13

Konflik Berdarah Nagorno-Karabakh dan Hak Kendiri yang ......negara Republik Azerbaijan dan Armenia yang mahu mempertahankan hak terhadap Republik Nagorno-Karabakh. Serangan yang berlaku

  • Upload
    others

  • View
    20

  • Download
    0

Embed Size (px)

Citation preview

Page 1: Konflik Berdarah Nagorno-Karabakh dan Hak Kendiri yang ......negara Republik Azerbaijan dan Armenia yang mahu mempertahankan hak terhadap Republik Nagorno-Karabakh. Serangan yang berlaku
Page 2: Konflik Berdarah Nagorno-Karabakh dan Hak Kendiri yang ......negara Republik Azerbaijan dan Armenia yang mahu mempertahankan hak terhadap Republik Nagorno-Karabakh. Serangan yang berlaku
Page 3: Konflik Berdarah Nagorno-Karabakh dan Hak Kendiri yang ......negara Republik Azerbaijan dan Armenia yang mahu mempertahankan hak terhadap Republik Nagorno-Karabakh. Serangan yang berlaku

Konflik Berdarah Nagorno-Karabakh dan Hak Kendiri yang Tersakiti |1

Terengganu Strategic & Integrity Institute (TSIS)

PENDAHULUAN

Konflik yang tercetus di selatan kaukasus hari ini melibatkan pertembungan di antara

negara Republik Azerbaijan dan Armenia yang mahu mempertahankan hak terhadap

Republik Nagorno-Karabakh. Serangan yang berlaku masih tiada titik noktah

meskipun tidak sampai beberapa jam kedua-dua pihak bersetuju untuk melaksanakan

genjatan senjata. Ia berlarutan sejak 27 September yang lalu sekaligus meninggalkan

pelbagai persoalan mengenai sejauh mana kedua-dua pihak akan kembali ke meja

rundingan.

Sejak daripada awal konflik di

wilayah Republik Nagorno-Karabakh

meletus, perang mulut berlaku di

antara kedua-dua pihak

mencetuskan pertikaian yang

panjang. Armenia mendakwa

Azerbaijan memulakan serangan

terlebih dahulu serta merancang

untuk berperang dalam skala penuh

(full scale of war). Penglibatan Turki

juga menjadi sasaran awal

propaganda sehingga mencetuskan

serangan demi serangan di garisan

pertemuan (line of contact) wilayah

terbabit.

Azerbaijan sebaliknya mempertahankan bahawa serangan yang dilancarkan hanya

untuk “mempertahankan diri” (self-defense) dalam wilayah mereka sendiri selain

menyifatkan ia suatu bentuk serangan balas terhadap provokasi yang dicetuskan oleh

Armenia. Perang propaganda ini tidak hanya menyebabkan pertembungan di alam

nyata, bahkan turut merebak sehingga ke media sosial (Al-Jazeera, 2020).

Nagorno-Kabarakh adalah sebuah wilayah bermajoriti etnik Armenia yang beragama

Kristian, namun mereka sebaliknya ditadbir oleh Republik Azerbaijan yang majoriti

beragama Islam. Meskipun pelbagai pihak termasuklah Kerajaan Armenia sendiri

cuba memainkan sentimen perbezaan agama, ia bagaimanapun bukanlah titik asas

konflik yang berlaku.

Bahkan kemelut di antara Nagorno-Karabakh, Azerbaijan dan Armenia ini berbalik

kepada persoalan asas iaitu hak kendiri atau self-determination. Hal yang demikian

adalah kerana majoriti penduduk di Nagorno-Karabakh adalah daripada etnik

Rajah 1 : Kedudukan peta wilayah Nagorno Karabakh

(Sumber : National Geography)

Page 4: Konflik Berdarah Nagorno-Karabakh dan Hak Kendiri yang ......negara Republik Azerbaijan dan Armenia yang mahu mempertahankan hak terhadap Republik Nagorno-Karabakh. Serangan yang berlaku

Konflik Berdarah Nagorno-Karabakh dan Hak Kendiri yang Tersakiti |2

Terengganu Strategic & Integrity Institute (TSIS)

Armenia. Justeru, timbul rasa tidak puas hati disebabkan hal ehwal pentadbiran

wilayah tersebut diletakkan di bawah pentadbiran Azerbaijan SSR dan perkara ini

telah menjadi kunci kepada konflik yang berlaku pada hari ini.

