12
ISU KE - 9 OKT - DIS 2014 HARGA : RM 2 / SOLIDARITI : RM 3 enaikan harga minyak petrol RON95 dan Diesel sebanyak 20 sen mulai awal Oktober 2014 dijustifikasikan oleh kerajaan BN bahawa ia perlu untuk mengurangkan beban kewangan kerajaan. Menurut kerajaan, kenaikan harga minyak tersebut boleh menjimatkan lebih 1 bilion ringgit setahun yang dibelanjakan untuk subsidi kepada rakyat. Tetapi, seperti yang diketahui umum, tindakan kerajaan tersebut akan lebih membebankan rakyat biasa. RON95 dan Diesel adalah kegunaan asas untuk kebanyakan rakyat terutamanya kelas pekerja dan juga kelas menengah, dan mereka pasti akan menanggung kesan akibat kenaikan tersebut. Seperti biasa, kenaikan harga minyak akan diikuti dengan peningkatan harga barangan dan perkhidmatan asas, dan ini sekaligus akan lebih membebankan rakyat biasa yang sudahpun dihimpit oleh tekanan demi tekanan akibat inflasi. Manakala, GST (Cukai Barangan dan Perkhidmatan) yang akan dilaksanakan pada April tahun hadapan dijangka akan meningkatkan lagi kesan inflasi. Tindakan kerajaan menaikkan harga minyak mendapat sokongan padu dan pujian daripada pelopor- pelopor ekonomi kapitalis memandangkan ia selaras dengan kehendak sistem pasaran bebas kapitalisme yang mendesak kerajaan supaya meliberalisasikan ekonomi. Antara agenda tersebut adalah seperti pemotongan subsidi kerajaan kepada rakyat dan pelaksanaan GST. Sikap kerajaan jelas menunjukkan bahawa mereka akan tetap tunduk kepada kehendak kapitalis dan tidak berupaya untuk menghalang hasrat pelopor-pelopor pasaran bebas. Tindakan ini tidak menghairankan memandangkan BN juga adalah parti yang menjunjung agenda kapitalisme. Hanya dengan kekuatan dan perjuangan rakyat biasa yang bebas daripada kongkongan organisasi politik pro-kapitalis, maka langkah-langkah yang memanfaatkan rakyat dapat diwujudkan. Harga Minyak Naik, Rakyat Naik Minyak! Solidariti Anak Muda dan Kelas Pekerja untuk Alternatif Politik! K

Harga Minyak Naik, Rakyat Naik Minyak! · kenaikan harga minyak tersebut boleh menjimatkan lebih 1 bilion ringgit setahun yang dibelanjakan untuk subsidi kepada rakyat. ... Statistik

  • Upload
    vancong

  • View
    256

  • Download
    1

Embed Size (px)

Citation preview

ISU KE - 9 OKT - DIS 2014 HARGA : RM 2 / SOLIDARITI : RM 3

enaikan harga minyak petrol

RON95 dan Diesel sebanyak 20 sen mulai awal Oktober 2014 dijustifikasikan oleh kerajaan BN bahawa ia perlu untuk mengurangkan beban kewangan kerajaan. Menurut kerajaan, kenaikan harga minyak tersebut boleh menjimatkan lebih 1 bilion ringgit setahun yang dibelanjakan untuk subsidi kepada rakyat. Tetapi, seperti

yang diketahui umum, tindakan kerajaan tersebut akan lebih membebankan rakyat biasa. RON95 dan Diesel adalah kegunaan asas untuk kebanyakan rakyat terutamanya kelas pekerja dan juga kelas menengah, dan mereka pasti akan menanggung kesan akibat kenaikan tersebut. Seperti biasa, kenaikan harga minyak akan diikuti dengan peningkatan harga barangan dan

perkhidmatan asas, dan ini sekaligus akan lebih membebankan rakyat biasa yang sudahpun dihimpit oleh tekanan demi tekanan akibat inflasi. Manakala, GST (Cukai Barangan dan Perkhidmatan) yang akan dilaksanakan pada April tahun hadapan dijangka akan meningkatkan lagi kesan inflasi. Tindakan kerajaan menaikkan harga minyak mendapat sokongan padu dan pujian daripada pelopor-pelopor ekonomi kapitalis

memandangkan ia selaras dengan kehendak sistem pasaran bebas kapitalisme yang mendesak kerajaan supaya meliberalisasikan ekonomi. Antara agenda tersebut adalah seperti pemotongan subsidi kerajaan kepada rakyat dan pelaksanaan GST. Sikap kerajaan jelas menunjukkan bahawa mereka akan tetap tunduk kepada kehendak kapitalis dan tidak berupaya untuk menghalang hasrat

pelopor-pelopor pasaran bebas. Tindakan ini tidak menghairankan memandangkan BN juga adalah parti yang menjunjung agenda kapitalisme. Hanya dengan kekuatan dan perjuangan rakyat biasa yang bebas daripada kongkongan organisasi politik pro-kapitalis, maka langkah-langkah yang memanfaatkan rakyat dapat diwujudkan.

Harga Minyak Naik,

Rakyat Naik Minyak!

Solidariti Anak Muda dan Kelas Pekerja untuk Alternatif Politik!K

2 SIDANG PENGARANG SOLIDARITI PEKERJA ISU KE - 9 OKT - DIS 2014

Walaupun bukan yang pertama kali berlaku di negara ini, tetapi kebocoran soalan UPSR tahun ini telah menjadi isu nasional yang cukup menggemparkan. Beberapa orang guru yang disyaki membocorkan soalan tersebut sudah dikesan dan ditangkap. Tetapi spekulasi terus muncul tentang siapa yang mesti bertanggungjawab terhadap perkara ini. Orang politik mengatakan ini merupakan sabotaj terhadap Muhyidin Yassin sebagai Menteri

Pendidikan ekoran konflik dalaman yang berlaku dalam UMNO. Segelintir guru meluahkan perasaan mereka di media sosial, mengatakan kebocoran

soalan ini akibat tekanan yang selama ini ditanggung oleh mereka kerana tidak sanggup menanggung beban kerja yang ditetapkan oleh Kementerian Pendidikan. Salah seorang guru mengatakan: “Mungkin ini jalan untuk sedarkan menteri agar menghentikan segala sistem mengarut yang membebankan guru. Guru diberi tekanan prestasi pelajar dan sekolah untuk mengejar prestasi dan gred yang ditetapkan oleh pihak kementerian.” Spekulasi

itu tidak ada kesudahannya kerana memang tidak ada penjelasan yang munasabah yang rakyat boleh terima dari pihak yang menyiasat mahupun dari kementerian yang bertanggungjawab. Umum mengetahui bahawa banyak kelemahan yang terdapat dalam sistem pendidikan di negara ini. Tidak ada satu perancangan pendidikan jangka panjang yang konsisten menjadikan murid-murid sekolah selalu menjadi mangsa eksperimen pendidikan. Dasar kerajaan selalu berubah-ubah. Setiap pergantian kepimpinan di kementerian, ada saja dasar baru yang akan diperkenalkan. Selain murid, guru juga adalah yang paling teruk menanggung kesusahan akibat perubahan-perubahan dasar pendidikan ini. Dalam hal ini, guru dan murid adalah mangsa sistem pendidikan kita. Bagaimana cara paling mudah untuk melihat bagaimana

anak-anak kita menjadi mangsa sistem pendidikan di negara ini? Lihatlah beg kanak-kanak sekolah rendah yang saiz dan beratnya melampaui kemampuan mereka untuk memikulnya. Padahal secara saintifiknya, dalam usia yang sedang membesar kanak-kanak tidak mesti mengangkat beban seberat itu kerana akan menghambat tumbesarannya. Realiti yang tidak terlihat mungkin lebih buruk lagi. Mereka sebenarnya tidak hanya dibebankan secara fizikal, tetapi juga mental. Jika mental murid sekolah rendah sudah bermasalah, maka harapan untuk memberikan pendidikan yang terbaik buat generasi yang akan datang hanya tinggal angan-angan sahaja. Kita mesti melihat kebocoran soalan UPSR tidak terhad kepada isu pendidikan sahaja. Ia berkaitan dengan hal lain yang lebih luas. Di zaman kapitalisme sekarang

ini, sekolah dan universiti dilihat tidak lagi semata-mata sebagai tempat menimba ilmu, tetapi juga bidang perniagaan yang sangat menguntungkan. Kapitalisme juga mementingkan persaingan dalam segala kehidupan manusia. Anak-anak kita terpaksa bersaing untuk mendapatkan gred yang tinggi supaya mendapat peluang yang lebih besar untuk menyambung ke sekolah yang lebih baik. Dalam sistem pendidikan yang mengikut lunas kapitalisme ini, satu-satunya cara untuk menentukan pemenang dalam persaingan itu adalah gred. Berapa banyak A yang dicapai oleh murid akan menentukan kepintarannya. Mereka yang ditangkap kerana membocorkan soalan peperiksaan memang bersalah menurut undang-undang. Tetapi jika kita lihat dari sisi yang lain, sebenarnya mereka hanya mahu menang dalam persaingan yang dipaksakan ke atas mereka.

Soalan UPSR bocor : Salah Siapa? Ian

Berita penyebaran virus Ebola ke negara lain seperti Nigeria yang telah mengakibatkan jangkitan kepada ribuan orang semakin mencemaskan negara-negara Afrika Barat dan dunia. Baru-baru ini kerajaan Amerika menghantar seramai 3000 orang untuk membina hospital kuarantin di Liberia dan kerajaan Sierra Leone pula melarang sesiapa pun untuk keluar masuk ke negara itu. Dengan ketiadaan sebarang penawar, pesakit-pesakit yang dijangkiti virus ini bergantung kepada kualiti perubatan yang baik dan penjagaan rapi untuk kembali pulih. Pada masa ini, kadar kematian disebabkan virus Ebola adalah pada 42% ke 74% bergantung kepada negara. Contohnya di Guinea, kadar kematian adalah 74%. Masalah terbesar adalah kekurangan kemudahan untuk mengkuarantin pesakit-pesakit virus Ebola dengan cepat dan efektif. Hospital-hospital yang serba kekurangan ini dapat menyumbang kepada penyebaran virus Ebola, dan kakitangan perubatan mempunyai risiko yang tinggi untuk turut terjangkit. Ini menunjukkan pengorbanan yang dilakukan oleh pegawai perubatan di negara–negara Afrika Barat dan sukarelawan dari berbagai negara. Pekerja perubatan ini pula dilayan

dengan teruk oleh penduduk tempatan disebabkan kesangsian bahawa mereka sedang membantu dalam penyebaran virus ini. Ada kes di mana beberapa pekerja perubatan di pukul dan dicederakan di atas alasan tersebut. September lalu, para jururawat di salah sebuah hospital di Liberia telah melancarkan mogok untuk menuntut gaji yang lebih adil dan peralatan perubatan yang lebih selamat. Mereka hanya di bayar gaji sebanyak kira-kira RM490 sebulan dan ramai di antara mereka sedang berkerja secara sukarela disebabkan kekurangan dana awam di negara-negara tersebut. Ramai di antara pekerja perubatan ini ditindas dengan kejam walaupun tanpa khidmat mereka, penyebaran virus ini mungkin berganda. Tindakan mogok dan beberapa aksi protes yang dilancarkan oleh pekerja perubatan di Liberia telah mendapat sokongan solidariti daripada beberapa Kesatuan Sekerja di luar negara seperti Kesatuan Unite daripada Britain. Penyebab masalah EbolaAdalah sangat jelas bahawa ekonomi mempunyai impak yang besar kepada penyebaran virus Ebola di negara-negara Afrika Barat. Struktur ekonomi yang bergantung kepada dana

