27
GBM 1103 IPGK KENT TUARAN BAHASA MELAYU KONTEKSTUAL Simulasi Majlis Pertandingan Pidato Skrip pengacaraan Majlis Pertandingan Pidato No. Agenda Teks 1. Ketibaan Pengarah Mengumumkan ketibaan Yang Berbahagia Datuk Mary Teresa Kinajil, Pengarah Institut Pendidikan Guru Kampus Kent Tuaran, Sabah. 2. Nyanyian Lagu Bagi memulakan majlis kita pada pagi yang mulia ini, dipersilakan hadirin sekalian berdiri tegak untuk menyanyi lagu Negaraku, lagu Sabah Tanah Airku dan Lagu IPGM. Hadirin mohon bersedia. Para hadirin dipersilakan duduk. 3. Bacaan Doa Kalau gugur buah setandan, Sampai ke tanah baru bergolek; Kami bersyukur kepada Tuhan, Rakyat Malaysia semuanya baik. Bagi memberkati majlis kita pada pagi ini, majlis mempersilakan saudara Mohd. Noor Syazwan dari unit PISMP Bahasa Arab Ambilan JUN 2008 untuk memimpin bacaan doa. Majlis mempersilakan. Terima Kasih diucapkan kepada saudara Mohd. Noor Syazwan. 4. Alu-aluan Satu Malaysia satu bahasa,

Pidato (Kumpulan) Skrip

Embed Size (px)

DESCRIPTION

1

Citation preview

Page 1: Pidato (Kumpulan) Skrip

GBM 1103 IPGK KENT TUARANBAHASA MELAYU KONTEKSTUAL

Simulasi Majlis Pertandingan Pidato

Skrip pengacaraan Majlis Pertandingan Pidato

No. Agenda Teks

1. Ketibaan Pengarah Mengumumkan ketibaan Yang Berbahagia Datuk Mary Teresa

Kinajil, Pengarah Institut Pendidikan Guru Kampus Kent Tuaran,

Sabah.

2. Nyanyian Lagu Bagi memulakan majlis kita pada pagi yang mulia ini,

dipersilakan hadirin sekalian berdiri tegak untuk menyanyi lagu

Negaraku, lagu Sabah Tanah Airku dan Lagu IPGM. Hadirin

mohon bersedia.

Para hadirin dipersilakan duduk.

3. Bacaan Doa Kalau gugur buah setandan, 

Sampai ke tanah baru bergolek; 

Kami bersyukur kepada Tuhan, 

Rakyat Malaysia semuanya baik.

Bagi memberkati majlis kita pada pagi ini, majlis mempersilakan

saudara Mohd. Noor Syazwan dari unit PISMP Bahasa Arab

Ambilan JUN 2008 untuk memimpin bacaan doa. Majlis

mempersilakan.

Terima Kasih diucapkan kepada saudara Mohd. Noor Syazwan.

4. Alu-aluan Satu Malaysia satu bahasa,

Menjadi penghubung pelbagai ungkapan;

Berbagai agama berbilang bangsa,

Rakyat didahulukan pencapian diutamakan.

Yang Berbahagia Datuk Mary Teresa Kinajil, Pengarah IPG

Kampus Kent Tuaran, Sabah

Yang Berusaha Encik Romli Bin Darus, Timbalan Pengarah IPG

Page 2: Pidato (Kumpulan) Skrip

GBM 1103 IPGK KENT TUARANBAHASA MELAYU KONTEKSTUAL

Kampus Kent Tuaran, Sabah

Yang dihormati Puan Chia Woan Yen, Pengerusi majlis

pertandingan pidato

Ketua-ketua jabatan, pensyarah-pensyarah kanan, para

pensyarah, ketua-ketua unit, peserta-peserta pidato,

tetamu-tetamu jemputan serta guru-guru pelatih yang

dihormati sekalian.

Selamat pagi, salam perpaduan dan salam Satu Malaysia.

Selamat datang ke Pertandingan Pidato Sempena Bulan

Kemerdekaan peringkat IPG Kampus Kent Tuaran, Sabah.

Bersyukur kita kepada Tuhan kerana dengan keizinanNya

dapatlah kita bersama-sama memeriahkan majlis kita pada pagi

ini.

Saya bagi pihak penganjur ingin mengucapkan selamat

datang dan mengalu-alukan kehadiran tuan-tuan dan

puan-puan sekalian ke Dewan Tun Mustapha IPG

Kampus Kent, untuk menyaksikan Pertandingan Pidato

Sempena Bulan Kemerdekaan peringkat IPG Kampus Kent

Tuaran pada tahun 2014.

5. Ucapan alu-aluan

Pengerusi

Tak molek jika ada alu tiada lesungnya

Tak berguna jika ada dayung tiada perahunya

Tak lengkaplah majlis jika tidak ada yang berbicara

Tuan-tuan dan puan-puan yang dihormati, majlis pada pagi ini

diteruskan dengan ucapan alu-aluan oleh Yang dihormati

Puan Chia Woan Yen selaku pengerusi majlis

pertandingan pidato pada pagi ini. Majlis dengan

hormatnya dipersilakan.

Terima kasih kepada tuan atas ucapan sebentar tadi.

Page 3: Pidato (Kumpulan) Skrip

GBM 1103 IPGK KENT TUARANBAHASA MELAYU KONTEKSTUAL

6. Memperkenalkan

Panel Hakim

Satu Malaysia jadi pegangan,

Rukun Negara teras panduan;

Satu Malaysia membawa keamanan,

Rakyatnya makmur menjadi idaman.

