KOLEKSI CERITA RAKYAT
KHAMIS, 15 OKTOBER 2009
BERUK TUNGGAL
Kononnya, ada sebuah istana terletak di tebing sebatang sungai. Rajanya
mempunyai tujuh orang puteri. Baginda amat sayang kepada Puteri Bongsu.
Di tebing sebelah istana ada sebuah pondok buruk. Penghuninya seorang
perempuan setengah umur. Kerjanya bertani.
Perempuan itu sangat inginkan seorang anak. Pada suatu hari, dia minum air di
sebuah tempurung. Selepas itu dia mengandung lalu melahirkan seekor beruk. Ia
dinamakan Beruk Tunggal.
Setelah besar, Beruk Tunggal menolong ibunya bertani. Tahun itu padi menjadi
tetapi diserang tikus. Beruk Tunggal menangkap semua tikus yang menyerang
padinya. Kemudian dia mencari Raja Tikus. Apabila bertemu, Raja Tikus itu diberi
amaran. Raja Tikus ketakutan kerana ia tahu Beruk Tunggal jelmaan seorang anak
raja kayangan.
“Hamba tidak tahu huma ini kepunyaan tuanku,” kata Raja Tikus.
“Padi aku sudah habis. Apakah tindakan kamu?” Tanya Beruk Tunggal.
“Hamba akan suruh rakyat hamba mengumpulkan butir emas,” kata Raja Tikus.
“Baiklah, aku terima pemberian itu!” kata Beruk Tunggal. Kemudian, segala tikus itu
datang membawa butir emas. Banyaklah emas di pondok Beruk Tunggal.
Beruk Tunggal meminta emaknya meminang puteri raja. Emaknya pun pergi ke
istana. Raja terkejut mendengar permohonan perempuan itu. Namun raja
menyampaikan juga permohonan itu kepada ketujuh-tujuh orang puterinya.
“Kahwin dengan beruk?” Tanya Puteri Sulung. Puteri yang lain turut hairan. Hanya
Puteri Bongsu yang bersopan-santun sahaja yang sanggup menjadi isteri Beruk
Tunggal.
Raja dan permaisuri kasihan kepada Puteri Bongsu. Baginda meminta hantaran
sebentuk cincin berlian. Pada fikiran raja, tentulah perempuan miskin itu tidak
berdaya menyediakannya.
Beruk Tunggal memohon kepada ayahandanya, Raja Kayangan. Pada malam itu,
ayahanda Beruk Tunggal menghantar secupak cincin berlian. Emak Beruk Tunggal
pun mempersembahkan cincin berlian yang secupak itu ke istana.
Dia meminta baginda memilih sebentuk cincin yang sesuai. Raja tidak dapat
mengelak. Puteri Bongsu pun dikahwinkan dengan Beruk Tunggal.
Selepas itu baginda tidak mahu mereka tinggal di istana. Puteri Bongsu mengikut
Beruk Tunggal tinggal dipondoknya. Pada malam pertama, Puteri Bongsu menemui
sarung beruk. Esoknya, Beruk Tunggal tidak bersarung lagi. Dia bertukar menjadi
seorang pemuda yang kacak.
“Kekanda sebenarnya putera Raja Kayangan. Bakarlah sarung beruk itu. Taburkan
sedikit debunya di luar pondok. Pintalah sesuka hati adinda,” kata putera Raja
Kayangan.
Puteri Bongsu mengikut suruhan putera raja itu. Sebentar itu juga pondoknya
bertukar menjadi istana, lengkap dengan taman yang indah.
Pengajaran :
1. Jangan mencuri hak orang lain.
2. Jangan memandang hina kepada orang miskin.
Adaptasi daripada Himpunan 366 Cerita Rakyat Malaysia. 2007. Othman Puteh dan
Aripin Said. Utusan Publications & Distributors Sdn. Bhd.
DICATAT OLEH ALYNN DI 11:40 PTG 58 ULASAN:
REAKSI:
BUNGA CENGKIH
Kononnya, disebuah negeri, raja dan sekalian rakyatnya malu untuk bercakap
kerana mulut mereka tetap berbau busuk.
“Apakah wabak yang menyerang negeri ini?” tanya raja.
Apabila raja dihadap oleh pembesar dan rakyatnya, semuanya diam membisu.
Mereka takut hendak bercakap kerana mulut mereka berbau busuk.
