View
1.406
Download
3
Category
Preview:
Citation preview
BANDING BEZA PSV KURIKULUM STANDARD SEKOLAH RENDAH (KSSR)
DENGAN KURIKULUM BARU SEKOLAH RENDAH (KBSR)
Konsep Kurikulum
Menurut Tanner, 1980 (Choong Lean Keow, 2009) kurikulum merangkumi segala
pengalaman terancang yang seelok- eloknya di timba oleh murid dan juga merupakan
hasil pembelajaran yang dihasratkan oleh guru dan murid agar matlamat pendidikan
tercapai. Menurut Kerr, 1983 (Choong Lean Keow, 2009), kurikulum dilihat sebagai
semua pembelajaran yang dirancang oleh institusi pendidikan dan dilaksanakan sama
ada secara kelompok atau individu di dalam atau di luar bilik darjah. Berdasarkan dua
pengertian tersebut, dapat dikatakan bahawa kurikulum merangkumi semua aspek
dalam pembelajaran yang dirancang untuk mencapai matlamat pendidikan. Sistem
pendidikan peringkat di Malaysia pada masa kini adalah berdasarkan Kurikulum Baru
Sekolah Rendah (KBSR) yang telah ditukar menjadi Kurikulum Bersepadu Sekolah
Rendah pada tahun 1988. Sebelum KBSR wujud, sistem pendidikan di negara ini
menggunakan Kurikulum Lama Sekolah Rendah. Gagasan ke 3 Ucapan Dasar Y.A.B.
Perdana Menteri dalam Perhimpunan Agung UMNO 2006 menuntut supaya pendidikan
Negara memberi penekanan kepada Pembangunan modal insan, Penghasilan pelajar
celik minda, Pembentukan warganegara yang menguasai ilmu, kemahiran dan
maklumat serta Program yang membangunkan akal manusia dalam melahirkan insan
Ulul al-bab.
Teras ke 2 Pelan Induk Pembangunan Pendidikan mempunyai dasar
membangunkan modal insan yang mempunyai pengetahuan dan kemahiran serta
menghayati nilai-nilai murni. Selain itu, ia bermatlamatkan untuk memastikan anak
bangsa Malaysia dipupuk semangat menguasai ilmu pengetahuan, kemahiran dan
kompetensi, menerap nilai nilai murni dalam diri kalangan pelajar.
Oleh itu, kurikulum kebangsaan perlu dikaji semula bagi memastikan kurikulum
yang holistik dan sentiasa releven bagi melahirkan modal insan yang seimbang yang
dapat menangani cabaran semasa dan masa depan.
Sejarah Kurikulum Sekolah Rendah
1983 - Kurikulum Baru Sekolah Rendah (KBSR)
1993 - Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah (KBSR)
2003 - KBSR (semakan)
2011 - Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR)
Kurikulum Baru Sekolah Rendah
Pada tahun 1982, KBSR telah dilaksanakan secara percubaan di 305 buah sekolah seluruh
Malaysia. Pada tahun 1988, KBSR telah disemak semula bagi mengenal pasti kelemahan
dan kekuatannya, lanjutan itu, KBSR yang dikenali pada asasnya Kurikulum Baru Sekolah
Rendah telah ditukar menjadi Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah. Secara umumnya
KBSR merangkumi tiga bidang iaitu komunikasi, manusia dan alam keliling dan
perkembangan individu. Pendidikan Seni Visual teramasuk di dalam bidang perkembangan
diri individu di dalam komponen kesenian dan kesihatan.
Matlamat
Matlamat mata pelajaran Pendidikan Seni Visual sekolah rendah adalah untuk melahirkan
insan yang harmonis, kritis, kreatif dan produktif menerusi pemupukan asas seni visual.
Kandungan kurikulum berupaya membantu murid meningkatkan rasa kesyukuran terhadap
Tuhan, menghargai keindahan alam persekitaran, keindahan seni dan warisan bangsa serta
dapat menyumbang kea rah pembangunan diri, keluarga dan masyarakat dan negara
selaras dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Pemupukan asas seni visual boleh
dirujuk kepada penerapan asas- asas dalam pendidikan seni visual seperti asas dalam seni
reka, prinsip- prinsip rekaan dan lakaran asas dalam pendidikan seni.
Objektif
Kurikulum PSV digubal bagi memastikan murid- murid mencapai 10 objektif yang telah
dibentuk dalam KBSR Pendidikan Seni Visual. Rajah 1 menunjukkan objektif PSV KBSR.
