Upload
vodien
View
230
Download
1
Embed Size (px)
Citation preview
1
KEPERLUAN KOPERASI PATUH SYARIAH PADA MASA KINI
Shofian bin Ahmad
Jabatan Syariah, FPI UKM.
1.0 PENGENALAN
Koperasi adalah satu bentuk organisasi yang telah dilakukan oleh masyarakat sejak
lama dahulu. Dari segi sejarahnya, penubuhan institusi koperasi dicatat bermula sejak
kurun ke 18 di Eropah iaitu ketika zaman Revolusi Perindustrian. Revolusi
Perindustrian yang dipelopori oleh sistem ekonomi kapitalis, telah menyebabkan
pelbagai masalah kepada ekonomi dan masyarakat ketika itu. Antaranya mewujudkan
jurang pendapatan yang tinggi dalam masyarakat, meningkatkan jumlah penganguran,
merendahkan tingkat dan kualiti kehidupan mereka dan sebagainya. Bahkan lebih
buruk lagi, golongan yang lemah seperti kanak-kanak dan wanita, turut diekploitasi
tenaga mereka untuk kepentingan ekonomi Kapitalis.
Bertitik tolak diatas permasalahan tersebut, maka R. Owen (1771-1885) telah
memikirkan satu bentuk baharu dalam ekonomi yang dibina atas dasar tolong menolong
sesama ahli untuk membaiki dan meningkatkan tahap kehidupan ekonomi dan sosial
mereka. Cara tersebut dikenali sebagai ekonomi koperasi yang mengumpul didalamnya
golongan pekerja yang berpendapatan rendah untuk bersatu menghadapi kepincangan-
kepincangan yang terhasil daripada sistem ekonomi kapitalis tersebut. Perlu diingatkan
bahawa ekonomi koperasi bukanlah suatu sistem baharu untuk menggantikan sistem
kapitalis. Sebaliknya ia hanya bertujuan melengkapkan beberapa bahagian dalam
sistem ekonomi kapitalis yang dikenalpasti sebagai punca kepada masalah ini. Sistem
Kapitalis tidak dapat menangani masalah ini kerana berpegang dengan prinsip mereka
sendiri iaitu mengutamakan hak dan kepentingan pemodal berbanding pengguna dan
memaksimumkan keuntungan menjadi matlamat utama mereka. Justeru dengan
wujudnya ekonomi koperasi, ia dapat menjaga kebajikan ekonomi para anggota-
anggota yang bernaung dibawahnya.
Sejarah koperasi di Malaysia telah bermula semenjak sebelum merdeka lagi.
Pada ketika itu masyarakat melayu yang rata-ratanya adalah miskin dan berkerja
2
sebagai petani dan pekebun. Ramai diantara mereka yang terlibat dengan masalah
hutang dengan pemiutang dan ceti. Hasil-hasil pertanian mereka akan dijual dengan
harga yang rendah kepada pemuitang. Manakala kadar faedah hutang yang dikenakan
pula agak tinggi kepada mereka. Oleh yangn demikian pihak Inggeris ketika itu telah
memikir dan mencadangkan penubuhan syarikat berkerjasama untuk membantu
golongan petani dan pekebun yang tertindas ini. Para ahli yang menyertai syarikat
kerjasama tersebut akan diberi kemudahan untuk membuat pinjaman dengan kadar
faedah yang lebih rendah. Namun sistem pinjaman yang dijalankan oleh syarikat
berkerjasama ketika itu masih tertakluk dengan sistem faedah atau riba yang
diperkenalkan oleh pihak Inggeris. Reaksi kebanyakan masyarakat melayu Islam ketika
itu yang berpegang kuat dengan ajaran agama telah menolak sistem faedah kerana ia
haram disisi agama. Walaupun sebenarnya masyarakat melayu ketika itu terlibat
dengan jualbeli janji yang dikatakan mempunyai helah kepada riba, namun mereka
tetap tidak boleh menerima sistem riba yang diharamkan dengan jelas dalam agama.
Justeru pada 22 Jun 1922, satu pertemuan dikalangan alim ulama ketika itu telah
diadakan di atas anjuran DYMM Sultan Perak. Dalam pertemuan tersebut telah
memutuskan bahawa diharuskan menyertai syarikat berkerjasama dan membuat
pinjaman dengannya walaupun menggunakan mekanisme faedah/ riba. Alasan
keharusan dibuat kerana mereka menimbangkan antara dua keburukan iaitu keburukan
berhutang dengan pemiutang dan ceti dengan kadar faedah yang tinggi dan menindas
dan keburukan berhutang dengan syarikat berkerjasama dengan kadar faedah yang
rendah. Selaras dengan kaedah fiqh, apabila terpaksa menghadapi dua keburukan, maka
dipilih keburukan yang lebih ringan. Walau bagaimanapun tidak dinafikan padangan
yang mengharuskan ini turut menerima tentangan yang hebat daripada tokoh-tokoh
ulama yang berpegang dengan ilmu tradisi pengajian Islam. Namun setelah berlalu satu
tempoh yang lama, pandangan-pandangan yang menetang keputusan mengharuskan
pinjaman berfaedah tersebut telah mulai reda dan boleh diterima setelah melihat
kebaikan dan faedah yang bawa oleh syarikat berkerjasama ini. Justeru dalam tahun
1930-an dapat dilihat pertambahan ahli-ahli syarikat kerjasama secara drastik.
Pada masakini pandangan masyarakat terhadap keharusan berhutang secara
faedah telah berubah dan berbeza lagi dengan pandangan oleh alim ulama suatu ketika
dahulu. Hal ini bersesuaian dengan maksud kaedah fiqh iaitu “berubah sesuatu hukum
dengan sebab berubah masa dan tempat”. Perubahan paradigma ini kerana
3
perkembangan pesat telah berlaku dalam sistem ekonomi dan kewangan Islam di
Malaysia, berbanding masa dahulu. Dimana banyak institusi kewangan yang patuh
syariat telah ditubuhkan. Beberapa akta berkaitan juga telah digubal untuk menyokong
dan melancarkan operasi kewangan Islam tersebut. Justeru pandangan tentang
keharusan terlibat dengan faedah telah mula berubah. Bahkan masyarakat Islam hari ini
mahukan suatu organisasi yang jelas mematuhi hukum syarak dari segi organisasinya
dan operasinya atau yang dikenali sebagai patuh syariah.
Salah satu institusi yang terkait disini ialah institusi koperasi. Menurut mantan
Menteri Kewangan Kedua Malaysia iaitu Tan Sri Nor Mohamaed Yakop, institusi
kewangan bukan bank seperti koperasi, menjadi tonggak penting dalam Sistem
Kewangan Islam di Malaysia pada masakini. Tambahan pula aset Koperasi Islam di
Malaysia bernilai berbilion ringgit perlu dibangunkan dengan sewajarnya untuk
menjadi penyokong bagi Sistem Perbankan dan Kewangan Islam di Malaysia.
Justeru pembentangan ini akan menghuraikan apakah konsep koperasi dalam Islam,
bagaimanakah konsep patuh syariah dalam koperasi serta kenapakah koperasi masakini
perlu untuk memperoleh status patuh syariah.
2.0 KOPERASI DALAM ISLAM
2.1 Definisi Koperasi
Perkataan asal koperasi adalah gabungan daripada dua perkataan dari Bahasa Inggeris
“Co” dan “Operation” yang membawa erti bersama-sama bekerja. Kamus Dewan
mentakrifkan koperasi sebagai: i) Syarikat Kerjasama ii) kerja-sama, perihal bantu
membantu; berkoperasi ialah berusaha dengan cara bekerjasama (bantu membantu).
