Kepentingan Seni

Embed Size (px)

DESCRIPTION

SENI

Citation preview

1

Pendidikan Seni : Satu Kepentingan Bukan Subjek Pinggiran______________________________________________________________________________PENGENALAN

Apa itu Seni ?

Seni adalah suatu bentuk karya yang telah dihasilkan atau dicipta oleh individu atau sesiapa sahaja melalui kebolehan , bakat , kreativiti dan daya imaginasi serta penghayatan pengkarya itu sendiri . Karya-karya seni boleh diterjemahkan dalam pelbagai bentuk yang kreatif seperti melalui penghasilan seni visual atau lukisan , gerak tari dan lakonan , penciptaan bait-bait sajak yang puitis , alunan irama muzik yang menusuk jiwa dan sebagainya . Ini kerana pengertian seni itu sahaja begitu meluas dan bergantung kepada bagaimana ia ditafsirkan. Dalam erti kata yang lain , kebolehan adalah sesuatu yang mampu dipelajari dan dibentuk manakala bakat pula adalah sesuatu yang berdiri dengan sendiri hasil daripada kurniaan Ilahi. Kedua-dua ini saling berhubung-kait di dalam menghasilkan sesuatu produk seni yang mempunyai nilai estetika yang tinggi.

Dari sudut pandangan Islam juga ada menyebut mengenai seni secara tidak langsungnya . Ini kerana , Islam amat menyukai kepada keindahan dan kecantikan kerana sifat agama Islam itu juga sangat indah di mana ia merujuk kepada keindahan yang zahir mahupun keindahan yang batin. Menurut Sidi Ghazalba,seorang seniman Islam menyatakan bahawa wujud perkaitan yag nyata antara seni dan Islam. Kata beliau, `motif seni dalam Islam adalah kerana Allah untuk manusia. Islam menghendaki supaya seni itu dilaksanakan berlandaskan akhlak Islam(nilai baik dan bebas dari nilai haram). Islam menyatakan yang indah itu baik dan baik adalah nilai akhlak(etika). Seterusnya akhlak dibentuk oleh ajaran al-Quran dan Hadith.Selain itu , di dalam Kitab Al- Iman yang telah dipelopori oleh Imam Muslim ada menyatakan dengan jelas tentang kesenangan estetik dan konsep keindahan sebagai pertemuan antara seseorang yang mempunyai pengetahuan terhadap mesej atau objek yang ditemui. Dalam erti kata yang lain, Imam Muslim menerangkan bahawa seni itu sebagai suatu bentuk ilmu ( pengetahuan ) di mana seseorang yang mempunyai ilmu ataupun pengetahuan seni tersebut akan mencipta serta melahirkan manifestasi pemikiran dan perasaannya terhadap sesuatu objek yang dihayatinya melalui karya-karya seni, ataupun setidak-tidaknya akan menghargai keindahan objek serta karya tersebut, sekiranya tidak mampu menghasilkan karya seni. Ini adalah kerana seni itu sendiri mempunyai pertalian erat di antara penggiat dan khalayak seni itu sendiri.

Tokoh-tokoh seni kelompok barat juga ada mentafsirkan pandangan mereka mengenai seni ini . Antaranya ialah Herbert Read di dalam bukunya yang bertajuk The Meaning of Arts. Menurut Herbert , seni adalah penghasilan rupa bentuk yang menimbulkan keceriaan, keseronokan dan kesenangan estetik ( Art is Expression ). Kesenangan estetik di sini adalah merujuk kepada konsep kesenangan yang terhasil kesan oleh penghayatan terhadap keindahan seni visual. Kepuasan, kenikmatan, kesukaan dan kegembiraan juga termasuk di dalam kesenangan ini. Seorang lagi tokoh bidang seni barat iaitu Frank Cizek, telah berfatwa bahawa seni itu sebenarnya adalah pernyataan diri seseorang. Maksud yang cuba diterjemahkan oleh Frank Cizek adalah setiap individu yang dilahirkan mempunyai potensi seni dalam diri masing-masing tanpa mereka sedari . Menurutnya lagi , faktor persekitaran individu itu sendiri akan membentuk perkembangan seni seseorang individu . Berlainan pula dengan seorang lagi tokoh seni barat yang bernama Linderman (1997). Dalam falsafahnya, Linderman telah menterjemahkan bahawa seni merupakan satu cabang bahasa yang mengandungi roh(nilai spiritual) yang dapat membenarkan seseorang menghasilkan sesuatu hasil karya dan menghargai apa yang dihasilkannya. Seni membantu individu untuk mengenal personaliti diri dan potensi yang ada dalam diri seseorang.Beliau juga berpendapat bahawa seni merupakan suatu bahasa non verbal bagi manusia secara global.

