17
31 Jurnal Hadhari 7 (2) (2015) 31-47 www.ukm.my/jhadhari PRIVASI DAN PERISYTIHARAN PEMELUKAN ISLAM MENURUT PERSPEKTIF ISLAM (Privacy and Declaration of Conversion into Islam According to Perspective of Islam) 1 KHAIRANI HUSIN 1 MOHD. AL ADIB SAMURI 1 MOHD. ZAMRO MUDA 1 Jabatan Syariah, Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia, 43600 UKM Bangi, Selangor, Malaysia. ABSTRAK Artikel ini membincangkan tentang privasi dan perisytiharan pemelukan Islam menurut perspektif Islam. Isu ini perlu kepada penyelesaian ekoran banyak kesulitan timbul akibat kemasukan Islam seseorang mualaf itu dirahsiakan daripada pengetahuan anggota keluarga. Objektif kajian ini adalah bagi meneliti pemakaian konsep privasi dan perisytiharan pemelukan Islam semasa zaman Rasulullah SAW, di samping membuat perbandingan dengan situasi pemakaiannya di negara ini. Kajian ini menggunakan pendekatan kaedah kualitatif menerusi instrumen analisis kandungan berasaskan pendekatan deskriptif. Dapatan kajian mendapati konsep privasi dan perisytiharan pemelukan Islam semasa zaman Rasulullah SAW diaplikasikan sewajarnya dengan mengambil kira pertimbangan situasi semasa itu dan bukannya atas dasar kepentingan diri. Bagaimanapun, konsep kerahsiaan kemasukan Islam yang diaplikasikan di negara ini masih terdapat unsur-unsur yang merujuk kepentingan diri sendiri terutama bagi melepaskan diri dari tanggungjawab yang perlu dilunaskan mengikut syarak. Kajian ini penting kerana sehingga kini masih belum ada satu peraturan khusus digubal bagi menangani isu ini. Kata kunci: Kerahsiaan kemasukan Islam; perisytiharan pemelukan Islam; seruan sulit; dakwah terang-terangan; kepentingan tertentu. Corresponding author: Khairani Husin, Jabatan Syariah, Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia, 43600 UKM Bangi, Selangor, Malaysia, mel-e: [email protected] Diserahkan: 15 April 2014 Diterima: 7 Mei 2015

privasi dan perisytiharan pemelukan islam menurut perspektif islam

  • Upload
    ngongoc

  • View
    251

  • Download
    5

Embed Size (px)

Citation preview

Page 1: privasi dan perisytiharan pemelukan islam menurut perspektif islam

31

Jurnal Hadhari 7 (2) (2015) 31-47www.ukm.my/jhadhari

PRIVASI DAN PERISYTIHARAN PEMELUKAN ISLAM MENURUT PERSPEKTIF ISLAM

(Privacy and Declaration of Conversion into Islam According to Perspective of Islam)

1 KHAIRANI HUSIN 1 MOHD. AL ADIB SAMURI

1 MOHD. ZAMRO MUDA1 Jabatan Syariah, Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia,

43600 UKM Bangi, Selangor, Malaysia.

ABSTRAK

Artikel ini membincangkan tentang privasi dan perisytiharan pemelukan Islam menurut perspektif Islam. Isu ini perlu kepada penyelesaian ekoran banyak kesulitan timbul akibat kemasukan Islam seseorang mualaf itu dirahsiakan daripada pengetahuan anggota keluarga. Objektif kajian ini adalah bagi meneliti pemakaian konsep privasi dan perisytiharan pemelukan Islam semasa zaman Rasulullah SAW, di samping membuat perbandingan dengan situasi pemakaiannya di negara ini. Kajian ini menggunakan pendekatan kaedah kualitatif menerusi instrumen analisis kandungan berasaskan pendekatan deskriptif. Dapatan kajian mendapati konsep privasi dan perisytiharan pemelukan Islam semasa zaman Rasulullah SAW diaplikasikan sewajarnya dengan mengambil kira pertimbangan situasi semasa itu dan bukannya atas dasar kepentingan diri. Bagaimanapun, konsep kerahsiaan kemasukan Islam yang diaplikasikan di negara ini masih terdapat unsur-unsur yang merujuk kepentingan diri sendiri terutama bagi melepaskan diri dari tanggungjawab yang perlu dilunaskan mengikut syarak. Kajian ini penting kerana sehingga kini masih belum ada satu peraturan khusus digubal bagi menangani isu ini.

Kata kunci: Kerahsiaan kemasukan Islam; perisytiharan pemelukan Islam; seruan sulit; dakwah terang-terangan; kepentingan tertentu.

Corresponding author: Khairani Husin, Jabatan Syariah, Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia, 43600 UKM Bangi, Selangor, Malaysia, mel-e: [email protected]: 15 April 2014Diterima: 7 Mei 2015

Page 2: privasi dan perisytiharan pemelukan islam menurut perspektif islam

32

Jurnal Hadhari Volume 7 (2) (2015) 31-47

ABSTRACT

This article discusses the issue of privacy and declaration of conversion into Islam according to perspective of Islam. Decision on this issue is necessary as there are many unresolved matters arising as a result of conversion into Islam of a convert which are kept secret from family members. The objective of this study is to examine the usage of the concept of privacy and declaration of conversion into Islam during the period of the Holy Prophet, besides making comparisons with the situation of the usage in this country. This study has applied a qualitative approach through instrument analysis using descriptive approach. The finding of this study is that the concept of privacy and declaration in conversion into Islam during the time of the Holy Prophet was applied accordingly, taking into account situational considerations of that time and not based on personal interests. However, the concept of privacy of conversion into Islam applied in this country as required by syarak, still shows elements of self-interests particularly to escape from responsibilities. This study is of upmost importance for up to now there has not been any law in this country addressing this specific issue.

Keywords: Privacy of conversion into Islam; declaration of conversion into Islam; private personal dakwah; open dakwah; specific interests.

PENGENALAN

Tidak terdapat nas syarak yang secara jelas menerangkan tentang konsep privasi dan perisytiharan apabila seseorang memeluk Islam. Bagaimanapun, perbincangan konsep ini akan disandarkan kepada beberapa ayat al-Quran yang diturunkan semasa permulaan dakwah Rasulullah SAW di Mekah dan juga peristiwa sahabat Rasulullah SAW yang merahsiakan dan mengisytiharkan keislaman mereka dalam usaha memperteguh keimanan dan membantu penyebaran dakwah Rasulullah SAW. Ini kerana permulaan dakwah Rasulullah SAW di Mekah dilaksanakan melalui tiga peringkat iaitu seruan secara sulit, terang-terangan kepada ahli keluarga dan terang-terangan kepada kafir musyrikin.

