14

Pendahuluan · 2020. 10. 26. · usaha ke arah memperkukuhkan harmonisasi undang-undang jenayah sivil dan syariah di Malaysia bagi menjayakan seruan KDYM ini. Walaupun seruan KDYM

  • Upload
    others

  • View
    12

  • Download
    0

Embed Size (px)

Citation preview

Page 1: Pendahuluan · 2020. 10. 26. · usaha ke arah memperkukuhkan harmonisasi undang-undang jenayah sivil dan syariah di Malaysia bagi menjayakan seruan KDYM ini. Walaupun seruan KDYM
Page 2: Pendahuluan · 2020. 10. 26. · usaha ke arah memperkukuhkan harmonisasi undang-undang jenayah sivil dan syariah di Malaysia bagi menjayakan seruan KDYM ini. Walaupun seruan KDYM
Page 3: Pendahuluan · 2020. 10. 26. · usaha ke arah memperkukuhkan harmonisasi undang-undang jenayah sivil dan syariah di Malaysia bagi menjayakan seruan KDYM ini. Walaupun seruan KDYM

Pemerkasaan Undang-undang Diyat untuk Mangsa Kemalangan | 1

Terengganu Strategic & Integrity Institute (TSIS)

Pendahuluan

Pada 26 Ogos 2020 yang lepas, Kerajaan telah meminda Akta Pengangkutan Jalan

1987 (Akta 333) (APJ 1987) selepas pindaan yang terakhir dilakukan pada tahun

2018. Pindaan kali ini sangat dinantikan rakyat memandangkan terdapat

peningkatan ketara kes kemalangan maut yang melibatkan pemandu mabuk

dilaporkan pada tahun ini. Antara kes yang mengundang kemarahan rakyat adalah

apabila petugas barisan hadapan iaitu Koperal Safwan Muhammad Ismail terkorban

ketika menjalankan tugas angkara pemandu mabuk.

Secara keseluruhannya, Rang Undang-undang Pengangkutan Jalan (Pindaan) 2020

ini mengandungi 15 fasal pindaan dan menyentuh 13 Seksyen APJ 1987. Pindaan-

pindaan yang utama adalah membabitkan peningkatan hukuman iaitu yang

berkaitan dengan kadar denda, tempoh penjara dan penggantungan lesen

memandu.

Pindaan daripada Seksyen 41 hingga 45 ini melibatkan kesalahan memandu di

bawah pengaruh alkohol, dadah dan memandu secara melulu. Turut dipinda,

takrifan semula kenderaan “mikromobiliti”, termasuk basikal lajak sebagai kenderaan

motor, dan meminda had kandungan alkohol mengikut kadar yang disyorkan oleh

World Health Organisation (WHO).

Kesemua pindaan ini adalah sangat wajar sebagai satu bentuk pencegahan

(deterrence) kepada orang ramai. Namun begitu, pindaan-pindaan yang dibawa ini

dilihat lebih menumpukan kepada pemandu mabuk atau pelaku kesalahan yang

mencederakan mangsa. Sedangkan, mangsa dan ahli keluarga mangsa juga

memerlukan perhatian dan pembelaan sewajarnya. Dalam hal ini, undang-undang

sedia ada juga perlu dipinda bagi memberi perlindungan kepada mangsa / ahli

keluarga mangsa.

Tidak dapat dinafikan, mekanisma perlindungan dalam bentuk pampasan / diyat

sebenarnya telah pun wujud dalam sistem keadilan jenayah di Malaysia. Namun

begitu, penambah baikan terhadap peruntukan undang-undang sedia ada sangat

diperlukan bagi memastikan ia dapat membela kepentingan mangsa / ahli keluarga

mangsa sebaik mungkin.

Oleh yang demikian, wujud keperluan bagi pemerkasaan undang-undang diyat bagi

mangsa kemalangan dilakukan melalui pindaan terhadap undang-undang yang

berkaitan, termasuklah Kanun Tatacara Jenayah (Akta 593) (KTJ) dan Akta

Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) (APJ 1987).

