1.0 KONSEP KETAKSAMAAN PELUANG PENDIDIKAN
Menurut Coleman (1968) dalam Noriati A. Rashid et. al (2011), kesamaan
peluang pendidikan merujuk kepada kesamaan hasil jika diberi input secara individu
yang sama Kesamaan peluang dalam pendidikan telah lama diperkatakan oleh para
pendidik dan dianggap abstrak, jadi tidak ada kesepakatan dalam memberikan definisi
yang lebih tepat mengenainya. Merujuk kepada sebuah rencana bertajuk ‘The Concept
of Equality of Education’ oleh Komisar dan Coombs (1964) dalam Mohd. Salleh Lebar
(1998) mengatakan definisi kesamaan dalam pendidikan ialah sesuatu yang sama atau
sesuai. Maksudnya seseorang itu berpeluang mendapat pendidikan mengikut tahap
kemampuan yang ada walaupun datangnya daripada pelbagai latar belakang,
pencapaian akademik, saiz fizikal, keturunan dan kebolehan tertentu yang berbeza
antara setiap individu.
Berdasarkan definisi-definisi tersebut menunjukkan bahawa kesamaan peluang
dalam pendidikan sememangnya wujud dan telah dilaksanakan di Malaysia seperti
menyamakan dan memberikan pelbagai kemudahan berkaitan pendidikan kepada
rakyatnya, namun begitu ketaksamaan pendidikan masih tetap berlaku kerana masih
wujud ciri-ciri yang tidak dapat disamakan dan ini boleh dilihat berdasarkan isu-isu yang
timbul daripada golongan masyarakat di Malaysia yang masih belum menerima peluang
pendidikan secara menyeluruh.
Ketaksamaan dari segi pengertian sosiologi bermaksud keadaan di mana
manusia tidak mendapat ganjaran sosial yang sama merujuk kepada Noran Fauziah
Yaakub (1987) sebagaimana yang dipetik daripada Mohd. Salleh Lebar (1998). Dalam
konteks ketaksamaan peluang pendidikan pula merujuk kepada pendidikan yang tidak
sama rata untuk semua penduduk disebabkan oleh faktor-faktor tertentu. Di Malaysia,
ketidaksamaan pendidikan berlaku mungkin kerana wujudnya masyarakat majmuk yang
terdiri daripada pelbagai bangsa dan berbilang kaum serta etnik. Namun begitu, banyak
lagi faktor-faktor lain yang boleh mendorong kepada ketaksamaan peluang pendidikan.
2.0 ISU-ISU TIMBULNYA KETAKSAMAAN PELUANG PENDIDIKAN DAN CARA
MENANGANINYA
2.1. Isu Kadar Keciciran yang Tinggi dalam kalangan Murid Orang Asli
Masyarakat Orang Asli merupakan komuniti kecil di Malaysia yang terdiri daripada
beberapa suku kaum yang berbeza-beza dan mereka juga merupakan penduduk
peribumi negara ini (Noriati A. Rashid, et al., 2011). Selain itu, menurut Rusli Zaenal
(2002) dalam Syed Ismail Syed Mustapa et al. (2010) menyatakan bahawa Orang Asli
merujuk kepada masyarakat yang kebanyakannya tinggal di dalam atau di pinggir
hutan. Orang Asli juga merupakan komuniti yang terbukti kaya dengan ilmu
pengetahuan dan kebijaksaan tentang pengurusan alam semula jadi. Keserasian cara
hidup yang harmoni dengan alam sekitar membolehkan mereka mengetahui di mana
letaknya tanah yang sesuai untuk bertani dan hasil hutan yang bermanfaat serta cara
pemeliharaan sepatutnya dibuat sebagai menghormati sumbangan alam kehidupan
mereka.
Walaupun masyarakat Orang Asli sangat kaya dengan ilmu pengurusan alam
sekitar mereka namun dari segi pendidikan di Malaysia, pencapaian Orang Asli amatlah
rendah jika dibandingkan dengan pencapaian kelompok etnik yang lain. Sebab itulah
masyarakat Orang Asli sekarang ini sering dikatakan agak ketinggalan dalam arus
pendidikan perdana di negara ini. Apa yang hendak diperbincangkan di sini ialah
tentang salah satu isu berkaitan Orang Asli, iaitu kadar keciciran yang sangat tinggi
dalam kalangan Orang Asli dan perlu diatasi dengan segera supaya selari dengan
hasrat negara untuk mencapai sifar keciciran pelajar di sekolah seterusnya sejajar
dengan dasar pendemokrasian pendidikan. Di samping itu, prestasi akademik pelajar
Orang Asli yang amat redah jugalah yang menyebabkan mereka tergolong dalam
kumpulan termiskin di Malaysia (Noriati A. Rashid, et al., 2011).