Seterusnya, konsep ini turut diaplikasikan secara langsung oleh para mualaf di negara ini walaupun tiada perundangan khusus yang mengikat mereka bagi mempertimbangkan kewajaran penggunaan konsep privasi dan perisytiharan pemelukan Islam ini. Pemakaian konsep ini lebih dilihat sebagai jalan keluar bagi seseorang mualaf itu dalam menyelesaikan persoalan berbangkit berbanding pemakaiannya semasa zaman Rasulullah SAW yang lebih merujuk kepada pemeliharaan jiwa dan diri dari pihak musuh serta bertujuan memperkuatkan agama Islam.

Page 3: privasi dan perisytiharan pemelukan islam menurut perspektif islam

33

Privasi dan Perisytiharan Pemelukan Islam Menurut Perspektif Islam

METODOLOGI KAJIAN

Kajian ini menggunakan pendekatan kualitatif menerusi reka bentuk analisis kandungan. Analisis dibuat merujuk kepada sumber-sumber berbentuk dokumentasi seperti kitab al-Sirah al-Nabawiyyah (Ibn Ishaq 2004), Sirah Nabawiyyah Ibn Hisham (Ibn Hisham 2009), al-Sirah al-Nabawiyyah (Ibn Kathir 1998), Jurnal Syariah, Journal of Religion and Human Rights, Tesis Doktor Falsafah, prosiding serta kertas kerja persidangan dan banyak lagi. Analisis kandungan dilakukan menerusi pendekatan deskriptif.

SOROTAN KARYA

Al-Maraghi (2001) melihat privasi meliputi hak-hak tertentu sama ada hak diri, hak daripada berlakunya pencerobohan terhadap diri dan tempat tinggal dan hak perlindungan maklumat peribadi. Semua kupasan ini disokong oleh ayat al-Quran dan hadis nabi yang dilihat sebagai pro privasi. Kamali (2008) dan Mahamad Naser (2010) yang memperincikan hak-hak tersebut dengan menginterpretasikannya dalam perundangan Islam negara ini.

Bagi mengaitkannya dengan privasi dan perisytiharan pemelukan Islam, sirah Nabawiyyah menerusi pendekatan dakwah Rasulullah SAW serta contoh kes kerahsiaan kemasukan Islam semasa zaman Rasulullah SAW dilihat amat relevan dengan privasi dan perisytiharan pemelukan Islam pada masa kini. Wessels (1972), Ibn Ishaq (1955), Zainal Arifin Abbas (1969), al-Shalabi (1975), Haykal (1976), Majlisi (1982), al-Buti (1983), Ibn Katsir (1998), Ibn al-Athir (1986), Ali Nadvi (1993), al-Ghazali (2005), Ibn Hisham (2009), al-Mubarakfuri (2008, 2011) dan beberapa ilmuwan lain mengambil pendekatan dengan menggunakan ayat-ayat al-Quran yang diturunkan semasa permulaan dakwah Rasulullah SAW serta contoh kes semasa zaman Rasulullah SAW dan para sahabat bagi menggambarkan tentang privasi dari aspek kerahsiaan kemasukan Islam dan perisytiharan keislaman. Tulisan mereka lebih terarah kepada aspek penyampaian dakwah Rasulullah SAW semasa di Mekah yang lebih bersifat menyembunyikan keislaman bagi tujuan memperkukuhkan ajaran Islam itu sendiri terlebih dahulu. Tulisan mereka menunjukkan ramai dalam kalangan sahabat Rasulullah SAW merahsiakan kemasukan Islam masing-masing bukan atas dasar kepentingan diri sendiri tetapi bagi melindungi nyawa, keselamatan diri dan sebagai strategi memerangi musuh.

Kupasan-kupasan di atas disokong oleh Moenawar Chalil (1999) dan Najeebabadi (2001) dengan membuktikan bahawa ramai para sahabat lain mengikut contoh Umar dengan mengisytiharkan keislaman mereka kepada kafir musyrikin secara terbuka. Begitu juga tulisan mereka turut menyokong bahawa privasi dalam memeluk Islam masih terpakai walaupun penzahiran keislaman telah dibuat secara

Page 4: privasi dan perisytiharan pemelukan islam menurut perspektif islam

34

Jurnal Hadhari Volume 7 (2) (2015) 31-47

terang-terangan menerusi Umar r.a.. Pertimbangan pemakaian konsep privasi semasa itu berdasarkan umat Islam masih menerima seksaan daripada kafir Quraisy yang memerlukan jaminan keselamatan diri serta status individu tersebut sebagai seorang yang begitu dihormati dalam kalangan kaumnya.

Seterusnya, pendekatan oleh ulama’ di atas diulas oleh penulisan terkini dalam ruang lingkup kerahsiaan kemasukan Islam dan kesannya selepas memeluk Islam. Contohnya A’dawiyah Ismail dan Salasiah Hanin Hamjah (2010) menyentuh sedikit tentang kerahsiaan kemasukan Islam dengan memilih empat orang mualaf untuk ditemu bual. Kajian berbentuk kualitatif ini memperincikan halangan yang dihadapi oleh empat orang responden terbabit sejurus kemasukan Islam mereka diisytiharkan kepada anggota keluarga. Ada di antara responden terbabit merahsiakan keislamannya sehingga empat ke lima tahun sebelum memutuskan untuk mengisytiharkan kemasukan Islam. Dapatan kajian mendapati bahawa keluarga tidak dapat menerima pengislaman mereka pada awalnya malah ada yang menerima ugutan, tetapi secara beransur-ansur anggota keluarga dapat menerima kemasukan Islam tersebut. Malahan ada anggota keluarga responden yang memberi dorongan untuk beramal dengan ajaran Islam yang sebenarnya dan sesetengahnya turut memeluk agama Islam. Dapatan ini menunjukkan perisytiharan kemasukan Islam seseorang mualaf itu sebenarnya tidak menghalang para mualaf ini untuk beramal dengan ajaran Islam, di samping hubungan silaturahim diteruskan dengan keluarga yang bukan Islam. Ia kemudiannya disokong oleh penulisan Mahamad Naser (2010) dan Suwaid Tapah (1996) dengan membuktikan bahawa perisytiharan kemasukan Islam kepada keluarga yang bukan Islam lebih memberi keselesaan kepada para mualaf bagi mengamalkan ajaran Islam secara terbuka tanpa rasa takut atau ragu-ragu.

