13
59 INTONASI DALAM UJIAN LISAN BAHASA MELAYU: PENTAKSIRAN BERASASKAN SEKOLAH 1 Indirawati Zahid 2 [email protected] Intonation is one of the many aspects of grammar. These aspects are taught intergrated in the process of teaching and learning (P&P) of language. This aspect was not given the main focus like other aspects of grammar. Although not given attention in the process of P&P, it is still tested in oral tests. Sometime ago, oral tests are only done at the upper secondary level, that is when students are in Form 5 and which involved assessors from other schools, but today, the difference of Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) is that it’s done by teachers of the same school and class. Currently the tests is held in lower secondary level (form 1–3) which named as Pentaksiran Lisan Berasaskan Sekolah (PLBS) while upper secondary level (form 4–5), Ujian Lisan Berasaskan Sekolah (ULBS). These changes occur on the basis of the weaknesses found in the old system. These improvements show a positive effect although some minor weaknesses remain. This article discuss the findings of research on the implementation of PLBS and ULBS that has been done in some schools identified namely in Peninsular Malaysia and Sabah. PENDAHULUAN K emahiran bahasa bukan sahaja mencakupi kebolehan para pelajar menulis dengan baik, mendengar, dan memahami sebaliknya juga kebolehan ini diperkukuh dengan aspek lisan yang merupakan cerminan citra seseorang individu. Dalam kehidupan seharian, tidak ke- 1 Penyelidikan ini mendapat dana daripada University Malaya Research Grant (UMRG) 2011. Penyelidikan ini telah dilakukan di beberapa buah sekolah di Kuala Lumpur; Kota Bahru, Kelantan; Kota Kinabalu, Sabah; dan Singapura. Temu bual juga dilakukan dengan Ketua Panitia Bahasa Melayu dan guru-guru kanan dan cemerlang, iaitu pakar bidang. 2 Dr. Indirawati Zahid, Profesor Madya di Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya, Kuala Lumpur, Malaysia.

INTONASI DALAM UJIAN LISAN BAHASA MELAYU: · PDF fileberobjektifkan penyediaan untuk menguasai kecekapan berbahasa dan ... Soalan ujian lisan juga bersifat sulit serta berbeza sampul

Embed Size (px)

Citation preview

Page 1: INTONASI DALAM UJIAN LISAN BAHASA MELAYU: · PDF fileberobjektifkan penyediaan untuk menguasai kecekapan berbahasa dan ... Soalan ujian lisan juga bersifat sulit serta berbeza sampul

59

INTONASI DALAM UJIAN LISAN BAHASA MELAYU: PENTAKSIRAN

BERASASKAN SEKOLAH1

Indirawati Zahid2

[email protected]

Intonation is one of the many aspects of grammar. These aspects are taught intergrated in the process of teaching and learning (P&P) of language. This aspect was not given the main focus like other aspects of grammar. Although not given attention in the process of P&P, it is still tested in oral tests. Sometime ago, oral tests are only done at the upper secondary level, that is when students are in Form 5 and which involved assessors from other schools, but today, the difference of Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) is that it’s done by teachers of the same school and class. Currently the tests is held in lower secondary level (form 1–3) which named as Pentaksiran Lisan Berasaskan Sekolah (PLBS) while upper secondary level (form 4–5), Ujian Lisan Berasaskan Sekolah (ULBS). These changes occur on the basis of the weaknesses found in the old system. These improvements show a positive effect although some minor weaknesses remain. This article discuss the findings of research on the implementation of PLBS and ULBS that has been done in some schools identified namely in Peninsular Malaysia and Sabah.

PENDAHULUAN

Kemahiran bahasa bukan sahaja mencakupi kebolehan para pelajar menulis dengan baik, mendengar, dan memahami sebaliknya juga kebolehan ini diperkukuh dengan aspek lisan yang merupakan

cerminan citra seseorang individu. Dalam kehidupan seharian, tidak ke-

1 Penyelidikan ini mendapat dana daripada University Malaya Research Grant (UMRG) 2011. Penyelidikan ini telah dilakukan di beberapa buah sekolah di Kuala Lumpur; Kota Bahru, Kelantan; Kota Kinabalu, Sabah; dan Singapura. Temu bual juga dilakukan dengan Ketua Panitia Bahasa Melayu dan guru-guru kanan dan cemerlang, iaitu pakar bidang.

2 Dr. Indirawati Zahid, Profesor Madya di Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya, Kuala Lumpur, Malaysia.

Page 2: INTONASI DALAM UJIAN LISAN BAHASA MELAYU: · PDF fileberobjektifkan penyediaan untuk menguasai kecekapan berbahasa dan ... Soalan ujian lisan juga bersifat sulit serta berbeza sampul

60 Intonasi dalam Ujian Lisan Bahasa Melayu: Pentaksiran Berasaskan Sekolah

terlaluan jika dikatakan lisan mendominasi 80 hingga 90 peratus dari- pada perjalanan hidup seseorang manusia. Kebolehan seseorang ma- nusia sering kali diukur dari aspek lisannya apabila sesuatu komunikasi berlangsung. Lisan di sini dinilai antaranya dari aspek pengetahuan (kebolehan dan kemampuan) melakukan pemilihan kosa kata (mencakupi ganti nama diri, kata sapaan, dan sebagainya), struktur ayat serta wacana, penyesuaian komunikasi serta konteks dan audiens, dan yang tidak kurang pentingnya juga ialah aspek intonasi. Intonasi yang merujuk pada turun naik nada suara apabila berbicara merupakan aspek paling asas dalam menarik perhatian audiens dalam sesuatu komunikasi yang sedang berlangsung. Sama ada lisan yang terpamer itu berbentuk puisi mahupun prosa, intonasi memperlengkap sesuatu hasil karya/karangan/wacana tersebut.

