28
ICERD DAN MENGAPA SEMUA KAUM DI MALAYSIA PERLU MENOLAKNYA (Buku pendek dan esei tambahan kepada artikel-artikel sebelum ini) ISHAM JALIL

ICERD - ishamjalil.files.wordpress.com · dengan masalah orang Cina seperti pengekalan adat resam dan budaya Cina termasuk sekolah dan bahasa Cina, dan orang India dengan masalah

Embed Size (px)

Citation preview

Page 1: ICERD - ishamjalil.files.wordpress.com · dengan masalah orang Cina seperti pengekalan adat resam dan budaya Cina termasuk sekolah dan bahasa Cina, dan orang India dengan masalah

ICERD

DAN MENGAPA SEMUA KAUM DI MALAYSIA

PERLU MENOLAKNYA (Buku pendek dan esei tambahan kepada artikel-artikel sebelum ini)

ISHAM JALIL

Page 2: ICERD - ishamjalil.files.wordpress.com · dengan masalah orang Cina seperti pengekalan adat resam dan budaya Cina termasuk sekolah dan bahasa Cina, dan orang India dengan masalah

1

BAB 1 ICERD, Malaysian Malaysia dan Asimilasi Kaum

1. Beberapa hari lepas seorang blogger dan aktivis bernama Mariam Mokhtar

menyarankan supaya Kerajaan meratifikasikan ICERD. Menurut beliau ICERD

adalah penting ke arah integrasi nasional dan perpaduan. Beliau juga

menyarankan supaya Kerajaan membuang identifikasi bangsa dan agama

dalam kad pengenalan.

2. Ada sekurang-kurangnya dua perkara yang meragukan malah songsang

dalam hujah beliau. Pertama, saya rasa beliau kurang faham atau keliru di

antara konsep integrasi dan asimilasi kaum dalam membina negara berbilang

bangsa. Kedua-dua istilah ini mempunyai pengertian yang berbeza umpama

langit dan bumi. Apa yang dicadangkan oleh beliau dan dibawa oleh ICERD

adalah sebenarnya menuju ke arah asimilasi kaum dan bukannya integrasi.

Penyokong-penyokong pro-asimilasi besar kemungkinan akan bersetuju

dengan ICERD sebaliknya penyokong-penyokong integrasi kaum akan

menentang.

3. Dalam masyarakat majmuk, terdapat dua cara utama untuk membina

perpaduan negara iaitu melalui asimilasi kaum dan satu lagi ialah melalui

Page 3: ICERD - ishamjalil.files.wordpress.com · dengan masalah orang Cina seperti pengekalan adat resam dan budaya Cina termasuk sekolah dan bahasa Cina, dan orang India dengan masalah

2

integrasi kaum. Asimilasi bermaksud setiap kaum meninggalkan adat resam

dan budaya asal mereka dan mengambil adat resam dan budaya kaum

majoriti di sesebuah negara untuk kesamaan bangsa. Ini berlaku di Amerika

Syarikat, Singapura dan beberapa negara lain. Dengan integrasi kaum pula,

setiap kaum dapat terus mengekalkan identiti dan mengamalkan cara hidup

dan adat resam mereka sendiri dan bekerjasama dengan kaum-kaum lain

untuk membina negara.

4. Masyarakat Malaysia dan di dunia rata-rata masih tinggal dan hidup bersama

komuniti etnik mereka sendiri. Di Malaysia setiap komuniti kaum

mempunyai masalah mereka sendiri yang berbeza-beza. Orang Melayu

mempunyai masalah berkenaan orang Melayu dan agama Islam, orang Cina

dengan masalah orang Cina seperti pengekalan adat resam dan budaya Cina

termasuk sekolah dan bahasa Cina, dan orang India dengan masalah orang

India seperti pengekalan adat resam dan budaya India termasuk sekolah dan

bahasa Tamil serta rumah ibadat mereka.

5. Dalam masyarakat sebegini perlu ada parti-parti politik atau organisasi yang

memperjuangkan nasib kamuniti mereka sendiri: orang-orang Melayu dan

beragama Islam memperjuangkan hak dan nasib mereka, dan parti-parti

politik serta pertubuhan-pertubuhan kaum dan agama lain juga

memperjuangkan nasib kaum dan agama mereka. Dan semua kumpulan

kaum dan agama sama-sama memperjuangkan nasib mereka dalam

membina negara ini. Di Malaysia, apabila sesuatu parti politik dan

pertubuhan memperjuangan nasib kaum atau agama mereka, tidak

Page 4: ICERD - ishamjalil.files.wordpress.com · dengan masalah orang Cina seperti pengekalan adat resam dan budaya Cina termasuk sekolah dan bahasa Cina, dan orang India dengan masalah

3

bermakna mereka ini racist, malah sebaliknya dan jauh sekali. Mereka hanya

mahu supaya nasib komuniti mereka terbela dan tidak tertekan dalam

masyarakat. Pertubuhan-pertubuhan di Malaysia ini bukanlah seperti Klu

Klux Klan di Amerika Syarikat atau Kerajaan Apartheid di Afrika Selatan

dahulu; di Malaysia parti-parti politik dan pertubuhan-pertubuhan

berasaskan kaum dan agama tidak ditubuhkan berasaskan kebencian kepada

kaum lain namun sebaliknya untuk membela nasib kaum sendiri yang ditekan

akibat prejudis dan bias masyarakat terutama dalam aspek sosio-ekonomi

dan pengekalan identiti dan budaya mereka.

