View
334
Download
6
Category
Preview:
Citation preview
PENULISAN AKADEMIK
PENGENALAN MODEL STANDARD GURU MALAYSIA (SGM)
Berdasarkan kepada Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia Tahun 2013-2015,
MalaysIa telah menetapkan satu matlamat iaitu pendidikan di Malaysia yang setaraf dengan
peringkat antarabangsa. Hasrat ini boleh dicapai dengan cara memberikan tumpuan kepada
penyampai pembelajaran iaitu guru dan pihak pengajar itu sendiri. Hal ini demikian kerana
guru merupakan tonggak utama kepada sistem pendidikan baik di negara kita mahupun di
negara lain. Secara tidak langsung guru yang berkualiti dan bertaraf dunia akan mencorakkan
sistem pendidikan yang bertaraf dunia juga. Oleh yang demikian, bagi memastikan bahawa
profesion dan profesionalisme perguruan berjaya mencapai piawai dan standard yang
ditetapkan, Standard Guru Malaysia (SGM) telah dibangunkan (Mok, 2012) (Rujuk Rajah 1
dan Rajah 2). Model SGM ini telah dibangunkan oleh Bahagian Pendidikan Guru (BPG) dan
juga Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sebagai panduan dan rujukan kepada guru dan
juga agensi yang terlibat. Selain itu, SGM ialah satu pernyataan kompetensi profesional yang
patut dicapai oleh guru di Malaysia (standard) dan juga pernyataan aspek yang patut
disediakan serta dilaksanakan oleh agensi dan institusi latihan perguruan (keperluan) (Mok,
2012). Berdasarkan huraian ini, perkataan standard menunjukkan kemahiran yang
seharusnya dimiliki oleh guru termasuk guru terlatih di sekolah, guru yang sedang mengikuti
kursus dalam perkhidmatan serta guru pelatih yang sedang mengikuti kursus pra
perkhidmatan di institut latihan perguruan. Manakala, perkataan keperluan merujuk kepada
aspek latihan yang patut disediakan dilaksanakan oleh agensi dan institusi latihan perguruan
sama ada di Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) ataupun Institut Pengajian Tinggi (IPT).
STANDARD 1
Antara komponen-komponen standard yang terlibat dalam SGM ialah amalan nilai
profesionalisme keguruan, pengetahuan dan kefahaman serta kemahiran pengajaran dan
pembelajaran. Standard 1 ini iaitu amalan nilai profesionalisme sangat penting kerana hanya
melalui pendidikan sahaja kita mampu membentuk modal insan yang berfikiran kritis dan
kreatif, berkemahiran menyelesaikan masalah, berkeupayaan mencipta peluang baru,
mempunyai daya tahan serta kebolehan untuk berhadapan dengan persekitaran global yang
sering berubah. Standard 1 mengandungi beberapa domain utama yang terbahagi kepada
domain diri, domain profesion dan juga domain sosial. Domain diri merupakan pegangan nilai
guru yang sedia ada dan patut dikembangkan supaya guru boleh memberikan sumbangan
yang lebih berkesan kepada profesion keguruan bagi mencapai matlamat sistem pendidikan
negara (Noriati, Lee, Zulkufli, & Zakiah, 2016). Nilai-nilai yang difokuskan dalam domain ini
ialah kepercayaan kepada Tuhan, amanah, ikhlas, berilmu, berkasih sayang, adil, berbudi
bahasa, kreatif, sabar, daya saing, daya cipta, tahan lasak, cergas, semangat sukarela,
kemahiran interpersonal dan juga kemahiran intrapersonal. Oleh yang demikian sebagai guru
yang cemerlang, seharusnya guru tersebut akan mempunyai domain diri yang positif agar
penampilan dirinya akan kelihatan lebih yakin dan membuatkan para pelajar menjadikan guru
tersebut sebagai idola mereka. Domain profesion ialah pegangan nilai yang sepatutnya
diamalkan secara telus oleh seorang guru dalam melaksanakan tugasnya sebagai seorang
profesional. Antara nilai yang ditekankan dalam domain ini ialah kecintaan terhadap profesion,
berketrampilan, integriti, teladan, amalan, kerja sepasukan, proaktif, kreatif dan inovatif.
Sekiranya seorang guru itu mempunyai pegangan domain profesion, sudah pasti profesion
perguruan akan disanjung tinggi dalam masyarakat dan akan sentiasa dihormati lebih-lebih
lagi oleh ibu bapa. Domain sosial pula merujuk kepada peranan guru sebagai agen sosialisasi
dan penjana modal insan dalam masyarakat. Domain sosial ini mengkhususkan kepada nilai
keharmonian, kemahiran sosial, semangat bermasyarakat, patriotisme dan juga kecintaan
terhadap alam sekitar kerana guru sebagai seorang penjana modal insan perlulah melahirkan
murid yang bukan sahaja cemerlang dari sudut kognitifnya malahan bagus dari sudut interaksi
sosial dengan masyarakat sekeliling.
