DESKRIPSI TUGASAN KOM 3431
Kaedah Penyelidikan Komunikasi.
Pendidikan Jarak Jauh.
1. Buat kertas kerja akademik untuk keperluan jurnal. Kertas kerja itu mestilah mengandungi antara 15-20 muka surat sahaja, 12 point font, 11/2 spacing dan times new roman/arial. Pelajar dikehendaki membuat tajuk penyelidikan sendiri mengikut bidang komunikasi kemanusiaan, komunikasi korporat, penyiaran dam kewartawanan.
2. Tugasan hendaklah dibuat secara individu. 3. Jalankan kajian untuk menghasilkan kertas kerja akademik itu. Jumlah responden untuk
kajian tersebut tidak kurang dari 45 responden.4. Markah keseluruhan tugasan ini adalah 40%5. Format kertas kerja akademik adalah seperti yang dilampirkan.6. TARIKH AKHIR HANTAR TUGASAN: 14 OKTOBER 2013
1
Arahan:
Anda dikehendaki membuat satu penyelidikan dalam bidang komunikasi (seperti 4 bidang yang disebutkan di atas). Berdasarkann penyelidikan yang dibuat, sila kemukakan satu artikel (kertas kerja) penyelidikan anda sebagai tugasan untuk kursus ini. Artikel tersebut mestilah mengandungi bahagian utama seperti berikut:-
PENGENALAN
METODOLOGI KAJIAN
HASIL KAJIAN DAN PERBINCANGAN
KESIMPULAN DAN CADANGAN
BIBLIOGRAFI
LAMPIRAN: CONTOH BORANG SOAL SELIDIK (Kemukakan satu contoh sahaja).
Tajuk kajian berdasarkan minat sendiri (tetapi mesti ada kaitan dengan bidang komunikasi, sama ada dalam komunikasi kemanusiaan, komunikasi korporat, kewartawanan dan penyiaran). Anda dikehendaki mengambil 45 orang sebagai responden kajian. Gunakan SPSS (disarankan) untuk menganalisis data.
Format:
1. Sila ikut format contoh artikel yang dilampirkan2. Taip 1 1/2 Spacing3. Kemukakan jadual-jadual yang berkaitan4. Bilangan muka surat antara 15 hingga 20 sahaja.5. Bibliografi mesti ikut APA style
Sebagai panduan untuk menulis artikel penyelidikan tersebut, berikut disertakan CONTOH artikel penyelidikan sebagai panduan.
2
KANDUNGAN KOMUNIKASI KELUARGA PETANI DI MALAYSIA
Oleh
JUSANG BOLONG
Abstrak
Kesimbungan aktiviti pertanian kepada generasi seterusnya dalam kalangan keluarga tani bergantung kepada sejauhmana maklumat pertanian dikongsi antara ibubapa dan anak. Ibubapa yang sering memberi perhatian terhadap kandungan komunikasi berkaitan pertanian ketika berinteraksi dengan anak-anaknya dapat menyuburkan lagi minat anak-anak kepada bidang pertanian. Kajian ini memberi fokus kandungan komunikasi ibubapa yang bertani dengan anak- anak mereka. Satu tinjauan dilakukan terhadap 460 petani di empat zon Semenanjung Malaysia (Perlis, Selangor, Negeri Sembilan dan Terengganu) bagi mewakili petani di Malaysia. Keluarga petani ini dipilih secara rawak. Kajian mendapati majoriti (99%) pasangan keluarga tani yang ditinjau ini mengemukakan topik ekonomi keluarga sebagai topik yang dianggap penting oleh mereka untuk dibualkan, sebaliknya hanya topik pertanian secara umum pula dibincangkan oleh 88 peratus pasangan keluarga tani sesama mereka, dan dengan anak pula, hanya seramai 31 peratus yang membincangkannya. Kajian ini merumuskan bahawa kandungan komunikasi dari aspek topik pertanian masih kurang dibincangkan dengan anak. Oleh itu, dapat dicadangkan supaya petani Malaysia memberi perhatian terhadap perkara ini demi kesinambungan aktiviti pertanian di negara ini.
