View
259
Download
0
Category
Preview:
Citation preview
BULETIN HALAL Institute of Halal Research, University of Malaya (IHRUM)
(اينستيتوت ڤڽليديكن حالل اونيۏرسيتي ماليا)
Isu Edisi 1
Pengenalan kepada IHRUM
Halal : Dari Kaca Mata Islam
Istihalah: Pengenalan dan Aplikasinya
Isu Makanan Ubahsuaian Genetik (GM food)
Mencari yang halal lagi baik merupakan suatu kewajipan ke atas umat Islam. Dalam konteks dunia hari ini, halal tidak lagi
hanya dilihat sebagai suatu kepatuhan dalam beragama, tetapi ia telah meliputi segenap aktiviti yang dilakukan dalam
kehidupan dan menjadi suatu piawaian pilihan bukan sahaja di kalangan Muslim bahkan orang yang bukan Muslim.
Penubuhan IHRUM sebagai institut penyelidikan halal di Universiti Malaya dilihat sebagai titik tolak untuk membangunkan
rangkaian sinergi antara para ilmuan tempatan dan antarabangsa serta menjalankan penyelidikan berkaitan halal secara
holistik dalam memangkin ilmu untuk kebaikan ummah sejagat.
[sambungan m/s 3]
Islam dipaksikan dengan hukum dan peraturan yang meliputi seluruh aspek kehidupan manusia seperti hal-hal berkaitan
akidah, ibadah, muamalat, jenayah, dan akhlak. Pensyariatannya adalah untuk menjaga kemaslahatan manusia dalam
kehidupan. Isu halal merupakan isu yang sangat luas dan tidak statik. Ia akan terus berkembang seiring dengan kemajuan
sains dan teknologi yang akhirnya menimbulkan pelbagai persoalan dalam kalangan masyarakat. Adalah menjadi satu
kepentingan untuk memahami konsep halal dan haram sebelum kita benar-benar bertindak. Tidak dinafikan kerajaan
Malaysia telah berusaha keras dalam membangunkan industri halal, namun apakah ia seiring dengan kefahaman dan
kesedaran masyarakat?.
[sambungan m/s 4]
Pada dasarnya, dalam perbincangan perspektif fiqh klasik, tiada satu pembahagian yang jelas dilakukan terhadap teori
istihalah. Namun, istihalah sebagai sebuah konsep yang berkembang adalah wajar dilakukan pembahagian yang sistematik.
Pembahagian ini sesuai dengan prinsip biasa yang terdapat dalam ilmu Usul al-Fiqh. Berasaskan perbincangan struktur teori
istihalah, ia dapat diklasifikasikan kepada dua bahagian utama.
Pertama, istihalah sahihah (perubahan diterima). Ia adalah perubahan yang diterima di kalangan ulama. Ia melibatkan
perubahan dari satu bahan kepada bahan lain melalui agen semula jadi atau tidak semula jadi yang mana bahan akhir yang
terbentuk adalah halal. Kedua, istihalah fasidah (perubahan rosak). Ia merupakan proses perubahan yang rosak atau tidak
diterima. Proses ini melibatkan perubahan dari satu bahan yang halal kepada bahan baru yang haram melalui agen perubahan
yang halal atau haram. Setelah mengalami proses tersebut, bahan akhir yang terhasil dikategorikan sebagai haram.
[sambungan m/s 5-7]
Gm food merupakan salah satu produk teknologi kejuruteraan genetik yang melibatkan proses rekombinan antara pelbagai
sumber DNA daripada apa jua hidupan sama ada yang halal mahupun haram. Sebagai contoh, saintis cuba memanipulasi gen
babi dan merekombinankannya ke dalam DNA hidupan lain seperti lembu demi mewujudkan ciri “istimewa” babi dalam
spesis lembu yang baru. Dalam hal ini, gen babi tadi diandaikan telah "terurai" dan sebati menjadi sebahagian genom hidupan
tersebut kerana sifat fizikal progeni lembu yang berjaya dihibridkan, dilihat “sama” seperti lembu yang biasa. Namun, adakah
andaian ini benar? [sambungan m/s 8]
[sambungan m/s ]
1
KUMPULAN EDITOR
Penasihat:
Prof. Dato’ Dr. Mohd Yakub Zulkifli Mohd Yusoff, Prof. Zanariah binti Abdullah, Prof. Dr. Mohd Nazari bin Ismail
Sidang editor:
Prof. Dr. Ramli Abdullah, Prof. Madya Dr. Mohd Roslan Mohd Nor, Dr. Zalina Zakaria, Dr. Che Wan Jasimah bt Wan
Mohamed Radzi, Prof. Dr. Suhaiza Hanim bt Mohamad Zailani, Muhammad Safiri bin Ismail, Razidah OthmanJaludin,
Muhammad Afiq Abd Razak
Diterbitkan oleh:
Institute of Halal Research, University of Malaya (IHRUM)
Aras 1, Blok B Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya
50603 Kuala Lumpur
Tel: 03-79676242/6243
Email: ihrum@um.edu.my
Facebook: IHRUM
واشكروا نعمة الله إن كنتم إياه تعبدون وا مما رزقكم الله حالال طيبا
Terjemahan: Maka makanlah yang halal lagi baik dari rezeki yang telah diberikan Allah kepadamu dan
syukurilah nikmat Allah, jika kamu hanya menyembah kepada-Nya
Assalamualaikum wbt,
Bersyukur kita kepada Allah S.W.T. dan terima kasih kepada Tan Sri Ghauth
Jasmon, Mantan Naib Canselor UM kerana kita dapat menubuhkan IHRUM pada akhir
tahun 2013. Ucapan terima kasih juga ditujukan kepada Prof. Dato’ Dr. Mohd Amin bin
Jalaludin, Naib Canselor Universiti Malaya sekarang yang memberi banyak sokongan dan
perhatian. Universiti Malaya terkenal dengan para ilmuan dalam berbagai bidang dan
banyak memberi sumbangan dalam bidang akademik, penyelidikan dan perkhidmatan
kepada masyarakat. Dengan tertubuhnya IHRUM, adalah menjadi harapan kita untuk
memartabatkan lagi penyelidikan di Universiti Malaya dengan mewujudkan serta
menyelaraskan penyelidikan yang berkaitan dengan halal dalam berbagai bidang.