STANDARD 2
Standard 2 pula ialah komponen pengetahuan dan kefahaman. guru perlu memiliki
dan menguasai ilmu kerana ketrampilan ilmu dalam kalangan guru merupakan faktor utama
untuk melahirkan modal insan yang berkualiti dan seimbang. Walaupun kemahiran berfikir ini
berkembang selari dengan pertambahan usia seseorang, namun kemahiran ini boleh diajar
dan dilatih secara formal (Khatib & Nazari, 2012). Oleh itu terdapat pelbagai cara dan metode
mengajar yang boleh digunakan untuk melatih kemahiran berfikir aras tinggi seperti
menggunakan kaedah penyoalan Socratic (Yang, Newby & Bill, 2005), pembelajaran koperatif
(Cooper, 1995), serta penulisan jurnal reflektif (Khatib, Marefat & Ahmadi, 2012). Guru pelatih
perlu didedahkan dengan pelbagai kaedah mengajar yang dapat menerapkan kemahiran
berfikir aras tinggi supaya mereka boleh mengaplikasi apa yang dipelajari di sekolah. Maka,
terdapat banyak elemen yang perlu difokuskan oleh para guru seperti falsafah, matlamat dan
objektif pendidikan yang menjadi teras pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran (PdP),
kandungan mata pelajaran yang diajarkan, kandungan Ilmu Pendidikan, Teknologi Maklumat
dan Komunikasi (TMK), media dan sumber pendidikan untuk pelaksanaan kurikulum dan
kurikulum. Guru perlu mempunyai strategi dan pengetahuan untuk mewujudkan persekitaran
pembelajaran yang kondusif dan interaktif, kaedah pentaksiran dan penilaian serta potensi
murid dan cara mengembangkannya secara menyeluruh dan bersepadu kerana persekitaran
pembelajaran yang kondusif dari aspek fizikal, sosial dan budaya banyak membantu murid
untuk belajar dalam keadaan yang selesa dan menyeronokkkan serta berkesan (Kementerian
Pelajaran Malaysia, 2009). Semua aspek ini perlu dikuasai oleh para guru sekiranya mereka
ingin melahirkan para pelajar yang bertaraf antarabangsa. Oleh yang demikian, guru-guru
perlu mempunyai pengetahuan dan kefahaman yang tinggi mengenai langkah melaksanakan
penyelidikan tindakan kerana menurut Mc Bee (2004), kualiti pengajaran guru dapat
ditingkatkan apabila mereka dapat mengaplikasikan ilmu yang diperoleh daripada
penyelidikan mereka dalam proses pembelajaran dan pengajaran mereka. Guru yang
menjalankan penyelidikan tindakan juga akan lebih mengenali pelajar dan rakan sejawat
mereka serta dapat menggalakkan penambahbaikan secara berterusan (Ferrance, 2000).
STANDARD 3
Standard 3 pula merujuk kepada kemahiran dan kebolehan guru tersebut untuk
menyediakan perancangan pengajaran dan pembelajaran (PdP) berdasarkan Sukatan
Pelajaran dan Takwim Persekolahan dengan mengambil kira perbezaan kebolehan setiap
individu, pengetahuan mereka yang sedia ada serta jangkaan pencapaian murid. Selain itu,
standard ini juga memfokuskan kepada kemampuan para guru ini untuk menggunakan
pelbagai kaedah, pendekatan dan teknik dalam PdP serta mengintegrasikan kemahiran
berfikir, kemahiran belajar, kemahiran TMK, kemahiran pemudahcaraan dan kemahiran
mentafsir dan menilai (Mok, 2012). Kemahiran ini sangat penting bagi memastikan objektif
PdP dapat dicapai dengan berkesan supaya hala tuju sesuatu proses pendidikan itu lebih
terjamin. Dalam pada itu, standard ini turut menekankan tentang kemahiran guru itu untuk
memantau, mentaksir dan menilai keberkesanan PdP supaya proses pengajaran guru dapat
diperbaik bagi meningkatkan pencapaian murid. Pada ketika inilah, kemahiran dan
pengetahuan guru untuk menganalisis data pencapaian sangat diperlukan agar mereka boleh
terus memantau tahap penguasaan anak murid. Menurut Standard 3 ini juga semua guru
harus mempunyai kemahiran mengurus bilik darjah dengan melibatkan pengurusan
hubungan kemanusiaan, masa ruang dan sumber untuk mencapai pembelajaran yang
bermakna serta berkesan. Hal ini kerana, guru yang kompeten dalam kemahiran PdP
berupaya membentuk murid seperti yang diharapkan oleh Falsafah Pendidikan Kebangsaan
(FPK) (Kementerian Pelajaran Malaysia, 2009).
KEPERLUAN 1
Komponen-komponen kerperluan dalam Standard Guru Malaysia pula terdiri daripada,
kelayakan masuk dan prosedur kemasukan ke program latihan perguruan, latihan,
pentaksiran dan penilaian, kolaborasi, infrastruktur dan infostruktur serta jaminan kualiti.
Tujuan diwujudkan Keperluan 1 iaitu keperluan kelayakan masuk latihan pergruan ini adalah
untuk memastikan hanya calon guru yang berpotensi, layak dan sesuai sahaja yang dipilih
memasuki progam latihan perguruan. (Kementerian Pelajaran Malaysia, 2009). Oleh yang
demikian pihak yang berkepentingan perlulah bertanggungjawab untuk menjamin
keberkesanan, kesamarataan dan kesaksamaan prosedur pengambilan calon guru institusi
latihan guru kerana sekiranya pihak ini tidak mempunyai akauntabiliti yang tinggi, sudah pasti
akan ada calon guru yang kurang berkelayakan dan tidak memenuhi syarat yang terlepas
masuk ke dalam sistem penapisan. Pertama sekali, agensi dan institusi latihan perguruan
harus mengiklankan permohonan baik secara media massa mahupun elektronik. Kemudian,
kesemua calon-calon akan ditapis dan calon yang layak akan dipanggil untuk menduduki ujian
kelayakan seperti Malaysian Teacher Selection Test (MTeST). Setelah itu, calon yang
melepasi ujian kelayakan ini akan dipanggil utuk ditemu duga supaya ahli panel penemu duga
dapat menilai aspek kualiti peribadi dan potensi calon guru yang memenuhi standard sebelum
ditawarkan secara atas talian untuk mengikuti program latihan perguruan. Seterusnya, agensi
dan institusi latihan perguruan juga akan mendaftar calon bakal guru berdasarkan buku
panduan pendaftaran dan akhirnya menandatangani perjanjian latihan perguruan.
