EMBARGO : Hanya boleh diterbit atau disebarkan pada jam 1200, Khamis, 24 Oktober 2019
JABATAN PERANGKAAN MALAYSIA
SIARAN AKHBAR
PERANGKAAN PENTING, MALAYSIA, 2019
KELAHIRAN HIDUP
Bilangan kelahiran hidup dan kadar kelahiran kasar menurun pada 2018
Bilangan kelahiran hidup yang dicatatkan pada 2018 adalah 501,945, menurun 1.3 peratus berbanding 508,685 pada 2017. Kadar kelahiran kasar (CBR) mencatatkan penurunan daripada 15.9 (2017) kepada 15.5 (2018) bagi setiap 1,000 penduduk.
Bayi lelaki yang dilahirkan melebihi bayi perempuan
Daripada 501,945 bayi yang dilahirkan pada 2018, 259,582 (51.7%) adalah bayi lelaki. CBR bagi kedua-dua jantina menurun daripada 15.9 bagi setiap 1,000 penduduk pada 2017 kepada 15.5 pada 2018.
Pulau Pinang terus merekodkan CBR terendah
Semua negeri merekodkan penurunan CBR pada 2018 berbanding 2017, kecuali Negeri Sembilan dan Sabah masing-masing kekal pada 16.2 dan 13.6 bagi setiap 1,000 penduduk. Pulau Pinang terus merekodkan kadar terendah pada 11.7 bagi setiap 1,000 penduduk. Sebaliknya, W.P. Putrajaya mencatatkan kadar tertinggi dengan 24.7.
Carta 1: Kadar kelahiran kasar mengikut negeri, Malaysia, 2017 dan 2018
Daerah Kuala Terengganu mencatatkan CBR tertinggi
Daerah pentadbiran Kuala Terengganu merekodkan CBR tertinggi pada 2018 dengan 30.5 bagi setiap 1,000 penduduk diikuti Marang, Terengganu (25.8) dan Besut, Terengganu (24.7). Manakala Bagan Datuk, Perak mencatatkan CBR terendah dengan 2.9 bagi setiap 1,000 penduduk diikuti Kinabatangan, Sabah (3.8) dan Putatan, Sabah (6.7).
KESUBURAN
Kadar kesuburan jumlah (TFR) menurun sejak tiga dekad yang lalu
Kadar kesuburan jumlah bagi wanita berumur 15-49 tahun mencatatkan penurunan daripada 4.9 bayi pada 1970 kepada 1.8 bayi pada 2018.
Sejak 2013, TFR negara telah direkodkan di bawah paras penggantian 2.1 yang menunjukkan bahawa purata bilangan bayi yang dilahirkan oleh seorang wanita sepanjang tempoh kesuburannya tidak mencukupi untuk menggantikan dirinya dan pasangannya.
KEMATIAN
Bilangan kematian meningkat
Bilangan kematian yang direkodkan pada 2018 adalah 172,031, meningkat 2.3 peratus berbanding 168,168 pada 2017. Kadar kematian kasar (CDR) kekal pada 5.3 bagi setiap 1,000 penduduk pada 2017 dan 2018.
W.P. Putrajaya dan Melaka mencatatkan penurunan CDR
W.P. Putrajaya dan Melaka mencatatkan penurunan CDR pada 2018 berbanding 2017. Sementara itu, tujuh negeri mencatatkan peningkatan dan negeri selainnya tidak berubah.
Perlis mencatatkan CDR tertinggi iaitu 8.1 bagi setiap 1,000 penduduk manakala W.P. Putrajaya mencatatkan kadar terendah iaitu 2.2 pada 2018.
Carta 2: Kadar kematian kasar mengikut negeri, Malaysia, 2017 dan 2018
Sabak Bernam, Selangor mencatatkan CDR tertinggi pada 2018
Sabak Bernam, Selangor mencatatkan CDR tertinggi pada 2018 iaitu 8.4 bagi setiap 1,000 penduduk diikuti Pendang, Kedah (8.3) dan Kuala Pilah dan Rembau, Negeri Sembilan (8.2). Manakala daerah Kinabatangan di Sabah mencatatkan CDR terendah iaitu 0.7 bagi setiap 1,000 penduduk diikuti Kunak, Sabah (2.1) dan Belaga, Sarawak (2.2).
PERTAMBAHAN SEMULA JADI
Kadar pertambahan semula jadi menurun
Pertambahan semula jadi pada 2018 adalah 329,914. Kadar pertambahan semula jadi kasar (CRNI) mencatatkan penurunan daripada 10.6 (2017) kepada 10.2 (2018) bagi setiap 1,000 penduduk.
Kelahiran Mati
Terengganu merekodkan SBR terendah
Bilangan kelahiran mati pada 2018 mencatatkan penurunan berbanding 2017 iaitu daripada 2,769 kepada 2,755 manakala kadar kelahiran mati (SBR) meningkat daripada 5.4 (2017) kepada 5.5 (2018) bagi setiap 1,000 kelahiran. Sabah merekodkan SBR tertinggi iaitu 8.1 bagi setiap 1,000 kelahiran manakala Terengganu mencatatkan kadar terendah iaitu 4.3 pada 2018.
Dikeluarkan oleh:
DATO' SRI DR. MOHD UZIR MAHIDINKETUA PERANGKAWAN MALAYSIAJABATAN PERANGKAAN MALAYSIA
DrUzir_Mahidin Dr_Uzir
24 Oktober 2019
Pegawai dihubungi:
Rohaida binti MohamadPegawai Perhubungan AwamBahagian Perangkaan Komunikasi Strategik dan AntarabangsaJabatan Perangkaan MalaysiaTel : +603-8885 7942Faks : +603-8888 9248Emel : rohaida.mohamad[at]dosm.gov.my