Upload
rithuan-zainal-abidin
View
45
Download
3
Embed Size (px)
Citation preview
Faktor yang mempengaruhi aspek pencapaian akademik murid
1.0 PENGENALAN
Psikologi pembelajaran membentangkan pelbagai teori pembelajaran, kaedah
pengajaran, proses perkembangan mental dan sikap, pengelolaan dan pengawalan
kelas untuk meningkatkan keberkesanan pembelajaran dan pengajaran. Psikologi
adalah satu bidang sains yang tertumpu pada kajian tingkah laku manusia. Pendidikan
pula bertujuan untuk memperkembang mental dan kebolehan individu untuk menjadi
insan yang berakhlak mulia, bertanggungjawab dan berguna demi memberi
sumbangan dan memupuk kesejahteraan masyarakat. Justeru, psikologi pendidikan
merupakan satu bidang kajian santifik atas tingkah laku murid yang dapat membantu
guru memahami murid dan membimbingnya dalam pembelajaran serta menambahkan
keberkesanan pengajaran guru.
Untuk mencapai tujuan tersebut, tugasan kali ini meninjaukan suasana, faktor
dan keadaan murid yang mempengaruhi aspek pencapaian akademik murid-murid.
Guru pula didedahkan dengan pelbagai kemahiran, maklumat dan teori pengajaran
yang diperoleh daripada pengalaman dan kajian yang lain. Maka psikologi
pendidikan membekalkan guru dengan maklumat tentang pembelajaran murid dari
segi minat, motivasi, pemikiran, ingatan, perbezaan individu dan sebagainya serta
pelbagai kaedah mengajar dan pengurusan kelas. Tumpuan utama ialah bagaimana
murid belajar dan bagaimana guru dapat menyampaikan pelajaran dengan berkesan.
Guru juga perlu didedahkan kepada konsep psikologi perkembangan, psikologi
pembelajaran, pembentukan personaliti dan psikologi sosial.
Psikologi pembelajaran membentangkan pelbagai teori pembelajaran, kaedah
pengajaran, proses perkembangan mental dan sikap, pengelolaan dan pengawalan
kelas untuk meningkatkan keberkesanan pembelajaran dan pengajaran. Bidang ini
juga menitikberatkan keupayaan mental manusia seperti pemikiran, penanggapan,
penaakulan, ingatan, kreativiti dan perbezaan individu dari segi kecerdasan, sikap dan
minat. Pendidikan akan menyediakan pengalaman bagi seseorang individu. Dengan
pengalaman ini, perubahan tingkah laku individu itu akan berlaku. Adalah jelas sekali
bahawa mutu pengajaran dan pembelajaran yang diambil oleh seorang guru dalam
proses pengajaran dan pembelajaran dapat meningkatkan pencapaian murid di
sekolah.
2.0 TUJUAN KAJIAN
Kajian ini adalah bertujuan untuk :
Mengkaji faktor-faktor yang mempengaruhi aspek pencapaian akademik murid yang
baik dan pencapaian akademik murid yang lemah berpandukan teori-teori psikologi
pendidikan.
Mencadangkan langkah-langkah bernas yang boleh diambil oleh seoarang
guru dalam proses pengajaran dan pembelajaran yang melibatkan murid-murid yang
mempunyai pencapaian akademik tidak sama.
3.0 KAJIAN KES
3.1 Dapatan kajian
Setelah menjalani Pengalaman Berasaskan Sekolah (PBS) yang saya jalankan di
sekolah Sk Sebanban, Serian. Dimana saya telah dapat menyiapkan kajian mengenai
pencapaian akademik baik dan pencapaian akademik lemah di antara dua pelajar.
Kajian ini telah saya jalan kan selama seminggu termasuk sabtu dan ahad.
Memandangkan salah seorang kanak-kanak yang menjadi bahan kajian saya adalah
merupakan anak jiran saya yang berumur 8 dan 9 tahun. Mereka berdua adalah
merupakan murid tahun dua dan tahun tiga di sekolah Sk Sebanban, Serian.
