Upload
marwan-ismail
View
1.033
Download
11
Embed Size (px)
Citation preview
BAB DUA
KAJIAN LITERATUR
2.0 Pengenalan
Persoalan tentang kewujudan sebuah negara bangsa Malaysia yang bersatu padu telah
menjadi satu agenda yang cukup penting kepada pembentukkan Persekutuan Semenanjung
Tanah Melayu. Terutamanya apabila Semenanjung Tanah Melayu memperolehi kemerdekaan
dari British pada 31 Ogos 1957 dan penyertaaan Sabah dan Serawak di dalam persekutuan
Malaysia pada 16 September 1963. Kewujudan wilayah yang terpisah antara Malaysia Timur
dan Malaysia Barat yang mempunyai kepelbagaian kompsisi etnik, ras, keturunan, agama,
adat dan cara hidup yang mendasari kehidupan warga Malaysia menjadikan cabaran kehidupan
dan perhubungan antara etnik menjadi semakin kompleks untuk mewujudkan satu bangsa
Malaysia yang bertegrasi dan mempunyai semangat patriotisme yang menumpahkan taat setia
kepada negara.
Globalisasi yang di pacu melalui perkembangan Teknologi Maklumat dan Komunikasi
mewujudkan satu perkampungan global yang berupaya mencapai apa jua maklumat
menjadikan sempadan wilayah dan geo-politik Negara Bangsa semakin mengecil. Kewujudan
dunia tanpa sempadan ini merupakan satu cabaran besar kepada pemantapan sebuah negara
Bangsa Malaysia yang bersatu padu.
Justeru, kerencaman, kepelbagaian dan perbezaan etnik, ras, keturunan, agama,
budaya dan adat resam menjadi sesuatu titik persoalan yang perlu diberi perhatian oleh semua
pihak, terutamanya untuk mengenal pasti pemasalahan atau isu yang boleh mengancam
suasana perhubungan etnik yang harmonis dan kedaulatan bernegara di kalangan rakyat
Malaysia.
Justeru, Sesuatu tindakan pencegahan atau pre-empative adalah perlu di beri perhatian
oleh semua warganya samada mereka yang diberi mandat oleh rakyat untuk menerajui
kerajaan, ahli-ahli politik, badan-badan bukan kerajaan, agensi-agensi kerajaan mahupun pihak
swasta, perlu bekerjasama untuk berperanan untuk memulihara seterusnya memantap
keharmonian perhubungan antara etnik di Malaysia.
Hakikatnya sejarah perhubungan etnik di Malaysia penuh ranjau dan liku. Negara telah
diuji dengan pelbagai dugaan dan peristiwa pahit manis yang perlu diteladani oleh setiap
warganya. Antaranya; sejurus selepas kekalahan dan penyerahan tentera Jepun 1945 pada
British, Peristiwa Malayan Union 1946, pembentukan Persekutuan Tanah Melayu 1948, Zaman
Darurat 1948-1960, keluarnya Singapura 1965, peristiwa 13 Mei 1969, peristiwa kampung
Medan pada tahun 2000.
Oleh itu, di sepanjang sejarah bernegara, kewujudan sosial kontrak antara etnik yang
terdapat di Malaysia perlu di fahami oleh semua pihak. Hak-hak setiap etnik mahupun wilayah
telahpun termaktub secara jelas di dalam Perlembangaan Persekutuan Malaysia sama ada
semasa Tanah Melayu ingin mencapai kemerdekaan pada tahun 1957. Hakikatnya apabila
rakyat Sabah dan Sarawak ingin bersatu dalam persekutuan Malaysia pada 16 September
1963 wujudnya perjanjian 20 perkara sebagai satu jaminan hak kepada rakyat Sabah dan
Sarawak sebagai satu asas untuk memulihara perhubungan antara wilayah ke arah
pembentukan negara bangsa yang bersatu padu.
Oleh itu, Perlembagaan Malaysia menjadi asas yang cukup penting untuk dijadikan
panduan kepada apa jua pendekatan atau sebarang bentuk usaha ke arah pemantapan
hubungan etnik di Malaysia. justeru, pelbagai dasar dan gagasan telah di bentuk oleh para
pemimpin Negara, sebermula dari era Pemerintahan Perdana Menteri pertama sehinggalah
perdana Menteri ke enam Y.A.B Dato’ Seri Najib Tun Abdul Razak.
