16
1 CURRICULUM DESIGN IN TVE (MPK 1053) TUGASAN 1 – ISU SEMASA PTV PERSEPSI NEGATIF MASYARAKAT TERHADAP PENDIDIKAN TEKNIK & VOKASIONAL DISEDIAKAN OLEH: AZLINA BINTI AWI 810925-11-5294 (MP 131419) PENSYARAH: ASSOC. PROF. DR. MUHAMMAD SUKRI SAUD DR. YUSRI KAMIN

Persepsi Negatif Terhadap PTV

Embed Size (px)

DESCRIPTION

Persepsi Negatif Terhadap PTV

Citation preview

14

CURRICULUM DESIGN IN TVE (MPK 1053)

TUGASAN 1 ISU SEMASA PTVPERSEPSI NEGATIF MASYARAKAT TERHADAPPENDIDIKAN TEKNIK & VOKASIONAL

DISEDIAKAN OLEH:AZLINA BINTI AWI810925-11-5294(MP 131419)

PENSYARAH:ASSOC. PROF. DR. MUHAMMAD SUKRI SAUDDR. YUSRI KAMIN

FACULTY OF EDUCATION,DEPARTMENT OF TECHNICAL AND ENGINEERING EDUCATION2014

KANDUNGAN

PERKARAMUKASURAT

1.1 Pengenalan31.2 Faktor Persepsi negatif masyarakat terhadap pendidikan teknik dan vokasional1.2.1 Pandangan negatif daripada ibu bapa dan masyarakat4-51.2.2 Perbezaan gaji antara lulusan akademik dan lulusan teknik dan vokasional5 1.2.3 Pendidikan teknik dan vokasional dianggap pendidikan kelas kedua6-7 1.2.4 Matlamat awal penubuhan pendidikan teknik dan vokasional71.3 Pendidikan teknik dan vokasional di negara maju8-91.4 Kesimpulan10-11Rujukan12-14

PERSEPSI NEGATIF MASYARAKAT TERHADAPPENDIDIKAN TEKNIK DAN VOKASIONAL

Oleh

Azlina binti AwiUniversiti Teknologi Malaysia

1.1 Pengenalan

Pelan Strategik Transformasi Pendidikan Vokasional telah diwujudkan pada tahun 2011 menyaksikan perubahan drastik dalam pendidikan Vokasional di Malaysia di mana berlaku transformasi terhadap sekolah vokasional yang berubah status menjadi Kolej Vokasional pada tahun 2013. Perubahan ini sekaligus menaikkan lagi tahap pendidikan teknik dan vokasional ke satu tahap yang lebih tinggi. Pelan Strategik Transformasi Pendidikan Vokasional ini merangkumi lima strategi utama, lima inisiatif dan 11 tindakan bagi meningkatkan nilai pasaran kerja pelajar dan seterusnya melonjakkan pendidikan vokasional setaraf dengan negara maju lain.Namun, di sebalik transformasi yang ingin direalisasikan, pendidikan teknik dan vokasional masih lagi berhadapan dengan cabaran yang perlu diatasi dalam menaikkan imej pendidikan teknik dan vokasional dan seterusnya mengubah pandangan umum terhadap pendidikan teknik dan vokasional. Antara cabaran yang dihadapi oleh pendidikan teknik dan vokasional ialah dalam mengubah persepsi negatif masyarakat terhadap pendidikan teknik dan vokasional. Meskipun persepsi negatif masyarakat semakin berkurangan berbanding dahulu tetapi persepsi negatif ini masih lagi wujud dalam kalangan masyarakat malahan ada ibu bapa yang tidak membenarkan anak-anak mereka untuk menyambung pembelajaran dalam bidang vokasional. Fokus perbincangan artikel ini ialah untuk mengenalpasti faktor persepsi negatif masyarakat terhadap pendidikan teknik dan vokasional dan seterusnya melihat pendidikan teknik dan vokasional daripada perspektif masyarakat di negara-negara maju.

1.2 Faktor Persepsi negatif masyarakat terhadap pendidikan teknik dan vokasional

Isu persepsi negatif masyarakat terhadap pendidikan teknik dan vokasional tidak hanya berlaku di negara kita Malaysia malahan ianya isu yang global di mana negara-negara lain di seluruh dunia turut berhadapan dengan persepsi negatif masyarakat terhadap pendidikan teknik dan vokasional. Terdapat beberapa faktor yang mendorong kepada persepsi negatif masyarakat terhadap pendidikan teknik dan vokasional.

