29
101 BAB 7 KEADILAN ASASI OBJEKTIF BAB Selepas mengikuti bab ini, anda seharusnya boleh: 1. Memahami dengan jelas konsep keadilan asasi. 2. Menjelaskan perkembangan penggunaan prinsip keadilan asasi. 3. Menyenaraikan prinsip-prinsip asas keadilan asasi. 4. Mengenal pasti sama ada sesuatu perbicaraan dikendalikan secara adil. 5. Mencadangkan sama ada seseorang yang diadili perlu diberi hak untuk didengar. 6. Membincangkan kesan tindakan pentadbir jika kaedah ini tidak dipatuhi. 7.1 PENGENALAN Secara umumnya Prinsip Keadilan Asasi ini adalah merupakan taraf minimum berkaitan dengan membuat keputusan adil yang dikenakan ke atas mana-mana orang atau badan yang ada tugas untuk bertindak secara kehakiman. Kaedah ini pada asalnya digunakan ke atas mahkamah-mahkamah keadilan yang dikendalikan oleh hakim-hakim untuk membuat keputusan tetapi kemudiannya ia telah digunakan keatas mana-mana orang atau badan yang diberi kuasa separa kehakiman untuk membuat keputusan yang boleh menjejaskan hak atau kepentingan individu tertentu (De Smith, 1986). Melihat kepada senario sekarang, negara-negara yang mengamalkan dasar pentadbiran demokratik moden, termasuklah Malaysia sendiri banyak melibatkan diri dalam kegiatan sosio-ekonomi rakyatnya. Penglibatan ini menyebabkan bertambahnya fungsi dan kuasa kerajaan dari masa ke semasa. Kuasa yang terlalu luas boleh menyebabkan berlakunya salah guna kuasa atau ultra virus kuasa

BAB 07.pdf

Embed Size (px)

DESCRIPTION

das

Citation preview

Page 1: BAB 07.pdf

101

BAB 7

KEADILAN ASASI

OBJEKTIF BAB

Selepas mengikuti bab ini, anda seharusnya boleh: 1. Memahami dengan jelas konsep keadilan asasi. 2. Menjelaskan perkembangan penggunaan prinsip keadilan

asasi. 3. Menyenaraikan prinsip-prinsip asas keadilan asasi. 4. Mengenal pasti sama ada sesuatu perbicaraan dikendalikan

secara adil. 5. Mencadangkan sama ada seseorang yang diadili perlu diberi

hak untuk didengar. 6. Membincangkan kesan tindakan pentadbir jika kaedah ini

tidak dipatuhi.

7.1 PENGENALAN Secara umumnya Prinsip Keadilan Asasi ini adalah merupakan taraf minimum berkaitan dengan membuat keputusan adil yang dikenakan ke atas mana-mana orang atau badan yang ada tugas untuk bertindak secara kehakiman. Kaedah ini pada asalnya digunakan ke atas mahkamah-mahkamah keadilan yang dikendalikan oleh hakim-hakim untuk membuat keputusan tetapi kemudiannya ia telah digunakan keatas mana-mana orang atau badan yang diberi kuasa separa kehakiman untuk membuat keputusan yang boleh menjejaskan hak atau kepentingan individu tertentu (De Smith, 1986). Melihat kepada senario sekarang, negara-negara yang mengamalkan dasar pentadbiran demokratik moden, termasuklah Malaysia sendiri banyak melibatkan diri dalam kegiatan sosio-ekonomi rakyatnya. Penglibatan ini menyebabkan bertambahnya fungsi dan kuasa kerajaan dari masa ke semasa. Kuasa yang terlalu luas boleh menyebabkan berlakunya salah guna kuasa atau ultra virus kuasa

Page 2: BAB 07.pdf

102

yang diberi. Maka sangat penting untuk kita memastikan agar perkara di atas tidak berlaku. Oleh kerana itu Keadilan Asasi atau prinsip keadilan semulajadi diperkenalkan bagi memastikan agar pihak pentadbiran bertindak dengan betul dan menjamin agar hak atau harta individu tidak terjejas. Apakah yang menjadi asas kepada prinsip Keadilan Asasi? Secara umumnya menurut Lord Esher MR dalam kes Voinet lwn Barret (1885) 5 LJQB 39, Keadilan Asasi atau keadilan semulajadi ini bermaksud ‘perasaan semulajadi dalam menentukan apa yang betul dan salah’. Di dalam Undang-undang Pentadbiran, terdapat dua peraturan asas yang membawa kepada prosedur yang adil iaitu

(i) Orang yang terjejas haknya ada hak untuk di dengar (audi alterem partem); dan

(ii) Orang yang membuat keputusan mestilah tidak bias atau pilih kasih (nemo judex in causa sua).

7.2 PERKEMBANGAN PENGGUNAAN PRINSIP

KEADILAN ASASI SECARA UMUM

Sebelum kita mengkaji dengan lebih terperinci lagi tentang prinsip-prinsip asas Keadilan Asasi, terdapat satu soalan yang perlu dijawab iaitu bilakah prinsip Keadilan Asasi ini perlu dipatuhi, adakah pentadbir wajib mematuhinya sebelum sebarang tindakan atau keputusan diambil ke atas seseorang?

Ada akta yang memperuntukkan supaya hak untuk didengar diberikan sebelum sebarang tindakan diambil. Sebagai contoh, Perkara 135 (2) Perlembagaan Persekutuan Malaysia memperuntukkan bahawa:

“Tiada ahli dari mana-mana perkhidmatan yang disebut di bawah perenggan (b) hingga(h) Perkara 132(1) boleh dibuang atau diturunkan pangkat tanpa diberi peluang yang munasabah untuk didengar.”

Seksyen 6(1) Akta Perhubungan Industri juga memberi kuasa kepada Menteri untuk membatalkan lesen yang diberi kepada pembuat atau pengeluar tetapi sebelum berbuat demikian seksyen tersebut memperuntukkan bahawa:

Page 3: BAB 07.pdf

103

“Menteri hendaklah memanggil pembuat atau pengeluar berkenaan dan pengeluar hendaklah memberi sebab dalam tempoh tertentu mengapa lesennya tidak boleh dibatalkan.”

Walau bagaimanapun, kebanyakan statut atau akta tidak memberi peruntukan sama ada pendengaran boleh diberikan sebelum sebarang tindakan atau keputusan di ambil. Terpulanglah kepada mahkamah untuk menentukan sama ada konsep keadilan asasi boleh diberikan atau tidak. Menurut M.P Jain (1997) setiap kes hendaklah dilihat berdasarkan meritnya sendiri memandangkan tidak ada mana-mana formula yang boleh digunakan untuk menentukan pemakaian kaedah ini dalam setiap keadaan. Oleh itu, ianya terpulang kepada mahkamah untuk menentukan sama ada sesiapa yang merasakan dirinya teraniaya dan terjejas oleh tindakan pentadbiran berhak terhadap Keadilan Asasi atau tidak. Di England, pada awalnya Keadilan Asasi hanya akan terpakai jika pentadbir melaksanakan kuasa separa kehakiman. Mahkamah kemudiannya telah mengembangkan skop dan konsep separa kehakiman dengan mempelbagaikan fungsi dalam pentadbiran sebagai tindakan separa kehakiman bagi membolehkan pemakaian Keadilan Asasi diperluaskan kepada pihak-pihak yang terjejas hak mereka. Seterusnya mahkamah memperkenalkan konsep ‘keadilan’ (fairness) atau ‘prosedur adil’ (fair procedure) dalam perbicaraan atau prosiding pentadbiran bagi memudahkan lagi penerimaan pemakaian prinsip Keadilan Asasi tanpa perlu membezakan tindakan pentadbir sama ada mereka bertindak atas kuasa ‘pentadbiran’ (administrative) atau atas kuasa separa kehakiman (quasi judicial) seperti sebelumnya. Pemakaian konsep ini telah dapat memperluaskan penggunaan prinsip Keadilan Asasi terhadap pihak-pihak yang terjejas hak mereka akibat dari pelbagai jenis tindakan pentadbiran. Ada ahli ilmuan undang-undang yang mempersoalkan tentang pemakaian konsep diatas. Antara persoalan yang ditimbulkan, bilakah konsep Keadilan Asasi (natural justice) akan digunakan oleh mahkammah dan bila pula konsep ‘keadilan’ (fairness) akan digunakan? Persoalan ini agak sukar dijawab memandangkan

Page 4: BAB 07.pdf

104

jawapan yang pasti masih belum dapat ditentukan. Walau bagaimanapun, ada pandangan yang mengatakan bahawa ‘keadilan’ (fairness) tidak sama dengan Prinsip Keadilan Asasi (natural justice) walaupun keduanya ada persamaan. Dalam kes-kes ‘keadilan’, tanggungjawab yang dituntut adalah kurang jika dibandingkan dengan tuntutan atau kehendak dibawah Keadilan Asasi. Kedua-dua konsep ini tidak perlu disamakan bagi memastikan sesiapa yang melaksanakan fungsi separa kehakiman memenuhi ukuran yang lebih tinggi jika dibandingkan dengan fungsi pentadbiran. Sekiranya disamakan, tribunal yang melaksanakan fungsi separa kehakiman perlu memenuhi hanya tahap (standard) ‘keadilan’ dan ini akan melenyapkan perlindungan yang diberikan oleh Prinsip Keadilan Asasi. Walaupun begitu ada juga pendapat yang menyatakan bahawa penggunaan konsep ‘keadilan’ memberi kebaikan kerana ia bersifat fleksibel.