Kanak-kanak pertama yang saya terlibat dalam kajian saya ini ialah Emmarina
Irene ak Maria. Dia lebih suka sekiranya saya memanggil namanya Emma. Emma
mempunyai 5 orang adik beradik dan dia berumur 8 tahun. Kanak-kanak ini
merupakan seorang anak yang lahir tanpa bapa. Perkara ini dapat saya lihat dari kad
kliniknya. Jadi dapat saya simpulkan bahawa Emma ini tidak mengenali bapa
kandungnya sendiri dan dia merupakan anak luar nikah. Dari yang saya lihat dan
temubual bersama Tuai Rumah, keluarga Emma ini adalah golongan keluarga yang
sangat miskin. Ini kerana hanya ibunya sahaja yang mencari pendapatan untuk
mereka 5 orang adik beradik yang masing-masing berumur 4-12 tahun.
Di dalam kelas semasa sesi pengajaran dan pembelajaran Emma adalah
merupakan seorang kanak-kanak yang sangat pendiam dan sensitif. Emma suka
menangis dan masih belum dapat mengawal emosinya sendiri. Dia suka menyendiri
dan tidak mempunyai rakan yang rapat. Emma juga selalu tidak mengendahkan
segala pertanyaan yang saya berikan. Melalui temubual bersama kenalan emaknya,
dia menyatakan bahawa emaknya adalah seorang yang buta huruf. Ini kerana dia tidak
pernah bersekolah. Jadi dia mengaku bahawa agak susah untuk membimbing anak-
anaknya dalam pelajaran kerana dia sendiri pun buta huruf dan tidak pernah
bersekolah. Ini bermakna Emma hanya berpeluang mendapat pendidikan di sekolah
sahaja.
Kanak-kanak kedua yang saya libatkan dalam kajian kes saya ini ialah Nur
Atierah Binti Salim. Dia berumur sembilan tahun. Atierah merupakan seorang anak
tunggal dalam keluarganya. Emaknya seoarang yang berpendidikan dan bersekolah
setakat tingkatan enam. Manakala bapanya pula adalah tukang masak di sekolah
SMK Serian. Di dalam kelas semasa sesi pengajaran dan pembelajaran, Atierah
adalah merupakan seoarang kanak-kanak yang aktif. Walaupun umurnya baru
sembilan tahun tetapi ingatannya sangat baik. Dia merupakan seoarang kanak-kanak
yang cepat menerima pembelajaran. Lembaran kerja yang di berikan disiapkan dalam
masa yang singkat. Dia mempunyai ramai kawan dan aktif. Maka dapat saya
simpulkan bahawa kanak-kanak ini mempunyai pontensi untuk berjaya. Melalui
pentaksiran dan penilaian yang telah saya buat, saya telah mendapati perbezaan yang
sangat ketara di antara Emma (8 tahun) dan Atierah (9 tahun). Emma masih belum
dapat menguasai 3M (Membaca, Mengira, Menulis). Manakala Atierah sudah
menguasi 3M tersebut. Tambahan pula saya mendapati bahwa Atierah yang berusia 9
tahun, lebih tua dari Emma lebih menonjol dalam setiap tunjang kurikulum di
sekolah.
Kedua-dua orang kanak-kanak ini mempunyai banyak perbezaan yang ketara.
Baik dari segi umur, jantina, kecerdasan, kebolehan dan sebagainya. Menurut
Woolfolk (1997), teori kecerdasan awal adalah memfokus kepada 3 elemen,
pertamanya tentang keupayaan untuk belajar . Kedua , keseluruhan pengetahuan yang
telah individu perolehi dan ketiga ialah kebolehsuaian seseorang kepada situasi atau
persekitaran baru. Ketiga-tiga elemen ini, boleh dilihat dari keadaan kedua-dua
sasaran kajian saya. Dimana saya telah mengenalpasti Atierah mempunyai keupayaan
untuk belajar, dia dapat mengadaptasikan keseluruhan pengetahuan yang
diperolehinya di dalam bilik darjah. Menurut guru kelasnya, Atierah seringkali
berupaya memahami apa yang diajar dan menghantar latihannya. Bahkan setiap
latihan yang dihantar selalu tepat dan menepati objektif, berbanding dengan Emma,
dia jarang menyiapkan latihan yang diberikan kepadanya. Dalam elemen yang ketiga
pula, kedua-kedua kanak-kanak ini mempunyai kebolehan menyesuaikan diri dengan
situasi dan persekitaran yang berbeza-beza. Dalam teori kecerdasan awal ini,
seseorang kanak-kanak biasanya mempunyai kecerdasan awal dimana mereka boleh
berhadapan secara posiitif dalam persekitaran yang baru. Perkara ini saya dapat lihat
dalam diri Atierah.