Penulisan ini akan cuba menghuraikan aspek hak kendiri atau self-determination

wilayah autonomi Republik Nagorno-Karabakh khususnya pasca keruntuhan kerajaan

Soviet Union. Ia akan menelusuri persoalan apakah bentuk referendum yang telah

dilaksanakan bagi menegakkan hak kendiri mereka dan sejauh mana referendum

tersebut memenuhi obligasi antarabangsa. Persoalan yang lebih penting adalah

apakah bentuk jalan keluar terbaik bagi konflik di sana yang telah menjangkau usia

selama lebih tiga dekad ini.

SEJARAH KONFLIK NAGORNO-KARABAKH

Republik Nagorno-Karabakh adalah sebuah wilayah yang mempunyai hutan yang

tebal dan bergunung-ganang, malah nama Nagorno dan Karabakh itu sendiri

membawa maksud gunung-ganang (istilah Nagorno dalam bahasa Russia) serta

taman hitam (istilah Karabakh dalam bahasa Turki).

Pada tahun 1923, pemimpin agung Soviet Union, Joseph Stalin telah meletakkan

wilayah autonomi Nagorno-Karabakh berada di bawah pentadbiran Republik Sosialis

Soviet Azerbaijan (Azerbaijan SSR). Keputusan tersebut nyata tidak dipersetujui oleh

penduduk wilayah berkenaan oleh kerana majoriti daripada mereka adalah daripada

etnik Armenia. Wilayah Autonomi Nagorno-Karabakh atau Nagorno-Karabakh

Autonomous Oblast (NKAO) akhirnya ditubuhkan dan kemudiannya ditadbir secara

terus daripada pentadbiran pusat Soviet di Moscow pada 1980-1989.

Keruntuhan Soviet Union serta pembebasan negara-negara di bawahnya menjadikan

perebutan terhadap wilayah autonomi tersebut menjadi terbuka. Pada tahun 1988

menyaksikan konflik terhadap wilayah Nagorno-Karabakh bermula apabila penduduk

etnik Armenia di Nagorno-Karabakh telah mengadakan pungutan suara dan bersetuju

untuk berada di bawah pentadbiran Armenia.

Pihak berkuasa Azerbaijan tidak mudah untuk tunduk dengan desakan pembebasan

Nagorno-Karabakh. Konflik peperangan tidak dapat dielakkan ketika itu sehingga

mengorbankan hampir 30 ribu nyawa dengan 800 ribu yang lain telah menjadi

pelarian. Konflik awal yang tercetus itu membolehkan Armenia menguasai wilayah

Republik Nagorno-Karabakh termasuklah 20 peratus daripada wilayah Azerbaijan

sehingga ke hari ini.

Pada tahun 1994, Organisation for Security and Cooperation in Europe (OSCE) Minsk

yang terdiri daripada Russia, Perancis dan Amerika Syarikat berjaya memujuk kedua-

dua pihak ke meja rundingan selepas menghadapi era peperangan yang dahsyat.

Page 5: Konflik Berdarah Nagorno-Karabakh dan Hak Kendiri yang ......negara Republik Azerbaijan dan Armenia yang mahu mempertahankan hak terhadap Republik Nagorno-Karabakh. Serangan yang berlaku

Konflik Berdarah Nagorno-Karabakh dan Hak Kendiri yang Tersakiti |3

Terengganu Strategic & Integrity Institute (TSIS)

Keputusan untuk genjatan senjata berjaya dicapai tetapi malangnya, ia tidak bertahan

lama.

Serangan terus berlaku dalam tempoh tertentu dan masih berlarutan sehingga ke hari

ini. Sejak Perdana Menteri Armenia, Nikol Panshinyan mengambil alih pada tahun

2018, konflik di antara kedua-dua negara semakin berpanjangan kerana sikap ultra-

nasionalis yang ditonjolkan beliau. Perkara ini menjadikan usaha damai di sana

sentiasa menemui jalan buntu, termasuklah yang baharu sahaja ditemeterai beberapa

hari yang lalu.