SERUAN SECARA SULIT ATAU RAHSIA

Pada peringkat permulaan seruan dakwah Nabi SAW, Baginda SAW mengajak manusia mengesakan Allah SWT dan membersihkan unsur-unsur kemusyrikan (Mahdi Rizqullah Ahmad 1996). Ia dilakukan secara rahsia dan bermula dengan turunnya ayat al-Quran, firman-Nya (al-Muddaththir 1-7):

Terjemahan: Wahai orang yang berselimut! Bangunlah serta berilah peringatan dan amaran (kepada umat manusia). Dan Tuhanmu,

Page 5: privasi dan perisytiharan pemelukan islam menurut perspektif islam

35

Privasi dan Perisytiharan Pemelukan Islam Menurut Perspektif Islam

maka ucaplah dan ingatlah kebesaran-Nya!. Dan pakaianmu, maka hendaklah engkau bersihkan. Dan segala kejahatan, maka hendaklah engkau jauhi. Dan janganlah engkau memberi (sesuatu, dengan tujuan hendak) mendapat lebih banyak daripadanya. Dan bagi (menjalankan perintah) Tuhanmu, maka hendaklah engkau bersabar (terhadap tentangan musuh)!.

Selepas turunnya ayat ini, Rasulullah SAW mula menyampaikan seruan dakwahnya kepada anggota keluarga dan sahabat-sahabat Baginda yang terdekat kepada pokok agama Islam seperti yang disebutkan dalam ayat di atas iaitu percaya kepada keesaan Allah SWT dan meninggalkan pemujaan berhala. Mereka diseru supaya beriman kepada Allah SWT dan mengajak mereka melakukan kebaikan dan kebajikan dan meninggalkan perkara mungkar seperti berjudi, minum arak, berzina, menipu, merompak dan membunuh anak (al-Shalabi 1975).

Pada permulaan Islam ini, masyarakat Arab belum sinonim dengan pelbagai jenis ibadah, perintah dan amalan-amalan yang lain. Wahyu yang diturunkan hanya menjelaskan tentang ketauhidan kepada Allah SWT (mengesakan Allah SWT dan dorongan kepada penyucian jiwa). Persoalan tauhid adalah perkara utama yang disentuh oleh Rasulullah SAW dan khutbah pertama Baginda kepada anggota keluarganya adalah membuat seruan kepada tauhid (al-Mubarakfuri 2009).

Sebab-sebab Berdakwah Secara Rahsia

Kerahsiaan dakwah Rasulullah SAW pada tiga tahun pertama ini bukan kerana kekhuatiran baginda terhadap keselamatan dirinya. Ia merupakan perintah daripada Allah SWT agar memulai dakwah dengan rahsia dan tersembunyi. Oleh itu, sesiapa sahaja yang memeluk Islam ketika itu perlu merahsiakan dahulu keislamannya daripada pengetahuan kafir Quraisy. Oleh itu, Rasulullah SAW hanya menyampaikan ajarannya kepada mereka yang diyakini akan menerimanya. Pada peringkat ini, ia dilakukan secara rahsia kepada orang-orang yang dipercayai baginda sahaja kerana bimbang berlaku kejutan kepada masyarakat Arab, yang boleh menyebabkan mereka sukar menerima Islam. Rasulullah SAW menggunakan starategi pendekatan perjumpaan secara individu di rumah Ibn Abi al-Arqam bagi mengendalikan dakwah secara sulit ini. Rumah Abi al-Arqam dipilih kerana kedudukannya yang strategik dan dapat menghindar musuh dari menghidu aktiviti dakwah Rasulullah SAW. Melalui cara ini, pihak musuh tidak dapat mengesan perkembangan dakwah Rasulullah SAW dan hanya diketahui setelah ia agak kuat dan bilangan yang memeluk Islam semakin ramai dan bertambah (al-Sibai t.th.). Ramai sahabat ternama yang memeluk Islam hasil dari perjumpaan sulit ini antaranya Abu Bakar al-Siddiq, Ali bin Abi Talib, Uthman bin Affan, al-Zubair bin al-Awwam, Abd Rahman bin Awf dan Saad bin Abi Waqas (Ibn al-Athir 1986).

Page 6: privasi dan perisytiharan pemelukan islam menurut perspektif islam

36

Jurnal Hadhari Volume 7 (2) (2015) 31-47

Dakwah secara sulit dalam tiga tahun pertama ini tidak mendapat tentangan daripada masyarakat Arab kerana mereka beranggapan ajaran ini tidak akan tersebar kerana ia hanya dilaksanakan secara sembunyi-sembunyi kepada keluarga dan kenalan terdekat. Tambahan pula, mereka tidak terpengaruh dengan ajaran yang dibawa Nabi Muhammad yang pada waktu itu masih menggunakan pendekatan rahsia kerana menyangka seruan itu tidak jauh berbeza dengan apa yang pernah dibawa oleh pendeta terdahulu yang hanya membicarakan tentang ketuhanan dan hak-haknya (Wessels 1972).

Menurut Ibn Ishaq (2004), ketika Rasulullah SAW mula melaksanakan gerakan dakwah kepada orang-orang Quraisy, mereka tidak menghindar ataupun mengganggu urusan dakwah Rasulullah. Ini kerana pada umumnya, mereka beranggapan bahawa seruan yang dibawa oleh Rasulullah SAW adalah bersifat sementara dan akan lenyap ditelan waktu. Pada tahap itu juga, Allah SWT meminta Rasulullah SWT melakukannya secara rahsia dan sulit adalah sebagai pelajaran dan bimbingan kepada para pendakwah sesudahnya agar melakukan perancangan dakwah secara teliti dan terancang bagi mencapai tujuan dakwah itu sendiri.

Pada waktu itu, Rasulullah SAW banyak menggunakan pendekatan tarhib dan targhib, berlemah lembut, memberi contoh dalam apa yang dibicarakan baginda dan melakukan dakwah secara hikmah (Zainal Arifin Abbas 1969). Berdasarkan itu, maka para pendakwah masa kini boleh menggunakan cara-cara sesuai dalam usaha dakwah sama ada dari segi sirriyah dan jahriyah, berlemah lembut atau dengan kekuatan, sesuai dengan cabaran keadaan dan situasi semasa. Ini termasuk dalam mengendalikan kes pemelukan Islam yang dilakukan secara rahsia tanpa pengetahuan anggota keluarga.

Dari segi sirriyah, metod ini digunakan oleh Rasulullah SAW dengan menyeru kepada orang-orang terdekat. Selepas merasakan Islam telah berjaya menerangi hati beberapa anggota keluarga baginda, dakwah Islam dilanjutkan kepada kerabat serta sahabat dekat baginda. Pada waktu ini, ia masih di peringkat rahsia iaitu belum menampakkan keislaman mereka di hadapan kafir musyrikin (Zainal Arifin Abbas 1969). Hanya selepas tiga tahun, barulah Allah memerintahkan kepada Nabi Muhammad untuk mendakwahkan Islam secara terang-terangan. Justeru, strategi dakwah yang digunakan oleh Rasulullah SAW semasa tiga tahun pertama dakwahnya di Mekah iaitu dengan penuh kerahsiaan adalah bertujuan bagi mengumpul kekuatan dalam menjalankan misi dakwah seterusnya. Ia merupakan sebahagian metodologi dakwah Nabi SAW bagi mengetengahkan ajaran Islam menurut kesesuaian pada peringkat permulaan dalam situasi yang selaras dengan keperluan semasa dan setempat.