6. Sebab itu dalam Kerajaan dahulu, kita bukan sahaja ada dasar ekonomi

Bumiputera, kita juga ada Malaysian Indian Blueprint untuk menangani

masalah kaum India dan memperkasa ekonomi mereka. Selama ini MCA, MIC

dan pertubuhan-pertubuhan lain pun lantang memperjuangkan bahasa

ibunda dan sekolah Cina dan Tamil. HINDRAF juga memperjuangkan nasib

penganut Hindu. Mereka boleh berbuat begitu sebab adanya parti dan

organisasi berasaskan kaum dan agama yang memperjuangkan nasib dan

membela hak komuniti mereka.

7. Selama 61 tahun selepas Merdeka sehingga Mei 2018, Kerajaan

mengamalkan dasar integrasi dan bukan asimilasi. Namun pemimpin-

pemimpin Kerajaan kini melaungkan slogan Malaysian Malaysia. Laungan ini

pertama kali dibawa dan dilaungkan 50 tahun dahulu oleh Lee Kuan Yew di

Singapura sebelum Singapura keluar dari Malaysia. Kini Malaysian Malaysia

ini dilaungkan semula dengan lebih lantang di Malaysia. Dasar Malaysian

Page 5: ICERD - ishamjalil.files.wordpress.com · dengan masalah orang Cina seperti pengekalan adat resam dan budaya Cina termasuk sekolah dan bahasa Cina, dan orang India dengan masalah

4

Malaysia yang dilaungkan kini adalah ala dasar asimilasi yang dilaksanakan

di Singapura selepas ia keluar dari Malaysia pada tahun 1965 sehingga

sekarang. Jika kita mengamalkan asimilasi Malaysian Malaysia, maka adalah

sukar untuk sesuatu parti atau pertubuhan untuk membawa dan

memperjuangkan masalah kaum mereka, dan Kerajaan juga tidak boleh

melaksanakan dasar intervensi kaum untuk memperbetulkan

ketidakseimbangan sosio-ekonomi kaum yang disebabkan oleh prejudis, bias

dan diskriminasi kaum. Jika ini berlaku maka masalah kaum di Malaysia akan

menjadi lebih tersirat, terbuku di hati dan parah. Kita tidak mahu perkara ini

berlaku. ICERD membuka laluan yang lebih besar kepada Malaysian Malaysia

ini.

8. Dalam sejarah, asimilasi telah dilaksanakan di banyak negara di seluruh dunia

untuk memaksa golongan minoriti meninggalkan identiti kaum mereka dan

mengambil cara hidup golongan majoriti. Ini berlaku di Amerika Syarikat

pada kurun ke-18 dan 19 apabila hamba-hamba abdi daripada Afrika dipaksa

menukar nama dan agama mereka kepada nama dan agama Kristian

mengikut cara hidup penduduk majoriti kulit putih di Amerika.

9. Dalam sejarah, asimilasi juga berlaku di negara China semasa zaman

Maharaja dahulu kala. Pada ketika itu, tujuan utama asimilasi adalah untuk

menghapuskan pemberontakan. Kebanyakan pemberontakan berlaku

apabila kumpulan-kumpulan etnik dan agama berkumpul dan merancang

sesama mereka untuk menentang kuasa Maharaja. Dengan asimilasi, identiti

kaum disamakan dan tiada lagi kumpulan etnik. Apabila identiti mereka

Page 6: ICERD - ishamjalil.files.wordpress.com · dengan masalah orang Cina seperti pengekalan adat resam dan budaya Cina termasuk sekolah dan bahasa Cina, dan orang India dengan masalah

5

dineutralkan, ini menyukarkan kumpulan-kumpulan etnik daripada menjadi

teratur dan merancang pemberontakan terhadap kuasa Maharaja.

10. Semasa Merdeka dan pembentukan Malaysia, pemimpin-pemimpin pada

ketika itu memilih untuk tidak meng-asimilasi kaum tetapi untuk kaum-kaum

terus mengekalkan identiti dan mengamalkan cara hidup dan adat resam

budaya mereka dan hidup bersama kaum lain melalui integrasi.

11. Jika pada masa itu kita membuat keputusan untuk asimilasi dan bukannya

integrasi, maka mungkin semua kaum minoriti rakyat Malaysia perlu

meninggalkan budaya asal dan menukar nama mereka kepada nama

tempatan atau nama Islam iaitu budaya majoriti Melayu di Malaysia seperti

yang berlaku di negara jiran.

12. Namun dengan asimilasi, masalah diskriminasi kaum akan menjadi lebih

teruk dan tidak banyak yang boleh kita lakukan di peringkat dasar dan

Kerajaan untuk memperbetulkannya seperti yang berlaku di banyak negara

lain.

13. Sebaliknya dengan integrasi kaum yang diamalkan oleh Kerajaan sebelum ini,

kita bukan sahaja memperjuangkan kaum Melayu, malah kita

memperjuangkan nasib semua kaum dan bertoleransi. Kita tidak perlu

meninggalkan budaya kita untuk maju ke hadapan. Kita boleh maju dengan

membawa adat resam dan kepelbagaian budaya kita. Kita mahu perjuangkan

Page 7: ICERD - ishamjalil.files.wordpress.com · dengan masalah orang Cina seperti pengekalan adat resam dan budaya Cina termasuk sekolah dan bahasa Cina, dan orang India dengan masalah

6

diversiti atau kepelbagaian kaum dan pengekalan identiti, bukannya asimilasi

atau kesamaan bangsa secara pukul rata.