daripada IMF (Badan Kewangan Antarabangsa) dan Bank Dunia telah melemahkan institusi perubatan dan peruntukan bagi penyelidikan. Sistem perubatan di kebanyakan negara ini telah di bahagikan dan diswastakan untuk menjana keuntungan maksimum. Kekurangan perbelanjaan awam dan peruntukan kerajaan bagi penyelidikan telah mewujudkan satu situasi di mana negara-negara Afrika yang terlibat tidak dapat menangani krisis terbaru ini. Statistik kesihatan lain menunjukkan mengapa negara-negara Afrika Barat tidak dapat menyekat penyebaran virus Ebola. Guinea membelanjakan RM 200 sebagai peruntukan kesihatan setahun bagi setiap orang berbanding dengan RM 11000 di UK, dan Guinea mempunyai bilangan katil hospital terendah di dunia. Sierra Leone mempunyai hanya dua doktor bagi setiap 100000 orang, berbanding dengan 245 di Amerika Syarikat. Malah penduduk di Nigeria yang kaya dengan minyak pun tidak dapat memenuhi keperluan kesihatan mereka disebabkan kekurangan doktor. Adalah dianggarkan bahawa bilangan doktor di Nigeria adalah sama dengan warga Nigeria yang bekerja sebagai doktor di Amerika Syarikat.

Keadaan di negara-negara tersebut sedang menjurus ke arah krisis ekonomi yang akan terus memburukkan lagi krisis Ebola ini. Para petani telah meninggalkan tanaman mereka kerana tiada aktiviti jual beli tanaman dan daging. Bekalan beras, gandum dan air bersih semakin berkurangan dan kegiatan eksport barangan pertanian telah tergendala. Sumber diperlukanKerajaan-kerajaan dunia pertama seperti Amerika Syarikat dan Perancis terpaksa mengalihkan perhatian mereka kepada krisis Ebola apabila penyebaran menjangkaui sempadan Afrika. Walaupun keadaan terkawal di negara Guinea, angka kes-kes yang dilaporkan di Liberia dan Sierra Leone terus meningkat. Beberapa rawatan baru sedang di usahakan di Britain dan kemungkinan besar vaksin baru yang lebih berkesan akan dibekalkan kepada pegawai perubatan di Afrika Barat pada bulan November. Walau bagaimanapun, usaha yang diambil adalah sangat terhad dan tidak mampu memberikan impak yang besar. Virus Ebola diketahui oleh komuniti perubatan semenjak 70-an lagi, tetapi usaha-usaha mencari vaksin terbukti amat sukar. Ini adalah kerana negara-negara

yang terlibat dengan virus Ebola adalah negara miskin yang tidak mempunyai dana yang cukup untuk membeli vaksin tersebut. Syarikat perubatan dan farmasi besar hanya melihat kepada motif keuntungan dan lebih giat mengeluarkan barangan kosmetik yang mempunyai permintaan yang tinggi di negara-negara maju seperti Amerika Syarikat dan Eropah. Antaranya adalah seperti ubat Statin yang telah memakan belanja berjuta-juta dolar untuk diperkembangkan dan berfungsi untuk mengurangkan kolesterol bagi tujuan kelangsingan badan. Sosialis berhujah untuk penyaluran sumber dengan lebih bertanggung jawab dan bukan hanya berlandaskan kepada keuntungan. Syarikat-syarikat farmasi besar perlu diletakkan di bawah pemilikan dan pengawalan awam supaya dapat dipergunakan untuk manfaat semua. Pada masa ini, sistem pasaran bebas meletakkan kuasa dan kawalan di tangan segelintir yang kaya dan hanya mementingkan motif keuntungan semata-mata.

Krisis Ebola di Afrika Barat : Warga Miskin Teraniaya CWI

SOLIDARITI PEKERJA ISU KE -9 OKT - DIS 2014 ANALISA EKONOMI 3

Harapan pekerja dan rakyat biasa seperti peningkatan gaji bulanan berlandaskan peningkatan kadar inflasi, penurunan harga rumah, pengurangan kos barangan dan perkhidmatan asas, hak demokrasi di tempat kerja dan lain-lain keperluan asas sekali lagi tidak disentuh dalam bajet 2015 seperti yang dijangkakan. Ini membuktikan, bajet kerajaan setiap tahun hanyalah untuk mengukuhkan agenda pro-perniagaan dan pelaburan untuk memuaskan strategi kapitalisme. Manakala, rakyat biasa pula diberikan ‘gula-gula’ sebagai ilusi sementara untuk melupakan beban hidup yang semakin meningkat. Lebih 7 juta pekerja sektor swasta yang menerima gaji kurang daripada RM 3000 sebulan tidak mendapat pembelaan dalam bajet 2015 ini. MTUC mengharapkan Najib akan mengumumkan elaun kos sara hidup bulanan yang wajib bagi semua pekerja sektor swasta dan menyemak semula kadar gaji minimum yang sepatutnya disemak setiap tahun untuk mengurangkan beban kepada warga pekerja, tetapi ini tidak mendapat perhatian dalam bajet. Pekerja awam pada masa ini

diberikan elaun kos sara hidup sebanyak RM 200 ke RM 300 sebulan tetapi pekerja swasta tidak mendapat manfaat yang sama. Gaji minimum RM 900 bagi pekerja di Semenanjung dan RM 800 bagi Sabah dan Sarawak tidak disemak semula walaupun dalam keadaan inflasi dan harga barangan dan perkhidmatan yang semakin meningkat. Tuntutan beberapa kesatuan kepada Majlis Gaji Kebangsaan (NWC) bagi menaikkan kadar gaji minimum ke RM 1200 langsung tidak diendahkan dalam pengumuman bajet 2015. Ini menunjukkan bahawa kerajaan lebih mementingkan desakan kapitalis yang mahukan pekerja diupah dengan gaji murah, tapi produktiviti tinggi daripada tuntutan pekerja untuk peningkatan taraf hidup yang adil. MTUC juga telah membantah pengumuman cukai GST yang akan dikuatkuasakan mulai April tahun hadapan. Cukai ini akan menyebabkan kenaikan harga barangan dan perkhidmatan yang akan membebankan pekerja yang sedang menerima gaji yang rendah dan sederhana. Segala

‘gula-gula’ kerajaan seperti BR1M atau pengurangan cukai pendapatan tidak akan memulihkan taraf hidup rakyat biasa yang sedang dibebankan dengan inflasi yang semakin meningkat. Salah satu penyelesaian bagi masalah ini adalah dengan menaikkan gaji bulanan pekerja selaras dengan peningkatan inflasi yang akan menjadi jaminan bagi meneruskan hidup mereka. Walau bagaimanapun, kerajaan hanya memberikan beberapa konsesi kecil kepada pekerja sektor awam dan langsung tidak mengendahkan pekerja swasta. Pengumuman kerajaan untuk membantu pembeli rumah juga dilihat sebagai usaha untuk menggalakkan pembelian rumah yang akan menguntungkan pemaju-pemaju besar. Perdana Menteri Najib Razak langsung tidak menyentuh isu kenaikan harga rumah yang mendadak dan usaha-usaha untuk membendung kenaikan tersebut. Sebaliknya, kerajaan hanya menyediakan kemudahan untuk memudahkan pembelian rumah pada harga yang agak tinggi yang mana tidak akan menyelesaikan masalah

pemilikan perumahan kepada rakyat biasa di negara ini. Najib juga telah mengumumkan bahawa Akta Pekerjaan dan Undang-undang Buruh akan diperbaharui selaras dengan peredaran zaman, tetapi ciri-ciri khusus pembaharuan itu tidak dibincangkan. Kata-kata tersirat Najib mungkin bermaksud bahawa, undang-undang buruh akan dilonggarkan supaya boleh menarik pelaburan dari luar negara, seperti yang sedang dilaksanakan di negara-negara lain pada masa ini.

Yang jelas dengan polisi dan agenda pro-kapitalis kerajaan seperti GST, TPPA dan lain-lain, kehidupan pekerja dan rakyat biasa di tahun-tahun akan datang akan lebih tertekan. Kelas pekerja dan kesatuan bersama anak muda dan rakyat biasa yang mengharapkan satu perubahan sebenar perlu membina gerakan massa untuk berjuang bersama untuk menuntut peningkatan hak dan keperluan yang sedang dihakis dengan agenda dan polisi pro-kapitalisme.

Bajet 2015 : Satu Lagi Bajet ‘Gula-Gula’! Yuva

Penstrukturan semula Sistem Penerbangan Malaysia (MAS) telah menjadi agenda kerajaan BN di bawah pengurusan Khazanah Sdn. Bhd. (syarikat pelaburan kerajaan) untuk menangani kerugian serta memulihkan kredibiliti MAS yang ditimpa tragedi penerbangan MH370 dan MH17 yang mengakibatkan kehilangan nyawa anak kapal dan para penumpang. Selama ini ketika MAS mengalami kerugian, kerajaan telah menampung kerugian tersebut. Tetapi, kroni kapitalisme jelas dipraktikkan dalam pengurusan MAS selama ini, terutamanya selepas diambil alih oleh kerajaan selepas Krisis Kewangan 1997. Ini adalah salah satu faktor kepada kerugian MAS, selain akibat daripada krisis yang berlaku dalam sistem pasaran bebas di mana syarikat-syarikat penerbangan bersaing di antara satu sama lain untuk menjana

keuntungan semaksimum yang mungkin. Khazanah menyatakan bahawa langkah penstrukturan semula adalah suatu strategi penswastaan untuk mencari jalan keluar kepada krisis yang sedang melanda MAS. Maknanya, Khazanah ingin menukar MAS kepada satu syarikat yang boleh menjana keuntungan, sama seperti AirAsia pada ketika ini. Untuk itu, MAS perlu memastikan ia beroperasi berlandaskan kepada peraturan dan agenda korporat untuk bersaing dengan syarikat-syarikat penerbangan yang lain. Rakyat kini sedang merasai beban kos perkhidmatan yang semakin meningkat akibat daripada strategi penswastaan yang telah dimulakan ketika era Mahathir. Para pekerja dalam syarikat-syarikat yang telah diswastakan

seperti Telekom, TNB dan lain-lain juga mengalami tekanan kerja yang semakin meningkat, dan dalam masa yang sama tidak dapat meningkatkan taraf kehidupan mereka setimpal dengan peningkatan keuntungan syarikat. Malah, keuntungan telah menjadi agenda utama syarikat-syarikat tersebut sehingga ia meningkatkan beban ke atas pengguna akibat kenaikan kos perkhidmatan – misalnya, peningkatan kos penggunaan elektrik di bawah TNB.

