dengan perkataan Bid’ah. Bid’ah dalam mazhab
bermaksud mendatangkan satu pendapat di mana orang yang mengatakan pendapat itu atau
mengamalkannya tidak mengikut pedoman yang dibawa oleh pembawa syariat (Nabi SAW),
tidak mengikut contoh-contohnya yang terdahulu dan tidak mengikut prinsip-prinsipnya yang
diyakini. Berdasarkan pengertian inilah diriwayatkan hadis:
“Setiap yang baru diada-adakan itu adalah bid’ah dan setiap bid’ah adalah sesat dan setiap yang sesat berada di dalam neraka.”
(Hadis Riwayat Abu Daud dan Tirmizi.)
Selanjutnya, Islam mencegah penganutnya daripada membuat sebarang ubah-suai pada wajah
yang telah dikurniakan oleh Allah. Hal ini kerana, ciptaan Allah secara semulajadinya telah
sempurna. Perkara ini dapat difahami dengan jelas berdasarkan hadis yang diriwayatkan daripada
Abdulluah Ibn Masud yang berbunyi:
“Allah melaknat wanita yang mencucuk tangan dan menaruh warna (tattoo) dan yang meminta berbuat demikian; wanita-wanita yang menghilangkan bulu kening di muka, wanita yang mengikir gigi dan menjarangkannya supaya kelihatan cantik yang merubah kejadian Allah."
(Hadis Riwayat Muslim)
Seterusnya, upacara persandingan dilihat sebagai suatu yang bertentang dengan ajaran Islam
kerana adat persandingan ini mengandungi suatu upacara yang dikenali sebagai tabarruj.
Tabarruj dalam Islam secara mudahnya bermaksud berhias untuk dipamerkan. Perkara ini secara
terang dan ketara dapat disaksikan semasa aksi persandingan dilangsungkan. Sewaktu upacara
ini berlaku, pasangan pengantin akan duduk di atas pelamin dengan riak wajah yang telah dihias
cantik oleh Mak Andam untuk dipertontonkan kepada khalayak ramai. Isu menjadi semakin
konterversi apabila pasangan pengantin terutamanya wanita menjalankan upacara tersebut dalam
keadaan mendedahkan aurat. Aurat yang lazimnya didedahkan oleh wanita ialah aurat di
bahagian rambut selain memakai kostum persandingan yang memperlihatkan susuk tubuhnya.
Hal aurat dalam Islam merupakan suatu isu yang sangat sensitif dan diambil serius. Perkara ini
dapat dilihat dengan jelas melalui kalam Allah yang berbunyi:
“Katakanlah kepada orang-orang beriman perempuan, supaya mereka merendahkan pemandangannya dan menjaga kehormatannya dan jangalah
mereka memperlihatkan perhiasannya kecuali apa yang biasa lahir daripadanya dan hendaklah mereka tutupkan tudungnya kelehernya. Janganlah mereka memperlihatkan perhiasannya kecuali kepada suaminya, saudaranya, anak saudaranya yang lelaki, anak saudaranya yang perempuan, perempuan muslimah, hamba sahayanya, orang-orang yang mengikutnya diantara lelaki, yang tiada berhajat (syahwat) kepada perempuan atau kanak-kanak yang belum (ingin) melihat aurat perempuan. Janganlah mereka berjalan sambil menggoyangkan kakinya supaya diketahui orang perhiasannya yang tersembunyi (gelang kaki). Bertaubatlah kamu sakalian kepada Allah, hai orang-orang beriman, mudah-mudahan kamu mendapat kemenangan.”
(Surah An-Nur: :31)
Berdasarkan firman Allah ini, dapatlah difahami bahawa wanita perlu menjaga dan memelihara
auratnya daripada sebarang fitnah kerana fitnah yang timbul dari diri seorang wanita membawa
kepada implikasi yang kurang menyenangkan dalam suasana kehidupan bermasyarakat. Ayat ini
bukanlah bermaksud untuk menyukarkan kehidupan seorang wanita bahkan memelihara dan
melindunginya daripada sebarang malapetaka. Selain itu, tabarruj merupakan amalan masyarakat
Jahiliyyah pada masa dahulu. Hal inilah yang menyebabkan Islam melarang para penganutnya
daripada mengikutinya kerana amalan ini bercanggah dengan ajaran Islam. Dalilnya dapat dilihat
dalam surah Al-Ahzab.
