13
PGN Ke-14: Nilai Kemanusiaan dalam Pembelajaran Mendorong Semangat Hidup Bersama Kemunitas Nusantara. 1 KESATUAN DALAM KEPELBAGAIAN: PENDIDIKAN DAN PEMBELAJARAN PADA MASYARAKAT BERBILANG BUDAYA PENGALAMAN SINGAPURA Oleh: Mohamad Ali Hanifiah Bin Abdullah Kesatuan Guru Melayu Singapura Pendahuluan Sejak mendapat kemerdekaan pada tahun 1965 hingga kini, sistem pendidikan Singapura telah mengalami banyak perubahan. Namun, landskap pendidikan negara sekarang ini bertitik tolak daripada ‘rombakan’ besar-besaran yang berlaku pada tahun 1979, setelah Menteri Pelajaran waktu itu, Dr Goh Keng Swee, mengeluarkan laporan ‘The Goh’s Report’. Laporan Goh inilah yang bertanggung jawab mentransformasikan sebuah sistem pendidikan yang moden. Antara perubahan besar yang berlaku akibat daripada Laporan Goh ini ialah penubuhan Institut Pengembangan Kurikulum Singapura (CDIS) [kini dikenali sebagai Jabatan Perancangan dan Pengembangan Kurikulum (CPDD)] dan pengenalan kepada sistem aliran di sekolah. Bermula dari sinilah, takah demi takah perubahan berlaku sehingga sistem pendidikan negara ini kini diiktiraf sebagai antara yang terbaik di dunia. Meskipun perubahan demi perubahan berlaku pada sistem pendidikan negara ini, ada beberapa perkara yang masih dikekalkan kerana difikirkan penting untuk penakatan negara yang mempunyai penduduk yang majmuk dari segi bangsa, agama, budaya dan bahasa. Ada banyak faktor sepunya yang menjadi pengikat masyarakat ini yang membolehkan proses pendidikan dan pembelajaran dapat dilangsungkan hingga ke hari ini.

PENDIDIKAN DAN PEMBELAJARAN PADA MASYARAKAT BERBILANG BUDAYA

Embed Size (px)

DESCRIPTION

Kertas Kerja PGN Ke-14 di Bali

Citation preview

Page 1: PENDIDIKAN DAN PEMBELAJARAN PADA MASYARAKAT BERBILANG BUDAYA

PGN Ke-14:

Nilai Kemanusiaan dalam Pembelajaran Mendorong Semangat Hidup Bersama Kemunitas Nusantara.

1

KESATUAN DALAM KEPELBAGAIAN:

PENDIDIKAN DAN PEMBELAJARAN PADA MASYARAKAT BERBILANG BUDAYA

– PENGALAMAN SINGAPURA –

Oleh:

Mohamad Ali Hanifiah Bin Abdullah

Kesatuan Guru Melayu Singapura

Pendahuluan

Sejak mendapat kemerdekaan pada tahun 1965 hingga kini, sistem pendidikan Singapura telah

mengalami banyak perubahan. Namun, landskap pendidikan negara sekarang ini bertitik tolak

daripada ‘rombakan’ besar-besaran yang berlaku pada tahun 1979, setelah Menteri Pelajaran

waktu itu, Dr Goh Keng Swee, mengeluarkan laporan ‘The Goh’s Report’. Laporan Goh inilah

yang bertanggung jawab mentransformasikan sebuah sistem pendidikan yang moden. Antara

perubahan besar yang berlaku akibat daripada Laporan Goh ini ialah penubuhan Institut

Pengembangan Kurikulum Singapura (CDIS) [kini dikenali sebagai Jabatan Perancangan dan

Pengembangan Kurikulum (CPDD)] dan pengenalan kepada sistem aliran di sekolah. Bermula

dari sinilah, takah demi takah perubahan berlaku sehingga sistem pendidikan negara ini kini

diiktiraf sebagai antara yang terbaik di dunia.

Meskipun perubahan demi perubahan berlaku pada sistem pendidikan negara ini, ada

beberapa perkara yang masih dikekalkan kerana difikirkan penting untuk penakatan negara

yang mempunyai penduduk yang majmuk dari segi bangsa, agama, budaya dan bahasa. Ada

banyak faktor sepunya yang menjadi pengikat masyarakat ini yang membolehkan proses

pendidikan dan pembelajaran dapat dilangsungkan hingga ke hari ini.