Pada suatu hari, di dalam taman larangan, puteri raja bersama dayang-dayangnya
keluar bermain-main. Mereka juga diam tidak bercakap. Mulut mereka semuanya
berbau busuk. Tiba-tiba seekor burung murai terbang dan hinggap di sepohon
bunga. Murai itu berkicau dengan rancak. Ia seolah-olah sedang bercakap dengan
tuan puteri. Puteri raja tetap membisu.
Murai itu berkicau lagi dan mematuk-matuk bunga yang ada di dahan tempat ia
berpijak.
Akhirnya puteri raja pergi ke pokok bunga itu. Bunga kecil itu diambil dan
dimakannya. Selang beberapa hari dia berbuat begitu, akhirnya bau busuk di
mulutnya hilang. Mulutnya berbau wangi pula. Sejak hari itu, puteri raja seorang
sahajalah yang tidak malu bercakap-cakap.
Raja pun bertanya akan rahsia puteri baginda itu. Perihal pokok bunga itu pun
diceritakan oleh puteri baginda. Sejak itu, baginda memerintahkan rakyatnya
menanam dan memakan bunga pokok itu.
Sejak itulah juga penyakit mulut berbau itu hilang. Semua rakyat terlalu gembira.
Mereka boleh berkata-kata dan tidaklah diam lagi.
Raja memerintahkan rakyat menanam pokok itu. Akhirnya bunga itu menjadi hasil
negeri. Bunga itu dikenali dengan nama bunga cengkih.
Pengajaran :
1. Jangan takut mencuba perkara baru.
2. Fikir selalu keajaiban ciptaan tuhan.
3. Komunikasi amat penting dalam perhubungan.
Adaptasi daripada Himpunan 366 Cerita Rakyat Malaysia. 2007. Othman Puteh dan
Aripin Said. Utusan Publications & Distributors Sdn. Bhd.
DICATAT OLEH ALYNN DI 11:31 PTG 37 ULASAN:
REAKSI:
MENGAPA BANGAU KURUS
Pada suatu hari, Raja Sulaiman memanggil semua burung datang mengadap.
Semua jenis burung hadir.
“Beta ingin sampaikan berita gembira. Hari ini genaplah seratus purnama beta
memerintah. Oleh itu beta ingin beri hadiah istimewa. Kamu boelh minta apa sahaja.
Beta akan tunaikan permintaan kamu,” titah Raja Sulaiman. Semua burung berasa
gembira. Ada yang bersorak-sorak. Ada yang melompat-lompat.
“Bolehkan patik mendapat bulu yang cantik tuanku? Patik ingin jadi burung paling
cantik di dunia,” kata merak.
“Tentu boleh. Beta akan tunaikan permintaan kamu itu,” titah Raja Sulaiman sambil
tersenyum.
“Kamu pula hendak apa?” Tanya Raja Sulaiman kepada kelicap.
“Kalau boleh, patik ingin paruh yang panjang,” kata kelicap.
“Kenapa minta paruh yang panjang?” Tanya Raja Sulaiman.
“Patik suka minum madu, tuanku. Kalau paruh patik panjang, senanglah hisap madu
bunga,” jawab kelicap,” jawab kelicap.
“Baiklah, beta akan tunaikan permintaan kamu itu, itik. Beta akan beri kamu kaki
yang lebar,” jawab Raja Sulaiman.
“Patik ingin sarang yang cantik, tuanku,” kata tempua.
“Kalau begitu, beta akan beri kamu kepandaian membuat sarang,” titah baginda.
“Tuanku, tubuh patik ini kecil. Kalau boleh patik mahu kepala patik berwarna putih.
Dari jauh lagi sudah dapat dilihat,” pinta pipit.
“Perkara itu mudah sahaja. Akan beta tunaikan,” titah Raja Sulaiman lagi.
Semua burung telah meminta hajat mereka. Kini Cuma tinggal giliran bangau yang
sombong.
“Pintalah segera wahai bangau. Beta pasti tunaikan,” titah Raja Sulaiman.
“Baiklah tuanku. Patik mahu minta makan tujuh hari sekali,” kata bangau.
“Apa? Boleh kamu ulang?” soal Raja Sulaiman. Baginda terkejut.
“Patik mahu minta makan tujuh hari sekali,” kata bangau lagi.
Semua burung yang ada terkejut. Mereka hairan dengan permintaan itu. Raja
Sulaiman juga berasa ganjil. Baginda suruh bangau ulangi lagi permintaannya.