“Tetaplah kamu dalam rumahmu dan janganlah kamu berdandan (berhias) seperti dandan perempuan jahiliyah yang dahulu….”
(Surah Al-Ahzab :33)
Selain itu, tabarruj dilarang di dalam ajaran Islam kerana perbuatan lebih menyerupai perbuatan
sesuatu kaum yang jelas bertentangan dengan syariat yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW.
Kelahiran Nabi Muhammad SAW merupakan tanda kelahiran syariat Islam. Hal ini kerana,
Allah telah menzahirkan keseluruhan agama melalui kekasih-Nya iaitu Nabi Muhammad SAW.
Maka dengan itu, segala percakapan, perbuatan, iktikad malah diam Nabi SAW sekalipun
diiktiraf sebagai perkara agama. Hal ini dinamakan sebagai sunnah. Sunnah boleh didefinisikan
sebagai apa yang disandarkan kepada Rasulullah SAW, sama ada perkataan, perbuatan,
pengakuan, sifat tubuh, sifat akhlak, sama ada sebelum diutuskan atau selepas diutuskan. Justeru
itu, dapatlah difahami disini bahawa cara hidup Nabi SAW sahajalah yang mengundang
keredhaan Allah. Peniruan terhadap cara hidup orang kafir sememangnya akan menjemput
kemurkaan Allah.
“Sesiapa yang menyerupai satu puak, maka dia di kalangan mereka”
(Hadis Riwayat Abu Daud)
Selanjutnya, upacara perkahwinan yang lazimnya dilakukan oleh masyarakat Melayu
melibatkan perbelanjaan yang banyak dan besar. Situasi ini sememangnya mendorong kepada
gejala pembaziran dalam masyarakat. Kebanyakan orang Melayu menganggap bahawa upacara
walimah perlu dianjurkan secara besar-besaran kerana upacara ini hanya dilangsungkan sekali
dalam seumur hidup. Oleh itu, perkara ini pada kaca mata mereka tidak salah walaupun ia
melibatkan isu pembaziran. Gejala ini dari perspektif Islam sememangnya tidak dianjurkan. Hal
ini kerana, selain mewujudkan gejala pembaziran, gejala ini juga mampu memberikan pelbagai
implikasi yang negatif dalam kehidupan masyarakat. Contohnya sifat riak dan takbur mungkin
akan berleluasa dalam diri masyarakat. Pepatah Melayu yang berbunyi “biar papa asal bergaya”
sememangnya tidak sesuai dijadikan pendirian dalam kehidupan kita. Islam merupakan agama
yang mudah dan senang. Membicarakan isu walimah daripada konteks Islam adalah mudah. Isu
Islam sebagai agama yang mudah dapat difahami berdasarkan hadis yang berbunyi :
"Dari Abu Hurairah r.a, katanya Nabi saw bersabda: “Sesungguhnya agama (Islam) itu ringan. Barangsiapa memperberat-berat, maka dia akan dikalahkan oleh agama. Oleh kerana itu, kerjakanlah (agama itu) menurut mestinya, atau mendekati mestinya, dan gembiralah (kerana akan beroleh pahala), serta beribadatlah (mohonlah pertolongan Allah) pada waktu pagi, petang dan sebahagian malam)”
(Hadis Riwayat Bukhari)
Berdasarkan hadis ini, walimah daripada konteks Islam tidaklah memberati para penganutnya
dalam urusan pelaksanaannya. Islam menggalakkan penganutnya untuk mengadakan walimah
berdasarkan kemampuan. Walaubagaimanapun, Islam begitu mencela perbuatan yang membazir
dalam setiap perkara yang dilakukan berdasarkan ayat Al-Quran:
"Berikanlah kepada kaum-kerabat haknya masing-masing dan kepada orang miskin dan orang musafir dan jangalah engkau membazir(pemboros) dengan melampau”
(Surah Al-Isra:26)
5.0 PENYELESAIAN DALAM ISU INI:
Walaunpun kelihatannya kebanyakan unsur-unsur yang terkandung dalam upacara adat
persandingan masyarakat Melayu bercanggah dengan hukum Islam, tetapi hal ini bukanlah
bermaksud Islam melarang upacara perkahwinan dilansungkan dalam sebarang akad nikah. Hal
ini kerana, agama Islam adalah sebuah agama yang bersifat syumulliyah dan universal. Maka
dari itu, agama Islam sememangnya merupakan agama yang bercorak konvensional iaitu yang
