Upload
vanquynh
View
233
Download
0
Embed Size (px)
Citation preview
1
UNSUR-UNSUR PEMBAHARUAN DALAM “RAWATAN SECARA
RUQYAH” PIMPINAN DATO DR HARON BIN DIN DALAM KONTEKS
RAWATAN ALTERNATIF DAN KOMPLMENTARI DI MALAYSIA: SATU
OBSERVASI MENURUT NERACA HUKUM DAN MASLAHAH
Rushdi Bin Ramli
Melakukan rawatan terhadap pelbagai jenis penyakit, rohani dan jasmani, melalui
ruqyah syar`iyyah adalah antara pendekatan rawatan yang diperakui di dalam Islam.
Terdapat banyak karya-karya para ulama tersohor - dari dahulu hingga ke masa kini
- yang telah dihasilkan di bidang ini. Dalam perkembangan semasa, rawatan melalui
ruqyah syar`iyyah ini merupakan antara bentuk rawatan yang amat popular dan
mendapat tempat dalam kalangan umat Islam di seluruh dunia. Di Malaysia, pusat
rawatan melalui system ini, yang digerakkan di bawah Persatuan Kebajikan dan
Pengubatan Islam Darussyifa, adalah di antara pusat rawatan yang cukup popular dan
telah mendapat tempat hampir 30 tahun yang lalu. Pusat rawatan Darussyifa ini
adalah sebuah pusat rawatan yang diasaskan oleh dan di bawah bimbingan ulama
tersohor, Dato Dr Haron Din sepenuhnya. Dalam usaha memartabatkan system
rawatan secara ruqyah ini, Dato Dr Haron Din, dalam pemerhatian penulis, bukan
sahaja telah memanfaatkan segala khazanah penulisan ilmu di bidang ini, malah turut
memperkenalkan beberapa pendekatan-pendekatan baru dan tersendiri di dalam
system ruqyah syar`iyyah ini. Kertas kerja ini merupakan suatu usaha dari penulis
untuk meneroka dan menilai – setelah penelitian dibuat - beberapa aspek
pembaharuan yang diketengahkan oleh Dato Dr Haron Din.
RAWATAN PENYAKIT MELALUI RUQYAH SYAR’IYYAH DI DALAM SYARIAT
ISLAM
Firman Allah SWT yang bermaksud, “Dan Kami telah menurunkan di dalam al-Quran ini
apa yang menjadi penawar dan rahmat bagi orang-orang yang beriman…..”
Sabda Nabi SAW yang bermaksud, “Hendaklah kamu menggunakan dua penawar iaitu madu
lebah dan al-Quran”
Sabda Nabi SAW yang bermaksud, “Barangsiapa dari kalangan kamu yang sanggup
memberikan manfaat kepada saudaranya [dengan melakukan ruqyah kepadanya] maka
lakukanlah”
Al-Quran yang merupakan mukjizat teragung Nabi Muhammad SAW bukan sahaja berfungsi
dan berperanan sebagai pertunjuk dan pemberi panduan di dalam kehidupan manusia,
khususnya umat Islam, namun pada masa yang sama al-Quran turut berfungsi sebagai
penawar dan ubat kepada penyakit manusia, yang fizikal dan yang rohani, dan kepada
permasalahan sejagat. Penggunaan al-Quran sebagai penawar merupakan suatu perkara yang
telah diijmakkan oleh para ulama.
Secara ringkasnya para ulama telah bersepakat kata tanpa khilaf tentang keharusan merawat
penyakit dengan menggunakan ayat-ayat al-Quran serta doa-doa yang muktabar. Justeru,
2
sejak dari awal-awal perkembangan ilmu-ilmu Islam, antara bidang ilmu yang banyak
disumbangkan oleh tokoh2 ulama lampau dan semasa adalah ilmu ruqyah ini atau disebut
juga sebagai ilmu al-tibb al-nabawwi. Sejak dari dahulu sehingga ke hari ini terdapat ratusan
karya yang ditulis oleh para ulama yang membincangkan selok-belok ilmu ruqyah ini. Justeru
pada hari ini dan khususnya di Malaysia amalan “berubat melalui sistem rawatan ruqyah” ini
adalah di antara amalan rawatan yang popular dan boleh dilihat di seluruh negara-negara
Islam. Malah terdapat juga beberapa kajian di peringkat universiti yang telah dilakukan yang
berkaitan dengan konsep rawatan ruqyah ini.
PUSAT RAWATAN BERASASKAN RUQYAH SYAR`IYYAH DI MALAYSIA
Dalam konteks Malaysia, rawatan ruqyah ini, yang kini telah dipopularkan dengan istilah
“Rawatan melalui pengubatan Islam”, adalah di antara rawatan yang cukup mendapat tempat
dalam kalangan masyarakat Islam. Di dalam kajian PhD yang dilakukan oleh Dr Khaedir
Ahmad [2011], beliau telah menyenaikan sekitar 20 pusat rawatan “pengubatan Islam” ini
manakala secara rambang, iaitu dengan merujuk kepada pelbagai sumber yang ada, boleh
dikatakan terdapat hampir satu ratus pusat-pusat rawatan di Malaysia yang melabelkan pusat
rawatan mereka sebagai “pusat rawatan pengubatan Islam”. Secara umumnya semua pusat-
pusat rawatan ini menjadikan al-Quran dan doa-doa yang muktabar sebagai asas terpenting
dalam rawatan yang diberikan.
LATARBELAKANG KAJIAN
Pendekatan merawat penyakit secara ruqyah syar’iyyah ini dapat dibaca di dalam hadis-hadis
Nabi SAW yang sahih dan di dalam tulisan-tulisan para ulama. Walau pun prinsip “kaifiat”
merawat melalui ruqyah ini dinyatakan dan dapat dilihat di dalam Sunnah Nabi SAW, namun
melalui perkembangan masa dan zaman, dan berasaskan kepada pengalaman-pengalaman
benar para ulama dan ahli ilmu di bidang ini, terdapat tidak sedikit pembaharuan-
pembaharuan dari sudut “pendekatan rawatan” yang telah diperkenalkan oleh para ulama
yang berkecimpung di bidang ini. Semua pembaharuan-pembaharuan ini, dalam pandangan
penulis, tidak lain melainkan bertujuan untuk memantapkan lagi pengamalan rawatan
penyakit melalui sistem ruqyah ini.