Banyak aktiviti dan program IHRUM telah dirancangkan, satu daripadanya ialah menerbitkan Buletin Halal
UM yang berbentuk ilmiah yang dapat menghubungkan para ilmuan dengan masyarakat umum demi untuk
menjadikan halal sebagai pilihan cara hidup di Malaysia khususnya dan menjadikan Malaysia sebagai
pemimpin industri halal amnya. Sehubungan itu, interaksi dua hala di antara ilmuan di UM dan masyarakat
umum adalah penting untuk mencapai suatu ekosistem halal yang ideal di Malaysia suatu hari nanti.
2
Dari Meja Pengarah
“ Educating Society via Halal Knowledge”
Malaysia kini mengambil langkah proaktif
di dalam merancakkan industri halal
tempatan ke persada global. Sebagai
sebuah negara Islam yang berkedudukan
strategik dan mempunyai tapak yang
kukuh melalui piawaian pensijilan halal,
kita berpotensi untuk menerajui bidang
halal di dalam kedua-dua industri dan
penyelidikan.
Seperti yang kita semua sedia maklum,
Malaysia telah diiktiraf sebagai sebuah
negara Islam, yang mana ianya kaya
dengan kepakaran dalam pelbagai cabang
ilmu dan pelbagai fasiliti tersedia untuk
semua bentuk penyelidikan dan inovasi.
Namun, ianya masih tidak dilaksanakan
secara menyeluruh dengan sinergi para
cendiakawan di negara ini.
Justeru, penubuhan Institute of Halal
Research, University of Malaya atau lebih
dikenali sebagai IHRUM telah ditubuhkan
sebagai sebuah institut penyelidikan halal
di Universiti Malaya. Ia dilihat sebagai titik
tolak untuk membangunkan rangkaian
sinergi antara para ilmuan tempatan dan
antarabansgsa serta menjalankan
penyelidikan berkaitan halal secara holistik
dalam memangkin ilmu untuk kebaikan
ummah sejagat. IHRUM beroperasi secara
rasmi pada Jun 2014 yang mana pejabat
pentadbirannya di Akademi Pengajian
Islam Universiti Malaya.
Antara objektif penubuhan IHRUM adalah
untuk menjadikan Universiti Malaya
sebagai ikon serta pusat rujukan
kecemerlangan penyelidikan halal di
peringkat tempatan mahupun global.
IHRUM juga mensasarkan untuk
membangunan rangkaian dan sinergi
ilmuan dan cendikiawan Universiti Malaya
serta ilmuan tempatan dan antarabangsa.
Strategi penyelidikan IHRUM dibahagikan
kepada dua fasa. Fasa pertama IHRUM
penyelidikan tertumpu kepada aspek sains
dan syari’ah melalui kerjasama antara
Fakulti Sains dengan Akademi Pengajian
Islam Univeristi Malaya. Pada Disember
2014, IHRUM telah menerapkan
menjadikan Fakulti Perniagaan dan
Perakaunan sebagai rakan kolaborasi
IHRUM sekaligus prospek IHRUM telah
dinaiktaraf daripada multi-disiplin kepada
trans-disiplin. Penaiktarafan ini menjadi titik
tolak kepada matlamat jangka panjang
IHRUM untuk menjadi sebuah pusat
penyelidikan halal yang holistik.
IHRUM meletakkan visi untuk
memperkasakan halal sebagai cara hidup
ummah sejagat melalui penyelidikan halal
yang menyeluruh dalam memangkin ilmu,
serta menyediakan perkhidmatan yang
berkaitan dengan halal.
Bertepatan dengan moto penubuhan
IHRUM ‘mendidik masyarakat
melalui pengetahuan halal’
pelbagai aktiviti dan program telah
disusun bagi menyalurkan informasi
berkenaan halal. IHRUM kini
sedang bergerak ke arah
menjalankan penyelidikan yang
merentasi pelbagai bidang pengajian
serta menjalinkan kerjasama
penyelidikan dengan organisasi dan
institusi penyelidikan halal
tempatan mahupun antarabangsa.
Sebagai permulaan IHRUM telah
membuka geran penyelidikan yang
berkaitan halal dan Wacana Halal
bersiri turut diadakan pada setiap
bulan bagi memberi manfaat kepada
ummat sejagat.
Semoga penubuhan IHRUM
menjadi pencetus kepada
perkembangan dan penyatuan
penyelidikan yang holistik.
Pengenalan kepada IHRUM [dari mukasurat 1]
Oleh: Prof. Dr. Ramli bin Abdullah
Carta Organisasi IHRUM
PENASIHAT IHRUM
Prof. Dato’ Dr. Mohd Yakub @ Zulkifli
Bin Mohd Yusoff
(Pengarah APIUM)
Prof. Zanariah Binti Abdullah
(Dekan Fakulti Sains)
Prof. Dr. Mohd Nazari Bin Ismail
(Dekan Fakulti Perniagaan dan
Perakaunan)
PENGARAH
Prof. Dr. Ramli Bin Abdullah
TIMBALAN PENGARAH
Prof. Madya Dr. Mohd Roslan Bin Mohd
Nor
PENYELARAS
Dr. Zalina Binti Zakaria
Dr. Che Wan Jasimah Binti Wan
Mohamed Radzi
Prof. Dr. Suhaiza Hanim Binti
Mohamad Zailani
PEMBANTU PENYELIDIK
Muhammad Safiri Bin Ismail
Ahmad Bakrin Sofawi bin Abu Bakar
Razidah Binti OthmanJaludin
Logo IHRUM
SKRIP JAWI:
Merupakan transliterasi daripada
perkataan IHRUM, menunjukkan
elemen Islamik pada asas
penyelidikan halal.
HEKSAGON DAN BULATAN:
Diinspirasikan daripada gegelang
benzin (benzene ring), sebatian
organik yang mempunyai formula
C6H6 menunjukkan elemen saintifik
dalam penyelidikan IHRUM.
BINTANG BERBUCU LAPAN:
Melambangkan Syari’ah Islamiyyah
sebagai dijadikan garis panduan
penentuan halal dan haram dalam
Islam. Warna hijau bercahaya
melambangkan ilmu-ilmu yang
diterokai akan memberi manfaat
kepada umat Islam.
