WARKAH RAJA-RAJA MELAYU DI PUSAT MANUSKRIP MELAYU kepada kitab agama, kitab perubatan tradisional, petua,

  • View
    29

  • Download
    0

Embed Size (px)

Text of WARKAH RAJA-RAJA MELAYU DI PUSAT MANUSKRIP MELAYU kepada kitab agama, kitab perubatan tradisional,...

  • WARKAH RAJA-RAJA MELAYU DI PUSAT MANUSKRIP MELAYU

    Siti Mariani bt S.M.Omar*

    PENGENALAN

    Manuskrip Melayu telah diisytiharkan sebagai warisan dokumen negara oleh UNESCO Memory of the World Programme yang perlu diselamatkan dan dipulihara. Sejak ditubuhkan pada tahun 1985, Pusat Manuskrip Melayu, Perpustakaan Negara Malaysia telah memberi tumpuan kepada pelaksanaan fungsi mengesan dan memperolehi manuskrip Melayu dalam apa jua bentuk dari dalam dan luar negara, di samping menjalankan fungsi-fungsinya yang lain dalam memartabatkan manuskrip Melayu sebagai khazanah ilmu Melayu yang tidak boleh dicari ganti. Jumlah manuskrip yang telah dikumpul sehingga Mei 2001 menjangkau kepada 2960 naskhah meliputi manuskrip karya penulisan lama dan warkah lama yang kebanyakannya dalam bahasa Melayu. Himpunan koleksi yang paling tinggi diklasifikasikan kepada kitab agama, kitab perubatan tradisional, petua, azimat, hikayat, syair, sekumpulan kecil manuskrip nazam, sejarah, undang-undang dan ketatanegaraan.

    Dasar utama perolehan adalah pembinaan koleksi manuskrip Melayu berbentuk karya penulisan lama. Namun, manuskrip Warkah lama tidak diketepikan sebagai bahan yang sama penting untuk diperolehi dan disimpan sebagai bahan penyelidikan.

    Warkah Melayu lama merupakan manuskrip terawal yang dihasilkan oleh masyarakat zaman silam untuk pelbagai tujuan dan kepentingan. Ianya digunakan sebagai saluran komunikasi dan sebagai saluran perhubungan ikatan silaturahim antara kerajaan, pembesar, antara pembesar dengan pemerintah Barat dan antara pembesar-pembesar di Kepulauan Melayu.

    Oleh itu, warkah Melayu lama merupakan sumber sejarah yang amat penting bagi sesuatu negeri yang menggambarkan keadaan ekonomi, sosial, politik dan sejarah pada zaman ianya ditulis.

    Keintelektualan orang Melayu terserlah daripada penggunaan kata puji-pujian dan isi kandungan yang disusun indah, teratur dan halus. Penguasaan bahasa Arab oleh masyarakat Melayu yang terpancar di kata puji-pujian membuktikan kebolehan mereka memahami dan menulis bahasa tersebut. Warkah Melayu yang sering dihias dengan iluminasi yang mempesonakan mempunyai identiti tersendiri merupakan manifestasi kesenian Melayu pada masa itu. Kemahiran dan pengetahuan dari segi teknik iluminasi ini terbukti dengan penggunaan hiasan perada emas pada warkah sebagai lambang keagungan dan kebesaran pengirim. Kehalusan seni orang Melayu pada masa itu juga dapat dilihat pada cap mohor yang sering digunakan sebagai identifikasi dan status pengirim surat. Sementara, isi kandungan warkah memberi gambaran peristiwa yang bersejarah pada zaman itu yang membentangkan hasrat penulis kepada penerima.

    KOLEKSI WARKAH DI PUSAT MANUSKRIP MELAYU

    Pusat Manuskrip Melayu, Perpustakaan Negara Malaysia mempunyai 28 helai warkah Melayu lama dalam koleksinya. Daripada jumlah tersebut 17 helai warkah dalam bentuk asal telah dikenalpasti berkaitan dengan kesultanan Melayu dan boleh dibahagikan kepada 3 kategori seperti berikut :

    * Pengarah. Pusat Manuskrip Melayu. Perpustakaan Negara Malaysia.