Page 4: Pendahuluan · 2020. 10. 26. · usaha ke arah memperkukuhkan harmonisasi undang-undang jenayah sivil dan syariah di Malaysia bagi menjayakan seruan KDYM ini. Walaupun seruan KDYM

Pemerkasaan Undang-undang Diyat untuk Mangsa Kemalangan | 2

Terengganu Strategic & Integrity Institute (TSIS)

Konsep Diyat dan Keperluan untuk Mangsa Kemalangan

Secara umumnya, diyat adalah satu bentuk hukuman yang mewajibkan tertuduh

yang disabitkan atau keluarganya membayar pampasan kepada mangsa atau ahli

keluarga mangsa sejumlah wang mengikut kadar tertentu. Mengikut prinsip

perundangan Islam, diyat boleh diklasifikasikan kepada dua bentuk, iaitu yang

pertama, diyat sebagai hukuman gantian.

Diyat dalam kategori ini terpakai apabila penjenayah mendapat pengampunan

daripada ahli keluarga mangsa atau apabila ahli keluarga mangsa menuntut diyat

sebagai ganti qisas. Bentuk yang kedua pula adalah diyat sebagai hukuman asal

iaitu dalam situasi perbuatan salah yang tercuai. Situasi kecuaian yang menjadi

penyebab kemalangan jalan raya (tasabbub) boleh dimasukkan dalam kategori ini.

Di Malaysia, konsep diyat ini pernah diutarakan oleh Ke Bawah Duli Yang Maha

Mulia (KDYM) Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah

Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-

Musta'in Billah seawal tahun 2017. Pada ketika itu, KDYM telah mengutarakan agar

Jemaah Pengampunan Pahang mengguna pakai kaedah pengampunan daripada

keluarga mangsa mengikut undang-undang Islam atau diyat sebagai alternatif

terhadap banduan yang berhadapan dengan hukuman mati bagi sabitan membunuh.

KDYM ketika itu turut bertitah bahawa konsep diyat adalah sesuai untuk dipraktikkan

kepada bangsa-bangsa lain, tidak tertakluk kepada orang Islam semata-mata, bagi

menunjukkan ketinggian dan kebaikan agama Islam. Sebagai rakyat yang patuh dan

taat setia kepada KDYM, seharusnya semua pihak perlu menggerakkan segenap

usaha ke arah memperkukuhkan harmonisasi undang-undang jenayah sivil dan

syariah di Malaysia bagi menjayakan seruan KDYM ini.

Walaupun seruan KDYM itu lebih tertumpu kepada aplikasi diyat dalam kes

pembunuhan dengan sengaja, kaedah ini masih boleh disesuaikan dalam kes

kemalangan secara lebih praktikal, memandangkan asasnya telah pun wujud dalam

undang-undang jenayah sedia ada. Tambahan pula, mekanisma perlindungan

seperti pampasan / diyat ini sangat diperlukan oleh mangsa / ahli keluarga mangsa

kemalangan yang akan menanggung impak dan kerugian seperti kecederaan kekal

atau kematian apabila sesuatu kemalangan berlaku.

Aplikasi Konsep Diyat Dalam Perundangan Sedia Ada

Semangat daripada konsep diyat ini sering dikatakan telah wujud dalam Akta

Undang-undang Sivil 1956 (Akta 67) (AUS 1956). Hal ini kerana, dalam sistem

perundangan hari ini, mangsa atau ahli keluarga mangsa selalunya akan menuntut

pampasan melalui tuntutan sivil di mahkamah sivil.

Page 5: Pendahuluan · 2020. 10. 26. · usaha ke arah memperkukuhkan harmonisasi undang-undang jenayah sivil dan syariah di Malaysia bagi menjayakan seruan KDYM ini. Walaupun seruan KDYM

Pemerkasaan Undang-undang Diyat untuk Mangsa Kemalangan | 3

Terengganu Strategic & Integrity Institute (TSIS)

Berdasarkan kepada AUS 1956 ini, mangsa atau ahli keluarga mangsa boleh

menuntut dua jenis ganti rugi iaitu ganti rugi khas dan am. Ganti rugi khas adalah

bayaran yang boleh dituntut atas kerugian yang bersifat kewangan seperti kos

rawatan dan kerosakan pada harta. Manakala, ganti rugi am pula lebih menjurus

kepada kerugian yang bersifat jangkaan dan abstrak seperti kesakitan dan

penderitaan, kehilangan upaya, pengurangan jangka hayat hidup dan lain-lain.