Isi Kandungan
Kurikulum PSV KBSR melibatkan murid dalam pelbagai kegiatan seni yang mencakupi tiga
aspek iaitu pemerhatian yang aktif dan terperinci, interaksi yang inovatif dan kreatif dengan
alat dan bahan serta penghayatan karya seni dan alam sekitar. Untuk mencapai tujuan
tersebut kurikulum PSV sekolah rendah disusun dalam empat bidang kegiatan utama.
Jadual 1 menujukkan bidang- bidang yang terkandung di dalam PSV KBSR dan kegiatan –
kegiatan di dalam bidang- bidang tersebut.
1)Menggambar
Menegaskan perkembangan persepsi dan kemahiran serta kemampuan murid terhadap
aspek melukis serta kegiatan membuat gambar dengan pelbagai media dan teknik yang
menekankan aspek ruang, struktur dan imbangan. Selain itu, ia merangkumi penerokaan
kesan seni serta mengenali pelbagai alat, bahan dan kegunaan. Kegiatan ini juga dapat
memperkembangkan persepsi visual murid dan kesedaran terhadap asas seni reka.
- Contoh aktiviti yang mengaplikasikan bidang ini ialah :
1)Lukisan
2)Catan
3)Kolaj
4)Montaj
5)Cetakan
6)Resis
7)Gosokan
8)Stensilan
9)Percikan
10) Gurisan
11) Capan
12) Mozek
13) Poster
2) Membuat Corak dan Rekaan
Membuat corak dan rekaan memberi peluang kepada murid memahami pelbagai cara
untuk menghasilkan corak dan mengaplikasikannya menjadi suatu rekaan lain. Selain itu, ia
membolehkan murid mengenali dan mengkaji pelbagai corak dalam alam dan kehidupan
seharian. Ia juga menegaskan kegiatan mengenal motif dan olahannya untuk menghasilkan
corak tertentu. Antaranya ialah :
1)corak tidak terancang
i.Pualaman
ii.Tiupan
iii.Titisan
iv.Ikatan dan celupan
v.Renjisan dan percikan
2)Corak terancang
i.Lukisan
ii.Catan
iii.Cetakan
iv.Capan
v.Lipatan dan guntingan
vi.Resis
vii.Kolaj
viii.Kaligrafi
3)Membentuk dan Membuat Binaan
Bidang ini menegaskan perkembangan persepsi murid terhadap aspek seni dari segi
bentuk, ruang, struktur, imbangan dan kestabilan. Ia mendedahkan murid dengan
penggunaan pelbagai bahan, alat dan teknik penghasilan. Selain itu, bidang ini memberi
peluang kepada murid berinteraksi secara kreatif dengan alat dan bahan semasa
menjalankan proses penghasilan seni. Terdapat beberapa aktiviti yang mengaplikasikan
bidang ini iaitu :
1)Arca timbul
2)Asemblaj
3)Mobail
4)Stabail
5)Model
6)Diorama
7)Boneka
8)Topeng
9)Origami
4)Mengenal Kraf Tradisional
Memberi kesedaran tentang adanya beberapa jenis kraf tradisional dalam budaya tanah
air kepada pelajar yang mana pelajar dapat mengenali fungsi, proses dan teknik membuat
alat dan bahan, motif, corak dan hiasan. Antaranya ialah :
1)Alat domestik
2)Alat permainan
3)Alat pertahanan diri
4)Perhiasan diri (ornamen)
5)Batik
6)Tekat
7)Ukiran
8)Tenunan
9)Anyaman
10)Tembikar
Pendekatan
Pendekatan PSV sekolah rendah merangkumi empat aspek utama iaitu pemerhatian
secara aktif, interaksi yang kritis dan keratif dengan alat dan bahan, apresiasi seni visual
secara mudah, menghargai nilai baik dalam semua aspek kehidupan.
1)Pemerhatian secara aktif.
Pendekatan ini merangkumi kesedaran pemerhatian keseluruhan, berfokus dan
terperinci. Ia juga memperkembangkan pemahaman terhadap asas seni visual yang mana
murid dilatih membuat pemerhatian terhadap objek alam dan objek buatan manusia.
Pendekatan ini juga membantu murid terus menyelaras idea, imaginasi dan alam fantasi
murid kea rah perkembangan persepsi dan pemikiran abstrak.
2)Interaksi yang kritis dan kreatif dengan alat dan bahan.
