52
BAB II KAJIAN LITERATUR : SISA PEJAL DAN KITAR SEMULA 2.1 Pengenalan Sisa Pejal Secara umumnya sisa pejal boleh ditakrifkan sebagai semua sisa buangan hasil daripada aktiviti manusia atau haiwan samada dalam bentuk pepejal atau separa pepejal, yang dianggap sebagai tidak berguna dan tidak lagi diperlukan. (Azmi Aris, 1997) 2.2 Klasifikasi Sisa Pepejal 6

sisa pepejal- sem 8.docx

Embed Size (px)

Citation preview

BAB II

43

BAB II

KAJIAN LITERATUR : SISA PEJAL DAN KITAR SEMULA

2.1 Pengenalan Sisa Pejal

Secara umumnya sisa pejal boleh ditakrifkan sebagai semua sisa buangan hasil daripada aktiviti manusia atau haiwan samada dalam bentuk pepejal atau separa pepejal, yang dianggap sebagai tidak berguna dan tidak lagi diperlukan. (Azmi Aris, 1997)

2.2 Klasifikasi Sisa Pepejal

Secara umumnya, sisa pepejal boleh diklasifikasikan kepada beberapa bahagian, mengikut jenis dan sumber ianya dihasilkan. Antaranya termasuklah sisa domestik, sisa industri, sisa bungan taman, sisa komersial serta sisa klinikal.

2.2.1 Sisa Domestik

Sisa domestik terbahagi kepada dua punca utama, iaitu dari kawasan bandar dan luar bandar. Kebanyakkan daripadanya dihasilkan dari kawasan perumahan, permis perniagaan, sekolah dan kawasan-kawasan awam. Jenis dan komposisinya adalah pelbagai, bergantung kepada beberapa faktor seperti taraf hidup, budaya pemakanan, bilangan ahli keluarga, musim dan juga sikap individu itu sendiri. Antara jenis sisa pepejal yang banyak dihasilkan adalah sisa makanan, plastik, kertas, tekstil, perabut lama dan sebagainya (Noor Azizah,2002).

2.2.2 Sisa Industri

Sisa industri merangkumi kawasan perkilangan, bangunan-bangunan pejabat, gedung-gedung perniagaan, tapak pembinaan dan sebagainya. Bahan buangan industri biasanya terdiri daripada logam, kayu, kadbod, benang, tekstil, buangan makanan, buangan minyak, bahan kimia dan sebagainya bergantung kepada jenis aktiviti yang dijalankan (Noor Azizah,2002).

2.2.3 Sisa Buangan Taman

Sisa buangan taman terhasil daripada pembersihan lanskap persekitaran bandaraya, pembersihan taman permainan kanak-kanak, kawasan rekreasi, taman bunga serta dari kawasan perumahan sendiri seperti rumput, daun-daun kering, ranting kayu dan lain-lain. Selain itu, ianya juga berpunca daripada aktiviti pembersihan hutan untuk pertanian rekreasi, pembangunan dan sebagainya (Noor Azizah, 2002).

2.2.4 Komersil

Komposisi sisa komersil adalah sama seperti sisa domestik, iaitu terdiri daripada sisa makanan, plastik, kertas dan tekstil, yang dijana melalui aktiviti perniagaan, perdagangan, restoran, hotel, bangunan pejabat, pasar serta bengkel. Penghasilan bergantung kepada jenis perniagaan yang diusahakan di kawasan tersebut (Noor Azizah, 2002).

2.2.5 Klinikal

Sisa yang terdiri daripada keseluruhan atau sebahagian daripada tisu manusia atau binatang, darah, cecair badan manusia, bahan perkumuhan, ubat-ubatan atau lain-lain barangan farmasi, kapas dan kain pembalut luka, picagari, jarum atau lain-lain peralatan tajam yang tidak digunakan lagi. Sisa klinikal juga merupakan apa-apa sisa yang terhasil daripada bidang perubatan, kejururawatan, pergigian, farmaseutikal atau yang bersamaan dengannya, penyiasatan, rawatan, jagaan, kaji selidik yang boleh menyebabkan jangkitan kepada mana-mana orang yang tersentuh kepadanya (Noor Azizah, 2002).

2.3Faktor-Faktor Yang Mempengaruhi Kadar Penjanaan Sisa Pejal

Penjanaan sisa pejal di suatu kawasan dipengaruhi oleh beberapa faktor. Antara faktor yang mempengaruhi kadar penjanaan ini termasuklah musim, lokasi geografi, sikap masyarakat, ciri penduduk, keadaan ekonomi, sistem perundangan dan juga kekerapan pemungutan sisa (Ruzaina, 2003).

2.3.1 Faktor Musim

Kadar penjanaan sisa pejal di Malaysia turut dipengaruhi oleh faktor musim, seperti musim perayaan, musim buah-buahan, musim cuti, musim kenduri dan sebagainya. Semasa musim perayaan, setiap penghuni rumah berbelanja besar dengan menyediakan makanan yang banyak untuk ahli keluarga dan juga para tetamu. Oleh itu, kadar penjanaan sisa akan bertambah.

Begitu juga yang akan berlaku pada musim buah-buahan dan musim cuti sekolah. Musim buah-buahan akan menjanakan lebih banyak sisa kulit buahan seperti kulit durian, rambutan, manggis dan sebagainya. Manakala musim cuti sekolah akan menjanakan lebih banyak sisa dapur kerana suri rumah masing-masing memasak lebih dari kebiasaannya untuk ahli keluarga dan anak-anak. Selain itu, musim kenduri membuatkan lebih banyak sisa dikeluarkan, seperti sisa makanan, kertas, plastik, kain-kain buruk, botol dan banyak lagi.

2.3.2 Lokasi Geografi

Lokasi geografi dan keadaan iklim pada suatu-suatu kawasan adalah saling berkait. Kedudukan Malaysia pada garisan khatulistiwa memberikan iklim panas dan lembab sepanjang tahun. Pada musim hujan lazimnya kekerapan memasak adalah lebih tinggi dan dalam kuantiti yang besar. Ini kerana seseorang individu cepat berasa lapar, apatah lagi mengalami masalah untuk keluar akibat cuaca tidak menentu. Kekerapan memasak yang tinggi menyebabkan jumlah sisa yang dijanakan juga bertambah.