Bagi meneruskan  Pertandingan Pidato Sempena Bulan

Kemerdekaan, majlis mempersilakan para hakim untuk

mengambil tempat.

Sebelum memulakan pertandingan pidato pada pagi ini, izinkan

saya memperkenalkan tiga orang panel hakim pertandingan.

Yang pertama, Encik Ismail Bin AG Piut,

Hakim Kedua, HJ Madlaim Bin Ejib

Manakala Hakim Ketiga , Puan Zainab Binti Hashim.

Diperkenalkan juga penjaga masa pertandingan kita iaitu

Saudara Mohd Alif Haiqal Tarmizi dan

Saudari Noor Shazreena.

7. Syarat-syarat

pertandingan

Hadirin sekalian,

Berikut merupakan syarat-syarat pertandingan Pertandingan

Pidato Sempena Bulan Kemerdekaan peringkat IPG Kampus

Kent Tuaran 2014.

Tema pidato mestilah bertemakan Satu Malaysia.

Masa yang diperuntukkan bagi seorang peserta ialah 10 minit.

Loceng akan dibunyikan sekali pada satu minit yang pertama.

Loceng akan dibunyikan sekali pada dua minit yang terakhir.

Dan loceng akan dibunyikan dua kali masa tamat.

8. Pertandingan pidato Pergi ke kedai membeli santan,

Santan dibeli hampir nak basi;

Dasar Negara membawa perubahan,

Satu Malaysia menjana tranformasi

Page 4: Pidato (Kumpulan) Skrip

GBM 1103 IPGK KENT TUARANBAHASA MELAYU KONTEKSTUAL

Sidang hadirin yang dimuliakan,

Bagi memulakan pertandingan kita pada pagi ini, dipersilakan

peserta yang mendapat cabutan yang pertama saudara Ang

Keh Chuon dengan tajuk pidatonya “Bahasa Melayu Tonggak

Perpaduan Bangsa Malaysia”.

Majlis mempersilakan.

Terima kasih diucapkan kepada saudara Ang Keh Chuon.

Seterusnya majlis mempersilakan peserta yang kedua saudari

Cheong Sing Yueh untuk menyampaikan pidatonya yang

bertajuk “1 Malaysia : Rakyat Didahulukan, Pencapaian

Diutamakan ”.

Dipersilakan.

Terima kasih diucapkan kepada saudari Cheong Sing Yueh.

Tanpa melengahkan masa, majlis mempersilakan peserta

terakhir saudari Lee Sen Peng untuk menyampaikan pidatonya

yang bertajuk “Negara Merdeka Masyarakat Sejahtera”.

Terima kasih diucapkan kepada saudari Lee Sen Peng.

Demikianlah tadi, Pertandingan Pidato Sempena Bulan

Kemerdekaan.

9. Persembahan Seterusnya kita dihiburkan dengan tayangan video sempena

bulan kemerdekaan yang betajuk “Satu Malaysia”.

Majlis mengucapkan ribuan terima kasih atas tayangan video

yang telah disediakan oleh Jabatan Bahasa.

10. Ucapan Pengarah Hadirin yang dihormati, majlis pada pagi ini diteruskan dengan

mempersilakan Yang Berbahagia Datuk Mary Teresa Kinajil,

Pengarah Institut Pendidikan Guru Kampus Kent Tuaran untuk

Page 5: Pidato (Kumpulan) Skrip

GBM 1103 IPGK KENT TUARANBAHASA MELAYU KONTEKSTUAL

menyampaikan ucapan beliau. Dengan hormatnya dipersilakan.

Demikian tadi ucapan oleh Yang Berbahagia Datuk Mary Teresa

Kinajil, Pengarah IPG Kampus Kent Tuaran. Majlis

mengucapkan ribuan terima kasih atas ucapan beliau.

11. Penyampaian Hadiah Hadirin sekalian,

Kini tiba detik yang dinantikan, iaitu pengumuman keputusan

yang sudah pun berada di tangan pengacara.

Sebelum pemenang diisytiharkan, majlis menjemput yang

dihormati Puan Chia Woan Yen dan Yang Berusaha Encik

Romli untuk mengiringi Yang Berbahagia Datuk Mary Teresa

Kinajil menyampaikan hadiah kepada para perserta. Majlis

dengan segala hormatnya mempersilakan.

Seterusnya dijemput pemenang pertandingan pidato, pemenang

tempat ketiga, dipersilakan Saudara Ang Keh Chuon dari unit

PPISMP Matematik Semester 2.

Naib johan dipersilakan Saudari Cheong Sing Yueh dari unit

PPISMP Matematik Semester 2.

Dan johan pertandingan Pidato Sempena Bulan Kemerdekaan

Tahun 2014 telah disandang oleh Saudari Lee Sen Peng dari

unit PPISMP Matematik Semester 2.

Tahniah diucapkan kepada pemenang dan tahniah juga kepada

peserta-peserta yang telah mengambil bahagian.

Terima kasih diucapkan kepada Yang Berbahagia Datuk Mary

Teresa Kinajil atas penyampaian hadiah sebentar tadi.

12. Pemberian

cenderahati

Majlis dengan sukacitanya menjemput Yang Dihormati Puan

Chia Woan Yen untuk menyampaikan cenderahati kepada Yang

Berbahagia Datuk Mary Teresa Kinajil, pengarah Institut

Page 6: Pidato (Kumpulan) Skrip

GBM 1103 IPGK KENT TUARANBAHASA MELAYU KONTEKSTUAL

Pendidikan Guru Kampus Kent Tuaran.