Namun sekalipun pembaharuan-pembaharuan ini mungkin boleh dilihat sebagai sesuatu yang
berpaksikan kepada maslahah, namun - dalam pandangan penulis - kelalaian, kealpaan dan
kejahilan yang tidak terkawal terhadap “prinsip-prinsip ruqyah di dalam Islam” adalah
ditakuti akan mendedahkan sistem amalan ruqyah ini kepada pelbagai elemen-elemen
khurafat dan “haram” yang tersasar jauh daripada objektif-objektif Syariah yang muktabar.
BEBERAPA UNSUR-UNSUR PEMBAHARUAN ATAU CIRI-CIRI UTAMA PUSAT
PENGUBATAN ISLAM DARUSSYIFA’ BERDASARKAN PEMERHATIAN
PENULIS :
1. Tidak Ada Bayaran dan “business minded” Bagi khidmat Rawatan Ruqyah.
Penulis berpendapat bahawa meletakkan bayaran tertentu di dalam khidmat rawatan yang
diberikan adalah di antara fenomena yang paling ketara di dalam semua pusat2 rawatan
alternative dan komplementari di Malaysia. Ini merupakan suatu perkara yang tidak pelik
kerana sememangnya pusat-pusat rawatan tersebut menyasarkan objektif untuk menghasilkan
3
pendapatan melalui khidmat yang diberikan. Dalam konteks perbincangan di sini boleh
dikatakan kebanyakan pusat rawatan ruqyah di Malaysia mengenakan bayaran tertentu.
Secara prinsip Syariahnya, meletakkan bayaran yang munasabah bukanlah suatu kesalahan
kerana Islam membenarkan upah diambil melalui rawatan ruqyah yang diberikan. Walau
bagaimanapun masalah dan kemusykilan mula timbul sekiranya terdapatnya pusat-pusat
rawatan yang mengenakan “cas rawatan” yang tidak munasabah lagi membebankan melalui
khidmat yang diberikan. Apa yang lebih mendukacitakan ialah bilamana chaj-chaj yang
dikenakan itu mungkin mencecah ribuan ringgit sehingga menimbulkan fitnah yang amat
besar dan “mecemari imej pusat-pusat rawatan Islam”.
Dalam konteks pusat rawatan Darussyifa`, Dato Dr Haron Din meletakkan “rawatan tanpa
bayaran” sebagai prinsip utama dan teras yang mendasari seluruh pusat-pusat rawatannya di
seluruh Malaysia.1 Dato Dr Haron Din sangat menitikberatkan tuntutan keikhlasan di dalam
rawatan dan keperluan mencari ganjaran pahala dari sisi Allah berbanding ganjaran wang dan
ringgit yang hanya sementara. Justeru, dari awal-awal keterlibatan beliau di dalam
mengembangkan serta mengaplikasikan ilmu rawatan ruqyah syar`iyyah ini, khususnya di
Darussyifa, beliau sentiasa menegaskan bahawa khidmat rawatan ini hendaklah dilaksanakan
secara yang seikhlas mungkin tanpa mengharapkan balasan wang dari manusia.
Bagi penulis, rawatan tanpa bayaran ini boleh dikatakan sebagai “trade mark” rawatan ruqyah
di bawah pimpinan Dato Dr Haron Din. Malah pernah berlaku, sebagaimana yang diceritakan
oleh beberapa perawat Darussyifa`, bilamana Dato Dr Haron Din ditanya mengenai “bayaran
yang perlu dibayar” untuk melakukan rawatan terhadap kes-kes yang serius, seperti merawat
kawasan yang bermasalah dengan gangguan, maka beliau akan menjawab bahawa “bayaran
khidmatnya ialah tiada bayaran”.2
Penilaian Penulis
Dalam penilaian penulis, ini merupakan antara ciri-ciri yang amat unik dan tersendiri di dalam
khidmat ruqyah yang telah diterapkan oleh Dato Dr Haron Din dari detik awal beliau
menurunkan serta mengaplikasikan ilmu ini kepada masyarakat. Pendekatan yang diambil
oleh beliau ini memperlihatkan bagaimana beliau teramat menitikberatkan unsur “keikhlasan
dan berkhidmat kerana Allah SWT semata-mata” di dalam berkhidmat kepada masyarakat.
Melalui pendekatan “khidmat tanpa bayaran” yang diambil ini pastinya akan dapat
memelihara orang ramai daripada unsur-unsur penipuan, ketidakadilan dan
ketidakmunasabahan dalam penetapan harga rawatan. Pendekatan seumpama ini juga
pastinya akan dapat mendidik para perawat Darussyifa untuk sentiasa berkhidmat dengan niat
mengharapkan balasan pahala di akhirat. Sesungguhnya, menurut observasi penulis, ini
adalah di antara ciri-ciri teristimewa yang dapat dilihat di dalam pusat-pusat rawatan
Darussyifak yang sukar ditemui di pusat-pusat rawatan alternative lain di seluruh Malaysia.
Hakikat ini juga memahamkan kepada kita bahawa Dato Dr Haron Din ingin menjadikan
1 Dalam perkembangan terkini terdapat sekitar 90 pusat rawatan Darussyifak di seluruh Malaysia. Pusat rawatan Darussyifa boleh ditemui di setiap negeri di Malaysia. 2 Temubual penulis bersama Ustaz Abdul Rahman Nawas, Setiausaha Persatuan Darussyifa`.
4
rawatan melalui ruqyah ini sebagai suatu “amal ibadah kepada Allah” dalam pengertiannya
yang sebenar. Justeru, elemen keikhlasan ini adalah suatu prinsip rawatan yang paling penting
dihayati. Begitu juga pendekatan ini amat menepati konsep ruqyah itu sendiri di mana,
sebagaimana yang dijelaskan oleh para ulama di bidang ini, kekuatan sesuatu ruqyah itu amat
berkait rapat dengan keikhlasan yang tersemat di dalam hati para pengamalnya.