3
Halal: Dari Kaca Mata Islam
[dari mukasurat 1] Oleh: Razidah binti OthmanJaludin
Perkataan halal berasal dari kalimah Arab
iaitu kata dasar halla, yahillu, hillan yang
membawa erti membebaskan,
melepaskan, memecahkan dan
membolehkan.1 Yusuf al-Qaradhawi
berkata halal dalam Islam adalah perkara
yang dibolehkan atau diharuskan yang
telah gugur ikatan yang berbahaya dan
dibenarkan syariat untuk melakukannya2.
Allah menyebutkan beberapa kali di
dalam al-quran perkataan ‘halal’ yang
bergandingan dengan perkataan ‘toyyiba’.
Ianya adalah dua aspek yang penting yang
perlu menjadi garis panduan kepada
setiap Muslim. Sebagai seorang Muslim
hendaklah memastikan apa yang
diambilnya atau dimanfaatkannya adalah
datang dari sumber yang dibenarkan oleh
syara’ (halal), namun aspek thoyyiban
juga perlu diambil kira iaitu dari sudut
keselamatan, kebersihan dan kualiti.
Ringkasnya, konsep halal merangkumi
cara hidup yang holistik bagi umat Islam.
Daripada ayat-ayat di atas, dapat kita
fahami bahawa Islam menetapkan dua
kriteria penting dalam pengambilan
makanan, iaitu ‘halal’ dan ‘toyyib’ iaitu
memberi maksud kualiti yang baik.
Saadan Man mendefinasikan makanan
halal tayyiban sebagai makanan yang
memberi faedah daripada pelbagai aspek
dan bersesuaian dengan seseorang.3
Manakala dalam kitab tafsir Ibn Kathir,
Ibn Kathir menyatakan kalimah ‘toyyiba’
membawa maksud baik, bermanfaat dan
elok daripada segi tabiat dan syarak.
Ia meliputi dua perkara iaitu soal fizikal
dan kerohanian.
Dari sudut Islam, status halal dan haram
ditentukan dengan mengaplikasikan
sumber primer, sekunder dan
alternatif.4Al-quran sebagai sumber utama
juga sunnah Nabi S.A.W yang menjadi
sandaran. Kemudian diikuti dengan al-
Ijma’ dan al-Qiyas. Sumber sekunder pula
melibatkan perkara-perkara dalam usul
fiqh seperti ‘uruf, sadd al-zara’i, istihsan,
istishab dan banyak lagi. Manakala
sumber daripada kaedah-kaedah fiqh,
istihalah, dan fatwa terangkum dalam
sumber alternatif. Walaubagaimanapun,
sumber ketiga ini perlu merujuk kepada
sumber utama sebagai sandaran.
Penentuan halal dan haram dari aspek
teknikal merujuk kepada perbincangan
dari aspek proses penghasilan produk
analisis makmal, pensijilan dan pelabelan
logo halal.
Menurut kajian Jabatan Perangkaan
Malaysia5 bancian yang dijalankan pada
tahun 2010 menunjukkan jumlah
penduduk Malaysia adalah 28.3 juta
penduduk. Populasi umat Islam dengan
kadar 61.3 peratus daripada jumlah
keseluruhan penduduk. Hal ini jelas
menunjukkan permintaan dan
kebergantungan kepada produk halal
semakin meningkat.
Harus kita sedari isu halal pada produk
bukan hanya dilihat dari aspek
keagamaan, tetapi ia menjadi satu simbol
kepada jaminan kualiti, keyakinan dan
pilihan gaya hidup di dalam kehidupan
masyarakat mahupun alam perdagangan.
Setiap individu memainkan peranan bagi
memastikan keperluan mereka terjamin
selari dengan hak-hak pengguna yang
diuarkan dan pemerintah berperanan
untuk menjadikan halal sebagai satu
sistem ekonomi yang berdaya saing yang
akhirnya akan dapat menyumbang kepada
perkembangan ekonomi negara.
Kesimpulannya, pengetahuan
tentang konsep halal perlu
diterapkan kepada semua lapisan
masyarakat tanpa mengira usia,
jantina juga status pekerjaan.
Kata Imam al-Ghazali :
“makanan halal itu
menambahkan cahaya iman
dan membuatkan doa
dikabulkan dan makanan
haram menggelapkan
hati”.
Rujukan: 1Harlida Abdul Wahab dan Alias
Azhar, “Halalan Toyyiban dalam
kerangka perundangan Malaysia”
Jurnal Kanun. 2Yusuf Al-Qaradhawi, Halal dan
haram menurut perspektif Islam (Johor
bahru: Jahabersa, 2013). 3Saadan Man, dan Zainal Abidin
Yahya. Halalkah makanan kita? Kuala
Lumpur; PTS, 2014 4Muhamad Aizat et al., Pendidikan
kepenggunaan halal di Malaysia,
dicapai 12 November
2014,www.academia.edu 5Data statistik dikeluarkan oleh Portal
rasmi Jabatan Perangkaan Malaysia,
http://www.statistics.gov.my dicapai
pada 13/11/14.
يـأيها ٱلناس كلوا مما فى ٱلأرض
حلـال طيبا ولا تتبعوا خطوٲت
ٱلشيطـن إنه ۥ لكم عدو مبين
Maksudnya: “Wahai sekalian manusia!
Makanlah dari apa yang ada di bumi yang
halal lagi baik, dan janganlah kamu ikut
jejak langkah Syaitan; kerana
Sesungguhnya Syaitan itu ialah musuh
Yang terang nyata bagi kamu.”
(Al-Baqarah 2: 168)
وعن أنس بن مالك عن النبي
صلى اهلل عليه و سلم قال : طلب
الحالل واجب على كل مسلم
Terjemahan: Anas bin Malik
meriwayatkan Nabi bersabda;
“Mencari yang halal adalah suatu
kewajipan ke atas setiap Muslim”.
(Riwayat al-Thabarani)
4
HALAL
&
SYARIAH
[dari mukasurat 1] Oleh: Dr. Che Wan Jasimah, Muhammad Aizat Jamaludin, Muhd Afiq Ab. Razak
Allah S.W.T telah memerintahkan seluruh umat manusia
untuk mencari yang halal lagi baik dalam surah al-Baqarah
ayat 168.