Namun begitu, terdapat juga keadaan songsang, dimana sisa yang dijanakan adalah lebih sedikit pada musim hujan. Keadaan lembab menyebabkan bakteria yang terdapat pada sisa cepat membiak dan menyebabkan bau yang tidak menyenangkan. Ini mengundang kehadiran haiwan pembawa penyakit seperti tikus, lalat serta anjing liar pada kawasan pengumpulan sisa tersebut. Oleh itu, sesetengah individu seboleh mungkin meminimakan sisa rumah mereka pada keadaan cuaca sebegini.

2.3.3 Sikap Masyarakat

Sikap masyarakat terhadap kesedaran dan tanggungjawab terhadap pengurusan sisa pejal memainkan peranan penting dalam mempengaruhi kadar penjanaan sisa pejal negara ini. Pembuangan sisa di merata tempat tanpa mengendahkan kebersihan persekitan dan kesihatan awam berpunca daripada sikap tidak ambil peduli dan lepas tangan sesetengah masyarakat yang tidak bertanggungjawab. Keadaan ini dapat dilihat pada kawasan tertentu seperti kawasan awam, perumahan setinggan, di sepanjang pinggir sungai dan sebagainya. Ini terjadi kerana setiap individu tidak mengendahkan kepentingan kebersihan alam sekeliling dan memikirkan bukan tanggungjawab mereka terhadap kawasan yang bukan menjadi milik mutlak mereka.

2.3.4 Ciri-ciri penduduk

Hubungan antara penduduk dan kualiti alam sekitar adalah berkadar songsang, iaitu semakin besar saiz penduduk sesuatu kawasan, semakin kurang kurang kualiti alam sekeliling (Ruziana, 2003). Ini menggambarkan peningkatan pertumbuhan penduduk akan meningkatkan keperluan seharian dan aktiviti-aktiviti terhadap alam sekitar.

Faktor ekonomi dan gaya hidup membezakan cara pemakanan dan perbelanjaan harian. Unit rumah yang berpendapatan lebih tinggi atau keluarga yang bersaiz besar akan berbelanja lebih dan turut menjanakan sisa yang lebih banyak. Jenis pemakanan dan kekerapan memasak di rumah turut mengundang situasi yang sama. Selain daripada itu, adat resam dan agama yang dianuti juga memainkan peranan, dimana sisa bahan-bahan yang digunakan untuk upacara sembahyang bagi sesetengah agama turut mempengaruhi kadar penjanaan sisa pejal.

2.3.5 Sistem Perundangan

Sistem perundangan di Malaysia berkaitan dengan penguatkuasaan undang-undang terhadap aktiviti penjanaan dan pelupusan sisa pejal. Undang-undang memandang berat terhadap kebersihan dan keselesaan kawasan awam, di mana denda yang sewajarnya akan dikenakan kepada mereka yang melanggarnya.

2.4 Pengurusan Sisa Pejal

Pengurusan sisa pejal merupakan suatu disiplin yang berkaitan dengan pengawalan penjanaan, penstoran, pemungutan, pemindahan, pengangkutan dan pelupusan sisa pepejal, sesuai dengan prinsip-prinsip terbaik di dalam aspek kesihatan awam, ekonomi, kejuruteraan, estetik dan lain-lain pertimbangan persekitaran yang peka terhadap keperluan orang awam. Asas penting dalam pengurusan sisa pepejal adalah pengetahuan terhadap kuantiti sisa pepejal yang dijanakan, jenis dan komposisi serta kadar penjanaan bagi suatu tempoh tertentu (Azmi, 1997).

2.4.1 Penjanaan Sisa

Penjanaan sisa adalah peringkat di mana sisa pepejal dihasilkan. Antara sumber penghasilannya termasuklah daripada sektor perumahan, perdagangan dan perniagaan, institusi, tapak pembinaan, industri, loji pengolahan air dan air sisa serta sektor pertanian .

Jadual 2.1 menunjukkan kadar penjanaan sisa pejal antara tahun 1990 hingga tahun 2000 di bandar-bandar utama semenanjung Malaysia. Kuala Lumpur mencatatkan jumlah penjanaan sisa pejal yang paling tinggi setiap tahun, iaitu dengan kadar 468 tan pada tahun 1990 dan meningkat kepada 1011 tan pada tahun 2000. Manakala Kangar mencatatkan jumlah penjanaan sisa yang paling rendah iaitu dengan kadar 16 tan pada tahun 1990 dan meningkat sedikit pada tahun 2000 dengan jumlah 27 tan setahun. Dari itu, jelas menunjukkan bahawa kadar penjanaan sisa dipengaruhi oleh jumlah penduduk serta kepesatan ekonomi sesuatu kawasan (Azmi, 1997).

Jadual 2.1 : Kadar Penjanaan Sisa Pepejal di Bandar-Bandar Utama Semenanjung Malaysia, 1990-2000

BandarTanTanTan

19901995+2000+

Kuala lumpur4687271011

P. Pinang451193254

Ipoh98125160

Johor Bahru84107137

Alor Setar83105135

Melaka7696123

Kuala Terengganu587595

Kota Bharu567262

Kuantan516583

Seremban476076

Kangar162127

Jumlah148816462163

Sumber : Pihak Berkuasa Tempatan,2000.

2.4.2 Pengendalian dan Penyimpanan

Pengendalian dan penyimpanan merupakan aktiviti yang dijalankan di tempat penjanaan, sementara menunggu masa ianya dipungut. Faktor yang perlu dipertimbangkan semasa penyimpanan sisa pepejal adalah kesan penyimpanan terhadap komponen sisa pepejal, jenis serta kedudukan tempat penyimpanan. Jangkamasa penyimpanan memberi kesan kepada keadaan sisa, dimana jika dibiarkan terlalu lama akan berlaku penguraian biologi yang menyebabkan masalah bau serta boleh memudaratkan kesihatan. Cecair yang terhasil juga menyukarkan kerja-kerja pemungutan, dan pencemaran komponen-komponen sisa akan menurunkan nilai sesetengah komponen yang boleh dikitar semula. Jenis tempat simpanan bergantung kepada ciri dan jenis sisa, sistem pengangkutan, ruang serta nilai estetik. Manakala kedudukan tempat simpanan bergantung kepada laluan dan ruang bagi khidmat pemungutan, serta jenis tempat tinggal, seperti kawasan perumahan teres, pangsapuri, kawasan industri dan sebagainya. (Azmi, 1997)

Aktiviti pengendalian sisa pepejal antara lain termasuklah proses pemisahan sisa dan pengkomposan. Pemisahan sisa bertujuan memudahkan proses kitar semula, di mana sisa seperti bahan organik, kertas, kaca, tin dan sebagainya diasingkan mengikut komponen masing-masing. Manakala pengkomposan adalah proses menukarkan sisa organik kepada baja atau penggembur tanah.

