View
79
Download
3
Category
Preview:
DESCRIPTION
ijarah
Citation preview
ISE 4032
SISTEM KEWANGAN ISLAM
PENSYARAH :
USTAZ AHMAD FAIZOL BIN ISMAIL
NAMA AHLI KUMPULAN :
RASHIDAH BINTI YAKUP 032455
NURUL HIDAYAH BINTI ALIAS 033007
AZREEN NORSYAFIZA BINTI KUSAIDI 032565
SITI FARZALINA BINTI MOHD FAIZAL BONG 032509
ISM PENGAJIAN ISLAM ( SYARIAH )
SEMESTER 4
2014
AL-IJARAH
Pengertian
Menurut istilah Bahasa Arab, kalimah ijarah merujuk kepada bayaran yang diberikan kepada
orang yang melakukan sesuatu kerja sebagai ganjaran kepada apa yang dilakukannya. Ia juga
disebutkan sebagai ajr atau ujrah.
Menurut istilah fuqaha, seperti yang dinyatakan oleh pengarang Mughni al-Muhtaj :
Ijarah ialah kontrak untuk mendapatkan khidmat (manfaat) tertentu yang boleh dibayar dan
dihalalkan dengan barangan tertentu.
Maksud kontrak untuk mendapatkan khidmat (manfaat) ialah memindahkan hak milik
khidmat (manfaat) tersebut. Ini dinyatakan oleh sesetengah takrif sebagai pemindahan hak milik
suatu khidmat (manfaat) dan dibayar dengan suatu barangan.
Dikhususkan oleh Malikiah, lafaz sewa dengan akad yang memberi manfaat kepada
anak Adam yang boleh dipindah milik tanpa melalui kapal dan haiwan dan dimaksudkan kepada
akad atas manfaat tanah, bangunan, kapal dan haiwan dengan lafaz upah. Maka, sewa dan
upah adalah sama dari segi makna.
Rukun dan Syarat Sewa
Kontrak sewa mempunyai empat rukun iaitu dua pihak yang berkontrak, sighah, perkhidmatan
(manfaat) yang diberikan dan bayaran sewa atau upah.
Di sisi Hanafi,rukun akad ijarah hanya sighah sahaja sementara dua pihak yang berakad dan
barang yang di akad termasuk dalam sampingan akad yang tidak termasuk dalam rukun.
Secara terperinci ada enam iaitu pemberi sewa dan penyewa, ijab (penawaran) dan qabul
(penerimaan), dan manfaat dan upah. Secara ringkasnya, ada empat iaitu dua orang yang
berakad, sighah, manfaat dan sewa atau upah.
1. Dua pihak yang berkontrak iaitu pemilikan perkhidmatan (manfaat) dan penyewa.
Kedua-duanya mestilah layak untuk mengikat kontrak iaitu baligh dan berakal. Kontrak
sewa tidak sah jika membabitkan kanak-kanak dan orang gila kerana kedua-dua
golongan ini tidak mempunyai kuasa hak milik pada diri sendiri dan harta mereka.
Kedua-dua pihak mestilah bukan orang yang dihalang daripada menggunakan harta
mereka (mahjur ‘alaih) kerana kontrak ini membabitkan harta.
Dua orang yang berakad di sisi ulama-ulama yang lain kecuali Hanafi ialah pemberi
sewa dan penyewa. Hanafi menganggap pihak-pihak yang berakad itu bukanlah
termasuk dalam rukun-rukunnya. Disyaratkan sah dua orang yang berakad di atas
keredhaannya. Jika akad tersebut dicemari dengan paksaan maka ianya rosak.
Sebagaimana yang disyaratkan Syafie dan Hambaliah sah akad adalah atas mereka
yang mempunyai kuasa untuk berakad dan akad orang yang tidak mempunyai kuasa
adalah rosak. Kuasa berakad juga merupakan syarat untuk laksanakan akad pada
pandangan Hanafiah dan Malikiah. Selain itu, pada pandangan Abu Hanifah pula, akad
tidak berlaku pada orang yang murtad sekiranya dia lelaki kerana tingkah laku orang
murtad disekat, tetapi sebaliknya pula pada pandangan Jumhur Fuqaha. Manakala
ijarah yang membabitkan kanak-kanak yang mumaiyiz adalah sah jika diizinkan dengan
walinya dan ini berbeza dengan pendapat Syafie.
