Upload
mislizatik
View
12.667
Download
4
Embed Size (px)
Citation preview
Syura Dalam Sistem Politik Islam dan Kebaikannya.
PENGENALAN
Syura adalah suatu kaedah dan prinsip penting yang diajar oleh agama Islam dalam
melahirkan masyarakat Islam yang membangun, maju, stabil dan adil.
Konsep Syura sangat luas merangkumi seluruh aspek kehidupan manusia, dari
perkara berkaitan kehidupan harian hingga pemerintahan negara. Syura adalah prinsip
fitrah yang wujud dalam jiwa manusia. Manusia sukakan urusan mereka dibincangkan
dengan meneliti pelbagai pandangan. Manusia tidak suka dipaksa dengan cara alim dan
menekankan kepentingan mereka.
Pelaksanaan Syura oleh pemerintahan negara Islam menjadi fardhu yang telah
sabit secara jelas oleh al-Quran, al-Sunnah serta disepakati oleh para ulama. Para
ulama menyatakan Syura adalah suatu keperluan. Walau bagaimanapun, pelaksanaan
Syura diserahkan kepada kebijaksanaan kepimpinan Islam yang perlu disesuaikan
dengan keperluan dan tuntutan perubahan zaman.
Syura dianggap suatu keperluan kerana semua manusia memerlukan
perbincangan bahkan ianya boleh disifatkan suatu kemestian kerana wujudnya
perbezaan pendapat, pandangan dan pengalaman antara satu dengan yang lainnya.
Perbincangan mampu melahirkan suatu keputusan yang terbaik berbanding pendapat
individual.
Syura mula diperkenalkan oleh Rasulullah s.a.w. dan kemudiannya diteruskan oleh
para Khulafa’ ar-Rashidin selepas kewafatan beliau. Perintah melaksanakan Syura di
dalam setiap urusan politik dan pemerintahan telah disebutkan oleh Allah s.w.t. melalui
ayat :
1
Syura Dalam Sistem Politik Islam dan Kebaikannya.
“ ... dan bermesyuaratlah dengan mereka dalam urusan (peperangan dan soal-soal
keduniaan) itu. Kemudian apabila engkau telah berazam (setelah bermesyuarat
untuk berbuat sesuatu) maka bertawakallah kepada Allah. Sesungguhnya Allah
mengasihi orang-orang yang bertawakal kepada-Nya.”
(Surah Ali-Imran 3:159)
DEFINISI SYURA
a. Ibn Manzur (1968 4: 434) di dalam Lisan al-Arab mendefinisikan Syura seperti
berikut : Penyaringan madu : Iaitu menyaring madu dari sarangnya.
b. Edward William Lane (1968 4: 1616) menyatakan Syura adalah gathered it from its
hives and from other places.
Kedua-dua takrif yang dikemukakan jelas menunjukkan bahawa Syura memerlukan
unsur-unsur kerahan fikiran dalam menyelesaikan masalah yang dihadapi.
Menurut Kamus Melayu Global, Syura bermaksud bermesyuarat, berbincang dan
bermuzakarah untuk meyelesaikan masalah.
Dari segi bahasa, Syura terbit dari perkataan Arab Syawara yang bermaksud
berunding atau bertukar fikiran.
Dari segi istilah, maksud bagi kalimah al-Syura, al-Tashawur & al-Mushawarah
ialah perbincangan yang diadakan untuk membincangkan sebarang perkara yang
berkait samada dengan kepentingan individu ataupun masyarakat, oleh kalangan
cendekiawan dan kumpulan ulama yang mempunyai kepintaran dan pengalaman serta
mampu memberikan suatu pandangan mengenai sesuatu perkara. Di samping itu,
mereka juga dapat menjelaskan hujah-hujah bagi mencari suatu keputusan yang terbaik.
2
Syura Dalam Sistem Politik Islam dan Kebaikannya.
DEFINISI POLITIK
Politik dalam bahasa Yunani disebut politique. Dalam bahasa Arab pula disebut siasah.
Menurut Kamus Dewan, politik membawa maksud ilmu pengetahuan berkenaan
dengan cara pemerintahan, ilmu siasah, ilmu kenegaraan.
Subhi al-Soleh mendefinisikan politik seperti berikut :-
Mentadbir dan mengelokkan sesuatu urusan yang dilaksanakan.
Memperbaiki / meningkatkan martabat makhluk dengan memimpin mereka
ke jalan yang selamat di dunia dan di akhirat.
Seni pemerintahan dan pentadbiran negara yang melibatkan aktiviti-aktiviti
dalaman dan polisi luar negara.
Mentadbir urusan kehidupan berasaskan keadilan dan jalan yang lurus.
3
Syura Dalam Sistem Politik Islam dan Kebaikannya.
PERBINCANGAN
Islam sebagai way of life telah mengatur kehidupan manusia dengan lengkap.
