View
13
Download
0
Category
Preview:
Citation preview
e-JURNAL PENYELIDIKAN DAN INOVASI
rmc.kuis.edu.my/jpi/
e-ISSN 2289-7909
KOLEJ UNIVERSITI ISLAM ANTARABANGSA
SELANGOR
VOL. 6 NO.2 (September 2019): pp 1-14
Received: 9 October 2018
Revised: 25 October 2018
Accepted: 13 Mac 2019
Penyelesaian Pertikaian Alternatif Dalam Islam:
Aplikasinya Terhadap Kes-Kes Kekeluargaan Dan Kehartaan Di Mahkamah Syariah
Alternative Dispute Resolution in Islam:
The Application of Family and Property Cases in Syariah Court
Mohamad Hafifi Hassim, Nor ‘Adha Ab Hamid
Norazla Ab Wahab,
Nurhafiza Raja Abdul
Aziz, Roslinda Ramli,
Siti Noor Ahmad
hafifi@kuis.edu.my. Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS),
ABSTRAK
Penyelesaian pertikaian alternatif dalam Islam merupakan satu kaedah penyelesaian
pertikaian pihak-pihak tanpa melibatkan proses litigasi di mahkamah. Proses ini bukanlah
suatu yang asing dan merupakan sebahagian daripada proses penyelesaian terhadap
pertikaian yang bukan melibatkan kesalahan jenayah. Melalui kaedah ini, pihak-pihak yang
bertikai tidak perlu untuk melantik peguam bagi mewakili mereka di mahkamah dan tidak
perlu untuk mengeluarkan kos yang banyak serta menjimatkan masa. Hal ini kerana prinsip
penyelesaian pertikaian alternatif ini bertujuan menyelesaikan permasalahan dan pertikaian
dengan cara persetujuan bersama dan memendekkan tempoh pertikaian. Justeru itu, tidak
hairanlah kaedah ini sering mendapat tempat dalam kalangan masyarakat. Istilah turun naik
mahkamah yang memenatkan bukan lagi alasan bagi pihak-pihak yang mendapatkan
penghakiman dengan kadar segera dan mudah. Terdapat banyak kaedah-kaedah
penyelesaian alternatif yang diamalkan di dunia dan di Malaysia khususnya seperti mediasi,
sulh, timbang-tara, perbicaraan mini, ombudsman serta banyak lagi. Namun tidak semua
kaedah yang dijelaskan diamalkan di Mahkamah Syariah. Kajian ini menggunakan kaedah
kualitatif dalam mendapatkan data-data seperti rujukan dibuat terhadap jurnal penyelidikan,
buku-buku, statut perundangan, pandangan ahli feqah dan juga kaedah temubual separa
struktur juga turut dijalankan bagi mendapatkan data. Kajian ini diharapkan dapat
menjelaskan mengenai pelaksanaan kaedah penyelesaian pertikaian alternatif dalam kes-kes
kekeluargaan dan kehartaan di Mahkamah Syariah sekaligus menggalakkan pihak-pihak
supaya menyelesaikan pertikaian mereka melalui kaedah ini tanpa melibatkan proses litigasi
yang panjang di mahkamah.
Kata kunci: Pertikaian, alternatif, rundingan, sulh dan litigasi.
ABSTRACT
Alternative dispute resolution in Islam is a means of resolving parties' disputes without
involving the litigation process in court. This process is not rarel and is part of a dispute
resolution process but does not involve criminal offenses. Through this method, the disputing
parties do not need to appoint lawyers to represent them in court and do not need to incur
significant costs and save time. This is because the principle of alternative dispute resolution
Penyelesaian Pertikaian Alternatif Dalam Islam:
Aplikasinya Terhadap Kes-Kes Kekeluargaan Dan Kehartaan Di Mahkamah Syariah
2
is to resolve disputes by mutual agreement and to shorten the duration of the dispute.
Therefore, it is not surprising that this method often finds its place among the community.
The term volatile court terms is no longer an excuse for those who seek judgment quickly and
easily. There are many alternative dispute resolution methods practiced in the world and in
Malaysia, such as mediation, sulh, arbitration, mini-trial, ombudsman and more. However,
not all of the methods described are practiced in Syariah Court. This study used qualitative
methods in obtaining data such as references made to research journals, books, legal
statutes, views of jurists and semi-structured interviews were also conducted to obtain data.
This study is expected to shed light on the implementation of alternative dispute resolution
methods in family and property cases in the Syariah Court while encouraging the parties to
resolve their disputes through this method without having to engage in lengthy litigation in
court.
Keywords: Dispute, alternative, negotiation, sulh and litigation.
Pendahuluan
Agama Islam diturunkan oleh Allah S.W.T kepada rasulNya, junjungan besar Nabi
Muhammad S.A.W adalah merupakan sebuah agama yang lengkap lagi syumul bagi
menghadapi segala permasalahan manusia di dunia ini. Sistemnya yang bersifat bersepadu
dan semulajadi sesuai dilaksanakan di semua tempat, masa dan keadaan. Segala hukum dan
peraturannya tidak bertentangan dengan norma-norma dan fitrah semulajadi manusia. Ini
semata-mata untuk menjamin sebuah kehidupan yang harmoni, bebas dari segala
persengketaan dan pertelingkahan yang boleh memporak-perandakan kehidupan manusia.
Dalam menjalankan kehidupan seharian, manusia sering kali tidak dapat lari daripada
berhadapan dengan berbagai kesulitan, masalah, perselisihan dan pertikaian. Untuk itu, Islam
tidak membiarkan umatnya tercari-cari jalan penyelesaian pada perkara tersebut tanpa
memberikan jalan keluar dan meniupkan roh Islamiyyah ke dalamnya. Dalam menyelesaikan
suatu pertikaian, Islam menganjurkan suatu kaedah yang berdasarkan prinsip ‘al-Sulh’ iaitu
perdamaian. Terdapat banyak ayat-ayat di dalam al-Quran yang menyentuh tentangnya
seperti Firman Allah S.W.T:
Tidak ada kebaikan pada kebanyakan bisikan-bisikan mereka, kecuali bisikan-bisikan
dari orang yang menyuruh (manusia) memberi sedekah, atau berbuat ma'ruf, atau
mengadakan perdamaian di antara manusia. dan barangsiapa yang berbuat demikian
kerana mencari keredhaan Allah, Maka kelak kami memberi kepadanya pahala yang
besar.