KEPERLUAN 2
Dalam pada itu, dalam Keperluan 2 pula guru pelatih akan dipastikan untuk diberi
latihan, pentaksiran serta penilaian untuk memperoleh penganugerahan kelayakan ikhtisas
keguruan dan juga memenuhi tuntutan Standard Guru Malaysia. Oleh yang demikian, pihak
agensi dan institusi latihan perguruan akan menyediakan satu kurikulum yang selari dengan
misi KPM dan FPK kerana guru yang memliki pengetahuan, kemahiran serta kompetensi
dalam mata pelajaran akademik, pengajian professional, praktikum, internship dan
kokurikulum supaya dapat melahirkan guru yang kompeten dan memenuhi keperluan dan
aspirasi negara. Antara program yang berkaitan dengan amalan profesionalisme perguruan
ialah Pengalaman Berasaskan Sekolah (PBS), praktikum serta internship yang membolehkan
bakal guru untuk mempraktikkan teori PdP dalam situasi sebenar di sekolah dengan
bimbingan pensyarah serta guru bimbingan. Pihak-pihak itu juga menggalas tanggungjawab
untuk menyediakan tenaga pengajar yang berkelayakan, kompeten dan mencukupi seperti
pensyarah, pensyarah penasihat serta kaunselor selaras dengan keperluan latihan
perguruan. Tambahan pula, program latihan perguruan juga perlu melalui penilaian dan
pentaksiran sebagaimana yang termaktub dalam Akta Pendidikan 1996 (Pindaan 2002).
KEPERLUAN 3
Keperluan 3 pula merujuk kepada kolaborasi dan permuafakatan dengan pelbagai
pihak yang berkepentingan seperti sekolah-sekolah, institusi pengajian tinggi tempatan dan
luar negeri serta badan bukan kerajaan seperti persatuan unit beruniform, sukan dan juga
permainan. Hal ini membolehkan calon guru untk berinteraksi dan berlatih untuk
berkomunikasi dengan pihak-pihak berkempetingan ini. Selain itu, bagi menyokong PdP yang
berkesan, bermakna dan menyeronokkan di agensi dan institusi latihan perguruan, Keperluan
4 telah dicipta di mana pihak tersebut juga perlu menyediakan infrastuktur, prasarana dan
sumber yang lengkap dan terkini seperti pusat sumber, bengkel memasak, bengkel
bertukang, makmal kimia, makmal fizik dan sebagainya bagi menjaga kebajikan dan
keperluan pelajar serta staf. Pihak-pihak tersebut juga perlu mewujudkan rangkaian
infostruktur yang bersepadu untuk menyokong aktiviti PdP termasuk pengurusan dan
pentadbiran. Jadi, bagi memastikan kualiti latiha perguruan ini terjamin, wujudlah Keperluan
5. Keperluan 5 ini penting bagi memastikan program di agensi dan institut latihan perguruan
dijalankan dengan bermutu tinggi, antara penilaian yang perlu dilakukan ialah pemastian
jaminan kualiti untuk Standard, pemastian jaminan kualiiti untuk Keperluan, penandaarasan
latihan perguruan dan juga Pemastian Kos Amalan Jaminan Kualiti Agensi Kelayakan
Malaysia atau lebih dikenali sebagai MQA.
PENDAHULUAN MODEL STANDARD GURU DI FINLAND
Sejak belakangan ini, Finland telah muncul sebagai negara Organisation for Economic
Cooperation and Development (OECD) yang mendahului terutama dalam aspek pencapaian
akademik (Sahlberg, 2010). Oleh yang demikian, saya memilih untuk membandingkan
Standard Guru Malaysia dengan standard guru di Finland. Hal ini kerana pada awal tahun
1970-an Finland tidak berjaya dalam bidang pendidikan manakala Amerika Syarikat
merupakan negara yang menguasai pendidikan di dunia ketika itu. Namun, Finland telah
berjaya menghasilkan satu sistem pengajaran dan pembelajaran yang produktif dengan
melebarkan akses dan melabur secara bijaksana untuk membina satu sistem pendidikan yang
diinginkan melalui pendekatan yang strategik. (Hammond, 2010). Jadi, bagaimanakah
sesebuah negara yang mempunyai sistem pendidikan yang tidak stabil pada tahun 1980-an
boleh menjadi pemacu pendidikan kepada negara-negara lain hanya dalam beberapa dekad?
Jawapannya tidak lain dan tidak bukan, kecemerlangan pendidikan di Finland adalah
disebabkan oleh guru-gurunya sendiri yang cemerlang dan berdedikasi. Berbeza dengan
Malaysia, profesion perguruan sentiasa merupakan profesion yang popular dan sentiasa
menjadi rebutan di Finland. (Finnish National Board of Education,2010). Manakala di Malaysia
profesion perguruan sering dipandang enteng oleh masyarakat dan merupakan pilihan kedua
berbanding dengan profesion lain seperti doktor, jurutera dan juga akauntan.
KELEBIHAN MODEL SGM: STANDARD 1
Antara kelebihan yang terdapat pada model Standard Guru Malaysia yang tidak
terdapat pada model standard guru di Finland ialah sistem pendidikan di Malaysia berpegang
kepada prinsip Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK) dan menjadikannya sebagai objektif
pendidikan yang merupakan satu dasar yang cukup sempurna bagi membentuk modal insan
berkualiti tinggi. Falsafah Pendidikan Kebangsaan telah menyatakan bahawa pendidikan di
Malaysia ialah satu usaha berterusan dalam memperkembangkan potensi individu secara
menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi
intelek, rohani, emosi dan jasmani berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan.
