Upload
votuong
View
236
Download
3
Embed Size (px)
Citation preview
Unit 8
Isu Perundangan Dalam Penerbitan Elektronik
Objektif Unit: Setelah mempelajari unit ini, anda akan;
mempelajari jenis dan bentuk perundangan yang melibatkan
teknologi penerbitan elektronik
mengetahui kesesuaian pemakaian bentuk perundangan dalam
teknologi sistem penerbitan elektronik semasa
meninjau kesan pemakaian perundangan ke atas sistem dan
teknologi penerbitan elektronik
Kandungan: 1. Pengenalan
2. Latar Belakang Perundangan Siber dan Komunikasi di
Malaysia
3. Jenis-jenis Undang-undang Siber di Malaysia
4. Pemahaman Mengenai Istilah ‘Multimedia’
5. Aspek Perundangan Dalam Multimedia
6. Perkembangan Teknologi Internet di Malaysia
7. Pendekatan ‘Akta Komunikasi dan Multimedia 1998’
8. Kesimpulan
Latihan:
Soalan Tutorial:
Unit 8
Isu Perundangan Dalam Penerbitan Elektronik
1. Pengenalan
Teknologi Penerbitan Elektronik telah membawa implikasi yang bukan sahaja melibatkan
perkembangan teknologi dan sistem kandungan maklumat, tetapi juga menyebab
berlakunya perubahan dalam pemakaian dan penggubalan bentuk perundangan yang
dapat memenuhi keperluan teknologi tersebut.
Di peringkat antarabangsa, undang-undang telekomunikasi yang digubal di Amerika
Syarikat pada tahun 1996, boleh dikatakan sebagai suatu pemula kepada bentuk
perundangan yang dapat memenuhi keperluan teknologi penerbitan elektronik,
terutamanya penerbitan siber yang makin berkembang di Republik tersebut.
Berikutan dengan penggubalan undang-undang bentuk perundangan tersebut, timbul pula
persoalan di kalangan aktivis NGO Amerika yang menganggap bahawa perundangan-
perundangan baru yang digubal itu memberi kesan kepada status kebebasan yang
termaktub dalam Perlembagaan Utama republik tersebut. Contohnya, penggubalan
Communication Decency Act (DCA) telah ditentang oleh kebanyakan daripada pengamal
undang-undang dan NGO di Amerika yang akhirnya menyebabkan akta tersebut didapati
tidak sah oleh Mahkamah Persekutuan republik itu. Ia dikatakan tidak selari dengan
konsep kebebasan bersuara dan memperolehi maklumat yang termaktub di dalam
perlembagaan utama Amerika Syarikat.
Sementara itu pula, Malaysia mengorak langkah mengguybal satu set perundangan siber,
termasuk menggubal Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang dikatakan akta
pertama digubal di dunia mengenai bentuk perundangan penggabungan media di negara
ini. Kehadiran bentuk perundangan yang baru ini boleh dikaitkan dengan terbentuknya
suatu rancangan jangka panjang mengenai penubuhan Lebuh Raya Koridor Multimedia
(MSC) yang akan menjadi tunggak kepada pembangunan dan kemajuan bidang teknologi
siber dan multimedia di negara ini. Oleh sebab itu, perundangan-perundangan baru yang
diwujudkan ini dijangka akan dapat memenuhi keperluan teknologi tersebut dan
mencapai matlamat penubuhan MSC tersebut.
2. Latar Belakang Perundangan Siber dan Komunikasi di Malaysia
Keperluan untuk mewujudkan suatu kumpulan perundangan siber (Cyberlaws) di
Malaysia bermula apabila Kerajaan Malaysia mewarwarkan suatu pelan pembangunan IT
yang lebih kompleks menerusi program Koridor Raya Multimedia (MSC) pada tahun
1996. Walau bagaimanapun, penubuhan MSC adalah satu rancangan untuk menangani
masalah perubahan daripada zaman industri kepada zaman teknologi maklumat.
Dengan mewujudkan suatu kawasan kecil berlatarkan teknologi IT, semua maklumat
dapat diketahui, diperolehi dan diagihkan supaya maklumat tersebut dapat dimanfaatkan
sepenuhnya oleh negara. Ia merupakan suatu percubaan di dalam semua gerakan
masyarakat yang melibatkan teknologi maklumat supaya masyarakat dapat mengesan
implikasi penggunaan IT dalam kehidupan mereka (Mahathir, 1997).
Sebab itulah suatu pengawalan berbentuk perundangan perlu diwujudkan bagi
menyesuaikan perkembangan teknologi maklumat tersebut dengan peruntukan undang-
undang berkaitan terhadapnya. Persoalan ini juga dibangkitkan di dalam suatu kenyataan
Dr. Mahathir semasa mengadakan suatu taklimat khusus mengenai MSC di London pada
20 Mei 1997 yang berbunyi:
For the MSC to function we must have the necessary laws, cyberlaws.
These laws are designed to facilitate the use of multimedia and include
protection of intellectual property, validation of digital signatures and
computer transactions, prevention of computer crimes, laws on the
convergence between telecoms, broadcasting, computers, and other
system and a host of others not presently covered by existing laws.
Teknologi baru memerlukan suatu pendekatan regulasi yang sesuai, fleksibel dan
mengikut arus perkembangan teknologi tersebut. Dalam erti kata lain, perubahan
teknologi menyebabkan berlakunya suatu pembaharuan dari sudut nilai kehidupan
masyarakat, peranan kerajaan, penerbitan sub-sub bidang teknologi yang berkaitan dan
memerlukan tenaga mahir di dalam bidang tertentu. Tonny Benn menyifatkan bahawa
kewujudkan teknologi baru akan mengundang pelbagai implikasi berbentuk teknikal,
sosiologikal ataupun psikologikal kepada golongan tertentu, melibatkan suatu perubahan
terhadap minda dan perlakuan seseorang individu. Beliau berpendapat bahawa:
New technology and the way it is handled has other important
implications for democracy. On of the frightening things about high
technology is that, because it requires a high degree of scientific
education in those who work in it, a new priesthood develops (Tony
Benn, A. 1979).
Pengenalan terhadap undang-undang siber di negara ini adalah bertujuan untuk
mewujudkan suatu keseimbangan dalam perubahan teknologi maklumat dengan bidang-
bidang kerja lain, sama ada di dalam bentuk perniagaan, kerjasama, perundingan atau
pencantuman teknologi (convergence). Aspek-aspek yang diberi perhatian dalam regulasi
ini adalah dari sudut penentuan status undang-undang urus niaga digital, perlindungan
pengguna dan meminimumkan penyalahgunaan undang-undang (Norkhanizan, 1998).
Pengurus Kanan, Jabatan Undang-undang Multimedia Development Corporation Sdn.
Bhd. (MDC), Dr. Khaw Lake Tee berpandangan bahawa aspek yang perlu diberi
perhatian dalam perancangan dan pelaksanaan undang-undang siber di Malaysia, iaitu
dari segi penggubalan akta sedia ada.
Undang-undang siber di negara ini merupakan suatu perundangan yang baru, kompleks
dan perlu disesuaikan dengan sistem perundangan dalaman negara serta bersesuaian pula
dengan keperluan dan identiti masyarakat.
Oleh sebab itu, suatu penelitian secara menyeluruh dengan mengambil kira aspek-aspek
psikologikal, sosiologikal masyarakat dan perkembangan teknikal di dalam teknologi
perlu diambil kira dalam penggubalan akta. Ia membolehkan akta tersebut dikatakan
‘relevan’ dengan perubahan atau perkembangan teknologi buat suatu tempoh tertentu.
Oleh yang demikian, kerja-kerja penciptaan dan penggubalan undang-undang siber
seperti ini merupakan suatu tugas yang agak rumit, memandangkan jarak perubahan
teknologi maklumat yang terkandung di dalam undang-undang sedia ada adalah jauh. Ia
memerlukan suatu tugas teknikal yang kompleks untuk mengimbangi perubahan
teknologi yang berlaku masa kini dengan teknologi terdahulu supaya ia dapat menepati
dasar dan falsafah negara.
Aspek lain yang terlibat di dalam persoalan undang-undang siber di negara ini ialah dari
segi penguatkuasaan undang-undang itu sendiri. Penggubalan undang-undang siber di
negara ini juga adalah berdasarkan kepada kajian dan penelitian terhadap pelaksanaan
dan penguatkuasaan undang-undang yang serupa di Australia, Amerika Syarikat, Kanada
dan United Kingdom.
Beberapa penyesuaian dan penokokan aspek-aspek perundangan dan teknikal dibuat ke
atas Akta 588, misalnya adalah merujuk kepada persekitaran dan kepentingan bidang
perindustrian di negara ini, pelindungan pengguna dan keperluan masyarakat mengikut
amalan kehidupan, identiti bangsa dan falsafah negara.
Leo Moggie pula menegaskan bahawa pelaksanaan undang-undang siber di negara ini
akan mengundang kepada perubahan proses, kaedah dan prosedur kerja dan keperluan
tenaga mahir di peringkat pelaksanaan perundangan. Beliau menyenaraikan lima perkara
asas yang perlu diberi perhatian dalam pelaksanaan undang-undang siber ini seperti isu
kerjasama antarabangsa, prinsip harta intelek, undang-undang, keselamatan dan peribadi
individu dan organisasi serta kemahiran pekerja intelek.
Di peringkat antarabangsa pula, keperluan untuk menggubal undang-undang siber
berikutan dengan perubahan teknologi yang berlaku di dunia pada masa kini, jelas
membayangkan keprihatinan sesebuah organisasi ataupun negara memastikan bahawa
perubahan teknologi tersebut dapat mengimbangi keperluan negara dan kepentingan
masyarakatnya. Persoalan sedemikian ada dibayangkan di dalam suatu kenyataan yang
dikeluarkan oleh penganjur semasa berlangsungnya Persidangan Diplomatik di Geneva
pada 20 Disember 1996 oleh Pertubuhan Hak Milik Intelektual Sedunia (WIPO);
…the need to introduce new international rules and clarify the
interpretation of certain existing rules in order to provide adequate
solutions to the questions raised by the new economic, social, cultural and
technology developments.
Pertubuhan tersebut juga berpandangan bahawa keperluan penggubalan undang-undang
baru ini adalah merupakan suatu pendekatan terhadap kesan daripada perubahan
teknologi dan penggabungan maklumat dan teknologi komunikasi bagi memelihara hak
keintelektualan di kalangan para karyawan di dalam bidang-bidang tersebut.
Di Malaysia, perkembangan teknologi maklumat dan komunikasi dapat dilihat sebagai
suatu peluang terbuka kepada negara mewujudkan suatu senario baru di dalam bidang
kemahiran berasaskan kepada teknologi dan perundangan siber itu sendiri. Menurut Syed
Hussein (2000), Malaysia telah mengambil langkah yang bijak dan berani dalam
menguatkuasakan undang-undang siber. Ia adalah untuk memudahkan pembangunan dan
program nasional berkaitan dengan era IT dan pencantuman teknologi. Perubahan pesat
di dalam bidang IT di negara ini, menurutnya akan menyediakan Malaysia menghadapi
era kemajuannya yang sedia diwarwarkan menerusi program Wawasan 2020.
Bagi mencapai matlamat tersebut, suatu pendekatan baru dalam penggubalan
perundangan siber telah diwujudkan sejak tahun 1997. Walau bagaimanapun, penokokan
peruntukan teknologi kepada bidang perundangan di negara ini bermula pada tahun 1993
apabila Akta Pembuktian (Evidence Act) dipinda.
Kandungan di dalam akta ini memperuntukan penerimaan pembuktian mana-mana
dokumen yang diistilahkan sebagai inter alia, iaitu data elektronik yang disimpan di
dalam komputer, disket magnetik atau maklumat yang dihasilkan oleh komputer yang
disah atau ditandatangani oleh individu yang terlibat di dalam operasi atau pengurusan
dokumen komputer berkenaan. Ia adalah suatu keperluan dalam perundangan bagi
membolehkan bahan-bahan maklumat elektronik ini digunakan semasa pengendalian kes-
kes perundangan di mahkamah-mahkamah di negara ini.
Pindaan terhadap beberapa peraturan yang termaktub di dalam Akta Hakcipta pada tahun
1997 juga merupakan suatu kaedah pendekatan untuk mengisi kesempurnaan dan
keseimbangan unsur-unsur teknologi baru dengan pemeliharaan hak peribadi atau
keintelektualan di kalangan karyawannya. Akta yang selesai mengalami proses pindaan
perundangan ini diharapkan dapat mendokong penjanaan MSC sebagai inkubator
pembangunan teknologi maklumat di negara ini. Penjelasan terhadap pindaan yang
dilakukan ke atas Akta Hakcipta 1997 menyebut bahawa:
Technology development, especially information technology has
challenged traditional concepts of copyright protection. The Purpose
establishment of the Multimedia Super Corridor (MSC) will generate both
challenges and oppurtunities for Malaysia. The success of the MSC will,
to a certain extent, be determined by the contents that move through it.
These include educational works, entertainment products and information
that are protected under the copyright law. For the MSC to realise its full
potential, it is essential that adequate legal protection be made available
to these works.