Justeru itu, penswastaan bukanlah jalan keluar kepada krisis yang dialami oleh MAS. Pengurusan MAS di bawah kelolaan ahli-alih korporat dan elit lebih berlandaskan kepada keuntungan daripada memberikan perkhidmatan kepada pengguna serta meningkatkan taraf hidup para pekerja MAS, yang selama ini telah berkerja keras mempertahankan perkhidmatan MAS. Tetapi. kini di atas nama penswastaan, hampir 6000 pekerja MAS dijangka akan

diberhentikan kerja. Malah baru-baru ini kesatuan sekerja MAS telah melaporkan bahawa semenjak pengumuman langkah penstrukturan, penindasan hak pekerja dan tekanan kerja dikatakan semakin meningkat. MAS perlu diletakkan di bawah pengurusan dan kawalan kelas pekerja dan rakyat biasa untuk memanfaatkan keperluan pengguna serta menjamin hak demokrasi dan keperluan pekerja.

Hentikan Penswastaan : Miliknegarakan MAS di bawah Kawalan Kelas Pekerja ! Ravi

4 ANALISA SOSIAL SOLIDARITI PEKERJA ISU KE -9 OKT - DIS 2014

Majlis Peguam, organisasi mahasiswa dan beberapa NGO lain telah menganjurkan satu perarakan bagi membantah Akta Hasutan 1948 pada pagi 16 Oktober. Perarakan yang digelar sebagai ‘Perarakan untuk Keamanan dan Kebebasan’ ini dihadiri lebih 1000 orang peguam, anak muda dan rakyat biasa. Acara itu bermula dengan para peserta berkumpul di Padang Merbok pada jam 10 pagi dan mendengar ucapan daripada pihak penganjur sambil memaparkan sepanduk dan kain rentang yang penuh dengan slogan-slogan demokrasi. Majoriti daripada peserta terdiri daripada anak muda dan di samping kehadiran para peguam, beberapa organisasi anak muda dan mahasiswa juga telah melibatkan diri. Para penganjur perarakan bersama beberapa ahli akademik dan ahli politik telah memberikan ucapan membantah tindakan Perdana Menteri Najib yang tidak menunaikan janji untuk membubarkan akta tersebut. Malah, penguatkuasaan akta hasutan telah bertambah. Hanya dalam tempoh sembilan bulan tahun ini, 12 orang biasa, ahli akademik, aktivis sosial dan ahli politik telah didakwa di bawah Akta Hasutan 1948. Ini merupakan angka tertinggi semenjak 2009. Penggunaan akta hasutan untuk kepentingan politik oleh kerajaan BN telah

menimbulkan kemarahan golongan kelas menengah yang telah turun membantah sekeras-kerasnya tindakan kerajaan itu. Perarakan ini juga mendapat sokongan daripada beberapa parti pembangkang dan juga gerakan pro demokrasi seperti Bersih yang telah menghantar wakil mereka. Pada pukul 11.45 am, orang ramai mula berarak ke Parlimen untuk menyerahkan sebuah memorandum menuntut pembubaran Akta Hasutan dengan serta-merta. 10 orang wakil daripada Majlis Peguam telah masuk ke dalam perkarangan Parlimen untuk menyerahkan memorandum tersebut kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Mah Siew Keong. Peserta lain berdiri beberapa ratus meter daripada bangunan Parlimen sambil melaungkan slogan-slogan

demokrasi menanti kepulangan delegasi peguam tersebut.

Perarakan ini boleh dikatakan sebagai sebuah acara yang berjaya dan telah mendapat liputan media yang luas. Jumlah peserta yang telah menyertai perarakan ini mencerminkan kemarahan rakyat terhadap penindasan kerajaan yang semakin meningkat. Walau bagaimanapun, penyertaan dan sokongan daripada rakyat biasa dan kelas pekerja masih lagi kurang pada masa ini mengenai isu akta hasutan. Ini disebabkan oleh kekurangan pendedahan mengenai isu tersebut dan juga kerana rakyat lebih cenderung untuk fokus pada isu-isu ekonomi seperti kenaikan harga barang, gaji minima dan

sebagainya. Usaha majlis peguam yang telah dapat menarik lebih 1000 peserta patut diberi penghargaan yang sepatutnya. Tetapi pada masa yang sama, usaha ini perlu di teruskan dengan kerja-kerja akar umbi yang dapat mendekati rakyat biasa dan kelas pekerja. Anak muda dan golongan intelektual perlu mengambil tanggung jawab untuk menyusun program-program yang sesuai untuk kesedaran massa dan membawa mereka ke arena perjuangan di bawah satu hala tuju yang jelas. Akta Hasutan 1948 merupakan salah satu daripada berpuluh-puluh akta yang menindas rakyat yang terus di amalkan oleh kerajaan kapitalis di Malaysia. Tuntutan untuk

membubarkan Akta Hasutan perlu digabungkan dengan tuntutan membantah kenaikan harga minyak, membantah kenaikan harga barang, menuntut gaji minimum yang lebih tinggi, menuntut hak demokrasi dan juga pendidikan percuma untuk golongan anak muda. Penyusunan program, slogan dan tuntutan yang tepat adalah sangat mustahak bagi menarik kekuatan rakyat dan kelas pekerja dalam perjuangan bersama. Taktik yang betul akan menghasilkan sokongan daripada organisasi pekerja seperti Kesatuan dan badan-badan komuniti yang dapat memberikan pendedahan yang lebih luas mengenai kezaliman kerajaan kapitalis terhadap rakyat biasa.

Perarakan Untuk Keamanan dan Kebebasan Yuva

Beratus-ratus orang penduduk di 3 buah kampung di daerah Ranau, Sabah diusir baru-baru ini oleh sebuah syarikat pemaju yang merampas tanah adat mereka yang telah pun diduduki sejak 13 generasi yang lalu. Selain itu, syarikat itu juga turut memusnahkan tanaman mereka. Syarikat yang merampas tanah adat ini tanpa belas kasihan dan simpati terus memusnahkan ladang getah yang dimiliki oleh penduduk-penduduk kampung yang sedang bertahan dan berusaha untuk menghalang tanaman mereka daripada dimusnahkan. Sebelum berlakunya rampasan tanah ini, para penduduk Kampung Malinsau, Kampung Wayan dan Kampung Sinurai memang bergantung

sepenuhnya kepada tanah dan tanaman mereka itu untuk menampung kehidupan mereka seperti untuk makanan, membayar perubatan, persekolahan anak-anak dan sebagainya lagi. Rampasan tanah ini jelas akan menyebabkan penduduk-penduduk kampung ini dalam kesusahan kerana mereka telah kehilangan satu-satunya sumber pendapatan mereka. Bahkan, wakil rakyat untuk kawasan itu juga gagal melindungi kepentingan Orang Asal dan tanah adat milik mereka daripada jatuh ke tangan syarikat pemaju yang berkemampuan untuk mengupah peguam-peguam dan ramai orang suruhan bagi memastikan tanah dan

tanaman itu dapat dimusnahkan sepertimana yang dimahukan oleh syarikat tersebut. Kejadian rampasan tanah adat di Sabah bukannya isu baru, bahkan turut berlaku di tempat-tempat lain. Ia semakin rakus dan berleluasa dilakukan oleh pihak-pihak yang berkepentingan dalam ketamakan mereka untuk mengaut keuntungan tanpa menghiraukan kesusahan yang akan ditanggung nanti oleh penduduk asal tanah tersebut. Ini juga akhirnya akan turut menambah kadar kemiskinan di negeri itu apabila mereka tidak lagi memiliki sumber pendapatan untuk menyara kehidupan mereka.

Lagi Rampasan Tanah: Syarikat Pemaju Semakin Rakus! Sharifah

Lebih 1000 peguam, aktivis sosial, mahasiswa dan rakyat biasa sedang berarak menuju Parlimen

Mangsa- mangsa rampasan tanah adat yang diduduki sejak 13 generasi!

SOLIDARITI PEKERJA ISU KE -9 OKT - DIS 2014 ANALISA POLITIK 5

Pakatan Rakyat diwujudkan oleh PKR, DAP dan PAS untuk memberikan pemerintahan alternatif kepada kerajaan BN. Pada pilihanraya tahun 2008 dan 2013, Pakatan berjaya menidakkan dua pertiga majoriti BN dalam parlimen. Malahan, Pakatan juga telah berjaya memenangi undi popular pada pilihanraya umum yang lalu walaupun tidak berjaya membentuk kerajaan. Jika sistem pilihanraya yang digunakan adil, dan hak yang saksama diberikan kepada pembangkang, mungkin Pakatan sudah pun membentuk kerajaan. Ini menunjukkan, rakyat inginkan sebuah alternatif kepada BN yang semakin tidak relevan akibat dasar sosial dan ekonomi yang lebih memihak kepada golongan elit dan kapitalis. Tetapi, krisis Menteri Besar Selangor, dan kemunculan

semula agenda Hudud telah membuktikan kerapuhan Pakatan. Isu-isu tersebut telah menjejaskan kredibiliti di kalangan rakyat biasa apabila pemimpin-pemimpin dalam Pakatan sendiri saling bercanggah, dan tidak mampu berkompromi. Yang jelas, PAS sedang mengharungi konflik dalaman di antara golongan ulama (konservatif) dan golongan Erdogan (liberal) yang hampir memecahkan parti tersebut. Jika ini berlaku, konflik di antara PAS dengan PKR/DAP akan lebih mendalam, dan akan menjurus kepada perpecahan dalam Pakatan Rakyat. Konflik dan percanggahan yang berlaku dalam Pakatan mencerminkan dengan lebih jelas tentang sifat dan politik sebenar parti-parti dalam Pakatan. Mereka nampaknya lebih mementingkan

kuasa kerajaan dan agenda politik mereka daripada aspirasi dan keperluan rakyat. Hal ini sudah dijangkakan memandangkan mereka tidak berniat untuk berkonfrontasi dengan kerakusan sistem kapitalis, malah lebih selesa untuk menjustifikasi politik mereka dalam kerangka sistem ekonomi pasaran bebas. Sebilangan rakyat biasa masih menaruh harapan kepada Pakatan akibat tiada pilihan lain, tetapi ramai tidak yakin dengan alternatif yang akan dibina akibat konflik dan percanggahan yang semakin ketara dalam Pakatan. Tetapi, selagi tiada satu alternatif massa yang beraspirasikan keperluan kelas pekerja, rakyat biasa dan anak muda dibina, rakyat akan terus menjadi alat permainan

politik BN dan Pakatan yang saling bertarung untuk satu pemerintahan pro-kapitalisme. Konflik dalam Pakatan sekali lagi menunjukkan ‘Asalkan Bukan Umno/BN’ dan sokongan kepada Pakatan bukanlah alternatif yang harus dibina oleh kesatuan sekerja, golongan kiri dan aktivis-aktivis anak muda. Harapan kelas pekerja dan rakyat biasa

hanya dapat diperjuangkan oleh alternatif massa yang berorientasikan kepada aspirasi dan keperluan kelas pekerja, rakyat biasa dan anak muda. Untuk itu, aktivis anak muda, kesatuan sekerja/aktivis pekerja dan golongan kiri perlu bergabung tenaga dalam mewujudkan inisiatif tersebut untuk membina satu perubahan sebenar.