Majlis merakamkan ribuan terima kasih.

13. Nyanyian Lagu Kami

Guru Malaysia

Bagi mengakhiri majlis kita pada pagi ini, dipersilakan para

hadirin berdiri untuk menyanyikan lagu Kami Guru Malaysia.

Para hadirin mohon bersedia.

14. Keberangkatan Datuk

Pengarah

Dengan nyanyian lagu tersebut sebentar tadi, maka berakhirlah

Majlis Pertandingan Pidato pada pagi ini. Bagi pihak majlis saya

ingin menyusun 10 jari memohon jutaan kemaafan sekiranya

sepanjang majlis ini berlangsung terdapat kesilapan dan

kelemahan yang disedari ataupun tidak.

Dengan itu, majlis menjemput Tuan Timbalan Pengarah,

pengerusi pertandingan pidato, pensyarah-pensyarah kanan,

Ketua-ketua Jabatan, Ketua-ketua unit dan para pensyarah

mengiringi Yang Berbahagia Datuk Mary Teresa Kinajil,

Pengarah Institut Pendidikan Guru Kampus Kent Tuaran untuk

meninggalkan dewan dan menikmati jamuan yang telah

disediakan di Bilik Aziz.

Sekian terima kasih.

Page 7: Pidato (Kumpulan) Skrip

GBM 1103 IPGK KENT TUARANBAHASA MELAYU KONTEKSTUAL

Tajuk Pidato: “Bahasa Melayu Tonggak Perpaduan Bangsa Malaysia”

Pemidato: Saudara Ang Keh Chuon

         Kalau tidak kerana bintang,

         Tak akan bulan kelihatan tinggi.

         Kalau tidak kerana pidato,

         Tak akan saya berada di sini.

        Datang bahtera dari Medan,

        Singgah sebentar di laluan Kerai,

        Salam satu Malaysia saya hulurkan,

        Kepada warga dewan pembuka tirai.

      Yang Berbahagia Datuk Mary Teresa Kinajil, Pengarah IPG Kampus Kent Tuaran,

Sabah, Yang Berusaha Encik Romli Bin Darus, Timbalan Pengarah IPG Kampus Kent

Tuaran, Sabah, Yang dihormati Tuan pengerusi majlis , barisan panel Hakim yang arif

lagi bijaksana yang sedang menjunjung mahkota keadilannya, penjaga masa yang sentiasa

peka dengan detak jamnya, para perserta yang saya kagumi serta hadirin dan hadirat yang

saya hormati.

  

        Jauh berlayar si pedagang Cina,

            Singgah di Melaka menjual sutera.

        Bahasa melayu bahasa perantara,

            Tonggak utama perpaduan Negara.

Hadirin dan hadirat yang dihormati

Cogan kata ‘Hidup Muafakat Membawa Berkat’ merupakan antara cogan kata yang

dicipta untuk menyedarkan orang ramai akan peri pentingnya muafakat dalam kehidupan

masyarakat yang berbilang kaum seperti di negara kita. Kata orang, permuafakatan bererti

perpaduan. Situasi ini dapat dihuraikan oleh bidalan bersatu teguh bercerai roboh. Keadaan

ini membawa kebaikan dan kejayaan kepada seluruh anggota masyarakat berkenaan.

Page 8: Pidato (Kumpulan) Skrip

GBM 1103 IPGK KENT TUARANBAHASA MELAYU KONTEKSTUAL

Sesungguhnya, negara yang memiliki masyarakat majmuk seperti Malaysia berpaksikan

pada perpaduan untuk meneruskan kelangsungan keharmonian di dalam negara. Saya

yakin bahawa perpaduan penting dalam sesebuah negara. Dalam usaha melonjak status

negara berpendapatan tinggi dan bagi merealisasikan dasar transformasi kerajaan, soal

perpaduan tidak boleh dipandang enteng kerana bukan mudah untuk membina identiti

bangsa dan mendaulatkan maruah bangsa. Usaha membina negara bangsa yang bersatu

padu ini sebenarnya boleh dilakukan jika setiap rakyat mengerti akan kepentingan bahasa

kebangsaan sebagai tonggak perpaduan setiap rakyat di Malaysia. Oleh itu, izinkan saya

untuk menjelaskan dengan lebih terperinci tentang wacana ilimiah kita pada hari ini yang

bertajuk “Bahasa Melayu Tonggak Perpaduan Bangsa Malaysia”.

Hadirin yang dirahmati,

Sebagai pembuka tirai perbincangan yang pertama, adalah baik jika kita menelusuri

akar-akar cerucuk sejarah sebelum terbentangnya hamparan indah negara Malaysia.

Apabila memorabilia ini membawa kita ke ratusan tahun yang lampau, nyatalah bahawa

Bahasa Melayu sudah berfungsi sebagai lingua franca yang didefinisikan sebagai bahasa

perantaraan antara masyarakat pada zaman itu.Hal ini dapat dibuktikan dengan jelas apabila

kita meneliti catatan ilmuwan Inggeris seperti R.O. Winsted yang menunjukkan bahawa

Bahasa Melayu telah digunakan sebagai bahasa perdagangan yang mengeratkan hubungan

masyarakat yang berkunjung ke Melaka ketika itu. Daripada golongan pendeta sehinggalah

ke golongan biasa, setiap insan di Melaka ketika itu berkomunikasi dengan bahasa tercinta

kita yang tidak lapuk dek hujan tak lekang dek panas. Tidak lain dan tidak bukan, sudah

tentulah Bahasa Melayu. Nah, apa lagi yang kita pertikaikan tentang kemampuan bahasa

kebangsaan kita sebagai wadah perpaduan? Berdasarkan perkara ini, jelaslah bahawa

hamparan sejarah jelas membuktikan bahawa bahasa Melayu mampu menjadi bahasa

perpaduan yang cemerlang di dunia.