Dalam Bahasa Arab koperasi diterjemahkan sebagai al-ta’awun atau al-
ta’awuniah yang membawa maksud sama seperti diatas iaitu tolong menolong dan
saling bekerjasama untuk sesuatu tujuan.
Beberapa sarjana telah memberikan pentakrifan kepada istilah koperasi yang
hampir sama maksudnya, antaranya:
Zainal Abidin Hashim mentakrifkannya sebagai sesebuah organisasi perniagaan atau
perusahaan yang ditubuh, dimodali dan diuruskan oleh ahli-ahlinya untuk menyediakan
perkhidmatan yang diperlukan, ke arah meningkatkan dan memajukan taraf
sosioekonomi ahli-ahlinya. Ia merupakan gabungan usaha sekumpulan individu secara
4
bersama-sama, sukarela, cara kawalan yang demokrasi dan menerima ganjaran
berasaskan sejauh mana mereka terlibat dalam organisasi tersebut.
Syed Abdullah Abu Bakar al-Kherid menjelaskan, kebiasaannya koperasi
adalah satu pertubuhan yang dianggotai oleh sekumpulan manusia yang kurang
berpendapatan. Mereka dengan sukarelanya bermuafakat untuk menghasilkan
kehendak ekonomi yang sama menerusi penyertaan mereka kedalam koperasi tersebut.
Ungku Aziz pula menggambarkan koperasi sebagai satu bentuk organisisi
dimana para ahlinya bergiat menguruskan pengeluaran, penggunaan, pemasaran,
simpanan, pinjaman dan sebagainya dengan tujuan menolong satu sama lain tanpa
tujuan mencari keuntungan perseorangan.
Akta Koperasi 1948 (Akta 287) telah mendefinisikan koperasi sebagai “sesuatu
syarikat (pertubuhan) yang terdiri daripada orang-orang individu sahaja yang
mempunyai tujuan menggalakkan kepentingan ekonomi ahli-ahlinya mengikut prinsip
bekerjasama (prinsip-prinsip koperasi)”.
2.2 Koperasi dalam Islam
Dalam Islam tidak terdapat satu definisi yang khusus berkaitan koperasi. Koperasi tidak
sama dengan dengan konsep syirkah/ musyarakah mahupun mudarabah, sehingga ia
boleh didefinisi berdasarkan konsep-konsep tersebut. Walau bagaimanapun, konsep
koperasi atau berkerjasama atau ta’awun sememangnya telah diterima sebagai nilai
baik yang digalakkan oleh Islam. Justeru, secara prinsipnya, amalan koperasi adalah
suatu amalan yang diterima oleh Islam selagi mana ia tidak bercampur dengan perkara-
perkara yang menyalahi hukum syarak dan membawa kepada perbalahan.
Firman Allah SWT dalam surah al-Maidah (5:2);
...وتعاونوا على البر والتقوى وال تعاونوا على االثم والعدوان...
“… dan hendaklah kamu berkerjasama untuk membuat kebajikan dan bertaqwa, dan
janganlah kamu berkerjasama pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan...”
Al-Qurtubi dalam mentafsir ayat ini menjelaskan bahawa ta’awun iaitu berkerjasama
atas suatu perkara yang baik (birr wa taqwa) merupakan satu perintah Allah kepada
manusia. Berdasarkan konsep ini, orang yang pandai perlu berkerjasama menolong
5
orang yang tidak pandai, orang kaya menolong orang miskin, orang yang kuat
menolong orang yang lemah dan sebagainya.
Bahkan konsep kerjasama ini juga telah dijadikan Allah sebagai sunnahNya
atau sistem kepada alam ini. Lihatlah sistem cekerawala dan planet-planet yang saling
lengkap melengkapi dalam melaksanakan fungsi dan peranan masing-masing, sistem
tubuh badan manusia yang saling bekerjasama antara satu sama lain untuk
membolehkan ia berfungsi dengan baik dan betul. Begitulah sifat ta’awun ini menjadi
sunnah atau sistem yang akhirnya boleh melahirkan kebaikan kepada semua. Namun
syarat berkerja sama atau ta’awun tersebut mestilah berasas kebaikan dan taqwa.
Dalam operasi sesebuah koperasi, gambaran sifat kerjasama ini
tergambar melalui usaha para ahli/ anggotanya yang saling menyokong
perniagaan atau perusahaan yang dijalankan oleh koperasi yang dianggotai
mereka. Para ahli akan bersama-sama memberi sumbangan, membuat penjualan
serta pembelian melalui koperasi dan sebagainya. Keuntungan yang terhasil
daripada perniagaan ini pula akan dikongsi bersama para ahlinya.
2.3 Contoh-Contoh Amalan Koperasi Dalam Masyarakat Arab Sebelum Islam
Masyarakat Arab sebelum kebangkitan nabi SAW telahpun terkenal dengan sikap
berkerjasama dan tolong menolong ini. Bahkan bangsa Arab yang terkenal dengan sifat
kekabilahannya, sentiasa mengutamakan kebajikan dan survival kabilahnya. Meraka
juga terkenal dengan sikap pemurah dan baik hati dalam melayan tetamu dan orang
asing yang bertandang kedalam kabilah mereka. Setelah kedatangan Islam, asas ini
diperkuatkan lagi oleh baginda SAW dalam pelbagai bidang termasuk ibadat,
kemasyarakatan dan perekonomian.
Beberapa contoh amalan koperasi atau sifat kerjasama yang terdapat dalam
masyarakat Arab dan menjadi budaya mereka sejak dahulu lagi ialah seperti: aqilah,
qasamah dan kafalah.
Aqilah
Bermaksud ikatan (iqal) atau perjanjian yang dibentuk diantara anggota kabilah yang
bertujuan menyediakan jaminan kewangan kepada anggota tersebut dalam keadaan
yang tertentu. Contohnya jika seseorang anggota kabilah tersebut disabitkan dengan
kesalahan membunuh tanpa sengaja, maka hukuman yang dikenakan kepadanya adalah
6
bayaran diyat kepada keluarga mangsa. Biasanya nilai diyat yang dikenakan adalah
besar seperti 100 ekor unta dan sebagainya, kerana ia berkaitan kehilangan nyawa. Nilai
yang besar ini tentunya sukar jika mahu ditanggung oleh seseorang individu. Justeru
ketua kabilah telah mengambil tindakan pro-aktif dengan mewujudkan satu tabung
yang akan disumbang bayarannya oleh setiap anggota kabilah sebagai jaminan kepada
mereka jika terlibat dengan bayaran seperti diyat tersebut. Amalan seperti Aqilah ini
telah digunakan secara meluas oleh pengendali-pengendali takaful dalam membentuk
asas produk mereka.
Qasamah
Bermaksud sumpah. Amalan ini hanya dilakukan apabila terdapat seorang anggota
kabilah lain yang ditemui mati terbunuh dalam kabilah mereka. Tetapi mereka tidak
dapat mengenalpasti pembunuhnya setelah mereka berusaha menyiasat secara
bersungguh sungguh. Ekoran itu semua anggota kabilah tersebut diminta bersumpah
untuk membersih dan menafikan diri daripada terlibat. Jika semua mereka telah
bersumpah bererti pembunuhnya tidak dapat dikenalpasti. Namun bagi menghormati
nilai nyawa yang telah terbunuh, maka semua anggota kabilah tersebut dikehendaki
membayar sejumlah wang sepertimana diyat kepada keluarga mangsa tersebut.