2. Sighah kontrak iaitu penawaran dan persetujuan
Penawaran (ijab) ialah apa jua lafaz yang dilahirkan oleh pemilik perkhidmatan
(manfaat). Lafaz penawaran hendaklah menunjukkan perkhidmatan tersebut adalah
miliknya untuk ditukarkan dengan sesuatu gantian dan dapat difahami dengan jelas
sama ada secara langsung atau tidak langsung.
Persetujuan (qabul) ialah lafaz yang lahir daripada penyewa yang menunjukkan
persetujuan untuk memiliki khidmat (manfaat) dan ia difahami secara jelas. Selain
menggunakan ucapan, kaedah hulur-menghulur juga diterima pakai jika kaedah ini
menjadi amalan setempat yang diguna pakai (uruf).
a) Persetujuan dan penawaran mestilah selari.
b) Tidak wujud jurang masa yang lama antara penawaran dan persetujuan.
c) Tidak bersyarat.
Pada pandangan Hanafi, ijab ialah ucapan yang lahir terdahulu daripada salah seorang
daripada dua orang yang berakad dan qabul ucapan yang lahir kemudian daripada yang
lain. Pada pandangan Jumhur Fuqaha’ berakad sewaan dengan lafaz yang
menunjukkan kepadanya seperti sewa atau upah. Meluaskan Hanbaliah akad sewa
dengan lafaz “ aku bagi sewa’’ dengan makna upah sama ada disandarkan kepada
sesuatu barang atau disandarkan kepada manfaat barang dan berakad juga dengan
lafaz beli yang disandarkan kepada manfaat. Tetapi pada pandangan Syafie dan
Hanafiah tidak berakad sewa dengan lafaz beli kerana lafaz beli memindahkan
pemilikan barang dan lafaz beli dan sewa berbeza dari segi nama dan hukum.
3. Perkhidmatan (manfaat).
a) Perkhidmatan mestilah mempunyai nilai
Perkhidmatan tesebut diterima dan diperlukan menurut syara’ dan uruf supaya ia
boleh dengan bayaran yang setimpal. Jika khidmat tersebut tidak bernilai
menurut syara’, bayaran tersebut dianggap sia-sia dan membazir.
b) Pemilik perkhidmatan mestilah mampu menyerahkan perkhidmatannya supaya
penyewa boleh menggunakannya.
Jika pemilik tidak mampu menyerahkan khidmat tersebut secara fizikal atau
syara’, penyewaan adaalah tidak sah.
c) Khidmat yang diperoleh oleh pengupah bukan daripada orang yang diupah.
Tidak sah mengupah seseorang melakukan ibadat yang memerlukan kepada
niat dan tidak boleh diwakilkan kepada orang lain. Dalam keadaan ini, khidmat
(manfaat) menjadi hak orang yang diupah dan bukannya hak orang yang
mengupah. Ini tidak dapat dilakukan oleh orang lain kecuali pelakunya sendiri.
Namun, mengupah seseorag untuk melakukan ibadat yang boleh diwakilkan
adalah sah walaupun ibadat tersebut memerlukan niat.
d) Khidmat (manfaat) disewa bukan bertujuan mendapatkan barangan.
Kontrak sewa tidak boleh dilakukan dengan tujuan mendapatkan barangan.
Perbuatan seperti ini menunjukkan kepada penggunaan barangan secara
langsung, bukan penggunaan khidmat barangan tersebut. Konteks sewa ialah
penggunaan khidmat, bukan penggunaan barangan. Jika kontrak sewa
membabitkan penggunaan barangan secara sampingan dan bukan menjadi
tujuan kontrak, ia dibenarkan.
e) Khidmat mestilah dimaklumi kedua-dua pihak dari segi barangan, sifat dan
kadarnya.