Kata kunci: kandungan komunikasi, pertanian, keluarga petani, perkongsian maklumat
3
COMMUNICATION CONTENT AMONG FAMILY FARMERS IN MALAYSIA
Abstract
The continuation of agricultural activities to the next generation of the family farmers is depent on the
extent of the agricultural information shared between farming parents and child. Parents that often pay
attention to the contents of agricultural-related communication when interecting to the children will nourish
their children’s interest to agriculture. This study focuses on the communication content among farmer
parents with their children. A survey was conducted to 460 farmers in four zones of Peninsular Malaysia
to represent farmers in Malaysia. Farmer families were randomly selected. The study found that majority
(99%) couples are present on economic topic as important topic to talk about, 88 per cent from
respondent discussed on general agricultural topics to talk to one another while only 31 percent from
them talk about the agricultural-related contents to their children. This study concluded that the
agricultural-related communication between parents and children need to be improved. Thus, it is strongly
suggested that farmers should pay more attention to this matter for the continuation of agricultural
activities in the country.
Keywords: Communication content, agriculture, family farmers, sharing information
4
Pengenalan
Budaya tani wujud apabila amalan bertani secara tradisional atau moden berlaku dalam masyarakat,
terutama keluarga tani. Amalan bertani dapat digiatkan apabila keluarga tani sendiri sentiasa
berinteraksi dalam keluarganya mengenai topik pertanian. Peranan komunikasi pertanian terhadap
kehidupan keluarga tani di Malaysia adalah sangat penting dalam meningkatkan kesejahteraan hidup
mereka. Proses komunikasi pertanian dalam keluarga tani tidak dapat dilakukan hanya melalui cara satu
arah sahaja (one-way communication), tetapi juga dua arah (two-way communication) antara ahli keluarga
itu sendiri untuk membentuk sistem sosial yang memberi perhatian kepada budaya tani (Ingoldsby, Smith
dan Miller, 2004).
Setiap ahli keluarga tani merasa amat dihargai apabila masing-masing bertukar pandangan mengenai
aktiviti pertanian yang dijalankan oleh keluarga mereka. Ini menunjukkan interaksi berkaitan hal
pertanian akan melibatkan semua ahli keluarga. Penglibatan dalam perbincangan ini memberi
gambaran rasa kebersamaan wujud dalam keluarga tani tersebut. Keberkesanan komunikasi dalam
keluarga secara khususnya banyak bergantung kepada sejauh mana perhubungan antara mereka.
Mereka perlu berusaha untuk menyelami perasaan serta isi hati setiap ahli keluarga supaya dapat
diwujudkan komunikasi yang membawa kepada keharmonian dan kesejahteraan. Keberkesanan
komunikasi ini juga berkaitan dengan pemilihan masa yang sesuai untuk memperkatakan sesuatu
terutama sekali dalam memberikan teguran, kritikan dan pandangan mengenai aktiviti pertanian yang
dilaksanakan oleh keluarga tani tersebut. Mereka perlu memilih masa dan suasana yang tepat untuk
berkomunikasi terutama sekali antara isteri atau suami dengan anak-anak kerana dengan cara ini
penerimaan mesej yang disampaikan dapat dicerap dan diberi perhatian sepenuhnya (Turner dan West,
2006). Interaksi sesama ahli keluarga tani menyebabkan (a) anak atau suami/isteri merasa dihargai oleh
5
ahli yang melakukan komunikasi pertanian; (b) meningkatkan kepercayaan diri petani karena komunikasi
ini dapat dilakukan dari hati ke hati; (c) petani dapat menyampaikan keluhan sesama mereka tanpa merasa
malu.
Dalam pendekatan interaksi yang dikemukakan oleh Watzlawick (dalam Saodah Wok, Narimah Ismail
dan Mohd. Yosuf Hussain, 2004), satu aksiom utama adalah komunikasi mengandungi isi (kandungan)
dan hubungan. Kandungan (mesej verbal dan bukan verbal) dalam topik perbualan dan cara
menyampaikannya akan membentuk dan mengekalkan hubungan interpersonal dalam keluarga.