SOALAN DALAM TEKS 7.1

1. Nyatakan dua peraturan asas yang membawa kepada prosedur adil dalam Keadilan Asasi.

2. Apakah peruntukan yang terkandung dalam Perkara 135(2) Perlembagaan Malaysia.

Semak jawapan anda di akhir bab ini.

Perkembangan dan pemakaian Prinsip Keadilan Asasi dapat dilihat dengan lebih jelas lagi apabila kita merujuk kepada rentetan keputusan-keputusan yang dibuat oleh hakim-hakim dalam beberapa kes utama di Britain dan juga di Malaysia. Perbincangan ini di mulai dengan merujuk kepada keputusan-keputusan yang dibuat oleh hakim-hakim di Britain. 1. Pemakaian Konsep Keadilan Asasi di England Pada mulanya mahkamah di England telah mengambil sikap yang liberal terhadap pemakaian Keadilan Asasi. Prinsip serta kaedah berkaitan perbicaraan amat luas, iaitu sesiapa sahaja yang

Page 5: BAB 07.pdf

105

mempunyai tugas untuk membuat keputusan mestilah bertindak menurut prinsip yang terdapat dalam Keadilan Asasi. Keadaan ini digambarkan didalam dua kes berikut: Di dalam kes Cooper lwn Wandworth Board of Works (1863) 14 C.B.N.S 180, statut yang berkaitan telah mewajibkan seseorang yang ingin mendirikan rumah di London supaya memberikan notis kepada pihak berkuasa tempatan dalam tempoh tujuh hari sebelum mendirikan rumah tersebut. Pihak penguasa tempatan telah merobohkan rumah Cooper kerana Cooper telah mendirikan rumah tanpa memberikan notis seperti yang telah diperuntukkan dalam statut. Tindakan untuk merobohkan diambil tanpa memberikan Cooper hak untuk didengar. Hakim menyatakan bahawa pihak berkuasa tempatan dalam kes ini melaksanakan kuasa kehakiman, kuasa tersebut lebih terdedah kepada penyalahgunaan kuasa, oleh itu hak untuk didengar perlu diberikan. Mahkamah seterusnya mengatakan hak untuk didengar perlulah diberikan sekiranya pihak berkuasa melaksanakan kuasa yang melibatkan harta seseorang, sebelum sebarang tindakan diambil. Dalam kes Board of Education lwn Rice (1911) AC 179 pula, Lord Loreburn telah memberikan skop yang luas terhadap konsep perbicaraan dengan menyatakan

“Tugas untuk membuat keputusan (duty of deciding) berkaitan pelbagai persoalan telah diberikan kepada pegawai-pegawai kerajaan atau mana-mana jabatan kerajaan; Kebanyakan persoalan ini diselesaikan melalui budibicara (discretion) yang tidak melibatkan undang-undang dan kadang-kadang pegawai berkenaan perlu memastikan fakta dan undang-undang atau undang-undang sahaja. Dalam keadaan ini, orang yang membuat keputusan hendaklah bertindak dengan suci hati serta mendengar dengan adil dari kedua-dua belah pihak dan inilah tugas yang perlu ada pada setiap orang yang membuat keputusan.”

Kemudiannya pandangan mahkamah di England telah berubah kepada pandangan yang sempit (narrow and restrictive approach) terhadap pemakaian Keadilan Asasi dalam tindakan pentadbiran. Perubahan ini jelas digambarkan dalam kes berikutnya iaitu

Page 6: BAB 07.pdf

106

Dalam kes Nakkuda Ali lwn Jayaratne (1951) A.C 66, pengawal lesen telah diberikan kuasa untuk membatalkan lesen sekiranya beliau ‘ada sebab yang munasabah untuk mempercayai bahawa penjual tersebut tidak layak untuk menjadi penjual’. Lesen perayu dalam kes ini telah dibatalkan tanpa diberikan peluang perbicaraan. Majlis Privy telah membenarkan pembatalan lesen tersebut dengan menyatakan bahawa untuk mendapatkan lesen bukanya hak seseorang tetapi merupakan satu pemberian (privilege) oleh itu hak untuk didengar adalah tidak perlu kerana ia tidak menjejaskan hak sesiapa. Seterusnya Majlis Privy merujuk kepada statut dan mendapati tiada tiada prosedur berkenaan perbicaraan diperuntukkan dan berpendapat keputusan yang dibuat tidak berbentuk separa kehakiman dan sekiranya pihak berkuasa menjalankan fungsi yang memerlukan tindakan kehakiman, barulah hak didengar diberikan. Dalam kes Queen Metropolitan Police Commissioner, ex parte Parker (1953) 1 W.L.R 1150, Pesuruhjaya Polis boleh batalkan lesen jika beliau berpuashati bahawa ‘pelesen tidak sesuai untuk memegang atau diberi lesen tersebut’. Di sini lesen seorang pemandu teksi telah dibatalkan. Mahkamah memutuskan bahawa Pesuruhjaya telah menjalankan tugasnya sebagai ‘pihak berkuasa disiplin’, dalam hal berkaitan disiplin perbicaraan tidak diperlukan. Pandangan sempit mahkamah di England tentang pemakaian Prinsip keadilan Asasi telah berubah dalam tahun 1963 setelah keputusan dibuat oleh House of Lords dalam kes Ridge lwn Baldwin (1964) A.C. 40 kerana mahkamah telah kembali kepada sikap yang liberal dan terbuka dalam pemakaian Keadilan Asasi. Mahkamah tidak lagi membahagikan kuasa pentadbiran kepada separa kehakiman atau pentadbiran (administrative) bagi menentukan pemakaian Keadilan Asasi. Ujian yang digunakan ialah apabila hak seseorang terjejas, pentadbir perlu bertindak secara kehakiman. Dalam kes ini tertuduh bersubahat dalam rasuah tetapi telah dibebaskan. Pihak Jawatankuasa telah memecat tertuduh tanpa memberi notis atau peluang perbicaraan. House of Lords telah memutuskan bahawa tertuduh hendaklah diberikan notos tentang tuduhan dan diberikan peluang untuk membela diri. Walaupun statut tidak memperuntukkan hak untuk didengar, kekosongan ini di isi dengan konsep Keadilan Asasi.

