26
UNIVERSITI KEBANGSAAN MALAYSIA FAKULTI SAINS SOSIAL DAN KEMANUSIAAN PROGRAM KOMUNIKASI DAN DASAR AWAM MOHAMAD FAIZA BIN IBRAHIM TAJUK: KONSEP MASYARAKAT MAJMUK (PLURAL SOCEITY) OLEH J.S FURNIVALL KONSEP MASYARAKAT MAJMUK ( PLURAL SOCEITY ) OLEH J.S FURNIVALL PENGENALAN Masyarakat (Society) bermaksud sekelompok orang yang membentuk sebuah sistem interaksi sosial dimana sebahagian besar interaksi yang berlaku dalam lingkungan sistem sosial itu adalah lahir dari individu-individu yang berada dalam kelompok tersebut. Masyarakat adalah komuniti yang saling bergantung dan saling perlu memerlukan antara satu sama lain dan secara umumnya istilah masyarakat pada asasnya adalah merujuk kepada sekumpulan manusia yang hidup bersama di suatu tempat tertentu dalam satu komuniti yang teratur serta berkongsi sumber yang ada dalam kawasan tersebut. Masyarakat menurut Kamus Dewan (2005), ialah kumpulan manusia yang hidup bersama-sama di sesuatu tempat dengan

Universiti Kebangsaan Malaysia

Embed Size (px)

Citation preview

UNIVERSITI KEBANGSAAN MALAYSIA FAKULTI SAINS SOSIAL DAN KEMANUSIAAN

PROGRAM KOMUNIKASI DAN DASAR AWAM

MOHAMAD FAIZA BIN IBRAHIM

TAJUK:

KONSEP MASYARAKAT MAJMUK (PLURAL SOCEITY) OLEH J.S FURNIVALL

KONSEP MASYARAKAT MAJMUK ( PLURAL SOCEITY ) OLEH J.S FURNIVALL

 

PENGENALAN

Masyarakat (Society) bermaksud sekelompok orang yang membentuk sebuah sistem

interaksi sosial dimana sebahagian besar interaksi yang berlaku dalam lingkungan sistem

sosial itu adalah lahir dari individu-individu yang berada dalam kelompok tersebut.

Masyarakat adalah komuniti yang saling bergantung dan saling perlu memerlukan antara

satu sama lain dan secara umumnya istilah masyarakat pada asasnya adalah merujuk kepada

sekumpulan manusia yang hidup bersama di suatu tempat tertentu dalam satu komuniti

yang teratur serta berkongsi sumber yang ada dalam kawasan tersebut.

Masyarakat menurut Kamus Dewan (2005), ialah kumpulan manusia yang hidup

bersama-sama di sesuatu tempat dengan aturan dan cara tertentu. Individu, keluarga dan

kumpulan-kumpulan kecil merupakan anggota masyarakat. Jaringan erat wujud dalam

kalangan anggota tersebut, khususnya melalui hubungan bersemuka. Daripada pergaulan ini,

terbina pola hubungan sosial yang berulang sifatnya seperti kegiatan gotong-royong,

bersama-sama merayakan sesuatu perayaan, melalui rumah terbuka, berkumpul menyambut

pembesar yang datang berkunjung, menghadiri kenduri, majlis perkahwinan, membantu

mereka yang ditimpa malapetaka atau menziarahi jiran yang sakit tenat atau yang telah

meninggal dunia. Kekerapan pergaulan ini akan terbina satu kesepaduan dalam masyarakat

tersebut sebagai satu unit sosial. Dalam konteks Malaysia, hubungan harmonis antara

pelbagai kumpulan etnik dapat membina sebuah masyarakat Malaysia yang teguh.

Selain itu, masyarakat ialah kumpulan manusia yang menetap bersama-sama di

sesuatu tempat dengan mengikut peraturan dan cara tertentu dan masyarakat ini pula terdiri

daripada beberapa kaum atau bangsa. Majmuk terbentuk daripada beberapa bahagian yang

merupakan kesatuan ataudalam konteks masyarakat ia terdiri dari beberapa kumpulan etnik.

Masyarakat majmuk adalah satu kumpulan manusia yang terdiri daripada pelbagai rumpun

bangsa telah membentuk satu kesatuan, khususnya dalam aspek politik, ekonomi, dan sosial

di sesuatu tempat bagi membentuk satu kumpulan yang bersatu padu.

Manakala masyarakat majmuk (Plural society) bermaksud masyarakat pelbagai kaum

(Multi-racial society) yang merujuk kepada suasana kepelbagaian bangsa yang bersama-sama

atau berkongsi hidup dan tinggal dalam sebuah negara yang sama. Masyarakat majmuk

menurut Kamus Dewan membawa maksud masyarakat yang terdiri daripada beberapa kaum.

Menurut sarjana Graham Saunders dalam bukunya bertajuk ‘’The Development Of a

Plural Society In Malaya’’ beliau menyatakan bahawa masyarakat majmuk terdiri daripada

pelbagai bangsa yang membentuk satu kependudukan dari hidup sebagai komuniti-komuniti

yang berasingan. Menurut beliau di Tanah Melayu terdapat tiga kaum utama iaitu Melayu,

Cina, dan India. Mereka bukan sahaja terpisah kerana adat, makanan dan pakaian tetapi juga

daripada segi pekerjaan dan tempat tinggal.

Sarjana dalam bidang sosiologi J.E.Goldthorpe “The Sociology Of The Thirdworld”.

Beliau mengemukakan pandangan tentang masyarakat majmuk lebih kurang sama degan

kedua-dua orang sarjana sebelum ini iaitu, Goldthorpe berpendapat kewujudan masyarakat

majmuk sejajar dengan penjajah yang datang ke Tanah Melayu pada masa dulu dengan

membawa masuk semua kaum-kaum tersebut untuk mamenuhi peluang pekerjaan di sini.