Hadirin yang dihormati,

Melalui bahasa Melayu, sebarang konfrantasi, buruk sangka dan salah faham antara

kaum dapat dikikis dengan mudah. Saya suka untuk meminjam kata-kata pujangga pendeta

Zaa’ba yang berbunyi ‘bahasa menunjukkan bangsa’. Apabila kita melihat masyarakat

bertutur dalam bahasa Melayu, sudah terang lagi bersuluh bahawa mereka ialah bangsa

Malaysia. Daripada kata-kata hikmat tersebut, saya sangat percaya bahawa bahasa Melayu

Page 9: Pidato (Kumpulan) Skrip

GBM 1103 IPGK KENT TUARANBAHASA MELAYU KONTEKSTUAL

sedikit sebanyak akan mengurangkan semangat ‘kecinaan’, kemelayuan’ ataupun

‘keindiaan’.

          “Haiya, ini balang mana ada halga, dia punya bau saya macam mau pengsan ah”

          “Tambi, itu worang mau roti satu, kari ikan kapla satu”

          Pelatlah dengan pengaruh bahasa natif, asalkan setiap kaum di Malaysia dapat

bermesra dan bertukar-tukar maklumat dan fikiran hanya dengan menggunakan bahasa

Melayu. Langkah Dewan Bahasa memasukkan entri perkataan baharu setiap kali edisi

baharu terbit merupakan langkah yang patut dipuji kerana perkataan pinjaman daripada

bahasa Cina dan India yang mengalami proses ‘kemalaysiaan’ sememangnya dapat

mewujudkan perpaduan. Apa yang penting, setiap kaum di Malaysia tidak akan kekok untuk

berbicara dalam bahasa kebangsaan. Apabila tidak kekok berbicara, sudah tentulah juga

tidak kekok untuk bermesra. Apabila sudah bergaul mesra, nyatalah bahawa perpaduan

dalam kalangan masyarakat majmuk itu akan terbina kukuh di bawah payung Satu Malaysia.

Berdasarkan hujah ini, nyatalah bahawa bahasa Melayu itu merupakan medium untuk

mewujudkan perpaduan dalam kalangan masyrakat di Malaysia.

Hadirin yang dikasihi,

Dalam lautan ilmu yang memenuhi pustaka di Malaysia, sudah tentulah bahasa

Melayu turut menjadi bahasa penyebaran ilmu pengetahuan. Berdasarkan data yang saya

peroleh daripada Arkib Negara, saya amat kagum dengan pencapaian bahasa Melayu

kerana hampir 800 buah buku ilmiah ditulis dalam bahasa Melayu oleh rakyat Malaysia

sendiri. Untuk pengetahuan hadirin, ilmu pengetahuan merupakan perkara yang sangat

penting untuk memupuk perpaduan. Masarakat yang tidak berilmu ibarat masyarakat yang

tidak bertamadun. Apabila tidak bertamadun, sudah tentulah masyarakat bertindak

membuta-tuli mengikut hati dan naluri. Oleh itu, sudah tentulah kucar-kacir akan menodai

keamanan sesebuah negara. Saya juga ingin mengambil kesempatan di sini untuk

mengucapkan ribuan terima kasih dan segunung pernghargaan kepada Kementerian

Pelajaran Malaysia kerana mengembalikan mandat kepada bahasa Melayu dalam

pengajaran Sains dan Matematik. Sesungguhnya, langkah ini dapat merapatkan jurang

pendidikan antara murid-murid di luar bandar dan di kawasan bandar. Dalam soal

keharmonian, sudah tentulah kita tidak mahukan sebarang jurang bertatah di dalam

kehidupan masyarakat. Pada pendapat saya, jurang itu boleh memecahbelahkan

perpaduan. Apabila bahasa Melayu kembali dalam pengajaran subjek kritikal ini, sudah

Page 10: Pidato (Kumpulan) Skrip

GBM 1103 IPGK KENT TUARANBAHASA MELAYU KONTEKSTUAL

tentulah jurang itu dapat dirapatkan. Ketika jurang pendidikan itu dirapatkan, sudah tentulah

perpaduan dapat dipupuk dari alam persekolahan lagi. Selain dasar baharu itu, usaha

Kementerian Pelajaran Malaysia melaksanakan program Memartabatkan Bahasa Melayu,

memperkukuh Bahasa Inggeris dilihat sebagai wahana yang sangat utama untuk menjadi

tonggak perpaduan. Pengisiannya jelas menunjukkan bahawa betapa prihatinnya pihak

kerajaan terhadap kedaulatan bahasa Melayu dan betapa arifnya kerajaan tentang peranan

bahasa Melayu sebagai tonggak perpaduan.