Oleh yang demikian, kewujudan suatu sistem perundangan siber di negara ini boleh
disifatkan sebagai suatu persediaan perundangan yang memberi ruang kepada sebarang
bentuk teknologi maklumat diadaptasikan di dalam bidang-bidang tertentu. Ia tidak
menimbulkan masalah dari sudut perundangan sebab bentuk regulasi yang terkandung di
dalam sistem perundangan ini adalah berasaskan kepada suatu konsep liberal, fleksibel
dan boleh disesuaikan dengan perkembangan teknologi maklumat semasa.
3. Jenis-jenis Undang-undang Siber di Malaysia
Akta Hakcipta (Pindaan) 1997
Pindaan yang dibuat ke atas Akta Hakcipta asal 1987 ini adalah unjuran saranan daripada
WIPO untuk menangani pelbagai persoalan atau kemungkinan-kemungkinan yang tidak
dijangka berikutan perkembangan teknologi Internet di negara ini.
Di bawah Seksyen 41 di dalam akta ini menyebut bahawa terdapat tiga bentuk baru
pencerobohan ke atas perlindungan hakmilik intelektual, selain daripada perkara-perkara
yang disenaraikan di dalam Akta Hakcipta 1987. Pelanggaran ini meliputi;
a) menggunakan dengan bebas mana-mana pengukuran teknologi efektif yang
digunakan oleh karyawan berhubung dengan hak menjalankan tugas mereka dan
mana-mana akta yang tidak dibenarkan ke atas mereka;
b) penyingkiran atau pengubahsuaian mana-mana maklumat pengurusan secara
elektronik tanpa kebenaran; dan
c) menganggu, mengimport untuk pengedaran atau menyebarkan maklumat kepada
orang ramai tanpa kebenaran, apa-apa juga hasil karya atau salinan karya daripada
mana-mana maklumat pengurusan secara elektronik yang telah disingkirkan atau
diubahsuai tanpa kebenaran.
Jika disabitkan kesalahan, seseorang itu boleh dikenakan denda maksimum
RM250,000.00 (dua ratus lima puluh ribu ringgit) atau penjara tidak lebih daripada tiga
tahun atau kedua-duanya. Bagi kesalahan berikutnya, dendanya ialah RM500,000.00
(lima ratus ribu ringgit) atau penjara tidak lebih daripada lima tahun ataupun kedua-
duanya sekali.
Pengenalan kepada bentuk hak pemeliharaan intelektual ini adalah merupakan suatu
pendekatan baru kerajaan untuk mengawalselia mana-mana maklumat yang dipaparkan
secara elekronik, sama ada dalam bentuk visual, audio ataupun on-line, menggunakan
mana-mana teknologi elektronik dan menghalang berlakunya pencerobohan ke atas
maklumat-maklumat tersebut. Dalam erti kata lain, menjadi suatu kesalahan bagi
seseorang individu mengubah, menyingkir atau membuat apa juga pindaan ke atas
maklumat organisasi atau individu yang disiarkan menerusi visual seperti laman web.
Akta Jenayah Komputer 1997
Akta ini merupakan komponen daripada peruntukan di bawah Akta 563 Undang–undang
siber yang diperkenalkan bagi menangani masalah penyalahgunaan maklumat atau akses
komputer yang boleh menganggu operasi sistem pengkomputeran. Akta yang telah
diluluskan di dalam Parlimen pada bulan Mac 1997 ini disifatkan menyerupai UK
Computer Misuse Act 1990, terutamanya berhubung dengan penjenisan kesalahan-
kesalahan penyalahgunaan komputer seperti memperkenalkan virus komputer, penipuan
(fraud), ataupun pemansuhan program komputer tanpa kebenaran.
Beberapa pendekatan terhadap kesalahan di bawah ini adalah dirujukkan di bawah
Seksyen 3 hingga 6 dalam akta ini, meliputi perkara-perkara seperti berikut;
a) Capaian tanpa kuasa kepada bahan komputer (unauthorised access to computer
material) atau lebih dikenali sebagai hacking. Ia boleh terdiri daripada Capaian
tanpa kuasa dalam keadaan biasa (Seksyen 3) yang dianggap sebagai suatu
kesalahan di bawah Bahagian II Seksyen 3(1) apabila seseorang itu didapati;
menyebabkan suatu komputer melaksanakan apa-apa fungsi dengan niat untuk
mendapatkan capaian kepada mana-mana atur cara (program) atau data yang
disimpan dalam mana-mana komputer;
capaian yang dia berniat untuk didapati adalah tanpa kuasa (tanpa izin atau kebenaran
pihak-pihak berkenaan); dan
dia tahu semasa dia menyebabkan komputer itu melaksanakan fungsi itu, demikian
berlakunya (sama ada perbuatannya itu sedar ataupun tidak).
Seksyen 3 (2) pula menyebut bahawa perbuatan individu itu tetap salah biarpun dia tidak
menunjukkan perbuatannya itu kepada mana-mana program atau data tertentu, atau
kepada suatu program atau data yang disimpan di dalam mana-mana komputer tertentu.
Bagi kesalahan jenis ini, seseorang individu boleh didenda tidak melebihi RM50.000
(lima puluh ribu ringgit) atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali.
b) Capaian tanpa kuasa dengan niat tertentu (unauthorised access with intent to
commit or facillitate futher offence). Ia dirujukkan di bawah Seksyen 4 yang
meliputi kesalahan-kesalahan seperti;
melakukan penipuan (fraud), kecurangan atau menyebabkan kecederaan atau mudarat
yang ditakrif dalam Kanun Keseksaan (Seksyen 4 (1));
Pencerobohan itu memudahkan atau membolehkan berlakunya satu kesalahan, sama
ada oleh penceroboh itu sendiri atau oleh orang lain
Kesalahan jenis ini dianggap serius kerana ia dikatakan lebih membahayakan komputer
dan memerlukan bukti yang cukup mengenai mens rea (niat jahat) pihak yang melakukan
kesalahan itu ketika dia melakukan pencerobohan tersebut (Salleh Majid, 1998). Jika
seseorang itu disabitkan kesalahan, dia akan didenda tidak melebihi RM150,000 (seratus
lima puluh ribu ringgit) ataupun penjara tidak melebihi 10 tahun ataupun kedua-duanya
sekali.
c) Pengubahsuaian tanpa kuasa kepada kandungan komputer (unauthorised
modification of the contents of a computer)
Jenis kesalahan ini dirujukkan di bawah Seksyen 5. Ia meliputi perkara-perkara
seperti pengubahsuaian maklumat, data, kandungan (content) atau program
komputer yang dilakukan tanpa mendapat kebenaran daripada pihak-pihak yang
berkenaan. Jika sabit kesalahan, seseorang itu boleh dikenakan denda tidak
melebihi RM100,000 (seratus ribu ringgit) atau penjara tidak melebihi tujuh tahun
atau kedua-duanya sekali.
Sekiranya niat individu itu bersabit pula dengan bentuk kecederaan yang
ditakrifkan di bawah Kanun Keseksaan, hukuman yang dikenakan ialah denda
tidak melebihi RM150, 000 (seratus lima puluh ribu ringgit) atau penjara tidak
melebihi 10 tahun, atau kedua-duanya sekali.
d) Komunikasi salah (wrongful communication of the means of access).
Kesalahan di bawah peruntukan Seksyen 6 ini pula mengkategorikan individu
yang melakukan kesalahan ‘komunikasi salah’ apabila individu tersebut, secara
langsung atau tidak langsung telah membocorkan maklumat-maklumat data
seperti nombor, kod, kata laluan (password) atau cara capaian lain kepada orang
lain yang tidak berhak meneruima maklumat tersebut (Salleh Majid, 1998).
Adalah dikhuatiri bahawa kebocoran maklumat atau data tersebut akan menjejaskan
sistem pengkomputeran atau boleh juga terdiri daripada mana-mana kesalahan yang
terkandung di dalam Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) atau OSA.
Bagi kesalahan jenis ini, seseorang individu yang disabitkan kesalahan boleh didenda
tidak melebihi RM25,000 (dua puluh lima ribu ringgit) ataupun dipenjara tidak melebihi
tiga tahun, atau kedua-duanya sekali.
Peruntukan di bawah Seksyen 7 pula menyebut bahawa mana-mana individu yang
membantu atau mempunyai niat untuk melakukan kesalahan di bawah akta ini boleh
dikenakan hukuman berdasarkan kepada keyakinan penuh pihak-pihak tertentu
terhadapnya.
Sementara itu pula, Seksyen 8 di dalam akta ini menghalang individu yang memelihara
atau mengawal mana-mana program, data atau mana-mana maklumat yang terdapat di
dalam komputer tanpa kebenaran. Ia boleh dikira melanggari undang-undang dengan cara
memiliki akses yang tidak mendapat kebenaran sah bagi memperolehi data atau
maklumat tersebut.
Akta ini juga memberi kuasa yang luas kepada pihak polis untuk mengadakan
penyiasatan ataupun penangkapan bagi kesalahan-kesalahan yang terkandung di dalam
akta ini.
Biarpun akta ini boleh disifatkan sebagai pelindung kepada perbuatan penyalahgunaan
komputer oleh pihak yang tidak bertanggungjawab seperti penyebaran virus, hacking
ataupun fraud, masih terdapat beberapa kelemahan yang dikenalpasti seperti;
a) kesukaran memperolehi bukti yang kukuh bagi mendakwa pesalah-pesalah;
b) kekurangan maklumat yang boleh diperolehi oleh pihak polis mengenai sesuatu
kejadian penyalahgunaan kuasa disebabkan oleh sistem perolehan data yang
kompleks;
c) kekurangan pemahaman terhadap bidang teknologi maklumat di kalangan polis
ataupun hakim (Adeline, 1999).
Secara umumnya, Akta Jenayah Komputer (Pindaan) 1997 memberikan suatu dasar
pengawalseliaan terhadap keselamatan dan peribadi komputer di negara ini sebagai suatu
persediaan menghadapi isu-isu berhubung dengan teknologi maklumat dari semasa ke
semasa.
Akta Tandatangan Digital 1997
Akta Tandatangan Digital telah digubal pada tahun 1997 dan dikuatkuasakan pada 1
Oktober 1998 di bawah kumpulan undang-undang siber di Malaysia. Tujuan utama akta
ini digubal ialah untuk menyokong perancangan negara untuk mengembangkan konsep
perdagangan elektroniik menerusi pelaksanaan Koridor Raya Multimedia (MSC).
Penggubalan akta ini juga membolehkan syarikat-syarikat perniagaan atau individu
menggantikan tandatangan tulisan tangan kepada tandatangan digital yang sah di dalam
transaksi perniagaan yang berkaitan dengan perdagangan elektronik. Keadaan ini
membenarkan kerja-kerja pendaftaran secara online atau memiliki lesen secara online.
Akta ini dikatakan melindungi pengumpulan royalti ke atas hakmilik intelektual individu
atau organisasi menerusi peruntukan perundangan tertentu. Menurut Alistair Kelman,
seorang peguam dan pakar litigasi Britain di dalam perundangan komputer, akta ini dapat
digunakan sebagai model seragam (unified model) untuk menjadi garis panduan standard
kepada negera-negara lain.
Secara keseluruhannya, akta ini merupakan satu undang-undang yang menyentuh hak,
tanggungjawab pengguna, pihak berkuasa pemerakuan (Certification Authorities) dan
reponsitories yang terlibat di dalam hal-hal berhubung dengan tandatangan digital di
dalam urusan-urusan tertentu.
Tandatangan digital yang dimaksudkan di dalam akta ini adalah merupakan suatu kaedah
untuk membenarkan seseorang menerima mesej elektronik dengan melakukan
penyiasatan ke atas identiti penghantar. Ia juga merupakan suatu sistem yang dapat
memastikan kesahan sesuatu mesej (authenticity of messages) dapat dihantar melalui
sistem rangkaian maklumat komputer dengan sistem kripto tak simetri (Asymmetric
Cryptosystem). Sistem ini diperakui sah seperti yang diamalkan pada sistem pengenalan
tandatangan atau cap jari.
Istilah ‘tandatangan digital’ yang dimaksudkan di bawah undang-undang ini bererti
‘penjelamaan sesuatu mesej dengan menggunakan suatu sistem kripto tak simetri dengan
sedemikian seseorang yang mempunyai mesej awal itu dan kunci awam penandatangan
boleh menentukan dengan tepat sama ada penjelmaan itu dihasilkan dengan
menggunakan kunci persendirian yang berpadanan dengan kunci awam penandatangan
tersebut. Ia juga boleh diuji dengan menentukan sama ada mesej itu telah diwujudkan
sejak penjelmaan itu dibuat.
Di bawah seksyen 64 dan 65 di dalam akta itu menyatakan bahawa tandatangan digital itu
merupakan suatu mesej yang ditandatangani hendaklah sah, berkuatkuasa dan berkesan,
seolah-olah ia telah ditulis di atas kertas ataupun dokumen asal.
Menerusi sistem kripto tak simetri yang dijelaskan di dalam akta tersebut, terdapat dua
jenis kunci yang menentukan kesahihan tandatangan digital, iaitu kunci awam dan kunci
persendirian. Kunci awam adalah kunci yang digunakan untuk mengesahkan (to verify)
suatu tandatangan digital, manakala kunci persendirian pula digunakan untuk
menghasilkan suatu tandatangan digital. Kuasa untuk mengeluarkan perakuan bentuk
tandatangan digital ini ditentukan oleh pihak berkuasa pemerakuan, iaitu pegawai yang
mengawasi dan menyelia aktiviti pihak berkuasa pemerakuan di bawah seksyen 3(1).