Walaupun akta ini membuka ruang bagi bayaran pampasan dibuat di mahkamah

sivil, ia dilihat masih menyulitkan mangsa. Kadangkala, mangsa perlu menunggu kes

jenayah yang melibatkan tertuduh selesai terlebih dahulu, sebelum mangsa

memulakan tuntutan kemalangan sivil untuk menuntut ganti rugi atau pampasan.

Hal ini kerana, mangsa hanya boleh dipanggil sebagai saksi, tetapi tidak boleh

memohon pampasan secara terus dalam mahkamah jenayah. Justeru, tempoh

masa akan menjadi lebih lama sebelum mangsa memperoleh pampasan yang

sepatutnya. Selain itu, ia juga turut melibatkan kos sekitar 20% sehingga 30%

daripada jumlah keseluruhan tuntutan yang diuruskan oleh pihak Peguamcara.

Dari satu sudut yang lain, tuntutan melalui mahkamah sivil biasanya dibuat terhadap

kenderaan yang dilindungi oleh insurans. Bergantung kepada polisi insurans yang

telah ditetapkan, sesetengah syarikat insurans tidak melindungi pemandu mabuk

atau pemandu yang berada di bawah pengaruh dadah. Hal ini bermaksud sekiranya

mangsa / ahli keluarga mangsa mahu membuat tuntutan sivil, pemandu mabuk

tersebut perlu menanggung sendiri bayaran pampasan yang diperintahkan oleh

mahkamah.

Realitinya, kebanyakan peguam tidak mahu mewakili mangsa / ahli keluarga

mangsa di mahkamah memandangkan keputusan mahkamah hanya akan menjadi

penghakiman di atas kertas (paper judgment) dan tidak ada nilai. Apabila hal ini

berlaku, dalam banyak situasi, tertuduh tidak mampu untuk membuat bayaran yang

bernilai ratusan ribu ringgit kepada mangsa / ahli keluarga mangsa.

Walaupun mangsa / ahli keluarga mangsa mempunyai pilihan untuk mendapatkan

bayaran melalui permohonan writ penyitaan dan penjualan atau melalui

pengisytiharan kebankrapan, ia dilihat tidak praktikal kepada mangsa. Dalam

kerangka undang-undang yang ada ini, hak mangsa masih belum benar-benar

terbela.

Pada masa yang sama, asas, semangat serta kerangka model diyat juga telah

wujud di bawah Seksyen 426 Kanun Tatacara Jenayah (Akta 593) (KTJ). Seksyen

ini memperuntukkan bahawa, selain daripada hukuman denda atau penjara,

mahkamah juga boleh memerintahkan tertuduh untuk membayar pampasan kepada

mangsa atau ahli keluarga mangsa, sekiranya kes tersebut melibatkan apa-apa

kecederaan, kerugian, kehilangan, mahupun kematian di pihak mangsa. Namun

Page 6: Pendahuluan · 2020. 10. 26. · usaha ke arah memperkukuhkan harmonisasi undang-undang jenayah sivil dan syariah di Malaysia bagi menjayakan seruan KDYM ini. Walaupun seruan KDYM

Pemerkasaan Undang-undang Diyat untuk Mangsa Kemalangan | 4

Terengganu Strategic & Integrity Institute (TSIS)

begitu, seksyen ini hanya boleh digunakan sekiranya permohonan dibuat oleh

Timbalan Pendakwa Raya dan masih kurang diaplikasikan secara menyeluruh

dalam kes-kes jenayah.

Misalnya, perintah untuk pampasan diberikan kepada ahli keluarga mangsa

kemalangan pernah dibuat oleh Mahkamah Majistret Tawau terhadap tertuduh yang

disabitkan di bawah Seksyen 41 APJ 1987. Dalam kes ini, mahkamah telah

memerintahkan tertuduh untuk membayar pampasan kepada dua orang waris

mangsa sebanyak RM4,000.00 setiap orang.