Dasar-dasar dan gagasan ini telah mendasari pelbagai bidang kehidupan rakyat
samada dalam aspek politik, ekonomi, sosial, teknologi, budaya dan seumpamanya untuk
memastikan agenda inetgrasi etnik dapat dihayati dan dijayakan oleh setiap rakyat. Ini kerana,
kerajaan amat menyedari bahawa pra syarat untuk membawa pembangunan kepada
kesejahteraan rakyat dan Negara. Oleh itu, peri pentingnya suasana perhubungan etnik yang
harmonis dan bersatu padu.
Oleh itu, gagasan, dasar yang digerakkan oleh usaha-usaha dan aktiviti adalah
bertujuan untuk mencipta kestabilan politik dan hubungan antara etnik di Malaysia. Senarionya,
apabila Y.A.B Dato’ Seri Najib Tun Abdul Razak dilantik sebagai Perdana Menteri Malaysia
yang ke enam. Beliau telah memperkenalkan gagasan 1 Malaysia yang bertemakan “rakyat
didahulukan pencapaian di utamakan”.
Ianya menjadi satu pendekatan yang mengutamakan kepentingan rakyat pelbagai etnik
dalam agenda pembangunan Malaysia. Gagasan 1 Malaysia anataranya bertujuan untuk
memperlengkapkan agenda untuk merealisaikan Malaysia sebagai sebuah Negara maju pada
tahun 2020. Pengertian Gagasan 1 Malaysia sepertimana di jelaskan oleh Y.A.B Perdana
Menteri Dato’ Seri Najib Tun Abdul Razak ;
“1 Malaysia satu gagasan bagi memupuk perpaduan di Kalangana
rakyat Malaysia yang berbilang kaum berteraskan nilai-nilai
penting yang seharusnya menjadi amalan setiap rakyat
“(http:www.1malaysia.com.my/wpcontent/uploads/2010/09/1Malay
sia Booklet.pdfcapaian pada 15 November 2010).
Oleh itu, bagi merealisaikan gagasan tersebut pelbagai strategi dan tindakan yang perlu
di laksanakan oleh semua pihak samada oleh agensi kerajaan atau pihak swasta mahupun
pertubuhan bukan kerajaan. Ia boleh dilaksanakan melalui pelbagai aktiviti samada melalui
metodologi yang berbentuk pendidikan, akademik, sukan, kebudayaan, kesenian, ekonomi,
perniagaan, keusahawanan , politik dan seumpamanya.Terdapat pelbagai penulisan dan kajian
yang telah dibuat oleh para sarjana berkenaan hubungan etnik dalam pebagai tema samada
yang berkaitan pembentukan negara bangsa, konflik etnik, pendidikan, nasionalisme, sejarah,
politik, integrasi dan sebagainya.
2.1 KAJIAN-KAJIAN LEPAS
Kajian Norazlinda (2001) cuba melihat sejauhmana syor dan perakuan yang terkandung
dalam Laporan Jawatankuasa Kabinet telah di laksanakan oleh institusi pendidikan untuk
menyemai nilai-nilai murni ke arah integrasi nasional atau perpaduan nasional. Kajian ini
mendapati usaha-usaha kerajaan melalui sistem pendidikan untuk menerapkan perpaduan ke
arah integrasi nasional mendapat reaksi dan bantahan yang hebat terutama dari kalangan
masyarakat Cina lantaran kekhuatiran mereka terhadap kebudayaan dan bahasa cina akan
terhakis, meskipun dasar berkaitan bahasa Malaysia telah termaktub secara jelas dalam Akta
Pendidikan 1996 sebagai medium untuk memantapkan perpaduan dan integrasi nasional.
Kajian mengenai hubungan etnik di Universiti Utara Malaysia telah di laksanakan oleh
ahli akademik Universiti Utara Malaysia yang terdiri dari Mansor Mohd Noor, Abdul Rahman
Abdul Aziz, Mohd Izani Mohd Zain, Ummu Atiyah, Mohd Zakuan (2005). Saiz sampel yang
dikaji melibatkan seramai 823 pelajar Universiti Utara Malaysia. Taburan mengikut etnik adalah
601 pelajar melayu dan bumiputera Islam, 27 pelajar bumiputera bukan Islam, 129 pelajar Cina,
61 pelajar India dan 14 pelajar lain-lain etnik ( 2006 : 237).