Pendekatan secara interaksi kreatif dan kritis terhadap alat dan bahan menggalakkan
murid membuat penerokaan dan percubaan dalam mempelbagaikan kegiatan kreatif
dengan menggunakan alat dan dan bahan. Proses ini membantu perkembangan aspek
psikomotor dan kemahiran asas seni visual berhubung dengan manipulasi alat dan bahan
serta teknik- teknik mudah.
3)Apresiasi seni visual secara mudah.
Pendekatan ini memberi pengalaman kepada murid mengenali aspek pengetahuan seni
visual dan kegunaannya dalam pelbagai kegiatan kehidupan dari segi keindahan dan
fungsi. Selain itu, murid diperkenalkan tokoh- tokoh seni dan menghargai sumbangan
mereka. Hal ini seterusnya dapat mennerapkan kemahirann apresiasi pelajar terhadap hasil
seni sesebuah karya.
4)Menghargai nilai baik dalam semua aspek kehidupan - murid dipupuk nilai
menyayangi dan menghargai segala aspek yang wujud dalam persekitaran dan
kehidupan mereka.
Hal ini termasuklah memelihara dan memulihara alam sekitar, nilai patriotisme, nilai
kebersihan dan kepekaan.
Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR)
SENI VISUAL TAHUN 1
Matlamat
Matlamat mata pelajaran Seni Visual sekolah rendah adalah untuk melahirkan insan
yang harmonis, kritis, kreatif dan produktif menerusi pemupukan asas seni visual. Kandungan
kurikulum berupaya membantu murid meningkatkan rasa kesyukuran terhadap Tuhan,
menghargai keindahan alam persekitaran, keindahan seni dan warisan bangsa serta dapat
menyumbang ke arah pembangunan diri, keluarga, masyarakat, dan negara, selaras dengan
hasrat Falsafah Pendidikan Kebangsaan.
Objektif
Setelah mengikuti Kurikulum Seni Visual sekolah rendah murid dapat:
menghargai keindahan alam ciptaan Tuhan
melibatkan diri dalam kegiatan seni visual secara aktif, kritis, kreatif dan menyeronokkan
menajamkan daya imaginasi melalui pancaindera
mengenali asas seni reka dan olahan serta dapat menggunakannya
mengembangkan kemahiran asas dalam pelbagai kegiatan seni visual
membiasakan diri membuat rekaan seni dengan teratur, cermat, dan selamat
memupuk nilai-nilai kerjasama, yakin diri, disipilin diri, dan bertanggungjawab
mengenal dan menghargai tokoh seni dan budaya tanah air
menggunakan kemudahan teknologi dalam kegiatan penghasilan seni visual
melibatkan diri dalam kegiatan seni visual sebagai aktiviti kesenggangan yang
berfaedah.
Tumpuan utama Seni Visual merangkumi empat aspek utama yang dipentingkan iaitu:
a. pemerhatian secara aktif
b. interaksi yang kritis dan kreatif dengan alat dan bahan
c. apresiasi seni visual secara mudah
d. menghargai nilai baik dalam semua aspek kehidupan
a. Pemerhatian secara aktif
Pemerhatian secara aktif yang merangkumi kesedaran pemerhatian keseluruhan,
berfokus, dan terperinci dapat menajamkan persepsi murid. Selain itu, ia memperkembangkan
deria penglihatan, aspek ini juga melibatkan pancaindera lain melalui kajian perbandingan.
Kajian seperti ini membantu perkembangan emosi dan imaginasi. Pemahaman tentang asas
seni visual juga turut diperkembang melalui kegiatan pemerhatian ini. Murid akan dilatih
membuat pemerhatian terhadap objek alam dan objek buatan manusia. Ini adalah untuk
membolehkan murid merasai secara konkrit bagi mendapatkan imej mental. Kegiatan-kegiatan
ini akan membantu terus menyelaraskan idea,imaginasi, dan alam fantasinya ke arah
perkembangan persepsi dan pemikiran abstrak.
b. Interaksi yang kritis dan kreatif dengan alat dan bahan
Peringkat ini menggalakkan murid membuat penerokaan dan percubaan dalam
mempelbagaikan kegiatan kreatif dengan menggunakan alat dan bahan. Proses ini akan
memperkembang aspek psikomotor dan kemahiran asas seni visual berhubung dengan
manipulasi alat dan bahan serta teknik-teknik mudah.