Aspek lisan secara khusus tidak diajar dalam mata pelajaran bahasa Melayu, sebaliknya aspek ini tergabung jalin dalam aspek-aspek lain dalam proses pengajaran dan pembelajaran (P&P) bahasa. Dalam aspek membaca, memahami dan bertutur, aspek intonasi ini diserap sekali gus. Dengan tanggapan bahawa majoriti pelajar khususnya pelajar Melayu atau etnik bangsa yang lain sudah sekurang-kurangnya mengetahui aspek intonasi, fokus terhadap aspek intonasi dalam proses P&P kurang dilakukan. Ini dapat dianggap sebagai satu kesilapan sengaja yang telah dilakukan, iaitu mengambil mudah tentang kemampuan dan kebolehan berintonasi dengan betul dan tepat menurut konteks. Justeru, perkara inilah yang perlu diperbetul dan diberikan fokus, sama seperti pengajaran aspek lain dalam proses P&P bahasa Melayu. Ini merupakan lanjutan implikasi pada bentuk penilaian yang berasaskan peperiksaan, kemahiran membaca, memahami dan menulis, yang menjadikan intonasi seperti terpinggir.

LATAR BELAKANG RINGKASPerbincangan dan seterusnya penyelidikan ini merupakan satu aspek yang dianggap sebagai penambahbaikan cakupan ilmu bahasa Melayu sepadan dengan catatan yang terdapat dalam Sukatan Pelajaran Kuri-kulum Bersepadu Sekolah Rendah Bahasa Melayu (SPKBSR) dan Sekolah Menengah Bahasa Melayu (SPKBSM). Segala perbincangan ini tidak bertujuan menidakkan usaha yang dilakukan sebelum ini, sebaliknya apa yang dibincangkan merupakan satu rincian pemartabatan salah satu subbidang ilmu linguistik dalam P&P di peringkat persekolahan.

Dalam kedua-dua kata pengantar Sukatan Pelajaran Kurikulum Ber-sepadu Sekolah Rendah Bahasa Melayu dan Menengah Bahasa Melayu telah mencatatkan tentang kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa ke-bangsaan, bahasa rasmi, bahasa pengantar utama, dan merupakan mata pelajaran teras yang wajib dipelajari di peringkat sekolah rendah dan menengah. Mata

Page 3: INTONASI DALAM UJIAN LISAN BAHASA MELAYU: · PDF fileberobjektifkan penyediaan untuk menguasai kecekapan berbahasa dan ... Soalan ujian lisan juga bersifat sulit serta berbeza sampul

61Intonasi dalam Ujian Lisan Bahasa Melayu: Pentaksiran Berasaskan Sekolah

pelajaran bahasa Melayu bertujuan untuk melengkapkan murid dengan keterampilan berbahasa dan berkomunikasi selaras dengan peranannya sebagai bahasa ilmu. Penyataan ini secara jelasnya merakamkan betapa pengajaran bahasa Melayu mempunyai tanggungjawab yang cukup besar, bukan sahaja kerana kedudukannya sebagai bahasa kebangsaan yang me- nyatupadukan masyarakat3 malahan peranannya sebagai bahasa ilmu. Penekanan kepada keterampilan berbahasa dan berkomunikasi yang dinyatakan ini telah disalurkan melalui tumpuan pengajaran kemahiran mendengar, bertutur, membaca, dan menulis. Kesemua kemahiran ini berobjektifkan penyediaan untuk menguasai kecekapan berbahasa dan berkomunikasi dengan menggunakan tatabahasa secara betul dan tepat. Sebagaimana yang tercatat dalam kedua-dua SPKBSR dan SPKBSM, kemahiran yang diajarkan adalah untuk memenuhi keperluan diri, memperoleh ilmu, perhubungan sosial, dan urusan harian. Pengukuhan kepada objektif ini seterusnya direalisasikan dalam bentuk pelbagai akti-viti dalam proses P&P bahasa Melayu yang dilaksanakan di sekolah-sekolah. Melalui aktiviti yang sebegini, pengayaan kemahiran dan penguasaan menggunakan bahasa Melayu dengan tepat akan teruji. Sungguhpun semua yang dinyatakan ini tercatat kemas dan disusuli dengan pelbagai aktiviti luar kelas, sejauh manakah aspek lisan diajar- kan dengan rinci agar penguasaan dan kemahiran lisan ini sama seperti penguasaan aspek lain, seperti membaca dan menulis?

Penelitian kandungan huraian Sukatan Pelajaran4 juga telah dilakukan untuk melihat sejauh mana aspek intonasi ini diberikan perhatian dalam pengajaran bahasa Melayu. Penelitian dilihat dari peringkat sekolah rendah bagi memastikan aspek ini sememangnya turut ditekankan. Di-dapati Huraian Sukatan Pelajaran Bahasa Melayu SK Tahun 1 dan SJK Tahun 4 memperlihatkan skop pembelajaran yang sama, sementara apa yang berbeza ialah huraian hasil pembelajaran dan cadangan aktiviti atau nota. Pada pendapat penulis, situasi ini sesuai dengan umur dan tahap kelas para pelajar yang mengikuti mata pelajaran ini. Sehubungan dengan itu, hasil pembelajaran ini dipecahkan kepada 3 aras, iaitu aras 1 (aras

3 Apatah lagi dalam situasi sekarang, rakyat Malaysia “dilaung-laungkan” dengan ung-kapan 1 Malaysia dengan salah satu iklan – Merdeka TM 2009 di kaca televisyen yang antara lain dialognya berbunyi, “Saya tidak melihat perbezaan melainkan persamaan.”