Dengan ini, syarat sah sesuatu kontrak sewa ialah :
i. Maklumat mengenai barangan perkhidmatan. Maklumat ini membabitkan
pengetahuan mengenai kedudukan barangan tersebut. Ini kerana
perkhidmatan adalah perkara pokok dalam kontrak sewa. Oleh itu, ia
perlu dinyatakan secara jelas bagi mengesahkan kontrak tersebut.
ii. Maklumat mengenai jenis dan sifat perkhidmatan (manfaat). Perkara ini
perlu bagi barangan yang mempunyai kegunaan berbeza mengikut
pengguna dan penggunaannya tidak boleh bertolak ansur.
iii. Maklumat mengenai kadar perkhidmatan. Kadar perkhidmatan berbeza
mengikut jenis perkhidmatan. Ada yang dinilai berdasarkan masa
penggunaan, da nada yang dinilai berdasarkan kerja yang dilakukan. Ada
juga yang dinilai berdasarkan kedua-dua perkara itu.
4. Bayaran sewa atau upah.
Bayaran sewa atau upah perlu mengikut syarat yang sama sebagaimana syarat
pembayaran dalam kontrak jual beli. Ini kerana bayaran ini sebenarnya ialah bayaran
kepada perkhidmatan yang ingin dimiliki melalui kontrak sewa. Syarat yang ditetapkan
ialah :
a) Bayaran sewa mestilah bayaran yang suci.
b) Bayaran sewa boleh dimanfaatkan
c) Mampu diserah
d) Pihak yang berkontrak mempunyai kuasa (wilayah) untuk menyerahkannya.
e) Bayaran sewa atau upah diketahui oleh kedua-dua pihak.
Jenis dan Syarat Penyewaan
Terdapat dua jenis kontrak sewa : sewa barangan dan sewa jaminan.
i. Sewa barangan ialah sewa yang membabitkan perkhidmatan yang diperolehi daripada
barangan tertentu. Ataupun seseorang menyewa (mengupah) orang tertentu untuk
sesuatu kerja atau untuk menjahitkan baju tertentu.
ii. Sewa jaminan ialah sewa yang membabitkan perkhidmatan yang diperolehi melalui
jaminan pemilik.
Syarat Sewa Barangan
i. Barangan yang disewa hedaklah ditetapkan.
ii. Barangan yang disewa mestilah wujud dan dipamerkan di hadapan kedua-dua pihak
ketika memeterai kontrak sewa.
iii. Penggunaan khidmat (manfaat) barangan tersebut tidak ditangguh selepas kontrak
dimeterai.
Syarat Sewa Jaminan
i. Bayaran sewa adalah serta-merta dan diserahkan dalam majlis kontrak.
Ini kerana sewa ini ialah jual salam perkhidmatan. Dengan itu penyerahan modal salam
(sewa) mestilah dilakukan ketika majlis kontrak. Mensyaratkan penangguhan
penyerahab bayaran dikira sam seperti tidak menyerahkannya. Jika kedua-dua pihak
bersetuju menangguhkan bayaran sewa, kontrak tersebut tidak sah walauppun ia
diserahkan dalam satu majlis. Hukum yang sam jika kedua-dua pihak tidak bersetuju
menangguhkan bayaran tetapi penyerahan tidak dilakukan dalam majlis kontrak.
ii. Spesifikasi barangan yang ditawarkan perkhidmatan itu hendaklah dinyatakan dengan
jelas.
Hukum Kontrak Sewa
Apabila kontrak sewa memenuhi syarat dan rukun yang ditetapkan, kontrak tersebut sah dan
segala hukum yang berkaitan (implikasi syariat) akan terpakai sebaik sahaja kontrak dimeterai.
i. Hak millik penyewa terhadap khidmat yang disewa disahkan dan penyewa berhak
menggunakannya.
ii. Hak pemilik sewaan terhadap bayaran sewa iaitu bayaran bagi perkhidmatan yang
diserahkan kepada penyewa pada masa kontrak disahkan.
