MRJ NO:M-05-368-12/2014
1
DALAM MAHKAMAH RAYUAN MALAYSIA DI PUTRAJAYA
[BIDANGKUASA RAYUAN]
RAYUAN JENAYAH NO: B-05(M)-260-10/2015
ANTARA
MUHAMAD SAFWAN BIN MUHAMAD … PERAYU
DAN
PENDAKWA RAYA … RESPONDEN
[Dalam Perkara Mahkamah Tinggi Shah Alam Perbicaraan Jenayah No: 45B-222-10-2012
Antara
Pendakwa Raya
Lawan
1. Mohamad Zul Shahril bin Suhaimi
2. Mohamad Sharafe bin Matt Noh
3. Azizi Aizat bin Ibrahim
4. Muhamad Safwan bin Muhamad]
KORUM:
TENGKU MAIMUN TUAN MAT, HMR UMI KALTHUM ABDUL MAJID, HMR
KAMARDIN HASHIM, HMR
MRJ NO:M-05-368-12/2014
2
PENGHAKIMAN MAHKAMAH Latar belakang [1] Ini adalah rayuan Perayu terhadap sabitan dan hukuman mati yang
dijatuhi oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam atas kesalahan membunuh di
bawah seksyen 302 Kanun Keseksaan (KK).
[2] Pada asalnya Perayu bersama tiga yang lain telah dihadapkan
dengan dua pertuduhan bagi kesalahan membunuh. Butir-butir dua
pertuduhan tersebut adalah seperti berikut:
Pertuduhan Pertama:
“Bahawa kamu bersama-sama, pada 8 Mac 2012 jam lebih kurang 11.30
malam sehingga 9 Mac 2012 jam lebih kurang 1.30 pagi, bertempat di
rumah No. 28, Jalan TK 1/11, Taman Kinrara, Puchong di dalam Daerah
Petaling, di dalam Negeri Selangor Darul Ehsan, telah bersama-sama
melakukan kesalahan membunuh iaitu menyebabkan kematian ke atas
Omar Peter bin Abdullah (No. KP: 551113-07-5297) dan dengan itu kamu
telah melakukan satu kesalahan yang boleh dihukum di bawah seksyen
302 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama seksyen 34 Kanun
Keseksaan.”
MRJ NO:M-05-368-12/2014
3
Pertuduhan Kedua: “Bahawa kamu bersama-sama, pada 9 Mac 2012 jam lebih kurang 1.30
pagi sehingga 2.30 pagi, bertempat di rumah No. 28, Jalan TK 1/11,
Taman Kinrara, Puchong di dalam Daerah Petaling, di dalam Negeri
Selangor Darul Ehsan, telah bersama-sama melakukan kesalahan
membunuh iaitu menyebabkan kematian ke atas Zara Eleena binti Omar
Peter (No. KP: 891203-14-5990) dan dengan itu kamu telah melakukan
satu kesalahan yang boleh dihukum di bawah seksyen 302 Kanun
Keseksaan dan dibaca bersama seksyen 34 Kanun Keseksaan.”
[3] Di akhir kes pendakwaan, hakim bicara telah mendapati pihak
pendakwaan gagal untuk membuktikan kes prima facie terhadap Perayu
atas kedua-dua pertuduhan. Perayu telah dilepas dan dibebaskan dari
kedua-dua pertuduhan. Manakala tiga yang lain telah disabitkan dengan
kedua-dua pertuduhan di akhir kes dan dihukum gantung di leher
sehingga mati.
[4] Pihak pendakwaan telah merayu ke Mahkamah Rayuan terhadap
perintah pelepasan dan pembebasan Perayu atas kedua-dua
pertuduhan.
[5] Pada 28.7.2015, Panel Mahkamah Rayuan yang terdiri dari YA
Dato’ Aziah binti Ali, HMR; YA Dato’ Rohana binti Yusuf, HMR; dan YA
Dato’ Ahmadi bin Hj. Asnawi, HMR telah membenarkan sebahagian
MRJ NO:M-05-368-12/2014
4
rayuan pihak pendakwaan bagi pertuduhan kedua atas kesalahan
membunuh Zara Eleena binti Omar Peter (si mati perempuan) dan
memerintahkan Perayu membela diri di hadapan hakim bicara yang
sama. Panel yang sama telah menolak rayuan terhadap pertuduhan
membunuh Omar Peter bin Abdullah (si mati lelaki) dan mengesahkan
pembebasan Perayu bagi pertuduhan pertama.
[6] Selepas mendengar pembelaan Perayu, hakim bicara telah
mensabitkan Perayu atas pertuduhan kedua dan menjatuhkan hukuman
mati mandatori ke atas Perayu.