Melihat pendekatan dakwah Rasulullah SAW dengan konsep kerahsiaan pemelukan Islam pada masa kini, pendekatan sirriyah mungkin wajar diaplikasikan dalam konteks kerahsiaan kemasukan Islam itu sendiri. Ini bermaksud pihak yang

Page 7: privasi dan perisytiharan pemelukan islam menurut perspektif islam

37

Privasi dan Perisytiharan Pemelukan Islam Menurut Perspektif Islam

terlibat dengan pengurusan mualaf di negara ini perlu bijak menentukan situasi masa dan keadaan bagi mempraktikkan konsep kerahsiaan pemelukan Islam kepada para mualaf. Kesesuaian yang ditentukan oleh Islam berdasarkan realiti sirah Rasulullah SAW itu sendiri yang bertepatan dengan tahap-tahapnya tetap mempertimbangkan kemaslahatan kaum Muslimin secara amnya dan para mualaf itu sendiri secara khususnya.

Kerahsiaan Kemasukan Islam dan Penyeksaan Kafir Quraisy

Tidak dinafikan kerahsiaan semasa ini diguna pakai sepenuhnya memandangkan Islam masih lemah dan bagi mengelakkan mereka yang telah memeluk Islam menerima azab seksaan yang melampau dari musyrikin. Bagaimanapun ada juga sesetengah sahabat Rasulullah SAW yang begitu berani mengisytiharkan keislaman walaupun diminta oleh Rasulullah SAW merahsiakan untuk sementara waktu. Contohnya Abu Dhar al-Ghifari telah melafazkan syahadah bagi membuktikan keislamannya di hadapan masjid dan apabila mendengar pengakuan itu, beliau telah dipukul dan dicederakan oleh kafir Quraisy sehingga diselamatkan oleh Abbas bin Abd. al-Muttalib bapa saudara Rasulullah SAW (Moenawar Chalil 1999).

Ada juga dalam kalangan mereka yang memeluk Islam ketika itu mendapat tentangan kaum keluarga sendiri. Contohnya Khalid bin Said r.a. Walaupun sedaya upaya merahsiakan keislaman daripada pengetahuan bapanya bagi mengelakkan ancaman dan halangan daripada melakukan ibadat, namun pengislamannya tetap sampai ke pengetahuan bapanya. Akibatnya Khalid tidak diberi makan oleh bapanya selama beberapa hari, namun ia tetap berpegang teguh dengan Islam (Najeebabadi 2001).

Menurut Sayyid Qutb (1999), Ibn Kathir (2004) dan al-Maraghi (2001), Allah SWT mengecualikan hukuman berat kepada orang yang dipaksa murtad sedangkan hatinya masih tetap berpegang teguh dengan akidah yang satu.

Terjemahan: Sesiapa yang kufur kepada Allah sesudah ia beriman (maka baginya kemurkaan dan azab dari Allah), kecuali orang yang dipaksa (melakukan kufur) sedang hatinya tenang tenteram dengan iman; akan tetapi sesiapa yang terbuka hatinya menerima kufur maka atas mereka tertimpa kemurkaan dari Allah, dan mereka pula beroleh azab yang besar.

Page 8: privasi dan perisytiharan pemelukan islam menurut perspektif islam

38

Jurnal Hadhari Volume 7 (2) (2015) 31-47

Kekufuran ini ditunjukkan bagi menyelamatkan nyawanya sedangkan hatinya tetap teguh beriman dan Rasulullah SAW mengizinkan bagi Ammar untuk terus berpura-pura kufur sekiranya kafir Quraisy masih melakukan penyeksaan kepadanya. Ini bererti Rasulullah SAW membenarkan Ammar untuk terus merahsiakan keislaman demi menjaga nyawanya. Namun kerahsiaan ini bukan selama-lamanya, sekiranya seksaan Quraisy telah berkurangan Ammar boleh mengisytiharkan kembali pengislamannya itu.

Berdasarkan itu, jelas menunjukkan dalam situasi-situasi genting, seseorang boleh mengisytiharkan bahawa dia telah kembali murtad dengan syarat dalam hatinya masih beriman sepenuhnya dengan Allah SWT. Ini bererti kerahsiaan kemasukan Islam terpakai sepenuhnya ketika itu dan ia merupakan salah satu prinsip Islam bagi tujuan mencapai maqasid syariyyah. Dalam keadaan ini, menjaga agama dan jiwa merupakan teras utama yang harus dipelihara demi maslahat ummah. Bagaimanapun, dalam situasi Malaysia sebagai sebuah negara Islam dan mengamalkan demokrasi, konsep ini tidak lagi sesuai diaplikasikan memandangkan terdapat undang-undang yang menyekat dari berlakunya pembunuhan atau penyeksaan terhadap jiwa orang sebagaimana diperuntukkan dalam Perkara 5 Perlembagaan Persekutuan.

Justeru, alasan seseorang itu merahsiakan keislamannya dan berpura-pura murtad atas sebab takut berlaku penyeksaan dan boleh mengancam keselamatan nyawanya bukanlah satu alasan yang kuat bagi menggunakan konsep ini kerana telah terdapat jaminan dari sudut undang-undang sendiri bagi melindungi seseorang yang diancam keselamatan nyawanya. Ini berlainan dengan situasi kes Ammar kerana penyeksaan Quraisy boleh membawa kepada kehilangan nyawanya. Ketika itu juga, Piagam Madinah belum digubal bagi menjamin hak orang Islam dan bukan Islam memandangkan seruan Islam masih di peringkat awal dan belum kuat. Oleh itu, ia merupakan satu sandaran yang kuat apatah lagi ia dibuktikan dengan ayat al-Quran bagi membenarkan perintah Rasulullah SAW ke atas Ammar.

DAKWAH SECARA TERANG-TERANGAN

Dakwah secara terang-terangan ini dilaksanakan oleh Rasulullah SAW ketika memasuki tahun keempat dari kenabian. Ia sejajar dengan perintah Allah SWT agar Rasulullah SAW berdakwah secara terang-terangan kepada kaum kerabatnya menerusi firman Allah SWT (al-Syuara’: 214):

Terjemahan: Dan berilah peringatan serta amaran kepada kaum kerabatmu yang dekat.