Dalam konteks kandungan komunikasi dalam kalangan keluarga tani, sepatutnya mereka banyak
berbincang topik mengenai: (a) bagaimana petani kecil dapat bertani atau berusahatani dengan cara yang
lebih baik, misalnya cara bercucuk tanam, cara memelihara kesuburan tanah, cara memperlakukan
teknologi lepas tuai, dan sebagainya; (b) bagaimana petani kecil mampu dan mahu berusahatani secara
menguntungkan, baik dalam usahatani secara monokultur ataupun secara multikultur; dan (c) bagaimana
petani kecil mampu meningkatkan kesejahteraannya atau bagaimana mereka dapat hidup sejahtera (Yusuf
Leonard Henuk, 2007) .
Kandungan komunikasi dalam konteks kajian ini merujuk kepada topik umum dan topik pertanian yang
dibincangkan oleh pasangan (suami dan isteri) dan antara ibubapa kepada anak. Selain topik yang
dibincangkan, aspek-aspek yang berkaitan dengan kandungan komunikasi meliputi saluran komunikasi,
waktu perbincangan topik dan sumber maklumat kandungan komunikasi juga diliputi dalam kajian ini.
Manakala reaksi anak terhadap perbualan topik pertanian merupakan tindakbalas anak dari aspek sikap
dan perilaku seperti minat, memberi sokongan, memberi idea dan membantah.
6
Kandungan komunikasi ini merupakan informasi biasa pada peringkat awalnya, namun apabila keluarga
tani sentiasa membincangkan dengan terperinci, informasi biasa yang dikongsi ini menjadi amat penting
untuk meningkatkan kualiti hidup mereka melalui produktiviti pertanian (Pawit M. Yusup, 2006).
Informasi sebagai kandungan komunikasi ini lazimnya diperoleh melalui perbualan harian dari
masyarakat sekeliling, buku, surat khabar, majalah, buletin, televisyen, radio dan komputer berinternet.
Informasi sebagai kandungan komunikasi mempunyai pelbagai fungsi dan tahap yang berbeza.
Kepentingan maklumat pertanian, misalnya bergantung kepada kegunaan maklumat itu untuk digunakan
dalam membuat keputusan dan menyelesaikan masalah. Contohnya, dalam aspek peningkatan hasil
jualan, keluarga tani memerlukan maklumat pemasaran dan ramalan harga pasar. Bagaimanapun, sebagai
sifatnya sebuah keluarga, saling mengambil berat mengenai perkembangan peribadi tidak dapat
dielakkan. Ibubapa lebih banyak menekankan kepada aspek kesopanan, disiplin, akademik dan hal-hal
berkaitan prestasi anak-anak dalam bidang pelajaran, ada yang menekankan kepada aspek demokrasinya,
dan ada juga yang menitikberatkan kepada kasih sayangnya. Dalam persekitaran keluarga tani, bukan
hanya berlaku proses komunikasi pertanian tetapi juga komunikasi pendidikan dan malah komunikasi
massa seperti proses-proses penggunaan media cetak dan media elektronik.
Apabila hubungan interpersonal yang intim melalui perbualan topik pertanian dalam keluarga tani
menjadi satu petanda budaya tani berkembang dalam keluarga tersebut. Peranan ibubapa dalam
keluarga amat penting untuk membentuk institusi keluarga yang harmoni. Keharmonian tersebut dapat
dikaitkan dengan komunikasi keluarga yang dilaksanakan oleh mereka bersama dengan anak-anak.