Krisis Dalam Pakatan Rakyat : Apa Alternatifnya ? Ravi

Bekas Menteri Besar Perlis Shahidan Kassim menyatakan bahawa gaji bagi 222 orang Ahli Parlimen perlu dinaikkan kerana keadaan ekonomi di negara ini. Dengan gaji sekitar RM6500 kini, beliau menambah bahawa pihak Ketua Pembangkang turut bersetuju dengan peningkatan gaji mereka. Alasannya, mereka terpaksa mengikat perut kerana gaji yang dianggap masih rendah oleh mereka itu.

Ini jelas satu lagi bukti bahawa kedua-dua parti politik tidak mendahulukan rakyat. Bagaimana Shahidan Kassim boleh menyatakan gajinya tidak cukup sedangkan mereka menerima kemudahan yang begitu mewah seperti elaun perjalanan, elaun mesyuarat, elaun tetap pemandu kereta, elaun keraian dan macam-macam lagi yang jumlahnya (termasuk gaji) boleh mencecah sehingga puluhan ribu setiap bulan?

Sekiranya dengan puluhan ribu setiap bulan itu dijadikan alasan ahli-ahli parlimen ini terpaksa mengikat perut, bagaimana pula dengan rakyat bawahan khususnya kelas pekerja yang cuma mendapat gaji minimum RM900 (Semenanjung Malaysia) & RM800 (Sabah & Sarawak) setiap bulan? Bahkan ada yang langsung tidak menerima gaji minimum ini dan masih hidup dengan gaji di bawah gaji minimum ini.

Sebelum ini banyak kesatuan pekerja yang menuntut gaji minimum sekitar RM1500, tetapi langsung tidak dipedulikan. Ketika rakyat menghadapi tekanan ekonomi kerana kos sara hidup yang tinggi, kenaikan harga barang, harga minyak dan sebagainya lagi, kenapa Ahli-ahli Parlimen ini menuntut gaji mereka dinaikkan?

Ahli Parlimen Tuntut Kenaikan Gaji,

Rakyat Bagaimana ? Sharifah

Seramai seribu orang mahasiswa, pensyarah, aktivis sosial dan wartawan telah berhimpun di stesen bas utama Universti Malaya. Mereka telah berarak dari fakulti masing-masing dan berhimpun di ‘speaker corner’ lama selama dua jam menuntut kebebasan akademik dan pemansuhan Akta Hasutan 1948 pada 11 September lalu. Kelihatan juga beberapa ahli politik pembangkang mengambil kesempatan bergambar dengan kain rentang yang dibawa oleh kumpulan mahasiswa. Walaubagaimanapun, pihak universiti telah mengeluarkan arahan supaya hanya mahasiswa atau kakitangan Universiti Malaya yang dibenarkan untuk memberikan ucapan. Para mahasiswa membawa sepanduk-sepanduk yang membawa slogan membantah Akta Hasutan 1948 dan menuntut kebebasan akademik. Wakil-wakil pelajar melaungkan slogan demokrasi dan hak untuk bersuara sambil memimpin kumpulan itu ke tempat himpunan. Mengikut aktivis-aktivis veteran yang berada di situ, perhimpunan semalam membawa tradisi perjuangan mahasiswa Malaysia zaman 80-an yang terlibat dalam pelbagai aktiviti menuntut kebebasan akademik. Penampilan dan

semangat anak muda yang terkobar-kobar seolah-olah memberikan isyarat bahawa segolongan anak muda sudah berani tampil ke hadapan bersuara dan tidak gentar dengan ancaman pihak berkuasa.

Apakah sebuah gerakan menuntut demokrasi dan kebebasan akademi telah bermula di kalangan anak muda dan mahasiswa?

Usaha daripada mahasiswa dan ahli akademik UM patut diperbanyak dan disebar ke institusi pengajian yang lain dan mahasiswa perlu kembali beraksi dalam gerakan massa. Anak muda perlu menggabungkan tenaga mereka dan menyeru kepada rakyat dan kelas pekerja untuk memberikan sokongan dan turun terlibat bersama dalam menjayakan perjuangan ini!

Mahasiswa Menuntut Kebebasan Akademik Yuva

200 Pekerja Kilang George Kent Menuntut Kenaikan Gaji dan Bonus ! Ravi

6 BERITA PEKERJA SOLIDARITI PEKERJA ISU KE -9 OKT - DIS 2014

Pada 20 Oktober , yang juga merupakan ulang tahun hari Hartal se-Malaya 1947, Rangkaian Kesatuan Tempatan ( Local Union Network) bersama dengan Kesatuan Pekerja-pekerja Keretapi (KTMB) telah menganjurkan satu perarakan di Kuala Lumpur untuk membantah ‘union busting’ (serangan ke atas kesatuan). Mereka juga menyerahkan memorandum kepada Majlis Peguam dan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM) untuk menyeru mereka membantah tindakan ‘union busting’ yang semakin meningkat. Seramai 150 peserta termasuk pemimpin-pemimpin beberapa Kesatuan telah berarak dari perkarangan ibu

pejabat KTMB ke pejabat Majlis Peguam dan Suhakam sambil melaungkan slogan-slogan untuk menuntut hak mereka sebagai pekerja. ‘Union Busting’ sering dipergunakan oleh majikan sebagai cubaan untuk melemahkan kesatuan, dan isu ‘union busting’ yang terbaru adalah tindakan majikan KTMB terhadap beberapa pemimpin dan ahli kesatuan KTMB. Seramai 27 pekerja KTMB yang terdiri daripada 9 orang pemimpin Kesatuan Pekerja-pekerja KTMB termasuk Presiden, Timbalan dan beberapa pemimpin cawangan telah dibuang kerja tanpa notis oleh pihak pengurusan KTMB. Selain daripada itu, seramai 13 orang pemimpin kesatuan telah digantung kerja manakala 88 pegawai cawangan lain telah diberikan ‘notis tunjuk sebab’

dan menunggu giliran mereka untuk dijatuhkan hukuman. Tindakan majikan KTMB ini adalah berikutan piket yang telah dianjurkan oleh Kesatuan Pekerja-pekerja KTMB pada 9 Mei lalu untuk menuntut supaya perkhidmatan Presiden KTMB Datuk Elias Kadir di tamatkan dengan segera akibat kelemahan dalam urus tadbir, pembaziran dana KTMB dan mengabaikan kebajikan pekerja selain prestasi syarikat yang kurang memuaskan. Piket pada 9 Mei lalu merupakan seruan kepada pihak pengurusan KTMB iaitu Kementerian Kewangan Malaysia dan Perdana Menteri Najib Razak untuk menamatkan khidmat Presiden KTMB. Seramai 700 ahli kesatuan dan pekerja KTMB yang menyertai piket itu juga sedang dikenalpasti oleh pihak majikan untuk diambil tindakan tatatertib. Kesatuan KTMB membantah segala tindakan tatatertib yang diambil oleh pengurusan KTMB ke atas pekerja dan masih berpegang kepada tuntutan asal mereka untuk supaya Presiden KTMB meletakkan jawatannya. Mereka juga meneruskan kempen di internet dan mengedarkan risalah bagi menyedarkan rakyat mengenai realiti yang dihadapi oleh pekerja KTMB. Sehingga ke hari ini, pihak KTMB tidak bersimpati dengan perjuangan pekerja dan tidak mengeluarkan sebarang jaminan untuk memenuhi tuntutan mereka. Pengurusan tertinggi iaitu Kementerian Kewangan yang berada di bawah kawalan Perdana Menteri Najib Razak juga turut membisu dalam hal tersebut. Tindakan pengurusan KTMB untuk memecat kepimpinan Kesatuan adalah sebuah tindakan yang zalim dan mencabul hak pekerja untuk berpiket. Pada

tahun 1962, Kesatuan Pekerja KTMB telah melancarkan aksi mogok selama 23 hari menuntut gaji harian diganti dengan gaji bulanan. Pada masa itu, tidak ada seorang pekerja pun yang dibuang kerja, malah piket tersebut telah membawa kemenangan bagi mereka. Tindakan-tindakan Presiden Elias Kadir kali ini hanya boleh dilaksanakan dengan sokongan daripada kerajaan yang juga kurang selesa dengan Kesatuan KTMB yang sedang menyekat penswastaan syarikat tersebut semenjak 2012 lagi. Kepentingan majikan KTMB dan kerajaan nampaknya lebih kurang sama, iaitu bagi menswastakan perkhidmatan KTMB supaya dapat mengurangkan perbelanjaan kerajaan dan meningkatkan keuntungan pemodal swasta. Beribu-ribu pekerja biasa menjadi mangsa kepada para kapitalis yang hanya mengejar keuntungan tanpa mengendahkan nasib mereka. Pengurusan secara demokrasi daripada golongan pekerja itu sendiri bukan sahaja akan menjamin kebajikan mereka, malah kepakaran mereka boleh dipergunakan untuk meningkatkan kualiti perkhidmatan yang sedia ada bagi rakyat awam. Pihak Kesatuan perlu memperluaskan perjuangan mereka dengan mendapatkan solidariti daripada pengguna keretapi, dan juga golongan pekerja dan kesatuan sekerja yang lain. Tindakan pada 20 Oktober memperlihatkan penglibatan kesatuan lain yang memberikan solidariti kepada perjuangan KTMB. Tindakan sebegini perlu diteruskan dengan melibatkan lebih ramai pekerja atau ahli kesatuan untuk memberikan tekanan kepada kerajaan dan majikan. Tindakan industri

seperti mogok yang merupakan salah satu hak asasi pekerja diperlukan jika majikan masih tidak mengendahkan kebajikan dan hak pekerja. Syarikat KTMB merupakan syarikat kerajaan yang patut berfungsi untuk kepentingan dan keperluan rakyat biasa, bukan untuk keuntungan segelintir pemodal yang kaya. Pekerja KTMB yang mempunyai pengalaman berpuluh-puluh tahun akan dapat membawa cadangan-cadangan yang bernilai bagi meningkatkan mutu khidmat pengangkutan di Malaysia. Segala kemenangan yang dicapai oleh warga pekerja juga bergantung kepada kepimpinan sesebuah perjuangan tersebut. Pihak Kesatuan Pekerja-pekerja KTMB sedang melakukan kempen yang amat berkesan dan memberikan inspirasi kepada kesatuan-kesatuan dan organisasi pekerja yang lain. Tugas yang baik ini perlu diteruskan tanpa putus asa dan dengan kepercayaan kepada kekuatan pekerja dan rakyat biasa. Walaupun pihak Kesatuan dapat menuntut penukaran Presiden sekarang, mereka patut menjangkakan serangan-serangan baru daripada perlantikan seterusnya. Pihak kapitalis yang hanya mementingkan keuntungan semata-mata tidak akan menyelesaikan masalah asas kaum pekerja. Pihak Kesatuan dan warga pekerja perlu melihat menjangkaui penyelesaian jangka masa pendek dan mula mengatur sebuah program jangka masa panjang yang dapat menentang segala penindasan yang semakin meningkat terhadap kesatuan dan warga pekerja.