Kafalah
Kafalah pula bermaksud jaminan. Biasanya ia dikaitan dengan jaminan masyarakat
atau turut dikenali juga sebagai takaful itima’i. Kafalah juga adalah sejenis kontrak
yang diterima dalam muamalat Islam iaitu kontrak jaminan (guarantee). Terdapat
banyak banyak hadith yang berkaitan jaminan sama ada jaminan masyarakat mahupun
kontrak kafalah.
2.4 Jenis-Jenis Koperasi
Terdapat pelbagai jenis koperasi yang menjalankan pelbagai aktiviti mereka. Secara
umum jenis-jenis koperasi tersebut boleh dibahagikan kepada dua kategori umum iaitu:
i) berdasarkan bentuk aktivitinya, dan ii) berdasarkan keanggotaannya.
7
Koperasi yang berdasarkan aktivitinya pula boleh dibagaikan kepada beberapa jenis
lagi. Antaranya: Koperasi Simpan Pinjam, Koperasi Serbaguna, Koperasi Pengguna,
Koperasi Pengeluar dan lain-lain
Manakala koperasi yang berdasrkan jenis keanggotaannya pula boleh
dibahagikan kepada, Koperasi Pegawai Kerajaan, Koperasi Usahawan Desa, Koperasi
Peladang, Koperasi Pasar, Koperasi Sekolah dan lain-lain lagi
Kadangkala koperasi juga dibahagikan mengikut kluster iaitu koperasi kluster
besar dan koperasi kluster sederhana. Pembahagian mengikut kluster ini adalah
berdasarkan jumlah anggota, modal syer anggota serta jumlah aest dan perolehannya.
Dalam hal ini Bank Kerjasama Rakyat merupakan koperasi dalam kluster besar teratas
dari segi kedudukannya.
3.0 KONSEP PATUH SYARIAH
Jika sebelum ini, istilah patuh syariah hanya digunakan oleh industri bank dan takaful
sahaja. Tetapi kini istilah tersebut telah diperluaskan penggunaannya kepada sektor-
sektor lain termasuk perhotelan, pelancungan, kesihatan, pengangkutan dan
sebagainya. Justeru terdapat sesetengah syarikat mendakwa mereka sebagai hotel patuh
syariah, pelancungan patuh syariah, hospitak patuh syariah, penerbangan patuh syariah
dan bermacam-macam syarikat lain yang patuh syariah. Pengukuran aspek patuh
syariah yang dibuat antara industry-industri tersebut adalah berbeza-beza mengikut
aktiviti asas perniagaan mereka. Sebagai contoh, penentuan aspek patuh syariah oleh
syarikat perhotelan tentulah tidak sama dengan penentuan yang digunakan terhadap
syarikat pengangkutan dan sebagainya. Walau bagaimanapun untuk tujuan
perbincangan disini, kertas kerja ini akan membincangkan konsep patuh syariah kepada
organisasi koperasi yang merupakan salah satu bentuk institusi kewangan bukan bank
pada masa kini.
Sememangnya amat sukar untuk meletakkan satu definisi yang standard bagi
menggambarkan maksud patuh syariah dalam semua aspek. Walau bagaimanapun
secara umumnya ia boleh difahami sebagai “satu status yang diberikan oleh pihak
tertentu kepada sesebuah organisasi yang menjalankan aktiviti yang sesuai dengan
hukum Islam”.
8
Berdasarkan definisi tersebut status patuh syariah boleh diberikan diberikan kepada
institusi berikut:
i- Institusi yang menjalankan kegiatan yang jelas dibenarkan oleh syarak.
seperti perniagaan barangan, perladangan, pengangkutan, dan sebagainya.
Aktiviti yang jelas bertentang dengan Islam seperti yang disenaraikan oleh
Majlis Penasihat Syariah BNM seperti perkhidmatan kewangan yang
berteraskan riba (faedah), perjudian dan pertaruhan, pengeluaran atau
penjualan barangan yang tidak halal atau barangan yang berkaitan, insurans
konvensional, aktiviti hiburan yang tidak selaras dengan Syariah dan
sebagainya. Bahkan pengeluaran atau penjualan barangan yang berasaskan
tembakau atau barangan yang berkaitan dengannya juga diahnggap sebagai
tidak patuh syariah.
ii- Juga, organisasi yang menjalankan aktiviti bercampur antara halal dan
haram, seperti sebuah organsasi induk yang menjalankan aktiviti pertanian/
perladangan (halal), tetapi terdapat subsidiari dibawahnya yang terlibat
dengan aktiviti riba (haram). Bagi organisasi yang menjalankan aktiviti
bercampur seperti ini, MPS mempertimbangkan dua kriteria tambahan
untuk memperoleh status patuh syariah, iaitu :
a. pandangan masyarakat umum tentang imej syarikat berkenaan mestilah baik;
dan
b. aktiviti teras syarikat mempunyai kepentingan dan maslahah (kebaikan secara
umum) kepada umat Islam dan Negara, manakala unsur yang tidak selaras
dengan Syariah adalah amat kecil dan melibatkan perkara ‘umum balwa
(perkara terlarang yang sukar dielakkan), ‘uruf (amalan kebiasaan) atau hak-
hak masyarakat bukan Islam yang diperakui oleh Islam.
4.0 PATUH SYARIAH VS BERASASKAN SYARIAH
Terdapat sesetengah pengkaji yang membezakan antara patuh syariah (shariah
compliant) dan berasaskan syariah (shariah based). Mereka membezakan “patuh
syariah” hanyalah satu ukuran minimum bagi menentukan atau mengukur sesuatu
operasi dan produk agar menepati dengan hukum syarak. Sebaliknya “berasaskan
syariah” adalah lebih konservatif. Ini bermakna, dalam konsep berasaskan
syariah, elemen haram dan kekaburan/ syubhat tidak boleh menyelinap masuk
9
sama sekali dalam dalam produk tersebut. Dengan kata lain konsep berasakan
syariah adalah ukuran yang paling sempurna bagi menentukan sesuatu operasi
atau produk tersebut bertepatan dengan hukum syarak. Manakala konsep patuh
syariah masih membenarkan percampuran antara aktiviti halal dan aktiviti haram
dengan syarat-syarat yang telah dinyatakan seperti diatas.
Sebenarnya tidak ada perbezaan signifikan antara patuh Syariah dan
berasaskan Syariah. Perkara yang penting ialah produk itu sendiri mematuhi
peraturan dan prinsip muamalat Islam, seperti menghindari riba, gharar, maysir
dan bahan-bahan yang dilarang penggunaannya seperti arak, babi, dadah dan
seumpamanya. Termasuk juga perkara-perkara yang dilarang kerana wujud unsur
syubhat/ kesamaran hukum tentangnya. Semua larang-larangan ini perlulah
dipantau supaya memastikan ia tidak boleh berada dalam mana-mana produk
yang mendapat status patuh syariah.
Walau bagaimanapun prinsip pematuhan syariah yang diamalkan dalam
pengurusan kewangan oleh institusi kewangan Islam masakini, membenarkan
sedikit elemen yang tidak patuh syariah sebagai satu kelonggaran untuk
mendapat status patuh syariah khususnya bagi syarikat bercampur. Namun
kewujudan eleman yang tidak patuh syariah tersebut mestilah kecil dan terkawal
serta mempunyai justifikasi tertentu yang diterima oleh syarak seperti maslahat
(kepentingan pihak umum) dan umum balwa (keadaan buruk yang tidak boleh
dielakkan). Walau bagaimanapun, dakwaan maslahat atau umum balwa tersebut
mestilah berbentuk jelas dan tidak boleh melebihi tanda aras tertentu yang telah
ditetapkan oleh MPS BNM.