Selaras dengan matlamat Rancangan Malaysia Kesembilan yang dibentangkan pada 31 Mac 2006 oleh
7
Perdana Menteri pada ketika itu, adalah untuk membangunkan modal insan berkualiti dengan
menekankan pembangunan ilmu pengetahuan, kemahiran, modal intelektual termasuk ilmu sains,
teknologi, pertanian dan keusahawanan. Oleh itu, keprihatinan ibubapa terhadap kandungan
komunikasi dalam keluarga tani khususnya dapat menyumbang ke arah pemupukan pembangunan ilmu
(khasnya ilmu pertanian) dalam keluarga tersebut. Perbincangan yang selalu diadakan dalam kalangan
ibubapa mengenai aktiviti pertanian, maklumat terkini pertanian dan perancangan pertanian menjadi
nadi perkongsian ilmu untuk meningkatkan produktiviti hasil pertanian. Bagaimana pun komunikasi
yang berkesan tidak hanya mengadakan perbincangan semata-mata, tetapi pemilihan topik pertanian
yang relevan dan mengikut konteks semasa adalah amat penting untuk dikomunikasikan. Malah kaedah
perbincangan, waktu perbincangan dan saling tindak antara pihak yang berbincang juga menjadi faktor
penting yang perlu diberi perhatian oleh keluarga tani itu. Persoalannya, apakah kandungan (topik)
komunikasi dalam keluarga tani dan bagaimanakah reaksi anak petani terhadap maklumat pertanian
mengikut perspekstif ibubapa mereka? Berdasarkan isu dan persoalan yang ditimbulkan di atas, kajian
ini mengenal pasti topik dan kaedah perbincangan dalam komunikasi keluarga tani, mengenal pasti topik
pertanian dan waktu perbincangan dalam keluarga tani, mengenal pasti sumber maklumat pertanian
dalam kalangan keluarga tani, dan mengenal pasti reaksi anak terhadap perbualan topik pertanian.
Metodologi Kajian
Kajian ini menggunakan kaedah tinjauan yang dijalankan di empat kawasan di Semenanjung Malaysia.
Kawasan berkenaan adalah zon utara, tengah, selatan dan timur. Bagi setiap kawasan satu negeri telah
dipilih secara rawak untuk mewakili kawasan berkenaan. Negeri yang terpilih adalah Perlis (Utara),
Selangor (Tengah), Negeri Sembilan (Selatan, dan Terengganu (Timur). Bagi kawasan utara (Perlis)
populasi penanam padi dan pekebun kecil getah telah dikenalpasti, manakala bagi kawasan tengah
(Selangor) populasi penanam padi dan pekebun kecil kelapa sawit dipilih. Sementara itu bagi kawasan
8
selatan (Negeri Sembilan) pekebun kecil dua jenis tanaman adalah kelapa sawit dan getah, manakala
bagi kawasan timur (Trengganu) pula pekebun kecil getah dan kelapa sawit telah dikenalpasti.
Bagi menentukan populasi dan sampel kajian untuk setiap kawasan, bantuan dan kerjasama daripada
agensi telah perolehi. Untuk mengenalpasti pekebun kecil kelapa sawit bagi kawasan terpilih bantuan
pihak MPOB telah diperolehi, sementara pihak Risda pula memberi bantuan dalam mengenalpasti
responden yang terdiri daripada pekebun kecil getah. Sampel penanam padi pula dikenalpasti dengan
bantuan LPP, PPK, dan MADA.
Responden kajian terdiri daripada ibu atau bapa dan anak yang berumur 12 hingga 25 tahun dan tinggal
bersama ibu bapa. Agihan responden mengikut jenis tanaman dan kawasan adalah seperti dalam Jadual
1 di bawah.
9
Jadual 1 : Taburan bilangan petani yang menjadi responden kajian
Kawasan Negeri (N = 460) Tanaman Bil. Responden
Utara Perlis (n = 115) Padi 75
Getah 40
Tengah Selangor (n = 115) Padi 75
Kelapa sawit 40
Selatan N. Sembilan (n = 115) Getah 55
Kelapa sawit 60
Timur Terengganu (n = 115) Getah 55
Kelapa sawit 60
Jumlah 460
10
Hasil Kajian dan Perbincangan
Topik dan Kaedah Perbincangan dalam Komunikasi keluarga tani
Perbualan dalam keluarga banyak dikuasai oleh ibubapa kerana mereka sentiasa dominan dan bertindak
sebagai pemimpin keluarga. Oleh itu, kebanyakan ibubapa yang mencorakkan topik perbualan dalam
keluarga mereka. Pelbagai topik yang boleh dibualkan, sama ada topik itu mudah sehinggalah topik
yang kompleks. Topik juga boleh berasaskan kehidupan harian dan semasa, atau mungkin topik di
peringkat masyarakat dan negara.
