TUMBUHAN DI KAWASAN SEKITAR RUMAH. KAMPUNG TO’ UBAN,
PASIR MAS, KELANTAN
*Noraini F. A. & Firuza B. M.
Department of Geography, Faculty of Arts and Social Sciences,
University of Malaya, 50603 Kuala Lumpur, Malaysia.
Email: [email protected]
ABSTRAK
Tumbuhan boleh dikategorikan kepada dua iaitu tumbuhan berbunga yang terdiri daripada
pokok berbuah dan tidak berbuah serta pokok tumbuhan tidak berbunga. Masyarakat
menggunakan tumbuhan untuk pelbagai kegunaan dan memenuhi keperluan kehidupan. Kajian
dilakukan di kawasan perkampungan Kampung To’ Uban. Pasir Mas, Kelantan. Objektif kajian
ialah untuk mengenalpasti jenis-jenis tumbuhan yang ditanam di kawasan sekitar rumah, untuk
mengkaji fungsi dan peranan tumbuhan yang ditanam, serta untuk mengkaji perbezaan
tumbuhan yang ditanam di antara rumah di kawasan kampung tersebut. Kajian dilakukan
melalui kaedah pemerhatian, fotografi, temubual dan soal selidik. Hasil kajian yang diperolehi
mengenai tumbuhan di kawasan sekitar rumah mendapati bahawa tumbuhan yang ditanam di
bahagian hadapan, tepi dan belakang rumah adalah berbeza-beza. Tumbuhan yang paling
banyak ditanam di bahagian hadapan rumah ialah bunga-bungaan, bahagian tepi dan belakang
rumah pula terdiri daripada pokok buah-buahan. Namun begitu, terdapat juga tanaman
sampingan yang lain seperti herba, sayur-sayuran, ulam-ulaman dan juga tanaman masakan.
Penduduk kampung menjadikan amalan bercucuk tanam sebagai hobi mereka di waktu lapang
yang memberi hasil untuk kegunaan harian dan landskap halaman. Kebanyakan tumbuhan yang
ditanam di kawasan sekitar rumah adalah hampir sama iaitu terdiri daripada bunga-bungaan,
buah-buahan, herba, tanaman masakan, ulam-ulaman dan sayur-sayuran. Kesimpulan daripada
kajian ini mendapati tumbuh-tumbuhan yang ditanam oleh penduduk Kampung To’Uban tidak
memerlukan peruntukan yang besar kerana sumber benih dan baja yang dikongsi. Pelbagai
langkah juga dilakukan untuk memupuk minat dikalangan generasi muda menjadikan aktiviti
bercucuk tanam sebagai salah satu daripada aktiviti pada waktu lapang mereka.
Katakunci: tanaman, sekitar rumah, tumbuhan, jenis tumbuhan, To’Uban.
1.0 PENGENALAN
Tumbuhan merupakan sebahagian daripada alam semulajadi hidup yang terdapat di muka bumi
ini.. Tumbuhan boleh dikategorikan kepada dua iaitu tumbuhan berbunga yang terdiri daripada
pokok berbuah dan tidak berbuah serta pokok tumbuhan tidak berbunga. Tanaman pula merujuk
kepada tumbuhan yang ditanam oleh manusia untuk kegunaan tertentu seperti sebagai makanan
manusia atau haiwan ternakan, sumber perubatan, untuk perdagangan dan sebagainya.
2.0 OBJEKTIF KAJIAN
Kajian ini dijalankan untuk mengkaji mengenai jenis-jenis tanaman yang ditanam di halaman
rumah. Antara objektif yang dikaji dalam kajian ini adalah untuk mengenalpasti jenis-jenis
tumbuhan yang ditanam di perkarangan kawasan rumah, mengkaji fungsi dan peranan tanaman
tersebut serta untuk mengkaji perbezaan tumbuhan yang ditanam di antara rumah di kawasan
kampung tersebut.
3.0 METODOLOGI DAN LOKASI KAJIAN
Kajian mengenai tanaman di sekitar rumah di kampung ini telah dilakukan melalui pengumpulan
data primer dan sekunder. Data primer dikumpul melalui kaedah kajian lapangan dan survei
menggunakan set soal selidik. Rumah penduduk di kampung ini dibina di atas tanah sendiri dan
menggunakan reka bentuk tradisional Kelantan. Sebanyak 100 buah rumah telah dikaji dan
direkodkan iaitu melibatkan 100/19,514 orang responden dari Kampung To’ Uban yang terletak
dalam Pasir Mas di negeri Kelantan. Kajian soal selidik ini juga bertujuan untuk mendapatkan
maklumat daripada peneroka mengenai tumbuhan yang ditanam di kawasan persekitaran rumah
dari segi kegunaanya, pola tanaman, jangka masa tanaman yang ditanam dan sebagainya.