(Surah an-Nisa’:114)
Kaedah sulh merupakan satu konsep penyelesaian pertikaian di luar mahkamah dan
ianya semakin hari semakin mendapat perhatian. Kaedah ini telah dijalankan di seluruh
Mahkamah Syariah di seluruh Malaysia. Kaedah Sulh telah diperkenalkan di negeri Selangor
pada tahun 2001 (Berita Harian, 2002) di mana ia mengutamakan instrumen penyelesaian
pertikaian perdamaian. Kaedah ini merupakan kaedah alternatif kepada kaedah perbicaraan
e-JURNAL PENYELIDIKAN DAN INOVASI VOL. 6 NO.2
SEPTEMBER
2019
3
yang pada kebiasaannya memakan masa yang lama dan kos yang tinggi. Selain Mahkamah
Syariah melaksanakan sulh, Majlis Peguam telah menubuhkan Pusat Mediasi pada 1999.
Salleh Buang (2002) menjelaskan mediasi pula didefinisikan sebagai proses di mana suatu
pihak (pihak yang ketiga atau mediator) membantu dua pihak yang bertikai antara satu sama
lain dan berunding untuk mencapai penyelesaian secara damai. Ini bermakna, mediasi
merupakan perundingan yang dijalankan secara terpimpin (assisted negotiation) secara
langsung oleh pihak yang bertikai kepada mediator. Berdasarkan kepada prinsip yang
diamalkan dalam sulh dan mediasi, ianya mempunyai satu matlamat iaitu bertujuan untuk
menyelesaikan pertikaian mana-mana pihak tanpa perlu melibatkan proses perbicaraan yang
panjang dan memakan kos yang tinggi. Sulh dan mediasi berpaksikan kepada unsur redha-
meredhai antara kedua-dua belah pihak dan pihak-pihak yang bertikai sendiri yang akan
berusaha mencari jalan untuk menyelasaikan masalah mereka.
Oleh itu, manusia sentiasa mencuba untuk mencari satu mekanisme penyelesaian
pertikaian yang terbaik bagi menyelesaikan masalah mereka. Oleh yang demikian,
penyelesaian pertikaian alternatif hadir bagi membantu dan menampung bebanan kes-kes
yang difailkan ke mahkamah dan seterusnya menyebabkan pihak-pihak berasa tidak berpuas
hati dan membuat keputusan untuk menyelesaikan pertikaian mereka. Prinsip yang sama juga
diambil oleh Mahkamah Syariah dalam menyelesaikan pertikaian orang Islam kerana saban
hari pertikaian yang difailkan oleh orang di negara ini semakin banyak dan rumit. Ini
mendorong pihak-pihak beralih kepada kaedah yang lebih mudah, cepat dan murah.
Objektif Kajian
1. Untuk menjelaskan mengenai kaedah penyelesaian pertikaian alternatif yang terdapat
di dunia;
2. Menerangkan mengenai fungsi kaedah penyelesaian pertikaian alternatif dalam
membantu mempercepatkan penyelesaian kes-kes;
3. Menghuraikan tentang aplikasi kaedah penyelesaian pertikaian alternatif dalam kes
kekeluargaan dan kehartaan di Mahkamah Syariah.
Metodologi Kajian
Kajian ini merupakan kajian yang berbentuk kualitatif sepenuhnya. Pendekatan terhadap
kajian ini merujuk kepada kajian yang menggunakan data yang bukan berbentuk angka
seperti teks, manuskrip dan perbualan yang diambil secara langsung di lapangan atau semasa
temu bual untuk memahami fenomena yang ingin dikaji. Kajian kualitatif ini dijalankan
dengan pengumpulan data, diikuti dengan analisis data tersebut untuk mendapatkan
maklumat tentang objektif sesebuah kajian. Menurut Stake (2006) pengetahuan yang
diperoleh melalui kajian kualitatif adalah berbeza berbanding kajian lain kerana
pengetahuannya lebih konkrit, jelas, kontekstual dan membangun. Di samping itu,
pendekatan kualitatif dipilih memandangkan data dan maklumat akan diperolehi secara
dokumentasi dan temu bual. Panduan soalan temubual yang ditunjukkan dalam jadual
merupakan instrumen yang digunakan bagi mendapatkan maklumat dan jawapan berkaitan
soalan-soalan kajian.
Penyataan Masalah
Penyelesaian Pertikaian Alternatif Dalam Islam:
Aplikasinya Terhadap Kes-Kes Kekeluargaan Dan Kehartaan Di Mahkamah Syariah
4
Manusia sememangnya tidak boleh lari daripada terlibat dalam sebarang pertikaian. Hal ini
kerana manusia sentiasa saling berinteraksi antara satu sama lain dalam sesebuah komuniti
sosial. Pertikaian boleh terjadi dalam apa jua keadaan sama ada yang melibatkan pertikaian
ketika menjual beli, transaksi komersil, kekeluargaan mahupun yang berkaitan dengan urusan
seharian. Oleh yang demikian, masyarakat, dalam usaha untuk menyelesaikan pertikaian
yang mereka hadapi, mereka mula mencari sebuah platform yang berautoriti untuk
menyelesaikan pertikaian mereka. Ekoran daripada itu, mahkamah menjadi tempat untuk
masyarakat menyelesaikan pertikaian mereka. Semakin hari, keadaan dan persekitaran
manusia sering berubah seiring dengan pergerakan masa. Begitu juga dengan norma-norma
pertikaian manusia yang semakin rumit dan kompleks. Akhir tahun 70-an hingga 90-an,
sistem keadilan mahkamah telah dibebani dengan lambakan kes-kes yang difailkan oleh
masyarakat. Mereka mendesak agar pertikaian yang dihadapi oleh mereka itu diselesaikan
dengan kadar segera, walhal mahkamah sendiri tersepit dengan timbunan kes-kes yang belum
selesai. Terdapat juga pihak-pihak yang mendakwa yang kes mereka masih belum selesai
walaupun sudah bertahun-tahun difailkan. Di samping itu, kos litigasi adalah suatu yang
membimbangkan pihak-pihak. Yuran guaman dan juga yuran-yuran lain yang ditetapkan oleh
mahkamah kadang kala melebihi daripada jumlah ataupun nisbah sesebuah pertikaian.
Menyedari hakikat ini, masyarakat dan juga pengamal undang-undang harus mencari jalan
agar pertikaian masyarakat ini boleh disalurkan dan diselesaikan melalui kaedah yang lain.
Oleh yang demikian, kaedah penyelesaian pertikaian di luar mahkamah mula diperkenalkan
dan keberkesanannya dalam menyelesaikan pertikaian pihak-pihak menunjukkan potensi
yang memberangsangkan.