2.4.3 Pemungutan

Pemungutan melibatkan aktiviti pengumpulan dan pengangkutan sisa ke tapak pelupusan, tapak pemindahan atau pusat pemprosesan. Di Malaysia, terdapat tiga jenis sistem pemungutan yang digunakan; yang pertama ialah tiada simpanan di tapak, iaitu sisa pepejal diserahkan terus kepada pemungut. Kedua adalah secara bekas simpanan individu, iaitu sisa pepejal dari tempat penjanaan diletakkan di dalam bekas individu dan ditempatkan di lokasi yang telah ditetapkan. Dan yang ketiga adalah menggunakan bekas simpanan umum, iaitu sisa dari setiap penjana dicampur di dalam suatu bekas umum.

Salah satu daripada ciri pengurusan sisa pepejal yang baik adalah pemilihan laluan pemungutan yang ekonomi dan berkesan. Aspek yang perlu dipertimbangkan bagi merekabentuk laluan pemungutan termasuklah lokasi dan kekerapan pemungutan, bilangan pekerja dan kenderaan pemungut, teknik pemilihan kawasan laluan serta penyesuaian masa dengan keadaan trafik (Azmi,1997).

2.4.4 Pemindahan dan Pengangkutan

Operasi pemindahan dan pengangkutan terpaksa dilakukan apabila jarak dari tapak penjanaan ke tapak pelupusan terlalu jauh dan pengangkutan secara terus adalah tidak ekonomi. Dalam kes ini, tapak pemindahan merupakan kenderaan pemungutan yang lebih besar dan mampu membawa lebih banyak muatan, di mana ianya menerima sisa dari kenderaan-kenderaan yang lebih kecil untuk dibawa ke tapak pemprosesan atau pelupusan. Faktor yang menyebabkan keperluan tapak pemindahan termasuklah kedudukan tapak pelupusan yang terlalu jauh disamping penggunaan kenderaan pengangkutan kecil yang tidak ekonomi .

2.4.5 Pemprosesan dan guna semula

Bertujuan mengurangkan isipadu sisa pepejal yang akan dilupuskan. Bahan yang boleh diguna semula seperti kertas, palstik, gelas, botol dan kaca diasingkan untuk kegunaan semula atau dikitar untuk dihasilkan bahan baru atau sebagi sumber penghasilan tenaga.

2.4.6 Pelupusan

Merupakan aktiviti pelupusan sisa pepejal yang tidak boleh diproses lagi. Terdapat dua kaedah yang digunakan, iaitu penunuan dan pelupusan di tapak pelupusan sanitari. Kaedah penunuan melibatkan proses pembakaran sisa pada suhu tinggi dan menukarkannya kepada air, gas dan abu. Kaedah ini mengurangkan isipadu sisa yang perlu dilupuskan di tapak pelupusan. Antara keburukan kaedah ini adalah ianya memerlukan pengawalan pencemaran udara yang ketat akibat pembebasan asap dan gas beracun ke udara, disamping memerlukan kos kapital, kos operasi yang tinggi serta memerlukan tenaga mahir. Selain itu, peralatan yang digunakan perlu direkabentuk secara teliti, sesuai dengan kuantiti sisa yang dijanakan supaya ianya ekonomi .

Manakala pelupusan sisa di tapak pelupusan sanitari merupakan kaedah penanaman sampah di dalam tanah dengan menggunakan kaedah kejuruteraan dimana ianya meminimakan kesan negatif terhadap manusia dan alam sekitar. Ianya merupakan kaedah yang popular di Malaysia dengan kos pengurusan yang rendah, tetapi memerlukan perancangan dan pengurusan yang baik. Terdapat tiga kaedah tapak pelupusan (Azmi, 1997).2.4.6.1 Kaedah parit

Kaedah ini sesuai untuk kawasan rata yang mempunyai aras air bumi yang rendah. Korekan biasanya berbentuk segiempat, di mana tanah yang dikorek di kumpulkan dan diguna semula sebagai tanah penutup. Saiz dan kedalaman parit adalah berbeza-beza mengikut keadaan topografi dan isipadu sisa pepejal. (Sila rujuk rajah 2.1).

2.4.6.2 Kaedah kawasan

Sesuai bagi kawasan yang bercerun dan mempunyai aras air bumi yang tinggi. Tiada pengorekan dibuat, oleh itu tanah diambil dari tempat lain untuk menutupi sampah yang telah dipadat dan diratakan. Tanah penutup yang dicadangkan adalah setebal 6 inci setelah dipadatkan untuk menutup lapisan sisa pepejal dengan sempurna (Sila rujuk rajah 2.2).

2.4.6.3 Kaedah kombinasi

Merupakan gabungan kaedah kawasan dan kaedah parit. Amat sesuai bagi kawasan bercerun, di mana sisa pepejal di lambakkan pada cerun dan dipadatkan. Bahan penutupnya dikorek dan diambil pada bahagian bawah kawasan kerja, manakala lubang yang terhasil akibat korekan tersebut akan digunakan untuk pembuangan sisa pada operasi berikutnya, dan begitulah seterusnya (Sila rujuk rajah 2.3).

Jadual 2.2 di bawah adalah berkenaan lokasi tapak pelupusan sisa pejal Pihak Berkuasa Tempatan bagi negeri Johor serta bilangannya. Daripada maklumat berkenaan, didapati jumlah tapak pelupusan bagi negeri ini adalah 15 buah, termasuk tapak yang sedang digunakan dan juga yang telah ditutup , di mana masing-masing terletak di Ulu Tiram, Kluang, Saleng, Muar, Pontian dan juga Pasir Gudang Baru.

