28
KANDUNGAN 1.0 Pendahuluan 1 2.0 Objektif Kajian 3 3.0 Metodologi Kajian 3 4.0 Tentatif Program Semarak Minoriti Semai 4 5.0 Analisis Data Istilah Fauna dan Hubungannya dengan Masyarakat Semai 6 6.0 Kesimpulan 15 7.0 Lampiran 17

madahbicaracinta.weebly.com · Web viewLaporan yang ditulis adalah berkaitan dengan istilah fauna dan hubungannnya dengan masyarakat Semai. Laporan yang dikemukan ini akan melibatkan

  • Upload
    others

  • View
    11

  • Download
    0

Embed Size (px)

Citation preview

KANDUNGAN

1.0 Pendahuluan1

2.0 Objektif Kajian3

3.0 Metodologi Kajian3

4.0 Tentatif Program Semarak Minoriti Semai4

5.0 Analisis Data Istilah Fauna dan Hubungannya dengan Masyarakat Semai6

6.0 Kesimpulan15

7.0 Lampiran17

1.0 Pendahuluan

Masyarakat Orang Asli merupakan antara masyarakat yang menjadi penghuni negara Malaysia. Masyarakat Orang Asli sememangnya kaya dengan budaya serta adat resamnya yang tersendiri. Hal ini kerana Orang Asli hidup dan mempunyai hubungan yang rapat dengan alam semulajadi. Walaupun masa ini, dapat dilihat bahawa mereka juga menikmati serta menelusuri cara hidup yang moden, tetapi mereka masih lagi menjalankan aktiviti-aktiviti yang berkaitan dengan alam seperti berburu dan memungut hasil hutan selain penempatan mereka yang masih dibina di kawasan desa yang dikelilingi dengan hutan, sungai dan alam semulajadi.

Berdasarkan bancian, terdapat kira-kira 140, 000 Orang Asli Di Malaysia dan kebanyakan daripadanya bertumpu di Semenanjung Malaysia. Orang Asli juga terbahagi kepada beberapa suku kaum yang berbeza-beza. Orang Asli dikatakan terbahagi kepada tiga kumpulan yang terbesar iaitu Negrito, Senoi dan Melayu Asli. Suku Negrito terdiri daripada enam kumpulan etnik iaitu Kensiu, Kintak, Lanoh, Jahai, Mendriq dan Bateq. Suku Senoi juga terbahagi kepada enam kumpulan etnik iaitu Che Wong, Mah Meri, Jahut, Semoq Beri, Semai dan Temiar. Manakala, suku Melayu Asli pula dipecahkan kepada tujuh suku kecil yang terdiri daripada Orang Kuala, Orang Kanaq, Orang Seletar, Jakun, Semelai dan Temuan.

Kepelbagaian suku kaum ini memperlihatkan wujudnya banyak perbezaan dari segi cara hidup dan pertuturan bahasa yang mereka gunakan. Setiap suku kaum ini mempunyai kebudayaan serta adat resam yang berbeza dan memiliki keunikan yang tersendiri. Masyarakat orang asli juga masih mempercayai wujudnya makhluk-makhluk ghaib. Situasi ini juga berlaku dalam kalangan masyarakat Orang Ali daripada suku kaum Semai.

Masyarakat Semai merupakan suku kaum Orang Asli yang terbesar jumlahnya dengan anggaran seramai 42, 000 orang. Mereka hidup bermasyarakat dan setiap kampung akan diketuai oleh ‘Tok Batin’. Kehidupan kaum Semai pada waktu dahulu dipercayai sama seperti Orang Asli yang lain di negara ini iaitu mereka hidup secara nomad. Mereka hidup berpindah-randah dari satu tempat ke satu tempat di dalam hutan kerana mencari tempat baru untuk berladang atau atas sebab-sebab lain seperti kematian, binatang buas dan diganggu oleh orang luar. Suku Semai ini juga dipercayai sisa daripada penduduk Kuno atau penduduk asal yang tersebar luas di Asia Tenggara. Suku kaum Semai ini menetap dan boleh ditemui di Tanjung Malim, Slim River, Tapah, Parit, Bota hingga ke Kuala Kangsar.