Pada pandangan Raihanah (2008) berlitigasi melalui mahkamah bukanlah mudah. Ia
melibatkan proses yang rumit dan kompleks. Dalam proses ini, pihak yang terlibat dalam
pertikaian terpaksa bersikap defensif dan ofensif untuk mendapat atau mempertahankan hak
masing-masing. Dalam 9 keadaan ini, meskipun mahkamah berfungsi sebagai institusi yang
membuat keputusan terhadap kes-kes yang dipertikai, namun tidak semestinya dicapai
melalui prosiding di depan hakim. Dengan kata lain, menghadiri prosiding mahkamah
merupakan salah satu daripada mekanisme yang ada untuk menyelesaikan pertikaian. Selain
itu, penyelesaian juga boleh dicapai berasaskan persetujuan bersama atau melalui sulh tanpa
menerusi proses litigasi. A.Ahmad et al (2015) menyatakan bahawa peningkatan jumlah
permohonan kes perceraian dari 1614 kes kepada 1894 kes dari tahun 2010 sehingga 2014 di
Mahkamah Syariah Wilayah-Wilayah Persekutuan adalah amat membimbangkan meskipun
pelbagai inisiatif telah dibuat bagi mempersiap pasangan yang bakal berkahwin dengan ilmu
kekeluargaan. Rentetan dari permohonan tersebut akan timbul pelbagai bentuk tuntutan sivil
lain di Mahkamah Syariah yang bakal mengeruhkan lagi perhubungan pasangan terbabit.
Litigasi perundangan kekeluargaan sekiranya tidak didasari dengan sifat tolak ansur
boleh menjadi medan permusuhan antara pasangan yang bertikai. Malah pertikaian terbabit
bakal diketahui umum sehingga boleh mencemar air muka pihak yang terlibat. Oleh itu,
platform terbaik bagi menguruskan masalah berkaitan perkahwinan dan tuntutan selepas
perceraian adalah melalui penyelesaian pertikaian alternatif seperti perundingan dan mediasi,
di mana pasangan bermasalah dapat berbincang dari hati ke hati bagi mencari titik
persefahaman dalam pertikaian tanpa perlu melalui prosedur mahkamah yang remeh.
e-JURNAL PENYELIDIKAN DAN INOVASI VOL. 6 NO.2
SEPTEMBER
2019
5
Sorotan Literatur
Mediasi merupakan suatu proses mediasi yang merupakan salah satu daripada cabang
Penyelesaian Pertikaian Alternatif itu sendiri (ADR). ADR merupakan kata nama singkatan
yang popular dan sering digunakan bagi merujuk kepada penyelesaian pertikaian secara
rundingan, mediasi, timbangtara, perbicaraan mini dan sebagainya (Rashid, 2000). ADR
adalah sebahagian daripada prosedur yang memberikan jalan alternatif terhadap proses
litigasi yang merumit, dan kebiasaannya dibantu oleh pihak ketiga yang neutral (Brown &
Marriot, 1999). Mediasi bermatlamatkan untuk menyelesaikan pertikaian dan mengekalkan
reputasi yang baik antara kedua pihak yang bertikai. Peranan yang dimainkan oleh mediator
ialah membantu pihak-pihak yang bertikai untuk mencapai kata sepakat yang akhirnya
dipersetujui antara kedua belah pihak.
Pihak mediator tidak mempunyai apa-apa autoriti untuk membuat sebarang keputusan
yang boleh mengikat antara kedua belah pihak, tetapi menggunakan prosedur tertentu, teknik
dan kemahiran yang khusus untuk membantu pihak-pihak yang bertikai untuk membuat
rundingan dan akhirnya mencapai suatu kata sepakat (Brown & Marriot, 1999). Dalam proses
mediasi, pihak yang bertikai akan mempunyai peluang dan kesempatan dan akhirnya mencari
suatu titik pertemuan dan keduadua belah pihak bersetuju untuk memeterai satu perjanjian
yang melibatkan kepentingan kedua-dua belah pihak. Terdapat pelbagai cabang mediasi yang
wujud pada masa kini seperti mediasi sivil, mediasi keluarga, mediasi rakan sebaya dan lain-
lain. Rentetan daripada pelbagai cabang mediasi ini, kebanyakan sarjana sepakat bahawa
dalam mediasi itu sendiri terdapat tiga elemen penting yang mendasari iaitu bantuan, pihak
ketiga dan kebebasan untuk menyelesaikan kes (Wall, Stark & Standier, 2001).
Mengekalkan keharmonian dan kebersamaan dalam masyarakat adalah sangat
ditekankan dalam masyarakat Melayu. Bermula daripada pengenalan Common Law Inggeris,
orang-orang Melayu biasanya akan menyelesaikan pertikaian antara mereka dengan merujuk
kepada Ketua Kampung atau Penghulu, yang berperanan sebagai pihak ketiga untuk
menyelesaikan masalah. Masyarakat India dan Cina yang telah menetap di Malaya
mengamalkan adat dan budaya masing-masing. Mereka pula menyelesaikan pertikaian
mereka melalui mediasi yang dipimpin oleh orang-orang tua mereka (Raman, 2005). Mereka
cuba untuk mengelakkan perpecahan dalam apa jua keadaan. Oleh yang demikian,
masyarakat Malaysia telah pun mengamalkan mediasi secara tradisional ini sejak dahulu lagi.
Maka dengan itu, Mediasi Komuniti ini bukanlah suatu yang baru dalam cabang Penyelesaian
Pertikaian Alternatif.
Pada tahun 1969, Kerajaan Malaysia telah menubuhkan Jabatan Perpaduan Kaum
(JPK) untuk menggalakkan integrasi dan mengekalkan keharmonian antara kaum di
Malaysia. JPK telah melaksanakan banyak program untuk menggalakkan interasi social
antara etnik. Salah satu program yang terkenal adalah Rukun Tetangga yang diperkenalkan
pada 1975 untuk menjaga keamanan dan keselamatan penduduk setempat. Kemudian pada
tahun 1984 pula, fokus lebih terarah kepada pemantapan hubungan antara multi etnik dan
bangsa di Malaysia. Pada tahun 2007 pula, Jabatan Perpaduan Kaum (JPK) telah
melaksanakan program di bawah Rukun Tetangga yang dikenali sebagai Mediasi Komuniti.
Melalui program ini, Komiti Rukun Tetangga telah dilatih sebagai mediator ataupun pihak
ketiga yang mana bertanggungjawab dalam menyelesaikan pertikaian penduduk setempat
Penyelesaian Pertikaian Alternatif Dalam Islam:
Aplikasinya Terhadap Kes-Kes Kekeluargaan Dan Kehartaan Di Mahkamah Syariah
6
(Khal et al, 2013). Mediasi Komuniti ini terdiri daripada sukarelawan dan mereka ini tidak
mendapat apa-apa imbuhan daripada Jabatan 13 Perpaduan Kaum (JPK). Projek Mediasi
Komuniti ini telah dilaksanakan pada tahun 2007 di Negeri Selangor, Pulau Pinang, Johor
dan Kuala Lumpur (Hua, 2009) dan mula dikembangkan di negeri-negeri lain.