4 Huraian Sukatan Pelajaran SK Tahun 1 dan Huraian Sukatan Pelajaran SJK Tahun 4. Penulis cuba mendapatkan Huraian Sukatan Pelajaran SJK Tahun 1, 2, dan 3, walau bagaimanapun difahamkan huraian sukatan ini tidak dibekalkan oleh pihak Pusat Pengembangan Kurikulum kepada penjual dan pengedar buku sepertimana huraian sukatan untuk tahun-tahun persekolahan yang lain. Sungguhpun begitu, penulis yakin, jika ada pun perbezaannya, tidak mungkin terlalu ketara kerana baik sekolah kebang-saan mahupun jenis kebangsaan, kedua-duanya tetap tertakluk kepada Sukatan Pela-jaran Kurikulum Bersepadu.

Page 4: INTONASI DALAM UJIAN LISAN BAHASA MELAYU: · PDF fileberobjektifkan penyediaan untuk menguasai kecekapan berbahasa dan ... Soalan ujian lisan juga bersifat sulit serta berbeza sampul

62 Intonasi dalam Ujian Lisan Bahasa Melayu: Pentaksiran Berasaskan Sekolah

paling asas atau minimum yang harus dicapai oleh semua murid, aras 2 (aras bagi murid yang berpencapaian sederhana), dan aras 3 (aras paling tinggi bagi murid yang berpencapaian cemerlang).

Pendidikan prasekolah juga menekankan aspek yang sama dan seperti yang dinyatakan di atas, aras pembelajarannya pastilah berbeza sesuai dengan tahap umur murid semasa itu. Apa yang sering berlaku ialah guru-guru menerapkan aspek pengajaran ini melalui aktiviti membacakan buku cerita5 dan kemudiannya diikuti dengan lakonan, main peranan, dan sebagainya. Perlu ditekankan bahawa murid-murid prasekolah bukan hanya terdedah kepada aspek intonasi apabila mulai bersekolah, sebaliknya pada pendapat penulis aspek intonasi di peringkat prasekolah sehingga persekolahan tinggi merupakan aspek pengukuhan kepada apa yang sedia murid-murid/kanak-kanak ini warisi daripada ibu bapa, penjaga, dan persekitaran bahasa. Sementara itu, apabila murid-murid/kanak-kanak mula meningkat usia, peranan ini lebih banyak diambil alih oleh media sama ada elektronik ataupun cetak. Berbanding dengan media cetak, media elektronik6 merupakan saluran media yang paling berpengaruh kerana menyediakan bentuk program yang bersifat audio dan audio visual yang menarik perhatian kanak-kanak. Kepelbagaian bentuk kehadiran aspek intonasi ini dalam kehidupan seharian dari seawal usia seseorang itu mula boleh memahami dan berkomunikasi, maka didapati aspek ini kelihatannya agak kurang mendapat tumpuan yang khusus atau kurang diberi perhatian. Ini disokong pula dengan buku yang menjadi rujukan utama, iaitu buku tatabahasa pegangan Tatabahasa Dewan Edisi Baharu yang jika diteliti kan-dungan aspek intonasi dalam buku ini, terbukti bahawa aspek ini diberi-kan tumpuan melalui penghuraiannya, berbanding dengan topik-topik yang lain. Adakah kerana perkara-perkara yang disebutkan di atas, maka aspek ini kelihatan agak kurang dipentingkan dalam proses P&P? Atau adakah kerana andaian kemahiran berkomunikasi ini sedia diwarisi sejak kecil daripada ibu bapa, maka langue7 yang ada dalam diri setiap orang yang sempurna itu sudah memadai? Atau sifat bahasa Melayu itu sendiri yang fleksibel yang menyebabkan aspek ini tidak dititikberatkan? Kesemua persoalan ini akan cuba dibincangkan dalam bahagian yang selanjutnya.

5 Ibu bapa hari ini juga (khususnya mereka yang terdedah kepada sistem pendidikan tinggi) sering kali membacakan buku cerita kepada anak-anak masing-masing. Dan pembacaan buku cerita ini dilakukan sejak anak-anak ini masih di dalam kandungan lagi. Malahan jika diteliti cara bagaimana pembacaan cerita (story telling) ini dilakukan, pasti pembaca akan bersetuju bahawa aktiviti sebegini agak banyak bermain dengan intonasi.

6 Termasuk kemudahan internet yang kini amat mudah diakses dari mana-mana lokasi sahaja dan menyediakan.

7 Sistem bahasa yang diturunkan dari satu generasi ke satu generasi. Contohnya, tata-bahasa, sintaksis dan kosa kata (lihat Kamus Linguistik, hlm. 145).

Page 5: INTONASI DALAM UJIAN LISAN BAHASA MELAYU: · PDF fileberobjektifkan penyediaan untuk menguasai kecekapan berbahasa dan ... Soalan ujian lisan juga bersifat sulit serta berbeza sampul

63Intonasi dalam Ujian Lisan Bahasa Melayu: Pentaksiran Berasaskan Sekolah

UJIAN LISAN BAHASA MELAYU8 Seperti yang dibincangkan dalam bahagian yang sebelumnya, kemahiran lisan sememangnya ditekankan dan ada dalam proses P&P. Persoalan pelajar tidak pernah dilatih, didedahkan, dan diajar tidak timbul. Justeru, dalam memastikan sistem pendidikan berjaya mencapai objektifnya, maka ujian lisan dilakukan pada peringkat persekolahan menengah.