Semasa berinteraksi dengan alat dan bahan, murid membuat interpretasi , dan
menyelaras konsepsi visualnya dengan objek yang dilihat. Proses pembelajaran ini amat
penting kerana memberi peluang kepada murid belajar secara tidak langsung. Murid juga
dapat mengenali perubahan yang mereka boleh lakukan dalam penghasilan seni pada masa
akan datang.
c. Apresiasi seni visual secara mudah
Apresiasi seni visual memberi pengalaman kepada murid mengenali aspek
pengetahuan seni visual dan kegunaannya dalam pelbagai kegiatan kehidupan dari segi
keindahan dan fungsi. Murid terlibat dalam kajian perbandingan dan menyatakan apa yang
dilihat dari aspek seni melalui hasil kerja. Pernyataan tentang hasil kerja pula boleh dibuat
dalam pelbagai cara seperti lisan, cerita, lakonan, nyanyian, karangan, dan puisi. Murid
diperkenalkan kepada tokoh-tokoh seni dan menghargai sumbangan mereka.
d. Menghargai nilai baik dalam semua aspek kehidupan
Selain diberi pengalaman membuat apresiasi seni visual secara mudah, murid juga
dipupuk nilai menyayangi dan menghargai segala aspek yang wujud dalam persekitaran
dan kehidupan mereka. Ini termasuklah memelihara dan memulihara alam sekitar, nilai
patriotisme, nilai kebersihan, dan kepekaan. Dengan ini murid akan dapat membuat
pertimbangan yang sewajarnya apabila berhadapan dengan semua pelbagai situasi.
ORGANISASI KANDUNGAN KURIKULUM STANDARD SEKOLAH RENDAH (KSSR)
Kurikulum Seni Visual untuk sekolah rendah mengandungi empat bidang iaitu menggambar,
membuat corak dan rekaan, membentuk dan membuat binaan serta mengenal kraf
tradisional. Organisasi kandungan dalam empat bidang tersebut disusun berasaskan kepada
empat standard kandungan iaitu persepsi estetik, aplikasi seni, ekspresi kreatif, dan apresiasi
seni.
STANDARD KANDUNGAN 1 : PERSEPSI ESTETIK
Standard kandungan ini membolehkan murid membuat persepsi dan memahami
bahasa seni visual (unsur seni dan prinsip rekaan) yang terdapat pada alam ciptaan Tuhan,
objek buatan manusia, dan karya seni.
STANDARD KANDUNGAN 2 : APLIKASI SENI
Standard kandungan ini membolehkan murid mengaplikasikan pengetahuan,
pemahaman, dan bahasa seni visual menerusi penentuan media dan teknik dalam aktiviti seni.
STANDARD KANDUNGAN 3 : EKSPRESI KREATIF
Standard kandungan ini mengaplikasikan pengetahuan dan kefahaman bahasa seni
visual menerusi penzahiran idea melalui pelbagai sumber, kajian, dan teknologi dalam
penghasilan karya seni.
STANDARD KANDUNGAN 4 : APRESIASI SENI VISUAL
Standard kandungan ini membolehkan murid membuat apresiasi terhadap karya
sendiri dan rakan berpandukan bahasa seni visual, sejarah seni, dan budaya. Murid juga
boleh membuat penghayatan dan penghargaan seni warisan serta hubung kait seni visual
dengan disiplin ilmu yang lain, kehidupan, dan kerjaya.
Aktiviti di Tahun 1 bagi kurikulum Seni Visual meliputi :
BIDANG KEGIATAN AKTIVITI
MENGGAMBAR (25%)
1. Lukisan
2. Catan
3. Capan
4. Kolaj
MEMBUAT CORAK DAN REKAAN (25%)
Tidak Terancang
1. Renjisan dan percikan
2. Titisan
Terancang
1. Capan
2. Lukisan
MEMBUAT BINAAN (25%)
1. Model
2. Origami
MENGENAL KRAF TRADISIONAL (25%)
1. Anyaman
2. Alat Permainan – Wau
Perbandingan KSSR dengan KBSR
Semua sedia tahu bahawa sukatan kurikulum kita telah dibubahkan dari kurikulum
bersepadu sekolah rendah(KBSR) kepada Kurikulum standard sekolah rendah(KSSR).
Sehubungan dengan itu, terdapat perbezaan yang telah berubah dalam organisasi kandungan
pendidikan seni visual untuk sekolah rendah.