Keadaan semasa di Malaysia menunjukkan mediasi diamalkan sebagai salah satu
kaedah yang banyak digunakan sekarang. Mediasi yang diguna pakai sekarang bukanlah
sesuatu yang asing bagi masyarakat Malaysia. Mediasi juga diamalkan dalam hal yang
berkaitan dengan pertikaian keluarga bagi orang bukan Islam, dan ianya terkenal sebagai sulh
bagi orang Islam (Jan & Mohamaed 2010). Oleh yang demikian, adalah disarankan supaya
Mediator Komuniti ini dilatih bagi mendapatkan latihan profesional. Pengkaji mencadangkan
agar Mediasi Komuniti ini diinstitusikan dan dipacu agar ianya mejadi ssebuah pusat mediasi
yang professional. Juga dicadangkan oleh Hanna (2014) agar Mediasi Komuniti Malaysia
ditubuhkan. Juga dicadangkan supaya Jabatan Perpaduan Kaum (JPK) mewujudkan Pusat
Mediasi Komuniti di setiap negeri untuk melicinkan lagi segala hal yang berkaitan dengan
pengurusan, rekod, program dan sebagainya.
Dapatan Kajian
Keadilan adalah satu objektif unggul yang dihasratkan bagi setiap sistem perundangan.
Apabila terjadi sebarang kesilapan dan berlaku ketidaksempurnaan sesuatu sistem, keputusan
yang diterima seringkali dikaitkan dengan ketidakadilan atau ‘injustice’. Apabila individu
atau pihak yang tidak bersalah dikaitkan dengan membuat suatu kesalahan, ianya dikaitkan
dengan salah laksana keadilan atau ‘miscarriage of justice’. Konsep keadilan telah menjadi
fokus untuk mencipta masyarakat bertamadun sejak dahulu. Akan tetapi cuma pada abad kini
konsep keadilan sejagat diambil perhatian yang lebih serius dan utama. Pada alaf kini
masalah akses kepada keadilan sering diperdebatkan meliputi pelbagai isu yang memerlukan
penyelesaian dan pertimbangan. Ianya meliputi pertimbangan dalam memilih mekanisme
penyelesaian terbaik, kaedah-kaedah yang menjimatkan untuk penyelesaian pertikaian, dan
menggunakan khidmat perundangan tanpa melibatkan birokrasi yang komplikated melalui
teknik alternatif yang pelbagai. Apakah yang dimaksudkan dengan keadilan? Aristotle,
seorang ahli falsafah Greek adalah antara cendikiawan terawal yang bertanggungjawab dalam
memperkenalkan beberapa pemikiran dan falsafah tentang keadilan. Pemikiran beliau masih
digunakan dan amat bernilai hingga sekarang. Beliau menganggap bahawa undang-undang
yang adil akan menyebabkan seseorang individu merasakan beliau tergolong dalam sesebuah
masyarakat. Berdasarkan Elliot & Quinn (2001) beliau turut membezakan antara ‘distributive
justice’ dan ‘corrective justice ‘distributive justice’ adalah berkaitan dengan pembahagian
aset kekayaan dan penghormatan untuk masyarakat dalam sesebuah komuniti. Tujuan
keadilan ini adalah untuk mencapai keseimbangan walaupun bukan melalui pembahagian
yang sama rata. Aristotle menganggap bahawa individu perlu mendapat manfaat
keseimbangan tersebut walaupun tidak semestinya samarata. Sementara ‘corrective justice’
adalah berkaitan dengan situasi yang adil tetapi telah disalahgunakan dan diganggu oleh
pihak tertentu yang dianggap salah di sisi undang-undang. Para hakim
dipertanggungjawabkan untuk mencari penyelesaiannya dan memerintahkan tebusrugi
dibayar, atau mengenakan sebarang denda dan hukuman berkaitan sekiranya perlu dan
bersesuaian.
e-JURNAL PENYELIDIKAN DAN INOVASI VOL. 6 NO.2
SEPTEMBER
2019
7
Kaedah Penyelesaian Pertikaian Alternatif Dalam Islam
Islam sangat menggalakkan umatnya untuk menyelesaikan pertikaian mereka secara baik dan
tidak mencetuskan sebarang unsur permusuhan di kemudian hari. Oleh yang demikian, Islam
menganjurkan umatnya menyelesaikan pertikaian mereka mengikut lunas-lunas, item-item
berikut merupakan beberapa jenis Penyelesaian Pertikaian Alternatif yang terdapat dalam
Islam, antaranya:
1. Sulh (Rundingan atau Mediasi)
Sulh berasal daripada kalimah salaha yang dari segi bahasanya berbuat baik. Syed
Sabiq (1990) menerangkan sulh bermaksud memutuskan pertikaian. Dengan kata
mudah, sulh bermaksud suatu perjanjian antara kedua belah pihak yang bersandarkan
syarat-syarat tertentu yang telah dipersetujui semasa proses penyelesaian terbabit
(Ramizah, 2007). Dalam Islam, objektif sulh adalah untuk menamatkan sesuatu
pertikaian pihak-pihak antara orang Islam supaya kehidupan mereka sentiasa tenang
dan bebas daripada salah sangka, dendam dan prejudis. Proses sulh adalah mengambil
kira semua pendapat dan situasi pihak-pihak yang terlibat. Dengan kata lain, ianya
merupakan kaedah yang terbaik untuk menyuarakan pendapat dan pandangan tanpa
terikat kepada proses litigasi dan prosedur yang ketat. Penyelesaian melalui kaedah ini
sangat digalakkan terutama yang membabitkan isu-isu pertikaian kekeluargaan. Isu
seperti ini amat senstitif kerana ianya amat berkait rapat dengan hak privasi individu,
keluarga dan aib seseorang. Jika kes yang melibatkan pertikaiaan kekeluargaan
dilakukan melalui kaedah perbicaraan, sudah pastinya aib dan kelemahan pihak-pihak
akan terzahir dan seluruh permasalahan dalam rumah tangga akan dibongkarkan oleh
Hakim.
2. Tahkim
Tahkim dari segi bahasa membawa erti memberi kuasa menjatuhkan hukuman kepada
seseorang (Ibnu Nujaim, t.t). Tahkim menurut istilah adalah hampir sama dengan
pengertian bahasa, kerana ia bermaksud sesuatu proses di mana pihak-pihak yang
bertikai melantik seseorang untuk menjadi hakam bagi menyelesaikan pertikaian yang
timbul di antara mereka berlandaskan Hukum Syarak. Orang yang dilantik untuk
mengadili mereka yang bertikai itu dinamakan sebagai ‘hakam’ atau ‘muhakkam’.