Page 7: BAB 07.pdf

107

Lord Reid dalam kes ini mengatakan, walaupun konsep Keadilan Asasi agak kabur, tetapi ia tidak boleh dijadikan alasan untuk tidak mengguna pakainya kerana mahkamah-mahkamah terdahulu pernah memberikan hak ini kepada pihak-pihak yang terjejas haknya. Kes Ridge memberi prinsip asas iaitu apabila pihak pentadbiran menjalankan kuasa membuat keputusan yang melibatkan hak seseorang individu, konsep Keadilan Asasi perlu diambil kira oleh orang yang membuat keputusan tersebut. Walau bagaimanapun, selepas kes Ridge, masih terdapat mahkamah yang tidak mengikut prinsip asas yang diputuskan dalam kes Ridge. Sebagai contoh kes Vidyodaya University lwn Linus Silva (1964) 3 All E.R 865. Dalam kes ini seorang Profesor universiti telah dipecat tanpa diberi hak untuk didengar atas alasan tidak berkeupayaan lagi untuk mengajar. Majlis Privy memutuskan oleh kerana kes tersebut merupakan perhubungan antara majikan dan pekerja, maka hak untuk didengar tidak perlu diberikan.Kes ini diputuskan dengan menggunakan prinsip Common Law berkaitan dengan hubungan antara majikan dan pekerja dan penerimaan prinsip Common Law yang diputuskan dalam kes Ridge telah diketepikan. Kes De Silva ini telah dikritik dan selepas itu mahkamah telah kembali kepada sikap liberal dalam usaha memperluaskan pemakaian konsep Keadilan Asasi. Sebagai contoh dalam kes berikut telah menunjukkan sikap mahkamah yang lebih terbuka dan liberal dalam membuat keputusan: Dalam kes Durayappah lwn Fernando (1967) 2 A.C 337 ini, pembubaran majlis Perbandaran oleh menteri juga dikatakan tindakan separa kehakiman. Dalam kes ini walaupun statut tidak memperuntukkan secara jelas pihak-pihak yang perlu didengar, keadilan Common Law akan mengisi kekosongan dalam peruntukan tersebut. Mahkamah di England terus memperluaskan lagi pemakaian konsep separa kehakiman juga Keadilan Asasi di dalam tindakan pentadbiran. Kebanyakan fungsi atau tindakan yang dikategorikan sebagai pentadbiran (administrative) yang menolak prinsip Keadilan Asasi kini telah dikategorikan sebagai separa kehakiman bagi membolehkan prinsip Keadilan Asasi digunakan.

Page 8: BAB 07.pdf

108

Sebagai contoh, dalam kes Malloch lwn Aberdeen Corporation (1971) 2 All E.R 1278 House of Lords telah memutuskan bahawa dalam kes pemecatan pekerja pihak berkuasa awam, keadilan asasi terpakai. Dalam kes ini Malloch telah ditamatkan perkhidmatannya kerana gagal mematuhi peraturan yang ditetapkan oleh kementerian. Pemecatan ini telah dilakukan tanpa perbicaraan. Lord Wilberforce telah menekankan bahawa hak untuk didengar perlulah diketepikan jika kes merupakan perhubungan antara majikan dan pekerja yang tulin iaitu kes-kes yang tidak melibatkan perkhidmatan awam atau tidak disokong oleh statut, tidak dalam bentuk perkhidmatan atau status yang tidak dilindungi oleh statut. Beliau selanjutnya mengatakan, jika mana-mana perkara ini wujud, maka acara keadilan asasi perlulah dipatuhi. Seterusnya kini, mahkamah di England telah menggunakan konsep yang baru dalam pemakaian Keadilan Asasi, iaitu prinsip ‘keadilan’ (fairness). Mengikut konsep terbaru ini, semua jenis kuasa pentadbiran tidak kira sama ada kuasa separa kehakiman atau tidak, pentadbir dikehendaki untuk bertindak secara adil. Pandangan terbaru ini telah memperluaskan lagi konsep asas keadilan asasi iaitu hak untuk didengar. Mahkamah mula menekankan prinsip ‘keadilan’(fairness) daripada prinsip Keadilan Asasi (natural justice). Prinsip ‘keadilan’ ini telah dimulakan dalam kes Re H (K) – An Infant (1967) 1 All E.R 226. Dalam kes ini seorang bangsa Pakistan ingin membawa anaknya masuk ke England. Beliau telah memberitahu pihak Imigresen bahawa anaknya berumur 15 ½ tahun. Walau bagaimana pun pihak Imigresen tidak menerima keterangan tersebut dan tidak membenarkan anaknya memasuki England. Mahkamah memutuskan, walaupun pihak Imigresen tidak bertindak dalam kuasa separa kehakiman, mereka mestilah memberikan peluang kepada pihak yang terlibat untuk membuktikan bahawa anaknya berumur di bawah 16 tahun. Ini adalah kerana pihak Imigresen dikehendaki untuk bertindak secara adil. Menurut Lord Parker

“Good administration and an honest or bona fide decision must…..require not merely impartially, nor merely bringing one’s mind to bear on the problem, but of acting fairly; and to the limited extent that the circumstances of any particular case allow, and within

Page 9: BAB 07.pdf

109

the legislative framework under which the administrator is working, only to that limited extent do the so called riles of natural justice apply, which in a case such as this is merely a duty to act fairly.”

dan

“If there is no duty to act judicially then there is no duty even to be fair.”

Dalam kes Re Pergamon Press Ltd. (1970) 3 All E.R 535, satu arahan telah dikeluarkan untuk menyiasat keadaan Pergamon Press Ltd. Sebuah syarikat awam. Persoalan yang timbul ialah; adakah badan siasatan mesti mematuhi acara dalam keadilan asasi semasa menyiasat? Mahkamah memutuskan bahawa siasatan yang dibuat tidak melibatkan fungsi separa kehakiman kerana tiada sebarang keputusan dibuat,jadi konsep keadilan asasi tidak perlu dipatuhi. Bagaimanapun laporan siasatan mereka mungkin akan memberi kesan yang serius seperti menjatuhkan reputasi, karier seseorang dan membawa kepada tindakan kehakiman. Maka di sini badan penyiasat yang terlibat mestilah bertindak secara ‘adil’(fairly). Seterusnya pandangan mahkamah menjadi lebih liberal dalam aspek pemberian hak untuk didengar sekiranya ia boleh menjejaskan tanggapan asal atau ‘legitimate expectation’ seseorang individu. Tanggapan atau ‘expectation’ adalah bersandarkan cakapan yang jelas, atau amalan kebiasaan yang wujud dan diharap akan berterusan ataupun sekadar akujanji (undertakings) oleh atau bagi mewakili pihak berkuasa awam yang mempunyai kuasa untuk membuat keputusan. Kes yang memperkenalkan doktrin ‘legitimate expectation’ ialah Schmidt lwn Secretary of State for Home Affairs (1969) 2 W.L R 337. Dalam kes ini Mahkamah rayuan menegaskan mana-mana rakyat asing yang telah tamat permit untuk tinggal di England tidak mempunyai hak untuk didengar sekiranya permit mereka gagal disambung memandangkan mereka tiada ‘legitimate expectation’ untuk tinggal lebih lama sekiranya permit telah tamat Tetapi sekiranya permit yang dimiliki belum habis tempoh tetapi telah dibatalkan, individu tersebut perlu diberi hak untuk didengar kerana tindakan tersebut telah menjejaskan tanggapan asal atau ‘legitimate expectation’ seseorang individu yang beranggapan bahawa mereka dibenarkan tinggal sehingga permit tamat.

Page 10: BAB 07.pdf

110

Dalam kes Re Liverpool taxi Owner’s Association (1972) 2 All E.R 589, Perbadanan Perbandaran telah diberi kuasa untuk menetapkan jumlah lesen teksi yang dikeluarkan. Mereka boleh menambah atau mengurangkan jumlah lesen-lesen tersebut. Lord Denning memutuskan apabila mempertimbangkan lesen-lesen, ia hendaklah dibuat secara adil dan mereka hendaklah bersedia untuk didengar, bukan dari seorang pemohon sahaja, tetapi juga dari orang lain yang berkepentingan dengan permohonan tersebut atau lain-lain organisasi atau badan-badan yang terjejas hak mereka. Walaupun Perbadanan hanya bertindak secara pentadbiran, ianya hendaklah dilakukan secara adil.

SOALAN DALAM TEKS 7.2

1. Apakah maksud ‘legitimate expectation’? 2. Sebutkan nama kes di England yang

memperkenalkan konsep ‘legitimate expectation’.

Semak jawapan anda di akhir bab ini.

2. Pemakaian Konsep Keadilan Asasi di Malaysia Mahkamah-mahkamah di Malaysia juga menerima pemakaian kaedah Keadilan Asasi secara liberal. Sebagai contoh di dalam kes Wong Kwai lwn President Town Council, Johore Bahru (1970) 2 MLJ 164 mahkamah telah memutuskan bahawa sebelum satu arahan merobohkan rumah dikeluarkan, kaedah audi alteram partem perlu dipatuhi. Syed Othman J menyatakan

“There are many authorities which require a tribunal which is given a discretionary power as in this case, to exercise that poper judicially. This means that before the tribunal can make a decision, the rule of audi alteram partem must be observed. The principles underlying this rule provide minimum safeguards for justice. If the tribunal fails to observe them a decision loses its judicial character.”