Temubual dan rakaman gambar foto juga telah dilakukan bagi melengkapkan maklumat kajian.
Kaedah temubual telah dilakukan terhadap beberapa informer seperti ketua kampung dan wakil
penduduk. Tujuan temubual ini dilakukan untuk mendapatkan maklumat yang lebih terperinci.
Seterusnya, kaedah pemerhatian dilakukan untuk mengenalpasti sumber-sumber yang penting di
kawasan tapak kajian seperti jenis-jenis tanaman yang terdapat di halaman rumah peneroka,
kedudukan letakan tanaman yang ditanam mengikut jenis, faktor yang mempengaruhi kedudukan
tanaman dan sebagainya. Kajian ini telah dijalankan di Kampung To’ Uban terletak di Mukim To’
Uban, Daerah Kangkong di bawah jajahan Majlis Daerah Pasir Mas di negeri Kelantan. Pekan
berhampiran ialah pekan Pasir Mas dan Tanah Merah. Kawasan kajian ini dipilih kerana
kemudahsampaian serta kelulusan kebenaran melakukan kajian.
3.1 Latar belakang Sosial Penduduk
Sebanyak 100 buah rumah telah dipilih untuk kajian ini. Sebanyak 72 orang responden yang
ditemubual merupakan golongan wanita dan selebihnya 28 orang responden ialah golongan
lelaki. Jumlah responden wanita yang lebih ramai diperoleh kerana ketika kajian dijalankan
kebanyakan kaum lelaki telah keluar bekerja ataupun pergi melakukan ativiti pada hujung
minggu mereka. Latar belakang umur responden pula mendapati 77% dari responden berumur
antara 36-55 tahun. Kajian mendapati golongan berusia melebihi 75 tahun ialah paling sedikit
iaitu 1% dan kumpulan umur 56 hingga 75 tahun ialah sebanyak 17%. Manakala, kumpulan yang
berumur kurang daripada 35 tahun ialah sebanyak 5%. Hasil kajian mendapati majoriti penduduk
di kampung tersebut adalah golongan belia berusia 36-55 tahun dan merupakan golongan yang
aktif dalam bidang yang diceburi. Purata pendapatan responden ialah kurang daripada RM 2,000
sebulan iaitu sebanyak 63% dan hanya segelintir penduduk yang tidak bekerja kerana
menumpukan sepenuh perhatian kepada rumahtangga mereka.
3.2 Jenis-jenis Tumbuhan di Kawasan Perkarangan Rumah
Hasil kajian mendapati jenis-jenis tumbuhan yang ditanam di kawasan perkarangan rumah
penduduk kampung To’ Uban boleh dibahagikan kepada beberapa kategori iaitu, tanaman
bunga-bungaan, tanaman herba, pokok buah-buahan, tanaman ulam-ulaman, sayur-sayuran dan
tanaman masakan. Kajian di Kampung To’ Uban mendapati bahawa jenis tanaman yang ditanam
di bahagian hadapan, tepi dan belakang rumah adalah berbeza mengikut keluasan tanah, saiz
tanah dan juga kesesuaian tanah di kawasan tersebut.
a) Jenis Tanaman Hadapan Rumah
Tanaman yang paling banyak ditanam di kawasan hadapan rumah ialah jenis tanaman bunga-
bungaan iaitu sebanyak 61%. Jenis tanaman buah-buahan pula mencatat jumlah sebanyak 23%.
Manakala, jumlah tanaman yang paling rendah ialah tanaman sayur-sayuran dan ulam-ulaman
iaitu sebanyak 1%. Terdapat 7% responden yang tidak menanam di bahagian hadapan rumah
mereka. Selain itu, jenis-jenis tanaman yang ditanam ini dipengaruhi oleh pelbagai faktor seperti
bentuk muka bumi, keluasan kawasan rumah, jenis tanah dan sebagainya. Hasil kajian mendapati
bahawa penduduk di Kampung To’ Uban lebih suka menanam bunga-bungaan dan buah-buahan
untuk mencantikkan halaman rumah, dan juga sebagai hobi serta sebagai sumber makanan
mereka.
Rajah 1: Jenis Tanaman Hadapan Rumah
b) Jenis Tanaman di Tepi Rumah
Kawasan tepi rumah didominasi oleh tanaman buah-buahan iaitu sebanyak 39%. Jenis tanaman
bunga-bungaan pula mencatat jumlah sebanyak 25%. Manakala, jumlah tanaman yang paling
rendah ialah jenis tanaman herba dan ulam-ulaman iaitu masing-masing mencatat jumlah
sebanyak 3%. Kajian mendapati terdapat 19% responden yang tidak menanam di bahagian tepi
rumah mereka. Hasil kajian mendapati bahawa penduduk di Kampung To’ Uban lebih suka
menanam buah-buahan dan bunga-bungaan di bahagian tepi rumah mereka.