Jadual 2.2 : Maklumat tapak pelupusan sisa pepejal Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) bagi negeri JohorPihak Berkuasa TempatanBilanganLokasi

Majlis Bandaraya Johor Bahru1Ulu Tiram

Majlis Daerah Johor Bahru Tengah2Ulu Tiram

Majlis Daerah Kluang Utara1Jalan johor Tenggara, Kluang

Majlis Daerah Kulai2Saleng dan Kelapa Sawit

Majlis Daerah Mersing3Jalan Sekakap, Mersing; Jalan Pianggu,

Majlis Daerah Muar Selatan2Endau dan Jalan Kolam Air, Jemalung

Jalan Bakri, Muar dan Pagoh

Majlis Daerah Pontian3Jalan Kukup, Pontian;

Pekan Nenas dan Sanglang

Pihak Berkuasa Tempatan Pasir Gudang1Jalan Kampung Pasir Gudang Baru

Sumber: Pihak Berkuasa Tempatan, Johor, ( 1996)

Rajah 2.1 : Pelupusan Sisa Pejal Kaedah Parit Sumber : Azmi, 1997

Rajah 2.2 : Pelupusan Sisa Pejal Kaedah KawasanSumber : Azmi, 1997

Rajah 2.3 : Pelupusan Sisa Pejal Kaedah KombinasiSumber : Azmi, 1997

2.5 Pihak Pengurusan

Di Malaysia khususnya, pengurusan sisa pepejal terletak di bawah kawalan Kerajaan Tempatan. Walaupun begitu, tugas ini lazimnya diserahkan kepada kontraktor kontraktor yang dilantik oleh Majlis Perbandaran bagi setiap daerah. Antara kontraktor yang bertanggungjawab dalam pengurusan sisa pejal bagi daerah Johor Bahru adalah Southern Waste Management Sdn. Bhd. (SWM).

2.5.1 Latarbelakang SWM

Southern Waste Management Sdn. Bhd. (SWM) diperbadankan di Malaysia pada 18 Mac1996 di bawah dasar penswastaan Pengurusan Sisa Pejal National selepas dianugerahkan tanggungjawab dalam menguruskan penstoran, pemungutan, pemindahan, pengangkutan, separa pemprosesan dan pelupusan sisa pejal di dalam lingkungan wilayah Selatan, Malaysia oleh Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri pada 21 Disember 1995 (SWM,2003). .

Pada April 1996, SWM diberi tanggungjawab untuk mengambil alih pengurusan sisa pejal dan perkhidmatan pembersihan kawasan awam daripada semua Pihak Berkuasa Tempatan di dalam lingkungan kawasan konsesi SWM (Negeri sembilan, Melaka dan Johor) di atas dasar sementara. Dasar ini adalah peralihan menuju kepada perlaksanaan penswastaan penuh. Konsesi ini merangkumi perkhidmatan dalam jangkamasa selama 20 tahun kepada 4 juta orang penduduk (SWM, 2003).

2.5.2 Perkhidmatan SWM

Antara perkhidmatan yang termasuk dalam bidang tugas SWM adalah menguruskan sisa pejal secara bersepadu serta perkhidmatan pembersihan kawasan awam. Dengan taraf penswastaan penuh, SWM bekersama dengan pihak berkuasa tempatan dan juga bidang industri bagi melaksanakan strategi dan sistem kerja yang menyeluruh untuk menjamin keberkesanan perkhidmatan. Antara kepakaran SWM termasuklah menguruskan sisa-sisa kediaman, komersial dan juga industri bukan toksid. Selain itu, SWM juga pakar dalam proses pemindahan sisa dari stesen pemindahan kepada tapak pelupusan, perkidmatan kitar semula dan penghasilan sumber daripada sisa buangan (SWM, 2003).

2.5.2.1 Perkhidmatan Pemindahan Sisa

SWM sentiasa mencipta inisiatif bagi memperbaiki perkhidmatannya dari masa ke semasa. Stesen pemindahan sisa yang pertama di Malaysia dibiayai, dibina dan dikendalikan oleh SWM pada April 1999, yang berkemampuan untuk mengendalikan pemindahan sisa sebanyak 600 tan sehari. Stesen pemindahan sisa yang bernama TARUKA, yang terletak di Bandar Johor Bahru dikendalikan oleh 10 buah trak pemindahan sisa ( RORO), 35 buah tong pemindahan RORO, serta 30 orang tenaga kerja (SWM, 2003).

Rajah 2.4 menunjukkan struktur organisasi SWM. Bahagian pengurusan organisasi ini terbahagi kepada dua, iaitu bahagian operasi dan bahagian sokongan. Bahagian operasi merangkumi kerja-kerja luar seperti pemungutan, pemindahan, kitar semula serta kerja-kerja di pejabat seperti pentadbiran, keewangan, teknologi maklumat dan sebagainya.

LEMBAGA PENGARAH

JAWATAN KUASA EKSEKUTIF

BAHAGIAN PENGURUSAN

BAHAGIAN OPERASIBAHAGIAN SOKONGAN

PEMUNGUTANKEEWANGAN

PEMBERSIHANPENTADBIRAN

BENGKELSUMBER MANUSIA

KITAR SEMULATEKNIKAL

STESENKOMUNIKASIPEMINDAHANKORPORAT

SISA UNTUK TEKNOLOGI TENAGAMAKLUMAT

TAPAKPEMBANGUNAN PELUPUSANKEUSAHAWANAN

PENGURUSAN PENJUALAN DANKONTRAKTORPEMASARAN]

PERKHIDMATAN PELANGGAN

UNIT PEGURUSAN

Rajah 2.4 : Struktur Organisasi SWM Sumber : Southern Waste Management Sdn. Bhd, 2003

2.5.2.2 Perkhidmatan Kitar Semula

SWM memainkan peranan penting dalam melatih dan mencipta kesedaran di kalangan awam dengan mempromosikan kitar semula dan pengurangan sisa, pengembalian sumber sertameminimakan kesan pencemaran kepada tanah, air dan juga udara. SWM turut membuka pusat kitar semula di sekitar kawasan perumahan bagi kemudahan komuniti untuk menukarkan barangan kitar semula dengan kadar yang berpatutan (SWM, 2003).