Bangau tetap berkata seperti itu juga. Akhirnya Raja Sulaiman puas hati. Baginda
akan tunaikan permintaan bangau itu.
Esoknya, bangau pergi ke tepi tasik. Ia ingin mencari ikan. Namun, seekor pun dia
tidak dapat. Pada hari ketujuh barulah dia dapat seekor.
Kenapa aku susah hendak dapat makanan? Bukankah aku minta banyak makanan
daripada baginda? Bisik bangau dalam hati. Tiba-tiba bangau teringat kembali kata-
katanya dahulu. Ia meminta makan tujuh hari sekali. Bukan minta makan tujuh kali
sehari.
“Aku dah tersalah cakap. Patutlah semua burung hairan. Tak seekor pun tolong
betulkan cakap aku. Mungkin kerana aku sombong. Aku menyesal,” kata bangau
sendirian.
Mulai hari itu bangau sukar dapat ikan. Badannya semakin kurus. Ia rasa sedih.
Kadang-kadang ia berdiri lama dalam air. Ia termenung memikirkan nasibnya. Itulah
sebabnya badan bangau kurus.
Pengajaran :
1. Jangan bersikap sombong.
2. Berfikir sebelum membuat keputusan.
3. Terimalah takdir dengan redha.
Adaptasi daripada Himpunan 366 Cerita Rakyat Malaysia. 2007. Othman Puteh dan
Aripin Said. Utusan Publication & Distributors Sdn. Bhd.
DICATAT OLEH ALYNN DI 11:03 PTG 28 ULASAN:
REAKSI:
HARIMAU GUNUNG LEDANG
Pada suatu masa, Gunung Ledang terlalu banyak didiami oleh harimau. Ketika
harimau gunung itu turun, banyaklah binatang ternakan dibahamnya.
Pada suatu hari, harimau itu turun beramai-ramai dari gunung itu. Sekawan kerbau
yang dijaga oleh seorang budak habis dibaham oleh mereka. Orang kaya tuan
punya kerbau itu sangat marah.
“Kamu lalai dan tidak menjaga kerbau aku. Kamu mesti ganti semua kerbau yang
telah dibaham itu,” kata orang kaya itu dengan marah.
Budak itu sangat susah hati. Sudahlah hidupnya tidak ada tempat berlindung, kini
malang pula menimpa. Dia bermenung dibawah sepohon pokok.
“Jangan susah hati. Ambil getah ini dan sapukan kepada mulut harimau itu nanti,”
kata seorang tua yang menjelma tiba-tiba.
Budak itu bertekad. Harimau dari gunung itu mesti diajar. Dia mengambil upah
menjaga sekawan kerbau kepunyaan seorang kaya yang lain. Sampai ketikanya,
seekor harimau yang besar datang. Budak itu dengan berani pergi kepada harimau
itu.
“Kamu pencuri bedebah mesti diajar!” kata budak itu dengan berani. Harimau yang
besar itu tergamam. Dia memikirkan budak itu lebih kuat daripadanya.
Budak itu menyapukan getah pada mulut harimau. Apabila getah itu kering, harimau
tidak boleh membuka mulutnya. Kuku harimau itu juga disapu getah. Ia tidak dapat
mengeluarkan kukunya.
Budak itu juga mengikat kaki harimau. Apabila getah itu kering, harimau tidak boleh
membuka mulutnya. Kuku harimau itu juga disapu getah. Ia tidak dapat
mengeluarkan kukunya.
Budak itu juga mengikat kaki harimau. Hari telah malam, dia memanggil semua
orang kampung datang. Orang kampung sangat hairan melihat keberanian budak
itu.
Budak itu berkata kepada harimau yang sudah terbaring tidak bergerak, “Mulai
malam ini, kamu jangan ambil binatang peliharaan orang kampung.”
Harimau itu dibiarkan di situ sehingga tengah hari esoknya. Apabila matahari
memancar, getah itu pun cair. Harimau melarikan diri kerana ketakutan. Sejak itu
tiada lagi harimau datang membaham binatang ternakan di kawasan itu.
Pengajaran :
1. Jangan menganiaya orang lain.
2. Usaha tangga kejayaan.
3. Jangan mudah putus asa.
Adaptasi daripada Himpunan 366 Cerita Rakyat Malaysia. 2007. Othman Puteh dan
Aripin Said. Utusan Publication & Distributors Sdn. Bhd.