Kesempurnaan sistem Islam dalam mengatur kehidupan manusia ini telah dijelaskan al-
Quran.
Tiada Kami tinggalkan sesuatu pun di dalam Kitab al-Quran ini.
(Al-An’am 6:38)
Ini menunjukkan sistem Islam merangkumi keseluruhan dimensi kehidupan
manusia, sosial, ekonomi, politik, kebudayaan, ketenteraan, ilmu pengetahuan, ibadat
dan sebagainya.
Islam menuntut penganutnya menjadi ahli politik yang handal walaupun tanpa
kedudukan, jawatan dan kerusi empuk direbutkan dengan rakus oleh sesetengah pihak
yang terseleweng matlamat agamanya. Pembabitan secara langsung atau tidak dalam
politik adalah tanggungjawab setiap Muslim sebagai penegak keadilan agama Allah dan
Rasul-Nya.
Politik adalah sesuai dengan statusnya sebagai fardhu kifayah dan merupakan
sebahagian daripada agama dan tuntutan iman. Keimanan mewajibkan seseorang
menegakkan amar makruf nahi mungkar. Sesiapa yang beriman kepada Allah dan
Rasul-Nya, wajib menjadikan politik sebagai medan dakwah dan ibadah demi
menegakkan yang hak dan mencegah yang batil.
Bukan semua orang berbakat untuk menjadi pemimpin. Seandainya semua orang
berbakat untuk menjadi pemimpin, maka tiadalah orang yang mahu dipimpin , dan hal ini
tentulah bertentangan dengan Sunnatullah. Politik adalah kerja mulia dan jihad terbaik
kerana berkaitan secara langsung dengan pentadbiran urusan makhluk. Kalau ia diurus
dalam bentuk yang terbaik, maka akan tertegaklah kalimah Allah di atas bumi ini.
4
Syura Dalam Sistem Politik Islam dan Kebaikannya.
Menurut Imam Hasan al-Banna, adanya pemahaman sempit yang jika disebut
politik maka mereka akan segera membayangkan sebuah parti politik. Politik bukanlah
sekadar sebuah parti politik, tetapi keseluruhan aktiviti dakwah yang dilakukan untuk
mengurusi nasib umat hingga mengangkat mereka ke kedudukan sebagaimana yang
diperintahkan al-Quran di tengah-tengah manusia. Politik sepatutnya bukanlah sekadar
untuk meraih kekuasaan dan mencapai kedudukan-kedudukan tinggi dalam
pemerintahan, tetapi semata-mata ditujukan bagi menegakkan hukum-hukum Allah
s.w.t. di dalam masyarakat berdasarkan prinsip-prinsip keadilan yang telah digariskan-
Nya. Islam melihat usaha ini dapat dicapai jika seluruh umat memberikan komitmen dan
mengikut model kepimpinan Rasulullah s.a.w.
Syura adalah satu sistem perundangan bersama dalam semua peringkat. Allah
s.w.t. memerintahkan Rasulullah s.a.w. supaya melaksanakan Syura dengan sahabat-
sahabatnya dalam memutuskan perkara-perkara yang berkaitan dengan kepentingan
awam. Perintah melaksanakan Syura telah disebutkan oleh Allah s.w.t. melalui ayat :
“Dan juga lebih baik dan lebih kekal bagi orang-orang yang menyahut dan
menyambut perintah TuhanNya serta mendirikan sembahyang dengan
sempurna; dan urusan mereka dijalankan secara bermesyuarat sesama mereka;
dan mereka pula mendermakan sebahagian dari apa yang Kami beri
kepadanya.”
(Al-Syura 42:38)
Syura merupakan sistem permesyuaratan yang diasaskan oleh Rasulullah s.a.w.
berdasarkan al-Quran. Pada masa pemerintahan Rasulullah s.a.w. dan para sahabat
Baginda, Majlis Syura merupakan lambang suara rakyat kerana dibentuk berasaskan
suara rakyat. Majlis Syura bertindak sebagai majlis penasihat dan pembimbing kepada
Ketua Negara, Badan Perundingan, Badan Pelaksanaan & Badan Kehakiman yang
5
Syura Dalam Sistem Politik Islam dan Kebaikannya.
mempunyai kuasa dalam membuat dasar-dasar berkaitan kepentingan negara dan
warganegaranya.
Syura adalah salah satu prinsip asas pengurusan & pentadbiran yang telah
dilaksanakan dalam pengurusan Negara Islam yang lampau. Ini kerana, ia adalah satu
suruhan Allah s.w.t. yang terkandung dalam al-Quran yang telah diturunkan kepada
Rasulullah s.a.w. kira-kira 1400 tahun yang lalu. Syura adalah sesuatu yang wajib
diamalkan oleh seorang pemimpin dan pengurus.