Menurut tokoh seni Malaysia pula misalnya, Syed Ahmad Jamal yang juga merupakan seorang guru mengatakan seni tampak ialah rupa dan jiwa. Bagi beliau, seni ialah sesuatu yang indah berlandaskan akal, etika, dan proses. Menurut Iberahim Hassan pula, seni merupakan rekod pencapaian manusia, manifestasi nilai dan kepercayaan menusia yang dijelmakan menerusi karya seni atau bentuk-bentuk tampak. Iberahim Hassan (2000) pula menjelaskan bahawa pendidikan seni adalah suatu bidang ilmu yang boleh memberi pendidikan yang mana mencabar keupayaan individu membuat pemerhatian, pengamatan, penaakulan, pemilihan, pentafsiran dan penterjemahan idea kepada bahan atau media. Beliau turut menyatakan bahawa pendidikan seni merupakan satu disiplin ilmu yang melibatkan ketiga-tiga domain manusia.SENI DALAM KONTEKS PENDIDIKAN NEGARA

Seni juga diaplikasikan dalam pengajaran. Pengajaran memerlukan pemahaman dan pemahaman memerlukan tarikan yang menarik dan kreatif. Seni yang disematkan dalam setiap pengajaran haruslah memberi satu nilai dalam jangka masa yang panjang dan memberi impak yang positif untuk seseorang individu. Seni dalam pendidikan adalah untuk membantu perkembangan menyeluruh dan seimbang setiap insan dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani sejajar dengan matlamat uatama Falsafah Pendidikan Negara. Seni dalam pendidikan bermatlamat untuk menyediakan pelajar-pelajar dengan pengetahuan dan kemahiran untuk mengintergrasikan aktiviti Seni Visual, Muzik dan Pergerakan dalam proses pengajaran dan pembelajaran serta pelbagai bidang matapelajaran yang lain. Melalui aktiviti ini, ianya akan dapat mendorong para pelajar menggunakan imaginasi, ekspresi, inkuiri dan kecerdasan pelbagai. Integrasi seni dalam pendidikan akan membantu dan memudahkan lagi pelajar-pelajar dalam menjalani proses pengajaran dan pembelajaran dengan mengaplikasikan teori-teori pembelajaran dalam proses tersebut terutama di peringkat sekolah . Kandungan kurikulum pula akan berupaya membantu murid meningkatkan rasa kesyukuran terhadap Tuhan, menghargai keindahan alam persekitaran, keindahan seni dan warisan bangsa serta dapat menyumbang ke arah pembangunan diri, keluarga, masyarakat dan negara

Sukatan pelajaran Pendidikan Seni Visual sekolah disusun bertujuan melibatkan murid dalam pelbagai kegiatan seni. Kegiatan seni yang dijalankan berdasarkan empat bidang utama. Bidang-bidang tersebut ialah bidang menggambar, membuat corak dan rekaan, membentuk dan membuat binaan, dan mengenal kraf tradisional. Pengalaman seni ini adalah untuk memperkembang dan menyelaraskan persepsi dan konsepsi visual murid sebagai asas bagi menggalakkan pemikiran kritis dan kreatif. Pengalaman ini juga selaras dengan perkembangan peringkat kesediaan dan penerimaan murid dari segi sosioemosi, psikomotor dan mental yang merangkumi perasaan, koordinasi, manipulasi dan persepsi visual. Dengan mempelajari Pendidikan Seni Visual di sekolah, murid akan dapat menguasai beberapa pengetahuan dan kemahiran. Antara pengetahuan yang dapat dimiliki murid ialah pengetahuan mengenai bahan, alat dan teknik yang digunakan dalam sebarang kegiatan seni. Murid juga akan mendapat pengetahuan mengenai sumber motif dalam persekitaran, kraf tradisional, unsur seni dan prinsip rekaan dalam pendidikan seni visual, proses pembuatan hasil seni, menyimpan maklumat atau dokumentasi, mengintegrasikan maklumat dan aplikasi komputer dalam kerja seni visual. Sementara kemahiran yang akan diperolehi murid pula ialah kemahiran memanipulasi bahan, alat dan teknik, mengaplikasi disiplin seni visual, berfikir secara kritis dan kreatif, berkomunikasi secara berkesan, membuat pilihan, membuat interpretasi, menggunakan teknologi bahan dan perkakasan.

Pendidikan Seni Visual bertujuan memberi peluang kepada murid memupuk minat, memperkembang keperibadian, memberi kesedaran dan kepekaan terhadap nilai-nilai kesenian dan alam sekitar serta kaitannya dengan mata pelajaran lain.