Rajah 2: Jenis Tanaman Tepi Rumah
c) Jenis Tanaman di Belakang Rumah
Jenis-jenis tanaman yang ada di bahagian belakang rumah penduduk Kampung To’ Uban terdiri
daripada buah-buahan, herba, tanaman masakan, ulaman dan sayuran. Jumlah yang paling tinggi
ialah jenis tanaman buah-buahan dan tanaman masakan iaitu masing-masing mencatatkan jumlah
sebanyak 44% dan 21%. Manakala, jumlah tanaman yang paling rendah ialah jenis tanaman
bunga-bungaan dan herba iaitu masing-masing mencatat jumlah sebanyak 3% dan 1%. Hasil
kajian mendapati bahawa penduduk di Kampung To’ Uban lebih suka menanam buah-buahan
dan tanaman masakan untuk keperluan harian mereka. Di samping itu, dengan adanya tanaman
masakan di ruangan dapur ini akan dapat mengurangkan kos isi rumah mereka serta mendapat
tanaman yang bebas daripada racun kimia.
Rajah 3: Jenis Tanaman Belakang Rumah
4.0 HASIL DAN PERBINCANGAN
Kajian mendapati responden wanita memperuntukkan sebahagian dari ruang yang terhad untuk
dijadikan laman berbunga samada dipenuhi bunga kertas, bunga orkid, jenis keladi, kaktus dan
sebagainya. Hasil dari pemerhatian di kawasan kajian juga mendapati terdapat kesinambungan
jenis tanaman antara setiap kediaman mungkin kerana faktor benih yang mudah memperolehi,
perkongsian benih antara tetangga dan juga kesesuaian tanaman terhadap persekitaran fizikal
kampung. Kawasan utama yang menjadi pilihan tanaman bunga-bungaan ini ialah di bahagian
hadapan dan bahagian tepi rumah. Tujuan utama menanam tanaman bunga-bungaan ialah untuk
mempertingkatkan keindahan kawasan rumah serta untuk memenuhi kepuasan hati penghuni
rumah. Manakala, tanaman buah-buahan merupakan tanaman kedua penting di kawasan kajian.
Tanaman ini menjadi tumbuhan popular di kawasan kediaman luar bandar kerana beberapa
faktor seperti kediaman mempunyai kawasan yang luas dan hasil yang boleh dimakan. Hasil
kajian mendapati bahawa pokok buah-buahan menjadi pilihan penduduk kerana ianya tidak
memerlukan penjagaan yang rapi, tumbuh sendiri serta menghasilkan buah dalam tempoh masa
yang panjang. Antara tanaman buah-buahan yang ditemui di kampung tersebut ialah rambutan,
salak, pisang, durian, manggis, mangga, langsat dan sebagainya. Sebilangan rumah responden
hanya didominasi oleh pokok buah-buahan kerana faktor bentuk muka bumi dan faktor saliran.
4.1 Perhubungan di Antara Bilangan Anak dengan Jenis Tanaman
Hasil dari kajian yang dilakukan mendapati bahawa tiada hubungan antara bilangan anak dengan
jenis-jenis tanaman yang ditanam di kawasan sekitar rumah. Hal ini adalah kerana nilai
signifikan ujian lebih besar dari nilai signifikan ditetapkan. Jadi hipotesis nol (Ho) di tolak.
4.2 Perhubungan di Antara Jantina Responden dengan Jenis Tanaman
Ujian SPSS juga dilakukan ke atas jantina responden dengan jenis-jenis tanaman di hadapan
rumah untuk melihat perhubungannya. Hasil analisis mendapati jumlah responden perempuan
yang suka bercucuk-tanam adalah lebih ramai berbanding responden lelaki. Seramai 48 orang
responden perempuan dan 13 orang responden lelaki yang menanam bunga-bungaan. Manakala,
seramai 10 orang responden lelaki dan 13 orang responden perempuan menanam pokok buah-
buahan. Justeru itu, kajian mendapati bahawa responden perempuan lebih suka menanam
berbanding responden lelaki. Berdasarkan keputusan ujian khi kuasa dua menunjukkan bahawa
tidak terdapat perhubungan di antara jantina responden dengan jenis-jenis tanaman di hadapan
rumah. Secara signifikan, jenis-jenis tanaman yang ditanam oleh penduduk kampung di hadapan
rumah tidak dipengaruhi oleh jantina responden.