Page 2: PENDIDIKAN DAN PEMBELAJARAN PADA MASYARAKAT BERBILANG BUDAYA

PGN Ke-14:

Nilai Kemanusiaan dalam Pembelajaran Mendorong Semangat Hidup Bersama Kemunitas Nusantara.

2

Sistem Pendidikan Singapura – Secara Ringkas

Kementerian Pendidikan Singapura bermatlamat untuk membantu pelajar menemukan bakat

mereka, menggilap bakat yang ada, memaksimumkan potensi yang ada dan membangkitkan

keghairahan untuk belajar sepanjang hayat.

Menerusi sistem Pendidikan Wajib, setiap pelajar diwajibkan mendapat pendidikan formal

selama 10 tahun; 6 tahun di peringkat Sekolah Rendah dan diikuti oleh 4-5 tahun di peringkat

Sekolah Menengah. Setelah tamat tempoh 10 tahun, pelajar boleh memilih aliran pasca

menengah yang ingin diteruskan. Mereka boleh, sama ada ke Maktab Rendah atau Institusi

Pusat (yang akan mengambil Peperiksaan GCE Peringkat ‘A’ pada akhir 2 atau 3 tahun),

Politeknik (yang bakal mendapat diploma pada akhir 3 tahun), Institut Pendidikan Teknikal

(yang bakal mendapat sijil kemahiran setelah 2- tahun). Ketiga-tiga aliran pasca menengah ini

membolehkan pelajar melanjutkan pengajian di peringkat universiti sekiranya keputusan yang

diperoleh memuaskan. Sekiranya mereka ingin memasuki pasaran pekerjaan, kemahiran yang

diperoleh telah membolehkan mereka mendapat pekerjaan yang sesuai.

Sistem pendidikan di sini juga mengamalkan dasar dwibahasa. Setiap pelajar wajib mempelajari

dua bahasa, iaitu bahasa Inggeris sebagai bahasa pertama, dan bahasa Ibunda sebagai

bahasa kedua.

Falsafah Pendidikan Singapura

Pendidikan di Singapura mempunyai dua tujuan, iaitu membina sikap pelajar dan

menyediakannya menjadi warganegara yang baik serta bersedia untuk memasuki alam

pekerjaan. Pendidikan merupakan satu proses yang membentuk pelajar menjadi insan yang

sebaik mungkin secara syumul. Melalui pendidikan, pelajar dibentuk dari segi moral, intelektual,

fizikal, sosial, emosi dan estetika. Pelajar juga akan belajar menjadi seorang yang penyayang

dan bertanggungjawab terhadap keluarga dan masyarakat serta memahami dan memainkan

peranan dalam memberikan sumbangan kepada masa depan Singapura.

Pembelajaran Bahasa Ibunda

Setiap pelajar warga Singapura atau Penduduk Tetap yang mengikuti pendidikan di sekolah

pemerintah diwajibkan mengambil Bahasa Ibunda masing-masing, iaitu, Bahasa Melayu,

Mandarin dan Tamil (Bahasa Rasmi, Per. 153A [1], Perlembagaan Singapura), sebagai salah

satu mata pelajaran sepanjang tempoh 10 tahun pendidikan wajib. Bahasa yang bakal dipelajari

Page 3: PENDIDIKAN DAN PEMBELAJARAN PADA MASYARAKAT BERBILANG BUDAYA

PGN Ke-14:

Nilai Kemanusiaan dalam Pembelajaran Mendorong Semangat Hidup Bersama Kemunitas Nusantara.

3

mestilah salah satu bahasa asal ibu/bapa pelajar tersebut. Cohtohnya, pelajar yang kedua-dua

ibu dan bapa orang Melayu tidak boleh mengambil bahasa lain selain bahasa Melayu sebagai

Bahasa Kedua. Inilah antara keunikan sistem pendidikan di sini. Kekecualian hanya diberikan

kepada pelajar yang mungkin telah lama bermastautin di luar negara. Namun pengecualian ini

hanya diberikan atas pertimbangan setiap kes. Pelajar-pelajar ini boleh memohon untuk

dikecualikan daripada mengambil Bahasa Ibunda, atau mengambil satu bahasa lain yang tidak

rasmi, contohnya Bahasa Perancis, Jerman atau Jepun.