Perbincangan dalam kajian ini berfokus kepada beberapa elemen seperti pergaulan
harian, perbezaan kehidupan pelbagai kumpulan etnik, amalan penggunaan bahasa Inggeris,
persatuan pelajar, batas etnik dan tanggapan streotaip antara etnik di Universiti. Kajian ini
mendapati, pergaulan harian di kalangan pelajar masih lagi tertumpu dalam lingkungan etnik
yang sama. Pelajar ini hanya mula berinteraksi melangkaui batasan kaum yang sama apabila
berada dalam suasana pembelajaran formal. Walaubagaimanapun, kajian ini tidak
memperlihatkan benteng perkauman yang menebal. Di mana mereka dapat menerima
perbezaan budaya dalam kehidupan etnik lain. Namun, mereka masih lagi selesa berada dalam
lingkungan budaya masyarakat sendiri meskipun mereka dapat menerima kebudayaan etnik
lain khususnya dalam aktiviti yang berbentuk seni persembahan.
Manakala dari aspek penggunaan bahasa Inggeris memperlihatkan pelajar-pelajar ini
amat bersetuju menggunakan bahasa inggeris dalam situasi formal, khususnya di dalam
pembelajaran. Walaubagaimanapun jika dalam situasi tidak formal mereka lebih selesa untuk
menggunakan bahasa ibunda atau bahasa melayu.
Umumnya, kajian ini menyatakan suasana hubungan etnik di Universiti Utara Malaysia
adalah di tahap biasa. Responden memperlihatkan tentang kefahaman dan persetujuan
tentang kepentingan hubungan etnik perlu dipertingkatkan. Etnik Melayu kelihatan bersifat
terbuka untuk mendokong hubungan etnik yang positif. Etnik india tidak bermasalah untuk hidup
bersama dan berkerjasama dengan etnik lain. Cuma etnik cina mengambil pendekatan lebih
berhati-hati untuk menjalin hubungan etnik yang lebih mesra dengan etnik-etnik lain.
Manakala, tulisan Khairul Azman (2004) pula menyentuh tentang konsep dan
pelaksanaan Integrasi nasional dalam proses perkembangan kenegaraan dan pembangunan
Malaysia. Beliau mengutarakan negara-negara yang pernah dijajah akan berdepan dengan
permasalahan pembinaan negara dan bangsa. Jika ditinjau, dalam konteks Malaysia hasil
dasar pecah perintah British telah menghasilkan masyarkata majmuk dan wujudnya prasangka
buruk di sanubari antara etnik di negara ini.
Beliau turut membincangkan peristiwa 13 Mei 1969 merupakan titik peralihan dan
membawa dimensi baru dalam perhubungan etnik di Malaysia. Pengenalan Dasar Ekonomi
Baru (DEB) sebagai alat pembangunan bagi melakukan pejuteraan semula masyarakat majmuk
di Malaysia. Ia juga diperkukuhkan melalui pengenalan Rukun Negara sebagai satu ideologi
yang perlu dihayati oleh setiap warganegara Malaysia.
Menurut beliau lagi, institusi pendidikan di peringkat persekolahan, maktab, kolej,
universiti merupakan sebuah masyarakat kecil yang boleh dijadikan medan terbaik untuk
mewujudkan integrasi sosial di kalangan generasi muda. Beliau juga mengutarakan integrasi
antara etnik boleh diperkukuhkan melalui aktiviti sukan. Ia boleh dijadikan satu medium untuk
memupuk semangat integrasi antara kaum melalaui semangat kerjasama dan perpaduan yang
utuh untuk membina bangsa dan negara yang kuat (Mohd Khairul Azman bin Suhaimi 2004 :
100-104).
Abdul Rahman Embong (2000) membincangkan tentang pembentukan bangsa Malaysia
dalam bukunya “Negara bangsa Proses dan Perbahasan” telah mengutarakan pembentukan
Negara bangsa Malaysia perlu mengambil kira tentang kesinambungan sejarah silam. Di
samping itu, Ia perlu mempertimbangkan tentang perubahan yang telah dan sedang berlaku
sebagai wadah pembinaaan bangsa Malaysia. Oleh itu, gagasan bangsa Malaysia – iaitu
anggota semua kaum atau etnik harus mempunyai perasaan sebangsa dengan nama kolektif
sebagai satu bangsa Malaysia yang sama, di mana warganya turut berkongsi wilayah, ekonomi,
budaya dan nasib masa depan bersama dengan mempunyai rupa bangsa yang sepunya.