Antara faktor tingginya kadar keciciran pelajar Orang Asli adalah kerana
kurangnya golongan bijak pandai dalam kalangan mereka dan ini menyebabkan tidak
ada persaingan yang sihat dalam aspek kemajuan pendidikan masyarakat Orang Asli.
Selain itu, jarak antara sekolah dan tempat kediaman Orang Asli juga sangat jauh
menyebabkan mereka sukar untuk pergi ke sekolah dan ini juga menjadi salah satu
punca ketidakhadiran pelajar di sekolah. Taraf sosio-ekonomi Orang Asli juga agak
rendah kerana tempat tinggal mereka di pinggir hutan begitu jauh dari bandar. Di
samping itu, kekurangan tenaga pengajar juga menjadi punca masyarakat Orang Asli
ini tercicir kerana kesukaran penyediaan tenaga pengajar yang benar-benar sanggup
berusaha dan berjuang demi pembangunan pendidikan Orang Asli sangat kurang dberi
perhatian.
Menurut Mustaffa Omar (2004) dalam Syed Ismail Syed Mustapa et al. (2010)
kemunduran Orang Asli juga turut dikaitkan dengan latar belakang akademik mereka
yang rendah. Mengikut Mustaffa Omar lagi (2004) dalam Noriati A. Rashid, et al.
(2011), kelayakan akademik Orang Asli yang rendah, pengalaman serta kurang
kemahiran merupakan punca belia Orang Asli gagal bersaing dengan kaum lain untuk
mendapatkan pekerjaan yang lebih baik. Manakala merujuk kepada Jabatan Hal Ehwal
Orang Asli (JHEOA) 1998, minat belajar Orang Asli berada pada tahap yang begitu
rendah di mana kadar keciciran yang dicatatkan pada 1998 adalah tinggi iaitu 45.8
peratus dan kadar buta huruf 49.2 peratus (kadar nasional 6.4 peratus) (Syed Ismail
Syed Mustapa et al., 2010).
Faktor seterusnya ialah kurangnya kesedaran dalam menghayati kepentingan
pendidikan kerana kurang pendedahan terhadap kepentingan pendidikan yang masih
lagi berada pada tahap rendah terutamanya dalam kalangan ibu bapa Orang Asli. Ini
kerana sikap ibu bapa Orang Asli yang tidak mengambil berat tentang pendidikan anak-
anak mereka menyumbang kepada sebab utama ketidakhadiran anak-anak Orang Asli
ke sekolah seterusnya mendorong ke arah peningkatan kadar keciciran yang tinggi
pelajar di sekolah. Sebagai contoh, ibu bapa Orang Asli yang tidak mempunyai
kesedaran tentang kepentingan pendidikan akan mendorong anak-anak mereka untuk
membantu mereka dalam mencari nafkah kepada keluarga. Bagi anak perempuan yang
telah berumur 10 atau 11 tahun, mereka diminta tinggal di rumah untuk menjaga adik
serta membuat kerja rumah manakala anak lelaki pula akan mengikut bapanya ke laut
atau ke dalam hutan untuk mencari rezeki (Noriati A. Rashid, et al., 2011).
Kebanyakan ibu bapa Orang Asli adalah miskin dan tidak berkemampuan
menyebabkan mereka tidak dapat menyediakan suasana pembelajaran yang baik dan
pemakanan seimbang untuk anak-anak mereka. Di samping itu, terdapat juga ibu bapa
Orang Asli yang tidak pernah bersekolah menyebabkan mereka ini tidak berpendidikan
dan tidak berupaya untuk memberi bimbingan kepada anak-anak mereka tentang
sesuatu pelajaran melainkan pengetahuan yang sedia ada berkenaan kemahiran dan
ilmu pengurusan alam semula jadi. Tambahan lagi, satu aspek yang juga turut
menyumbang kepada keciciran pelajar Orang Asli ialah mereka tidak dapat
menghubungkaitkan pelajaran dengan kehidupan seharian. Oleh sebab itulah mereka
lebih suka membantu keluarga daripada belajar untuk memperoleh pendapatan yang
lebih lumayan.