Keunikan masyarakat Asli kaum Semai ini menjadi pendorong kepada pengumpulan data tentang masyarakat Semai. Laporan yang ditulis adalah berkaitan dengan istilah fauna dan hubungannnya dengan masyarakat Semai. Laporan yang dikemukan ini akan melibatkan data yang berkaitan Fauna yang terdapat dalam masyarakat Semai. Menerusi laporan ini, maklumat tentang hidupan fauna akan lebih difahami oleh pembaca kerana hidupan fauna dalam masyarakat Semai mempunyai keunikannya yang tersendiri.

2.0 Objektif Kajian

Laporan ini dikemukan adalah bertujuan untuk menghuraikan istilah fauna dan hubungannya dengan masyarakat Semai. Laporan ini menggariskan beberapa objektif seperti yang berikut:

I. Mengkaji istilah-istilah fauna yang digunakan oleh masyarakat Semai Kampung Batu 7, Tapah perak.

II. Memperoleh pengetahuan tentang hubungan atau kegunaan fauna dalam masyarakat Semai

3.0 Metodologi Kajian

Kaedah kajian yang dijalankan dalam kertas kerja ini melibatkan kaedah lapangan. Pengumpulan data ini diperoleh menerusi lawatan ke perkampungan Orang Asli di kawasan Batu Tujuh dan Batu Empat Belas, Tapah, Perak. Kaedah kajian ini melibatkan responden yang terdiri daripada suku kaum asli Semai yang membantu dalam pemberian data. Orang asli yang terlibat terdiri daripada pelajar sekolah rendah dan orang dewasa. Data yang diperoleh akan dicatat untuk dianalisis dalam bentuk kertas kerja bagi memudahkan pembaca memahami kajian yang dijalankan.

Skop kajian terbatas kepada penduduk orang asli di kampung batu tujuh dan kampung batu empat belas. Suku kaum asli yang terlibat hanya terdiri daripada suku kaum orang Semai. Bahan kajian yang dipilih hanya terlingkup kepada kajian berkaitan istilah fauna dan hubungannya dengan masyarakat Semai. Responden yang dipilih hanya melibatkan tiga orang pelajar sekolah rendah dan seorang orang dewasa. Data yang diperoleh adalah dalam bahasa Semai untuk dibandingkan dengan istilah dalam bahasa Melayu selain melihat fungsi fauna dalam hubungannya dengan masyarakat Semai.

3.0 Tentatif Program Semarak Minoriti Semai (23-24 Mac 2013)

23 Mac 2013 (Sabtu)

08.30 pagi-Bertolak dari UPM

10.00 pagi-Berehat di Perhentian Sungai Buloh

12.00 tengah hari- Tiba di SK Batu 7, Jalan Pahang, Tapah Perak

12.30 tengah hari-Makan tengah hari dan solat jamak Zuhur dan Asar

02.30 petang-Taklimat I: Pensyarah bersama ibu bapa masyarakat Semai,

Taklimat II: Wakil pelajar bersama pelajar tahun 5 masyarakat Semai

Taklimat III: Pelajar UPM bersama bekas guru masyarkat Semai dan Penolong Pengarah Kurikulum Orang Asli Kementerian Pendidikan Malaysia

03.30 petang-Kajian bahasa dan budaya Semai (pelajar bersama

masyarakat Semai)