14. Asimilasi akan menerukkan masalah diskriminasi dan racism kerana tindakan

korektif atau pembetulan serius dan siknifikan tidak dapat dilaksanakan. Ini

adalah kerana di bawah asimilasi dan kesamaan bangsa, dasar-dasar

kerajaan tidak boleh dibuat berdasarkan kaum. Dan dari segi perlaksanaan

juga, ianya sukar dilakukan kerana tiada pendaftaran mengikut identiti kaum

dan kekurangan statistik sosio-ekonomi mengikut etnik. Jika kita mengikut

saranan Mariam Mokhtar untuk mengeluarkan identiti bangsa dan agama di

atas kad pengenalan dan pendaftaran kewarganegaraan, masalah ini akan

menjadi lebih teruk. Atas sebab-sebab di ataslah percubaan kerajaan

Amerika Syarikat selama ini untuk memperbetulkan ketidakseimbangan

sosio-ekonomi dan masalah diskriminasi kaum di Amerika Syarikat masih

gagal. Kita tidak boleh terperangkap dengan helah ini.

Page 8: ICERD - ishamjalil.files.wordpress.com · dengan masalah orang Cina seperti pengekalan adat resam dan budaya Cina termasuk sekolah dan bahasa Cina, dan orang India dengan masalah

7

BAB 2 Masalah Tokenisme dan Diskriminasi Yang Lebih Teruk Akibat “Kesamarataan”

ICERD

15. Dalam masyarakat majmuk, asimilasi dan “kesamarataan” juga membawa

suatu masalah yang serius iaitu “tokenisme”. Di sebalik topeng

kesamarataan, wujud masalah tokenisme yang menerukkan masalah

diskriminasi. Tokenisme ialah apabila sesuatu kumpulan menerima atau

menjemput masuk seorang atau segelintir orang yang tidak sama dengan

kumpulan mereka untuk mewujudkan persepsi bahawa kumpulan mereka

adalah inklusif dan kononnya terbuka dan pelbagai.

16. Dalam konteks kaum, apabila sesuatu kumpulan tertentu yang terdiri

daripada satu kaum menerima atau menjemput masuk seorang dua atau

segelintir orang dari kaum lain untuk menunjukkan kumpulan mereka itu

tidak racist, ianya adalah tokenisme. Masalah dalam tokenisme ini ialah

orang yang dijemput masuk ini akan digunakan sebagai topeng atau

camouflage untuk menunjukkan kumpulan ini tidak racist namun hakikat di

sebalik topeng ini mereka lebih teruk mengamalkan racism.

Page 9: ICERD - ishamjalil.files.wordpress.com · dengan masalah orang Cina seperti pengekalan adat resam dan budaya Cina termasuk sekolah dan bahasa Cina, dan orang India dengan masalah

8

17. Banyak parti-parti politik yang kononnya tidak berasaskan kaum atau agama

mengamalkan tokenisme ini untuk menunjukkan meraka kononnya terbuka

kepada pelbagai bangsa dan agama atau multiracial dan bukan racist namun

hakikatnya adalah sebaliknya. Dalam perniagaaan dan sektor swasta juga

perkara ini berlaku. Di satu negara jiran, mereka telah melantik seorang

wanita Melayu untuk menjadi Presiden untuk menunjukkan yang mereka

tidak racist. Namun mereka malu untuk mengetengahkan dan

memperkenalkan beliau baru-baru ini apabila Presiden Amerika Syarikat

datang ke negara mereka.

Page 10: ICERD - ishamjalil.files.wordpress.com · dengan masalah orang Cina seperti pengekalan adat resam dan budaya Cina termasuk sekolah dan bahasa Cina, dan orang India dengan masalah

9

BAB 3 ICERD dan Meritokrasi Yang Tidak Adil

18. Selepas menang Pilihanraya Umum ke-14, Kerajaan kini sering melaung-

laungkan dasar meritokrasi. Namun apa yang mereka mungkin tidak nampak

ialah meritokrasi tidak semestinya adil, dan dalam beberapa perkara ianya

adalah zalim. Walaupun dasar ini di atas permukaan nampak adil namun

sebenarnya ianya tidak adil apabila dilaksanakan. Dalam perlaksanaan,

akibat kepelbagaian kes masyarakat, meritokrasi rata-rata dilaksanakan

secara pukul rata mengikut kriteria umum yang ditentukan oleh pembuat

dasar.

19. Sebagai contoh, jika seorang anak orang kaya yang tinggal di bandar dengan

segala kemudahan mendapat 9A dalam SPM memohon satu biasiswa dan ia

bersaing dengan seorang anak orang miskin dari kampung pedalaman yang

mendapat 8A 1B. Mengikut meritokrasi anak orang kaya itu lebih berhak

mendapat biasiswa berbanding anak orang miskin tersebut yang mendapat

kurang 1A. Namun kedua-dua mereka mempunyai kemudahan dan

latarbelakang yang berbeza yang menyebabkan peluang yang tidak sama

rata kepada setiap seorang daripada mereka. Anak orang miskin tersebut

lebih memerlukan biasiswa dan mendapat 8A dengan latarbelakang yang

Page 11: ICERD - ishamjalil.files.wordpress.com · dengan masalah orang Cina seperti pengekalan adat resam dan budaya Cina termasuk sekolah dan bahasa Cina, dan orang India dengan masalah

10

lebih sukar. Dan jika beliau mendapat biasiswa, ianya akan dapat mengubah

nasib keluarganya dengan lebih besar berbanding anak orang kaya tersebut,

dan dengan ini sedikit demi sedikit dapat mengeluarkan lebih ramai orang

dari kepompong kemiskinan kepada kelompok berpendapatan lebih tinggi.