Dari segi aspek organisasi, kurikulum bersepadu sekolah rendah berasaskan mata
pelajaran manakala kurikulam standard sekolah rendah(KSSR) menbahagikan mata pelajaran
yang digunakan dalam pembelajaran dan pengajaran kurikulum bersepadu sekolah rendah
kepada tiga modul iaitu Modul Asas Teras, Modul Asas Tema dan Modul Asas Elektif.
Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah (KBSR) hanya tertumpu kepada penguasaan 3M
iaitu membaca, menulis dan mengira. Manakala Kurikulum standard sekolah rendah (KSSR)
mempunyai beberapa tahap iaitu tahap I iaitu Tahun 1 hingga 3 akan tertumpu kpd penguasaan
4M- membaca, menulis, mengira & menaakul, dan kemahiran ICT, perkembangan
sosioemosi, kerohanian, fizikal, kognitif, sikap dan nilai. Terdapat kelebihan dalam KSSR
iaitu kemahiran menaakul. Menaakul adalah kemahiran berfikir dalam membuat pertimbangan
dan penilaian dengan menggunakan akal atau logik.
Dari segi aspek alat dan bahan pula, KBSR menggunakan sukatan pelajaran yang
bercorak pendidikan asas manakala KSSR tidak mempunyai sukatan pelajaran tetapi bahan
pembelajaran dan pengajaran terbahagi kepada dua iaitu standard kandungan dan standard
pembelajaran. Standard kandungan ialah penyataan spesifik tentang perkara yang murid
patut ketahui dan boleh lakukan dalam suatu tempoh persekolahan merangkumi aspek
pengetahuan, kemahiran dan nilai. Manakala standard pembelajaran ialah satu penetapan
kriteria atau indikator kualiti pembelajaran dan pencapaian yang boleh diukur bagi setiap
standard kandungan. Bahan dan proses pengajaran dan pembelajaran dalam KBSR
dirancang mengikut umur, kebolehan, minat pelajar. Hai ini juga memberikan kelebihan
kepada murid dan juga guru disamping memudahkan aktivi pengajaran dan pembelajaran
(PnP ).
Contohnya, mengikut kajian yang telah kami lakukan di Sekolah Kebangsaan
Menggabang Telipot, Batu Rakit, Kuala Terengganu, kami telah berinteraksi dengan
sekelas pelajar tahun1. Pada masa yang sama, pelajar dikehendaki melakukan aktiviti seni
iaitu, kolaj.
MENGGAMBAR
(KOLAJ - Tema : Alam Semulajadi)
Menghasilkan gambar menggunakan media kering dengan teknik kolaj yang
menekankan aspek potongan dan tampalan secara bertindih.
STANDARD KANDUNGAN
Standard Kandungan PSV ialah murid dapat didedahkan dengan persepsi dan
pemahaman bahasa seni visual (unsur seni dan prinsip rekaan : rupa,
warna, harmoni, dan kesatuan) yang terdapat pada objek buatan manusia dan karya
seni dalam penghasilan lukisan menggunakan teknik kolaj. Selain itu, murid dapat
mengaplikasi pengetahuan dan kefahaman bahasa seni visual menerusi penentuan media
dan teknik dalam penghasilan lukisan. Murid juga dapat menzahirkan idea melalui pelbagai
sumber, kajian, dan teknologi dalam penghasilan lukisan. Dengan pendedahan ini, murid
mampu membuat apresiasi terhadap karya seni dan rakan berpandukan bahasa seni visual,
sejarah seni, dan budaya.
STANDARD PEMBELAJARAN
Persepsi Estetik
Murid dapat mengenal, menamakan, dan memahami bahasa seni visual yang terdapat
pada karya seni. Murid-murid dapat mempelajari unsur seni yang terdapat dalam kerya
mereka. Antaranya ialah merek dapat mengenali rupa organik dan geometri. Selain itu,
mereka juga bebas menggunakan pelbagai warna yang mana mereka dapat mengenali
jenis-jenis warna panas, sejuk, neutral, kontra, dan lain-lain lagi. Selain itu, pelajar
didedahkan mengenai prinsip rekaan antaranya harmoni – rupa, bentuk dan warna,
kesatuan – pelbagai unsur alam semula jadi.
Aplikasi Seni
Murid dapat mengaplikasikan pengetahuan bahasa seni visual dalam menghasilkan
karya seni disamping mengenal dan menyatakan jenis-jenis media seperti media kering
(kering atas kering) iaitu kertas warna. Mereka juga dapat memahirkan diri dengan
penggunaan alat dan bahan seperti gunting, gam manakal bahanseperti kertas lukisan.