KTMB menindas Pekerja ! Wong Chi Lik

Seramai 200 orang pekerja George Kent ( Bandar Putra Perdana, Puchong) yang diwakili oleh Kesatuan Pekerja-Pekerja Industri Logam melakukan piket untuk menuntut kenaikan gaji memandangkang kilang

telah membuat keuntungan berlipat ganda. Keuntungan pada tahun 2009 adalah 14 juta tetapi telah meningkat kepada 51 juta pada tahun ini. Mereka juga menuntut supaya majikan mengekalkan amoun bonus yang diterima setiap tahun.

9 Mei 2014 : Pekerja dan Ahli Kesatuan sedang berpiket di hadapan Ibu Pejabat KTMB.

‘Workers Walk’ atau ‘Perarakan Pekerja pada 20 Oktober 2014.

SOLIDARITI PEKERJA ISU KE -9 OKT - DIS 2014 BERITA PEKERJA 7

Seramai 70 orang pemandu teksi bermeter berkumpul di Jalan Tukang Kajang semenjak jam 10 pagi bagi menuntut tempat beroperasi yang lebih sesuai daripada Majlis Perbandaran Kajang. Para pemandu teksi itu telah dihalau oleh pihak Polis dan Majlis Perbandaran di serata bandar Kajang sambil melarang mereka daripada menjalankan kerja harian. Selepas beberapa rundingan dengan pihak berkuasa, pemandu teksi tersebut diarahkan untuk beroperasi di sebuah tempat yang sunyi dan sukar untuk mendapat pelanggan. “Mereka ( pihak berkuasa ) suruh kita beroperasi di tempat yang hanya ada ‘hantu’, tiada manusia” kata Krishnan, seorang pemandu teksi di Kajang selama 25 tahun. “Pembayaran sewa harian bagi teksi saya adalah RM52. Jika saya tidak dapat mendapat jumlah pendapatan harian sebanyak itu, bermakna saya akan terpaksa berhutang dan keluarga saya akan turut merana” kata seorang lagi pemandu. Berikutan itu, pemandu teksi telah menuntut 6 petak tempat letak kereta di bandar Kajang daripada Majlis Perbandaran untuk menjalankan kerja mereka. Mereka juga sanggup membayar sewa yang berpatutan bagi ruang tersebut. Walau bagaimanapun, pihak Majlis Perbandaran tidak mengendahkan tuntutan mereka dan mengarahkan pihak Polis untuk menyaman semua pemandu teksi yang menggunakan ruang tempat letak kereta di kawasan bandar Kajang.

Ini telah menyebabkan kemarahan pemandu teksi dan mereka mengambil keputusan melancarkan satu protes dan menuntut keadilan daripada Majlis Perbandaran Kajang. Semua pemandu teksi yang terlibat telah mengorbankan waktu mencari nafkah mereka dan berkumpul di bandar Kajang dengan sepanduk-sepanduk yang menyuarakan ketidakadilan yang dihadapi oleh mereka. “Jika kita kira 70 pemandu teksi yang terlibat, boleh dikatakan hampir 400 orang termasuk isteri dan anak tanggungan yang akan turut menderita akibat perbuatan Majlis Perbandaran dan pihak Polis yang langsung tidak prihatin dengan nasib kami” laung seorang wakil pemandu teksi dengan menggunakan pembesar suara. Suasana bertambah meriah apabila pemandu bas dan rakyat biasa yang lalu-lalang turut memberikan sokongan dengan membunyikan hon kenderaan masing-masing. Akhirnya pada jam 3 petang, semua pemandu teksi beralih ke tapak Majlis Perbandaran Kajang untuk cuba berunding secara bersemuka dengan Ahli Majlis Tempatan iaitu Encik Thiagarajah Rajagopal. Pelbagai slogan dilaungkan oleh pekerja yang mencerminkan kerisauan mereka dengan situasi ekonomi dan sosial sekarang dan kemarahan mereka terhadap ahli-ahli politik yang hanya pandai menaburkan janji-janji kosong pada masa pilihanraya. Mereka juga amat kecewa dengan sikap pihak berkuasa yang langsung tidak mengambil berat tentang masalah periuk nasi mereka. Pada jam 3.30 petang,

wakil daripada Ahli Majlis telah turun dan berunding dengan beberapa wakil pemandu teksi. Pihak Majlis Perbandaran nampaknya telah gentar dengan tindakan protes pemandu teksi dan bersetuju untuk memberikan penyelesaian jangka masa pendek yang memuaskan sambil menunggu keputusan untuk menyediakan ruang yang sesuai pada minggu hadapan. Sebuah ruang sementara telah disediakan untuk jangka masa rundingan yang lebih lanjut antara pihak SPAD, Polis dan Majlis Perbandaran Kajang. Pemandu teksi telah puas dengan keputusan dan tindakan Ahli Majlis dan serta-merta bersurai ke tempat baru mereka untuk memulakan kerja seperti biasa. Kemenangan kecil ini dapat dicapai disebabkan oleh kesepakatan antara pemandu teksi yang telah dapat melancarkan satu protes yang berjaya. Daripada mula sehingga ke penghujung bantahan mereka, semua pekerja telah mengekalkan suasana yang tenang dan demokrasi. Walau bagaimanapun, pemandu teksi ini tidak patut leka dan menganggap bahawa perjuangan mereka telah selesai. Segala kemenangan hasil perjuangan ini perlu dipertahankan pada masa hadapan dan mereka perlu bersedia untuk menghadapi dugaan-dugaan baru. Oleh itu, pemandu teksi Kajang dan pemandu teksi di seluruh Malaysia patut memikirkan cara untuk menyusun suatu organisasi pekerja yang dapat membela nasib mereka. Bukan sekadar pemandu teksi, malah semua pekerja, tak kira dari sektor perkhidmatan ataupun pengeluaran, patut berbuat demikian untuk menghadapi segala penindasan daripada pihak majikan mahupun kuasa kerajaan.

Protes Pemandu Teksi di Kajang! Yuva

Kemenangan ini dicapai selepas undi rahsia yang dijalankan pada 1 dan 2 Oktober lalu, juga berikutan dari perjuangan panjang untuk pengiktirafan oleh IndustriALL, iaitu Kesatuan Pekerja Industri Elektronik (EIEU) dan majikan, Infineon Technologies Sdn. Bhd. Pekerja-pekerja kilang yang terletak di Kulim itu pada awalnya meminta pihak pengurusan syarikat untuk mengiktiraf penubuhan kesatuan mereka pada April 2014. Walau bagaimanapun, majikan mereka, Infineon menolak tuntutan tersebut. EIEU kemudiannya terpaksa mengusahakan suatu prosedur panjang dan penuh dengan dugaan oleh majikan yang telah mencuba untuk memusnahkan segala usaha pekerja. Antara usaha majikan untuk menghalang

pembentukan kesatuan adalah dengan berhujah bahawa kilang mereka tidak mengeluarkan sebarang komponen elektronik, dan ia telah terbukti sebagai satu penipuan. Akhirnya, pihak majikan terpaksa bersetuju untuk membenarkan perlaksanaan proses undi rahsia untuk memastikan sokongan pekerja terhadap penubuhan kesatuan tersebut. Walaupun majikan Infineon telah cuba untuk mengancam para pekerja, namun penubuhan kesatuan itu telah mendapat sokongan majoriti pekerja di dalam undi rahsia, dan ia sekaligus mengesahkan kemenangan perjuangan pekerja elektronik tersebut.

Kemenangan Kesatuan Pekerja Elektronik Wong Chi Lik

Pagi 27 Oktober, seramai kira-kira 50 orang pekerja Utusan Printcorp Sdn. Bhd. telah berkumpul di Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang untuk membuat laporan polis terhadap majikan mereka yang tidak membayar gaji kepada 104 orang pekerja selama 3 bulan. Utusan Printcorp merupakan anak syarikat Utusan Melayu Sdn Bhd yang mengendalikan kerja-kerja percetakan di Bandar Baru Bangi. Seramai 104 orang pekerja syarikat cetak itu telah menjadi mangsa apabila pihak pengurusan berhenti membayar gaji mereka semenjak Ogos lalu tanpa sebarang alasan ataupun notis. Berikutan itu, pekerja-pekerja Utusan Printcorp telah menubuhkan sebuah Jawatankuasa Bertindak bagi mewakili semua pekerja dan telah mengadakan sebuah mesyuarat yang dihadiri oleh 64 orang pekerja. Beberapa ahli jawatankuasa telah dipilih dan usaha-usaha untuk

menuntut hak pekerja telah bermula. Selain daripada gaji mereka, pihak pengurusan Utusan Printcorp juga telah gagal untuk mencarum KWSP, SOCSO dan LHDN daripada bulan April ke Oktober 2014. Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Encik Khairul Hassme telah membuat laporan polis terhadap pihak pengurusan dan bercadang untuk berunding dengan pihak majikan untuk menyelesaikan masalah mereka pada pagi esok. Pekerja-pekerja Utusan Printcorp juga sedia menerima segala bantuan dan sokongan solidariti daripada mana-mana pihak yang sudi.

Pekerja Percetakan Utusan Printcorp tidak dibayar gaji selama 3 bulan! Mat

Pemandu Teksi melancarkan ‘flashmob’ di bandar Kajang.

Sidang media oleh wakil Utusan Printcorp sedang berlangsung

8 INTERNASIONALISME SOLIDARITI PEKERJA ISU KE -9 OKT - DIS 2014

Perjuangan Kebebasan Scotland CWI Scotland

Pada 18 September lalu, di Scotland telah berlangsung pilihanraya referendum untuk kemerdekaan Scotland dari UK. Referendum tersebut telah menyebabkan politik British hampir huru hara walaupun kempen NO memperoleh kemenangan di dalam pilihanraya tersebut. Kempen YES kalah, namun perjuangan kelas pekerja untuk kemerdekaan Scotland dari cengkaman polisi penjimatan ganas pemerintah British ini dilihat sebagai satu perkembangan positif, yang mana telah menggoncang persada politik kapitalisme di UK dan Eropah. Kempen YES yang membawa harapan rakyat untuk menuntut hak demokratik dan kemerdekaan Scotland ini telah mendapat sokongan lebih dari 1.6 juta rakyat Scotland, yang kebanyakannya dari kalangan kelas pekerja, dengan undian sebanyak 45%. Kempen NO pula mendapat sokongan sebanyak 55%. Peningkatan sebanyak 21% di dalam masa 9 bulan ini telah membuktikan bahawa ratusan ribu rakyat kelas pekerja sedang mencari alternatif untuk

perubahan fundamental di dalam politik, ekonomi dan sosial, sebagai jalan keluar dari langkah penjimatan yang

dikenakan pemerintah UK. Tempoh 10 hari sebelum berlangsungnya pilihanraya merupakan saat-saat genting bagi pemerintah UK yang berasa terancam dengan penglibatan besar kelas pekerja dan anak muda di dalam kempen YES. Tempoh ini digunakan oleh pemerintah dan media untuk menjalankan kempen ini melalui propaganda dan tawaran janji, memberikan lebih banyak hak istimewa kepada rakyat Scotland untuk mendapatkan sokongan mereka di dalam kempen NO. Ini mencerminkan bagaimana kelas kapitalis akan terus cuba untuk mempertahankan kepentingan mereka dengan menggunakan politik populis dan oportunis untuk mengaburi mata rakyat biasa yang mahukan perubahan di dalam kehidupan mereka. SPS ( CWI Scotland ), bersama beberapa organisasi sosialis di Scotland turut sama memberikan sokongan kepada kempen YES yang membawa aspirasi kelas pekerja dan anak muda Scotland untuk perubahan fundamental di dalam kehidupan mereka.