Dengan kerjasama Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, SWM menjadi organisasi penting dalam usaha mempromosikan kitar semula di tiga lokasi utama di Malaysia, iaitu Negeri Sembilan, Melaka dan Johor. Antara program yang dikendalikan termasuklah membekalkan tong-tong kitar semula, papan kenyataan mengenai lokasi-lokasi tong kitar semula, kempen kitar semula, dan juga seminar di sekolah-sekolah, institusi dan firma-firma dalam usaha mempromosikan program ini (SWM, 2003).

Proses pungutan barangan kitar semula ini dibuat dengan pertukaran wang tunai yang berpatutan. Untuk itu, SWM menyediakan trak bergerak dari sekolah ke sekolah, serta tempat tumpuan umum bagi tujuan pengutipan barangan kitar semula ini (SWM, 2003). Jadual 2.3 menunjukkan jadual perkhidmatan SWM di sekitar Johor Bahru.

Jadual 2.3 : Jadual Aktiviti SWM di sekitar Johor BahruPUNGUTAN SISA PEJAL

Jenis Premis/KawasanJenis PerkhidmatanKekerapan Pungutan

Lot Kedai/ kawasan perniagaanPungutan sisaSetiap hari, kecuali Ahad

Kawasan perumahanPungutan sisaTiga kali seminggu

PERKHIDMATAN KITAR SEMULA

Lokasi Jadual Operasi

MBJB - Plaza AngsanaSetiap Ahad : 1.00pm - 7.00pm

MPJBT - Jusco Taman UniversitiSetiap Sabtu : 10.00am - 5.00pm

PERKHIDMATAN SISA INDUSTRI

Perkhidmatan jangka panjang - Perkhidmatan berdasarkan kontrak perjanjian

atau bergantung kepada permintaan pelanggan

Kadar bayaran - bergantung kepada kekerapan pungutan dan

jenis kontena yang digunakan,

contohnya RORO,REL atau kontena beroda

Sumber : Southtern Waste Management Sdn. Bhd., 2003.

2.6Pengurusan Sisa Pejal Kaedah Tradisional

Dari apa yang kita sedia maklum, kaedah pengurusan sisa pepejal bagi kawasan bandar dan luar bandar adalah berbeza dari setiap aspek yang telah dibincangkan sebelum ini. Ini kerana pengurusan sisa pepejal bagi kawasan luar bandar tidak tertakluk di bawah bidang kuasa Majlis Perbandaran. Oleh itu, setiap sisa yang dijanakan adalah menjadi tanggungjawab setiap individu untuk dilupuskan.

2.6.1 Penjanaan

Jenis sisa yang sering dijanakan oleh masyarakat kampung kebanyakkannya terdiri daripada sisa-sisa makanan, kulit buah-buahan dan juga sisa taman seperti rumput rampai, ranting kayu serta daun-daun kering.

2.6.2 Penyimpanan

Proses penyimpanan sisa pepejal yang dijanakan adalah mengikut dari sumber mana sisa tersebut datang. Sisa makanan selalunya diletakkan di dalam bekas khas pada bahagian dapur, sementara sisa taman biasanya dikumpul pada suatu tempat pada bahagian halaman atau belakang rumah sebelum dilupuskan.

2.6.3 Pemprosesan

Bagi masyarakat luar bandar yang kurang pendedahan kepada program kerajaan seperti aktiviti kitar semula, pemprosesan dan pengasingan sisa amat jarang dilakukan. Komposisi sisa pepejal yang dijanakan kebiasaannya adalah bercampur aduk dan dilupuskan sekaligus. Walaupun begitu, aktiviti guna semula barangan seperti beg palstik, botol plastik, kotak dan surat khabar yang masih boleh digunakan, menjadi rutin masyarakat ini mengikut keperluan seisi keluarga dan bukannya untuk urusan jual beli.

2.6.4 Pelupusan

Terdapat tiga kaedah pelupusan sisa pepejal bagi masyarakat luar bandar. Antaranya ialah:

i. Penanaman Setiap kediaman lazimnya mempunyai tempat pelupusan sisanya sendiri. Sisa pepejal yang dijanakan dikumpul dalam suatu lubang yang digali khas pada jarak 3-7 meter di bahagian belakang rumah. Apabila penuh, lubang tersebut akan ditutup dengan lapisan tanah dan diratakan. Lubang lain pada kedudukan lain akan digali menggantikan lubang tadi.

ii. Pembakaran - Kaedah pelupusan sisa yang paling terkenal di kawasan luar bandar. Kaedah ini paling mudah, dan berkesan tetapi akan menyebabkan pencemaran alam hasil daripada pembakaran tersebut.

iii. Pemerunan Sisa-sisa pejal dilonggok dan dibiarkan mereput dengan sendirinya.

Walaubagaimanapun, terdapat juga segelintir penduduk yang kurang bertanggungjawab, mengambil jalan mudah dengan membuang sisa kediaman mereka ke merata-rata tempat seperti di persisiran sungai, laut, ke dalam semak samun dan sebagainya, bergantung kepada lokasi dan kedudukan tempat kediaman masing-masing.2.7Kitar Semula

2.7.1Pengenalan Kitar semula

Kitar semula merupakan satu kaedah atau proses di mana sisa pepejal dikumpul, diasing, dan diproses untuk menghasilkan produk baru atau dijadikan sumber bagi penghasilan produk baru. Secara ringkasnya, kitar semula boleh ditafsirkan sebagai memproses barangan lama untuk dijadikan barang baru, mengguna semula barangan tersebut dalam bentuk asal ataupun memberikan kepada individu lain yang memerlukannya. Bahan buangan yang berpotensi untuk dikitar semula adalah seperti tin aluminium, plastik, kaca dan kertas.

Kesedaran mengenai kitar semula dikalangan masyarakat masih berada pada tahap rendah. Kempen kesedaran masyarakat melalui Program Kitar Semula dan Guna Semula yang dilancarkan oleh pihak kerajaan buat pertama kalinya pada tahun 1998 kurang mendapat sambutan. Berikutan daripada itu program tersebut telah dilancarkan semula pada 2hb. Dec. 2000 di peringkat nasional dan pada 18hb. Mac 2001 di peringkat Negeri Johor. Selain itu, pelbagai cara telah dijalankan untuk menarik minat masyarakat terhadap aktiviti ini, termasuklah melalui ceramah, pengedaran risalah kitar semula, kempen dan penggunaan konsep 3M.