Page 11: BAB 07.pdf

111

Dalam kes Sim Yan Hoo lwn Matu & Daro District Council (1967) 1 MLJ 71, pemohon adalah penjual barang-barang runcit dengan menggunakan bot di sepanjang Sungai Sarawak. Oleh kerana beberapa aduan telah dibuat terhadap pemohon, Majlis Daerah telah meminda lesen pemohon dengan hanya membenarkan dia berniaga di kawasan tertentu sahaja. Pindaan dilakukan tanpa terlebih dahulu memberi peluang untuk didengar kepada pemohon. Pemohon telah mencabar keputusan pihak Majlis Daerah dan mahkamah membatalkan pindaan tersebut. Kes yang paling penting dan paling bermakna dalam penggunaan prinsip audi alteram partem oleh Undang-undang Pentadbiran di Malaysia terdapat di dalam kes yang telah diputuskan oleh Mahkamah Persekutuan iaitu kes Ketua Pengarah Kastam lwn Ho Kwan seng (1977) 2 MLJ 152. Dalam kes ini, pemohon adalah seorang pemegang lesen agen penghantaran. Lesennya telah ditamatkan oleh Pegawai kanan kastam atas alasan bahawa dia telah didapati bersalah kerana melanggar peruntukkan Akta Kastam. Pemohon telah mencabar keputusan itu atas alasan dia telah tidak diberikan hak untuk didengar. Mahkamah Persekutuan telah membatalkan keputusan pihak Kastam dan menegaskan bahawa keadilan asasi terpakai dalam kes pembatalan agensi walaupun perkara tersebut tiada peruntukkan dalam statut. Mahkamah mengambil kira keputusan yang dibuat dalam kes Ridge lwn Baldwin dan menegaskan bahawa perbicaraan yang adil adalah penting kerana ia boleh digunakan untuk menafsir hak-hak dalam pentadbiran. Prinsip undang-undang dalam kes di atas telah diputuskan oleh Mahkamah Persekutuan adalah seperti berikut:

“ ….the rule of natural justice that no man may be condemned unheard should apply to every case where an individual is adversely affected by an administrative action, no matter whether it is labeled ‘judicial’, ‘quasi-judicial’, or ‘administrative’, or whether or not the enabling statute makes provisions for the hearing.”

Kenyataan yang dikeluarkan oleh Mahkamah Persekutuan diatas jelas membuktikan bahawa penggunaan prinsip Keadilan Asasi di Malaysia sangat luas. Mahkamah menegaskan bahawa ‘perbicaraan’ bukan hanya diberikan bergantung kepada tindakan pentadbiran semata-mata tetapi ‘perbicaraan’ mesti diberikan sekiranya seseorang

Page 12: BAB 07.pdf

112

individu merasakan bahawa haknya terjejas atau teraniaya oleh tindakan pentadbiran. Perlembagaan Persekutuan Malaysia juga mempunyai peruntukkan tentang Keadilan Asasi. Perkara 135(2) menjelaskan bahawa anggota perkhidmatan awam tidak boleh dibuang kerja atau diturunkan pangkat dengan tidak diberi peluang yang munasabah untuk didengar. Seterusnya dalam kes Fadzil bin Mohammed Noor lwn University Teknologi, Malaysia (1981) 2MLJ 196, Perayu telah dipecat oleh pihak Universiti kerana beliau tidak hadir kerja tanpa mendapat kebenaran. Raja Azlan shah C.J memutuskan, dalam hubungan majikan dan pekerja tulen, prinsip keadilan asasi tidak terpakai. Bagaimanapun oleh kerana perayu adalah pembantu pensyarah yang mempunyai status yang disokong oleh Statut, maka beliau berhak mendapat perlindungan perbicaraan dihadapan pihak berkuasa disiplin termasuk hak untuk merayu kepada majlis Universiti atas keputusan yang dibuat. Mahkamah di Malaysia seterusnya menunjukkan sikap yang lebih terbuka untuk memakai prinsip keadilan asasi dalam pentadbiran apabila doktrin ‘legitimate expectation’ juga diterima di dalam kes John Peter Berthelsen lwn. Director General of Immigration (1987) 1 MLJ 134 seperti pertama kali diperkenalkan dalam kes Schmidt di oleh mahkamah di England. Dalam kes ini perayu diberi pas kerja selama dua tahun tetapi telah ditamatkan lebih awal kerana dikatakan kehadirannya boleh menjejaskan keselamatan negara. Mahkamah memutuskan bahawa perayu berada di sini secara sah dan beliau mempunyai harapan yang sah atau legitimate expectation untuk tinggal di sini sehingga pasnya tamat. Oleh itu, jika ada apa-apa tindakan yang memendekkan tempoh pasnya, perayu perlu diberi hak untuk didengar mengikut keadilan asasi. Dalam kes Minister of Resources Planning & ors lwn Keruntum sdn. Bhd. (1988) 2 CLJ 431. Mahkamah memutuskan bahawa prinsip keadilan asasi terpakai apabila pihak perhutanan hendak menarik balik lesen yang telah diberikan. Pihak perhutanan perlu memberi peluang kepada pemegang lesen menyatakan alasan kenapa lesen mereka tidak boleh ditarik balik.

Page 13: BAB 07.pdf

113

SOALAN DALAM TEKS 7.3

1. Namakan kes penting dan bersejarah dalam Undang-Undang Pentadbiran Malaysia tentang penggunaan prinsip hak untuk didengar.

Semak jawapan anda di akhir bab ini.

7.3 PRINSIP-PRINSIP KEADILAN ASASI Seterusnya kita akan mengkaji tentang isi kandungan Keadilan Asasi. Prinsip-prinsip asas keadilan asasi terbahagi kepada dua:

(i) Hak untuk didengar (audi alteram partem); dan (ii) Tidak pilih kasih/bias.

Hak untuk didengar terbahagi kepada dua unsur iaitu

(i) Notis; dan (ii) Perbicaraan.

1. Notis Bagi mematuhi prinsip keadilan asasi, sebelum sebarang tindakan diambil terhadap seseorang individu notis yang lengkap tentang kes yang dihadapi perlu disampaikan kepadanya. Ini bertujuan supaya individu teresebut tahu akan tuduhan yang dikenakan keatasnya dan beliau dapat bersedia dengan pembelaan. Dalam kes Urban Housing Co. lwn Oxford Council (1940) Ch. 70, Sir Wilfrid Green M.R menyatakan

“Pihak berkuasa mesti memberi notis kepada orang berkenaan bagi memaklumkan mereka sama ada mereka bercadang menimbangkam perkara tersebut dengan maksud mencapai satu keputusan atau jika mereka telah mencapai satu keputusan dan bercadang untuk mengikut keputusan itu dan memberi dia satu peluang menunjukkan sebab kenapa tindakan tidak boleh diambil ke atasnya.”

Page 14: BAB 07.pdf

114

Sekiranya notis yang diberikan tidak lengkap atau tidak memadai, individu terbabit boleh membuat dakwaan menyatakan pihak pentadbir telah bertindak melanggar keadilan asasi. Tujuan Pemberian notis boleh dikategorikan kepada dua sebab, iaitu (a) Supaya tertuduh tahu kesnya dengan jelas Dalam kes Surinder Singh Kanda lwn Government of Malaysia (1962) 2 MLJ 169 Lord Denning menyatakan

“Hak untuk didengar hanya bermakna sekiranya tertuduh tahu apa tindakan yang akan dikenakan ke atasnya.”