DICATAT OLEH ALYNN DI 10:55 PTG 24 ULASAN:
REAKSI:
AHAD, 4 OKTOBER 2009
PUTERI SANTUBONG, PUTERI SEJENJANG
Puteri Santubong dan Puteri Sejenjang ialah dua orang puteri dewa kayangan yang
mempunyai paras rupa dan kecantikan yang tiada tolok bandingnya ketika itu.
Sesiapa sahaja yang memandang pasti akan terpikat.
Paras kedua-dua puteri anak dewa dari kayangan itu bagaikan purnama menghias
alam, bersinar-sinar bergemerlapan. Alis mata, yang lentik dan ekor mata seperti
seroja biru di kolam madu.
Walaupun ketinggian tubuh mereka hanyalah sederhana tetapi suara mereka cukup
merdu seperti seruling bambu. Inilah kelebihan yang terdapat pada Puteri
Santubong dan Puteri Sejenjang.
Kehidupan Puteri Santubong dan Puteri Sejenjang amat mesra sekali. Mereka
diibaratkan adik-beradik kembar. Senyuman dan kegembiraan sentiasa bermain
dibibir. Bergurau dan bersenda tidak lekang daripada keduanya. Mereka sentiasa
sepakat dan sekata. Demikianlah kehidupan yang mereka lalui setiap hari.
“Sejenjang, selepas selesainya kerja kita berdua ini, kita bermain-main, mahu?”
Tanya Puteri Santubong kepada Puteri Sejenjang yang asyik menumbuk padi.
“Baiklah. Tapi kita mahu main apa ya?” balas Puteri Sejenjang.
“Kita main sorok-sorok di taman bunga di halaman sana. Lepas itu kita petik bunga-
bunga yang telah mekar di taman.”
“Yalah Santubong! Sudah lama juga kita tidak memetik bunga-bunga di taman
sana.”
Menantikan saat itu, kedua-duanya meneruskan pekerjaan masing-masing hingga
selesai.
Pekerjaan Puteri Santubong dari siang hingga malam hanyalah menenun kain.
Manakala Puteri Sejenjang pula asyik dengan menumbuk padi.
Pada suatu hari, ketika Puteri Santubong leka menenun kain dan Puteri Sejenjang
asyik menumbuk padi, berbual-buallah mereka tentang kecantikan diri masing-
masing. Mereka memuji-muji tentang kelebihan diri sendiri.
“Sejenjang! Kau lihat tak diri aku yang serba tidak cacat ini! Dengan duduk menenun
seperti ini, aku dapat menjaga kerampingan pinggangku ini. Aku pasti suatu hari
nanti, bila anak raja sampai ke mari, dia akan melamar dan mengahwini aku. Aduh!
Betapa bahagianya di saat itu, Sejenjang?” Tanya Santubong kepada Sejenjang
yang asyik menumbuk padi.
Puteri Santubong terus memuji-muji akan kecantikan dirinya. “Bila aku sudah diam di
istana nanti, tentunya dayang-dayang mengelilingi aku, sambil menyikat-nyikat
rambutku yang mengurai ini. Nanti mereka akan berkata, inilah anak dewa kayangan
yang paling cantik pernah mereka temui. Saat itu akulah tuan puteri yang paling
cantik di dunia ini.”
Puteri Sejenjang yang asyik menumbuk padi mulai merasa marah dan cuba
menentang kata-kata Puteri Santubong yang menganggap dirinya sahajalah yang
paling cantik. Puteri Sejenjang menyatakan dirinya yang paling cantik dan rupawan.
Kecantikannya mengalahi paras rupa Puteri Santubong.
“Tidakkah kau tahu Santubong? Dengan cara berdiri menumbuk padi begini
menjadikan tubuhku ini, kuat dan tegap. Subur menawan. Leher juga jinjang. Betis
bagaikan bunting padi.”
“Dengan menumbuk padi ini juga jari-jemariku halus dan lenganku ini serasa tegap
daripada engkau yang asyik bongkok menenun kain. Entah nanti, engkau cepat pula
rebah ke bumi. Takut pula anak raja itu melamar aku dahulu,” balas Puteri
Sejenjang.
Mendengar kata-kata Puteri Sejenjang, Puteri Santubong enggan mengalah. Puteri
Sejenjang juga pantang menyerah. Masing-masing mahu dipuji. Akhirnya,
pertengkaran antara Puteri Santubong dan Puteri Sejenjang semakin hangat.