PENENTUAN HAK KENDIRI NAGORNO-KARABAKH

Hak kendiri atau self-determination adalah prinsip asas bagi sesebuah penduduk di

sesuatu wilayah dapat menegakkan sebuah negara dan memilih kepimpinan dalam

kalangan mereka. Prinsip ini membentuk kepada pengukuhan konsep nationalisme

yang menjadi teras penting negara aktor (actor state) terutamanya selepas

berakhirnya perang dunia kedua.

Hak kendiri ini merupakan persoalan teras dalam konflik di Nagorno-Karabakh sejak

pergolakan di wilayah tersebut berlaku. Hal yang demikian adalah kerana hampir 94

peratus daripada penduduk di wilayah berkenaan daripada etnik Armenia. Pendirian

Stalin ketika itu untuk meletakkan wilayah berkenaan di bawah pentadbiran Azerbaijan

SSR mengundang rasa tidak puas hati dalam kalangan penduduk.

Walau bagaimanapun, rasa tidak puas hati tidak menjadi isu besar ketika itu kerana

pentadbiran wilayah NKAO ditadbir secara terus oleh Moscow bermula tahun 1980.

Pada tahun 1988, tiga tahun sebelum Soviet Union runtuh, penduduk wilayah NKAO

telah mengadakan suatu petisyen bagi menyuarakan hasrat mereka untuk berada di

bawah pentadbiran Armenia (“Petisyen 1988”). Ia merupakan langkah awal penduduk

di NKAO untuk berunding dengan pentadbiran pusat Soviet Union.

Azerbaijan mengambil langkah agresif sehingga mencetuskan pertembungan dengan

kumpulan pemisah NKAO dan keadaan ketidaktentuan politik itu terus berlanjutan

sehingga Azerbaijan dan Armenia masing-masing memperoleh kemerdekaan selepas

kerajaan Soviet Union jatuh sepenuhnya pada tahun 1991.

Kemerdekaan Republik Azerbaijan dan Republik Armenia tidak memberikan apa-apa

makna buat wilayah Nagorno-Karabakh yang terus menghadapi pergolakan. Pada

Disember 1991, suatu referendum pula dilaksanakan bagi menyatakan pilihan rakyat

Nagorno-Karabakh mengenai masa depan wilayah berkenaan (“Referendum 1991”).

Disebalik permohonan untuk berada di bawah pentadbiran Armenia seperti mana

Petisyen 1988, Referendum 1991 kali ini memfokuskan bagi mendapatkan sebuah

pentadbiran wilayah Nagorno-Karabakh yang bebas dan merdeka.

Page 6: Konflik Berdarah Nagorno-Karabakh dan Hak Kendiri yang ......negara Republik Azerbaijan dan Armenia yang mahu mempertahankan hak terhadap Republik Nagorno-Karabakh. Serangan yang berlaku

Konflik Berdarah Nagorno-Karabakh dan Hak Kendiri yang Tersakiti |4

Terengganu Strategic & Integrity Institute (TSIS)

Keputusan referendum tersebut memberikan signal yang jelas dan kuat terhadap

kehendak penduduk wilayah berkenaan. 99.9 peratus menyokong pembebasan

Republik Nagorno-Karabakh dengan peratusan turun mengundi yang sangat tinggi

iaitu 82 peratus daripada 132 ribu pengundi keseluruhan. Mereka juga telah

mengangkat Artur Mkrtchyan sebagai Presiden bagi Republik Nagorno-Karabakh.

Namun, ia sekali lagi bagai mencurah air ke daun keladi. Malah, lebih perit lagi apabila

pihak berkuasa Azerbaijan dan Armenia menunjukkan tanda-tanda yang lebih agresif.

Konflik di sana semakin parah sehingga menyaksikan pembunuhan besar-besaran

berlaku terutamanya ke atas wilayah Khojaly yang terkenal dengan Khojaly Genocide

pada Februari 1992.

Dalam tempoh tidak sampai setahun itu, hampir tiga kali cubaan pihak ketiga

melakukan rundingan damai. Iran, Kazakhstan dan Russia masing-masing berjaya

memujuk kedua-dua pihak ke meja rundingan pada Mac, Ogos dan September 1992,

tetapi ketiga-tiga genjatan senjata itu tidak bertahan lama.