05.30 petang-Minum petang

06.00 petang-Persembahan Sewang oleh masyarakat Semai bersama

pelajar UPM

06.45 petang-Bertolak ke Tapak Rekreasi Kuala Woh, Batu 7,

Tapah dan mendirikan khemah

07.30 malam-Solat jamak Maghrib dan Isyak

08.30 malam-Makan malam

09.30 malam-Aktiviti santai

11.30 malam-Bermalam di Tapak Perkhemahan Kuala Woh, Tapah,

Perak

24 Mac 2013 (Ahad)

06.00 pagi-Solat Subuh dan membersihkan diri

08.00 pagi-Sarapan pagi

10.00 pagi-Bertolak ke Kampung Batu 14, Tapah, Perak

· Menyusuri denai

· Diperkenalkan dengan pelbagai jenis buah-buahan, binatang dan herba

· Menyusuri sungai

01.00 tengah hari-Bertolak ke Tanah Rata

02.30 petang-Tiba di Mardi, Cameron Highlands

03.00 petang- Solat jamak Zuhur dan Asar / Makan tengah hari

04.00 petang-Bertolak balik ke UPM

11.00 malam-Tiba di UPM

5.0 Analisis Data Istilah Fauna dan Hubungannya dengan Masyarakat Semai

Hidupan fauna yang terdapat di Malaysia adalah pelbagai dan boleh dikelompokkan kepada beberapa jenis. Antaranya serangga, hidupan liar, binatang peliharaan, dan hidupan laut. Kaum Semai juga tidak terlepas hubungannya dengan kehidupan fauna. Kedudukan geografi penduduk kaum Semai yang tinggal di kawasan pedalaman berkaitan dengan hutan dan bukit menyebabkan penduduk asli mempunyai hubungan yang erat dengan binatang.

Istilah yang dituturkan oleh masyarakat Semai berkaitan dengan hidupan fauna mempunyai banyak perbezaan dengan istilah dalam bahasa Melayu. Hal ini menunjukkan bahawa bahasa masyarakat Semai berbeza dengan bahasa Melayu sehingga menyebabkan kewujudan istilah yang tersendiri. Istilah fauna yang diperoleh adalah berkaitan dengan binatang liar, serangga dan binatang peliharaan.

5.1 Istilah Fauna dalam Masyarakat Semai

Istilah dalam Bahasa Melayu

Istilah dalam Bahasa Semai

Harimau

Bagor

Ayam Hutan

Denak

Ikan

Kak

Belut

Jalir

Siput Babi

Kaluk Tok

Siput

Kaluk

Kerang

Kree

Kucing

Kucik

Tikus

Prok

Nyamuk

Sebet

Semut

Las

Anjing

Chok

Kera

Dog

Babi

Menghar

Ayam

Pok

Belalang Merah

Semer

Beruang Koala

Kokang

Burung

Cep

Rama-Rama

Kerba

Tebuan / Lebah

Signan

Lembu

Lembu

Kerbau

Kerbau

Biawak

Grit

Kelawar

Kelawar

Lipas

Gasur

Lipan

Kem

Buaya

Buayak

Katak

Katak

Itik

Itik

Tenggiling

Jol

Beruang

Beruak

5.2 Hubungan Fauna dalam Masyarakat Semai

Masyarakat Orang Asli Semai mempunyai hubungannya yang tersendiri dengan fauna. Binatang memainkan peranan penting dalam budaya masyarakat kaum Semai. Binatang bukan sahaja dipelihara malahan digunakan sebagai penjaga keselamatan kepada kaum asli. Selain itu, mereka juga menjadikan binatang sebagai santapan makanan, binatang untuk dipuja dan juga binatang yang dijadikan sebagai ubatan tradisional dalam konsep perubatan kampung masyarakat Semai.

5.2.1 Fauna sebagai Makanan Orang Asli Semai

Dalam masyarakat Semai, terdapat haiwan yang dijadikan sebagai makanan tidak kira sama ada dijadikan makanan harian ataupun makanan untuk mengubati sesuatu penyakit. Kebanyakan haiwan yang dijadikan makanan adalah binatang-binatang yang berasal dari hutan seperti ular, kera, babi, landak, tupai dan tenggiling. Masyarakat asli percaya bahawa haiwan yang dimakan hanya boleh dimasak secara rebus sahaja. Selalunya makanan yang dimasak secara rebus akan dihidangkan sekali bersama ubi kayu rebus. Mereka tidak dibenarkan untuk memasak kari, menggoreng, atau masakan yang mengandungi rempah kerana perkara tersebut menjadi budaya nenek moyang mereka.

