22
1 KKC 3023 KAUNSELING KERJAYA TUGASAN BERKUMPULAN : TEORI PERKEMBANGAN KERJAYA GINZBERG ________________________________________________ __________ HAZIQ AZREE BIN YAZID 20111047456 ZALIPAH BINTI IBRAHIM D20111047468 WEE POH HOON D20111047470 FASLINA BINTI ABDUL GHANI D20111047455 NURRULFATIN BINTI RUSLAND201110467467 FAKULTI PENDIDIKAN DAN PEMBANGUNAN MANUSIA

131431442 Teori Perkembangan Kerjaya Ginzberg Full

Embed Size (px)

DESCRIPTION

=)

Citation preview

1

KKC 3023

KAUNSELING KERJAYA

TUGASAN BERKUMPULAN : TEORI PERKEMBANGAN KERJAYA GINZBERG

__________________________________________________________

HAZIQ AZREE BIN YAZID 20111047456

ZALIPAH BINTI IBRAHIM D20111047468

WEE POH HOON D20111047470

FASLINA BINTI ABDUL GHANI D20111047455

NURRULFATIN BINTI RUSLAND201110467467

FAKULTI PENDIDIKAN DAN PEMBANGUNAN MANUSIA

AT04 : BIMBINGAN DAN KAUNSELING

SEMESTER 2, SESI 2012 / 2013

PENSYARAH : DR. BAZLAN BIN MUSTAFA

ISI KANDUNGAN

BIL

1.0

PENGENALAN

2.0

LATAR BELAKANG TOKOH

3.0

KONSEP UTAMA TEORI PERKEMBANGAN KERJAYA GINZBERG

4.0

KEKUATAN

5.0

KELEMAHAN

6.0

CADANGAN

7.0

KESIMPULAN

8.0

BIBLIOGRAFI

1.0 PENGENALAN

Dalam hidup ini setiap insan memerlukan sesuap nasi untuk hidup di dunia. Tidak kerana tua ataupun muda, pasti mereka perlu memenuhi keperluan asas ini untuk terus hidup. Bagi memastikan kelangsungan hidup, kerjaya merupakan suatu yang mustahak kerana ia merupakan sumber pendapatan yang akan menentukan tahap sosioekonomi seseorang. Namun, sering timbulpersoalan dalam diri mereka mengenai kerjaya yang akan mereka ceburi khususnya pada peringkat remaja.

Menurut Piaget (1977) dalam Sidek Mohd Noah (2002), pada peringkat remaja, mereka sudah mula merancang dan menyelesaikan masalah berdasarkan keupayaan mereka. Inhelder & Piaget, (1958) dalam Sidek Mohd Noah (2002) menegaskan bahawa proses kemasukan pekerjaan dan pemilihan pekerjaan boleh membantu remaja khususnya dari segi pemikiran untuk lebih realistik. Walau bagaimanapun, berlaku konflik dalam diri apabila minat, nilai, personaliti dan persekitaran bercanggah dalam diri. Disebabkan faktor-faktor inilah, teori kerjaya telah mengkaji aspek-aspek yang mempengaruhi perkembangan remaja yang berkaitan dengan proses pemilihan kerjaya seperti faktor minat, kebolehan dan juga nilai.

Terdapat pelbagai jenis teori perkembangan kerjaya yang dihasilkan setelah Frank Parson menulis bukunya yang bertajuk Choosing Your Vocation. Kemudian muncul pula teori perkembangan kerjaya yang di hasilkan Ginzberg bersama empat orang pakar daripada bidang ekonomi, sosiologi dan psikologi. Menurut Ginzberg et al. (1971) teori ini menyatakan bahawa proses membuat keputusan yang berkaitan dengan pemilihan kerjaya terbahagi kepada tiga peringkat iaitu fantasi, percubaan dan realistik. Maka, dalam tugasan ini akan membincangkan serta menganalisis mengenai teori perkembangan kerjaya Ginzberg. Perbincangan akan meliputi latar belakang tokoh dan konsep utama teori. Kemudian akan dianalisis kekuatan dan kelemahan yang terdapat dalam teori ini setelah dibandingkan dengan teori kerjaya yang lain. Ekoran dari kelemahan yang wujud, maka akan dikongsikan beberapa buah fikiran untuk menambah baik teori ini supaya sesuai diaplikasikan dalam dunia pekerjaan sebenar.