Namun di bawah meritokrasi pukul rata, anak orang miskin tersebut tidak

akan dapat biasiswa.

20. Sebab itu sebelum ini saya pernah berkata bahawa meritokrasi secara pukul

rata adalah tidak adil dan akan menyebabkan yang kaya menjadi lebih kaya

dan yang miskin menjadi semakin miskin atau tinggal di takuk lama. Ini

menyebabkan ketidakseimbangan sosio-ekonomi dan inequity dalam

masyarakat. Ini tidak baik untuk masyarakat dan negara.

21. Saya sebaliknya akan memilih anak orang miskin untuk biasiswa tersebut

walaupun dia mendapat kurang 1A dan bukannya anak orang kaya yang

mendapat 9A yang mendapat biasiswa mengikut meritokrasi seperti di atas.

Kaedah ini adalah kaedah keadilan sosial yang bersandarkan keperluan, dan

latar belakang di samping merit. Ini lebih menyeluruh dan adil berbanding

daripada pilihan hanya berdasarkan merit yang bersandarkan kriteria yang

sempit dan pukul rata. Saya memperjuangkan kaedah keadilan sosial dan

bukan meritokrasi pukul rata.

22. Meritokrasi juga terdedah kepada ketidakadilan dan salahguna iaitu apabila

kriteria yang digunakan untuk menanda aras merit adalah tidak adil atau

digunakan untuk agenda tertentu. Contohnya penggunaan Bahasa Inggeris

Page 12: ICERD - ishamjalil.files.wordpress.com · dengan masalah orang Cina seperti pengekalan adat resam dan budaya Cina termasuk sekolah dan bahasa Cina, dan orang India dengan masalah

11

sebagai kriteria kenaikan pangkat penjawat awam. Baru-baru ini YAB

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir menyatakan bahawa kemahiran

berbahasa Inggeris akan dijadikan kriteria kenaikan pangkat penjawat-

penjawat awam. Saya fasih berbahasa Inggeris, namun saya tidak bersetuju

dengan dasar ini. Kita tidak boleh jadikan kefasihan berbahasa Inggeris

sebagai penanda aras untuk kompetensi dan kenaikan pangkat. Kefasihan

berbahasa Inggeris dan kecekapan mentadbir bukanlah sinonim dan

berkadar terus. Orang yang fasih berbahasa Inggeris tidak semestinya

kompeten dan orang yang tidak fasih tidak semestinya tidak kompeten.

23. Saya lama juga berkhidmat dengan Kerajaan. Ramai pegawai-pegawai

Kerajaan yang tidak fasih berbahasa Inggeris, namun mereka amat cekap

melaksanakan tugas. Adalah tidak adil kepada mereka jika kita menanda aras

kompetensi mereka berdasarkan kemahiran berbahasa Inggeris. Ini satu lagi

bentuk opresi yang menggunakan kefasihan berbahasa Inggeris untuk

menidakkan orang-orang Melayu. Dalam sektor swasta, ramai orang Melayu

ditidakkan peluang pekerjaan atas alasan mereka tidak fasih berbahasa

Inggeris. Kini perkara ini melarat pula di sektor awam. Lebih ramailah orang

Melayu akan terkesan akibat daripada dasar ini. Saya pernah tinggal di luar

negara selama 8 tahun dan pernah bersaing di universiti yang paling

kompetitif di dunia. Orang putih atau orang bukan Melayu yang fasih

berbahasa Inggeris pun tidak semestinya pandai atau cekap.

24. Kita sepatutnya memperkasakan Bahasa Melayu dalam Kerajaan sebab ianya

adalah Bahasa Kebangsaan dan tanda identiti negara kita, dan bukannya

Page 13: ICERD - ishamjalil.files.wordpress.com · dengan masalah orang Cina seperti pengekalan adat resam dan budaya Cina termasuk sekolah dan bahasa Cina, dan orang India dengan masalah

12

menidakkan peluang orang Melayu yang cekap mentadbir hanya kerana

mereka tidak fasih berbahasa Inggeris. Tidak salah membuat sesuatu dasar

untuk meningkatkan penguasaan Bahasa Inggeris, namun ianya tidak patut

dijadikan halangan dan kekangan.

25. Sebelum ini saya pernah menulis berkenaan prejudis dan bias ke atas orang-

orang Melayu di Malaysia. Kini di serata dunia sentimen prejudis dan bias ke

atas orang-orang Islam pula semakin kuat. Perdana Menteri Tun Dr Mahathir

selalu berkata bahawa Melayu ini malas dan bodoh. Ini bukti yang bangsa

Melayu ini tidakpun dianggap superior malah dianggap lemah. Anggapan Dr

Mahathir ini adalah suatu bentuk prejudis dan bias dan bigotry terhadap

orang-orang Melayu. Saya sebaliknya percaya dengan kata-kata Descartes

iaitu “Cogito ergo sum” atau “Saya fikir oleh itu itulah saya”. Jika hari-hari

kita kata dan fikir kita bodoh dan malas, mungkin kita akan menjadi begitu

walaupun kita sebenarnya tidak bodoh dan malas.