1.2.1 Pandangan negatif daripada ibu bapa dan masyarakat

Kajian yang dijalankan oleh Khadijah Alavi et al. (2010) mendapati bahawa ibu bapa dan guru mempunyai pandangan lebih negatif berbanding positif terhadap pendidikan teknik dan vokasional. Perkara ini juga turut berlaku di negara jiran di mana satu kajian yang dijalankan oleh Law Song Seng (2007) di Singapura juga mendapati bahawa masyarakat mempunyai pandangan negatif terhadap pendidikan teknik dan vokasional. Kebanyakan ibu bapa di Singapura berharap agar anak-anak mereka menyambung pengajian di peringkat universiti dan ini memberi tekanan terhadap institusi persekolahan terhadap permintaan ibu bapa yang tidak sesuai dengan kemampuan anak-anak mereka.

Menurut Yahya (1993), ibu bapa dalam kalangan mereka yang berjawatan tinggi dalam agensi kerajaan kurang menggalakkan anak-anak mereka yang berminat dalam bidang kemahiran untuk meneruskan pengajian dalam bidang teknik dan vokasional. Persepsi ini mungkin didorong oleh pengalaman lalu di mana mereka yang berkelulusan rendah dalam SRP atau PMR memilih untuk menyambung pembelajaran di sekolah vokasional. Justeru, berlaku kekangan daripada pihak ibu bapa sendiri apabila anak mereka ingin menyambung pembelajaran dalam bidang vokasional.

Siti Maspah & Nor Azizah (1995) menyatakan dalam kertas kerja mereka bahawa menarik minat pelajar terhadap bidang teknik dan vokasional merupakan satu masalah yang besar kerana ibu bapa lebih memberikan perhatian kepada pendidikan di sekolah akademik.

1.2.2 Perbezaan gaji antara lulusan akademik dan lulusan teknik dan vokasional

Persepsi negatif masyarakat juga wujud disebabkan oleh perbezaan gaji yang diberikan majikan terhadap graduan lulusan akademik dan graduan lulusan teknik dan vokasional. Menurut Khadijah Alavi et al. (2011) persepsi negatif ini turut berlaku di Hong Kong di mana graduan lulusan akademik lebih dipandang tinggi berbanding graduan pendidikan teknik dan vokasional dan mereka diberi gaji yang lebih tinggi berbanding graduan pendidikan teknik dan vokasional. Perkara seperti ini sedikit sebanyak turut menyumbang kepada penambahan pandangan negatif masyarakat terhadap pendidikan teknik dan vokasional di mana masyarakat beranggapan bidang teknik dan vokasional tidak dapat memberi jaminan masa hadapan yang cerah.

Industri pembinaan yang merupakan salah satu cabang dalam bidang teknik dan vokasional juga menghadapi masalah kekurangan tenaga kerja tempatan akibat daripada penawaran kadar upah yang rendah. Menurut Zakaria et al. (2006) satu laporan oleh Pusat Kajian Industri yang berpangkalan di Texas, USA mendapati bahawa upah yang tidak menarik merupakan antara punca menyebabkan kekurangan tenaga kerja dalam industri pembinaan sejak akhir tahun 90an.

1.2.3 Pendidikan teknik dan vokasional dianggap pendidikan kelas kedua

Lebih menyedihkan apabila bidang pendidikan teknik dan vokasional dianggap sebagai tempat yang layak diisi oleh mereka yang gagal untuk menempatkan diri mereka dalam bidang akademik. Menurut Blaug (1973) & Oketch (2007), pendidikan teknik dan vokasional dilihat sebagai pilihan kedua terhadap mereka yang tidak mempunyai aspirasi yang tinggi. Mereka yang memilih bidang pendidikan teknik dan vokasional terdiri daripada mereka yang gagal dan dianggap kelas kedua. Perkara ini turut dipersetujui oleh Siti Maspah & Nor Azizah (1995) yang menyatakan dalam kajian mereka bahawa pendidikan di sekolah vokasional dianggap sebagai second class. Seharusnya, stigma sebegini tidak perlu ada dalam masyarakat kerana setiap bidang pekerjaan mempunyai peranan tersendiri dalam menentukan kelangsungan dan hala tuju pembangunan sesebuah negara.