5.0 TANDA ARAS PATUH SYARIAH DALAM AKTIVITI BERCAMPUR
Syarikat bercampur didefinisikan oleh MPS BNM sebagai sebuah syarikat yang aktiviti
utamanya terdiri daripada aktiviti yang dibenarkan Syariah, namun terdapat juga
aktiviti sampingan yang haram tetapi nisbahnya kecil.
Hukum syarikat bercampur tidak disepakati oleh para sarjana Islam. Pandangan
mereka boleh dibahagikan kepada dua, iaitu:
1- Pandangan yang tidak mengharuskan terlibat dalam syarikat bercampur.
Pandangan ini menjadikan dalil al-Quran surah al-Baqarah 278-280 dan Ali
10
Imran: 130 serta lain-lain hadis berkaitan pengharaman riba sebagai hujah
mereka.
2- Pandangan yang mengharuskan bermuamalat dengan syarikat bercampur
selama mana kegiatan asasinya bukan berkaitan haram seperti riba. Antara
sandaran yang digunakan ialah pendapat al-Ghazali yang bermaksud “Jika
bercampur benda halal yang tidak terbatas dengan benda haram yang tidak
terbatas, seperti mana harta-harta yang ada pada masa kini, maka tidak haram
mengambil sesuatu daripadanya walaupun ia mengandungi benda-benda halal
dan haram itu, melainkan ada bukti yang menunjukkan benda-benda itu haram.
Kalau tidak ada pada benda itu sesuatu tanda yang menunjukkan ianya haram,
meninggalkannya adalah warak’ dan mengambilnya adalah halal yang tidak
akan menjadi fasiq memakannya”. Berdasarkan kepada pandangan al-Ghazali
mengenai percampuran antara halal dan haram percampuran yang berlaku di
syarikat-syarikat tersebut masih tertakluk kepada penentuan keterbatasan dan
penentuan adakah yang halal mengatasi yang haram atau sebaliknya
Dalam hal ini MPS BNM telah memutuskan bahawa syarikat bercampur yang elemen
haramnya sedikit dan tidak melebihi tanda aras yang telah ditetapkan MPS boleh
dimasukan dalam senarai sekuriti patuh syariah. MPS berhujah dengan umum balwa
dan gharar yasir perlu diambil kira dalam membuat justifikasi terhadap sesebuah
syarikat bercampur yang aktiviti utamanya adalah halal
Untuk penentuan percampuran sumbangan yang dibolehkan daripada aktiviti
yang selaras dan tidak selaras dengan Syariah kepada perolehan dan keuntungan
sebelum cukai sesebuah syarikat, MPS telah menetapkan beberapa tanda aras tertentu
berdasarkan ijtihad mereka. Sekiranya sumbangan daripada aktiviti yang tidak selaras
melebihi tanda aras yang telah ditetapkan, maka sekuriti syarikat tersebut akan
diklasifikasikan sebagai tidak patuh Syariah.
Tanda aras tersebut boleh dibahagikan kepada dua tanda iaitu 5% dan 20%:
Tanda aras 5%
Secara umumnya tanda aras 5% ini diguna pakai bagi aktiviti bercampur yang
mempunyai unsur yang jelas pengharamannya, seperti: riba, gharar, maysir, babi, arak
dan tembakau/ rokok.
11
Bagi perniagaan/aktiviti yang mempunyai unsur yang jelas pengharamannya seperti
diatas, sumbangan daripada perniagaan/aktiviti tidak patuh Syariah kepada perolehan
keseluruhan dan keuntungan sebelum cukai sesebuah syarikat mestilah tidak lebih
daripada 5%.
Tanda aras 20%
Tanda aras 20% ini diguna pakai bagi perniagaan yang aktiviti bercampur yang pada
asasnya tidak mempunyai masalah. dari segi hukum syarak seperti perhotelan dan
rumah peranginan yang menyediakan kemudahan penginapan kepada masyarakat.
Namun kemungkinan boleh terdapat unsur lain yang boleh menjejaskan status patuh
Syariah kerana kebanyakan sektor seperti ini turut menyediakan penjualan arak dan
aktiviti yang tidak bermoral dari segi Syarak. Begitu juga dengan jual-beli saham dan
pembrokeran saham kerana berkemungkinan terdapat saham tidak menepati kehendak
syarak. Demikian juga sewaan daripada aktiviti-aktiviti tidak patuh Syariah seperti
menyewa alat/ kelengkapan hiburan yang digunakan untuk tujuan melalaikan.
Status “patuh Syariah” yang dimiliki oleh sesebuah organisasi bukan hak
mutlak mereka atau untuk dimiliki oleh organisasi untuk selama-lamanya. Tetapi ia
akan sentiasa dipantau dan diaudit bagi memastikan ia menepati dengan standard
syariah. Berkemungkinan ia boleh bertukar menjadi “tidak patuh Syariah” jika ia tidak
mematuhi hukum syarak.
6.0 KOPERASI PATUH SYARIAH
Seperti yang telah dijelaskan tentang konsep patuh syariah, untuk menjadikan sesebuah
koperasi patuh syariah, dua aspek berikut perlulah dipastikan iaitu:
i- Asas organisisi dan aktiviti yang selaras dengan prinsip syariah
ii- Menghindari aktiviti yang dilarang oleh Syarak
6.1 Asas organisasi dan aktiviti yang selaras dengan prinsip syariah
12
Dari segi prinsip
Secara prnsipnya, konsep koperasi tidak bercanggah dengan ajaran Islam seperti mana
yang telah dijelaskan. Prinsip koperasi seperti mana yang telah diperuntukkan dalam
Seksyen 2 Akta Koperasi 1993 (Akta 502), terdiri daripada enam prinsip asas yang
bertepatan dengan ajaran Islam. Prinsip-prinsip tersebut adalah:
i. Keanggotaan sukarela dan terbuka
ii. Pengurusan yang demokratik
iii. Pulangan terhad keatas modak yang disumbangkan oleh peserta
iv. Pembahagian keuntungan yang saksama
v. Menggalakkan pendidikan koperasi
vi. Kerjasama aktif dikalangan koperasi-koperasi berdaftar
Jika diteliti, matlamat prinsip-prinsip ini diadakan adalah bertujuan untuk mewujudkan
identiti sebuah organisisi yang bersifat kerjasama sesama ahlinya dan menjalankan
pengurusan yang demoktarik serta adil. Prinsip-prinsip sebegini adalah sah disisi Islam,
selama mana ia tidak mencampur adukkan dengan perkara-perkara lain yang dilarang
seperti riba, penindasan, penipuan dan lain-lain aktiviti yang diharamkan oleh hukum.
Dari segi bentuk akad atau takyif syarikat koperasi
Para sarjana Islam mempunyai beberapa pandangan. Sebahagian mereka berpendapat
koperasi yang berjalan sekarang ini terangkum di dalam konsep syarikat al-Inan yang
diterima pengharusannya oleh seluruh ahli perundangan Islam. Jika dilihat syarat-syarat
syarikat al-Inan, seperti yang dijelaskan di bawah maka ia sama seperti syarat dalam
koperasi.