26. Orang Melayu bukanlah bodoh dan malas, namun prejudis dan bias ini

menghantui mereka dan menyebabkan mereka dibenci dan diperlekeh.

Prejudis dan bias ini sebenarnya dimulakan semasa zaman penjajahan British

dahulu sebagai propaganda untuk melemahkan pemikiran orang-orang

Melayu. Kini pemimpin-pemimpin kita pun termakan dengan propaganda ini.

Propaganda yang sama dilakukan oleh orang kulit putih terhadap orang kulit

hitam di Amerika dua ratus tahun yang lepas. Ramai tokoh-tokoh Melayu di

pelbagai bidang yang berjaya. Mereka ini tidak malas dan bukan bodoh.

Page 14: ICERD - ishamjalil.files.wordpress.com · dengan masalah orang Cina seperti pengekalan adat resam dan budaya Cina termasuk sekolah dan bahasa Cina, dan orang India dengan masalah

13

Namun ramai yang terbantut peluang dan didiskriminasi akibat prejudis, bias

dan stigma ini. Bekas Presiden Amerika Syarikat, Bill Clinton baru-baru ini

berkata bahawa walaupun dunia telah moden dan berubah, masalah identiti

(prejudis dan bias terhadap kaum) masih menjadi isu yang besar.

27. Akibat daripada prejudis dan bias ini, ramai orang Melayu masih sukar untuk

mendapatkan pekerjaan di syarikat-syarikat bukan Melayu, dan ramai

usahawan-usahawan Melayu masih menghadapi masalah dalam perniagaan

kerana sukar menembusi rangkaian perniagaan dan supply-chain atau

rantaian bekalan yang dikuasai bukan Melayu. Ini adalah hakikat dan realiti.

28. Walaupun dahulu orang Melayu menguasai Kerajaan, namun pecahan

ekonomi yang disumbang oleh Kerajaan hanyalah satu per lima sahaja.

Selebihnya iaitu empat per lima daripada ekonomi negara adalah di sektor

swasta. Orang Melayu tidak menguasai sektor ini. Sebab itu selepas hampir

50 tahun dasar ekonomi Bumiputera, ekuiti Melayu dalam ekonomi adalah

kurang daripada 20 peratus, walaupun bilangan orang-orang Melayu dan

Bumiputera adalah melebihi 60 peratus. Ini menyebabkan

ketidakseimbangan sosio-ekonomi dan ketidakadilan ekonomi atau inequity.

29. Tanpa dasar ekonomi bumiputera oleh Kerajaan dahulu, mungkin kini ekuiti

Melayu berada jauh lebih rendah, seperti yang berlaku kepada etnik-etnik

yang dipinggir di negara-negara lain yang tidak mengamalkan dasar

intervensi kaum. Etnik yang dipinggir tidak semestinya minoriti. Di banyak

negara, etnik majoriti yang dipinggir seperti yang berlaku di Afrika dan

Page 15: ICERD - ishamjalil.files.wordpress.com · dengan masalah orang Cina seperti pengekalan adat resam dan budaya Cina termasuk sekolah dan bahasa Cina, dan orang India dengan masalah

14

Amerika Selatan. Bekas Perdana Menteri Britain, Margaret Thatcher dalam

bukunya Statecraft pernah menyatakan bahawa di Indonesia, kurang lima

peratus rakyatnya iaitu daripada satu kaum minoriti menguasai lebih 80

peratus daripada ekonomi Indonesia. Kini di Malaysia, tiada lagi dasar

ekonomi Bumiputera dan dasar intervensi kaum akan dihapuskan oleh

Kerajaan. Ini akan menerukkan lagi masalah ketidakseimbangan sosio-

ekonomi kaum dan masalah inequity.

30. Kini tahap ancaman kepada kaum Melayu adalah lebih serius dan di depan

mata samada kita sedar atau tidak. Kita tidak lagi menguasai Kerajaan. Dalam

kurang dua bulan ini berpuluh ribu penjawat awam telah diberhentikan kerja

oleh Kerajaan. Hampir kesemua mereka ini adalah orang Melayu. Mereka

bukanlah hanya statistik atau angka di atas kertas. Mereka ini adalah real

people yang mempunyai kehidupan dan keluarga. Mereka ini akan dilambak

di pasaran kerja dan perniagaan di sektor swasta dan bersaing dengan

graduan-graduan yang baru keluar universiti.

31. Seperti yang saya nyatakan di atas, kita tidak menguasai sektor swasta, dan

kita tahu diskriminasi kerja berlaku di sektor swasta terhadap orang-orang

Melayu. Ini mendatangkan masalah kepada kita apabila kini Kerajaan pun

tidak ambil orang Melayu bekerja malah membuang lagi mereka.

32. Salah satu sebab mengapa ekonomi negara berkembang pesat selepas tahun

1970an ialah kerana dasar ekonomi bumiputera telah berjaya membina kelas

pertengahan yang lebih besar. Orang Melayu telah keluar daripada

Page 16: ICERD - ishamjalil.files.wordpress.com · dengan masalah orang Cina seperti pengekalan adat resam dan budaya Cina termasuk sekolah dan bahasa Cina, dan orang India dengan masalah

15

kepompong kemiskinan dan masuk ke kelompok kelas pertengahan dan

professional. Kini selepas 40 tahun dasar ekonomi Bumiputera, ramai anak-

anak petani, nelayan dan penoreh getah Melayu yang dulunya miskin kini

pulang ke kampung berhari raya sebagai jurutera, doktor, peguam dan

akauntan. Dengan kelas pertengahan yang besar ini, pasaran pun menjadi

lebih besar kerana pendapatan rakyat bertambah. Ini menguntungkan

semua pihak bukan sahaja orang-orang Melayu malah peniaga-peniaga di

sektor swasta yang kebanyakannya adalah bukan Melayu.