Aktivis politik sepatutnya menghargai dan mematuhi jalan dakwah yang telah
digariskan berdasarkan Syura. Mereka tidak boleh bersikap acuh tak acuh hanya kerana
tidak sependapat dengan hasil-hasil Syura. Syair Arab ada menyebut yang bermaksud :
“Apabila sesuatu pendapat itu berkehendakkan Syura, maka mintalah bantuan
orang yang bijak atau bermesyuarat dengan orang yang berpandangan tepat.
Jangan dikau jadikan Syura itu sebagai bebanan kerana sesungguhnya bulu-bulu
kecil (al-qawafi) merupakan kekuatan kepada bulu-bulu yang besar (al-qawadim).”
Hal ini jelas menunjukkan bahawa Syura adalah suatu kaedah unggul dalam Islam.
Ia mengatasi segala yang lain sebagaimana Islam sendiri mengatasi agama-agama
yang lain. Syura adalah bahtera penyelamat dan segala sistem selainnya itu adalah
bahtera pemusnah. Tidak ada sebarang sistem politik yang diredhai Allah s.w.t. dan
diganjari dengan pahala serta pengamalnya diselamatkan daripada kecelakaan dunia
dan azab akhirat melainkan sistem Islam yang tegak kukuh di atas prinsip-prinsip
Perlembagaan Islam iaitu :-
i) Syura
ii) Keadilan
iii) Kebebasan
iv) Persamaan
6
Syura Dalam Sistem Politik Islam dan Kebaikannya.
PRINSIP MAJLIS SYURA
i) Berlandaskan sistem perbincangan dan perundingan dalam menentukan
keputusan dan tindakan.
ii) Keputusan dalam pemerintahan atau pentadbiran dibuat melalui persetujuan
hasil dalam perbincangan
iii) Kesepakatan dan kesefahaman pendapat dalam menangani sesuatu isu.
iv) Al-Quran dan Al-Sunnah sumber rujukan utama.
v) Menyatakan pendapat dan pendirian semasa perbincangan secara berhikmah
dan lemah lembut
vi) Keputusan dan tindakan mesti mengutamakan kepentingan umum.
vii) Menghormati serta menghargai pendapat dan nasihat yang dikemukakan oleh
orang lain.
TUGAS MAJLIS SYURA
i) Memilih calon khalifah atau ketua kerajaan kemudian diserahkan kepada umat
Islam untuk pengesahan (bai’ah). Serta berkuatkuasa melucutkan jawatan khalifah.
ii) Memberi penafsiran kepada ayat-ayat yang tidak jelas.
iii) Menasihati kerajaan (seperti mempersoalkan perkara yang tidak betul dalam
pemerintahan)
FUNGSI MAJLIS SYURA (BAGI ORGANISASI)
i) Menggubal peraturan negara atau organisasi.
ii) Melaksanakan aktiviti berfaedah mengikut syariat.
iii) Meluluskan program-program kewangan.
iv) Ulangkaji dasar organisasi dan memikirkan cara terbaik untuk pentadbiran.
v) Berkuatkuasa untuk mengisytiharkan darurat.
vi) Meluluskan sebarang perkongsian dan perjanjian dengan organisasi luar.
7
Syura Dalam Sistem Politik Islam dan Kebaikannya.
AHLI-AHLI SYURA
Golongan ulama yang alim tentang Islam hendaklah menjadi prioriti Syura di dalam
setiap perbincangan.
Istilah ‘Ahl al-Hal wa al-Aqd’ dimaksudkan dengan para pemimpin masyarakat
Islam yang diterajui oleh para ulama, pemimpin, pakar-pakar dan profesional di bidang
masing-masing. Digelar begitu kerana merekalah yang memerhatikan segala
permasalahan rakyat bagi menyatakan polisi kerajaan berhubung sesuatu masalah itu
samada ia patut diterima ataupun ditolak. Al-Quran, al-Sunnah dan Ijmak tidak
menetapkan bilangan ahli Syura, ianya bergantung kepada keperluan semasa.
Contohnya :-
Zaman Rasulullah s.a.w., Majlis Syura dianggotai oleh :-
i) Ketua Golongan Ansar
ii) Ketua Golongan Muhajirin
iii) Panglima Tentera
iv) Pegawai Awam
Zaman Umar al-Khattab, Majlis Syura dianggotai oleh :-
i) Ketua Muhajirin
ii) Ketua Ansar
iii) Ulama
iv) Panglima Perang
v) Panglima Tentera Tertinggi
vi) Khalifah Sendiri
8
Syura Dalam Sistem Politik Islam dan Kebaikannya.
Al-Mawardi dalam “Al-Ahkam al-Sultaniyyah” dan Syeikh Rasyid Ridha dalam “Al-
Khilafah” menyatakan wajib bagi ahli Syura memiliki (keadilan dalam erti kata yang luas,
berilmu pengetahuan dan kecerdasan dan bijaksana). Keadilan dalam erti kata yang luas di
sini bermaksud mempunyai watak kepimpinan yang memiliki keupayaan untuk meneliti
segala pandangan dan hujah yang dikemukakan.