Usaha ini adalah bagi melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu pengetahuan, berketrampilan,
berakhlak mulia, bertanggungjawab dan berkeupayaan untuk mencapai kesejahteraan diri
serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran keluarga, masyarakat
dan negara. Oleh yang demikian, FPK sememangnya sangat penting kepada setiap guru
sebagai panduan mereka untuk membantu menjalankan sesi PdP (Noriati, Lee, Zulkufli &
Zakiah, 2016). Selain itu, berdasarkan FPK tadi dapat kita simpulkan bahawa penddikan di
Malaysia berperanan untuk menghasilkan modal insan yang seimbang bukan sahaja dari
sudut akademik malahan dari sudut rohani juga dengan mempercayai akan wujudnya Tuhan
sebagai pencipa. Selaras dengan Standard Guru Malaysia iaitu komponen Standard 1 yang
merujuk kepada domain diri dalam amalan nilai profesionalisme keguruan. Domain diri
merupakan pegangan nilai guru yang sedia ada dan patut dikembangkan supaya guru boleh
memberikan sumbangan yang lebih berkesan kepada profesion keguruan bagi mencapai
matlamat sistem pendidikan negara (Noriati, Lee, Zulkufli, & Zakiah, 2016). Berdasarkan
domain diri tersebut, guru yang mematuhi model Standard Guru Malaysia merupakan guru
yang mempunyai pegangan diri yang utuh tentang wujudnya Tuhan dan memberikan
kesedaran tentang hukum-hukum dan fenomena alam semesta. Berbeza dengan standard
guru di Finland, pendidikan buat mereka hanya berfungsi untuk memberi peluang kepada
semua rakyat untuk menerima pendidikan tidak kira umur, kedudukan, keadaan kewangan,
jantina atau bahasa. Maka, jelaslah bahawa negara Finland tidak begitu menekankan aspek
rohani yang merupakan naluri biasa seorang manusia untuk bertuhan. Maka, secara tidak
langsung Standard Guru Malaysia mendidik para guru untuk mempercayai bahawa setiap
individu bertanggungjawab ke atas diri dan tindakan yang dilakukan sama ada baik ataupun
buruk dan para pelajar juga akan dilatih untuk bersikap bertanggungjawab atas segala
perbuatan yang telah mereka lakukan.
KELEBIHAN MODEL SGM: STANDARD 2
Di samping itu, antara kekuatan lain yang dapat saya analisis daripada Standard Guru
Malaysia jika dibandingkan dengan standard guru di Finland ialah pada Standard 2 iaitu
komponen pengetahuan dan kefahaman. Menurut Kementerian Pelajaran Malaysia (2009),
pengetahuan dan kefahaman ini akan menjadi panduan kepada guru dalam merancang dan
melaksanakan proses PdP dan aktiviti sokongan kurikulum dan kokurikulum bagi mencapai
hasil pembelajaran yang ditetapkan. Jika di Finland, pendidikannya tidak mementingkan
kokurikulum sebaliknya lebih menitikbratkan tentang kurikulum. Oleh yang demikian, guru-
guru di Finland mempunyai kompetensi yang tinggi dalam pencapaian kurikulum namun
mempunyai kompetensi yang agak lemah dalam kokurikulum. Seperti di Malaysia, para
pelajar akan menyertai kegiatan kokurikulum pada waktu petang yang terdiri daripada
persatuan unit beruniform, kelab dan permainan. Aktiviti kokurikulum ini bukan sahaja mampu
meningkatkan kemahiran berkomunikasi murid-murid serta memupuk sifat memimpin dalam
kalangan pelajar, malahan para guru juga boleh mencungkil bakat dan potensi yang
tersembunyi dalam diri pelajar selari dengan FPK yang menuntut para guru untuk
memperkembangkan potensi para pelajar. Guru-guru yang berpegang kepada prinsip
pengetahuan dan kefahamana ini akan cuba untuk mendalami ilmu tentang persatuan unit
beruniform seperti Tunas Kadet Remaja Sekolah (TKRS) dan menjadi contoh buat anak
murid. Oleh yang demikian, apa yang dapat saya simpulkan ialah guru di Finland perlu
berkerja keras untuk memupuk sifat kerjasama dan kemahiran sosial dalam kalangan pelajar
kerana standard guru mereka tidak begitu mementingkan kokurikulum dalam pendidikan
mereka seperti yang terdapat di Malaysia.