Murid di sekolah rendah pada keseluruhannya adalah kreatif, ekspresif dan aktif. Pendidikan Seni Visual memainkan peranan memperkembang sifat-sifat ini melalui persepsi visual, imaginasi dan daya pemikiran. Kegiatan pemikiran, penerokaan dan reka bentuk dalam pelbagai jenis seni visual akan membolehkan mereka menyatakan idea dan ekspresi diri. Pengalaman ini penting kerana ia membantu murid membina keyakinan diri, membuat penilaian dan mengenali cita rasanya sendiri.

Pendidikan Seni Visual sekolah rendah menyarankan strategi pembelajaran yang bersepadu dalam mata pelajaran ini dan antara mata pelajaran lain. Pengajaran dan pembelajaran akan lebih berkesan dengan aktiviti kemahiran berfikir secara kritis dan kreatif (KBKK). Murid digalakkan menyimpan rekod pengalaman pembelajaran dan hasil kerja sendiri. Amalan ini akan melatih murid membuat analisis, sintesis dan refleksi terhadap pembelajarannya untuk faedah sendiri.

Setiap murid mempunyai pelbagai kecerdasan seperti ruang visual, kinestetik, interpersonal dan intrapersonal. Sifat ini amat penting untuk membantu murid berkarya, berkomunikasi dan mengukuh koordinasi pancaindera secara seimbang. Proses ini menjadikan pembelajaran lebih berkesan dan bermakna.

Objektif Pendidikan Seni Visual Menghargai keindahan alam ciptaan Tuhan. Memupuk budaya penyelidikan dalam proses penghasilan karya seni visual. Meningkatkan pengetahuan, daya kreativiti, inovasi, disiplin serta kemahiran dalam bidang seni visual yang dapat diamalkan dalam kehidupan dan kerjaya. Mendapat nilai tambah dalam disiplin sains, teknologi dan mata pelajaran lain. Menghargai sumbangan tokoh-tokoh seni visual dalam konteks perkembangan sejarah seni visual di Malaysia dan antarabangsa. Membina jati diri ke arah pembentukan negara bangsa.

Kepentingan seni dalam pendidikan kepada pendidik

Antara faedah dan kepentingan seni kepada seorang pendidik seperti:

1) Melahirkan seorang guru yang kreatif, inovatif, peka, berpesonalti yang berketrampilan dan professional.2) Membantu guru melaksanakan dengan mudah proses pengajaran dan pembelajaran.3) Guru senang mencapai objektif atau matlamat.4) Guru dapat mempelbagaikan teknik dan strategi dalam pangajaran dan pembelajaran.

PENDIDIKAN SENI : MANAKAH HALA TUJUNYA & DILEMA ?

Malaysia kini sedang memacu kemajuan yang amat pesat , maju dan berusaha keras menggapai gelaran negara berprestasi tinggi dalam setiap aspek . Ia sememangnya menjadi matlamat utama nasional menjelang tahun 2020. Atas dasar itu , kerajaan amat menitikberatkan aspek pembangunan sains dan teknologi Negara . Kemajuan sains dan teknologi merupakan nadi utama sesebuah negara dalam mempertingkatkan perkembangan ekonomi dan produktiviti negara. Lantaran itu , kerajaan telah mengambil langkah-langkah yang sangat proaktif dan mampan agar hasrat menjadi negara maju terlaksana dengan jayanya . Pihak kerajaan telah pun memberi penekanan yang menyeluruh dari peringkat akar umbi lagi iaitu di peringkat sekolah. Sebagai contoh adalah berkaitan menaiktaraf matapelajaran tertentu terutama sekali pada mata pelajaran Sains dan Matematik. Banyak dasar-dasar yang digubal pihak kerajaan khusus untuk mata pelajaran Sains dan Matematik. Antaranya penggunaan Bahasa Inggeris dalam mata pelajaran tersebut. Selain itu, bantuan komputer riba turut dibekalkan kepada guru-guru mata pelajaran Sains dan Matematik. Perkara ini juga boleh dilihat dengan jelas di peringkat pengajian tinggi di mana kuota bagi aliran Sains dan Matematik lebih besar berbanding aliran lain.