[7] Kami telah mendengar dan menimbangkan rayuan Perayu pada
15.12.2016. Kami dengan sebulat suara telah menolak rayuan Perayu
dan mengesahkan sabitan serta hukuman hakim bicara. Alasan-alasan
bagi penolakan rayuan Perayu, kami sampaikan seperti berikut:
Kes Pendakwaan [8] Naratif kes pendakwaan bermula apabila Normaliah binti Mahmood
(SP4) yang merupakan isteri kepada si mati lelaki dan juga ibu kepada si
mati perempuan membuat laporan polis di Balai Polis Segamat, Johor
pada 11.3.2012 jam 10.36 pagi (P17) apabila SP4 gagal untuk
menghubungi suami dan anak perempuannya sejak 9.3.2012. Kali
terakhir SP4 dapat menghubungi suaminya adalah pada 8.3.2012 jam
MRJ NO:M-05-368-12/2014
5
11.30 malam. Bertindak atas maklumat dari P17, Sjn. Amathi Sri
Kumarang Uruparan (SP6) dari Balai Polis Bandar Kinrara, Puchong telah
pergi ke alamat rumah No. 28, Jalan TK 1/11, Taman Kinrara, Puchong
(tempat kejadian) untuk membuat pemeriksaan dan penyiasatan. SP6
telah menerima maklumat mengenai laporan polis P17 pada jam 11.00
pagi, dan telah menghubungi SP4 untuk mendapatkan maklumat lanjut
sebelum SP6 dan Konstabel Faizal pergi ke tempat kejadian sekitar jam
12.00 tengahari. SP6 mendapati pagar rumah dalam keadaan berantai
dan bermangga. Rumah tempat kejadian tidak dapat dimasuki. Pada jam
6.30 petang hari yang sama SP6 sekali lagi pergi ke rumah tempat
kejadian tetapi masih dalam keadaan yang sama.
[9] Pada jam 9.30 malam, SP6 kembali ke rumah tempat kejadian dan
telah bertemu dengan SP4 di sana. Dengan kebenaran SP4, kunci
mangga pagar telah dipecahkan dan SP6 mendapati pintu grill dan pintu
papan rumah itu tidak berkunci. Setelah membuat pemeriksaan, SP6
menemui mayat si mati lelaki di dalam bilik hadapan dan menemui mayat
si mati perempuan berada dalam bilik di bahagian tengah. SP6 terus
melaporkan penemuan 2 mayat tersebut ke Bilik Gerakan, IPD Serdang
kepada Kpl. Verappan a/l Suppayah (SP2) yang kemudiannya
menjadikan maklumat itu sebagai laporan maklumat pertama (P9).
MRJ NO:M-05-368-12/2014
6
Kedua-dua mayat dalam keadaan telah mengembong, berulat dan
berbau busuk.
[10] Pakar perunding perubatan forensik, Dr. Nurliza binti Abdullah
(SP13) yang menjalankan bedah siasat terhadap kedua-dua si mati tidak
mendapati sebarang kesan kecederaan pada badan kedua-dua si mati.
Kedua-dua mayat telah dicamkan oleh ASP Mohd Nazir bin Mat (SP32),
Pegawai Penyiasat dalam kes ini dan juga oleh SP4. Menurut SP13,
punca kematian kedua-dua si mati tidak dapat dipastikan dengan jelas
(uncertained). Walau bagaimanapun SP13 tidak boleh mengecualikan
kesan-kesan kecederaan yang kurang ketara atau kurang jelas seperti
kesan lebam, kesan lecet atau abrasi superficial, tanda-tanda asfiksia
iaitu kekurangan oksigen boleh menjadi penyebab kepada kematian
kedua-dua si mati. Laporan bedah siasat ke atas kedua-dua si mati yang
telah disediakan oleh SP13 telah dikemukakan seperti P76 dan P78.
[11] Pihak polis kemudiannya telah berjaya menangkap keempat-empat
tertuduh, termasuk Perayu. Kejayaan ini hasil dari maklumat yang
diberikan oleh SP4 mengenai masaalah yang timbul di antara anaknya, si
mati perempuan dengan teman lelaki anaknya yang bernama “Shah”
(Tertuduh Pertama). Masaalah itu timbul berkaitan perbuatan Shah yang
dikatakan telah mengeluarkan wang simpanan si mati perempuan untuk
MRJ NO:M-05-368-12/2014
7
kegunaan peribadinya dan seterusnya tentang kehilangan barang kemas
milik SP4 yang telah diserahkan oleh si mati lelaki kepada Shah dan telah
hilang. Si mati perempuan adalah seorang Pensyarah di Kolej Cybernatic
dan Shah merupakan salah seorang penuntut di Kolej yang sama.
[12] Berikutan dari penangkapan ke empat-empat tertuduh (termasuk
Perayu), pihak polis telah berjaya merampas beberapa barang kes yang
merupakan milik si mati-si mati dan juga milik SP4.
[13] Berikutan penangkapan ke empat-empat tertuduh juga, pihak polis
telah berjaya mendatangkan seorang saksi penting yang telah
menceritakan faktual matrik kes pendakwaan dari awal perancangan
sehingga kejadian pembunuhan kedua-dua si mati. Saksi Fadhil Rusdan
bin Rahman (SP1), salah seorang pelajar di Kolej Cybernatic telah
menceritakan bagaimana beliau telah menyaksikan kedua-dua
pembunuhan dalam kes ini. SP1 menyatakan wujud perancangan dan
persediaan awal untuk membunuh si mati- si mati yang dikepalai oleh
Shah. Pembunuhan yang dirancang adalah untuk menutup kes
kehilangan barang kemas milik SP4 yang telah diambil oleh Shah yang
berlagak sebagai ustaz kononnya untuk mengubati penyakit SP4 dan
untuk menghalau hantu yang dikatakan oleh Shah berada pada barang-
barang kemas tersebut, akibat ada ura-ura si mati lelaki dan si mati
MRJ NO:M-05-368-12/2014
8
perempuan untuk membuat laporan polis mengenai kehilangan wang dan
juga barang kemas milik SP4 tersebut.