Maksudnya: “Wahai sekalian manusia! Makanlah dari apa
yang ada di bumi yang halal lagi baik, dan janganlah kamu
ikut jejak langkah Syaitan; kerana sesungguhnya Syaitan
itu ialah musuh yang terang nyata bagi kamu.”
Al-Qur’an memandu manusia yang berakal supaya
membezakan antara yang baik dan yang buruk, yang halal dan
yang haram, lantas mengelakkan manusia daripada kerosakan.
Teknologi makanan di zaman ini telah memungkinkan tidak
lagi menggunakan bahan-bahan yang asal, sebaliknya dengan
menggunakan bahan-bahan sintetik yang dihasilkan secara
makmal mempunyai ciri yang serupa dengan bahan yang asli
dengan kos yang jauh lebih murah. Oleh yang demikian,
bahan-bahan kepenggunaan termasuklah makanan, produk
kosmetik, ubat-ubatan perlu diteliti dan tidak boleh di ambil
mudah akan hukumnya. Kaedah penentuan halal atau
verifikasi halal sewajarnya bergerak seiring kemajuan
teknologi industri dan kepenggunaan.
Suatu konsep yang tidak kurang pentingnya dalam penentuan
halal haram adalah ‘istihalah’. Istihalah dapatlah difahami
sebagai proses perubahan sesuatu bahan kepada bahan yang
baharu serta tidak lagi memiliki sifat-sifat seperti mana
keadaan asalnya. ‘istihalah’ merupakan kata berasal dari
bahasa arab bermaksud ‘perubahan’ dari kata akar (حال)‘haa-
la’ bermaksud ‘ubah’.
Dalam konteks halal dan haram, ia secara umumnya merujuk
kepada perubahan bahan yang bersifat najis kepada suatu
bahan baharu yang tidak lagi memiliki sifat kenajisan
sepertimana asalnya. Konsep ini amat penting dalam
penentuan halal-haram terhadap produk teknologi moden
seperti penggunaan gelatin, kolagen, enzim, tulang haiwan
dan sebagainya.
Terdapat dua kelompok pendapat berkenaan keterpakaian
istihalah. Kelompok pertama iaitu yang disokong oleh mazhab
Maliki, Hanafi dan ulama kontemporari seperti Wahbah
al-Zuhailiy1, Dr. Yusuf al-Qaradhawi menyatakan keterpakaian
istihalah ini dalam banyak perkara sesuai dengan keadaannya.
Kelompok pertama ini lebih fleksibel dan terbuka untuk
mengaplikasikan istihalah.
Oleh yang demikian, dapat difahami bahawa kelompok
pertama menerima apa-apa bahan yang bersifat najis tetapi
setelah mengalami proses-proses sehingga hilang sifat
kenajisannya maka ianya adalah halal digunakan oleh umat
Islam. Manakala kelompok kedua, yang dipegang oleh ulama
mazhab as-Syafii’ dan Hanbali mengetatkan dan tidak
memperluaskan aplikasi istihalah. Pendapat kedua ini
mengambil langkah waspada dan istihalah hanyalah diterima
sekiranya ia berlaku dalam keadaan mandiri sahaja dan terbatal
sekiranya melibatkan intervensi buatan (secara sengaja).
Berdasarkan dua kelompok pendapat ini, kelompok pertama
lebih memberikan kemudahan kepada umat Islam dalam
konteks hari ini. Namun demikian, takrifan semula dan
penelitian terhadap konsep istihalah telah dilakukan. Istihalah
telah dipertimbangkan dengan analisis secara saintifik telah
dikemukan memerincikan lagi konsep tersebut2. Menurut
Aizat (2009) istihalah dapat dikelaskan kepada beberapa
bentuk iaitu istihalah sahihah (istihalah yang diterima)3 dan
istihalah fasidah (istihalah yang tertolak)4.
Rujukan 1 Resolusi persidangan Ulama Muslim tentang isu perubatan yang
berlangsung di Kuwait, bulan Mei 1995. 2 Lihat M.J Aizat. Istihalah: Analysis on The Utilization of Gelatin in
Food Products. 2011. Halaman 174-178 3 Maksud istihalah sahihah atau istihalah yang diterima adalah bahan
akhir dalam proses perubahan tersebut dipastikan dan dibuktikan
halal. 4 Istihalah fasidah atau istihalah yang tertolak adalah bahan akhir
proses perubahan tersebut dipastikan dan dibuktikan haram atau
mengandungi ciri kenajisan. Lihat Teori Istihalah Menurut
Perspektif Islam dan Sains: Aplikasi Terhadap Beberapa Penghasilan
Produk Makanan. 2009. Jurnal Syariah Jil. 17, Bil. 1 (2009) 169-164.
HALAL
&
SYARIAH
5
Istihalah:
Pengenalan Dan Aplikasinya
Istihalah:
Perubahan yang berlaku kepada sesuatu bahan yang haram kepada bahan yang halal, kerana
telah berubah menjadi bahan yang lain dari segi sifatnya dan bahan asal.
حرام
حالل
MODEL APLIKASI ISTIHALAH
Daripada pengkelasan tersebut (istihalah sahihah dan istihalah fasidah), dapat dirumuskan enam bentuk formula dan model
istihalah seperti berikut:
1. Model I1
Model I1 merupakan istihalah sahihah. Perubahan ini melibatkan bahan asalnya adalah halal, kemudian bercampur dengan agen
perubahan yang juga halal sehingga menyebabkan berlaku proses perubahan. Akhirnya, bahan yang terhasil adalah halal. Secara
ringkasnya dapat dilihat dalam formula dan Rajah 1 berikut:
Contoh: Dalam penghasilan bebola ikan dan udang, penggunaan enzim transglutaminase rekombinan dicampur bersama dengan
dough (bahan asal) yang halal. Enzim ini berperanan sebagai agen pengenyal untuk menghasilkan produk yang lebih baik. Bahan
akhir yang terhasil adalah bebola ikan dan udang yang bermutu lagi halal.