2. Membuka dan Mengutamakan Premis Rawatan Di Seluruh Malaysia
Terdapat segelintir ilmuan Agama yang mendakwa bahawa membuka pusat-pusat rawatan
ruqyah adalah suatu bentuk bid`ah “mungkar” yang semakin menjadi-jadi dewasa ini, yang
diada-adakan oleh para ilmuan agama.3 Bagi mereka, walaupun ruqyah itu sesuatu yang
disyariatkan di dalam Islam namun pembukaan premis khas untuk “menruqyahkan para
pesakit dan orang ramai” adalah suatu pendekatan yang tersasar dari Syariah Islam. Ini adalah
kerana ianya tidak berdasarkan kepada perbuatan Nabi saw, dan tidak juga berdasarkan
kepada dalil yang jelas dan tidak pula diamalkan oleh para Sahabat Nabi saw dan para ulama
terdahulu.
Dalam konteks pendekatan Dato Dr Haron Din, beliau amat menitikberatkan pembukaan
presmis-premis rawatan bagi tujuan ini. Menurut beliau, berdasarkan prinsip asal rawatan,
khidmat ruqyah syar`iyyah ini hendaklah diberikan kepada sesiapa sahaja yang berhajat dan
di mana sahaja apabila khidmat itu diminta oleh orang. Inilah yang menjadi amalan beliau
dan inilah spirit yang diterapkan oleh beliau ke dalam jiwa para anak didiknya. Namun,
dengan mengambil kira kepada perkembangan semasa, beliau berpendapat pembukaan
premis rawatan seumpama ini adalah terlalu penting kerana ianya akan memberikan ruang
yang lebih luas dan lebih flexible kepada mereka-mereka yang berhajat. Melalui sistem
“waktu rawatan” dan “khidmat para perawat yang berjadual” yang terpampang di premis-
premis rawatan Darussyifa seluruh Malaysia, ini akan memberikan ruang yang selesa kepada
“perawat” untuk mengatur-susun aktiviti mingguan mereka dan kepada “pesakit” untuk
mengatur-susun masa yang sesuai bagi mendapatkan rawatan.
Penilaian Penulis
Dalam pemerhatian penulis, pembukaan premis-premis rawatan Darussyifak di seluruh
Malaysia adalah di antara ciri2 istimewa yang terserlah di dalam persatuan Darussyifak ini.
Penulis bersetuju sepenuhnya dengan pandangan Dato Dr Haron Din bahawa pembukaan
presis di seluruh Malaysia ini sesungguhnya telah mera`ikan maslahah semasa, iaitu ianya
dapat memberikan ruang yang seluas-luasnya kepada masyarakat yang berhajat kepada
rawatan ruqyah ini.
Sesungguhnya ajaran Islam bukanlah sentiasa bersifat rigid [seperti yang cuba difahami dan
diterapkan oleh segolongan ahli agama] di mana – secara prinsipnya - apa sahaja wasilah dan
jalan yang boleh mendatangkan maslahah yang jelas kepada masyarakat maka ianya termasuk
dalam ruang lingkup amalan dan aktiviti yang diperakukan oleh Islam. Realiti ini menepati
sepenuhnya kaedah “al-wasa`il laha ahkam al-maqasid” yang memahamkan kita bahawa
3 Kenyataan ini ada penulis temui di dalam beberapa karya berbahasa Arab.
5
sekiranya sesuatu amalan itu adalah sunat di dalam Islam maka apa sahaja wasilah yang
membawa kepada tercapainya amalan sunat itu turut dihukumkan sebagai sunat.
Begitu juga, dalam pemerhatian penulis, sekiranya kita melihat kepada bilangan para perawat
yang terlalu ramai yang telah “dilahirkan” oleh Dato Dr Haron Din sendiri, adalah terlalu
sukar untuk mengawal-selia aktiviti rawatan yang mereka lakukan melainkan sekiranya
khidmat rawatan itu dijalankan di premis2 yang dikawal-selia secara berterusan oleh barisan
AJK dan peraturan SOP yang kemas dan mantap. Begitu juga, kehadiran para pesakit yang
terlalu ramai dewasa ini menjustifikasikan lagi – menurut neraca maslahah - kepentingan
penyediaan tempat rawatan yang selesa dan dapat menampung kehadiran orang ramai.
Dari sudut yang lain, dalam pemerhatian penulis, memberikan rawatan ruqyah di rumah
sendiri secara solo dan tidak berjemaah – pada kebiasaannya - akan mendedahkan para pesakit
kepada kepelbagaian fitnah, penipuan dan masalah luar jangkaan yang sering kedengaran
mutakhir ini seperti penipuan dari sudut wang, pencabulan maruah dan kehormatan dan
sebagainya. Justeru, dalam konteks ini adalah jelas wujudnya maslahah yang rajih yang dapat
dilihat melalui pembukaan premis-premis rawatan ini.
Begitu juga, dari satu sudut yang lain, melalui premis-premis yang diwujudkan ini maka
rawatan secara ruqyah ini dapat dilaksanakan secara terbuka dan tidak tersembunyi di mana
amalan secara tersembunyi dan terselindung ini, dari satu segi, amat berbahaya kerana ianya
akan membuka ruang tersebarnya amalan perubatan khurafat atau ajaran sesat yang kerap
timbul di dalam masyarakat secara berahsia dan tersembunyi.
Begitu juga pada hari ini kita melihat bagaimana banyaknya pusat-pusat rawatan yang penulis
berani mengkategorikan sebagai “pendekatan rawatan yang masih menyelitkan unsur-unsur
yang meragukan” 4 yang wujud di tengah-tengah masyarakat pada hari ini. Justeru,
pembukaan premis-premis yang menepati “piawaian Syariah” ini pastinya akan dapat
menyelamatkan akidah umat Islam daripada terjebak ke dalam rawatan secara sihir, khurafat
dan seumpamanya. Lebih-lebih lagi, dalam pemerhatian penulis, pengetahuan masyarakat
Islam Malaysia mengenai persoalan rawatan yang menepati syariah ini masih cetik dan
dangkal dan ini memudahkan orang ramai tertipu di pusat2 rawatan tersebut. Justeru, adalah
tidak munasabah untuk menghukum kewujudan presmis ruqyah ini sebagai suatu bid`ah yang
diada-adakan. Sebaliknya, pelbagai kebaikan yang dapat dilihat dengan adanya premis-premis
ini.
