View
350
Download
4
Category
Preview:
Citation preview
TEKS UCAPAN ALUAN
TUAN HAJI NIK AB RASHID BIN NIK MOHAMAD PENGARAH
BAHAGIAN PERANCANGAN, INOVASI & PENYELARASAN BIRO PENGADUAN AWAM
JABATAN PERDANA MENTERI
PROGRAM KAUNTER ADUAN BERGERAK BERSEPADU
(KABB) KUALA PENYU, SABAH
29 APRIL 2014 (SELASA) 8.00 PAGI – 1.00 PETANG
TAPAK TAMU LAMA KUALA PENYU
Terima kasih
Saudara Pengacara Majlis;
Yang Berhormat
Tuan Limus Jury
Ahli Dewan Undangan Negeri Kuala Penyu;
Yang Berusaha
Encik Edmund Teo
Pegawai Daerah Kuala Penyu;
Yang Berusaha
Encik Georgie Abas
Pengarah Biro Pengaduan Awam Negeri Sabah
Jabatan Perdana Menteri;
Ketua-Ketua Jabatan Peringkat Persekutuan dan Negeri;
Dif-dif Jemputan, Pengerusi serta Ahli-Ahli Jawatankuasa
Kampung (JKKK);
Pemimpin Masyarakat Setempat;
Tuan-tuan dan Puan-puan yang dihormati;
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh
Selamat Pagi dan Salam 1Malaysia
Alhamdulillah syukur kita ke hadrat Allah SWT, atas limpah kurnia-
Nya yang mengizinkan kita berhimpun di dalam program Kaunter
Aduan Bergerak Bersepadu (KABB) pada pagi yang berbahagia ini.
1. Terlebih dahulu saya bagi pihak BPA ingin merakamkan ucapan
terima kasih serta mengalu-alukan kehadiran YB Tuan Limus
Jury, Ahli Dewan Undangan Negeri Kuala Penyu kerana
dapat meluangkan masa bersama-sama kita bagi merasmikan
Program KABB pada pagi ini. Semoga kehadiran Yang
Berhormat akan menambah seri program ini.
2. Setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih juga saya
rakamkan kepada Yang Berusaha Encik Edmund Teo,
Pegawai Daerah Kuala Penyu yang banyak membantu selaku
penganjur bersama dalam program ini. Tidak lupa juga, saya
ingin merakamkan penghargaan kepada semua agensi kerajaan
yang terlibat sama ada secara langsung atau tidak langsung
dalam program ini, dan agensi-agensi yang telah turut sama
untuk membuka kaunter sebagai tanda sokongan dalam
menjayakan program ini.
3. Saya juga amat menghargai kehadiran masyarakat di sekitar
Daerah Kuala Penyu di atas kesudian untuk menghadiri serta
berkunjung ke kaunter-kaunter jabatan yang dibuka semasa
program ini. Kesudian tuan-tuan dan puan-puan untuk hadir ke
majlis ini sesungguhnya mencerminkan bahawa masyarakat
masih menaruh kepercayaan dan sokongan kepada pihak
kerajaan dalam memperkasa dan menambah baik perkhidmatan
awam di negeri Sabah amnya dan di Daerah Kuala Penyu
khususnya.
Hadirin yang saya hormati,
4. Selaras dengan Gagasan 1Malaysia, Rakyat Didahulukan
Pencapaian Diutamakan dan Program Transformasi Kerajaan
(GTP), pengurusan aduan wajar diberikan keutamaan dalam
usaha menambahbaik perkhidmatan awam dan sistem
penyampaian secara keseluruhan. Mesyuarat Jemaah Menteri
pada 19 Jun 2013 telah menetapkan bahawa Biro Pengaduan
Awam (BPA) akan berperanan sebagai badan pemantau,
manakala aduan yang diterima hendaklah disalurkan terus
kepada agensi yang berkenaan untuk tindakan penyelesaian.
5. Seiring dengan langkah-langkah penambahbaikan dalam
pengurusan aduan awam, empat (4) objektif utama telah
disasarkan dalam penambahbaikan pengurusan aduan melalui
pemakaian Garis Panduan Penambahbaikan Pengurusan Aduan
di Agensi Sektor Awam Malaysia Bilangan 1 Tahun 2013.
Pertama, meningkatkan keupayaan, kecekapan dan
keberkesanan pengurusan aduan masing-masing supaya
dapat menyelesaikan aduan dengan lebih efektif. Kedua,
mematuhi standard pengurusan aduan yang ditetapkan dan
berdasarkan amalan-amalan terbaik (di peringkat
antarabangsa atau tempatan). Ketiga, menambahbaik
pendekatan dalam memperoleh dan memahami isu-isu yang
dihadapi oleh rakyat dan keempat, menggunakan maklumat
aduan awam untuk menjana inovasi dalam menambahbaik
sistem penyampaian perkhidmatan awam secara
berterusan.