2.7.2 Konsep 3M

Konsep ini merujuk kepada langkah-langkah dalam meminimakan penggunaan sumber. Berdasarkan konsep ini, sumber-sumber alam seperti bahan galian, udara, air, flora serta fauna perlu diolah berdasarkan keupayaan untuk menyumbangkan khidmat kepada kita dan generasi akan datang. 3M mengutarakan langkah yang perlu diambil oleh setiap pengguna mengikut aturan keutamaan, iaitu mengurangkan, mengguna dan mengitar semula.

Pengurangan penggunaan sumber semulajadi boleh dilakukan dengan membeli barangan yang boleh dikitar semula. Selain itu, sisa pepejal dapat dikurangkan dengan mengelakkan pembelian barangan berbungkus atau barangan pakai buang.

Fikir dulu sebelum buang . Tema program kitar semula ini sebaiknya dijadikan panduan sebelum meneruskan sesuatu tindakan penjanaan sisa yang diguna semula. Selain itu, tahap pemikiran yang kreatif dan inovatif mungkin boleh menghasilkan produk yang berguna daripada bahan buangan tersebut.

2.7.3 Mengapa Perlu Kitar Semula

Rakyat Malaysia menghasilkan 15, 000 tan sisa pejal setiap hari. Jika dihitung dari segi fizikal, lama-kelamaan negara ini akan kesempitan ruang untuk menempatkan sisa pejal tersebut. Dengan mengitar semula, kita dapat membantu mengurangkan sisa-sisa buangan dan sekaligus memanjangkan hayat tapak pelupusan.

Sisa pepejal yang tidak terurus boleh menyebabkan pencemaran, mencacatkan pemandangan serta menarik minat haiwan pembawa penyakit seperti lalat, tikus, lipas dan gagak. Kitar semula mampu mengurangkan kadar pencemaran disamping dapat menjimatkan tenaga. Ini kerana penghasilan barangan yang menggunakan bahan mentah akan menyebabkan pencemaran dan meningkatkan kadar guna tenaga. Tetapi, dengan mengitar semula satu tin aluminium, tenaga yang dihasilkannya membolehkan kita menikmati rancangan television selama 3 jam (Buletin Perlindungan Pengguna, 2003).

Dari perspektif jangka masa panjang, kos untuk melaksanakan kitar semula adalah lebih murah jika dibandingkan dengan kos untuk mengekalkan keadaan alam sekitar. Apabila program kitar semula ini dapat dijalankan dengan lebih efisyen, jumlah sisa pejal yang dijanakan akan berkurangan.

Setiap bulan, Malaysia mengimport lebih daripada 25,000 tan kertas buangan untuk menghasilkan produk kertas bagi menampung permintaan tempatan. Oleh itu, kitar semula adalah penting untuk penghasilan produk baru serta menjimatkan sumber dan kos (Kementerian Perumahan Dan Kerajaan Tempatan, 2003).

Jika dibandingkan dengan pengurusan pelupusan sisa, program kitar semula ini dapat menyediakan lima kali peluang pekerjaan. Program ini membuka banyak peluang kepada jurutera-jurutera, pakar mesin, pakar alam sekitar, pekerja am dan lain-lain lagi.

Selain itu, kitar semula mampu memperbaiki tahap kebersihan dan kualiti hidup kita. Sejajar dengan kepesatan ekonomi dan kemajuan negara, adalah penting bagi setiap rakyat negara ini menjaga ruang kehidupan agar sentiasa bersih dan selesa. Ini kerana, negara bersih melambangkan kesihatan rakyat serta mencerminkan keagungan pemimpinnya.

2.7.4Bagaimana Untuk Kitar Semula

Langkah untuk melaksanakan aktiviti ini hanyalah dengan mengasingkan barangan yang boleh dikitar semula daripada sisa keseluruhan, dan seterusnya memasukkannya ke dalam tong-tong kitar semula mengikut warna tong dan jenis barangan yang ditetapkan.

Selain daripada menggunakan tong-tong kitar semula, barangan yang telah dikumpulkan boleh juga terus dibawa ke pusat pengumpulan atau pusat kitar semula yang terdapat di seluruh negara. Selain daripada pusat pengumpulan ini, terdapat juga pusat-pusat jualan yang dibuka untuk membeli barangan terpakai, dan ianya dikendalikan oleh beberapa NGO yang membantu mempromosikan program ini.

Walaupun begitu, terdapat dua faktor yang perlu dipertimbangkan sebelum menjual barangan kitar semula ini. Pertama, bahan yang dikumpulkan mestilah dalam kuantiti yang sesuai, kerana pembekal tidak selalu mampu untuk menampung kos pengendalian dan pengangkutan jika bahan yang dikumpul dalam jumlah yang sedikit. Faktor kedua ialah memastikan kualiti bahan adalah selaras dengan keperluan yang ditetapkan. Kualiti merujuk kepada kebersihan, tidak mudah berubah bentuk dan bebas daripada pencemaran.

2.7.5 Apa Yang Boleh Dikitar Semula

Terdapat empat jenis barangan yang disarankan kepada orang ramai untuk dikitar semula. Barangan tersebut adalah kaca, plastik, kertas dan aluminium. Jadual 2.4 menerangkan jenis barangan yang disarankan untuk dikitar semula.

Jadual 2.4 : Barangan Yang Disarankan Untuk Dikitar SemulaBaranganKeterangan

Semua jenis kaca termasuk botol minuman, bekas

Kacamakanan, dan juga bekas kosmetik. Semua jenis kaca

dimasukkan ke dalam tong berwarna coklat

semua jenis barangan yang diperbuat daripada alumnium,

Aluminiumseperti tin minuman, tin gula-gula, tin makanan dan sebagainya.

ia mestilah dimasukkan ke dalam tong bewarna jingga.

Semua jenis kertas, samaada yang bewarna atau tidak

Kertasbewarna, seperti kertas surat khabar, majalah, risalah dan

sebagainya. Semua jenis kerta mestilah dimasukkan

ke dalam tongbewarna biru.

