View
541
Download
8
Category
Preview:
Citation preview
1.0 Pendahuluan
Bahasa merupakan alat berkomunikasi yang wujud seiring dengan kewujudan manusia
itu sendiri. Melalui bahasa , manusia dapat melahirkan idea, perasaan dan berhubung
di antara sesama mereka. Bahasa dikuasai secara semula jadi atau dipelajari secara
formal atau tidak formal. Keupayaan berbahasa dengan baik membolehkan seseorang
itu berkomunikasi dengan lebih berkesan lagi.Kanak-kanak berkeperluan khas dalam
masalah pembelajaran memang diakui mengalami masalah dalam menguasai
kemahiran bahasa. Justeru mereka mengalami masalah untuk mengikuti pelajaran dan
juga berkomunikasi dengan rakan sebaya mereka. Guru perlu memahami masalah
yang dihadapi oleh murid-muridnya supaya dapat merancang aktiviti pengajaran dan
pembelajaran yang berkesan.
Sesi pengajaran dan pembelajaran bahasa Melayu akan berlangsung dalam
suasana hambar dan kurang berkesan sekiranya tidak dirancang sebaik mungkin.
Seorang guru berupaya menghasilkan satu sesi pengajaran dan pembelajaran yang
menyeronokkan dan berkesan sekiranya guru merancang bahan,teknik dan kaedah
yang sesuai dengan murid-murid.Penyampaian dan pengajaran guru, memerlukan
kaedah dan teknik yang sesuai dengan murid-murid dan juga objektif pengajaran
tersebut. Pemilihan kaedah pengajaran perlu dibuat dengan teliti supaya murid-murid
dapat mengikuti pengajaran guru dengan lancar dan berkesan.Anda telah didedahkan
dengan beberapa jenis kaedah dan teknik pengajaran bahasa yang boleh anda
gunakan dalam pengajaran bagi membantu anda mengajar terutamanya kanak-kanak
bermasalah pembelajaran.
1.1 Kemahiran Membaca dan Menulis Bahasa Melayu
Membaca merupakan salah satu sumber pengetahuan dan asas pembentukan diri ke
arah memperoleh ilmu pengetahuan. Tujuan membaca bagi memahami teks yang
dibaca dan kandungan teks memberi makna kepada pembaca (Yahya 2005).
Keupayaan membaca merupakan suatu kemahiran yang amat bernilai dan merupakan
proses yang dinamik, iaitu memerlukan komunikasi yang aktif dan bermakna antara
pembaca dengan penulis. Membaca juga dikatakan sebagai keupayaan seseorang
mengecam bentuk visual dan menghubungkan antara bentuk dengan bunyi dan melalui
pengalaman serta berupaya mentafsirkan maksudnya. Pemahaman bacaan bergantung
pada gabungan dari segi pengetahuan bahasa, gaya kognitif, dan pengalaman
membaca.
Sementara itu, kemahiran menulis merupakan suatu budaya intelek yang saling
melengkapi antara kemahiran membaca dengan menulis. Keupayaan menulis
merupakan proses penyaluran maklumat yang bersifat mekanikal dan disalurkan secara
bersistem iaitu mengambil kira matlamat, penggunaan bahasa, audiens, dan gaya
penulisan. Sehubungan itu, keupayaan membaca dan menulis merupakan suatu
kemahiran yang menjadi punca atau asas dalam proses pengajaran dan pembelajaran
yang berkesan dalam pelbagai disiplin ilmu di sekolah.
Pencapaian dan kebolehan yang tinggi dalam kemahiran membaca dan menulis
pasti dapat meningkatkan penguasaan pembelajaran murid dalam Bahasa Melayu dan
mata pelajaran tertentu. Berdasarkan Buku Panduan Am Kurikulum Bersepadu Sekolah
Rendah (KPM 2003), bahawa setiap murid adalah berbeza antara satu sama lain sama
ada dari segi pengalaman, tingkah laku, amalan, bakat dan kebolehan.
Oleh yang demikian, guru seharusnya memahami keperluan konsep pemulihan
di dalam bilik darjah bagi mengatasi permasalahan menguasai kemahiran membaca
dan menulis dalam kalangan murid sekolah rendah di luar bandar. Pelbagai usaha telah
dan akan dijalankan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia bersama Jabatan Pelajaran
Negeri dengan Pejabat Pelajaran Daerah bagi merangka program kecemerlangan
murid contohnya Kelas Intervensi Awalan Membaca dan Menulis (KIA2M), Program
Literasi dan Numerasi (LINUS), dan Program Bimbingan Membaca dan Menulis
(PROBIM).
Melalui program program yang dirancang diharapkan dapat membantu serta
memenuhi keperluan murid-murid ini. Program pemulihan merupakan satu pendekatan
bagi mengatasi murid-murid yang mengalami kelemahan kemahiran yang tertentu.