Kedudukan tahkim ini adalah lebih rendah berbanding dengan al-Qadha ataupun
kehakiman. Hal ini kerana seseorang kadi ataupun hakim boleh membicarakan kes-
kes yang adakalanya tidak boleh dibicarakan oleh seseorang hakam. Keputusan
hakam hanya berkuatkuasa ke atas mereka yang bersetuju ke atasnya sahaja,
sedangkan keputusan hakim berkuatkuasa ke atas semua pihak yang terlibat sama ada
setuju ataupun tidak. Tahkim merupakan suatu sistem yang menjadi amalan
masyarakat arab jahiliyyah di mana pihak-pihak yang bertikai akan melantik orang-
orang yang berwibawa pada pandangan mereka untuk menyelesaikan krisis yang
berlaku (Abd al-Karim Zaydan.1984). Walau bagaimanapun, bidangkuasa yang
melibatkan proses tahkim ini mempunyai had dan batasnya. Tidak semua perkara
pertikaian boleh diselesaikan melalui proses tahkim. Perkaraperkara yang melibatkan
hudud tidak boleh boleh diselesaikan melalui tahkim. Mengikut pandangan Mazhab
Syafie, proses tahkim ini tidak seperti sebuah mahkamah yang rasmi dan hakim atau
Penyelesaian Pertikaian Alternatif Dalam Islam:
Aplikasinya Terhadap Kes-Kes Kekeluargaan Dan Kehartaan Di Mahkamah Syariah
8
penimbangtara itu boleh ditukar sebelum sebarang award diberikan. Tetapi,
pandangan yang kontra diutarakan dalam Mazhab Hanbali bahawa penimbangtara itu
sama layaknya dengan seorang hakim, dan keputusan yang diberikan oleh beliau
adalah mengikat pihak-pihak.
3. Med-Arb (Gabungan Sulh Dan Tahkim)
Med-Arb ataupun dikenali sebagai Mediasi-Arbitrasi merupakan sebuah proses di
mana pihakpihak akan bersetuju untuk menyelesaikan pertikaian mereka melalui
mediasi terlebih dahulu, dan jika mediasi menemui kegagalan, maka proses
timbangtara akan mengambil tempat. Proses med-arb ini ada dinyatakan dalam al-
Quran, melalui firman Allah S.W.T yang bermaksud:
Jika kamu khuatir akan terjadi perbalahan antara kedua suami isteri, maka
lantiklah seorang hakam daripada keluarga suami dan seorang hakam
daripada keluarga isteri. 27 Sekiranya kedua-dua ingin berbaik-baik, nescaya
Allah S.W.T menyatukan fikiran mereka. Sesungguhnya Allah S.W.T itu maha
mengetahui dan mengerti. (Surah al-Nisa: 45)
Daripada dalil di atas, telah dinyatakan dengan jelas bahawa tugas seorang
penimbangtara itu yang pertamanya adalah untuk menjalankan proses mediasi, dan
jika gagal ianya akan beralih kepada proses tahkim atau timbangtara. Hal ini
menunjukkan bahawa Islam juga mengiktiraf pelaksanaan proses med-arb ini.
Menggabungkan proses mediasi dan timbangtara ini merupakan satu mekanisme yang
telah diterima dan diguna pakai di seluruh dunia. Di negara China, Jepun, Korea,
Vietnam dan Malaysia sendiri, proses ini telah dipraktikkan. Menurut Perkara 18
Rules of Korean Commercial Arbitration Board, proses rundingan boleh dijalankan
apabila proses timbangtara telah dijalankan. Ianya membuka peluang kepada pihak-
pihak untuk menjalankan proses rundingan jika pada hemat mereka, proses rundingan
boleh memberikan persetujuan bersama (Md Zahidul, 2012).
4. Al-Muhtasib (Ombudsman)
Institusi Penguatkuasaan atau Ombudsman ini mula diperkenalkan di negara Sweden
pada tahun 1809. Di England, Ombudsman ditadbir urus di bawah Parliamentary
Commission Act 1967. Mengikut perundangan Islam, terma al-muhtasib sama
jenisnya dengan ombudsman. Dalam Islam, istilah al-muhtasib atau penguatkuasaan
ini telah lama diamalkan sejak 1400 tahun dahulu selari dengan al-Quran. Terdapat
banyak firman-firman Allah S.W.T yang memfokuskan kepada skop al-muhtasib ini.
Tujuan utama pelaksanaan al-muhtasib ini adalah sebagai badan penguatkuasaan yang
menguatkuasaan segala bentuk aktiviti keagamaan, seperti kefardhuan menunaikan
solat, menjauhi perkara yang diharamkan dan menggalakkan melakukan kebaikan,
proses yang berkaitan tadbir urus dan juga menyiasat salah laku. Jika diteliti,
Ombudsman ini tidak kelihatan seperti proses ADR, kerana prinsip utama ADR
adalah untuk menyelesaikan pertikaian, tetapi Ombudsman lebih kepada proses
penyiasatan. Akan tetapi disebabkan Ombudsman ini kadang kala turut membantu
dalam menyiasat aduan-aduan yang diterima oleh masyarakat, maka ianya dikelaskan
sebagai salah satu cabang daripada ADR.
5. Pendapat pakar (Fatwa)
e-JURNAL PENYELIDIKAN DAN INOVASI VOL. 6 NO.2
SEPTEMBER
2019
9
Fatwa merupakan suatu pendapat yang dikeluarkan oleh seseorang yang mahir dalam
hukumhakam Islam yang digelar mufti. Persoalan yang berbangkit di sini,
bagaimanakah institusi fatwa ini boleh dikelaskan sebagai penyelesaian pertikaian
alternatif? Seperti mana yang difahami, proses mediasi, arbitrasi, medarb dan
sebagainya memerlukan pihak ketiga untuk menyelesaikan pertikaian mereka. Sejarah
membuktikan bahawa fatwa atau mufti telah memainkan peranan yang efektif dalam
menyelesaikan pertikaian pihak-pihak. Secara umumnya, fatwa yang dikeluarkan oleh
Mufti itu akan digunakan sebagai ijtihad dalam menentukan sesuatu perkara dan ini
akan membuahkan sebuah prinsip perundangan yang terbaru dan digunakan sebagai
landasan untuk menyelesaikan pertikaian di masa hadapan. Berdasarkan perbincangan
yang disebutkan di atas, nyatalah bahawa proses ini bukanlah sesuatu yang asing dan
baharu dalam Islam. Proses ini terbit berikutan daripada reaksi masyarakat yang
mahukan penyelesaian mereka itu diselesaikan dengan lebih cepat tanpa memakan
masa yang lama berbanding dengan proses perbincaraan di mahkamah.
