5.5 Cara Menganalisis Data
5.5.1 Pemerhatian
Pemerhatian dilakukan sepanjang sesi intervensi berlangsung secara berstruktur. Pemerhatian
dilakukan sama ada sebelum, semasa atau selepas sesi intervensi ke atas peserta kajian. Analisis
data yang digunakan dalam pemerhatian adalah dalam bentuk instrumen senarai semak. Dalam
instrumen ini, pengkaji dapat mengetahui tindak balas peserta kajian ke atas intervensi yang
dijalankan ke atas mereka serta tingkah laku yang ditunjukkan.
5.5.2 Temubual
Analisis data yang digunakan dalam proses temu bual adalah melalui transkrip. Temu bual ini
dijalankan selepas setiap sesi intervensi dijalankan dan juga selepas ujian pra dan ujian pos
dilaksanakan. Kesemua hasil temu bual ini dipindahkan ke dalam bentuk transkrip. Transkrip
tersebut dianalisis semula dan dipersembahkan dalam bentuk naratif sewaktu analisis dan
interpretasi data. Berdasarkan skrip temu bual pengkaji bersama peserta kajian, pengkaji dapat
membuat kesimpulan akan keberkesanan kaedah yang telah diajarkan kepada mereka. Di
samping itu juga, di akhir temu bual peserta kajian turut akan diminta untuk berkongsi pendapat
tentang penggunaan kaedah H - SQUARE dalam menyelesaikan soalan yang diberikan.
5.5.3 Analisis Dokumen
Analisis dokumen merupakan instrumen yang penting kerana hasil data yang terkumpul dapat
dijadikan bukti yang kukuh bagi melihat keberkesanan sesi intervensi yang telah dijalankan
terhadap peserta kajian. Pengkaji menganalisis dokumen skrip jawapan pada lembaran kerja bagi
melihat kesilapan yang mereka lakukan dalam menjawab soalan yang diberikan. Penggunaan
lembaran kerja adalah bertujuan untuk melihat dengan lebih jelas penguasaan peserta kajian
terhadap topik bahagi nombor 3 digit dengan 1 digit.
5.3.4 Ujian Pra dan Ujian Pos
Analisis data yang digunakan dalam Ujian Pra dan Ujian Pos adalah melalui perbandingan
bilangan yang menjawab dengan betul bagi setiap item agar sebarang peningkatan atau
penurunan dapat dilihat bagi kedua-dua ujian yang dilakukan. Pengkaji dapat melihat dengan
lebih jelas perubahan yang berlaku terhadap peserta kajian sebelum dan selepas menjalani sesi
intervensi serta perbandingan salah satu jawapan pada kedua – dua ujian bagi melihat
penguasaan kemahiran membahagi. Di samping itu juga, pengkaji menunjukkan jadual
perbandingan antara ujian pra dengan ujian pos dari segi kaedah pengiraan yang dilakukan dan
hasil kerja oleh setiap peserta kajian serta jadual skor perbandingan antara ujian pra dengan ujian
pos.