Masing-masing tidak dapat mengawal perasaan mereka lagi. Pertengkaran antara
keduanya berlarutan.
Daripada nada suara yang rendah bertukar menjadi lantang sambil mencaci-caci
dan menghina antara satu dengan yang lain.
“Sejenjang! Kalau asyik pegang antan, jangan harap betis kau tu akan jadi bunting
padi. Takut lemak tak berisi. Dek antan tu jugalah jari-jemari kau tu, kesat dan kasar.
Tidak seperti jari-jemariku ini yang halus serta runcing,” kata Puteri Santubong
dengan bangga.
Dengan perasaan penuh dendam dan dengan amat marah, Puteri Sejenjang hilang
sabar lalu menyerang Puteri Santubong dengan antan di tangan. Ayunan pukulan
Puteri Sejenjang amat kuat dan cepat, lalu terkenalah ke pipi Puteri Santubong yang
sedang duduk menenun kain. Menjeritlah Puteri Santubong kerana kesakitan.
Puteri Santubong bertambah marah. Puteri Santubong juga tidak berdiam diri, lantas
menikam Puteri Sejenjang dengan batang belidah yang ada dalam genggamannya.
Tikaman itu tepat ke arah kepala Puteri Sejenjang dan menembusinya. Maka
menjeritlah pula Puteri Sejenjang sekuat-kuatnya akibat kesakitan tikaman tersebut.
Berakhirlah sebuah persahabatan dan persaudaraan yang telah dijalin oleh mereka
selama ini.
Kononnya akibat pergaduhan dan ayunan antan puteri Sejenjang yang terkena ke
pipi Puteri Santubong menyebabkan Gunung Santubong telah terpecah menjadi dua
seperti yang dilihat pada hari ini. Demikian juga dengan tikaman batang belidah oleh
Puteri Santubong yang mengenai tepat ke kepala Puteri Sejenjang, menyebabkan
Bukit Sejenjang pecah bertaburan menjadi pulau-ulau kecil berhampiran Gunung
Santubong.
Kisah sedih di antara Puteri Santubong dan Puteri Sejenjang akhirnya menjadi
kenangan dan ingatan rakyat Sarawak. Maka lahirlah lagenda Puteri Santubong dan
Puteri Sejenjang yang kita dengar sehingga ke hari ini.
Oh……Puteri Santubong,
Sejinjang sayang,
Kisah lama, Zaman mensia maya.
Puteri Santubong, Puteri Sejinjang,
Penjaga gunung Negeri Sarawak,
Manis sik ada dapat dilawan,
Anak dak Dewa turun kayangan.
Oh……
Santubong puteri bertenun kain malam,
Oh……
Sejinjang puteri menumbuk padi siang.
Satu hari nya dua kelahi,
Beranuk anuk sik renti-renti,
Seorang madah dirik bagus agik,
Seorang sik ngalah walau sampai ke mati.
Udah lejuk nya duak kelahi,
Lalu bertukuk nya duak puteri,
Sejinjang mengayun aluk ke pipi,
Tebik Santubong sampai gituk ari.
Tapi Santubong membalas juak,
Lalu ditikam batang belidak,
Sampei terkena Sejinjang kepala,
Lalu bertabor jadi Pulo Kera.
Kisah Santubong, kisah Sejinjang,
Asal berkawan jadi musuhan,
Kinik tuk tinggal jadi kenangan,
Pakei ingatan sepanjang zaman.
Pengajaran :
1. Iri hati membawa mati.
2. Jangan sombong.
Adaptasi daripada Dewan Pelajar. Februari 1989.
DICATAT OLEH ALYNN DI 11:27 PTG 55 ULASAN:
REAKSI:
SUMPAHAN ULAT TANAH
Hampir seminggu Tuan Peladang duduk termenung. Musim kemarau memusnahkan
tanaman diladangnya. Tanah menjadi kering-kontang. Tuan Peladang melihat air
simpanannya di dalam tempayan cuma tinggal separuh sahaja lagi. Dia khuatir jika
keadaan kemarau terus berlarutan, ini akan mengakibatkan dia mati kehausan.
Seekor lembu kepunyaan Tuan Peladang berada di kandang. Sang Lembu gembira
kerana tidak perlu bekerja di ladang sejak musim kemarau melanda. Namun
demikian, kegembiraan lembu itu tidak lama kerana musim kemarau itu
menyebabkan rumput-rumput segar yang menjadi makanannya kering dan mati. Kini
sukar bagi Sang Lembu itu mendapatkan rumput yang segar.