Masyarakat Semai masih memakan haiwan seperti ayam, itik, dan kambing sama seperti makanan masyarakat lain di Malaysia. Namun, yang berbeza mengenai masyarakat ini adalah mereka turut menjadikan haiwan-haiwan hutan sebagai santapan hidangan bagi keluarga mereka. Ular sawa merupakan hidupan Fauna yang mempunyai hubungan yang tersendiri dengan kaum asli Semai. Ular sawa dijadikan makanan santapan sesetengah kaum asli. Namun, hanya kaum lelaki yang dibenarkan untuk memakan ular kerana mempercayai bahawa ular mempunyai khasiat yang baik untuk melancarkan peredaran darah dan kesihatan dalaman. Ular yang dimasak akan dibuang sisik dan bisa terlebih dahulu sebelum direbus untuk dijadikan santapan.

Berdasarkan data yang diperoleh menerusi kajian itu, binatang lain yang menjadi makanan harian kaum asli Semai adalah kera. Cara penyedian kera adalah membuang bulu kera dengan mencarik, kemudiannya anggota kaki dan tangan kera dibuang dan barulah kera tersebut dimasak dan dimakan. Hidupan kera merupakan antara hidupan liar yang sering menyerang tanaman masyarakat kampung. Jadi, kera tersebut akan disumpit sehingga mati dan hanya seekor atau dua ekor kera sahaja yang dibawa pulang untuk dijadikan santapan orang asli.

5.2.2 Fauna sebagai Ternakan

Seperti masyarakat bangsa lain di Malaysia, kaum asli Semai juga turut terlibat dalam aktiviti penternakan dengan memelihara binatang untuk dijadikan makanan atau jualan. Binatang yang diternak dalam masyarakat ini adalah seperti babi, kambing, ayam, itik, dan ikan. Kaum Asli Semai turut terlibat dalam penternakan ikan seperti ikan Talapia untuk dijual kepada peraih atau orang kampung dalam usaha menambah pendapatan mereka. Kajian yang dijalankan menerusi maklumat yang diperoleh daripada responden mendapati bahawa masyarakat ini tidak menternak binatang seperti lembu dan kerbau.

Selain menternak binatang untuk dijadikan makanan. Masyarakat ini turut membela binatang yang unik seperti tupai yang mempunyai sayap. Tupai tersebut mirip kepada kelawar dan bersaiz agak kecil. Binatang ini sangat jarang ditemui dan hanya diperoleh ketika berada di dalam hutan. Mereka juga turut membela tupai yang bersaiz besar dan mirip seperti kucing. Tupai jenis ini tinggal dan tidur di bawah tanah.

5.2.3 Kepercayaan dan Pantang Larang Hidupan Fauna

Dalam membicarakan tentang kepercayaan dan pantang larang yang diamalkan oleh masyarakat orang asli terhadap hidupan fauna, terdapat banyak pantang yang perlu dipatuhi oleh mereka supaya hidup mereka sentiasa selamat. Masyarakat asli percaya bahawa wanita yang mengandung tidak boleh memakan kera sepenjang tempoh kehamilan kerana khuatir anak yang dilahirkan akan terkena penyakit sawan atau berperangai seperti kera. Wanita juga tidak dibenarkan untuk menjejakkan kaki ke hutan ketika mengandung kerana percaya bahawa binatang seperti kancil atau harimau akan mengorek perut wanita tersebut. Hal ini menjadi satu kepercayaan masyarakat asli sejak turun-temurun lagi. Wanita yang dalam pantang pula tidak dibenarkan untuk memakan daging atau benda-benda berdarah kerana dikatakan akan membahayakan diri mereka.