Hadirin yang dirahmati,

Sebagai penutup tirai wacana ilmu kita pada hari ini, saya suka ingin mengingatkan

kepada khalayak hari ini bahawa rakyat yang memperlekehkan bahasa kebangsaan akan

merosakkan perpaduan yang kita kecapi selama ini. Tidak keterlaluan saya katakan bahawa

insan inilah anasir yang menodai kebahagiaan kita di bawah berkat Satu Malaysia. Oleh itu,

sayangilah bahasa Melayu kita, hormatilah bahasa kebangsaan kita kerana bahasa Melayu

tonggak perpaduan bangsa.

Sekian, terima kasih.

Page 11: Pidato (Kumpulan) Skrip

GBM 1103 IPGK KENT TUARANBAHASA MELAYU KONTEKSTUAL

Tajuk Pidato: “1 Malaysia : Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan ”.

Pemidato: Saudari Cheong Sing Yueh

Putera kepada tokoh terbilang,

Lahir di Lipis, membesar di Pekan,

1 Malaysia formula dicanang,

Rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan.

Setelah saya memperdengarkan pantun tersebut saya pasti, sudah ramai yang

mengetahui wajah tampan yang terselindung disebaliknya. Beliau adalah Perdana Menteri

kita yang Ke-6, Dato’ Sri Mohd Najib Tun Haji Abdul Razak. dilahirkan pada 23 Julai 1953 di

Kuala Lipis, Pahang. Pengalaman menyaksikan perjuangan serta aliran politik negara ketika

pemerintahan ayahanda tercinta, Allahyarham Tun Haji Abdul Razak, menjadikan beliau

berinspirasi untuk berbakti kepada masyarakat juga negara. 

Yang Berbahagia Datuk Mary Teresa Kinajil, Pengarah IPG Kampus Kent Tuaran,

Sabah, Yang Berusaha Encik Romli Bin Darus, Timbalan Pengarah IPG Kampus Kent

Tuaran, Sabah, Yang dihormati Tuan pengerusi majlis , barisan panel Hakim yang arif

lagi bijaksana, penjaga masa yang sentiasa peka dengan detak jamnya serta para hadirin

yang saya hormati. Selamat pagi dan salam sejahtera.

Pada pagi yang mulia ini, saya ingin memanjatkan kesyukuran kepada Tuhan kerana

memberikan peluang kepada saya untuk menyampaikan sebuah pidato yang cukup

bermakna dan penuh perisian. Tajuk pidato yang ingin saya sampaikan pada pagi ini ialah “1

Malaysia : Rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan ”. Sebelum saya berbicara dengan

lebih lanjut tentang tajuk ini, rasanya elok benarlah saya merungkai mutiara makna atau

definisi tentang apa yang diertikan dengan konsep 1 Malaysia yang sebenarnya.

Page 12: Pidato (Kumpulan) Skrip

GBM 1103 IPGK KENT TUARANBAHASA MELAYU KONTEKSTUAL

Hadirin yang saya kasihi sekalian,

Menurut penjelasan YAB Dato’ Sri Mohd Najib Tun Haji Abdul Razak, konsep 1

Malaysia adalah merujuk kepada cara kita berdiri, berfikir dan bertindak sebagai bangsa

Malaysia atau One People. Tindakan-tindakan yang kita ambil perlulah berdasarkan

kehendak semua kumpulan etnik dalam Negara kita. Pertimbangan yang diberi kepada

golongan Bumiputera yang layak wajar mendapat sesuatu pertimbangan daripada kerajaan.

Kita akan keluar daripada cara bertindak dalam tembok etnik yang kita amalkan sejak sekian

lama.

Konsep 1 Malaysia menuntut pemimpin dan setiap warganegara untuk memainkan

peranan masing-masing disamping melibatkan nilai tambah dan pembaharuan. 1 Malaysia

membawa aspirasi untuk memperbaiki hubungan kaum bagi memastikan rakyat Malaysia

dapat menjalin perpaduan yang lebih erat. ‘1 Malaysia’ juga akan mewujudkan sebuah

kerajaan yang mengutamakan pencapaian berpaksikan keutamaan rakyat sebagai mana

slogan ‘Rakyat didahulukan, Pencapaian diutamakan’‘1 Malaysia’ memerlukan kepimpinan

yang bijak menafsir dan memahami tugasan yang diberi serta dan rakyat yang berintegriti

tinggi. Sifat jujur, bercakap benar, telus, ikhlas, amanah dan berkebolehan amat penting

untuk melaksanakan tanggungjawab kepada negara. 1 Malaysia turut menjadi pemangkin

kepada pengwujudan negara bangsa yang dapat membina Malaysia sebagai negara yang

mempunyai sikap kesamaan dan kekitaan dalam kalangan rakyat.

Hadirin yang dimuliakan,

Konsep 1 Malaysia bukanlah satu wawasan atau gagasan pemikiran baru.

Sebaliknya Konsep 1 Malaysia ‘Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan’ lebih

merupakan satu konsep dalam bidang pentadbiran yang menyarankan pemimpin-pemimpin

Kerajaan menjalankan tugas dengan lebih cekap, amanah dan bertanggungjawab demi

kepentingan rakyat. Konsep 1 Malaysia berbeza dengan konsep Malaysian Malaysia kerana

di samping menjaga kepentingan semua kaum, konsep ini juga menekankan soal integrasi

dan pengwujudan bangsa Malaysia. 1 Malaysia tidak hanya terbatas kepada kesamarataan

hak tanpa mengambil kira realiti dan sejarah negara Malaysia seperti yang dibawa oleh

Malaysian Malaysia. Konsep Malaysian Malaysia adalah dasar yang mahu menggagalkan

terus asas binaan kemasyarakatan yang wujud buat sekian lama. Keadilannya diambil

Page 13: Pidato (Kumpulan) Skrip

GBM 1103 IPGK KENT TUARANBAHASA MELAYU KONTEKSTUAL

secara membuta tuli dengan mengambil konsep kesamarataan versi total. Tetapi konsep 1

Malaysia lebih kepada mengharmonikan rakyat dalam ruang lingkup yang berbeza.