Pertama: Modal terkumpul dari saham anggota digunakan di dalam perniagaan
atau pelaburan yang dipersetujui oleh semua anggota. Anggota telah dijelaskan
cara bagaimana wang modal koperasi dilaburkan. Apabila seseorang
menyertainya maka bererti dia menyetujui cara-cara yang ditentukan itu.
Kedua: Persetujuan setiap anggota bagi pengurusan syarikat dan persetujuan
mewakilkan kepada beberapa anggota syarikat tertentu bagi melaksanakan
aktivitinya. Sekiranya persetujuan ini tidak diperolehi maka tidak sah mana-
mana anggota di dalam syarikat mengurus harta/saham anggota lain. Di dalam
koperasi, pentadbirannya dijalankan oleh Jemaah Lembaga Pengarah yang
dilakukan di dalam Mesyuarat Agung Koperasi membawa erti setiap anggota
13
telah mewakilkan haknya kepada Lembaga Pengarah yang dipilih itu untuk
menguruskannya.
Ketiga: Pembahagian keuntungan dan tanggungan kerugian adalah berdasarkan
kepada modal saham. Cara yang sama juga dipraktikkan di dalam koperasi.
Hanya sedikit berbeza di dalam amalan koperasi jika dibanding dengan
pembahagian keuntungan di dalam syarikat biasa; pertama: keuntungan hanya
diberi dengan kadar tidak melebihi 10% daripada keuntungan koperasi dan
kedua: jika seseorang anggota menarik diri, dia hanya diberi kembali wang
sahamnya dengan tambahan keuntungan sebenar bagi tahun berkenaan sahaja
dan tidak diberi keuntungan dari nilai harga koperasi keseluruhannya
Namun sebahagian sarjana lain melihat akad koperasi tidak menyamai dengan akad
syirkah ataupun musyarakah seperti mana yang dibincangkan dalam fiqh. Ini kerana
akad syirkah terutamanya syirkah al-inan adalah berbeza dengan akad koperasi dari
tiga sudut, iaitu:
i- Jumlah minimum peserta akad koperasi sebagaimana yang ditetapkan oleh Akta
Koperasi 1993 (Akta 502) adalah seramai 100 orang. Sedangkan dalam akad
syirkah hanya diperlukan sekurang-kurangnya 2 orang sahaja.
ii- Sebahagian besar rakan kongsi tidak aktif dalam perniagaan koperasi kerana
pengurusan koperasi hanya dibenarkan kepada antara 6 hingga 15 orang ahli
koperasi sahaja seperti yang diperuntukkan dalam akta.
iii- Bentuk perniagaan koperasi pula bukanlah atas nama rakan kongsi, tetapi atas
nama pertubuhan perbadanan koperasi tersebut.
Justeru menurut Syeikh Abd Rahman Isa berpendapat, konsep syarikat koperasi
sepertimana yang diperkatakan oleh ahli perundangan moden hari ini tidak mempunyai
persamaan dengan akad syirkah yang dibincangkan oleh para fuqaha terdahulu iaitu
syirkah al-inan, al-mufawadah, al-abdan dan al-wujuh. Namun menurut beliau, jika
syarikat-syarikat moden tersebut diwujud untuk menjalankan kegiatan perniagaan yang
tidak terlibat dengan riba atau lain-lain perolehan haram, dalam masa yang sama juga
ia dikawal oleh undang-undang untuk memastikan ia tidak berlaku zalim dan
penindasan serta dapat menjamin hak-hak pemegang sahamnya, maka syarikat yang
seperti itu adalah halal tanpa sebarang keraguan.
14
Mengenai penetapan had jumlah minimum ahli dalam syarikat koperasi, ia tidak boleh
dianggap sebagai bertentangan dengan syarak. Bahkan penetapan had minimum oleh
undang-undang tersebut boleh dilihat sebagai satu yang positif dan memenuhi
kehendak siyasah pemerintah untuk menjamin maslahah. Oleh yang demikian
penubuhan syarikat koperasi adalah sah dari segi hukum Islam. Cuma ia bukanlah
berasaskan syirkah yang dibincangkan oleh fuqaha terdahulu. Sebaliknya ia adalah satu
bentuk syarikat yang baharu dan tidak bertentang dengan Islam.
Dari segi had umur menyertai koperasi
Kelayakan menjadi ahli koperasi sepertimana yang ditetapkan dalam Akta Koperasi
1993, Seksyen 26, mestilah telah mencapai umur 18 tahun. Kebenaran juga diberikan
kepada kanak-kanak berusia 12 tahun untuk menjadi ahli koperasi sekolah. Perkara ini
mungkin menimbulkan persoalan dari segi hukum jika kanak-kanak yang berumur 12
tersebut belum baligh ketika itu. Sepertimana yang dibincangkan oleh fuqaha, urusan
kanak-kanak yang belum baligh adalah di bawah urusan walinya. Oleh yang demikian
jika kanak-kanak tersebut belum baligh mereka harus mendapat persetujuan daripada
wali mereka terlebih dahulu untuk menjadikan penyertaan mereka sebagai ahli koperasi
sekolah dianggap sah dari segi hukum Islam. Perkara yang sedemikian iaitu
memperoleh keizinan wali/ penjaga bagi kana-kanak haruslah dinyatakan dengan jelas
dalam seksyen 26 akta berkenaan supaya ia menjadi lebih patuh kepada hukum syarak.
Manakala seksyen 27 akta berkenaan memperuntukan orang yang tidak layak
menyertai koperasi ialah orang yang tidak upaya dari segi mental, bankrup, dan telah
melakukan kesalahan dibawah akta koperasi.
Peruntukan ini adalah selaras dengan hukum Islam. Ketidakupayaan dari segi mental
menurut Islam boleh terjadi dengan sebab di bawah umur iaitu belum baligh mahupun
yang dewasa iaitu telah baligh. Bagi mereka yang belum baligh ia dikenali dengan
beberapa istilah/ peringkat seperti sabiy dan mumayyiz. Manakala bagi mereka yang
telah baligh pula ketidak upayaan mental dikenali dengan beberapa istilah lain seperti
majnun, ma’tuh, safih, ghaflah dan marad al-mawt. Golongan bankrupt pula diletakkan
di bawah ketidakupayaan harta/ material, kerana semua harta orang bankrup adalah
untuk tujuan bayaran hutangnya. Manakala melakukan kesalahan dibawah akta
koperasi pula dibuat selaras dengan konsep siyasah syariyyah oleh pihak pemerintah.
15
Dari segi kaedah pelaburan dan pinjaman
Pindaan peratuturan baharu koperasi 1995 telah memberi kebenaran kepada pengendali
koperasi untuk membuat pelaburan dan pinjaman yang sesuai selagi tidak melanggar
syarat-syarat dan peraturan yang telah ditetapkan. Ini bermakna tidak terdapat halangan
kepada koperasi untuk menggunakan prinsip muamalah Islam dalam menjalankan
pelaburan dan memberi perkhidmataan pembiayaan kepada anggotanya. Dengan itu
koperasi boleh memilih untuk melaburkan lebihan kewangannya ke dalam mana-mana
institusi kewangan yang sesuai dengan dengan matlamat mereka. Mereka boleh
memilih untuk melabur dalam sistem kewangan Islam yang patuh syariah dengan
menggunakan prinsip pelaburan seperti musharakah dan mudarabah yang berbentuk
perkongsian keuntungan dengan kadar yang telah ditetapkan ketika kontrak.
Manakala bagi pinjaman pula, pihak koperasi boleh menggunakan prinsip-prinsip
pembiayaan hutang yang terdapat dalam IKI seperti BBA, ijarah, bai’ inah, tawarruq
dan lain-lain yang bersesuaian dengan matlamat koperasi.