[14] Saksi SP1 telah menceritakan bagaimana si mati-si mati telah
dimatikan secara melemaskan mereka dengan cara menutup mulut dan
hidung setelah tangan dan kaki si mati lelaki di ikat menggunakan tali.
Manakala si mati perempuan pula telah dilemaskan dengan
menggunakan bantal. SP1 telah menceritakan peranan yang telah
dimainkan oleh setiap tertuduh dalam pembunuhan ke atas si mati-si mati
termasuk peranan Perayu (Tertuduh Keempat) yang dikenali sebagai
‘Chat’ oleh SP1. Dalam keterangannya, SP1 menyatakan walaupun
Perayu terlibat sejak awal perancangan pembunuhan, Perayu tidak ada
bersama semasa pembunuhan terhadap si mati lelaki. Perayu
bagaimanapun telah hadir dan terlibat bersama semasa pembunuhan
terhadap si mati perempuan.
Pembelaan Perayu [15] Dalam keterangan membela dirinya secara bersumpah dengan
secara ringkasnya Perayu menyatakan seperti berikut:
(a) pada masa kejadian dia merupakan seorang pelajar di Kolej
Cybernatic dan telah memulakan pengajiannya sejak hujung
bulan November 2011;
MRJ NO:M-05-368-12/2014
9
(b) sebelum kejadian, dia tinggal di Flat Kasturi bersama Shah
(Tertuduh Pertama) dan rakan-rakannya yang lain. Pada bulan
Mac 2012, dia telah berpindah ke Pandan Jaya manakala Shah
telah tinggal di tempat yang lain;
(c) pada hari kejadian, dia bersama Shah, SP1, Mat Rop (Tertuduh
Kedua) dan Boy (Tertuduh Ketiga) berada di rumah Shah sedang
duduk menonton televisyen. Pada masa itu SP1 telah menerima
panggilan telefon daripada Miss Zara (si mati perempuan) dan
SP1 telah memberitahu bahawa Miss Zara akan datang untuk
menjemputnya untuk pergi ke rumah Miss Zara;
(d) SP1 telah mengajak Perayu dan lain-lain tertuduh untuk
menemaninya pergi mengikut Miss Zara. Perayu sendiri
menyatakan dia tidak mahu ikut dan mahu duduk di rumah
sahaja. Menurut perayu, Miss Zara telah datang mengambil
mereka pada jam lebih kurang 10.00 malam. Selepas mereka
semua pergi, dia terus duduk di rumah berseorangan sambil
menonton televisyen;
(e) tidak berapa lama kemudian Perayu menyatakan dia telah
menerima panggilan telefon daripada Shah dan mengajaknya
untuk pergi makan. Shah kemudian telah datang memandu
kereta Miss Zara menjemput Perayu untuk pergi makan
bersama-sama dengan Mat Rop dan Boy. Shah
memberitahunya bahawa SP1, Short, Pijan dan Rap tidak ikut
bersama tetapi terus berada dengan Miss Zara di rumah Miss
Zara;
(f) semasa sedang makan, Shah ada menerima panggilan telefon
daripada SP1 yang meminta Shah untuk pergi mengambil
mereka dari rumah Miss Zara. Mereka kemudian telah bersama-
sama pergi ke rumah Miss Zara;
(g) apabila sampai di perkarangan rumah Miss Zara, Perayu melihat
SP1 berada berseorangan di luar rumah sedang menunggu
MRJ NO:M-05-368-12/2014
10
ketibaan mereka. Perayu menyatakan bahawa SP1 kelihatan
berada dalam keadaan kelam kabut. Beliau tidak nampak di
mana rakan-rakan yang lain iaitu Short, Pijan dan Rap berada
pada masa itu;
(h) SP1 terus meluru ke arah kereta mereka sambil membawa beg
dan menyuruh Shah beredar segera jauh dari tempat itu. Ini
merupakan kali pertama Perayu nampak SP1 membawa beg
tersebut. Mereka kemudiannya terus beredar dari situ. Perayu
menyatakan bahawa beliau tidak memasuki rumah Miss Zara
dan kehadiran beliau hanyalah setakat di dalam kereta dan di
hadapan rumah sahaja serta mereka tidak tahu menahu
mengenai apa yang berlaku di dalam rumah;
(i) kerana pelik dengan perlakuan SP1, mereka ada bertanya
kepada SP1 dan dijawab oleh SP1 “tak pa bawa sahaja kereta
ini, nanti aku cerita”. Kemudian semasa dalam perjalanan keluar
dari taman perumahan tersebut, SP1 memberitahu dia telah
melakukan sesuatu perkara yang besar terhadap Miss Zara dan
bapa Miss Zara. Menurut perayu, SP1 mengaku membunuh
Miss Zara dan bapa Miss Zara. Selepas itu mereka semua yang
berada di dalam kereta tersebut berasa panik. Perayu kemudian
telah menasihati SP1 untuk bertanggungjawab ke atas apa yang
telah dilakukan dan pergi menyerah diri;
(j) menurut Perayu beliau kemudiannya telah tertidur di dalam
perjalanan. Apabila sedar, dia tidak tahu mereka berada di
mana. Shah memberitahu dia bahawa mereka berada di Kedah.