Keadaan ini menimbulkan reaksi berbeza-beza di kalangan pelbagai kaum dan lapisan
masyarakat.
Menurut Abdul Rahman Embong lagi, bagi etnik bukan Melayu, khsusunya Cina dan
India, status mereka sebagai kompenan satu bangsa baru, iaitu bangsa Malaysia sesuatu yang
amat diharapkan. Di mana keadaan ini akan memberikan satu legimitasi kebangsaan bagi
kedudukan sebagai warga negara Malaysia. Namun etnik bukan melayu mempunyai
kebimbangan tentang persoalan budaya, bahasa mereka akan ditenggelami oleh etnik melayu
dan bumiputera yang lain.
Hakikatnya dalam pembentukan bangsa Malaysia seperti di gagaskan mendepani
pelbagai cabaran yang telah tersedia ada di samping wujudnya dilema baru yang perlu
ditangani dengan baik, khususnya tekanan penggunaan bahasa Inggeris dan menularnya
budaya kepenggunaan yang dihasilkan oleh kuasa pasaran global yang menjejaskan
perkembangan kebudayaan nasional (Abdul Rahman Embong 2000: 30-31).
Peranan pendidikan dan nilai dalam pembinaan negara bangsa turut di perdebatkan
dalam konteks corak dan isi pendidikan bagi generasi muda, khususnya dalam persekitaran
dunia yang pesat mengalami perubahan. Persoalannnya mengenai keseimbangan antara
matlamat jangka pendek dan pratikal untuk melahirkan individu dengan ilmu pengetahuan dan
kemahiran teretentu bagi membolehkan mereka memasuki pasaran pekerjaan di satu pihak,
dengan matlamt jangka panjang yang lebih besar dan luas dalam pengisian negara bangsa.
Oleh itu, universiti sebagai sebuah institusi pendidikan mempunyai tanggungjawab
menghasilkan dan menyebarkan ilmu pengetahuan serta menjaga nilai-nilai peradaban,
disamping itu, ia mestilah bertindak menjadi institusi yang berupaya menyemai percambahan
minda dan tegas menjunjung tinggi nilai-nilai luhur ( Abdul Rahhman Embong 2000 : 91).
Nazri Muslim dan Mohd Arif Kosmo (2006) pula menyentuh tentang hubungan etnik ke
arah masyarkat berntegrasi dengan membawa latar sejarah hubungan etnik sebermula era
penjajahan barat. Secara lebih khusus, kesan penjahahan Inggeris yang menyebabkan
berlakunya polarisasi etnik yang begitu homogenus di Tanah Melayu. Selain itu, latar sejarah
hubungan etnik di era kemerdekaan turut disentuh khusunya mengenai pemuafakatan politik
antara etnik untuk mencapai kemerdekaan pada 1957 di samping itu turut menyentuh peristiwa
13 Mei 1969, Dasar Ekonomi Baru (DEB) dan Wawasan 2020 yang menjadikan pembentukan
sebuah negara bangsa yang bersatu padu menjadi cabaran utamanya untuk merealisaiaskan
hasrat menjdaikan Malaysia sebagai sebuah Negara maju.
Beliau turut menyentuh mengenai beberapa isu dan cabaran hubungan etnik yang telah
dikenalpasti, antaranya berkenaan perbezaan latarbelakang antara kaum, dasar Integrasi,
status perkongsian antara etnik dalam konteks politik, sosial dam ekonomi yang seharusnya
difahami oleh semua kaum. Selain itu, pelaksanaan dasar-dasar kerajaan yang melencong dari
matlamat asal khususnya untuk mewujudkan masyarakat yang teguh dan bersatu padu.
Polarisasi di kalangan pelajar di peringkat sekolah menengah dan peringkat pengajian
tinggi samada swasta dan swasta menunjukan hubungan etnik yang semakin melebar
jurangnya. Peranan media cetak dan elektoronik turut di sentuh tidak memainkan peranan
dengan baik dan berkesan sebagai medium untuk memantapkan hubungan etnik dan integarsi
nasional.