Aplikasinya Dalam Kes-Kes Kekeluargaan Dan Kehartaan di Mahkamah Syariah
Mahkamah Syariah ditubuhkan bagi membantu masyarakat menyelesaikan masalah yang
dihadapi terutamanya dalam isu-isu yang melibatkan kekeluargaan Islam seperti isu
penceraian, tuntutan hak penjagaan anak, nafkah, muta’ah, perwarisan dan sebagainya. Isu-
isu tersebut akan diadili oleh Mahkamah Syariah melalui proses litigasi yang telah ditetapkan
sebagaimana yang diperuntukkan dalam undang-undang syariah di Malaysia seperti
Akta/Enakmen Tatacara Mal Mahkamah Syariah, Akta/Enakmen Undang-Undang Keluarga
Islam. Hammad (2016) menjelaskan bahawa dewasa kini, masyarakat awam mulai merungut
dan menzahirkan rasa tidak puas hati mereka bahawa proses litigasi ini mula membebankan
mereka dari segi kos dan juga masa kerana kebanyakan kes-kes yang dikemukakan di
hadapan Hakim merupakan kes-kes yang memerlukan keputusan segera dan pantas. Sebagai
contohnya dalam persoalan pertikaian hak jagaan anak, keperluan untuk mendapatkan
keputusan yang segera dalam menentukan dengan siapa anak bakal duduk harus diselesaikan
dengan segera demi menjaga kebajikan anak-anak tersebut. Rentetan daripada itu, konsep
penyelesaian pertikaian di luar mahkamah semakin hari semakin mendapat sambutan
daripada masyarakat. Kaedah sulh telah pun diperkenalkan dan dilaksanakan di mahkamah-
mahkamah Syariah di Malaysia. Kaedah sulh ini telah mula diperkenalkan dan dilaksanakan
dahulu di Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Selangor pada tahun 2002, di mana ianya
mengutamakan instrumen penyelesaian pertikaian secara perdamaian. Kaedah ini merupakan
alternatif kepada kaedah perbicaraan yang kebiasaannya memakan masa yang agak lama dan
melibatkan kos yang tinggi. Selain Mahkamah Syariah melaksanakan sulh, Majlis Peguam
Negara juga telah lebih dahulu menubuhkan Pusat Mediasi pada tahun 1999 untuk
mengendalikan kes-kes sivil melalui konsep mediasi. Kaedah penyelesaian pertikaian
alternatif melalui kaedah sulh telah diamalkan di Mahkamah Syariah merangkumi dari aspek
kekeluargaan dan kehartaan orang Islam. Proses sulh merupakan sebahagian daripada proses
yang terdapat di Mahkamah Syariah. Apabila pihak-pihak mula memfailkan pertikaian
ataupun kes mereka, kes-kes mereka tidak akan dibawa ke hadapan Penolong Pendaftar bagi
menjalani proses sebutan. Mana-mana kes yang berkaitan akan dirujuk dan dibawa di
hadapan Pegawai Sulh bagi menjalani sesi sulh terlebih dahulu. Mengikut Arahan Amalan
Penyelesaian Pertikaian Alternatif Dalam Islam:
Aplikasinya Terhadap Kes-Kes Kekeluargaan Dan Kehartaan Di Mahkamah Syariah
10
Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia No.1 Tahun 2010, telah dinyatakan kes-kes yang perlu
dirujuk ke Majlis Sulh terlebih dahulu, berikut merupakan senarai 18 kes berikut:
Jadual 1 menunjukkan kes-kes yang boleh disulhkan di Mahkamah Syariah
Kod Kes Nama Kes
009 Tuntutan Gantirugi Pertunangan
016 Tuntutan Mutaah
017 Tuntutan Harta Sepencarian
018 Tuntutan Nafkah Isteri
019 Tuntutan Nafkah Kepada Pihak
Tidak Berupaya
020 Tuntutan Cagaran Nafkah
021 Tuntutan Nafkah Iddah
022 Tuntutan Mengubah Perintah
Nafkah
023 Tuntutan Tunggakan Nafkah
024 Tuntutan Nafkah Anak
025 Tuntutan Mengubah Perintah
Hak Jagaan Anak/Nafkah Anak
026 Tuntutan Mengubah Perjanjian
Hak Jagaan Anak/Nafkah Anak
028 Tuntutan Hadhanah
049 Tuntutan Gantirugi Perkahwinan
059 Tuntutan Hak Tempat Tinggal
060 Tuntutan Perintah Supaya
Tinggal Bersama Semula
062 Tuntutan Isteri Kembali Taat
063 Tuntutan Mas Kahwin
Sumber: Arahan Amalan Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia No.1 Tahun 2010.
Kesemua kes yang dinyatakan di atas merupakan kes-kes yang perlu melalui proses
sulh di hadapan Pegawai Sulh terlebih dahulu. Notis Sulh akan dikeluarkan terlebih dahulu
bagi mengkehendaki pihak defendan untuk hadir ke Majlis Sulh, bukannya dokumen saman
yang biasanya dilakukan bagi kes-kes mal yang biasa. Apa yang dapat diperhatikan ialah,
kesemua kes yang disenaraikan di atas adalah kes-kes yang berbentuk pelbagai tuntutan atau
pertikaian. Manakala kes-kes yang melibatkan tuntutan penceraian, fasakh, pengesahan lafaz
cerai, taklik dan lain-lain akan melalui prosedur tatacara mal yang biasa dan akan melalui
proses sebutan di hadapan Penolong Pendaftar. Setelah pihak-pihak menjalani proses di
Majlis Sulh dan telah terbit suatu kata sepakat antara pihak-pihak yang bertikai, maka pihak-
pihak boleh menandatangani suatu dokumen perjanjian tentang butiran-butiran yang telah
dipersetujui dalam Majlis Sulh dan hendaklah disaksikan oleh Pegawai Sulh. Arahan Amalan
No.4 Tahun 2011 menjelaskan, mana-mana perjanjian yang dibuat dalam Majlis Sulh dan
telah menepati hukum syarak, hendaklah dibawa di hadapan Hakim untuk diteliti semula, dan
jika Hakim bersetuju, persetujuan kedua-dua belah pihak tadi akan direkodkan sebagai
perintah mahkamah dan boleh dikuatkuasakan. Mana-mana perintah persetujuan tadi adalah
tidak boleh dirayu ataupun ditarik balik oleh mana-mana pihak.