Berlandaskan kepada senario yang telah ditekankan ini , situasi yang jelas terlihat adalah seolah-olah mata pelajaran mata pelajaran lain yang turut diajar di sekolah telah dianaktirikan atau lebih tepat lagi dipinggirkan oleh pihak kerajaan terutama sekali mata pelajaran Pendidikan Seni. Bukan hanya pihak kerajaan malahan masyarakat juga begitu. Masyarakat hanya beranggapan bahawa seni itu hanyalah pelajaran melukis dan mewarna sahaja .Pandangan yang agak sempit ini seharusnya diubah dari kotak minda masyarakat dan diperbetulkan dengan segera. Lantaran itu , ada sebilangan masyarakat terutamanya di kalangan ibubapa yang mahukan anak-anak mereka supaya lebih menumpukan kepada mata pelajaran utama seperti Bahasa Melayu , Bahasa Inggeris , Matematik , dan Sains . Perkara ini telah mula ditanam sejak anak-anak menjejakkan kaki di bangku sekolah lagi di mana ia mencambahkan lagi sikap kurang minat pelajar terhadap matapelajaran Pendidikan Seni .Masyarakat harus sedar bahawa pendidikan seni bukan seperti dahulu lagi . Pada masa kini, ruang lingkup dan cakupan dalam pengajaran seni adalah luas selari dengan arus kemodenan dunia. Penyesuaian pengajaran pendidikan seni di sekolah di negara kita dapat dilihat menerusi perubahan bagi nama mata pelajaran pendidikan seni itu sendiri. Bermula dengan nama Lukisan dan Pertukangan Tangan berubah kepada Lukisan dan Kerja Tangan, seterusnya Lukisan dan Kraf Tangan, kemudian dipermudah kepada Lukisan sahaja, seterusnya diubah kepada Pendidikan Seni dan kemudian diubah pula kepada Pendidikan Seni Visual sehingga kini.

Selain itu , wujud ketirisan matapelajaran Seni yang semakin ketara dalam sistem pendidikan di sesebuah sekolah itu sendiri . Pernahkah anda berada dalam situasi sebuah sekolah yang meminggirkan matapelajaran Pendidikan Seni terutamanya ketika menjelangnya peperiksaan utama negara ? Begitulah hakikatnya walaupun agak sukar untuk ditelan . Acapkali , guru-guru Pendidikan Seni diberi `waktu senggang tambahan` oleh pihak pentadbir sekolah di mana waktu pengajaran dan pembelajaran Pendidikan Seni diambil lalu digantikan dengan pengajaran matapelajaran utama peperiksaan . Atas dasar arahan pihak pentadbiran demi menjaga status serta pencapaian cemerlang sekolah , guru-guru Pendidikan Seni hanya mampu beralah dan memejamkan mata walaupun tanpa kerelaan di pihaknya . Kesinambungan daripada perkara ini jugalah maka wujud satu lagi situasi yang menggambarkan bahawa betapa terpinggirnya mata pelajaran Pendidikan Seni di sekolah-sekolah . Dan lebih ironinya, pelajar sekolah juga menganggap subjek pendidikan seni sebagai subjek yang tidak penting ataupun subjek tempelan dan picisan. Pandangan naif mereka sememangnya memburukkan lagi nama Pendidikan Seni sendiri di mana mereka beranggapan bahawa pendidikan seni adalah subjek untuk pelajar yang lemah dalam pelajaran . Tambahan lagi , mereka berpendapat seni adalah sesuatu subjek yang mudah , tiada prospek pekerjaan yang menguntungkan dan tidak menyumbang kepada pembangunan negara . Mereka tidak sepatutnya beranggapan begitu kerana seni wujud dalam diri setiap manusia dan mereka perlu kenal apakah itu Pendidikan Seni dengan lebih mendalam.

Satu perkara lagi yang menjadi isu dalam pengajaran dan pembelajaran Pendidikan Seni adalah tanggapan masyarakat sekolah atau lebih tepat lagi warga pendidik itu sendiri yang sering beranggapan bahawa pendidikan seni boleh diajar oleh sesiapa sahaja dan Pendidikan Seni merupakan waktu untuk guru-guru berehat setelah penat mengajar mata pelajaran lain yang lebih berat. Pernahkah anda terdengar atau mengalami sendiri situasi di sekolah di mana seorang guru yang bukan daripada pengkhususan Pendidikan Seni seperti seorang Ustaz , guru Sains , guru Matematik ataupun guru Bahasa Inggeris diminta mengajar matapelajaran Pendidikan Seni ? Situasi inilah yang kini sedang berlaku di sekolah-sekolah terutamanya di peringkat sekolah rendah . Ya , memang benar , tiada istilah `tidak tahu ` dalam diri seorang kerana guru dipaksa untuk harus tahu mengajar semua matapelajaran. Persoalannya , sejauh manakah keberkesanan kemahiran Pendidikan Seni yang cuba disampaikan dalam pengajaran guru tadi diserap sepenuhnya oleh pelajar dan apakah matlamat asal pelajaran Pendidikan Seni itu tercapai seluruhnya ? Selagi tanggapan ini tidak dibetulkan selagi itulah mata pelajaran ini beransur-ansur lenyap dari pandangan positif masyarakat sekolah. Antara sedar atau tidak , tanggapan sebeginilah menjadikan pelajaran Pendidikan Seni semakin hari semakin dipinggirkan oleh masyarakat. Malahan , lebih ironinya lagi , ada kalangan guru yang pernah terlatih dalam Pendidikan Seni merasa malu untuk mengaku mengajar pelajaran ini apabila ditanya sesiapa ,dan sesetengahnya pula lebih rela mengajar Pendidikan Jasmani, dan pelajaran lain yang lebih glamour. Selagi pelajaran ini diajar oleh mereka yang tidak terlatih dan tidak inovatif serta kreatif dalam menyediakan pelajaran maka selagi itulah konsep dan roh pelajaran Pendidikan Seni itu tidak akan hidup di dalam semangat pelajar. Selama itulah pelajar juga akan memandang sepi mata pelajaran ini. Kesannya akan menimbulkan masalah kepada guru-guru Pendidikan Seni yang bersemangat untuk mengajar kerana pelajar-pelajarnya menolak untuk belajar Pendidikan Seni, Ini berlaku kerana berdasarkan pengalaman mereka pelajaran Pendidikan Seni adalah pelajaran untuk berseronok kosong, hambar, kosong, masa rehat , dan tiada nilai masa depan serta tiada yang baru, belajar dari sekolah rendah hingga ketingkatan lima benda yang sama saja .