Mahadevan lwn Anandrajan (1974) 1 MLJ 2 Dalam kes ini pengetua sebuah sekolah menerima aduan bahawa seorang pelajar telah berkelakuan tidak baik. Pengetua tersebut telah mengadakan dua pertemuan dengan pelajar tersebut dan akhirnya dia dibuang. Perintah pembuangan dicabar atas alasan ketika pelajar dipanggil beliau tidak diberi notis pembuangan. Majlis Privy menyatakan, oleh kerana semasa pertemuan diadakan pelajar mempunyai alasan untuk mengetahui beliau akan dibuang, maka notis yang cukup lengkap tidak perlu diberikan bagi memaklumkan bahawa beliau mesti dibuang. Apa yang perlu ialah sifat tuduhan yang dikenakan ke atas dirinya. Jika tuduhan dapat dibuktikan, pelajar berkenaan dikatakan telah mengetahuinya. (b) Supaya tertuduh ada masa yang munasabah untuk

menyediakan pembelaan Dalam kes Phang Moh Shin lwn Commissioner of Police (1967) 2 MLJ 186, plaintif telah mencabar keputusan pasukan polis yang memecatnya atas alasan tindakan dibuat bertentangan dengan prinsip hak untuk didengar. Notis telah diberikan kepada Plaintif sejurus sebelum perbicaraan diadakan dan beliau sebelum ini juga tidak pernah menerima salinan dakwaan yang dibuat keatasnya. Plaintif meminta supaya perbicaraan ditangguhkan bagi membolehkan beliau menyediakan pembelaan tetapi permohonan beliau telah ditolak. Plaintif akhirnya dipecat. Mahkamah dalam kes ini telah membatalkan pemecatan plaintif dengan alasan bahawa

Page 15: BAB 07.pdf

115

plaintif diberikan notis yang tidak lengkap, tempoh masa pemberian notis amat singkat sebelum perbicaraan bermula. Oleh itu, Plaintif tidak mempunyai masa yang mencukupi bagi membolehkan beliau menyediakan pembelaan yang sempurna. Dalam kes Re Liverpool Taxi Owner’s Association (1972) 1 All E. R 589 pula, pihak persatuan teksi diminta menjawab surat tunjuk sebab yang diterima pada tarikh tutup untuk mengemukakan bantahan. Masa yang diberikan adalah tidak munasabah, oleh itu notis tersebut adalah tidak lengkap dan sempurna. 2. Perbicaraan Bagaimanakah sesuatu perbicaraan harus dikendalikan bagi menjamin terlaksananya prinsip-prinsip Keadilan Asasi? Walaupun notis yang lengkap dan sempurna telah diberikan, tetapi jika sekiranya perbicaraan yang dikendalikan tidak adil maka pihak yang berkuasa masih dikatakan melanggar prinsip-prinsip Keadilan Asasi. Lord Morris telah menjelaskan di dalam kes Ridge lwn Baldwin:

“The essential requirements of natural justice at least include that before some one is condemned he is to have an opportunity of defending himself.”

Tidak ada prosedur tetap yang perlu diikuti dalam semua kes. Ianya berubah mengikut keadaan. Akhirnya terpulanglah kepada mahkamah untuk menentukan sama ada prosedur dalam keadaan tertentu telah menuruti kehendak keadilan asasi atau tidak (M.P. Jain 1997). Perbicaraan boleh dilaksanakan sama ada secara lisan atau bertulis, ianya bergantung kepada keadaan. Dalam kes Ridge lwn Baldwin mahkamah telah bersepakat mengatakan jika sesuatu kes itu melibatkan fakta–fakta yang rumut atau perkara teknikal, perbicaraan secara lisan perlu diberikan. Dalam kes Pett lwn Greyhound Racing Association (1968) 2 All E.R 545. Lesen seorang pelatih anjing telah dibatalkan kerana dia telah memberikan dadah kepada anjingnya sebelum bermulanya sesuatu perlawanan. Mahkamah memutuskan bahawa pelatih tersebut

Page 16: BAB 07.pdf

116

perlulah diberikan perbicaraan secara lisan kerana kes tersebut adalah serius dan boleh menjejaskan reputasi dan pendapatan masa depan pelatih tersebut. Mahkamah dalam kes ini juga menjelaskan, jika tindakan sesuatu tribunal boleh melibatkan kehidupan atau reputasi seseorang atau lain-lain perkara yang dianggap serius, keadilan memerlukan agar perbicaraan secara lisan diberikan. Dalam kes Travancore Rayons lwn Union of India AIR 1971 SC 862, timbul persoalan sama ada produk yang dikeluarkan oleh syarikat terbabit perlu dikenakan cukai. Cukai yang dikenakan berdasarkan jumlah pengeluaran tanpa menolak barang yang rosak. Pihak syarikat membantah cukai yang dikenakan dan pihak pentadbir telah menolak bantahan tersebut tanpa memberikan perbicaraan secara lisan. Mahkamah menyatakan, kes tersebut melibatkan soal fakta yang rumit dan perbicaraan secara lisan perlu diberikan. Seterusnya dalam kes Najar Singh lwn Government of Malaysia (1974) 1 MLJ 138, seorang pegawai polis telah diberi notis tunjuk sebab, kenapa beliau tidak boleh dibuang kerja sewaktu beliau dikenakan tahanan pencegahan (preventive detention). Beliau telah membalas secara bertulis dan kemudiannya telah dipecat. Berdasarkan Perkara 135(2) Perlembagaan beliau dikatakan tidak diberi peluang yang munasabah untuk didengar. Mahkamah memutuskan bahawa beliau telah diberikan hak perbicaraan. Perbicaraan tidak semestinya secara lisan. Adalah mencukupi jika dia diberi peluang untuk membetulkan atau menyanggah kenyataan yang telah dibuat ke atasnya. 7.3.1 Perbicaraan Secara Adil atau Munasabah Menurut M.P.Jain (1997) empat perkara berikut boleh dikategorikan sebagai perbicaraan yang adil atau munasabah: 1. Orang yang mengadili suatu perbicaraan perlu

kemukakan semua maklumat atau keterangan yang akan digunakan dalam membuat keputusan

Ini membolehkan tertuduh menyangkal segala dakwaan serta memberikan penerangan berkenaan sebarang isu yang timbul sebelum pihak yang berkuasa membuat keputusan. Dalam kes Phang Moh Shin lwn Commisioner of Police, penyiasat dalam kes ini

Page 17: BAB 07.pdf

117

mempunyai fail perkhidmatan, rekod peribadi dan kertas siasatan tetapi tidak mengemukakannya kepada tertuduh walaupun semua bukti tadi diambil kira semasa membuat keputusan. Mahkamah memutuskan, kegagalan penyiasat memberi maklumat menyebabkan tertuduh tidak dapat menjawab tuduhan yang dikemukakan dan gagal menerangkan kedudukan sebenarnya. Dalam kes Shamsiah bt. Ahmad Sham lwn Public Service Commision, Malaysia (1990) 3 MLJ 364 pula, seorang pekerja dipecat atas alasan cuai dan mengabaikan tugasnya di Pejabat Percetakan. Dalam rayuannya beliau menyatakan bahawa pemecatannya adalah tidak sah dan terbatal. Alasannya kerana pentadbir telah mengambil kira rekod kelakuannya yang terdahulu yang terdapat dalam rekod perkhidmatannya, sedangkan perkara itu tidak terlebih dahulu dikemukakan kepada tertuduh. Ini menyebabkan beliau gagal menjelaskan dan menyangkal serta menafikan perkara-perkara tersebut. Mahkamah telah memutuskan bahawa pihak pentadbir telah tidak memberikan peluang kepada tertuduh menjelaskan atau menafikan rekod perkhidmatannya yang telah digunakan dalam membuat keputusan. Seterusnya dalam kes Abdul rahman Isa lwn Public Service Commission, Malaysia (1991) 2 MLJ 240, tertuduh adalah seorang pegawai Kastam yang telah dipecat dari jawatannya. Beliau telah dituduh menukar tayar yang belum dicukai dengan tayar yang telah dikenakan cukai. Tertuduh memohon perbicaraan lisan tetapi akhirnya dipecat. Alasan pemecatan ialah, tertuduh tidak membuat laporan bahawa semasa membawa tayar tersebut, beliau telah ditahan oleh sekumpulan lelaki Cina. Oleh itu, beliau dianggap telah berkomplot dengan pencuri tersebut. Mahkamah memutuskan, majikan tidak memaklumkan perkara asas dalam pertuduhan, iaitu isu komplot. Oleh itu, keputusan pemecatan telah melanggar keadilan asasi. 2. Semasa perbicaraan, pihak berkuasa atau pentadbir perlu

menerima semua keterangan yang dikemukakan oleh tertuduh

Cara ini memberi peluang kepada tertuduh untuk mengemukakan segala keterangan atau bukti yang secukupnya bagi menafikan dakwaan keatas dirinya. Sekiranya pihak pentadbir gagal memenuhi