3. Tidak Menawarkan Diri untuk merawat orang secara ruqyah
Walau pun merawat secara ruqyah adalah suatu amalan yang disyariatkan menurut kata
sepakat para ulama namun Dato Dr Haron Din mengambil pendekatan bahawa rawatan
ruqyah ini hanya wajar diberikan kepada “sesiapa yang memohon/meminta khidmat tersebut
daripada pihak kita”. Dalam mengulas isu ini Dato Dr Haron din menyatakan bahawa secara
umumnya tidak semua umat Islam menerima rawatan secara ruqyah ini atau dengan bahasa
4 Yang mencampuradukkan antara rawatan yang menepati piawaian syariah dan yang melibatkan amalan syirik kepada Allah.
6
lain tidak semua umat Islam memahami kewujudan rawatan penyakit melalui ayat-ayat al-
Quran. Justeru, bagi beliau, adalah lebih baik rawatan ini tidak “ditawarkan” melainkan
kepada orang-orang yang bersedia [dari dirinya sendiri] untuk dirawati secara ruqyah ini.
Kerana itu bagi mengelakkan kekeliruan dan salah faham maka rawatan ruqyah, dalam
konteks darussyifak, hanya diberikan apabila seseorang yang dengan rela hati bersedia untuk
dirawat.
Penilaian
Dalam pemerhatian penulis, secara prinsipnya, menawarkan diri untuk memberikan khidmat
ruqyah kepada orang ramai tidaklah menyalahi Syariat Islam. Islam sentiasa menganjurkan
kita berbuat kebaikan kepada orang ramai dan antara kebaikan itu ialah mendoakan
kesejahteraan kepada mereka. Malah terdapat satu hadis yang khusus mengenai khidmat
ruqyah ini di mana Nabi SAW bersabda yang bermaksud, “Barangsiapa dari kalangan kamu
yang sanggup untuk memberikan manfaat kepada saudaranya, maka lakukanlah”. Walau
bagaimana pun, dalam konteks pendekatan Dato Dr Haron Din ini, penulis berpendapat,
beliau lebih melihat kepada keperluan pemeliharaan pendekatan rawatan ruqyah ini dariapda
sebarang fitnah, salah faham dan tuduhan yang tidak berasas yang amat mudah berlaku.
Justeru adalah lebih baik, khususnya dari sudut mera`ikan kemuliaan amalan ini sendiri yang
melibatkan ayat-ayat al-Quran dan doa-doa Nabi SAW, untuk tidak menawarkan rawatan ini
melainkan terhadap mereka-mereka yang dengan rela hati bersedia untuk dirawati dan
meyakini amalan ini sebagai suatu kaedah rawatan yang benar dan sahih di dalam Islam.
Dalam pemerhatian penulis, ini juga adalah di antara “adab-adab yang amat halus dan penuh
sopan” yang ingin Dato Dr Haron Din terapkan kepada para anak didiknya. Dengan bahasa
mudahnya, “Jangan menonjol-nonjolkan diri sebagai perawat, namun berilah khidmat dengan
penuh keikhlasan apabila kita diminta oleh sesiapa pun”.
4. Ruqyah Secara Jelas dan Langsung [Bukan CD] Dan Tiada penggunaan azimat,
rajah dan wafaq
Berdasarkan penelitian penulis, Dato Dr Haron Din sentiasa menitikberatkan pendekatan
cermat, teliti dan berhati-hati [intiyat] dalam mengaplikasikan rawatan ruqyah ini. Beliau cuba
mengelakkan rawatan ruqyah yang boleh menimbulkan kekeliruan dan kesamaran seperti
rawatan ruqyah yang melibatkan pemakaian azimat atau lukisan rajah dan wafaq yang
mungkin pendekatan ini diterima-pakai dalam kalangan sebahagian ahli ilmu agama pada hari
ini.
Bagi Dato Dr Haron din, ungkapan2 ruqyah yang dibaca mestilah jelas, tepat dan tidak
menyalahi hokum syarak. Begitu juga rawatan secara ruqyah yang sahih mestilah bersifat
secara langsung dan bukannya bacaan melalui rakaman CD. Begitu juga Dato Dr Haron Din
menekankan kepentingan pembacaan doa ruqyah secara yang dapat didengari oleh diri
perawat dan juga pesakit. Melalui pendekatan ini maka apa yang dibacakan oleh para perawat
bukanlah suatu ilmu yang tersembunyi atau ingin disembunyikan dari pengetahuan orang
ramai. Malah orang ramai dapat memahami dan menilai sendiri ruqyah yang dibacakan oleh
perawat. Ini juga boleh dianggap sebagai antara ciri2 utama kaifiat ruqyah yang ditekankan
oleh Dato Dr Haron Din kepada para pelajarnya. Malah, sebagai suatu proses rawatan dan
7
penyebaran ilmu, beliau juga menyarankan ilmu ruqyah ini diberikan kepada para pesakit agar
ianya dapat diamalkan oleh mereka di dalam kehidupan seharian.
Hakikat ni juga memahamkan bahawa Dato Dr Haron Din mementingkan bacaan ruqyah yang
dibaca secara langsung dan bukannya secara rakaman di dalam CD dan sebagainya. Bagi
beliau, ruqyah adalah suatu bentuk doa kepada Allah yang memerlukan elemen ruh ibadah
seperti keikhlasan dan rasa tawaduk; justeru ianya perlu dilakukan secara langsung kepada
pesakit dan bukannya melalui CD.