Hak menggunakan Perkhidmatan
Syarat-syarat bagi membolehkan khidmat barangan tersebut digunakan oleh orang lain sebagai
penyewa ialah :
i. Orang yang diberikan kebenaran menggunakan barangan yang disewakan itu
mestilah seorang yang amanah.
ii. Pengguna tersebut mestilah menggunakan barangan tersebut dengan cara yang
sama seperti penyewa atau dengan cara yang kurang memberikan kesan yang buruk
kepada barangan berbanding penyewa.
Penamatan Kontrak Sewa
Kontrak sewa dan segala hukum yang berkenaan dengannya dianggap tamat oleh faktor-faktor
berikut:
1. Pembatalan kontrak
Kontrak sewa adalah kontrak yang perlu dipatuhi oleh kedua-dua pihak. Maksudnya,
selepas kontrak tersebut disahkan, pemilik dan peyewa, atau pengupah dan orang
upahan tidak boleh membatalkan kontrak tersebut begitu sahaja pada bila-bila masa
yang mereka kehendaki. Kontrak ini hanya boleh dibatalkan kerana sesuatu sebab.
Apabila ia dibatalkan, kontrak tersebut dianggap tamat. Di antara sebab yang boleh
menyebabkan sesuatu kontrak dibatalkan ialah:
a) Barangan yang disewa rosak
Selain kerosakan, termasuk dalam erti kata ini ialah jika barangan tersebut cacat
dan tidak boleh digunakan untuk tujuan yang dikehendaki. Jika kerosakan
tersebut berlaku selepas sebahagian khidmatnya digunakan, kontrak tersebut
terbatal bermula daripada kerosakan tersebut berlaku dan seterusnya. Pemilik
berhak memperolehi bayaran sewa bagi khidmat yang telah digunakan iaitu
sebahagian daripada jumlah bayaran sewa yang telah dipersetujui bersama.
b) Barangan sewaan tidak diserahkan pada masa yang ditetapkan
Bagi kontrak sewa yang membabitkan barangan sewaan dan khidmatnya
ditetapkan hanya untuk tempoh tertentu, apabila tempoh ini tamat dan pemilik
masih tidak menyerahkan barangan sewaan yang ditetapkan, kontrak tersebut
terbatal. Ini kerana barangan tidak dapat diserahkan pada masa yang ditetapkan.
Jika pemilik menyerahkan atau membawa barangan yang disewa setelah tamat
sebahagian daripad tempoh sewa, kontrak bagi tempoh sebelum penyerahan
dianggap terbatal. Sementara tempoh selebihnya terserah kepada penyewa
untuk membuat pilihan. Jika khidmat yang ditawarkan ditetapkan berdasarkan
kerja dan barangan yag perlu digunakan lewat diserahkan bagi membolehkan
kerja tersebut diselesaikan, kontrak terseebut tidak terbatal kerana melibatkan
khidmat bukan masa.
2. Berakhirnya sewaan.
a) Tamat tempoh
Jika sewaan itu ditetapkan tempoh dan berakhirnya tempoh maka sewaan itu
akan berakhir.
b) Pengurangan
Sewaan akan terputus apabila manfaat barang berkurang.
c) Terputus sewaan disebabkan keuzuran.
Hanafi menjelaskan bahawa terputusnya sewaan disebabkan keuzuran salah
seorang pihak yang berakad kerana keuzuran menghalang untuk memegang
barangan yang disewa. Manakala Jumhur Fuqaha tidak terfasakh sewaan
dengan sebab keuzuran dan begitu juga pandangan Syafie.
d) Kematian
Berakhir juga kontrak sewa dengan kematian salah seorang pihak yang berakad
pada pandangan Hanafi. Tetapi pandangan Jumhur sewaan tidak akan terputus
dengan kematian salah seorang daripada mereka. Sahabat dan tabien juga
berpandangan bahawa sewaan tidak terfasakh dengan kematian.
e) Menjual barang yang disewa
Ini merupakan pandangan Hanafiah, Hambaliah dan Syafie. Manakala Malikiah
tidak terfasakh sewaan dengan jual barangan tersebut.
f) Aib
Tidak bercanggah diantara fuqaha mazhab jika terdapatnya aib pada barang
pada tempoh akad dan aib tersebut mengurangkan manfaat barangan maka
terfasakhlah sewaan.