Selain daripada itu , latihan pengkhususan matapelajaran Pendidikan Seni yang diterima oleh bakal-bakal guru di maktab perguruan harus diaplikasikan secara menyeluruh , jujur dan tepat kepada para pelajar apabila mula berkhidmat di sekolah-sekolah nanti .. Rata-rata bakal guru ini akan ditempatkan untuk mengajar di sekolah rendah. Maka itu , di situlah bermulanya cabaran untuk guru Pendidikan Seni kerana di peringkat sekolah rendah inilah, tahap pembentukan konsep yang tepat berkaitan pelajaran Pendidikan Seni harus ditanam dalam diri pelajar . Sememangnya tanggapan pertama amat penting dalam membentuk jaringan kemesraan antara pelajar dengan matapelajaran ini. Hubungan antara pelajaran pendidikan seni dan kanak-kanak sekolah rendah khususnya di tahap satu amatlah signifikan. Pelajaran Pendidikan Seni di peringkat ini lebih merupakan suatu proses untuk membantu perkembangan dan pertumbuhan menyeluruh kanak-kanak. Landasan pelajaran ini adalah berlandaskan teori perkembangan. Pendidikan Seni kepada kanak-kanak adalah lebih kepada keperluan eksprasif, di samping perlu untuk meningkat domain kognitif, afaktif dan psikomotor mereka. Ianya banyak menyentuh tentang aspek psikologi perkembangan. Oleh itu , guru-guru pendidikan seni perlulah benar-benar terlatih dalam bidang ini. Persoalannya sejauh manakah latihan yang mereka lalui. Adakah hal tersebut merupakan fokus latihan bagi kursus pendidikan seni untuk bakal guru sekolah rendah ?

MENGAPAKAH PELAJAR KEBANYAKKANNYA TIDAK MENGGEMARI SUBJEK PENDIDIKAN SENI

Namun begitu, mengapakah matapelajaran ini tidak diminati ramai oleh pelajar? Sedangkan ianya juga memainkan peranan penting pada era millenium masa kini. Seni masa kini bukanlah suatu bidang yang sempit lagi. Ianya meliputi bidang industri dan teknologi terutamanya dalam aspek reka cipta industri. Tetapi mengapa hal ini berlaku? Dalam masalah ini kita boleh kategorikan puncanya kepada beberapa faktor iaitu faktor pelajar itu sendiri, guru, persekitaran kelas pendidikan seni, ibu bapa dan juga kerajaan.

FAKTOR DIRI PELAJAR:Seperti yang kita tahu, setiap orang mempunyai bakat ataupun kecerdasan yang berbeza. Seperti yang dinyatakan oleh Howard Gardner dalam Teori Kepelbagaian Kecerdasannya. Ianya mengatakan bahawa terdapat sembilan kecerdasan bagi setiap manusia iaitu kecerdasan logik matematik, muzik, kinestetik, naturalis, verbal linguistik, interpersonal, intrapersonal, visual ruang dan eksistensialisme. Seni termasuk dalam kecerdasan ruang visual dan ada juga naturalis yang mana memerlukan kepekaan terhadap alam sekeliling.

Begitu juga halnya bagi pelajar. Setiap dari mereka mempunyai kemahiran yang berbeza-beza. Maka dengan itu minat mereka juga berbeza-beza. Tidak ramai yang berbakat dalam bidang seni. Ini kerana mungkin mereka mempunyai bakat dalam bidang lain dan lebih meminatinya berbanding seni..