Page 17: ICERD - ishamjalil.files.wordpress.com · dengan masalah orang Cina seperti pengekalan adat resam dan budaya Cina termasuk sekolah dan bahasa Cina, dan orang India dengan masalah

16

BAB 4 ICERD dan Penghapusan Dasar Tindakan Afirmatif oleh Kerajaan

33. Baru-baru ini salah seorang pemimpin Kerajaan, Datuk Seri Anwar Ibrahim

menyatakan bahawa dasar intervensi berdasarkan kaum atau dasar tindakan

afirmatif seperti dasar ekonomi Bumiputera akan dihapuskan. Pemimpin-

pemimpin Kerajaan berpendapat bahawa dasar ini adalah racist. Ini sejajar

dengan saranan ICERD. Walaupun dalam artikel-artikel ICERD ada disebut

berkenaan diskriminasi positif yang dibenarkan, namun di bawah

konvensyen ini perlaksanaannya adalah amat terbatas dan sempit.

Sebenarnya dasar tindakan afirmatif seperti dasar ekonomi Bumiputera dan

Malaysian Indian Blueprint bukan racist tetapi adalah sebaliknya iaitu ianya

adalah anti-racist.

34. Dasar tindakan afirmatif diwujudkan untuk memperbaiki ketidakseimbangan

sosio-ekonomi kaum akibat daripada diskriminasi kaum dan racism dalam

masyarakat. Dalam sejarah, pejuang-pejuang yang memperjuangkan dasar

tindakan afirmatif adalah seperti Presiden John F. Kennedy dan Dr Martin

Luther King Jr di Amerika Syarikat dan Presiden Mandela di Afrika Selatan.

Tokoh-tokoh ini bukan racist, malah jauh sekali, mereka menentang racism.

Tanpa dasar tindakan afirmatif, masalah diskriminasi dan racism akan

Page 18: ICERD - ishamjalil.files.wordpress.com · dengan masalah orang Cina seperti pengekalan adat resam dan budaya Cina termasuk sekolah dan bahasa Cina, dan orang India dengan masalah

17

menjadi lebih teruk lagi. Dahulu saya pernah berkata, di sesetengah perkara

“Equal treatment policy can create unequal society”, atau dasar yang pukul

rata akan menghasilkan masyarakat yang tidak sama rata. Ini adalah kerana

latar belakang, persepsi dan tindakan masyarakat terhadap sesuatu kaum

adalah berbeza-beza dan tidak sama. Jika tiada dasar intevensi kaum atau

dasar tindakan afirmatif untuk memperbetulkan keadaan ini, masalah racism

dan diskriminasi dalam masyarakat akan menjadi lebih ketara. Masalah ini

perlu diperbetulkan melalui dasar intervensi atau tindakan afirmatif

kerajaan. Dasar ini perlu diteruskan kepada kumpulan etnik dan setiap kaum

yang memerlukan.

35. Dasar tindakan afirmatif berdasarkan kaum adalah tidak bersalah, dan ianya

perlu diteruskan selagi adanya prejudis dan bias dalam masyarakat yang

menyebabkan diskriminasi yang signifikan yang perlu diperbetulkan. Dari

segi moral dasar ini perlu malah ianya sesuatu yang penting. Apa yang salah

selama ini ialah cara perlaksanaannya iaitu cara kroni-kapitalisme. Ini yang

telah merosakkan dan menjadi wabak penyebab penyakit politik wang. Ini

yang perlu dibuang. Bukannya dasar tindakan afirmatif itu sendiri.

Page 19: ICERD - ishamjalil.files.wordpress.com · dengan masalah orang Cina seperti pengekalan adat resam dan budaya Cina termasuk sekolah dan bahasa Cina, dan orang India dengan masalah

18

BAB 5 ICERD dan Penghapusan Institusi Raja-Raja Melayu

36. Jika ICERD diratifikasi, kebarangkalian untuk Malaysia untuk menjadi sebuah

negara Republik akan menjadi lebih tinggi. Saya tidak bersetuju jika negara

ini bertukar menjadi Republik dan menghapuskan institusi Raja-raja Melayu

seperti yang dikiaskan oleh beberapa pemimpin-pemimpin Kerajaan. Ini

bukanlah kerana saya percaya kepada konsep “Divine Rights” atau hak kurnia

dari langit kepada raja-raja seperti yang dihujah selama beratus tahun oleh

ahli falsafah dan ahli politik Barat yang menyokong kerajaan monarki dahulu

sebagai justifikasi moral kepada institusi ber-Raja. Kini mereka sendiri tidak

lagi percaya kepada konsep Divine Rights ini, namun mereka masih

mengekalkan kerajaan monarki ber-Parlimen seperti di England, Belgium,

Sweden, Denmark, Sepanyol, dan Belanda, seperti juga kita di Malaysia.