4.3 Perhubungan di Antara Taraf Perkahwinan dengan Jenis Tanaman
Seterusnya, ujian SPSS juga dilakukan ke atas taraf perkahwinan responden dengan jenis-jenis
tanaman belakang rumah untuk melihat perkaitan antara kedua-dua pembolehubah tersebut.
Hasil kajian mendapati bahawa responden yang telah berkahwin lebih suka menanam pokok
buah-buahan iaitu seramai 38 orang dan juga tanaman masakan iaitu seramai 21 orang. Selain
itu, mereka juga turut menanam sayur-sayuran, ulam-ulaman, bunga dan herba. Hasil analisis
mendapati taraf perkahwinan dan jenis-jenis tanaman di belakang rumah tidak mempengaruhi
jenis-jenis tanaman yang ditanam oleh responden. Namun begitu, responden yang telah
berkahwin banyak menanam pokok buah-buahan dan tanaman masakan.
4.4 Perhubungan di Antara Pekerjaan Responden dengan Tempoh Masa (jam/hari)
Keputusan ujian khi kuasa dua menunjukkan bahawa tidak terdapat perhubungan di antara
pekerjaan responden dan tempoh masa yang diluangkan oleh responden untuk menjaga tanaman
mereka. Hal ini adalah kerana kebanyakan responden terdiri daripada surirumah, tukang jahit dan
pekedai runcit, jadi tempoh masa yang diluangkan tidak mempunyai kaitan dengan pekerjaan
mereka. Mereka bebas untuk menentukan masa yang sesuai dan tempoh masa yang hendak
diambil untuk mengurus serta menjaga tanaman mereka.
4.5 Perhubungan di Antara Jenis Baja dengan Pulangan Hasil
Keputusan ujian khi kuasa dua menunjukkan bahawa terdapat perhubungan di antara jenis baja
yang digunakan dengan pulangan hasil. Jenis baja yang digunakan oleh responden terdiri
daripada baja organik dan baja kimia. Responden lebih gemar menggunakan baja organik iaitu
sebanyak 53%. Manakala, baja kimia yang digunakan pula adalah sebanyak 47%. Baja organik
ini berasal daripada tumbuhan dan hidupan lain contohnya, tahi ayam dan tahi lembu. Baja
organik ini berperanan membaiki keadaan fizikal tanah. Manakala, baja kimia pula diperbuat
daripada hasil logam yang mana terdiri daripada baja bukan organik, baja dagangan atau baja
buatan. Baja ini terbahagi kepada dua iaitu baja terus dan baja lengkap. Baja terus hanya
mengandungi 1 atau 2 dari unsur pemakanan utama NPK dan ia adalah baja yang tidak lengkap.
Seterusnya, baja lengkap merupakan baja yang mengandungi kesemua unsur NPK.
Sebagai kesimpulannya, ujian analisis SPSS telah dilakukan untuk melihat sama ada terdapat
perhubungan antara variabel-variabel yang terlibat. Ujian analisis ini juga membolehkan kita
melihat sama ada objektif-objektif yang dikaji tercapai ataupun tidak. Di samping itu, perbezaan
tumbuhan di antara rumah penduduk Kampung To’ Uban juga dapat dilihat dengan kaedah
pemerhatian yang dilakukan semasa menjalankan soal selidik di kampung tersebut. Kebanyakan
responden gemar menanam tanaman buah-buahan dan bunga-bungaan di sekitar rumah mereka.
Setiap tanaman juga ada yang mempunyai persamaan dan perbezaan di antara rumah ke rumah
responden. Kebanyakan daripada mereka juga gemar bertukar-tukar biji benih tanaman. Ini
secara tidak langsung dapat menjimatkan kos yang perlu dikeluarkan untuk tanaman di sekitar
rumah.
4.6 Fungsi dan Peranan Tumbuhan yang ditanam di Kawasan Sekitar Rumah
Berdasarkan hasil soal selidik dan analisis SPSS yang telah dijalankan mendapati bahawa
tumbuhan yang ditanam oleh penduduk Kampung To’ Uban mempunyai pelbagai fungsi dan
peranannya yang tersendiri. Antaranya ialah untuk kegunaan harian, sebagai landskap atau
hiasan halaman rumah, hobi dan sebagainya. Hasil analisis mendapati bahawa tumbuhan yang
ditanam di sekitar rumah penduduk Kampung To’ Uban hanyalah untuk kegunaan harian dan
sebagai makanan mereka terutamanya bagi tanaman masakan dan buah-buahan. Hal ini dapat
dibuktikan dengan hasil analisis yang telah dibuat iaitu sebanyak 36% responden. Antara contoh
tanaman buah-buahan yang ditanam oleh mereka seperti mangga, kelapa, pisang, rambutan,
manggis dan lain-lain. Tanaman ini dapat memberi faedah dalam jangka masa yang lama kepada
mereka kerana tanaman ini berbuah mengikut musim. Buah-buahan ini juga dikenali sebagai
buah-buahan nadir. Manakala, tanaman masakan seperti halia, kunyit, lengkuas, serai, pandan
dan lain-lain pula dapat mengurangkan perbelanjaan barangan dapur mereka. Hal ini adalah
kerana mereka tidak lagi perlu membeli tanaman masakan tersebut di kedai, sebaliknya
mengambilnya di kebun dapur mereka. Di samping itu, dengan adanya kebun dapur ini,
penduduk kampung boleh menghindarkan diri mereka daripada jangkitan penyakit yang
berpunca daripada racun kimia yang terdapat dalam tanaman terutamanya tanaman yang dibeli di
pasar borong.