Page 18: BAB 07.pdf

118

perkara di atas, maka beliau dianggap telah melanggar prinsip keadilan asasi. Dalam kes Malayawata Steel Bhd. lwn Union Malayawata Steel Workers (1978) 1 MLJ 87, Mahkamah Perusahaan telah menghalang pihak syarikat mengemukakan saksi-saksi penting semasa perbicaraan.Pihak syarikat seterusnya mencabar keputusan Mahkamah Perusahaan atas alasan telah berlaku perlanggaran terhadap Keadilan asasi. Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa tindakan Mahkamah Perusahaan yang enggan membenarkan pihak syarikat mengemukakan saksi-saksi penting telah melanggar keadilan asasi kerana pihak syarikat tidak diberi peluang yang munasabah untuk menyediakan kesnya. 3. Pihak berkuasa atau pentadbir yang terlibat mengadili

perbicaraan hendaklah memberi peluang kepada tertuduh untuk menyangkal tuduhan yang dikenakan ke atas dirinya

Persoalan timbul di sini, adakah tertuduh berhak diwakili peguam? Secara umumnya, hak diwakili peguam bukanlah satu kemestian dalam perbicaraan berkaitan hal-ehwal pentadbiran. Walaupun begitu jika kes yang dikemukakan agak rumit, sukar dan penting, maka hak untuk diwakili peguam diwajibkan bagi menjamin suatu perbicaraan yang adil. Dalam kes Pett lwn Greyhound Racing Association, mahkamah memutuskan bahawa pelatih berhak untuk dibicarakan secara lisan dan boleh diwakili peguam memandangkan kes tersebut melibatkan reputasi dan kehidupan masa depan pelatih tersebut. Dalam kes Mundell lwn Mellor (1929) SSLR 152, seorang jurutera perunding kilang diminta memberi keterangan tentang kemalangan yang berlaku di kilang. Keterangannya mungkin menyebabkan dirinya didakwa di mahkamah. Oleh itu memohon untuk diwakili oleh peguam. Permohonan beliau telah ditolak. Mahkamah memutuskan bahawa setiap yang ada hak untuk didengar, ada hak di bawah Common Law untuk hadir atau didengar melalui agennya walaupun tidak diperuntukkan di bawah undang-undang. Dalam kes Federal Hotel sdn.bhd. lwn National Union of Hotel, Bar & Restaurant Workers (1983) 1 MLJ 175, Mahkamah Perusahaan telah

Page 19: BAB 07.pdf

119

membenarkan responden diwakili peguam tetapi melarang perayu dari diwakili oleh mana-mana peguam. Mahkamah Persekutuan memutuskan bahawa keputusan yang dibuat oleh Nahkamah Perusahaan itu melanggar keadilan asasi. Walau bagaimanapun, keputusan dalam kes Fraser lwn Mudge (1975) 3 All ER 78 adalah berbeza. Dalam kes ini seorang banduan telah melanggar disiplin penjara dan ketika perbicaraan beliau meminta diwakili oleh peguam, tetapi tidak dibenarkan oleh pihak penjara. Mahkamah memutuskan bahawa kes-kes disiplin seperti ini tidak perlu diwakili peguam. Kes–kes disiplin dipenjara memerlukan keputusan dibuat dengan cepat dan perwakilan peguam boleh menimbulkan kelewatan. 4. Semasa perbicaraan, orang yang membuat keputusan

perlu mendengar dari kedua-dua belah pihak Ia telah dijelaskan di dalam kes Surinder Singh Kanda lwn. Government of Malaysia. Dalam kes ini mahkamah memutuskan bahawa seorang hakim atau sesiapa sahaja yang menjadi pengadil, tidak boleh mendengar keterangan atau menerima wakil dari sebelah pihak sahaja sebelum membuat keputusan. Timbul persoalan di sini, adakah suatu perbicaraan yang adil memerlukan alasan dalam setiap keputusan? Sehingga kini Common Law sendiri tidak mewajibkan pihak pengadil atau pembuat keputusan untuk memberikan sebarang alasan dalam setiap keputusan yang dibuat. Adanya alasan–alasan dalam membuat keputusan dapat memastikan agar pentadbir menggunakan fikiran mereka berdasarkan kes yang diadili dan bukannya melaksanakan fikiran mereka secara mekanikal (M.P. Jain, 1997). Dalam kes Breen lwn AEU (1971) 2QB 143, Lord Denning menegaskan bahawa alasan terhadap keputusan merupakan salah satu asas kepada cirri-ciri sebuah pentadbiran yang baik (good government). Jawatankuasa Frank juga menggalakkan agar pengadil memberikan alasan-alasan semasa membuat keputusan. Di India sendiri, dalam kes Travancore Rayons lwn Union of India AIR 1971 SC 862, Mahkamah Agong telah membatalkan keputusan pihak kerajaan

Page 20: BAB 07.pdf

120

kerana pihak kerajaan sepatutnya memberikan alasan-alasannya sendiri bila membuat keputusan. Manakala di Malaysia sendiri, mahkamah tidak mewajibkan alasan-alasan keputusan diberikan, sebaliknya ia bergantung kepada keadaan kes. Ia jelas dapat dilihat dalam kes-kes berikut: Dalam kes Pemungut hasil tanah, daerah Baratdaya, Pulau Pinang lwn Kam Gim Paik (1983) 2 MLJ 392, Mahkamah Persekutuan dalam kes ini telah memutuskan bahawa dalam kes pengambilan tanah, pemungut hasil tidak perlu memberi alasan tentang jumlah pampas an yang diberikan oleh kerana dalam borang pampasan telah tersebut dengan jelas bahawa pampasan diberikan berdasarkan keluasan dan nilai tanah. Keputusan berbeza dalam kes Rohana bt. Ariffin lwn USM (1989) 1 MLJ 487, Mahkamah memutuskan bahawa pentadbir perlu memberi alasan pemecatan tersebut kerana kehidupan tertuduh terjejas dan dengan memberi alasan, ianya boleh dijadikan garispanduan kepada orang lain supaya tidak melakukan perkara yang sama.

SOALAN DALAM TEKS 7.4

1. Apakah maksud ‘audi alteram partem’. 2. Jelaskan dua unsur yang terdapat dalam prinsip

asal ‘audi alteram partem’. 3. Kenapa ‘notis’ perlu diberikan kepada tertuduh.

Semak jawapan anda di akhir bab ini.

7.3.2 Pilih Kasih (Bias) Kaedah untuk menentang konsep pilih kasih atau lebih dikenali sebagai bias ini telah wujud sejak tahun 1610 di dalam kes Dr.Bonham (1610) 8 Co. Rep. 114, pihak lembaga telah mendenda seorang doktor kerana menjadi pengamal perubatan tanpa lesen. Mahkamah telah membatalkan keputusan pihak Lembaga kerana pihak Lembaga mempunyai kepentingan semasa membuat keputusan.

Page 21: BAB 07.pdf

121

Seorang hakim mestilah bertindak dengan adil semasa membuat keputusan. Mereka tidak boleh bertindak secara berat sebelah sama ada memberatkan pihak yang menuntut atau yang dituntut. Asas sebenar dalam proses kehakiman memerlukan seseorang hakim bertindak secara saksama dan menggunakan fikirannya secara objektif terhadap perkara yang diputuskan (M.P.Jain, 1997). Prinsip diatas juga terpakai bukan hanya kepada para hakim, tetapi ia juga terpakai kepada mana-mana badan atau orang yang mempunyai kuasa separa kehakiman. Pilih kasih atau bias yang melarang seseorang dari bertindak sebagai pengadil atau penghukum wujud hasil dari dua maxim berikut (M.P. Jain, 1997):

(i) Seseorang tidak boleh menjadi hakim dalam tindakannya sendiri.

(ii) Keadilan bukan sahaja perlu dilakukan, malah perlu ditunjukkan bahawa ia berlaku.

Kelonggaran diberikan oleh De Smith (1986) untuk membenarkan seseorang yang mempunyai kepentingan terus menjadi hakim dalam mana-mana perbicaraan berdasarkan perkara tersebut:

(i) Sekiranya pihak-pihak yang terlibat mahu meneruskan perbicaraan walaupun teah dimaklumkan, hakim terbabit mempunyai kepentingan dalam prosiding tersebut.