3.2 Teori-Teori Pembelajaran
Teori membantu guru untuk memahami asas masalah pembelajaran khususnya dalam
konteks pendidikan khas. Teori dapat memberi panduan atau kaedah yang berkesan
dan bersesuaian untuk menyelesaikan masalah murid. Antara fungsi teori kepada guru
ialah teori membantu untuk seseorang guru membuat penilaian, menyemak bahan,
teknik, kaedah pembelajaran yang boleh digunakan kepada pelajar, teori memberi
panduan pengetahuan yang sistematik dan konsep bekerja bagi membolehkan
pengubahsuaian sesuatu ilmu baru dan ia amat penting kerana memberi arah panduan
menjelaskan dengan lebih teratur struktur pemikiran dan ini membentuk tindak balas
yang diingini berlaku, teori ialah pembentukan secara berproses. Setiap disiplin dibina
berdasarkan konsep dan idea yang dikembangkan oleh teori sebelumnya. Teori adalah
cabaran, kekuatan, bagi pengkaji dan ahli akademik untuk mempraktik dan membuat
penilaian bagi membuktikan teori yang dikeluarkan oleh golongan ini bersesuaian dan
berguna serta berhasil.
Menurut Thomas ( 1985), sesuatu teori dikatakan baik apabila mempunyai
ciri-ciri seperti dapat menjelaskan fakta-fakta dengan jelas, mudah difahami, berguna
untuk membuat ramalan masa hadapan dan memperjelas perkara-perkara yang sudah
lepas, boleh diterapkan secara praktikal, bersifat konsisten dan tidak berasaskan
banyak andaian (kepercayaan-kepercayaan yang tidak dapat dibuktikan). Dalam
pengajaran dan pembelajaran kemahiran hidup banyak kerja-kerja amali perlu
dilakukan oleh murid supaya benar-benar dapat memahami sesuatu kemahiran.
Perkara ini berkait rapat dengan realiti kehidupan mereka di luar. Jadi, untuk
menentukan objektif pengajaran dan pembelajaran ini tercapai dan dikuasai oleh
murid khas, guru harus memikirkan bagaimana untuk memaksimumkan penguasaan
murid ini dengan menggunakan teori-teori yang sesuai dan berkesan dalam
pengajaran mereka. Terdapat beberapa teori pengajaran dan pembelajaran
dibincangkan supaya boleh membantu guru mengamalkannya dan membuat penilaian
semasa pengajaran.
4.0 FAKTOR- FAKTOR YANG MEMPENGARUHI ASPEK
PENCAPAIAN AKADEMIK KEDUA-DUA ORANG MURID.
Hasil daripada kajian yang telah saya buat, saya dapat mengesan dan mengenalpasti
teori-teori yang boleh diguna pakai menjadi faktor-faktor yang telah mempengaruhi
perbezaan pencapaian akademik kedua-dua murid saya ini iaitu Emmarina Ng dan
Nur Atierah adalah seperti berikut:
4.1 Teori Pembelajaran Behavioris
Faktor yang mempengaruhi pencapaian akademik Emmarina Ng dan Nur Atierah
ialah perbezaan pengalaman atau latihan yang diperolehi di sekolah mahupun di
rumah. Menurut Williams & Anandam (1973), pembelajaran sebagai perubahan
tingkah laku kekal yang dihasilkan daripada pengalaman atau latihan. Teori
pembelajaran Behaviorisme mengatakan bahawa pembelajaran merupakan satu proses
pelaziman, dimana hubungan antara rangsangan luar dengan tindak balas individu
dapat dibina untuk menghasilkan perubahan tingkah laku yang tekal. Tokoh-tokoh
mazhab behavioris seperti Pavlov, Thorndike dan Skinner berpendapat bahawa
pembelajaran merupakan suatu tingkah laku yang boleh diperhatikan, dikawal dan
diramal.
Dari perspektif behaviorisme, pembelajaran hanya bermula apabila wujudnya
tindak balas terhadap suatu rangsangan yang diberi. Proses pembelajaran akan
diteruskan jika terdapat motivasi ekstrinsik yang sesuai (sama ada peneguhan positif
atau negatif) sementara pembelajaran dikatakan berakhir apabila perubahan tingkah
laku dapat dibentuk dan dikekalkan. Behaviorisme merupakan satu pendekatan
pemikiran yang menekankan peranan pengalaman dalam mengawal tingkahlaku.