Masyarakat Semai tidak berani untuk mengusik harimau kerana mereka percaya harimau akan mengganggu mereka kembali. Binatang juga mempunyai hubungan dengan kaum asli menerusi kepercayaan mereka tentang gangguan makhluk halus. Responden menyatakan cara untuk menghindarkan gangguan makhluk halus adalah dengan menggantungkan tulang dagu ataupun gigi babi di dalam rumah. Mereka percaya tulang dan gigi babi mampu mengusir kuasa jahat makhluk halus yang ingin memasuki rumah mereka.

Kepercayaan masyarakat ini ada kalanya hampir sama dengan kepercayaan masyarakat Melayu seperti kepercayaan tentang rama-rama yang masuk ke dalam rumah menandakan bahawa aka nada tetamu yang akan berkunjung ke rumah tersebut.

5.2.4 Tanda dan Alamat

Kajian yang dijalankan mendapati hidupan fauna banyak dikaitkan dengan sesuatu tanda atau alamat yang bakal berlaku dalam ahli keluarga atau dalam masyarakat sekitar. Masyarakat Semai percaya bahawa tanda kematian dikaitkan dengan bunyi belalalang merah. Bunyi yang dihasilkan oleh belalang menandakan bahawa akan terdapatnya kematian dalam kampung. Tanda kematian juga dapat dilihat menerusi sejenis binatang yang diberi nama kokang yang akan keluar sendiri daripada sangkar dan menuju ke rumah yang dilanda kematian, kemudiannya balik semula ke dalam sangkar.

Selain itu, binatang juga memberi alamat apabila kampung akan dilanda hujan. Binatang seperti katak yang berwarna coklat yang berbunyi akan menandakan hujan akan melanda kampung tersebut. Data yang dikaji juga mendapati bahawa orang asli Semai percaya bahawa fungsi sumpit yang mempunyai semangat apabila sumpit mampu berbunyi sendiri untuk menandakan kedatangan harimau.

Binatang sangat mempunyai semangatnya yang tersendiri kerana masyarakat orang asli tidak boleh mengata atau mentertawakan semua jenis binatang kerana mereka akan mendapat kebinasaan seperti terkenan kepada diri dan keluarga mereka selain menghadapi bencana seperti ribut.

5.2.5 Keselamatan

Untuk menjaga keselamatan, masyarakat Semai membela anjing untuk menjaga rumah dan keselamatan kepada keluarga. Anjing yang dipelihara ternyata membantu orang kampung untuk daripada ancaman binatang buas dan juga penjenayah. Rata-rata masyarakat Asli Semai membela anjing untuk menjaga rumah dan juga tanaman mereka.

5.2.6 Kegunaan Fauna

Mengikut responden iaitu Kak Lini, bahagian badan dan organ tupai dijadikan makanan seharian dan perubatan manakala ekor tupai pula dijadikan sebagai hiasan rumah. Ekor tupai sesuai untuk mencantikkan ruang rumah mereka dan digantung di sudut atas rumah sebagai hiasan. Selain itu, kulit ular dijadikan sebagai penutup sumpit. Hal ini demikian kerana kulit ular mempunyai pelbagai corak dan ini dapat mencantikkan lagi bahagian tertentu sumpit yang digunakan untuk memburu binatang. Di samping itu, lebah pula lebih tertumpu kepada penggunaan untuk aspek kesihatan. Mereka meyakini bahawa madu yang dihasilkan oleh lebah mampu menjadi penawar kepada segala penyakit selain digunakan untuk makanan dan minuman. Madu lebah juga merupakan antara sumber pendapatan sampingan masyarakat Semai kerana madu lebah mendapat sambutan yang agak menggalakkan daripada pembeli tempatan.

5.2.7 Perubatan

Dalam bidang perubatan masyarakat Semai, mereka turut menggunakan hidupan fauna sebagai langkah untuk mengubati penyakit. Masyarakat Semai mempercayai bahawa air liur katak boleh digunakan untuk mengubati penyakit-penyakit misteri yang tidak dapat dikesan oleh perubatan moden. Selain menggunakan air liur katak, katak juga dimasak untuk dijadikan ubat. Katak-katak ini ditangkap sendiri oleh mereka di dalam hutan.