Kesimpulannya, terdapat banyak faktor yang menyumbang kepada kadar
keciciran yang tinggi dalam kalangan murid Orang Asli sama ada faktor persekitaran
mahupun faktor dalaman iaitu dari dalam diri murid itu sendiri yang tidak berminat untuk
ke sekolah dan kurang bermotivasi untuk meneruskan pelajaran ke peringkat yang lebih
tinggi. Ini kerana kebanyakan murid Orang Asli hanya belajar setakat sekolah rendah,
manakala pelajar di sekolah menengah pula sangat kurang kerana mereka akan
berhenti daripada persekolahan apabila tidak dapat bersaing dengan murid-murid lain
daripada pelbagai kaum dan hanya menumpukan perhatian kepada rancangan status
ekonomi jangka pendek sahaja.
2.1.1. Cara Mengatasi Isu Keciciran Murid Orang Asli
Oleh sebab masyarakat Orang Asli ini sudah banyak ketinggalan namun mereka
tetap harus diberi peluang untuk memperolehi pendidikan supaya dapat menjamin
masa hadapan dan juga kesejahteraan hidup. Jadi sebagai guru, untuk mengatasi
masalah ini seseorang guru itu haruslah menjadi contoh teladan yang baik kepada
murid-muridnya seperti menunjukkan nilai-nilai murni yang dapat diterapkan dalam diri
murid-murid itu.
Sebagaimana yang diketahui, murid Orang Asli ini sangat kurang berminat untuk
belajar di sekolah. Hal ini mungkin juga berkaitan dengan ciri-ciri umum golongan
Orang Asli dalam kehidupan sehariannya. Secara umumnya, Orang Asli mempunyai
perwatakan rendah diri, malu, pasif, sensitif, tidak suka dipaksa melakukan sesuatu dan
bersaing secara individu tetapi mereka lebih suka bekerja secara berkumpulan. Selain
itu, mereka juga mempunyai ketahanan daya mental yang kurang dan ingatan yang
singkat menyebabkan mereka mudah hilang fokus serta cepat berasa jemu seterusnya
membuatkan mereka hilang minat untuk belajar. Oleh yang demikian, guru perlulah
memainkan peranan dengan memperbanyakkan pendekatan, kaedah dan teknik
pengajaran dan pembelajaran yang menarik supaya dapat membentuk pengalaman
kendiri murid. Contohnya menggunakan kaedah permainan, kaedah audio visual yang
mempunyai unsur-unsur seni dan muzik terutama yang berkaitan dengan alam semula
jadi dan sebagainya.
Selain itu, antara cara lain yang boleh digunakan untuk mengatasi isu ini ialah
guru perlu mempelbagaikan rutin bilik darjah. Hal ini demikian supaya murid tidak
mudah berasa bosan dengan rutin yang sama setiap hari. Sebagai contoh, guru perlu
memvariasikan aktiviti pembelajaran bagi setiap mata pelajaran yang diajar oleh guru
yang berbeza-beza di dalam atau di luar bilik darjah sepanjang masa waktu
persekolahan. Misalnya, mengikuti pengajaran secara kelas, melibatkan diri dalam kerja
kumpulan kecil dan aktiviti-aktiviti yang melibatkan pergerakan murid-murid dari satu
kelas ke kelas lain (Choong Lean Keow, 2009).
Di samping itu, guru memainkan peranan untuk menyesuaikan pembelajaran
dengan ciri-ciri umum dan kehendak Orang Asli tetapi mestilah berfokus kepada
hasil pembelajaran yang hendak dicapai. Misalnya membuat hubungkait antara
pelajaran dengan kehidupan masyarakat Orang Asli kerana mereka lebih suka dan
seronok untuk belajar apabila pelajaran tersebut ada perkaitan dengan amalan
kehidupan seharian mereka. Seterusnya, guru perlu sentiasa memotivasikan
pelajarnya supaya terus bersemangat dan berminat untuk datang ke sekolah dan
melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi seperti memberi kata-kata
perangsang dan memberitahu kepada pelajarnya tentang kepentingan pendidikan
supaya mereka sedar bahawa pendidikan tidak boleh dipisahkan daripada kehidupan
kerana proses pendidikan itu sendiri sentiasa berlaku sepanjang hayat.
Walaupun tergolong dalam kumpulan minoriti, namun masyarakat orang Asli di
negara ini tidak pernah diabaikan dalam arus pembangunan pendidikan perdana.
Pelbagai langkah telah dibuat oleh kerajaan untuk mengatasi isu keciciran murid Orang
Asli ini ialah bermula sejak Rancangan Malaysia Ketujuh (RMK-7) dan RMK-8.