Sebenarnya konsep 1 Malaysia tetap berkait dengan dasar-dasar kerajaan yang

terdahulu. 1 Malaysia, Rakyat Didahulukan. Pencapaian Diutamakan, adalah

kesinambungan daripada dua konsep yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri terdahulu

dan bukanlah suatu perkara baru. Sebaliknya “1 Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian

Diutamakan, merupakan satu usaha yang telah lama diamalkan iaitu usaha-usaha

memelihara dan menjaga kepentingan rakyat serta negara. Usaha ini sudah lama

dilaksanakan sejak zaman Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj. Kemudiannya, usaha ini

disambung oleh Perdana-Perdana Menteri seterusnya. Meskipun setiap Perdana Menteri

mempunyai gagasan tersendiri, namun matlamatnya tetap sama iaitu untuk rakyat dan juga

negara.

Saudara dan saudari,

‘1 Malaysia’ akan mewujudkan sebuah kerajaan yang mengutamakan pencapaian

berpaksikan keutamaan rakyat seperti yang terpamer melalui slogan Yang Amat Berhormat

Dato’ Sri Najib Tun Razak iaitu ‘Rakyat didahulukan, Pencapaian diutamakan. Konsep yang

bermatlamat untuk mengekalkan dan meningkatkan perpaduan dalam kepelbagaian yang

selama ini menjadi kekuatan Malaysia serta rakyatnya dan kelebihan ini akan dipelihara

sebagai bekalan terbaik kita untuk menghadapi sebarang cabaran. Melalui konsep ‘1

Malaysia’ ini tidak akan wujud perasaan tidak berpuas hati kepada mana-mana kaum kerana

semua rakyat adalah Bangsa Malaysia dan Rakyat Malaysia yang mempunyai satu hala tuju

dan cita rasa untuk bersama memajukan negara.

Untuk menjayakan konsep ini, semua rakyat Malaysia perlu mendasari prinsip-prinsip

utama 1 Malaysia iaitu kebersamaan dan kekitaan. Nilai-nilai murni yang diterapkan oleh

YAB Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak dalam konsep ‘1 Malaysia’ juga perlu diamalkan.

Nilai-nilai murni ini dapat menyatu padukan rakyat Malaysia dengan fikiran dan tindakan

yang menjurus kepada satu matlamat iaitu untuk negara. Nilai-nilai tersebut adalah budaya

kecemerlangan, ketabahan, rendah hati, penerimaan, kesetiaan, meritokrasi, pendidikan

serta integriti.

Page 14: Pidato (Kumpulan) Skrip

GBM 1103 IPGK KENT TUARANBAHASA MELAYU KONTEKSTUAL

Hadirin yang budiman sekalian,

Pengamalan budaya cemerlang akan membawa Malaysia ke tahap kejayaan serta

pencapaian yang lebih tinggi. Kejayaan dan pencapaian masyarakat dan negara bergantung

setakat mana budaya kecemerlangan diamalkan oleh rakyatnya. Setiap perjuangan atau

pelaksanaan kerja pula memerlukan ketabahan dan ketekunan mereka. Perjuangan untuk

mencapai kemajuan dan kecemerlangan negara amat memerlukan pemimpin dan rakyatnya

tabah menghadapi segala rintangan dan dugaan. Di samping itu, rasa rendah hati adalah

satu sifat yang penting untuk dimiliki.

Konsep penerimaan dan toleransi pula adalah dua perkara yang berbeza sama ada

daripada ungkapan mahupun pelaksanaan. Penerimaan akan memperlihatkan perlakuan

yang positif menerima sepenuhnya sesuatu perkara dengan hati yang ikhlas tanpa ada

unsur-unsur terpaksa. Manakala toleransi pula berlaku kerana tiada pilihan lain atau secara

terpaksa. Perlakuan atau sikap toleransi berlaku apabila sesuatu pihak tiada pilihan lain dan

ianya diterima dengan ketidakjujuran. Prinsip kesetiaan turut amat diperlukan dalam apa jua

keadaan. Kesetiaan kepada Raja dan Negara adalah prinsip kedua Rukun Negara wajib

dipegang erat oleh setiap rakyat negara ini tanpa berbelah bahagi. Semua kaum perlu

mengutamakan kesetiaan dan kepentingan kepada negara mengatasi kesetiaan kepada

kaum dan kelompok sendiri. 

Hadirin hadirat yang dikasihi,

Pendidikan dan pengetahuan pula adalah prasyarat penting untuk mana-mana

negara mencapai kejayaan. Kekuatan dan ketahanan adalah berasaskan kepada

masyarakat yang berpendidikan dan berpengetahuan mengatasi kekuatan ketenteraan. Juga

adalah penting bagi sesebuah kerajaan untuk mendapat kepercayaan dan keyakinan rakyat.

Kepercayaan dan keyakinan diperoleh melalui nilai-nilai integriti. Nilai ini perlu diamalkan

oleh semua pihak daripada pemimpin sehingga semua peringkat tanpa mengira kedudukan.