Penilaian
Dalam pandangan penulis, pendekatan yang diambil oleh Dato Dr Haron din di sini adalah
pendekatan yang amat menepati tuntutan syarak dalam aspek ruqyah. Apa yang ditekankan
oleh beliau ialah supaya nilai-nilai ibadah [hubungan jiwa perawat dengan Allah SWT] akan
terus wujud dan terjalin di dalam amalan beruqyah. Justeru, ruqyah perlu dihayati secara
langsung oleh diri para pangamalnya dan bukannya dialunkan melalui rakaman CD. Begitu
juga keengganan beliau menggunakan segala jenis azimat dan tangkal memperlihatkan
bagaimana beliau mementingkan penjagaan dan pemeliharaan nilai-nilai iman dan takwa di
dalam rawatan. Sikap berhati-hati beliau di dalam bab ini memperlihatkan pendekatan beliau
amat menepati objektif utama syariah yang menuntut penjagaan agama dengan sebaik-baik
yang mungkin. Penolakan beliau terhadap penggunaan azimat rajah, nombor2 arab dan wafaq
jelas memperlihatkan bagaimana beliau menekankan kepentingan “kefahaman terhadap apa
yang dibaca” dalam amalan ruqyah. Ini adalah bagi memastikan apa yang dilafazkan itu
terselamat sepenuhnya dari unsur-unsur syirik dan sihir.
5. Kaifiat Merawat Bangunan Dan Premis Dan Kaitannya Dengan Hadis Para Malaikat
Merawat bangunan, premis dan “tempat-tempat yang bermasalah” secara ruqyah bukanlah
suatu amalan yang boleh dihukumkan sebagai bid`ah yang menyesatkan. Banyak karya-karya
ilmuan Islam yang berkaitan dengan ilmu ruqyah ini turut menjelaskan bagaimana “premis
juga boleh dirawat dengan menggunakan doa dan air yang didoakan. Justeru, merawat
bangunan dan premis-premis yang bermasalah adalah di antara bentuk rawatan ruqyah yang
diamalkan serta diturunkan oleh Dato Dr Haron Din kepsada para pelajarnya.
Walau bagaimana pun antara pembaharuan yang boleh dilihat di Darussyifa’ ialah Dato Dr
Haron Din menekankan “kaifiyat rawatan premis” yang lebih teratur, tersusun dan bersifat
berjemaah. Beliau menyarankan beberapa proses amalan utama yang merangkumi 1. solat
berjemaah Maghrib dan Isyak, 2. solat hajat, 3. membaca yasin beramai-ramai, 4. membaca
zikir beramai-ramai dan 5. disudahi dengan doa-doa kesejahteraan premis, yang bersifat
pendiding kepada tempat yang bermasalah. Selepas menyempurnakan amalan tersebut maka
air-air yang telah diruqyahkan akan direnjiskan ke tempat yang terbabit selama tiga hari
berturut-turut.
Pendekatan yang dilalui oleh Dato Dr Haron Din ini, dalam observasi penulis, adalah suatu
pendekatan yang tersendiri dan lebih menyeluruh. Ini adalah kerana, di dalam buku-buku
ruqyah syar`iyyah yang tersedia ada, proses merawat bangunan hanyalah berligar kepada
amalan membaca doa pada air dan air tersebut digunakan bagi merenjis ke tempat tersebut.
8
Begitu juga suatu perkara lagi yang amat menarik untuk disebut ialah bagaimana Dato Dr
Haron Din mengaitkan proses rawatan “bangunan yang bermasalah” dengan hadis-hadis Nabi
SAW yang menceritakan tentang kelebihan berzikir secara berjemaah. Ini merupakan suatu
kefahaman, tafsiran dan fikrah yang penulis tidak temui di dalam buku-buku ruqyah yang
dikaji. Menurut beliau, selain daripada solat hajat dan kekuatan doa-doa penghindar syaitan
yang dibacakan, zikir secara berjemaah ini memainkan peranan yang cukup besar di dalam
merawat bangunan. Apabila zikir secara berjemaah ini dilakukan maka – berasaskan kepada
hadis Nabi saw yang sahih – para malaikat [yang dipanggil sayyarah] akan turut serta
meenghadiri majlis-majlis zikir seumpama ini. Kehadiran para malaikat ini, tegas beliau, akan
memberikan pengaruh yang besar di dalam menghalau syaitan dan jin yang dipercayai
menjadi punca sesuatu tempat itu terganggu. Dengan Bahasa lain, kehadiran para malaikat
tersebut akan turut menghadirkan rahmat dan barakah ke tempat2 tersebut sehingga tempat
tersebut boleh “dipulihkan” dari gangguan syaitan dan jin.
Penilaian
Dalam pandangan penulis, pendekatan “rawatan premis” yang diterokai oleh Dato Dr Haron
Din ini merupakan suatu pendekatan yang amat unik dan tersendiri. Pendekatan ini
merupakan penggabungan kepada beberapa amalan-amalan ibadat yang disyariatkan oleh
Allah swt seperti berzikir beramai-ramai, solat hajat, penggunaan air dan sebagainya.
Pendekatan yang diambil ini kelihatan amat teratur dan yang lebih menarik, ia turut dapat
diaplikasikan bagi merawat bangunan-bangunan besar seperti kilang, ladang, bangunan
bertingkat dan sebagainya. Bagi penulis, ini adalah di antara inovatif dan legasi besar lagi
tersendiri yang telah Dato Dr Haron Din tinggalkan kepada masyarakat. Melalui kaedah
rawatan premis ini, penulis difahamkan,5 Darussyifa sentiasa [hamper setiap minggu dan
bulan] mendapat undangan untuk merawat pelbagai tempat, kawasan dan bangunan yang
bermasalah.