Selain daripada kes kemalangan, peruntukan ini juga boleh diguna pakai untuk

memberi pampasan kepada mangsa dalam kes-kes jenayah yang lain. Sebagai

contoh, dalam kes Pendakwa Raya lwn. Low Lu Keng, Mahkamah Tinggi telah

mengarahkan pesalah yang telah mengaku bersalah di bawah Seksyen 304 Kanun

Keseksaan atas tuduhan membunuh tanpa niat, untuk membayar RM10,000.00

kepada balu mangsa bunuh. Hakim, pesalah dan mangsa yang terlibat dalam kes ini

semuanya ialah individu-individu bukan beragama Islam, menunjukkan bahawa

konsep pampasan / diyat bersifat universal dan sesuai digunakan oleh semua

bangsa dan agama.

Peruntukan-peruntukan ini menunjukkan konsep dan semangat diyat sebenarnya

telah pun wujud dalam pemakaian undang-undang sivil sedia ada mengikut

kerangka undang-undang di Malaysia. Bezanya, diyat dalam Islam bersumberkan

wahyu. Oleh kerana itu, ia mempunyai kadar pampasan yang jelas dan dalam

beberapa keadaan, nilainya tidak bergantung kepada penilaian dan ketetapan

mahkamah.

Namun, diyat juga bukanlah suatu konsep yang begitu asing sehingga kerajaan

perlu menggubal undang-undang khusus bagi melaksanakannya. Justeru,

pemakaian kaedah diyat mengikut prinsip perundangan Islam boleh diusahakan

sedikit demi sedikit dengan memperkemas konsep pampasan yang sedia ada dalam

undang-undang jenayah di Malaysia agar penggunaannya lebih menyeluruh dan

menepati hikmah dan tujuan pensyariatannya.

Cadangan Pemerkasaan Konsep Diyat dalam Undang-undang

yang Melibatkan Mangsa Kemalangan

Jelaslah di sini bahawa undang-undang sedia ada sebenarnya telah menyediakan

ruang yang cukup bagi pelaksanaan konsep diyat. Pada masa yang sama, tidak

dapat dinafikan wujud kelemahan dalam peruntukan sedia ada hingga menyebabkan

aplikasi konsep diyat tidak dapat diguna pakai secara optimum untuk melindungi

mangsa / ahli keluarga mangsa. Bagi mengatasi hal ini, beberapa pindaan perlu

Page 7: Pendahuluan · 2020. 10. 26. · usaha ke arah memperkukuhkan harmonisasi undang-undang jenayah sivil dan syariah di Malaysia bagi menjayakan seruan KDYM ini. Walaupun seruan KDYM

Pemerkasaan Undang-undang Diyat untuk Mangsa Kemalangan | 5

Terengganu Strategic & Integrity Institute (TSIS)

dilakukan bagi tujuan memperkasa konsep diyat dalam undang-undang sedia ada

agar pelaksanaannya boleh berjalan dengan lancar.

1 – Memberi kuasa kepada mahkamah untuk memberikan pampasan kepada

mangsa / ahli keluarga mangsa tanpa perlunya kepada permohonan daripada

pihak pendakwaraya terlebih dahulu

Seksyen 426 KTJ membenarkan mahkamah memberi pampasan sekiranya terdapat

permohonan daripada Timbalan Pendakwaraya. Maka, adalah lebih baik dan

sewajarnya, bagi setiap kes kemalangan yang melibatkan pertuduhan sebagai kes

jenayah di mahkamah, keperluan untuk memberi pampasan kepada mangsa / ahli

keluarga mangsa melalui Seksyen 426 ini dilakukan oleh pihak mahkamah secara

wajib, tanpa perlu menunggu permohonan oleh pihak pendakwaraya.

Dengan cara ini, proses pemberian pampasan akan menjadi lebih mudah mengikut

keperluan kes. Hal ini kerana, mengikut peruntukan sedia ada, mahkamah tidak

mempunyai kuasa sekiranya pemberian pampasan tidak dimohon oleh pihak

pendakwaraya, walaupun pada pertimbangan mahkamah, mangsa berhak diberikan

pampasan sewajarnya. Perkara ini adalah lebih baik kepada mangsa berbanding

hukuman denda yang akan dibayar sepenuhnya kepada kerajaan dan mangsa tidak

akan mendapat apa-apa daripada tertuduh.

Pindaan ini juga dapat memberikan perlindungan kepada mangsa kemalangan yang

melibatkan kenderaan yang tidak memiliki perlindungan insurans. Walaupun

terdapat Motor Insurers’ Bureau (MIB) yang menyediakan dana khas untuk

melindungi pengguna jalanraya yang dilanggar kenderaan yang tiada perlindungan

insurans, namun, jumlah dana dan kadar tuntutan yang diberikan secara relatifnya

adalah kecil dan tidak mampu memberi satu bentuk kadar perlindungan yang baik

kepada pemohon.