Page 9: privasi dan perisytiharan pemelukan islam menurut perspektif islam

39

Privasi dan Perisytiharan Pemelukan Islam Menurut Perspektif Islam

Langkah pertama yang dilakukan oleh Rasulullah SAW selepas turunnya ayat ini ialah dengan mengumpulkan kaum kerabatnya yang terdiri daripada Bani Hashim dan melafazkan kata-kata:

Wahai Bani Abdul Muttalib, sesungguhnya demi Allah aku tidak dapati seorang pemuda yang datang kepada kaumnya melebihi daripada apa yang aku bawa kepada kamu. Sesungguhnya aku membawa kepada kamu perkara-perkara keduniaan dan akhirat (Ibn Ishaq 2004).

Ketika suara seruan Rasulullah SAW di bukit Safa masih lagi bergema di pelosok penjuru kota Makah, Allah SWT menurunkan ayat (al-Hijr: 94):

Terjemahan: Oleh itu, sampaikanlah secara berterus-terang apa yang diperintahkan kepadamu (Wahai Muhammad), dan janganlah engkau hiraukan bantahan dan tentangan kaum kafir musyrik itu.

Ayat ini merupakan perintah Allah SWT kepada Rasulullah SAW untuk menyampaikan dakwah secara terang-terangan kepada kafir musyrikin. Pada ketika ayat ini diturunkan, Rasulullah masih menghadapi kesukaran dalam menyampaikan dakwah kepada kaum kerabatnya (al-Ghazali 2005). Ini kerana seruan baginda masih mendapat tentangan yang kuat dalam kalangan kaum kerabatnya sendiri terutama Abu Lahab, apatah lagi apabila ia terbentang luas di hadapan kaum musyrikin. Bagaimanapun, menyedari ia merupakan perintah Allah SWT dan mengandungi hikmat-hikmat tertentu, baginda meneruskan misi menyebarkan dakwah secara terbuka kepada seluruh kota Mekah (Ibn Ishaq 2004).

Perintah Allah SWT ini telah membawa satu tindakan drastik Rasulullah SAW pada ketika itu dan baginda melaksanakan tugasnya itu secara terang-terangan dengan membongkar khurafat-khurafat syirik dan kepalsuannya. Pendekatan yang diambil Rasulullah SAW semasa itu adalah dengan memberi ingatan kepada kaum musyrikin bahawa berhala-berhala yang mereka sembah itu tiada nilai dan sia-sia dengan membawa contoh-contoh bukti keesaan Allah SWT (al-Buti 1983).

Manakala, bagi menarik orang bukan Islam untuk memeluk Islam pada waktu itu, Rasulullah SAW menggunakan pendekatan dengan menemui orang ramai di tempat-tempat terbuka seperti di hadapan Kaabah, padang, pasar dan lain-lain tempat yang bersesuaian bagi memberi penjelasan tentang ajaran Islam yang diutus oleh Allah SWT. Pendekatan ini berkesan apabila ramai yang tertarik dengan ajaran Islam dan beberapa keluarga Quraisy mula memeluk Islam dan kebanyakan mereka tidak lagi menyembunyikan keislaman serta tidak gentar dengan ancaman musyrikin (Majlisi 1982).

Page 10: privasi dan perisytiharan pemelukan islam menurut perspektif islam

40

Jurnal Hadhari Volume 7 (2) (2015) 31-47

Penzahiran Ayat al-Quran

Penzahiran ayat al-Quran ini berlaku selepas turunnya perintah Allah SWT supaya dakwah dilakukan secara terang-terangan. Rasulullah SAW merupakan orang pertama yang memperkenalkan konsep penzahiran ayat al-Quran apabila berdebat dengan pemuka Quraisy tegar seperti Walid bin Mughirah dan Utbah bin Rabiah. Rasulullah SAW telah memperdengarkan ayat-ayat al-Quran daripada surah al-Mu’minun dan Fussilat bagi menyedarkan mereka tentang kebenaran ajaran Islam dan peringatan-peringatan kepada sesiapa yang ingkar kepada perintah Allah SWT (Ibn Ishaq 2004). Penzahiran ini bertujuan bagi melembutkan hati-hati mereka yang keras supaya mendapat hidayah selepas mendengar keindahan ayat-ayat al-Quran seperti mana berlaku ke atas Umar al-Khattab.

Selepas Rasulullah SAW, Abdullah bin Masʽud merupakan sahabat Rasulullah SAW yang pertama membaca ayat al-Quran secara terbuka di Masjidil Haram ketika kafir Quraisy berada berhampiran Kaabah. Ayat al-Quran yang dibaca oleh Abdullah ketika itu daripada firman-Nya (al-Rahman: 1-2):

Terjemahan: (Tuhan) Yang Maha Pemurah serta melimpah-limpah rahmat-Nya. Dia lah yang telah mengajarkan al-Quran.

Perisytiharan kemasukan Islam, sebenarnya sudah tidak relevan sekiranya seseorang individu itu tetap menyembunyikan amalan ibadatnya terutama kepada anggota keluarga yang bukan Islam. Ini dapat dibuktikan dengan kajian yang pernah dilakukan oleh A’dawiyah Ismail dan Salasiah Hanin Hamjah (2010) ke atas beberapa orang responden yang telah memeluk Islam tetapi memilih untuk merahsiakan keislaman mereka. Ada yang merahsiakan untuk selama-lamanya dan ada yang merahsiakan hanya untuk sementara waktu. Dapatan kajian menunjukkan bahawa responden yang mengisytiharkan kemasukan Islamnya kepada anggota keluarga lebih tenang dalam mengamalkan ajaran Islam. Ini kerana mereka tidak perlu melakukannya secara sembunyi-sembunyi lagi, malah ada sesetengahnya dapat menyeru anggota keluarga lain untuk turut memeluk Islam. Tidak dinafikan, memang terdapat tentangan anggota keluarga pada awalnya namun ia tidak sampai kepada membahayakan nyawa mualaf itu sendiri.

Kesimpulannya, konsep pemakluman kemasukan Islam ini perlu dikuatkuasakan di negara kita supaya setiap mualaf tidak perlu lagi menyembunyikan ibadat mereka. Malah dengan memaklumkannya, hubungan bersama anggota keluarga lebih terjamin kerana masing-masing telah mengetahui tentang agama dan adat yang menjadi pegangan mereka. Ia makin mengeratkan hubungan silaturahim dan ini amat ditekankan dalam ajaran Islam walaupun berlainan agama dan adat.