6. Penerimaan “Bacaan” Mantera Rawatan Melayu Traditional yang tidak menyalahi
syarak
Konsep rawatan secara ruqyah secara umumnya melibatkan pembacaan doa2 yang muktabar
dan yang berkaitan dengan penyakit, yang diambil daripada al-Quran dan al-sunnah dan doa2
para ulama terdahulu yang muktabar. Dalam konteks ini, berdasarkan hadis yang sahih, tidak
menjadi kesalahan untuk memanfaatkan ruqyah-ruqyah yang mungkin disusun oleh para
ulama mutakhir atau semasa di mana ungkapan-ungkapan yang digunakan adalah jelas tidak
menyalahi hukum syarak. Dalam konteks ini, berdasarkan pemerhatian penulis, Dato Dr
Haron Din sentiasa bersifat terbuka dan tidak “rigid” di dalam menerima pakai pelbagai doa-
doa rawatan yang telah berkembang di alam Melayu. Di dalam hal ini beliau memanfaatkan
ruqyah-ruqyah yang tidak bersumberkan dari hadis-hadis Nabi saw. Beliau juga turut
menerima mantera-mantera berbahasa melayu yang digunapakai di dalam rawatan melayu
5 Temuramah dengan Ustaz Imran Kamal Bashah, Setiausaha Kehormat Darussyifa’
9
traditional sekiranya ungkapan mantera tersebut tidak menyalahi hokum syarak dan didapati
memiliki kelebihannya yang tersendiri.
Antara mantera melayu yang digunapakai oleh beliau dan turut diturunkan kepada para pelajar
beliau ialah di dalam rawatan sakit mata. Apa yang pentingnya di sini ialah beliau turut
memanfaatkan khazanah-khazanah ilmu perubatan Melayu yang lampau sekiranya manfaat
ilmu tersebut telah terbukti melalui pengalaman beliau yang lama di bidang ini.
Penilaian
Dalam pandangan penulis, Islam tidak melarang penggunaan doa2 yang disusun-atur oleh
seseorang selama mana doa2 tersebut mempunyai makna yang jelas dan terang, iaitu tidak
menyalahi hukum syarak dan akidah Islam. Pendirian dan sikap terbuka Dato Dr Haron Din
dalam hal ini, yang amat teliti dan cermat, menurut penulis, akan dapat menyuburkan lagi
perkembangan ilmu ruqyah ini di masa-masa akan datang. Sesungguhnya segala ilmu yang
baik itu merupakan “hikmah yang hilang” yang dicari setiap masa oleh orang mukmin.
7. Penerimaan “kaifiyat amalan” rawatan melayu traditional yang tidak menyalahi
hokum Syarak.
Selain daripada mantera dan jampi mantera yang dianggap tidak menyalahi hukum syarak dan
boleh dimanfaatkan di bidang rawatan, adalah jelas, menurut pemerhatian penulis, Dato Dr
Haron din turut memanfaatkan pendekataan dan kaifiat rawatan melayu traditional yang
terbukti berkesan sejak zaman berzaman di dalam menyelesaikan masalah penyakit. Di dalam
menurunkan ilmu perubatan kepada para pelajarnya adalah jelas beliau turut merangkumkan
beberapa pendekatan rawatan atau bentuk amalan yang pada asalnya diambil daripada
pembelajaran beliau daripada tokoh2 ahli perubatan melayu Islam yang lampau di Malaysia.
Penilaian
Secara prinsipnya, di dalam persoalan rawatan dan mencari penawar kepada penyakit, Islam
tidak pernah bersifat rigid dan sempit. Umat Islam sentiasa digalakkan untuk melakukan
penyelidikan dan meneroka ruang-ruang baru di samping memanfaatkan ilmu2 perubatan
yang tersedia ada bagi mencari kesembuhan terhadap segala jenis penyakit. Sabda Nabi
Muhammad SAW yang bermaksud, “Berubatlah wahai para hamba Allah, maka
sesungguhnya Allah tidak menurunkan penyakit melainkan diturunkan bersamanya akan
penawarnya”.
Apa yang penting ialah tidak adanya unsur-unsur khurafat yang ditentang oleh Islam. Apabila
sesuatu kaifiat rawatan itu terbukti berkesan dan bermanfaat melalui “pengalaman yang benar
dan panjang” maka ianya dapat diterima dan tidak dianggap menyalahi hukum. Inilah yang
diistilahkan oleh para ulama sebagai tajribah.
Pada masa yang sama, dengan melihat kepada latar belakang Dato Dr Haron Din sebagai
seorang bekas Professor di bidang Syariah, maka penulis yakin segala pendekatan rawatan
yang diambil oleh beliau dari perubatan melayu traditional sudah pastinya telah dinilai dan
disaring terlebih dahulu sebelum menjadikannya sebagai suatu bentuk rawatan di Darussyifa’.
Ringkasnya, Dato Dr Haron Din memiliki sikap terbuka terhadap pendekatan dan kaifiat
10
rawatan yang didapati berkesan untuk kesembuhan penyakit dan tidak pula berlawanan
dengan hokum Islam.
8. Memberikan Ulasan Ilmiah Terhadap Polimik Selawat Syifa’
Selawat Syifa` adalah di antara bentuk-bentuk “selawat ke atas Nabi SAW” yang cukup
popular dalam kalangan para ahli tarekat, para ahli Sufi dan para pengamal pengubatan Islam.
Membaca selawat syifak ini adalah di antara ruqyah yang diamalkan serta diturunkan oleh
Dato Dr Haron Din kepada para pelajarnya sejak di awal-awal penubuhan Darussyifak. Dalam
konteks perkembangan semasa, polemik selawat syifak ini mula timbul apabila terdapatnya
segelintir ilmuan agama yang menghukumkan pembacaan selawat ini sebagai suatu amalan
syirik. Menurut mereka, pembaca selawat ini telah terjatuh ke dalam dosa syirik bilamana
mereka telah menyandarkan kuasa menyembuhkan penyakit kepada diri Nabi saw dan
bukannya kepada Allah SWT.
Menurut mereka, ini adalah satu kesesatan kerana di dalam akidah Islam hanya Allah SWT
yang boleh menyembuhkan penyakit. Sebagai respon kepada tuduhan tersebut, Dato Dr Haron
Din, melalui bukunya Siri Pengubatan Islam, telah memberikan penjelasan dan jawapan dari
sudut tata Bahasa Arab yang terpakai di dalam selawat tersebut bagi memperlihatkan
kesilapan pandangan golongan tersebut.