Pelajar juga mengetahui penggunaan media, teknik dan proses dalam penghasilan karya
seperti teknik kolaj.
Ekspresi Kreatif
Murid dapat mengaplikasikan pengetahuan, kefahaman, dan kemahiran bahasa seni
visual dalam menghasilkan karya seni. Murid dapat memilih dan memanipulasi bahan
secara kreatifdisamping menggunakan unsur seni (warna dan rupa) dalam penghasilan
karya. Hasilnya, pelajar dapat menghasilkan karya menggunakan bahasa seni visual
Apresiasi Seni
Murid dapat membuat apresiasi terhadap karya sendiri dan rakan berpandukan bahasa
seni visual dengan cara mempamerkan hasil karya yang dihasilkan dan menceritakan karya
sendiri secara lisan. Selain itu, pelajar dapat menghargai karya sendiri dan rakan.
KBSR merupakan kurikulum yang menggunakan buku teks tetapi dikurangkan dan
sedikit sebanyak tertumpu kepada bahan rujukan dan alat mengajar yang pelbagai. Manakala
KSSR merupakan pengajaran dan pembelajaran menggunakan modul yang akan
menggantikan buku teks selain tayangan slaid video dan lain-lain lagi untuk bertujuan
menjadikan PnP lebih kreatif dan mudah untuk difahami.
KBSR 1.Bercorak pendidikan asas.2.Mengutamakan kemahiran-kemahiran asas 3M iaitu membaca, menulis dan mengira.3.Menggalakkan penglibatan murid dan aktiviti berpusat kepada murid.4.Bahan dan proses pengajaran pembelajaran dirancang mengikut umur, kebolehan, minat.5.Memberi perhatian kepada perbezaan kebolehan individu.6.Program pemulihan disediakan untuk mengembangkan kebolehan murid.7.Pendekatan integrasi membolehkan beberapa kemahiran dapat dikuasai serentak dalam satu mata pelajaran.8.Penyerapan ilmu pengetahuan daripada mata pelajaran lain kepada pelajaran bahasa untuk mengurangkan beban pelajar.
9.Proses pengajaran dan pembelajaran serta aktiviti mementingkan cara kumpulan dan cara individu.10.Penggunaan buku teks dikurangkan tetapi rujukan dan alat mengajar dipelbagaikan.
KSSR
1) Subjek yang lebih sedikit tetapi menggunakan pendekatan yang lebih interaktif.
2) Beberapa subjek digabungkan menjadi 1 subjek
4) Pengajaran dan pembelajaran akan menggunakan modul yang akan menggantikan buku teks
5) Membahagikan mata pelajaran kepada tiga modul iaitu Modul Asas Teras, Modul Asas Tema dan Modul Asas Elektif.
Tambahan info daripada guru besar sekolah Aina
* Pelajaran Bahasa Melayu ditukar kepada Pelajaran Bahasa Malaysia
* Penerangan banyak menggunakan paparan skrin komputer berbanding buku teks
* Pembelajaran Matematik dan Sains menggunakan Bahasa Malaysia dan bukan Bahasa Inggeris
Rangka Perlaksanaannyer
Tahap 1-
Tahun 1 hingga 3 akan tertumpu kpd penguasaan 4M- membaca, menulis, mengira & menaakul, dan kemahiran ICT, perkembangan sosioemosi, kerohanian, fizikal, kognitif, sikap dan nilai.
RUJUKAN
1)Azimah A. Samah, Zailani Yaacob. (2009). Teks Lengkap Pendidikan Seni Visual KBSM
Tingkatan 4 & 5. Shah Alam: Oxford Fajar Sdn. Bhd.
2) Choong Lean Keow. (2009). Falsafah Dan Pendidikan Di Malaysia Untuk Kursus
Perguruan Pendidikan Rendah Pengajian Empat Tahun. Subang Jaya : Kumpulan Budiman
Sdn.Bhd.
3)Mazlam Othman, Ruzitah Tapah. (2009). Teks Lengkap Pendidikan Seni Visual KBSM
Tingkatan 3. Shah Alam: Oxford Fajar Sdn. Bhd.
4)Rahmat Salihon. (2009). Teks Lengkap Pendidikan Seni Visual KBSM Tingkatan 1. Shah
Alam: Oxford Fajar Sdn. Bhd.
1.0 http://atiqahali.blogspot.com/2010/04/banding-beza-psv-klsr-dengan-kbsr.html
Recommended