Selain itu, tumbuhan yang ditanam di kawasan sekitar rumah penduduk kampung juga berfungsi
sebagai landskap atau hiasan halaman rumah mereka iaitu berjumlah sebanyak 34%. Hal ini
adalah kerana penduduk terutamanya golongan wanita suka menghabiskan masa lapang mereka
dengan menanam pokok bunga-bungaan dan herba sebagai penyeri di halaman rumah.
Penggunaan landskap ini bergantung kepada keadaan sekeliling seperti bentuk muka bumi,
iklim, tumbuhan, lokasi dan pemandangan kawasan persekitaran rumah. Rumah yang berbeza
menghasilkan landskap tanaman hiasan yang berbeza-beza mengikut citarasa penghuni rumah
masing-masing. Tambahan pula, golongan wanita di kampung tersebut terdiri daripada
surirumah dan bekerja sendiri seperti tukang jahit, penoreh getah, pekedai runcit dan sebagainya.
Jadi, masa lapang mereka adalah banyak dan ianya digunakan untuk menghias persekitaran
rumah. Hal ini kerana mereka lebih gemar kepada persekitaran yang bersih, cantik dan
mempunyai suasana yang tenang serta mendamaikan apabila melihatnya. Di samping itu,
persekitaran yang cantik juga dapat menghilangkan tekanan yang dialami oleh mereka sama ada
di tempat kerja, rumah dan sebagainya. Di samping itu, penduduk Kampung To’ Uban juga
menjadikan aktiviti bercucuk tanam ini sebagai hobi pada masa lapang mereka. Hal ini terbukti
apabila sebanyak 28% responden telah merealisasikannya. Mereka menanam hanyalah untuk
kepuasan hati dan keperluan harian mereka, bukannya untuk dijual sebagai pendapatan
sampingan mereka. Selain itu, mereka juga berpendapat bahawa aktiviti bercucuk tanam ini
merupakan satu aktiviti yang sihat dan baik untuk kesihatan mereka, tambahan pula ianya dapat
mencantikkan serta menyerikan lagi halaman rumah mereka. Mereka akan menghabiskan masa
untuk menjaga serta menguruskan tumbuh-tumbuhan ini pada waktu pagi dan petang. Bagi
mereka, dengan adanya kawasan hijau di sekitar rumah akan dapat memberikan inspirasi dan
kedamaian dalam kehidupan.
4.7 Jenis-jenis Tumbuhan Yang Ditanam di Sekitar Rumah
a) Jenis Tanaman Di Hadapan Rumah
Antara jenis tanaman yang ditanam di sekitar hadapan rumah penduduk Kampung To’ Uban
ialah terdiri daripada bunga-bungaan, buah-buahan, herba, tanaman masakan, ulam-ulaman dan
sayur-sayuran. Hal ini terbukti melalui hasil analisis yang telah dilakukan iaitu mendapati
sebanyak 61% responden menanam pokok bunga-bungaan di hadapan rumah mereka. Ini
bertujuan untuk mencantikkan halaman rumah agar lebih tampil kemas serta sedap mata
memandang. Antara bunga-bungaan yang sering ditanam ialah bunga kertas, bunga raya, pokok
ati-ati, tanduk rusa dan sebagainya. Selain itu, responden juga gemar menanam pokok buah-
buahan di bahagian hadapan rumah. Sebanyak 23% responden yang menanam pokok buah-
buahan tersebut. Bagi mereka, selain dapat memberi manfaat sebagai sumber makanan, ia juga
boleh meneduhkan kawasan sekitar rumah mereka. Sebanyak 5% responden telah menanam
tanaman masakan untuk tujuan kegunaan harian mereka. Antara contoh tanaman masakan ialah
kunyit, halia, lengkuas, serai, pandan dan banyak lagi. Manakala, tanaman sayur-sayuran dan
ulam-ulaman jarang sekali ditanam di hadapan rumah iaitu masing-masing mencatat jumlah
sebanyak 1% . Pada kebiasaannya, jenis tanaman ini ditanam di bahagian belakang rumah. Hal
ini adalah disebabkan oleh faktor seperti keluasan tanah serta kesesuaian tanah terhadap tanaman
tersebut. Namun begitu, terdapat juga responden yang tidak menanam apa-apa di bahagian
hadapan rumah mereka. Hal ini mungkin disebabkan oleh ketidaksesuaian tanah, kekangan masa
dan lain-lain faktor. Hasil daripada kajian ini mendapati bahawa penduduk di Kampung To’
Uban lebih gemar menanam pokok bunga-bungaan di tepi rumah mereka.