Pengeluaran zakat
Selain itu diantara ciri-ciri koperasi yang patuh syariah juga ialah komitmen untuk
mengeluarkan zakat daripada aktiviti perniagaannya. Para fuqaha menetapkan bahawa
syarikat yang menjalankan perniagaan seperti koperasi perlu juga membayar zakat
kerana wujud shaksiyyah i’tibariyyah (legal entity). Justeru koperasi yang patuh syariah
hendaklah mengeluarkan zakat perniagaan mereka.
Terdapat dua kaedah pengiraan zakat perniagaan yang diamalkan iaitu model
berkembang (growth model) dan modal kerja (working capital). Dalam kaedah model
berkembang, modal dicampur dengan keuntungan dan dikeluarkan kadar 2.5%
daripadanya. Manakala kaedah modal kerja pula mengambilkira kedudukan harta
semasa dalam pengiraan zakat. Justeru akan terdapat pelarasan iaitu dengan
mencampur atau menolak beberapa perkara dalam pengiraan jumlah zakatnya. Dengan
kata lain kaedah modal kerja ini lebih detil dan teliti dalam pengiraan zakat, manakala
kaedah model berkembang pula lebih bersifat mudah dan memberi maslahat kepada
penerima zakat.
16
Secara amalannya koperasi yang bergerak atas nama Islam memang telah membuat
pembayaran zakat masing-masing. Namun untuk menjadikannya lebih bertanggung
jawab dari segi perundangan, maka pindaan akta koperasi perlu dilakukan terhadap
seksyen 2 iaitu dalam mendefinisikan wang lebihan sebagai … “wang yang melebihi
amaun yang diperlukan oleh sesebuah koperasi berdaftar bagi kegunaan segera sebagai
modal kerja bagi perniagaannya dan selepas pembayaran zakat…” Pindaan seperti ini
adalah selaras dan mengikut amalan yang terdapat dalam perbankan Islam, dimana
Akta Bank Islam 1993 menerusi seksyen 15 (1) dan (2) menjelaskan “sebelum sesuatu
dividen diishtiharkan, bank hendaklah memindahkan sejumlah wang daripada
keuntungan bersih ke dalam tabung rizab pada setiap tahun setelah ditolak dari
pembayaran zakat…”
Panel penasihat syariah
Selain itu juga untuk menjadikan sesebuah koperasi patuh syariah, pihak Jabatan
Pembangunan Koperasi perlulah melantik Panel Penasihat Syariah yang berperanan
memantau kegiatan mana-mana koperasi yang berdaftar di bawahnya dalam
menjalankan aktiviti dan pelaburan secara Islam. Secara teorinya koperasi tidak perlu
mempunyai panel penasihat syariahnya yang tersendiri. Ini kerana pewujudan panel
penasihat syariah sendiri melibatkan kos dan tidak semua koperasi mampu menyerap
kos tersebut. Lebih-lebih lagi bagi koperasi yang bersaiz kecil. Faktor lain dibimbangi
dengan banyaknya Panel Penasihat Syariah pada setiap koperasi boleh menyebabkan
pelbagai pandangan dan hukum yang berbeza yang dikeluarkan bagi sesuatu produk.
Keadaan ini tentulah menimbulkan kecelaruan dan mengurangkan kepercayaan orang
ramai, khasnya para ahli terhadap status patuh syariah di koperasi berkenaan. Justeru
untuk masa ini hanya dicadangkan pewujudan Panel Penasihat Syariah tersebut
diperingkat Pusat sahaja iaitu di Jabatan Pembangunan Koperasi.
Disamping itu, Panel Penasihat Syariah ini juga boleh berperanan sebagai mengesah
dan meluluskan mana-mana produk yang hendak ditawarkan oleh koperasi secara
Islam. Ini akan menjadikan kepercayaan para ahli lebih tinggi tentang kesahan produk
tersebut dari sudut hukum Islam dan status patuh syariah.
Bagi melaksanakan hasrat ini, tiga cadangan berikut boleh dipertimbangkan (Ahmad
Hidayat Buang 2004):
17
i- Menggunasama fungsi majlis penasihat syariah di bank Negara Malaysia
untuk menyelia dan menasihati koperasi-koperasi Islam dalam menjalankan
perniagaan dan pelaburan yang selaras dengan hukum Islam
ii- Melantik perunding-perunding syariah luar yang bebas dan berkelayakan
untuk menyelia dan menasihati koperasi-koperasi Islam dalam aktivitinya.
iii- Menubuhkan jawatankuasa tetap penasihat syariah di bawah ketua pendaftar
koperasi. Dalam hal ini panel penasihat syariah tersebut akan diletakkan
dibawah pengawasan ketua pendaftar koperasi.
6.2 Menghindari aktiviti yang dilarang oleh Islam
Diantara ciri-ciri yang boleh dijadikan panduan bagi menentukan sesebuah organisasi
seperti koperasi yang dianggap tidak patuh syariah adalah seperti berikut:
I. Membuat marketing (promosi) menggunakan imej dan gambar orang yang
membuka aurat. Hukum menutup aurat adalah wajib bagi lelaki dan wanita
Islam yang telah baligh. Meskipun terdapat perselisihan pendapat fukaha
tentang batasan aurat, namun mereka bersepakat bahawa hukum menutup aurat
adalah wajib. Justeru meninggalkan sesuatu yang wajib adalah tidak mematuhi
hukum syarak.
II. Melabur dalam pelaburan yang tidak patuh syariah. Pelaburan yang tidak patuh
syariah bukan sekadar kerana aktiviti syarikat yang dilabur itu dan produknya
yang haram seperti arak dan babi, tetapi juga kerana sistem pulangannya yang
menjamin duit pelabur iaitu sistem riba. Konsep pelaburan dalam Islam adalah
satu perkongsian dalam modal/usaha dan juga perkongsian dalam hasilnya sama
ada untung atau rugi. Oleh kerana untung atau rugi adalah suatu yang belum
pasti dalam pelaburan, maka jaminan terhadap keuntungan menjadikannya
tidak mengikut hukum pelaburan Islam yang sebenar sama ada musharakah
atau mudarabah. Dengan wujudnya jaminan keuntungan tetap yang dijanjikan,
menjadikannya ia tidak berbeza dengan hutang yang dijanjikan pulangan tetap
oleh satu pihak terhadap pihak lain. Hukum nya adalah riba yang diharamkan.
III. Menggunakan akaun bank konvensional sebagai simpanan atau menerima
bayaran dari pelanggan adalah tidak patuh syariah. Pada masakini telah terdapat
banyak kemudahan simpanan secara Islam yang boleh dipilih seperti Wadiáh,
Mudarabah dan sebagainya. Justeru adalah dianggap tidak perlu untuk
menyimpan dalam simpanan konvensional yang terdedak dengan riba. Selain
18
memastikan simpanan yang patuh syariah, membuat caruman bagi
mendapatkan perlindungan insurans konvensional juga menjadikan sesebuah
syarikat tidak patuh syariah. Pada masa kini terdapat banyak kemudahan
insuran secara Islam atau dikenali sebagai takaful yang menggunakan konsep
tertentu bertepatan dengan hukum syarak.
IV. Membuat representasi palsu. Para fukaha telah membincangkan beberapa
bentuk transaksi yang menyerupai representasi palsu spt tadlis, taghrir dan
ghabn. Tadlis adalah sejenis transaksi dimana satu pihak menyembunyi fakta
sebenar kepada pihak lain dengan tujuan menipunya. Taghrir pula adalah satu
pihak memujuk memperdayakan pihak lain secara perkataan atau perbuatan
sehingga pihak tersebut memasuki kontrak bukan dengan pilihan bebasnya.