Laporan oleh UNICEF & SSM (2013) menyatakan bahawa jumlah pelajar sekolah menengah yang memasuki bidang vokasional mengalami penurunan daripada 62,200 kepada 51,500 pada tahun 2011. Jumlah ini sangat rendah berbanding dengan negara-negara maju lain contohnya seperti Jerman yang sistem pendidikan teknik dan vokasional dan teknikal dianggap satu daripada kekuatan utama sistem pendidikannya dan 60-70% pelajar sekolah menengah memilih untuk belajar di sekolah vokasional dan teknikal. Di Jepun dan Korea Selatan pula, 50-60% pelajar di sana memasuki sekolah vokasional dan teknikal (Baharudin, 2012).

Data statistik yang diperolehi menunjukkan di Malaysia khususnya pendidikan teknik dan vokasional tidak menjadi pilihan utama terhadap pelajar. Bagi para pelajar, mereka mengimpikan untuk menjejakkan kaki ke institusi pengajian tinggi walaupun ada antara mereka yang memperoleh keputusan yang sederhana sahaja. Perkara ini berlaku kerana para pelajar merasakan mereka akan tergolong dalam golongan mereka yang gagal dan lemah jika menyambung pengajian dalam bidang vokasional. Ini tidak mengejutkan kerana menurut Pang Chau Leong (2011) bidang vokasional selalu dilabel umum sebagai pilihan kerjaya pelajar yang berkelulusan rendah atau tercicir di samping peluang yang terhad untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi.

Sejak dahulu lagi pendidikan teknik dan vokasional telah dilabel sebagai pendidikan peluang kedua atau kelas kedua. Di kebanyakan negara, remaja yang dilihat tidak berkebolehan dalam akademik telah dimasukkan ke dalam pelbagai bidang pendidikan teknik dan vokasional menyebabkan wujud persepsi negatif dan pengiktirafan rendah masyarakat terhadap bidang teknik dan vokasional (Didacus, 2012).

1.2.4 Matlamat awal penubuhan pendidikan teknik dan vokasional

Persepsi negatif masyarakat terhadap pendidikan teknik dan vokasional terjadi disebabkan matlamat awal penubuhan pendidikan teknik dan vokasional itu sendiri di mana tujuan pendidikan teknik vokasional diwujudkan adalah untuk membolehkan para pelajar yang berkelulusan sederhana dan lemah untuk kekal berada dalam sistem persekolahan. Pendidikan teknik dan vokasional juga diwujudkan bertujuan untuk memberi peluang kepada mereka yang tercicir untuk menyambung pengajian ke peringkat yang lebih tinggi.

Menurut Rahimah & Rahmat (2002) perkembangan kemahiran vokasional dan teknik bagi tahun-tahun sebelum Merdeka iaitu sekitar tahun 1900-1956 menunjukkan perkembangan yang positif di mana permulaannya sekolah pertukangan ditubuhkan untuk membantu para pelajar untuk kekal berada dalam sistem persekolahan meskipun gagal menempatkan diri dalam Sekolah Inggeris.

Faktor-faktor persepsi negatif yang dinyatakan di atas merupakan antara faktor penyumbang persepsi negatif masyarakat terhadap pendidikan teknik dan vokasional. Seterusnya, kita akan melihat perspektif masyarakat di negara-negara maju terhadap pendidikan teknik dan vokasional.

1.3 Pendidikan teknik dan vokasional di negara maju

Mengapa pendidikan teknik dan vokasional dilihat lebih berjaya di negara-negara maju ialah kerana masyarakat di sana memandang tinggi bidang vokasional sama seperti mereka memandang tinggi terhadap bidang akademik yang lain. Bidang pendidikan teknik dan vokasional diterima sebagai satu bidang yang boleh menjamin masa depan mereka dan menjanjikan jaminan pekerjaan sesuai dengan kemahiran yang mereka ada.

Satu kajian dijalankan oleh pihak Special Eurobarometer 369 di negara-negara kesatuan Eropah pada tahun 2011 mendapati bahawa 71% daripada penduduk di Eropah berpandangan pendidikan teknik dan vokasional mempunyai imej yang positif di negara mereka. 82% daripada respondan juga mendapati bahawa graduan yang berkelulusan dalam bidang teknik dan vokasional mempunyai kemahiran yang diperlukan oleh pihak majikan. Lebih separuh ataupun 55% respondan percaya bahawa bidang teknik dan vokasional boleh memberi jaminan pekerjaan bergaji lumayan dan 72% respondan pula berpendapat bahawa bidang teknik dan vokasional menawarkan peluang pekerjaan yang bagus.