Perhatian guru yang serius dalam memenuhi tuntutan murid ini dapat membantu
mengembangkan potensi dan meningkatkan keyakinan murid tersebut untuk bersaing
dengan rakan mereka yang cerdas.
Dalam usaha mempertingkat kemahiran bahasa murid-murid ini, guru
mempunyai peranan yang besar. Menurut Roselan (2003), kemahiran berbahasa
merupakan kemahiran asas yang amat penting dan perlu ditekankan dalam proses
pengajaran dan pembelajaran di dalam bilik darjah. Guru sebagai pelaksana kurikulum
perlu mengambil berat tentang objektif kurikulum yang digubal bagi membolehkan
hasrat kerajaan tercapai. Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) telah melancarkan
projek untuk meninjau keperluan pengajaran pemulihan, iaitu melalui Program KIA2M
(Kelas Intervensi Awalan Membaca dan Menulis) mengesahkan bahawa keperluan
pengajaran pemulihan amat diperlukan.
Justeru, Bahagian Sekolah-Sekolah KPM telah merangka program pengajaran
pemulihan di sekolah rendah bagi memenuhi keperluan murid-murid lembam ini (Abdul
Rasid dan Zulkafli 2008). Namun sekarang program ini diberi perubahan tetapi
matlamat yang sama, iaitu Program Literasi dan Numerasi (LINUS) yang telah
dicadangkan oleh YAB. Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pelajaran pada
15 Januari 2010. Program ini memberi penekanan kepada literasi Bahasa Melayu, iaitu
lisan, bacaan dan tulisan serta ditambah dengan kemahiran asas kiraan
sertamemahami ideamatematik yang mudah.
2.0 Masalah Pembelajaran Kemahiran Membaca dan Menulis
Murid-murid sekolah rendah merupakan aset negara pada masa hadapan bagi
meneruskan kesinambungan bangsa dalam memajukan negara menjelang Wawasan
2020. Walau bagaimanapun, wujudnya jurang pemisah dalam membangunkan generasi
muda dalam keseimbangan potensi individu. Penekanan dalam konsep kepelbagaian
kecerdasan serta perbezaan individu murid menjadikan pendidikan pemulihan sebagai
pilihan dalam membantu mereka agar berjaya mencapai matlamat kehidupan dan
kejayaan sistem pendidikan di negara ini. Sehubungan itu, pemulihan merupakan satu
pendekatan yang berbeza daripada kelas biasa dalam sistem persekolahan
kebangsaan.
Pendidikan pemulihan berfokuskan objektif memulihkan sesuatu kekurangan
atau sesuatu kecacatan dalam membentuk kemahiran pembelajaran murid.
Permasalahan murid-murid lembam amat merisaukan bukan sahaja ibu bapa tetapi
juga masyarakat dan kerajaan. Masalah pencapaian yang rendah atau masalah
pembelajaran murid kebiasaannya dipengaruhi oleh faktor psikologi, biologi dan
persekitaran (Roselan 2003).
Tahap kecerdasan dan psikologi yang rencam dalam kalangan murid adalah
akibat pelbagai faktor genetik, kecacatan fizikal murid, persekitaran dan
sebagainya yang berkecenderungan menimbulkan permasalahan untuk
mempelajari dan mengingati sesuatu yang diajar oleh guru. Selain itu, tahap
kesihatan serta gangguan emosi sering menjadi punca masalah pembelajaran.
Murid yang mewarisi tahap kecerdasan yang rendah sering memperlihatkan
gangguan emosi seperti bimbang, takut, marah dan berbagai-bagai perasaan lagi
yang pastinya menjejaskan tumpuan dan perhatian terhadap pembelajaran
(Zulkifley 2006). Selain gangguan emosi terdapat juga masalah biologi seperti
masalah kesihatan fizikal dan fungsi neurologi murid.
Akibatnya kesihatan murid terjejas seperti penyakit keturunan, asma, sinutitis,
sawan, kecacatan alat artikulasi dan sebagainya sering menjejaskan minat dan
tumpuan murid terhadap pelajaran. Oleh itu, kepintaran atau kebijaksanaan berpunca
daripada kecekapan sel-sel neuron dalam otak manusia bukan sahaja mewujudkan
pengetahuan tetapi memberi pengalaman yang bermakna.
Permasalahan persekitaran merupakan suatu fenomena luaran yang berlaku
akibat amalan sistem persekolahan dan pembentukan bahasa murid. Sistem
persekolahan yang sering mengamalkan kurikulum yang kompleks dan tidak prihatin
terhadap keperluan murid yang berbeza-beza keupayaan, guru lebih terikat dengan
waktu untuk menghabiskan sukatan pelajaran daripada menumpukan pembelajaran
merupakan ketidakcekapan pengurusan pengajaran sekolah. Aspek kemampuan murid
yang berbeza diabaikan, maka jurang perbezaan murid semakin ketara antara mereka.