Akhirnya, kedua-dua pihak mengangkat senjata pada tahun 1994 hasil rundingan

kumpulan OSCE Minsk. Peperangan yang berlaku dalam tempoh itu telah

mengorbankan hampir 30 ribu nyawa dengan anggaran 750 ribu warga Azerbaijan

keluar daripada wilayah NKAO mencari tempat berlindung manakala 250 ribu etnik

Armenia yang lain meninggalkan Nagorno-Karabakh dan Azerbaijan.

Pada tahun 2016, wilayah Nagorno-Karabakh sekali lagi mengadakan referendum

bagi meluluskan perlembagaan Nagorno-Karabakh dan perubahan nama kepada

Republik Artsakh. Namun, sepertimana yang berlaku kepada petisyen dan

referendum dekad sebelumnya, ia tidak memberikan apa-apa makna kepada wilayah

berkenaan.

TIADA PENGIKTIRAFAN ANTARABANGSA

Terdapat beberapa faktor mengapa segala bentuk pungutan suara wilayah Nagorno-

Karabakh tidak mendapat pengiktirafan antarabangsa. Pertama, tindakan melakukan

petisyen mahupun referendum tersebut dilihat tidak mempunyai asas perundangan

yang jelas. Perkara ini berkaitan dengan langkah Petisyen 1988 mahupun

Referendum 1991. Manakala faktor kedua adalah penafian terhadap hak rakyat

Azerbaijan Kabarakah yang telah menjadi pelarian dalam pungutan suara yang

diadakan.

Pentadbiran wilayah NKAO ketika Petisyen 1988 dilaksanakan ditadbir secara terus

oleh Moscow dan mereka masih terikat dengan Undang-undang Soviet. Justeru sudah

tentu sebarang bentuk tindakan yang mempunyai implikasi yang besar seperti

Page 7: Konflik Berdarah Nagorno-Karabakh dan Hak Kendiri yang ......negara Republik Azerbaijan dan Armenia yang mahu mempertahankan hak terhadap Republik Nagorno-Karabakh. Serangan yang berlaku

Konflik Berdarah Nagorno-Karabakh dan Hak Kendiri yang Tersakiti |5

Terengganu Strategic & Integrity Institute (TSIS)

Petisyen 1988 memerlukan suatu sokongan atau punca kuasa yang jelas mengikut

perundangan Kerajaan Pusat.

Petisyen 1988 untuk meletakkan wilayah NKAO dibawah pentadbiran Armenia SSR

ketika bertentangan dengan peruntukan perundangan Soviet. Penduduk NKAO hanya

boleh membuat pilihan sama ada untuk kekal ditadbir oleh Moscow atau kembali

berada di bawah pentadbiran Azerbaijan SSR sahaja. Oleh itu, pendirian yang

dinyatakan melalui Petisyen 1988 untuk berada dibawah pentadbiran Armenia SSR

itu boleh dipertikai (Cutler, 2020).

Hal yang sama berlaku terhadap Referendum 1991. Selepas kejatuhan Soviet Union

dan kemerdekaan Azerbaijan dan Armenia, wilayah NKAO telah dibubarkan

berdasarkan Law of Abolishment NKAO yang dibentangkan pada Oktober 1991, dua

bulan sebelum Referendum 1991 dilaksanakan. Walaupun ia kekal menjadi persoalan

sama ada penggubalan undang-undang pembubaran wilayah NKAO itu sah atau

tidak, namun undang-undang antarabangsa sehingga ke hari ini masih tidak

menerima Nagorno-Karabakh sebagai sebuah wilayah autonomi penuh. Oleh itu,

secara tidak langsung, Republik Nagorno-Karabakh berada di bawah kedaulatan

Azerbaijan (Cutler, 2020).

Selain faktor peruntukan perundangan, persoalan yang masih berlegar adalah

mengenai sejauh mana rakyat Azerbaijan Karabakh mendapat hak yang sewajarnya

bagi proses referendum berjalan dengan adil (Freizer, 2006). Konflik demi konflik yang

melanda wilayah berkenaan telah mendorong puluhan ribu pelarian daripada

kalangan rakyat Azerbaijan Karabakh. Jumlah yang dianggarkan adalah kira-kira 750

ribu orang yang telah keluar daripada wilayah berkenaan disebabkan oleh serangan

yang dicetuskan.