Menurut ahli-ahli behaviorisme, proses-proses penting yang mengawal tingkahlaku
ini adalah dipelajari. Kedua-duanya, iaitu dorongan yang membangkitkan tingkahlaku
serta tingkahlaku tertentu yang dibangkitkan daripada dorongan ini dipelajari melalui
interaksi dengan persekitaran. Antara matlamat yang utama pemikiran ini ialah untuk
menentukan hukum-hukum ataupun prinsip-prinsip yang mengawal pembelajaran.
Teori Behaviorisme menumpukan perhatian kepada faktor persekitaran
sebagai faktor yang mempengaruhi tingkah laku. Ahli-ahli behavioris melihat
perhubungan antara persekitaran dengan tingkah laku dan kemudiannya menggunakan
konsep peneguhan dan dendaan untuk menjelaskan mengapa sesetengah tingkah laku
itu wujud atau tidak wujud. Mereka berpendapat kecenderungan-kecenderungan
tingkah laku termasuk trait-trait, bakat, nilai-nilai, kepercayaan–kepercayaan, aspirasi
dan lain-lain adalah dipelajari. Antara andaian ahli behaviorisme ialah tingkah laku
boleh diukur, diperhatikan dan dianalisa dengan melihat gerak balas individu. Gerak
balas bergantung kepada peneguhan dan dendaan. Matlamat behavioris ialah melihat
kaitan rangsangan dengan gerak balas dan melihat bagaimana gerak balas ini boleh
dikawal melalui ganjaran dan dendaan. Ahli-ahli behaviorisme menggunakan konsep
pelaziman klasik dan pelaziman operan apabila menjelaskan proses pembelajaran
(Jalongo dan Isenberg 2000).
Dalam kajian saya telah mendapati bahawa faktor persekitaran sebagai faktor
yang mempengaruhi tingkah laku Atierah dan Emma dan seterusnya telah memberi
impak kepada proses pembelajarannya. Perkara ini boleh dilihat pada sifat yang ada
pada Emma, dia merupakan seorang kanak-kanak yang emosinya kurang stabil kerana
tertekan di rumah. Dia sangat pendiam dan tidak mempunyai kawan rapat semasa di
dalam kelas. Emma lebih suka menyendiri daripada mempunyai kawan. Emma juga
seorang yanag emosional dan agresif, sekiranya ada rakan yang mengganggu, dia
akan menangis dan menjerit marah. Dengan persekitaran yang dilalui oleh Emma ini
menyebabkan akademiknya tidak mencapai tahap yang baik. Ini kerana dia bersikap
pasif dan tidak mahu bertanya. Dia lebih suka menyiapkan kerjanya mengikut
caranya sendiri. Lagipun rakan-rakan sekelas akan takut dan tidak suka berdekatan
dengannya kerana sikap emosionalnya.
Berlainan pula dengan Atierah, dia mempunyai ramai kawan. Tidak cepat
melenting apabila ditegur kesalahannya malah akan cuba untuk memperbaikai
kelemahan tersebut. Dia suka berkawan dan peramah ini kerana Atierah telah diajar di
rumah mengenai hal tersebut. Suka mencuba dan mempunyai daya usaha yang tinggi,
tidak mudah berputus asa dan sentiasa berusaha untuk memajukan diri. Jadi dengan
memiliki sifat yang diwarisi daripada baka ibu bapa nya ini Atierah telah
menunjukkan pencapaian akademik yang baik.
4.2 Teori Pembelajaran Kognitif
Teori pembelajaran kognitif memfokuskan bahawa setiap manusia mempunyai
keupayaan mental untuk mengelola, menyusun, menyimpan dan mengeluarkan
semula segala pengalaman untuk membolehkan ia memerhatikan pertalian antara
pengalaman tersimpan dengan masalah yang dihadapi. Ahli-ahli psikologi kognitif
berpendapat bahawa pembelajaran adalah mudah dan ia tidak selalunya berlaku
melalui cuba jaya sebagaimana yang dicadangkan oleh mazhab behaviorisme.
Menurut psikologi ini, dalam pembelajaran, murid membentuk struktur kognitif
dalam ingatannya. Setiap kali murid belajar, ia akan menyusun segala pengalaman
dan menyimpannya dalam ‘ingatan’. Kebolehan ini dikenali sebagai celik akal.
Dengan itu, nyatalah seseorang individu jarang menggunakan cara cuba jaya untuk
mempelajari sesuatu.