KELEBIHAN MODEL SGM: STANDARD 3
Selain itu, antara kelebihan lain yang dimiliki oleh Standard Guru Malaysia ialah pada
komponen Standard 3 iaitu guru-guru di Malaysia mula menekankan pendekatan atau kaedah
pengajaran yang berkesan dengan cara Pembelajaran Berasaskan Hasil, Pembelajaran
Berasaskan Projek, Pembelajaran Abad ke-21 dan juga pendekatan pengajaran dari aspek
STEM (Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik) dan STEAM (Sains, Teknologi,
Kejuruteraan, Seni dan Matematik). Manakala kaedah pengajaran Finland pula lebih tertumpu
kepada kemahiran menyelesaikan masalah dan memupuk penyertaan aktif, penerokaan ilmu,
perbincangan tentang matematik, mengaplikasikan matematik dalam kehidupan seharian,
penggunaan teknologi, kerja berkumpulan serta projek. Jelaslah di sini bahawa pendekatan
yang digunakan oleh guru-guru di Malaysia adalah lebih canggih berbanding dengan
pendekatan yang digunakan oleh negara Finland. Pada zaman yang serba canggih ini, kita
tidak dapat menafikan bahawa guru perlu menjadi kreatif ketika melaksanakan PdP. Antara
caranya ialah mengamalkan konsep Pembelajaran Abad ke-21. Melalui pencarian dan kajian
saya, saya mendapati bahawa terdapat banyak kelebihan apabila mengamalkan kaedah
pebelajaran yang pelbagai. Murid-murid akan terdorong untuk berfikir di luar kotak dan
menjana pemikiran aras tinggi. Jika dibandingkan dengan Finland, susunan meja pelajarnya
disusunkan secara satu persatu dan tidak disusun secara berkumpulan. Seperti di Malaysia,
susunan meja berkumpulan yang mengikut Pembelajaran Abad ke-21 membolehkan para
pelajar berkomunikasi secara lebih bagus dengan rakan yang lain dan membolehkan para
guru untuk berkomunikasi secara dua hala dengan pelajar. Selain itu, pendekatan pengajaran
dari aspek STEM dan STEAM juga membolehkan potensi dan bakat yang dimiliki oleh murid
dicungkil dengan lebih mendalam. Berbeza dengan standard guru di Finland, pendidikannya
masih bercorak perbincangan dan projek. Malaysia juga melakukan metode pengajaran yang
sama namun metode itu sudah ditambah baik dengan memasukkan STEM dan STEAM dalam
proses pengajaran sebagai satu usaha untuk menyahut seruan Kementerian Pendidikan bagi
membina satu strategi pengukuhan bagi mata pelajaran Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan
Matematik (STEM) dalam usaha melahirkan lebih ramai pakar dalam bidang itu untuk
kepentingan negara. Selain itu STEAM (A mewakili Art) pula ialah STEM dengan elemen seni.
Namun ia tidak jauh berbeza dengan konsep STEM yang turut mementingkan aspek seni
dalam projek yang dilakukan. Jadi, jelaslah di sini bahawa Standard Guru Malaysia
mempunyai satu kelebihan berbanding standard guru di Finland.
KEKURANGAN MODEL SGM: STANDARD 2
Namun, Standard Guru Malaysia juga mempunyai beberapa kekurangan jika
dibandingkan dengan standard guru di Finland. Pada awal tahun 1970-an, Finland telah
melancarkan pembentukan semula sistem pendidikan dengan memberi kesamarataan
peluang pendidikan serta menghapuskan amalan pengasingan pelajar kepada trek-trek yang
sangat berbeza mengikut markah penilaian para pelajar (Hammond, 2010). Menurut Sahlberg
(2010), sekolah-sekolah di Finland tidak menggunakan penilaian berstandard sebagai cara
penentuan kejayaan pelajar. Sebaliknya, polisi pendidikan di Finland lebih memberikan
keutamaan terhadap pendidikan yang tersendiri dan kreatif dan bagaimana sekolah tersebut
beroperasi sebagai contoh, guru yang akan memilih jenis kurikulum, jenis buku dan
sebagainya. Maka, kemajuan setiap orang pelajar dinilai oleh guru itu sendiri dengan cara
menilai kemajuan dan kemampuan yang dicapai oleh seseorang individu dan bukannya
dengan indikator kuantitatif seperti kedudukan dan sebagainya. Jika dilihat pada sistem
pendidikannya, para pelajar di Finland tidak menduduki ujian piawai di peringkat pendidikan
yang asas ketika gred 1-12 dan mereka hanya menggunaan gred lulus dan gagal sahaja.
Mereka tidak mebanding-bandingkan pelajar dengan mengasingkan pelajar yang lemah dan
pandai kerana jika itu berlaku, mereka percaya bahawa pelajar yang lemah akan hilang
semangat dan motivasi untuk belajar. Oleh yang demikian, terbuktilah di sini bahawa guru-
guru di Finland tidak menekankan persaingan antara pelajar kerana mereka percaya bahawa
setiap kanak-kanak itu unik dan mereka mempunyai hak untuk mendapatkan akses
pendidikan yang berkualiti tinggi (Finnish National Agency of Education,2017). Perperiksaan
mereka digunakan untuk menentukan kemasukan ke university dan juga politeknik sahaja.
Pada ketika itu, pelajar akan menduduki Matriculation Exam Board yang dikelolakan oleh
Kementerian Pendidikan Finland. Di samping itu, Finland juga percaya bahawa pihak sekolah
yang bertanggungjawab untuk menentukan pencapaian akademik para pelajar dan bukannya
ditentukan oleh pentadbir luar. Walaupun Finland tidak dapat menafikan bahawa akan ada
kekangan untuk para guru kerana mereka perlu melakukan proses pemarkahan buat para
pelajar namun pada masa yang sama, Finland percaya bahawa akan ada lebih masalah
sekiranya pentadbir luar turut masuk campur. Hal ini kerana, sekiranya pentadbir luar turut
masuk campur, kurikulum akan menjadi lebih sempit kerana para guru terkejar-kejar untuk
menghabiskan silibus dan para guru akan mengajar kerana perperiksaan dan akan
menimbulkan persaingan yang tidak sihat antara sekolah-sekolah di Finland (Pasi, 2010).