b) Jenis Tanaman Di Tepi Rumah
Berdasarkan hasil analisis mendapati bahawa responden gemar menanam pokok buah-buahan di
bahagian tepi rumah mereka iaitu sebanyak 39% responden yang menanamnya. Mereka
berpendapat kawasan tepi rumah lebih sesuai dengan menanam pokok buahan kerana dapat
menyejukkan kawasan sekitar rumah mereka seperti pokok rambutan, manggis, salak dan banyak
lagi. Tambahan pula, jenis tanah yang ada juga sesuai dengan tanaman yang ditanam. Manakala,
sebanyak 25% responden yang menanam bunga-bungaan di bahagian tepi rumah kerana ada
sesetengah rumah hanya mempunyai keluasan kawasan yang sempit. Justeru itu, ianya hanya
sesuai untuk tanaman bunga-bungaan sahaja sama ada di dalam pasu mahupun di atas tanah. Jadi
tidak hairanlah jika sebanyak 19% responden yang tidak menanam sebarang tanaman pun di
sekitar rumah termasuklah faktor kekangan masa dan keluasan kawasan. Selain itu, bagi tanaman
herba dan ulam-ulaman pula, masing-masing mencatat jumlah sebanyak 3% responden. Hal ini
adalah kerana kebanyakan responden lebih suka menanam tanaman ulam-ulaman di bahagian
belakang rumah manakala, herba pula akan ditanam di dalam pasu dan diletakkan di serambi
rumah. Tanaman masakan pula sebanyak 6% dan sayur-sayuran sebanyak 5%. Responden yang
memiliki keluasan tanah yang luas di bahagian tepi rumah akan menanam sayur-sayuran dan
tanaman masakan bagi memudahkan mereka untuk memetik tanaman tersebut. Hasil daripada
kajian ini mendapati bahawa penduduk di Kampung To’ Uban lebih gemar menanam pokok
buah-buahan di tepi rumah mereka walaupun jumlah yang ditanam adalah dalam kuantiti yang
sedikit sahaja.
c) Jenis Tanaman Di Belakang Rumah
Seterusnya, jenis-jenis tanaman yang paling banyak ditanam di belakang rumah pula ialah pokok
buah-buahan iaitu sebanyak 44%. Hal ini disebabkan oleh keluasan tanah yang dimiliki oleh
responden adalah banyak. Lagi pula, mereka lebih gemar menanam pokok buah-buahan di
belakang rumah bagi memudahkan sistem penjagaan dan pengurusan tanaman dilakukan dengan
baik. Selain itu, responden juga suka menanam tanaman masakan di belakang rumah yang mana
ianya dikenali sebagai kebun dapur. Tambahan pula, ia akan memudahkan responden untuk
memetik hasil tanaman masakan tersebut. Jumlah bagi tanaman masakan ialah sebanyak 21%.
Manakala, jumlah tanaman yang paling rendah ialah herba iaitu sebanyak 1% sahaja. Tanaman
bunga-bungaan pula mencatat jumlah sebanyak 3%. Kategori bagi bunga-bungaan dan herba
paling sedikit ditanam di bahagian belakang kerana ketidaksesuaian tanah yang ada serta ianya
memang tidak sesuai ditanam di bahagian tersebut. Hasil daripada kajian mendapati responden
banyak menanam tanaman buah-buahan dan tanaman masakan di bahagian belakang rumah
mereka. Hal ini bersesuaian dengan bentuk muka bumi, keluasan tanah dan juga jenis tanah yang
ada pada setiap bahagian rumah di kampung tersebut.