boleh diterima umum. Kita perlu faham bahawa Islam bukanlah agama yang diwahyukan untuk
bangsa Arab sahaja bahkan Islam adalah agama yang relevan untuk semua bangsa di dunia ini
samaada masyarakat itu ajam atau bukan ajam. Justeru itu, Islam bukanlah dilihat sebagai agama
yang menghapuskan kebudayaan sesuatu bangsa jika bangsa tersebut memilih Islam sebagai
agamanya. Hal ini kerana, antara faktor yang menyebabkan agama Islam berkembang kepada
setiap bangsa dan daerah adalah kerana Islam tidak menghapuskan budaya dan adat resam
sesuatu bangsa atau negeri selagi ia tidak bercanggah dengan prinsip-prinsip Islam. Justeru itu,
dapatlah difahami bahawa Islam mengiktiraf pakaian, bahasa dan kesenian sesuatu kaum selagi
ia tidak bertentangan dengan syariat agama Islam. Contohnya dalam isu pakaian. Islam tidak
melarang penganutnya berfesyen berdasarkan fesyen bangsanya. Sekiranya kita melihat Rom,
maka kita akan melihat bahawa Rom merupakan sebuah tamadun besar yang dipengaruhi oleh
unsur agama Kristian. Namun begitu, jubah Rom atau syamiah tiada langsung kaitan dengan
agama Kristian kerana ia adalah pakaian bangsa tersebut. Nabi SAW sendiri pernah memakai
pakaian daripada bangsa yang berlainan daripada bangsa tanah kelahirannya. “Nabi SAW pernah
memakai pakaian daripada jenis kapas, bulu dan selainnya. Baginda pernah memakai apa yang
dibawa dari Yemen dan selainnya. Kebanyakannya dibuat daripada kapas. Mereka (pada zaman
tersebut) juga memakai buatan Qibti Mesir yang ditenun daripada kapas. Maka, bererti sunnah
Rasulullah dalam hal ini adalah seseorang memakai pakaian dan memakan makanan yang mudah
didapati dalam negerinya. Maka perkara berbagai-bagai berdasarkan kepelbagaian negeri”.
Selain itu, bukanlah seseorang itu hanya layak dikatakan Islam apabila orang itu memakai
serban, jubah, kain sarung dan sebagainya. Hal ini kerana, kebanyakan sunnah ini hanya
diklafikasikan sebagai sunah jibilliah atau sunnah adah iaitu perjalanan hidup baginda
disebabkan faktor keinsanan dan kearaban baginda. Islam tidak memaksa golongan bukan Arab
meniru setiap seni dan budaya Arab. Hal ini kerana, jika Nabi SAW itu dilahirkan dalam
kalangan orang Melayu, maka pakaian, seni dan kebudayaan orang Melayulah yang akan
dipraktikkan oleh Nabi SAW. Oleh yang demikian, bangsa lain mempunyai kebebasan untuk
mengamalkan kebudayaan masing-masing seperti bangsa Cina boleh berpakaian ceongsam dan
bangsa India boleh memakai kurta. Namun, yang penting disini ialah selagi kebudayaan dan
keseniaan itu perlulah tidak bercanggah dengan batas-batas yang telah digariskan oleh Islam.
Begitulah juga halnya dalam soal upacara perkahwinan. Masyarakat Melayu sememangnya
bebas untuk mengadakan upacara perkahwinan berdasarkan budaya dan adat mereka.
“Dari Anas bin Malik R.A, Rasulullah SAW. melihat banyak wanita dan anak-anak kembali dari suatu pesta perkahwinan. Lalu beliau berdiri lama-lama degan gembira, seraya berkata: “Hai Tuhan! Kamu ini semua adalah termasuk orang-orang yang paling saya cintai”
(Hadis Riwayat Bukhari)
”Dalam riwayat al-Bukhari juga daripada Aisyah bahawa seorang wanita berkahwin dengan lelaki Ansar, maka baginda bersabda: Wahai Aisyah! Mengapakah tiada bersama kamu hiburan? Orang Ansar sukakan hiburan. Dalam hadis yang bertaraf ‘hasan’ yang diriwayatkan oleh al-Nasai dan al-Tirmizi, baginda bersabda: Perbezaan antara yang halal dan yang haram adalah kompang dan suara dalam perkahwinan. Maksudnya perkahwinan yang halal dilakukan secara terbuka dan diisytiharkan. Berbeza dengan perzinaan.”