Beg plastik membeli-belah, botol-botol plastik, botol air mineral,

Plastikbekas makanan yang diperbuat daripada plastik dan sebagainya.

Semua jenis barangan plastik mestilah dimasukkan ke dalam

tong jingga, sama seperti barangan aluminium.

Sumber : SWM, 2003

2.7.6 Kaedah Mengitar Semula Barangan Kaca

Proses pertama dalam mengitar semula barangan kaca adalah dengan mengasingkannya mengikut warna. Ini kerana, apabila kaca dicairkan, warna asalnya masih kekal, bermakna kaca hijau akan kekal menjadi kaca hijau, kaca coklat akan kekal menjadi kaca bewarna coklat, sementara kaca jernih akan kekal dengan warnanya.

Setelah kaca-kaca diasingkan dan dibersihkan, ia akan dihancurkan dan ditambah dengan sedikit bahan mentah yang lain untuk dijadikan kaca yang baru. Campuran tersebut akan dipanaskan sehingga membentuk sejenis cecair. Kaca yang masih panas akan dibentuk mengikut kehendak pasaran. Hasil yang terbentuk akan disejukkan dan diperiksa dari sebarang kecacatan. Barangan kaca yang telah siap akan dihantar ke premis-premis atau kilang-kilang yang memerlukannya. Rajah 2.5 menunjukkan proses kitar semula barangan kaca.

1. Bekas pengisi kaca dibuat daripada bahan yang paling ringkas, iaitu pasir silica, serbuk soda dan batu kapur. Apabila kaca terpakai dihancurkan, ia kembali secara maya kepada bentuk asalnya

2. Kaca yang dihancurkan dikitar semula melalui percantuman bersama bahan semulajadi asli dalam proses pembuatan kaca6. Akhirnya, ia diperiksa, dibungkus dan dihantar ke premis atau kilang-kilang

5. Barangan yang dihasilkan ini disejukkan lagi serta diletakkan lapisan kalis calar

3. Ia kemudiannya dicairkan pada suhu setinggi 1500 F

4. Kemudian ia disejukkan dan dibentuk mengikut corak yang diingini.

Rajah 2.5 : Proses Kitar Semula Barangan KacaSumber : SWM, 2003

2.7.7 Kaedah Mengitar Semula Barangan Plastik

Proses mengitar semula barangan plastik adalah proses yang paling mudah dan ringkas. Plastik yang telah dikumpul, diasingkan mengikut kategori. Kemudiannya ia akan dipisah-pisahkan menjadi serpihan halus yang bersaiz lebih kurang 1 sentimeter. Seterusnya ia dibersihkan untuk membuang segala kotoran dan dikeringkan melalui saluran udara panas. Serpihan-serpihan plastik kemudiannya dibungkus untuk dijual atau akan diproses menjadi bahan baru. Rajah 2.6 menunjukkan proses mengitar semula barangan plastik

5. Until ini kemudian dijual kepada pembuat produk plastic untuk dijadikan botol atau pengisi.1. barangan plastik diasing mengikut jenis menggunakan tenaga manusia atau mesin x-ray2. Ia dipadatkan untuk memudahkan proses penghantaran

3. Plastik yang dipadatkan dimasukkan ke dalam mesin pemotong dan dipotong kepada saiz yang lebih kecil

4. Kemudian ianya dibentuk menjadi until yang kecil. Ia dihasilkan daripada plastik yang dicairkan yang mana kemudiannya disembul keluar (seperti spageti)

Rajah 2.6 : Proses Kitar Semula Barangan Plastik.Sumber : SWM, 2003

2.7.8 Kaedah Mengitar Semula Barangan Kertas

Suratkhabar, majalah lama serta segala jenis kertas dari seluruh negara akan dikumpul dan dihantar ke kilang memproses kertas terpakai. Tahap pemprosesan bermula dengan proses penghancuran kertas yang dicampur dengan air dan bahan kimia. Bahan-bahan ini membantu dalam proses penghancuran sebelum dibersihkan daripada kotoran yang nyata. Kertas yang dihancurkan tadi dinyahkan dakwat yang terkandung di dalamnya, sebelum ianya menjalani proses pembersihan selanjutnya, iaitu proses penapisan dan pencerahan. Hasil yang diperolehi melalui proses di atas dicampurkan dengan air, lalu dipamkan ke bahagian hujung basah mesin pembuat kertas. Kertas kemudiannya diratakan oleh mesin pelembut sebelum ianya digulung menjadi satu gulungan kertas yang besar. Gulungan ini dipotong mengikut pelbagai saiz, bergantung kepada kehendak pelanggan.

2.7.9 Kaedah Mengitar Semula Barangan Aluminium

Barangan aluminium terpakai yang telah dikumpulkan, diasing lalu direnyukkan menjadi bentuk kepingan untuk memudahkan pengangkutan ke pusat kitar semula. Ia kemudiannya dilebur untuk menyingkirkan bendasing, dan seterusnya dibentuk menghasilkan tin-tin yang baru. Kitaran semula aluminium menjimatkan banyak tenaga berbanding barangan kitar semula yang lain.

2.7.10 Jenis Bahan Yang Tidak Boleh Dikitar Semula

Dalam lingkungan bahan yang boleh dikitar semula, ada keadaan tertentu yang menyebabkan suatu barangan tersebut menjadi rosak dan tidak lagi boleh digunakan untuk penghasilan produk baru. Jadual 2.5 menunjukkan beberapa jenis bahan yang tidak boleh dikitar semula.