Mereka kemudiannya berehat dan tidur di sebuah hotel. Apabila
bangun, Perayu mendapati SP1 tiada di hotel berkenaan.
Mereka semua kemudiannya keluar makan tengahari dengan
menaiki teksi tanpa SP1. Mereka juga tidak mengetahui di mana
kereta yang mereka naiki sebelum ini berada;
MRJ NO:M-05-368-12/2014
11
(k) sewaktu sedang makan, Shah menerima panggilan telefon
daripada SP1 menyuruh untuk membeli tiket bas untuk pulang
ke Kuala Lumpur. Mereka semua menunggu SP1 di stesen bas
selepas ‘check out’ daripada hotel. Mereka berjumpa SP1 di
stesen bas. SP1 enggan memberitahu apa yang telah
dilakukannya sepanjang ketiadaannya. Mereka semua pulang
ke Kuala Lumpur dan ke rumah masing-masing, kecuali SP1
yang mengikuti perayu balik ke rumah Perayu;
(l) apabila sampai di rumah Perayu, SP1 telah terima satu
panggilan telefon daripada seseorang yang tidak dikenali oleh
Perayu. SP1 kemudian memberitahu Perayu bahawa beliau
ingin meninggalkan beg yang dibawa di rumah Perayu dan akan
datang untuk mengambil beg tersebut semula. Perayu ada
bertanya kepada SP1 “kenapa tidak bawa terus beg tersebut?”
dan di jawab oleh SP1, dia mahu letak sekejap sahaja;
(m) sepanjang beg tersebut berada di rumah Perayu, beliau tidak
pernah membuka beg tersebut. Beliau juga tidak membuat
sebarang laporan polis berkaitan kes bunuh. Perayu
menyatakan beliau hanya tahu mengenai pembunuhan tersebut
melalui SP1. Sama ada benar atau tidak perkara tersebut
berlaku, Perayu tidak tahu;
(n) Perayu menafikan kandungan Laporan P85 yang menyatakan
beliau ada menyandang sebuah beg. Perayu juga menyatakan
beliau tidak pernah nampak beg silang bersama telefon bimbit.
Berkaitan dengan penangkapan beliau, Perayu memberitahu
terdapat dua lelaki datang ke rumahnya. Lelaki tersebut
bertanyakan namanya dan nama OKT3 yang pada waktu itu
sedang tidur. Dua lelaki tersebut mengeluarkan kad kuasa polis
dan mereka menyatakan bahawa mereka mahu Perayu dan
OKT3 untuk pergi ke Balai Polis untuk membantu di atas siasatan
satu kes bunuh; dan
MRJ NO:M-05-368-12/2014
12
(o) semasa di dalam tahanan, Perayu memberitahu polis bahawa
beliau tidak tahu menahu berkenaan pembunuhan ini dan hanya
ke sana untuk mengambil SP1 sahaja. Perayu menafikan
bahawa beliau merancang bersama lain-lain tertuduh untuk
membunuh Miss Zara. Perayu seterusnya menyatakan beliau
tidak ada niat dan sebab untuk membunuh Miss Zara.
Dapatan dan keputusan hakim bicara diakhir kes pembelaan [16] Hakim bicara yang bijaksana mendapati keterangan pembelaan diri
Perayu merupakan satu penafian bahawa Perayu telah secara niat
bersama menyebabkan kematian terhadap si mati perempuan. Perayu
telah menafikan sama sekali penglibatan beliau dalam kes pembunuhan
yang dipertuduhkan. Hakim bicara juga mendapati bahawa keterangan
membela diri Perayu amat jauh berbeza dengan keterangan-keterangan
yang telah dikemukakan oleh saksi-saksi pendakwaan terutamanya
keterangan daripada SP1, SP4 dan SP6. Perayu telah meletakkan
dengan sepenuhnya kesalahan membunuh si mati-si mati ke atas bahu
SP1.
[17] Hakim bicara setelah membuat penelitian secara maksima
keseluruhan keterangan kes pendakwaan bersama keterangan
pembelaan telah menolak keterangan pembelaan Perayu. Walaupun
hakim bicara mendapati SP1 merupakan seorang rakan sejenayah
MRJ NO:M-05-368-12/2014
13
berdasarkan kehadiran SP1 di tempat kejadian serta penglibatan SP1
dalam mengikat kaki si mati lelaki serta menyaksikan akan kedua-dua
kejadian pembunuhan, hakim bicara telah memilih untuk menerima
keterangan SP1 secara berhati-hati. Hakim bicara telah menerima
keterangan SP1 di bawah seksyen 133 Kanun Acara Jenayah.
[18] Hakim bicara mendapati SP1 seorang saksi yang jujur dan kredibel.