Menurut beliau, sememangnya “Allah sebagai Penyembuh” merupakan akidah pokok yang
wajib diimani oleh umat Islam di mana segala sesuatu yang lain hanyalha wasilah dan ubat di
dalam mencari kesembuhan. Selawat syifak juga tidak terkecuali, iaitu ianya termasuk dalam
kategori wasilah dan sebab di dalam mencari kesembuhan. Kewrana itu, menurut Dato Dr
Haron Din, ianya diistilahkan dengan ungkapan selawat syifak yang bererti “selawat sebagai
wasilah, jalan dan ikhtiar bagi mencapai penyembuhan”.
Apa yang lebih menarik, menurut pemerhatian penulis, ialah analisis beliau terhadap aspek
tatabahasa Arab di dalam rangkaikata selawat tersebut [bahagian tibbil qulub wa dawa`iha].
Dalam pemerhatian penulis, apa yang diketengahkan oleh Dato Dr Haron Din di sini
merupakan suatu sumbangan yang cukup besar dalam dunia rawatan. Ini adalah kerana
penjelasan akademik [ i’rab Bahasa Arab ] yang diberikan oleh beliau tidak terdapat di dalam
mana2 karya buku di seluruh dunia menurut penelitian yang penulis lakukan.
9. Tidak Mengatakan Secara Pasti Bahawa Pesakit Telah Disihir atau Mempunyai Saka
[Tidak mendakwa mengetahui yang ghaib]
Ini adalah di antara perkara yang amat ditekankan oleh Dato Dr Haron Din. Dato Dr Haron
Din amat berhati-hati dan cermat di dalam merawat kes-kes yang melibatkan “gangguan
makhluk halus”. Dalam pemerhatian penulis, apa yang penting bagi Dato Dr Haron Din ialah
merawat penyakit dan apa jua gangguan “halus” yang diadukan oleh pesakit, bukannya
menentukan apakah penyakit ini disebabkan oleh sihir, perbuatan orang dan sebagainya. Ini
adalah kerana, menurut beliau, adalah mustahil bagi seorang Islam untuk mengetahui perkara-
perkara yang ghaib. Apabila gangguan halus terjadi kepada seseorang maka tugasan utama
para perawat Darussyifa ialah berusaha merawat dan berikhtiar dan bukannya membuat
dakwaan-dakwaan yang palsu, tidak berasas, teka-meneka, yang tidak dapat dipastikan
11
kesahihannya, yang akhirnya, tanpa diduga, boleh membawa kepada perbalahan dan salah
faham sesama saudara seIslam.
Walaupun tidak dapat dinafikan bahawa terdapat penyakit yang disebabkan oleh amalan sihir,
dan ada ketikanya tanda-tanda keberlakuan sihir itu dapat dilihat pada diri pesakit,6 namun
apa yang paling penting bagi para perawat Darussyifa’ ialah membantu dan berusaha merawat
dan menyerahkan maklumat2 yang tersembunyi itu kepada Allah SWT. Justeru, di dalam
merawat kes “gangguan makhluk halus”, para perawat hendaklah bijaksana di dalam menilai
penyakit dan memanfaatkan pelbagai ruqyah yang telah diterima. Adalah penting, menurut
Dato Dr Haron din, para perawat Darussyifa’ sentiasa memberikan harapan kesembuhan
kepada para pesakitnya, menggirangkan jiwa mereka yang sedih, membimbing para
pesakitnya ke jalan yang diredai Allah SWt dan tidak sekali-kali mengeluarkan ungkapan
yang tidak dapat dipastikan kesahihannya.
Menurut penulis, aspek ini adalah di antara unsur “islah” besar [perbaikian kepada system
rawatan ini] yang berjaya diterapkan oleh Dato Dr Haron Din di dalam dunia rawatan
perubatan Islam di Malaysia. Ini adalah kerana secara umumnya , berdasarkan aduan para
pesakit sendiri dan pengalaman penulis sendiri, tidak sedikit para perawat yang berkecimpung
di bidang ini yang begitu mudah atau mengambil mudah atau cenderung untuk membuat
pelbagai andaian atau ketetapan terhadap para pesakit mereka, seperti mendakwa mereka
telah disihir, datok nenek mereka memiliki saka dan sebagainya. Malah kenyataan-kenyataan
seperti ini, menurut observasi penulis, bagaikan telah menjadi trade-mark bagi sesiapa sahaja
yang mendapatkan rawatan di pusat2 rawatan traditional Melayu.
Kenyataan-kenyataan seperti ini kebiasaannya akan membuat para pesakit menjadi semakin
resah, bingung, takut, terkejut dan mula berprasangka buruk sehingga tidak sedikit yang
datang ke Darussyifa’ bagi tujuan “mengesahkan” apa yang disebut oleh pusat-ppusat rawatan
lain di Malaysia.
10. Menyebut “Nama Pesakit” Pada Air Yang Didoakan
Selain daripada melakukan ruqyah terus kepada pesakit, para ulama turut memperakui
sesahihan melakukan ruqyah dengan cara berdoa kepada air di mana air tersebut akan
digunakan oleh pesakit sebagai minuman, renjisan dan bahan mandian. Menurut keterangan
para ilmuan Islam, setelah doa dibacakan kepada air maka para perawat hendaklah meniup
secara lembut kepada air tersebut. Dalam konteks ini, Dato Dr Haron Din turut menjadikan
air mutlak sebagai bahan utama dalam rawatan Darussyifa’. Boleh dikatakan semua pesakit
yang datang untuk mendapatkan rawatan di darussyifak dikehendaki membawa air masing-
masing bagi tujuan rawatan.
Antara pembaharuan yang penulis lihat di dalam pendekatan Dato Dr Haron Din ialah,
sekiranya pesakit tidak dapat hadir untuk menerima rawatan maka beliau akan
men”ruqyah”kan air yang dibawa oleh wakil pesakit dengan terlebih dahulu menyebut secara
jelas “nama pesakit” atau nama orang yang berhajat pada air tersebut.