Tuan-tuan dan puan-puan yang saya hormati sekalian,
6. Program KABB Kuala Penyu adalah merupakan program KABB
yang pertama bagi tahun 2014 yang dianjurkan BPA Negeri
Sabah. Sebanyak 33 agensi telah turut serta untuk membuka
kaunter aduan pada hari ini.
7. Untuk makluman, Program KABB ini merupakan salah satu
daripada tiga acara tahunan BPA yang diadakan di daerah-
daerah yang berlainan dan merupakan satu pendekatan proaktif
BPA dalam memberi nilai tambah perkhidmatan kami kepada
rakyat. Dua lagi Program Proaktif yang dilaksanakan pihak BPA
adalah Program Mesra Rakyat yang merupakan sesi dialog di
antara masyarakat dan ketua-ketua jabatan kerajaan dan
Program Kaunter Aduan Bergerak (KAB) di mana BPA akan
membuka kaunter bergerak secara solo terutamanya di kawasan-
kawasan pedalaman.
8. Selain Program Proaktif, BPA turut menyediakan beberapa lagi
saluran kepada orang awam untuk mengemukakan aduan dan
maklum balas iaitu hadir terus ke mana-mana pejabat cawangan
BPA; membuat aduan melalui portal BPA iaitu Sistem
Pengurusan Aduan Awam (SISPAA), surat, emel, telefon,
faks, SMS dan media sosial serta Borang Aduan BPA.
9. Selain itu, BPA juga telah menambahkan lagi saluran aduan
kepada orang ramai bermula tahun lepas menerusi pelancaran
Kiosk BPA pada 23 Ogos 2013 di mana ia telah menjadi saluran
aduan alternatif orang awam. Sebagai projek perintis, kiosk ini
telah ditempatkan di Pusat Transformasi Bandar (UTC) Kuala
Pahang dan Melaka. Akan datang, kiosk ini akan diletakkan di
UTC Kedah.
10. Satu lagi saluran aduan baru telah diwujudkan apabila BPA
mengambil langkah proaktif dengan mewujudkan kerjasama
strategik bersama POS Malaysia iaitu dengan membekalkan
borang aduan ke 300 Pejabat Pos Luar Bandar Pos Mini yang
terpilih di seluruh Malaysia. Justeru itu, orang awam kini boleh
mengemukakan aduan mereka terus kepada BPA dengan
menggunakan borang aduan di Pejabat Pos tanpa perlu bayaran
setem.
Tuan-tuan dan puan-puan yang dihormati sekalian
11. Untuk makluman hadirin sekalian, bagi tahun 2013 BPA telah
menerima 9,879 aduan dan sebanyak 9,550 aduan atau 96.7%
telah berjaya diselesaikan. Bagi Negeri Sabah, BPA Negeri
Sabah telah menerima 653 aduan dan kesemuanya telah
berjaya diselesaikan. Tahniah saya ucapkan! Pencapaian baik
ini tidak mungkin diperoleh tanpa kerjasama erat dan
kesungguhan semua agensi kerajaan untuk memastikan aduan
ditangani dengan baik dan cepat.
Para hadirin yang saya hormati sekalian,
12. Suka saya mengambil kesempatan ini untuk menyarankan
kepada warga Kuala Penyu khasnya agar dapat mengambil
peluang untuk mengenali lebih dekat lagi agensi-agensi yang
turut serta pada program KABB pada kali ini dan menyampaikan
maklumat berinformasi bagi penambahbaikan di daerah Kuala
Penyu ini. Manakala, bagi agensi-agensi dan jabatan-jabatan
yang terlibat, anggaplah bahawa setiap aduan dan cadangan
dari orang awam sebagai satu maklum balas yang berharga bagi
memastikan kualiti penyampaian agensi/jabatan tuan-tuan dan
puan-puan sentiasa relevan mengikut peredaran semasa.
13. Sebelum saya akhiri ucapan ini, saya ingin merakamkan
penghargaan dan terima kasih sekali lagi kepada Yang
Berhormat Tuan Limus Jury, Ahli Dewan Undangan Negeri
Kuala Penyu kerana sudi meluangkan masa untuk merasmikan
Program Kaunter Aduan Bergerak Bersepadu Kuala Penyu pada
hari ini.
14. Ucapan terima kasih juga saya ucapkan kepada Yang
Berusaha Encik Edmund Teo, Pegawai Daerah Kuala Penyu
atas kerjasama erat yang diberikan serta penghargaan tidak
terhingga kepada agensi-agensi yang telah mengambil bahagian
bagi menjayakan program ini. Diharapkan program ini akan
menjadi platform untuk membina kerjasama dan hubungan yang
lebih erat antara BPA dengan semua yang terlibat.
15. Akhir sekali, saya juga ingin mengambil kesempatan ini untuk
mengucapkan “Kotobian Do Odou Magayo Do Kaamatan”
kepada semua warga Kuala Penyu kerana Pesta Kaamatan
akan disambut sepanjang bulan Mei ini. Semoga tuan-tuan dan
puan-puan sentiasa “menuai” kejayaan dalam apa sahaja yang
dilakukan.
Sekian, terima kasih.
Recommended