4.8 Biji Benih Tanaman
Kebanyakan biji benih tanaman dibeli daripada kedai iaitu mencatat jumlah sebanyak 38%,
terutamanya bagi biji benih buah-buahan dan bunga-bungaan. Selain itu, sebanyak 34%
responden pula hanya mendapatkan biji benih tanaman melalui jiran tetangga mereka. Mereka
membuat pertukaran sesama sendiri mengikut keperluan dan keselesaan. Di samping itu, mereka
juga memperolehi biji benih daripada saudara-mara dan juga kawan-kawan yang terdekat
terutama semasa mereka berkunjung ke rumah masing-masing. Hasil daripada kajian mendapati
responden lebih suka mendapatkan biji benih daripada kedai dan juga jiran tetangga mereka.
4.9 Cadangan Menggalakkan Aktiviti Menanam dalam Kalangan Masyarakat
Tumbuhan di kawasan sekitar rumah memainkan peranan yang penting kepada masyarakat
mahupun persekitaran di sesuatu kawasan. Tanpa tumbuhan alam sekitar kita tidak akan lengkap
sepenuhnya kerana manusia dan alam sekitar saling berinteraksi di antara satu sama lain.
Tambahan pula, tumbuh-tumbuhan mempunyai pelbagai fungsi seperti menjadi tempat teduhan,
menyederhanakan suhu, penghadang kepada pemandangan yang kurang menarik, menghasilkan
persekitaran yang lebih selesa dan nyaman, menjadi habitat kepada hidupan liar seperti burung,
mencantikkan pandangan dan mengurangkan kesan bahangan bangunan yang tidak teratur.
Ekoran daripada ini, cadangan dan langkah-langkah yang sewajarnya hendaklah di lakukan
dengan efisyen oleh semua pihak yang terlibat. Antara cadangan yang boleh dilaksanakan dan
diterap di dalam diri masyarakat terutamanya golongan muda ialah memupuk sikap suka
bercucuk tanam sejak mereka kecil lagi. Hal ini sangat penting bagi golongan muda pada masa
kini yang mana kesedaran tentang persekitaran yang semakin pudar di kalangan mereka.
Langkah seperti ini akan dapat mencapai matlamat kerajaan untuk menuju ke arah bumi hijau.
Selain itu, melalui galakan menanam bersama keluarga juga boleh dijalankan untuk memupuk
kesedaran di kalangan masyarakat. Masyarakat akan lebih bersemangat apabila melakukan
sesuatu perkara secara gotong-royong dan beramai-ramai. Peranan keluarga sangat penting
dalam membantu memupuk semangat menanam atau bercucuk tanam di kalangan ahli keluarga
mereka. Sebagai contohnya, mengajak anak-anak meluangkan masa untuk mengurus dan
menjaga tanaman pada waktu pagi atau petang. Melalui pendekatan ini, lama-kelamaan sikap
suka menanam akan dapat dipupuk di dalam diri anak-anak sekaligus menjadikan aktiviti
tersebut sebagai hobi mereka. Seterusnya, pihak kerajaan mahupun swasta juga memainkan
peranan yang penting. Antara langkah-langkah yang boleh dibuat ialah pendedahan melalui
media elektronik atau media cetak seperti kempen, rancangan realiti berkaitan tanaman, forum,
pertandingan dan sebagainya. Melalui kaedah ini akan menambahkan lagi minat masyarakat
untuk meneruskan aktiviti bercucuk tanam di kawasan sekitar rumah mereka. Tambahan pula,
dengan adanya pendedahan media massa ini pengetahuan masyarakat tentang kepentingan
tanaman akan lebih mendalam lagi, di samping ianya juga akan memberikan kesedaran kepada
masyarakat. Cadangan lain untuk menggalakkan penanaman tumbuhan di kawasan sekitar rumah
ialah dengan mengadakan pertandingan rumah tercantik. Jadi, ini akan menambahkan lagi
semangat dan minat mereka untuk terus menghias serta menanam di kawasan rumah mereka. Di
samping itu, ianya juga akan mewujudkan suasana yang mendamaikan dan sedap mata
memandang. Kawasan yang cantik dan dipenuhi dengan tumbuhan yang hijau juga dapat
mencetuskan inspirasi dan idea-idea baru kepada masyarakat terutamanya pemilik-pemilik
rumah tersebut. Sebagai kesimpulannya, cadangan-cadangan yang dikemukakan ini sewajarnya
dilaksanakan oleh masyarakat. Sikap suka bercucuk tanam di kawasan rumah akan dapat
dipupuk sekaligus menyerikan halaman rumah dengan pelbagai jenis tanaman. Tananam tersebut
juga boleh dipelbagaikan seperti bunga-bungaan, buah-buahan, herba, ulam-ulaman, sayur-
sayuran dan juga tanaman masakan. Selain dapat mencantikkan rumah, tanaman-tanaman ini
juga memberi pelbagai khasiat serta kegunaan kepada masyarakat sama ada dari segi sumber
makanan, perubatan, pendapatan sampingan dan sebagainya.