Jadual 2 merupakan beberapa topik yang dikemukakan oleh keluarga tani yang ditemubual.
Berdasarkan jadual tersebut, majoriti (99%) pasangan keluarga tani yang ditinjau ini mengemukakan
topik ekonomi keluarga sebagai topik yang dianggap penting oleh mereka untuk dibualkan. Topik
ekonomi keluarga meliputi pendapatan dan perbelanjaan yang mereka uruskan untuk kesejahteraan
hidup mereka. Pendapatan mereka juga merujuk kepada pertanian yang diperoleh dalam sebulan dan
perbelanjaan atau kos pengurusan aktiviti pertanian. Pasangan keluarga tani (96%) juga tidak terlepas
dalam membincangkan topik persekitaran kampung kerana topik tersebut sebagai berita semasa yang
berlaku dalam kampung mereka. Topik ini penting dalam kehidupan bermasyarakat terutama keluarga
tani yang berada di luar bandar. Topik ini juga menjadi asas kepada kemesraan antara pasangan yang
berinteraksi. Topik-topik lain yang diberi perhatian oleh pasangan keluarga tani dalam kajian ini adalah
topik hal-hal anak, perancangan dan masa depan keluarga berkenaan.
Oleh kerana pasangan keluarga tani ini tinggal bersama anak-anak, mereka juga berbual mengenai topik
umum ini dengan anak masing-masing. Dapatan kajian ini adalah merujuk kepada perspektif ibubapa
terhadap topik yang mereka bualkan dengan anak. Jika dalam kalangan sesama pasangan, keluarga tani
ini memberi fokus kepada topik ekonomi keluarga, namun jika dengan anak pula, majoriti pasangan ini
mengemukakan topik adab sopan/budi pekerti (96%), topik agama (96%) dan topik pengajaran/teladan
yang dibincangkan. Ini memberi gambaran bahawa kelaurga tani amat mementingkan pendidikan
agama dan kesopanan dalam keluarga.
11
Manakala topik pertanian secara umum pula dibincangkan oleh 88 peratus pasangan keluarga tani
sesama mereka, dan dengan anak pula, hanya seramai 31 peratus yang membincangkannya. Ini
menunjukkan, topik pertanian ini tidak diberi perhatian oleh pasangan dalam keluarga tani untuk
dibincangkan dengan anak.
Jadual 2: Taburan Ibubapa mengikut Topik yang Sering dibualkan dalam keluarga
Topik Peratus *
Pasangan Anak
Pelajaran 32.4 3.1
Pergaulan 42.5 92.2
Pertanian 88.3 31.0
Kesihatan/Kebersihan 88.2 69.3
Sejarah/pengalaman keluarga 70.8 77.8
Persekitaran kampung 95.5 36.6
Ekonomi keluarga 99.0 21.3
Adab sopan/budi pekerti 39.8 95.6
Agama 81.3 95.6
Pengajaran/teladan 49.7 92.7
Keperluan anak-anak 88.0 36.2
Kandungan media (TV, akhbar, Internet) 89.4 58.5
Hal anak-anak 94.4 22.4
Penilaian diri 79.5 49.6
Masa depan 83.4 62.8
Perancangan 92.0 40.6
12
Hal kemasyarakatan (jiran, masjid, JKK, dll) 88.3 32.1
Nota: * tidak boleh dijumlahkan 100% kerana responden menjawab lebih dari satu jawapan
Topik-topik perbualan yang dikemukakan di atas tadi dibincangkan dengan beberapa saluran
komunikasi. Jadual 3 menunjukkan saluran tersebut. Tinjauan kajian ini mendapati hampir semua (99%)
ibubapa yang dikaji menggunakan saluran komunikasi bersemuka. Saluran bersemuka ini menjadi
pilihan utama dalam kalangan pasangan keluarga tani kerana mereka sentiasa bersama dalam banyak
situasi dan masa. Bagaimanapun, terdapat juga pasangan yang menggunakan telefon untuk berbincang
topik-topik yang tersenarai di atas. Terdapat pasangan (47%) menyatakan penggunaan telefon
dilakukan apabila suami berada di ladang dan mahu berbincang dengan isteri di rumah bagi membuat
keputusan segera yang melibatkan perkara-perkara penting. Oleh itu pertukaran pendapat dilakukan
dengan perantara telefon.