Kriteria Ahli Syura :-
i) Adil
ii) Berilmu tinggi dan mendalam (Fardu Ain dan Fardu Kifayah)
iii) Bijaksana
iv) Pengalaman profesional yang luas.
Syura telah dilaksanakan oleh Rasulullah s.a.w. sebagai panduan kepada generasi
kemudiannya. Abu Hurairah berkata di dalam suatu riwayat yang bermaksud :
“Tidak ada orang yang paling banyak bermesyuarat dengan sahabatnya kecuali
Rasulullah s.a.w.”
9
Syura Dalam Sistem Politik Islam dan Kebaikannya.
SENARIO POLITIK SEMASA
Keadaan politik pada hari ini banyak dikuasai oleh nafsu dan kuasa pemimpin semata-
mata. Berlaku pencabulan ke atas hak-hak umat Islam di mana mereka dizalimi oleh
para pemimpin sehingga tidak tinggal pun mana-mana hak asasi kehidupan melainkan
telah dicerobohi dan dizalimi. Pertimbangan-pertimbangan moral apa lagi agama sudah
tidak menjadi perkara penting dalam percaturan ini.
Terdapat beberapa gerakan Islam yang sebahagiannya hampir kepada Islam tetapi
tidak mempunyai kuasa. Barisan kepimpinannya pula tidak mencapai mutu kepimpinan
Islam terdahulu dari segi ilmu, iman dan warak.
Beberapa sistem moden yang dipraktikkan oleh orang bukan Islam seperti
Demokrasi telah menyebabkan kecelaruan di kalangan umat Islam mengenai sistem
Syura. Hal ini disebabkan oleh penggunaan beberapa istilah Islam dengan istilah-istilah
luar sehingga boleh mengakibatkan kebanyakan umat Islam menganggap apa yang
bukan Islam itu adalah Islam. Perkara ini sangat merbahaya dan sesiapa yang
menyedarinya wajar menerangkan kekeliruan tersebut kepada masyarakat demi
mengelakkan celaan dan kemurkaan Allah s.w.t. terhadap sesiapa yang
menyembunyikan kebenaran.
Kejadian ini sekaligus menyebabkan umat Islam telah jatuh ke lembah kehinaan
dan hilang kemuliaan kerana yang memimpin mereka adalah pemimpin yang paling
teruk dan tidak mengamalkan ajaran Islam sama sekali. Di era ini, bencana terbesar
yang sedang melanda sistem politik negara ialah umat Islam dipimpin oleh golongan
yang bertindak mengikut kehendak pemimpin bukan Islam.
Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria menasihatkan orang Islam khususnya orang
Melayu bahawa mereka akan hilang ketuanan di negara ini sekiranya terus membiarkan
perpecahan menular di kalangan mereka. Keadaan tersebut tidak harus berlaku kerana
10
Syura Dalam Sistem Politik Islam dan Kebaikannya.
ajaran Islam menyarankan supaya semua penganutnya bersatu dan Syura sepatutnya
menjadi jalan pembuka kepada pemimpin-pemimpin Islam agar sama-sama duduk
berbincang dan bermesyuarat dalam mencari kesepakatan hati dan pemikiran agar
nasib umat Islam tidak lagi dipandang enteng oleh sesetengah pihak.
KEBAIKAN-KEBAIKAN SYURA DALAM SISTEM POLITIK ISLAM
Syura mempunyai kebaikan yang hasilnya dapat dikecapi oleh seluruh umat Islam.
Kebaikan 1
Memperoleh kebenaran
Kebenaran merujuk Kamus Dewan bermaksud perihal benarnya, izin, sesuatu yang
benar. Kebenaran hanya dapat dicapai apabila setiap ahli Majlis Syura melontarkan
pandangan masing-masing mengenai sesuatu perkara yang dibincangkan.
Ahli Majlis Syura terdiri daripada kalangan cendekiawan dan golongan ulama yang
mempunyai pemikiran yang luas dalam bidang yang dibincangkan. Apabila sesuatu
keputusan dapat dicapai, maka ia menghindar kekeliruan yang membelenggu pemikiran
manusia.
Apabila kebenaran telah diperoleh, tugas setiap ahli Majlis Syura adalah
mempertahankannya dan menyebarkannya kepada orang lain baik melalui pengajaran
dan pendidikan mahupun melalui teladan yang terlihat dalam amalan hariannya agar
tidak melampaui batas. Batasan yang memisahkan yang baik dengan yang buruk,
makruf dan mungkar, hak dan batil, adil dan zalim adalah persimpangan yang boleh
membawa manusia kepada belenggu dan boleh memimpin manusia ke arah kebenaran.
11
Syura Dalam Sistem Politik Islam dan Kebaikannya.