2. Model I2
Model I2 menunjukkan proses istihalah sahihah. Dalam proses perubahan ini, bahan asalnya adalah haram, bertindak balas
melalui proses percampuran dengan agen perubahan yang halal. Seterusnya berlaku proses perubahan dan menghasilkan bahan
akhir yang dikategorikan sebagai halal. Rujuk Rajah 2.
Contoh: Haiwan seperti khinzir yang terjatuh ke dalam lautan garam. Dalam keadaan ini, daging khinzir sebagai bahan asalnya
yang haram terurai dalam air garam. Dalam proses yang lama, garam sebagai agen perubahan yang halal telah mengubah struktur
dan molekul daging tersebut menjadi butiran garam. Dalam hal ini, garam yang terhasil (bahan akhir) adalah halal. Selain itu,
proses ini juga dapat dilihat di dalam pengkuarantinan haiwan al-Jallalah. Haiwan al-Jallalah seperti ternakan ikan yang diberi
makan usus khinzir yang asalnya haram dimakan boleh berubah menjadi halal setelah melalui proses pengkuarantinan dalam
tempoh tertentu.
3. Model I3
Model I3 menjelaskan proses istihalah sahihah. Proses ini melibatkan bahan asalnya yang halal, melalui agen pemprosesan yang
haram dan akhirnya menghasilkan bahan baru yang halal. Ia dapat dilihat dalam formula dan Rajah 3.
Contoh: Pokok buah-buahan yang dibajai dengan najis khinzir. Proses ini melibatkan percampuran bahan asal yang halal iaitu
pokok tanaman dengan agen perubahan yang haram iaitu najis khinzir. Najis khinzir yang bertindak sebagai agen pengurai kepada
nutrien tanah telah menghasilkan buah- buahan yang halal malah lebih baik dan bermutu. Dalam hal ini, najis khinzir tersebut
hanya berperanan sebagai agen luaran yang bertindak menyuburkan tanah supaya menghasilkan buah-buahan yang lebih subur.
HALAL
SAINS &
TEKNOLOGI
6
Bahan Akhir
(Halal)
4. Model I4
Model I4 menunjukkan model proses istihalah fasidah. Proses ini melibatkan bahan asalnya adalah daripada sumber yang halal,
kemudian bercampur dengan agen perubahan yang halal sehingga menghasilkan bahan akhir yang haram. Ia dapat dilihat dalam
formula dan Rajah 4.
Contoh: Pemprosesan buah anggur menjadi arak. Bahan asal yang halal bertindak balas dengan agen perubahan yang halal
sehingga berubah menjadi arak. Dalam hal ini, bahan akhir yang terhasil diklasifikasikan sebagai haram. Walaupun begitu, ia
dapat berubah menjadi halal kembali setelah melalui proses pemeraman kali kedua sehingga menghasilkan bahan akhir yang baru
dan halal iaitu cuka.
5. Model I5
Model I5 menggambarkan proses istihalah fasidah. Proses perubahan ini melibatkan bahan asal yang halal, kemudiannya melalui
agen perubahan haram sehingga menghasilkan bahan akhir yang juga haram. Ia dapat dilihat dalam formula dan Rajah 5.
Contoh: Penggunaan enzim transglutaminase yang bersumberkan darah haiwan dalam penghasilan produk makanan. Umpamanya
seperti penghasilan sosej ayam dan daging, keju dan yogurt. Bahan-bahan asal yang halal dicampur dengan enzim
transglutaminase sebagai agen perubahan yang haram untuk menghasilkan bahan akhir yang lebih baik. Walaupun berlaku proses
percampuran dan perubahan tersebut, bahan akhir demikian tetap dikategorikan sebagai haram kerana telah bercampur dengan
agen yang haram.
6. Model I6
Model I6 merupakan proses istihalah fasidah. Proses perubahan ini melibatkan bahan asal yang haram, kemudiannya melalui
agen perubahan yang halal sehingga menghasilkan bahan akhir yang juga haram. Ia dapat dilihat dalam formula dan Rajah 6.
Contoh: Penyediaan stik khinzir. Bahan asal yang berasaskan khinzir dicampur dengan sos yang halal sehingga menghasilkan
bahan akhir yang tetap haram. Bahan asal yang haram tidak memberi kesan terhadap bahan campuran yang halal.
Justeru berasaskan model tersebut, ia dapat diaplikasi sebagai instrument purifikasi alternatif yang relevan terutamanya dalam
penghasilan produk makanan. Konsep ini diperlukan sebagai neraca dalam penentuan produk halal supaya umat Islam dapat
menggunakannya dengan yakin dan selamat.
H1: Halal
H2: Haram
Model I1 : H1+H1 = H1 (Istihalah Sahihah)
Model I2 : H1+H2 = H1 (Istihalah Sahihah)
Model I3 : H2+H1 = H1 (Istihalah Sahihah)
Model I4 : H1+H1 = H2 (Istihalah Fasidah)
Model I5 : H1+H2 = H2 (Istihalah Fasidah)
Model I6 : H2+H1 = H2 (Istihalah Fasidah)
FORMULA
ISTIHALAH
7
Isu Makanan Ubahsuaian Genetik (GM food)
[dari mukasurat 1] Oleh: Muhammad Safiri bin Ismail
Gm food didefinisikan sebagai produk makanan yang dihasilkan
daripada hidupan transgenik (genetically modified organism
(gmo) atau mana-mana bahagiannya. Haiwan transgenik tersebut
mungkin terdiri daripada spesis tumbuhan, haiwan mahupun
mikroorganisma. Gm food ada yang dimakan terus seperti
sayuran, buah-buahan, daging dan susu ternakan dan ada juga
yang diproses oleh kilang seperti sos tomato, minyak canola dan
perahan soya. Teknik yang diaplikasikan untuk menghasilkan
GMF pula dikenali sebagai kejuruteraan genetik atau lebih
tepatnya teknologi DNA rekombinan.1
Gm food yang pertama dihasilkan adalah tomato (Flavr Savr) dan
diikuti dengan penghasilan kacang soya, jagung, kentang, canola,
betik, gandum, beras, pisang, ikan, susu, ternakan dan
sebagainya. Rekombinan DNA boleh dijelaskan sebagai suatu
teknologi memanipulasi DNA atau gen. Ia melibatkan proses
sama ada membuang, memperbaiki DNA yang sedia ada atau
menambah DNA asing ke dalam molekul DNA sesuatu
organisma sama ada manusia, haiwan, tumbuhan mahupun
mikrob.