Oleh itu, ketika Referendum 1991 bagi menentukan hak kebebasan Nagorno-

Karabakh dan Referendum 2006 bagi meluluskan perlembagaan Nagorno-Karabakh

dilaksanakan, ia tidak melibatkan penglibatan kelompok Azerbaijan Karabakh yang

merupakan orang asal penghuni di wilayah Nagorno-Karabakh. Kedudukan itu

menyebabkan referendum yang menentukan hak kendiri mereka masih tergantung

sehingga ke hari ini (Freizer, 2006).

JALAN KE DEPAN

Ia tentunya persoalan yang sukar buat Republik Nagorno-Karabakh. Malah, konflik

yang terbaru ini turut memperlihatkan betapa sukarnya membendung kekerasan dan

sikap agresif kedua-dua pihak. Azerbaijan mahu penguasaan semula terhadap

wilayah yang telah dicerobohi tentera Armenia sejak serangan pada awal 1990an.

Armenia melakukan serangan balas untuk mempertahankan wilayah yang tidak

diiktiraf oleh undang-undang antarabangsa, sekurang-kurangnya tiada pihak yang

Page 8: Konflik Berdarah Nagorno-Karabakh dan Hak Kendiri yang ......negara Republik Azerbaijan dan Armenia yang mahu mempertahankan hak terhadap Republik Nagorno-Karabakh. Serangan yang berlaku

Konflik Berdarah Nagorno-Karabakh dan Hak Kendiri yang Tersakiti |6

Terengganu Strategic & Integrity Institute (TSIS)

memberikan pengiktirafan pendudukan mereka di wilayah tersebut termasuklah

wilayah Nagorno-Karabakh sendiri.

Kemelut di wilayah Nagorno-Karabakh sebenarnya telah melalui suatu perbincangan

yang serius. Pada tahun 2007, kumpulan OSCE Minsk berjaya mengeluarkan suatu

dokumen yang merangkumi penyelesaian jangka panjang yang dikenali sebagai

Madrid Proposals. Nama tersebut diambil sempena tempat perbincangan tersebut

berlaku iaitu di Madrid, Sepanyol.

Madrid Proposals menggariskan beberapa aspek bagi menyelesaikan konflik di

Republik Nagorno-Karabakh. Antaranya mengembalikan semula wilayah di sekeliling

Nagorno-Karabakh kepada Republik Azerbaijan khususnya bahagian yang dikuasai

Armenia sejak peperangan yang berlaku pada tahun 1992.

Wilayah Republik Nagorno-Karabakh pula hendaklah diletakkan sebagai status

interim sementara persediaan kepada legally binding expression of will atau suatu

bentuk referendum terbaharu bagi menentukan masa depan wilayah republik

berkenaan pada masa akan datang.

Selain itu, Madrid Proposals turut menyentuh mengenai usaha untuk mengembalikan

semula hak-hak kepada pelarian yang menjadi mangsa kepada konflik yang berlaku.

Perkara ini disokong dengan kenyataan bahawa sebarang bentuk referendum

mengenai masa depan wilayah Republik Nagorno-Karabakh perlu ditentukan oleh

penduduk asal yang mendiami wilayah NKAO pada 1 Januari 1988 kelak.

MASA DEPAN YANG MASIH SAMAR

Sekali imbas, Madrid Proposals ini kelihatan suatu bentuk rundingan yang lebih

sempurna kepada masa depan hak kendiri wilayah Republik Nagorno-Karabakh.

Namun, sehingga hari ini, ia masih tinggal tanda tanya dan selepas lebih 13 tahun,

nyata perkara tersebut tidak memberikan kesan yang positif kepada hubungan

ketegangan di wilayah berkenaan.

Beberapa pihak sejak daripada awal Madrid Proposals ini diketengahkan

beranggapan masih banyak perkara tidak diselesaikan. Pertama, sejauh mana

referendum berdasarkan legally binding expression of will itu benar-benar akan

mengikat keputusan secara undang-undang mengenai penentukan masa depan

wilayah berkenaan. Adakah ia hanya bentuk referendum yang tidak mempunyai kata

putus (open ended) seperti yang berlaku sebelumnya?