Masyarakat majmuk juga adalah merujuk kepada keadaan masyarakat di tanah jajahan

seperti mana yang terdapat di Burma, Indonesia dan juga Malaysia. Masyarakat

majmuk di Malaysia dicirikan dari segi kepelbagaian budaya, pemisahan fizikal,

pengenalan kaum melalui perkerjaan, kekurangan kontrak sosial dan wujudnya satu

kumpulan etnik yang dominan dari segi politik.

 

CIRI-CIRI MASYARAKAT MAJMUK

Malaysia merupakan sebuah negara majmuk yang aman dan makmur. Keamanan

yang dinikmati dan keharmonian hidup pelbagai kaum telah menjadikan Malaysia

sebuah negara yang dihormati oleh pelbagai pihak dan dalam kalangan negara-negara

lain.

Antara ciri-ciri masyarakat majmuk menurut J.S Furnivall (1956) dalam bukunya

bertajuk Colonial Policy and Practice :A Comparative Study of Burma and Netherlands

India (Indonesia) dalam kajiannya di Burma dan Kepulauan Jawa ialah terdapat beberapa

jenis manusia seperti Eropah, Cina, India dan penduduk asli (bumiputera). Masyarakat ini

bercampur antara satu sama lain tetapi tidak bersatu. Mereka ini hidup berdekatan tetapi

tidak terpisah dalam sistem politik yang sama serta masing-masing berpegang kepada

kebudayaan, agama, bahasa, idea dan kaedah sendiri.

Tidak dinafikan, Malaysia mempunyai pelbagai suku kaum selain daripada tiga

komuniti etnik yang terbesar iaitu kaum Serani, Orang Asli (Semenanjung), Bajau,

Kadazan, Muru (Sabah), Kedayan, Melanau dan Iban (Sarawak), dengan pelbagai bahasa

dan dialeknya. Penerimaan kontrak sosial yang telah disepakati bersama adalah untuk

menjaga hubungan etnik di Malaysia. Masyarakat di Malaysia diberi hak pendidikan dalam

bahasa ibunda mereka tetapi tetap mengiktiraf bahasa melayu sebagai Bahasa Kebangsaan.

Masyarakat majmuk di Malaysia juga bebas untuk mengamalkan agama dan kepercayaan

masing-masing walaupun Islam diberi status sebagai agama rasmi negara. Masyarakat

Malaysia menganut agama Islam, Hindu, Kristian, Buddha, Konfusios dan Taois.

Hari ini, di merata negara di dunia terdapat masyarakat majmuk yang menganuti

agama-agama yang berlainan tetapi kebanyakan puak minoriti yang terdapat di negara yang

memerintah terdedah kepada kezaliman oleh kerajaan. Di Malaysia, kebebasan beragama

yang dilaksanakan tidak menyebabkan masyarakat di dalamnya hidup di dalam keadaan

berpecah-belah seperti negara-negara yang dilanda krisis sekarang. Meskipun pelbagai

kumpulan etnik hidup pada umumnya secara berasingan dan mengekalkan kebudayaan

masing-masing terdapat semangat persefahaman dan keharmonian kaum yang erat. Konsep

akomodasi yang diamalkan di Malaysia menyebabkan hubungan antara etnik saling

membuat penyesuaian dan bebas mengamalkan budaya masing-masing dalam keadaan

harmoni.

Hal itu membuatkan Malaysia mempunyai masyarakat majmuk yang unik.

Walaupun Malaysia mengamalkan konsep akomodasi, masyarakat Malaysia juga berkongsi

dari segi perayaan, aktiviti kebudayaan dan makanan. Masyarakat Malaysia berkongsi

perasaan gembira apabila tiba musim perayaan sesuatu kaum. Contohnya perayaan hari

RayaAidilfitri yang disambut oleh orang Islam di Malaysia. Aktiviti rumah terbuka yang

diamalkan oleh masyarakat melayu Islam turut dirai bersama oleh etnik yang bukan

beragama Islam. Perayaan sambutan Kemerdekaan juga dapat merapatkan lagi hubungan

antara etnik melalui aktiviti yang dijalankan dan dapat melahirkan perasaan patriotism dan

saling bekerjasama. Rakyat Malaysia juga terkenal dengan pelbagai jenis makanan dan ini

dapat melambangkan jati diri rakyat yang berbilang kaum. Makanan-makanan tersebut pada

asalnya berasal dari pelbagai negeri dan suku kaum, tetapi kini telah disediakan sebagai

hidangan biasa umum di Malaysia. Di antara makanan tradisi yang terkenal di Malaysia

ialah nasi lemak, char koay teow, roti canai dan banyak lagi. Kebanyakan makanan tradisi

ini berasal daripada kaum tertentu contohnya nasi lemak, makanan ini bukan hanya

digemari oleh kaum melayu sahaja malahan ia turut digemari oleh kaum lain. Kini,

masyarakat Malaysia boleh menikmati pelbagai makanan yang sebelum ini berasal daripada

kaum tertentu.

Selain itu, rakyat Malaysia juga turut mempunyai pakaian tradisi. Pakaian seperti

baju kurung, baju melayu, cheong sam dan sari adalah contoh pakaian tradisi masyarakat

majmuk di Malaysia. Cara pemakaian memainkan peranan penting dalam menentukan

perbezaan kedudukan atau martabat sesetiap kumpulan dalam kaum Melayu, Cina, India,