2.0 LATAR BELAKANG TOKOH

Rajah 1:Eli Ginzberg

Eli Ginzberg merupakan anak kepada Louis Ginzberg. Beliau dilahirkan di New York pada 30 April 1911. Ginzberg menerima A.B. pada 1931, A.M. pada 1932 dan Ph.D. pada 1934 daripada Universiti Columbia. Ginzberg mula menjadi professor ekonomi pada 1935 di Universiti Columbia. Beliau meninggal dunia pada hari Khamis, 12 Disember pada umur 91 tahun. Ginzberg, Ginsburg, Axerald dan Hermas dalam bukunya Occupational Choice : An Approach to a General Theory (1951) merupakan salah satu sumbangan terawal mereka yang penting kepada teori ini.

Eli Ginzberg merupakan seorang ahli ekonomi, Sol Ginsburg pula seorang ahli psikiatri, Sidney Axelrad ahli sosiologi dan John Herma merupakan seorang ahli psikologi. Kajian mereka lebih banyak mengkhususkan mengenai proses pemilihan kerjaya dalam kalangan pelajar (mainly of upper-middle-class). Kajian mereka juga terdiri daripada temu duga antara pelajar dan melalui kajian literatur. Memandangkan kajian mereka khusus untuk remaja dan kanak-kanak, mereka membahagikan kepada tiga peringkat dalam proses pemilihan.

Peringkat pertama iaitu peringkat fantasi ( lahir hingga 12tahun) melibatkan permainan dan imaginasi dalam pemikiran mengenai kerja masa hadapan. Peringkat kedua ialah peringkat tentatif, kanak-kanak ketika ini mula menggambarkannya secara terperinci, lebih cenderung untuk memfokuskan kepada satu minat, kebolehan dan nilai. Peringkat ketiga ialah peringkat realistik. Berlaku selepas umur 17 tahun dan melibatkan proses dalam menentukan pekerjaan yang benar-benar mereka minat. Dengan mengikuti proses kanak-kanak melalui peringkat ini, ia dapat membantu kaunselor berada dalam proses kesediaan untuk membantu remaja membuat pemilihan kerjaya.

Secara umumnya, Ginzberg (1984) melihat proses memilih pekerjaan sebagai satu langkah optimum, satu keperluan dan keinginan terhadap kekangan dan peluang yang terdapat dalam persekitaran kerja. Pandangan ini menunjukkan keluasan model beliau walaupun perbincangan hanya tertumpu kepada perkembangan minat, kebolehan dan nilai.

3.0 KONSEP UTAMA TEORI PERKEMBANGAN KERJAYA GINZBERG

Menurut Ginzberg et. al dalam Weinrach (1979) dalam Sidek Mohd Noah (2002), rumusan dalam teori perkembangan kerjaya yang dihasilkan oleh mereka mengandungi empat unsur utama. Antaranya ialah pemilihan berlaku dalam jangka panjang melebihi 10 tahun, proses yang tidak boleh berpatah balik, wujud kompromi antara minat, kebolehan, nilai dan peluang serta peringkat-peringkat perkembangan kerjaya. Rujuk rajah 2 menunjukkan konsep-konsep utama yang terdapat dalam teori Ginzberg.