Dasar Pendidikan Singapura yang menegaskan prinsip dwibahasa telah menjadikan bahasa

Melayu sebagai salah satu mata pelajaran bahasa ibunda yang wajib dalam kurikulum sekolah

di negara ini. Selain menjadi Bahasa Kebangsaan (Per. 153A [2], Perlembagaan Singapura),

bahasa Melayu juga merupakan bahasa penting bagi penyaluran pemikiran dan budaya. Ini

kerana bahasa Melayu berupaya menjalin ikatan masyarakat sepanjang zaman. Oleh yang

demikian, kesinambungan penggunaan bahasa penting bagi mengekalkan jati diri masyarakat.

Hasil Pendidikan Yang Diingini

Setiap pelajar akan mengalami sekurang-kurangnya 10 tahun zaman persekolahan, 6 tahun di

peringkat rendah dan 4-5 tahun di peringkat menengah. Kepada mereka yang meneruskan

pembelajaran menerusi perjalanan Maktab Rendah atau Institusi Pusat, maka tambahan 2-3

tahun lagi akan dialami mereka. Bagi setiap tahap ini, ada hasil pendidikan yang diingini, yang

termaktub di dalam sukatan pelajaran yang dikeluarkan oleh Kementerian. Hasil pendidikan

yang diingini ini dikongsi sama oleh semua Jabatan Bahasa Ibunda (Cina, Melayu Tamil).

Di peringkat sekolah rendah, hasil yang ingin dicapai adalah seperti berikut:

1 mendengar dan memahami pengucapan dengan teliti dalam situasi formal dan tidak formal dan memberikan tindak balas atau respons yang wajar

2 bertutur dengan petah menggunakan sebutan baku dan intonasi yang betul tentang perkara-perkara yang berkaitan dengan diri dan sekitarnya

3 membaca pelbagai bahan bercetak dan bahan media elektronik dan digital dengan menggunakan teknik membaca yang sesuai dan berkesan untuk memperoleh maklumat, idea dan pengetahuan serta memberikan respons yang sesuai

4 menulis pelbagai jenis teks berdasarkan pelbagai tajuk dan untuk pelbagai tujuan, khalayak dan situasi

5 berfikir secara kritis dan kreatif untuk meneroka, mereka cipta, menyelesaikan masalah, mencapai persetujuan bersama dan membuat keputusan tentang sesuatu perkara melalui penggunaan bahasa secara kritis dan kreatif

Page 4: PENDIDIKAN DAN PEMBELAJARAN PADA MASYARAKAT BERBILANG BUDAYA

PGN Ke-14:

Nilai Kemanusiaan dalam Pembelajaran Mendorong Semangat Hidup Bersama Kemunitas Nusantara.

4

6 mengenali dan memahami budaya dan nilai-nilai murni masyarakat Melayu serta budaya dan nilai-nilai murni negara dan kaum-kaum lain

7 memupuk minat membaca dan menjadikannya amalan ke arah membina budaya belajar sepanjang hayat.

Di peringkat sekolah menengah pula, hasil pendidikan yang ingin dicapai ialah:

1 yakin dan berupaya membezakan yang baik atau sebaliknya, boleh menyesuaikan diri dengan perubahan, gigih, mengenali dirinya, membuat pertimbangan dengan bijak, berfikir kendiri dan secara kritis dan berkomunikasi dengan efektif

2 pelajar yang mempunyai arah kendiri dan bertanggungjawab terhadap pembelajaran sendiri, bertanya, melakukan refleksi dan tabah untuk mencapai kejayaan dalam pembelajaran

3 penyumbang aktif yang boleh bekerja dalam kumpulan, menggunakan inisiatif, mengambil risiko, inovatif dan bekerja keras untuk menghasilkan sesuatu yang terbaik

4 seorang rakyat yang prihatin, cinta akan tanah airnya, mempunyai kesedaran sivik yang tinggi, tahu dan memainkan peranan aktif dalam membaiki kehidupan orang-orang di sekelilingnya.

Untuk memenuhi hasrat Hasil Pendidikan yang Diingini, setiap pelajar haruslah mencapai

perkara-perkara yang berikut pada akhir pendidikan di sekolah menengah:

• mempunyai integriti moral;

• yakin akan kebolehan mereka dan berupaya menyesuaikan diri dengan perubahan;

• boleh bekerja dalam kumpulan dan menunjukkan rasa ihsan terhadap orang lain;

• kreatif dan mempunyai sikap ingin tahu;

• boleh menghargai pandangan yang berbeza dan berkomunikasi dengan efektif;

• bertanggungjawab terhadap pembelajaran sendiri;

• meminati aktiviti fizikal dan menghargai seni; dan

• yakin terhadap Singapura dan memahami perkara yang penting untuk Singapura.