Namun, terdapat juga dalam kalangan pihak-pihak yang telah menyediakan perjanjian
penyelesaian mereka terlebih dahulu sebelum hadir ke Majlis Sulh. Ini kerana besar
kemungkinan pihak-pihak telah berbincang dan mencapai kata sepakat terlebih dahulu
e-JURNAL PENYELIDIKAN DAN INOVASI VOL. 6 NO.2
SEPTEMBER
2019
11
sebelum kes mereka difailkan. Jika situasi sebegini terjadi, Arahan Amalan No.2 Tahun 2012
menyatakan jika telah terdapat perjanjian penyelesaian yang dibuat oleh pihak-pihak atau
Peguam Syarie yang mewakili terlebih dahulu, maka kes-kes tersebut tidak perlu diangkat ke
Majlis Sulh pada peringkat pendaftaran. Namun, Ruzita (2018) menjelaskan, kes-kes tersebut
perlu disemak dan disahkan 024 Tuntutan Nafkah Anak 021 Tuntutan Nafkah Iddah 028
Hadhanah 025 Tuntutan Mengubah Perintah 018 Tuntutan Nafkah Isteri terlebih dahulu oleh
Pegawai Sulh. Keadaan ini berlaku kerana Pegawai Sulh bertanggungjawab untuk menyemak
terlebih dahulu perjanjian penyelesaian yang dibuat oleh pihak-pihak bagi mengelakkan
perjanjian terbaik menyalahi hukum syarak. Apabila telah diselesai dan diperakui oleh
Pegawai Sulh, barulah perjanjian persetujuan terbabit akan diangkat di hadapan Hakim untuk
diendors sebagai perintah mahkamah.
Zamni Azura (2018) menyatakan, terdapat situasi di mana-mana salah satu pihak
tidak dapat menghadirkan diri ketika proses pengesahan perjanjian persetujuan di hadapan
hakim. Jika situasi sebegini terjadi, Arahan Amalan No.5 Tahun 2015 menyatakan bahawa,
mana-mana pihak yang tidak dapat menghadirkan diri di hadapan hadapan hakim ketika
proses pengesahan perjanjian penyelesaian, maka pihak yang tidak hadir itu hendaklah
membuat pengesahan terbabit di hadapan mana-mana Hakim Mahkamah Syariah. Ini
memberikan sedikit kelegaan bagi pihak-pihak yang mungkin tidak mempunyai kelapangan
untuk menghadirkan diri di hadapan Hakim serentak dengan pihak yang satu lagi.
Bagi melicinkan lagi perjalanan proses sulh di Mahkamah Syariah, maka
Jawatankuasa Kaedah Kaedah Mahkamah Syariah telah diberi kuasa melalui seksyen 247 (c)
Akta Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1998 untuk
menggubal set perundangan kecil yang berkaitan dengan sulh. Oleh yang demikian, Kaedah-
Kaedah Tatacara Mal (Sulh) WilayahWilayah Persekutuan 2004 telah digubal, yang mana
ianya mengandungi peruntukan-peruntukan yang berkaitan dengan prosedur pelaksanaan
sulh, seperti penetapan tarikh sulh, ketidak hadiran pihak-pihak ke Majlis Sulh, tatacara
pelaksanaan sulh dan juga penghakiman yang dibuat atas persetujuan bersama dalam Majlis
Sulh. Tujuan Kaedah-Kaedah ini digubal adalah bertujuan untuk memperjelaskan lagi
sebarang kekaburan yang terdapat dalam seksyen 99 Akta Tatacara Mal Mahkamah Syariah
(Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1998 yang mana ianya hanya memberi peruntukan secara
umum sahaja mengenai sulh. Seterusnya bagi memperhalusi lagi tentang gerak kerja dan
peranan yang dimainkan oleh Pegawai Sulh, maka Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia
(JKSM) telah memperkenalkan Manual Kerja Sulh JKSM yang telah diaplikasikan di seluruh
Mahkamah Syariah di Malaysia. Tujuan pengenalan Manual Kerja Sulh ini adalah bertujuan
untuk menjelaskan dengan lebih terperinci beberapa hal yang berikut:
I. Proses untuk memulakan Majlis Sulh;
II. Pembentangan kes oleh pihak-pihak yang bertikai;
III. Perbincangan bersama;
IV. Pertemuan sebelah pihak atau kaukus;
V. Perundingan bersama;
VI. Penghakiman berasaskan persetujuan;
VII. Kerahsian.
Penyelesaian Pertikaian Alternatif Dalam Islam:
Aplikasinya Terhadap Kes-Kes Kekeluargaan Dan Kehartaan Di Mahkamah Syariah
12
Setiap Pegawai Sulh adalah terikat dengan Manual Kerja Sulh dalam menjalankan
proses sulh terhadap pihak-pihak. Selain itu, dalam melaksanakan proses sulh ini, pegawai-
pegawai sulh juga terikat dengan Etika Pegawai Sulh sepertimana yang telah ditetapkan oleh
Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM). Tujuan penguatkuasaan Etika Pegawai Sulh
ini adalah untuk menjaga kewibawan Pegawai Sulh yang merupakan individu yang
bertanggungjawab dalam membantu pihak-pihak yang bertikai. Kredibiliti dan
tanggungjawab yang dipikul seharusnya dijalankan mengikut lunas-lunas etika dan
perundangan. Sesuai dengan peredaran masa dan perubahan situasi, proses pelaksanaan sulh
di Mahkamah Syariah juga memerlukan suatu penambahbaikan terhadap peruntukan undang-
undangnya, Kaedah-Kaedah Sulh dan Manual Kerja Sulh. Oleh yang demikian, Jabatan
Kehakiman Syariah Malaysia telah mengambil inisiatif dengan mengeluarkan pekeliling-
pekeliling yang berkaitan dengan sulh yang dikenali sebagai Arahan Amalan Mahkamah
Syariah JKSM. Arahan-arahan ini merupakan pekeliling pentadbiran yang harus dipatuhi
oleh mahkamah, Pegawai Sulh dan juga orang awam.
Oleh yang demikian, dapat kita fahami bahawa dengan pengenalan kaedah sulh yang
merupakan cabang daripada kaedah penyelesaian pertikaian alternatif dapat membantu pihak-
pihak supaya dilema yang dihadapi oleh Aida Melly Tan Mutallib yang mana telah
mengejutkan sistem kehakiman syariah di Malaysia apabila menggambarkan bahawa
pengeluaran surat cerainya oleh Jabatan Agama Islam Selangor selepas enam tahun
menunggu adalah sebagai satu “lambang kesengsaraannya” (Raihanah 2004). Satu tanggapan
awal terhadap kenyataan itu ialah ketidakpuasan hati atas kelewatan mahkamah dalam
menyelesaikan kes berkenaan sehingga ianya berlarutan sehingga tenpoh yang amat panjang.