Rajah 2: Konsep utama dalam teori Ginzberg

Pemilihan kerjaya ialah satu proses perkembangan yang berlaku secara tipikal dalam satu jangka masa melebihi 10 tahun. Menurut Super dalam Sidek Mohd Noah (2002), hal ini diambil dari kenyataan yang dikeluarkan oleh The Prinsiples and Practice of Vocational Guidance yang dikemukakan oleh The National Vocational Guidance Association. Dalam kenyataan ini telah dijelaskan bahawa pemilihan pekerjaan merupakan satu proses yang mungkin memerlukan satu jangka panjang. Hal ini bermakna perkembangan kerjaya hanya berlaku dalam tempoh tertentu dan akan terhenti apabila sampai waktunya. Shetzer (1985) turut menyokong kenyataan ini dengan mengatakan bahawa pemilihan kerjaya ialah proses memerlukan tahap minimum enam atau tujuh tahun dan lazimnya memerlukan masa 10 tahun atau lebih.

Kedua, Ginzberg dalam Sidek Mohd Noah (2002) menyatakan bahawa proses perkembangan ini tidak boleh berundur. Hal ini disokong oleh Super dengan menyatakan bahawa pengalaman seseorang individu itu tidak dapat dilengkapkan kerana ia memerlukan pelaburan seperti wang, masa dan ego juga kerana ego akan menghasilkan perubahan dalam diri individu. Shertzer (1985), pula menegaskan bahawa disebabkan setiap keputusan dihubungkan dengan pengalaman individu lebih daripada titik tersebut dan telah mempengaruhi masa hadapan maka proses membuat keputusan menyebabkan ia tidak dapat berpatah balik.

Ketiga, Ginzberg menyatakan bahawa proses ini akan berakhir apabila wujudnya kompromi antara minat, nilai, kebolehan, nilai dan juga peluang yang ada. Hal ini pernah disuarakan oleh Frank Parson (1909), bahawa kaunseling kerjaya ialah satu proses membantu individu mengenali dirinya sendiri, mengenali dunia pekerjaan, serta menyesuaikan diri dengan peluang pekerjaan berpandukan minat, peluang dan kemampuan dirinya. Beliau menambah bahawa ini adalah sebagai taakulan sebenar true reasoning. Proses ini akan berakhir apabila individu berjaya memilih kerjaya yang bersesuaian dengan diri dan keperluan pekerjaannya. Hal ini disokong oleh Ginzberg (1972) dalam John J. Liptak (2001):

People make decision with aim of optimizing satisfaction by finding the best possible fit between their needs and desires and the opportunities and constraints in the world-of-work

Hal ini jelas membuktikan bahawa Ginzberg menekankan kompromi supaya keperluan dan kehendak berlaku secara seimbang agar kepuasan dapat dicapai secara maksimum.

Keempat, terdapat tiga peringkat perkembangan kerjaya iaitu peringkat fantasi, percubaan dan realistik. Menurut Sidek Mohd Noah (2002) peringkat ini berlaku pada usia 6 hingga 11 tahun. Walau bagaimanapun, terdapat sedikit percanggahan dengan Lee E. Isaacson (1986), yang menyatakan peringkat fantasi biasanya meliputi usia 10 atau 12 tahun. Pada peringkat pertama ini pemilihan kerjaya kanak-kanak adalah berorientasikan permainan dan dipengaruhi oleh orang dewasa yang signifikan dalam hidupnya meskipun dia belum lagi memahami realiti. Kesannya, kanak-kanak akan memilih pekerjaan seperti keluarganya. Misalnya, jika ayahnya adalah polis dan dia dibesarkan di baret polis maka dia juga akan berfantasi untuk menjadi polis apabila dewasa kelak. Namun, menurut Sharf (1997) kanak-kanak agak berhati-hati kerana kemungkinan minat mereka akan berubah dan mereka mungkin akan membuat pilihan yang lain. Walau bagaimanapun mereka tidak begitu jelas tentang alternatif dan tidak begitu mengambil berat kerana mereka tahu bahawa terdapat banyak lagi masa untuk membuat pilihan. Buktinya, dalam sampel daripada 478 pelajar lelaki dan 471 orang pelajar perempuan sekolah rendah di Trice, Hughes, Odom, Woods dan McClelllan 1995menunjukkan sokongan dalam idea Ginzberg bahawa minat adalah faktor utama dalam pemilihan dan penolakan dalam kerjaya semasa zaman kanak-kanak.