Justeru, melalui pindaan terhadap Seksyen 426 KTJ ini, mangsa yang terlibat dalam

kemalangan dengan kenderaan yang tidak dilindungi insurans juga berhak

mendapat pampasan yang munasabah dan sewajarnya daripada tertuduh.

2 – Ahli keluarga mangsa wajib dipanggil ke mahkamah untuk memberi kesan

pernyataan mangsa (victim impact statement) terutamanya dalam kes

kemalangan melibatkan pemandu mabuk

Selain itu, merit pemberian pampasan dapat diadili sewajarnya melalui penyataan

mangsa sebagai saksi. Kesan pernyataan mangsa membolehkan pihak mahkamah

menilai sendiri kesan kejadian kemalangan tersebut kepada diri mangsa / ahli

keluarga mangsa. Dengan cara ini juga, ia membolehkan keadilan dapat diberikan

secara sewajarnya kepada pihak mangsa / ahli keluarga mangsa.

Page 8: Pendahuluan · 2020. 10. 26. · usaha ke arah memperkukuhkan harmonisasi undang-undang jenayah sivil dan syariah di Malaysia bagi menjayakan seruan KDYM ini. Walaupun seruan KDYM

Pemerkasaan Undang-undang Diyat untuk Mangsa Kemalangan | 6

Terengganu Strategic & Integrity Institute (TSIS)

Dalam hal ini, peruntukan di bawah Seksyen 183A KTJ menyatakan bahawa

mangsa / wakil keluarga mangsa boleh hadir sendiri ke mahkamah untuk memberi

kesan pernyataan mangsa. Namun begitu, pada waktu ini, seksyen ini memerlukan

kepada permohonan daripada keluarga mangsa.

Seringkali berlaku keadaan mangsa / ahli keluarga mangsa tidak tahu akan hak

mereka untuk berbuat demikian hingga menyebabkan keterangan mereka tidak

dikemukakan di hadapan mahkamah, walaupun hakikatnya faktor ini merupakan

faktor mitigasi pemberat / peringanan hukuman yang akan diberikan oleh

mahkamah.

Justeru, adalah dicadangkan bahawa pindaan terhadap Seksyen 183A ini perlu

dilakukan agar pihak mahkamah boleh memanggil mangsa / wakil keluarga mangsa

untuk hadir sendiri ke mahkamah bagi memberi kesan pernyataan mangsa secara

wajib, tanpa perlu menunggu permohonan oleh pihak mangsa / ahli keluarga

mangsa.

3 – Mewujudkan mekanisma yang dapat meringankan hukuman tertuduh

setelah pampasan diberikan dalam kes kemalangan yang disebabkan oleh

kecuaian yang tidak disengajakan

Seterusnya, konsep diyat dalam Islam juga turut menganjurkan pemberian

kemaafan daripada mangsa. Dalam jenayah qisas contohnya, diyat boleh

menggantikan hukuman yang berat sekiranya kerugian atau kecederaan yang

dialami boleh dimaafkan oleh mangsa.

Di Malaysia, bagi kes-kes seperti di bawah Seksyen 41 APJ 1987 (iaitu kesalahan

menyebabkan kematian kerana memandu dengan melulu atau membahayakan),

rekod menunjukkan walaupun wujud kemaafan di pihak mangsa / ahli keluarga

mangsa, pihak pendakwaan tetap mengenakan pertuduhan yang berat kepada

tertuduh.

Walhal, satu bentuk pertuduhan pilihan yang memberikan alternatif hukuman yang

lebih ringan kepada tertuduh seperti hukuman denda tanpa penjara sepatutnya

boleh sahaja ditawarkan. Keadaan ini menunjukkan bahawa faktor kemaafan di

pihak mangsa / ahli keluarga mangsa terhadap kesalahan tertuduh tidak mempunyai

apa-apa merit di sisi undang-undang.