Tambahan lagi, sebilangan murid yang tercicir daripada arus perdana
pembelajaran di sekolah adalah akibat faktor pembentukan dan penggunaan amalan
berbahasa yang tidak baku. Kekurangan pengalaman dan pergaulan yang tidak sihat
menjadikan murid lebih terdedah kepada pertuturan dan amalan penggunaan bahasa
daerah, bahasa pasar juga sebagai penyumbang kepada permasalahan pembelajaran
Bahasa Melayu.
Pengaruh faktor-faktor yang tertentu mewujudkan masalah dalam menguasai
kemahiran membaca dan menulis murid. Kelemahan menguasai kemahiran membaca
dan menulis menjadikan murid berasa rendah diri dan masalah disiplin diri merosot.
Murid-murid ini beranggapan bahawa perlakuan yang melanggar norma amalan di
sekolah bertujuan menarik perhatian guru dan rakan-rakan. Sifat rendah diri akibat
kegagalan yang berterusan membawa kepada konsep kendiri yang rendah. Tingkah
laku agresif, negatif, kebudak-budakan serta bermuram adalah petunjuk-petunjuk
masalah emosi yang serius. Ini akan menjejaskan keupayaan mereka untuk menguasai
kemahiran bahasa yang lebih berkesan. Menurut Abdul Rasid dan Zulkafli (2008),
masalah menguasai kemahiran membaca dan menulis menjadikan murid lemah dan
tidak berminat dalam mata pelajaran Bahasa Melayu adalah akibat ketidakcekapan
mereka menguasainya.
Permasalahan membaca yang ada dalam diri murid adalah seperti keliru
mengecam huruf besar dan huruf kecil semasa membaca, tidak membunyikan
perkataan dengan betul dan tepat, tidak dapat menyebut perkataan yang dieja serta
sering meninggalkan perkataan yang tidak ketahui makna atau gagal membunyikannya.
Ini menimbulkan pola bacaan yang merangkak-rangkak dan pastinya menjadikan
murid-murid tidak memahami maklumat dan makna bahan bacaan tersebut. Selain itu,
murid ini juga lemah dan tidak berminat mencari maklumat yang terdapat dalam gambar
rajah atau bahan rangsangan yang diberikan oleh guru. Menurut Yahya (2004),
membaca merupakan proses interaksi antara teks dengan imaginasi pembaca. Justeru,
guru perlu mempelbagaikan teknik pengajaran membaca agar dapat menjadikan
pengajaran lebih bervariasi, menarik serta dapat menimbulkan minat murid untuk
belajar dengan lebih bersungguh-sungguh.
Apabila seseorang murid tidak menguasai kemahiran membaca menyebabkan
mereka tidak menguasai kemahiran asas, iaitu kemahiran lisan. Antara kelemahan
murid dalam kemahiran lisan adalah seperti salah membunyikan huruf yang seakan-
akan sama bentuknya, membunyikan huruf tertentu, keliru membunyikan nama huruf
yang seakan-akan sama. Hal ini pasti menjadikan murid salah faham menyebut
susunan rangkai kata, ayat, intonasi dengan gaya yang betul. Ketidakupayaan murid
menguasai kedua-dua kemahiran ini pasti memberikan masalah kepada mereka untuk
melahirkan ekspresi melalui tulisan. Antaranya, masalah ketidakcekapan koordinasi
mata dan tangan semasa menulis. Ketidakupayaan ini dikesan semasa murid
memegang pensel dengan cara yang tidak betul. Akibatnya murid tidak dapat menulis
garis perkataan dengan tepat serta mencampur aduk huruf besar dengan huruf kecil
dalam satu ayat.
Manakala kelemahan dalam menghasilkan makna dalam penulisan karangan
pula, iaitu murid lemah menyusun ayat dan buah fikiran mengikut wajaran fikiran
mereka serta meninggalkan perkataan tertentu semasa menulis. Ketidakcekapan murid
menguasai kemahiran membaca dan menulis menjadikan murid tidak berminat untuk
belajar dan tidak memberikan tumpuan sepenuhnya. Selain itu, faktor luar kawalan juga
penyebab kepada masalah penguasaan kemahiran ini antaranya masalah kecacatan,
penyakit dan genetik. Hal ini ditambah dengan faktor persekitaran seperti kemiskinan
dan kurang perhatian daripada ibu bapa juga merupakan penyumbang kepada
permasalahan menguasai kemahiran membaca dan menulis.
Walau bagaimanapun, masalah ini bukanlah penghalang kepada guru dan
sekolah serta dijadikan alasan untuk tidak membantu murid yang bermasalah dalam
pembelajaran. Pelbagai usaha serta bantuan daripada kerajaan dan KPM seharusnya
menjadi pemangkin serta dorongan bagi guru dan sekolah agar terus berusaha
membantu murid bermasalah dalam pembelajaran. Hal ini dapat diperoleh melalui
matlamat Misi Nasional dalam tempoh 2006-2010, iaitu Pelan Induk Pembangunan
Pendidikan (PIPP) tertumpu kepada projek membangunkan prasarana sekolah di luar
bandar, meningkatkan kadar kehadiran murid di sekolah dan mengurangkan kadar
keciciran, meningkatkan bilangan guru terlatih di sekolah luar bandar serta
mempertingkat sistem pengagihan bantuan kepada murid miskin dan murid
berkeperluan khas.