Page 11: privasi dan perisytiharan pemelukan islam menurut perspektif islam

41

Privasi dan Perisytiharan Pemelukan Islam Menurut Perspektif Islam

Penzahiran Keislaman Para Sahabat

Penzahiran keislaman para sahabat Rasulullah SAW mula ditunjukkan apabila Islamnya Umar al-Khattab. Beliau merupakan individu pertama yang menzahirkan Islam secara terang-terangan di hadapan pemuka-pemuka kaum Quraisy seperti Abu Lahab, Abu Jahal, Abu Sufyan dan lain-lain. Usul supaya setiap orang yang memeluk Islam menzahirkan keislamannya dikemukakan oleh Umar sejurus selepas pengislamannya. Umar berpandangan, tidak seharusnya umat Islam melaksanakan ibadat secara rahsia dan ia hendaklah diwar-warkan kepada kafir Quraisy dan hendaklah dilakukan di tempat yang sewajarnya seperti di hadapan Kaabah (Moenawar Chalil 1999). Perbuatan Umar itu telah merubah landskap peribadatan umat Islam ketika itu. Ini kerana sebelum penzahiran ini, kaum muslimin melaksanakan ibadat dengan pergi ke syi’ab (jalan di antara dua gunung) dan lereng-lereng bukit bagi merahsiakannya dari penglihatan kaum musyrikin (Ibn Ishaq 1955). Apabila Umar mula bersolat di hadapan Kaabah, kaum Muslimin lain turut mengikutinya dan mereka tidak lagi melakukan ibadat solat secara rahsia.

Berdasarkan penzahiran keislaman oleh Umar r.a., ternyata perisytiharan keislaman hanya benar-benar berlaku selepas Umar memeluk Islam. Tidak dinafikan, selepas Rasulullah SAW melaksanakan dakwah secara terang-terangan, ramai kalangan sahabat dan kerabat baginda mengaku keislaman mereka di hadapan kafir musyrikin namun dari aspek pengamalan ibadat, ia masih dilakukan secara rahsia. Contohnya Hamzah, bapa saudara Rasulullah SAW dengan berani mengaku pengislamannya kepada Abu Jahal sebagai tindakan akibat celaan Abu Jahal terhadap anak saudaranya Muhammad SAW. Bagaimanapun, Hamzah tidak pernah menzahirkan ibadatnya di hadapan umum dan melakukannya secara rahsia tanpa pengetahuan kafir Quraisy (Ibn Katsir 1998). Hanya selepas Umar memulainya, barulah Hamzah dan sahabat-sahabat lain turut mengikut jejak langkah Umar dalam beribadat.

Konsep yang diperkenalkan oleh Umar ini membuktikan bahawa perisytiharan pemelukan Islam sebenar-benarnya telah wujud semenjak zaman Rasulullah SAW lagi. Apatah lagi selepas zaman Rasulullah, konsep perisytiharan ini terus diaplikasikan semasa pemerintahan Khulafa’ al-Rasyidin dan zaman-zaman selepasnya. Ini kerana Islam telah kuat dan sempurna sebagaimana firman-Nya (al-Ma’idah: 3):

Terjemahan: Pada hari ini, Aku telah sempurnakan bagi kamu agama kamu, dan Aku telah cukupkan nikmat-Ku kepada kamu, dan Aku telah redakan Islam itu menjadi ugama untuk kamu.

Page 12: privasi dan perisytiharan pemelukan islam menurut perspektif islam

42

Jurnal Hadhari Volume 7 (2) (2015) 31-47

Menurut tafsir Ibn Kathir (2004), ayat ini menunjukkan bahawa agama Islam itu adalah benar dan tidak akan ada lagi agama selainnya sehingga hari akhirat. Oleh itu, agama Islam merupakan jaminan Allah SWT kepada seluruh umat Nabi Muhammad SAW bahawa mereka akan terselamat sekiranya tetap berpegang teguh dengan akidah Islam. Seterusnya, umat Islam seharusnya berani tampil dalam memperjuangkan agama Islam dan tidak ragu-ragu lagi untuk menzahirkan dan memperteguh keimanan kepada Allah SWT.

Merujuk tafsiran di atas, umat Islam termasuk para mualaf tidak perlu gentar lagi dalam menzahirkan keimanan mereka kepada Allah SWT. Jaminan oleh Allah SWT terhadap umat Islam sepatutnya dijadikan sandaran oleh para mualaf di negara ini untuk merealisasikan penghijrahan mereka secara terang-terangan tanpa perlu merasa tergugat atau terancam melainkan atas alasan-alasan yang difikirkan munasabah mengikut situasi semasa dan berasaskan pertimbangan maqasid syariyyah.

Kesimpulannya, berdasarkan amalan Rasulullah SAW dan konsep yang diperkenalkan oleh Umar r.a., tidak timbul isu bahawa konsep privasi dan perisytiharan pemelukan Islam adalah tidak jelas atau kabur. Prinsip yang dikemukakan oleh Umar sepatutnya menjadi panduan kepada pihak-pihak yang terlibat dengan pengurusan mualaf di negara ini untuk mewujudkan satu peraturan yang akan memudahkan urusan para mualaf terutama melibatkan perisytiharan kemasukan Islam kepada anggota keluarga khasnya dan masyarakat amnya.

Konsep Kerahsiaan Kemasukan Islam

Walaupun telah turun perintah Allah SWT supaya dakwah dilaksanakan secara terbuka, namun konsep kerahsiaan kemasukan Islam masih diguna pakai mengikut situasi dan keadaan semasa itu. Pertimbangan sewajarnya dilakukan oleh Rasulullah SAW semasa membenarkan sahabat-sahabat atau pembesar-pembesar kaum lain untuk merahsiakan keislaman mereka. Faktor-faktor keselamatan diri pemeluk Islam, penghormatan kaum terhadap golongan atau individu tertentu, strategi dalam memerangi musuh antara faktor yang diambil kira dalam memutuskan konsep kerahsiaan ini sama ada dibenarkan atau sebaliknya.

Antara mereka yang merahsiakan keislaman bagi tujuan keselamatan diri ialah Abdullah bin Salam. Ini kerana beliau merupakan seorang pembesar agama dan seorang alim terkemuka bagi kaum Yahudi. Sekiranya keislamannya diketahui oleh kaumnya, beliau mungkin dicaci dan difitnah oleh mereka. Kemungkinan untuk kaum Yahudi mencederakan atau membunuhnya adalah amat besar. Ini kerana orang Yahudi terkenal sebagai satu kaum yang amat kuat menentang Islam dan sanggup melakukan apa sahaja untuk memusnahkan Islam termasuk mewujudkan permusuhan antara puak-puak dan mencetuskan peperangan (Ibn Hisham 2009).