Peringkat kedua, peringkat percubaan.Menurut Sidek Mohd Noah (2002), peringkat ini biasanya berlaku pada usia 11 hingga 18 tahun. Pada peringkat ini dicirikan dengan individu mula membuat pilihan kerjaya berdasarkan kepada apa yang diminatinya, kemudian mereka mula berfikir sama ada kerjaya itu sesuai atau tidak dengan dirinya. Tambah, Lee E. Isaacson (1986) tempoh percubaan bermula apabila kanak-kanak mula mengenal pasti bahawa terdapat beberapa aktiviti yang menarik minat mereka. Kanak-kanak itu kemudiannya mengenal pasti bahawa mereka lebih berupaya dalam melakukan beberapa aktiviti berbanding rakannya yang lain. Kanak-kanak tersebut juga belajar lebih banyak nilai berbanding dengan rakannya yang lain. Akhirnya kanak-kanak tersebut akan mula menyesuaikan idea daripada minat, kebolehan dan nilai untuk diberikan tumpuan utama terhadap pemilihan kerjaya. Contohnya, dalam kelas Pendidikan Jasmani dan Kesihatan (PJPK) kanak-kanak yang menyertai acara lumba lari mendapati mereka amat berbakat kerana sering menjadi johan dalam acara larian yang disertai. Justeru, ia akan mempengaruhi minat kanak-kanak ini menjadi atlet kelak kerana ia merasakan dia berbakat besar dalam sukan tersebut. Dalam hal ini, Sidek Mohd Noah (2002) telah menyatakan bahawa pada peringkat umur tertentu akan menimbulkan beberapa peringkat yang lebih khusus. Menurut beliau minat akan timbul sekitar usia 11 hingga 13 tahun,, kebolehan pada usia 13 hingga 14 tahun, nilai pada usia 15 hingga 16 tahun dan peringkat peralihan dalam lingkungan 17 tahun. Pada peringkat peralihan ini individu biasanya sudah bersedia ke arah realiti dan membuat pemilihan kerjaya yang sesuai dengan cita-cita mereka.

Peringkat ketiga ialah peringkat realistik. Menurut Sidek Mohd Noah (2002), peringkat ini berlaku antara umur 17 hingga 20 tahun.Pada peringkat ini individu mula mendapatkan maklumat dan pengalaman-pengalaman yang dapat membantu mereka dalam membuat pemilihan kerjaya. Tambah Zunker (1986), tempoh realistik terbahagi kepada tiga peringkat. Peringkat pertama ialah tahap penerokaan (explore). Semasa peringkat ini individu telah mengkhususkan pemilihan kerjaya kepada dua atau tiga kemungkinan. Namun, secara umumnya mereka masih lagi dalam dilema dan tidak yakin dengan pilihan yang ada. Walau bagaimanapun, tumpuan kerjaya lebih tertumpu pada beberapa jenis kerjaya. Peringkat kedua ialah peringkat penghabluran (Crystallization). Pada peringkat ini komitmen terhadap sesuatu bidang kerjaya telah diputuskan. Beberapa perubahan yang berlaku dalam peringkat ini disebut sebagai pseudo- crystallization. Pada peringkat terakhir, iaitu peringkat pengkhususan (specification) apabila individu telah memilih kerjaya atau profesion untuk dijadikan kerjaya khususnya.

4.0 KEKUATAN

Penghasilan pelbagai teori kerjaya telah memperlihatkan persaingan tokoh-tokoh dalam menghasilkan teori yang terbaik dan menyeluruh dalam menjelaskan isu-isu kerjaya. Persaingan ini telah menonjolkan kekuatan dalam sesuatu teori yang dihasilkan begitu juga dengan teori Ginzberg.