SP1 juga didapati telah memberikan keterangan tanpa menyembunyikan
sebarang fakta serta peranannya sendiri yang turut terlibat dalam
kejadian pembunuhan tersebut. Manakala hakim bicara mendapati
pembelaan Perayu sama sebagaimana pembelaan ketiga-tiga tertuduh
lain yang telah disabitkan sebelum ini dengan kedua-dua pertuduhan.
Pembelaan mereka meletakkan kesalahan atas SP1 sepenuhnya yang
telah ditolak oleh hakim bicara sebelum ini. Hakim bicara turut menerima
keterangan SP1 bahawa itu pertama kali SP1 berada di rumah tempat
kejadian dan telah dibawa ke situ oleh Tertuduh Kedua atas arahan Shah
untuk mengubati penyakit SP4. Hakim bicara mendapati keterangan SP1
adalah konsisten dan kredibel. Keterangan SP1 tidak goyah walaupun
disoal-balas secara bertubi-tubi oleh peguambela- peguambela terpelajar
bagi Perayu dan tertuduh-tertuduh yang lain.
MRJ NO:M-05-368-12/2014
14
[19] Hakim bicara seterusnya mendapati keterangan SP1 konsisten dan
disokong oleh keterangan saksi-saksi pendakwaan terutamanya SP4 dan
SP6. Hakim bicara membuat dapatan fakta berikut berdasarkan kepada
keterangan SP1 yang disokong oleh saksi-saksi pendakwaan yang lain:
(a) Setelah si mati perempuan menurunkan SP1, Tertuduh Kedua
dan Tertuduh Ketiga dari kereta di rumahnya, si mati perempuan
telah keluar semula bersama-sama Tertuduh Pertama (Shah)
pergi mengambil Perayu dan seorang ustaz di Airport;
(b) Sejurus sebelum pembunuhan si mati perempuan, SP1 nampak
Tertuduh Pertama, Perayu dan si mati perempuan masuk ke
dalam rumah. Tertuduh Pertama telah menghalang si mati
perempuan dari pergi untuk berjumpa dengan bapanya, si mati
lelaki. SP1 kemudian melihat Tertuduh Pertama membawa si
mati perempuan masuk ke dalam bilik belakang;
(c) Pada ketika itu SP1, Tertuduh Kedua, Tertuduh Ketiga dan
Perayu berada di ruang tamu rumah;
(d) SP1 kemudian mendengar suara Tertuduh Pertama menjerit
meminta tolong lalu kesemua mereka pergi ke bilik belakang
tersebut dan SP1 melihat Tertuduh Pertama sedang menekup
muka si mati perempuan menggunakan bantal dalam keadaan si
mati perempuan sedang terbaring di atas lantai;
(e) Tertuduh Pertama kemudian telah meminta Tertuduh Ketiga
untuk menutup muka si mati perempuan dengan bantal. Setelah
si mati perempuan tidak lagi bernyawa, Tertuduh Pertama telah
menarik si mati perempuan masuk ke dalam bilik di tengah.
Keterangan ini konsisten dengan keterangan SP6 yang telah
menemui mayat si mati perempuan dalam bilik tengah; dan
MRJ NO:M-05-368-12/2014
15
(f) Sebelum beredar, mereka telah mengambil laptop dan barang-
barang berharga milik si mati perempuan dan melarikan diri ke
Alor Setar, Kedah dengan menggunakan kereta milik si mati
perempuan jenis Kenari WNE 754.
[20] Hakim bicara turut mendapati pembelaan Perayu hanya satu
penafian semata-mata dan pembelaan Perayu telah gagal untuk
menimbulkan sebarang keraguan yang munasabah terhadap kes prima
facie pihak pendakwaan. Hakim bicara turut berpuashati bahawa elemen
niat bersama di bawah seksyen 34 Kanun Keseksaan telah berjaya
dibuktikan oleh pihak pendakwaan terhadap Perayu. Hakim bicara
mendapati keterangan kes pendakwaan adalah mencukupi
(overwhelming) untuk mensabitkan Perayu atas pertuduhan kedua bagi
kesalahan kerana membunuh si mati perempuan secara niat bersama
dengan tiga lagi tertuduh. Perayu telah disabitkan dan dihukum gantung
di leher sehingga mati.
Rayuan Perayu [21] Di hadapan kami, peguambela terpelajar telah membangkitkan
hanya satu alasan rayuan dalam hujahannya untuk kami membenarkan
rayuan Perayu. Alasan tersebut adalah bahawa hakim bicara telah
meletakkan beban yang lebih tinggi atas Perayu. Peguambela
MRJ NO:M-05-368-12/2014
16
menghujahkan bahawa hakim bicara telah meletakkan beban yang lebih
berat atas Perayu apabila hakim bicara menyatakan tiga perkara berikut:
(a) beban atas Perayu untuk menyangkal kes pendakwaan yang
dikemukakan pada tahap prima facie;
(b) pembelaan Perayu mesti disertai dan disokong dengan bukti-
bukti yang sahih dan menyakinkan; dan
(c) pembelaan Perayu hanya merupakan penafian semata-mata.