Page 13: privasi dan perisytiharan pemelukan islam menurut perspektif islam

43

Privasi dan Perisytiharan Pemelukan Islam Menurut Perspektif Islam

Begitu juga dengan pengislaman Raja Najashi. Ia dirahsiakan daripada rakyatnya memandangkan Najashi merupakan seorang ketua yang begitu dihormati oleh kaum dan rakyatnya. Sekiranya keislamannya diketahui oleh rakyatnya yang majoriti beragama Kristian, beliau khuatir akan menimbulkan kekecohan dan pertumpahan darah di negara Habsyah. Kerahsiaan ini berlanjutan sehingga kemangkatannya dan Rasulullah SAW tidak menuntut mayat beliau untuk dikebumikan mengikut Islam. Rasulullah SAW membenarkan mayat Najashi diuruskan mengikut upacara Kristian dan dikebumikan di tanah perkuburan Kristian. Bagi Rasulullah SAW, Najashi tetap sebagai seorang Muslim di sisi Allah SWT dan melalui proses-proses yang sama seperti Muslim yang lain (Ibn Ishaq 2004). Walaupun hukum menguruskan jenazah Muslim adalah wajib, namun Rasulullah SAW berpandangan mudaratnya adalah lebih besar dari maslahat. Ini kerana perebutan mayat antara orang Islam dan kafir hanya akan membuatkan imej Islam lebih tercemar sedangkan Rasulullah SAW masih berharap dakwah akan berjaya di bumi Habsyah. Kerana itulah Rasulullah SAW menyeru para Muslimin untuk melakukan solat jenazah secara ghaib kepada mayat Raja Najashi (Ibn Hisham 2006). Pernyataan ini dibuktikan dengan hadis Rasulullah SAW, sabdanya:

Terjemahan: Pada hari ini seorang lelaki yang soleh telah meninggal dunia. Maka berdirilah dan bersolatlah untuk saudara kamu: Ashama (al-Bukhari, Abi ʽAbdullah Muhammad bin Ismacil, 1999, Kitab Manakib al-Ansar, Bab Mawt al-Najashi, hadis no. 3877).

Berdasarkan contoh kerahsiaan kemasukan Islam beberapa orang sahabat Rasulullah SAW, jelas konsep kerahsiaan ini masih diaplikasikan walaupun ibadah tidak lagi dilakukan secara sembunyi-sembunyi. Kerahsiaan ini lebih dilihat bagi menjaga maslahat ummah dalam mengelakkan mudarat yang lebih besar di samping menguatkan lagi benteng umat Islam dalam menghadapi peperangan dengan kafir musyrikin. Situasi ini menunjukkan konsep ini boleh diserapkan kepada para mualaf di Malaysia. Dalam keadaan tertentu mereka boleh merahsiakan keislaman mereka sekiranya faktor menjaga maslahat ummah lebih diutamakan bagi mengelakkan mudarat yang lebih besar. Contohnya mualaf merahsiakan keislamannya jika beliau merupakan seorang pemimpin yang dikenali di Malaysia dan begitu dihormati oleh masyarakatnya. Ini bagi mengelakkan wujudnya sentimen keagamaan yang boleh mencetuskan perbalahan dan pertumpahan darah di negara kita seterusnya membawa mudarat yang lebih besar.

Bagaimanapun, penggunaan konsep ini pada masa sekarang lebih kepada bagi mencapai tujuan tertentu seperti untuk kepentingan diri sendiri dan melepaskan diri dari tanggungjawab yang wajib dilunaskan seperti hak nafkah, harta sepencarian dan

Page 14: privasi dan perisytiharan pemelukan islam menurut perspektif islam

44

Jurnal Hadhari Volume 7 (2) (2015) 31-47

sebagainya (Mahamad Naser 2010). Satu kajian telah dijalankan di seluruh Malaysia dan hasil dapatan menunjukkan bahawa sebahagian besar mualaf merahsiakan kemasukan Islam kepada anggota keluarga kerana bimbang mendapat tentangan keluarga. Ada juga segelintir mualaf ini merahsiakan kemasukan Islam kerana ingin berkahwin dengan pemuda atau wanita yang beragama Islam. Mereka merahsiakan supaya perkahwinan menurut hukum Syarak tersebut tidak mendapat tentangan daripada anggota keluarga yang bukan Islam (Armas Eliputse Etutala Shikongo 2009).

Ini amat berlainan dengan pemelukan Islam semasa zaman baginda Rasulullah SAW kerana semasa itu, pemelukan Islam berlaku kerana hidayah Allah SWT dan takut kepada azab-Nya. Begitu juga merahsiakan kemasukan Islam pada waktu itu adalah atas alasan kepentingan agama Allah SWT semata-mata dan bukannya untuk kepentingan diri sendiri sebagaimana berlaku dalam pertikaian kes di Malaysia yang lebih melibatkan kerahsiaan kerana kepentingan diri masing-masing.

Secara keseluruhannya, konsep kerahsiaan dan perisytiharan pemelukan Islam telah wujud semenjak zaman Rasulullah SAW lagi dan pengamalan konsep ini adalah mengikut situasi dan keadaan sewaktu itu. Umar al-Khattab merupakan perintis kepada penzahiran keislaman yang sebenar-benarnya kerana selepas itu, tiada lagi istilah menyembunyikan ibadat masing-masing kerana takutkan kafir Quraisy. Sekiranya ada berlaku ibadat yang dilakukan secara rahsia dan tersembunyi, ia lebih kepada alasan bagi menyelamatkan diri dan nyawa dari kekejaman Quraisy dan perkara ini sendiri telah diwahyukan oleh Allah SWT menerusi firman-firman-Nya.

KESIMPULAN

Berdasarkan perbincangan mengenai konsep privasi dan perisytiharan pemelukan Islam, jelas Islam amat melindungi privasi seseorang yang baru memeluk agama Islam. Sebenar-benar konsep privasi dalam memeluk Islam telah wujud semenjak zaman Rasulullah SAW melaksanakan dakwahnya di Mekah dan terus berkembang sehingga ke Madinah. Penurunan secara berperingkat ayat-ayat al-Quran membuktikan bahawa Islam itu perlu disebarkan secara penuh hikmat dan bijaksana dan salah satunya dakwah secara sulit termasuk merahsiakan kemasukan Islam. Pada ketika ini, konsep kerahsiaan kemasukan Islam dilihat lebih menguasai aspek privasi itu sendiri memandangkan situasi dakwah Rasulullah SAW lebih terdedah kepada ancaman kafir musyrikin. Apabila Islam semakin kuat dan berkembang, konsep kerahsiaan kemasukan Islam ini sedikit demi sedikit dihapuskan dan konsep perisytiharan pemelukan Islam yang diperkenalkan oleh Umar r.a. mulai bertapak dan diterima umum. Bagaimanapun, konsep kerahsiaan ini masih diaplikasikan mengikut situasi dan keadaan, namun bukan atas dasar kepentingan diri sendiri dan tujuan tertentu.