Antara kekuatan yang terdapat dalam Teori Perkembangan Kerjaya Ginzberg adalah teori ini merupakan hasil usaha sama empat orang pakar. Menurut Ginzberg et. al (1951) teori ini dihasilkan oleh pakar dalam bidang ekonomi, sosial, dan psikologikal iaitu Ginzberg, Ginzburg, Axelrad dan Herma. Perkongsian idea ini merupakan satu usaha yang murni kerana ia mengambil pendapat dari pelbagai sudut pandang yang mungkin tidak terfikir dalam pemikiran ahli psikologi namun mungkin difikirkan oleh ahli sosial. Jika disingkap dalam kebanyakan teori kerjaya yang dihasilkan, kebanyakannya hanya dihasilkan oleh seorang tokoh sahaja misalnya teori tret and faktor oleh Parson. Kelebihan ini dilihat menjadikan teori Ginzberg lebih sesuai digunakan oleh mereka dari latar belakang yang berbeza.

Kekuatan kedua, teori kerjaya Ginzberg ini adalah pelopor kepada aliran pendekatan proses. Menurut Sidek Mohd Noah (2002), secara umumnya terdapat tiga aliran utama teori kerjaya iaitu pendekatan struktur, pendekatan proses dan membuat keputusan kerjaya. Teori Ginzberg tergolong dalam teori pendekatan proses yang terawal. Proses yang dimaksudkan ini ialah apa yang dikatakan oleh Ginzberg sebagai tiga peringkat perkembangan kerjaya iaitu peringkat percubaan, fantasi dan realistik. Ginzberg telah membuka lembaran baru dalam teori perkembangan kerjaya kerana berjaya membawa satu idea baru iaitu kepentingan proses pemilihan kerjaya selepas Parkson menghasilkan teori perkembangan kerjaya yang lebih mengutamakan perbezaan individu dalam teorinya.

Ketiga, idea Ginzberg telah diguna pakai sebagai asas utama teori perkembangan kerjaya Donald Super yang mempunyai ramai pengikut hingga hari ini. Proses perkembangan kerjaya Ginzberg yang meliputi proses percubaan, fantasi dan realistik. Meskipun ia menerima banyak kritikan khususnya oleh Super sendiri namun perlu diingat bahawa asas idea Super adalah dari teori Ginzberg. Super mungkin bijak menginovasikan idea Ginzberg dengan mengubah kepada lima peringkat perkembangan iaitu pertumbuhan, penerokaan, pengukuhan, pengekalan dan penurunan namun tanpa idea Ginzberg mustahil Super akan berfikiran tentang konsep yang dikemukakan. Kebanyakan konsep yang dikritik dalam teori ini juga sebenarnya hanya dibaiki dan menjadikan ia lebih kompleks. Misalnya, Super hanya menambah beberapa aspek seperti sosial, perkembangan dan juga psikologi. Asasnya, teori Super terhasil daripada keinginan mengkritik teori Ginzberg yang dilihat mempunyai beberapa kelompongan yang akhirnya menjadikan teori Super sebagai teori paling popular yang mewakili aliran pendekatan proses.

5.0 KELEMAHAN

Penghasilan pelbagai teori kerjaya telah membolehkan perbandingan dibuat bagi mengenal pasti bukan sahaja kekuatan bahkan kelemahan yang ada. Kelemahan ini jelas jika ia dibandingkan dengan teori-teori kerjaya yang lain. Antara kelemahan dalam teori Ginzberg ialah teori ini menceritakan perkembangan kerjaya manusia hanya dalam tiga peringkat sahaja berbanding Donald Super menerangkannya dalam lima peringkat. Malahan, teori Super adalah pengubahan baru dari teori Ginzberg. Oleh itu, teori Ginzberg adalah tidak sebaik dan sedalam seperti teori Super kerana ia menghimpunkan lebih banyak peringkat dan penjelasan yang lebih terperinci.