Pada suatu hari Sang Lembu mengambil keputusan untuk meninggalkan Tuan
Peladang. Seboleh-bolehnya Sang Lembu ingin membuat sesuatu untuk mengubat
kesedihan Tuan Peladang. Pada suatu malam, Sang Lembu telah keluar
meninggalkan kandangnya. Sang Lembu berjalan untuk mencari sumber air. Setelah
jauh berjalan, Sang Lembu terjumpa dengan sebuah perigi. Sang Lembu berfikir,
tentulah perigi itu mempunyai air tetapi sungguh malang nasibnya kerana tiada air di
dalam perigi tersebut. Sang Lembu berasa sedih dan duduk di tepi perigi buta itu
sambil mengenangkan nasib yang bakal manimpa dirinya.
Sewaktu Sang Lembu duduk ditepi perigi itu, dia terdengar satu suara
memanggilnya.
“Siapa?” Sang Lembu bertanya kehairanan.
“Aku, ulat tanah di dalam perigi buta ini.”
“Buat apa kamu di dalam perigi ini?” soal Sang Lembu lagi.
“Ini rumahku Sang Lembu. Sudah lama aku di sini sejak perigi ini kering airnya.”
“Tapi bagaimana kamu boleh hidup tanpa air di sini?” cetus Sang Lembu itu.
“Aku akan memberitahu kamu kenapa aku boleh hidup di sini tetapi kamu mestilah
berjanji denganku terlebih dahulu.”
“Cakaplah saja dan aku akan berpegang pada janji-janji kamu itu.”
“Aku tahu kamu dan Tuan Peladang menghadapi masalah kekurangan air. Aku
boleh tolong mengatasi masalah tersebut.” Sang Lembu tertawa. Dia tidak percaya
dengan ulat tanah. “Dengarlah dulu kata-kata aku ini. Janganlah mentertawakan aku
pula,” marah ulat tanah.
“Aku minta maaf Sang Ulat. Cakaplah aku bersedia mendengarnya.”
“Sebenarnya tanah di dalam perigi ini tetap lembap. Kalau digali pasti akan
mengeluarkan air. Air perigi ini akan penuh semula. Justeru itu aku boleh berikan
perigi ini kepada kamu dan Tuan Peladang. Tetapi sebagai ganjaran kamu
hendaklah menyuruh Tuan Peladang menanam tanam-tanaman seperti sayur-
sayuran di sekitar perigi ini. Aku dan kawan-kawanku akan berpindah dari perigi ini
tetapi tidak jauh dari kawasan ini juga.”
“Terima kasih atas pertolongan kamu itu Sang Ulat. Tapi kenapa tuan aku mesti
menanam tanaman di kawasan perigi ini?”
“Itu sebagai ganjaran kepadaku. Kamu hendaklah merahsiakan perkara ini dan tidak
memberitahu sesiapa pun tentang perigi ini. Berjanjilah kamu akan menyuruh Tuan
Peladang menanam sayur-sayuran di sini.”
“Baiklah. Terima kasih di atas pertolongan kamu itu wahai Sang Ulat.”
“Ah! Perkara biasa saja. Bukankah kita hidup perlu saling tolong-menolong.”
Sang Lembu pulang dengan hati yang girang. Didapatinya Tuan Peladang masih
duduk termenung. Sang Lembu terus menceritakan tentang penemuan perigi itu
kepada Tuan Peladang. Mendengarkan cerita Sang Lembu, tanpa berlengah-lengah
lagi Tuan Peladang membawa cangkul dan tangga ke perigi yang dikatakan oleh
Sang Lembu.
Tuan Peladang turun ke dalam perigi menerusi tangga yang dibawanya dan terus
mencangkul tanah di dalam perigi tersebut. Tidak berapa lama kemudian, mata air
mulai muncul di permukaan tanah.
Hati Tuan Peladang bertambah riang. Air mulai memenuhi perigi itu. Tuan Peladang
menepuk-nepuk belakang Sang Lembu yang berjasa terhadapnya. Walaupun begitu
Sang Lembu tidak memberitahu siapakah yang mengesyorkan agar Tuan Peladang
menanam sayur-sayuran di kawasan perigi itu. Tuan Peladang pula tidak banyak
soal dan bersetuju dengan pendapat Sang Lembu untuk menanam tanam-tanaman
di kawasan itu. Ini akan memudahkan lagi baginya mendapat bekalan air.