Masyarakat Orang Asli di negara ini juga diberikan hak dan keistimewaan sesuai
dengan kemajuan yang dikecapi negara. Menurut Syed Ismail Syed Mustapa et al.
(2010), menyatakan kerajaan juga telah melaksanakan pelan tindakan pembangunan
pendidikan masyarakat Orang Asli di pinggir bandar yang telah diberi keutamaan
oleh kementerian dengan kerjasama oleh Jabatan Hal Ehwal Orang Asli (JHEOA) dan
Bahagian Perancangan dan Penyelarasan, Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan
Wilayah (KKLW). Tujuannya adalah untuk menyediakan program dan aktiviti khusus
yang berkaitan dengan keperluan peruntukan di kawasan orang asli. Terdapat empat
kumpulan yang disasarkan untuk program ini, iaitu peringkat prasekolah di mana pihak
kementerian telah memberikan tumpuan kepada pendidikan prasekolah bertujuan untuk
menyediakan asas yang kukuh sebelum pendidikan formal, peringkat rendah; tujuannya
adalah untuk menyediakan asas yang kukuh dalam kemahiran membaca, menulis dan
mengira (3M) dan didedahkan kepada aspek kemahiran berfikir, konsep asas sains,
seni dan rekreasi dan juga penerapan nilai murni, peringkat menengah pula memberi
penekanan terhadap kemahiran berfikir secara kritis dan kreatif dengan memberi fokus
kepada pendidikan umum supaya murid dapat pendedahan kepada pelbagai bidang
ilmu dan peringkat tertiari, iaitu selepas pendidikan menengah sehingga ke peringkat
pendidikan tinggi. Pada peringkat ini, pendidikan tertiari harus berupaya
membangunkan minda anak-anak orang asli menjadi lebih kritis, kreatif dan inovatif
(Syed Ismail Syed Mustapa et al., 2010).
Tambahan lagi, pihak kerajaan juga memberi tumpuan terhadap golongan yang
tercicir dan ibu bapa yang tidak pernah bersekolah supaya mereka sedar tentang
kepentingan pendidikan dengan memperkenalkan kursus latihan kemahiran yang
bersesuaian dengan minat dan kebolehan supaya mereka mendapat peluang
pekerjaan yang sesuai dengan kebolehan mereka seterusnya dapat memasuki pasaran
tenaga buruh. Di samping itu, kumpulan wanita dewasa juga diberikan peluang untuk
mengikuti program kemasyarakatan yang dianjurkan oleh pertubuhan seperti
Penggerak Wanita Orang Asli. Sebagai contoh, program keusahawanan, keagamaan,
pembangunan minda, kerohanian serta pendidikan literasi fungsian. Selain itu, program
celik huruf juga akan dipertingkatkan bagi golongan dewasa yang buta huruf. Kerajaan
juga telah memberikan peruntukan sebanyak RM20 juta untuk program
pembangunan masyarakat Orang Asli ().
Mengikut Syed Ismail Syed Mustapa et al. (2010), antara bukti yang dapat dilihat
hasil daripada usaha yang dilaksanakan oleh kerajaan ialah lahirnya murid Orang Asli
yang berjaya dalam akademik, iaitu Nurul Atikah Kamaruddin yang berjaya mendapat
8A dalam Penilaian Menengah Rendah (PMR) 2006 dan beliau juga pemenang
anugerah Tokoh Maulidur Rasul 2007 Peringkat Kebangsaan.
2.2. Isu Kekurangan Kelengkapan Kemudahan Infrastruktur dan Prasarana
Kekurangan kelengkapan kemudahan infrastruktur dan prasarana merupakan isu
yang hangat diperbincangkan pada masa kini tidak kiralah sama ada bagi masyarakat
Orang Asli, indigineous mahupun masyarakat pedalaman. Hal ini demikian kerana
majoriti ketiga-tiga masyarakat tersebut masih terpinggir dan ketinggalan dalam arus
pendidikan disebabkan kemudahan infrastuktur dan prasarana yang kurang lengkap di
kawasan tempat tinggal mereka yang kebanyakan lokasinya terletak di luar bandar,
iaitu di pinggir hutan dan di kawasan pedalaman yang sudah tentunya jauh dari
kawasan bandar yang dilengkapi dengan pelbagai kemudahan sedia ada.