Ini bermakna DNA mana-mana organisma boleh dipindah dan
dimanipulasi dalam apa juga organisma melalui teknologi ini.
Sebagai contoh, DNA manusia secara teorinya mampu
direkombinankan ke dalam DNA babi atau sebaliknya, atau ke
dalam DNA tumbuhan, mikrob dan sebagainya. Matlamatnya
adalah untuk mengubah maklumat genetik organisma yang asal
sehingga menyebabkan rantaian DNA rekombinannya yang baru
mampu menghasilkan sejenis protein lain yang merangsang
penonjolan fenotip baru atau melakukan suatu fungsi yang belum
pernah ada dalam variasi spesis hidupan yang asal. Sebagai
contoh, terdapat sesetengah organisma transgenik yang
diprogramkan supaya mengeluarkan hasil secara pukal
khususnya dalam penghasilan enzim, antibiotik, nutrien, hormon
dan pelbagai produk farmaseutikal seperti dadah dan vaksin.3
Secara dasarnya, teknik kejuruteraan genetik melibatkan
beberapa peringkat yang kompleks. Antaranya ialah pengasingan
DNA dan pemotongan DNA terpilih (gene of interest) yang
dikenali sebagai passenger daripada rantaiannya pengasingan
vektor dan pembukaan rantaiannya (restriction), menghibridkan
passenger dengan vektor (ligation), pemindahan pDNA hibrid
ke dalam host (transformation), pemilihan host yang
mengandungi pDNA hibrid (identification) dan akhirnya
pengklonan (cloning) dan pengkajian lanjut tentang passenger
(characterization).
Tumbuhan transgenik memiliki kelebihan yang menonjol
terutamanya dalam meningkatkan hasil tuaian dan kadar
nutrien, memperbaiki rasa dan kualiti, mengekalkan kesegaran,
meningkatkan ketahanannya terhadap kekangan alam seperti
kemarau, suhu yang melampau, ketidaksuburan tanah,
serangga perosak dan sebagainya. Ia juga boleh
"diprogramkan" agar lebih rintang terhadap serangan virus,
racun rumpai (herbiside) mahupun racun serangga
(insectiside). Manakala haiwan transgenik pula memiliki
kelebihan lain seperti tumbesaran yang cepat dan sekaligus
menjimatkan masa dan kos, peningkatan dalam hasil tuaian
seperti daging, susu dan telur, peningkatan ketahanan terhadap
penyakit serta kekangan alam seperti suhu yang melampau dan
sebagainya.
Berdasarkan gambaran kasar yang dinyatakan di sini, wujud
sebahagian ahli masyarakat yang berani menghukumkan Gm
food sebagai suci dan halal sekalipun ia melibatkan
rekombinan DNA daripada donor yang haram seperti babi.
Asasnya, zat DNA tersebut diandaikan telah terurai dalam host
sewaktu proses pengklonan, namun adakah ia benar? Pasti
Islam ada jawapannya secara analitikal.
[bersambung]
RUJUKAN: 1Nicholl, Desmond S. T. (2002), An introduction to genetic
engineering. Cet. 2, Cambridge: Cambridge University Press, h. 1-2. 3Lihat Wan Jasimah Wan Mohamed Radzi (2002), "Makanan
Ubasuaian Genetik: Perspektif Kesihatan dan Keselamatan
Makanan" yang dibentang sempena "Muzakarah Pakar GM FOOD –
Satu Perspektif Islam", 29-30 Mei 2002 di Institut Kefahaman Islam
Malaysia (IKIM), Kuala Lumpur, h. 5.
HALAL
SAINS &
TEKNOLOGI
8
Halal dan Perundangan di Malaysia Oleh: Dr. Zalina bt Zakaria
Perkembangan halal di negara ini telah menuntut suatu pengaturan terutama dalam memastikan perkara halal tidak diambil sambil
lewa oleh segelintir pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab. Berbanding banyak negara-negara lain yang meletakkan halal
sebagai suatu ‘self-regulation’, Malaysia telah meletakkan pengaturan halal dalam satu ‘government regulation’ sebagai ruang
lingkup perundangan yang telah dikenalpasti. Akta Perihal Dagangan 2011(APD 2011) telah mendapat kelulusan Parlimen pada 11
Julai 2012 dan telah dikuatkuasaan pada 1 Januari 2012 merupakan satu undang-undang umum yang mengandungi peruntukan
larangan mana mana barangan atau perkhidamatan yang telah diperihalkan atau memberi pertunjuk palsu dan tidak benar tentang
barangan atau perkhidmatan yang ditawarkan tersebut. APD 2011 ini telah menggantikan Akta Perihal Dagangan 1972 (APD1972)
setelah ditambahbaik beberapa perkara tentang perihal dagangan yang ditawarkan kepada pengguna. Penguatkuasaan akta ini
adalah terletak di bawah autoriti Bahagian Penguatkuasa Kementerian Perdagangan dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan
(KPDNKK).
Sungguhpun Akta 2011 ini bukanlah sebuah akta khusus tentang halal semata-mata, terdapat beberapa peruntukan yang dimasukkan
dalam akta ini yang sangat berkait dengan pengaturan halal di Malaysia. Secara khususnya apabila membabitkan halal, sebarang
kesalahan melabelkan sesuatu barangan atau perkhidmatan sebagai ‘halal’ sedangkan ia bukan halal secara automatik telah
menyalahi akta ini, kerana memperihalkan secara tidak benar sesuatu dagangan sama ada dalam bentuk barangan/perkhidmatan
yang ditawarkan. Penggubalan akta ini secara tidak langsung dapat melindungi pengguna Muslim dari tertipu dengan mana-mana
pihak yang tidak bertanggungjawab.