Jadual 3: Taburan Ibubapa Mengikut Saluran Komunikasi Membincangkan Topik
Saluran Komunikasi Peratus
Bersemuka 98.9
Telefon 46.9
E-mel 2.0
Surat menyurat 0.9
Lain-lain 0.0
13
Topik Pertanian dan Waktu Perbincangan dalam Keluarga Tani
Dapatan kajian ini menunjukkan topik pertanian secara umum dibincangkan oleh agak ramai pasangan
keluarga tani. Bagaimanapun, jadual 4 di bawah mengemukakan jumlah pasangan keluarga tani yang
berbincang topik-topik pertanian secara khusus. Topik-topik yang spesifik ini adalah berasaskan aktiviti-
aktiviti pertanian yang lazim diamalkan oleh keluarga tani.
Pada masa kini, tema ”Pertanian adalah Perniagaan” sedang digait dipromosikan oleh kerajaan. Tema
ini menekankan supaya aktiviti pertanian tidak lagi dianggap sebagai aktiviti sara hidup keluarga,
sebaliknya mesti diperkembangkan sebagai industri perniagaan dan berskala besar. Oleh itu petani
perlu mempelbagaikan aktiviti pertanian mereka dengan orientasi yang menekankan tidak bergantung
kepada pendapatan asas hasil tani utama, tetapi perlu mewujudkan industri hiliran. Oleh itu, ini dapat
dikaitkan dengan hasil kajian ini bahawa sudah ramai (94%) pasangan keluarga tani masing-masing mula
berbual mengenai industri hiliran seperti perusahan membuat kerepek (bermula dari tuai hasil sehingga
pemasaran). Begitu juga separuh dari mereka ini (51%) membincangkan harga hasil pertanian,
pemasaran hasil pertanian (30%), cara menanam (40%) dan membaja (38%). Perbincangan topik
pertanian yang spesifik ini menunjukkan pasangan keluarga tani dianggap mula bersedia untuk
menyahut cabaran tema yang dikemukakan oleh pihak kerajaan. Bagaimanapun, masih terdapat
pasangan keluarga tani (29%) yang membincangkan topik modal. Jumlah yang relatif sedikit ini agak
membimbangkan kerana topik modal merupakan topik penting yang mesti dibualkan oleh pasangan jika
mereka mahu meningkatkan kemampuan aktiviti pertanian mereka di peringkat berskala besar.
Jadual 4: Taburan Ibubapa Mengikut Topik Pertanian dibincang dalam keluarga
14
Topik Pertanian Peratus *
Cara menanam 40.4
Membaja 35.7
Pengurusan akaun 17.0
Penyakit tanaman 40.4
Harga hasil pertanian 51.1
Jenis tanaman dan bidang usaha 23.9
Penuaian hasil 29.0
Pemasaran hasil pertanian 29.9
Upah tenaga buruh 24.1
Prasarana pertanian (tali air, jalan) 22.5
Khidmat agensi pertanian 15.6
Gotong-royong 23.4
Tanaman kontan di keliling rumah 5.6
Modal 28.8
Industri hiliran (kerepek) 94.2
Rancangan media (TV/Radio) berunsur pertanian
10.0
Lain-lain 0.4
Nota: * tidak boleh dijumlahkan 100% kerana responden menjawab lebih dari satu jawapan
Dari segi waktu perbincangan topik pertanian pula, kebanyakan topik-topik di atas dilakukan semasa
mula menanam (45%) dan semasa memasarkan hasil (40%). Waktu ini dipilih kerana masa mula
15
menanam dan semasa memasarkan hasil merupakan waktu yang lebih lama pasangan ini bersama
berbanding waktu-waktu lain. Keadaan sentiasa bersama dan memerlukan perbincangan yang agak
lama antara pasangan suami isteri ini memberi ruang kepada mereka berbincang pada waktu-waktu
tersebut. Amat kurang (24%) pasangan ini berbincang semasa bencana alam, ini boleh disebabkan
waktu yang tidak sesuai membincangkannya kerana wujud persepsi bahawa waktu itu dianggap sebagai
waktu kecemasan dan bencana alam adalah keadaan semulajadi. Oleh itu, membincangkannya tidak
banyak dalam membantu penyelesaian masalah ketika itu.