Pada bahagian V, seksyen 62(2) di dalam akta ini ada menyatakan bahawa tandatangan
digital yang disahkan oleh pihak berkuasa pemerakuan ini adalah sah dan penting seperti
tandatangan tulisan tangan atau cap ibu jari. Tandatangan digital yang tertera pada
sesuatu dokumen boleh disifatkan sebagai suatu tandatangan yang mengikat di sisi
undang-undang.
Di dalam akta ini juga dibekalkan dengan peruntukan denda ke atas mana-mana pihak
berkuasa pemerakuan yang beroperasi tanpa lesen. Jika disabitkan kesalahan, ia boleh
dikenakan denda tidak melebihi RM500,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak
melebihi sepuluh tahun atau kedua-duanya sekali.
Akta Teleperubatan 1997
Akta ini terkandung di dalam senarai Undang-undang Siber yang diwartakan oleh
Kerajaan pada tahun 1997. Tumpuan profesionalisme di dalam bidang perubatan di
negara sebelum ini hanyalah berasaskan kepada sistem formal, iaitu sistem perubatan
bersemuka dengan pesakit secara fizikal.
Akta ini dikatakan agak istimewa kerana struktur perkhidmatan perubatan yang
dibekalkan oleh seseorang doktor kepada pesakitnya boleh dilakukan pada sebarang
masa, sebarang keadaan dan sebarang tempat dengan menggunakan teknologi siber.
Akan tetapi, selepas pelaksanaan akta ini, seseorang doktor dibolehkan merawat
pesakitnya secara jarak jauh tanpa berinteraksi secara fizikal, sebaliknya menggunakan
teknologi komunikasi tertentu yang membolehkan semua maklumat, data dan kedudukan
pesakit dihantar oleh pesakit kepada doktor berkenaan untuk dibuat pengesahan
kedudukan kesihatan pesakit yang dirawatinya.
Di Amerika dan Eropah, teknologi maklumat berkaitan dengan bidang perubatan ini
boleh dikatakan popular. Pesakit berinteraksi dengan doktornya hanya melalui komputer.
Penggunaan alatan-alatan perubatan tertentu seperti mesin tekanan darah, mesin pengesan
denyutan jantung dan sebagainya disalurkan menerusi komputer sebelum suatu analisis
tahap kesihatan dibuat oleh doktor berkenaan di kliniknya.
Pada kebiasaannya, kes sebegini berlaku di kawasan pendalaman yang menyukarkan
perjalanan doktor ke kawasan itu ataupun penyakit-penyakit tertentu yang memerlukan
kepakaran doktor dari klinik atau hospital yang terletak jauh daripada tempat tinggal
pesakit.
Seksyen 2 di dalam akta ini mendefinisikan ‘teleperubatan’ sebagai ‘suatu amalan
perubatan menggunakan audio, visual dan komunikasi data’. Akta ini membolehkan para
pengamal perubatan berlesen di Malaysia dan mendaftar dengan Majlis Perubatan
Malaysia memberikan rundingan perubatan secara jarak jauh kepada para pesakit.
Kemudahan ini menjadikan Malaysia sebagai negara ASEAN yang pertama
memperkenalkan kemudahan teleperubatan menerusi sidang video, rekod kesihatan dan
perundingan langsung dengan pesakit (Zulkifli, 1998).
Keberkesanan teknologi perubatan siber ini telah pun diuji semasa berlangsungnya
Temasya Sukan Komanwel 1998 di Kuala Lumpur. Menurut Pakar Perubatan Kecemasan
Fizikal di Hospital Kuala Lumpur, suatu hubungan teleperubatan daripada Hospital Kuala
Lumpur dan Pantai Medical Centre disalurkan kepada beberapa buah pusat kesihatan
yang terkenal di peringkat antarabangsa seperti Massachussets General Hospital, John
Hopkins Hospital dan London Clinic.
Para pakar kesihatan fizikal di Hospital Kuala Lumpur dan Pusat Perkampungan
Perubatan di Bukit Jalil boleh menghantar dokumen-dokumen perubatan seperti X-ray
dan ECG secara elektronik dan membolehkan suatu interaksi bersemuka dilakukan di
antara pakar perubatan fizikal dari luar negara dengan pesakit yang berada di Kuala
Lumpur. (Sangal, 1999)
Walau bagaimanapun Seksyen 3 di dalam akta ini menyebut bahawa tidak ada seseorang
pun yang boleh membekalkan perkhidmatan teleperubatan ini dengan syarat;
a. memiliki sijil perubatan yang sah dan mendaftar sebagai pengamal perubatan
yang dibenarkan;
b. bagi pengamal perubatan yang mendaftar atau memiliki lesen di luar Malaysia
haruslah;
(i) memiliki sijil amalan teleperubatan yang dikeluarkan oleh Majlis
Perubatan Malaysia;
(ii) mengamalkan teleperubatan di luar Malaysia menerusi pendaftaran
amalan perubatan yang sah dengan memiliki sijil amalan perubatan yang
dibenarkan
Seksyen yang sama juga memperuntukkan penalti yang dikenakan kepada pengamal
teleperubatan yang didapati melanggari syarat-syarat tersebut, boleh dikenakan denda
tidak lebih daripada RM500,000 (lima ratus ribu ringgit) atau penjara tidak melebihi lima
tahun ataupun kedua-duanya sekali.
Akta Cakera Optik 2000
Akta Cakera Optik ini dikuatkuasakan pada 15 September 2000 di bawah Kementerian
Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna. Ia boleh dianggap sebagai salah
satu daripada rangkaian undang-undang siber yang dilaksanakan di negara ini. Ia
merangkumi takrifan teknologi yang media yang luas yang melibatkan isu hakcipta dan
pemilikan hak milik intelektual ke atas perekaan dan penggunaan bentuk-bentuk media
tersebut. Skop akta ini meliputi pengawalan di peringkat sumber teknologi media,
peniruan program komputer, filem, muzik atau permainan video yang dianggap memiliki
peruntukan hak cipta sama ada dari segi program, aplikasi program, perekaan kandungan
dan sebagainya.
Pelaksanaan akta ini dapat dilihat sebagai usaha kerajaan untuk membasmi gejala cetak
rompak yang melibatkan peniruan perisian atau program komputer dan sistem peniruan
terhadap penyalinan karya muzik, sama ada di dalam bentuk video, kaset, CD-ROM,
DVD, ataupun terdapat kes penyalinan dan pemindahan data-data berkenaan ke dalam
komputer, Internet ataupun sistem rangkaian maklumat tanpa mendapat keizinan hakcipta
daripada karyawan asal.
Ia dikatakan sebagai satu usaha yang progresif dalam membendung masalah yang
berkaitan dengan isu hakcipta dan hak milik intelektual karyawan ke atas karya-karya
mereka yang diterbit atau dipindahkan ke dalam bentuk teknologi optik atau
pengkomputeran di negara ini.
Rang Undang-undang Perlindungan Data Peribadi 2000
Rang undang-undang ini diperkenalkan pada bulan September 2000 dan diwujudkan
selepas penguatkuasaan Akta Komunikasi dan Multimedia. Ia dikatakan bakal menjadi
pendokong kepada kesempurnaan akta-akta siber yang lain. Ini adalah kerana ia
menyediakan suatu peruntukan perundangan yang khusus berkaitan dengan
kesempurnaan pemeliharaan peribadi data seseorang pengguna. Perundangan yang
terkandung di dalam rang undang-undang ini juga dapat mengelakkan perbuatan
pencerobohan, peniruan atau penyalinan data tanpa kebenaran yang dilakukan oleh
seseorang individu atau organisasi secara manual mahupun elektronik.
Tujuan digubal akta sedemikian ialah untuk mewujudkan suatu bentuk perundangan yang
berhubung dengan pengumpulan, pemprosesan dan penggunaan data peribadi oleh
individu atau organisasi dengan membekalkan perlindungan terhadap data peribadi
individu dan mengawalselia peribadi maklumat individu tersebut. Ia juga menyediakan
suatu garis panduan penyelenggaraan dan pemeliharaan data peribadi oleh individu atau
organisasi.
Rang undang-undang ini mengandungi 116 seksyen beserta dua jadual. Pendekatan
utama yang diberi penekanan di dalam rang undang-undang ini ialah mengenai
kesempurnaan pengendalian peribadi data individu. Sekyen pertama di dalam rang
undang-undang ini dengan jelas menyenaraikan sembilan prinsip perlindungan data. Ia
termasuklah;
a) bentuk pengumpulan data peribadi
b) tujuan pengumpulan data peribadi
c) penggunaan data peribadi
d) pendedahan data peribadi
e) ketepatan data peribadi
f) tempoh masa penyimpanan data
g) akses dan pembetulan yang dibuat ke atas data
h) keselamatan dan peribadi data peribadi
i) maklumat data yang diperolehi secara umum
Seperti Akta 588, rang undang-undang ini juga memperuntukkan suatu klausa yang
mewujudkan penubuhan sebuah suruhanjaya bagi mengurus dan mengawalselia
penguatkuasaan dan pembangunan akta ini nanti. Fungsi lain bagi suruhanjaya tersebut
ialah untuk membentuk kod-kod amalan pemeliharaan peribadi data yang disyorkan oleh
sebuah Forum pengguna yang dilantik.
Di samping itu juga, suatu Tribunal Rayuan akan diwujudkan bersama dengan
suruhanjaya berkenaan sebagai usaha untuk merangsang ketelusan di dalam
mengimbangi keputusan-keputusan pentadbiran. Ia juga bertujuan untuk mempercepat
dan mengurangkan kos rayuan yang berhubung dengan keputusan-keputusan kes yang
dibuat oleh suruhanjaya.
Bagi kesalahan kerana mencerobohi atau menyalahgunakan peribadi data peribadi ini,
kompaun atau denda bernilai RM50,000 hingga RM250,000 boleh dikenakan kepada
individu atau organisasi yang didapati melanggar peruntukan perundangan di dalam akta
itu nanti. Akta ini juga dikatakan bersifat ‘pelindung’ kepada pemeliharaan hak peribadi
data individu atau organisasi sekiranya perkara-perkara berikut dipatuhi;
a) Akta ini digunapakai ke atas data peribadi yang bersifat automasi atau bukan
automasi (manual);
b) Pengguna data perlu mengikut format amalan penggunaan data yang sedia ada.
Rang undang-undang ini boleh disifatkan sebagai suatu kelengkapan bagi mencapai
kesempurnaan pengurusan data dan diharapkan dapat menyelesaikan masalah
penyelewengan atau penyalahgunaan data peribadi di dalam era digital pada hari ini.
6.Pemahaman Mengenai Istilah ‘Multimedia’
Istilah multimedia berasal daripada bahasa Inggeris yang merujuk kepada suatu gabungan
teknologi audio, visual dengan sistem teknologi maklumat. Teknologi multimedia ini
dikatakan wujud apabila sistem teknologi maklumat yang berdasarkan kepada sistem
pemperosesan data berkembang di Amerika Syarikat dan Eropah (Awanglah, 2000).
Multimedia boleh disifatkan sebagai suatu sistem penghantar maklumat yang
komprehensif, imaginatif dan realible kerana ia memaparkan data-data menerusi suatu
sistem gambaran atau persembahan yang dapat menimbulkan kesan kepada audien.
Terdapat beberapa pengertian atau pemahaman terhadap teknologi seperti ini. Jeniffer
Thomas (1999) membahagikan istilah multimedia ini kepada dua, iaitu ‘MULTIple’ dan
‘Media’. Beliau menyifatkan bahawa multimedia ini dibina daripada suatu prinsip yang
mudah, tetapi diperkembang dan dipertingkatkan keupayaannya melewati dunia
videoteks, animasi, imej 3- dimensi, grafik dan bunyi. Secara umumnya, peranan
multimedia, menurut beliau;
“…to define the process of bolting all these wonderful things together
within the confines of a computer. Never underestimate the power of the
spoken word or a musical clip to add an element of realism or
professionalism to a multimedia application.”
Istilah multimedia sebagai suatu bentuk gabungan teknologi ini mula digunakan pada
tahun 1960an (Mashkuri dll., 1999) apabila suatu bentuk visual slaid dipersembahkan
bersama pita audio untuk mendapatkan ‘impak’ atau kesan penayangan yang interaktif.
Pada tahun 1978 pula cakera-video Laservision yang diusahakan oleh syarikat Philips
adalah merupakan suatu penjelmaan kepada perkembangan teknologi CD-ROM dan
Video CD di rantau Asia dan kemudiannya diikuti oleh Amerika Syarikat dan negara-
negara Eropah.
Penggabungan teknologi interaktif ini pula diaplikasikan ke adalam sistem teknologi
maklumat dan pengkomputeran bagi membolehkan suatu persembahan gabungan
teknologi secara interaktif dapat diusahakan lebih komprehensif serta memenuhi
pengisian keperluan teknologi maklumat semasa.