Melalui seksyen 28 APD 2011, adalah menjadi suatu kesalahan bagi mana-mana orang yang menggunakan ungkapan yang telah
ditakrifkan dalam perintah yang dinyatakan dalam subseksyen (1) seksyen ini sebagai perihal dagangan bagi barang-barang atau
perkhidmatan, dengan tujuan untuk memperdaya atau mengelirukan orang yang mahu membeli atau mendapatkan barang-barang
atau perkhidmatan itu, seolah-olah barang-barang atau perkhidmatan itu dibekalkan menurut takrif yang diberikan kepada ungkapan
itu. Peruntukan ini dapat mengelakkan pengguna daripada terperdaya atau dikelirukan oleh ungkapan tertentu yang jelas
bercanggah dengan barangan dan perkhidmatan yang ditawarkan khususnya yang berkaitan dengan barangan dan perkhidmatan
halal. Halal pula telah diberikan satu takrif di bawah Perintah Perihal Dagangan (Takrif Halal) 2011. Dalam erti kata lain, adalah
merupakan satu kesalahan memperihal sesuatu itu sama ada makanan atau barang-barang gunaan lain untuk menujukkan ia boleh
dimakan/digunakan oleh orang Islam.
Selain itu, apa sahaja kenyataan secara yang menunjukkan halal secara ‘self declaration’ juga adalah tidak dibenarkan. Contoh ‘self-
declaration’ yang tidak dibenarkan adalah ‘ditanggung halal’, ‘makanan orang islam’, ‘terjamin halal’, ‘halalan thoyyiban’, dan
lain-lain. Begitu juga sebarang perbuatan dan representasi yang boleh menunjukkan pengguna bahawa ia boleh dikaitkan dengan
agama Islam sebagai contoh penggunaan ayat-ayat suci Al-Quran yang dibingkaikan di hadapan kedai/restoran, atau apa-apa sahaja
perkara atau objek yang berhubung dengan agama Islam sama ada di premis di mana makanan itu dijual atau di bekas di mana
makanan itu dibekalkan. Sekiranya disabit kesalahan, mana-mana pihak yang melakukan suatu kesalahan di bawah seksyen ini
boleh, apabila disabitkan:
(a) jika orang itu ialah suatu pertubuhan perbadanan didenda tidak melebihi lima juta ringgit, dan bagi kesalahan yang kedua atau
yang berikutnya, didenda tidak melebihi sepuluh juta ringgit; atau
(b) jika orang itu bukan suatu pertubuhan perbadanan, didenda tidak melebihi satu juta ringgit atau dipenjarakan selama tempoh
tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya, dan bagi kesalahan yang kedua atau yang berikutnya, didenda tidak melebihi lima juta
ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya.
Selain seksyen 28, Seksyen 29 APD 2011 juga adalah salah satu dari peruntukan paling penting tentang halal di mana ia melibatkan
peruntukan khusus memberikan kuasa kepada satu badan sahaja di negara ini untuk mengeluarkan sijil halal. Berdasarkan kuasa
yang ada di bawah seksyen 29 akta ini, suatu perintah telah dikeluarkan iaitu Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan
Halal) 2011 di mana Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) mempunyai kuasa untuk
menamakan mana-mana ‘pihak berkuasa berwibawa’ bagi membuat perakuan dan pengecapan ke atas sesuatu barangan termasuk
yang berkaitan dengan pensijilan halal. Jabatan Kemajuann Islam Malaysia atau JAKIM telah dimandatkan sebuah autoriti sebagai
‘pihak berkuasa berwibawa’ dalam melakukan penguatkuasaan dan pemantauan halal. Peruntukan ini melarang sijil dan logo halal
dari dikeluarkan oleh mana-mana syarikat swasta.
9
HALAL
&
PERUNDANGAN
Selain daripada bertujuan untuk menyeragamkan pengeluaran sijil halal, peruntukan seksyen ini bertujuan, antara lain adalah
untuk melarang dan seterusnya mengambil tindakan terhadap mana-mana pihak orang yang bukan berautoriti. Mana-mana pihak
yang didapati bersalah melanggar seksyen ini boleh didenda, bagi pertubuhan, tidak melebihi dua ratus ribu ringgit dan bagi
kesalahan yang kedua atau yang berikutnya, didenda tidak melebihi lima ratus ribu ringgit; atau jika orang itu bukan suatu
pertubuhan perbadanan, didenda tidak melebihi satu ratus ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun
atau kedua-duanya, dan bagi kesalahan yang kedua atau yang berikutnya, didenda tidak melebihi dua ratus lima puluh ribu ringgit
atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya.
Pengurusan Penyelidikan Halal Oleh: Dr. Nor `Azzah Kamri
Industri halal di Malaysia yang semakin berkembang pesat memberi petanda positif kepada peningkatan tahap kesedaran dan
keprihatinan masyarakat Muslim tempatan terhadap produk/perkhidmatan halal. Keprihatinan ini memberi ruang dan peluang
kepada mereka yang terlibat dalam industri halal di negara ini untuk bergiat lebih aktif dalam penghasilan produk/perkhidmatan
halal. Situasi ini menuntut kepada satu sistem pengurusan jaminan halal yang efektif dan salah satu elemen terpentingnya adalah
aktiviti penyelidikan itu sendiri.
Institusi-institusi pengajian tinggi awam di Malaysia telah mengambil inisiatif berkaitan penyelidikan halal antaranya termasuklah
Institut Penyelidikan Produk Halal (IPPH) di Universiti Putra Malaysia, International Institute for Halal Research and Training
(INHART) di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Institute Halal Research and Management (IHRAM) di Universiti Sains
Islam Malaysia, dan Institute of Halal Research University of Malaya (IHRUM) di Universiti Malaya. Pusat-pusat penyelidikan
ini berperanan menjalankan kajian dan penyelidikan mendalam berkaitan halal dalam pelbagai bidang. Usaha memastikan status
kehalalan semua produk/perkhidmatan ini seterusnya menyumbang kepada pemantapan sistem pengurusan jaminan halal dan
pencapaian halal living, iaitu kehidupan yang benar-benar halal dalam segenap aspek.
Secara dasarnya, penyelidikan berperanan sebagai penapis, penguji, pengesah dan penimbangtara dalam penentuan status
kehalalan sesuatu produk/perkhidmatan. Melalui penyelidikan berbentuk eksperimental dan hukum, sesuatu produk/perkhidmatan
itu diselidiki, diuji dan dikaji secara mendalam daripada pelbagai aspek berdasarkan dalil naqli dan juga dalil `aqli. Hasil
penyelidikan yang mendalam barulah sesuatu produk/perkhidmatan itu dapat dipastikan dan diputuskan sama ada benar-benar
halal ataupun sebaliknya.