Pada suatu ketika dahulu, iaitu sebelum Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) diperkenalkan pada tahun 2003,9 ujian lisan bahasa Melayu dilaksanakan secara terancang dengan penetapan beberapa hari tertentu dalam tempoh yang ditetapkan, dan guru-guru10 yang terpilih dari lokasi sekolah yang berbeza akan dilantik untuk menguji lisan para pe-lajar. Suasana ujian lisan ini benar-benar seperti suasana peperiksaan lazim peringkat nasional dengan calon yang diuji tidak mengenali pengujinya.Soalan ujian lisan juga bersifat sulit serta berbeza sampul simpanannya dan hanya dibolehkan dibuka pada hari yang telah ditetapkan masa dan tarikhnya. Secara ringkasnya, skop soalan, masa, hari, dan tarikh dikawal selia oleh pihak Kementerian Pendidikan Malaysia.11

Suasana yang sebegini tentu sahaja agak menggerunkan calon/pelajar. Tidak mengenali siapa penguji mereka, dan tidak mengetahui apa skop yang akan ditanyakan. Semuanya rigid dan seragam walau di mana lokasi ujian itu dilaksanakan seperti seragamnya soalan peperiksaan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR), Penilaian Menengah Rendah (PMR), Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM).

Perubahan masa, pandangan serta perspektif tentang keperluan apa yang harus diuji dalam kemahiran berbahasa menyebabkan pe-nambahbaikan berlaku pada aspek ujian lisan yang dikendalikan sebelum ini. Aspek pengagihan tugas dalam melakukan penilaian ke atas calon/pelajar tersebut kini diturunkan kepada guru bahasa Melayu bagi sese-buah kelas/darjah. Penurunan kuasa ini dilihat sebagai satu usaha yang bersikap adil kepada pelajarnya disebabkan guru mata pelajaran itu sen-diri yang lebih arif dan mengetahui prestasi pelajarnya. Penilaian seperti ini akan lebih bersifat objektif berbanding aspek yang diragui keber-kesanannya seperti penguji yang tidak dikenali, tempoh masa ujian yang terhad, dan tidak bersifat berterusan, calon/pelajar yang ada masalah

8 Penghuraian dalam bahagian ini hanya diberikan secara umum sahaja kerana maklumat lengkap boleh diperoleh dalam laman sesewang Kementerian Pelajaran Malaysia. Peng-huraian ini memapar perkara-perkara yang dianggap perlu dikemukakan oleh penulis untuk menyediakan latar belakang perkara yang dibincangkan.

9 Catatan daripada kertas Lembaga Peperiksaan Malaysia, Kementerian Pendidikan Malaysia 2002.

10 Penulis juga merupakan bekas guru dan pernah terlibat sebagai penguji ujian lisan pelajar sekitar tahun 1990-an.

11 Penamaan kementerian ini sekarang Kementerian Pelajaran Malaysia.

Page 6: INTONASI DALAM UJIAN LISAN BAHASA MELAYU: · PDF fileberobjektifkan penyediaan untuk menguasai kecekapan berbahasa dan ... Soalan ujian lisan juga bersifat sulit serta berbeza sampul

64 Intonasi dalam Ujian Lisan Bahasa Melayu: Pentaksiran Berasaskan Sekolah

gemuruh, cemas, atau tertekan, dan sebagainya. Perkembangan mahupun peningkatan para pelajar akan kemahiran berbahasa tidak benar-benar diuji dengan cara lama sebaliknya pelajar yang mampu mengawal situasi, bijak, dan sebagainya sahaja yang mampu melepasi ujian dan kemampuan seperti ini tidak dimiliki oleh semua pelajar. Dari perspektif yang lain, ini pasti dilihat sebagai proses ujian sebenarnya, menghasilkan atau men-dapatkan pelajar yang benar-benar terbaik tetapi dari perspektif yang lain pula ini akan memangsakan calon/pelajar yang lain yang berkemungkinan memiliki kualiti yang serupa tetapi mengambil masa yang agak lama untuk menjadi stabil semasa diuji. Faktor pelajar yang disamaratakan tanpa melihat kemampuan yang berbeza antara seorang pelajar dengan pelajar yang lain dianggap tidak adil bagi para pelajar.

Penambahbaikan yang berlaku ini kelihatan menyebelahi situasi calon/pelajar yang dinyatakan sebelum ini, iaitu takut, gemuruh, cemas atau tertekan dengan situasi pengujian cara lama. Penambahbaikan ini cuba mengatasi keadaan yang kurang menyebelahi potensi calon/pelajar. Dalam PBS yang dilaksanakan, penilaian dilakukan secara berterusan dan berlangsung sejak di menengah rendah, tingkatan 1, 2, dan 3 serta menengah atas 4 dan 5. Bagi menengah rendah, tingkatan 1, 2, dan 3 penilaian ini dinamakan sebagai Pentaksiran Lisan Berasaskan Sekolah (PLBS), manakala bagi menengah atas 4 dan 5, penilaian ini dikenali sebagai Ujian Lisan Berasaskan Sekolah (ULBS). Dengan garis panduan yang tertentu, penyediaan dokumen yang sistematik, pengendalian yang terancang rapi, dikawal selia dan dipantau oleh guru-guru yang dilantik sebagai pentaksir yang dihierarkikan seperti yang berikut:

Ketua Pentaksir Kebangsaan (dilantik oleh Lembaga Peperiksaan Malaysia (LPM))

Ketua Pentaksir Negeri (dilantik oleh Jabatan Pendidikan Negeri (JPN))

Ketua Pentaksir Kawasan (dilantik oleh Jabatan Pendidikan Negeri (JPN))

Ketua Pentaksir Sekolah (dilantik Pengetua)Pentaksir Sekolah

(dilantik Pengetua)