[22] Peguambela terpelajar telah merujuk kepada beberapa petikan
dalam Penghakiman hakim bicara seperti berikut:
(i) Di m/s 27 RR Jld. 1 perenggan 1, seperti berikut:
“Membandingkan dari segi kemunasabahan serta kewajaran
keterangan yang disampaikan, saya mendapati
kemunasabahan keterangan saksi-saksi penting pendakwaan
adalah lebih meyakinkan dan lebih wajar untuk diterima,
berbanding dengan keterangan dari Tertuduh yang penuh
dengan kekaburan dan sangsi. Pembelaan yang dibangkitkan
oleh Tertuduh ini adalah lebih berupa kepada penafian
semata.”;
(ii) Di m/s 27 RR Jld.1 di perenggan 2 baris 5, seperti berikut:
“Pembelaan yang diutarakan oleh Tertuduh ini tidak
mengandungi sebarang keraguan, jauh sekali suatu keraguan
yang terjumlah kepada apa yang dikatakan sebagai keraguan
yang munasabah.”;
MRJ NO:M-05-368-12/2014
17
(iii) Di m/s 27 RR Jld.1 di perenggan 2 baris 11, seperti berikut:
“Pembelaan yang dibangkitkan oleh Tertuduh ini adalah lebih
menjurus kepada penafian semata terhadap keterlibatan beliau
di dalam kes ini. Cuma penafian sahaja diberikan. Penafian
semata tidak mencukupi. Ia tidak terjumlah kepada suatu
pembelaan dan ia bukan merupakan suatu bentuk pembelaan
yang bernas.”;
(iv) Di m/s 27 RR Jld.1 di perenggan 3, seperti berikut:
“Ini seperti prinsip yang diputuskan melalui kes PP v. Ling Tee
Huah [1980] 1 LNS 212 per Yusoff Mohamed J ‘A mere denial
without other proof to reasonably dislodge the prosecution’s
evidence is not sufficient.”; dan
(v) Di m/s 28 RR Jld. 1 di perenggan 1, seperti berikut:
“Sebarang pembelaan yang ingin dikemukakan, mestilah
disertai dan disokong dengan bukti-bukti sahih lagi
meyakinkan.”.
[23] Kami tidak bersetuju dengan hujahan peguambela terpelajar yang
menyatakan secara amnya hakim bicara terkhilaf apabila meletakkan
beban pada tahap yang lebih tinggi di bahu Perayu bagi menyangkal kes
prima facie yang ditimbulkan oleh pihak pendakwaan. Walaupun hakim
bicara tidak secara spesifiknya merujuk kepada kes Mat v. PP [1963] 1
LNS 82 sebagaimana yang dirujuk oleh peguambela terpelajar kepada
kami, namun kami mendapati bahawa hakim bicara telahpun merujuk
kepada beban atas pihak pembelaan untuk mendapatkan pembebasan
hanya dengan menimbulkan keraguan yang munasabah terhadap kes
prima facie pihak pendakwaan. Untuk itu, hakim bicara di dalam
MRJ NO:M-05-368-12/2014
18
penghakimannya di m/s 27 RR Jld.1 yang sama telah merujuk dua nas
iaitu Abdul Aziz Mohamad Shariff v. PP [2010] 5 CLJ 733 dan K.
Saravanan S. Karuppiah v. PP [2002] 4 CLJ 144 di mana dalam kedua-
dua nas tersebut telah diputuskan sebagaimana dipetik oleh hakim bicara
seperti berikut:
“It is trite that all that is necessary is for an accused person in his defence
is to cast a reasonable doubt in the prosecution’s case to earn an
acquittal.”.
[24] Kami bersetuju dengan pandangan Tuan TPR bahawa apa yang
telah dilakukan oleh hakim bicara dalam kes terhadap Perayu hanyalah
membandingkan keterangan saksi-saksi pendakwaan pada peringkat kes
prima facie dengan keterangan pembelaan Perayu yang lebih merupakan
satu penafian semata-mata. Perayu hanya meletakkan kesalahan
kepada SP1 sebagai perlaku pembunuhan terhadap dua mangsa.
Perayu menafikan sama sekali bahawa dia telah masuk ke dalam rumah
si mati-si mati. Keterangan pembelaan Perayu ini sama sekali
bercanggah dengan keterangan kukuh saksi-saksi pendakwaan. Oleh itu
keterangan membela diri Perayu telah ditolak oleh hakim bicara sebagai
gagal untuk menimbulkan sebarang keraguan yang munasabah terhadap
kes prima facie pihak pendakwaan.