Teori kognitif berpegang kepada persoalan bagaimana kita mengetahui,
memperolehi, memproses dan menggunakan maklumat. Jadi, dalam mendidik murid-
murid khas , guru perlulah menyesuaikan segala teori-teori yang ingin digunakan.
Ada kalanya teori behaviorimse penting digunakan demikianlah juga dengan teori
kognitif. Semua teori boleh diaplikasikan dalam proses pengajaran dan pembelajaran.
Sebenarnya Emma masih belum mempunyai kesediaan belajar yang tinggi dan masih
takut-takut untuk mencuba sesuatu yang baru. Manakala Atierah telah mempunyai
kesediaan belajar yang tinggi. Ini kerana kelemahan Emma dalam pencapaian
akademik telah membuktikan perkara ini. Dia masih tidak dapat mengikuti proses
pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas.
Manakala sebaliknya pula dengan Atierah. Dia dapat mengikut pengajaran dan
pembelajaran dengan baik dan ini telah memberi impak kepada pencapaian
akademiknya di sekolah. Teori pembelajaran kognitif memfokuskan bahawa setiap
manusia mempunyai keupayaan mental untuk mengelola, menyusun, menyimpan dan
mengeluarkan semula segala pengalaman untuk membolehkan ia memerhatikan
pertalian antara pengalaman tersimpan dengan masalah yang dihadapi dan ini adalah
peneguhan positif yang mendorong individu untuk mengejar kejayaan. Dalam
pemerhatian saya ibubapa Atierah seringkali memberikan rangsangan dan dorongan
kepadanya.
4.3 Teori Pembelajaran Sosial
Albert Bandura memperkenalkan teori pembelajaran sosial iaitu pembelajaran berlaku
melalui proses peniruan. Bandura (1977) berpendapat, kita belajar melalui
pemerhatian dan meniru orang lain serta dengan melihat konsekuen tingkah laku
orang lain. Bandura berpendapat bahawa pembelajaran dan tingkah laku manusia
bergantung kepada pemerhatian seseorang individu itu terhadap individu lain atau
model-model simbolik seperti televisyen dan sebagainya. Peniruan selalunya
diteguhkan. Pembelajaran pemerhatian dapat juga diterangkan melalui prinsip
pelaziman klasik. Oleh yang demikian, teori pembelajaran sosial
Bandura,menekankan peranan kognitif dan juga pengaruh persekitaran dalam
perkembangan.
Faktor ini yang mneyebabkan perbezaan diantara Emma dan Atierah adalah
dipengaruhi proses peniruan. Peniruan di sini telah membawa maksud individu dan
objek yang ditemui serta peristiwa yang berlaku di dalam kehidupan seseorang yang
mempengaruhi pertumbuhan yang berlaku di dalam kehidupan seseorang yang
mempengaruhi pertumbuhan dan perkembangan diri. Ini telah memberi makna
bahawa peniruan adalah merupakan perkara yang bukan genetik yang mempengaruhi
seseorang individu (Papalia, 2001). Faktor peniruan ini juga merangkumi persekitaran
telah disokong oleh ahli-ahli psikologi behaviorisme dan sosial kognitif seperti Albert
Bandura, Ivan P. Pavlov dan skinner dalam teori yang mereka ketengahkan. Dalam
Teori Pembelajaran sosial misalnya Albert Bandura (1977) mengatakan seseorang
individu akan membentuk satu idea melalui proses pemodelan. Mereka akan
memerhati orang di sekeliling mereka. Hal ini bermaksud peniruan seseorang
individu itu boleh memberi kesan alam perkembangan pembelajarannya.
4.4 Teori Pembelajaran Humanis
Teori pembelajaran humanis menumpukan pada apa yang berlaku pada diri seseorang
seperti perasaan atau emosinya. Pendekatan humanis menekankan fikiran,
pengamatan serta interpretasi murid tentang sesuatu peristiwa atau kejadian itu.
Prinsip teori humanis ini adalah, seseorang murid itu bertanggungjawab ke atas
tindakannya. Contohnya kalau murid ingin berjaya, maka dia perlu berusaha
mencapainya ke arah itu. Setiap murid juga mempunyai keperluan mengembangkan
potensinya ke tahap maksimum. Teori humanis menekankan objektif berikut
meningkatkan arah kendiri dan kebebasan murid. Membantu murid agar lebih
bertanggungjawab dalam menentukan perkara yang ingin dipelajari oleh mereka.
Meningkatkan daya cipta murid. Mengembangkan minat dalam bidang seni.