Kedudukan negeri-negeri di Malaysia yang mempunyai kesedaran, semangat, identiti
dan bentuk pentadbiran yang tersendiri juga dilihat antara faktor intergrasi antara etnik di
wilayah tersebut tidak dapat dilaksanakan secara berkesan di samping perbezaan ideologi dan
perbezaaan tahap penguasaan ekonomi yang turut mengancam hubunga etnik yang lebih baik
dan harmonis.
Antara strategi yang dicadangkan untuk memperbaiki dan memantapkan hubungan
antara etnik di Malaysia. Beliau mencadangkan beberaqpa starategi, antaranya melalui strategi
pendidikan yang dapat dijadikan alat yang cukup berkesan bagi membantu memantapkan
identiti nasional, semangat kebangsaan serta cintakan negara. Antara peranan dapat dimainkan
melalui sistem pendidikan ialah melalui penyediaan persekitaran serta kemudahan bagi proses
sosialisasi di kalangan wargenagera yang masih di peringkat usia muda.
Disamping itu menyediakan saluran penyebaran, penerapan dan pendidikan
pengetahuna, sikap dan nilai-nilai yang akan membangunakan kesedaran nasional, semangat
cintakan Negara dan peprpaduan antara rakyat berbilang kaum dan keturunan (Nazri Muslim
dan Mohd Arif Kasmo. 2006 : 132).
Manakala menurut Zulhilmi Paidi dan Rohani Abdul Ghani (2003) dalam tulisannya
“Pendidikan Negara Bangsa” menyentuh tentang proses pembinaan negara bangsa yang
seharusnya menggunakan pendekatan nasionalisme. Ia seharusnya menjadi pegangan dan
pemilikan rasa sepunya berasasakan nilai-nilai kebangsaan yang di kongsi oleh semua
warganegara Malaysia.
Di mana perkongsian ini juga diterjemahkan melalui identiti kebangsaan seperti Jalur
gemilang, sistem keadilan, perlembagaan yang boleh mewujudkan perasaan kekitaan yang
kukuh dan tidak berbelah bagi terhadap bangsa Malaysia. Selain itu, faktor-faktor seperti
intergrasi, nasionaliti, patriotisme perlu difahami, dihayati dan dipraktiskan bagi mengukuhkan
pembinaan negara bangsa (Zulhilmi Paidi dan Rohani Abdul Ghani 2003 : 52).
Menurut Muhammad Zaini Abu Bakar usaha mengukuhkan hubungan etnik di Malaysia
harus dlaksnakan secara holistik, ianya harus bersandarkan kepada kerangka perlembagaan
dan Rukun Negara yang menjadi asas untuk membentuk masyarakat yang utuh moralnya,
kental kerohaniannya, mantap emosi dan mental dan gagah fizikalnya.
Pembinaan bangsa Malaysia yang bersatu padu dan berintegrasi juga seharusnya
diperkukuhkan melalui medium memperlengkapkan asas-asa fizikal. Antara aspek-aspek fizikal
yang harus diberi perhatian dan akan mendasari binaan hubungan etnik ialah; memperbetulkan
kedudukan sosio-ekonomi masyarakat agar ianya lebih seimbang. Di samping itu melalui
pendekatan pendidikan di mana pihak kerajaan perlu menyerapkan pembelajaran mengenai
kontrak sosial dalam kurikulum dalam semua peringkat aspek pengajian. Pendekatan media
pula memerlukan kepada penghasilan program-program yang dapat memupuk perpaduan etnik
di Malaysia.
Pihak-pihak yang bertanggungjawab secara langsung dalam menangani isu ini. Jabatan
Perpaduan Negara dan integrasi nasional perlu mewujudkan bahagian penyelidikan dan
pembangunan (R&D). Bahagian ini perlu memantau dan menilai keberkesanan program-
program perhubungan etnik yang dianjurkan oleh agensi-agensi kerajaan mahupun pihak
masyarakat umum.
Azizuddin, Norhafizah, Azhar, Rusdi (2009) yang membincakan tentang Transisi
Malaysia : Satu analisis perbandingan tentang nilai-nilai Asia, Islam Hadhari dan 1 Malaysia.