Khiyar dalam Kontrak Sewa
1. Khiyar majlis dan khiyar syarat
Dalam kontrak sewa tidak wujud khiyar majlis atau khiyar syarat kerana kontrak sewa
termasuk di antara kontrak yang berisiko. Ini membabitkan perkhidmatan yang tidak
wujud semasa kontrak.
2. Khiyar cacat (aib)
Khiyar cacat wujud dalam kontrak sewa barangan. Kecacatan memberi kesan yang
ketara kepada nilai khidmat yang ditawarkan. Penyewa boleh membuat pilihan sama
ada meneruskan sewaan atau membatalkannya.
JU’ALAH
Takrif
Ji’alah merujuk kepada sesuatu yang diberikan oleh seseorang kerana sesuatu yang
dilakukan. Ia juga disebut sebagai Ju’lun atau Ha’iilah. Dalam sebutan Bahasa Arab, Ji’alah
boleh dibaca dengan baris atas ( Ja’alah ) baris bawah ( Ji’alah ) dan baris hadapan ( Ju’alah ).
Menurut syarak, Ji’alah atau lebih dikenali sebagai sagu hati adalah mewajibkan gantian
yang diketahui untuk kerja tertentu sma ada diketahui atau tidak diketahui oleh orang yang
dikenali atau tidak dikenali. Ulama’ Mazhab maliki mendefinisikan ianya sebagai upah bagi
sesuatu manfaat yang dijangka berhasil. Umpama kata seseorang, “sesiapa yang
memulangkan binatang tinggangan saya yang lari, ataupun barang saya yang hilang ataupun
membangunkan tembok ini bagi saya, ataupun menggali telaga ini bagi saya sehingga saya
mendapat air, ataupun menjahit baju atau pakaian bagi saya maka ia akan mendapat sekian
dan sekian.”
HIKMAH PENSYARIATAN
Hikmah amalan ini dibenarkan oleh syarak’ ialah amalan seumpama ini diperlukan oleh
manusia. Adakalanya manusia kehilangan sesuatu dan tiada siapa yang secara sukarela mahu
mencari dan memulangkan kepadanya. Mungkin seseorang itu tidak berupaya untuk bekerja
sedangkan kerja tersebut tidak boleh diupah kerana wujud unsur ketidakpastian. Melalui cara
ini, dia boleh mendapatkan seseorang untuk melakukannya dengan dibayar saguhati. Oleh itu
kes ini dibenarkan bagi memenuhi keperluan ini.
RUKUN
Terdapat empat rukun bagi sagu hati iaitu pihak yang berkontrak, sighah, kerja dan bayaran.
1. Dua Pihak yang berkontrak
Terdapat dua pihak yang berkontrak iaitu:
i. Pemberi saguhati
o Pemilik kerja yang akan memberikan sagu hati dan disyaratkan
mestilah seorang mukallaf iaitu baligh, berakal dan waras.
ii. Pekerja
o Orang yang melakukan kerja dan berhak mendapat sagu hati dan
tidak disyaratkan mesti orang yang telah ditentukan. Contohnya,
“Sesiapa yang kembalikan kereta akau, dia akan beroleh sagu
hati ini.” Ini kerana pemberi sagu hati ini mungkin mempunyai
kerja yang perlu diselesaikan tetapi tidak mengetahui siapa yang
boleh melakukannya. Dengan cara ini dia boleh memberikan sagu
hati dengan jumlah tertentu untuk orang yang bersedia melakukan
kerja tersebut, walaupun dia tidak mengenali orang tersebut.