Berbeza pula dengan Standard Guru Malaysia terutamanya komponen yang menekankan
tentang Standard 2 iaitu guru patut mempunyai pengetahuan dan kefahaman yang mantap
dalam merancang dan menyatupadukan ativititi pentaksiran dan penilaian dalam PdP
(Kementerian Pelajaran Malaysia, 2009). Hal ini jelas membuktikan bahawa para guru di
Malaysia menggunakan kaedah perperiksaan dalam mendidik para pelajar di Malaysia. Muid-
murid di Malaysia perlu menduduki penilaian penting dan perperiksaan sudah bermula ketika
umur 12 tahun. Perperiksaan yang pertama merupakan Ujian Penilaian Sekolah Rendah
(UPSR) ketika Darjah 6, Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) ketika Tingkatan 3 dan Sijil Pelajaran
Malaysia (SPM) ketika Tingkatan 5. Oleh yang demikian antara kekurangan yang terdapat
dalam Sistem Guru Malaysia ialah menitikberatkan tentang petaksiran dan penilaian
sedangkan di Finland, mereka tidak mengamalkan konsep penilaian sebegini. Guru-guru di
Malaysia akan terdidik untuk membuat soalan yang bagus dan beraras tinggi namun para
pelajar tidak berjaya untuk mengaplikasikannya dalam kehidupan seharian. Oleh sebab itulah
Finland lebih mementingkan konsep penilaian secara kualitatif daripada kuantitatif dan
dengan cara ini tidak akan wujudnya jurang yang besar antara pelajar yang pintar dan kurang
pintar kerana mereka semua diajar dalam satu kelas yang sama dan berusaha untuk
meningkatkan dan mebaikii masalah yang dihadapi oleh pelajar untuk belajar. Namun di
Malaysia, terdapat jurang yang besar antara pelajar yang pintar dan kurang cerdas ini dan
mereka diasingkan ke kelas yang berbeza dan secara tidak langsung mendapat perhatian
yang berbeza daripada para guru. Jadi, itulah perbezaan dari sudut pengetahuan dan
kefahaman apabila dibandingkan standard guru di Malaysia dan di Finland.
KEKURANGAN MODEL SGM: STANDARD 2
Antara kekurangan lain yang terdapat pada Standard Guru Malaysia ialah guru-guru
di Malaysia hanya perlu memiliki Ijazah Sarjana Muda Perguruan sahaja manakala di Finland,
guru-gurunya diwajibkan untuk memiliki Ijazah Sarjana Muda dalam bidang teori pendidikan,
konten tentang pedagogi dan subjek-subjek yang ingin diajar. Tambahan pula, tumpuan
dikhususkan kepada pembinaan kemahiran berfikir secara pedagogi yang membolehkan
guru-guru untuk mengurus proses mengajar selari dengan pengetahuan dan pengalaman
pendidikan yang kontemporari (Westbury et al., 2005). Dalam pada itu, guru-guru di Finland
yang merupakan pemegang sijil Ijazah Sarjana mempunyai hak untuk mengambil bahagian
dalam pendidikan selepas graduasi untuk menambah baik perkembangan profesion mereka.
Menurut Sahlberg (2010), setiap sekolah bertanggungjawab untuk menyediakan peluang
pembelajaran buat guru dan terpulang kepada guru besar dan sekolah tersebut untuk untuk
memutuskan sebanyak mana dan jenis perkembangan profesion yang manakah yang ingin
diambil. Misalnya ada seorang guru di Finland menyatakan bahawa dia meminta untuk
mengambil kursus menghias meja kerja dan hasilnya dia berpuas hati dengan input yang
diperolehi kerana setiap kali selepas mengajar, dia akan berasa tenang apabila melihat
mejanya dan membantu dia untuk menghilangkan rasa penat menagajar. Oleh itu, jelaslah di
sini bahawa, guru-guru di Finland juga sangat mementingkan ilmu walau sekecil mana
sekalipun ilmu tersebut kerana bagi mereka, setiap ilmu yang diperolehi itu sangat penting.
Menurut Kumpulainen (2007) guru-guru di Finland akan memeperuntukkan sekurang-
kurangnya 7 hari bekerja setiap tahun secara puratanya kepada perkembangan profesion
mereka pada tahun 2007. Secara anggarannya, dua per tiga daripada guru-guru sekolah di
sekolah rendah dan sekolah menengah telah mengambil bahagian dan berpuas hati serta
gembira atas ilmu yang diperolehi kerana ilmu bagi mereka, ilmu yang diperolehi ini mampu
meningkatakan kompetensi mereka sebagai guru yang cemerlang buat para pelajar. Selaras
dengan Standard 2 dalam Standard Guru Malaysia, iaitu pengetahuan dan kefahaman,
walaupun guru-guru di Malaysia sudah mempunyai ilmu untuk mengajar, namun
perkembangan professional mereka sebagai seorang guru tidak begitu berkembang kerana
kebanyakan kursus yang mereka hadir juga hanya melibatkan cara penandaan kertas
perperiksaan, dasar pendidikan yang terbaru dan sebagainya. Walaupun standard 2 ini
menekankan bahawa guru yang berkemahiran perlulah memiliki dan menguasai ilmu yang
mantap, namun, guru-guru di Mlaysia tidak diberi peluang untuk menceburi atau memilih
mana-mana bidang ilmu yang ingin diteroka oleh mereka seperti yang terjadi di negara
Finland. Oleh itu, jelaslah di sini bahawa standard guru di Finland telah berjaya menghasilkan
guru-guru yang mempunyai kecintaan yang tinggi terhadap ilmu.