Walaupun begitu, bakat seni ini bukanlah tidak boleh diasah dan dibina. Ianya memerlukan latihan yang gigih dan menganggap yang mereka boleh melakukannya. Apa yang menyebabkan pelajar tidak minat mata pelajaran seni ini ialah mereka tiada keyakinan terhadap diri sendiri. Bukan dalam bidang seni sahaja, dalam bidang lain pun jika pelajar yakin yang mereka boleh melakukannya maka mereka pasti dapat hasilnya.

Selain itu, sikap pelajar yang menganggap subjek pendidikan seni ini adalah leceh dan menyusahkan. Ini kerana dalam tugasan pendidikan seni, pelajar dikehendaki membawa alatan dan bahan-bahan untuk digunakan dalam proses pengajaran dan pembelajaran (P & P). Kos penyediaan alatan dan bahan juga turut menjadi faktor. Malah ada yang beranggapan bahawa wang yang digunakan untuk membeli alatan seni adalah lebih baik digunakan untuk membeli barangan keperluan lain.

FAKTOR CARA PENGAJARAN GURUApa yang menyebabkan pelajar tidak meminati matapelajaran ini bukan sahaja disebabkan diri mereka, malah juga disebabkan oleh guru yang mengajar subjek tersebut. Dalam konteks ini ianya merujuk kepada guru yang terlalu tegas dalam mengajar subjek pendidikan seni. Tegas di sini bermaksud guru tersebut mahu pelajar menyiapkan tugasan mengikut acuannya. Guru tersebut mahu hasil kerja pelajar menjadi seperti yang dimahukan. Malah ada yang lebih teruk, terdapat tugasan pelajar yang tidak dihargai langsung. Misalnya, guru tersebut mengoyakkan dan mencampak kertas lukisan pelajar yang tidak menepati kehendaknya.

Maka dengan itu akan menyebabkan para pelajar tersebut takut untuk masuk ke kelas pendidikan seni kerana takut dimarahi oleh guru. Seterusnya mereka akan menganggap bahawa mereka tidak berbakat seni dan kemudiannya tidak akan meminati subjek tersebut.

Selain itu, faktor pengaruh guru subjek lain juga mempengaruhi minat pelajar terhadap subjek pendidikan seni. Terdapat guru yang memendang rendah subjek pendidikan seni. Malah menganggap pelajar yang mengambil subjek tersebut sebagai pelajar yang lemah dan memandang rendah terhadap mereka. Guru seperti ini juga sering mempengaruhi pelajar lain agar tidak mengambil subjek seni dan mengatakan subjek tersebut tiada masa depan. Maka dengan itu, di atas sifat naif sebagai pelajar, mereka terpengaruh dengan kata-kata guru tersebut.

faktor persekitaran kelas pendidikan seniPersekitaran kelas atau studio seni juga memberi pengaruh. Contohnya ialah kelas yang tidak mempunyai kemudahan untuk melakukan kerja-kerja seni. Dalam kelas seni, kemudahan yang harus ada antaranya ialah paip ( untuk membasuh berus cat), apron, alatan seni yang sukar diperolehi oleh pelajar (pahat ukir, mesin pemutar tanah liat dan lain-lain), dan sebagainya. Ketiadaan alatan ini akan menyebabkan pelajar sukar melakukan tugasan seni yang diarahkan oleh guru.

FAKTOR IBU BAPASelain itu, faktor ibu bapa juga memainkan peranan. Jika ibu bapa memberi sokongan kepada pelajar untuk mengambil subjek pendidkan seni dan meminatinya, maka pelajar juga akan terus meminati subjek tersebut. Tapi sebaliknya akan berlaku jika ibu bapa sendiri tidak menggalakkan anak-anak mereka meminati subjek seni. Kebanyakkan ibu bapa lebih memandang subjek sains dan matematik sebagai subjek yang boleh menjamin masa depan anak-anak mereka. Bagi mereka, seni bukanlah suatu subjek yang penting. Kerana bagi mereka seni itu hanyalah lukisan dan sesiapa yang meminati seni akan menjadi pelukis di masa hadapan.

Apa yang menyebabkan mereka berfikiran seperti itu ialah sejarah nama pendidikan seni itu sendiri. Ini kerana sewaktu era persekolahan mereka, subjek pendidikan seni dikenali dengan nama subjek Lukisan. Jadi, itulah yang menyebabkan mereka menganggap pendidikan seni itu hanya mengajar cara melukis sedangkan pendidikan seni pada masa kini adalah suatu bidang yang luas.