3.0 Punca-punca Masalah Utama Dalam Pendidikan Pemulihan Bahasa Melayu
Kelas-kelas pemulihan mempunyai kategori kanak-kanak yang berbeza-beza
berdasarkan masalah yang dihadapi atau kemahiran-kemahiran pembelajaran yang
belum dikuasai. Keadaan ini mewujudkan kemungkinan bahawa murid-murid ini
menghadapi masalah pembelajaran yang tertentu. Kebiasaannya, masalah murid-murid
menulis nombor atau abjad terbalik sering dikaitkan dengan masalah disleksia.
Umumnya, disleksia adalah sukar untuk dikenal pasti oleh seseorang guru. Hal ini
adalah sedemikian kerana ada dalam kalangan murid-murid normal yang sering
membuat kesilapan dalam mengeja dan membaca yang tidak jauh bezanya dengan
kesilapan murid-murid yang mengalami disleksia.
Contoh tulisan murid disleksia
Namun, kita harus mengenal pasti murid-murid yang mengalami disleksia dengan
melihat ciri-ciri murid disleksia seperti berikut:
1. kesukaran berbahasa
2. ketidakseimbangan dengan kebolehan intelektual
3. tidak lancar ketika membaca sesuatu bahan bercetak
4. tidak dapat menulis dengan lancar dan tepat (kesukaran meniru
tulisan dari papan hitam atau buku).
5. mata mudah menjadi penat setelah beberapa minit menumpu
perhatian kepada tulisan, dan
6. daya tumpuan yang terhad (pendengaran dan pengamatan visual).
Dalam program pemulihan pula, didapati murid-murid pemulihan sering
menghadapi masalah untuk menguasai kemahiran membaca, menulis dan mengira.
Dalam kemahiran membaca, murid-murid pemulihan menghadapi masalah kesukaran
untuk mengingat huruf selepas membaca. Beberapa ciri-ciri murid yang normal hampir
sama dengan murid yang mengalami disleksia.
Contoh murid menulis huruf ‘s’ terbalik
Hal sedemikian mungkin berlaku disebabkan murid kurang menumpukan
perhatian dan juga mempunyai masalah pengamatan. Selain itu, murid pemulihan juga
mempunyai perbendaharaan kata yang kurang atau terhad menyebabkan mereka
menghadapi masalah dalam membina ayat mudah dengan betul.
Menurut Jamilah Ahmad (1999), program pemulihan dijalankan adalah untuk
menampung keperluan murid-murid di dalam kelas biasa yang menghadapi masalah-
masalah seperti berikut :
1. Masalah pembelajaran akibat
a) Ketidaksuaian bahan dan teknik pengajaran guru
b) Sering tidak hadir ke sekolah
c) Cuai menjalankan aktiviti-aktiviti pembelajaran
d) Leka dan lambat
2. Masalah-masalah yang menghalang pembelajaran seperti
a) Masalah peribadi
b) Masalah psikologi
c) Kurang kecerdasan iaitu lambat berfikir dan bertindak, cepat lupa, sukar
memahami dan lemah pengamatan.
Murid yang mempunyai masalah pembelajaran akibat daripada sering tidak hadir ke
sekolah, leka, lambat dan juga kurang kecerdasan iaitu lambat berfikir dan bertindak,
cepat lupa, sukar memahami dan lemah pengamatan. Murid seperti ini merupakan
murid yang lemah di dalam kelas yang perlu dipulihkan walaupun tidak mempunyai
sebarang masalah kecacatan akal atau terencat akal. Jamilah Ahmad (1999)
menyatakan bahawa murid-murid lemah dalam pembelajaran mempunyai ciri-ciri
seperti berikut:
a) Lambat menguasai sesuatu kemahiran yang diajar sama ada kemahiran lisan,
bacaan mahupun penulisan.
b)Lemah untuk mengubah alih pengetahuan kepada plebagai situasi
pembelajaran.
c) Lambat memastikan sesuatu perkataan sama ada dari segi sebutan mahupun
maknanya.
d) Lambat membentuk konsep.
e) Kerap kali lupa akan perkara-perkara yang telah diajar.
f) Tidak menunjukkan minat kepada aktiviti-aktiviti pembelajaran.
g) Lemah pengamatan, penglihatan dan pendengaran.
h) Suka bersendirian, mempunyai konsep yang negatif.
i) Selalu ponteng dan mempunyai masalah tingkah laku.
j) Pendiam, malu dan sukar untuk bertindak balas.