KELEBIHAN MODEL SGM: STANDARD 3
Standard Guru Malaysia juga terdapat satu kekurangan yang lain jika dibandingkan
dengan standard guru di Finland iaitu komponen Standard 3 yang merujuk kepada Kemahiran
PdP dalam aspek kemahiran mengurus bilik darjah. Menurut Kementerian Pelajaran Malaysia
(2009), pengurusan bilik darjah yang baik mencerminkan keberkesanan guru. Pengurusan
bilik darjah melibatkan pengurusan hubungan kemanusiaan, masa, ruang dan sumber untuk
mencapai pembelajaran yang bermakna dan berkesan. Jika dibandingkan aspek kempetensi
mengurus bilik darjah di negara kita dengan negara Finland, tidak dapat dinafikan bahawa
guru di negara Finland mempunyai kemahiran yang lebih bagus. Hal ini kerana, sekolah-
sekolah di Finland adalah kecil dan terdiri daripada lebih kurang 300 orang pelajar dengan
kelas yang bersaiz kecil dan mempunyai anggaran pelajar seramai 20 orang sahaja dan
mempunyai kelengkapan yang cukup. (Hammond, 2010). Berbeza dengan Malaysia, purata
saiz untuk satu kelas ialah seramai 40 orang. Melalui jumlah pelajar yang begitu ramai ini,
proses pembelajaran tidak berlaku secara optimum kerana guru perlu mengawal ramai
pelajar. Guru-guru di Finland juga mengamalkan prinsip mengambil berat terhadap
pendidikan dan masalah peribadi pelajar-pelajar. Pelajar-pelajar juga menerima makanan
seimbang pada setiap hari, penjagaan kesihatan, pengangkutan, bahan pembelajaran dan
kaunseling secara percuma supaya pembelajaran berlaku pada kadar yang optimum
(Sahlberg, 2007). Guru di Finland juga mengamalkan kaedah 45 minit belajar dan 15 minit
bemain terhadap para pelajarnya. Bagi mereka, kanak-kanak memerlukan masa dan ruang
untuk bermain dan mereka boleh belajar melalui bermain. Manakala di Malaysia, guru-guru
akan mengejar selama 17.01 jam semingggu iaitu bersamaan dengan 3.4 jam sehari namun,
mereka dibebani dengan kerja pengkeranian yang mengambil masa selama 5.7 jam
seminggu iaitu 5 kali ganda daripada negara Finland. Selain itu, jarang untuk kita melihat
seorang guru di negara Finland yang mengajar di hadapan kelas dan memberikan ceramah
selama 1 jam (Linda, 2010). Sebaliknya, para pelajar boleh menentukan misi mingguan yang
ingin dicapai oleh mereka dan memilih tugasan yang akan mereka lakukan sesuai dengan
corak dan kadar kerja mereka sambal dibimbing oleh guru. Murid juga boleh memilih aktiviti
yang dirasakan sesuai dengan mereka. Oleh sebab itu, jika ada pembelajaran yang tidak
menyeronokkan, mereka dibenarkan untuk pergi menjahit atau membaca buku mengikut
kesukaan mereka dan melalui sistem yang terbaru, para pelajar di Finland juga boleh belajar
di kawasan mana yang mereka suka sama ada di kawasan bersofa, di atas lantai dan
sebagainya. Di Malaysia pula, guru akan mengajar mengikut metode dan pedagogi yang
dipilih namun pelajar tidak diberi peluang untuk beseronok apabila sudah bosan belajar
sebagaimana murid-murid di Finland dibenarkan. Murid-murid di Finland juga tidak diberikan
kerja rumah yang banyak dan ada yang tidak diberikan kerja rumah langsung kerana guru-
guru di Finland percaya bahawa pada tahap umur sebegini, murid-murid perlu diberi peluang
untuk meneroka dunia luar dan belajar secara seronok. Selain itu, beban mengajar guru di
Finland adalah jauh lebih rendah berbanding di Amerika Syarikat, New Zealand dan Scotland.
Di Finland, guru dibebani 600 jam waktu mengajar setahun, manakala di Amerika Syarikat ia
mencecah 1,100 jam setahun. Falsafah Finland dalam bab ini menurut Dr. Pasi Sahlberg
adalah dengan mengurangkan waktu mengajar bererti memperbanyakkan waktu belajar
(Mohd Mahzan, 2009).
PENUTUP
Kesimpulannya, Standard Guru Malaysia telah menetapkan satu taraf dan mutu yang
perlu diikuti oleh para guru agar tahap pendidikan di negara kita setaraf dengan tahap
pendidikan di negara lain. Tidak dapat dinafikan bahawa, Standard Guru Malaysia mempunyai
kelebihannya yang tersendiri iaitu berlandaskan kepada FPK dan juga Falsafah Pendidikan
Guru, perlaksanaan kokurikulum, dan pendekatan pengajaran yang lebih moden dan kreatif.
Namun, masih terdapat banyak aspek yang jika dibandingkan dengan standard guru di
Finland, ternyata Finland lebih memacu ke depan berbanding Standard Guru Malaysia.
Antaranya, kaedah pentaksiran dan penilaian yang dijalankan di Malaysia terlampau
berorientasikan gred semata-semata. Selain itu, guru-guru di Malaysia merupakan pemegang
Ijazah Sarjana Muda tetapi di Finland, guru-gurunya bertaraf Ijazah Sarjana pendidikan dan
tahap pengurusan bilik darjah di Finland adalah lebih berkesan daripada di Malaysia.
Walaupun standard guru di Finland tidak mempunyai satu standard yang khusus dan lebih
tersusun jika dibandingkan dengan Malaysia, namun tahap kecintaan para gurunya terhadap
profesion keguruan tidak dapat disangkal. Hal ini dapat dibuktikan apabila, gaji doktor dan
peguam di Finland adalah dua kali ganda daripada gaji seorang guru biasa (rujuk lampiran).
Guru-guru di Finland juga berasa puas hati dengan tugas mendidik, dan mereka akan memilih
untuk tetap menjadi guru dan ada juga yang merasakan bahawa menjadi guru ini ialah satu
pekerjaan yang dihargai oleh masyarakat. Oleh itu, kita sebagai bakal pendidik perlulah
mengambil kelebihan yang ada pada standard guru yang ada pada negara lain untuk
dipraktikkan dijadikan sebagai ilmu baru serta panduan dalam melaksanakan proses PdP
yang lebih berkesan.