    Hak Cipta Terpelihara © 2002 – Perpustakaan Negara Malaysia

    Hak Cipta Terpelihara © 2002 – Perpustakaan Negara Malaysia

  • i. Warkah daripada Gabenor-Jeneral kerajaan pemerintah kepada Sultan

    ii. Warkah daripada Sultan kepada Gabenor- Jeneral kerajaan pemerintah

    iii. Warkah antara Sultan di Kepulauan Melayu.

    Warkah daripada Gabenor-Jeneral kerajaan pemerintah kepada Sultan Dalam kategori ini terdapat 6 helai warkah yang ada dalam simpanan Pusat Manuskrip Melayu.

    i. Surat daripada John Hendric Tobias kepada Seri Paduka Sultan Syarif Uthman ibni Almarhum Sultan Syarif Abdul Rahman Al- Qadri, Sultan Pontianak bertarikh 5 April 1832. (MSS 2285) 40.8 x 29 cm.; 23 baris. Ditulis dengan dakwat hitam coklat di atas kertas laid berwarna putih coklat yang dalam keadaan baik. Namun, terdapat tompok kesan kena air di sebelah kiri kertas. Tera air: C & I HONIG. Tulisan kecil dan kemas. Mempunyai cap mohor berlakri dan tanda tangan J.H.Tobias dalam tulisan rumi di sebelah kanan di permulaan surat. Tulisan Ya Qadi al-hajat digunakan sebagai kata permulaan surat.

    Dimulakan dengan Bahawa ini warkah al- ikhlas wa tuhfah al-ajnas. John Hendric Tobias ketika menulis surat ini berada di Betawi. Ianya merupakan surat balasan daripada Seri Paduka Sultan yang diterimanya pada 5 Jamadilakhir. Beliau menyatakan hasrat ingin bertemu dengan Seri Paduka Sultan Syarif Uthman. Kata-kata pujian yang ditujukan kepada Seri Paduka Sultan amat menarik, .. .yang sahabat kita menerima cinta kasih dan Sayang dan tiada menaruh sekali-kali lupa dan lalai pada tiap-tiap makan dan zaman selama- lamanya hingga ada hayat di dalam dunia ini adanya dan kita pun demikian juga yang tiada sekali-kali putus ingatan dan kerinduan yang sentiasa adanya... Termaktub dan telah meterai di dalam Bandar negeri Betawi pada 5 April 1832.

    ii. Surat perlantikan Seri Paduka Raja Haji Abdullah sebagai Raja Muda daripada

    Gabenor-Jeneral Nederland-Hindi bertarikh 9 Februari 1858. (MSS 2.138) 42.5 x 55 cm.; 9 baris. Ditulis dengan dakwat hitam di atas kertas laid Eropah berwarna putih kekuningan yang dalam keadaan baik. Tera air: (i) C & T HONIG (ii) Singa memegang lembing, perkataan VRYHEID di bawahnya, di dalam bulatan bermahkota dengan perkataan PROPATRIA EIUSQUE LIBERTATE di antara garis bulatan.

    Melalui surat ini yang tertulis di negeri Bogor Gabenor-Jeneral dari tanah Hindi Nederland mengisytiharkan Seri Paduka Raja Haji Abdullah dilantik sebagai Raja Muda dengan gelaran Sultan Alauddin Riayat Syah Yang Dipertua Riau. Kandungannya juga memerintah rakyat Riau taat kepada baginda. Ditulis dalam tulisan jawi disebelah verso dan dalam bahasa Belanda dalam tulisan rumi di sebelah rekto yang ditulis dengan tulisan yang indah dan berseni.

    Surat daripada Sekretari-Jeneral Kommissaris Nederland-Hindi kepada Seri Paduka Syarif Ahmad ibni Almarhum Sultan Syed Syarif Abdul Rahman al-Qadri, Pengiran Bendahara Pontianak bertarikh 4 Ogos 1844. (MSS 2479) 39.5 x 25 cm.; 19 baris. Ditulis dengan dakwat hitam di atas kertas laid Eropah berwarna putih kekuningan. Tulisan kemas dan bergaya. Tera air: PROPATRIA EIUSQUE LIBERTATE. Tanda tangan A.Prins dalam tulisan rumi di baris permulaan surat.