Tulisan ini membincangkan tentang prinsip nilai Asia yang telah diperkenalkan oleh perdana
Menteri ke empat Tun Mahathir Muhammad, Islam Hadhari Perdana Menteri kelima kerana
kedua-dua masa pemerintahan perdana menteri ini juga berkait rapat dengan kepimpinan Najib
Tun Razak pada hari ini. Kajian ini lebih cenderung untuk membuktikan ketiga-tiga konsep
tersebut mempunyai persamaan dari aspek teori dan aplikasi. dimana ketiga-tiga konsep
tersebut lebih tertumpu kepada agenda Islam dan feudal baru. Walaupun dari aspek terminolgi
berbeza tapi dari aspek idea atau falsafahnya adalah untuk mempertahankan budaya politik
feudal baru dan memastikan UMNO terus berkuasa (Azizuddin, Norhafizah, Azhar, Rusdi 2009:
110).
Tulisan ini menggambarkan gagasan 1 Malaysia ini menjadi teras pentadbiran di era
Najib adalah untuk mempromosikan perasaan saling hormat dan menghormati antara rakyat
pelbagai etnik di Malaysia. Justeru, gagasan 1 Malaysia menjadi garispanduan kepada program
dasar yang melibatkan ekonomi, politik dan sosial dan menjadi halatuju kepada agensi –
agensi kerajaan.
Najib telah memperkenalkan 8 nilai utama dalam gagasan ini, iaitu budaya
kecemerlangan, ketabahan, rendah hati penerimaan, kesetiaan, meritokrasi pendidikan dan
integriti.dengan semangat satu Malaysia. Ia juga terus diperkukuhkan melalui pengenalan Key
Performance Indeks (KPI) Menteri dan Model Eknomi Baru dalam pelan transformasi
pembangunan negara. (Azizuddin, Norhafizah, Azhar, Rusdi 2009 : 116).
Menurut Sharifah Hafsah Syed Hussein Shahabuddin (2009) gagasan satu Malaysia
rakyat adalah satu saranan kepada rakyat untuk bersatu dalam kepelbagaian. Ia menjadi satu
asas kekuatan, keperihatinan kerajaan kepada keperluan rakyat pada hari ini dan pada
generasi masa hadapan. Ia juga menjadi saranan kepada semua rakyat tanpa mengira status
sosio-ekonomi, kumpulan etnik, ideologi politik untuk bekerjasama dalam semangat 1 Malaysia
untuk berkongsi nilai, norma untuk membawa perubahan kepada pembangunan negara kepada
tahap yang lebih tinggi, keselamatan dan mutu kehidupan sosial yang lebih baik (Sharifah
Hafsah Syed Hussein Shahabuddin 2009 :1).
Buku Gagasan 1 Malaysia terbitan Jabatan Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan
Kementerian Penerangan Malaysia (2009), telah memberikan penjelasan berkenaan gagasan 1
Malaysia dengan memberi tumpuan kepada perbincangan definisi 1 Malaysia yang diutarakan
oleh Y.A.B Perdana Menteri Malaysia sepertimana berikut;
“Kita berdiri, kita berfikir dan bertindak sebagai Bangsa
Malaysia…kita mengambil tindakan berdasarkan kehendak
semua kumpulan etnik dalam negara kita…kita keluar daripada
cara bertindak dalam tembok etnik yang kita amalkan sejak sekian
lama” (Jabatan Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan,
Kementerian Penerangan Malysia. 2009 : 8).
Bagi Menjayakan gagasan 1 Malaysia terdapat tiga prinsip teras yang perlu dihayati oleh
setiap warganegara Malaysia, antaranya prinsip penerimaan, prinsip kenegaraan dan prinsip
Keadilan Sosial. Penjelasan juga diberikan tentang perbezaan gagasan 1 Malaysia berbanding
konsep Malaysia Malaysian, gagasan 1 Malaysia adalah untuk mengharmonikan rakyat
pelbagai kaum tanpa mengubah identiti etnik tersebut manaka konsep Malaysian Malaysia
adalah satu dasar yang mahu meninggalkan teras asas binaan kemasyarakatan yang wujud.
Malaysian Malaysia mencanangkan konsep kesamaraatan antara etnik secara membuta tuli
tanpa mengambil kira realti dan latar sejarah perkembangan Bangsa Malaysia.