Penilaian ini berlangsung dengan baik dengan model-model yang ter-tentu, model individu (model 1–3) dan model kumpulan (model 4–5) disokong dengan kreativiti guru dalam memperkaya kemampuan pelajar berbahasa. Model individu terbahagi kepada 3, iaitu aktiviti secara (i)

Page 7: INTONASI DALAM UJIAN LISAN BAHASA MELAYU: · PDF fileberobjektifkan penyediaan untuk menguasai kecekapan berbahasa dan ... Soalan ujian lisan juga bersifat sulit serta berbeza sampul

65Intonasi dalam Ujian Lisan Bahasa Melayu: Pentaksiran Berasaskan Sekolah

individu (calon), (ii) individu (calon) dan pendengar, (iii) individu (calon) dan penggalak. Sementara itu, terdapat 2 model berkumpulan, iaitu kumpulan (i) calon/pelajar terdiri daripada 2 orang dan komunikasi berlangsung antara calon-calon dan pentaksir, dan (ii) sekumpulan pelajar yang akan berkomunikasi sesama mereka, misalnya dalam forum. Melalui kaedah ini kelihatannya para pelajar yang diuji lebih santai dan bersedia kerana guru-guru akan memaklumkan terlebih dahulu topik yang perlu dibicarakan atau dibincangkan untuk dinilai. Pentaksiran ini dilakukan dalam kelas semasa proses P&P dan dilakukan sebagaimana yang terjadual dalam dokumen yang diseragamkan untuk semua sekolah di Malaysia. Dan kesemua ini mempunyai tempoh-tempoh masa12 yang tertentu yang ditetapkan bagi memastikan pentaksiran tersebut dilakukan seperti yang terancang.

Melihat kepada deskripsi model-model yang diguna pakai untuk pentaksiran, segala aspek kekurangan yang wujud dalam kaedah lama tampaknya sudah diperbaiki. PBS ini dilihat seperti tiada kelemahan, sebaliknya PBS semacam satu kaedah yang ada kesahannya dan ke-bolehpercayaan dalam menilai para pelajar/calon yang diuji. Ini selaras dengan hasrat untuk melahirkan pelajar yang tampil bertutur dengan lebih baik dan sesuai dalam situasi yang pelbagai. Namun sejauh mana PBS tiada kekurangannya? Bahagian yang berikut merupakan hasil pe-nyelidikan yang dilakukan.

PENYELIDIKAN DAN METODOLOGIPenyelidikan ini merupakan penyelidikan rintis bagi melihat keadaan sebenar bagaimana aspek intonasi diajar dan diuji dalam komunikasi bahasa Melayu. Melalui pemerhatian yang dilakukan sebelum ini, aspek intonasi kurang diberikan perhatian secara jitu, beberapa buah sekolah telah dikenal pasti, iaitu dengan mengambil kira sekolah yang dipercayai menpunyai pengaruh dialek negerinya yang tinggi dan sekolah-sekolah yang dipercayai mempunyai pengaruh bahasa Melayu dialek standard13 yang dijadikan sampel penyelidikan. Berikut merupakan metodologi yang diguna pakai:

(i) Kaedah Pustaka Iaitu pengumpulan maklumat tentang ujian lisan bahasa Melayu,

dokumen yang berkaitan tentang sukatan pelajaran, kurikulum, maklumat ujian lisan dan sebagainya yang berkenaan.

12 Terdapat jadual kerja pelaksanaan yang tertentu untuk PBS.13 Dialek Johor-Riau yang dianggap standard (bahasa Melayu standard) dan kebanyakan

dituturkan di kawasan tengah Semenanjung Malaysia. Dialek dipengaruhi oleh faktor geografi.

Page 8: INTONASI DALAM UJIAN LISAN BAHASA MELAYU: · PDF fileberobjektifkan penyediaan untuk menguasai kecekapan berbahasa dan ... Soalan ujian lisan juga bersifat sulit serta berbeza sampul

66 Intonasi dalam Ujian Lisan Bahasa Melayu: Pentaksiran Berasaskan Sekolah

(ii) Kerja Lapangan Penyelidikan dilakukan di lokasi sekolah yang telah dikenal pasti

bagi melihat bagaimana PLBS dan ULBS dilakukan.(iii) Temu Bual Dilakukan melibatkan guru-guru bahasa Melayu, Ketua Panitia

Bahasa Melayu dan Pentaksir Kawasan. Temu bual mencakupi persoalan pelajar, silibus, bahan yang digunakan dan masalah yang dihadapi.

(iv) Sumbang Saran Diskusi bersama dengan guru-guru tentang PBS.(v) Pemerhatian Dilakukan dalam kelas/darjah untuk melihat bagaimana pe-

ngendalian PBS dilakukan.

Fokus penyelidikan ialah penggunaan intonasi bahasa Melayu yang betul, sesuai konteks, iaitu laras dan bahasa yang dipilih. Bertitik tolak daripada pendapat Key, M.R. (1975:51), “It is said that the intonation patterns are the first elements of language learned by infant, and the last elements lost when the speaker learns a second language.” Pemerolehan pola intonasi yang ada dalam diri seseorang individu itu dapat dikatakan kukuh diwarisi dari-pada generasi sebelumnya dan yang paling hampir dengannya. Dan ini juga selari dengan apa yang dikatakan oleh Asraf (1988:1), … intonasi berbeza-beza menurut dialek yang berbagai-bagai. Bahkan intonasi bagi sesuatu dialek Melayu yang tertentu berbagai-bagai pula oleh sebab adanya perbedaan intonasi antara seorang penutur dengan seorang penutur yang lain dalam dialek yang sama.... Malah kepentingan intonasi dalam komunikasi menyebabkan Couper-Kuhlen, E. (1986:116) menya-takan, “It wasn’t what she said, it was the way she said it. This puts a powerful tool into the hands of the speaker. S/he can exploit intonation to communicate meaning which ‘objectively’ may not be true.” Dan ini diperkukuh oleh Pike (1945:22), “We often react violently to the intonational meanings than to the lexical ones; if a man’s tone of voice belies his words, we immediately assume that the intonation more faithfully reflects his true linguistic intentions....” Se-hubungan dengan itu, kemahiran menggunakan intonasi tidak boleh dipandang ringan dengan tanggapan seperti yang dinyatakan oleh Key, M.R. sebelum ini. Intonasi perlu dipelajari waima proses P&Pnya sudah dipelajari secara tidak formal dan tidak langsung sejak di peringkat bayi lagi.