Jadual 5: Taburan Ibubapa Mengikut waktu berbincang hal pertanian
Waktu Perbincangan Peratus *
Mula menanam 45.3
Sebelum menuai 35.3
Selepas menuai 39.5
Semasa memasarkan hasil 40.4
Memproses hasil 27.5
Semasa bencana alam 24.3
Serangan penyakit tanaman 31.0
Lain-lain 0.4
Nota: * tidak boleh dijumlahkan 100% kerana responden menjawab lebih dari satu jawapan
Sumber Maklumat Pertanian dalam Kalangan Keluarga Tani
16
Maklumat pertanian boleh diperoleh dari pelbagai sumber, sama ada berbentuk medium seperti media
elektronik, media cetak, internet atau melalui perantara orang perseorangan dari lokasi tertentu. Kajian
ini (Jadual 6) mendapati sumber yang utama dalam mendapat maklumat pertanian oleh pasangan
keluarga tani adalah televisyen (62%), agensi Pertubuhan Peladang Kawasan (50%), dan pegawai
pertanian (41%). Bagaimanapun, apa yang penting dibincangkan dari hasil kajian ini adalah jumlah
peratusan yang kurang dalam mendapatkan maklumat dari sumber peniaga input pertanian (8.3%), anak
(8.7%), Internet (7.4%) dan dari papan kenyataan masjid (14.5%). Sumber maklumat ini juga penting
kerana banyak maklumat spesifik seperti baja dan teknologi pertanian terkini boleh diperoleh dari
sumber berkenaan.
Jadual 6: Taburan Ibubapa mengikut Sumber Maklumat Pertanian
Sumber Peratus *
Risalah 31.3
Majalah 27.7
Buletin agensi pertanian 21.0
TV 62.3
Radio 31.0
Akhbar 40.0
Internet 7.4
Rakan 40.2
Pegawai Pertanian 41.1
JKKK/JKKR/Lain-lain Institusi Komuniti 27.9
Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) 49.6
Papan kenyataan Masjid 14.5
Peniaga input pertanian 8.3
Pembeli hasil pertanian 11.4
17
Anak 8.7
Ahli keluarga 27.5
Jiran 26.6
Lain-lain 0.0
Nota: * tidak boleh dijumlahkan 100% kerana responden menjawab lebih dari satu jawapan
Reaksi Anak Terhadap Perbualan Topik Pertanian
Anak akan memberi reaksi terhadap sebarang perbincangan yang dilakukan antara mereka dengan
ibubapa masing-masing. Reaksi yang mereka tunjukkan adalah petanda kecenderungan anak tersebut
untuk membincangkan terus atau tidak topik tersebut. Kecenderungan itu dapat dilihat melalui minat,
penglibatan, sokongan atau bantahan mereka terhadap topik perbincangan itu.
Kajian ini (Jadual 7), menurut perspektif ibubapa, didapati tidak sampai separuh (43%) anak-anak
keluarga tani yang berminat berbincang dengan mereka. Ibubapa menyatakan anak-anak mereka tidak
menunjukkan kecenderungan untuk terus berinteraksi apabila diajak berbual mengenai hal-hal
pertanian. Ini disokong pula dengan reaksi anak-anak yang kurang mahu mencari maklumat pertanian
(6.3%) apabila diarahkan oleh ibubapa mereka. Malah hanya 28 peratus yang boleh memberikan idea
kepada ibubapa tersebut. Bagaimanapun, masih terdapat ibubapa yang menyatakan anak mereka
memberi sokongan moral (32%) apabila mereka berbual mengenai topik pertanian.