Jadual 2.5 : Jenis Bahan Yang Tidak Boleh Dikitar SemulaBahanKeterangan

-Kotak pizza atau apa-apa barangan kertas yang dicemari minyak

atau sisa makanan

-Pinggan kertas yang telah dicemari

-Tisu

Kertas-Kertas karbon

-Lampin pakai buang

-Kertas yang disaluti lilin atau plastik

-Bekas makanan beku

-Tin aerosol

-Tin cat

Aluminium-Penggantung baju

-Bahan perubatan

-Penapis minyak

-Gelas minuman

-Kaca tingkap atau cermin kereta

Kaca-Cermin mentol

-Kaca tahan suhu tinggi (Pyrex,Corning ware, Vision ware)

-Bekas plastik yang disaluti minyak

Plastik-Styrofoam

Sumber : SWM, 2003

2.7.11 Lokasi Tong Kitar Semula

Secara amnya, terdapat beberapa lokasi yang menempatkan tong-tong kitar semula serta pusat pengumpulan di seluruh negara bagi memudahkan para pengguna menghantar barangan yang boleh dikitar semula. Terdapat lebih 15 ribu tong kitar semula disediakan dan lebih daripada 700 pusat kitar semula di seluruh negara (MPJBT, 2003). Kemudahan ini terdapat di sekolah-sekolah, stesen minyak, pusat membeli-belah, kawasan-kawasan perumahan, pejabat-pejabat kerajaan dan pejabat NGO. Rajah 2.7 menunjukkan contoh tong kitar semula, sementara jadual 3.0 menyenaraikan beberapa lokasi tong-tong kitar semula di sekitar negeri Johor.

Rajah 2.7 : Tong Kitar Semula

Jadual 2.6 : Lokasi Tong-Tong Kitar Semula di Seluruh Negeri Johor

Azbib Service Station - ESSO Jalan Kebun Teh Bandar Baru UDA Bangunan D'STULANG Gerai Makan Hutan Bandar Injaya Sdn Bhd - Stesen Minyak Jabatan Lanskap Majlis Bandaraya Johor Baharu Karzal Sdn Bhd - Stesen Minyak BP Jalan Tebrau Kelana Megah S/B - Kompleks Bebas Cukai Kompleks Kedai Permas Jaya Kompleks Tun Abdul Razak Kweng Soon Cheong Petrol Supply -SHELL Jalan Sawmill Maktab Sultan Abu Bakar Merit Properties S/B-City Square Pejabat Kesihatan Daerah Jalan Tun Abdul Razak Pejabat Majlis Bandaraya Johor Baharu Pejabat Penguatkuasa Majlis Bandaraya Johor Baharu- Jalan Seggel Pejabat Setiausaha Kerajaan Johor Pelangi Service Station - Mobile Jalan Sri Pelangi Pentastar Corp. S/B - Stesen Minyak Caltex Jalan Tun Razak Pintu Keluar Kompleks Kastam Pintu Masuk Kompleks Kastam Plaza Angsana Pondok Menunggu Bas - Depan Pejabat Majlis Bandaraya Johor Baharu Pusat Penjaja Taman Sri Tebrau Restoren Singgah Selalu RTM Johor Bahru Sek Agama Bandar Baru UDA Sek Keb Ayer Molek Johor Baharu Sek Keb BBU II Sek Keb Convent Johor Baharu Jadual 2.6 (sambungan) Sek Keb Jenis (Tamil) Jalan Yahya Awal Sek Keb Kg Pasir Sek Keb Khir Johari, Johor Baharu Sek Keb Kompleks UDA Sek Keb Larkin (1) Sek Keb Nong Chik Sek Keb Taman Pelangi Sek Keb Tanjung Puteri Sek Keb Temenggung Abd Rahman (1) Sek Keb Temenggung Abd Rahman (2) Sek Men (P) Sultan Ibrahim Sek Men Aminuddin Baki Sek Men Keb BBU Sek Men Keb Sultan Ismail Sek Men Sultanah EngkuTun Aminah Sek Ren Jenis Keb (C) Foon Yew 1 Seng Motor Sdn Bhd - SHELL Jalan Wong Ah Fook Sithiam Brothers Sdn Bhd (BBU) Tandas Awam Stulang Laut Tapak Penjaja (Parking Lot Sementara) XTRA Supermarket

Sumber : Majlis Perbandaran Johor Bahru Tengah, MPJBT, 2002

2.7.12 Kempen Kitar Semula

Kempen kitar semula sepatutnya bermula dari rumah dan juga di pejabat. Ini kerana sikap positif yang dipupuk akar umbi akan dibawa ke mana sahaja kita pergi. Kitar semula di rumah adalah sangat penting kerana jumlah sisa yang dikumpul dari sesebuah kawasan perumahan adalah sangat besar. Begitu juga halnya di pejabat.

Syarikat-syarikat komersial menyumbang sebanyak 40% daripada jumlah sisa buangan. Ini berikutan operasi yang dijalankan oleh syarikat-syarikat dan industri menghasilkan pelbagai barangan yang boleh dikitar semula dengan kuantiti yang besar (Kementerian Perumahan Dan Kerajaan Tempatan, 2002).

Setiap sisa pepejal yang dijanakan seharusnya diasingkan mengikut jenis dan tentukan samada bahan buangan tersebut boleh dikitar semula atau sebaliknya. Sediakan bekas yang berlainan warna atau berlabel untuk memudahkan pengasingan. Manakala sisa makan basah bolehlah diletakkan pada bekas khas yang bertutup.

Sisa yang telah siap diasingkan boleh dijanakan pada tong-tong kitar semula berlainan warna yang telah disediakan di kebanyakan tempat-tempat awam. Tong berwarna coklat adalah untuk barangan kaca, tong biru untuk barangan kertas, manakala tong jingga adalah untuk barangan plastik dan aluminium.

Walaupun pada peringkat permulaan proses pengasingan ini memakan masa dan membebankan, namun sekiranya kita mempraktikkannya, lama-kelamaan proses pengasingan ini akan menjadi satu kebiasaan. Sampah yang telah diasingkan ini akan dihantar ke pusat pengumpulan. Dari sini, sisa pejal yang dikumpul akan dihantar ke kilang kitar semula. Walaupun proses pengumpulan barangan ini memerlukan suatu peruntukan keewangan, namun ianya tetap berbaloi jika dibandingkan kos yang harus dikeluarkan bagi pengurusan sisa di tapak pelupusan.

Sebagai pengguna, kita harus menjalankan tanggungjawab memelihara alam sekitar, bukan sahaja di rumah malah di mana sahaja kita berada. Pembuangan sisa yang sewenang-wenangnya bukan sahaja mengotorkan persekitaran, malah juga menjejaskan kesihatan. Kita harus menyokong kempen kitar semula dengan mengikis tabiat lama dengan menggantikan dengan tabiat baru yang lebih bermakna. Kurangkan pembuangan sampah, lebihkan kitar semula.