Sekiranya kebenaran yang dipilih, selamatlah mereka samada di dunia mahupun
akhirat tetapi sekiranya jalan yang batil itu dipilih maka manusia tersebut akan hidup
dalam kecelaruan dan hilang pertimbangan akalnya. Keputusan yang betul akan lahir
selepas perbentangan dan perbincangan semua pendapat dijalankan. Sebarang
keputusan yang diambil selepas itu adalah asas kukuh yang mampu meletakkan Islam di
mercu kecemerlangan. Kebaikan seperti ini yang dikatakan kembali dinikmati oleh
pemimpin dan rakyat.
Kebaikan 2
Dapat bertukar-tukar pendapat
Sebelum Majlis Syura bersidang, satu agenda mesyuarat telah dimaklumkan kepada
semua ahli agar ahli dapat berbincang mengenai perkara yang penting dan berkaitan
sahaja.
Ini merupakan salah satu etika bermesyuarat menurut Islam agar setiap
perbincangan yang dilakukan mengikut agenda yang telah dimaklumkan agar segala
yang dibincangkan tidak terkeluar dari batas mesyuarat yang telah ditetapkan supaya
Syura yang dilakukan dapat dilaksanakan secara konsisten dan dalam tempoh masa
yang munasabah.
Hal ini adalah supaya berlakunya pertukaran dan percambahan buah fikiran yang
logik dan perbincangan yang dijalankan menjadi lancar dan berhasil seperti yang
diharapkan oleh semua pihak. Mendengar pendapat yang berbeza-beza amat penting
ketika Syura dijalankan kerana pendapat dan idea yang dilontarkan adalah berdasarkan
pengetahuan dan pengalaman sedia ada. Sekaligus Syura berperanan dalam
menyatukan kesemua pandangan dan idea yang berbeza untuk diperdebatkan.
12
Syura Dalam Sistem Politik Islam dan Kebaikannya.
Perbezaan pendapat boleh membawa kepada pembangunan negara tetapi jangan
sampai perbezaan itu memberi kesan sehingga memecah-belahkan masyarakat. Oleh
sebab itulah, perbezaan pendapat ini harus disalurkan melalui kaedah Syura supaya
segala permasalahan diselesaikan dengan cara yang baik.
Anggota Syura saling berkongsi pengalaman mereka kerana ramai orang
mengetahui sesuatu perkara mengikut tahap keilmuan dan ijtihad mereka sahaja.
Apabila dia bertemu dengan orang lain yang lebih berilmu dan berpengalaman, dia akan
melihat adakah pendapatnya itu salah, lalu diperbetulkan ataupun betul ia akan
mengukuhkannya, selepas diketahui bahawa pendapat itu betul, ia turut dikongsi
bersama orang lain. Inilah kebaikan yang akan diperolehi oleh seluruh anggota Syura.
Tidak syak bahawa orang yang paling banyak memperoleh faedah ialah pemimpin
itu sendiri, kerana pada kebiasaannya beliau banyak menghadapi bebanan. Kadang-
kadang beliau juga memperoleh faedah mesyuarat tersebut di dalam perkara-perkara
yang tidak dibincangkan.
Kebaikan 3
Menciptakan keseimbangan emosi
Sesuatu yang benar dan dipersetujui ramai akan menciptakan keseimbangan emosi
lantas menjauhkan sebarang keputusan yang berasaskan nafsu semata-mata.
Syura membawa manusia ke arah kesejahteraan dan kemuliaan serta membuang
amarah dan rasa tersinggung, dan ia amatlah bagus untuk keseimbangan emosi. Lantas
ia meningkatkan kemahiran berkomunikasi dan menjadikan seseorang itu tabah dan
sabar menghadapi rintangan dalam kehidupan mereka.
13
Syura Dalam Sistem Politik Islam dan Kebaikannya.
Kebaikan 4
Mencapai kesepaduan hati
Merujuk Kamus Dewan, kesepaduan bermaksud keadaan bersepadu, perihal bersepadu
menjadi kesatuan yang utuh.
Kesepaduan hati hanya dapat dicapai jika keperluan setiap individu yang berbeza-
beza dari pelbagai aspek dan segi dapat dipenuhi.
Jika pemimpin tidak mengamalkan Syura, perselisihan pendapat mudah berlaku
dan akan memudaratkan sistem pemerintahan sesebuah negara. Hasutan syaitan akan
bertambah dan menjadikan ruang perselisihan semakin membesar.
Apabila semua berhimpun untuk melaksanakan Syura dengan hasrat yang baik
untuk membentangkan sebarang pendapat dan hujah, berdebat dengan ikhlas dan
semuanya bersetuju di atas satu keputusan maka tercapailah kesepaduan hati antara
mereka semua.