Secara umumnya, multimedia merupakan suatu konsep penggabungan media secara
interaktif yang boleh menyokong sistem pembekalan maklumat data, pemindahan dan
pencantuman data bagi membolehkan suatu persembahan maklumat dibuat dengan
sistematik dan berkesan. Konsep ini diperjelaskan oleh Mashkuri sebagai;
“Sistem multimedia dicirikan sebagai dikawal-komputer, penghasilan bersepadu,
pengolahan, persembahan, pensetoran dan komunikasi bagi maklumat bebas yang
dikodkan sekurang-kurangnya menerusi perantara selanjar (bersandar pada masa) dan
diskrit (tiada persandaran masa)”
Konsep tersebut membawa kepada empat pendekatan asas kepada suatu sistem
multimedia yang dibentuk. Ia meliputi;
a) pendekatan format perisian multimedia secara digital yang bersesuaian dengan
sistem komputer;
b) penghasilan data secara berasingan sebelum ia digabungkan di dalam suatu format
yang teratur dan sempurna;
c) data-data disetorkan sebelum diagihkan ke dalam format yang bersepadu mengikut
tempoh masa yang diperlukan; dan
d) persembahan data adalah berbentuk interaktif selepas sesuatu data dikumpulkan dan
diolah mengikut keperluan perisian teknologi maklumat semasa.
Mohd. Jamil Sulaiman (1999) pula membahagikan multimedia kepada dua peringkat,
iaitu peringkat asas yang meliputi persembahan teks dan gambar statik dan peringkat
lanjutan yang merangkumi data interaktif seperti video, animasi, imej, bunyi dan teks.
Beliau berpandangan bahawa teknologi ini boleh memperkayakan ilmu pengetahuan dan
pengalaman minda pengguna kepada suatu corak pembelajaran yang dinamik.
Haniram Jayaram (1991) pula mengaitkan bentuk teknologi komunikasi ini dengan
proses penggabungan data di dalam media-media yang wujud secara berasingan. Beliau
menjelaskan bahawa;
“Multimedia is a form of media which incorporates information on
differing genres and expresses them in binary form, a digital code using
0’s and 1’s. Information which once handled separately in various form
eg. as literacy, artistic, musical works through books, paintings and
records, may be presented and accessed in an integrated manner.”
Beliau menyifatkan bahawa data-data daripada media berasingan ini akan mewujudkan
suatu kombinasi penyempurnaan data yang dapat dipersembahkan ke dalam suatu
medium yang interaktif dan fleksibel.
Universiti Multimedia Malaysia (MMU) pula merujuk definisi teknologi multimedia ini
dalam suatu konsep pengembangan fungsi atau peranan teknologi itu sendiri. Multimedia
dikatakan dapat menjelmakan beberapa bentuk perusahaan teknologi yang berkaitan
seperti sistem telekomunikasi, teknologi maklumat, pembangunan perisian, penghasilan
kandungan maklumat dan pengurusan perniagaan. Menurutnya;
“The word ‘Multimedia will encapsulate the entire spectrum of
multimedia, that is, from the infrastructure to the application and
management of multimedia. At one end of the spectrum is the enabler of
multimedia technology that will cover telecommunication and network and
at the other end is the application and management of content.”
Khaw (2000) mengaitkan bahawa proses penggabungan teknologi media pada hari ini
adalah berasaskan kepada pembangunan sistem multimedia yang berkembang pesat dan
mempengaruhi persekitaran media secara keseluruhannya. Menurut beliau, impian
Kerajaan Malaysia untuk menjayakan konsep MSC adalah merupakan suatu usaha
berterusan Kerajaan membangunkan teknologi multimedia di rantau ini secara besar-
besaran, bersepadu dan sistematik.
Pemahaman mengenai konsep sistem pembangunan multimedia ini adalah penting kerana
ia mendirikan suatu sistem penggabungan industri media yang berhasil menciptakan
bidang-bidang industri atau perniagaan media yang baru. Leo Moggie (1999)
menyifatkan bahawa pendekatan sistem penggabungan media menerusi saluran
multimedia yang bersepadu ini boleh mengembangkan peranan sesebuah industri
tempatan dalam menghasilkan produk perkhidmatan yang mengikut piawaian
antarabangsa. Tambah beliau;
“The convergence business model covers a global market place between
phsically anonymous buyers and sellers, dealing with scores of weightless
and invisible products that are exchanged with non-tangible currency.”
Satu aspek yang agak penting terkandung di dalam sesuatu sistem multimedia ialah
kandungan maklumat. Ia dikatakan memberi kesan terhadap corak persembahan
multimedia, pengisiannya dan juga penerimaannya di kalangan masyarakat. Kandungan
maklumat ini mencerminkan bagaimana teknologi ini dapat digunakan dengan sempurna
kepada audien dan memberikan suatu gambaran menyeluruh mengenai motif
persembahan sesuatu multimedia yang dipertontonkan. Thomas J. Sumedinghoff (1994)
menjelaskan pengisian kandungan maklumat di dalam sistem multimedia:
The content for the multimedia product is typically created, copied, and
adapted via a variety of software tools, sewed together using a software
product known as an authoring tool, presented to the user via a user
interface, and navigated by the user through the use of a software search
engine or other software tool.
Menurut beliau, kandungan maklumat yang dipilih, akan diedit, diperkembangkan dan
diadaptasikan kepada perisian tertentu yang direka bagi tujuan tersebut. Pemilihan
terhadap kandungan maklumat ini perlu berasaskan kepada ketepatan maklumat, relevan
maklumat kepada topik dan bagaimana maklumat tersebut boleh dipindahkan ke dalam
bentuk audio, visual atau grafik yang mudah difahami oleh audien.
Secara keseluruhannya, teknologi multimedia ini menyediakan suatu platform rangkaian
fungsi mengikut bidang yang diperlukan untuk mengisi objektif sistem jalinan lebuh raya
maklumat. (Information Super Highway). Bidang-bidang yang dibangunkan menerusi
perkembangan teknologi multimedia tersebut ialah perundangan siber, pengurusan
perniagaan, sistem pemasaran digital, pembangunan kandungan dan pendidikan,
pembangunan perisian dan kemajuan di dalam industri telekomunikasi.
Platform rangkaian ini diperlukan bagi memenuhi konsep persekitaran global yang
banyak menggunakan teknologi maklumat sebagai penghantar utama proses komunikasi.
5. Aspek Perundangan Dalam Multimedia
Sistem multimedia merupakan suatu kesan inovatif terhadap teknologi maklumat dan
media yang mengandungi kandungan maklumat tertentu. Pemindahan sesuatu data
maklumat ke dalam suatu sistem penyatuan data yang meliputi penggabungan aplikasi
data yang lain ini, mengandungi berbagai persoalan perundangan yang berkaitan
dengannya.
Thomas (1994) telah mengenalpasti empat komponen teknikal yang mendirikan suatu
pengertian kepada sistem multimedia ini, mengikut perspektif perundangan. Ia
termasuklah penggabungan perisian dan kandungan dari pelbagai format, kandungan
berasaskan bentuk digital, data yang disimpan dan dipindahkan melalui teknologi
komputer dan ia digunakan secara interaktif serta bersifat bukan linear.
Pertama, proses penggabungan perisian kandungan di dalam sistem multimedia, menurut
beliau memerlukan suatu regulasi tersendiri yang meliputi prosedur kerja, pengambilan
dan pemindahan data. Persoalan yang ditimbulkan di sepanjang proses ini ialah dari segi
pemilikan hak intelektual dan hakcipta. Perolehan, pengumpulan dan pemindahan data
dari suatu sumber melibatkan pihak pemegang hakcipta dan pengguna maklumat
tersebut. Di dalam hal ini, beberapa aspek perundangan diperlukan pada tahap ini.
Kedua, produk multimedia itu sendiri terdiri daripada format digital. Pendigitalisasian
maklumat daripada kandungan asal yang berasingan kepada kod-kod maklumat
berbentuk data yang kemudiannya disalin, dimanipulasi, dicantum, diadaptasi dan
disedarkan kepada suatu format digital, juga memerlukan suatu rangka struktur prosedur
yang jelas. Ia banyak melibatkan soal pemilikan hakcipta intektual yang boleh
diselesaikan menerusi regulasi tertentu.
Ketiga, pemindahan data gabungan di dalam sistem multimedia kepada bentuk CD-ROM
ataupun Sistem Pengkalan Data (Data Networking System) adalah diperlukan untuk
menyimpan data-data tersebut bagi suatu tempoh masa yang tertentu. Data-data dari
sistem multimedia juga boleh dipindahkan kepada media lain seperti sistem telefon WAP,
televisyen kabel, satelit dan sebagainya. Urusan pemindahan dan penyimpanan data-data
sebegini memerlukan suatu kaedah atau proses yang perlu dipatuhi dan juga tertakluk
kepada peraturan atau undang-undang tertentu.
Keempat, penggabungan data di dalam sistem multimedia ini mengandungi kerja-kerja
teknikal yang mewujudkan suatu persekitaran maklumat yang bersifat interaktif. Sistem
multimedia juga, menurut Thomas, adalah anjal, fleksibel dan bukan linear.
Ia bermakna bahawa seseorang pengguna tidak perlu mengikut peraturan akses tertentu di
dalam sistem multimedia bagi mendapatkan maklumat yang dikehendakinya. Ia memadai
dengan menekan butang pada kategori laluan maklumat yang tersenarai pada papan
buletin atau monitor. Kemudahan ini juga merangkumi beberapa penggabungan aspek
teknikal di dalam suatu sistem maklumat bersepadu.
Thomas beranggapan bahawa sifat keanjalan yang terdapat di dalam sistem multimedia
ini mendorong kepada beberapa persoalan perundangan, seperti aspek pelesenan,
pemilikan teknologi dan sebagainya dapat diselesaikan dengan sempurna.
Jika ditinjau dari perspektif perundangan, terdapat beberapa jenis undang-undang yang
dikatakan meliputi kandungan multimedia yang dibincangkan di atas. Kebanyakan
daripada undang-undang berikut telah pun dilaksanakan di Malaysia. Namun begitu,
penekanan terhadap beberapa aspek yang berhubung dengan teknikal dalam teknologi
multimedia masih memerlukan pengisian perundangan yang secukupnya bagi
membolehkan sesuatu undang-undang itu bersifat relevan terhadap perubahan teknologi
semasa.
Khaw (2000) telah menggariskan beberapa penekanan terhadap aspek perundangan yang
perlu diambilkira dalam melaksanakan sistem multimedia di negara ini seperti aspek
hakcipta bahan, pemilikan hakcipta kandungan intelektual, trademark dan paten produk.
Undang-undang yang dimaksudkan adalah seperti berikut;
a) Undang-undang Hakcipta.
Undang-undang jenis ini, menurut Thomas (1994) merupakan asas kepada perkembangan
pengisian teknologi dalam sistem multimedia. Suatu sistem multimedia memerlukan
banyak penekanan peraturan terhadap proses kerja pindahan, penyalinan dan pemilikan
intelektual terhadap sesuatu karya yang dijadikan input di dalam suatu sistem multimedia
yang dibangunkan.
Melainkan sesuatu kandungan maklumat itu dicipta khusus bagi tujuan tersebut,
kebanyakan kandungan maklumat di dalam sistem multimedia adalah berasaskan kepada
kerja-kerja pindaan atau penyalinan daripada suatu sumber utama atau sumber asal.
Malaysia telah pun menerajui pembangunan perundangan hakciptanya apabila Akta
Hakcipta 1987 yang asal dipinda pada tahun 1997, sebagai suatu persediaan menghadapi
teknologi siber. Pindaan kepada akta tersebut meliputi soal pemilikan hakcipta menerusi
peralatan siber seperti sistem digital dan seumpamanya yang tidak diperjelaskan di dalam
peruntukan peraturan di bawah akta yang asal.
b) Undang-undang Penjenamaan Produk
Aspek penjenamaan (trademark) produk yang diberi penekanan di dalam sistem
multimedia ialah personaliti, simbol atau jenama produk yang digunakan bagi tujuan
pengisian kandungan multimedia. Perwatakan simbol kartun Walt Disney seperti Mickey
Mouse, Donald Duck ataupun watak kartun tempatan seperti kartun Lat atau Ujang,
misalnya perlu mendapatkan kebenaran bertulis daripada pemegang lesen jenama produk
berkenaan. Perundingan dari segi bayaran honorium atau royalti dibuat di antara
pengguna jenama produk berkenaan dengan pemegang lesen asal jenama produk.
Malaysia belum memiliki undang-undang penjenamaan produk yang khusus, tetapi ia
tertakluk di bawah beberapa akta lain seperti Akta Perdagangan dan Akta Hakcipta 1987.
Sementara itu pula, Akta Perlindungan Pengguna, secara tidak langsung juga ada
membekalkan peruntukan perundangan berhubung dengan pemeliharaan pengeluaran
barangan di kalangan peniaga.
c) Undang-undang Anti-Persaingan
Undang-undang jenis ini meliputi hal-hal yang berkaitan dengan ketidakadilan dalam
sesuatu persekitaran persaingan produk. Ia dikatakan berpunca daripada sikap pengeluar
produk multimedia yang tidak mendapatkan kelulusan menggunakan sesuatu bahan
kandungan dari sumber asal dan kemudiannya mengedarkan bahan tersebut di pasaran.
Gejala penciplakan, penyalinan haram atau cetak-rompak merupakan contoh kegiatan
pengeluaran yang disabitkan sebagai suatu kesalahan di dalam undang-undang sebegini.
Di Malaysia, kegiatan-kegiatan bersifat anti-persaingan tersebut dikategorikan di bawah
kumpulan peraturan di dalam Akta Hakcipta 1987, Pindaan Akta Hakcipta 1997, Akta
Perdagangan dan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
d) Undang-undang Perdagangan
Sistem multimedia juga tertakluk kepada peraturan-peraturan perdagangan yang
mengawal pengedaran kandungan dan pembangunan teknologinya supaya terpelihara dan
tidak dimanipulasikan oleh pihak yang semata-mata mahu mengaut keuntungan daripada
pembangunan teknologi produk multimedia tersebut.