Iban, Kadazan dan kaum etnik kecil yang lain di Malaysia. Pakaian baju kurung dan melayu

adalah berasal daripada kaum melayu tetapi jika kita perhatikan sekarang kaum lain juga

turut menggayakan baju tradisional kaum melayu contohnya baju kurung. Contoh keadaan

seperti ini boleh didapati di sekolah mahupun di tempat kerja

Masyarakat majmuk di Malaysia dicirikan dari segi kepelbagaian budaya,

pemisahan fizikal. Pengenalan kaum melalui pekerjaan, kekurangan kontrak sosial dan

wujudnya satu kumpulan etnik yang dominan dari segi politik. Ciri-ciri masyarakat majmuk

mengiktiraf adanya keunikan dan sifat khas setiap komponen. Ciri-ciri Malaysia adalah

wadah penyatu kumpulan etnik yang sebenar iaitu satu kumpulan etnik, bahasa serta

budayanya membentuk kumpulan majoriti, kumpulan etnik yang lain dengan bahasa dan

budaya masing-masing juga mendapat tempat. Dalam konteks masyarakat majmuk

Malaysia, terdapat pelbagai kelompok etnik yang hidup berlainan, tetapi di bawah sistem

politik yang sama. Tiga etnik terbesar ialah Melayu, Cina dan India yang mana

mengamalkan kebudayaan adat resam, agama dan bahasa masing-masing. Tiga etnik ini

bersatu di atas satu ikatan kerakyatan dan di bawah sebuah pemerintahan demokrasi beraja

berperlembagaan dengan satu cara hidup yang dipersetujui bersama.

 

SEJARAH KEWUJUDAN MASYARAKAT MAJMUK DI MALAYSIA

Tanah Melayu yang merupakan sebuah tempat tumpuan pengembaraan, pelayaran dan pusat

perdagangan tentunya pernah menjadi satu tempat persinggahan dan penempatan bagi orang-

orang daripada pelbagai kebudayaan dan asal usul.Justeru konsep percampuran populasi

bukanlah merupakan satu fenomena baru dan asing di Malaysia. Kebanyakan ahli sejarah dan

antropologi sosial bersetuju bahawa struktur susunan ras etnik dan corak penempatan

penduduk masa kini telah ditentukan pada zaman perkembangan kolonial dan eksploitasi

orang British di Semenanjung Malaysia. Dalam tahun 1786 hingga 1914 merupakan zaman

paling penting dalam menentukan pola-pola etnik, ekonomi dan politik masa kini di

Semenanjung Malaysia.

Aspek demografi merupakan perkara yang penting dalam mencorakkan

kemajmukan masyarakat Malaysia. Aspek demografi tidak hanya memperlihatkan betapa

uniknya masyarakat Malaysia dari segi komposisi etnik tetapi turut mewarnai wajah

sosiobudaya, demografi politik dan proses politik di Malaysia.

Campur tangan Inggeris di Tanah Melayu bermula apabila Francis Light menduduki

Pulau Pinang pada Ogos 1786, menyebabkan kemasukkan migran secara besar-besaran

daripada luar. Dalam jangka masa yang panjang semasa pemerintahan kolonial British di

Malaysia iaitu selama lebih satu ratus lima puluh tahun bermula 1786 hingga 1957. Antara

tahun itu, Malaysia telah diduduki oleh Jepun semasa perang dunia kedua. Walau

bagaimanapun, jangka masa singkat itu dianggap tidak mempunyai signifikan yang besar

kepada komposisi dan mobiliti penduduk. Masyarakat homogenis Melayu Tanah Melayu

telah mengalami transformasi kepada masyarakat heterogenios Malaysia yang mengandungi

etnik-etnik Melayu, Cina dan India sebagai komponen utamanya.

Sebelum abad ke-18, penduduk di Tanah Melayu dan kepulauan borneo ketika itu

didominasi oleh orang Asli, orang Melayu dan kaum bumiputera Sabah dan Sarawak. Migrasi

daripada luar juga berlaku tetapi jumlahnya terhad. Selain itu, terdapat juga kaum pendatang

daripada Sumatera, Indonesia. Tetapi tidak menjejaskan corak masyarakat ketika itu kerana

kaum pendatang ini adalah daripada rumpun bangsa yang sama (James P. Ongkili, 1985:4).

Pada awal abad ke-18, perubahan dalam struktur masyarakat berlaku di Malaysia

disebabkan oleh fenomena migrasi dari luar yang berlaku akibat faktor penarik yang ada di

bumi mahupun faktor penolak di negara asal masing-masing yang bertanggungjawab

mencernakan perubahan yang berkekalan sehingga ke hari ini. Struktur masyarakat di

Malaysia berubah adalah disebabkan migrasi daripada luar dan juga faktor penolak dan

penarik. Migrasi ini berlaku sedikit demi sedikit sebelum penjajahan barat, tetapi berleluasa

setelah penjajahan berlaku. Aktiviti ekonomi dan perladangan menjadi faktor utama dalam

aktiviti migrasi daripada luar terutamanya daripada China dan India.

Hal ini kerana, masyarakat Cina daripada negara China sebenarnya ingin keluar

daripada hidup penuh dengan kemiskinan dan penderitaan. Oleh itu, mereka terpaksa keluar

berhijrah sehingga ke Tanah Melayu. Kemasukan buruh-buruh Cina ke Tanah Melayu

melalui beberapa cara yang dikenalpasti diusahakan oleh orang Cina sendiri yang telah

menetap lama di Tanah Melayu. Bilangan buruh Cina yang berhijrah memang ramai dan

sentiasa bertambah dari semasa ke semasa. Namun angka yang tepat sukar ditentukan kerana

ketiadaan dokumen yang sah dan kemasukan secara haram ke Tanah Melayu.

Kemasukan masyarakat Cina ke Tanah Melayu menunjukkan bermulanya proses

pembentukan masyarakat majmuk daripada pengaruh masyarakat Cina yang semakin

bertambah. Pengaruh masyarakat Cina ke Tanah Melayu telah mengubah corak dan sistem

sosial Alam Melayu dan juga masyarakat Melayu ketika itu. Kedatangan masyarakat Melayu

ke Tanah Melayu akhirnya telah membentuk satu masyarakat baru iaitu Baba Nyonya dan

Cina Muslim. Wujudnya golongan baru ini membawa kepelbagaian atau kemajmukkan

masyarakat di Malaysia dan mengambarkan keunikannya pada pandangan masyarakat luar.