Meningkatkan naluri ingin tahu murid.
Asas teori ini adalah kepercayaan seseorang murid mempunyai keperluan
untuk pencapaian hasrat diri. Guru perlulah membantu murid mencapai hasratnya. Ini
berlaku kerana dalam pengajaran secara humanis, pembelajaran arah kendiri amat
ditekankan. Prinsip-prinsip pembelajaran humanis adalah seperti berikut murid akan
belajar apa yang dikehendaki oleh mereka dan yang ingin diketahui. Keinginan untuk
belajar dan mengetahui cara belajar lebih penting daripada pemerolehan fakta.
Penilaian yang dibuat oleh murid sendiri lebih bermakna bagi dirinya. Perasaan murid
adalah sama penting dengan fakta. Pembelajaran cara merasa adalah sama penting
dengan pembelajaran berfikir. Pembelajaran hanya berlaku jika murid tidak berasa
terancam.
Asas teori ini dapat saya kesan pada murid yang saya kaji iaitu Atierah. Oleh
kerana dia memiliki motivasi yang tinggi maka kecerdasan pembelajarannya adalah
sangat baik dan ini akan menyebabkan pencapaian akademiknya sangat baik
berbanding Emma yang kurang bermotivasi. Iaitu tidak yakin dimana ia merupakan
sikap yang kurang gemar bersama orang lain, suka menyendiri, tidak suka dengan
orang baru, tidak suka berbicara didepan umum, kurang percaya diri, pemalu dan
pendiam. Kurangnya motivasi diri ini akan menyebabkan Emma menghadapi maslah
pencapaian akademik yang lemah. Ini kerana sifatnya yang pemalu dan tidak yakin
pada diri. Malah dia juga tidak suka bertanya dan lebih suka membuat sesuatu secara
sendirian.
5.0 LANGKAH-LANGKAH YANG BOLEH DIAMBIL OLEH SEORANG
GURU DALAM PROSES PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN YANG
MELIBATKAN MURID-MURID YANG MEMPUNYAI PENCAPAIAN
AKADEMIK TIDAK SAMA
5.1 Mempelbagaikan bahan bantu mengajar
Guru perlu menggunakan pelbagai bahan bantu mengajar seperti penyampaian
maklumat melalui transperansi, laman web atau pencarian internet, carta dan lain-lain
lagi. Ini adalah sesuai kerana di dalam sesebuah kelas ada murid yang peka kepada
audio, ada yang tertarik kepada visual dan yang tertarik kepada kinestetik.
Pembelajaran melalui akhbar di dalam bilik darjah adalah satu cara pengajaran yang
boleh merangsang minda murid berfikir, kerana terdapat banyak pengetahuan yang
boleh didapati di dalam surat khabar tersebut.
Pembelajaran berbantukan komputer juga dapat merangsang minat murid
untuk belajar. Soalan-soalan yang diberikan adalah mengikut aras soalan daripada
yang mudah hingga susah. Oleh itu, murid yang lemah, sederhana dan pandai dapat
menjawab soalan mengikut tahap keupayaan masing-masing. Pembelajaran
berbantukan komputer amat menarik digunakan kerana mengandungi elemen-elemen
visual grafik yang dapat menarik perhatian murid contohnya animasi kartun.
5.2 Mempelbagaikan strategi pengajaran dan pembelajaran
Strategi dan kaedah pengajaran guru berfungsi sebagai satu panduan pengajaran ke
arah keberkesanan pengajaran dan pembelajaran guru di dalam kelas. Guru perlu
mempelbagaikan aktiviti pengajaran dan pembelajaran untuk menarik minat murid
supaya dapat mengikuti pengajaran dan pembelajaran sehingga tamat. Antaranya,
kuiz, perbincangan, percambahan idea, lakonan, simulasi, kaedah penyoalan, projek
dan lawatan.
Guru juga boleh menngunakan pelbagai soalan bagi mengetahui tahap
pencapaian dan kebolehan muridnya. Penyoalan boleh dilakukan dalam bentuk
pengetahuan, pemahaman, aplikasi, analisis, sintesis dan penilaian. Contoh, guru
boleh memulakan pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas dengan memulakan set
induksi menggunakan tayangan video, bercerita, bernasyid dan sebagainya. Secara
langsung dapat menggalakkan penglibatan murid-murid dan meningkatkan motivasi
untuk belajar.