Di antara aspek yang diberi penekanan di dalam undang-undang perdagangan sebegini
ialah seperti operasi pengeluaran dan pemasaran produk multimedia, pembangunan
fizikal produk serta pengisian teknologi produk berkenaan. Ia merujuk kepada elemen-
elemen penting yang terkandung di sebalik pembangunan teknologi produk multimedia
yang menyokong perisian atau peralatan dalam sesebuah sistem multimedia yang
dibangunkan.
Seseorang pengeluar produk multimedia perlu mendapatkan hak untuk melindungi
pembangunan teknologi di sebalik sistem multimedia yang dibentuknya. Ini
membolehkannya memelihara kesempurnaan teknologi supaya tidak disalahgunakan oleh
pihak-pihak tertentu.
Pemasaran produk multimedia ini juga memerlukan suatu bentuk perundangan yang
memelihara kepentingan perdagangan dan pengedaran produk berkenaan, sekiranya ia
dipasarkan secara terbuka di pasaran. Ini membolehkan pengeluar produk tersebut
mengawal kadar pengedaran dan penjualan produk supaya ia dikatakan seimbang dengan
kos pengeluaran produk berkenaan. Misalnya, Microsoft Corp. memiliki hak untuk
memelihara kepentingan pemasaran produknya bagi mengelakkan produknya dicetak
rompak.
Di Malaysia, pengeluaran dan pemasaran produk tertakluk kepada Akta Perdagangan
yang dikendalikan oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri serta
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna.
e) Undang-undang Hasutan
Perkara-perkara yang berhubung dengan kepentingan individu, kumpulan atau organisasi
yang meliputi nama, suara, imej, atau kandungan maklumat yang dikatakan boleh
menjejaskan kepentingan kumpulan tersebut ataupun keselamatan negara, adalah
tertakluk di bawah undang-undang sebegini. Sebarang kenyataan atau gambaran yang
dimanipulasi atau disalahgunakan oleh seseorang individu atau organisasi dalam proses
pengeluaran sistem atau produk multimedia ini boleh disabitkan sebagai suatu kesalahan
dari kategori ini. Ia adalah suatu keperluan untuk memelihara reputasi, kedudukan dan
kepentingan sesuatu pihak berikutan berkembangnya industri multimedia dari semasa ke
semasa.
Di Malaysia, kesalahan-kesalahan sedemikian terkandung di dalam Akta Fitnah 1957,
Akta Hasutan, Kanun Keseksaan dan Akta Komunikasi dan Multimedia 1997.
f) Undang-undang Paten
Sesuatu produk sistem multimedia yang dibangunkan oleh individu atau organisasi
tertentu boleh didaftarkan untuk memperolehi paten bagi produk berkenaan atau
teknologi yang dibangunkan itu. Pemilikan paten bagi sesebuah produk multimedia ini
penting untuk memastikan produk atau sistem yang dibangunkan itu tidak ditiru oleh
pihak lain dengan sewenang-wenangnya. Ia juga dikatakan bertujuan untuk memelihara
imej produk yang dibangunkan.
Malaysia masih belum mempunyai undang-undang paten yang memberi pengkhususan
terhadap pembangunan teknologi maklumat seperti sistem multimedia ini. Namun begitu,
sesuatu produk perdagangan yang dibangunkan di dalam negara ini adalah tertakluk
kepada Undang-undang Hakcipta dan Undang-undang Perdagangan yang memberi ruang
kepada peraturan-peraturan perundangan mengenai pembangunan dan pemilikan hak
paten sesuatu produk yang dihasilkan.
g) Undang-undang Perlindungan Peribadi
Di dalam proses penghasilan suatu produk multimedia, beberapa perkara penting perlu
diambilkira oleh seseorang penerbit, seperti pemeliharaan hak peribadi kandungan
maklumat atau individu dan apa sahaja yang berkaitan dengan kesempurnaan maklumat.
Penerbit produk multimedia perlu menghormati hak peribadi individu tatkala
menggunakan sesuatu kandungan maklumat seperti audio, bunyian, visual, fotografi,
petikan ucapan, kenyataan, perbualan atau apa sahaja yang boleh disifatkan sebagai suatu
pemilikan peribadi individu, organisasi atau kumpulan tertentu.
Pencerobohan terhadap hak peribadi tersebut, sama ada secara sengaja ataupun tidak
sengaja, boleh disabitkan menjadi suatu kesalahan di bawah undang-undang peribadi.
Contohnya, seorang penerbit multimedia menggunakan fotografi seorang individu untuk
memberi suatu perumpamaan telah melakukan suatu perbuatan jenayah atau
seumpamanya. Penerbit tersebut boleh didakwa kerana telah menyebabkan imej individu
berkenaan tercemar dan mendatangkan kecelakaan kepadanya.
Di Malaysia, belum ada undang-undang peribadi yang dikuatkuasakan. Satu Rang
Undang-Undang Perlindungan Data Peribadi (2000) yang digubal dan dipamerkan
kepada umum untuk diteliti, berkuatkuasa daripada 1 September 2000, boleh dianggap
sebagai suatu lagi cabang kumpulan perundangan siber baru yang diperkenalkan di
negara ini. Rang undang-undang tersebut secara keseluruhannya mengandungi
peruntukan-peruntukan perundangan yang melindungi hak intelektual pemilik ke atas
data dan pengaliran data secara elektronik ataupun secara siber.
Suatu kenyataan rasmi daripada Kementerian Tenaga, Komunikasi dan Multimedia
menyebut bahawa kewujudan bentuk perundangan tersebut membolehkan kedudukan
industri telekomunikasi dan multimedia di negara ini akan dapat dipelihara, berikutan
masalah pencerobohan data peribadi atau penciplakan data menerusi sistem teknologi
maklumat semakin membimbangkan para pengusaha industri berkenaan dalam era
globalisasi hari ini. Namun begitu, sebarang kesalahan lain yang seumpamanya boleh
disabitkan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri, Kanun Keseksaan, Akta Hasutan
dan Ordinan Fitnah 1957.
6. Perkembangan Teknologi Internet Di Malaysia
Teknologi Internet mula diperkenalkan di negara ini pada tahun 1996. Sehingga
pertengahan tahun 2000, terdapat tiga pembekal perkhidmatan Internet yang beroperasi
walaupun enam lesen ISP telah pun dikeluarkan sebelum ini. Pembekal-pembekal
perkhidmatan Internet sedia ada adalah seperti TMNet, MaxisNet, dan Time Telecom.
Bilangan pelanggan Internet pula meningkat daripada 68,000 pada tahun 1996; 205,000
tahun 1997; 405,000 tahun 1998; 700, 000 tahun 1999 dan dianggarkan sebanyak satu
juta pada tahun 2000. Jumlah ini dijangka akan berlipat ganda apabila lebih banyak
rangkaian komputer dipasang di dalam kawasan kediaman, perniagaan ataupun sekolah
dan institusi pengajian tinggi tempatan. Sehingga kini, terdapat 2.2 juta komputer yang
digunakan oleh penduduk Malaysia (Mazni Buyong, 2000).
Mengikut kenyataan daripada Kementerian Tenaga, Komunikasi dan Multimedia (1999),
sektor pengendalian talian Internet ini mengalami satu pertumbuhan yang
mengkagumkan, iaitu 468% pada tahun 1996, 338% pada tahun berikutnya dan 182%
pada tahun 1998. Adalah dianggarkan pertumbuhan sebanyak 200% pada tahun 2000
kerana pengendalian operasi perkhidmatan Internet bertambah apabila semua pemegang
lesen ISP telah pun memulakan operasi perkhidmatan mereka.
Perkembangan teknologi maklumat yang pantas di negara ini menyebabkan suatu
penyelarasan terhadap bentuk perkhidmatan yang ditawarkan oleh bidang-bidang
telekomunikasi dan komunikasi perlu mencapai standard yang boleh digunapakai di
peringkat domestik mahupun di peringkat antarabangsa. Oleh sebab itu, beberapa
perubahan atau peralihan dalam pendekatan perundangan siber di negara ini adalah
diperlukan bagi memastikan bahawa teknologi-teknologi sebegini boleh diadaptasikan
dalam konteks kehidupan dan amalan komunikasi di Malaysia.
Bidang telekomunikasi di negara ini sebelum tahun 1998 didokong dan diselia di bawah
Akta Telekomunikasi 1950, sehinggalah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998
dikuatkuasakan dengan memansuhkan akta lama itu. Pemansuhan ke atas Akta
Telekomunikasi 1950, menurut Leo Moggie merupakan suatu tindakan yang wajar. Ini
adalah disebabkan oleh penekanan di dalam dasar kerajaan untuk menggalakkan lebih
banyak persaingan di dalam industri telekomunikasi tersebut.
Pada amnya, Akta Telekomunikasi 1950 yang menjadi input kepada Dasar
Telekomunikasi Negara hanya mengetengahkan aspek teknikal berhubung dengan
pelesenan perkhidmatan telekomunikasi, bentuk-bentuk kandungan telekomunikasi yang
boleh menjejaskan keselamatan negara dan pengawalan daripada perbuatan
penyalahgunaan perkhidmatan telekomunikasi seperti mencuri talian, kabel dan
sebagainya.
Peruntukan terhadap perundangan di dalam Akta Telekomunikasi 1950 ini tidak
mengambil kira soal-soal impak, teknologi semasa dan dikhuatiri akan menjejaskan
kemajuan bidang telekomunikasi di negara ini sekiranya ia masih terus diamalkan.
Menurut Dr. Syed Hussein, peningkatan terhadap kemajuan bidang telekomunikasi dan
penyiaran di negara ini memerlukan suatu pendekatan perundangan yang fleksibel supaya
pengisian terhadap pembinaan teknologi di dalam bidang-bidang berkenaan tidak
ditangani secara kompleks ataupun membebankan pihak pembekal perkhidmatan
rangkaian.
Akta Penyiaran 1988 juga terlibat di dalam proses pemansuhan dan peralihan
perundangan di negara ini. Akta tersebut meliputi perkara-perkara perundangan seperti
pengenaan lesen kepada para pengguna atau pembekal perkhidmatan dan agak keliru
kerana peruntukan perundangan yang dikenakan di bawah akta ini hanyalah terhad
kepada monitor televisyen dan tidak menyentuh mengenai monitor komputer. Ia juga
tidak menyentuh mengenai hal perundangan terhadap perkhidmatan rangkaian TV kabel
dan satelit secara khusus.
Oleh yang demikian, pemansuhan akta ini juga mendorong para pembekal rangkaian
perkhidmatan TV di negara ini mengembang dan meningkatkan mutu teknologi
penyiaran sebagai suatu usaha untuk menjadikan Malaysia sebagai Pusat Pengembangan
Teknologi di rantau ini.
Pendekatan ‘Akta Komunikasi dan Multimedia 1998’
Akta ‘Komunikasi dan Multimedia’ merupakan suatu bentuk perundangan yang meliputi
perihal pencantuman media telekomunikasi, penyiaran dan multimedia. Ia dirangka sejak
tahun 1996 selepas Telecommunication Act di Amerika Syarikat diluluskan oleh Clinton.
Rang undang-undang akta ini dibentangkan di Parlimen pada bulan Julai 1997, diwarta
dan dikuatkuasakan pada tahun berikutnya.
Ketiga-tiga media komunikasi yang terangkum di dalam akta ini dipilih untuk
digabungkan di dalam suatu perundangan siber adalah kerana media-media tersebut
dianggap sebagai suatu penghantar medium komunikasi yang penting, berdaya maju dan
membangun seiring dengan perkembangan teknologi siber dari semasa ke semasa (Lee
Moggie, 1997).
Menurut beliau bidang multimedia boleh disifatkan sebagai asas dan pemangkin kepada
pembangunan ekonomi negara. Oleh yang demikian, suatu penyusunan semula struktur
dan instrumen dasar, institusi kawal selia, perundangan dan pembangunan industri adalah
diperlukan bagi memenuhi kriteria negara maju.
Justeru itu, pelaksanaan perundangan yang dapat merangkumi ketiga-tiga medium
tersebut boleh dianggap sebagai suatu kejayaan yang besar kepada Malaysia. Ini adalah
kerana tidak satu pun di kalangan negara-negara di dunia berjaya memperkenalkan
bentuk perundangan sebegini sehinggalah apabila akta ini dikuatkuasakan.
Bagi kebanyakan negara, pelaksanaan akta ini boleh disifatkan sebagai suatu persediaan
awal untuk menghadapi era globalisasi siber yang menjangkaui sempadan ekonomi
negara. Akta ini dijangka memenuhi keperluan tersebut dengan membekalkan suatu
regulasi khusus terhadap pembangunan teknologi siber yang diperkembangakan di negara
ini. Ia merupakan suatu eleman asas kepada pelaksanaan Dasar Komunikasi Negara yang
sedang dirangka untuk dilaksanakan (Leo Moggie, 1999).