Kebiasaannya, masyarakat yang tinggal di lokasi kawasan terpencil selalu
menghadapi isu ketaksamaan peluang pendidikan kerana masih terdapat sekolah yang
tidak mempunyai kemudahan asas seperti bekalan air, elektrik, talian telefon dan
sebagainya. Selain itu, bangunan sekolah di kawasan tersebut yang tidak selalu
diselenggara dan sukar untuk membaik pulih menyebabkannya menjadi sebuah
bangunan daif yang mungkin runtuh dan ini boleh membahayakan murid-murid sekolah.
Menurut Mohd. Salleh Lebar (1998), antara faktor utama yang boleh mempengaruhi
ketidaksamaan peluang pendidikan ialah kawasan sekolah. Sememangnya tidak dapat
dinafikan bahawa pencapaian murid-murid yang belajar di sekolah luar bandar dalam
peperiksaan adalah rendah jika dibandingkan dengan sekolah-sekolah di kawasan
bandar. Antara punca-puncanya ialah sekolah luar bandar tidak mempunyai peralatan
yang cukup, terdiri daripada latar belakang ibu bapa murid yang tidak berpendidikan,
guru tidak aktif menyebabkan murid tidak bermotivasi, bilangan guru yang tidak cukup
dan tidak ada galakan yang kuat daripada ibu bapa dan guru. Ketaksamaan pendidikan
dari segi kekurangan kemudahan infrastruktur dan prasarana ini dapat dilihat ketara
kerana sekolah-sekolah bandar dibekalkan dengan kemudahan bangunan dan
kelengkapan peralatan yang baik, guru terlatih dan juga sumber yang mencukupi.
Sebaliknya, peluang untuk menikmati pendidikan bagi penduduk di luar bandar dan
pedalaman amatlah terhad disebabkan mengalami pelbagai kekurangan dari segi
kemudahan infrastruktur, prasarana dan sebagainya.
Konklusinya, ketidaksamarataan dan jurang pendidikan ini wujud disebabkan
pembangunan pendidikan di Malaysia lebih memberi keutamaan kepada usaha untuk
memastikan lebih ramai murid mendapat pendidikan berbanding dengan tahap kualiti
pendidikan yang disediakan (Syed Ismail Syed Mustapa et al., 2010).
2.2.1. Cara Mengatasi Isu Kekurangan Kelengkapan Kemudahan Infrastruktur
dan Prasarana
Sejak negara kita mencapai kemerdekaan, Kementerian Pendidikan Malaysia
melalui Penyata Rahman Talib, Dasar Ekonomi Baru dan Rancangan Malaysia Kedua
sehingga Rancangan Malaysia Keenam telah mengadakan berbagai-bagai rancangan
bagi membolehkan setiap rakyat sama ada yang tinggal di dalam dan di luar bandar
mendapat kemudahan pendidikan secukupnya. Ini kerana pendidikan memainkan
peranan penting bagi meningkatkan taraf sosioekonomi sesuatu masyarakat lebih-lebih
lagi kepada golongan yang berpendapatan rendah (Mohd. Salleh Lebar, 1998). Oleh
itu, adalah menjadi tanggungjawab pihak kerajaan untuk memberi keadilan dan
kesamaan peluang pendidikan tanpa mengira kaum supaya semua rakyat dapat
menikmati kemudahan yang disediakan.
Bagi merapatkan jurang pendidikan dalam kalangan masyarakat berbilang etnik,
budaya dan sosioekonomi di negara ini, pihak Kementerian Pelajaran akan terus
berusaha untuk mendemokrasikan pendidikan dengan memberi penekanan kepada
keperluan mendefinisikan semula persekolahan bagi masyarakat indigenous dan Orang
Asli. Melalui pendemokrasian pendidikan ini dapat memberikan kemudahan
infrastruktur yang sempurna merangkumi kemudahan bagi sekolah yang ada asrama
dan peralatan lengkap di dalam dan luar bilik darjah, penggunaan bahan bantu
mengajar yang terbaik oleh guru diharapkan dapat membantu golongan ini. Ini
membawa maksud bahawa segala kemudahan yang terdapat di sekolah lain perlu
disamaratakan secara optimum tanpa mengira kaum.
Menurut Syed Ismail Syed Mustapa et al. (2010) pula menyatakan bahawa Datuk
Seri Abdullah Ahmad Badawi semasa menjadi Perdana Menteri dan Mneteri Kewangan
telah mengumumkan peruntukan tambahan RM2.6 billion bagi meningkatkan mutu
prasarana dan pendidikan di kawasan pedalaman dan luar bandar di seluruh negara.