Namun, program yang diajukan oleh SPS tidak dikongsi oleh yang lain yang masih ‘bermain’ dengan ilusi polisi neo-liberal kapitalis UK. Oleh itu SPS telah berhujah bahawa keinginan rakyat Scotland untuk kemerdekaan harus digerakkan berlandaskan program yang betul dan jelas. Mereka menegaskan, Sosialisme adalah jalannya! Kelas pekerja tidak seharusnya terperangkap dengan helah retorik parti-parti kapitalis lain yang hanya akan memelihara kepentingan segelintir golongan elit, dan bukannya untuk memenuhi keperluan sosial bagi jutaan rakyat Scotland. Tidak sekadar itu, jalan pembebasan bagi rakyat Scotland perlu dihubungkan dengan tuntutan kelas pekerja di bahagian lain di UK yang mahukan perubahan tulen di dalam kehidupan mereka. Pembinaan sebuah parti massa yang berlandaskan kepentingan kelas pekerja dan rakyat tertindas perlu dibina segera. Di bawah program demokratik sosialisme, kelas pekerja Scotland mampu diperkasakan. Polisi-polisi pro neoliberal kapitalis akan mampu ditentang secara terus menerus, seperti yang pernah dibuktikan di dalam sejarah penentangan kelas pekerja dan sosialis terhadap cukai bilik tidur yang dikenakan oleh pemerintah kapitalis UK di Scotland pada tahun ini juga.

Presiden Baru Tapi Harga Minyak Masih Naik Ian

Jika kenaikan harga petrol sebanyak 20 sen baru-baru ini sudah cukup membebankan hidup rakyat di negara ini, bayangkan bagaimana pula kesukaran hidup yang mesti dihadapi oleh rakyat miskin di Indonesia selepas presiden

yang baru terpilih negara jiran itu, Jokowi, akan menaikkan harga petrol sebanyak 3 ribu Rupiah (setara 80 sen) bulan November tahun ini. Dengan

kenaikan itu, harga petrol di negara tersebut akan menjadi 9500 Rupiah (setara 2 ringgit 80 sen) berbanding 6000 Rupiah (1 ringgit 60 sen) sebelum ini. Nampaknya semua pemimpin kerajaan memiliki alasan yang sama untuk menaikkan harga

minyak. Sama halnya dengan pemimpin kerajaan di Malaysia, di Indonesia juga pemimpinnya mengatakan bahawa harga mesti dinaikkan untuk mengurangkan hutang (deficit) dalam bajet negara. Yang bezanya Jokowi telah membuat pengumuman awal sebelum ianya dilaksanakan, dan tidak seperti pemimpin-pemimpin di negara ini mengumumkan tentang kenaikan 20 sen RON95 pada malam sebelum dilaksanakan pada hari berikutnya. Pemimpin kerajaan di negara kita cuba berselindung dengan kenyataan seperti “kerajaan tidak menaikkan harga minyak, yang ada hanyalah pengurangan subsidi dan rasionalisasi harga

minyak” seperti yang kita selalu dengar di media arus perdana. Jokowi secara terbuka menyatakan akan menaikkan harga minyak selepas dilantik sebagai presiden pada 20 Oktober. Tindakan tersebut juga menunjukkan Jokowi juga tunduk kepada keperluan sistem pasaran bebas untuk menyelematkan sistem kapitalisme di Indonesia, yang akan mengakibatkan rakyat miskin merana. Isu ini telah diperbincangkan secara terbuka di kalangan rakyat semenjak diumumkan, dan yang jelas satu penentangan rakyat sedang dibina. Ini berbeza dengan reaksi yang ditunjukkan oleh

rakyat negara kita apabila kerajaan menaikkan harga minyak. Jika di sini sebahagian besar hanya mengeluh dan menyalahkan kerajaan di media sosial, segelintir sahaja yang membuat bantahan secara terbuka. Sedangkan rakyat Indonesia meluahkan kemarahan mereka di jalan raya, menjadikan isu ini sebagai cara untuk mereka bersatu membentuk satu kekuatan perjuangan yang lebih besar, melintasi pelbagai sektor pekerjaan. Mahasiswa, pekerja, petani, golongan miskin bandar, dan rakyat miskin bersama-sama membuat bantahan terhadap penindasan oleh pemerintah atau pihak kapitalis.

Taniah kepada Paul Murphy dan Parti Sosialis (CWI di Ireland) dan juga kepada Gabungan Anti-Pemotongan Perbelanjaan Awam (Anti Austerity Alliance) atas kemenangan yang memberangsangkan di Dublin Barat dalam pilihan raya kecil semalam. Ini adalah satu keputusan/memorandum oleh kelas pekerja dan rakyat biasa yang membantah langkah kerajaan untuk mewujudkan bayaran ke atas perkhidmatan air (sehingga kini air adalah percuma di Ireland) dan juga kebencian ke arah langkah-langkah penjimatan (pemotongan perbelanjaan awam) yang dilaksanakan oleh kerajaan pro-kapitalis yang dipimpin oleh Parti Fine Gael dan Parti Buruh. Hakikat bahawa Paul mampu mengalahkan calon yang dijangka akan menang mudah daripada Sinn Fein membuktikan bahawa strategi Parti Sosialis Ireland itu yang berkempen supaya rakyat tidak membayar caj air, dan rekod Parti Sosialis Ireland dalam menggerakkan perjuangan besar-besaran terhadap cukai penjimatan telah

menghubungkaitkan dengan aspirasi kelas pekerja dan rakyat biasa di Dublin South West. Parti Sosialis Ireland kini mempunyai 3 MP ( Ahli Parlimen ) di parlimen dan 14 ahli majlis tempatan di Republik Ireland yang kesemuanya hanya menerima gaji purata pekerja, dan telah membuktikan secara praktis bahawa perjuangan bebas berlandaskan dasar-dasar sosialis mampu menang. Di Malaysia ketika kita dibelenggu dengan agenda-agenda kapitalis yang terus mencengkam keperluan kehidupan rakyat biasa, potensi untuk membina alternatif sosialis kepada parti-parti borjuis pemerintah BN dan juga pembangkang (PKR, DAP dan PAS) memang wujud. Kita harus membina parti dan gerakan berlandaskan kepada kejelasan perspektif dan idea serta samasekali tidak berkomplot dengan parti-parti borjuis yang terus mempergunakan rakyat untuk agenda pro-kapitalis mereka.

Kemenangan Sosialis di Ireland CWI Ireland

Kempen ‘Yes’ bagi kebebasan Scotland

Paul Murphy selepas kemenangan di Dublin Barat

Bantahan rakyat terhadap kenaikan harga ‘bahan bakar minyak’ atau BBM secara singkat.

SOLIDARITI PEKERJA ISU KE -9 OKT - DIS 2014 BERITA PEKERJA MIGRAN 9

Seramai 800 pekerja yang kebanyakannya terdiri daripada warga Nepal melancarkan aksi mogok di luar sebuah bangunan syarikat elektronik di Kawasan Perindustrian Kelapa Sawit Kulaijaya, berikutan layanan buruk daripada majikan mereka. Pekerja mogok berhimpun di luar bangunan JCY HDD Technology Sdn Bhd dari pukul 8 pagi pada 26 Ogos untuk menunjukkan kemarahan mereka dengan layanan tidak perikemanusian pihak majikan terhadap pekerja. Mengikut para pekerja migran seperti yang dilaporkan dalam beberapa akhbar tempatan, di dapati bahawa pihak majikan telah melanggar undang-undang dan melakukan pelbagai penindasan terhadap pekerja yang boleh dianggap sebagai tidak perikemanusiaan. Pihak berkuasa sepatutnya menyiasat perkara ini secara menyeluruh dan membawa majikan tersebut ke muka pengadilan. Seorang pekerja warga Nepal, Kishor Rai, 23, yang sudah bekerja selama lima tahun berkata, tindakan mogok dilakukan kerana pekerja warga asing itu sudah tidak dapat bertahan dengan penindasan terhadap mereka. Mogok di Kulaijaya ini berkaitan rapat dengan kejadian di salah satu cawangan kilang

elektronik tersebut di Tebrau Johor pada Khamis lalu apabila 1500 pekerja Nepal telah keluar mogok selama 36 jam. Mogok itu adalah sebagai tindak balas bagi menunjukkan kemarahan mereka terhadap kelalaian dan layanan buruk dari majikan yang telah menyebabkan kematian seorang rakan sekerja mereka. Berikutan kejadian itu, majikan telah memindahkan 20 pekerja daripada kilang di Tebrau ke kilang JCY HDD Technologies di Kulaijaya untuk di ‘reformasi’ atau di ‘disiplin’. Pekerja-pekerja tersebut telah diarahkan untuk bermain ‘bola tampar’ dengan menggunakan batu dan apabila mereka enggan, mereka di sepak, di tumbuk dan di pukul dengan kayu. “Kami pekerja di Kilang JCY Kulaijaya sering di tumbuk dan dipukul oleh majikan bagi sebarang kesalahan kecil. Gaji lebih masa bagi kerja hari Ahad juga tidak di bayar dan kadang-kadang pekerja dipaksa untuk berjalan kaki lebih sejam untuk ke tempat kerja”, kata salah seorang pekerja di kilang tersebut. Pihak majikan telah memanggil pihak polis dan Unit Simpanan Persekutuan

( FRU ) untuk mendesak pekerja untuk memberhentikan mogok. Seperti yang dijangkakan, pihak polis dan FRU bertindak untuk memihak kepada majikan dan langsung tidak mengendahkan berbagai masalah hak dan kebajikan yang dicabuli oleh majikan yang melayan pekerja seperti hamba. Pihak polis didapati hanya menuding jari kepada beberapa kerosakan harta benda majikan di dalam kekecohan ini dan menuduh bahawa para pekerja sedang mencetuskan rusuhan dan akan disiasat di bawah seksyen 187. Polis nampaknya lebih mengutamakan untuk menjaga keuntungan dan harta benda

majikan daripada menjaga hak dan kebajikan ke atas pekerja yang ditindas dengan teruk. Akibat mogok 36 jam yang berlaku di Tebrau pada minggu lalu, majikan JCY Internationals telah kerugian lebih RM500000 dan terpaksa berunding dengan wakil pekerja supaya kerja dapat diteruskan. Majikan amat takut dengan tindakan mogok daripada pekerja semata-mata kerana keuntungan dan tidak menitikberatkan hak dan kebajikan pekerja yang menghasilkan keuntungan tersebut. Pada masa ini, pekerja migran di Kulaijaya memerlukan sokongan solidariti daripada

semua untuk meneruskan perjuangan mereka. Organisasi pekerja dan Kesatuan Sekerja patut mengeluarkan kenyataan bagi memberikan tekanan kepada majikan dan pihak berkuasa supaya menunaikan tuntutan dan hak pekerja. Pada masa yang sama, MTUC dan Kesatuan-kesatuan yang terlibat dalam industri elektronik patut menganjurkan aksi solidariti atau menziarahi pekerja-pekerja di Kulaijaya untuk memberikan sokongan terhadap perjuangan mereka.