6 Tanda-tanda keberlakuan sihir pada seseorang banyak ditulis dan dibicarakan oleh para ulama.
12
Ini bagi menunjukkan bahawa air tersebut adalah air ruqyah yang dikhususkan kepada pesakit
yang berhajat. Pendekatan seumpama ini [mengalunkan secara lembut nama pesakit], dalam
pemerhatian penulis, tidak dinyatakan di dalam karya-karya kitab Ruqyah. Malah air ruqyah
dapat disediakan dengan terus membacakan ayat2 ruqyah kepada air. Justeru, bagi penulis,
pendekatan ini boleh dianggap sebagai salah satu daripada kaifiat ruqyah yang diterokai oleh
Dato Dr Haron Din.
11. Air Ruqyah Yang Boleh Ditambah Dengan Air Biasa.
Jumhur ulama memperakukan rawatan secara ruqyah. Mereka turut memperakukan bahawa
ruqyah boleh dilakukan / dibacakan terhadap air mutlak yang kemudiannya dijadikan sebagai
minuman atau air mandian kepada pesakit. Namun di dalam karay2 ruqyah tersebut, menurut
penelitian penulis, air ruqyah yang telah tersedia untuk didoakan perlu disediakan dalam
kuantiti yang mencukupi untuk digunapakai sebagai bahan rawatan, minuman dan mandian.
Sebagai misalan, sekiranya air doa diperlukan untuk kegunaan mandian dalam tempoh
seminggu maka air yang cukup untuk penggunaan seminggu itu perlu disediakan.
Namun dalam pendekatan rawatan Dato Dr Haron Din, beliau berpendapat bahawa air2 yang
telah didoakan itu boleh diperpanjangkan masa penggunaannya dan tempoh hayatnya dengan
ditambah dengan air lain dari semasa ke semasa [atau sekitar 3 hingga 5 kali tambahan]
dengan syarat air ruqyah yang asal itu tidak berkurang dari separuh dari kuantiti asalnya.
Melaui pendekatan ini maka air yang telah didoakan itu boleh dipakai untuk jangka masa yang
agak panjang sekalipun mungkin air asal tersebut adalah tidak banyak.
Dalam pandangan peribadi penulis, kemunasabahan pendekatan yang dilakukan oleh Dato Dr
Haron Din ini mungkin dengan melihat kepada tiga aspek iaitu :
[1] sifat molekul air ruqyah itu sendiri yang boleh bercantum dan bergabung dengan air
baru sehingga menyebabkan air baru turut menerima keberkatan dan kekuatan doa dari air
ruqyah dan
[2] unsur “kemudahan” yang ingin diberikan kepada para pesakit di mana dengan hanya
membawa air yang tidak terlalu banyak [mungkin 1.5 liter atau 5 liter] namun air itu dapat
dimanfaatkan untuk jangkamasa yang sesuai untuk rawatan, dan
[3] dengan mengaplikasikan [di dalam pengubatan Islam] prinsip yang dinyatakan oleh para
ulama iaitu “Apa-apa yang tidak dapat dicapai / dilakukan sepenuhnya [100%] maka jangan
pula ditinggalkan bahagian kecil yang dapat dicapai”. Justeru berdasarkan prinsip ini maka
penggunaan air ruqyah sentiasa penting dan perlu diutamakan sekalipun mungkin tidak dapat
disediakan dalam kuantiti yang besar atau banyak. Sebagai misalannya, jelas Dato Dr Haron
Din, bagi tujuan merawat bangunan atau premis, maka memadailah air ruqyah itu direnjiskan
di bahagian-bahagian bangunan yang kritikal sahaja dan bukannya keseluruhan bangunan.
KESIMPULAN
Pusat rawatan Islam Darussyifa’ di bawah pimpinan Dato Dr Haron Din, yang telah
menjangkau jangka hayatnya sekita 30 tahun, telah berjaya memberikan suatu impak yang
cukup besar di dalam memperkenalkan, memartabatkan serta mengaplikasikan sistem
13
rawatan penyakit melalui ruqyah syar’iyyah ini di dalam masyarakat. Pada hari ini boleh
dikatakan pusat rawatan Islam Darussyifa’ telah wujud di setiap negeri di Malaysia dengan
kehadiran para pesakit dan mereka-mereka yang berhajat dengan jumlah yang begitu ramai.
Begitu juga antara perkembangan terkini yang membanggakan ialah bilamana pusat
pengubatan Islam Darussyifa’ ini telah diterima sebagai salah satu badan pengamal perubatan
yang sah di bahagian Perubatan Traditional dan Komplementari, Kementerian
Kesihatan Malaysia dan di dalam Akta Perubatan Traditional dan Komplementari.
Hakikat ini akan memberikan laluan yang lebih besar dan “sah” kepada Darussyifa’ untuk
terus menabur bakti kepada masyarakat.
Tidak dapat dinafikan bahawa sememangnya terdapat pembaharuan-pembaharuan tertentu
yang telah diperkenalkan oleh Dato Dr Haron Din di dalam bidang ini. Namun, apa yang
dilakukan oleh Dato Dr Haron Din ini tidak terkeluar dari batasan-batasan maslahah yang
rajih, yang ingin diterapkan oleh beliau di dalam system rawatan ruqyah ini. Di dalam
observasi penulis yang telus, tidak wujud apa yang disebut sebagai “bid’ah yang mungkar lagi
menyesatkan” di dalam sistem rawatan Darussyifa’ pimpinan Dato Dr Haron Din.
Selepas pemergian Dato Dr Haron Din ke rahmatullah, kini pusat rawatan Darussyifa’ terus
bergerak maju mengorak langkah menabur bakti di bawah teraju Persatuan Perubatan,
Pengubatan dan Kebajikan Islam Darussyifa’ yang memainkan peranan yang paling
penting di dalam mengawal selia dan memantau segala aktiviti dan perjalanan sistem rawatan
ruqyah ini agar tidak terkeluar dari prinsip-prinsip asas dan piawaian hukum seperti yang telah
di”waris”kan oleh Dato Dr Haron bin Din.
Semoga Allah SWt merahmati ruhnya dan membimbing kita ke jalan yang diredaiNya.