2. Sighah Kontrak
Sighah kontrak adalah lafaz yang digunakan bagi merujuk kepada kebenaran untuk
melakukn sesuatu kerja dengan bayaran yang wajib.2 Contohnya, pemberi sagu hati
berkata: ‘ Sesiapa yang memulangkan kereta aku kepada dia, aku akan beroleh sagu
hati ini.’ Ataupun dia berkata kepada seorang doktor, ‘Jika doktor merawat aku hingga
sembuh, doktor akan beroleh sagu hati ini,’ dan begitulah seterusnya.
Kontrak ini tidak memerlukan persetujuan orang yang melakukan kerja tersebut,
walaupun orang tersebut telah ditentukan. Ini kerana kerja ini boleh dilakukan oleh orang
yang tidak dikenali. Apa yang penting adalah kerja tersebut.
3. Kerja
Iaitu tugas yang ditetakan oleh pemilik bagi membolehkan seseorang memperoleh sagu
hati. Contohnya memulangkan barangan yang hilang atau mengajar kanak-kanak atau
merawat penyakit ataupun sebagainya.
Dalam kontrak ini, kerja yang dilakukan tidak disyaratkan diketahui secara
terpeinci seperti yang dikehendaki dalam kes khidmat (manfaat) bagi kontrak sewa.
Seperti yang kita fahami, dalam kontrak sewa, khidmat perlu diperincikan mengikut
ketetapan masa atau kerja. Ini bermakna kontrak sagu hati dibenarkan walaupun tabiat
kerja tidak diketahui. Mungkin usaha untuk mencari barang yang hilang atau mengajar
kanak-kanak itu memakan masa yang lama dan mungkin singkat. Mungkin juga ia
membabitkan ramai orang dan mungkin tidak. Semua keadaan ini menyebabkan kerja
ini tidak dapat dipastikan, walau bagaimanapun ini masih dibenarkan kerana kerja ini
diperlukan.
4. Bayaran
Bayaran merupaka upah yang wajib dibayar oleh pemilik kerja kepada pekerjanya.
Bayaran ini mestilah berupa kadar yang dimaklumi kerana ia dikategorikan sebagai
kontrak pertukaran. Pembayaran yang tidak ditetapkan kadarnya tidak dibenarkan
dalam kontrak ini.
Jika kadar sagu hati tidak ditetapkan, kontak tersebut tidak sah. Dalam kes ini,
jika kerja telah dilakukan oleh seseorang tidak ditetapkan makan kontrak tersebut tidak
sah. Dalam kes ini, jika kerja telah dilakukan oleh seseorang, dia berhak mendapat sagu
hati yang sepadan. Hal ini kerana setiap kontrak yang diwajibkan kadar yang tetap dan
tertentu untuk menjadikannya sah., ia wajib dibayar mengikut kadar sepadan ketika
kontrak tersebut tidak sah.
HUKUM BERKAITAN Terdapat beberapa hukum membabitkan kontrak saguhati:
1. Kontrak ini bersifat harus dan bukan wajib. Malah ianya boleh dibatalkan oleh
pemberi sagu hati pada bila-bila masa. Begitu juga pekerja boleh membatalkan
kerjanya pada bila-bila masa. Sama ada dipersetujui oleh pihak satu lagi ataupun
tidak. Sama ada diketahui atau tidak. Ini kerana kontrak ini adalah kontrak bagi
melakukan suatu kerja yang tidak diketahui bagi mendapatkan bayaran tertentu.
Dengan ini mana-mana pihak berhak membatalkannya.
Jika kontrak ini dibatalkan oleh pekerja, dia tidak berhak mendapatkan apa-
apa walaupundia telah melakukan sebahagian kerja tersebut. Ini kerana dia hanya
layak menerima upah apabila kerja tersebut selesai. Dalam hal ini, pekerja yang
membatalkannya dengan itu haknya digugurkan.
Jika kontrak ini dibatalkan oleh pemberi sagu hati, jika dibatalkan sebelum
kerja dimulakan, pemberi tidak perlu membuat sebarang bayaran kerana ia
dibatalkan sebelum khidmat pekerja digunakan. Dengan itu, dia tidak perlu membuat
sebarang bayaran. Jika dibatalkan selepas kerja dimulakan, pemberi perlu
membayar mengikut upah sepadan bergantung kepada pihak yang telah dilakukan.