Perpaduan dalam gagasan 1 Malaysia menekankan soal integrasi antara etnik untuk
mewujudkan bangsa Malaysia dan ianya berbeza dengan konsep asimilasi yang di amalkan
oleh negara-negara lain yang cuba untuk melenyapkan identit berasaskan etnik dan diganti
dengan satu identiti nasional (Jabatan Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan Kementerian
Penerangan Malaysia. 2009: 10)
Oleh itu, gagasan 1 Malaysia bertindak sebagai aktor yang akan menjadi pemangkin
kepada pengukuhan bangsa Malaysia seterusnya melahirkan rakyat yang mempunyai
semangat kekitaan dan saling bekerjasama antara satu sama lain, keupayaan untuk
membangun Negara bangsa bergantung kepada nilai kebolehan, berintegriti, kesetiaan, dan
berdedikasi (Jabatan Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan Kementerian Penerangan
Malaysia. 2009:16).
2.2 KESIMPULAN
Hasil dari kajian dan tulisan di atas dapatlah disimpulkan bahawa kajian berkenaan etnik
di Malaysia telahpun diberi perhatian oleh para sarjana, pengkaji dan pembuat dasar negara.
Dalam kajian, ini pengkaji lebih berfokus kepada hasil penulisan dan kajian sarjana yang
membincangkan kajian tentang persoalan dan kepentingan mengenai hubungan etnik dan isu–
isu integrasi nasional dalam masyarakat majmuk di Malaysia ke arah pemantapan Negara
bangsa Malaysia.
Dari aspek persamaan kajian ini dengan kajian-kajian di atas adalah mengenai integrasi,
sistem pendidikan, peranan institusi pendidikan seperti universiti, bangsa Malaysia dalam
konteks gagasan 1 malaysia sepertimana yang telah diutarakan oleh Y.A.B Perdana Menteri
Dato’ Seri Najib Tun Razak.
Umpamanya kajian menganai hubungan etnik yang dilakukan oleh Mansor Mansor
Mohd Noor, Abdul Rahman Aziz dan Muhammad Ainuddin Iskandar Lee (2006), di Universiti
Utara Malaysia yang berfokus kepada pelajar. Juga saranan yang dibuat oleh Syarifah Hafshah
(2009) yang menitik beratkan penerapan konsep 1 Malaysia dalam pendekatan aktivii dan
program di Universiti Kebangsaan Malaysia. Begitu juga cadangan dari Abdul Rahman Embong
(2000) bahawa institsusi pendidikan seperti universiti perlu memainkan perananya untuk
menyemai nilai-nilai peradabadan dan pengukuhan Negara bangsa. Begitu juga pendapat yang
dikemukakan oleh Muhamad Zaini Abu Bakar (2005), pendidikan berkenaan hubungan etnik
perlu diterapkan sama ada secara langsung atau tidak langsung dalam setiap kurikulum
pengajian di peringkat Universiti. Manakala dalam kajian ini, pengkaji akan melihat dari aspek
aktiviti-aktiviti yang dilaksnakan oleh pihak universiti dan pelajar untuk merelasasikan integrasi
dan perpaduan ke arah pemantapan hubungan etnik dalam kerangka gagasan 1 Malaysia.
Manakala dari aspek perbezaan kajian ini dengan tulisan dan kajian mengenai gagasan
1 Malaysia sepertimana yang telah dibincangkan. Kajian yang dilakukan oleh Azizizuddin,
Norhafizah, Azhar, Rusdi (2009) mengenai gagasan 1 Malaysia lebih cenderung perbincangan
dalam konteks politik dan permainan kuasa. Beliau telah membuat perbandingan dengan
konsep Nilai Asia oleh Mahathir dan Islam Hadhari oleh Abdullah Badawi sebagai sesuatu yang
sama dari aspek falsafah dan aplikasinya walaupun terminolgi adalah berbeza. Kesemua
konsep yang diketengahkan ini adalah semata-mata untuk menjayakan agenda Islam dan
feudal baru melayu demi untuk mengekalkan UMNO dan Barisan Nasional di dalam kekuasaan
Negara.