Kebaikan 5
Kunci perpaduan masyarakat
Perpaduan pula dimaksudkan sebagai penggabungan, peleburan, persesuaian
kecocokan; bergabung menjadi satu, sepakat dan persatuan.
Syura merupakan kunci atau rahsia kepada pembentukan masyarakat yang sangat
rapat, terikat dengan emosi yang positif antara satu sama lain. Ia akan mengikat
manusia kerana sikap hormat-menghormati, saling mempercayai, ikhlas, benar, adil,
bijaksana dan sebagainya yang sentiasa akan tertanam di kalangan manusia.
14
Syura Dalam Sistem Politik Islam dan Kebaikannya.
Syura menjamin kebajikan kesemua lapisan masyarakat akan tercapai. Ibn
Taimiyah berpandangan ;
“Kecapaian kebajikan masyarakat dalam sesebuah negara akan merapatkan
pertalian antara pemerintah dengan rakyat.”
Keadaan sedemikian sangat perlu dalam menjamin kestabilan politik agar usaha
pemimpin dalam membangunkan negara tercapai.
Perpaduan akan tercapai apabila setiap individu dan masyarakat menghormati hak
sesama kaum dan sentiasa berlaku adil dalam pergaulan seharian. Allah s.w.t berfirman
yang maksudnya :
“ ... dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong
kamu kepada tidak melakukan keadilan. Hendaklah kamu berlaku adil kepada
sesiapa jua kerana sikap adil itu lebih hampir kepada takwa. Dan bertakwalah
kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dengan mendalam akan apa
yang kamu lakukan.”
(Al-Maa’idah 5:8)
15
Syura Dalam Sistem Politik Islam dan Kebaikannya.
Kebaikan 6
Mengurangkan kesilapan besar
Syura dapat mengurangkan kesilapan besar. kerana keputusan yang dicapai adalah
kata bulat atau kata putus perbincangan yang dilakukan. Kesilapan dimaksudkan
sebagai perihal silap, kekeliruan, kekhilafan.
Syeikh Rasyid Ridha dalam bukunya Tafsir al-Manar (199) menyatakan :
“Selalulah bermesyuarat dan amalkannya selalu sebagaimana kamu lakukan
sewaktu perang Uhud dahulu sekalipun mungkin kamu tersilap kerana kebaikan
yang terbaik ialah mendidik mereka (para sahabat) bermesyuarat untuk sebarang
tindakan bukannya bertindak mengikut pandangan pemimpin (Wali al-Amr) semata-
mata walaupun ia mungkin betul. Ini semua mempunyai kebaikan bagi masa depan
kerajaan mereka selagimana Syura ditegakkan. Keputusan dari orang ramai lebih
baik dan selamat daripada kesalahan berbanding dengan pendapat individu.
Adalah suatu yang berbahaya kepada umat Islam apabila urusan mereka
diserahkan kepada orang perseorangan.”
Keputusan yang dibuat adalah secara bersama, maka ia menjadi tanggungjawab
bersama sekalipun keputusan yang dilaksanakan salah dan gagal akhirnya. Syura
mendidik menjadi manusia yang bertanggungjawab dalam setiap keputusan yang telah
dibuat dan mengelakkan dari berlakunya kejadian ‘baling batu sorok tangan’ yang
akhirnya asyik salah-menyalahi sesama pemimpin.
16
Syura Dalam Sistem Politik Islam dan Kebaikannya.
Kebaikan 7
Mengelakkan kuku besi ketua
Sistem kuku besi atau autokrasi disifatkan sebagai pemerintahan oleh orang atau
individu yang mempunyai kuasa penuh. Syura dilihat sebagai satu bentuk pengawalan
bagi setiap individu dan organisasi dari bersikap kejam dan zalim.
Ini jelas bertentangan dengan ideologi Mechiavelli yang pernah berkata :
“Pemimpin yang bijak ialah orang yang mengikuti langkah yang ketiga. Dia sepatutnya
memilih barisan kepimpinannya di kalangan mereka yang bijak dengan hanya
memberikan kebebasan hanya kepada mereka sahaja untuk bercakap dan memberikan
pandangan kepadanya. Kebebasan tersebut hendaklah diskopkan hanya kepada pakar-
pakar yang beliau meminta pandangan mereka sahaja tidak lebih daripada itu.
Pemimpin sebenarnya mesti menyoal mereka dalam setiap perkara dan mendengar
nasihat dan selepas itu beliau perlu berfikir mengikut pendekatannya sendiri dan
membuat keputusan yang tidak berbelah bagi lagi. Sebab itulah pemimpin mesti
menerima selalu nasihat tetapi sewaktu yang beliau mahu bukannya orang lain yang
mahukan. Justeru itu keputusannya, mesyuarat yang bijak itu ialah perbincangan yang
tertakluk kepada kebijaksanaan pemimpin dan pemimpin hendaklah tidak dipengaruhi
oleh mesyuarat sekalipun ia benar.” Mechiavelli hidup di antara tahun 1469-1532. Beliau
seorang pemimpin yang mempopularkan kaedah ‘matlamat menghalalkan cara (the end
justifies the means)’ Penulisan beliau dibuat berdasarkan kepada kaedah diktator yang
zalim.