MRJ NO:M-05-368-12/2014
19
[25] Kami bersetuju bahawa keputusan Mahkamah Rayuan dalam kes
Sureeya Wutthisat & Anor v. PP [2012] 8 CLJ 773 yang dirujuk oleh
peguambela terpelajar dapat dibezakan. Dalam kes itu, hakim bicara
jelas telah mengenakan beban yang terlalu tinggi ke atas tertuduh apabila
menyatakan tertuduh perlu memberikan keterangan yang meyakinkan
untuk mengenepikan kes prima facie pihak pendakwaan. Sedangkan
hakim bicara dalam kes di hadapan kami masih tidak lari dari beban
sebenar yang dipikul oleh pihak pembelaan iaitu hanyalah untuk
menimbulkan keraguan yang munasabah seperti diputuskan dalam Mat
v. PP, (supra). Sebaliknya, dalam kes Sureeya Wutthisat, (supra)
sepertimana keputusan Ahmad Maarof, HMR (sekarang HMP) jelas
menunjukkan kekhilafan hakim bicara, seperti berikut:
“[21] Sehubungan ini kami dapati ada beberapa bahagian lain dalam
alasan penghakiman kes ini yang menunjukkan bahawa YA Hakim bicara
telah membuat kesilapan mengenai beban yang dipikul oleh pihak
pembelaan. Pertama, di ms 19 rekod rayuan, YA Hakim bicara
menyatakan “Persoalannya sekarang, keterangan siapakah yang
sebenarnya untuk lebih dipercayai. Adakah keterangan SP4, SP8,
SP10, SP11, SP12 lebih perlu diberikan penekanan dan tidak kepada
keterangan SD1, SD2 dan SD4?”. Petikan itu memberi gambaran
bahawa YA Hakim bicara berpendapat di akhir kes pembelaan,
mahkamah perlu mempertimbangkan keterangan siapa yang lebih
dipercayai – keterangan pihak pendakwaan atau keterangan pihak
pembelaan. Ini adalah satu salah arahan yang serius. Ia menyalahi
prinsip yang telah diputuskan dalam Mat v. PP. Untuk memperolehi
MRJ NO:M-05-368-12/2014
20
pelepasan dan kebebasan, Sureeya dan Asan tidak perlu meyakinkan
Mahkamah bahawa keterangan mereka adalah lebih boleh dipercayai
dari keterangan pihak pendakwaan. Kalau pun mahkamah tidak
mempercayai pembelaan mereka, tetapi pembelaan itu menimbulkan
keraguan yang munasabah itu sudah memadai untuk membolehkan
mereka dilepas dan dibebaskan.
[22] Salah arahan yang serupa dapat dilihat di ms 20 rekod rayuan, di
mana YA Hakim bicara menyatakan:
Berbalik kepada soal asal, adakah keterangan dari saksi pembelaan ini
benar-benar dapat meyakinkan Mahkamah sehingga boleh
mengenapikan kesahihan kes pihak pendakwaan yang diputuskan
prima facie itu.
[23] Pada hemat kami pandangan dalam petikan itu menunjukkan
bahawa YA Hakim bicara telah meletakkan beban evidential yang tinggi
ke atas bahu Sureeya dan Asan. Ini adalah satu salah arahan yang
serius dan nyata. Mereka tidak perlu mengemukakan keterangan untuk
mengenepikan kes prima facie. Apa yang perlu mereka lakukan ialah
menimbulkan keraguan yang munasabah.”.
[26] Peguambela selanjutnya menghujahkan hakim bicara telah terkhilaf
apabila merujuk kepada keputusan dalam kes PP v. Ling Tee Huah,
(supra) memandangkan kes itu melibatkan pertuduhan rasuah yang
membabitkan anggapan di bawah seksyen 14 Akta Pencegahan Rasuah
1961 yang meletakkan beban lebih tinggi iaitu atas imbangan
kebarangkalian terhadap tertuduh bagi mematahkan anggapan tersebut
seperti diputuskan dalam kes PP v. Yuvaraj [1969] 2 MLJ 89. Dengan
MRJ NO:M-05-368-12/2014
21
merujuk kepada kes Ling Tee Huah, (supra) tersebut, peguambela
terpelajar berhujah anak guamnya telah diprejudiskan dan pembelaan
Perayu telah gagal dipertimbangkan dengan sewajarnya oleh Mahkamah.
[27] Kami tidak bersetuju dengan penghujahan peguambela terpelajar.
Dalam kes di hadapan kami, keterangan kes prima facie terhadap Perayu
menunjukkan bahawa semua 4 tertuduh termasuk Perayu telah masuk ke
dalam rumah tempat kejadian. Perayu sebaliknya mengatakan dia
langsung tidak masuk dalam rumah tersebut dan hanya menunggu dalam
kereta di luar rumah. Perayu juga telah gagal untuk memberikan
penjelasan bagaimanakah telefon bimbit milik si mati perempuan boleh
berada dalam beg yang disandang oleh Perayu. Oleh yang demikian
kami bersetuju dengan dapatan hakim bicara bahawa pembelaan Perayu
hanya merupakan penafian semata-mata. Tanpa penjelasan dari Perayu
tentang butir-butir matan pembelaan beliau, ianya gagal dengan secara
munasabahnya mengenepikan (dislodge) kes prima facie pihak
pendakwaan dan dengan sekali gus telah gagal untuk menimbulkan
sebarang keraguan yang munasabah terhadap kes pihak pendakwaan.
[28] Kami juga mendapati bahawa walaupun hakim bicara telah memetik
keputusan dalam kes Ling Tee Huah, (supra) dalam penghakimannya,
tetapi hakim bicara yang bijaksana tidak ada menggunapakai sebarang
MRJ NO:M-05-368-12/2014
22
anggapan di bawah seksyen 114 Akta Keterangan 1950 sebagaimana
yang berlaku dalam kes Ling Tee Huah, (supra).