Kedua, menurut Super(1953) dalam buku John J.Liptak (2001), beliau mengatakan bahawa Teori Ginzberg ini tidak melakukan kajian yang lebih mendalam dalam kajiannya yang lepas, tidak menerangkan dengan mendalam tentang pemilihan kerjaya, tidak memperincikan kompromi yang ditubuhkan serta tidak menyatakan perbezaan antara penyesuaian dan pemilihan secara terperinci. Dengan kata yang lain, Teori Ginzberg ini tidaklah begitu lengkap dan perinci. Menurut Super dalam buku Sidek Mohd Noah (2002), teori ini bukanlah hasil daripada satu kajian yang menyeluruh. Pembentukannya hanya berdasarkan sedikit kajian dan kemudiannya dibuat secara menyeluruh. Kajian juga dikatakan tidak mengikut kaedah penyelidikan yang sebenarnya. Contohnya, dalam teorinya tiada ulasan-ulasan karya yang berasaskan pengalaman atau data-data yang mencukupi. Secara asasnya teori lebih kepada berpandukan falsafah Ginzberg sendiri dan bukannya berdasarkan kajian yang total dalam konsep-konsep yang diutamakan.

Ketiga, ketidaktentuan dalam pendirian Ginzberg juga merupakan salah satu kelemahan dalam Teori Ginzberg ini. Menurut Sidek Mohd Noah(2002), setelah beliau menerima begitu banyak komen dan kritikan, Ginzberget. el (1972) telah membuat semakan kepada teori yang telah dihasilkan. Melalui semakan ini, mereka telah membuat kenyataan baru iaitu proses perkembangan kerjaya bukan berakhir ketika individu berumur 20 tahun,sebaliknya proses perkembangan kerjaya merupakan satu proses yang berlaku sepanjang hayat individu. Hal ini turut dikritik oleh Vernom G.Zunker (1998), yang mengatakan bahawa dalam kajian sebelum ini, Ginzberg dan rakan-rakannya telah menyatakan bahawa proses perkembangan pemilihan kerjaya adalah tidak boleh berpatah balik kerana keadaan psikologi pada masa mereka membuat pilihan tersebut adalah berbeza. Walau bagaimanapun, mereka telah menafikan kenyataan tersebut dan Ginzberg(1972) telah mengemukakan kenyataan baru bahawa pentingnya pemilihan pada waktu awal dalam pemilihan kerjaya sebagai helah belah diri atas kenyataan yang dibuat.

Keempat, dalam Teori Ginzberg hanya menceritakan tentang tiga peringkat dan ia hanya sampai kepada umur 20 tahun sahaja. Menurut Ginzberget. al(1951) dalam Nadene Peterson dan Roberto Cortez Gonzalez(2005), tiga peringkat teori Ginzberg adalah terdiri daripada peringkat fantasi dari lahir sehinggalah umur 11 tahun, peringkat kedua adalah peringkat percubaan dari umur 11 hingga 17 dan peringkat terakhir ialah peringkat realistik iaitu dari umur 17 tahun sehinggalah 20 tahun. Teori Ginzberg menjelaskan kerjaya seseorang telahpun berakhir pada peringkat ini namun hakikatnya, perkembangan kerjaya masih lagi berkembang malahan ada individu yang masih lagi tidak tetap dengan kerjayanya kerana masih lagi berubah-ubah walaupun umurnya telahpun mencecah 40 tahun. Manakala jika dibandingkan dengan teori Super pula, terdapat lima peringkat perkembangan kerjaya. MenurutVernom G.Zunker(1998), lima peringkat teori Super adalah terdiri daripada kristalisasi pada umur 14 hingga 18 tahun, pengkhususan dari umur 18 hingga 21 tahun, pelaksanaan dari umur 21 hingga 24 tahun, kestabilan dari umur 24 hingga 35 tahun, dan pengukuhan adalah antara umur 45 hingga 64 tahun. Perbezaan peringkat perkembangan ini sahaja jelas menunjukkan bahawa teori Super jauh lebih menyeluruh dan sesuai digunanya pakai kerana ia berlaku sepanjang kehidupan.