Beberapa bulan kemudian, sayur-sayuran tersebut tumbuh dengan suburnya. Tuan
Peladang berasa sangat gembira. Di samping itu, Tuan Peladang juga menperolehi
pendapatan daripada hasil menjual air. Semakin bertambah lumayan pendapatan
Tuan Peladang.
Pada suatu hari, Tuan Peladang datang ke kawasan perigi untuk memetik sayur-
sayurannya tetapi alangkah terkejutnya Tuan Peladang apabila mendapati sayur-
sayurannya terkorek di sana-sini. Tuan Peladang menuduh Sang Lembu memakan
dan merosakkan tanaman yang ditanamnya. Sang Lembu tidak mengaku bersalah.
Tuan Peladang semakin marah dan memukul belakang Sang Lembu sekuat-kuat
hatinya. Sang Lembu menjerit kesakitan dan terpaksalah dia berterus-terang.
Mendengarkan cerita Sang Lembu, Tuan Peladang rasa tertipu.
Tuan Peladang tidak mempercayai bahawa ulat tanah boleh membantu memberikan
air. Tuan Peladang mencari ulat tanah di merata-rata tempat. Beberapa kawasan
tanah digali oleh Tuan Peladang. Akhirnya Tuan Peladang berjumpa dengan
sekelompok ulat tanah. Tanpa membuang masa lagi, Tuan Peladang mengambil
racun lalu disemburkannya ke arah ulat-ulat tersebut. Banyaklah ulat tanah yang
menjadi korban.
Seekor ulat tanah sempat melarikan diri. Ulat tanah itu tahu Tuan Peladang tidak
berhati perut dan mengenang budi. Ulat tanah bersumpah untuk membalas dendam.
Ulat tanah tidak mahu melihat Tuan Peladang dan Sang Lembu di kawasannya lagi.
Sememangnya Sang Ulat Tanah menyimpan kemarahan yang amat sangat.
Tiba-tiba air perigi menjadi kering kembali. Habis kesemua tanaman Tuan Peladang
terkulai layu. Tuan Peladang tersentak melihat perubahan yang mendadak itu. Dia
berasa sangat menyesal kerana membunuh ulat-ulat tanah. Sang Lembu pun turut
bersedih mengenangkan bencana yang bakal diterimanya nanti. Dari satu arah Sang
Lembu terdengar suara Sang Ulat Tanah berkata sesuatu.
“Tidak semua orang itu boleh dijadikan kawan. Lebih baik hidup bersendirian dari
berdampingan dengan orang yang tak tahu mengenang budi.”
Kini Sang Lembu mengerti tentang kesilapannya. Dialah yang patut disalahkan
kerana memberitahu Tuan Peladang tentang ulat tanah yang tinggal di kawasan itu.
Pengajaran :
1. Sudah terhantuk baru terngadah.
2. Janji mesti ditepati.
Adaptasi daripada Dewan Pelajar. Julai 1989.
DICATAT OLEH ALYNN DI 11:19 PTG 22 ULASAN:
REAKSI:
PENGEMBARA YANG LAPAR
Tersebutlah kisah tiga orang sahabat, Kendi, Buyung dan Awang yang sedang
mengembara. Mereka membawa bekalan makanan seperti beras, daging, susu dan
buah-buahan. Apabila penat berjalan mereka berhenti dan memasak makanan. Jika
bertemu kampung, mereka akan singgah membeli makanan untuk dibuat bekal
dalam perjalanan.
Pada suatu hari, mereka tiba di kawasan hutan tebal. Di kawasan itu mereka tidak
bertemu dusun atau kampung. Mereka berhenti dan berehat di bawah sebatang
pokok ara yang rendang. Bekalan makanan pula telah habis. Ketiga-tiga sahabat ini
berasa sangat lapar,
“Hai, kalau ada nasi sekawah, aku akan habiskan seorang,” tiba-tiba Kendi
mengeluh. Dia mengurut-ngurut perutnya yang lapar. Badannya disandarkan ke
perdu pokok ara.
“Kalau lapar begini, ayam panggang sepuluh ekor pun sanggup aku habiskan,” kata
Buyung pula.