Migran kedua terbesar selepas China adalah kelompok daripada India. Kebanyakan

mereka berasal daripada India Selatan iaitu dari Negapatam dan Madras. India juga

mengalami masalahnya tersendiri yang menyebabkan penduduknya berhijrah ke luar.

Suasana di negara itu yang dilanda kemiskinan dan kebuluran yang mendorong penduduknya

berhijrah keluar ke negara-negara lain termasuk ke Tanah Melayu ketika itu. Migran India

datang sejak pembukaan Pulau Pinang oleh Inggeris. Pada waktu itu bilangan mereka masih

kecil dan bertambah setelah Inggeris berjaya benguasai negeri-negeri Melayu.

Selain migran daripada negara China dan India, Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak

juga menjadi tumpuan daripada masyarakat luar seperti dari Indonesia dan Ceylon. Namun,

bilangan mereka jauh lebih rendah berbanding dengan buruh daripada China dan India.

Kebanyakan pendatang Indonesia berasal daripada Jawa, Kalimantan (Banjarmasin), Celebes,

Timor dan Sulawesi serta beberapa bahagain kepulauan yang berhampiran dengan Selat

Melaka.. Pendatang daripada Indonesia juga berbilang suku kaum dan etnik antaranya orang

Jawa, Bugis, Minang dan Banjar. Pendatang dari Ceylon kebanyakannya terdiri daripada

kaum Sinhalese. Mereka datang dari kawasan pantai selatan negara tersebut. Mereka datang

dengan jumlah yang agak ramai selepas abad ke-19 berterusan hingga abad ke-20an.

Kedatangan berterusan ini disebabkan penjajahan British di Ceylon. Faktor ekomoni adalah

bukan faktor utama penghijrahan mereka, sebaliknya mereka ingin mencari rezeki yang lebih

berbanding apa yang mereka dapat di negara asal mereka.

Setelah kemasukan migran daripada luar, bermulalah proses pembentukan masyarakat

majmuk yang berbilang kaum seperti sekarang. Proses pembentukan masyarakat pada

mulanya sukar kerana berbeza fahaman, amalan, ras dan etnik serta kehidupan seharian.

Banyak konflik yang berlaku dalam proses pembentukan ini seperti peristiwa 13 mei 1969.

Apabila konflik berlaku dalam masyarakat majmuk, konflik berkenaan mengikut garisan

pemisah ras, bukan garisan kelas. Pengambilan pekerja buruh daripada luar di buat secara

tetap sudah pasti akan menimbulkan masalah sosio-ekonomi dan politik yang lebih

membimbangkan dan bagi mengelak pembentukan masyarakat majmuk pelbagai etnik atau

heterogeneous seperti mana yang cuba dielak oleh negara-negara Eropah Barat dan Telok.

Setelah kemasukan migran dari luar akhirnya lahirnya kelompok dari keturunan Cina

dan India yang berasimilasi dengan budaya tempatan seperti kelompok Baba-Nyonya yang

berketurunan Cina dan kelompok Chitty yang berketurunan India. Asimilasi bangsa juga turut

berlaku apabila perkahwinan antara orang asing dengan penduduk tempatan, maka wujud

beberapa sub-kategori penduduk berdarah campuran seperti kelompok Peranakan, kelompok

Syed dan lain-lain. Kini kebanyakan penduduk Malaysia mempunyai darah kacukan Melayu-

Arab, Melayu-India, Melayu-Cina dan lain-lain.

Hari ini, kaum Melayu, kumpulan etnik terbesar di Malaysia iaitu merangkumi lebih

50 peratus penduduk negara ini. Di Malaysia, jika merujuk kepada orang Melayu

menunjukkan orang itu beragama Islam dan mengamalkan kebudayaan Melayu, berbahasa

Melayu dan mempunyai keturunan Melayu. Orang Melayu terkenal kerana peramah dan

budaya seni mereka yang sangat kaya.

Kaum Cina pula adalah kumpulan etnik kedua terbesar, yang mana kaum Cina

merangkumi 25 peratus populasi. Kebanyakan keturunan kaum Cina hari ini berasal daripada

pendatang ke negara ini pada kurun ke-19.Mereka terkenal kerana kuat bekerja dan pandai

berniaga. Tiga kumpulan kecil kaum ini yang berbicara dialek Cina berbeza adalah Hokkien

yang tinggal di utara Pulau Pinang, Kantonis yang tinggal di Kuala Lumpur dan juga

kumpulan bertutur bahasa Mandarin yang tinggal di kawasan selatan tanah air di Johor.

Kumpulan etnik terkecil antara tiga kumpulan etnik utama di negara ini, kaum India

merangkumi 10 peratus populasi. Kebanyakan berasal daripada pendatang dari Selatan India

yang berbahasa Tamil, yang datang ke Malaysia sewaktu zaman penjajahan British dahulu.

Mereka datang ke sini untuk mencari kehidupan yang lebih baik, luar daripada sistem kasta

yang diamalkan di India.Kebanyakan beragama Hindu, mereka turut membawa budaya

mereka yang unik serta pembinaan kuil, makanan pedas dan pakaian sari yang mewah.

KONSEP MASYARAKAT MAJMUK

Menurut J.S Furnivall (1939) sebuah masyarakat majmuk merupakan satu masyarakat yang

muncul akibat daripada dasar-dasar kolonial di mana penghijrahan penduduk mengikut

kehendak-kehendak sistem ekonomi, politik dan sosial. Ini telah mewujudkan kelompok-

kelompok yang berbagai ragam dalam satu unit politik. Furnivall menambah bahawa

kelompok-kelompok berbagai ragam dalam sebuah masyarakat majmuk itu “bercampur tetapi

tidak bergabung”. Setiap kelompok memegang kuat kepada agama, kebudayaan, bahasa,

idea-idea dan cara-cara kehidupan sendiri. Komuniti-komuniti dalam masyarakat majmuk itu

hidup secara berdekatan, tetapi terpisah dalam unit politik yang sama. Sistem pembahagian

buruh dalam bidang ekonomi pula adalah berasaskan ras di mana setiap ras dalam masyarakat

itu mempunyai fungsi-fungsi yang berlainan.