Ini kerana sebahagian khidmat pekerja telah digunakan dengan syarat bayaran. Ini
bermakna pemberi wajib membayar upahnya.
2. Pekerja hanya layak mendapat sagu hati dengan izin pemberi sagu hati. Contohnya,
pemberi berkata,” sesiapa yang menemui barang aku yang hilang, dia akan
mendapat sagu hati ini. “Jika sesuatu kerja dilakukan tanpa izin pemberi sagu hati
dia tidak berhak mendapat apa-apa bayaran. Kes ini sama seperti kes orang yang
menemui barangan milik orang lain yang hilang kemudian dia memulangkan kepada
pemilik asalnya.
Jika pemberi sagu hati memberikan keizinan untuk bekerja tetapi tidak
ditetapkan sebarang sagu hati, menurut pendapat mazhab, pekerja itu tidak berhak
untuk mendapat sebarang bayaran. Menurut pendapat lain, pemberi wajib membayar
upah sepadan dengan kerja tersebut jika pekerja tersebut dikenali ramai sebagai
seorang yang biasa melakukan sesuatu dengan mendapat upah.
Apabila pemberi memberi keizinan kepada seseorang untuk melakukan kerja
tersebut, kemudian ia dilakukan oleh orang lain, orang kedua ini tidak berhak mendapat
sebarang bayaran, walaupun dia dikenali melakukan sesuatu kerja dengan mendapat
upah. Ini kerana dalam keadaan ini pemberi tidak perlu membuat sebarang bayaran.
Dengan itu, kerja yang dilakukan bersifat sukarela.
3. Pekerja hanya berhak mendapat sagu hati setelah kerja yang dilakukan selesai.
Contohnya penyakit telah berjaya disembuhkan jika sagu hati tersebut untuk
menyembuhkan penyakit. Jika barangan yang hilang telah diserahkan kepada
pemilik sebenar.
Jika kerja tersebut dilakukan oleh lebih daripada seorang, mereka akan
berkongsi sagu hati secara saksama walaupun kerja yang dilakukan berbeza-beza.
Ini kerana kadar kerja yang dilakukan tidak dapat dikenal pasti bagi membolehkan
sagu hati dibayar mengikut kadar kerja yang dilakukan.
4. Kadar saguhati boleh ditambah atau dikurangkan sebelum kerja diselesaikan.
Contohnya pemberi sagu hati berkata pada seseorang, ‘Jika anda lakukan kerja ini,
anda akan beroleh 10 Lira”. Kemudian dia berkata lagi, “Jika anda lakukannya, anda
akan beroleh 20 Lira.” Ataupun 5 Lira. Pemberi wajib membayar kadar terakhir yang
ditetapkan dengan syarat pemberi mengucapkannya sebelum kerja tersebut
dimulakan dan pekerja yang ditentukan mengetahuinya ataupun pemberi
mengiklankan jumlah tersebut jika dalam keadaan pekerja tidak ditentukan.
Jika pemberi mengucapkannya selepas kerja bermula, dia wajib membayar
upah sepadan kepada para pekerja kerana syarat kedua ini membatalkan syarat
yang pertama. Pembatalan dalam tempoh kerja ini memerlukan kes ini dirujuk
kepada upah sepadan.
Begitu juga jika perubahan ini berlaku sebelum kerja dimulakan dan pekerja
yang ditentukan tidak mengetahuinya atau pemberi tidak mengiklankannya. Menurut
pendapat yang lebih kuat, pekerja ini berhak mendapat upah sepadan.
5. Jika wujud pengakuan berbeza antara pekerja dan pemberi sagu hati: jika mereka
berbeza mengenai syarat sagu hati; contohnya, pekerja berkata: “pemberi telah
menetapkan sagu hati bagi kerja tersebut”. Sementara pemberi berkata: “Aku tidak
menetapkannya.” Pengakuan pemberi berserta sumpahnya akan diterima pakai
kerana pada asalnya tiada sebarang syarat yang ditetapkan. Ini kerana, pekerja
mendakwa pemberi perlu bertanggungjawab dan membayar sagu hati. Sedangkan
mengikut hukum asal ia tidak wujud.