Namun begitu, di sebalik cemuhan negatif ini, terdapat beberapa persoalan yang sebenarnya
tidak disingkap secara saksama dan bijaksana sehingga menimbulkan polemik yang tidak
berkesudahan. Konklusinya, kaedah-kaedah sulh dapat membantu pihak-pihak supaya
penyelesaian pertikaian mereka menjadi lebih mudah, cepat dan murah.
Kesimpulan
Aplikasi Penyelesaian Pertikaian Alternatif (ADR) terhadap kes-kes kekeluargaan dan
kehartaan di Mahkamah Syariah berdasarkan kaedah yang tersedia dinyatakan dalam Islam,
seperti sulh, tahkim, med-arb, al-Muhtasib dan fatwa merupakan alternatif penyelesaian yang
sangat membantu pihak-pihak bertikai. Namun proses sulh lebih mendapat perhatian pihak-
pihak dan kekuatan proses sulh dapat dikenal pasti melalui penjimatan kos yang efektif
terhadap pihak-pihak. Pihak-pihak yang bertikai tidak perlu untuk melantik Peguam Syarie
bagi mewakilkan mereka ke mahkamah kelak. Seperti yang sedia maklum, kos untuk
melantik Peguam Syarie bukanlah sesuatu yang murah. Semakin rumit sesuatu kes itu,
semakin tinggilah caj yang dikenakan oleh Peguam Syarie terbabit. Tidak ketinggalan juga
jika seseorang Peguam Syarie itu telah lama beramal dan mempunyai reputasi yang
cemerlang, yuran profesion mereka juga turut meningkat. Namun, proses sulh tidak
memerlukan kehadiran peguam. Justeru itu, penjimatan kos di pihak-pihak yang bertikai
dapat dilaksanakan. Namun, pihak-pihak yang bertikai dikehendaki untuk menjelaskan yuran
pendaftaran kes semasa proses pendaftaran di kaunter mahkamah dan ianya dikenakan sekali
sahaja dan merupakan caj yang standard. Proses litigasi di mahkamah mempunyai objektif,
iaitu untuk menyelesaikan pertikaian pihak pihak dengan Hakim Bicara memberikan
penghakiman kepada pihak-pihak berdasarkan keterangan yang dikemukakan kepada
e-JURNAL PENYELIDIKAN DAN INOVASI VOL. 6 NO.2
SEPTEMBER
2019
13
mahkamah. Berbeza dengan proses sulh, pihak-pihak secara sendiri akan berbincang dan
mencari jalan keluar yang terbaik terhadap masalah mereka. Mereka akan membuat
keputusan berdasarkan pertimbangan waras mereka dan kemaslahatan kedua-dua belah pihak
yang berbeza dengan proses litigasi, di mana tidak semestinya pihak-pihak itu berpuas hati
dengan keputusan hakim. Sekiranya ini berlaku, pihak yang terkilan akan memfailkan notis
rayuan dalam masa 14 hari yang mengakibatkan kes yang pada awalnya boleh diselesaikan,
tertangguh sementara menunggu kes rayuan diputuskan.
Bibliografi
A.Ahmad et al (2015) Hak Penyertaan Kanak –Kanak dalam Prosiding Sulh (Mediasi) Di
Mahkamah Syariah. Journal of Advanced Research Design. Vol. 15, No. 1.
Abd al-Karim Zaydan (1984) Nizam al-Qadha fi al-Syariah al-Islamiyyah. Baghdad:
Matba’ah al ‘Ani.
Abdul Munir Yaacob et al. (2000) Undang-Undang Keluarga Islam dan Wanita di Negara
Negara Asean. Kuala Lumpur: Institut Kefahaman Islam Malaysia.
Hammad Dahalan & Mohamad Azhan Yahya (2016) Kedudukan Pegawai Sulh Di
Mahkamah Syariah. International Conference on Aqidah, Dakwah and Syariah
2016(IRSYAD 2016.
J.H. Cohen, Commercial Arbitration-Its Scope and Limitations. Yale L.J (1921), 147-160
31(commercial arbitration and the New York statute): 4-8.
Laurence Boulle & Teh Hwee Hwee (2000) Mediation: Principle, Process and Practice.
Singapore: Butterworth Asia.
Md. Zahidul Islam (2012) Provision of Alternative Dispute Resolution Process in Islam.
IOSR Journal of Business and Management. Volume 6 Issue 3 (Nov-Dec 2012).
Najibah Mohd Zain et al. (2007) Undang-Undang Keluarga (Islam). Kuala Lumpur: Dewan
Bahasa Dan Pustaka.
Raihanah Azahari (2008) Sulh Dalam Kes Kekeluargaan Islam. Kuala Lumpur: Universiti
Malaya.
Raihanah Hj Azahari (2006) Modifikasi Teori Sulh Dalam Fiqh Klasik Berasaskan Data-
Data Kajian Terbaru. Jurnal Pengajian Melayu, Jilid 17.
Ramizah Wan Muhammad (2007) Sulh Sebagai Alternatif Penyelesaian Kes di Mahkamah
Syariah dlm Kaedah Perundangan Dan Bidang Kuasa Dan Tatacara Mahkamah
Syariah. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa Dan Pustaka.
Salleh Buang (2002) Kertas Kerja Kursus Mediasi Mahkamah Syariah Selangor. 22-24 April
2002 di Hotel Quality, Shah Alam.
Penyelesaian Pertikaian Alternatif Dalam Islam:
Aplikasinya Terhadap Kes-Kes Kekeluargaan Dan Kehartaan Di Mahkamah Syariah
14
Temubual
Temubual bersama Tuan Muhd Ridzuan Bin Zainuddin Pegawai Sulh dan Pegawai
Penyelidik Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Melaka pada 23 April 2018.
Statut-Statut
Akta Bantuan Guaman 1971.
Akta Mediasi 2012.
Akta Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1998.
Akta Timbangtara 2005.
Akta Pelindungan Pengguna 1999.
Enakmen Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Negeri Selangor) 2003.
Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003.
Kaedah-Kaedah Tatacara Mal (Sulh) Wilayah-Wilayah Persekutuan 2004.
Legal Services Authorities Act (India) 1987.
Rules of the Korean Commercial Arbitration Broad.
Rules of Maritime Arbitration of the Japan Shipping Exchange.
Arahan Amalan Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia No.1 Tahun 2010.
Arahan Amalan No 5 Tahun 2010.
Arahan Amalan Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia No.9 Tahun 2015.
Arahan Amalan Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia No.2 Tahun 2012.
Arahan Amalan Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia No. 4 Tahun 2011.
Recommended