5.3 Peneguhan positif dan negatif
Semasa berlakunya aktiviti pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas, guru
hendaklah memberi peneguhan positif kepada murid yang menunjukkan tingkah laku
yang baik. Murid-murid akan berasa dihargai apabila dipuji oleh guru. Guru boleh
membuat peneguhan positif dengan mengatakan “bagus”apabila murid dapat memberi
jawapan yang betul ketika sesi soal jawab di dalam kelas. Peneguhan positif juga
boleh diberikan dengan memberikan simbol bintang pada buku latihan murid kerana
dapat menyiapkan kerja dengan tulisan yang kemas dan cantik.
Manakala, peneguhan negatif untuk mengelakkan tingkah laku yang yang
tidak disukai. Contoh, guru yang hendak mengelakkan muridnya membuat bising
akan mengatakan bahawa, “Saya akan membenarkan murid yang telah menyiapkan
kerja keluar rehat lebih awal”. Oleh itu, murid akan menyiapkan kerja yang diberikan
untuk keluar rehat lebih awal. Selain itu, guru juga boleh menggunakan prinsip
Premack atau “grandmother’s rule, iaitu dengan menyatakan , “ Murid yang membuat
kerja dengan tulisan yang cantik dan kemas akan dibenarkan membaca komik
“Naruto”. Ini bermakna murid akan membuat latihan yang diberikan dengan teliti
untuk mendapatkan sesuatu yang disukainya.
5.4 Perbezaan gaya kognitif dan gaya belajar
Sebagai seorang guru yang telah lama mengajar di sesebuah kelas atau sekolah, kita
akan dapat mengesan gaya kognitif dan gaya belajar bagi setiap orang pelajar-
pelajarnya yang mempunyai banyak perbezaan. Ada yang suka belajar menggunakan
audio, ada yang suka visual, ada yang memproses maklumat secara global dan ada
pula yang secara analitikal. Perkara ini perlu difahami supaya kita sebagai seorang
guru dapat menyediakan bahan-bahan pembelajaran yang bersesuaian dan menarik
minat murid.
Teori yang dapat digunakan ialah Teori Pelaziman Operan Thorndike.
Dimana kita boleh menggunakan hukum pembelajarannya. Iaitu Hukum kesediaan,
Hukum Latihan dan Hukum Kesan. Disini saya akan menerapkan Hukum Latihan,
dimana sebagai guru kita membuat pengukuhan melalui latihan yang berulang-ulang.
Menurut Thorndike (1913), perkaitan antara rangsangan dan gerakbalas (R-G) akan
bertambah kukuh melalui latihan yang diulang-ulang. Latihan pengukuhan ini boleh
diberikan kepada kanak-kanak seperti Clara. Ini akan membuat dia dapat mengingat
dan menghafal sesuatu kemahiran yang kita ajar kepadanya.
Seterusnya Hukum Kesediaan. Menurut Thorndike (1913) apabila seseorang
itu bersedia untuk melakukan sesuatu tindakan, maka tindakan itu akan dapat
memberi kepuasan kepadanya. Contohnya, seseorang mesti sudah bersedia dari segi
psikomotor.kesediaan afektif dan kesediaan kognitif. Ini kerana sekiranya murid
melakukan sesuatu secara sukarela dan bersedia dia akan bersedih sekiranya tidak
melakukannya, tetapi jika secara terpaksa dia akan melakukannya secara tidak
sempurna iaiatu tidak dapat menerima pembelajaran dengan baik sekiranya belum
beersedia.
5.5 Pembelajaran Koperatif
Pembelajaran koperatif ialah pembelajaran di dalam kumpulan heterogenius di mana
biasanya terdapat murid cerdas dan lambat. Di dalam aktiviti pembelajaran ini, murid
cerdas dikehendaki membantu murid lemah. Murid yang cerdas akan bersungguh-
sungguh membantu murid yang lemah kerana markah yang diperoleh setiap individu
di dalam kumpulan akan menjadi markah kumpulan. Secara tidak langsung, dapat
memupuk semangat bekerjasama apabila setiap kumpulan bersaing satu sama lain.
Kaedah pengajaran ini adalah menggunakan idea “perancah” (scaffolding)
dalam Teori Perkembangan Kognitif Vygotsky, di mana murid cerdas akan
membimbing pelajar lemah di dalam zon perkembangan proksimal. Ini kerana, ada
kalanya pengajaran rakan sebaya lebih berkesan daripada guru, kerana pemikiran
lateral boleh digunakan oleh pelajar yang cerdas ini.