Secara proaktifnya, penguatkuasaan akta ini dianggap sebagai suatu jalan penyelesaian
bagi Malaysia untuk menghadapi persaingan dalam pembangunan teknologi
pengkomputeran di kalangan negara-negara jirannya seperti Singapura, Thailand, Jepun
dan Korea. Dengan mengambil langkah awal ini, kerajaan berharap dapat memajukan
industri pengkomputeran digital negara secara menyeluruh dan komprehensif serta
memikat pelaburan asing di dalam bidang IT ke Malaysia. Projek MSC yang
membekalkan kemudahan perniagaan, teknologi dan industri kepada para pelabur IT
boleh dijadikan suatu platform asas kepada pengisian konsep pembangunan teknologi
siber yang dipergiatkan di negara ini.
Namun begitu, penekanan terhadap persekitaran teknologi pengkomputeran siber yang
pantas di negara ini boleh menyebabkan masyarakat Malaysia menghadapi dilema dalam
membuat penyesuaian terhadap persekitaran yang dianggap ‘asing’ dan ‘masih terlalu
awal’ di negara ini. Masyarakat menghadapi kesukaran untuk meningkatkan pengetahuan
mereka pada tahap yang lebih tinggi dan dinamik di dalam bidang pengkomputeran ini.
Masalah ini lebih cenderung dihadapi oleh golongan masyarakat luar bandar yang tidak
terdedah kepada bentuk teknologi IT ini.
Sehubungan dengan itu, kerajaan perlu mengambil langkah yang drastik untuk
mengurangkan jurang perbezaan dalam literasi komputer di kalangan masyarakat bandar
dan luar bandar di negara ini. Leo Moggie, semasa membentangkan Rang Undang-
undang Komunikasi dan Multimedia pada tahun 1996 memberi jaminan bahawa kerajaan
akan terus memberi penekanan kepada aspek-aspek kecekapan pengurusan sumber
ekonomi, kepentingan pengguna, penggalakkan nilai dan budaya negara serta perkara
teknikal mengenai instrastruktur sistem teknologi yang dapat meningkatkan kecekapan
industri, meningkatkan persaingan yang sihat dan menggalakkan aktiviti-aktiviti ekonomi
bersilang.
Penjelasan tersebut memberikan suatu harapan baru kepada pertumbuhan ekonomi
negara berasaskan kepada sistem teknologi maklumat dan ‘K-Economy’ yang
dipadankan dengan persekitaran dunia global masa kini. Penekanan berimbang terhadap
pembangunan teknologi akan dapat membantu negara untuk mencapai Wawasan 2020.
Latar Belakang Akta Komunikasi dan Multimedia (Akta 588)
Perkembangan teknologi telekomunikasi, komunikasi dan multimedia yang pesat di
negara ini telah menimbulkan suatu fenomena baru yang menjangkaui aliran pembekalan
dan penerimaan maklumat yang pantas, sistematik dan canggih. Fenomena ini telah lama
wujud di negara-negara maju dan sedang berkembang di Negara-negara Dunia Ketiga.
Fenomena yang dimaksudkan itu ialah Penaklukan Maklumat.
Ia terjadi apabila syarikat-syarikat yang terlibat di dalam industri berkenaan
menyambungkan usaha dagang mereka dan memperluaskan saiz pasarannya menerusi
pengambilalihan oleh syarikat besar, penokokan nilai pelaburan dalam sektor-sektor
tertentu, ataupun menerusi penggabungan syarikat-syarikat kecil menjadi beberapa buah
syarikat gergasi yang bertindak memonopoli kegiatan-kegiatan sesuatu sektor.
Akta Komunikasi dan Multimedia (Akta 588) ini dirancang untuk diwujudkan di
Malaysia sebagai suatu usaha untuk menyelaras, mengawalselia, dan mengimbangi
kemajuan teknologi maklumat dan telekomunikasi yang semakin hebat dengan
penguatkuasaan peraturan-peraturan berkaitan yang sedia ada di nagara ini. Akta ini
digubal dengan mengambil kira beberapa faktor pembangunan dan peningkatan usaha
dalam sektor-sektor telekomunikasi, komunikasi dan multimedia seperti berikut;
Perancangan pembangunan Koridor Raya Multimedia (MSC) sebagai pusat
tampungan kegiatan syarikat-syarikat IT yang beroperasi di Malaysia memerlukan
suatu regulasi yang mantap dan berkeupayaan memantau pengaliran maklumat dan
perkhidmatan. Ia juga diperlukan untuk menggalakkan peningkatan mutu pengeluaran
IT dan memperkembangkan skop pelaburan IT di negara ini;
Suatu undang-undang yang pragmatik, tersusun dan menepati zaman adalah
diperlukan bagi menggantikan beberapa undang-undang sebelumnya. Ini adalah
kerana banyak peraturan yang terkandung di dalam akta-akta berkaitan sebelum ini
kurang menekankan kepada aspek teknikal seperti pelaksanaan sistem pelesenan yang
mudah dan cekap, konsep pemberian dan penerimaan perkhidmatan, penggabungan
urusniaga, pemeliharaan kepentingan pengguna dan masyarakat.
Akta 588 yang digubal ini meliputi beberapa perkara teknikal baru yang
menggambarkan keprihatinan kerajaan terhadap pembangunan bidang teknologi
maklumat dan komunikasi negara.
Peningkatan kegiatan di dalam sektor IT dan komunikasi telah memberi kesan
langsung kepada pengguna dan masyarakat, terutamanya dari segi perubahan sikap,
cara kerja, pemikiran dan kebebasan memperolehi maklumat. Perubahan sosial yang
bersifat radikal ini telah mendorong masyarakat untuk memperolehi sebanyak
maklumat dari rangkaian IT dan komunikasi dan berkeupayaan untuk mempercayai
atau dipengaruhi oleh isi kandungan maklumat yang diterimanya.
Oleh sebab itu, suatu strategi penggubalan semula peraturan yang terkandung di
dalam undang-undang IT, siber dan komunikasi diperlukan untuk mengekalkan
kerukunan, keharmonian dan pemeliharaan sosiobudaya masyarakat majmuk di
negara ini.
Penggubalan akta ini juga membolehkan berlakunya peningkatan bidang IT dan
komunikasi di negara ini dari segi nilai pelaburan, penubuhan syarikat-syarikat IT dan
komunikasi yang baru dan berdaya saing tinggi dan keberkesanan perkhidmatan dan
kegiatan urusniaga syarikat-syarikat tersebut. Keadaan ini akan mendorong kepada
suatu bentuk persaingan yang positif dikalangan syarikat-syarikat berkenaan yang
berlumba-lumba memasarkan produk dan perkhidmatan yang bermutu dan terbaik
untuk pengguna dan masyarakat.
Rang Undang-undang Komunikasi dan Multimedia yang telah digubal ini dibentangkan
di Dewan Rakyat pada bulan Julai 1998 oleh Menteri Tenaga, Komunikasi dan
Multimedia, Datuk Leo Moggie untuk dikuatkuasakan pada 1 April 1999. Perubahan-
perubahan besar yang berlaku dengan penguatkuasaan Akta 588 ini adalah seperti
berikut;
Sehingga 31 Mac 1999, bidang telekomunikasi di negara ini adalah tertakluk kepada
peraturan-peraturan dalam Akta Telekomunikasi 1950 yang diurus selia oleh Jabatan
Telekomunikasi Malaysia, Kementerian Tenaga, Telekom dan Pos, manakala bidang
penyiaran tempatan pula tertakluk di bawah Akta Penyiaran 1988 yang diurus selia
oleh Jabatan Penyiaran Malaysia, Kementerian Penerangan.
Selepas tarikh kuatkuasa Akta 588 pada 1 hari bulan April 1999, kedua-dua sektor
berkenaan adalah tertakluk kepada regulasi-regulasi di dalam akta tersebut, bagi
menggantikan peraturan di dalam akta-akta yang lama. Ia adalah suatu strategi
kerajaan untuk memantau pembangunan bidang IT dan komunikasi di negara ini agar
dapat bergerak selari dengan kepesatan bidang IT dan komunikasi dunia;
Suatu akta tambahan yang menampung perjalanan dan urus selia kandungan undang-
undang ini juga telah digubal dan dibentangkan. akta tersebut dikenali sebagai Akta
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 589) yang membawa kepada
penubuhan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMCA).
Di antara peranan dan tanggungjawab yang dipikul oleh MCMCA ialah mengurus
dan memantau pembangunan sektor IT dan komunikasi di negara ini menerusi
pengambilalihan tugas pembekalan lesen perkhidmatan kepada syarikat-syarikat IT
dan komunikasi (sebelum ini dilakukan oleh Jabatan Penyiaran Malaysia), kegiatan-
kegiatan pengaliran dan penyiaran maklumat oleh syarikat-syarikat serta lain-lain
lagi. Suruhanjaya ini disifatkan sebagai pemangkin kepada peningkatan usaha dalam
bidang IT dan komunikasi negara ini;
Suatu peraturan penggabungan (convergence) teknologi bagi sektor-sektor IT,
komunikasi dan multimedia dibuat secara komprehensif di dalam akta ini.
Peraturan-peraturan tentang pembekalan perkhidmatan, pengawalan mutu produk,
pemilikan modal syarikat-syarikat IT, komunikasi dan multimedia diberikan suatu
pendekatan yang menyeluruh. Ia dibuat supaya keperincian dalam dasar-dasar IT,
komunikasi dan multimedia negara dapat difahami dan berpadanan dengan
perkembangan teknologi sektor-sektor tersebut mengikut aliran masa dan zaman;
Nama Kementerian Tenaga, Telekom dan Pos telah ditukarkan kepada
Kementerian Tenaga, Komunikasi dan Multimedia bagi menggambarkan
pendekatan fungsi kementerian ini dalam usaha membantu meningkatkan lagi
bidang IT, komunikasi dan multimedia di negara ini.
Akta 588 ini juga dijadikan platform utama pembentukan Koridor Raya
Multimedia, bersesuaian dengan dasar dan fungsi negara untuk mengharapakan
suatu perubahan yang menguntungkan di antara kerajaan dengan syarikat-syarikat
IT, komunikasi dan multimedia yang melabur di negara ini. Ia juga dijadikan teras
kepada kejayaan dan pembangunan berterusan Pusat Pentadbiran Kerajaan di
Petrajaya yang melibatkan aspek-aspek teknikal, pembekalan IT dan produk-
produk penyiaran.
MCMCA menyifatkan bahawa Akta 588 sebagai “the new act that have been
designed around the principles of transparency and clarity, and less rather more
regulation based on the concept of industry self-regulation”.
Penggubalan ke atas Akta 588 ini mengundang kepada suatu pendekatan kerajaan
yang bersikap terbuka dan prihatin terhadap suasana perkembangan sektor IT,
komunikasi dan multimedia. Akta ini dilengkapi dengan peraturan-peraturan tertentu
yang mengambil kira kepentingan kerajaan, pelabur-pelabur, syarikat-syarikat
tempatan dan masyarakat supaya ia menepati objektif pembangunan bidang tersebut
yang sedia ada.
Leo Moggie, di dalam suatu ucapan pembentangan Rang Undang-undang tersebut di
Parlimen pada bulan Julai 1998 menyatakan bahawa:
“Ia (Akta) merupakan perundangan yang tunggal (single legislation) yang akan
mempunyai impak yang positif dan meluas untuk menyokong usaha negara untuk
menjayakan pembangunan projek Koridor Raya Multimedia serta bagi mencapai
matlamat-matlamat menjadikan Malaysia pusat komunikasi serantau dan
mewujudkan masyarakat bermaklumat.”
Dalam hal ini, beliau berpendapat bahawa penggubalan akta ini akan mendorong
Malaysia untuk tampil sebagai negara pelopor dalam melaksanakan satu struktur
dasar yang menyeluruh dalam menangani proses pencantuman (convergence) yang
berlaku dalam sektor-sektor telekomunikasi, komputer dan penyiaran.
Objektif Akta 588
Akta 588 ini digubal bagi membolehkan perjalanan sektor-sektor IT, komunikasi dan
multimedia di negara ini dapat bergerak dengan sempurna, berdaya saing dan tidak
ketinggalan mengikut perubahan teknologi, masa dan zaman. Pendekatan perundangan
pada akta ini hanya terbatas kepada bentuk media elektronik dan tidak meliputi media
cetak. Ia juga turut tidak menyentuh perundangan am sedia ada seperti soal keselamatan,
dan perkara-perkara yang termaktub di bawah Ordinan Fitnah 1957 dan Akta Hakcipta
1987.
Dari segi pemakaiannya pula, akta ini jelas tidak menyentuh ruang lintup perundangan
lain yang sedia ada untuk mengawalselia perkhidmatan media dan kandungan tradisional.
Namun begitu, beberapa perundangan di dalam akta ini juga tidak bertujuan untuk
menyekat kemajuan bidang komunikasi dan multimedia di negara ini. Sebaliknya, akta
ini mewujudkan suatu sistem kerja atau tatacara yang dapat memenuhi Dasar Komunikasi
Negara yang berupaya membentuk identiti masyarakat majmuk di negara ini.
Penguatkuasaan akta ini boleh disifatkan sebagai suatu usaha kerajaan untuk memupuk
budaya kefahaman dan kemahiran teknologi maklumat, komunikasi dan multimedia
kepada golongan pengguna dan masyarakat. Sikap liberal kerajaan dalam memberi
peluang kepada syarikat-syarikat swasta dan antara bangsa untuk melibatkan diri secara
aktif dalam bidang-bidang yang berkaitan ini merupakan salah satu daripada reformasi
ekonomi negara.