17
Syura Dalam Sistem Politik Islam dan Kebaikannya.
Kebaikan 8
Melahirkan komitmen yang penuh terhadap keputusan yang dibuat
Segala keputusan yang dibuat ketika Syura adalah keputusan yang tepat, telus dan
rasional. Keputusan disepakati oleh semua ahli Syura yang mahir dalam bidangnya yang
tersendiri.
Pemimpin menyedarkan rakyat supaya turut menyertai dalam perkara yang
melibatkan mereka. Pemimpin hanya menjalankan tugas yang ditaklifkan kepadanya
untuk memperolehi kebaikan dan menjauhi keburukan, jadi rakyat wajib menyertai
pemimpin dalam memikul komitmen yang diserahkan kepadanya.
Inilah kebaikan kepada pemimpin dan rakyat di mana rakyat turut menanggung
beban tugas pemimpin dan membantunya menjalankan tugas. Rakyat wajar mengetahui
segala tindakan pemimpin supaya mereka dapat menyokongnya atau meyakinkannya
agar menarik kembali pandangannya jika terdapat keburukan.
Kebaikan 9
Kepercayaan yang berterusan antara pemimpin dan rakyat
Kepercayaan hanya dapat dicapai jika pemimpin selalu bermesyuarat sesama mereka.
Ini menjadikan hubungan mereka semakin kuat.
Pemimpin dapat merasakan rakyat memberi sokongan padu di dalam seluruh
tindakannya. Dari aspek ini, kedudukan pemimpin dilihat menjadi kukuh. Rakyat pula
merasakan pemimpin sangat mengambil berat hal kebajikan dan pandangan mereka.
Pemimpin yang melakukan sebarang tindakan tanpa merujuk kepada rakyat akan
menjadi lemah untuk meneruskan tugasnya, malah timbul perasaan takut dan gementar
kerana tidak mendapat kepercayaan rakyat lagi.
18
Syura Dalam Sistem Politik Islam dan Kebaikannya.
Kebaikan 10
Pemimpin menunjukkan role model kepada pengikutnya
Pemimpin yang menyuntik benih-benih yang baik dalam pemerintahannya seperti adil,
saksama, Syura dan sebagainya lagi berjaya mengasaskan suatu ikutan yang baik bagi
pemimpin selepas itu mengikut dan mencontohi jejak langkahnya yang baik tersebut.
Role model inilah yang telah dipamerkan oleh Rasulullah s.a.w. seterusnya diikuti
oleh Khulafa’ ar-Rashidin dalam Syura. Baginda merupakan orang yang paling banyak
bermesyuarat begitu juga dengan para khulafa’nya.
“ Nabi Muhammad s.a.w. bermesyuarat dan para pemimpin selepas baginda juga
sering bermesyuarat dengan alim ulama yang beramanah”
(Sahih al-Bukhari)
Apabila pemimpin meninggalkan Syura, beliau telah kehilangan satu sifat
daripada sifat orang mukmin dan menanggalkan sifat tersebut daripada rakyatnya.
Beliau sangat berdosa dari dua sudut iaitu pertama ; kerana sengaja meninggalkan sifat
itu dan keduanya ; membuangkannya daripada jiwa rakyat. Pemimpin juga telah
menunjukkan suatu teladan yang buruk kepada pemimpin selepasnya kerana jika
mereka melihat ada peluang untuk menjadi diktator, ia tidak menyusahkan mereka untuk
melakukannya.
Ratu Balqis walaupun menyembah matahari, sentiasa mengutamakan
pandangan pembesar, pemimpin kaum dan rakyat jelata sebelum menitahkan sesuatu.
Daulat sang ratu terletak di atas restu, suara, pendapat dan pandangan rakyat yang
mewakili jiwa, roh serta pemikiran bangsa. Baginda tidaklah sesuka hati membuat
keputusan tanpa merujuk orang-orang di sekelilingnya terlebih dahulu.
19
Syura Dalam Sistem Politik Islam dan Kebaikannya.
Sikap dan pendirian ini sangat Islami dan cenderung ke arah pendirian Tauhid
walaupun baginda bukannya memeluk agama Islam ketika itu. Allah s.w.t. merakam
pendirian Balqis ini sebagai contoh teladan kepada raja-raja dan pemerintah negara.
KESIMPULAN
Secara umumnya, peranan Syura dalam sistem politik Islam telah terbukti sejak zaman
pemerintahan Rasulullah s.a.w. lagi.
Syura adalah pendekatan Islam dalam merealisasikan keadilan dalam masyarakat.