(ii) Menjadi pengadil berdasarkan peruntukkan khas oleh mana-mana statut.

(iii) Menjadi pengadil atau hakim atas sebab keperluan sekiranya semua pengadil lain juga tidak layak kerana mempunyai kepentingan.

Pilih kasih atau bias boleh dibahagikan kepada tiga, jenis:

(i) Bias kewangan (pecuniary bias); (ii) Bias diri (personal bias); dan (iii) Bias polisi (bias to subject-matter).

Page 22: BAB 07.pdf

122

1. Bias kewangan Bias ini wujud apabila badan penghukum atau pengadil yang mengadili sesuatu pertelingkahan mempunyai kepentingan kewangan sama ada melibatkan sejumlah duit yang besar ataupun kecil. Dalam kes Dimes lwn The Grand Junction Canal Company (1852) 3 HLCas 759, sebuah syarikat awam telah menfailkan kes terhadap seorang tuan tanah dalam perkara yang melibatkan kepentingan syarikat. Lord Chancellor yang menjadi hakim dalam kes tuntutan tersebut adalah merupakan salah seorang pemegang saham dalam syarikat berkenaan. Keputusan beliau telah memihak kepada syarikat. Mahkamah membatalkan keputusan Lord Chancellor atas alasan bahawa beliau mempunyai kepentingan kewangan dalam syarikat berkenaan. 2. Bias diri Seseorang tidak boleh mengadili sesuatu perbicaraan yang melibatkan dirinya, keluarganya atau kawan-kawan terdekat. Bagi menentukan sama ada wujud bias diri atau tidak, ialah dengan melihat adakah kecenderungan seseorang untuk bersikap bias. Ujian dibuat dengan melihat kepada pandangan seseorang manusia yang bersikap waras. Ia bertujuan bagi memastikan pihak awam mempunyai keyakinan bahawa keadilan wujud dalam perbicaraan. Prinsip ini wujud dalam kes Metropolitan Properties Co. lwn Lannon (1968) 3 All ER 304, di mana penyewa–penyewa flat telah membuat permohonan kepada jawatankuasa penilai sewa yang dipengerusikan oleh Lannon supaya kadar sewa yang berpatutan diberikan. Lannon sebelum ini pernah membantu penyewa flat yang lain mendapatkan kadar sewa yang berpatutan dari syarikat yang sama. Mahkamah memutuskan bahawa keputusan jawatankuasa penilai sewa tidak sah kerana Lannon ada kecenderungan untuk bertindak pilih kasih (bias diri). Cooper lwn Wilson (1937) 2 KB 309, seorang pegawai polis dipecat oleh ketua polis dan ketika kes rayuan didengar, ketua polis tersebut hadir sama sebagai pemerhati. Mahkamah memutuskan kehadiran ketua polis menyebabkan kemungkinan berlakunya bias diri.

Page 23: BAB 07.pdf

123

Dalam kes Hannam lwn Bradford City Council (1970) 2 All ER 691, seorang guru dipecat oleh gabenor-gabenor sekolah. Jawatankuasa dibentuk untuk melihat sama ada pihak Majlis Bandaraya boleh menghalang pemecatan tersebut dan membuat keputusan bahawa ia tidak perlu dihalang. Didapati tiga daripada sepuluh ahli Jawatankuasa itu adalah gabenor sekolah tetapi mereka tidak hadir semasa keputusan pemecatan dibuat. Mahkamah memutuskan, walaupun mereka tidak hadir semasa keputusan dibuat, ada kecenderungan untuk berlaku bias diri. Mahkamah di India juga menerima prinsip bias diri seperti yang ditunjukkan dalam kes A.K Kraipak lwn Union of India AIR 1970 SC 150, pemangku Ketua Pemelihara Hutan adalah salah seorang calon pekerja dan beliau turut terlibat dalam Lembaga Pemilihan Pekerja. Beliau berjaya dalam temuduga tersebut. Mahkamah menolak keputusan Lembaga kerana tidak wajar seorang calon menjadi ahli dalam Lembaga Pemilih dan kedudukannya ada kepentingan serta boleh menyebabkan bias dalam pemilihan pekerja. Di Malaysia sendiri prinsip bias diri turut diterima pakai. Sebagai contoh, dalam kes Chong Kok Lim lwn. Yong Su Hian (1979) 2 MLJ 11. Mahkamah Persekutuan memutuskan bahawa keputusan pemecatan responden adalah tidak sah kerana orang yang membuat tuduhan menjadi pengerusi dalam mesyuarat agong Persatuan yang mengesahkan pemecatan tersebut. 3. Bias polisi Ujian yang digunakan bagi menentukan bias polisi ialah jika seseorang terlibat dalam pembuatan sesuatu polisi sama ada secara langsung atau tidak, dia tidak layak untuk membuat keputusan atas masalah yang timbul akibat pelaksanaan polisi tersebut. Bagi mengelakkan terjadinya bias polisi, seseorang yang menjalankan pendakwaan tidak boleh menjadi hakim bagi kes yang dijalankan dan seseorang yang membuat polisi juga tidak boleh menyelesaikan masalah yang timbul akibat pelaksanaan polisi tersebut. Penggunaan bias polisi agak sukar dilaksanakan sebagai contoh dalam kes Franklin lwn Minister of Town and Country Planning

Page 24: BAB 07.pdf

124

(1948) AC 87, akta telah memberi kuasa kepada menteri untuk mengesahkan dan mengeluarkan perintah untuk penubuhan bandar baru. Satu Bandar telah dikenal pasti, siasatan awam dijalankan, menteri keluarkan perintah dan seterusnya mengesahkannya. Tetapi sebelum perintah dikeluarkan, menteri telah membuat kenyataan tentang penubuhan bandar baru tersebut. Mahkamah memutuskan bahawa menteri hanya menjalankan fungsi pentadbiran dan tindakannya masih mengikut prosedur yang ditetapkan.Tidak wujud bias polisi dalam kes ini. Dalam kes Gullapalli N. Rao lwn Andhra Pradesh Styate Road Transport Corp. AIR 1959 SC 308, mahkamah memutuskan bahawa setiausaha Jabatan Pengangkutan tidak layak untuk mendengar bantahan terhadap polisi kerana beliau adalah sebahagian daripada jabatan tersebut dan banyak terlibat dalam penggubalan polisi terbabit. Seterusnya dalam kes Alkaff & Co. lwn The Governor in Council (1937) MLJ 202, Pesuruhjaya Tanah adalah Ex-officio Singapore Improvement Trust (SIT). SIT pohon Gabenor untuk meluluskan beberapa skim dan gabenor telah melantik Pesuruhjaya untuk jalankan siasatan sebelum kelulusan diberikan. Mahkamah memutuskan bahawa pelantikan Pesuruhjaya mungkin menyebabkan bias polisi.

SOALAN DALAM TEKS 7.5

1. Bias atau pilih kasih terbahagi kepada tiga bahagian. Nyatakan tiga bahagian tersebut.

Semak jawapan anda di akhir bab ini.

7.4 KESAN KETIDAKPATUHAN PRINSIP KEADILAN

ASASI Persoalan penting di sini, apakah kesan yang diperolehi sekiranya pentadbir gagal melaksanakan prinsip keadilan asasi ataupun gagal