5.0 KESIMPULAN
Tumbuhan boleh dikategorikan kepada dua iaitu tumbuhan berbunga yang terdiri daripada pokok
berbuah dan tidak berbuah serta pokok tumbuhan tidak berbunga. Masyarakat menggunakan
tumbuhan untuk pelbagai kegunaan dan memenuhi keperluan kehidupan. Kajian dilakukan di
kawasan perkampungan Kampung To’ Uban. Pasir Mas, Kelantan. Hasil kajian yang diperolehi
mengenai tumbuhan di kawasan sekitar rumah mendapati bahawa tumbuhan yang ditanam di
bahagian hadapan, tepi dan belakang rumah adalah berbeza-beza. Tumbuhan yang paling banyak
ditanam di bahagian hadapan rumah ialah bunga-bungaan, manakala bahagian tepi dan belakang
rumah pula terdiri daripada pokok buah-buahan. Namun begitu, terdapat juga tanaman
sampingan yang lain seperti herba, sayur-sayuran, ulam-ulaman dan juga tanaman masakan.
Manakala perbezaan tumbuhan di antara rumah penduduk Kampung To’ Uban juga dapat dilihat
dengan kaedah pemerhatian yang dilakukan semasa menjalankan soal selidik di kampung
tersebut. Kebanyakan responden lebih suka menanam tanaman buah-buahan dan bunga-bungaan
di sekitar rumah mereka. Setiap tanaman juga ada yang mempunyai persamaan dan perbezaan di
antara rumah ke rumah responden. Kebanyakan daripada mereka juga gemar bertukar-tukar biji
benih tanaman. Ini secara tidak langsung dapat menjimatkan kos yang perlu dikeluarkan untuk
tanaman di sekitar rumah. Tumbuhan yang ditanam di sekitar rumah mempunyai pelbagai fungsi
dan peranannya yang tersendiri. Berdasarkan hasil analisis yang dilakukan mendapati bahawa
tumbuhan yang ditanam di sekitar rumah penduduk Kampung To’ Uban hanyalah untuk
kegunaan harian dan sebagai sumber makanan mereka terutamanya bagi tanaman masakan dan
buah-buahan. Selain itu, tumbuhan yang ditanam di kawasan sekitar rumah penduduk kampung
juga berfungsi sebagai landskap atau hiasan halaman rumah mereka Di samping itu, penduduk
Kampung To’ Uban juga menjadikan aktiviti bercucuk tanam ini sebagai hobi pada masa lapang
mereka. Di samping itu, tumbuhan yang ditanam juga dijadikan sebagai landskap kediaman
mereka. Kebanyakan tumbuhan yang ditanam di kawasan sekitar rumah adalah hampir sama
iaitu terdiri daripada bunga-bungaan, buah-buahan, herba, tanaman masakan, ulam-ulaman dan
sayur-sayuran. Seterusnya, kajian ini juga mendapati tumbuh-tumbuhan yang ditanam oleh
penduduk Kampung To’ Uban tidak memerlukan peruntukan yang besar kerana sumber biji
benih dan baja adalah diambil daripada jiran, saudara-mara dan kawan-kawan selain dari
membelinya di pasar borong.
6.0 RUJUKAN
_______ 2002. Kamus Dewan. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka (Edisi Ketiga).
________. Laporan Penemuan dan Strategi Pembangunan Rancangan Tempatan Jajahan Pasir
Mas, 2008-2020. Kelantan : Majlis Daerah Pasir Mas.
Azlina Aziz. 2010. Jenis-jenis Tanaman di Perkarangan Rumah Peneroka di Felda Pasoh 3,
Negeri Sembilan. Unpublished B.A. thesis. Kuala Lumpur: Department of Geography,
University of Malaya.
Ismail Ahmad & Yaakob M.J. 1994. Tumbuh-tumbuhan dan Persekitaran: Satu Perspektif
Geografi. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, Kementerian Pendidikan
Malaysia.
Ismail Saidin. 2000. Sayuran Tradisional Ulam dan Penyedap Rasa. Selangor: Universiti
Kebangsaan Malaysia, Bangi.
Nor Ain M.R. 2006. Landskap Kediaman. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka (Edisi
Kedua).
Ong H.C. 2006. Tanaman Hiasan: Khasiat Makanan & Ubatan. Kuala Lumpur: Utusan
Publications & Distributors Sdn. Bhd.
Rukayah Aman. 2006. Buah-buahan Nadir Semenanjung Malaysia. Kuala Lumpur: Dewan
Bahasa dan Pustaka (Edisi Ketiga).
Rukayah Aman. 2006. Tumbuhan Liar Berkhasiat Ubatan. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan
Pustaka.