Kedua, sejauhmana lingkungan persempadanan wilayah Republik Nagorno-

Karabakh yang dipersetujui oleh kedua-dua pihak. Hal yang demikian kerana ketika

wilayah ini berada di bawah pemerintahan terus dari pusat pentadbiran di Moscow

Page 9: Konflik Berdarah Nagorno-Karabakh dan Hak Kendiri yang ......negara Republik Azerbaijan dan Armenia yang mahu mempertahankan hak terhadap Republik Nagorno-Karabakh. Serangan yang berlaku

Konflik Berdarah Nagorno-Karabakh dan Hak Kendiri yang Tersakiti |7

Terengganu Strategic & Integrity Institute (TSIS)

pada 1980-1989, wilayah NKAO mempunyai sempadan yang berbeza dengan apa

yang digariskan oleh line of contact pada hari ini.

Persempadanan asal juga telah mengalami perubahan sejak Republik Azerbaijan

mengambil alih pada tahun 1991. Tambahan lagi, Referendum Perlembagaan 2006

turut mempunyai garisan sempadan yang berbeza dan pihak berkuasa Armenia turut

menganggap garisan sempadan wilayah Republik Nagorno-Karabakh termasuk

dalam wilayah yang dikuasainya dalam konflik ketenteraaan sepanjang tahun 1991

sehingga 1994 (Rujuk lampiran A).

Persoalan ketiga adalah mengenai siapa yang berhak dalam menentukan masa

depan wilayah tersebut. Bagaimana kedua-dua pihak mahu memastikan rakyat

mereka yang telah menjadi pelarian untuk pulang semula dan memberikan undi

terhadap referendum baharu ini, sedangkan mereka yang mendiami wilayah Nagorno-

Karabakh hari ini juga bukanlah penduduk asal NKAO pada 1 Januari 1988 (Potier,

2012).

Ketiga-tiga isu ini masih menjadi pendebatan di antara kedua-dua pihak. Lebih

memburukkan keadaan adalah apabila Perdana Menteri Armenia, Nikol Panshinyan

yang mengambil alih kerajaan pada tahun 2018 tidak lagi mahu mengiktiraf Madrid

Proposals serta mengiktiraf bahawa bahagian wilayah Azerbaijan yang dikuasai

Armenia sejak tahun 1994 itu sebagai wilayah dibawah kekuasaannya yang sah. Jelas

ia memusnahkan harapan ramai pihak yang mahu menyaksikan penyelesaian aman

terhadap wilayah Republik Nagorno-Karabakh.

PENUTUP

Masa depan wilayah Republik Nagorno-Karabakh masih tinggal tanda tanya sehingga

ke hari ini. Tiada jawapan yang tuntas melainkan mengharapkan pihak-pihak yang

berkepentingan kembali ke meja rundingan. Apa yang menjadi persoalan adalah

apakah rundingan jangka panjang kepada penyelesaian di sana? Bersediakah

Armenia berundur daripada wilayah Azerbaijan yang dikuasai sejak tahun 1994?

Apakah kedua-dua pihak berhasrat merundingkan semula Madrid Proposals

tersebut?

Selain dua aktor utama Armenia dan Azerbaijan, kita juga boleh melihat bagaimana

campur tangan pihak ketiga amat perlu bagi meredakan situasi di sana. Kumpulan

OSCE Minsk yang terdiri daripada Russia, Perancis dan Amerika Syarikat telah

berjaya merundingkan genjatan senjata pada tahun 1994 selain rundingan Madrid

Proposals pada tahun 2007. Kumpulan negara OSCE Minsk ini sekali lagi diharapkan

bagi memastikan penyelesaian yang tuntas di sana.

Page 10: Konflik Berdarah Nagorno-Karabakh dan Hak Kendiri yang ......negara Republik Azerbaijan dan Armenia yang mahu mempertahankan hak terhadap Republik Nagorno-Karabakh. Serangan yang berlaku

Konflik Berdarah Nagorno-Karabakh dan Hak Kendiri yang Tersakiti |8

Terengganu Strategic & Integrity Institute (TSIS)

Turki mengambil langkah menyebelahi Azerbaijan sejak daripada awal. Selain soal

perkongsian budaya dan kebanyakan penduduk Azerbaijan juga adalah dairpada

bangsa Turki, permusuhan lama dengan Armenia, berbalik kepada konflik pada tahun

1915 mendorong perseturuan di antara kedua-dua negara tersebut.