Mogok Pekerja Migran di Johor Yuva

Tiga pekerja binaan warga Bangladesh - Mohamad Faruk Khan, Mohammad Elahi Hossain dan Mohammad Alauddin Mollik -maut selepas dihempap landasan konkrit seberat 490 tan di tapak projek MRT (Mass Rapit Transit) di Kota Damansara minggu lalu. Syarikat MRT mesti bertanggungjawap atas

kemalangan tersebut yang berlaku atas kecuaian syarikat dalam menitikberatkan keselamatan dan kebajikan pekerja. Ini bukan julung kali berlaku dalam industri binaan di mana syarikat-syarikat pembinaan lebih mementingkan keuntungan daripada aspek kemanusian dan kebajikan pekerja.

MRT mesti bertanggungjawap sepenuhnya ke atas kematian tiga pekerja tersebut, dan bersedia untuk memberikan pampasan yang setimpal kepada keluarga mangsa atas kehilangan nyawa tiga pekerja tersebut . Perletakan jawatan CEO sahaja tidak cukup untuk meringankan beban yang

akan ditanggung oleh keluarga serta anak-anak pekerja tersebut. Kerajaan yang seharusnya mendesak MRT pula, hanya bersetuju untuk memberikan pampasan RM25,000 yang dijanjikan oleh Menteri Sumber Manusia Richard Riot. Ini tidak sama sekali memadai untuk keluarga pekerja dan anak-anak mereka yang kehilangan sumber

pendapatan untuk meneruskan kehidupan mereka di negara miskin seperti Bangladesh. Di sini kita boleh melihat penganiyaan ke atas hak pekerja asing dengan nama undang-undang. Adakah disebabkan mereka miskin dan mereka ini pekerja, mereka dianggap murah dan hina ? Mana aspek kemanusian dan keperihatinan yang dilaung-laungkan oleh kerajaan dan syarikat-syarikat kaya seperti MRT ? Pekerja migran daripada Bangladesh, dan negara-negara lain datang ke Malaysia untuk bekerja dalam sektor berisiko seperti industri pembinaan semata-mata untuk menyara hidup keluarga dan anak-anak di negara mereka yang penuh dengan kemiskinan. Tidak juga dapat disangkal,

sumbangan penting mereka untuk melancarkan enjin ekonomi serta pembangunan negara kita. Tetapi, mereka selalu dianaktirikan dan ditindas lebih teruk daripada pekerja tempatan. Inilah budaya kapitalisme di mana nilai kemanusian sentiasa membelakangi motif keuntungan maksimum syarikat-syarikat kaya yang beroperasi dengan sokongan penuh kerajaan.

PEKERJA TEMPATAN DAN PEKERJA MIGRAN HARUS BERSATU …BINA SOLIDARITI PEKERJA INTERNASIONAL UNTUK MELAWAN PENINDASAN DAN PENGANIYAAN KE ATAS WARGA PEKERJA !

Kemalangan Industri MRT : Nilai Nyawa Pekerja Hanya RM 25 Ribu ? Ravi

Mogok Pekerja Migran di Kulai sedang berlangsung.

10 BERITA CWI SOLIDARITI PEKERJA ISU KE -9 OKT - DIS 2014

Perjuangan Pekerja dan Sosialis di USA CWI USA

Gelombang mogok oleh pekerja makanan segera, dan pemilihan sosialis Kshama Sawant sebagai ahli majlis bandar Seattle merupakan petanda kepada perubahan yang sedang berlaku di Amerika Syarikat (US). Kshama merupakan diantara penggerak utama Socialist AlternatiF yang bernaung dibawah organisasi pekerja antarabangsa, Committee For A Workers’ International (CWI). Keghairahan yang ditonjolkan dari kalangan pekerja di Seattle, terutamanya anak muda, boleh dilihat dalam Konvensyen Kebangsaan Socialist Alternative yang diadakan baru-baru ini, dihadiri oleh sejumlah besar bilangan delegasi, pemerhati dan rakan-rakan dari segenap penjuru di US. Terdapat perbincangan serius mengenai perspektif politik dunia, perbincangan mengenai penglibatan kumpulan kiri didalam pilihanraya yang memberi cabaran hebat kepada sistem dua parti di US, serta perbincangan mengenai prospek yang baik bagi Socialist Alternatif dan idea-idea sosialis untuk berkembang di US. Kini tiada lagi kapitalisme ‘baik’ di US buat jutaan kelas pekerja yang menjadi mangsa, terjerumus kedalam lembah kemiskinan akibat daripada kegagalan sistem ini. Termasuklah di Seattle, yang terkenal sebagai sebuah bandar cantik sebelum ini - kini dapat dilihat terdapat ramai gelandangan yang berkampung di sekitar pusat bandar itu. Golongan ahli perniagaan besar yang diwakili oleh parti kapitalis seperti Parti Demokrat, sedang berada didalam ketakutan dan berasa terancam oleh kesan penularan

dan kejayaan kempen ‘15 Now’ (gaji minimum 15 dolar sejam) lalu, dan memutuskan untuk menentang ‘eksperimen sosialis’ ini yang dilihat mendapat sambutan baik dari kebanyakan kelas pekerja dari seluruh pelusuk US. Tanpa rasa tidak puas hati yang meluap-luap di kalangan rakyat kelas pekerja US terhadap situasi taraf kehidupan mereka yang semakin jatuh dan peningkatan jurang ketidak samarataan didalam negara kaya tersebut, kejayaan Kshama dan Socialist Alternative tidak mungkin mampu dicapai. Didalam beberapa undian kaji selidik yang diadakan sebelum ini, menunjukkan sokongan yang begitu jelas dari kalangan anak muda terhadap idea sosialisme di di US. Ketidakmampuan organisasi kiri dan kepimpinan pasif ketua-ketua kesatuan sekerja untuk bertindak dan mengatur langkah menggerakkan kelas pekerja untuk menghadapi penindasan demi penindasan keatas mereka, boleh diibaratkan seperti menuang air keatas dapur yang tengah panas - hanya mampu bersuara, namun tidak berbuahkan hasil. Keputusan yang berani, beserta dengan tindakan untuk mencabar para majikan dan perwakilan mereka didalam pilihanraya

– dihubungkan dengan perjuangan menuntut gaji minimum 15 dolar, merupakan satu keperluan bagi kelas pekerja. Apa yang berlaku di Seattle telah memberi keyakinan kepada kelas pekerja, terutamanya bagi golongan pekerja yang berpendapatan rendah di seluruh US. Menyaksikan protes besar-besaran pekerja makanan segera pada 4 September lalu di lebih dari 100 buah bandar di US, termasuk Chicago, New York dan Detroit, turut kelihatan perarakan-perarakan besar di cawangan-cawangan syarikat pengeluar makanan segera McDonald’s, Burger King dan KFC. Polis telah menahan lebih dari 400 orang rentetan peristiwa tersebut. Dengan tekanan secara berterusan yang diberikan kepada pemerintah didalam tuntutan ini, ia akan memberi impak yang serius kepada prospek ekonomi kapitalisme . Walaupun Obama mengumumkan kenaikan gaji

minimum $10.10 sejam yang akan memperuntukkan sebanyak $35 bilion untuk

golongan pekerja selama tempoh fasa 3 tahun, ia dikatakan tetap tidak memadai. Pekerja makanan segera dan pekerja bergaji rendah yang lain mengatakan ia tidak mencukupi; 15 dolar sejam adalah apa yang diperlukan oleh mereka. Pun begitu, cadangan Obama untuk kenaikan gaji minimum tersebut ditentang hebat oleh parti Republik didalam kongres. Ini menunjukkan bahawa kelas pekerja di US akan terus mendapat faedah yang paling sedikit didalam situasi masa kini, melainkan hanya dengan memaksima dan memperkasakan kekuatan mereka didalam arena politik. Ia bermaksud, kelas pekerja perlu membina parti alternatif massa yang mampu memberikan cabaran serius kepada Demokrat terutamanya, yang tidak mewakili keperluan kelas pekerja US, seperti yang dipamerkan oleh Obama sendiri didalam pemerintahannya, termasuklah apa yang boleh

dilihat pada parti pemerintah Demokrat di peringkat bandar atau negeri. Kempen Kshama telah membuka bab baru didalam perjuangan kelas pekerja untuk mengubah keadaan hidup mereka pada hari ini. Para kapitalis di Seattle telah memandang serius kewujudan Socialist Alternatif sebagai parti politik kedua paling berpengaruh di Seattle selepas Demokrat (parti Republik hampir tidak wujud di bandar itu). Dan bukan hanya kelas pekerja, tetapi termasuk

juga kelas pertengahan – yang sebelum ini menikmati taraf hidup yang selesa di US – juga turut mengalami kemerosotan taraf hidup di US. Dengan kata lain, segala keadaan yang telah menyebabkan kemarahan membuak-buak golongan kelas pekerja US, turut sama dirasai oleh sebahagian besar lapisan kelas menengah. Banyak perkara bakal berubah secara mendadak di US, walaupun kesan dari kejatuhan kesedaran politik kelas pekerja di masa lalu masih lagi wujud. Apa yang boleh dilihat di Seattle dan tempat lain bukanlah suatu gambaran penuh yang boleh dirumuskan secara keseluruhan. Banyak faktor lain di masa hadapan yang boleh memberi kesan kepada jatuh bangunnya kesedaran gerakan kelas pekerja di US. Keadaan ini walaubagaimana pun tidak akan menjejaskan kebangkitan kelas pekerja US dari masa ke semasa. Seattle merupakan harapan di masa hadapan untuk menyaksikan kemunculan kuasa besar untuk perubahan sosialisme di US.

Hampir semua Kesatuan Sekerja utama telah berkumpul dan mengadakan satu perarakan untuk menuntut gaji yang lebih baik di kota London, Britain pada 18 Oktober lalu. Perarakan ini merupakan anjuran Majlis Kesatuan Pekerja ( TUC ) yang telah di sertai oleh ribuan pekerja di serata Britain termasuk di Scotland dan Ireland. Demonstrasi ini diadakan bagi membantah dan mengutuk penghakisan gaji sebenar pekerja dan pelbagai pemotongan sosial yang lain sejak tahun 2008.

Beberapa pemimpin kesatuan yang hadir telah mengkritik langkah-langkah yang diambil oleh parti pemerintah ( Torries ) dan memberikan amaran kepada pembangkang, iaitu Parti Buruh ( Labour ) supaya mengamalkan polisi-polisi yang memihak kepada kelas pekerja. Walau bagaimanapun, Socialist Party ( CWI Britain ) berpendapat bahawa kedua-dua parti yang diberi pilihan tidak mempunyai kemampuan untuk membawa kelas pekerja dan rakyat biasa keluar daripada krisis ekonomi. Pemotongan sosial dan penindasan terhadap

kelas pekerja merupakan agenda utama dalam polisi kedua-dua parti utama. Kelas pekerja dan rakyat biasa hanya mampu membela diri mereka sendiri melalui pertubuhan sebuah parti massa yang mampu membawa aspirasi mereka ke arena politik. Kemenangan kelas pekerja adalah satu-satunya jalan penyelesaian bagi krisis ekonomi yang telah diwujudkan oleh ketamakan kelas kapitalis yang rakus dan gelojoh.