Oleh yang demikian, sebagai guru pemulihan, seseorang guru itu tidak perlu
memulakan sebarang aktiviti terlebih dahulu, guru perlu menghayati matlamat utama
pemulihan. Ini kerana setelah seorang guru memahami konsep dan mengetahui
dengan jelas matlamat, maka guru akan lebih prihatin terhadap kelemahan murid-murid
dalam pembelajaran dan lebih beriltizam terhadap tugas sebagai guru pemulihan.
4.0 Pelaksanaan Tindakan Mengatasi Masalah Pemulihan
Beberapa kaedah, pendekatan dan teknik yang sesuai digunakan untuk mengatasi
masalah menulis huruf terbalik.
Pendekatan Deduktif
Jamilah Ahmad (1999) menyatakan bahawa dalam pendekatan ini, sesuatu
pembelajaran dimulakan dengan mempelajari peraturan-peraturan tertentu dan
kemudian menganalisis hukum atau peraturan-peraturan melalui contoh-contoh
seterusnya untuk mengaplikasikan peraturan yang diberi. Dalam menggunakan
pendekatan ini, murid menulis urutan A-Z huruf besar, A-Z huruf kecil secara berulang-
ulang.
Latihan-latihan seperti ini diberikan kerana untuk melatih murid dengan urutan abjad
dan nombor yang betul, walaupun murid telah mengetahui urutannya. Murid perlu
menyebut setiap nombor dan abjad yang ditulis olehnya sendiri semasa menulis.
Namun, kadang-kadang murid juga mudah lupa apabila diminta menyebut secara lisan.
Apabila diminta menyebut abjad dan nombor secara rawak, beliau menunjukkan tindak
balas yang lambat. Latihan-latihan seperti ini dapat meningkatkan daya ingatannya
dengan mengingat abjad dan nombor yang ditulis.
Pendekatan main sambil belajar
Murid-murid yang lemah lebih suka bermain daripada belajar. ”Main” merupakan satu
ciri yang boleh mempertingkatkan kebolehan empati, menambahkan kepekaan murid
terhadap proses interaksi dan menggalakkan keupayaan untuk menganalis secara
objektif.
Dalam pelaksanaan pendekatan ini, guru perlu menggunakan bahan bantu
mengajar seperti huruf A-Z dalam permainan “Cuba Teka Siapa Saya”. Murid diminta
untuk meneka setiap huruf yang ditunjukkan saya. Tujuan utamanya ialah untuk
mengesan sama ada murid dapat mengenal huruf dengan betul tanpa memikirkan
abjad yang terbalik.
Adakalanya guru perlu menterbalikkan huruf tersebut untuk melihat sama ada
murid dapat menjawab ataupun tidak. Hasilnya, murid akan dapat meneka huruf
terutamanya abjad “s” dengan baik.
Teknik Latih Tubi
Teknik ini digunakan dalam pengajaran secara lisan sebagai latih tubi komunikatif. Guru
menyebut perkataan dan meminta murid mengulanginya beberapa kali sehingga beliau
dapat menguasainya. Namun demikian, pendekataan ini guru perlu tambahkan dengan
tulisan iaitu mengulang sebutan saya secara lisan dan memindahkannya kepada
tulisan.
Hal ini sedemikian kerana tindakan ini akan meningkatkan daya ingatan murid
terhadap abjad dan nombor yang disebutnya. Jadi, murid dapat menguasainya dengan
lebih baik lagi. Latihan ini telah membolehkan murid tidak lagi menulis abjad “s” dan
juga nombor “5” terbalik.
Kaedah Pengulangan semasa Mengajar
Keadah ini melibatkan langkah-langkah pemulihan yang digunakan untuk membantu
kanak-kanak disleksia. Namun demikian, pendekatan ini diaplikasi dalam tindakan guru
dengan murid kerana masalah yang dihadapi oleh murid hampir sama dengan kanak-
kanak disleksia.
Tindakan yang dilakukan ialah dengan mengulang latihan yang telah dibuat dan
juga di dalam latihan tersebut mempunyai pengulangan untuk menulis abjad ataupun
nombor. Ini bagi memastikan murid dapat mengingati apa yang ditulisnya. Latihan ini
perlu dilakukan dengan kerap. Guru akan dapati bahawa dengan setiap pengulangan
latihan ini, tulisan murid akan semakin kemas dan cantik.
Teknik menulis di udara
Teknik ini digunakan untuk mengesan sama ada murid dapat mengingat nombor dan
abjad yang telah ditulis olehnya sebelum ini. Teknik ini dilakukan untuk mengesan sama
ada murid mengingati setiap bentuk abjad dan nombor. Di samping itu, teknik ini adalah
untuk melatih murid menguasai kemahiran menulis. Guru menyebut nombor dan abjad
dan murid akan menulisnya di udara. Hasilnya latih tubi ini akan memberi kesan yang
positif kepada murid. Hal ini sedemikian kerana murid berjaya menulis setiap nombor
dan abjad yang disebutkan oleh guru dengan betul dan tepat. Murid akan menunjukkan
perkembangan yang baik kepada teknik yang digunakan.