Dasar Inggeris terhadap Tanah Melayu dapat dilihat daripada beberapa tindakan

pemerintah Inggeris terhadap kedatangan orang-orang asing ke Tanah Melayu. Dalam hal ini

ia dapat menentukan persoalan bagaimana Inggeris membantu mewujudkan masyarakat

Malaysia yang majmuk. Keadaan ini bukan sahaja memberi kesan terhadap kemajumukan

ras, tetapi merangkumi pelbagai aspek dalam politik dan sosial. Perbincangan mengenai tajuk

ini dapat difahami jika kita melihat beberapa dasar Inggeris seperti huraian berikut:

i. Politik

Sejak tahun 1874 dasar imigrasi Inggeris berbentuk bebas iaitu tidak mempunyai

sekatan terhadap kemasukan orang asing. Dalam hal ini Inggeris seolah-olah menggalakkan

kemasukan orang asing melalui sistem-sistem kemasukan seperti kontrak, dan bebas. Hal ini

berbeza dengan tindakan Inggeris pada 1930an, dengan Inggeris memperketatkan dan

menguatkuasa dasar imigrasi dengan bertindak menghantar pulang orang-orang imigran

balik ke negara asal mereka. Selain itu, undang-undang imigrasi pada tahun 1930an juga

menghalang kemasukan baru orang asing ke Tanah Melayu. Seperkara yang menarik

tiadanya sekatan terhadap kemasukan orang asing ke negara ini sebelum undang-undang

imigrasi 1930an disebabkan oleh keperluan Inggeris untuk mendapatkan tenaga buruh bagi

menrancakkan ekonomi perlombongan dan peladangan selain buruh bagi melaksanakan

pembinaan prasarana baru seperti pembinaan jalan keretapi dan jalan raya

Keadaan ini diperkukuhkan lagi dengan kewujudan jabatan Perlindungan Orang

Asing bagi melindungi para buruh imigran daripada tindasan dan penganiayaan para kongsi

gelap mahupun majikan. Dengan wujudnya jabatan ini, ini bermakna buruh-buruh ini

dilindungi oleh pemerintah Inggeris dan ia menunjukkan bahawa seolah-olah kerajaan

Inggeris menggalakkan kemasukan buruh asing. Ini juga menjelaskan bahawa terdapat

tindakan dan dasar kerajaan Inggeris mempastikan mereka tidak kehilangan buruh bagi

menjana ekonomi Tanah Melayu. Hal ini diperkukuhkan lagi dengan kewujudan undang-

undang buruh yang memerlukan para majikan untuk memberikan kemudahan yang

sepatutnya kepada buruh imigran ini. Dengan keadaan ini ia bukan sahaja menggalakkan

kemasukan buruh asing, tetapi menggalakkan mereka untuk tidak pulang ke negara asal

mereka. Hal ini terbukti semasa kemelesetan ekonomi 1927-1932 orang-orang asing ini

keberatan untuk pulang ke negara asal mereka dan ini menjadi masalah kepada pemerintah

Inggeris.

Oleh itu, merujuk dasar-dasar pemerintahan Inggeris ini membuktikan bahawa

kewujudan masyarakat majmuk di negara ini adalah hasil pelaksanaan dasar yang

berkehendakkan buruh imigran bagi menjana ekonomi dan membolehkan penjajah mendapat

keuntungan ekonomi dengan tidak mengambil kira permasalahan yang dihadapi oleh

masyarakat pribumi

ii. Ekonomi

Dasar ekonomi komersial, kapitalisme dan bebas yang berlaku menyebabkan

perubahan sistem daripada sara diri kepada sistem komersial. Oleh hal ini, pembukaan tanah

dan ladang serta peningkatan pelombongan bijih timah telah banyak berlaku mendorong

kepada wujudnya sistem ekonomi moden berteraskan industri berasaskan buruh. Disebabkan

hal ini maka keperluan pemodenan prasarana baru yang memerlukan tenaga buruh di

perkenalkan dan berlakulah kemasukan buruh-buruh asing.

iii. Sosial

Penekanan aspek ini lebih dijuruskan kepada Dasar pendidikan pemerintahan

Inggeris. Melalui dasar ini dapat dijelaskan lagi bagaimana wujudnya masyarakat majmuk di

Malaysia. Melalui dasar pendidikan yang berteraskan negara ibunda, Inggeris menggalakkan

lagi perbezaan kaum dan ia juga melebarkan lagi jurang perpaduan di Malaysia. Hal ini dapat

dilihat melalui tindakan Inggeris yang tidak menyeragamkan sukatan pendidikan dan

pendidikan guru. Sebagai kesan daripada keadaan ini wujud sukatan pendidikan yang berbeza

serta keperluan guru berasaskan tindakan komuniti setiap kaum di Malaysia.

Sebagai contohnya setiap kaum mengambil inisiatif dengan mengikut sukatan

pendidikan serta mengambil para guru dari negara asal mereka. Keadaan ini menjelaskan

bahawa Inggeris tidak mempunyai agenda bagi menghalang ketidakseragaman dalam dasar

pendidikan mereka. Bagi orang-orang Melayu ia hanya mendapat pendidikan kemahiran bagi

mengerjakan kerja-kerja sara diri sahaja dan tidak memberi peluang untuk mendapatkan

kemahiran dan ilmu akedemik. Walaupun wujud keadaan ini ia dikhaskan kepada anak-anak

para bangsawan Melayu sahaja. Dalam hal ini, keadaan dasar ini sebenarnya menggalakkan

lagi kemasukan orang asing kerana mereka tahu bahawa mereka masih lagi memperoleh

pendidikan walaupun di negara asing. Ini juga menjelaskan lagi bahawa Inggeris sebenarnya

menggalakkan kemasukan mereka dan menjaga kebajikan mereka bagi keuntungan ekonomi

penjajah.