Peranan yang dijayakan rakyat akan mendapat manfaat dari komitmen kerajaan

mlelalui tema "Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan" sebagai sebahagian dari

konsep 1 Malaysia. Hal ini bermaksud bahawa di samping menekankan peri-pentingnya

perpaduan rakyat Malaysia, kerajaan juga akan memberikan keutamaan kepada isu-isu yang

dianggap penting oleh rakyat. Kerajaan juga menekankan prestasi dan pencapaian oleh

Page 15: Pidato (Kumpulan) Skrip

GBM 1103 IPGK KENT TUARANBAHASA MELAYU KONTEKSTUAL

semua kakitangan nya apabila berurusan dengan rakyat. Dalam kata lain, kerajaan amat

memahami betapa pentingnya kecekapan dan kualiti perkhidmatan awam dalam

meningkatkan mutu hidup rakyat justeru itu pendekatan mesra-rakyat akan diberi keutamaan

oleh semua agensi-agensi kerajaan.

Hadirin yang saya hormati,

Tampaknya masa begitu cemburu dan berlalu pantas meninggalkan kita. Tidak

dapatlah saya berpidato dan mengulas dengan lebih panjang lebar lagi. Sebelum

mengundurkan diri, saya ingin menyeru kepada diri saya sendiri serta haridin hadirat

sekalian agar yakin dengan konsep yang dibawakan YAB Perdana Menteri. Sudah terang

lagi bersuluh bahawa konsep “1 Malaysia : Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan”

adalah satu pakej lengkap yang mampu menjamin keharmonian dan pembangunan Malaysia

yang mapan sekiranya kita semua, yakin rakyat Malaysia memberikan kerjasama juga

komitmen padu.

Sekian, terima kasih.

Page 16: Pidato (Kumpulan) Skrip

GBM 1103 IPGK KENT TUARANBAHASA MELAYU KONTEKSTUAL

Tajuk Pidato: “Negara Merdeka Masyarakat Sejahtera”

Pemidato: Saudari Lee Sen Peng

Yang Berbahagia Datuk Mary Teresa Kinajil, Pengarah IPG Kampus Kent Tuaran,

Sabah, Yang Berusaha Encik Romli Bin Darus, Timbalan Pengarah IPG Kampus Kent

Tuaran, Sabah, Yang dihormati Tuan pengerusi majlis , panel hakim yang sentiasa

berpegang pada prinsip keadilan, penjaga masa yang sentiasa peka dengan detak jamnya,

para perserta yang saya kagumi serta hadirin dan hadirat yang saya dikasihi.

Tun Dr. Mahathir Mohamad pernah berkata, “bukannya perkara kecil bagi kita untuk

meneruskan perjuangan kemerdekaan negara kerana rupa-rupanya selain memerdekakan

negara, mengisi kemerdekaan itu jauh lebih sengsara”. Hal ini demikian kerana,

kemerdekaan negara yang dicipta itu memelihara kesejahteraan masyarakat sejagat. Oleh

itu, saya tampil di hadapan anda semua bagi menyampaikan sebuah pidato yang bermauduk

“Negara Merdeka Masyarakat Sejahtera”.

Sebagai implikasi awalan, kemerdekaan negara telah menjadi bukti pada cermin

perjuangan bangsa Malaysia yang cinta akan negara yang menjadi tanah tumpah darah kita

semua. Namun demikian, Malaysia pernah dituduh, kononnya tidak demokratik, diktator dan

mengamalkan pemerintahan kuku besi oleh bangsa Eropah kerana tidak melakukan

pertukaran kepimpinan seperti mereka. Tegasnya, kini negara kita ialah sebuah negara yang

berdaulat dan merdeka. Dengan kata lain, negara merdeka bermaksud negara yang bebas

iaitu negara kita tidak lagi dikuasai atau dijajah oleh kuasa lain dan bebas dalam

menentukan hala tujunya sendiri. Kemerdekaan yang dimaksudkan juga bebas daripada

segala sudut, termasuklah bebas minda dan budaya daripada sebarang pengaruh asing.

Rakyat negara kita yang merdeka pula mencatat kejayaan besar dalam pelbagai bidang

dengan cemerlang di persada dunia. Hal ini sudah tentu akan mewujudkan masyarakat yang

aman dan sejahtera. Oleh itu, untuk mengupas segala persoalan, empat perspektif utama

akan saya utarakan bagi mengungkap kemerdekaan negara demi kesejahteraan rakyatnya.

Page 17: Pidato (Kumpulan) Skrip

GBM 1103 IPGK KENT TUARANBAHASA MELAYU KONTEKSTUAL

Saudara dan saudari,

Indikator saya yang pertama, kemajuan pembangunan dan pertumbuhan ekonomi.

Untuk mencapai taraf negara maju pada tahun 2020, Malaysia telah melaksanakan pelbagai

program pembangunan. Lihatlah, kewujudan kilang perindustrian bagaikan cendawan

tumbuh selepas hujan setelah kerajaan yang ditubuhkan selepas kemerdekaan kini lebih

berwawasan dalam menentukan kesinambungan kedua-duanya. Sebagai contohnya,

Menara Berkembar Petronas yang mempunyai 99 tingkat dan Menara Kuala Lumpur setinggi

421 meter. Kedua-duanya ini memberikan impak yang besar kepada imej negara yang

menjadikannya sebagai identiti negara. Antara sedar atau tidak, kita sebenarnya

mengukuhkan ekonomi negara ini lagi melalui pelbagai sudut. Secara tidak langsung,

pembangunan yang dibina ini mampu meluaskan peluang pekerjaan, sekali gus dapat

meningkatkan taraf hidup penduduk, dan hal ini sudah tentu memberikan kesejahteraan

kepada masyarakat.