Syura membentuk masyarakat yang progresif melalui kerjasama pemikiran secara
kolektif. Ia menghalang pemimpin dari bersifat autokratik dengan hanya
mempertahankan pendapat dan pandangannya.
Dalam Syura, perbahasan dibuka kepada orang yang berkelayakan dan
berkebolehan dalam memberikan pandangan yang membina ke arah pembangunan
masyarakat. Kelayakan di sini bermaksud integriti dari segi ilmu, akhlak dan
pengetahuan am yang lain.
Syura berbeza dengan sistem politik demokrasi moden yang meletakkan
kebebasan memberikan pandangan kepada rakyat majoriti. Ini jelas memberikan
implikasi yang tidak sihat kepada kehidupan berpolitik masyarakat kerana orang-orang
yang tidak berkelayakan dari segi ilmu dan sahsiah turut berpeluang memberikan
pandangan dan membuat keputusan.
Dalam sudut yang lain, Syura dapat mengeratkan kasih sayang antara makhluk
dengan penciptanya Allah s.w.t., pemimpin sesama pemimpin, pemimpin sesama rakyat,
dan rakyat sesama rakyat.
20
Syura Dalam Sistem Politik Islam dan Kebaikannya.
PENUTUP
Syura adalah aspek yang tidak terpisah daripada persoalan pemerintahan dan
kepimpinan Islam. Persoalan mengenai Syura tidak pernah ditinggalkan oleh para
sarjana dalam politik Islam apabila membincangkan tentang teori kenegaraan dan politik
Islam. Jelaslah bahawa Syura berperanan penting dalam menjana sistem politik Islam
yang dinamik dan adil.
Syura sebagai mekanisme pembuat keputusan yang sudah lama membudaya
dalam kehidupan masyarakat Melayu. Cuma dalam tradisi Melayu, ia lebih dikenali
dengan istilah musyawarah dan muafakat. Nilai Islam itu bersatu dengan nilai keaslian
sebagaimana yang tercermin dalam peribahasa " Bulat air kerana pembentung, bulat
kata kerana muafakat ".
Amat wajar sekali dalam konteks politik hari ini, dirangka beberapa peraturan bagi
para pemimpin dalam mentadbir rakyat dan organisasi mereka untuk mengelakkan
berlakunya autokrasi dan monopoli kuasa walhal mereka sebenarnya tidak berkelayakan
langsung seperti yang sedang berlaku dalam sistem pemerintahan di Malaysia.
21
Syura Dalam Sistem Politik Islam dan Kebaikannya.
BIBLIOGRAFI
Al-Quran al-Karim
Abdul Yazid Alias. 2009. Umat Islam Hilang Ketuanan Jika Biar Perpecahan. Kuala
Lumpur : Utusan Malaysia.
Abdullah Ahmad Qadiri. 2002. Syura Prinsip Utama Sistem Pemerintahan Islam. Kuala
Lumpur : Al-Hidayah Publishers.
Ahmad Bashir Aziz, Mohd Liki Abd Hamid, Munif Zarirruddin Fikri Nordin, Kamarudin
Ahmad & Amir Hamzah Abdul. Modul Tamadun Islam Dan Tamadun Asia I. Sintok :
Universiti Utara Malaysia.
Ali Bukhari Amir. 2009. Prinsip Ketaatan, Syura Dan Sikap Raja-Raja. Kuala Lumpur :
Harakah.
Juanda Jaya. 2009. Konsep Politik Syura Menyubur Amalan Demokrasi. Kuala Lumpur :
Berita Harian.
Kamus Melayu Global. 2006. Shah Alam : Anzagain Sdn Bhd.
Noh Gadot. 2001. Syura Pembentuk Keharmonian Hidup Sesama Ummah. Kuala
Lumpur : Berita Harian.
Penulis Khas YaPEIM. 2008. Mewujud Keadilan Dalam Musyawarah. Kuala Lumpur :
Berita Harian.
Siddiq Fadzil. 1993. Aplikasi syura dalam pengurusan korporat. Kuala Lumpur : Berita
Minggu.
22
Syura Dalam Sistem Politik Islam dan Kebaikannya.
Tajuddin Saman. 1991. Syura Langkah Bijak Gerakan Islam. Kuala Lumpur : Berita
Minggu.
Urgensi Arkanul Bai’ah. 2009. Risalah Nukhbawiyah. (Atas Talian). http://www.al-
ikhwan.net
Zulkarnain Yusoff, Mohd Asri Abdullah, Md.Amin Abd Rahman, Ghazali Sulaiman, Nik
Mohd Rosdi Nik Ahmad & Mohamad Shukran Abdul Razak. 2004. Nota PTK 9.
Zulkiple Abd Ghani & Ahmad Redzuwan Mohd Yunus. 1999. Kepimpinan Dakwah Dan
Politik Islam. Bangi : JPDK Universiti Kebangsaan Malaysia.
23