Tracing
Teknik ini digunakan untuk membantu murid menulis dengan urutan yang betul. Tracing
ialah teknik menyalin bentuk-bentuk huruf mengikut urutan. Walau bagaimanapun, guru
perlu menggunakan papan tulis untuk membuat latihan ini. Hal ini sedemikian kerana ia
dapat mengelakkan rasa bosan murid dalam p&p. Semasa murid menulis di papan tulis,
murid akan kelihatan begitu seronok untuk menulis. Semakin seronok murid belajar
semakin cepat mereka memahami pembelajaran mereka. Hasilnya murid akan
menyalin urutan yang betul dan kemas.
5.0 Rancangan Pengajaran Harian Tahun 4
Mata pelajaran : Bahasa Melayu
Tahun : 4 Cemerlang
BilanganMurid : 20 orang
Tema : Keluargaku Sayang
Tajuk : Keluarga Bahagia
Tarikh : 19 Ogos 2012
Masa : 60 minit
Kemahiran : 1.1 Aras1 (i) Berbual tentang sesuatu perkara yang dialami
Atau dilihat atau yang dibaca.
5.2 Aras 1 (i) Membaca lancar bahan sastera dan bukan
Sastera dengan intonasi yang betul.
8.1 Aras 1 (i) Menulis perkataan dan pelbagai jenis ayat
berdasarkan topik yang diberikan.
Objektif : Pada akhir pelajaran murid dapat :
i. Berbual tentang peranan anggota keluarga dengan
betul dan teratur.
ii. Membaca bahan sastera dengan intonasi yang betul.
iii. Menulis lima perkataan dan membina lima ayat
tunggal dengan betul.
Kemahiran Bahasa : Kemahiran mendengar, bertutur, membaca, dan.menulis.
Sistem Bahasa : Sistem ejaan, ayat tunggal dan kata kerja.
Nilai : kasih sayang.
Ilmu : Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan
Kemahiran Bernilai Tambah (KBT):
i. Kemahiran Berfikir :
Menganalisis, membuat kesimpulan dan merumus.
ii. Kemahiran Belajar :
Menerima maklumat, memproses dan melaporkan.
iii. Pembelajaran Kontekstual :
Murid dapat menceritakan pengetahuan dan pengalaman mereka
mengenai peranan anggota keluarga.
BBM : Kad gambar, buku teks, buku latihan dan alat tulis.
Masa/Langkah Isi Pelajaran Aktiviti Pelajaran Catatan
Set induksi
(5minit)
Memaparkan kad
gambar sebuah
keluarga.
1. Murid melihat
gambar yang
dipaparkan.
2. Murid
menamakan
orang yang
ditunjukkan.
3. Murid
menyatakan
anggota dalam
keluarga asas.
KBT:
Kemahiran berfikir:
Membuat
perbezaan.
Pembelajaran
Kontekstual:
Kaitan tajuk
Dengan
pengalaman murid.
BBM:
Kad gambar.
Langkah 1
(10minit)
Guru bersoal jawab
dengan murid tentang
peranan ahli anggota
keluarga asas.
1. Murid menjawab
soalan yang
dikemukakan
oleh guru.
a. Siapakah ketua
dalam
sesebuah
keluarga?
Nyatakan
peranannya.
b. Nyatakan
peranan ibu
dalam keluarga.
c. Apakah
peranan anak-
anak dalam
keluarga.
KBT:
Kontekstual.
Kemahiran
Bahasa:
Kemahiran
mendengar,
bertutur .
Nilai:
Menyayangi
Bertanggungjawab
Langkah 2
(25minit)
Membaca dengan
lancer dan intonasi
yang betul.
1. Murid membaca
teks yang
dipaparkan
secara :
a. Kelas
b. Kumpulan
dan
c. Individu
2. Guru
memaparkan
ayat tunggal.
3. Murid baca ayat
KBT:
BCB – bacaan
intensif
BBM:
Petikan teks.
tersebut.
4. Guru
menerangkan
maksud ayat
tunggal dengan
merujuk pautan
internet.
5. Kumpulan
pengayaan
menyenaraikan
lima ayat tunggal
yang terdapat
dalam teks.
6. Kumpulan
pemulihan
menyenaraikan
tiga ayat tunggal.
7. Ketua kumpulan
membacakan
ayat yang telah
disenaraikan.
8. Guru menyemak
ayat yang
dibacakan oleh
murid dan
membetulkan
kesalahan jika
ada.
Langkah 3
(15minit)
Menulis perkataan dan
membina ayat tunggal.
1. Guru
mengedarkan
KBT:
Kemahiran berfikir:
Pengayaan :
Membina ayat tunggal.
Pemulihan :
Menyusun perkataan
menjadi ayat tunggal.
lembaran kerja.
2. Murid membaca
perkataan yang
terdapat dalam
lembaran kerja.