Jadual 7:Reaksi anak-anak apabila ibubapa membincangkan topik pertanian
Reaksi Peratus
18
Minat 43.1
Melibatkan diri dalam pertanian/beri modal atau sebagainya
14.3
Mencari maklumat tentang pertanian 6.3
Memberikan idea 28.3
Memberi sokongan (moral) 32.1
Membantah 0.4
Tidak berminat 15.2
Tiada reaksi 15.2
Lain-lain 1.3
Nota: * tidak boleh dijumlahkan 100% kerana responden menjawab lebih dari satu jawapan
Kesimpulan dan Cadangan
Kajian ini merumuskan bahawa topik pertanian yang dibincangkan dalam komunikasi keluarga tani bagi
bidang usaha kelapa sawit, padi dan getah, adalah topik-topik umum sahaja, berbanding topik khusus
mengenai pertanian. Manakala perbincangan topik ini dengan anak pula relatif rendah. Jika rumusan ini
dikaitkan dengan pendekatan interaksi seperti yang dikemukakan oleh Watzlawick (Saodah Wok,
Narimah Ismail dan Mohd. Yusof Hussain, 2004). ), berlaku ketidakfungsian komunikasi dalam kalangan
keluarga tani mengikut bidang usaha tanaman kelapa sawit, padi dan getah. Ketidakfungsian
komunikasi dalam keluarga berlaku apabila topik pertanian yang sepatutnya giat dibincangkan dalam
keluarga tani untuk membuat keputusan dan penyelesaian masalah berkaitan pertanian tidak berlaku
dalam keluarga tersebut untuk mencapai kesejahteraan hidup. Natijahnya, amalan bertani tidak dapat
menjadi budaya tani apabila berlaku ketidakfungsian komunikasi akibat kurangnya perbincangan topik
(kandungan) pertanian.
19
Berdasarkan rumusan itu, beberapa saranan dikemukakan kepada pihak keluarga tani untuk ketiga-tiga
bidang usaha seperti berikut:-
Pasangan keluarga tani tidak cukup hanya berinteraksi sesama mereka mengenai ekonomi keluarga dan
topik pertanian sahaja dalam lingkungan mereka sendiri, sebaliknya pergiatkan perbualan topik
pertanian secara berterusan dan penuh iltizam kepada anak masing-masing supaya kesan interaksi itu
dapat membina hubungan interpersonal yang intim dan akhirnya mereka dapat merasakan kepentingan
budaya tani terus dihidupkan dalam keluarga mereka.
Pihak agensi pertanian dalam bidang usaha kelapa sawit, padi dan getah boleh menganjurkan kursus
komunikasi keluarga secara berkelompok. Kursus disertai ibubapa dan anak keluarga tani, dengan
memberi penekanan kepada perbincangan topik pertanian yang kurang diberi perhatian seperti yang
tersenarai dalam kajian ini.
Pertingkatkan pengetahuan sumber maklumat pertanian dan galakan penggunaan komputer
(berinternet) sebagai strategi penyebaran maklumat pertanian, supaya keluarga tani sentiasa ada topik
pertanian yang boleh dibualkan.
Rujukan
20
Ingoldcby, B. B., Smith, S. R., and Miller, J. E. (2004). Exploring family theories. LA, California: Roxbury Publishing Company.
Saodah Wok, Narimah Ismail dan Mohd. Yusof Hussain. (2004). Teori-teori komunikasi. Bentong, Pahang: PTS Publications & Distributors Sdn. Bhd.
Turner, L. H., and West, R. (2006). The family communication sourcebook. London: Sage Publications
Pawit M. Yusup (2006). Aplikasi selektif teori ilmu sosial komunikasi untuk ilmu informasi dan perpustakaan. Kadapatan http://www.scribd.com. Akses pada 12.12.2011
Yusuf Leonard Henuk (2007). Komunikasi pertanian dan partisipasi masyarakat pedesaan. Kedapatan http://www.scribd.com. Akses pada 12.12.2011
21