37. Kerajaan ber-Raja kini bukanlah seperti kerajaan monarki feudal di Eropah

semasa zaman kegelapan seribu tahun dahulu. Malah institusi ber-Raja ini

telah melalui pelbagai ujian dan cabaran selama beratus-ratus tahun. Ada

sebabnya mengapa institusi ini telah kekal menongkah zaman walaupun di

negara-negara maju.

Page 20: ICERD - ishamjalil.files.wordpress.com · dengan masalah orang Cina seperti pengekalan adat resam dan budaya Cina termasuk sekolah dan bahasa Cina, dan orang India dengan masalah

19

38. Pada hemat saya, ada dua sebab mengapa institusi ber-Raja di Malaysia perlu

dikekalkan. Sebab pertama ialah kontinuiti atau kesinambungan budaya,

adab resam dan cara hidup. Kerajaan dan dasar boleh bertukar setiap lima

tahun, namun ada beberapa perkara perlu dikekalkan untuk kestabilan dan

kesinambungan identiti, budaya dan cara hidup masyarakat di negara ini.

39. Budaya dan cara hidup majoriti rakyat di negara ini sejak berkurun lamanya

adalah cara hidup budaya Melayu dan Islam. Ini adalah identiti negara

Malaysia. Institusi Raja-raja adalah penting sebagai pelindung dan pengekal

identiti dan cara hidup ini walaupun Kerajaan bertukar ganti di Parlimen dan

Putrajaya setiap lima tahun. Jika kita hilang identiti ini, maka cara hidup,

adab, budaya dan bahasa kita mungkin akan hilang ditelan zaman.

40. Budaya dan cara hidup Melayu dan Islam di negara ini perlu dikekalkan dan

dilindungi kerana ianya adalah teras dan asas kepada pegangan moral, adab,

kesopanan dan kesusilaan (decency) majoriti masyarakat Malaysia. Tanpa

asas moral atau agama yang kuat, maka kesusilaan (decency) dan adab

masyarakat kita akan menjadi lemah. Sebab itu pengekalan identiti budaya,

adab resam dan cara hidup ini adalah penting. Saya tidak mahu anak-anak

saya tinggal dalam satu masyarakat yang tidak bertatasusila (indecent), tiada

pegangan moral yang kuat dan tidak beradab.

41. Sebab kedua mengapa institusi Raja-raja Melayu ini penting ialah sebagai

satu institusi semak imbang terakhir kepada kuasa Kerajaan dan Perdana

Menteri. Walaupun sistem Republik tanpa institusi ber-Raja akan

Page 21: ICERD - ishamjalil.files.wordpress.com · dengan masalah orang Cina seperti pengekalan adat resam dan budaya Cina termasuk sekolah dan bahasa Cina, dan orang India dengan masalah

20

mewujudkan sistem demokrasi total dengan kuasa rakyat, namun

paradoksnya, sejarah telah membuktikan di serata dunia bahawa sistem

demokrasi adalah terdedah kepada salahguna kuasa dan korupsi serta

pemerintahan diktator akibat daripada pemusatan kuasa yang mudah dibuat

dengan memanipulasi pendapat awam. Sesuatu yang populist tidak

semestinya baik untuk rakyat dan negara, dan ada kalanya berbahaya.

42. Sebagai contoh, demokrasilah yang telah memilih Hitler dalam pilihanraya

negara Jerman sebagai pemimpin mereka pada awal abad ke-20. Demokrasi

juga telah memilih Slobodan Milosevic sebagai Presiden yang telah

menghasut majoriti rakyat Yugoslavia berbangsa Serbia untuk membunuh

etnik minoriti Bosnia dalam penghapusan etnik pada awal tahun 1990-an.

Dan demokrasi juga yang tidak mampu untuk menghalang pembunuhan

etnik beramai-ramai di Rwanda pada tahun 1994 dan telah menerukkan lagi

keadaan apabila majoriti etnik Hutu yang menguasai Kerajaan melalui

pilihanraya membunuh satu juta etnik minoriti Tutsi.

43. Saya bukan anti-demokrasi, malah saya adalah seorang yang pro-demokrasi.

Sistem demokrasi adalah baik dan sehingga kini tiada sistem politik lain yang

lebih baik daripada sistem demokrasi. Namun demokrasi ini perlu disemak

imbang kerana ianya tidak sempurna dan pernah mengakibatkan tragedi

seperti tragedi-tragedi dalam sejarah di seluruh dunia seperti di atas.

Kadang-kadang untuk mempertahankan demokrasi kita perlu melindungi

demokrasi daripada dirinya sendiri.

Page 22: ICERD - ishamjalil.files.wordpress.com · dengan masalah orang Cina seperti pengekalan adat resam dan budaya Cina termasuk sekolah dan bahasa Cina, dan orang India dengan masalah

21

44. Walaupun ada Parlimen dan Mahkamah untuk semak imbang Kerajaan,

namun jika Parlimen dikuasai wakil rakyat Kerajaan dengan kuat, maka ianya

tidak akan berjaya menyemak imbang Kerajaan dan Perdana Menteri. Dan

sejarah juga pernah membuktikan yang Mahkamah juga pernah terdedah

kepada pengaruh kuasa Perdana Menteri. Dan Mahkamah juga pernah

menjadi asbab tragedi. Contohnya di Rwanda pada tahun 1994, bermulanya

pembunuhan beramai-ramai etnik Tutsi oleh etnik majoriti Hutu adalah

apabila seorang hakim mahkamah menuduh kaum etnik Tutsi yang

membunuh Presiden Rwanda berbangsa Hutu yang mati akibat tembakan

roket kepada helikopter yang dinaikinya.