Kemahiran berbahasa merupakan kemahiran yang mencakupi ke-semua aspek yang terdapat dalam bahasa. Jika mahir dalam sesuatu aspek sahaja, kompetensi berbahasa tidak dianggap sempurna kerana setiap satu aspek dalam bahasa saling melengkapi antara satu sama lain. Kemahiran

Page 9: INTONASI DALAM UJIAN LISAN BAHASA MELAYU: · PDF fileberobjektifkan penyediaan untuk menguasai kecekapan berbahasa dan ... Soalan ujian lisan juga bersifat sulit serta berbeza sampul

67Intonasi dalam Ujian Lisan Bahasa Melayu: Pentaksiran Berasaskan Sekolah

berbahasa bererti sempurna kompetensi berbahasa yang seharusnya ada pada diri setiap individu, sesuai dengan objektif proses P&P bahasa Melayu. Justeru, penyelidikan ini tertumpu pada kemahiran mengguna-kan intonasi tanpa begitu memfokus pada aspek-aspek lain seperti pemilihan kata, struktur wacana, relevansi setiap satu butir percakapan, dan sebagainya.

OBJEKTIF PENYELIDIKANPenyelidikan ini mempunyai objektif seperti yang berikut:

1. Mengenal pasti pola intonasi dominan yang diguna pakai di sekolah yang terpilih berdasarkan kawasan;

2. Membandingkan antara faktor pengaruh pola intonasi yang terbina dalam kompetensi berbahasa; dan

3. Menghuraikan kesan pelaksanaan PBS dalam ujian lisan bahasa Melayu.

Dengan objektif yang tersenarai di atas, penyelidikan ini pada akhirnya akan memaparkan dapatan pengaruh pola intonasi sekeliling, guru yang mengajar dan kaedah PBS yang dilaksanakan.

DAPATAN PENYELIDIKANPenyelidikan yang dilakukan telah berlangsung di sekolah-sekolah yang dikenal pasti berdasarkan 2 perkara, iaitu sekolah yang dipercayai mem-punyai pengaruh dialek negerinya yang tinggi dan sekolah-sekolah yang dipercayai mendapat pengaruh bahasa Melayu dialek standard. Penye-lidikan dilakukan di Kota Bahru, Kelantan, Kota Kinabalu dan Kota Belud, Sabah, iaitu tiga buah sekolah bagi setiap satu lokasi. Lokasi Kota Kinabalu melibatkan sebuah sekolah berasrama penuh. Kedua-dua lokasi ini ialah sekolah yang memperlihatkan pengaruh dialek setempat yang tinggi berdasarkan taburan pelajar dan lokasi. Manakala sekolah-sekolah di Kuala Lumpur, iaitu 3 buah sekolah termasuk sekolah berasrama penuh ialah sekolah yang dipercayai mewakili kelompok sekolah yang meng-gunakan intonasi dialek bahasa Melayu standard. Manakala 2 buah se-kolah di Singapura, digunakan sebagai perbandingan.

Seperti yang dinyatakan sebelum ini, terdapat 5 model yang boleh dipilih untuk ujian lisan dilakukan. Kebanyakan sekolah yang dikunjungi semasa kerja lapangan dilakukan, pihak guru telah memilih model 4 dan 5,14 iaitu aktiviti berkumpulan. Pemilihan ini kemungkinan berpunca dari-

14 Aktiviti perbahasan, berbalas pantun dan forum. Aktiviti syarahan, iaitu model individu hanya dilaksanakan di satu buah kelas, di sebuah sekolah di Kota Kinabalu, Sabah.

Page 10: INTONASI DALAM UJIAN LISAN BAHASA MELAYU: · PDF fileberobjektifkan penyediaan untuk menguasai kecekapan berbahasa dan ... Soalan ujian lisan juga bersifat sulit serta berbeza sampul

68 Intonasi dalam Ujian Lisan Bahasa Melayu: Pentaksiran Berasaskan Sekolah

pada tanggapan untuk memperlihatkan kompetensi para pelajar dan variasi pola intonasi yang digunakan.

Dapatan penyelidikan yang dilakukan adalah seperti yang berikut:

1. Pemerhatian Pemerhatian dalam kelas yang melibatkan aktiviti PBS, dibahagikan

kepada 2, iaitu sekolah yang (i) dipercayai mempunyai pengaruh dialek negerinya yang tinggi, dan (ii) sekolah-sekolah yang dipercayai mendapat pengaruh bahasa Melayu dialek standard.