Sedangkan, umum mengetahui bahawa proses pendakwaan tehadap tertuduh bagi

kes kemalangan (terutamanya dalam kes kemalangan maut) adalah bertujuan untuk

memastikan kepentingan awam khususnya kepentingan pihak mangsa / ahli

keluarga mangsa terpelihara. Hal ini bagi memastikan pihak mangsa / ahli keluarga

mangsa tidak diabaikan dan mendapat pembelaan sewajarnya. Namun, sekiranya

telah wujud kemaafan di pihak mangsa / ahli keluarga mangsa, maka tiada

Page 9: Pendahuluan · 2020. 10. 26. · usaha ke arah memperkukuhkan harmonisasi undang-undang jenayah sivil dan syariah di Malaysia bagi menjayakan seruan KDYM ini. Walaupun seruan KDYM

Pemerkasaan Undang-undang Diyat untuk Mangsa Kemalangan | 7

Terengganu Strategic & Integrity Institute (TSIS)

keperluan mendesak untuk tertuduh dikenakan hukuman yang berat seperti penjara

mandatori.

Kedudukan undang-undang yang ada seperti hari ini dilihat sulit, mendukacitakan

pihak-pihak yang terlibat, serta dikhuatiri tidak memberi keadilan kepada tertuduh

atas beberapa sebab. Pertama, walaupun dalam kes kemalangan maut, pesalah

tidak perlu sehingga masuk ke dalam penjara bagi kesalahan yang bukanlah

diakibatkan secara mutlak oleh gaya pemanduan tertuduh yang cuai, melulu atau

merbahaya, terutamanya dalam situasi di mana wujud faktor sumbang cuai luaran

seperti keadaan jalan, faktor cuaca, faktor kerosakan mekanikal dan lain-lain faktor.

Sewajarnya, bagi kes-kes yang melibatkan kecuaian yang tidak disengajakan,

hukuman penjara perlu dielakkan. Hal ini amat penting memandangkan hukuman

penjara bukan hanya ditanggung oleh tertuduh semata-mata, tetapi akan turut

menjejaskan ahli keluarga yang berada di bawah tanggungannya. Keringanan

daripada hukuman penjara setelah wujud kemaafan juga dapat membantu dalam

mengurangkan masalah kesesakan dalam penjara dan turut memberi keadilan

kepada pihak tertuduh.

Kedua, seringkali juga berlaku keadaan di mana tertuduh terus mengaku salah,

terutamanya apabila tertuduh tidak diwakili oleh mana-mana peguambela. Situasi ini

terjadi apabila tertuduh tidak mampu melantik peguambela kerana proses

perbicaraan dalam kes-kes seumpama ini memerlukan kos guaman yang tinggi. Hal

ini sekaligus akan turut memberi gambaran bahawa, keadilan itu mungkin tidak

dapat dilaksanakan sekiranya seseorang tertuduh ini tidak mempunyai sumber

kewangan yang baik bagi melantik peguambela untuk mewakilinya di mahkamah.

Oleh itu, di dalam kes-kes jenayah melibatkan kemalangan yang membawa kepada

hukuman penjara, sekiranya di pihak mangsa / ahli keluarga mangsa telah memberi

kemaafan (iaitu yang membawa maksud bersetuju atau tiada bantahan untuk

tertuduh menerima hukuman / pertuduhan yang lebih ringan), maka perlu

diwujudkan saluran atau mekanisma untuk perkara ini dilaksanakan.

Dengan ini, pindaan perlu dilakukan dengan memasukkan satu peruntukan baru ke

dalam KTJ. Peruntukan ini akan memperincikan mekanisma yang akan meringankan

pertuduhan / hukuman terhadap tertuduh, sekiranya mangsa / ahli keluarga mangsa

diberikan pampasan di bawah Seksyen 426 KTJ dan Seksyen 183A KTJ

sepertimana dinyatakan sebelum ini. Peruntukan ini juga akan memastikan bahawa

walaupun kemaafan telah diberikan, pihak mangsa atau ahli keluarga mangsa tetap

berhak kepada pampasan yang sewajarnya.