Di peringkat prauniversiti pula, hasil pendidikan yang ingin dicapai adalah sama dengan

peringkat menengah. Yang membezakan antara keduanya ialah perkara-perkara yang harus

dicapai oleh pelajar pada akhir pendidikan peringkat ini. Setiap pelajar haruslah mencapai

perkara-perkara berikut:

• mempunyai keberanian moral untuk menegakkan perkara yang betul;

• semangat tidak mudah luntur apabila berada dalam kesusahan;

Page 5: PENDIDIKAN DAN PEMBELAJARAN PADA MASYARAKAT BERBILANG BUDAYA

PGN Ke-14:

Nilai Kemanusiaan dalam Pembelajaran Mendorong Semangat Hidup Bersama Kemunitas Nusantara.

5

• boleh bekerjasama secara rentas budaya dan mempunyai tanggungjawab sosial;

• inovatif dan berdaya usaha;

• boleh berfikir secara kritikal dan berkomunikasi dengan yakin;

• bertekad dalam mengejar kecemerlangan;

• menginginkan kehidupan yang sihat dan menghargai nilai estetik; dan

• bangga menjadi rakyat Singapura dan memahami Singapura mempunyai kaitan dengan negara lain dan dunia global.

Dasar Yang Mematri Semua Bangsa

Tidak dapat dinafikan kerumitan yang wujud apabila sekumpulan manusia daripada latar

belakang yang berbeza wujud dalam satu masa dan suasana demi mencapai satu maksud.

Maksud yang disasarkan di sini ialah pembelajaran yang berkesan. Kerencaman latar belakang

ini kadang kala dapat menjadi kendala terbesar untuk mendapatkan hasil pembelajaran yang

diingini.

Namun bagi Singapura, kewujudan kepelbagaian ini telah dimanfaatkan sepenuhnya sehingga

berjaya mewujudkan satu sistem pendidikan yang sangat berjaya. Hal ini dapat dilakukan

dengan perancangan yang teliti, dengan memastikan setiap warga negara berpegang kepada

beberapa dasar sepunya, sehingga dengan pegangan ini, pergeseran yang berlaku akibat

kerencaman latar belakang ini dapat diminimumkan. Dasar-dasar ini dapat dilihat di dalam

lingkungan bilik darjah mahupun di luar, dan dimanifestasikan sehinggalah warga itu tamat

pengajiannya. Keberterusan pegangan inilah yang telah mematri warga Singapura berbilang

budaya ini tidak melihat akan kelainan yang wujud, tetapi melihat kepada kesamaan yang dapat

menghasilkan sinergi yang amat luar biasa.

Lagu Kebangsaan

Setiap pagi, semua pelajar di sekolah perintah dari peringkat Sekolah Rendah hingga ke

Maktab Rendah/Institusi Pusat wajib menyanyikan lagu kebangsaan, Majulah Singapura. Lirik

lagu ini telah ditulis dan digubah oleh Zubir Said pada tahun 1958. Di dalam satu wawancara

semasa hayatnya berhubung proses menulis lagu ini, Pak Zubir telah menyatakan bahawa

kepayahan yang dihadapi beliau adalah dari segi menyusun melodinya. Dalam sebuah melodi

yang pendek, beliau perlu memasukkan semua yang ingin diperkatakan. Perkataan-

perkataannya mestilah mudah, difahami oleh semua bangsa di Singapura. Dari segi

tatabahasanya pula, susunannya haruslah betul dan tidaklah terlalu mendalam atau terlalu

Page 6: PENDIDIKAN DAN PEMBELAJARAN PADA MASYARAKAT BERBILANG BUDAYA

PGN Ke-14:

Nilai Kemanusiaan dalam Pembelajaran Mendorong Semangat Hidup Bersama Kemunitas Nusantara.

6

payah. Beliau menyimpulkan falsafah penulisan lagu ini sebagai ‘Di mana bumi dipijak, di situ

langit dijunjung.’ Dalam Akta Lagu Kebangsaan, Perlembagaan Singapura, lagu ini hanya

boleh dinyanyikan dalam bahasa asal, iaitu bahasa Melayu.

Meskipun ditulis dan dinyanyikan di dalam bahasa Melayu, terjemahan kepada bahasa-bahasa

rasmi lain (Inggeris, Mandarin dan Tamil) ada disertakan supaya warga Singapura dapat

menghayati seni kata lagu ini dengan lebih mendalam lagi. Diperturunkan di bawah ini seni

kata Lagu Kebangsaan Singapura, Majulah Singapura.