3. Murid pengayaan
membina ayat
tunggal dengan
menggunakan
perkataan
tersebut.
4. Murid pemulihan
menyusun
perkataan
menjadi ayat
tunggal
Kemahiran
Bahasa:
Kemahiran menulis
BBM:
Lembaran kerja
Penutup
(5 minit)
Nilai murni 1. Murid
menyatakan nilai
murni yang perlu
dimiliki semua
ahli keluarga.
Rumusan
Pendidikan pemulihan ialah suatu aktiviti pengajaran dan pembelajaran alternatif untuk
membantu murid-murid yang menghadapi masalah di dalam kelas. Pelaksanaan
program pemulihan ini bertujuan supaya jurang perbezaan pencapaian di antara murid
dapat dikecilkan dan mereka dapat belajar bersama-sama dalam suasana
pembelajaran yang lebih baik di dalam kelas biasa.
“... Setiap murid adalah berbeza antara satu dengan lain sama ada dari segi
pengalaman, tingkah laku, amalan, kecenderungan, bakat dan kebolehannya.
Perbezaan individu ini perlulah menjadi satu pedoman atau pegangan guru dalam
usaha merancang pengajaran dan pembelajaran di dalam bilik darjah.
(Buku Panduan Am KBSR, 1982)
Dalam konteks Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah (KBSR), program
pemulihan merupakan langkah-langkah khas yang diusahakan untuk membantu murid
yang menghadapi masalah pembelajaran tertentu dalam menguasai kemahiran asas
3M (membaca, menulis, dan mengira). Mereka ini kemudiannya diberikan program
pemulihan sebaik-baik sahaja masalah mereka dapat dikesan dan dikenal pasti.
Program pemulihan perlu dilaksanakan kepada murid yang menghadapi masalah
pembelajaran, iaitu mereka yang memperoleh pencapaian di bawah paras yang
sepatutnya. Murid-murid seumpama ini ada di semua peringkat persekolahan, baik di
luar bandar mahupun di bandar. Masalah pembelajaran yang dihadapi oleh murid-murid
ini mungkin berupa masalah yang ringan, dan pemulihan boleh dilakukan oleh guru
kelas biasa. Bagi murid-murid yang menghadapi masalah yang berat dan kompleks,
mereka akan dikelolakan oleh guru khas pemulihan di kelas khas.
Sebaik-baik sahaja kelemahan dalam sesuatu kemahiran atau konsep
dipulihkan, murid-murid yang diajar oleh guru pemulihan dalam mata pelajaran Bahasa
Melayu dan Matematik di kelas khas akan dihantar semula ke kelas biasa. Sementara
murid-murid pemulihan di kelas biasa, akan diubahsuai kedudukan di dalam kelas ke
kumpulan mengikut kebolehan berdasarkan prestasi dari semasa ke semasa.
Rasional
i. Dari sudut Falsafah, program pemulihan memenuhi keperluan setiap
murid yang ketinggalan kerana tidak dapat belajar sepenuhnya dalam
kelas biasa. Ini selaras dengan konsep “Pendidikan Untuk Semua”.
ii. Dari sudut Teori, Pendekatan pengajaran seperti “Prescriptive-Diagnostic
Teaching”, “Precision Teaching”, dan Clinical Teaching” telah terbukti
berjaya yang merupakan asas kepada pelaksanaan program ini.
iii. Dari sudut Pencegahan, masalah yang dialami oleh setiap murid akan
bertambah dan semakin menyulitkan jika tidak ditangani dengan segera.
Refleksi
Pada 28 Julai 2012 yang lalu, kami pelajar PPG BMM 1 Semester 3 telah diberi satu
tugasan kerja kursus pendek oleh pensyarah bagi mata pelajaran Pemulihan dan
Pengayaan Bahasa Melayu Sekolah Rendah BMM 3106 Dr. Hussin bin Sarif. Kami
telah diberi masa selama beberapa minggu untuk menyiapkan tugasan ini.
Kursus ini menghuraikan berkaitan pendidikan pemulihan dan pengayaan dari
aspek konsep, objektif, dan rasional, masalah penguasaan pembelajaran dan cara-cara
mengesan kesukaran pembelajaran, pengelolaan dan strategi dalam kelas biasa dan
kelas khas, penyediaan rancangan pengajaran dan bahan bantu belajar, dan
pelaksanaan pengajaran dan penilaian.
Perkara pertama yang kami lakukan untuk menyelasaikan kerja kursus jangka
pendek ini ialah membahagikan tugasan yang diberi mengikut masa supaya tidak
berlaku pelanggaran waktu untuk menyiapkan kerja-kerja yang lain. Kami terpaksa
berbuat begitu untuk menghadapi masalah kekangan masa. Terdapat sedikit maklumat
mengenai tajuk yang diberi dalam nota pembelajaran saya, jadi ini menyukarkan saya
untuk melengkapkan tugasan ini.