Konsep masyarakat majmuk juga merujuk kepada etnik iaitu di Malaysia etniknya

merupakan sekelompok manusia yang mengamalkan budaya yang hampir seragam, termasuk

adat resam, pakaian, bahasa, dan kegiatan ekonomi. Konsep etnik mempunyai erti yang

berkait rapat dengan konsep-konsep ras dan bangsa. Ras dan bangsa memberikan tekanan

pada perbezaan fizikal atau sifat-sifat biologi iaitu keturunan dan pertalian darah yang sama

antara sesama manusia (Mansor Abdul Rahman & Mohamad Ainuddin, 2006). Dalam

konteks masyarakat majmuk Malaysia, terdapat pelbagai kelompok etnik yang hidup

berlainan, tetapi di bawah sistem politik yang sama.

Etnik dapat dikelaskan melalui perbezaan budaya. Etnik sering berbeza berdasarkan

ciri budaya seperti adat resam, pola keluarga, pakaian, pandangan mengenai kecantikan,

orientasi politik, kegiatan ekonomi dan hiburan. Di Malaysia, orang Melayu, Cina, India,

Kadazan Dusun, Melanau dan pelbagai lagi dianggap sebagai etnik. Etnik pada dasarnya

bersikap etnosentrik, iaitu menganggap ciri-ciri budayanya sebagal wajar, betul dan lebih

utama daripada budaya etnik lain yang dipandang rendah serta dianggap ganjil ataupun

berada pada tahap rendah atau tidak bermoral.

Konsep etnik membentuk konsep etnisiti dan etnosentrisme. Etnisiti merujuk kepada

rasa kekitaan sesuatu kumpulan etnik tertentu. Hal ini bererti wujudnya satu kebudayaan atau

sub budaya yang jelas yang menyatukan anggotanya dengan satu sejarah, nilai, sikap dan

tingkah laku yang sama. Etnosentrisme pula merujuk kepada kepercayaan atau rasa bangga

yang wujud dalam kalangan anggota sesebuah kelompok etnik bahawa budaya dan etnisiti

mereka adalah jauh lebih baik dan hebat daripada kelompok lain. Etnosentrisme juga

membawa makna suatu perspektif yang melihat kelompok etnik lain menerusi lensa dan kaca

mata etnik sendiri.

Di Malaysia, konsep-konsep ras dan etnik kerap kali dicampur aduk sehingga maknanya

menjadi lebih kurang sama. Orang Melayu, Cina dan India serta pelbagal etnik lain di Sabah

dan Sarawak yang sepatutnya dikenali sebagai etnik, juga dipanggil ras dalam kehidupan

seharian.

Pada dasarnya, ras boleh dikatakan sebagai sebuah kelompok sosial yang mempunyai

tanda pengenalan kolektif berasaskan ciri-ciri fizikal biologikal yang nyata seperti warna

kulit, warna mata, warna rambut dan sebagainya. Ciri paling ketara yang digunakan untuk

membezakan kumpulan manusia ialah warna kulit.

Rasisme ditakrifkan sebagai pandangan, pemikiran, atau kepercayaan negatif oleh

sesuatu kelompok sosial atau para anggotanya terhadap sesuatu kelompok lain berdasarkan

pérbezaan wajah fizikal-biologikal atau ras semata-mata dan mi ditunjukkan secara terbuka

melalui perilaku atau tindakan terbuka. Rasisme ialah gabungan prejudis dan kuasa yang

diartikulasi melalui diskriminasi berasaskan warna kulit dan ciri-ciri fizikal biologikal yang

lain.

Rasisme wujud pada dua tahap: tahap individu dan tahap institusi. Pada tahap

individu, rasisme benlaku dalam bentuk kepercayaan bahawa wujudnya ras tertentu yang

berstatus lebih tinggi clan ada ras yang berstatus lebih rendah. Rasisme pada peringkat

individu ini wujud dalam bentuk kepercayaan dan sikap individu. Pada tahap institusi,

rasisme melibatkan dasar dan pelaksanaan yang bersifat diskriminasi, seterusnya membentuk

ketidaksamaan bagi masyarakat daripada ras yang berbeza. Rasisme pada tahap institusi ini

dapat dilihat secara tersirat dalam struktur sosial.

Kamus Dewan (2005) pula mendefinisikan budaya sebagai kemajuan fikiran, akal

budi atau cara berfikir, berkelakuan dan sebagainya. Tegasnya, budaya boleh didefinisikan

sebagai suatu cara hidup yang diamalkan oleh kumpulan tertentu dan meliputi sistem sosial,

susunan organisasi ekonomi, politik, agama, kepercayaan, adat resam, sikap, dan nilai.

Budaya boleh dibahagikan kepada dua: budaya kebendaan dan budaya bukan

kebendaan. Budaya kebendaan ialah peralatan dan kelengkapan hidup seperti rumah, kereta,

perahu, senjata dan sebagainya. Contohnya, orang Melayu mempunyai rumah yang reka

bentuknya berbeza dengan orang lnggeris atau orang Eskimo. Manakala budaya bukan

kebendaan ialah kepercayaan, adat istiadat dan undang-undang. Setiap masyarakat

mempunyal adat istiadat yang tersendiri dalam menjalani kehidupan. Misalnya dalam adat

perkahwinan masyarakat Melayu, pihak lelaki memberi hantaran kepada pihak perempuan

manakala bagi masyarakat India hantaran perkahwinan diberikan oleh pihak perempuan

kepada pihak lelaki. Dalam budaya Melayu, faktor agama penting kerana agama bukan sahaja

dianggap sebagai satu sistem kepercayaan semata-mata tetapi juga sebagai satu perlembagaan

hidup yang meliputi kepercayaan dan amalan hidup. Bahasa pula penting sebagai alat

komunikasi. Adat resam juga mustahak sebagai petunjuk jalan bagi seseorang dalam

mengendalikan hidup bermasyarakat clan berbudaya.