FAKTOR DASAR KERAJAANDasar kerajaan juga turut menjadi faktor pelajar tidak meminati subjek pendidikan seni di sekolah. Tindakan kerajaan yang terlalu menumpukan mata pelajaran Sains, Matematik dan Bahasa Inggeris telah menyebabkan para pelajar malahan guru dan ibu bapa menganggap subjek tersebut sahaja yang dapat menjamin masa depan negara. Oleh itu mereka tidak menganggap seni sebagai subjek yang penting. Hal ini terbawa-bawa ke dalam P&P, di mana pelajar menunjukkan sikap tidak minat tehadap subjek pendidikan seni malah sanggup memonteng kelas seni.

______________________________________________________________________________CADANGAN PENAMBAHBAIKAN STATUS MATAPELAJARAN PENDIDIKAN SENI

Untuk merubah persepsi pelajar , warga pendidik dan masyarakat umum amnya , ia memerlukan pengorbanan yang bukan sedikit nilainya . Guru perlu gigih dan sabar serta perlu memiliki motivasi yang tinggi.Sememangnya ia harus bermula dari sekolah . Guru perlu menguasai keperluan sebenar pelajar mempelajari pelajaran ini. Tahap awal guru perlulah menanamkan keyakinan kepada pelajarnya bahawa pelajaran ini berbaloi untuk belajar Pelajaran perlulah memiliki unsur istimewa yang mendorong pelajar untuk terlibat sama walaupun terpaksa mengeluarkan wang, tenaga dan masa. Mereka sanggup melaluinya sekiranya pendidikan seni itu menarik, berpotensi, berbaloi untuk belajar, ada nilai keilmuannya. Untuk ini guru terpaksalah menggunakan berbagai kaedah untuk memotivasikan pelajarnya melalui berbagai strategi pengajaran dan pembelajaran. Pelajar juga perlu didedahkan kepada berbagai bidang dan jenis kerajaya yang boleh membuka mata mereka bahawa mempelajari pelajaran pendidikan seni ada potensi dalam kerjaya jikalau diberi tumpuan bersungguh-sungguh. Oleh yang demikian , apabila pelajar telah mula faham dan mengenali dengan betapa istimewanya Pendidikan Seni ini , maka secara tidak langsung mesej seterusnya akan mereka sampaikan sendiri kepada ibubapa mereka agar ibubapa dan masyarakat juga mengenal lebih rapat Pendidikan Seni dalam erti kata yang sebenar .

Di dalam bab ini juga , dinyatakan beberapa saranan atau cadangan penambahbaikan berhubung merubah persepsi masyarakat tentang matapelajaran Pendidikan Seni .

MEMBERI PENERANGAN MENGENAI bidang kerja BERKAITAN DENGAN SENIDalam dunia yang semakin maju dan mencabar, kita perlu sentiasa menyesuaikan diri dengan situasi semasa. Begitu juga bagi mata pelajaran pendidikan seni. Sukatan pelajaran pendidikan seni masa kini diubah dan disesuaikan dengan keperluan arus kemajuan dan kemodenan selaras dengan keperluan bidang pekerjaan masa kini. Tujuannya adalah bagi memberi input(ilmu) terkini dan bermanfaat kepada pelajar yang mana dapat mendedahkan kepada mereka keperluan seni dalam bidang pekerjaan. Melalui ilmu yang diberikan, diharapkan pelajar dapat mengaplikasikannya di alam pekerjaan.

Seni amat penting peranannya pada masa kini. Terdapat banyak bidang kerja yang memerlukan seni dalam pelaksanaannya. Antaranya ialah bidang seni bina, industri, animasi, pengiklanan, perfileman, grafik komputer, dan banyak lagi. Oleh kerana itu pihak kerajaan melalui Kementerian Pelajaran Malaysia menyesuaikan sukatan pelajaran dengan bidang kerja masa kini bagi menyediakan pelajar ke arah alam pekerjaan.

MENYESUAIKAN SUKATAN PELAJARAN DAN SOALAN PEPERIKSAAN PENDIDIKAN SENI VISUAL DENGAN SITUASI MASA KINISoalan-soalan peperiksaan bagi subjek pendidikan seni juga disesuaikan. Misalnya, pada tahun 2004, pelajaran Tingkatan Lima yang mengambil subjek pendidikan seni perlu membuat kerja kursus menghasilkan produk pembungkusan bagi kertas 3 pendidikan seni visual Sijil Pelajaran Malaysia. Ini bertujuan mendedahkan kepada para pelajar kepada bidang industri. Pada tahun 2006 pula, para pelajar Tingkatan 6 Atas yang mengambil subjek pendidikan seni mendapat tugasan pilihan bagi kertas 3 pendidikan seni visual. Antara tugasannya ialah menghasilkan reka bentuk dalaman ruang legar sebuah syarikat menggunakan perisian komputer. Tujuannya adalah bagi mendedahkan para pelajar kepada bidang seni reka bentuk dalaman dan seni grafik.