“Katakanlah (Wahai Muhamamd): “Siapakah yang (berani) mengharamkan perhiasan Allah yang dikeluarkan-Nya untuk hamba-hamba-Nya, dan demikian juga benda-benda yang baik dari rezeki yang dikurniakan-Nya untuk hamba-hamba-Nya, dan demikian juga benda-benda yang baik dari rezeki yang dikurniakan-Nya?. Katakanlah: Semuanya itu adalah (nikmat-nikmat diberi) untuk orang-orang yang beriman dalam kehidupan dunia; (nikmat-nikmat itu pula) khas (hanya untuk mereka) hari kiamat. Demikianlah Kami jelaskan ayat-ayat keterangan Kami satu per satu bagi orang-orang yang (mahu) mengetahui. Katakanlah: Seungguhnya Tuhanku hanya mengharamkan perkara-perkara keji, sama ada yang nyata atau yang tersembunyi; dan perbauatan dosa; dan perbuatan menceroboh dengan tidak ada alasan yang benar; dan (diharamkan-Nya) kamu mempersekutukan sesuatu dengan Allah sedang Allah tidak menurunkan sebarang bukti (yang membenarkannya); dan (diharamkan-Nya) kamu memperkatakan terhadap Allah sesuatu yang kamu tidak mengetahuinya”.
(Surah Al-A’raf : 32-33)
Berdasarkan dalil-dalil ini, dapatlah diketahui bahawa Islam tidak melarang bentuk hiburan.
Hiburan dalam Islam dilihat sebagai suatu keizinan untuk menenangkan diri dan menghiburkan
hati yang gundah-gulana. Walaupun begitu, hiburan bukanlah fokus utama ataupun suatu
kemestian dalam Islam. Selain itu, sekiranya dalam upacara itu terdapat sebarang unsur tahyul,
khurafat, bidaah dan yang paling bahaya syirik, maka upacara itu perlu ditolak. Perkara ini
kerana, isu yang berkaitan dengan aqidah seperti upacara menepung tawar, menabur beras kunyit
dan sebagainya sememangnya dipandang serius oleh Islam. Oleh itu, upacara persandingan
dalam masyarakat Melayu perlu dijalankan berlandaskan lunas-lunas Islam agar ia tidak
membawa kepada kemurkaan Allah. Islam bukanlah seperti pendapat yang ditelurkan oleh
Niccolo Macmeivili yang mengatakan konsep “niat menghalalkan cara”. Walaupun niat kita
mengadakan upacara persandingan dengan niat yang baik iaitu untuk meraikan pasangan
pengantin, namun sekiranya upacara itu dicemari oleh unsur-unsur yang bertentangan dengan
agama Islam, maka secara tidak langsung upacara tersebut salah disisi agama.
“Niat yang baik tidak akan menghalalkan yang haram”
Maka dengan itu, tiada sebarang sebab upacara perkahwinan dilarang dalam Islam, namun
pelaksanaannya sahaja yang perlu berdasarkan lunas-lunas yang ditetapkan Islam.
6.0 KESIMPULAN:
Jelasnya, Islam bukanlah sesuatu agama yang memberati para penganutnya dalam melayari
arus kehidupan di dunia ini. Islam secara mudahnya merupakan agama yang diwahyukan untuk
semua jenis manusia yang terdapat di atas muka bumi ini. Justeru itu, Islam tidak pernah
melarang sama sekali para penganutnya daripada mengamalkan kebudayaan dan kesenian yang
terdapat dalam setiap bangsa. Namun, perlu difahami bahawa setiap amalan yang dipraktikkan
itu perlu selaras dan selari dengan syariat Islam. Begitu jugalah halnya dengan isu perkahwinan
dalam masyarakat Melayu. Ia boleh dilakukan dan diamalkan selagi ia tidak bertentangan dengan
akidah dan syariat Islam.