Majulah Singapura

Mari kita rakyat Singapura sama-sama menuju bahagia; Cita-cita kita yang mulia, berjaya Singapura. Marilah kita bersatu dengan semangat yang baru; Semua kita berseru, Majulah Singapura, Majulah Singapura! Marilah kita bersatu dengan semangat yang baru; Semua kita berseru, Majulah Singapura, Majulah Singapura!

Dengan memahami maksud Lagu Kebangsaan ini, aspirasi negara dikongsi sama oleh setiap

warga negara. Mereka akan sedar akan tanggung jawab yang dipikul oleh setiap warga yang

mempunyai peranan masing-masing di dalam kemajuan negara ini. Inilah faktor penyatu utama

rakyat Singapura yang berbilang budaya ini.

Page 7: PENDIDIKAN DAN PEMBELAJARAN PADA MASYARAKAT BERBILANG BUDAYA

PGN Ke-14:

Nilai Kemanusiaan dalam Pembelajaran Mendorong Semangat Hidup Bersama Kemunitas Nusantara.

7

Ikrar

Selain Lagu Kebangsaan yang wajib dinyanyikan oleh pelajar setiap pagi, Ikrar juga turut

dilaungkan setelah nyanyian itu. Setiap pengucap Ikrar ini akan menggenggam tangan kanan

dan diletakkan di dada kiri tatkala membacanya. Ikrar ini dibaca di dalam bahasa Inggeris.

Diperturunkan di bawah ini terjemahannya.

Ikrar Kami (Bahasa Melayu)

Kami, warganegara Singapura, sebagai rakyat yang bersatu padu, tidak kira apa bangsa, bahasa, atau agama, berikrar untuk membina suatu masyarakat yang demokratik, berdasarkan kepada keadilan dan persamaan

untuk mencapai kebahagiaan, kemakmuran dan kemajuan bagi negara.

Ikrar ini merupakan pengukuhan semula daripada apa yang telah dinyanyikan di dalam Lagu

Kebangsaan. Melalui Ikrar inilah, setiap warga negara akan bersatu padu, berganding bahu,

tanpa mengira bangsa, bahasa atau agama, melaksanakan usaha untuk membina

masyarakat yang demokratik. Pelaksanaan ini dilakukan berdasarkan keadilan dan juga

persamaan kerana tanpa ini, kebahagiaan, kemakmuran dan kemajuan negara ini tidak akan

dapat dicapai.

Pendidikan Nasional

Salah satu pengikat yang menyatupadukan kepelbagaian dalam kalangan pelajar berbilang

kaum ialah perutusan Pendidikan Nasional. Penyerapan Pendidikan Nasional dalam

pengajaran dan pembelajaran dalam setiap subjek dan peringkat bertujuan untuk memupuk

sikap cinta akan negara dan mengukuhkan jati diri pelajar sebagai warganegara Singapura.

Nilai patriotisme yang terkandung dalam Pendidikan Nasional hendaklah disemai secara tidak

langsung melalui penggunaan bahan-bahan pengajaran yang sesuai. Usaha ini hendaklah

dilaksanakan dengan perancangan yang teliti agar perutusan yang hendak disampaikan dapat

difahami dan dihayati oleh setiap pelajar.

Page 8: PENDIDIKAN DAN PEMBELAJARAN PADA MASYARAKAT BERBILANG BUDAYA

PGN Ke-14:

Nilai Kemanusiaan dalam Pembelajaran Mendorong Semangat Hidup Bersama Kemunitas Nusantara.

8

Pendidikan Nasional mengandungi enam perutusan berikut:

1. Singapura tanah air kita; di sini tempat kita.

Kita mahu mengekalkan warisan dan cara hidup kita.

2. Kita mesti mengekalkan keharmonian kaum dan agama.

Walaupun kita terdiri daripada berbilang kaum, agama, bahasa dan budaya, kita mempunyai nasib yang sama.

3. Kita mesti mendukung meritokrasi dan sifat amanah.

lni bermakna peluang bagi semua, mengikut kebolehan dan usaha mereka.

4. Tiada siapa yang bertanggungjawab terhadap Singapura.

Kita mesti mencari ialah sendiri untuk bertahan dan mencapai kemakmuran.

5. Kita sendiri yang mesti mempertahankan Singapura.

Tiada siapa yang bertanggungjawab terhadap keselamatan dan kesejahteraan kita.

6. Kita mempunyai keyakinan terhadap masa depan kita.

Dengan bersatu, berazam dan bersedia, kita akan membina masa depan yang cerah bagi diri kita sendiri.