Akta yang diwujudkan ini juga memberi penekanan terhadap suatu set generik
peruntukan pengawalseliaan yang berdasarkan kepada generik pasaran dan kegiatan
perkhidmatan. Ia melibatkan penyertaan peserta-peserta berikut:
a) Pembekal kemudahan rangkaian yang terdiri daripada pemunya stesen bumi,
kabel optik gentian jalur lebar, ibu sawat dan talian telekomunikasi, kelengkapan
penghantaran radiokomunikasi, stesen pangkalan komunikasi mudah gerak,
menara dan kelengkapan penghantaran penyiaran;
b) Pembekal perkhidmatan rangkaian yang menyediakan sambungan dan lebar jalur
asas untuk menyokong aplikasi;
c) Pembekal perkhidmatan aplikasi yang berfungsi menyediakan perkhidmatan
suara, perkhidmatan data, perkhidmatan berasaskan kandungan dan perdagangan
elektronik;
d) Pembekal perkhidmatan aplikasi kandungan yang menyediakan perkhidmatan
tambahan kepada pembekal perkhidmatan aplikasi kandungan seperti
perkhidmatan peyaiaran tradisional dan perkhidmatan baru seperti percetakan,
perkhidmatan maklumat dan sebagainya. (Akta; 1998)
Peluang untuk menubuhkan suatu pusat pengurusan dan gagasan kegiatan bidang IT,
komunikasi dan multimedia ini telah mewujudkan suatu dasar kerajaan yang boleh
diterima oleh semua pihak, terutamanya pelabur-pelabur asing dari Eropah dan Amerika
Syarikat yang berlumba-lumba memasang strategi pemasaran produknya ke negara-
negara Asia dan Negara-negara Dunia Ketiga seperti Malaysia.
Oleh yang demikian, tumpuan kepada sepuluh perkara asas yang menjadi dasar Kerajaan
yang hendak dicapai menerusi penggubalan Akta ini ada dinyatakan dalam seksyen 3
subseksyen (2) seperti berikut;
menggalakkan matlamat dasar kebangsaan bagi industri komunikasi dan multimedia;
mewujudkan rangka kerja pelesenan dan pengawalseliaan bagi menyokong matlamat
dasar kebangsaan bagi industri komunikasi dan multimedia;
mewujudkan kuasa dan fungsi bagi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia
Malaysia; dan
mewujudkan kuasa dan tatacara bagi pentadbiran akta ini.
Matlamat-matlamat yang ingin dicapai oleh kerajaan menerusi penggubalan Akta ini jelas
menunjukkan bahawa bidang IT, komunikasi dan multimedia boleh dijadikan bidang
kemahiran teras yang mendampingi bidang-bidang teknikal dan profesional yang lain di
negara ini.
Matlamat yang sama juga ditujukan kepada masyarakat bagi melahirkan suatu
sosiobudaya masyarakat majmuk di Malaysia yang berteraskan kepada penyatuan
kefahaman terhadap teknologi maklumat dan komunikasi dan berlatarkan unsur budaya
yang sihat bagi melahirkan imej negara yang bersih dan dihormati oleh negara-negara
lain.
Pembentukan matlamat-matlamat tersebut adalah hasil daripada deklarasi sepuluh
perkara dalam matlamat dasar kebangsaan bagi industri komunikasi dan multimedia,
sepertimana yang tertera di dalam Seksyen 3(2) akta tersebut. Deklarasi sepuluh perkara
tersebut adalah seperti berikut;
menjadikan Malaysia sebagai pusat dan tumpuan utama dunia bagi perkhidmatan
komunikasi dan perkhidmatan maklumat dan kandungan multimedia;
menggalakkan pewujudan masyarakat madani yang dalamnya perkhidmatan
berdasarkan maklumat akan menyediakan asas bagi peningkatan yang berterusan
kepada mutu kerja dan hidup;
mencambahkan dan memupuk sumber maklumat dan perlambangan budaya tempatan
yang membantu mengetengahkan identiti kebangsaan dan kepelbagaian dunia;
mengawal selia bagi faedah jangka panjang pengguna akhir;
menggalakkan tahap keyakinan pengguna yang tinggi dalam penyampaian
perkhidmatan daripada industri itu;
memastikan penyediaan perkhidmatan sama rata yang mampu dibayar melalui
infrastruktur kebangsaan yang sentiasa ada;
mewujudkan suasana aplikasi yang giat bagi pengguna akhir;
memudahkan pengagihan secara berkesan sumber seperti tenaga buruh mahir, modal,
pengetahuan dan aset kerajaan;
menggalakkan pembinaan keupayaan dan kecekapan dalam industri pencantuman
Malaysia; dan
menjamin keselamatan maklumat dan kebolehpercayaan dan keutuhan rangkaian.
Rangka kerja dasar ini adalah diperlukan untuk:
memastikan wujud ketelusan dan konsistensi dalam meningkatkan kefahaman di
kalangan pihak-pihak berkepentingan mengenai pencantuman teknologi serta usaha-
usaha pembangunan sektor komunikasi dan multimedia negara;
menggalakkan pembangunan industri komunikasi dan multimedia sebagai asas
penting kepada pembangunan ekonomi dan sosial negara. Pada usaha kita untuk
mewujudkan masyarakat madani serta kepada usaha kita untuk menjadikan Malaysia
sebagai pusat utama bagi industri komunikasi dan multimedia; dan
bagi menjamin kepentingan-kepentingan tertentu seperti kepentingan pengguna dari
segi kualiti dan kos perkhidmatan, bagi memastikan keselamatan sistem dan
rangkaian dan bagi mewujudkan persaingan yang sihat serta pasaran yang lebih
teratur.
Sistem kawal selia seumpama ini dibentuk dengan menumpukan kepada kehendak-
kehendak struktur pasaran pencantuman media supaya ia selari dengan kehendak
protokol antarabangsa, berupaya mencapai objektif-objektif semasa dan mengikut
perkembangan teknologi yang amat pesat pada masa ini (Leo Moggie, 1998).
Bagi memenuhi hasrat kerajaan tersebut, penggubalan akta ini dilaksanakan dengan
mengambil kira beberapa ciri dan penyesuaian yang penting terhadap pembangunan dan
peningkatan fungsi sektor-sektor IT, komunikasi dan multimedia;
Pertama, kerajaan memberikan penekanan kepada aspek kepentingan soal obligasi
perkhidmatan sejagat (universal service obligation). Bagi merealisasikan matlamat ini,
kerajaan perlu memastikan bahawa semua golongan masyarakat dan kawasan-kawasan
yang terdapat di Malaysia boleh diakseskan atau dibekalkan dengan perkhidmatan dan
kemudahan berkualiti, Di samping mewujudkan sistem-sistem ganjaran atau insentif
tertentu yang telah dikenalpasti kepada pihak pengusaha mahupun pengguna supaya
hasrat untuk perkhidmatan yang dikehendaki tersebut dapat dipenuhi.
Kedua, penjanaan kecekapan pengurusan sumber ekonomi, kepentingan pengguna,
pemeliharaan nilai dan budaya negara serta perkara-perkara teknikal infrastruktur seperti
pembangunan mutu siaran, spektrum dan sebagainya dirancang serta dilaksanakan secara
khusus, komprehensif dan bersepadu. (Leo Moggie, 1998). Ia adalah bertujuan untuk
memastikan bahawa kecekapan industri akan terus diberikan bagi meningkatkan
persaingan yang sihat, penggunaan infrastruktur secara berkesan dan menggalakkan
aktiviti-aktiviti ekonomi bersilang.
Penjelmaan dan peningkatan mutu perkhidmatan dan persaingan ini membantu Kerajaan
untuk menyemarakkan atau mempelbagaikan kegiatan-kegiatan ekonomi berasaskan
kepada perkhidmatan. Di dalam Pelan Induk Perindustrian Kedua, sektor perkhidmatan
yang digolongkan di dalam pembangunan industri berasaskan kelompok dijangka akan
berkembang dan meningkatkan sumbangannya kepada KDNK daripada 44.2 peratus pada
tahun 1995 kepada 47.0 peratus pada tahun 2005. (MITI, 1996).
Sektor yang merangkumi pengisian dari sudut teknologi, sistem bersepadu menggunakan
IT dan multimedia ini dijangka tumbuh sebanyak 8.4 peratus setahun dalam tempoh
1996-2000 dan 9.0 peratus setahun dalam tempoh 2001-2005. Peningkatan peratusan ini
adalah disebabkan oleh pelaksanaan besar-besaran projek IT gergasi di negara ini, iaitu
pembentukan tujuh aplikasi ‘flagship’ di dalam program MSC, termasuklah penjelmaan
Cyberjaya, Sistem Kerajaan Elektronik, MDC dan sebagainya.
Ketiga, penekanan juga diberikan kepada para pengguna dengan cara memperkenalkan
suuatu dasar penetapan harga yang adil, kompetetif, pengendalian hal-hal kepenggunaan
secara berkesan, menguruskan aduan-aduan awam, memperbaiki keselamatan
infrastrukur dan mengawal selia mutu perkhidmatan yang dibekalkan kepada pengguna.
Ini membolehkan tahap keyakinan pengguna terhadap mutu perkhidmatan yang
dibekalkan oleh para pengusaha media dapat ditingkatkan. Pengguna akan terdorong
untuk meningkatkan daya self-awareness terhadap kredibiliti program-program yang
ditawarkan oleh pengusaha media bagi memastikan bahawa kepentingan pengguna terus
terpelihara.
Keempat, menurut Leo Moggie, penekanan kerajaan terhadap pembinaan rangka kerja
kawal selia baru ini juga meliputi peningkatan hubungan dan ketelusan pengguna
infrastruktur teknologi penyiaran atau telekomunikasi di negara ini. Ia disifatkan sebagai
suatu usaha untuk mempelbagaikan pilihan rangkaian yang boleh digunakan oleh
pembekal dan pengguna.
Oleh sebab itu, rangka kerja kawal selia yang baru ini memastikan wujudnya iatu dasar
kemudahan laluan sama rata dan sambung tara (equal access and interconnection). Ia
adalah berdasarkan kepada penekanan kos yang rendah, pulangan yang seimbang atau
berpatutan dan sebaran perkhidmatan yang meluas.
Kerajaan mengekang perniagaan bersifat monopolistik, sebaliknya menggalakkan
persaingan sihat di dalam industri media ini adalah untuk memastikan bahawa pengusaha
bersedia menawarkan perkhidmatan standard dengan harga yang rendah mengikut
pasaran ataupun menyediakan perkhidmatan yang lebih baik kepada para pengguna.
Christopher Zull, Pengarah Urusan Cutler and Co., sebuah syarikat perunding
telekomunikasi Australia, dalam suatu temu ramah dengan Business Times pada 31 Mac
1999 mengulas bahawa Akta 588 ini digubal sebegitu rupa bagi menjadikannya fleksibel
dan mengandungi kurang peraturan-peraturan yang mengongkong industri-industri
berkenaan, berbanding dengan komposisi peraturan di dalam akta-akta yang lama.
You can only justify market intervention in two instances, a market failure
and inconsistency with policy objectives. We set out the policy objectives
first of all and then designed the digital value chain and finally tried to
decide what areas the authorities would want to influence by regulation
and when it would want to be active.
Dalam erti kata yang lain, penstrukturan peraturan-peraturan di dalam akta ini dibuat
berdasarkan kepada relevannya kepada industri dan pihak-pihak berkuasa tempatan.
Penyesuaian ke atas beberapa dasar dan peraturan di dalam akta ini juga mencerminkan
sikap keprihatinan kerajaan terhadap pembinaan kolektif bidang-bidang tersebut serta
menyebabkan berlakunya peningkatan fungsi bidang-bidang itu dalam jangka masa yang
panjang.
“Then, we designed the regulation with flexibilitiy, such that it is full of
procedures and powers which can be exercised by the Minister and/or the
Commission and many of these are reserve powers.” (Zull, 1999).
Penguatkuasaan ke atas peraturan-peraturan di dalam akta itu, menurut Zull, bergantung
kepada kebebasan menggunakan kuasa yang telah diperuntukkan di dalam akta tersebut.
Ini bermakna bahawa menteri atau suruhanjaya berhak menggunakan peruntukan kuasa
mereka sekiranya dikehendaki tetapi haruslah mengikut regulasi-regulasi yang
terkandung di dalam akta tersebut.
Akta 588 ini dirangka berdasarkan kepada konsep ‘teknologi neutral’ kerana
perkembangan teknologi yang semakin rancak membolehkan seseorang individu atau
organisasi bebas memilih apa juga jenis teknologi yang hendak digunakan asalkan ia
memenuhi matlamat regulasi dan dasar-dasar kerajaan yang dibentuk.
“The new act has a built-in change mechanism as there is a provision in
the Act which calls for the subsidary regulations to be reviewed every
three years or whatever required.” (ibid, 1999)
Keanjalan terhadap penggunaan regulasi yang terdapat di dalam akta ini membolehkan
pihak berkuasa seperti Kementerian Tenaga, Komunikasi dan Multimedia, suruhanjaya
dan majlis-majlis tempatan tidak perlu berasa gusar tentang kehadiran mana-mana
teknologi baru, sebaliknya jika perlu, beberapa peraturan di dalam akta berkenaan boleh
dipinda atau diubahsuai mengikut keadaan masa dan zaman.