Terdapat dua peranan utama bagi pembentukan sesuatu budaya: pertama, membina

imej negara ke arah mewujudkan keperibadian serta identity, dan kedua ialah memupuk

kesedaran kebangsaan dan kenegaraan bercirikan kerohanian, kemanusiaan, spiritual dan

mental. Budaya memberikan identiti kepada sesuatu kelompok dalam aspek cara

pengendalian hidup. Budaya diwarisi daripada satu keturunan kepada satu keturunan. Oleh

itu, budaya dikatakan sebagai satu himpunan kelengkapan intelektual clan kebendaan yang

dapat memenuhi kehendak biologi dan kemasyarakatan serta dapat menyesuaikannya dengan

keadaan sekeliling (Mohd Taib Osman, 1988).

Menurut J.S Furnival (1948) lagi, konsep Masyarakat majmuk merujuk kepada

masyarakat campuran yang berbilang bangsa iaitu terdiri dari berbagai ras atau etnik yang

berada di bawah satu pemerintahan. Campuran ini dalam erti kata yang sebenar, bergaul

tetapi tidak bercantum. Setiap kumpulan mengamalkan agama yang berbeza.

i. Melayu

Hari ini, kaum Melayu, kumpulan etnik terbesar di Malaysia iaitu merangkumi lebih

50 peratus penduduk negara ini. Di Malaysia, jika merujuk kepada orang Melayu

menunjukkan orang itu mengamalkan kebudayaan Melayu, berbahasa Melayu dan

mempunyai keturunan Melayu. Orang Melayu terkenal kerana peramah dan budaya seni

mereka yang sangat kaya.

Umumnya, orang Melayu merupakan penganut agama Islam. Pada masa lalu,

sebahagian besar orang Melayu di Semenanjung merupakan penduduk luar bandar. Namun,

keadaan tersebut mula berubah kerana proses penghijrahan ke bandar yang bermula sejak

tahun 1970-an sehingga masa kini. Bagi yang masih tinggal di luar bandar, kebanyakannya

terlibat dalam aktiviti ekonomi pertanian dan perikanan, sama ada dalam skala kecil-kecilan

atau secara komersial. Manakala sebahagian besar etnik Melayu di bandar terlibat dalam

pelbagai sektor seperti sektor perkhidmatan awam, sektor swasta, dan turut terlibat dalam

sektor perdagangan dan perniagaan.

ii. Cina

Orang Cina merupakan golongan etnik kedua terbesar di Semenanjung. Masyarakat

mi menganuti pelbagai agama seperti Buddhisme, Konfusianisme, Kristian, Taoisme dan

Islam. Sebahagian besar etnik Cina tertumpu kepada sektor perdagangan dan perkhidmatan.

Dari segi petempatan, sebahagian besar orang Cina tertumpu di bandar-bandar utama,

khasnya di Lembah Kiang.

iii. India

Orang India pula merupakan golongan etnik ketiga terbesar di Semenanjung. Pada

masa lalu, sebahagian besar orang India bekerja dan menetap di estet. Pada masa kini,

terdapat kalangan mereka yang berpindah ke bandar-bandar dan menerokai pekerjaan di

sektor perdagangan atau perkhidmatan dan menjalani penghidupan bandar. Dalam kategori

etnik India, terdapat golongan subetnik seperti orang Sikh, Tamil, Malayali dan Singhala.

Secara umum, etnik India di negara ml merupakan penganut pelbagai agama seperti Hindu,

Sikhisme dan Islam.

iv. Etnik-entik lain

Golongan etnik terkecil di Semenanjung tetapi terkenal dalam kajian antropologi

ialah Orang Asli. Kebanyakan Orang Asli merupakan penduduk di kawasan pedalaman di

beberapa negeri di Semenanjung. Mereka menganut kepercayaan tradisional, animisme,

Kristian dan Islam. Selain Orang Asli, terdapat kelompok-kelompok kecil seperti

masyarakat Baba-Nyonya di Melaka dan Pulau Pinang, masyarakat Portugis di Melaka, dan

Thai di beberapa negeri di utara Semenanjung. Kesemua masyarakat minoriti tersebut

mempunyai budaya yang unik, seperti budaya masyarakat Baba-Nyonya.

Dalam sektor pekerjaan pula menurut Furnivall, terdapat pembahagian tenaga buruh

yang ketara mengikut kaum. Aspek pekerjaan ialah berbeza-beza mengikut kaum iaitu setiap

kaum menjalankan kegiatan pekerjaan tertentu untuk mencari sumber pendapatan mereka

untuk menyara kehidupan seharian mereka berdasarkan keseuaian dan kemahiran mereka

sendiri. Orang Melayu mengurus dalam bidang pertanian dan penangkapan ikan, orang Cina

mengurus perlombongan dan perdagangan. Bagi golongan India pula kegiatan perladang

getah dan perladangan lain. Kegiatan ekonomi yang di jalankan ini juga terpisah iaitu tempat

kediaman mereka berlainan dan mengikut cara kerja yang dilakukan. Golongan Melayu

tinggal di kampung berhampiran kawasan pertanian dan pinggir laut, Cina tinggal di

perlombongan dan bandar sebagai pusat untuk menjalankan perniagaan, India tinggal di stet-

estet dan kelapa sawit. Oleh itu, taraf kemajuan ketiga-tiga kaum berbeza mengikut jenis

pekerjaan.