1.1 Dapatan (i) adalah seperti yang berikut:

a. Para pelajar di sekolah yang berkenaan melibatkan taburan pelajar daripada pelbagai etnik menunjukkan pengaruh intonasi variasi dialek bahasa Melayu seperti bahasa Melayu Patani (selatan Thailand), intonasi bahasa Bajau, Dusun, Dayak, dan beberapa kelompok etnik kecil di lokasi yang berkenaan.

b. Pola intonasi yang dominan ternyata berhubungan dengan lokasi sekolah dan dominasi etnik pelajar dan persekitaran.

c. Guru yang merupakan penduduk tempatan mempamerkan peng-gunaan intonasi bahasa Melayu standard, walau bagaimanapun ini didapati kurang mempengaruhi pelajar.

d. Sekolah berasrama penuh yang menempatkan para pelajar dari daerah dan negeri yang berbeza tidak banyak memperlihatkan kerencaman pola intonasi. Ini kerana jumlah pelajar dari luar, iaitu dari Semenanjung tidak ramai. Sebaliknya pola intonasi yang terpamer tetap pola intonasi variasi yang diwarisi walaupun ada percubaan untuk menggunakan pola intonasi bahasa Melayu standard.

e. Pelajar ternyata agak malu apabila terdapat orang luar di dalam kelas. Ini menyebabkan mereka tidak mempamerkan kualiti ko-munikasi yang baik. Ini juga antara masalah yang diatasi oleh PBS, iaitu pelajar sebaiknya dinilai oleh guru mereka sendiri.

1.2 Dapatan (ii) adalah seperti yang berikut:

a. Faktor lokasi, menyebabkan para pelajar menggunakan pola in-tonasi bahasa Melayu standard.

b. Faktor persekitaran, teman-teman sebaya dan guru memberikan pengaruh yang besar dalam pola intonasi yang digunakan. Di sekolah berasrama penuh, pelajar dari lokasi mastautin yang berbeza menggunakan pola intonasi bahasa standard.

Page 11: INTONASI DALAM UJIAN LISAN BAHASA MELAYU: · PDF fileberobjektifkan penyediaan untuk menguasai kecekapan berbahasa dan ... Soalan ujian lisan juga bersifat sulit serta berbeza sampul

69Intonasi dalam Ujian Lisan Bahasa Melayu: Pentaksiran Berasaskan Sekolah

c. Latar belakang keluarga ternyata kurang mempengaruhi pola intonasi pelajar, pelajar tampaknya lebih terkawal dalam lisan yang digunakan semasa PLBS dan ULBS dilaksanakan.

d. Para guru menggunakan pola intonasi bahasa Melayu standard.

2. Sumbang Saran Sumbang saran yang dilakukan membincangkan kekuatan dan ke-

lemahan pelaksanaan PBS, dapatan adalah seperti yang berikut:

a. PBS disetujui sebagai satu kaedah penilaian yang menyebelahi pelajar dan lebih adil dalam menguji kompetensi berbahasa pelajar. Pelajar lebih santai dan tidak tertekan.

b. Guru kelas yang menilai ternyata lebih mengetahui kemampuan pelajar kerana penilaian dilakukan secara berterusan dan penam-bahbaikan boleh dilakukan dari semasa ke semasa.

c. Walau bagaimanapun, dalam kes-kes yang terpencil kemungkinan akan berlaku persoalan pilih kasih dalam penilaian kerana sifat perikemanusiaan disebabkan hubungan antara guru dengan pelajar yang sudah lama terjalin.

d. Berlaku tolak ansur dalam penilaian yang diberikan kerana faktor lokasi dan latar belakang pelajar yang berbeza yang tidak dapat dinafikan mempengaruhi kualiti lisan, iaitu pola intonasi yang digunakan.

e. Sifat bahasa Melayu itu sendiri yang tidak rigid menyebabkan pola intonasi yang standard tidak begitu ditekankan, sebaliknya asas bahawa asalkan komunikasi yang berlangsung dapat di-fahami, lisan yang digunakan tidak salah sebaliknya boleh di-terima,15 iaitu pola intonasi yang digunakan tidak dianggap salah.

3. Temu Bual Dapatan temu bual adalah seperti yang berikut:

a. Pelajar lebih bersedia untuk dinilai kerana guru memaklumkan terlebih dahulu topik yang akan dinilai. Dan ini mencapai pe-mikiran kerana pelajar diberi peluang dan masa untuk mencari maklumat yang berkaitan.

b. Pelajar lebih selesa dan santai kerana diuji oleh guru mata pela-jaran itu sendiri.

c. Model individu (1) yang dilaksanakan lazimnya akan menyebab-kan sebahagian pelajar dalam kelas tidak terlibat dan ini menye-

15 Acceptable – dalam kajian linguistik, kasus seperti ini boleh diterima.

Page 12: INTONASI DALAM UJIAN LISAN BAHASA MELAYU: · PDF fileberobjektifkan penyediaan untuk menguasai kecekapan berbahasa dan ... Soalan ujian lisan juga bersifat sulit serta berbeza sampul

70 Intonasi dalam Ujian Lisan Bahasa Melayu: Pentaksiran Berasaskan Sekolah

babkan hilangnya tumpuan dan suasana agak bising jika guru gagal mengawal situasi.

d. Fokus aspek intonasi diakui tidak menjadi fokus utama tetapi merupakan aspek yang digabung jalin dalam proses P&P aspek yang lain dalam tatabahasa.

RUMUSANTidak dapat dinafikan bahawa pembaharuan yang dilakukan dalam pengendalian ujian lisan dengan menggunakan kaedah PBS merupakan penambahbaikan atas sistem lama dan sedia ada. PBS yang melibatkan guru sekolah dan kelas sendiri dalam melakukan penilaian dianggap sebagai satu kaedah yang menyebelahi pelajar. Kaedah ini lebih adil dalam menentukan kompetensi pelajar dalam berbahasa Melayu. Guru merupakan antara individu yang terdekat dengan pelajar, dianggap orang yang tepat untuk melakukan penilaian. Masalah pelajar yang takut, gemuruh atau tertekan dapat diatasi dengan pelaksanaan kaedah ini.