[29] Walaupun pada dasarnya kami bersetuju bahawa Perayu tidak
memainkan peranan yang utama dan menonjol dalam pembunuhan si
mati perempuan dalam kes ini, namun pertuduhan terhadap Perayu
melibatkan elemen niat bersama di bawah seksyen 34 Kanun Keseksaan
yang telah berjaya dibuktikan oleh pihak pendakwaan. Untuk itu kami
merujuk kepada penghakiman yang telah disampaikan oleh Richard
Malanjum CJ (Sabah & Sarawak) dalam kes Krishna Rao Gurumurthi
v. PP And Another Appeal [2009] 2 CLJ 603 di m/s 626 – 627, seperti
berikut:
“[60] It is settled law that s. 34 is a rule of evidence and does not create
a substantive offence. Simply put it is a statutory recognition to the
common sense principle that if more than two persons intentionally do a
thing jointly it is just the same as if each of them had done it individually.
It is an embodiment of the concept of joint liability in doing the criminal
act based on common intention. Hence, an accused person is made
responsible for the ultimate criminal act done by several persons in
furtherance of the common intention of all irrespective of the role he
played in the perpetration of the offence. The section does not envisage
the separate act by all the accused persons for becoming responsible for
the ultimate criminal act.
MRJ NO:M-05-368-12/2014
23
[61] The existence of a common intention is a question of fact in each
case to be proved mainly as a matter of inference from the circumstances
of the case. It has been said that as common intention essentially being
a state of mind direct evidence as proof is difficult to procure. Invariably
inferences have to be relied upon arising from such acts or conduct of the
accused, the manner in which the accused arrived at the scene, the
nature of injury caused by one or some of them or such other relevant
circumstances available. Indeed the totality of the circumstances must
be taken into consideration in arriving at a conclusion whether there was
common intention to commit the offence for which the accused can be
convicted. The facts and circumtances of each case may vary. As such
each case has to be decided based on the facts involved. Whether an
act is in furtherance of the common intention is an incident of fact and not
of law.
[62] For a charge premised on common intention to succeed it is
essential for the Prosecution to establish by evidence, direct or
circumstantial, that there was a plan or meeting of mind of all the accused
persons to commit the offence for which they are charged with the aid of
s. 34 notwithstanding that it was pre-arranged or on the spur of the
moment provided that it must necessarily be before the commission of
the offence.”.
[30] Kami mendapati bahawa terdapat keterangan yang kukuh
dikemukakan oleh saksi pendakwaan (SP1) yang menunjukkan terdapat
pertemuan di Restoran Norhayati dan kemudiannya di rumah Tertuduh
Pertama mengenai rancangan tertuduh-tertuduh termasuk Perayu
kononnya untuk “mengubati” ibu Miss Zara. Tertuduh Pertama telah
membekalkan sarung tangan dan juga tali kepada semua tertuduh
MRJ NO:M-05-368-12/2014
24
termasuk Perayu sebelum mereka bersama pergi ke rumah tempat
kejadian. Perayu turut berada di dalam rumah tersebut apabila
pembunuhan dilakukan terhadap Miss Zara dan Perayu turut bersama
melarikan diri ke Kedah dengan menggunakan kereta milik si mati
perempuan selepas mereka mengambil barangan berharga milik si mati
perempuan tersebut. Perayu tidak ada membuat sebarang laporan polis
tentang kejadian pembunuhan tersebut yang beliau dakwa telah
dilakukan oleh SP1. Perayu juga gagal memberi sebarang penjelasan
terhadap keterangan yang mengaitkannya dengan niat bersama untuk
membunuh si mati perempuan. Malahan, isu berkaitan dengan niat
bersama tidak ditimbulkan oleh peguambela Perayu di hadapan kami
walaupun isu yang sama pernah ditimbulkan di hadapan hakim bicara.
[31] Kami telah meneliti Rekod Rayuan dan kami mendapati terdapat
keterangan yang mencukupi untuk mensabitkan Perayu atas pertuduhan
kedua bagi kesalahan membunuh si mati perempuan. Kami mendapati
sabitan terhadap Perayu adalah selamat (Mohd. Johi Said & Anor v. PP
[2005] 1 CLJ 389).
MRJ NO:M-05-368-12/2014
25
[32] Atas alasan-alasan yang kami nyatakan di atas, kami mendapati
tiada merit dalam rayuan Perayu. Rayuan Perayu ditolak. Sabitan dan
hukuman oleh Mahkamah Tinggi ke atas Perayu dikekalkan.
Bertarikh: 12 Januari 2017
t.t (KAMARDIN BIN HASHIM)
Hakim Mahkamah Rayuan Malaysia
Peguamcara Bagi Pihak Perayu: Azamuddin bin Abd Aziz Tetuan Azamuddin & Co. Tkt 1, No. 23, Jln Unggul 25/40, Seksyen 25, 40400 Shah Alam Bagi Pihak Responden: Ahmad Sazilee bin Abdul Khairi Timbalan Pendakwa Raya Jabatan Peguam Negara Putrajaya