Kelima, salah satu kelemahan tentang teori Ginzberg yang diperkatakan oleh Super dalam buku Sidek Mohd Noah(2002) adalah tentang pemilihan dan penyesuaian. Dalam peringkat perkembangan, apabila individu telah melakukan pemilihan, individu masih lagi perlu membuat penyesuaian. Elemen-elemen penyesuaian tidak banyak diperkatakan oleh Ginzberg. Ginzberg hanya memperkatakan tentang pemilihan tetapi pada hakikatnya, ianya adalah penyesuaian. Keenam, Sidek Mohd Noah (2002) juga mengatakan bahawa pilihan menurut pandangan teori Ginzberg ini adalah tidak demokratik. Maksud tidak demokratik ini adalah bermaksud pemilihan yang ada hanyalah terhad kepada golongan yang majoriti atau yang paling banyak sahaja, manakala bagi kumpulan yang minoriti ianya kurang sesuai. Ketujuh, menurut Sidek Mohd Noah(2002) juga, beliau mengatakan bahawa teori Ginzberg ini tiada ulasan lanjut sekiranya pemilihan individu tidak serasi iaitu wujud ketidakserasian antara apa-apa yang dikehendaki dengan apa yang dimilikinya. Dalam hal ini, Ginzberg tidak menerangkan konsep kompromi yang mesti ada untuk menyeimbangkan pilihan kerjaya seseorang individu. Hal ini memperlihatkan teori ini seolah-olah kehidupan itu statik sedangkan hidup ini ada pasang surutnya.

Sebagai kesimpulannya, melalui perbincangan yang terdapat di atas, dapatlah dirumuskan bahawa teori Ginzberg ini mempunyai pelbagai kelemahan. Walau bagaimanapun, setiap teori pasti ada kelebihan dan kelemahannya. Oleh itu, kaunselor haruslah menggunakan pelbagai teori kerjaya dalam membantu klien agar keputusan yang dibuat dapat memberikan manfaat sepenuhnya pada mereka kelak.

6.0 CADANGAN

Dalam mengkaji dan menganalisis teori Ginzberg, terdapat pelbagai kelemahan yang ada jika dibandingkan dengan teori yang lain. Maka, tidak hairanlah menurut Sidek Mohd Noah (2002), bahawa teori Psikoanalitik Bordin dan teori perkembangan kerjaya Ginzberg antara yang paling kurang mendapat sambutan. Justeru, beberapa cadangan diusulkan bagi mengukuhkan lagi teori ini agar lebih lengkap dan menyeluruh.

Antara aspek ketara yang perlu diperbaiki ialah Ginzberg ialah pada peringkat perkembangan yang merupakan konsep yang banyak dipersoalkan. Ginzberg et. al (1972) dalam Sidek Mohd Noah (2002) telah mengubah bahawa proses perkembangan kerjaya berlaku sepanjang hidup. Ini menunjukkan teori ini tidak tetap pendiriannya kerana sering berubah. Maka, disarankan agar Ginzberg membuat kajian yang teliti sebelum mengemukakan peringkat yang bersesuaian. Kajian hendaklah melibatkan pelbagai peringkat usia bagi mengenal pasti sejauh mana ketepatan tempoh masa yang dikemukakan dengan perkembangan manusia. Misalnya, Super menyatakan peringkat kelima ialah peringkat penurunan sekitar usia 65 tahun ke atas. Ia merupakan peringkat yang logik dan sesuai tanpa mengira usia kerana kebanyakan mereka yang pada usia ini mengalami kemerosotan dalam kesihatan, kudrat diri dan kemampuan untuk berfikir dengan waras. Ginzberg harus mengemukakan bukti dengan kajian-kajian saintifik seperti Super untuk mengukuhkan hujahnya agar teori ini bukan hasil falsafah beliau semata-mata.