Perdana Menteri barkata bahawa ia sebagai tambahan kepada RM9.7 billion yang
diluluskan kepada Kementerian Pendidikan dalam Rancangan Malaysia Kesembilan
dan dijangka memberi manfaat lebih dua juta murid sekolah luar bandar dan
pedalaman. Menurut beliau lagi, peruntukan menerusi program Lonjakan Perdana
Pendidikan Luar Bandar yang akan digunakan antara lainnya adalah untuk
melengkapkan infrastruktur pendidikan luar bandar dan pedalaman, penyediaan
kemudahan ICT, insentif guru, program intervensi murid serta aspek sokongan dan
bantuan untuk murid.
Datuk Seri Abdullah juga menjelaskan bahawa antara perkara yang diberikan
tumpuan ialah penyediaan bekalan elektrik 24 jam untuk 900 buah sekolah serta
dibekalkan dengan kemudahan air bersih kepada 300 buah sekolah di kawasan
bandar dan pedalaman (Syed Ismail Syed Mustapa et al., 2010). Mengikut Mohd.
Salleh Lebar (1998) mengatakan bahawa sehingga kini boleh dikatakan kerajaan telah
banyak mengadakan pelbagai program pendidikan di kawasan luar bandar bagi
memajukan masyarakat di situ. Antara projek-projek yang dijalankan bagi
membasmi masalah kekurangan kemudahan infrastruktur ialah:
1. Mengadakan Asrama Desa di kawasan yang menjadi tumpuan murid-murid luar
bandar. Projek Asrama Desa banyak dibina di negeri Terengganu. Asrama ini
penting bagi memudahkan guru-guru mengawasi perkembangan pembelajaran
murid-murid tersebut. Ini kerana tanpa pemerhatian dari guru asrama mungkin
murid-murid di luar bandar akan terbiar dan tiada bimbingan yang cukup semasa
di luar waktu sekolah.
2. Membina lebih banyak sekolah asrama penuh di kawasan luar bandar dan
keutamaan diberi kepada murid-murid yang tinggal di luar bandar.
3. Mengadakan tempat latihan kemahiran bagi persediaan pekerjaan kepada
pelajar-pelajar yang sudah tamat sekolah menengah termasuklah Pusat Giat
MARA.
4. Menyediakan skim pinjaman buku teks kepada semua murid sekolah luar
bandar.
5. Menyediakan perpustakaan bergerak ke kawasan luar bandar bagi
menggalakkan murid-murid budaya membaca buku.
6. Membekalkan kemudahan alatan pengajaran dan pembelajaran yang dibekalkan
oleh Jabatan Sumber Pendidikan.
7. Merujuk kepada sebuah rencana Berita Harian (31 Disember 1997) dalam Mohd.
Salleh Lebar (1998), meluluskan sebanyak RM 150 juta untuk menambah dan
membaikpulih kemudahan asas sekolah luar bandar.
8. Mewujudkan kira-kira 80 buah sekolah khas di luar bandar mulai tahun 1998 di
seluruh negara bagi menempatkan pelajar kawasan itu yang menunjukkan
pencapaian cemerlang dalam pembelajaran. Mengikut Menteri Pendidikan,
Datuk Seri Najib Tun Razak, sekolah itu menggabungkan pendidikan peringkat
rendah dan menengah, iaitu bermula Tahun Empat sehingga Tingkatan Lima.
Jadi, program tersebut bertujuan supaya dapat meningkatkan tahap pendidikan
pelajar luar bandar di samping merapatkan jurang perbezan dari segi
pencapaian akademik antara murid luar bandar dengan bandar.
Semoga dengan adanya projek-projek sama ada yang sedang dilaksanakan
mahupun yang akan dijalankan diharapkan dapat memberi implikasi yang baik untuk
jangka masa yang panjang. Sebagai jaminan bagi mencapai matlamat tersebut,
kerjasama dan komitmen daripada semua pihak khasnya golongan guru-guru sangat
penting. Guru perlulah sentiasa bersemangat dalam proses pengajaran dan
pembelajaran supaya murid bermotivasi tinggi untuk belajar dengan adanya
kemudahan prasarana dan infrastruktur yang disediakan. Sebagai contoh, guru
mengaplikasikan kemudahan yang diberikan seperti makmal ICT untuk menarik minat
murid dalam pelajaran. Selain itu, guru haruslah tinggal di kawasan sekolah dan
berdamping dengan masyarakat di kawasan pedalaman tersebut. Dengan cara itu,
guru dapat memahami keadaan sebenar masalah sosial yang dihadapi oleh
masyarakat miskin di luar bandar. Kita tidak mahu ada guru yang mengajar di luar
bandar tetapi masih berulang-alik kerana tinggal di kawasan pekan atau bandar. Hal ini
akan menyukarkan proses pengajaran guru tersebut kerana kemungkinan timbulnya
halangan-halangan yang boleh menyebabkan ketidakhadiran guru di sekolah kerana
perjalanan antara tempat tinggal dengan sekolah adalah jauh dan mungkin juga
menyebabkan kelewatan guru menepati jadual waktu kelas murid. Di samping itu, guru
bukan sahaja perlu bersedia dari segi kekuatan mental dan fizikal malah mestilah
sedia berkorban untuk memajukan sekolah luar bandar ke arah pencapaian prestasi
akademik yang cemerlang. Sebagai menghargai pengorbanan guru yang sanggup
berkhidmat di kawasan pedalaman, kerajaan telah memberi elaun khas dengan kadar
bergantung kepada jarak tempat guru itu mrngajar.