Kandungan Akta Komunikasi dan Multimedia (Akta 588)
Akta 588 ini boleh dikatakan banyak mengungkapkan prosedur teknikal seperti pemilikan
modal syarikat telekomunikasi, penyiaran, dan multimedia, pembekalan perkhidmatan
kepada pengguna dan pelesenan perkhidmatan atau produk.
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia, dalam kenyataannya mengulas tentang konsep
pembentukan akta ini sebagai;
“the act seeks to provide a generic set of regulatory provisions based on
generic definitions of market and service activities and service. The
jurisdiction of the Acts is restricted to networked services and activities
only.”
Ini bermakna bahawa pemakaian akta ini boleh disifatkan sebagai global, meluas dan
tidak semestinya menjuruskan kepada sektor-sektor tertentu sahaja. Ia juga dilihat
sebagai suatu platform pemula kepada siri beberapa regulasi atau pengawalseliaan yang
melibatkan media-media cetak, pengawalan bahan-bahan elektronik dan teknologi yang
lain di negara ini pada masa akan datang.
Leo Moggie (1998) pula menganjurkan supaya keanjalan bentuk perundangan yang
terdapat pada akta ini terus dikekalkan supaya ia dapat digunapakai di dalam suatu
tempoh yang panjang tanpa perlu merujuk kepada apa-apa bentuk pindaan sekiranya
berlaku perubahan teknologi. Fleksibiliti regulasi yang terdapat di dalam akta ini lebih
menekankan kepada proses pembuatan keputusan supaya industri komunikasi dan
multimedia yang dibangunkan di negara ini berorientasikan kepada konsep disiplin
kendiri (self-disipline).
Ia juga mencerminkan suatu daya penjanaan persaingan industri media yang proaktif
kepada persekitaran pasaran semasa bagi membolehkan industri media di negara ini terus
berkembang mengikut aliran kemajuan global tanpa perlu terkongkong dengan pelbagai
peraturan yang boleh membantutkan pertumbuhannya.
Walau bagaimanapun, kandungan akta yang berorientasikan kepada prosedur
perkhidmatan dan kegiatan sektor-sektor tertentu ini boleh disifatkan sebagai suatu akta
yang panjang dan kompleks. Ini menyebabkan ia sukar difahami, terutamanya bagi
mereka yang tidak berpengetahuan mengenai selok-belok industri berkenaan. (Salleh
Majid, 1998)
Akta ini terbahagi kepada 10 bahagian, 282 Seksyen dan satu jadual. Setiap bahagian
mengandungi regulasi-regulasi tertentu berdasarkan kepada jenis penstrukturan dan
pemakaiannya.
Kebanyakan daripada kandungan dalam regulasi pada akta ini merupakan sesuatu yang
baru tetapi terdapat juga beberapa regulasi yang berlatarkan penggunaan teknologi media
lama dan masih releven kepada kedudukan pembangunan teknologi industri komunikasi
dan multimedia di negara ini. Regulasi-regulasi dari akta lama yang terpaksa disingkirkan
boleh disifatkan sebagai peraturan-peraturan yang boleh mengongkong industri dan
membantutkan perkembangan sektor tersebut.
Di bawah akta ini, beberapa perkara penting diambilkira untuk diregulasikan, seperti:
Pembekalan Kemudahan Kepada Rangkaian Bermaklumat (Network Facilities
Providers)
Pembekalan Perkhidmatan Kepada Rangkaian Bermaklumat (Network Services
Providers)
Pembekalan Kepada Permohonan Perkhidmatan (Application Service Providers)
Pembekalan Kepada Permohonan Kandungan Perkhidmatan (Content Applications
Service Providers)
Bahagian I di dalam akta ini memperuntukkan tajuk akta, tarikh berkuat kuasa akta,
matlamat, pemakaian di dalam dan di luar wilayah, kuasa-kuasa Menteri untuk
mengecualikan pemakaian akta ini kepada individu, kawasan geografi tertentu dan
kepada aktiviti pemegang lesen yang memiliki pasaran antarabangsa tetapi mempunyai
kesan di Malaysia. Bahagian I ini juga membuat penafsiran istilah perundangan dan
terma di dalam akta.
Pendekatan kepada Bahagian I dalam akta ini merujuk kepada objektif akta yang hendak
dicapai dan hubungannya dengan Dasar Komunikasi dan Multimedia Negara
(SubSeksyen 2), sebagaimana yang dibincangkan sebelum ini. SubSeksyen 2 ini boleh
dikatakan sebagai suatu rujukan utama terhadap pengukuran keberkesanan pelaksanaan
Akta 588 ini dalam suatu tempoh tertentu.
Sementara itu pula, Subseksyen 3 yang berbunyi “Tiada apa-apa jua dalam akta ini boleh
ditafsirkan sebagai membenarkan penapisan Internet” boleh ditafsirkan sebagai suatu
pendekatan atau dasar kerajaan terhadap perkembangan teknologi Internet di negara ini.
Ketelusan Kerajaan Malaysia terhadap kandungan maklumat yang boleh diperolehi
daripada Internet ini menjadi persoalan kepada masyarakat. Ini adalah kerana, budaya
timur yang diamalkan di kalangan negara-negara Asia amat mementingkan cara hidup
yang bertatasusila, bermoral tinggi dan berlatarkan pula dengan skop kebudayaan yang
dapat diterima masyarakat.
Terdapat kandungan maklumat di dalam Internet yang mengundang kepada
pencerobohan budaya dan moral masyarakat timur seperti ponografi, maklumat palsu,
fitnah dan sebagainya. Ia memberi kesan buruk kepada golongan masyarakat yang
berpegang kepada prinsip kerukunan budaya timur, terutamanya golongan remaja dan
kanak-kanak, jikalau ia tidak dapat dikawal dengan bijaksana.
“Dalam zaman maklumat ini, perenggan ataupun sempadan antara negara-negara tidak
bermakna lagi. Kita tidak boleh sekat kemasukan maklumat dengan mengadakan tentera
di sempadan umpamanya kerana maklumat ini datang melalui angkasa dan kita tidak
mungkin menghalang penerimaan maklumat ini oleh rakyat Malaysia. Justeru itu kita
terpaksa mencari jalan supaya maklumat ini dapat ditangani oleh kita dengan cara yang
tidak memburukkan keadaan kita”. (Mahathir, 1999).
Menurut Dr. Mahathir, pengawalan atau pemantauan maklumat di dalam Internet ini
boleh dilakukan oleh setiap individu dalam masyarakat atau organisasi sekiranya mereka
mengamalkan kaedah ‘self-censorship’. Ia boleh dilaksanakan menerusi langganan
program-program pemantauan Internet seperti Cyber Petrols, Net Nanny, Firewalls dan
lain-lain serta pemantauan dalam sistem intranet di dalam sesebuah organisasi.
Walau bagaimanapun, konsep ‘self-censorship’ ini adalah bersifat subjektif kerana tidak
ramai di kalangan masyarakat yang berhasrat menyekat kebebasan mereka daripada
mendapatkan maklumat-maklumat siber, terutamanya melibatkan unsur-unsur negatif dan
terlarang. Tambahan pula, kaedah-kaedah atau program alternatif yang boleh melepasi
sekatan yang terdapat pada program-program tersebut telah pun dijumpai dan boleh
digunakan oleh semua orang.
Persoalannya, haruskah kerajaan mengambil sikap terbuka dalam menangani isu ini dan
meletakkan seluruh tanggungjawab itu kepada masyarakat semata-mata? Persoalan inilah
yang perlu diteliti dan dijawab oleh anggota masyarakat yang berkeinginan untuk
memelihara keluhuran budaya timur mereka.
Sementara itu pula, Bahagian II memperuntukkan kuasa-kuasa Menteri, penentuan
kepada matlamat dalam peruntukan akta berdasarkan kepada prosedur atau kaedah
tertentu. Kuasa-kuasa menteri yang dimaksudkan itu adalah seperti berikut:
Kuasa mengeluarkan arahan kepada Suruhanjaya mengenai tugas dan
tanggungjawabnya serta berhak mengubahsuai, mengubah dan membatalkan sesuatu
arahan (Seksyen 7 dan 8);
Kuasa membuat penentuan peraturan berdasarkan kepada ketetapan peraturan di
dalam akta dan dia berhak mengubahsuai, mengubah atau membatalkan sesuatu
ketetapan yang telah dibuat (Seksyen 10 dan 11);
Kuasa membuat pengisytiharan ke atas pemberian dan keistimewaan sesuatu lesen
individu atau sesuatu kelas lesen individu, atau sesuatu lesen kelas serta dia berhak
juga mengubahsuai, mengubah atau membatalkan sesuatu perisytiharan yang telah
dibuat berhubung dengan sesuatu lesen yang dikeluarkan (Seksyen 13 dan 14);
Kuasa membuat peraturan-peraturan dengan nasihat daripada Suruhanjaya mengenai
perkara-perkara seperti penentuan tatacara bagi Suruhanjaya dan Tribunan Rayuan
dalam menjalankan kuasa dan fungsinya; tatacara peruntukan hak kepada spektrum
atau nombor di bawah Bahagian VII; apa-apa bayaran atau kadar yang hendak
digunakan; tatacara sistem pemberian perkhidmatan sejagat; tatacara bagi
penggunaan kemudahan rangkaian perkhidmatan rangkaian, perkhidmatan aplikasi
dan perkhidmatan aplikasi kandungan semasa darurat; pengkompaunan kesalahan;
dan tebusan pampasan dan ganti rugi.
Peruntukan terhadap kuasa dan tatacara menteri dan suruhanjaya yang dinyatakan di
dalam akta ini dianggap penting kerana:
Rangka kerja pengawalseliaan yang dibuat menerusi pengeluaran surat cara-surat cara
akan menyediakan suatu tahap pemantauan yang khusus dari semasa ke semasa;
Rangka kerja perlu bersifat anjal dan pandang ke hadapan (way forward) supaya ia
boleh dikatakan relevan mengikut masa dan keadaan yang berubah;
Rangka kerja yang telus dan jelas adalah diperlukan untuk meningkatkan keyakinan
pelabur terhadap nilai pengurusan dan pentadbiran dasar mengenia sesuatu perkara
yang termaktub di dalam akta ini (Akta, 1998);
8. Kesimpulan:
Penggubalan akta-akta bagi memenuhi keperluan perundangan siber di negara ini
merupakan suatu langkah yang tepat untuk mencari titik pertemuan dalam membangun
dan memajukan teknologi siber. Kandungan perundangan yang bercirikan fleksibel dan
mengutamakan langkah-langkah keselamatan teknologi tertentu boleh dianggap sebagai
suatu rangsangan untuk menjadikan undang-undang yang digubal itu lebih relevan
dengan kepesatan penggunaan teknologi siber.
Pemahaman terhadap kesan pemakaian perundangan ke atas industri dan teknologi
penerbitan elektronik atau siber itu sendiri akan menjadi pemangkin kepada
pembangunan berterusan dan rangsangan fisikel ekonomi teknologi multimedia atau siber
itu sendiri.
Dengan lahirnya bentuk perundangan yang dapat memenuhi ciri-ciri pembangunan
bidang penerbitan elektronik ini nanti, penggunaan teknologi penerbitan elektronik ini
secara menyeluruh dan berkesan, akan menjadi suatu kenyataan.
Latihan:
1. Apakah sebabnya perlu diwujudkan bentuk perundangan tertentu ke atas
teknologi penerbitan elektronik?
2. Bagaimanakah perundangan siber mempengaruhi perkembangan dan
pembangunan teknologi yang dimanfaatkan daripadanya?
3. Huraikan jenis-jenis perundangan siber yang digubalkan di negara ini.
4. Apakah bentuk-bentuk perundangan yang meliputi bidang multimedia?
5. Bagaimanakah Akta Komunikasi dan Multimedia (Akta 588) dikatakan dapat
membantu membangunkan industri berbasarkan kepada percantuman media di
negara ini?
Soalan-soalan Perbincangan Tutorial:
1. Bincangkan aspek-aspek yang ditekankan dalam pembangunan sesuatu teknologi
penerbitan elektronik yang harus dilindungi oleh undang-undang.
2. Dengan merujuk kepada akta-akta tertentu yang digubal oleh Kerajaan Malaysia,
bincangkan bagaimanakah pemakaian akta-akta tersebut dilaksanakan bagi
melindungi atau membenteras kes-kes seperti berikut;
a. Ahmad menceroboh email Salmah dengan sengaja kerana mengesyaki
bahawa Salmah terlibat dengan sendiket haram di luar negara.
c. Ali menyalin dokumen peribadi Salim tanpa pengetahuannya. Kemudian,
dokumen tersebut disebarkan kepada umum.
d. Razali menyalin kandungan CD-ROM mengenai pertunjukan konsert
Siti Nurhaliza, kemudian digunakan dalam menyiapkan tugasan
akedemiknya.
e. Ah Chong menyiarkan email yang ditulisnya dalam laman web untuk
mwmburuk-burukkan rakan niaganya supaya pelabur-pelabur perniagaan
rakannya berasa prejudis terhadapnya.
f. Musalmah melihat gambar porno dalam Internet, kemudian
mengedarkannya secara email peribadi kepada rakan-rakannya yang lain.
g. Ramasami mencipta laman web dengan menggunakan portal dari Amerika
Syarikat. Kandungan laman web tersebut memburuk-burukkan pemimpin
negara ini.