PIHAK SEKOLAH MENGADAKAN BULAN APRESIASi & PENGHAYATAN SENIPihak sekolah pula boleh memainkan peranan iaitu dengan mengadakan minggu atau bulan apresiasi seni. Di mana pelbagai aktiviti mengenai seni di adakan sepanjang bulan tersebut. Anatra aktiviti yang boleh dijalankan ialah bengkel kesenian bagi setiap bidang seni seperti seni batik, ukiran, catan, arca, reka bentuk industri dan lain-lain. Pertandingan-pertandingan kesenian juga boleh diadakan bagi menarik minat para pelajar.

PIHAK KERAJAAN MEMPELBAGAIKAN SKOP PEKERJAAN BERKAITAN BIDANG SENIApabila kerajaan memperbanyakkan peluang pekerjaan berkaitan seni, maka sudut pandangan masyarakat yang terdiri daripada ibu bapa dan juga pelajar itu sendiri akan berubah. Mereka akan memandang seni juga adalah satu subjek yang dapat menjamin masa depan.

______________________________________________________________________________KESIMPULAN

Kesimpulannya, pendidikan seni pada masa kini adalah satu mata pelajaran yang sangat penting sepertimana subjek-subjek lain terutama sekali di dalam dunia yang semakin mencabar pada masa kini. Seni diaplikasikan dalam setiap bidang ilmu dan bidang kerja. Sepertimana yang dikatakan oleh Walter Gropius, `Seni seharusnya memberi faedah dan berfungsi kepada kehidupan seharian dan masyarakat. Bukan sekadar untuk menyatakan hasrat diri`. Maksudnya antara fungsi seni adalah memberi manfaat kepada manusia iaitu dengan menggabungkan seni halus (tradisional) dengan seni gunaan untuk kehidupan seharian. Ilmu dalam bidang seni yang dipelajari dapat membantu pelajar dalam hidup mereka iaitu dengan mengaplikasikannya dalam hidup mereka .

Selain itu , banyak isu-isu lain yang tidak diutarakan di sini umpamanya isu yang berkait dengan pendidikan merangkupi era ICT dan seumpamanya. Walau bagaimanapun tahniah diucapkan kepada Kementerian Pendidikan di bawah urusetia Pusat Perkembangan Kurikulum dan unit-unit lain yang telah berusaha untuk meletakkan matapelajaran pendidikan seni ini ke tahap yang sewajarnya. Usaha untuk mengemaskini kualiti sukatan pelajaran dari peringkat sekolah rendah hingga ke peringkat sekolah menengah telah dan sedang dilakukan. Usaha ini dilakukan dengan melibatkan wakil-wakil dari semua peringkat sistem pendidikan negara kita. Pernyataan falsafah, matlamat dan objektifnya telah jelas. Isi kandung pelajaran dan ruang lingkupnya telah dinyatakan selaras dengan tahap sukatan pelajaran. Dengan harapan agar mata pelajaran pendidikan seni dapat memenuhi hasrat wawasan dan Falsafah Pendidkan Kebangsaan, dalam usaha untuk memberi persediaan kepada generasi muda dengan ilmu, nilai dan kemahiran kepada generasi muda dengan personaliti sebagai rakyat Malaysia yang cemerlang untuk generasi akan datang. Ini adalah harapannya.

Realitinya diminta kita sama-sama membuat renungan. Sejauh manakah kita telah melaksanakan peranan kita untuk merealisasikan harapan itu. Sejauh manakah kita telah meletakkan kualiti pengajaran kita dengan menguasai dan mengamalkan beberapa pendekatan sesuai untuk sesuatu matlamat pengajaran, supaya pelajaran pendidikan seni itu benar-benar berkualiti, menarik dan bermakna dari perspektif pelajar Daripada isu-isu yang telah diketengahkan di atas, mungkin kita perlu mengambil langkah untuk memperbaiki bersama-sama dengan memberi pandangan dan idea dalam seminar atau perbincangan yang amat perlu diadakan dengan lebih kerap lagi, mungkin melalui kelompok perbincangan yang lebih kecil . Semoga dengan itu dapat memartabatkan pelajaran pendidikan seni ini ke tempat yang sewajarnya.

______________________________________________________________________________BIBLIOGRAFI & RUJUKAN

1. http://pdfscout.org/pdf/kepentingan-pendidikan-seni-visual.html2. http://flow-sharul.blogspot.com/2009/07/cabaran-antara-pendidikan-seni-visual.html3. http://sitikhadijahs.blogspot.com/2010/10/kepentingan-seni-visual-dalam.html