Kesimpulannya, jurang pendidikan antara lokasi, taraf sosioekonomi dan tahap
keupayaan murid di kawasan pedalaman adalah isu yang perlu ditangani oleh
Kementerian Pelajaran Malaysia. Kemudahan fizikal dari segi pembangunan
infrastruktur dan kemudahan pendidikan diperlukan untuk merapatkan jurang antara
sekolah bandar dan sekolah luar bandar. Hal ini perlu untuk mengurangkan kadar
keciciran dan merangsang penyertaan tinggi dalam kalangan murid luar bandar. Di
samping itu, peranan guru juga penting bagi memastikan penggunaan kemudahan
infrastruktur dan prasarana yang dibekalkan oleh pihak kerajaan kepada sekolah dan
murid tercapai.
2.3. Isu Kekurangan Guru Pakar dan Jurang Digital
Walaupun negara Malaysia telah lama berusaha untuk menyamaratakan peluang
pendidikan secara optimum kepada semua rakyatnya tanpa mengira kepelbagaian
etnik, kaum dan budaya namun isu ketidaksamaan peluang pendidikan masih tetap
berlaku antaranya ialah kurangnya guru terlatih atau guru pakar dalam bidang mata
pelajaran tertentu terutamanya di kawasan luar bandar dan pedalaman sedangkan guru
pakar di kawasan bandar begitu ramai. Hal ini menyebabkan murid-murid di kawasan
luar bandar ini sentiasa ketinggalan dalam arus pendidikan seterusnya menjadikan
tahap prestasi akademik mereka begitu rendah jka dibandingkan dengan murid yang
belajar di kawasan bandar. Pertumbuhan pusat urban yang lembab juga memberikan
kesan kepada sistem pendidikan di kawasan berkenaan dan ini merujuk kepada
kegagalan sesuatu kawasan itu untuk berkembang sebagai pusat penawaran khidmat
perbandaran yang efektif (Syed Ismail Syed Mustapa et al., 2010).
Kebiasaannya sekolah-sekolah di kawasan pedalaman ini mempubyai masalah
kekurangan guru pakar terutama bagi subjek-subjek kritikal seperti Sains, Matematik
dan Bahasa Inggeris. Selain itu, kurangnya guru lelaki yang berkelayakan mengikut
opsyen dan guru berkelayakan bagi Pendidikan Khas apabila ditempatkan di kawasan
luar bandar dan pedalaman akan menimbulkan masalah dalam pengendalian aktiviti
kurikulum dan kokurikulum serta bilangan Guru Sandaran Tidak Terlatih (GSTT) yang
masih ramai di sekolah luar bandar. Begitu juga di sekolah pedalaman di peringkat
menengah mempunyai masalah yang sama iaitu kekurangan guru terlatih yang
bertauliah. Ini kerana kebanyakan guru di sekolah pedalaman kurang berpengalaman
dan tidak mendapat latihan yang sepatutnya. Di samping itu, kadar pertukaran guru
juga lebih tinggi daripada sekolah bandar. Tambahan pula, terdapat juga masalah lain
yang terpaksa dihadapi, iaitu guru dari luar bandar ini selalunya akan membuat
permohonan hendak keluar dan pulang semula ke bandar manakala guru yang
berpengalaman pula tidak ingin pergi ke luar bandar walaupun diberi kenaikan pangkat.
Jadi, masalah inilah yang membelenggu negara kita kerana tidak ramai guru yang
benar-benar sanggup dan sedia berkorban untuk membantu murid di kawasan
pedalaman dan luar bandar supaya dapat meningkatkan kemajuan pendidikan di
sekolah luar bandar agar dapat bersaing dengan sekolah bandar dari segi pencapaian
prestasi akademik yang cemerlang. Selain itu, guru-guru ini juga tidak mempunyai
persiapan yang cukup dari segi mental dan fizikal untuk ditempatkan di kawasan
pedalaman.