Page 10: Pendahuluan · 2020. 10. 26. · usaha ke arah memperkukuhkan harmonisasi undang-undang jenayah sivil dan syariah di Malaysia bagi menjayakan seruan KDYM ini. Walaupun seruan KDYM

Pemerkasaan Undang-undang Diyat untuk Mangsa Kemalangan | 8

Terengganu Strategic & Integrity Institute (TSIS)

4 – Menjadikan pampasan sebagai salah satu bentuk hukuman dalam APJ1987

Akhir sekali, bagi memenuhi hak dan keadilan kepada mangsa / ahli keluarga

mangsa terutamanya dalam kes kemalangan yang melibatkan pemandu mabuk,

pampasan perlu dimasukkan ke dalam pindaan secara jelas, sebagai salah satu

bentuk cabang hukuman, selain daripada hukuman penjara dan denda yang telah

ditingkatkan.

Pindaan tersebut boleh menjadikan Seksyen 426 KTJ sebagai rujukan, di mana

peruntukan berkaitan kewajipan pampasan diletakkan secara umum, bergantung

kepada budi bicara mahkamah, yang akan membuat pertimbangan berdasarkan

kepada merit kes.

Penutup

Konsep diyat ini mungkin kedengaran asing bagi sesetengah pihak, namun ia

sebenarnya telah pun berfungsi dalam undang-undang sivil dan juga undang-

undang jenayah di Malaysia. Walaupun wujud beberapa perbezaan di antara konsep

Islam dan peruntukan undang-undang yang ada, ia tidak menghalang proses

harmonisasi dilakukan di antara kedua-duanya.

Hakikatnya, aplikasi konsep diyat berasaskan prinsip Islam dalam sistem keadilan

akan menguntungkan semua rakyat, baik yang beragama Islam atau yang bukan

beragama Islam. Pengiraan diyat mengikut kaedah Islam dalam undang-undang sivil

akan menjadikan nilai pampasan jauh lebih tinggi daripada pengiraan yang dibuat

oleh pihak insurans pada hari ini.

Dalam undang-undang jenayah pula, penggunaan konsep diyat mengikut tatacara

Islam akan menjadikan kebajikan mangsa sebagai keutamaan berbanding tumpuan

hukuman kepada pesalah. Hal ini dibuktikan oleh model diyat dalam kesalahan

qisas, di mana ia memberikan hak kepada ahli keluarga mangsa untuk membuat

keputusan sama ada mahu meneruskan atau meringankan hukuman.

Oleh yang demikian, asas undang-undang diyat yang ada untuk mangsa

kemalangan dalam KTJ, APJ 1987 dan AUS 1956 perlu diperkasakan sedikit demi

sedikit mengikut prinsip dan kaedah Islam agar ia dapat berkembang selaras

dengan nilai dan keperluan masyarakat hari ini.

Pada masa yang sama, usaha perlu dilakukan bagi memastikan konsep diyat ini

boleh diluaskan kepada mangsa jenayah yang lain agar kematian, kecederaan atau

kehilangan anggota dapat diberi pampasan seadilnya mengikut kadar syarak selaras

dengan titah KYDM kepada Jemaah Pengampunan Pahang sebelum ini.

Page 11: Pendahuluan · 2020. 10. 26. · usaha ke arah memperkukuhkan harmonisasi undang-undang jenayah sivil dan syariah di Malaysia bagi menjayakan seruan KDYM ini. Walaupun seruan KDYM

Pemerkasaan Undang-undang Diyat untuk Mangsa Kemalangan | 9

Terengganu Strategic & Integrity Institute (TSIS)

Walaupun perjalanan untuk mengharmonisasikan undang-undang jenayah Islam

dan sivil secara menyeluruh dan sempurna akan mengambil masa yang lama, usaha

tetap perlu diteruskan sebagaimana pesan Allahyarham Tan Sri Prof Dr Ahmad

Ibrahim, “Oleh kerana undang-undang jenayah Islam dicipta oleh Allah, Allah juga

akan menolong kita di dalam pelaksanaannya”.