“Janganlah kamu berdua tamak sangat dan bercakap besar pula. Aku pun lapar
juga. Bagi aku, kalau ada nasi sepinggan sudah cukup,” Awang bersuara.
Kendi dan Buyung tertawa mendengar kata-kata Awang.
“Dengan nasi sepinggan, mana boleh kenyang? Perut kita tersangatlah lapar!” ejek
Kendi. Buyung mengangguk tanda bersetuju dengan pendapat Kendi.
Perbualan mereka didengar oleh pokok ara. Pokok itu bersimpati apabila mendengar
keluhan ketiga-tiga pengembara tersebut lalu menggugurkan tiga helai daun.
Bubb! Kendi, Buyung dan Awang terdengar bunyi seperti benda terjatuh. Mereka
segera mencari benda tersebut dicelah-celah semak. Masing-masing menuju ke
arah yang berlainan.
“Eh,ada nasi sekawah!” Kendi menjerit kehairanan. Dia menghadap sekawah nasi
yang masih berwap. Tanpa berfikir panjang lalu dia menyuap nasi itu dengan
lahapnya.
“Ayam panggang sepuluh ekor! Wah, sedapnya!” tiba-tiba Buyung pula melaung dari
arah timur. Serta-merta meleleh air liurnya. Seleranya terbuka. Dengan pantas dia
mengambil ayam yang paling besar lalu makan dengan gelojoh.
Melihatkan Kendi dan Buyung telah mendapat makanan, Awang semakin pantas
meredah semak. Ketika Awang menyelak daun kelembak, dia ternampak sepinggan
nasi berlauk yang terhidang. Awang tersenyum dan mengucapkan syukur kerana
mendapat rezeki. Dia makan dengan tenang.
Selepas makan, Awang rasa segar. Dia berehat semula di bawah pokok ara sambil
memerhatikan Kendi dan Buyung yang sedang meratah makanannya.
“Urgh!” Kendi sendawa. Perutnya amat kenyang. Nasi di dalam kawah masih
banyak. Dia tidak mampu menghabiskan nasi itu. “Kenapa kamu tidak habiskan
kami?” tiba-tiba nasi di dalam kawah itu bertanya kepada Kendi.
“Aku sudah kenyang,” jawab Kendi.
“Bukankah kamu telah berjanji akan menghabiskan kami sekawah?” Tanya nasi itu
lagi.
“Tapi perut aku sudah kenyang,” jawab Kendi.
Tiba-tiba nasi itu berkumpul dan mengejar Kendi. Kawah itu menyerkup kepala
Kendi dan nasi-nasi itu menggigit tubuh Kendi. Kendi menjerit meminta tolong.
Buyung juga kekenyangan. Dia cuma dapat menghabiskan seekor ayam sahaja.
Sembilan ekor ayam lagi terbiar di tempat pemanggang. Oleh kerana terlalu banyak
makan, tekaknya berasa loya. Melihat baki ayam-ayam panggang itu, dia berasa
muak dan hendak muntah. Buyung segera mencampakkan ayam-ayam itu ke dalam
semak.
“Kenapa kamu tidak habiskan kami?” tiba-tiba tanya ayam-ayam panggang itu.
“Aku sudah kenyang,” kata Buyung. “Makan sekor pun perut aku sudah muak,”
katanya lagi.
Tiba-tiba muncul sembilan ekor ayam jantan dari celah-celah semak di kawasan itu.
Mereka meluru ke arah Buyung.
Ayam-ayam itu mematuk dan menggeletek tubuh Buyung. Buyung melompat-lompat
sambil meminta tolong.
Awang bagaikan bermimpi melihat gelagat rakan-rakannya. Kendi terpekik dan
terlolong. Buyung pula melompat-lompat dan berguling-guling di atas tanah. Awang
tidak dapat berbuat apa-apa. Dia seperti terpukau melihat kejadian itu.
Akhirnya Kendi dan Buyung mati. Tinggallah Awang seorang diri. Dia meneruskan
semula perjalanannya.
Sebelum berangkat, Awang mengambil pinggan nasi yang telah bersih. Sebutir nasi
pun tidak berbaki di dalam pinggan itu.
“Pinggan ini akan mengingatkan aku supaya jangan sombong dan tamak. Makan
biarlah berpada-pada dan tidak membazir,” kata Awang lalu beredar meninggalkan
tempat itu.
Pengajaran :
1. Orang tamak selalu rugi.
2. Jangan membazir.