Manakala ghabn pula adalah suatu bentuk penipuan dengan cara meletakkan
harga yang melebihi harga pasaran. Semua jenis pemalsuan tersebut termasuk
dalam makna gharar yang menyebabkan ketidakpastian dalam berkontrak.
Justeru para fuqaha membahagikan aspek-aspek yang boleh berlaku gharar
kepada empat, iaitu: harga, kuantiti, kualiti dan waktu/masa.
V. Menghindari daripada perkara-perkara syubhat. Syubhat didefinisikan sebagai
perkara yang tidak jelas halal dan haramnya dikalangan para mujtahid. Terdapat
hadis yang sahih lagi jelas supaya manusia menghindari syubhat kerana
dibimbangi terjatuh kedalam haram. Syubhat boleh berlaku kerana: 1. Dalil
yang tidak jelas tentangnya, atau 2. Pemakaian dalil yang tidak sesuai dengan
maqasid syarak (seperti helah). Bukan semua helah membawa kepada syubhat.
Sesetengah helah dibenarkan apabila ia menepati dengan kehendak syarak.
Contoh penggunaan kaedah bay al-inah sebagai helah kepada riba adalah
dibenarkan oleh sesetengah fukaha. Helah didefinisikan sebagi dalihan atau
alasan untuk mengubah sesuatu hukum asal. Jika dalihan tersebut menepati
dengan konsep syarak maka dalihan tersebut boleh diterima dari segi hukum,
sekalipun terdapat pandangan yang kontrak dengannya. Namun jika dalihan
tersebut tidak mempunyai asas syarak, maka ia dianggap sebagai helah yang
tercela. Inilah helah yang tidak dibenarkan dalam Islam. Contohnya mengaburi
pembeli/ pengguna dengan iklan atau bahan yang tidak betul, menipu dan
sebagainya.
VI. Membenarkan mana-mana pihak luar mengiklan produk tidak syariah di laman
web/ akaun facebook/ forum/ blog mereka. Ini kerana membenarkan
19
pengiklanan seperti produk arak, bermakna syarikat tersebut juga bersubahat
dalam menyebarkan budaya minum arak di kalangan masyarakat. Dalam hal ini
nabi SAW melaknat 10 golongan yang terlibat dengan arak iaitu: peminum,
penghidang, penjual, pembeli, pemerah (pembuat), peminta perah (pengedar),
peminta arak, penuang arak, pembawa dan pemakan harganya.
VII. Menekan pekerja dan tidak menjaga kebajikan mereka. Para pekerja ada hak
untuk berehat pada masanya, balik rumah, kesihatan dan sebagainya.
Memelihara kebajikan para pekerja bawahan juga adalah suatu tuntutan Islam.
Islam menggesa supaya berlaku adil bahkan juga berlaku ihsan dengan manusia.
Al-Quran juga menggalakkan syura dalam membuat sesuatu keputusan penting.
Sikap tidak memelihara kebajikan mereka adalah suatu yang zalim dan ia
bukanlah suatu yang diterima dalam Islam. Justeru pemberian status patuh
syariah juga mestilah mengambilkira perkara sebegini.
VIII. Tidak menjelaskan dengan jelas syarat-syarat atau ciri-ciri barang jualan atau
sebagainya sehingga menyebabkan pihak pembeli atau agen tersilap dan
terkhilaf dalam membuat transaksi dikenali sebagai khata’. Contohnya pembeli
membeli sebentuk cincin dengan anggapannya ia diperbuat daripada emas. Oleh
kerana penjela tidak menerangkan kepadanya bahawa cincin tersebut bukanlah
emas, maka berlaku khata’ keatas pembeli. Sekalipun khata’ ini sekilas pandang
adalah kesilapan dari pihak pembeli, ia boleh dihindari jika penjual mengambil
langkah pro aktif dengan menjelaskan bahan sebenarnya. Justeru Islam
memberikan hak kepada pembeli yang tersilap untuk memfasakhkan akad
beliannya yang dilakukan secara salah tadi, kerana kesilapan tersebut juga turut
disumbangkan oleh penjual. Apa yang pasti perbuatan penjual yang tidak
menjelaskan sifat barang yang dijual telah menyusahkan pembeli di kemudian
hari kerana penjelasan yang tidak diberi sebelum pembelian atau pendaftaran
berlaku. Sekalipun pembeli boleh meneliti dan mengetahui barang tersebut
secara langsung, tetapi kemungkinan mereka tersalah. Justeru penjual
kadangkala perlu juga menerangkan kepada pembeli barang jualannya,
sekalipun pembeli telah maklum mengenainya.
IX. Memburuk-burukkan produk lain, bagi menunjukkan produknya sahaja yang
hebat. Islam membenarkan persiangan yang sihat bukannya persaingan bebas
yang dibawa oleh sistem Kapitalis. Justeru membuat perbandingan secara
umum adalah lebih baik berbanding menyebut nama pesaing yang
20
dibandingkan. Perbandingan hendaklah dibuat secara adil dan jujur iaitu
mengikut adab dan akhlak yang dianjurkan oleh Syarak.
7.0 KEPERLUAN TERHADAP KOPERASI PATUH SYARIAH DIMALAYSIA
DALAM KONTEKS MASAKINI
Diantara beberapa faktor yang utama kenapa masyarakat hari ini amat memerlukan
kepada sebuah koperasi yang menjalankan aktiviti yang selaras dengan hukum syarak,
adalah:
1- Kewajiban untuk menerapkan hukum syarak kedalam aktiviti koperasi. Amar
makruf dan nahi mungkar adalah dua kewajiban utama kepada umat Islam untuk
ditegakkan dalam kehidupannya. Apatah lagi perkembangan yang berlaku dalam
Sistem Kewangan Islam di Malaysia mutakhir ini, mengukuhkan lagi justifikasi
umat Islam untuk perlu terus menyokong perkembangannya dan berusaha
membebaskan diri mereka daripada aktiviti-aktiviti yang diharamkan oleh syarak
seperti riba, gharar, maysir dan sebagainya. Allah SWT telah memberi banyak
peringatan dan ancaman dalam al-Quran kepada mereka yang terlibat dengan
amalan riba dan lain-lain amalan yang bertentangan dengan ajaran Islam. Dalam
konteks yang lain, terdapat hadith daripada Baginda SAW yang bermaksud:
mencari yang halal adalah fardu/wajib.
2- Mengambil peluang kedudukan Malaysia yang telah terkenal sebagai model
Negara Islam dan hub kewangan Islam serantau. Pelbagai kejayaan telah dicapai
oleh Negara Malaysia dalam sektor perbankan, takaful dan pasaran wang Islam.
Bahkan industri kewangan Islam Islam juga turut berkembang dinegara-negara lain
yang bukan Islam sekalipun. Ini menunjukkan hukum syariat amat releven dan
ampuh dalam memenuhi keperluan semua manusia tanpa mengira agama, masa
dan tempat. Justeru dengan perkembangan dan pengiktiran Malaysia sebagai hub
kewangan Islam serantau ini, amatlah wajar diperluaskan pengiktirafan ini kepada
institusi lain bukan bank seperti koperasi untuk sama-sama menonjolkan diri dalam
sektor ini.