Namun demikian, persoalan pilih kasih tidak sebenar-benarnya dapat dinilai sebaliknya penilaian dilakukan atas faktor kasihan yang mungkin berlaku antara seorang guru dengan pelajarnya yang menyebabkan kae-dah ini diragui kewibawaannya. Ketelusan agak sukar ditentukan kecuali hanya berasaskan kepercayaan bahawa semua guru amanah dalam tanggungjawab yang diberikan.

Mendapatkan pola intonasi bahasa Melayu yang standard untuk diguna pakai di seluruh Malaysia kelihatannya tidak relevan. Ini kerana faktor geografi, etnik, bahasa ibunda, dan variasi yang diwarisi sejak se-kian lama dan kesukaran mengakses setiap pelosok negeri antara ke-kangan yang masih ada. Ini disokong pula dengan sifat bahasa Melayu yang agak longgar dari sudut rigidness sesuatu intonasi itu dilafazkan. Memandangkan bahasa Melayu bukan bahasa nadaan,16 persoalan pada ketetapan pola intonasi yang harus diguna itu tidak timbul. Sebaliknya, apa yang berlaku sejak sekian lama merupakan penerimaan kefahaman makna yang hendak disampaikan dalam sesuatu komunikasi. Apabila makna yang hendak disampaikan itu sudah dapat diterima dan difahami, persoalan ketepatan pola intonasi yang digunakan itu kurang ditekankan. Ini jugalah yang menjadi masalah dalam melahirkan pelajar yang tampil sempurna dalam berbahasa.

Penemuan dalam kajian ini memperlihatkan sungguhpun bahasa Melayu tidak rigid dalam persoalan intonasi, bagi mencapai objektif pe-ngajaran bahasa, aspek intonasi harus diajarkan sebagaimana pentingnya pengajaran aspek lain dalam tatabahasa. Guru seharusnya ada alat bantu

16 Tone language.

Page 13: INTONASI DALAM UJIAN LISAN BAHASA MELAYU: · PDF fileberobjektifkan penyediaan untuk menguasai kecekapan berbahasa dan ... Soalan ujian lisan juga bersifat sulit serta berbeza sampul

71Intonasi dalam Ujian Lisan Bahasa Melayu: Pentaksiran Berasaskan Sekolah

ajar yang khusus bagi memperlihatkan contoh terbaik sesuatu bahan atau laras bahasa yang disampaikan dengan intonasi yang tepat. Proses P&P harus memaparkan sampel audio atau audio visual bagi tujuan ini. Main peranan perlu banyak dilakukan kerana dalam aktiviti main peranan, di situlah timbul kepelbagaian pola intonasi.

Penekanan aspek ini bererti masa pengajaran bahasa perlu ditambah ataupun jika tidak ditambah, kandungan silabus harus dilihat semula. Dan sekiranya ini sukar dilakukan, maka peranan kelab atau persatuan bahasa amat penting. Setiap satu aktiviti yang tidak dapat dilakukan di dalam kelas boleh dilakukan sebagai salah satu kegiatan kokurikulum yang bersifat pertandingan, persembahan, dan sebagainya. Aktiviti yang akan dilaksanakan ini seharusnya menyeronokkan para pelajar agar dalam bermain mereka sebenarnya sedang belajar. Pendekatan sebegini yang harus ditekan dan diutamakan. Perkara ini dianggap penting kerana kemahiran berbahasa melibatkan kemahiran berkomunikasi yang men-jadi ukuran kemahiran interpersonal. Tidak keterlaluan jika dikatakan tanggapan pertama tentang seseorang individu lazimnya terpamer pada komunikasi yang berlangsung pada saat pertama kali sesuatu interaksi itu berlaku.

BIBLIOGRAFIAsraf H.Wahab, 1981. Intonasi dalam Hubungannya dengan Sintaksis Bahasa Melayu.

Petaling Jaya: Sasbadi Sdn. Bhd. Couper-Kuhlen, E., 1986. An Introduction to English Prosody. London: Edward

Arnold.Indirawati Zahid, 2009. “Prosodi Melayu dalam P&P Bahasa Melayu” dlm. Prosiding

Persidangan Bahasa Melayu Bahasa Dunia. Persada Johor, Johor Baharu, 28–30 September 2009.

Indirawati Zahid, 2009. “Prosodi Melayu: Fokus dalam P&P Bahasa Melayu Secara Eksperimental” dlm. Prosiding Konvensyen Pedagogi Bahasa Melayu Serantau I, Bahasa Melayu: Satu Pesona. Klana Resort, Seremban, Negeri Sembilan, 3–5 November 2009.

Indirawati Zahid dan Mardian Shah Omar, 2012. Fonetik dan Fonologi. Edisi Baru. Kuala Lumpur: PTS Akademia.

Kamus Linguistik, 1997. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.Key, M.R., 1975. Paralanguage and Kinesics (Nonverbal Communication). Metuchen,

N.J.: The Scarecrow Press, Inc.Pike, K.L., 1945. The Intonation of American English. University of Michigan

Publications, Linguistics 1. Ann Arbor, Michigan.Sukatan Pelajaran Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah Bahasa Melayu 2003,

Pusat Perkembangan Kurikulum, Kementerian Pendidikan Malaysia.Sukatan Pelajaran Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah Bahasa Melayu 2001,

Pusat Perkembangan Kurikulum, Kementerian Pendidikan Malaysia.Tatabahasa Dewan. Edisi Ketiga, 2008. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.