Oleh itu, pengakuan yang diterima ialah pengakuan orang yang berpegang
dengan hukum asal yang disertakan dengan sumpahnya.
Begitu juga jika mereka berbeza pengakuan tentang kerja yang perlu dilakukan.
Contohnya pemberi mendakwa: “aku tetapkan sagu hati untuk mengembalikan
kereta aku yang hilang.” Pekerja pula mendakwa: “anda menetapkan sagu hati untuk
mengembalikan barang perhiasan anda yang hilang.” Ataupun mereka berbeza
pengakuan tentang siapakah yang melakukan kerja itu: Seorang yang bernama Zaid
berkata: “aku yang dilantik untuk melakukan kerja ini”. Sementara pemberi pula
mendakwa: “Tidak, aku melantik orang lain. “
Dalam kedua-dua kes di atas, dakwaan pemberi yang disertakan dengan
sumpah akan diterima kerana pekerja tersebut mendakwa pemberi meletakkan
syarat sagu hati untuk suatu kontrak yang pada asalnya syarat tersebut tudak wujud.
Kes ini sama seolah pekerja tersebut mendakwa seseorang bertanggungjawab
dengan kerja yang dilakukannya. Sedangkan pada dasarnya, tiada siapa yang
bertanggungjawab.
Jika mereka berbeza pengakuan mengenai kadar atau sifat atau jenis sagu hati:
contohnya pekerja mendakwa: “Anda menetapkan upah sebanyak 1000 Lira”.
Sementara pemberi mendakwa. : Aku hanya akan menetapkan 500 Lira sahaja”.
Ataupun pekerja mendakwa. : “ anda menetapkan 20 Dinar”. Pemberi mendakwa :
“Tidak, bahkan 10 dirham sahaja.” Atau sebagainya. Mereka berdua perlu
bersumpahbahawa apa yang dikatakan itu benar dan apa yang dikatakan oleh
lawannya salah. Apabila mereka bersumpah, dakwaan mereka akan digugurkan dan
pekerja akan mendapat upah yang disediakan.
Hukum yang sama jika mereka berbeza pengakuan mengenai kerja. Pekerja
mendakwa: “ kamu tetapkan saya hanya perlu lakukan kerja ini sahaja. Sementara
pemberi sagu hati pula berkata: “Tidak, saya tetapkan kamu perlu lakukan kerja ini
dan ini”.
PERBEZAAN ANTARA KONTRAK SEWA (IJARAH) DAN KONTRAK (JUALAH) SAGU HATI
Terdapat beberapa perbezaan antara sewa dan sagu hati:
1. Kontrak sagu hati boleh melibatkan kerja yang tidak spesifik sementara sewa tidak sah
melainkan bagi kerja yang spesifik.
2. Kontrak sagu hati walaupun melibatkan pekerja yang tidak ditentukan tetapi kontrak
sewa (ijarah) tidak sah jika melibatkan pekerja yang tidak ditentukan.
3. Dalam kontrak sewa, persetujuan pekerja yang akan melakukan kerja tersebut adalah
perlu. Dalam kontrak sagu hati, persetujuan pekerja tidak diperlukan.
4. Dalam kontrak sagu hati, pekerja tidak berhak mendapat sagu hati melainkan kerja telah
selesai. Jika ditetapkan upah, mestilah dibayar terlebih dahulu, kontrak tersebut terbatal.
Dalam kontrak sewa, pemilik berhak meminta bayaran pendahuluan.
5. Kontrak sagu hati adalah kontrak yang harus dipatuhi, sementara kontrak sewa adalah
kontrak yang wajib dipatuhi. Ianya tiada yang berhak membatalkan melainkan dengan
persetujuan pihak satu lagi.
Recommended