Demonstrasi Pekerja di Britain ! CWI Britain

Kshama Sawant dari Socialist Alternative USA

SOLIDARITI PEKERJA ISU KE -9 OKT - DIS 2014 SUDUT IDEOLOGI 11

Sejarah Hartal Se-Malaya 20 Oktober 1947 Sharifah

20 Oktober 1947 adalah hari yang bersejarah dalam perjuangan rakyat di Malaya yang ingin menuntut kemerdekaan daripada penjajahan British. Pada ketika itu, rakyat mendesak British untuk menerima Perlembagaan Rakyat yang diusahakan oleh AMCJA-PUTERA dan dalam masa yang sama, turut menolak Perlembagaan Persekutuan yang diusulkan oleh pihak British untuk Malaya. Mereka membantah Perlembagaan Persekutuan kerana negara yang merdeka harus memiliki perlembagaan yang ditulis oleh rakyatnya sendiri, bukannya oleh penjajah yang sudah tentu melakukannya untuk mengekalkan kepentingan mereka. Hartal sebenarnya adalah istilah yang telah digunakan di India untuk protes atau tunjuk perasaan, dan ini digambarkan dalam perjuangan rakyat negara itu dalam menuntut kemerdekaan daripada British. Ia juga adalah mogok umum yang melibatkan pemboikotan kerja dan urusan harian.

Ketika Mogok Hartal Se-Malaya dijalankan, semua kedai, pejabat, kilang dan premis-premis lainnya telah ditutup dan tidak beroperasi selama sehari. Buruh, nelayan, petani dan sebagainya lagi mogok kerja pada hari itu. Bahkan, jalan-jalan juga menjadi lengang kerana semua rakyat berbilang kaum bersatu padu menyertai hartal ini. Ringkasnya, tiada satu pun aktiviti yang dilakukan oleh mereka. Ini memberikan kesan yang mendalam kepada ekonomi Malaya yang dikuasai oleh penjajah British. Disebabkan itu, British telah mengisytiharkan darurat pada tahun 1948. British turut melakukan penahanan ramai pemimpin politik dan kesatuan sekerja untuk mengekang kemaraan rakyat daripada terus melakukan bantahan. Hanya selepas 10 tahun selepas peristiwa hartal itu,barulah Malaya merdeka. Peristiwa Hartal telah mengajarkan kita bahawa mogok kerja dan demonstrasi, bukanlah asing dalam perjuangan di negara ini, bahkan ia satu cara yang sangat berkesan dalam menuntut sesuatu isu.

Apakah itu Sistem Sosialisme ? Ravi

Ekonomi pasaran bebas + demokrasi (pemerintahan yang berlandaskan kepada keperluan dan keuntungan untuk golongan minoriti pemodal-pemodal) = kapitalisme. Dalam sistem kapitalisme, segala entiti-entiti kerajaan adalah untuk mengawal rakyat biasa dengan nama ‘demokrasi’ untuk mematuhi undang-undang atau lumrah tertentu untuk menjustifikasikan aktiviti-aktiviti ekonomi kapitalis untuk memaksimumkan keuntungan. Ini yang dirujuk dengan demokrasi ala kapitalis di mana keperluan-keperluan rakyat dan hak-hak asasi akan dicabul dan dianaktirikan dengan sewenang-wenangnya untuk matlamat keuntungan segelintir kapitalis. Ini yang sedang berlaku di negara kita dan di negara-negara lain. Sebab itu, berlakunya implikasi-implikasi buatan kapitalis seperti kebuluran, pengangguran, peperangan, prejudis agama/kaum dan sebagainya yang sedang membinasakan kehidupan manusia. Ini berlaku kerana

dua sifat sistem kapitalisme yang sedang kita alami. Satu, penumpuan kekayaan atau keuntungan kepada segelintir kapitalis yang didokong oleh kerajaan atau negara. Kedua, tiada penglibatan rakyat biasa untuk menentukan bagaimana kekayaan atau keuntungan tersebut perlu diagihkan untuk memenuhi keperluan-keperluan asas mereka. Sosialisme atau demokratik sosialisme pula adalah satu sistem ekonomi

dan politik yang sifatnya untuk memaksimumkan keperluan umat manusia melalui demokrasi sepenuhnya. Ia

adalah satu sistem di mana segala teknologi, sumber-sumber alam dipergunakan untuk merancang keperluan-

keperluan umat manusia. Dalam perancangan tersebut demokrasi (penglibatan rakyat biasa) akan di maksimumkan supaya

birokrasi dikurangkan. Ini bermakna dalam sistem sosialis segala sumber dan teknologi yang sedia ada akan dikekalkan, diperkembangkan dan dikawal oleh majoriti secara demokratik untuk memenuhi keperluan-keperluan asas umat manusia di negara kita dan sejagat. Sistem demokratik sosialisme (memaksimumkan keperluan untuk semua) dan kapitalisme (keuntungan maksimum untuk segelintir) ini semacam bumi dan langit. Kedua-dua sistem ini tidak dapat dicantumkan kerana percanggahan yang amat ketara di antara kedua-duanya. Hanya ada dua pilihan: ‘KEBINASAAN’ (dengan kerakusan sistem kapitalis) atau ‘SOSIALISME’ (dengan menukar sistem kapitalisme).

Pendidikan

• Hak Pendidikan yang percuma dan berkualiti untuk semua termasuk di Universiti dan Kolej: Memansuhkan yuran pengajian di Universiti dan Kolej dan menghapuskan hutang pelajar termasuk PTPTN.

• Menuntut autonomi sepenuhnya kepada universiti dan kolej untuk mengeluarkan graduan kreatif untuk pembanggunan keperluan rakyat biasa dan bukannya berpaksikan kepada keuntungan maksimum kapitalis.

• Tidak kepada penswastaan pendidikan termasuk pengkorporatan universiti dan kolej awam. Memiliknegarakan atau pemilikan awam segala entiti pendidikan daripada tadika hinggalah ke universiti dengan pembiyaan yang secukupnya untuk meningkatkan kemudahaan dan kualiti pendidikan.

• Menyokong hak pekerja awam di bidang pendidikan, guru dan pensyarah untuk mempertahankan hak mereka dan autonomi pendidikan.

• Untuk mentransformasikan Persatuan Pelajar kepada Kesatuan Pelajar yang bebas, demokratik dan memperjuangkan hak dan keperluan pelajar.

• Untuk membentuk pendidikan yang dibiayai sepenuhnya oleh kerajaan melalui pemilikan awam, dan ianya diuruskan secara demokratik dan percuma di semua peringkat - sistem pendidikan sosialis.

Pekerjaan dan Kebajikan

• Menyokong perjuangan anak muda dan warga pekerja untuk hak pekerjaan.

• Hapuskan pengangguran dengan hak pekerjaan yang adil untuk semua.

• Hapuskan polisi ‘buruh murah’ atau penghambaan pekerja, dengan mewujudkan gaji minimum atau gaji saraan hidup (living wage)

yang setimpal dengan kenaikan inflasi.• Hapuskan amalan ‘outsourcing’ dan buruh

kontrak yang menghakis hak pekerja dan kesatuan sekerja.

• Peluang latihan yang adil untuk anak-anak muda dengan gaji saraan hidup, termasuk pekerjaan yang terjamin selepas latihan.

• Hentikan pembuangan pekerja di sektor awam atau swasta. Miliknegarakan syarikat yang mengancam penutupan, di bawah kawalan demokratik oleh kesatuan sekerja dan warga pekerja.

• Majikan harus memperuntukkan elaun perumahan, penganggutan, makanan dan faedah-faedah lain yang diperlukan untuk kebajikan pekerja.

• Hak penubuhan kesatuan sekerja tanpa sebarang sekatan undang-undang oleh kerajaan atau campurtangan majikan.

• Pinjaman perumahan tanpa faedah oleh kerajaan untuk memastikan keluarga miskin memiliki tempat kediaman. Pinjaman perumahan kerajaan dengan faedah yang rendah harus diperluaskan kepada warga pekerja di sektor swasta.

• Membina tempat-tempat rekreasi awam percuma dan berkualiti kepada anak muda dan pekerja.

Hak dan demokrasi

• Mempertahankan hak untuk membantah dan berdemonstrasi. Tiada penganiayaan kepada penunjuk perasaan. Hak untuk berorganisasi di setiap sekolah, kolej dan universiti.

• Hentikan keganasan polis terhadap demonstrasi dan rakyat biasa.

• Tiada rasisme, seksisme, homophobia, dan semua bentuk diskriminasi.

• Hak pekerjaan, perumahaan dan perkhidmatan tanpa diskriminasi kaum, agama dan jantina .

• Hentikan serangan ke atas hak-hak wanita.• Wujudkan semula pilihanraya kerajaan tempatan

di setiap daerah. • Tidak kepada parti-parti yang berlandaskan

kapitalisme. Berkempen untuk pembinaan parti massa kelas pekerja dan anak muda untuk mempertahankan hak dan kepentingan rakyat biasa.

• Hentikan penswastaan perkhidmatan awam. Memiliknegarakan semula semua kemudahaan awam dengan kawalan demokratik kesatuan sekerja dan rakyat biasa.

• Hentikan GST, TPPA, pemotongan subsidi dan mula merancang ekonomi berlandaskan keperluan rakyat, bukan keuntungan maksimum

Untuk Solidariti Antarabangsa dan Demokratik Sosialisme

• Untuk solidariti antara kelas pekerja dan anak muda di seluruh dunia.

• Solidariti dengan Perjuangan Anak Muda dan Pekerja di Timur Tengah/Afrika Utara untuk pembentukan kerajaan kelas pekerja dan petani miskin.

• Tidak kepada peperangan dan campur tangan imperialis. Untuk pengosongan segera semua tentera asing dari Afghanistan dan Iraq.

• Tamatkan kepungan Gaza di Palestin dan hormati hak pembentukan negara Palestin.

• Hentikan pembinaan peluru berpandu nuklear dan hapuskan segala senjata yang boleh memusnahkan alam.

• Menyokong kempen solidariti Tamil Sri Lanka - untuk hak semua rakyat untuk menentukan pilihan sendiri.

• Tidak kepada kemusnahan alam sekitar. Bagi pelan yang mampan berlandaskan kepada demokratik sosialisme untuk industri pengeluaran yang tidak akan memusnahkan planet ini.

Pendirian Gabungan Pekerja dan Anak Muda

Adakah anda mempunyai berita tentang pekerja untuk kami ?

Adakah anda ingin berkerjasama atau ingin tahu lebih lanjut tentang kami ?

Hubungi kami di :-

[email protected]

01112859623 ( yuva )

http://www.facebook.com/solidaritipekerja

ISU KE - 9 OKT - DIS 2014 HARGA : RM 2 / SOLIDARITI : RM 3

Sosialis Alternatif adalah sebahagian daripada pertubuhan sosialis dan kelas pekerja antarabangsa (Committee for a Workers’ International) yang beroperasi di lebih 50 buah negara. Sosialis Alternatif berkempen menentang penindasan kapitalisme ke arah membentuk masyarakat yang berlandaskan demokratik sosialisme

di Malaysia dan sedunia.