    Sekretari-Jeneral Kommissaris [A.Prins] menulis surat ini di Bogor sebagai membalas surat yang dihantar oleh Seri Paduka Syarif Ahmad bertarikh 24 Syawal 1271 H. [10 Julai 1855 M.] yang disertakan bersama 3 buah kitab. Beliau mengucapkan terima kasih di atas pemberian kitab itu dan menunggu pemberian kitab lain seperti yang telah dijanjikan. Tuan Kommissaris memberitahu bahawa beliau mendengar khabar anak Syarif Abu Bakar al- Qadri telah berkahwin dengan putera Seri Paduka Sultan Uthman pada 12 Syawal. Isteri dan anak-anak Kommissaris mengirim salam kepada Seri Paduka Sultan. Surat ini diakhiri

    Hak Cipta Terpelihara © 2002 – Perpustakaan Negara Malaysia

    Hak Cipta Terpelihara © 2002 – Perpustakaan Negara Malaysia

  • dengan kata-kata ...maka kita harap pula supaya tuhan seru semesta alam akan panjangkan usia umurnya sahabat kita di dalam dunia ini dan akhirat dengan segala selamat sempurna jua adanya...

    iv. Surat daripada Kommissaris Jeneral Burggraaf Du Bus de Gisignies kepada Seri Paduka Sultan Syed Syarif Uthman ibni Almarhum Sultan Syed Syarif Abdul Rahman al-Qadri, Sultan Pontianak bertarikh 11 Februari 1829. (MSS 2051) 49 x 39 cm.; 14 baris. Ditulis dengan dakwat hitam pekat di atas kertas laid Eropah berwarna putih kekuningan. Tulisan kemas dan bergaya. Tera air: J. HONIG & ZOONEN. Mempunyai cap mohor berlakri berwarna merah, perkataan Kommissaris General Nederland dengan lambang kerajaan Belanda. Tanda tangan Du Bus de Gisignies tertera di permulaan baris surat. Kertas dipenuhi dengan iluminasi lukisan motif bunga dan rajah bulatan kecil menggunakan dakwat keemasan. Di kepala surat dihias dengan lukisan lingkaran daun dan bunga. Teks ditulis dalam bingkai bergaris, dengan lukisan bunga di antara baris. Menggunakan perkataan Qawluh al-haqq sebagai kepala surat yang ditulis dalam kotak berbentuk berlian berwarna keemasan. Kommissaris Jeneral Burggraaf Du Bus de Gisignies mengkhabarkan kepada Sultan Syed Syarif bahawa beliau bersama-sama pengiringnya telah tiba di Betawi pada 3 Februari 1829. Beliau telah diutus oleh Maharaja Nederland untuk melakukan sesuatu yang berfaedah kepada penduduk Pontianak. Kommissaris de Gisignies menjemput Sultan menyatakan segala hal ehwalnya kerana hendak kami mengira-ngira akan dengan bijaksana akan hal ehwal itu...Surat diakhiri dengan ayat Diberi di Betawi di dalam istana kami pada 11 harihulan Feruari 1829.

    v. Surat daripada Gurnadur-Jeneral Jan Jacob Rochussen kepada Sultan Syed Syarif Uthman ibni Almarhum Sultan al-Qadri, Sultan Pontianak bertarikh 14 Mei 1848 M.

    vi

    bersamaan 22 Jamadilakhir 1265 H. (MSS 2717) 46 x 38 cm.; 15 baris. Ditulis dengan dakwat hitam yang telah kembang di atas kertas laid Belanda yang telah rapuh berwarna putih kekuningan. Kertas koyak di barisan pertama akibat daripada asid dakwat. Tera air: VAN GELDER. Sehelai warkah yang dihias indah dengan iluminasi. Di keliling kertas dilukis bingkai bergaris dua yang dipenuhi dengan lukisan lingkaran bunga dan daun di antara garis berwarna biru dan coklat. Teks ditulis dalam bingkai kecil bergaris dua dengan lukisan geometri di antara garis berwarna keemasan. Di kepala surat lukisan 5 kuntum bunga dan di atas pula perkataan Qawluh al- haqq. Mempunyai cap mohor berlakri berwarna merah di sebelah kanan permulaan surat, tanda tangan Rochussen di bawahnya. Gurnadur-Jeneral Rochussen memaklumkan bahawa pada 12 Mac Raja William ke-2 telah meninggal dunia. Termaktub warkah ini di dalam istana kita di negeri Betawi pada 14 Mei 1848 M

View more >