Daripada kajian yang dijalankan di negara-negara kesatuan Eropah tersebut, dapat dinyatakan bahawa imej positif yang diperlihatkan oleh bidang teknik dan vokasional di sana menyebabkan ianya menjadi pilihan rakyat negara mereka untuk mimilih bidang teknik dan vokasional sebagai satu pilihan kerjaya mereka. Ini terjadi kerana mereka telah mempunyai teknologi yang dipelopori oleh mereka sendiri sejak dahulu lagi dan mereka boleh menyediakan fasiliti yang sesuai untuk pembelajaran kemahiran tersebut.

Menurut Oketch (2007), pendidikan teknik dan vokasional memainkan peranan penting dalam melengkapkan generasi muda dengan kemahiran yang diperlukan dalam pasaran perindustrian, mengurangkan pengangguran, meningkatkan pendapatan dan seterusnya mengurangkan kadar kemiskinan. Ini bertepatan dengan kajian yang dijalankan oleh Walter (2012) yang mendapati bahawa sistem pendidikan teknik dan vokasional di Jerman yang telah bermula sejak dahulu lagi dan terus berkembang dengan tertubuhnya Vocational Training Act 1969.

Sejak itu generasi muda di Jerman telah diberi pendedahan yang pelbagai dalam pendidikan teknik dan vokasional. Akta ini telah diperbaharui pada 1 April 2005 dan bermatlamat untuk mengekalkan dan meningkatkan peluang-peluang kemahiran serta memastikan semua anak muda daripada pelbagai latar belakang dapat belajar bidang kemahiran vokasional yang berkualiti tinggi. Graduan lulusan pendidikan teknik vokasional ini akan memenuhi keperluan perindustrian di negara mereka.

Sistem pendidikan teknik dan vokasional di Jerman memberi penekanan terhadap kemahiran praktikal sejak daripada awal latihan dan penglibatan pelajar dalam industri tidak hanya terhad dalam pendedahan skop pekerjaan sahaja, malahan juga pengenalan terhadap organisasi syarikat, peraturan dan juga perpaduan dalam kalangan pekerja. Sistem pendidikan teknik dan vokasional di Jerman bekerjasama erat dengan industri agar graduan lepasan pendidikan teknik dan vokasional memenuhi kehendak industri dari semasa ke semasa. Hasilnya, Jerman mencatat kadar pengangguran antara yang terendah dalam kalangan negara-negara Eropah selepas Belanda dan Austria iaitu sebanyak 8.9% pada September 2011.

1.4 Kesimpulan

Usaha berterusan yang dilakukan dalam menaikkan taraf pendidikan teknik dan vokasional harus dikekalkan agar ianya tidak menjadi hanya sekadar melepaskan batok di tangga sahaja. Sokongan daripada pihak kerajaan dalam merealisasikan transformasi pendidikan vokasional akan menjadi satu sandaran untuk pihak masyarakat memberi kepercayaan terhadap pendidikan teknik dan vokasional. Kita harus sedar, semua individu mempunyai kelebihan mereka tersendiri dan tidak semua individu harus dilambakkan ke sesuatu bidang yang dirasakan penting sahaja. Ianya haruslah bersandarkan kebolehan dan minat individu itu sendiri kerana dengan minat dan kebolehan itu, individu tersebut boleh mencipta kejayaan. Dalam Taklimat Transformasi Pendidikan Vokasional di Jabatan Pelajaran Negeri Johor yang telah diadakan pada 1 Disember 2014 yang lalu, Timbalan Pengarah Pendidikan Teknik dan Vokasional Kementerian Pelajaran Malaysia telah menegaskan bahawa Program Vokasional kini bukan untuk pelajar yang tidak pandai tetapi lebih kepada pelajar bukan akademik yang akan lahir sebagai tenaga mahir dalam negara dan menyumbang kepada matlamat Malaysia untuk menjadi sebuah negara maju. Graduan Kolej Vokasional juga diberi peluang untuk melanjutkan pelajaran ke Malaysia Technical University Network (MTUN). Stigma bidang kemahiran hanya untuk pelajar yang tidak mahu belajar sudah tidak relevan kini.

Kepentingan pendidikan teknik dan vokasional amat menyeluruh di mana jika bidang teknik dan vokasional diberi penekanan yang sewajarnya, banyak masalah seperti kekurangan tenaga mahir dan separuh mahir dapat dikurangkan, masalah kemiskinan dapat diatasi dan yang paling penting anak-anak muda yang menganggur dapat diberi peluang yang sewajarnya untuk turut sama beroleh kejayaan. Pandangan negatif masyarakat terhadap pendidikan teknik dan vokasional boleh diatasi dengan penglibatan semua pihak sama ada daripada pihak kerajaan, industri, guru-guru serta kaunselor kerjaya dalam mengetengahkan kejayaan individu yang terlibat dalam bidang ini dan juga memberi penerangan yang lebih jelas tentang hala tuju dan masa depan dalam pendidikan teknik dan vokasional. Sudah tiba masanya mereka yang berjaya dalam bidang teknik dan vokasional diketengahkan dalam masyarakat agar persepsi positif masyarakat terhadap bidang ini dapat ditingkatkan.