Aspek kedua disarankan agar Ginzberg memberi satu tempoh sebagai penyesuaian. Peringkat ini mungkin boleh ditambah selepas peringkat realistik. Peringkat penyesuaian adalah peringkat di mana individu cuba untuk menyerap kerjaya yang telah diceburinya. Peringkat ini adalah bertujuan untuk menguji sejauh mana minat, nilai dan personaliti seseorang bersesuaian dengan bidang kerja yang diceburi. Tempoh ini lebih mudah dikenali sebagai tempoh percubaan bagi individu sebelum kekal dalam kerjaya yang diceburinya. Misalnya, seseorang yang berjaya masuk ke dalam dunia kedoktoran dan selama ini mempunyai tahap intelek yang sesuai dengan bidang ini. Namun, ketika berada di hospital dia belum tentu mampu untuk menerima seting kerja berbau ubat, melayan kerenah pesakit dan perlu on call 24 jam. Pada peringkat inilah mungkin seseorang perlu menukar pekerjaannya sebelum terlewat kerana ia akan mengurangkan kepuasan dan keseronokan dalam bekerja. Tempoh penyesuaian ini mungkin sesuai antara usia 20 hingga 30 kerana sekitar usia 40 tahun sepatutnya seseorang telah perlu mencapai kestabilan kendiri dan pada usia tersebut juga sukar untuk menukar pekerjaan.

7.0 KESIMPULAN

Teori perkembangan kerjaya Ginzberg merupakan suatu teori kerjaya yang beraliran proses perkembangan. Ginzberg telah membuka lembaran baru dalam teori perkembangan kerjaya kerana berjaya membawa satu idea baru iaitu kepentingan proses pemilihan kerjaya selepas Parkson menghasilkan teori perkembangan kerjaya yang pertama. Walau bagaimanapun, terdapat pelbagai kelemahan dalam teori ini kerana konsep-konsep utama yang dihasilkan lebih bercorak falsafah serta kurang kajian yang mendalam. Namun, secara keseluruhannya teori ini masih lagi relevan digunakan dalam pemilihan kerjaya kerana ia telah merintis ke arah penghasilan teori perkembangan kerjaya Super yang mempunyai pengikut yang ramai hingga hari ini.

6.0 BIBLIOGRAFI

Bruce Shertzer (1985). Career planning: Freedom to choose. Dallas Geneva, Illinois: Houghton Mifflin Company

Colombia News (2002). Eli Ginzberg, Professor, Presidential Adviser and Director of Revson Fellows Program, Dies at 91. Diperoleh pada Mac 1, 2013 daripada http://www.columbia.edu/cu/news/02/12/eliGinzberg.html

Isaacson, Lee E (1986). Career information in counselling and career development. Wells Avenue, Newton, Massachusets: Allyn and Bacon

John J. Liptak (2001). Treatment planning in career counseling. Belmont, California: Wadsworth. Brooks/Cole

Nadene Peterson dan Roberto Cortez Gonzalez (2005). The role of work in peoples lives: applied career counseling and vocational psychology. Belmont, California: Thomson Brooks/Cole

Richard S. Sharf (1997). Applying career development theory to counseling. Pacific Grove, California: Brooks/Cole Publishing Company

Sidek Mohd Noah (2002). Perkembangan kerjaya; Teori dan praktis. Serdang, Selangor Darul Ehsan: Penerbit Universiti Putra Malaysia

Vernon G. Zunker (1986). Career counseling: applied concepts of life planning. Monterey, California: Brooks/Cole Publishing Company

Vernon G. Zunker (1998). Career counseling: applied concepts of life planning.; Pacific Grove, California: Brooks/Cole Publishing Company

Wikipedia (2011). Eli Ginzberg. Diperoleh pada Mac 1, 2013 daripada http://en.wikipedia.org/wiki/Eli_Ginzberg

Konsep Utama

Pemilihan melebihi 10 tahun

Tidak boleh berpatah balik

Wujud kompromi

Peringkat perkembangan kerjaya

Fantasi (6-11)

Percubaan (11-18 )

Realistik (17-20)

Minat

Kebolehan

Nilai

Ketentuan

Penjelajahan

Kebolehan