REFLEKSI
Berdasarkan atas segala titik peluh saya dan penat lelah saya untuk menyiapkan
tugasan sesempurna mungkin, saya telah melakukan pelbagai jenis rujukan yang bermula
dari negara mana yang harus saya ambil untuk dijadikan sebagai alat perbandingan dengan
Standard Guru Malaysia. Pada mulanya, saya tertarik dengan standard guru di negara Korea
tetapi akhirnya saya memlih standard guru di Finland. Hal ini kerana, saya berasa kagum
dengan cara negara Finland mementingkan aspek kualiti pembelajaran berbanding dengan
kualiti perperiksaan seperti yang terdapat di negara kita. Namun, sebagai bakal guru yang
dilatih di Institut Pendidikan Guru Kampus Pendidikan Teknik, saya masih perlu berpegang
dan berpaksikan kepada Standard Guru Malaysia kerana Standard Guru Malaysia sudah
cukup sempurna dan berlandaskan kepada FPK tetapi saya akan cuba menerapkan
kelebihan yang terdapat pada standard guru di Finland sebagai satu langkah untuk saya
memperbaik cara pengajaran saya di sekolah. Oleh yang demikian, sebagai seorang bakal
guru saya perlu mengamalkan konsep pembelajaran sepanjang hayat dan menghargai setiap
ilmu yang saya perolehi walaupun ilmu itu datang daripada para pelajar saya sendiri. Saya
juga perlu mencintai profesion saya ini kerana, profesion keguruan merupakan satu
profession yang merupakan pembentuk modal insan akan datang. Selain itu, saya juga akan
menerapkan kemahiran kognitif dalam diri pelajar dengan cara memahami bahawa setiap
pelajar itu berbeza dan tidak semua pelajar harus diajar dengan cara yang sama. Oleh itu,
saya perlu menjadi seorang guru yang fleksibel dan boleh mempelbagaikan metode
pengajaran agar murid-murid saya memperoleh pelbagai jenis pengalaman dalam
pembalajaran.
RUJUKAN
Cooper, J. L. (1995). Cooperative learning and critical thinking. Teaching of Psychology, 22(1), 163-
181.
Ferrance, E. (2000). Themes in Education: Action Research. Educational Alliance, 1-34.
Finnish National Agency for Education. (2017). Education in Finland.
Finnish National Board of Education. (2007, November 12). Background for Finnish PISA Success.
Retrieved from www.oph.fi/english/SubPage.asp?path=447,65535,77331
Hammond, L. D. (2010). Steady Work: How Finland Is Building a Strong Teaching and Learning System. Columbia: Teachers College Press.
Kementerian Pelajaran Malaysia. (2009). Standard Guru Malaysia. Putrajaya: Bahagian Pendidikan Guru.
Khatib Mansur, & Nazari Osman. (2012). The effect of literature on enhancing critical thinking.
Journal of Comparative Literature and Culture, 1(2), 29-33.
Khatib Mansur, Marefat Firdaus, & Ahmadi Mahmood. (2012). Enhancing critical thinking abilities in
EFL classrooms through written and audiotaped dialogue journals. Humanity & Social Sciences Journal, 7(1), 33-45.
Kumpulainen, T. (2008). Opettajat Suomessa 2008 [Teachers in Finland 2008]. Helsinki:
Opetushallitus.
Mc Bee, M. (2004). Roeper Review. The Classroom as Laboratory: An exploration of teacher research (27), 52-58.
Mohd Mahzan Awang. (2009, Disember 16). Utusan Online. Diakses daripada Cara Finland
Martabatkan Guru:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=1216&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=re_07.htm#ixzz4rSEoJXY5
Mok, S. S. (2012). Falsafah dan Pendidikan di Malaysia. Puchong: Penerbitan Multimedia Sdn. Bhd.
Noriati, A. R., Lee, K. C., Zulkufli, M., & Zakiah, N. (2016). Falsafah dan Pendidikan di Malaysia. Shah Alam: Oxford Fajar Sdn. Bhd.
Sahlberg, P. (2007). Education policies for raising student learning: The Finnish approach. Journal of
Education Policy, 22(2), 147-171.
Sahlberg, P. (2010). The Secret to Finland’s Success: Educating Teachers. Stanford: Stanford University School of Education.
UNESCO. (2009). Final Report International Conference on Education, 48th Session. Geneve: UNESCO.
Yang, Y. T., Newby, T. J., & Bill, R. L. (2005). Using Socratic questioning to promote critical thinking
skills through asynchronous discussion forums in distance learning environments. The American Journal of Distance Education, 19(3), 163-181.
LAMPIRAN
Rajah 1: Model Standard Guru Malaysia
Rajah 2: Perkaitan Standard dan Keperluan dalam Standard Guru Malaysia
Rajah 3: Sistem pendidikan di Finland
Gambar 1: Hanya 10% sahaja calon yang terpilih untuk memasuki bidang pendidikan guru
di Finland
Gambar 2: STEM
Rajah 4: Tumpuan proses pendidikan di Finland
Jadual 1: Purata jam mengajar di Finland, US dan negara OECD
Jadual 2: Perbezaan jam kerja guru Malaysia dan Finland
Gambar 2: Kanak-kanak di Finland belajar selama 45 minit dan kemudiannya berehat
selama 15 minit untuk setiap kali PdP berlangsung
Gambar 3: Kelas-kelas di Finland
Gambar 4: Gaji di sektor perkhidmatan awam
Rajah 8: Statistik yang menunjukkan guru di Finland rasa dihargai
Rajah 9: Statistik perbandingan antara negara tentang profesion perguruan dihargai dalam
masyarakat
Recommended