Hadirin sekalian,

Indikator saya yang kedua, kemajuan sains dan teknologi, ideologi bervisi.

Perkembangan dan kemantapan teknologi sains semakin memberi impak dari hari ke hari

kepada rakyat malahan membuka mata seluruh dunia. Kebebasan negara dalam melahirkan

pelbagai idea baru dan menghasilkan pelbagai produk, kesan gabungan pengaplikasian

kedua-duanya telah membuka peluang pasaran yang besar. Sebagai contohnya, daripada

kajian terbaharu, rupa-rupanya pokok vanilla yang tidak terdapat di negara kita juga telah

ditanam dan hidup dengan subur di negara kita. Kesimpulannya, rakyat boleh menikmati

kelebihan ini seperti buah-buahan tempatan kita juga. Tambahan pula, kita bukan lagi seperti

pungguk rindukan bulan dan tidak lagi bermimpi di siang hari kerana gapaian jauh melepasi

awan sudah dibuktikan menjadi kenyataan. Perkara ini dibuktikan dengan kelahiran anak

merdeka yang bergelar angkasawan negara iaitu Dr. Sheikh Muszaphar Shukor yang

berjaya dalam misi negara dengan membolehkan negara kita duduk sama rendah dan

berdiri sama tinggi dengan negara Russia dan Amerika Syarikat yang memang terkenal

dalam bidang sains angkasa. Peristiwa besar seperti ini ialah catatan terbaik untuk

dimuatkan sebagai kejayaan negara yang kini lebih diiktiraf dan dipandang tinggi oleh dunia.

Dengan perkataan lain, sebagai sebuah negara yang merdeka, kita sebenarnya telah

berjaya melahirkan masyarakat yang sejahtera.

Page 18: Pidato (Kumpulan) Skrip

GBM 1103 IPGK KENT TUARANBAHASA MELAYU KONTEKSTUAL

Page 19: Pidato (Kumpulan) Skrip

GBM 1103 IPGK KENT TUARANBAHASA MELAYU KONTEKSTUAL

Saudara dan saudari,

Indikator saya yang ketiga, semangat patriotisme penangkis neoimperialisme. Hal ini

demikian kerana, semangat yang kita padukan dan satukan ialah semangat cinta akan

kemakmuran, jika tidak, masakan kita bisa bertahan ketika dirobek keamanan, dicemuh

kesucian, dan dimaki dalam penghinaan. Ketika itu, kita sedar betapa pentingnya semangat

perjuangan dan tuntutan kemerdekaan dan sekali gus meletakkan suatu tanggungjawab di

pundak anak bangsa yang bakal mewarisi negara. Sebagai contohnya, sewaktu kegawatan

ekonomi melanda seluruh dunia pada tahun 1997, negara kita berjaya mengharunginya

dengan semangat patriotisme yang tinggi dan perpaduan yang jitu dalam kalangan

pemimpin dan rakyat negara kita tanpa mengira kaum dan bangsa. Mahatma Gandhi pernah

berkata, ”Majunya sesebuah negara kerana asas jati diri bangsanya”. Maka pada hari ini kita

harus sedar, kurniaan kemerdekaan bukan sekadar kibaran jalur gemilang, dan bukan juga

dendangan lagu kebangsaan kerana kalau roboh kota Melaka, papan di Jawa jadi gantinya,

iaitu apabila musuh datang melanda kita, patriotisme Malaysia jadi penangkisnya bagi

kesejahteraan masyarakat semua.

Para hadirin yang dihormati,

Indikator saya yang terakhir, Rukun Negara pembentuk bangsa merdeka dan

berdaulat. Walaupun pada 31 Ogos 1970, ada sesetengah pihak yang menyifatkan Rukun

Negara sebagai doktrin ketahanan nasional. Sebenarnya, Rukun Negara digubal melalui

pelbagai dasar strategi sosioekonomi dan ketatanegaraan yang lebih komprehensif serta

berkesan. Sebagai contohnya, akhbar Utusan Melayu 16 Julai 1965 menyatakan

penentangan adalah terhadap kedaulatan Raja-Raja Melayu, hak-hak keistimewaan Melayu,

agama Islam sebagai agama rasmi dan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

Dengan perkataan lain, kewujudan Rukun Negara mampu mendepani zaman universal,

holistik dan realistik kerana bisa menghakis seluruh prasangka kaum yang mungkin wujud di

negara ini sebelum dan sesudah peristiwa 13 Mei 1969 yang begitu banyak memberikan

pengajaran untuk kesejahteraan. Oleh hal yang demikian, saya menyarankan rakyat negara

ini, biarlah gunung sama didaki, lurah sama dituruni, dan hati gajah sama dilapah, hati

nyamuk sama dicecah”. Marilah kita bersama-sama meniti hari-hari yang mendatang dengan

mengukuhkan semangat patriotisme dan mengekalkan kemerdekaan negara yang tercinta

bagi memastikan masyarakat hidup aman dan sejahtera.

Page 20: Pidato (Kumpulan) Skrip

GBM 1103 IPGK KENT TUARANBAHASA MELAYU KONTEKSTUAL

Cukuplah setakat ini sahaja pidato saya kali ini, dan saya ingin memohon kemaafan

sekiranya tersilap kata dan tersalah susun bicara semasa saya menyampaikan pidato tadi.

Sekian, terima kasih.