Sebagai pelanjutan kepada perutusan di atas, Pendidikan Nasional juga memberikan tumpuan

pada penglibatan pelajar dan penyediaan ruang bagi pelajar menyumbang kepada masyarakat.

Satu kerangka yang melibatkan 'minda, hati dan tenaga' diusulkan sebagai panduan. Dengan

kata-kata lain, melalui 'minda', para pelajar digalakkan agar terlibat secara aktif dalam

pembelajaran, mengetahui dan memikirkan isu-isu yang melibatkan Singapura dan memahami

isu-isu tersebut secara mendalam. 'Hati' pelajar juga perlu terus dipupuk agar mereka

menyedari bahawa mereka merupakan sebahagian daripada Singapura, mempunyai rasa

kecintaan terhadap Negara dan menghargai negara sebagai tempat mereka dilahirkan dan

dibesarkan. Selain itu, para pelajar perlulah diberi peluang untuk menyumbang kepada

masyarakat dan menyedari bahawa setiap individu mempunyai peranan untuk mencipta,

membina dan memimpin bagi kemakmuran, penakatan dan kesejahteraan Singapura.

Page 9: PENDIDIKAN DAN PEMBELAJARAN PADA MASYARAKAT BERBILANG BUDAYA

PGN Ke-14:

Nilai Kemanusiaan dalam Pembelajaran Mendorong Semangat Hidup Bersama Kemunitas Nusantara.

9

PROGRAM DI PERINGKAT SEKOLAH

Dua Mingguan Bahasa Ibunda

Bermula dari tahun 2011, setiap sekolah diberikan peruntukan untuk menganjurkan Dwi

Mingguan Bahasa Ibunda setiap tahun. Ini adalah salah satu saranan Jawatankuasa Semakan

Bahasa Ibunda 2010 bagi mencipta suasana yang kondusif untuk penggunaan dan

pembelajaran Bahasa Ibunda. Pihak sekolah akan bekerja sama dengan pertubuhan

masyarakat dan pemegang taruh utama sekolah (main stakeholders), termasuk ibu bapa dan

anggota alumni sekolah tersebut. Semasa acara ini, pelbagai kegiatan luar kelas Bahasa

Ibunda akan dianjurkan untuk membolehkan pelajar belajar menggunakan bahasa ini dengan

cara yang seronok. Acara ini juga membawa pelajar ini keluar untuk menemui masyarakat dan

juga mendedahkan kepada masyarakat akan kegiatan-kegiatan yang berlaku di sekolah.

Sekolah-sekolah peringkat rendah dan menengah juga diwajibkan menganjurkan perkhemahan

budaya yang dapat menyerapkan pelajar dalam penggunaan Bahasa Ibunda.

Kurikulum Berlandaskan Sekolah (School Based Curriculum)

Kementerian Pendidikan memberikan kebebasan kepada setiap sekolah untuk melaksanakan

sukatan pelajaran yang diberikan mengikut keperluan sekolah. Ini bermakna, setiap Jabatan

Bahasa Ibunda di sekolah bebas melakarkan kurikulum mereka selagi selari dengan sukatan

pelajaran yang diberikan. Kebebasan ini membenarkan Jabatan ini melaksanakan kurikulum

lintas unit (Bahasa Melayu, Mandarin dan Tamil), dan juga jabatan-jabatan lain.

EMAS (Elective Malay for Secondary School)

MLEP (Malay Language Elektif Program) [Maktab Rendah]

Program Elektif Bahasa Melayu di Peringkat Sekolah Menengah (EMAS) dan Peringkat Maktab

Rendah (MLEP) ini bertujuan mengasuh bakat-bakat bahasa yang sedia ada dalam kalangan

pelajar supaya mereka dapat mencapai kecekapan yang tinggi dalam bahasa Melayu. Dengan

ini, mereka akan dapat menghayati dengan lebih mendalam akan budaya dan sastera Melayu,

dan seterusnya dapat menjadi pakar dunia Melayu dan pemimpin untuk meneruskan usaha

mengkayakan dan mempertingkatkan bahasa Melayu di Singapura. Sejauh ini, kedua-dua

program ini telah berjalan lebih daripada 10 tahun. Sebanyak 2 buah sekolah menawarkan

Program EMAS dan 3 buah maktab menawarkan MLEP.