Satu perkembangan yang amat ketara dalam dunia masa kini ialah berlakunya
ledakan teknologi maklumat. Dengan adanya kemajuan dalam telekomunikasi,
komputer yang dihubungkan dengan jaringan internet telah membolehkan banyak
maklumat diperolehi dengan cepat. Inovasi dalam teknologi maklumat ini dapat
menyebarkan segala maklumat kepada pelbagai lapisan masyarakat. Komputer adalah
alat elektronik yang kompleks dan mempunyai banyak kelebihan dan ia sesuai untuk
dijadikan alat bagi membantu guru dalam proses pengajaran dan pembelajaran kerana
ia berkemampuan menerima dan memproses data. Komputer juga membantu pengajar
mencapai objektif pengajaran dan pembelajaran yang berkesan jika digunakan dengan
sistematik. Pengajaran yang disertakan dengan alat bantu mengajar terkini akan dapat
menambah minat pelajar mempelajari sesuatu bidang pelajaran. Penggunaan komputer
ini ada hubungkaitnya dengan teknologi maklumat dan komunikasi yang kini
diaplikasikan dalam sistem pendidikan negara. Ini adalah kerana komputer dijadikan
sebagai pangkalan data, dapat memberikan maklumat yang dicari atau diminta oleh
orang ramai. Perlaksanaan konsep Sekolah Bestari iaitu salah satu contoh aplikasi
perdana dalam Koridor Raya Multimedia adalah usaha kerajaan yang berterusan bagi
membentuk generasi baru yang mempunyai daya saing dalam era teknologi maklumat
dan komunikasi. Namun begitu di kawasan pedalaman dan luar bandar isu
ketaksamaan peluang pendidikan tetap berlaku, iaitu wujudnya jurang digital di mana
ia dapat dilihat dari segi akses kepada kemudahan ICT antara lokasi dan
penguasaan kemahiran ICT dalam kalangan guru.
Sebagaimana yang diketahui tidak ramai guru yang pakar, mahir dan
menguasai kemahiran penggunaan ICT dan ini menyebabkan mereka tidak dapat
mengaplikasikannya dalam proses pengajaran dan pembelajaran di bilik darjah. Ini
menyebabkan murid akan mudah berasa bosan dan tidak berminat untuk belajar
disebabkan tiadanya media pengajaran yang dapat menarik perhatian dan minat
mereka. Selain itu, murid-murid juga akan mudah hilang fokus untuk belajar. Namun
begitu, kekurangan guru yang pakar dalam bidang ICT bukanlah penyumbang utama
wujudnya jurang digital tetapi kadang kala disebabkan juga oleh kekurangan
kemudahan asas seperti bekalan elektrik yang tidak cukup atau tidak sampai di
kawasan pedalaman juga boleh menjadi punca guru tidak dapat menggunakan
teknologi yang canggih ini. Di samping itu, sekolah yang terpencil di kawasan
padalaman agak sukar untuk menerima akses kemudahan ICT seperti sistem jalur
lebar ‘wireless’ yang menyebabkan murid tidak dapat menggunakannya untuk
meneroka ilmu pengetahuan dan kemahiran baru. Oleh sebab lokasi sekolah yang jauh
dari bandar menyebabkan kemudahan akses ICT itu tidak tercapai di kawasan
pedalaman dan luar bandar.
2.3.1. Cara Menangani Isu Kekurangan Guru Pakar dan Jurang Digital
Sebagaimana yang kita sedia maklum, kerajaan telah banyak memainkan
peranan untuk membantu golongan masyarakat yang tinggal di kawasan pedalaman ini
antaranya ialah dengan menangani isu kekurangan guru terlatih di kawasan
pedalaman. Langkah yang telah diambil oleh kerajaan ialah menempatkan guru-guru
baru mengkut keperluan opsyen di sekolah-sekolah yang kekurangan guru.
2.4 Isu bantuan kewangan
2.5 Isu Pengasingan Etnik
2.6 Isu Bahasa
3.0 PERANAN GURU MENANGANI ISU KETAKSAMAAN PELUANG PENDIDIKAN
DALAM BILIK DARJAH
4.0 AMALAN LAIN YANG DAPAT MENGHAPUSKAN KETAKSAMAAN PELUANG
PENDIDIKAN DI MALAYSIA
Recommended