 

KESIMPULAN

Pada hari ini, Masyarakat majmuk di malaysia terjadi secara tidak sengaja. Pada awal abad

ke-19, lebih 90% penduduk di tanah melayu adalah melayu. Namun pada pertengahan abad

ke-19, penghijrahan masuk kaum Cina dan India secara beramai-ramai ekoran dasar liberal

Inggeris telah mengubah struktur kependudukan asal Tanah Melayu. Masyarakat majmuk di

Malaysia terdiri dari pelbagai etnik yang dikategorikan mengikut cara hidup, pola

penempatan, pekerjaan dan pendidikan. Terdapat lebih 80 kaum di seluruh Malaysia.

Daripada keseluruhan bangsa tersebut, terdapat tiga bangsa yang paling utama iaitu Melayu,

India dan Cina dan pelbagai etnik yang lain.

Pembentukan Masyarakat Majmuk Di Malaysia pada hari ini didiami oleh pelbagai

bangsa, kaum dan etnik dari Perlis hingga ke Sabah. Kepelbagaian kaum dan etnik inilah

maka wujud pula kepelbagaian budaya, bahasa, agama dan adat resam. Corak masyarakat

Malaysia seperti ini berlaku disebabkan oleh perubahan masa dan keadaan, seperti yang

berlaku terhadap perubahan struktur politiknya. Sebelum abad ke-18 dan ke-19, masyarakat

Malaysia tidak begini coraknya. Sebaliknya boleh dikatakan bahawa, semenanjung Tanah

Melayu ketika itu didiami oleh orang Melayu dan Orang Asli bersama sebilangan kecil

bangsa atau kaum lain.

Apabila bermulanya kemasukan migran daripada luar. Proses ini berterusan sehingga

penjajahan British di Tanah Melayu. Oleh itu, wujud masyarakat berbilang kaum, ras, etnik

dan bangsa di Malaysia. Kehadiran kelompok-kelompok ini menjadikan Malaysia sebuah

negara yang kaya dengan budaya, adat resam, bahasa dan latar belakang kebudayaan yang

berlainan.

Oleh kerana itu, maka Malaysia merupakan sebuah negara pluralistik yang

mempunyai jumlah penduduk lebih kurang 26.6 juta orang pada tahun 2006. Umumnya,

Melayu merupakan kelompok etnik majoriti, iaitu mewakili lebih kurang 55 peratus,

sementara Cina mewakili lebih kurang 25 peratus, India 7 peratus dan selebihnya adalah

terdiri daripada kelompok peribumi kecil seperti Dayak, Bidayuh, Melanau dan Orang Ulu

di Sarawak, Kadazan dusun, Murut, dan Bajau di Sabah.Kemajmukan masyarakat Malaysia

menjadikan negara ini menjadi tarikan masyarakat luar. Di sebabkan hal ini, Masyarakat

majmuk sangat sinonim dengan Malaysia sebagai sebuah negara yang bercirikan pelbagai

kaum serta identiti. Malaysia amat terkenal dengan adanya masyarakat majmuk yang

berbilang kaum. Pembentukan masyarakat majmuk yang berbilang kaum di Malaysia pada

abad ke-19 adalah kesan daripada Kolonialisme yang mutlak.

Dari aspek kesinambungan, kemasukan imigran di dunia Melayu meninggalkan

banyak kesan, sama ada kesan positif mahupun kesan negatif. Ia bergantung kepada cara

bagaimana kita melihat dan mentafsir kedatangan mereka. Namun kehadiran masyarakat luar

ke Tanah Melayu telah mencorakkan perspektif masyarakat Melayu, membentuk budaya

baru, mempertingkatkan daya saing dalam sektor ekonomi, melahirkan dimensi baru struktur

politik rakyat dan sebagainya.

RUJUKAN

Abdul Rahman Haji Ismail,( 2005), Malaysia: Sejarah Kenegaraan dan Politik, Kuala Lumpur

: Dewan Bahasa dan Pustaka.  

A. Aziz Deraman (2001). Masyarakat dan kebudayaan Malaysia (edisi baharu). Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.  

Anthony D. Smith, 1986. The Ethnic origins of Nations.BlackWell oxford UK &Cambrige USA.

  Chin Yee Wah. 2003. Budaya dan Keusahawanan Cina di Malaysia. Bangi: Penerbit UKM.   Graham Saunders ‘’The Development Of a Plural Society In Malaya’’.

Harris Md. Jadi. 1990. Etnik, Politik dan Pendidikan. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

  J.E.Goldthorpe “The Sociology Of The Thirdworld”.

J.S Furnivall (1956). Colonial Policy and Practice :A Comparative Study of Burma and Netherlands India (Indonesia).

  J.S. Furnivall, (1965). Colonial policy and practices. New York: New York University Press.

(Asalnya diterbit pada tahun 1948).   J.S Furnivall,. (1967). Netherlands India: a study of Plural Economy. Cambridge: Cambridge

University Press.   J.S, Furnivall, Netherlands India: a study of plural economy (Cambridge: at the

University Press, 1939 [reprinted 1967]).   J.S. Furnivall, (1980). Plural society. Dalam Hans-Dieters Evers (ed.), Sociology of South-

East Asia: Reading on social change and development. Kuala Lumpur: Oxford University.

  J.S Furnivall, Colonial policy and practice: a comparative study of Burma and

Netherlands India (New York: New York University Press, 1948).   Jurnal hubungan etnik dalam pembentukan jati diri kebangsaan: perspektif tamadun melayu

oleh Abdul Latif Samian.   Shamsul Amri Baharuddin 2007, Modul hubungan etnik ,. Kementerian pengajian tinggi,

Malaysia.   Ting Chew Peh. 1987. Hubungan Ras dan Etnik: Suatu Pengantar. Kuala Lumpur: Pustaka

Dimensi.

  Wan Halim Othman. 1992. Asas Hubungan Etnik. Pulau Pinang: Pusat Penyelidikan Dasar,

Universiti Sains Malaysia. http://newpaces.com/members/profile/2265/blog-view/blog_1314.html