Bukan itu sahaja, tupai turut digunakan sebagai ubat-ubatan oleh masyarakat Semai. Mereka menggunakan organ dalaman tupai seperti jantung tupai untuk mengawal dan mengubati penyakit darah tinggi dan kencing manis. Amalan ini dipercayai secara turun-temurun oleh nenek moyang mereka dan diperturunkan dari satu generasi ke generasi yang lain. Bagi wanita yang masih berpantang, mereka akan memakan ikan sungai seperti haruan untuk menyembuhkan luka bersalin.

6.0 Kesimpulan

Berdasarkan data-data pengumpulan yang diperoleh daripada lawatan ke Perkampungan Orang Asli yang tertumpu di Sekolah Kebangsaan Batu 7 dan Kampung Batu 14 di Tapah Perak, dapat dirumuskan bahawa masyarakat Semai pada masa kini telah terdedah dengan arus kemodenan dan kemajuan teknologi maklumat. Mereka lebih berfikiran terbuka untuk menerima pembaharuan yang dilakukan oleh badan-badan kerajaan.

Arus pemodenan yang difokuskan oleh kerajaan terhadap masyarakat Semai adalah dalam bidang pendidikan dan kebudayaan. Di Sekolah Kebangsaan Batu 7, ada ditawarkan subjek bahasa Semai untuk memperkukuh identiti bahasa dalam masyarakat Semai. Ini berikutan masyarakat Semai merupakan antara suku kaum yang terbesar dalam kelompok orang asli di Malaysia. Keadaan ini memberi satu inisiatif kepada masyarakat Semai untuk memperkenalkan bahasa mereka ke peringkat yang lebih tinggi seiring dengan bahasa-bahasa utama dunia. Oleh itu, secara tidak langsung akan meninggalkan kesan terhadap taraf pendidikan masyarakat Semai.

Dalam proses meningkatkan mutu pendidikan masyarakat Semai, bukan sahaja golongan kanak-kanak yang diberikan perhatian bahkan golongan ibu bapa turut diberikan ruang untuk menambah ilmu pengetahuan. Hal ini seterusnya membolehkan ibu bapa memberi tunjuk ajar kepada anak-anak sekiranya mereka menghadapi kesulitan dalam pembelajaran. Sehubungan itu, masyarakat Semai akan lebih berdaya saing dalam kehidupan dan tidak lagi ditindas oleh masyarakat luar yang sentiasa memandang enteng kepada kaum minoriti tersebut.

Daripada lawatan singkat ini, kami berpeluang untuk berkenalan dengan lebih dekat kehidupan masyarakat Semai yang masih mengamalkan adat resam daripada nenek moyang mereka. Selain itu, kami juga memperoleh banyak pengalaman manis sepanjang berada di sini. Antaranya kami didedahkan tentang kebudayaan yang masih diamalkan oleh masyarakat Semai iaitu tarian Sewang yang dipercayai untuk memujuk Puteri Awan supaya tidak menurunkan hujan kerana hujan mampu membantutkan aktiviti seharian mereka. Di samping itu, kami turut berpeluang mengetahui tentang agama, adat resam, pantang larang, ilmu tentang flora dan fauna serta kesenian.

Melalui lawatan ini diharap masyarakat umum lebih berpeluang untuk mengenali semua kelompok masyarakat orang Asli di Malaysia seperti kaum Negrito, Senoi, Temuan, Semelai, Jakun, Kanak, Mah Meri dan sebagainya. Oleh yang demikian, masyarakat orang asli akan lebih dikenali dan dihormati setanding dengan masyarakat lain dalam pelbagai aspek kehidupan.

7.0 Lampiran Program Semarak Minoriti Semai

Ahli kumpulan bersama responden yang terlibat dalam memberikan maklumat

Contoh hidupan fauna yang diternak dan dibela masyarakat Semai

Anjing dijadikan sebagai penjaga keselamatan masyarakat Orang Asli Semai

16