Peranan penyelidikan halal ini hanya dapat direalisasikan apabila falsafah, skop dan etika penyelidikan halal berada di landasan
yang betul dan memenuhi piawaian syariat Islam. Falsafah penyelidikan halal bertitik tolak daripada peranan manusia sebagai
hamba dan khalifah Allah. Sebagai hamba Allah, manusia dituntut supaya sentiasa beribadah kepada Allah. Untuk itu, aktiviti
penyelidikan halal dilihat sebagai salah satu bentuk ibadah kepadaNya dalam usaha mentaati perintah Allah untuk mendapatkan
produk/perkhidmatan yang halal. Sebagai khalifah Allah pula, manusia bertanggungjawab untuk memakmurkan muka bumi dan
bukan membuat kerosakan, termasuklah dalam aktiviti penyelidikan halal yang membawa manusia kepada kebaikan (maslahah)
dan menghindari kemudaratan (mafsadah).
Sebagai hamba dan khalifah Allah juga, manusia sentiasa terikat kepada tiga bentuk interaksi iaitu hubungan dengan Allah,
hubungan sesama manusia dan hubungan dengan alam. Untuk itu, aktiviti penyelidikan halal hendaklah lebih mendekatkan diri
manusia kepada Allah, menyumbang manfaat kepada masyarakat dan menjamin kelestarian ekosistem alam melalui penggunaan
sumber-sumber penyelidikan secara berhemah. Dengan demikian, misi kehambaan dan kekhalifahan dapat disempurnakan.
[bersambung]
10
HALAL
&
PENGURUSAN
Institusi Penyelidikan Halal di IPTA
Penglibatan golongan akademik merupakan sesuatu yang amat penting di dalam merancakkan lagi bidang halal di Malaysia.
Bersama-sama dengan inisiatif kerajaan dalam merealisasikan status halal hub global, penglibatan ahli akademik adalah sangat
penting malah diperlukan untuk mengembangkan, memperluas dan mengintegrasi penyelidikan-penyelidikan halal di Malaysia.
Seperti mana Instite of Halal Research, Universiti of Malaya (IHRUM), terdapat banyak institusi penyelidikan lain yang sedang
bergerak aktif dalam industri halal ini. Berikut merupakan senarai institusi halal yang telah ditubuhkan di Institusi Pengajian
Tinggi Awam (IPTA) di Malaysia:
(1) Institut Penyelidikan Produk Halal
(IPPH), Universiti Putra Malaysia
Tarikh Penubuhan: Jun 2003
Institusi: Universiti Putra Malaysia (UPM)
Skop penyelidikan: Pembangunan Produk Halal, Sains Halal
Pengajian pascasiswazah yang ditawarkan:
Sains Produk Halal
Pembangunan Produk Halal
Pengurusan Produk Halal
Syariah dan Undang-undang Halal
Perkhidmatan analisis halal: Ya (Alkohol, lemak, asid amino dan saringan)
Latihan dan bengkel halal: Ya
Konsultasi halal: Ya
Maklumat lanjut: http://www.halal.upm.edu.my
(2) International Institute for Halal
Research and Training (INHART),
Universiti Antarabangsa Islam Malaysia
Tarikh penubuhan: (IIUM Halal Industry Research Centre - Julai 2006),
INHART - Ogos 2011
Institusi: Universiti Antarabangsa Islam Malaysia (UIAM)
Skop penyelidikan: Sains Industri Halal, Sains Pengurusan Halal
Pengajian pascasiswazah yang ditawarkan:
MSc Halal Industry Science
MA Halal Industry Management
PhD Halal Industry
Perkhidmatan analisis halal: Tiada maklumat
Latihan dan bengkel halal: Ya
Konsultasi halal: Ya
Maklumat lanjut: http://www.iium.edu.my/inhart
(3) Institute Halal Research and
Management (IHRAM), Universiti Sains
Islam Malaysia
Tarikh penubuhan: 1 Januari 2010
Institusi: Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
Skop penyelidikan: Pengurusan Halal, Sains Halal
Pengajian pascasiswazah yang ditawarkan: Tidak ditawarkan, tetapi
program Master of Muamalat Administration (Halal Product) ditawarkan oleh
USIM secara mode kursus.
Perkhidmatan analisis halal: Ya (Fitokimia, kimia, proksimat,
mikrobiologi, lemak bahan pengawet)
Latihan dan bengkel halal: Ya
Konsultasi halal: Ya
Maklumat lanjut: http://ihram.usim.edu.my
[bersambung]
INFO
HALAL
11
Wacana Halal siri 2 dengan tajuk ‘Farmaseutikal Halal’
bahagian 1 bersama Dr. Lokman dari Jabatan Kemajuan
Islam Malaysia (JAKIM / PEHMA) dan Prof Dr. Zhari bin
Ismail dari Universiti Sains Malaysia (USM).
Wacana Halal siri 3 dengan tajuk ‘ Forum Farmaseutikal
Halal’ bahagian 2. Menampilkan En. Amrahi Buang dari
Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), En. Johari bin
Abd Latiff dari Bahagian Hab Halal JAKIM dan Puan
Norazlina bt Abd Aziz dari Fakulti Undang-undang UiTM.
Kunjungan IHRUM ke Bahagian Hab Halal, JAKIM.
(Dari kiri: Ust Hawari, Afiq,Ust Safiri, Prof. Dato’ Dr.
Zulkifli, Puan Hjh Hakimah, Dr. Zalina, Puan Suriati,
Ustzh Mazita, Razidah)
Kunjungan mesra dari Persatuan Profesion Eksekutif Halal
Malaysia (PEHMA).
(Dari kiri: En.Faizal, Ust Khairul, Dr. Lokman, Prof. Ramli,
Dr. Roslan, Afiq)
12
SEKITAR PROGRAM IHRUM
Wacana Halal siri 1 dengan tajuk ‘Istihalah dan DNA khinzir’. Menampilkan dua ilmuan iaitu Dr.
Saadan Man dari Jabatan Fiqh Usul, Akademi Pengajian Islam UM dan Prof Madya Dzulkifly Mat
Hashim dari Institut Penyelidikan Produk Halal, UPM.
Recommended