Page 10: PENDIDIKAN DAN PEMBELAJARAN PADA MASYARAKAT BERBILANG BUDAYA

PGN Ke-14:

Nilai Kemanusiaan dalam Pembelajaran Mendorong Semangat Hidup Bersama Kemunitas Nusantara.

10

Program Khas Bahasa Melayu / Cina (MSP/CSP)

Kedua-dua program ini ditawarkan kepada pelajar yang ingin mempelajari bahasa ketiga, sama

ada bahasa Melayu atau Cina. Tawaran ini dibuka kepada mereka yang berminat untuk

mengambil bahasa ketiga dari peringkat Menengah 1 hingga Menengah 4/5. Ada juga dalam

kalangan pelajar ini yang ditawarkan biasiswa oleh Kementerian Pendidikan. Di akhir

menengah 4/5, mereka akan menduduki peperiksaan GCE Peringkat O. Kini, terdapat 16 buah

sekolah yang menawarkan MSP dan 6 buah yang menawarkan CSP. Calon yang menduduki

kertas ini diberikan beberapa kelonggaran di dalam permohonan untuk memasuki Maktab

Rendah.

Program Pengajian Serantau (RSP)

Program ini baru dimulakan tahun ini dan hanya tiga buah sekolah sahaja yang menawarkan

kepada pelajarnya. Tawaran ini dibuka kepada mereka yang pernah mengikuti MSP/CSP di

peringkat menengah dan ingin meneruskan pengajian ini di peringkat Maktab Rendah.

Biasiswa akan diberikan kepada mereka dan antara kegiatan yang dianjurkan ialah widyawisata

ke negara-negara rantau ini. Negara-negara yang difokuskan ialah Malaysia, Indonesia dan

Brunei

Perbualan Bahasa Cina / Melayu (CCM)

Sejak tahun 2005, sekolah telah digalakkan oleh pihak Kementerian untuk menawarkan

program ini dalam kalangan pelajar mereka. Ini bertujuan mengukuhkan ikatan persahabatan

dalam kalangan pelajar berbilang bangsa. Pada waktu yang sama juga, program ini diharapkan

dapat membantu pelajar ini menguasai bahasa yang digunakan di rantau ini supaya mereka

dapat berinteraksi dengan selesa. Matlamat Kementerian ialah agar semua sekolah rendah

dapat menawarkan program ini kepada pelajar mereka, dan 65% sekolah menengah

melakukan perkara yang sama menjelang 2015.

Lain-lain Prakarsa Di Peringkat Sekolah

• Setiap pelajar di peringkat Maktab Rendah / Institusi Pusat diwajibkan mengambil mata

pelajaran Kerja Projek. Antara komponen yang bakal diuji ialah pembentangan secara

berkumpulan. Di dalam proses membentuk kumpulan ini, antara kriteria yang diberatkan

ialah sedapat-dapatnya, ahli kumpulan (antara 4-5 orang) mestilah daripada bangsa yang

berbeza. Ini salah satu cara untuk membudayakan keserasian dalam kepelbagaian dalam

kalangan pelajar.

Page 11: PENDIDIKAN DAN PEMBELAJARAN PADA MASYARAKAT BERBILANG BUDAYA

PGN Ke-14:

Nilai Kemanusiaan dalam Pembelajaran Mendorong Semangat Hidup Bersama Kemunitas Nusantara.

11

• Setiap sekolah juga menganjurkan Kembara Ilmu di setiap peringkat. Semasa Kembara

Ilmu ini, para pelajar dibawa ke tempat-tempat bersejarah di serata Singapura dan

diterangkan tentang latar belakang tempat itu. Antara tempat-tempat yang dilawati ialah

China Town, Little India dan juga Taman Warisan Melayu, Istana Kampung Gelam. Dalam

lawatan ini, aktiviti-aktiviti diadakan sebagai pengukuhan kepada apa yang telah dipelajari di

dalam kelas.

• Pendidikan Kerakyatan dan Perwatakan (Character and Citizenship Education) mula

diberikan perhatian yang lebih mendalam bermula tahun hadapan. Proses ini dilakukan di

dalam semua mata pelajaran, termasuk Latihan Jasmani, sama ada secara langsung

mahupun tidak. Perkara ini dilangsungkan dengan Pengajian Sosial sebagai satu subjek di

peringkat sekolah menengah.

• Program Penglibatan Masyarakat (CIP) wajib disertai oleh semua pelajar di semua

peringkat. Setiap pelajar diwajibkan membuat kerja-kerja kemasyarakatan selama 6 jam

setahun. Para guru juga akan turut terlibat di dalam program ini.