3- Mempermudahkan anggota koperasi untuk memperoleh modal usaha secara yang
lebih inovatif dan pelbagai. Jika sebelum ini cara memperoleh modal hanyalah
dengan hutang yang melibatkan riba sahaja, namun dengan memperkenalkan
21
pembiyaan secara Islam banyak kaedah-kaedah lain yang boleh digunakan untuk
membiayai para ahli, sama ada secara pembiayaan ekuiti mahupun secara
pembiayaan hutang. Kedua-dua bentuk kaedah pembiayaan tersebut menggunakan
konsep-konsep kontrak tertentu yang dibenarkan dalam syariat. Sudah pasti ia
menekankan aspek-aspek yang murni yang dibawa dalam ajaran Islam seperti
aspek kerelaan, kejelasan, saling bantu-membantu dan lain-lain. Aspek-aspek
positif sebegini akhirnya boleh memberi kebaikan kepada kedua belah pihak.
4- Menghindarkan anggota koperasi dari putaran ganas sistem konvensional ribawi.
Riba bukan sahaja merosakkan harta dan ekonomi sesebuah Negara, bahkan ia juga
boleh merosakkan cara pemikiran dan juga usaha masyarakat. Riba dianggap
perosak dalam diam, dimana para pengamalnya akan terus leka dengan keuntungan
mudah secara riba. Sehingga akhirnya ia telah menjadi wabak dan mengganggu
sistem ekonomi dunia dengan pelbagai masalah seperti inflasi, peningkatan kos,
penganguran dan sebagainya.
5- IMPLIKASI HUKUM TIDAK PATUH SYARIAH
Hukum mencari yang halal dan patuh syariah adalah wajib dan dianggap jihad. Kerana
teribat dengan aktiviti yang tidak patuh syariah seperti riba adalah haram. Apatah lagi
telah terdapat pelbagai kemudahan yang patuh syariah dan diitawarkan kepada
pengguna pada masakini. Justeru melibatkan diri dengan aktiviti yang tidak patuh
syariah bukanlah lagi pilihan antara keburukan yang paling ringan sepertimana suatu
masa dahulu iaitu diperingkat awal perkembangan koperasi. Sebaliknya para peserta
yang terlibat dengan organisasi yang menjalankan aktiviti tidak patuh syariah perlu
berusaha dan berazam untuk membebaskan diri dari aktiviti yang tidak patuh syariah.
Dalam hal ini, Muzakarah Jawatankuasa Fatwa ke-87, Majlis Kebangsaaan bagi Hal
Ehwal Islam pada 23-25 Jun 2009 menjelaskan:
“...harta-harta yang diperolehi dengan cara yang tidak mematuhi syariah seperti riba,
gharar, perjudian, penipuan, rompakan, rampasan, rasuah dan seumpamanya adalah
haram dan tidak boleh digunakan untuk manfaat dan kepentingan diri sendiri serta perlu
dibersihkan melalui kaedah-kaedah berikut:
22
1. Diserahkan kepada Baitulmal untuk maslahah- maslahah umum umat Islam
seperti membiayai pembinaan atau penyelenggaraan jambatan, jalan,
tandas dan seumpamanya;
2. Diserahkan kepada golongan fakir miskin; atau
3. Jika harta tersebut merupakan harta rompakan, curi dan seumpamanya,
maka harta tersebut perlu diserahkan semula kepada pemiliknya. Jika
pemiliknya telah meninggal dunia atau tidak dapat dijumpai, maka harta
tersebut mestilah dikembalikan kepada ahli warisnya. Sekiranya tidak
dapat diketahui pemilik atau ahli waris pemilik, maka harta tersebut
hendaklah diserahkan kepada Baitulmal”
Menurut al-Qaradawi, sesuatu harta yang tidak patuh syariah tidak boleh dimiliki,
sebaliknya ia menjadi milik umum seperti dibelanjakan kepada perkara-perkara
kebajikan seperti membantu anak-anak yatim, perkembangan dakwah Islam,
pembinaan masjid dan pusat Islam, penyediaan para pendakwah, penerbitan kitab-kitab
agama dan seumpamanya yang bersifat kebajikan.
Bagi orang-orang Islam yang telah terlibat dengan aktiviti pelaburan tidak patuh
syariah dan memperoleh keuntungan daripadanya, mereka perlu melepaskan pelaburan
tersebut serta menyalurkan keuntungan yang terhasil sepanjang tempoh pelaburan yang
tidak patuh syariah kepada badan-badan kebajikan. Walau bagaimanapun, para pelabur
dibenarkan untuk terus memegang pelaburan dalam sekuriti tidak patuh Syariah
sekiranya harga pasaran sekuriti tersebut adalah bawah kos pembelian asal. Dalam
tempoh pegangan itu, pelabur juga dibenarkan untuk menerima dividen sehingga
jumlah keseluruhan dividen yang diterima dan nilai pasaran sekuriti tidak patuh Syariah
tersebut menyamai kos pembelian asalnya. Pada ketika itu, mereka perlu segera
melepaskan pemegangan mereka terhadap elaburan yang tidak patuh syariah tersebut.
8.0 PENUTUP
Secara umumnya koperasi adalah sebuah pertubuhan yang selaras dengan Islam dari
segi konsep dan penubuhannya. Amalan berkoperasi telah lama wujud dalam
masyarakat Arab sebelum Islam, dan disuburkan setelah kedatangan syariat Islam oleh
nabi Muhammad SAW. Justeru secara teorinya tiada masalah untuk sesebuah koperasi
memperoleh status patuh syariah dengan syarat aktiviti-aktiviti yang dijalankan
23
olehnya bertepatan dengan hukum syarak, disamping melaksanakan kewajiban-
kewajipan yang diperintah oleh syarak seperti berzakat dan sebagainya.
Kewujudan koperasi patuh syariah dapat menyokong perkembangan sektor
kewangan dan perbankan Islam masakini. Walaupun saiz dan modal koperasi lebih
kecil berbanding IKI, namun ia mampu memberi sumbangan yang signifikan kepada
perkembangan kewangan Islam kerana bilangannya yang banyak.
Namun apa yang penting koperasi yang berteraskan Islam haruslah berani
mengemukakan produk-produk semasa yang inovatif dan selari dengan hukum syarak.
Dalam hal ini, dua perkara perlu dilakukan oleh koperasi:
Pertama: meneliti semula semua produk yang sedia ada agar ia sesuai dengan
kehendak syarak. Misalnya pinjaman peribadi dan pinjaman pengguna di
koperasi, yang dilakukan dengan berasaskan faedah (riba). Pinjaman tersebut
perlu diganti dengan mekanisme kontrak yang sesuai dengan syarak seperti
kontrak murabahah bagi pinjaman pengguna dan kontrak al-inah bagi pinjaman
peribadi.
Kedua: berinovasi dalam mengemukakan produk-produk baharu yang
diperlukan oleh anggota koperasi. Koperasi patuh syariah pada masa kini perlu
lebih berani menawarkan produk-produm pembiayaan yang diperlukan oleh
ahlinya seperti produk al-rahn, al-sarf, musyarakah, mudarabah dan lain-lain
walau bagaimanapun produk-produk ini mestilah dipastikan selari dan patuh
dengan hukum Syarak.
Amat penting bagi sesebuah koperasi untuk memperoleh status patuh syariah bukan
sekadar untuk mendapatkan keuntungan duniawi, tetapi lebih penting dari itu adalah
untuk mendapat keredaan Allah dalam setiap usaha dan aktiviti yang dijalankan. Seperti
mafhum hadith SAW “mencari yang halal adalah fardu”.