RUJUKAN

Baharudin Ali Masrom Al-Haj (2012). Reformasi Pendidikan Vokasional dan Teknikal di Malaysia. Dibentangkan di Majlis Konvensyen Halatuju Pendidikan Negara.

Blaug, M. (1973) Education and the Employment Problem in Developing Countries. Geneva: International Labour Office.

Didacus Jules (2012). Promoting the Attractiveness of TVET in the Context of Secondary Education Reform, Third International Congress on Technical and Vocational Education and Training.

Khadijah Alavi, Rahim Md. Sail, Hair Awang dan Ismi Arif Ismail. (2010). Imej pendidikan teknikal dan latihan vokasional daripada perspektif ibu bapa dan guru. Pembentangan Laporan Hasil Kajian Imej dan Kebanggaan Kerja Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional, 31 Mac 2010, Bilik Wawasan, Jabatan Pembangunan Kemahiran, Kementerian Sumber Manusia, Putrajaya.

Khadijah Alavi, Rahim Md. Sail & Abd Hair Awang dan Ismi Arif Ismail. (2011). Work Esteem and Re-branding of Technical Education and Vocational Training From the Perspective of Parents and Teachers Vol. 3, No.2| December 2011| ISSN 2229-8932 Journal of Technical Education and Training (JTET).

Law Soon Seng (2007). Vocational technical education and economic development: Singapore experience. Singapore Education. World Bank. ITE Paper No. 9, 2007.

Oketch, M.O. 2007. "To vocationalise or not to vocationalise? Perspectives on current trends and issues in technical and vocational education and training (TVET) in Africa", International Journal of Educational Development, Vol. 27 No.2, pp.220-34

Pang Chau Leong. (2011). Key Reforms in Revitalising Technical and Vocational Education and Training ( TVET ) in Malaysia. In Regional Conference on Human Resource Development Through TVET as a Development Strategy in Asia (pp. 4-5). Colombo.

Pelan Strategik Transformasi Pendidikan Vokasional (2011). Kementerian Pelajaran Malaysia.

Rahimah Abdul Aziz & Rahmat Saripan (2002). Pendidikan Asas Kemajuan Minda & Material di Johor. Johor: Yayasan Warisan Johor.

Reform of Vocational Education and Training. Federal Ministry of Education and Research. Pautan pada 30 November 2014 di http://www.bmbf.de/en/1644.php.

Siti Maspah Hassan; Nor Azizah Mohd.Salleh, (1995). Kertas Kerja Bertajuk: Pendidikan Vokasional- Formal Dan Non Formal Ke Arah Wawasan 2020. Dalam Seminar Kebangsaan Pendidikan Negara Abad Ke 21 di UKM, Bangi pada 9 November 1995.

Special Eurobarometer 369 (2011). Attitudes Towards Vocational Education and Training Report.

Taklimat Transformasi Pendidikan Vokasional. Jabatan Pelajaran Negeri Johor. 1 Disember 2014.

Walter Hirche (2012). Involving the Young: The German Approach to Vocational Education. Journal of Education for Sustainable Development 2012 6: 115 Vol 6(1): 115120 10.1177/097340821100600118.

UNICEF, & SSM. (2013). Promoting Technical Education and Vocational Training (TEVT) (p. 7). Kuala Lumpur.

Yahya Bin Emat (1993). Pendidikan teknik dan vokasional di Malaysia. Cetakan 1993. Petaling Jaya: IBS Buku Sdn. Bhd

Yahya Bin Emat. Jurnal Pendidikan, Jilid 37 Keluaran 8 Jun 1993, Kementerian Pendidikan Malaysia. Cabaran Dan Strategi Pendidikan Teknik Dan Vokasional Ke Arah Mencapai Wawasan 2020.

Zakaria Mohd Yusof, Yahya Buntat, Mohamed Shariff Mustaffa & Muhammad Rashid Hj Rajuddin (2006). Cabaran-cabaran di Sektor Binaan dalam Menyediakan Tenaga Kerja Mahir Tempatan Satu Sorotan Penulisan. Skudai, Universiti Teknologi Malaysia.