Page 12: Pendahuluan · 2020. 10. 26. · usaha ke arah memperkukuhkan harmonisasi undang-undang jenayah sivil dan syariah di Malaysia bagi menjayakan seruan KDYM ini. Walaupun seruan KDYM

Pemerkasaan Undang-undang Diyat untuk Mangsa Kemalangan | 10

Terengganu Strategic & Integrity Institute (TSIS)

SENARAI RUJUKAN

Dr Shahidra Abdul Khalil. (7 Jun, 2020). Lindungi hak waris, mangsa pemandu

mabuk. Retrieved from BH Online:

https://www.bharian.com.my/rencana/komentar/2020/06/697373/lindungi-hak-

waris-mangsa-pemandu-mabuk

Prof Madya Dr Siti Zubaidah Ismail . (17 Januari, 2020). Hapus qisas ganti

pampasan tak tepati syarak. Retrieved from BH Online:

https://www.bharian.com.my/kolumnis/2020/01/647460/hapus-qisas-ganti-

pampasan-tak-tepati-syarak

Bernama. (3 Mei, 2017). Jemaah pengampunan Pahang cadang laksana kaedah

diyat. Retrieved from Malaysiakini:

https://www.malaysiakini.com/news/381005

Datuk Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri. (28 Jun, 2019). Bayan Linnas Siri Ke-185 :

Cadangan Pelaksanaan Diat dalam Sistem Keadilan di Malaysia. Retrieved

from Laman Web Rasmi Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan:

https://muftiwp.gov.my/artikel/bayan-linnas/3534-bayan-linnas-siri-ke-185-

cadangan-pelaksanaan-diat-dalam-sistem-keadilan-di-malaysia

Mohamad, U. A. (2012). Islamic Human Rights versus International Human Rights

Instruments. In A. G. Sein, Human Rights Law; International, Malaysian and

Islamic Perspectives (p. 333). Petaling Jaya: Sweet & Maxwell Asia.

Muhammad Fathi Yusof. (n.d.). Melaksanakan Diyat Melalui Lembaga

Pengampunan : Perspektif Perlembagaan. Retrieved from People@UTM:

https://people.utm.my/fathi/melaksanakan-diyat-melalui-lembaga-

pengampunan-perspektif-perlembagaan/

Muhammad Najib Abdullah. (2012). Diyat dalam Perundangan Islam. Bandar Baru

Nilai, Negeri Sembilan: Universiti Sains Islam Malaysia.

Paizah Ismail . (2012). Pelaksanaan Diyat Dalam Kerangka Perundangan di

Malaysia : Cabaran Fiqh Semasa. Jurnal Fiqh, No. 9 (2012) 1 - 20.

Penyata Rasmi Parlimen Dewan Rakyat Parlimen Keempat Belas Penggal Ketiga

Mesyuarat Kedua. (26 Ogos, 2020). Penyata Rasmi (Hansard). Retrieved

from Portal Rasmi Parlimen Malaysia:

https://www.parlimen.gov.my/files/hindex/pdf/DR-26082020.pdf

Raja Noraina Raja Rahim. (1 Jun, 2020). 9 kemalangan maut angkara pemandu

mabuk. Retrieved from MyMetro:

https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2020/06/584929/9-kemalangan-maut-

angkara-pemandu-mabuk

Page 13: Pendahuluan · 2020. 10. 26. · usaha ke arah memperkukuhkan harmonisasi undang-undang jenayah sivil dan syariah di Malaysia bagi menjayakan seruan KDYM ini. Walaupun seruan KDYM

Pemerkasaan Undang-undang Diyat untuk Mangsa Kemalangan | 11

Terengganu Strategic & Integrity Institute (TSIS)

Ramizah Wan Muhammad. (2018). Keadilan Restoratif dan Retributif dalam Syariah

dan di Malaysia : Satu Sorotan. Journal of Contemporary Islamic Law, Vol. 3

(1) (2018).

Siti Aisyah Samudin & Siti Zubaidah Ismail. (2018). Tuntutan Pampasan Bagi Kes

Kemalangan Jalan Raya di Malaysia: Kaedah Alternatif Berasaskan Diyat.

Journal of Shariah Law Research (2018) vol. 3 (1) 89 - 104.

Siti Khadijah Mohd Khair & Nuarrual Hilal Md Dahlan. (2019). Kuantum Pampasan

Kecederaan Diri Kes Kemalangan Jalan Raya: Analisa Kajian Kes Menurut

Undang-Undang Sivil Dan Perundangan. Jurnal Intelek Vol 14, Issue 2 (Dec

2019).

Page 14: Pendahuluan · 2020. 10. 26. · usaha ke arah memperkukuhkan harmonisasi undang-undang jenayah sivil dan syariah di Malaysia bagi menjayakan seruan KDYM ini. Walaupun seruan KDYM