Apa yang di laksanakan dalam kajian ini, adalah lebih berfokus kepada pengesanan
pelaksanaan pelbagai aktiviti pelajar di peringkat pengajian tinggi samada swasta dan awam
bagi menjayakan gagasan 1 Malaysia. Kajian ini cuba untuk meneliti sejauhmanakah
penyertaan para pelajar dalam kepelbagai etnik yang wujud di Institusi pengajian tinggi di
Malaysia dapat berperanan melalui aktiviti-aktiviti sama ada berbentuk akademik dan bukan
akademik untuk memantapkan hubungan etnik dan perpaduan serta integrasi nasional dalam
kerangka semangat 1 Malaysia. Selain itu, kajian ini juga cuba meliahat apakah pendekatan
aktiviti yang paling popular dan lebih menarik pelajar berbilang etnik untuk menyertainya. Juga,
bagaimana pendekatan yang terbaik khususnya dalam aspek publisiti dan promosi dalam
melaksanakan aktiviti yang berkaiatan integrasi, perpaduan dalam semangat 1 Malaysia.
Selain itu, kajian ini bertujuan untuk melihat peranan institusi pengajian tinggi di
Malaysia berperanan untuk merapatkan hubungan etnik dan polarisasi etnik di Institusi tersebut,
khususnya menyokong sebarang bentuk aktiviti-aktiviti berfokus kepada pemantapan
perpaduan dan integrasi kearah pembentukan bangsa Malaysia melalui gagasan dan semangat
1 Malaysia.
BIBILIOGRAFI
Abdul Rahman Embong. 2000. Negara Bangsa Proses dan Perbahasan. Penerbit UKM : Bangi Selangor.
Azizuddin, Norhafizah, Azhar, Rusdi. 2009. Malaysia in Transition : A Comparative Analysis of Asian Values, Islam Hadhari and 1 Malaysia. Journal of Politics and Law. Vol 2. No 3. September 2009.www.ccenet.org./journal.html.
Buku 1 Malaysia. 2009. 1 Malaysia. Terbitan Jabatan Penerangan, Komunikasi dan
Kebudayaan Kementerian Penerangan Malaysia : Kuala Lumpur
Mansor Mohd Noor, Abdul Rahman Aziz dan Muhammad Ainuddin Iskandar Lee. 2006. Hubungan Etnik di Malaysia. Prentice Hall Pearson Malaysia Sdn. Bhd: Petaling Jaya.
Mohamad Zaini bin Abu Bakar. Hubungan Etnik Dalam Konteks Masyarakat Malaysia. Prosiding Seminar Pemantapan Kurikulum TITAS & Hubungan Etnik Peringkat Kebangsaan 2005. Penerbit UiTM : Shah Alam
Mohd Nazri Muslim dan Nasruddin Yunos (penyunting). 2006. Hubungan Etnik. Pusat Pengajian Umum UKM : Bangi
Mohd Khairul Azman bin Suhaimi. 2004. Ikhtisar Sejarah Kenegaraan dan Pembangunan
Malaysia. Pusat Pengajian Kemanusiaan dan Komunikasi, Kolej Universiti Teknologi Tun
Hussein Onn : Batu Pahat
Sharifah Hafsah Syed Hussein Shahabuddin. 2009. Message from Vice Chancellor. RESONANCE UKM International Bulletin. Public & Corporate UKM Relations Office: Bangi.
Zulhilmi Paidi dan Rohani Abdul Ghani 2003. Pendidikan Negara Bangsa. PTS Publication & Distributor Sdn. Bhd : Bentong.
Norazlinda bt Saad. 2001. Laporan Kabinet dan Isu-isu integrasi di Malaysia. Kertas Projek Sarjana Sains (pendidikan). Sekolah siswazah Universiti Utara Malaysia: Sintok.
http:www. 1malaysia.com.my/wp content/uploads/2010/09/1MalaysiaBooklet.pdf
Responden
UUM
1. Shahidan bin Shafie (Timbalan pendaftar Kanan HEP UUM)2. Zaraie bin Zakaria (pegawai hal ehwal Islam- HEP UUM)3. Mohd Nizho bin Abdul Rahman (pensyarah Hubungan Etnik-UUM)4. Aminaton Hajariah bt Hussain (Timbalan YDP MPP)5. Mohd Firdaus bin Ishak (Exco kerohanian dan Pembangunan Syaksiah, MPP)
USM
1. Prof Madya Dr Zaini bin Abu Bakar (pensyarah)2. Ahmad wafi bin Shahedan ( YDP MPP)3. Sivaneswari a/p Muniandy (NYDP MPP)4. Norshahidah bt Mohamed ( Pegawai HEP)5. Mohd Khairul Erwan bin Ismail (Pegawai HEP)