• Program Penyerapan ke Negara Serantau banyak dilakukan oleh pihak sekolah. Ada

sekolah yang melaksanakan Program Berkembar dengan sekolah-sekolah di negara-

negara ini dan bilangannya semakin bertambah. Program sebegini dapat mendedahkan

pelajar kepada keadaan sosioekonomi dan budaya negara ini.

• Setiap kali musim perayaan, pihak sekolah akan menganjurkan program untuk bersama-

sama merayakannya dalam kalangan warga sekolah. Antara program yang dianjurkan ialah

Hari Keharmonian Kaum, Konsert Tahun Baharu Cina, Hari Raya dan Deepavali. Sering

kali, ibu bapa yang menganggotai Kumpulan Sokongan Ibu bapa akan turut sama dalam

jawatan kuasa penganjur.

Page 12: PENDIDIKAN DAN PEMBELAJARAN PADA MASYARAKAT BERBILANG BUDAYA

PGN Ke-14:

Nilai Kemanusiaan dalam Pembelajaran Mendorong Semangat Hidup Bersama Kemunitas Nusantara.

12

Penutup

Di dalam melaksanakan kegiatan-kegiatan yang bersifat kebahasaan, kebudayaan dan

kesusasteraan, banyak badan luar yang turut sama melestarikannya, sama ada dari segi

bantuan menganjurkan kegiatan di sekolah mahupun dari segi bantuan dana. Jawatankuasa

Pembelajaran dan Penggalakan Penggunaan Bahasa Melayu (MLLPC), telah diberikan

kepercayaan oleh pemerintah untuk mengagihkan dana bagi penganjuran kegiatan-kegiatan

yang dapat menyumbang kepada penggunaan bahasa Melayu. Sejak ditubuhkan pada tahun

2006, kerancakan kegiatan yang bersifat menggalakkan penyertaan orang awam semakin

dapat dirasakan.

Selain itu, agensi-agensi pemerintah seperti Pusat Bahasa Melayu Singapura (MLCS), Jabatan

Perancangan dan Pengembangan Kurikulum, Kementerian Pendidikan, Lembaga

Perpustakaan Negara, Lembaga Warisan Negara dan lain-lain agensi turut sama memainkan

peranan di dalam proses pengajaran dan pengajaran ini, yang bukan hanya melibatkan

masyarakat Melayu, tetapi juga masyarakat lain.

Turut sama menyemarakkan program ini ialah badan-badan swasta. Ini termasuklah Kesatuan

Guru Melayu Singapura (KGMS), Persatuan Guru Bahasa Melayu (PGBM), ASAS ’50,

Persatuan Pemuda Pemudi Melayu Singapura (4PM), Persatuan-persatuan bahasa di

universiti-universiti dan lain-lain lagi. Dengan penggemblengan tenaga semua pihak, satu

sinergi yang begitu menakjubkan telah dapat dihasilkan. Semoga semua usaha ini akan terus

menghasilkan produk yang dapat memanfaatkan dan seterusnya membanggakan warga

Singapura khasnya, dan warga dunia amnya.

Wallah hu a’lam.

Page 13: PENDIDIKAN DAN PEMBELAJARAN PADA MASYARAKAT BERBILANG BUDAYA

PGN Ke-14:

Nilai Kemanusiaan dalam Pembelajaran Mendorong Semangat Hidup Bersama Kemunitas Nusantara.

13

Bibliografi

Michael Barber; Chinezi Chijioke; Mona Mourshed (2010), Education: How the World's Most

Improved School Systems Keep Getting Better, London: McKinsey & Company.

Nurturing Active Learners and Proficient Users, 2010 Mother Tongue Languages Review

Committee Executive Summary of Recommendations, January 2011, Ministry of

Education

Report on the Ministry of Education 1978 / prepared by Goh Keng Swee and the

Education Study Team. Singapore National Printers, 1979

Sukatan Pelajaran Bahasa Melayu Sekolah Rendah 2008. Jabatan Perancangan dan

Pengembangan Kurikulum, Kementerian Pendidikan Singapura

Sukatan Pelajaran Bahasa Melayu Sekolah Menengah 2011. Jabatan Perancangan dan

Pengembangan Kurikulum, Kementerian Pendidikan Singapura

Sukatan Pelajaran Bahasa Melayu PraUniversiti, 2012. Jabatan Perancangan dan

Pengembangan Kurikulum, Kementerian Pendidikan Singapura

http://statutes.agc.gov.sg (Perlembagaan Singapura)