Kami menghadapi masalah dalam mencari maklumat tambahan untuk
menyiapkan tugasan ini. Agak sukar untuk mencari maklumat tambahan daripada
perpustakaan kerana kekangan masa antara kerja dengan kerja kursus ini.
Alhamdulillah dengan kemudahan internet yang ada menjadi tempat untuk kami
membuat rujukan.
Sepanjang menyelesaikan tugasan ini, jika ada masalah yang timbul, kami
sentiasa berhubung untuk menyelasaikan persoalan yang dikemukakan dalam tugasan
projek yang diberi. Kaedah musyawarah, rujukan pada pensyarah dan merujuk
beberapa buah buku yang terdapat di sekolah menjadi penyelesaian yang amat
berguna. Kerjasama dan perpaduan merupakan tunggak kejayaan bagi menyelasaikan
sesuatu projek itu. Bak kata pepatah, ’Bulat air kerana pembetung, bulat manusia
kerana muafakat’. Kami perlu bersatu-padu dan sentiasa berganding bahu walau dalam
apa jua keadaan sekalipun.
Namun, walaupun menghadapi pelbagai masalah dalam melaksanakan tugas
harian sebagai guru tahun 6, setiausaha peperiksaaan dan beberapa tugasan lain
dalam memprogramkan calon UPSR mencapai kejayaan 5A, saya telah berjaya untuk
menyiapkan tugasan ini dalam masa yang ditetapkan. Ini adalah berkat kerjasama dan
muafakat antara semua pihak. Kemahiran membuat keputusan telah dapat dilatih
secara tidak langsung. Malah pelbagai pengetahuan baru telah dapat diperolehi
semasa menyelesaikan tugasan projek ini. Insyallah maklumat ini akan dapat
digunakan dalam melaksanakan tugasan sebagai profesion perguruan yang semakin
mencabar pada masa yang akan datang.
Secara keseluruhannya, melalui proses membuat tugasan kerja kursus pendek
ini telah memberikan banyak faedah kepada saya dan membuatkan saya lebih
mencintai profesion yang mulia ini serta menambahkan lagi semangat saya untuk
menjadi seorang guru yang berkualiti bagi melahirkan modal insan yang seimbang dan
sanggup berkorban demi agama bangsa dan negara.
Sekian, terima kasih
Muazam bin Mahbob
Bibliografi
1. Jamilah Ahmad.(1999). Penduan Pengajaran Pemulihan Bahasa Melayu KBSR
& KBSM. Shah Alam: Penerbit Fajar Bakti Sdn. Bhd.
2. Jabatan Pendidikan Khas, Kementerian Pendidikan Malaysia. (2003). Buku
Panduan Pelaksanaan Program Pemulihan Khas (Masalah Penguasaan 3M).
Kuala Lumpur: Jabatan Pendidikan Khas, Kementerian Pendidikan Malaysia.
3. Kamarudin Hj. Husin. (1993) . Pedagogi 3: Penggunaan Psikologi dalam Bilik
Darjah. Selangor: Longman.
4. Kamaruddin Hj. Husin. (1988). Pedagogi Bahasa.Selangor: Longman.
Kementerian Pelajaran Malaysia. (1992). Siri Panduan Guru Kurikulum Baru
Sekolah Rendah, Jilid 3: Asas Kemahiran Berbahasa KBSR. Kuala Lumpur:
Dewan Bahasa dan Pustaka.
5. Rajesvari a/p Ramasamy. (2008). Masalah Disleksia dalam Kalangan Murid-
Murid Pemulihan di Sekolah Rendah, Pulau Pinang.
6. Dimuat turun daripada <http://eprints.usm.my/9988/1
7. Syed Abu Bakar Syed Akil. (1997). Bimbingan Khas Perkhidmatan Pendidikan
Pemulihan. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
8. Abdul Rasid Jamian & Zulkafli Abu Zarin. (2008). Keupayaan kemahiran
membaca dan menulis Bahasa Melayu murid sekolah rendah kebangsaan luar
bandar. Kertas kerja di Konvensyen Pendidikan Nasional 2008. Universiti
Pendidikan Sultan Idris. 2 – 4 Jun 2008.
9. Kementerian Pendidikan Malaysia. (2003). Kurikulum bersepadu sekolah rendah.
Kuala Lumpur: Dewan Bahasa & Pustaka.
10.Mohd. Majid Konting. (2005). Kaedah penyelidikan pendidikan. Edisi Ke-7. Kuala
Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
11.Muhamad Hassan Abdul Rahman. (2000). Media pengajaran: Penghasilan
bahan pengajaran berkesan. Serdang: Penerbit Universiti Putra Malaysia.
12.Roselan Baki. (2003). Pengajaran dan pembelajaran penulisan bahasa Melayu.
Shah Alam: Karisma Publications Sdn. Bhd.
13.Yahya Othman. (2004). Mengajar membaca: Teori dan aplikasi. Bentong: PTS
Publications & Distributors Sdn. Bhd.
Recommended