Nyata penyelesaian hak kendiri wilayah Nagorno-Karabakh masih samar dan sukar

ditanggapi jalan keluar. Namun, kesemua pihak yang terlibat secara langsung

mahupun tidak langsung perlu memainkan peranan dalam mengembalikan

penyelesaian konflik melalui jalan diplomasi. Perkara ini penting supaya ia tidak

berlarutan sehingga mendorong kepada peperangan yang lebih besar di rantau

berkenaan dan kebimbangan ini telah lebih awal disuarakan oleh pihak berkuasa di

Tehran. Walau bagaimanapun, sayugia ditegaskan bahawa konflik peperangan dan

ketenteraan hanya memburukkan keadaan dan tidak membawa kepada solusi yang

diharapkan.

Page 11: Konflik Berdarah Nagorno-Karabakh dan Hak Kendiri yang ......negara Republik Azerbaijan dan Armenia yang mahu mempertahankan hak terhadap Republik Nagorno-Karabakh. Serangan yang berlaku

Konflik Berdarah Nagorno-Karabakh dan Hak Kendiri yang Tersakiti |9

Terengganu Strategic & Integrity Institute (TSIS)

SENARAI RUJUKAN

Al-Jazeera. (2020, October 15). Armenia, Azerbaijan battle an online war over Nagorno-Karabakh.

Retrieved from Al-Jazeera: https://www.aljazeera.com/features/2020/10/15/karabakh-info-war

Al-Jazeera. (2020, October 19). Nagorno-Karabakh fighting continues as second truce fails to hold.

Retrieved from Al-Jazeera: https://www.aljazeera.com/news/2020/10/19/nagorno-karabkh-fighting-resumes-despite-ceasefire-commitment

Council on Foreign Relations. (2020, October 20). Nagorno-Karabakh Conflict. Retrieved from Council

on Foreign Relations: https://www.cfr.org/global-conflict-tracker/conflict/nagorno-karabakh-conflict

Cutler, R. M. (2020, October 19). What is behind the Nagorno-Karabakh flare-up? Retrieved from Al-

Jazeera: https://www.aljazeera.com/opinions/2020/10/19/what-is-behind-the-nagorno-karabakh-flare-up/

Freizer, S. (2006, December 14). Nagorno-Karabakh: Between Vote and Reality. Retrieved from

International Crisis Group: https://www.crisisgroup.org/europe-central-asia/caucasus/nagorno-karabakh-azerbaijan/nagorno-karabakh-between-vote-and-reality

Ministry of Foreign Affairs Republic of Artsakh. (n.d.). The Referendum on Independence of the

Nagorno Karabakh Republic. Retrieved from Ministry of Foreign Affairs Republic of Artsakh: http://www.nkr.am/en/independence-referendum-in-karabakh

National Geographic. (2020, October 15). How the Nagorno-Karabakh conflict has been shaped by past

empires. Retrieved from National Geographic: https://www.nationalgeographic.com/history/2020/10/how-nagorno-karabakh-conflict-shaped-by-past-empires/

Conciliation Resources. (2018). A final status vote for Nagorny Karabakh: Choosing politics? (Issue May).

Potier, T. (2012). Referendum to Determine Nagorno Karabakh’s Final Status: A Critical Appraisal. Journal of Muslim Minority Affairs, 32(2), 69–276. https://doi.org/10.1080/13602004.2012.694670

Page 12: Konflik Berdarah Nagorno-Karabakh dan Hak Kendiri yang ......negara Republik Azerbaijan dan Armenia yang mahu mempertahankan hak terhadap Republik Nagorno-Karabakh. Serangan yang berlaku

Konflik Berdarah Nagorno-Karabakh dan Hak Kendiri yang Tersakiti |10

Terengganu Strategic & Integrity Institute (TSIS)

LAMPIRAN A : PERBEZAAN SISI PANDANG ARMENIA DAN AZERBAIJAN TERHADAP WILAYAH

REPUBLIK NAGORNO-KARABAKH

Rajah 2 : Bagaimana Armenia melihat Nagorno Karabakh?

(Sumber : National Geography)

Rajah 3 : Bagaimana Azerbaijan melihat Nagorno Karabakh?

(Sumber : National Geography)

Page 13: Konflik Berdarah Nagorno-Karabakh dan Hak Kendiri yang ......negara Republik Azerbaijan dan Armenia yang mahu mempertahankan hak terhadap Republik Nagorno-Karabakh. Serangan yang berlaku