Page 15: privasi dan perisytiharan pemelukan islam menurut perspektif islam

45

Privasi dan Perisytiharan Pemelukan Islam Menurut Perspektif Islam

Justeru, konsep ini boleh diaplikasikan pada masa kini dengan mengambil kira situasi semasa dan landskap perundangan di negara ini. Ini bagi memastikan setiap mualaf mendapat jaminan bahawa keselamatan diri mereka adalah terjaga dan terpelihara, di samping mereka selesa dan bebas menjalani kehidupan sebagai seorang Muslim sejati. Semua ini terangkum dan terjawab seperti mana penjelasan di atas mengenai peristiwa yang berlaku kepada sahabat-sahabat Rasulullah SAW serta para pembesar kaum yang memeluk Islam semasa period Rasulullah SAW. Pencerahan tentang konsep ini amat perlu bagi menjamin hak-hak mualaf, keluarga serta institusi yang memayungi pengurusan mualaf di negara ini.

RUJUKAN

A’dawiyah Ismail & Salasiah Hanin Hamjah. 2010. Hubungan dengan keluarga selepas memeluk Islam: cabaran dan kaedah mengatasinya menurut perspektif Islam. Prosiding Seminar Kebangsaan Dakwah Saudara Kita 2010, 9-10 Oktober, hlm. 482-493.

Ali Nadvi, Abu al-Hasan. 1993. Muhammad the Last Prophet: A Model for All Time. Jeddah: Dar al-Shuruq.

Armas Eliputse Etutala Shikongo. 2009. Convertion to Islam In Malaysia: Antecedents, Consequences and Moderating Variables. Tesis Dr. Fal, Universiti Islam

Antarabangsa Malaysia.

al-Bukhari, Abi Abdullah Muhammad bin Ismail. 1419H/1999. Sahih al-Bukhari. Riyad: Dar al-Salam.

al-Buti, Muhammad Saʽid Ramadan. 1983. Fiqh al-Sirah. Jil.1. Terj. Mohd. Darus Sanawi. Kuala Lumpur: Dewan Pustaka Fajar.

al-Ghazali, Muhammad. 2005. Fiqh al-Sirah, Jil.3. Kaherah. Dar al-Shuruq.

Haykal, Mohammad Husayn .1976. The Life of Mohammad. Translated from the 8th Edition of Hayat Mohammad by Isma‘il Ragi A. al-Faruqi. North American

Trust Publication.

Ibn al-Athir, al-Jazari Abu al-Sadat al-Mubarak ibn Muhammad. 1986. al-Kamil fi al- Tarikh. Jil.2 & 3. Beirut: Dar al-Fikr.

Ibn Hisham, Abu Muhammad Abd al-Malik bin Hisham. 2009. Sirah Nabawiyyah ibn Hisham. Jil.1. Terj. Panel penterjemah. Selangor: al-Hidayah Publications.

Page 16: privasi dan perisytiharan pemelukan islam menurut perspektif islam

46

Jurnal Hadhari Volume 7 (2) (2015) 31-47

Ibn Ishaq, Muhammad bin Ishaq. 1955. The life of Mohammad. Terj. Alfred Guillaume. Oxford: Oxford University Press.

Ibn Ishaq, Muhammad bin Ishaq. 1424H/2004. al-Sirah al-nabawiyyah. Jil. 1 & 2. Beirut: Dar al-Kutub al-’Ilmiyyah.

Ibn Kathir, Abu Abdullah Muhammad ibn Ismaʽil. 2004. Tafsir al-Quran al-Karim.Jil. 6. Beirut: Dar al-Kutub al-ʽIlmiyyah.

Ibn Katsir. 1998. al-Sirah al-Nabawiyyah. Jil. 2. Terj. Trevor Le Gassick. The life of the Prophet Muhammad. United Kingdom: Garnet Publishing.

Kamali, M.H.. 2008. The right to life, security, privacy and ownership in Islam. Cambridge: Islamic Texts Society.

al-Maraghi, Ahmad Mustafa. 2001. Tafsir al-Maraghi. Juz. 7 & 13. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Mahamad Naser Disa. 2010. Isu-isu perundangan yang berbangkit daripada pemelukan Islam: suatu analisis. Prosiding Seminar Kebangsaan Dakwah

Saudara Kita 2010, hlm. 326-344.

Mahdi Rizqullah Ahmad. 1996. al-Sirah al-Nabawiyyah. Riyad: Dar al-Salam.

Majlisi, Mohammad Baqir. 1982. The Life and Religion of Mohammad. English translation of Vol. 2 of Hayat al-Qulub, by James L. Merrick, San Antonio:

Zahra Trust.

Moenawar Chalil, K.H. 1999. Sejarah lengkap sirah Nabi Muhammad SAW. Jil. 2. Selangor: Darul Kitab Sdn. Bhd.

al-Mubarakfuri, Safi al-Rahman. 2008. The sealed nectar: biography of the Noble Prophet. Riyad: Maktabah Dar al-Salam.

al-Mubarakfuri, Safi al-Rahman. 2011. al-Raheeq al-Makthum sirah nabawiyyah.Terj. Muhammad Ramzi Omar. Kuala Lumpur: Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia.

Najeebabadi, Akbar Shah, et al. 2001. The history of Islam, Jil.1. Riyad: Dar al- Salam.

al-Quran. Tafsir Pimpinan al-Rahman Kepada Pengertian al-Quran. 2001. Ed. ke- 12. Kuala Lumpur: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia.

Page 17: privasi dan perisytiharan pemelukan islam menurut perspektif islam

47

Privasi dan Perisytiharan Pemelukan Islam Menurut Perspektif Islam

al-Shalabi, Ahmad. 1975. Sejarah dan Kebudayaan Islam, Jil. 1. Terj. Muchtar Jahja. Singapura: Pustaka Nasional.

al-Sibai. Mustafa. t.th. al-Sirah al-nabawiyyah durus wa ibar. Beirut: al-Maktabah al-Islami.

Suwaid Tapah. 1996. Pemelukan Islam: Perbincangan daripada Perspektif Undang-Undang di Malaysia. Jurnal Syariah 4(1): 107-123.

Sayyid Qutb, al-Shahid. 2001. Tafsir fi zilal al-Quran, Jil. 10, 11 & 19. Kota Bharu: Pustaka Aman Sdn.Bhd.

Wessels, A. 1972. A modern Arabic biography of Mohammad: a critical study of Mohammad Husayn Haykal’s hayat Mohammad. Leiden: E. J. Brill.

Zainal Arifin Abbas, H. 1969. Sejarah dan Perjuangan Nabi Muhammad. Kuala Lumpur: Pustaka Antara.