45. Institusi Raja-raja di Malaysia ini adalah penting sebagai pelindung

kesinambungan identiti, cara hidup dan budaya masyarakat Malaysia, dan

sebagai institusi semak dan imbang terakhir untuk rakyat dan negara setelah

institusi-institusi lain seperti Parlimen dan Mahkamah tidak berjaya. Sebab

itu ianya penting dan perlu dikekalkan.

Page 23: ICERD - ishamjalil.files.wordpress.com · dengan masalah orang Cina seperti pengekalan adat resam dan budaya Cina termasuk sekolah dan bahasa Cina, dan orang India dengan masalah

22

Page 24: ICERD - ishamjalil.files.wordpress.com · dengan masalah orang Cina seperti pengekalan adat resam dan budaya Cina termasuk sekolah dan bahasa Cina, dan orang India dengan masalah

23

KESIMPULAN

46. Saya adalah seorang yang progresif. Saya percaya bahawa asimilasi,

meritokrasi secara pukul rata, pembatalan dasar intervensi kaum dan

penghapusan institusi Raja-raja Melayu yang dibuka laluan oleh ICERD ini

adalah idea-idea yang dangkal dan superfisial dalam konteks Malaysia, dan

adalah suatu arah yang salah dan bahaya yang akan membawa keburukan

kepada negara dan rakyat Malaysia. Dasar-dasar dan cadangan-cadangan ini

adalah ancaman yang lebih hebat kepada rakyat Malaysia dan negara kini

daripada ancaman Malayan Union kepada orang-orang Melayu dan negara

pada tahun 1946 dahulu. Sebab itu kita perlu tentang ICERD ini habis-

habisan.

47. Walaupun para Menteri Kerajaan mengatakan bahawa ICERD tidak akan

memberi kesan kepada Perlembagaan, sebenarnya ia akan memberi kesan

dan mengubah cara hidup rakyat Malaysia. Dan perubahan ini bukan ke arah

yang lebih baik seperti yang disangka namun sebaliknya. ICERD akan

menyukarkan penggubalan dasar-dasar berasaskan kaum dan agama dan

juga menyukarkan pergerakan institusi-institusi berasaskan kaum dan agama

Page 25: ICERD - ishamjalil.files.wordpress.com · dengan masalah orang Cina seperti pengekalan adat resam dan budaya Cina termasuk sekolah dan bahasa Cina, dan orang India dengan masalah

24

seperti parti-parti politik dan NGO-NGO yang akan membantutkan

perjuangan mereka untuk membela nasib komuniti mereka dan

mengelakkan penindasan.

48. Apabila parti-parti politik dan NGO-NGO berasaskan kaum dan agama ini

lemah, maka perjuangan kaum-kaum dan komuniti mereka untuk

menegakkan hak mereka juga akan menjadi lemah. Apabila ini berlaku dan

nasib komuniti-komuniti ini tidak terbela, maka akan berlakulah masalah

perkauman dan diskriminasi yang lebih teruk dalam negara yang membawa

kepada malapetaka. Ini perlu dielakkan. Sebab itu semua rakyat Malaysia

tidak kira Melayu, Cina, India, Bumiputera Sabah dan Sarawak, beragama

Islam, Hindu atau Buddha, perlu menolak dan menentang ICERD ini.

49. Sekiranya Kerajaan meratifikasi ICERD, maka Kerajaan perlu menghantar

laporan setiap tahun kepada sekretariat ICERD ini untuk melaporkan samada

kita patuh kepada dasar-dasar mereka. Sekiranya kita tidak patuh, mereka

boleh memberikan tekanan kepada kita. Dan tekanan ini boleh dijadikan

alasan oleh Kerajaan untuk menggubal Perlembagaan termasuk perkara-

perkara yang melibatkan orang-orang Melayu, Bumiputera dan Islam dan

juga komuniti-komuniti lain. Jika ahli-ahli Parlimen Kerajaan cukup dua per

tiga dalam Dewan Rakyat, maka Perlembagaan berkemungkinan besar akan

diubah.

Page 26: ICERD - ishamjalil.files.wordpress.com · dengan masalah orang Cina seperti pengekalan adat resam dan budaya Cina termasuk sekolah dan bahasa Cina, dan orang India dengan masalah

25

50. ICERD ini adalah acuan barat. Negara kita tidak sama dengan negara barat.

Konteks keharmonian dan hubungan kaum di Malaysia adalah berbeza di

sini. Selama berpuluh tahun lamanya kita telah berjaya mengekalkan

keharmonian pelbagai kaum tanpa banyak insiden. Kita sudah Merdeka. Kita

tidak perlu telunjuk orang luar atau bekas penjajah untuk mencorak cara kita

mentadbir diri kita sendiri. Biarlah kita menentukan untung nasib kita sendiri

di tanahair ini.

ISHAM JALIL

Kuala Lumpur

7 Disember 2018

Page 27: ICERD - ishamjalil.files.wordpress.com · dengan masalah orang Cina seperti pengekalan adat resam dan budaya Cina termasuk sekolah dan bahasa Cina, dan orang India dengan masalah

26

Page 28: ICERD - ishamjalil.files.wordpress.com · dengan masalah orang Cina seperti pengekalan adat resam dan budaya Cina termasuk sekolah dan bahasa Cina, dan orang India dengan masalah

RM11.50