5.6 Kaedah kumpulan
Di dalam sesebuah kelas terdapat beberapa orang murid yang mempunyai tahap
keupayaan yang berbeza-beza. Oleh itu, guru boleh menggunakan kaedah kumpulan
untuk menjalankan aktiviti pengajaran dan pembelajaran berdasarkan tahap
keupayaan murid. Ini dapat memudahkan guru menyediakan latihan atau bahan
sumber pengajaran dan pembelajaran.
Guru boleh mengasingkan murid yang lemah, sederhana dan pandai dalam
kumpulan yang ditetapkan. Dengan cara ini, guru dapat memantau prestasi setiap
kumpulan berdasarkan tahap keupayaan dan kecerdasan murid-murid tersebut.
Aktiviti pengajaran dan pembelajaran juga tidak membebankan murid kerana guru
menggunakan aras yang berbeza untuk setiap kumpulan.Guru juga perlu membuat
carta kemajuan dan rekod profil untuk setiap murid-muridnya. Hasil pemerhatian guru
dan pencapaian murid perlu dicatat dari masa ke masa.
5.7 Penyampaian guru
Guru wajar menjadikan diri mereka sebagai penghibur yang berbakat. Dalam mata
pelajaran sastera dan bahasa, seorang guru sepatutnya mengasah bakat mereka untuk
bercerita, berseloka, bersyair dan berpantun. Dalam mata pelajaran Matematik dan
Sains, guru sepatutnya mampu menjadi magician dan saintis. Sekiranya guru mampu
mempelbagaikan penyampaiannya, murid-murid akan mendapat manfaat walaupun
wujud perbezaan antara murid.
6.0 KESIMPULAN
Secara keseluruhannya para guru memainkan peranan yang penting dalam
menghadapi masalah murid lemah ini agar dapat setanding dengan murid yang pintar.
Guru yang berpotensi akan membentuk suatu usaha yang teratur, mempunyai sistem,
tertib serta optimum bagi menyatu padukan semua kompenen pembelajaran. Seperti
yang kita sedia maklum, alam persekolahan merupakan tahap pembelajaran kanak-
kanak yang paling awal di dalam kehidupanya selain daripada pendidikan ibu bapa itu
sendiri di rumah. Maka guru yang proaktif dan berkesan perlu memainkan peranan
mereka dalam mengenalpasti faktor-faktor yang mempengaruhi pencapaian murid
lemah. Mereka perlu bijak menyeimbangkan murid lemah dan murid pintar agar dapat
berjalan seiringan. Selain itu, seseorang guru juga seharusnya mengetahui malah
menguasai ilmu-ilmu psikologi pendidikan agar dapat diterapkan menjadi suatu
kemahiran sekaligus mengaplikasikanya dalam proses pengajaran dan pembelajaran.
Pencapaian akademik murid yang berbeza adalah disebabkan oleh faktor baka,
persekitaran, personaliti, gaya kognitif dan gaya belajar, jantina, mahupun kesihatan.
Ini kerana setiap murid mempunyai perbezaan individu tersendiri. Oleh itu, setiap
guru perlu mengenalpasti apakah tahap kecerdasan murid di dalam kelas. Ini untuk
memudahkan guru menjalankan aktiviti pengajaran dan pembelajaran mengikut tahap
keupayaan seseorang murid itu. Langkah-langkah mengatasi yang boleh di ambil oleh
guru ialah mengaplikasikan kaedah kumpulan, pembelajaran koperatif, memberi
peneguhan positif dan negatif, mempelbagaikan strategi pengajaran dan pembelajaran
serta mempelbagaikan bahan bantu mengajar.
Guru juga perlu mengenalpasti dan memahami setiap masalah yang berlaku
pada murid-muridnya. Keprihatinan dan kerjasama guru membantu murid yang
mengalami masalah perbezaan individu ini akan dapat melahirkan modal insan yang
cemerlang suatu hari nanti. Ini sejajar dengan hasrat Falsafah Pendidikan kebangsaan
bahawa modal insan yang dilahirkan haruslah seimbang dari segi intelek, rohani,
emosi dan jasmani. Guru bukan sahaja menyampaikan ilmu pengajaran dan
pembelajaran di dalam kelas malah memainkan peranan amat penting iaitu mendidik
dan membimbing murid menjadi insan yang berguna, cemerlang, gemilang dan
terbilang pada masa hadapan.