Page 25: BAB 07.pdf

125

memenuhi sepenuhnya prinsip-prinsip tersebut. Adakah perintah yang telah dikeluarkan itu dikita batal atau sebaliknya? Dalam hal ini kita perlu terlebih dahulu mengetahui apakah yang dimaksudkan dengan batal (void) dan boleh batal (voidable). Keputusan batal (void) bermaksud keputusan tidak boleh dikuatkuasakan kerana ianya tidak sah sejak dari awal lagi (void ab initio). Manakala sekiranya keputusan boleh batal (voidable) bermaksud keputusan itu sah sehingga di batalkan atau diketepikan oleh mahkamah. Sekalipun keputusan ini boleh batal tetapi selagi pihak yang terjejas haknya tidak membuat permohonan di mahkamah, maka keputusan tetap tidak akan berubah atau tidak dapat ditentukan kesahihannya. Keadaan di England: Lord Reid dalam kes Ridge lwn Baldwin, menyatakan bahawa jika tindakan diambil tanpa mengambilkira prinsip keadilan asasi, maka tindakan tersebut adalah batal (void). Tetapi dalam kes Hourslow LBC lwn Twinckenham GD Ltd. (1971) Ch 2 mahkamah mengatakan walaupun keputusan yang dibuat oleh tribunal dengan menafikan keadilan asasi adalah batal, tetapi jika tidak ada orang yang berhak mencabar keputusan tersebut, maka keputusan tersebut akan terus kekal demikian. Lord Wilberforce dalam kes Calvin lwn Carr (11980) AAC 574 juga berpendapat demikian, iaitu jika keputusan dibuat bertentangan dengan keadilan asasi, keputusan tersebut adalah batal tetapi selagi ianya tidak diisytiharkan oleh mahkamah, ianya masih mempunyai kesan atau wujud dalam undang-undang. Keadaan di Malaysia: Terdapat beberapa kes yang menerima pandangan bahawa jika pentadbir bertindak melanggar keadilan asasi, maka keputusan itu adalah batal. Sebagai contoh dalam kes Surinder Singh kanda dan juga kes Phang Moh Shin, mahkamah dalam kedua-dua kes ini menetapkan bahawa pemecatan keatas tertuduh adalah batal. Dalam kes Makhlal & Co.(1969) 2 MLJ 118, mahkamah mengatakan pihak-pihak yang mempunyai locus standi boleh mencabar perintah

Page 26: BAB 07.pdf

126

tersebut dimahkamah bagi memastikan tindakan atau perintah yang dikeluarkan itu tidak sah atau batal. Melihat kepada senario keputusan hakim dalam kes-kes di atas menunjukkan bahawa mahkamah sendiri belum mencapai satu keputusan yang tetap tentang kesan kegagalan pentadbir mematuhi perinsip keadilan asasi. Persoalan seterusnya sama ada jika berlaku perlanggaran keadilan asasi adakah boleh diperbetulkan diperingkat rayuan? Dalam kes Leary lwn National Union of Vehicle Builders (1970) 2 All ER 713. Sekiranya badan yang membicarakan gagal mematuhi keadilan asasi, ia tidak boleh diperbaiki diperingkat rayuan. Pentadbir harus mendengar semula kes tersebut. Mahkamah Persekutuan dalam kes Chong Kok Lim lwn Yong Su Hian (1979) 2 MLJ 11 telah memberi pendapat yang berbeza. Iaitu penafian keadilan asasi boleh diperbetulkan diperingkat rayuan sekiranya badan rayuan mempunyai bidangkuasa asal unuk mendengar kes tersebut. Ini kerana semasa rayuan didengar, terdapat perbicaraan semula malalui keterangan saksi.

SOALAN DALAM TEKS 7.6

1. Apakah maksud ‘batal’ (void) dan ‘boleh batal’ (voidable).

Semak jawapan anda di akhir bab ini.

7.5 KESIMPULAN Keadilan Asasi merupakan satu aspek penting yang wujud dalam sistem Undang-Undang Pentadbiran di Malaysia. Perkembangan prinsip Keadilan Asasi di Malaysia selari dengan perkembangan yang wujud di negara-negara Barat khususnya di Britain. Ini dibuktikan dengan adanya kes-kes yang diputuskan oleh mahkamah terutama keputusan hakim dalam kes Ridge dan kes-kes selepasnya.

Page 27: BAB 07.pdf

127

Pemakaian Keadilan Asasi kini lebih luas apabila prinsip ‘legitimate expectation’ telah diambil kira bagi membolehkan seseorang individu memohon agar keadilan Asasi digunakan dalam perbicaraan kes-kes mereka. Kandungan dalam Keadilan Asasi seperti perbicaraan adil dan pilih kasih (bias) boleh dijadikan garis panduan sekiranya seseorang diberi kuasa untuk membuat keputusan. Selain dari itu, perkembangan dalam aspek pemberian alasan dalam membuat keputusan juga tidak harus diambil mudah. Walaupun sekarang ini alasan dalam membuat keputusan tidak menjadi satu obligasi dalam tindakan pentadbiran, tetapi terdapat hakim-hakim dalam beberapa kes tertentu mengakui bahawa ia adalah satu amalan yang baik dalam pentadbiran. Alasan dalam membuat keputusan boleh menggambarkan bahawa sesebuah negara mengamalkan sistem pemerintahan yang baik dan adil terhadap rakyatnya.

SOALAN PENILAIAN KENDIRI

Betty adalah seorang pereka fesyen terkenal di sebuah syarikat fesyen bartaraf antarabangsa. Beliau seorang yang berpengalaman dan telah berkhidmat dalam dunia fesyen selama 15 tahun. Beberapa tuduhan salahlaku telah dibuat terhadapnya dan ianya disiarkan di dalam akhbar tempatan. Bagaimanapun, dalam satu temuramah, Betty telah menafikan tuduhan itu sebagai palsu dan tidak berasas. Ekoran dari tuduhan itu, majikannya telah menulis surat kepadanya supaya memberi penjelasan dalam satu Jawatankuasa Khas yang akan diadakan untuk membincangkan kes tersebut. Selepas perbicaraan dijalankan, Betty telah didapati melakukan salahlaku tersebut dan telah dipecat dari jawatannya. Betty mendapat bukti bahawa keputusan yang dibuat adalah berdasarkan tuduhan yang disiarkan oleh suratkhabar yang mana tidak dimaklumkan untuk dijadikan sebagai bukti dalam membuat keputusan. Betty juga mempunyai bukti bahawa pengerusi Jawatankuasa Khas itu telah beberapa kali bercuti keluar negara dengan orang yang membuat aduan dan menulis tentang salahlaku Betty dalam suratkhabar.

Page 28: BAB 07.pdf

128

Betty merasa tidak berpuashati kerana dipecat dari syarikat tersebut telah datang berjumpa anda, seorang pakar penasihat hak asasi manusia. Nasihatkan beliau.

Semak jawapan anda di akhir modul kursus ini.

JAWAPAN SOALAN DALAM TEKS

SDT 7.1

1. Dua prosedur asas tersebut ialah

(ii) Orang yang terjejas haknya ada hak untuk

didengar. (iii) Orang yang membuat keputusan mestilah tidak

pilih kasih/bias. 2. - Perkara 135(2) memperuntukkan supaya ahli-ahli

perkhidmatan awam diberi hak untuk didengar sebelum dibuang atau diturunkan pangkat.

- Mahkamah yang akan menentukan sama ada keadilan asasi boleh diberikan atau tidak berdasarkan merit setiap kes.

- Di England, pada awalnya keadilan asasi hanya akan terpakai jika pentadbir melaksanakan kuasa separa kehakiman.

SDT 7.2

1. ‘Legitimate expectation’ atau harapan yang sah adalah

bersandarkan cakapan yang jelas yang disampaikan kepada seseorang atau amalan kebiasaan yang wujud dan diharap akan berterusan atau sekadar akujanji oleh seseorang yang mewakili pihak berkuasa awam yang ada kuasa untuk membuat keputusan.

2. Schmidt lwn Secretary of State for home Affairs (1969) 2W.L.R

337.

Page 29: BAB 07.pdf

129

SDT 7.3 1. Ketua Pengarah Kastam lwn Ho Kwan Seng (1977) 2 MLJ 152.

SDT 7.4 1. ‘Hak untuk didengar’ –seseorang yang dituduh perlu diberi

hak untuk memberi penjelasan atas pertuduhan yang dikenakan ke atas beliau.

2. Dua unsur tersebut:

(i) Notis. (ii) Perbicaraan.

3. (i) Supaya tertuduh tahu kesnya dengan jelas.

(iii) Supaya tertuduh ada masa yang munasabah untuk membela diri.

SDT 7.5 1. (i) Bias diri.

(ii) Bias kewangan. (iv) Bias polisi.

SDT 7.6

1. - Batal (Void) Keputusan batal (void) bermaksud keputusan tidak boleh

dikuatkuasakan kerana ianya tidak sah dari awal lagi (void ab initio).

- Boleh Batal (Voidable)

Keputusan boleh batal (voidable) bermaksud keputusan itu sah sehingga dibatalkan atau diketepikan oleh mahkamah. Sekalipun keputusan ini boleh batal, tetapi selagi pihak yang terjejas haknya tidak membuat permohonan di mahkamah, maka keputusan tetap tidak akan berubah atau tidak dapat ditentukan kesahihannya.